"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

Penyelewengan MB N Sembilan punca Umno bakal tersungkur

Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR 16 Nov: Penyelewengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dalam skandal tanah akan menyebabkan Umno Negeri Sembilan tumbang pada pilihan raya umum (PRU) nanti, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, terlalu banyak penyelewengan oleh pemimpin Umno negeri demi mengkayakan kroni.
Rafizi menunjukkan dokumen mengenai pelan rancangan struktur Negeri Sembilan 2001-2010 yang dikaitkan dalam skandal tanah oleh Mohamad.
“Banyak penyelewengan dan puak-puak yang berebut mengaut keuntungan. Bila kita dedahkan, ia menimbulkan perasaan cemburu antara puak itu dan menyebabkan keretakan kepada Umno Negeri Sembilan dan keretakan itu yang akan tumbangkan mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Oktober lalu, KEADILAN mendedahkan skandal penyelewengan pengambilan tanah secara haram di Negeri Sembilan oleh Mohamad.

Pada 2 November, Rafizi mendedahkan, 1014 hektar tanah hutan simpan tetap di Mukim Serting Ulu, Jempol diberi kepada ASLI-YNS Sdn Bhd, syarikat milik Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Senator Dr Yeow Chai Thiam.

Menurut Rafizi, pada 3 Mac 2004, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan permohonan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) untuk meminda keputusan pemberian milikan tanah itu bagi perladangan getah kepada ASLI-YNS.

Kerajaan negeri juga rakus merampas tanah di sekitar Pantai Teluk Kemang, meluluskan projek dan menghalau peniaga tempatan.

Ekoran itu, lebih kurang 100 wakil peniaga berhimpun di perkarangan Parlimen awal November lalu bagi membantah kezaliman kerajaan negeri.

“Banyak lagi bukti penyelewengan mereka dan kita akan terus dedah sehingga menjelang PRU 13,” kata Rafizi.

Ketiga-tiga Naib Presiden pertahan kepimpinan ulamak PAS

Muda Mohd. Noor
PETALING JAYA: Tiga Naib Presiden PAS tampil mempertahankan kepimpinan ulamak dalam PAS sekaligus menghapuskan kebimbangan pihak tertentu yang bimbang mengenai pimpinan parti untuk masa depan.

Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan tidak ada sebarang keperluan untuk mengubah kepimpinan ulamak yang menjadi peneraju parti.

“Orang yang tidak tahu akan kata PAS meninggalkan perjuangan asal dengan memperkenalkan konsep negara berkebajikan.

“(Tetapi) negara berkebajikan bukan baru…negara berkebajikan adalah inti dalam Islam,” kata Husam.

Perkara sama juga disuarakan oleh Salahuddin dan Mahfuz semasa menggulung ucapan dasar Presiden dalam muktamar parti di Kota Baru hari ini.

Mereka bertiga menjawab kebimbangan sesetengah perwakilan mengenai kemungkinan kepimpinan dari ulamak bertukar kepada golongan lain.

Antara yang melahirkan kebimbangan itu ialah Mokhtar Senik dari Pahang.

Dalam ucapannya, Mokhtar amaran kepada pihak-pihak tertentu yang cuba menukar kepimpinan ulamak PAS kepada golongan lain.

Katanya, jika pemimpin dan ahli cuba berbuat demikian, PAS akan lemah dan parti itu menjadi biasa sahaja.

Bapa dipengaruhi dadah kelar anak 11 bulan

KUANTAN: Seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat pengambilan dadah menyembelih bayinya yang baru berusia 11 bulan di Felda Panching Selatan dekat sini semalam.

Nur Amirah dikelar dengan senjata tajam ketika dia sedang tidur bersama ibu dan abangnya dalam kejadian kira-kira 9.30 malam.

"Suspek yang dipercayai sedang khayal telah bertindak mengelar leher bayinya ketika isterinya keluar dari bilik tidur," kata Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff kepada Bernama.

Suspek yang berumur 29 tahun kemudiannya memaklum perbuatannya kepada isteri dan ibunya.

Beliau berkata ibu suspek telah membawa bayi tersebut yang dalam keadaan kritikal ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, namun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Suspek kemudiannya ditahan di dalam sebuah kereta di lampu isyarat dekat Kem Batu 10 bersama bapa dan adik lelakinya, yang dipercayai mereka dalam perjalanan ke balai polis untuk menyerah suspek kepada pihak polis," kata Mohd Jasmani.

Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing dilakukan, katanya.

Pihak polis turut menemui parang dan pisau di temp-at kejadian. 
-Bernama-

Dengan UMNO, kalau nak berniaga durian pun tak boleh

Aspan Alias
Semalam saya terbaca tulisan sahabat saya, MSO di dalam blog beliau dalam mana beliau telah menceritakan kepada umum tentang pertemuan seorang pegawai tinggi PDRM dengan Tok Guru Nik Aziz baru-baru ini. Pegawai tersebut diiringi oleh bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah yang saya kenali sejak bersama di kampus dahulu.

Jika benar kunjungan dan perjumpaan ini ada kena mengena dengan perpaduan Melayu (UMNO dengan PAS) ia merupakan satu usaha yang agak terlambat kerana kebanyakan orang Melayu memangnya mahu perpaduan itu, tetapi perpaduan itu mestilah di luar UMNO. Melayu telah begitu lama berpadu di bawah UMNO tetapi apa yang kita alami sekarang ini menunjukkan yang UMNO bukanlah wadah yang relevan buat masa ini untuk menyatukan orang Melayu.

Bagaimana UMNO mampu untuk menyatukan orang Melayu sedangkan orang Melayu sendiri sedang keluar beramai-ramai dari UMNO. Jika tidak keluar secara rasmi mereka akan keluar melalui sokongan mereka terhadap PR di dalam peti undi semasa pilihanraya nanti. Bagaimana mungkin PAS boleh berbincang dengan UMNO sedangkan tindakan itu akan melemahkan PAS itu sendiri. Tidak ada rasionalnya PAS untuk memikul ‘baggage’ UMNO yang terlalu ‘excessive’, besar dan berat itu.

