"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Muhyiddin dipelawa sertai Amanah untuk selamatkan negara

MALAYSIA DATELINE
Pemimpin Amanah Johor mempamerkan kenyataan media mempelawa Muhyiddin menyertai parti itu.

Setelah beberapa pihak khususnya ahli akademik menyarankan bekas Timbalan Presiden Umno Tan Si Muhyiddin Yassin menyertai Amanah bagi meneruskan perjuangan politiknya, Amanah Negeri Johor hari ini secara terbuka menawarkan bekas pemimpin Umno itu untuk menyertai parti tersebut.

Dalam satu sidang akhbar di Johor Bahru pagi tadi, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata, Amanah negeri menyediakan platform kepada Muhyiddin untuk bergerak dan sedia menjelaskan isu berkaitan penyelewengan dalam negara khususnya 1MDB.

"Amanah Johor bersimpati dengan Tan Sri Muhyidin dan Dato' Seri Mukhriz yang digugurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah.

"Amanah Johor memuji ketegasan dan pendirian Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Datuk Seri Shafei Afdal dalam isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion (yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri). Mereka rela kehilangan jawatan demi kepentingan negara.

"Amanah Johor mengalu alukan kemasukan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir jika mereka mahu menyertai Parti Amanah Negara," ujar Aminolhuda.

Amanah Johor juga, tambah beliau bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak seperti Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) bagi menentang korupsi dan kezaliman.

Menurut Aminolhuda, perjuangan memerangi penyelewengan dan rasuah perlu melangkaui batasan kepartian dan kaum demi untuk menyelamatkan negara.

Baru-baru ini PKR Johor turut mempelawa Muhyiddin menyertai parti itu.

Video: Ketua gangster peluk Islam membuka restoran beri makan percuma kepada mereka yang tidak bernasib baik dan gelandangan


Anak Vince, Giovanni terbunuh dalam satu kejadian tembak menembak antara kumpulan gangster di Dry Creek pada 2012.
ADELAIDE - AUSTRALIA. Seorang ketua gangster bukan saja berubah menjadi seorang yang mengutamakan keluarga dan suka membantu, malah membuka restoran untuk memberi makanan percuma kepada mereka yang tidak bernasib baik dan gelandangan.

"Semua orang pernah buat silap," kata Vince Focarelli, 41 dipetik laporan Adelaide Now.

Vince membuka restoran La’Fig Cucina di Carrington Street awal Jun lepas dan menawarkan makanan percuma setiap hari Selasa.

"Sebagai orang Islam, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bersedekah, terutamanya pada bulan Ramadan," kata Vince.

Katanya, Ramadan adalah bulan paling sesuai untuk orang Islam mengawal diri, berbuat kebaikan dan membina kesabaran yang tinggi.

"Sempena kedatangan Ramadan, sebahagian keuntungan restoran saya akan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami akan menyumbang dengan cara yang kami mampu," jelas Vince.

Sebelum memeluk Islam, Vince yang merupakan ketua kumpulan Comanchero pernah terlibat dengan beberapa jenayah berat termasuk pengeboman yang membunuh dua orang ahli kumpulan gangster Hells Angels.

Anak Vince, Giovanni terbunuh dalam satu kejadian tembak menembak antara kumpulan gangster di Dry Creek pada 2012.
sinarharian

Pelakon Aziz Singah Meninggal Dunia Akibat Kanser Prostat


Gambar kenangan Datuk Aziz Singah ketika mendapatkan rawatan penyakit kanser yang dihidapinya sambil ditemani isteri, Datin Zunita Mohamed. FOTO: Ihsan Utusan Malaysia.
PETALING JAYA: Pelakon veteran Datuk Aziz Singah, 74, meninggal dunia di kediamannya di Seri Kembangan, Serdang dekat sini pada Jumaat akibat kanser prostat.

Anaknya Muhammad Daniel Aziz, 24, berkata, arwah meninggal dunia kira-kira pukul 11.10 malam Jumaat di samping keluarga.

“Ayah berada dalam keadaan nazak semasa dirawat di Pusat Kanser Negara, Putrajaya dan kira-kira pukul 10 malam, kami memutuskan untuk membawa dia pulang ke rumah.

“Kira-kira sejam berada di rumah, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir,” ujar Muhammad Daniel ketika dihubungi mStar Online.

Kata Daniel, Allahyarham akan dimandikan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) kira-kira pukul 8 pagi Sabtu dan akan dikebumikan di tempat kelahirannya di Kampung Bongek, Rembau Negeri Sembilan sebelum solat Zohor pada Sabtu.

Allahyarham menghidap kanser prostat sejak beberapa tahun lalu dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ditanya apakah pesanan terakhir arwah, Muhammad Daniel berkata, ayahnya banyak bercakap mengenai keluarga mereka.

Aziz Singah yang popular pada era 1980-an pernah membintangi banyak drama namun lakonannya dalam PJ Holding antara karya yang diingati sehingga ke hari ini.

Beliau juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem termasuklah Maria Mariana terbitan Skop Productions.

Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Khatijah Abu Hassan dan dikurniakan tiga orang anak namun hubungan itu tidak bertahan lama.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan Datin Zunita Mohamed dan hasil perkahwinan itu mereka turut dikurniakan anak jumlah yang sama.
-mstar

'Di Singapura kita panggil pencuri. Di Malaysia mereka panggil perdana menteri'

Perkembangan politik Malaysia turut menjadi bahan jenaka di Singapura.

Kali ini pelawak negara itu Fakkah Fuzz menggunakan isu semasa yang hangat diperkatakan di negara ini untuk menghiburkan penontonnya.