Jika benar tujuan pegawai-pegawai itu berjumpa TGNA untuk mengusahakan perpaduan Melayu, UMNO sepatutnya menjadi pengikut dan bukannya memberikan syarat-syarat semata-mata untuk memberikan parti yang hampir lumpuh itu nyawa untuk berkuasa lagi. Bagaimana parti yang bertanggungjawab terhadap perpecahan Melayu ini menjadi pemain utama untuk penyatuan ini kerana ia akan hanya memberikan masalah besar bagi pencapaian matlamat itu.

Bagi saya jika PAS tunduk dengan permainan UMNO itu, rakyat akan kecewa kerana rakyat sudah tidak lagi berkeyakinan dengan parti itu. Rakyat yang ramai sedang berusaha untuk merehatkan parti itu buat sementara waktu atau selama-lamanya, bergantung kepada tingkah dan lakunya di hadapan rakyat pada masa-masa yang akan datang.

Apa yang penting sekarang ialah matlamat PR itu sendiri yang bercita-cita kuat untuk mencapai perpaduan kaum yang sedang terjalin dengan kuatnya dalam Pakatan Rakyat sekarang. UMNO yang begitu hipokrit tidak mampu untuk mencapai matlamat yang ‘ultimate’ iaitu perpaduan di antara kaum yang berbilang kaum sekarang ini. UMNO bercakap tentang perpaduan kaum di hadapan rakyat tetapi dalam praktisnya penyokong-penyokongnya masih memainkan isu perkauman yang menebal di peringkat bawahan. UMNO tidak mampu untuk mendisplinkan ahli-ahli dan penyokongnya sedang perpaduan itu amat penting berlaku di peringkat akar umbi.

UMNO mahu kekal berkuasa dengan tipu helah yang keterlaluan tetapi tidak berusaha untuk mendapatkan sokongan dengan manampilkan sikap dan teladan yang baik kepada rakyat. UMNO tertunduk-tunduk dengan MCA yang chauvinis perkauman itu dengan membiarkan Islam dan undang-undang hududnya secara terbuka dan rasmi. UMNO tidak termampu lagi untuk memimpin parti-parti dalam BN itu sendiri. Jadi bagaimana ianya boleh berkemampuan untuk memimpin rakyat dengan baik dan telus? UMNO seperti orang yang hilang akal yang mundar-mandir di jalanan kerana tidak berkesanggupan untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang seperti orang yang fasik yang tidak lagi tahu untuk membezakan yang mana satu tangan untuk makan dan yang mana untuk digunakan untuk beristinjak. UMNO tidak lagi mempunyai roh perjuangan kerana terpengaruh dengan bisikan khatir atau iblis, yang sentiasa mahu parti itu sesat-barat dalam perjuangan memimpin rakyat dan negara.

UMNO terlalu banyak perkara yang hendak ditutupinya. Tetapi bak kata perpatah, bagaimana 'UMNO hendak menutupi bangkai gajah dengan nyiru'? Rakyat tidak lagi mengambil hirau tentang UMNO sekarang ini kerana pemimpin-pemimpin mereka sendiri tidak menghiraukan ‘dignity’ parti itu. Justeru, bagaimana rakyat hendak meneruskan sokongan terhadap parti yang tidak lagi mempunyai harga diri itu? Bagaimana PAS yang merupakan parti politik yang masih mempunyai ‘attribute’ boleh berjuang dengan UMNO yang rakyat mereka sudah memahaminya sebagai parti taukeh-taukeh dari pucuk pimpinan sampailah ke bawah-bawah ini?

Sikap dan sifat UMNO sebagai parti rasuah itu memang membuatkan rakyat naik mual dengannya. Tugas pemimpin-pemimpin UMNO yang berkuasa hanyalah untuk mengambil wang rakyat dalam perbendaharaan dengan sistem rasuah yang halus. Mereka bukan setakat mencuri apa yang ada di dalam perbendaharan kita tetapi mereka juga sedang berusaha untuk mencuri wang yang ada di dalam poket rakyat sekarang ini.

Perlaksanaan AES yang baru dilaksanakan sekarang ini merupakan satu tindakan yang tidak berhati perut. Sebenarnya rakyat tidak membantah jika saman-saman itu dimasukkan seratus peratus ke dalam perbendaharaan negara tetapi sebahagian besar dari kutipan saman itu masuk ke dalam poket kroni-kroni UMNO yang tamak haloba itu. Bagaimana saman terhadap kesalahan lalulintas itu diambil oleh syarikat kroni kerajaan dan pimpinan kita?

Kerja seperti ini adalah kerja yang dianggap gila kerana terlalu jelas ada pihak di kalangan yang hampir dengan pemimpin kita sedang menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan yang tidak ada tolok banding jumlahnya. Ini merupakan satu bukti yang amat jelas yang UMNO merupakan parti yang menghimpit rakyat dengan tekanan ke atas semua rakyat yang berkenderaan.

Kita tidak membantah untuk memperbaiki sikap dan kelakuan pemandu-pemandu kita tetapi jika mereka (pemandu-pemandu) bersalah tidak ada di antara mereka membantah jika saman terhadap mereka itu dibayar sepenuhnya kepada perbendahaaran kerajaan. Sekarang rakyat sedang begitu berang dengan kerajaan dalam masa inilah pula, ada wakil-wakil UMNO yang ingin berbaik dan mengusahakan perpaduan Melayu bersama PAS.

Bagaimana kita hendak berbaik-baik dengan manusia yang ‘cepat tangan’ itu. Rakyat sudah letih membina pagar-pagar duri agar pencuri-pencuri tidak akan dapat mendekati perbendaharaan kita. Jika mereka masih ada bersama maka usaha membina pagar untuk menyelamatkan perbendaharaan kita dari didekati oleh pencuri dan perompak itu tidak akan sampai ke matlamatnya.

Rakyat akan terus disamun dan dicuri segala harta benda mereka sampai bila-bila. Kata perbilangan, sekali seseorang itu mencuri dia akan tetap menjadi pencuri. Dalam keadaan terdesak sekarang ini, UMNO akan lakukan apa sahaja. Perasaan malu dan silu sudah tidak lagi wujud di kalangan pimpinan UMNO itu.

Walaubagaimana pun kita berharap jika matlamat perjumpaan pegawai tinggi kerajaan berjumpa dengan TGNA itu tidak akan berjaya untuk memerangkap PAS kali ini. Dengan UMNO kita wajar mempunyai sikap, ‘suspect everybody and trust nobody’.

Bak kata sahabat saya dari Terengganu, “dengan UMNO ini kita tidak boleh berurusan lagi. Nak berniaga durian pun tidak boleh dengan mana-mana pemimpin UMNO ni. Kita akan kena tipu!”

Felda jual minyak sawit ke Israel

Salmiyah Harun
KOTA BHARU: Ketika negara haram Israel menyerang umat Islam di Gaza, Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengumumkan kesediaan mereka untuk mendedahkan invois penjualan minyak sawit Felda ke negara Israel.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, mulai tahun 2010 Felda telah menjual minyak sawit dari kilangnya dari Pasir Gudang ke negara Zionis itu.ngumum

Mazlan mengumumkan perkara ini ketika berucap dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan di Stadium Sultan Muhamad ke IV dekat sini.

"Saya akan dedahkan satu invois penjualan minyak sawit kepada negara Israel oleh Felda,"katanya dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Muhammad Ke IV.

Dalam pada itu, Mazlan turut mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab dakwaannya bagaimana RM400 juta saham syarikat perjudian Genting Berhad boleh berada di dalam Felda Global Venture (FGV).

Terkini katanya, seorang pegawai Felda dikatakan telah memasang 40 kamera litar tertutup untuk memantau aktiviti kakitangan Felda kononnya ada di kalangan mereka pecah maklumat kepada orang luar.

"Pegawai terbabit berada dalam ketakutan apabila mula bertindak memantau staf bimbang pecah maklumat,"katanya di hadapan kira-kira 30,000 penyokong Pakatan Rakyat yang meneyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat ke 2 dekat sini.

Bekas pengarah JAIS dan JAIM sertai PAS

Nazri Abdullah
(Datuk Nahrawi sertai PAS)
KOTA BHARU: Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV malam ini menyaksikan seorang lagi pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS.

Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Nahwari Hashim, menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyerahan itu disaksikan lebih 30,000 hadirin yang hadir dalam himpunan itu malam ini.

Mohd Nahrawi juga sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam.

Beliau yang ditemui Harakahdaily berkata, kemasukannya ke dalam PAS didorong kesedaran kuat bahawa parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam yang sebenar.

"Saya dah lama nak menyertai PAS, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya.

"Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih PAS," katanya.

Baginya, PAS satu-satunya parti yang mampu memartabatkan Islam di negara ini selepas banyak kerosakan dilakukan pemerintah sekarang.

Oleh kerana itu katanya, PAS menjadi pilihannya.

Menurutnya kemasukannya ke dalam PAS diharap mampu menyumbang sesuatu ke arah membina negara yang lebih baik.

Dituduh hina Sultan: Polis paksa Ahmad mengaku ‘Zul Yahya’

Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR 16 Nov: Juruukur bahan, Ahmad Abdul Jalil, 27, yang dituduh menghina Sultan Johor dipaksa membuat pengakuan sebagai ‘Zul Yahya’ semasa berada dalam siasatan polis.
Perkara itu dimaklumkan Ahmad kepada kakaknya, Asiah Abdul Jalil.

Menurut Asiah, Ahmad pada mulanya ditahan dengan alasan untuk mencari maklumat siapa dan di mana ‘Zul Yahya’, tetapi polis mengubah dan memaksa beliau mengaku atas tuduhan menghina Sultan.

“Saya pun tak faham kenapa polis buat kerja macam tu, sedangkan Ahmad langsung tidak kenal siapa ‘Zul Yahya’. Saya beberapa kali tanya pernahkah berhubung atau kenal nama tersebut tapi Ahmad memang tak tahu,” kata Asiah ketika dihubungi.

Pada 8 November lalu, Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bharu atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, bulan lepas.

Ahmad didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Johor di akaun laman Facebook yang didaftarkan atas nama ‘Zul Yahya’ di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Kampung Pasir, Tampoi pada kira-kira 3 petang, 21 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan.

Ahmad juga didakwa melakukan perbuatan yang sama di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada kira-kira 6 petang, 10 Oktober lepas.

Beliau ditangkap di pejabatnya di Cheras pada 2 November oleh polis Johor.

Asiah berkata, walaupun telah dibebaskan, Ahmad hingga kini masih tidak boleh menggunakan telefon bimbit kerana nombor yang dipakai disekat perkhidmatannya.

“Nombor sebelum ini memang dah tak boleh pakai, polis dah rampas. Dua hari lepas dia (Ahmad) beli nombor baru pun tak boleh terima atau buat panggilan,” jelasnya.

“Saya minta polis hentikan perkara ini demi memudahkan tugas mereka dan hanya untuk tunjukkan mereka buat kerja. Saya tak tahu berapa ramai dah jadi mangsa, tapi kali ini terjadi kepada keluarga kami. Kami redha dan akan terus lawan,” kata Asiah.
-keadilandaily-

Datuk Ramli Yusuff mengecam Gani Patail dan Musa Hassan di hadapan KPN dan pegawai tinggi yang lain di Bukit Aman

Hafiz Yatim
Bekas Pengarah Jabatan Jenayah Komersial (CCID), Datuk Ramli Yusuff diraikan dalam majlis persaraan rasmi oleh Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman hari ini.
NONE
Ramli, dalam ucapan perpisahannya, mengecam Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurutnya, ia mengambil masa lima tahun bagi kes-kes terhadapnya
NONEdiputuskan oleh sistem kehakiman di mana beliau telah disahkan tidak bersalah.
Katanya, bukan sahaja media dan pejabat AG bersedia untuk menggunakan apa jua cara yang perlu untuk mencuba dan mendapatkan keputusan bersalah terhadapnya.

NONETetapi juga, tambahnya, buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang IGP yang masih berkhidmat memberi keterangan terhadap seorang pengarahnya sendiri apabila memberi keterangan bercanggah dengan beberapa pegawainya yang lain, termasuk mereka yang berpangkat pengarah.