Satu klip video memaparkan aksi Fuzz kini tersebar luas di media sosial.

Melalui jenaka itu Fuzz bercerita tentang 'perbezaan' penggunaan bahasa orang Melayu Malaysia dan Singapura.

"Sebagai contoh, jika Melayu Malaysia mahu mengajak ke sesuatu tempat, mereka berkata: Jom.

"Tapi kalau Melayu Singapura mereka akan berkata: Jom! Jom! Jom!" katanya.

Fuzz kemudian meneruskan jenakanya lagi: "Apabila kita ada thief, di Singapura kita panggil pencuri. Di Malaysia mereka panggil perdana menteri. Jadi ia memang sangat berbeza."

Kenyataan itu disambut dengan gelak ketawa dan tepukan gemuruh daripada penonton.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila dan di mana persembahan Fuzz itu diadakan.

Singapura antara negara yang menyiasat isu berkaitan syarikat negara yang sarat hutang 1MDB.

Ia secara langsung dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun pada Februari lalu Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku jenayah.

Dana syarikat itu didakwa turut disimpan di salah sebuah bank di negara berkenaan.

Menurut keterangan pada Facebook, Fakkah Fuzz pernah membuat persembahan di beberapa negara termasuk Hong Kong, Kemboja dan Malaysia.
-malaysiakini

WAU!! Ini kira bagus: RM48 Untuk 10GB

Yes Melancarkan Perkhidmatan 4G LTE – Bermula RM48 Untuk 10GB
Yes 4G yang sebelum ini terkenal dengan penawaran perkhidmatan rangkaian WiMax hari ini secara rasminya telah melancarkan perkhidmatan 4G LTE mereka. Pelancaran ini hadir secara rasmi selepas pihak Yes memperkenalkan ia secara ringkas ketika pelancaran telefon pintar Galaxy J 2016 tempoh hari.

Yes mengatakan rangkaian mereka menawarkan pengalaman rangkaian 4G LTE sebenar, menawarkan kelajuan muat-turun dan naik yang berkali ganda lebih pantas berbanding dengan rangkaian lain.
Yes LTE
Rangkaian Yes kini meliputi sekitar 85% kawasan berpenduduk di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah – yang mana merupakan gabungan rangkaian WiMax dan juga LTE daripada Yes.

Beberapa pelan disediakan oleh Yes untuk para pengguna. Namun, untuk anda yang ingin dapatkan ia bersama telefon pintar Yes Altitude, pihak Yes menawarkan data sehingga 24GB dan telefon pintar pada harga langganan RM70 sebulan.

Untuk pelan pascabayar pula, pihak Yes menawarkan pelan pada harga bermula RM48 untuk 10GB. Beberapa pilihan lain turut disediakan termasuk 24GB data untuk RM88, 38GB data untuk harga RM128 dan 46GB data untuk harga RM158.
Yes LTE
Disamping pascabayar, pihak Yes turut menyediakan pelan prabayar pada harga serendah RM30 sebulan untuk 4GB data.
Yes LTE
Pihak Yes membahagikan penawaran pelan mereka kepada Yes Broadband dan juga Yes LTE. Yes Broadband berfungsi melalui penggunaan modem khusus Yes seperti yang telah sedia terdapat di pasaran sejak beberapa tahun lepas, sementara Yes LTE pula beroperasi melalui kad SIM khusus Yes. Selain hanya data, pihak Yes turut menyertakan minit panggilan dan SMS percuma ke talian Yes lain.

Rangkaian Yes sendiri buat masa ini masih sedang dibangunkan lagi, dan mereka masih tidak berkongsi sepenuhnya berkaitan dengan penawaran perkhidmatan rayuan menggunakan kad SIM Yes buat masa ini. Disebabkan oleh perkara ini, Yes lebih menekankan untuk pengguna mendapatkan peranti dwi-SIM dan menggunakan Yes untuk perkhidmatan data.
Yes LTE
Yes LTE

Maut didera, diliwat bapa saudara

Selepas kisah Eno Farihah yang mati dirogol akibat alat sulitnya dirodok cangkul, Indonesia sekali lagi digemparkan dengan kes pembunuhan seksual mengerikan.

Terbaharu, menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang maut setelah dipercayai didera dan diliwat oleh bapa saudaranya sendiri.

Lebih mengerikan, anak tidak berdosa itu didapati diseksa dengan kejam apabila lubung duburnya dicucuh dengan alat pemateri panas.

Dalam kejadian yang berlaku di Kendiri, Jawa Timur pada Isnin lalu, mangsa disahkan meninggal dunia kerana kecederaan teruk di kepala setelah dicampak ke lantai sebanyak dua kali oleh Sentot Yuniarto, 30, ketika cuba meliwat mangsa.

Suspek yang tinggal di rumah nenek mangsa dilaporkan melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak dua kali.

Perbuatannya terbongkar apabila bapa mangsa yang pergi mencari anaknya terkejut melihat mangsa dalam keadaan pengsan dan luka di wajah.

Setelah dibawa ke hospital doktor mengesahkan mangsa diliwat dan mempunyai kesan lecuran parah di bahagian dubur.

Mangsa yang koma akhirnya meninggal dunia di hospital keesokan harinya.

Polis kemudiannya memberkas suspek yang mengaku bertanggung jawab melakukan perbuatan keji itu.

Menurut Sentot, dia meliwat kanak-kanak itu ketika mangsa tidak sedarkan diri selepas pengsan dicampak ke lantai.

“Saya membalingnya ke lantai dan mencucuh duburnya dengan solder listrik panas (alat pemateri panas), sebab dia enggan diliwat,” kata Sentot kepada para wartawan di balai polis Kediri Kota.

Dakwa Sentot dia melakukan liwat terhadap anak saudaranya kerana tertekan dengan isterinya, selain nafsunya tidak dapat dipuaskan.
kualalumpurpost

Suami maut ditikam isteri disyaki kerana cemburu

Pertengkaran sepasang suami isteri, disyaki berpunca daripada persaraan cemburu, berakhir tragis apabila lelaki itu ditikam
di Kampung Paya Besar, Kertau Chenor, dekat Maran, semalam.

Dalam kejadian pukul 8.05 pagi itu, mangsa Awang ak Muhamad, 42, seorang penoreh getah, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Chenor selepas terkena dua tikaman dengan pisau dapur di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Maran, Supt. Mat Rizal Mat Radzi berkata siasatan awal mendapati anak lelaki tiri mangsa berusia 10 tahun terdengar suspek bertengkar dengan mangsa sebelum menikamnya di dalam bilik di rumah mereka.

"Hasil temu bual dengan anak tiri mangsa ini mengatakan suspek telah bertengkar dengan mangsa sebelum menikam mangsa di dalam bilik.

"Kemudiannya anak tiri mangsa yang melihat kejadian itu membawa seorang adiknya yang berumur 11 bulan ke rumah saudara berdekatan dan memaklumkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi.

Mat Rizal berkata ketika kejadian hanya terdapat pasangan suami isteri itu serta dua anak mereka.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk bedah siasat.

Sementara itu, beliau berkata suspek yang berumur 33 tahun itu sudah ditahan berhampiran kawasan rumahnya selepas kejadian itu dan dia akan direman hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Bernama

Diperkosa ketika diajak sahur bersama

PEKANBARU - INDONESIA. Seorang wanita berusia 22 tahun mendakwa diperkosa seorang lelaki berusia 32 tahun setelah diajak makan bersahur bersama, lapor Merdeka.com.

Dalam kejadian pada 15 Jun lalu, suspek yang dikenali sebagai 'Mf' itu mengajak mangsa yang dikenali sebagai 'Pa', bersahur bersama di bilik rehat pekerja.

Ketua Polis Pekanbaru, Kompol Bimo Arianto berkata, mangsa sudah memberikan keterangannya dan siasatan sedang dijalankan.

"Kami sudah dapatkan keterangan daripada mangsa dan saksi," katanya yang mengesahkan laporan itu.

Sebelum kejadian, suspek menghubungi mangsa sekitar 3.00 pagi dan mengajaknya makan sahur di luar.

Setelah itu mangsa dibawa ke sebuah tempat rehat untuk pekerja di Jalan Tanjung Datuk Kecamatan Lima Puluh, Pekanbaru.

Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku selepas waktu imsak kira-kira jam 4.50 pagi waktu Indonesia.

Meskipun menolak untuk mengadakan hubungan seks, suspek terus memaksa mangsa hingga akhirnya wanita itu diperkosa sebelum menghantarnya pulang ke rumah.

Mangsa kemudiannya mengadu kejadian itu kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat.
-sinarharian-

Astro buat hal lagi. Nak Terminate Kena Bayar RM360

Sephia Mhd Bhrm
Astro buat hal lagi. Orang tengah rancak tengok Euro 2016, pelan-pelan dia hantar notis naik RM8 untuk pakej sukan. Saya pun dapat notis yang sama, esoknya jugak 29.6.2016 terus telefon Astro nak tukar pakej. Nak tukar pakej kena caj penalty RM120, dalam 4 tahun lepas RM20 je rasanya.

Saya tukar fikiran, nak terminate terus. Lama operator buatkan saya tunggu, lepas tu dimaklumkan kena bayar lebih kurang RM360 untuk terminate.

Saya tanya apa detail RM360 tu?

  • RM120 penalti
  • RM80 penalti
  • RM88 bil bulanan
  • RM70 1 bulan notis.
1 bulan notis pun ada cas jugak? Lepas tu saya kata ini unfair, dalam perjanjian takde pun. Selamba je operator tu jawab dengan gelak2 ramai dah orang komplen benda ni. Kalau encik tak puas hati encik boleh komplen dalam facebook. Ok fine, I take your challenge. Saya bayar RM360 skang saya nak tulis ni dalam facebook.

Jadi soalnya sampai bila kita nak biarkan Astro sentiasa buat hal? Kita plak cuma boleh jadi Pak Pandir. Orang kata bayar, kita pun bayar. Orang kata hari ni takde siaran sebab hujan, kita pun cakap ye lah, kami akur. Mana maruah kita selama ni? Ni bukan sekali dua ye, kalau ikut rekod entah berapa kali dah dia cari pasal. Time nak terminate bukan main susah, time hujan line tak dapat, bayar lambat dia potong, nak sambung balik punya lembap, bila telefon jawab lebih kurang.

Apa lagi? Enough is enough la. Cuba pegi tengok dalam fb rasmi Astro tu, berapa ramai yang komplen dan macam mana cara Astro jawab? Irritating. Macam tu ke cara dia layan kita sedangkan dia perlukan duit kita untuk dia sendiri survive. Kenapa dia boleh pijak kepala kita sedangkan sepatutnya kita yang boleh pijak kepala dia? Kenapa? Sebab kita mungkin sudah faham hak pengguna, tapi kita tak pernah bersatu. Cuba kalau kita bersatu, korang tak teringin ke tengok ego Astro ni terjatuh macam Maxis dulu?