Akhirnya, tegas Ramli, hakim menegur IGP itu kerana keterangannya yang meragukan.
NONERamli, yang berkhidmat dalam pasukan polis selama 38 tahun, merujuk kepada apa yang kini dikenali sebagai Copgate.
Bukan sahaja Ramli didakwa, peguamnya, Rosli Dahlan dan enam pegawai penyiasat Copgate turut didakwa. Rosli dan enam pegawai berkenaan telah dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Bekas atlet wanita didapati lelaki (Gambar)


 
KOLKATA, India: Bekas atlet wanita India yang memenangi tiga pingat emas pada acara trek Sukan Asia Selatan 2006, Pinki Pramanik (gambar) meminta Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee campur tangan bagi membantunya selepas dia diisytiharkan sebagai lelaki oleh satu panel doktor, lapor berita NTV semalam.

Keputusan panel doktor itu menyebabkannya dikenakan dakwaan merogol bekas teman wanitanya.

Polis mengemukakan dakwaan merogol tersebut terhadap Pramanik, 26, pada Isnin lalu selepas satu panel doktor mengumumkan hasil pemeriksaan mereka itu.

Pramanik ditangkap pada awal Jun lalu selepas bekas kekasihnya, Anamika Acharya membuat aduan polis bahawa dia diperkosa oleh bekas bintang sukan tersebut.

Pramanik dibebaskan dengan ikat jamin selepas dipenjara dua minggu apabila seorang hakim memutuskan dia tidak berupaya untuk melakukan jenayah rogol.

Beberapa ujian perubatan pada masa itu gagal mengesan jantinanya dengan tepat menyebabkan satu panel doktor diarah melakukan pemeriksaan terhadap tubuhnya.

"Beliau (Banerjee) sepatutnya memberi perhatian terhadap kes ini. Banerjee perlu campur tangan," kata Pramanik.

"Seluruh episod ini merupakan satu penghinaan kepada pemerintah India selepas saya berusaha untuk memenangi kesemua pingat emas. Saya berasa sedih kerana jantina saya menjadi topik perbincangan secara terbuka," tambahnya.

Pramanik juga mendakwa polis melakukan gangguan terhadapnya dan cuba 'menghasutnya' untuk melakukan perbuatan bunuh diri.

Kes Pramanik akan didengar pada 26 November ini.

Gaza makin meruncing, dua roket melanda Tel Aviv

Terjemahan Mohamad Yahya
Keadaan semakin tegang di Timur Tengah dengan Israel dan Hamas, terus berbalas tembakan dalam keganasan terburuk sejak serangan Israel ke atas wilayah itu hampir empat tahun lalu.

Tiga rakyat Israel meninggal dunia di bandar utara, Kiryat Maleakhi Khamis lalu selepas roket yang dilancarkan dari Gaza melanda sebuah bangunan apartmen.

Sumber Israel berkata dua roket dilancarkan ke Tel Aviv - dengan sebuah peluru berpandu mendarat di laut manakala peluru berpandu lain melanda kawasan yang tidak didiami , kawasan pusat komersial Israel.

Siren serangan udara menyebabkan penduduk mencari perlindungan di Tel Aviv, sebuah bandar Mediterranean yang tidak pernah diserang roket sejak Perang Teluk 1991.

Jihad Islam, satu lagi kumpulan yang berpangkalan di Gaza berkata mereka telah melancarkan salah satu roket yang menyerang Tel Aviv.

Walaupun kawasan selatan Israel berhampiran Gaza telah lama berhadapa situasi tersebut, namun serangan ke atas kawasan Tel Aviv menggambarkan keupayaan Hamas yang telah meningkat.

Pejuang Palestin pernah menyerang Rishon Lezion sebelum ini tetapi tidak pernah sampai ke Tel Aviv, kira-kira 70 km utara Sttrip Gaza.

Sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, telah terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera Khamis dalam pertempuran yang bermula dengan serangan udara yang membunuh Ahmad Jabari, komander tentera Hamas yang dituduh Israel menjadi dalang serangan terhadap orang awam.

"Ia adalah penting untuk memahami satu perkara yang mudah: tiada moral yang simetri antara pengganas di Gaza dan Israel," ujar Binyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, Khamis lalu.

"Mereka telah melakukan jenayah perang berganda: mereka menyerang orang awam Israel dan bersembunyi di belakang orang awam Palestin." (aljazeera.com)

Untuk apa bekas pegawai tinggi polis jumpa Nik Aziz

Mohd Sayuti Omar
Dua atau tiga minggu lepas Mursyidul Am Pas yang juga MB Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat dikunjungi bekas salah seorang pegawai tinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di pejabat MB itu di Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Bersama pegawai tinggi polis dalam kunjungan itu ialah bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah dan seorang lagi bekas pegawai tinggi kerajaan.

Difahamkan kunjungan mereka itu ada hubung kait dengan isu perpaduan Melayu yang kini 'gila-gila' diperkatakan oleh Umno. Beberapa hari sebelum kunjungan itu berlangsung satu wacana mengenai perpaduan Melayu di rumah veteran Umno Kuala Lumpur.

Besar kemungkinan mereka diberi mandat oleh wacana berkenaan untuk menemui Nik Aziz.

Apakah kunjungan itu untuk mempelawa Pas agar bersama Umno dalam pilihan raya akan datang? Sehingga ini pejabat MB atau pihak Pas Kelantan tidak mengeluar apa-apa kenyataan berhubung kunjungan berkenaan? Difahamkan MB itu bersedia membincang masalah perpaduan Melayu kerana isu itu juga menjadi tanggungjawab Pas tetapi bagaimana pun mahu Islam sebagai teras perbincangan.

Sempena muktamar ini elok juga kalau Nik Aziz menjelaskan kepada umum berhubung kunjungan berkenaan?
http://msomelayu.blogspot.com/

Ketua Pemuda Pas isytihar harta, simpanan bank RM9,000

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
KOTA BHARU: Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi mengejutkan seluruh perwakilan apabila mengisytiharkan harta miliknya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat di sini, malam ini.

"Saya Nasrudin bin Hassan, nombor kad pengenalan 701124-11-5267, diamanah sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, bertugas di tingkat dua pejabat Pemuda Jalan Raja Laut.

"Isteri Wan Hamidah Wan Daud, tanggungan anak, enam orang," ujar Nasrudin memulakan pengumuman berkenaan harta dimilikinya.

Beliau kemudian memaklumkan bahawa hanya mempunyai simpanan tunai RM9,000 dalam akaun simpanan tetap.

Nasrudin turut mengumumkan pendapatan isterinya yang bekerja sebagai guru.

"Pendapatan gaji isteri RM4,000, elaun saya yang diberi oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia RM2,500, rumah sewa yang disewakan dengan kadar RM300. Jumlah keseluruhan pendapatan saya sebulan RM2,800.

"Tanggungan, pinjaman perumahan, bulanan yang terpaksa dibayar oleh saya terhadap rumah yang saya miliki ialah RM530 sebulan. Kenderaan RM1,400 sebulan. Sementara tanggungan isteri terhadap rumah yang dimiliki olehnya terpaksa dibayar RM1,230 sebulan," katanya.

"Itulah harta yang saya isytiharkan, yang saya miliki, sebagai satu gimik pelancaran atau deklarasi pengisytiharan harta yang insya-ALLAH selepas ini akan diikuti oleh seluruh ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Malaysia," tambah beliau disambut laungan takbir oleh seluruh perwakilan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu malam tadi turut memberikan komitmen beliau dan pemimpin Pas untuk mengisytiharkan harta masing-masing menjelang pilihan raya umum.

Ketua Kampung Berang PAS Hulur bantuan banjir

Blog ibn75.wordpress.com
image
SRI GADING: Seorang Ketua kampung berang apabila melihat kelibat pasukan sukarelawan PAS yang datang membantu mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok, Parit Yaani, dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Sri Gading, Mahadzir Mat Zili, insiden ini berlaku dipercayai individu terbabit tidak senang dengan tindakan angota parti Islam itu yang mengagihkan barang bantuan.

”Ketua Kampung itu mengamuk untuk menghalang bantuan Pas di Pusat banjir di SK Seri Telok Pt Yaani.

”Selepas tamat (operasi bantuan) ketua kampung datang dan mengamuk kerana Pas memberikan sumbangan kepada mangsa banjir. Pegawai keselamatan dan Pertahanan Awan turut menjadi mangsa kemarahannya.

”Rombongan Pas tak melayan mereka dan terus beredar untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tak diingini. (bagaimanapun) Perkara ini akan mempercepatkan kejatuhan UMNO di Pt Yaani.

”Kita tak pernah rasa tergugat untuk terus berbakti kepada rakyat. Insya allah kita akan terus aktif dan progresif dalam membantu mangsa banjir di Pt Yaani di masa akan datang.

”Kemudian malam tersebut semasa ceramah PAS bersama Dayangku Intan dia datang buat kacau di markaz Pas Pt Yaani jam 9.45 mlm.

”Saksikan link videonya di https://www.youtube.com/watch?v=XV3JcGsyH w&feature=youtube_gdata_player, ”katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Ibn Bacoks semalam.

Terdahulu, Mahadzir yang juga Setiausaaha Dewan Pemuda Pas Negeri Johor bersama sepuluh sukarelawan lain telah melawat kira-kira 30 orang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di sekolah tersebut.

Hadir sama, Aminolhuda Hassan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor dan Hashim Jusoh, Yang Dipertua PAS Sri Gading.

Kondo Batu Caves: YDP Selayang diarah bertukar kerana dedah pembohongan BN

Norutul Ilham
KUALA LUMPUR 15 Nov: Penukaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin A’ala dibuat ekoran kenyataannya bahawa pembinaan kondominium Batu Caves di Selangor diluluskan era pentadbiran BN.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu percaya arahan pertukaran itu selepas Zainal pada 30 Oktober lalu menafikan dakwaan BN bahawa projek kondominium Dolomite Park Avenue itu diluluskan semasa pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Tiba-tiba dia dapat arahan ditukarkan ke tempat lain. Jadi janganlah salahkan saya kalau saya rasa ini merupakan satu tindakan yang luar biasa.

“Satu tindakan yang ada unsur sembunyi sebab Datuk Zainal Abidin jalankan tugas dengan baik jujur ikhlas cakap apa yang benar, tapi tiba-tiba dikeluarkan daripada Selayang,” katanya kepada media.

Zainal dilapor telah diberi notis mengejut dipindahkan ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), bermula esok.

Ronnie yang kesal dengan tindakan itu berkata, penukaran Zainal berkuat kuasa serta merta itu seolah-olah menghukum orang yang bercakap benar.

“Beliau jadi mangsa keadaan sebab dia terpaksa beritahu projek itu bukan diluluskan zaman dia (Pakatan), dia perlu cakap zaman BN. Memanglah kebenaran itu menyakitkan.

“Itu tak adil, YDP tak boleh dianggap macam ketua bahagian sahaja, (YDP) satu jawatan yang perlu diberi penghormatan. Kalau nak transfer (tukar) pun, tanyalah kerajaan negeri dulu,” ujarnya.

Projek kondominium 29 tingkat itu diluluskan pada 2007 oleh MPS semasa kerajaan negeri berada bawah pentadbiran BN.

MIC baru-baru ini menganjurkan demonstrasi bagi membantah pembinaan projek berkenaan yang terletak berhampiran kuil Subramaniar di Batu Caves.

Pada 8 November lalu, terbongkar minit mesyuarat MPS bertarikh 29 November 2007 mengesahkan, projek itu turut disokong oleh ahli majlis dari MIC.

Mufti Perak kena bertaubat?

Harakahdaily
KOTA BHARU: Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib berpendapat, jika Mufti Perak, Datuk Harussani meminta Nutul Izzah Anwar bertaubat kerana kenyataannya, dia (Harussani) juga harus bertaubat juga.
"Bagi saya dia (Nurul Izzah) tidak perlu (taubat) kerana taubat kalau buat kesalahan besar. Jika itu kena bertaubat, Harussani juga kena taubat kerana dia tak sokong perjuangan Islam," kata Ustaz Harun Taib (gambar).

Ustaz Harun berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan tentang kenyataan Harussani yang meminta Nurul Izzah bertaubat kerana berkata, tidak ada paksaan dalam agama.

Bagi Harun, isu ini perkara biasa sahaja, "kita tak ambil berat isu itu, itu perkara biasa sahaja."

"Tanyalah benda yang lebih besar lagi misalnya yang (Tun Dr) Mahathir buat yang (Datuk Seri) Najib buat," kata Harun ketika diasak oleh wartawan mengenai isu itu dalam sidang media selepas perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS hari ini.