Rasanya kalau sebahagian besar pengguna Astro boikot untuk bayar bil Astro selama 3 bulan, katakan la JULAI, OGOS dan SEPTEMBER 2016 saya rasa cashflow diorang mungkin akan terganggu. Bila dah geng kapitalis yang hidup bertuhankan duit ni tak dapat sumber ‘oksigen’ macam biasa, baru la masa tu kau nak tergedik-gedik macam cacing kepanasan. Tak payah tengok contoh jauh2, sebab kita rakyat Malaysia pernah secara tak sengaja ‘memalukan’ Maxis dulu.

Ye betul, diorang akan potong line. Anak-anak dan bini kita mungkin komplen boring takde tv, tapi kita kena sabar. Cakap kat diorang yang kita buat ni untuk masa depan semua jugak. Sekali kita tak pernah cuba, sampai bila-bila pun Astro tetap akan buli kita. Jadi selama Astro takde tu layan la youtube ke, tv biasa ke tak pun rival Astro tak kira yang halal atau haram, pandai2 le korang pilih. Katakan dalam tempoh 3 bulan ni Astro degil jugak, sekurang-kurangnya kita dah terbiasa hidup tanpa Astro 3 bulan, so lepas tu dah tak rasa apa-apa. Boleh jugak jimat bil bulan-bulan kalau macam saya ni RM80 sebulan, setahun dah RM960 tu.

Mari kita bersatu. Kalau dulu kita pernah ‘jatuhkan’ Maxis tanpa sengaja, kali ni kita bersatu pulak dengan sengaja untuk jatuhkan Astro. Biar kali ni golongan kapitalis akan sentiasa beringat bahawa kita bukanlah pengguna yang boleh dijadikan seperti lembu untuk dicucuk hidung dan dibawa ke sana sini sesuka hati. Kali ni, kita buat sampai Astro melutut depan kita.

Saya dah tutup Astro, skang nak pakai Njoi je. Hati senang, tak payah nak marah2 lagi.

Kalau tangkap Guan Eng satu strategi, ia adalah suatu kesilapan?

Mohd Sayuti Omar
Walaupun tindakan SPRM menahan dan akan mendakwa Lim Guan Eng (foto) atas tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo dan penyalahgunakan kuasa(?) esok mempunyai bukti jelas, dan kalau pun selepas ini Kertua Menteri Pulau Pinang itu didapati bersalah, hilang kedudukan sebagai wakil rakyat, ia tetap akan dilihat sebagai satu tindakan politik.

Tindakan politik yang rakus dan dianggap sebagai rasis yang akan menjadi sebutan dan mainan sejarah selamanya. Tindakan keatas Guan Eng sebagai kesenimbungan tindakan untuk meleburkan kerjaya politik yang disandangnya. Sebelum ini Guan Eng dikenakan berbagai-bagai tindakan termasuk di penjara. Cuma tuduhan meliwat sahaja tidak dibuat.

Tindakan dan sekatan ke atas Guan Eng tidak syak lagi kerana pemimpin pelapis Cina pembangkang ini menunjukkan political will dan keberaniannya yang luar biasa. Tidak sia-sia Guan Eng menjadi anak Lim Kit Siang.

Dalam suasana hari ini dimana politik Malaysia disulami dengan elemen perkauman, agama, sentiman budaya dan sebagainya, persepsi demikian tidak dapat dielakkan. Masyarakat Cina akan melihat tindakan ke Guan Eng itu ke arah itu. Akan ada definasi dan tafsiran harfiah demikian dibuat.

Ada bahayanya tindakan itu, dan di sinilah timbul sedikit dilema kepada SPRM sebagai badan pemantau. Badan itu akan disuluh sebagai menjadi alat kepada penguasa seperti beberapa institusi lain. SPRM akan dituduh agensi Umno yang berkesan untuk meleburkan kerjaya politik Guan Eng. Kegagalan badan itu dalam membawa kes berprofil tinggi ke mahkamah, kerana dihalang secara tektikal oleh Peguam Negara, meletakkan ia dalam keadaan separuh bersih dan kotor.

SPRM akan dilihat sebagai institusi kerajaan yang ditubuh atas kepentingan rakyat tetapi digunakan sepenuhnya untuk kepentingan pemimpin tertentu Umno. Peletakan jawatan pegawai tinggi suruhanjaya itu sepanjang tahun ini mengesahkan badan itu gagal berfungsi dan digerakan untuk kepentingan rakyat yang bertentangan dengan prinsip perwujudannya.

Apabila kes membabitkan Guan Eng begitu mudah diproses dan didakwa, manakala kes-kes lain jadi sebaliknya, menyebabkan tanggapan semakin menebal. Sebagai orang Cina dan pemimpin pelapis daripada DAP yang berpotensi serta berjaya pula menunjukkan daya kepimpinan di Pulau Mutiara, sudah pasti apa dialami Guan Eng itu mendapat simpati orang Cina. Sentimen kecinaan akan meruap.

Jika penangkapan Guan Eng itu kemudian hukuman yang bakal dikenakan atasnya bermotif politik melumpukan DAP dan Pakatan Harapan, dan dalam masa sama diharap ia memberi mata kepada BN - Umno ia satu kesilapan. Ia bukan tindakan bijak sebaliknya ia seperti menanam benih kerugian buat BN-Umno sepanjang zaman di Pulau Pinang.