Menurutnya, Nurul Izzah membuat kenyataan, kebebasan itu tidak terhad kepada orang tertentu sahaja tetapi kepada semua bangsa.

"Misalnya orang Melayu sebelum masuk Islam dia bebas tetapi yang sudah masuk Islam, dia tidak bolehlah nak masuk Kristian ke," jelas Ustaz Harun.

Ketika ditanya kenyataan Nasharudin Mat Isa yang dikatakan meminta Nurul Izzah juga bertaubat, Ustaz Harun berkata, "Nasharudin dia punya pasal...Nurul Izzah nak bertaubat, apa kesalahan dia. Cuba nyatakan apakah dia kesalahan Nurul Izzah yang nyata."

Dasar PAS
(Ustaz Harun bertemu dengan para perwakilan muktamar)
Dalam sidang media itu, Ustaz Harun Taib juga menegaskan dasar perjuangan PAS tidak pernah berubah dengan Islam sejak dahulu, kini dan akan datang dengan izin Allah SWT.

Ini kerana, katanya asas rujukan parti PAS yang tertinggi adalah al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulamak dan Qias.

“Insya Allah, PAS akan terus dipimpin oleh ulamak kerana dasar PAS tidak berubah iaitu Islam. Rujukan PAS tertinggi adalah al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias.

“Itu (Islam) adalah undang-undang tubuh PAS, perlembagaan PAS, dasar PAS sejak dahulu, sekarang dan di masa akan datang, Insya Allah,” tegasnya.

Ketika ditanya peranan Mursyidul Am PAS dalam urusan kepartian, Ustaz Harun menjelaskan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemantau serta penasihat parti.

“Mursyidul Am, itu dia duduk di atas sekali dan memantau parti supaya parti tidak lari dari landasannya (Islam).

“Dia (Nik Aziz) memantau sama ada yang dijalankan oleh Presiden parti (Ustaz Abdul Hadi) dan Ahli Jawatankuasanya itu betul-betul mengikut lunas Islam atau tidak dan jika tidak, dia akan memberi teguranlah,” ujarnya kepada pihak media.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu mendakwa secara umumnya Pakatan Rakyat menerima syariat Islam dilaksanakan.

Katanya, apabila PAS berjaya mendapat keyakinan rakyat bagi memimpin negara syariat Islam akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi.

“Dalam PAS tidak ada yang menolak hudud dan semuanya sepakat. Bila kita (PAS) berjaya untuk mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin Malaysia.

“Tapi syariat Islam itu akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi. Jika kita (PAS) majoriti dalam Parlimen, kita kena kemukakan undang-undang berkaitan dan jika mendapat sokongan parlimen akan diluluskan. Maka, dengan sendirinya akan jadi undang-undang negara,” jelasnya.

Namun begitu, kata Ustaz Harun, parti-parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai dasar masing-masing dan tidak menjejaskan parti lain.

Tambahnya, permuafakatan PAS dengan parti lain telah berjaya memperkenalkan Islam serta sistem Islam kepada parti-parti lain.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Haji Ahmad Yaakob dan Datuk Dr Mahfodz Muhammad.

Dr Asri akan bertanding dalam PRU-13 nanti?

TinBuruk
Pilihan Raya ke-13 makin hampir. Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak makin terdesak untuk menyatakan tarikh untuk pilihan raya. Kalau sebelum ini DS Najib boleh memberikan tekanan kepada orang lain kerana tarikh pilihan raya hanya ada dalam kepala beliau sahaja!!

Tapi sekarang Dato' Seri Najib pula terdesak kerana tidak mampu menentukan bila pilihan raya ke-13. Ini sama sekali merendahkan kemampuan dirinya sendiri.

Kita ketepikan soal tarikh pilihan raya. Kita bincang bagaimana pun calon 'winnable candidate' (boleh memang). Dalam hal ini semua parti politik berlumba-lumba mencari calon winnable candidate dan tokoh-tokoh masyarakat, teramasuk artis juga menjadi pilihan.

Dalam hal ini Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) tidak lari daripada menjadi rebutan parti-parti politik. UMNO banyak kali menawarkan tempat untuk bertanding malah ada janji-janji jawatan jika memang walaupun itu tidak rasmi sekadar disebut oleh beberapa kepimpinan tertinggi UMNO sahaja.

PAS juga tak terkecuali. Dato' Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS banyak kali juga menawarkan kepada Dr Asri untuk masuk PAS. Malah dalam beberapa pertemuan Dato' Harun walaupun berseleroh ada menyatakan hasrat PAS untuk memberi ruang Dr Asri bergerak di dalamnya.

Tapi Dr Asri menolak.

Saya kurang maklumat berkenaan dengan PKR, walaupun ada sumber menyebut ada juga tawaran ini. Tapi saya lebih suka untuk menulis tentang maklumat muktahir ini bagaimana DAP pun terlibat menawarkan perkara yang sama kepada Dr Asri.

Ini mungkin mengejutkan! Tapi dalam politik ini tidak mustahil. Ada ramai intelektual Melayu yang bersifat libral dan ingin melihat demokrasi yang adil aalah mereka yang mendokong perkara ini. Kenapa DAP menjadi pilihan mereka itu kena buat reseach.

Mereka ini ingin Dr Asri bergiat didalam DAP kerana Dr Asri lebih bebas dan terbuka berbanding kalau Dr Asri bergerak dalam PAS atau PKR.

Ada juga menyebut Dr Asri jika bertanding di Perak atas tiket DAP berpeluang untuk mentadbir negeri Perak yang sekarang ini mengikut kajian mutakhir di Universiti memihak kepada Pakatan Rakyat.

Kita sama-sama tunggu cerita selanjutnya. Adakah khabar angin ini akan menjadi realiti!

Tin Buruk
http://tin-buruk.blogspot.com 

Kelatan: PAS sudah ada 25 kerusi dalam tangan

Mohd Sayuti Omar 
Bila orang bertanya saya mengenai kedudukan dan peluang Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang saya menjawab begini; setakat hari ini Pas masih mampu membentuk kerajaan tetapi bukan dengan majoriti lebih 2/3 tetapi dengan majoriti tipis.
Kedudukan ini berdasarkan angka dan suasana semasa. Saya meletakkan Pas melebihi Umno dua atau tiga kerusi saja. Angka hampir sama gagah iaitu Pas 25, Umno 20 kerusi. Saya tidak mahu menggunakan istilah status quo seperti tahun 2004. Kenapa?