Umno tidak akan menjadi kuat dan mendapat sokongan besar di Pulau Pinang. Realiti politik di Pulau Pinang sepatutnya disedari oleh perancang (master-minda) Umno yang parti Melayu itu memerlukan sokongan Cina, baik Gerakan, MCA maupun DAP serta orang Cina yang tidak membelangkan kepihakannya untuk mentadbir negeri berkenaan. Umno tidak dapat berharap kepada sokongan Melayu termasuk daripada Melayu Pas semata-mata.

Di Pulau Pinang Pas hanya kuat membunyikan takbir, membuat cemuhan berunsur agama tetapi tenaga tidak ada.

Suka atau tidak, Pulau Pinang sudah menjadi milik Cina manakala Seberang Perai atau kawasan darat menjadi milik Melayu. Secara tidak langsung ia terbentuk pembahagian sempadan demikian. Hakikat yang perlu diketahui, Pulau Pinang itu sendiri dikuasai oleh masyarakat Cina dari segi pembangunan, pemilikan hartanah dan sebagainya. Atas hakikat itu BN, (baca Umno) hanya mampu mentadbir dengan sokongan bersama orang Cina.

Sekiranya sentimen kecinaan nyala dan menjadi panas membara ekoran penangkapan Guan Eng itu ia memberi kesan buruk kepada Umno. Orang Melayu hanya akan menang sorak di pulau itu tetapi kalah dalam hakikat perjuangan politik. Apakah untungnya Umno (Melayu), kalau BN berjaya merampas negeri itu, tetapi penerajunya tetap orang Cina. Jika BN menang tidak mungkin Ketua Menterinya daripada Umno.

Sebelum ini berdekad Ketua Menteri Pulau Pinang disandang orang Cina walaupun dari segi kerusi Umno mengatasi kerusi Gerakan, dua kerusi. Majoriti menerusi sistem demokrasi Malaysia tidak berlaku di Pulau Pinang.

Pada saya pendekatan dan strategi Umno menyerang DAP bukan satu yang bijak. Menyerang DAP semacam menyakiti hati orang Cina di Penang khasnya dan orang Cina di bandar-bandar lain. Adalah lebih baik kalau Umno mengambil strategi berlunak dan melayan DAP dengan penuh profesional dan fatanah. Bagaimana Guan Eng berjaya menjinak hati orang Melayu dengan kedudukannya sebagai KM, nah, begitu juga sepatut Umno lakukan terhadap orang Cina.

Kini penyelesaian untuk melendik dan mendamaikan hati orang Cina yang diharap akan memberi sokongan kepada Umno sudah tidak ada lagi. Ia memberai. Penangkapan Guan Eng itu menjadi bara yang memanaskan keadaan dan tidak mustahil akan membibitkan kebencian berpanjangan, orang Cina kepada berjois Umno. Natijah dari itu dalam pertarungan politik di Pulau Pinang ini selamanya tidak akan memenangkan Melayu (Umno).

Suatu solusi menang-menang mungkin perlu difikirkan sebelum keadaan kian melarat

Guan Eng: Biar saya mati berdiri daripada hidup melutut

 Kedua-dua pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kanun Keseksaan kerana perbuatan rasuah adalah jelas penganiayaan atau pendakwaan politik yang semata-mata untuk menghancurkan saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Saya telah menjelaskan kepada SPRM bahawa pembelian banglo dari Phang Li Koon adalah dilakukan dengan tulus hati, antara individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan, atas dasar kerelaan penjual dan pembeli tanpa sebarang paksaan atau sebarang balasan istimewa daripada saya mahupun kerajaan negeri.

Phang adalah kawan isteri saya tidak mempunyai hubungan perniagaan yang aktif dengan kerajaan negeri. Dia bukan seorang pemaju perumahan dan banglo dia menjual saya untuk RM2.8 juta telah dibina pada tahun 1980-an.

Terdapat percubaan untuk menyamakan kes saya dengan kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo. Ini sama sekali adalah salah.

Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang tidak kerugian sebanyak RM5 juta tetapi mencatatkan keuntungan kecil RM300,000 hasil pembelian asalnya pada harga RM2.5 juta.

Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang bukan seorang pemaju perumahan baru yang bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya.

Bagi  pertuduhan kedua berkaitan kelulusan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd (MESB) untuk menukar status tanahnya daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan; MESB tidak berjaya melakukan pertukaran status hartanahnya kepada tanah perumahan.

Hartanah tersebut masih kekal sebagai tanah pertanian.

Apa faedah yang didapati MESB apabila ia tidak mendapat kelulusan pertukaran status terbabit apabila ia tidak mendapat izin akhir daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Saya juga hairan dengan apa yang bermula sebagai serangan politik jahat terhadap saya kononnya menjual tanah Taman Manggis yang sepatutnya diberikan kepada orang miskin akhirnya berakhir tanpa sebarang penghujung.

Apa guna menteri BN kecoh-kecoh tentang Taman Manggis?

Jelas sekali tidak ada apa-apa yang salah dengan penjualan tanah Taman Manggis, dan sebaliknya saya didakwa kerana membuat keputusan bagi MESB yang akhirnya tidak pun memberi mereka sebarang faedah.

Malangnya tidak ada pun tuduhan rasuah apabila wujud keterhutangan sehingga RM50 bilion atau apabila wang berjumlah RM2.6 bilion atau RM4 bilion masuk ke dalam akaun peribadi anda. Tetapi boleh pula wujud rasuah apabila orang yang dituduh korup tidak pula mendapat sebarang faedah.

Saya tidak akan melutut

Saya tidak akan tunduk kepada permainan politik kotor dan ganas ini untuk memusnahkan reputasi saya atau imej Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih dan paling baik urus tadbirnya di Malaysia.