Di atas kertas bagi Pas mereka mempunyai 15 kerusi yang betul-betul sedap duduk. Ini berdasarkan kepada jumlah majoriti yang diperolehi dalam pilihan raya lalu. Kalau pun undi wakil-wakil berkenaan merosot hingga 20 persen mereka masih dapat mengawal kerusi mereka.

Kerusi-kerusi itu ialah; Kelaboran (2,212), Pasir Pekan (4,516), Chempaka (4,249), Panchor (3,437), Tanjung Mas (6,112), Kota Lama (5,206), Bunut Payung (4,341), Pengkalan Pasir (2,348), Chetok (2,670), Meranti (3,135), Salor (3,232), Pasir Tumbuh (3,403), Demik (4,799), Tawang (3,278) dan Bukit Panau (4,148).

Kerusi-kerusi ini boleh disifatkan sebagai kerusi paling selamat untuk Pas dan tidak mungkin dapat digugat oleh BN dengan perkembangan dan bentuk-bentuk kempen BN yang ada hari ini. Pas juga tidak perlu menukar atau menyalin calon-calon untuk kerusi ini kecuali ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Dengan kedudukan ini secara mudah Pas hanya memerlukan lapan kerusi saja untuk mendapat majoriti mudah, 23 kerusi. Lapan kerusi itu Pas boleh mengambilnya daripada kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000 undi.

Terdapat 12 kerusi yang dimenangi Pas dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000. Kerusi itu ialah Tendong (1,656), Jelawat (1,022), Melor (1,616), Kadok (1,802), Gual Ipoh (1,663), Kemahang (1,833), Limbongan (1,633), Pulai Chondong (1,535), Temangan, (1,239), Mengkebang (1,903), Manek Urai (1,352) dan Perupok (1,270). Sebuah kerusi milik PKR, Guchil (1,000) boleh juga diambil kira.
kelantan

Berdasarkan status itu Pas dengan mudah akan dapat mempertahankan kerajaan Kelantan. Ertinya paling busuk sehingga hari ini Pas akan memperolehi 25 kerusi ke atas. Sekiranya Pas dapat merampas sekurang-kurangnya tiga dari enam kerusi dimenangi Umno ini bermakna Pas akan berkedudukan selesa memperolehi 28 kerusi.

Terdapat tiga kerusi Umno yang menang di bawah 1,000 undi. Kerusi itu ialah Bukit Bunga (348), Pengkalan Kubur (100) dan Kok Lanas (550).

Pun begitu Pas tidak boleh bersedap hati. Pas perlu juga insaf dan sedar bahawa parti itu mempunyai 10 kerusi yang dimenangi di bawah 1,000 undi di mana kerusi-kerusi ini menjadi idaman utama Umno. Kerusi-kerusi berkenaan ialah; Wakaf Baharu (660), Gual Periok (733), Bukit Tuku (456), Galas (646), Selising (783), Semerak (831), Gaal (323), Kemuning (916), Air Lanas (795) dan Dabong (552). Kerusi-kerusi ini merupakan kerusi 'senak' buat Pas dan diletakkan dalam lingkungan warna kelabu.

Seandainya Umno dapat merampas kerusi-kerusi ini tanpa kehilangan enam kerusi dimiliki kini bermakna Umno akan memperolehi 15 kerusi. Pencapaian ini merupakan peningkatan kepada Umno di dalam pilihan raya nanti dan merupakan angka yang cukup munasabah buat masa ini.

Bagaimana pun harus diingat, politik itu serba mungkin dan tidak mustahil Umno dengan usaha bersungguh-sungguh akan berjaya merampas kerusi-kerusi dianggap kritikal ini. Sekiranya Pas selesa dengan keadaan hari ini, ia tidak mustahil bagi Umno yang mempunyai semangat juang lebih tinggi dari Pas mampu membuat up-set.

Justeru Pas perlu bertindak segera mengambil langkah bagi memperkukuhkan kerusi-kerusi berkenaan. Salah satu tindakan yang patut dilakukan Pas perlu menukar wakil rakyat yang ada kini kepada muka baru yang lebih dinamik dan komited dengan parti. Pas tidak perlu takut untuk mengorbankan mereka walaupun mereka dari latar belakang ustaz dan senantiasa berjubah dan tasbih di tangan. Dalam dunia politik tasbih tidak banyak membantu.

Wakil-wakil rakyat yang mewakil 10 kerusi 'senak' berkenaan ialah; Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Baharu), Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku), Muhammad Awang (Gual Periok), Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim (Dabong), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal), Drs Saiful Baharin Mohamad (Selising), Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Kemuning) hendaklah ditukar dengan muka baru.

Kebetulan pula mereka itu semua bermasalah (kecuali Wan Ahmad Lutfi dan Che Abdullah), jadi elok kalau yang lain itu diusahakan tukar atau pun mereka sendiri mengangkat bendera putih untuk berundur dengan terhormat. Ternyata mereka gagal menunjukkan performance sebagai wakil rakyat yang sesuai dengan zaman ini. Sesetengahnya masalah dihadapi adalah masalah melibatkan moral.

Keperluan menukarkan calon-calon ini juga bukan saja terkira kerana majoriti yang dicapainya rendah, kurang 1,000 tetapi wakil rakyat yang selalu sakit, uzur, malas dan tidak memberi sumbangan besar kepada parti dan kerajaan juga perlu direhatkan.

Misalnya Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh dan Drs Zainuddin Awang Hamat yang sakit dan bermasalah wajar direhatkan. Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Rohani Ibrahim (Tanjung Mas) yang kurang berfungsi perlu difikirkan untuk direhatkan sama. Mereka ini perlu diberi kefahaman, agar berfikir meletakkan kepentingan parti melebihi dari kepentingan peribadi.

Kebetulan juga mereka ada yang sudah dua penggal atau lebih berkhidmat, seperti Wan Ismail, Abdul Halim, Drs Saiful Baharin, Rohani Ibrahim, Dr Nik Mazian dan Abdul Fatah Haron.