Kami bangga dengan pelaksanaan tender terbuka dan bangga dengan pujian daripada Transparency International dan laporan tahunan Ketua Audit Negara.

Kita tidak akan biarkan BN untuk cuba memalit lumpur ke muka kita demi menyembunyikan skandal rasuahnya sendiri. Kita akan buktikan bahawa kita tidak bersalah di mahkamah.

Kita akan berjuang untuk membuktikan bahawa kerajaan Pakatan adalah kerajaan yang mendahulukan rakyat, dan menjulang tinggi prinsip-prinsip integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Masih ada harapan untuk Malaysia yang bersih dan bebas daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan.

Kita tidak boleh biarkan BN merompak masa depan anak cucu kita, sebagaimana mereka telah merompak masa depan kita.

Negara jenis apa yang kita mahu untuk anak cucu kita nanti, apabila mereka yang meraih untung dan derma berbilion ringgit tidak dituduh rasuah, sedangkan mereka yang tidak mendapat faedah didakwa rasuah.

BN boleh dakwa saya, tetapi tidak akan dapat membunuh iltizam saya demi membebaskan Malaysia daripada rasuah.

BN boleh memangsakan saya, tetapi tidak akan menghancurkan semangat saya untuk membebaskan saya daripada mereka yang merompak masa depan anak cucu kita.

BN malah boleh menghina saya dengan mengurung saya semalaman tanpa sebab, tetapi mereka tidak akan berjaya menukar putih menjadi hitam, dan hitam menjadi putih. Yang benar tidak akan menjadi salah, dan yang salah tidak akan menjadi benar.

BN tidak akan dapat menghancurkan kekuatan parti saya - pemimpin dan ahlinya berdiri bersama untuk berjuang ke arah penambahbaikan demi Malaysia yang lebih baik, dengan keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Jika BN rasa ia boleh mematahkan semangat saya dengan menahan saya, mereka salah sama sekali!

Saya lebih rela mati daripada hidup melutut. Malaysia yang bebas, adil dan makmur untuk semua mesti diperjuangkan!

Aksi terlampau pasangan atas menara gereja dirakam dron (Gambar)


Rusia – Aksi seks pasangan di atas menara pertapaan rahib sebuah gereja Kristian Ortodoks di Torzhok, Rusia telah dirakam secara tidak sengaja oleh sebuah dron yang sedang mengelilingi menara tersebut, sekaligus merakam permandangan yang sempurna saat insiden itu berlangsung.

Bagaimanapun, aksi pasangan itu terbantut apabila seorang lagi pelancong muncul secara tiba-tiba tanpa amaran.

Mungkin terkejut atau trauma menjadi saksi perlakuan tidak senonoh itu, si pelancong pun berpura-pura menikmati permandangan sekeliling dari atas menara itu seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

Keadaan tegang antara mereka bertiga dapat dirakam sepenuhnya oleh kamera dron tersebut.

Pasangan itu boleh dikenakan hukuman, jika pihak berkuasa dapat mengesan identiti sebenar mereka.
-kualalumpurpost-

'Kebumikan anak saya...'


Gopeng: Mayat bayi lelaki masih bertali pusat bersama sekeping nota dijumpai di Masjid Jamek Baru Gopeng, di sini, jam 10.15 malam tadi.

Pengerusi masjid, Azizuddin Shah berkata, mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang jemaah selepas selesai solat terawih.

Katanya, mayat bayi itu ditemui di atas penapis air dalam keadaan dibaluti dengan kain batik berwarna merah dan dimasukkan dalam beg plastik.

Menurutnya, jemaah itu pada mulanya tidak menyangka terdapat mayat bayi di dalam beg plastik itu sebelum menemui sekeping nota bertulis 'Assalamualaikum, Minta jasa masjid mengebumikan dan sembahyangkan anak saya'.

"Mayat bayi itu dibalut dengan kain batik dan kami menemui nota yang diselitkan di dalam plastik berkenaan meminta kami menguruskan jenazah bayi itu.

"Saya kemudiannya mengubungi polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
-hmetro

Langar lari, mayat melekat pada kereta

Pihak berkuasa memeriksa kereta milik Esteysi Sanchez.
CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Akibat mabuk, seorang wanita tidak menyedari beliau terlanggar seorang pejalan kaki sehingga maut dan mengheret mayatnya sehingga ke rumahnya.

Laporan CNN mengatakan Esteysi Sanchez, 29 melanggar mangsa, seorang warga emas berusia 69 tahun pada malam Isnin selepas meminum arak.

Akibat pelanggaran tersebut, mangsa maut serta merta dan tersangkut pada cermin hadapan kereta jenis Pontiac yang dipandu Esteysi.

Mayat mangsa disedari oleh teman lelaki Esteysi selepas kereta di parkir.

Sementara itu, pihak berkuasa mengesahkan Esteysi berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Esteysi bakal didakwa atas kesalahan memandu ketika mabuk, langgar lari dan membunuh mangsa


Kronologi membawa penahanan Guan Eng

BERNAMA
Guan Eng ditahan SPRM di pejabatnya semalam atas dua pertuduhan.

Berikut adalah kronologi kes penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini:

17 Mac 2016: Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya meminta menyiasat isu pembelian hartanah di bawah harga pasaran bernilai RM2.8 juta oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, Georgetown pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

18 Mac: Guan Eng mendakwa transaksi pembelian rumahnya itu dibuat secara rela hati antara pembeli dan penjual, Phang Li Koon tanpa sebarang paksaan.

18 Mac: SPRM mula menerima laporan berhubung isu pembelian rumah banglo pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran daripada pelbagai pihak termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

19 Mac: Guan Eng menggesa SPRM menyegerakan siasatan berhubung transaksi pembelian rumahnya di Jalan Pinhorn.

20 Mac: Guan Eng membawa petugas media melawat rumahnya di Jalan Pinhorn.

22 Mac: Phang membuat akuan berkanun menjelaskan beliau menjual banglo itu atas dasar rela hati antara  pembeli dan penjual yang dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014.

23 Mac: SPRM terima lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo ketua menteri.

1 April: Phang memberi keterangan berhubung pembelian banglo oleh ketua menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

2 April: Polis melengkapkan kertas siasatan berhubung kandungan akuan berkanun Phang  yang didakwa mempunyai maklumat palsu.

17 April: SPRM menasihatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu pembelian banglo ketua menteri.

6 Mei: Guan Eng dan isteri Betty Chew serta Phang dan pemilik Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) Datuk Tang Yong Chew memberi keterangan kepada SPRM.

7 Mei: Guan Eng sekali lagi hadir untuk direkodkan keterangan berhubung isu pembelian banglo di pejabat SPRM Pulau Pinang.  

22 Mei: Pegawai SPRM hadir di rumah Guan Eng untuk mengambil keterangan berhubung pembelian banglonya.

25 Mei: Kertas siasatan Guan Eng dikemukakan kepada Peguam Negara.  

6 Jun: Kertas siasatan banglo Guan Eng dikembalikan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

29 Jun: Lim ditahan SPRM di tingkat 28 bangunan Komtar pada pukul 5.45 petang, manakala Phang ditahan pada pukul 4.15 petang di pejabatnya di Tingkat 6, Penang Garden.


Ikuti siaran langsung perbicaraan Lim Guan Eng disini

https://www.facebook.com/kinitv/videos/vb.122162981293769/610756725767723/?type=2&theater&notif_t=live_video&notif_id=1467248291937156

HQ SPRM dikerumuni ratusan desak bebas Guan Eng (Gambar)

protester-1
GEORGE TOWN: Seramai 500 orang berhimpun di luar perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPR) menuntut Ketua Menteri Lim Guan Eng dibebaskan.
Penunjuk perasaan melaungkan “Bebas Guan Eng” dan “Tangkap Najib” sejak 8.30 malam lagi, sambil membawa pelekat mengecam penahanan itu.
Polis menutup sebahagian besar laluan menuju ke SPRM yang terletak di Jalan Northam, memandangkan kereta yang diletakkkan secara salah dan kehadiran ramai orang menyebabkan lalulintas menjadi perlahan.

Pimpinan Pakatan Harapan turut sama kelihatan melaungkan “Bebas Guan Eng”, dalam suasana demonstrasi yang suram.
“Saya dalam perjalanan ke SPRM,” kata Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa yang bergegas ketika dihubungi FMT. “Patut tidak perlu tangkapan. Esok YAB boleh secara sendiri ke mahkamah. Ini satu usaha untuk menjatuhkan kredibiliti Lim Guan Eng.”
Turut hadir adalah balu mendiang Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh, Gurmit Kaur, yang disambut oleh para Exco kerajaan negeri.

Terdahulu, Guan Eng ditahan anggota SPRM di pejabatnya yang terletak dalam bangunan Komtar. Bekas tuan rumahnya, Phang Li Koon ditahan di pejabatnya yang terletak dalam Menara Penang Garden sekitar waktu yang sama.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Guan Eng berdepan dua pertuduhan iaitu dibawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana meluluskan permohonan zon semula tanah pertanian di Balik Pulau kepada tanah perumahan milik syarikat Li Koon, Magnificent Emblem; dan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana membeli banglo daripada Li Koon pada harga bawah nilai pasaran.

Syirik cium 'barang peninggalan' Nabi, kata Mufti Perak

MALAYSIA DATELINE
Umat Islam dilarang bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah.Perbuatan mencium atau menjunjung objek yang didakwa barangan peninggalan Rasulullah boleh membawa kepada syirik (menyekutukan Allah), kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

“Umat Islam tidak usah bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau mengulas program “Latunan Mahabbah Rasulullah” di Alor Setar, Jumaat lalu, di mana beberapa artifak kononnya milik Nabi Muhammad dipamerkan, seperti bekas tapak kaki dan rambut baginda.

Antara penganjur program itu ialah Majlis Bandaraya Alor Setar dan penerbit Al-Quran, Yayasan Restu.

“Kalau ada pameran pun, pergi tengok sahaja, tidak perlu buat macam itu sekali kerana boleh membawa kepada syirik.

“Lagipun kita tidak tahu sama ada sahih atau tidak barang-barang peninggalan Rasulullah itu. Jadi tidak perlu berbuat begitu, banyak lagi amalan dan sunah Rasulullah yang boleh diikuti,” kata Harussani.

Bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al-Bakri, yang berkata acara seumpama itu dibolehkan dengan syarat artifak tersebut tidak dapat dibuktikan kesahihannya oleh sejarawan.

“Saya mengalu-alukan mana-mana tokoh yang dapat mengkaji dan menekuni isu janggut Rasulullah SAW atau rambutnya yang dimansubkan kepada Rasulullah SAW pada masa kini adakah benar atau sebaliknya, dengan kajian yang sahih dan dipercayai untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam penisbahan ini,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.

Lelaki bakar kemaluan anak tiri gara-gara kencing

Malang menimpa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ini, yang didera oleh bapa tirinya semata-mata kerana g dia kencing hingga basah tilam.

Bapa tirinya yang berusia 20 tahun itu telah menggunakan api, dan membakar alat sulit kanak-kanak tersebut sebagai pengajaran.

Aksi tersebut telah dirakamkan oleh jirannya di Limpio, Paraguay. Identiti mangsa dan pelaku jenayah kejam itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Jiran-jirannya juga menyatakan mereka terlalu takut kepada lelaki itu menyebabkan mereka tidak masuk campur untuk menghalang perbuatan kejam berkenaan.

Sebaliknya mereka hanya berani merakamkan video mengenai perbuatan tersebut.

Kanak-kanak itu kini dirawat di hospital kanak-kanak Acosta Nu selepas alat sulitnya melecur
kualalumpurpost

Kit Siang sahkan SPRM tahan Guan Eng

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengesahkan anaknya, Lim Guan Eng yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung pembelian sebuah banglo yang didakwa di bawah harga pasaran.

Dalam satu tweet, katanya, setiausaha agung DAP itu akan dihadapkan ke mahkamah esok atas dua pertuduhan rasuah.

Lim dilaporkan sedang dibawa ke Ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan akan bermalam di sana sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Georgetown esok.

Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Pertuduhan pertama berkaitan dengan dakwaan salah menggunakan kuasa dengan menukar status tanah Taman Manggis daripada pertanian kepada komersial, dan dakwaan kedua pula berhubung memperolehi banglo berkenaan di bawah harga pasaran.

Menurut exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menolak permohonan untuk menukar status tanah tersebut.

Laporan media juga mendakwa ahli perniagaan Phang Li Khoon, yang menjual rumah di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta itu juga telah ditangkap.

Sejak petang tadi, beberapa kenderaan polis juga dilaporkan menunggu di luar bangunan itu di mana Lim sebelum ini mempengerusikan mesyuarat exco mingguan.

Penyokong dan pemimpin DAP mula berkumpul di tingkat 28 manakala aktivis PERKASA menunggu di tingkat bawah.

Pada 4 Mac lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya menuduh beliau membeli sebuah banglo yang didakwa jauh di bawah harga pasaran dan mengaitkannya dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada pemaju swasta.

Lim bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dan berkata tanah berkenaan dijual melalui jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.

Menurut Kanun Keseksaan, membeli hartanah di bawah nilai pasaran dianggap satu kesalahan bagi seorang penjawat awam.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo pernah dipenjarakan selama setahun bagi kesalahan yang sama.

Lim telah menafikan sekeras-kerasnya berhubung sebarang salah laku.
-malaysiakini

Pelajar perempuan hantar gambar bogelnya kepada guru

George Town – Seorang gadis menghantar gambar bogel kepada guru sekolahnya yang dipercayai melatih pelajar itu sejak tiga tahun lalu.

Ibunya mengetahui perkara itu selepas terlihat beberapa keping gambar bogel di telefon gadis tersebut awal tahun ini.

Namun apa yang menjengkelkan Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Loh Cheng Kooi adalah guru tersebut masih lagi bekerja apabila beliau meneliti kes tersebut bulan lalu.

“Mana-mana guru disyaki melakukan penderaan seksual sepatutnya digantung kerja dengan serta-merta sementara menunggu siasatan pihak berkuasa.

“Ia seolah-olah guru itu melatih gadis tersebut selama beberapa tahun sebelum diketahui ibu bapanya,” kata Loh kepada pemberita selepas sesi pembentangan meja bulat Perbadanan Wanita Pulau Pinang mengenai ‘Perlindungan Kanak-Kanak di Malaysia’,” di Komtar pada Isnin.

Loh berkata guru itu kononnya mengakui kesalahannya apabila dipanggil untuk memberi penjelasan tetapi tiada tindakan diambil Jabatan Pelajaran Negeri.

“Dia harus dipecat serta-merta selepas mengaku melakukan jenayah dan siasatan perlu dilakukan dengan segera.

“Seorang guru yang disyaki melakukan penderaan seksual mesti dijauhkan daripada kanak-kanak tetapi ini tidak berlaku di sini,” kata Loh.

Turut hadir pada sesi perbincangan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Loh berkata Kementerian Pendidikan perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) apabila ia melibatkan kes penderaan seksual kanak-kanak di sekolah.

Katanya, buat masa ini, seorang guru yang didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu masih dibenarkan bekerja sementara menunggu siasatan pihak berkuasa.

“Memindahkan guru itu ke sekolah lain juga tidak menyelesaikan masalah kerana ia adalah seperti memindahkan masalah ini ke tempat lain,” katanya.

Loh mendakwa Jabatan Pelajaran Negeri telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan ibu bapa kanak-kanak itu dimaklumkan bahawa jabatan tersebut akan menyerahkan kes itu kepada pihak polis jika mereka membuat laporan.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak itu tidak membuat laporan polis kerana bimbang insiden tersebut akan memberi kesan negatif terhadap anak perempuannya.

“Gadis itu hanya mengambil masa sekejap untuk pulih kerana dia merasakan itu bukan kesilapan guru tersebut kerana dia yang menghantar gambar bogelnya.

“Kita terpaksa meyakinkan gadis itu bahawa ia adalah kesilapan gurunya,” kata Loh.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Shaari Osman ketika dihubungi berkata pihaknya hanya menerima surat aduan pada minggu lalu mengenai perkara itu.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan siasatan awal menunjukkan guru itu turut memberi tuisyen kepada pelajar tersebut.
-mStar