Tidak keterlaluan dikatakan kalau Pas sedia melakukan muhasabah dan membuat pembaikan ke atas calon dan wakil rakyat untuk menstabilkan Pas. Dan sekiranya gelombang ke Putrajaya melantun sampai ke segenap kampung dan ceruk di Kelantan, Umno tidak payah bermimpi untuk merampas Kelantan, kemungkinan juga parti itu akan ditimpa sejarah seperti tahun 1990 di mana Umno akan gagal memperolehi satu kerusi pun di Kelantan.

Sejarah dalam kehidupan dan politik juga selalu berulang. Sebaliknya kalau Pas masih merasa complacent dengan keadaan yang ada dan terus mengambil calon berdasarkan laporan dan rekomen dari kawasan (atau dipilih secara dalaman berdasarkan kroni) tidak mustahil juga Pas boleh menangis tidak berirama dan akan berlaku istidraj politik. 

Siapa Lebih Melampau Nurul Izzah Atau Mahathir?

 Mohd Sayuti Omar
Itulah Mahathir Mohamad kalau sudah usang dan kehebatan sudah semakin menipis, dia terpaksa bercakap atas apa juga isu untuk menarik perhatian media PB. Mahathir samalah dengan seekor serigala tua yang sudah tidak dapat memburu, akan memakan apa saja yang terjatuh di depannya. Kalau lipas mati terjatuh didepannya dingap, kalau bangkai biawak di tohok di depannya, pun dingap. Baginya asal boleh bercakap dan boleh makan.

Sebagai seorang yang sudah tua, tidak banyak kudrat dan populariti sudah menipis, maka dia akan berbuat apa saja yang terlintas di dalam kepadanya termasuk memberi ulasan atas perkara yang tidak dalam bidangnya, ataupun dia faham benar apa dibicarakan. Sebab itulah pandangan Mahathir terhadap agama ada kalanya songsang.


Memalukan apabila dia sendiri berbuat salah, tiba-tiba tumpang semangkuk dua untuk mengecam orang lain.


Itulah Mahathir. Sepatutnya dia tidak ikut memberi komen ke atas Nurul Izzah dengan mengatakan Naib Presiden PKR itu sudah melampau apabila memberi pandangan umum berhubung kebebasan beragama.

Apakah Mahathir sengaja membodohkan dirinya dalam mentafsir apa yang Nurul Izzah katakan kerana politik semata-mata? Tidak pernahkah Mahathir membaca firman Tuhan itu? Kalau Mahathir seorang bapak politik yang baik di negara ini dia tidak akan mengulas dalam farsa demikian, tetapi menasihat puteri reformasi itu. Beliau tidak akan menambahkan kekeliruan tetapi menghentikan kekeliruan. Itulah sifat mualim.

Dia boleh kata Nurul Izzah harus berhati-hati jangan sampai terkeluar ulasan dan pandangan yang mengelirukan wartawan yang jahil mengenai agama Islam, kerana bila orang jahil mengulas dan didengari pula si jahil lagi maka jahil akan berganda-ganda. Sepatutnya selaku orang tua yang sudah dipersarakan Mahathir mendapat maklumat terperinci sebelum mengutuk Nurul Izzah sebagai melampau. Nurul Izzah tidak wajar dijadikan musuhnya sebaliknya perlu dilayan sebagai anak atau cucu.

Mahathir sepatutnya menjadi ikon semua orang. Dia tidak sepatutnya menjadi penjaga garisan dalam politik negara ini lagi. Mental dan fizikalnya sudah tidak membenarkan. Mahathir jangan cuba-cuba melawan takdir. Dia boleh menonton politik ini menerusi tv di rumahnya dan boleh mengulas di depan tv tanpa didengari oleh orang lain. Di situ katalah apa pun ia tidak merosakan pandangan orang lain sebab orang tidak mendengarnya. Politik Malaysia ini lepaslah kepada budak-budak, berikan kesempatan untuk mereka belajar, memperkuatkan minda politik kerana negara ini akhirnya akan jatuh ke tangan mereka juga.


Enak Mahathir mengatakan Nurul Izzah melampau dengan pandangan itu. Orang yang tidak mudah lupa akan mentertawakan Mahathir ha ha ha... Boleh kita tanya apakah Mahathir tidak merasakan demikian dengan kata-katanya sebelum ini yang berbunyi; kita lebih baik berkawan dengan syaitan dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali? Apakah kata-kata itu tidak melampau dan boleh menjejaskan akidah? Rasanya kata-kata itu menjadikan Mahathir seperti dulang mengatakan paku yang serpih.


Oh, kalau Mahathir mudah... ditafsirkan bahawa Mahathir bermaksud lain, bukan seperti mana difahamkan itu. Dan mudah saja mengatakan pembangkang berniat jahat. Apakah mengenai Nurul Izzah itu tidak bermnaksud demikian? Kenapa harus spin kata-kata Nurul Izzah itu?

Sebenarnya kata-kata Mahathir dari farsa yang difahamkan itu juga melampau dan membimbangkan. Ia boleh mengelirukan dan boleh menyebabkan orang akan menganggap berkawan dengan syaitan tidak menjadi masalah. Orang akan beranggapan berdasarkan kata-kata Mahathir itu bahawa syaitan sebenarnya ada juga yang baik. Oh Mahathir....harus bertaubat atas kesilapan itu.

Jadi secara peribadi saya tidak menerima kutukan Mahathir kepada Nurul Izzah itu selagi beliau tidak mengutuk dirinya sendiri dengan apa yang beliau katakan itu. Kemelampauan Nurul Izzah dalam konteks agama bukan sebanyak dan sedahsyat Mahathir. Izzah hanya melakukan sekali kesilapan (kalau ia memang silap dan niatnya begitu), tetapi Mahathir sudah banyak kali. Dah banyak dah...

Kata-kata dan pandangan Mahathir terhadap agama Islam banyak yang meragukan dan ada yang sehingga boleh menjatuhkan sesat dan rosak pegangan (akidah). Misalnya tanggapan beliau Nabi Muhammad s.a.w. simpan janggut disebabkan tidak ada gillatte adalah satu tanggapan yang menghina sunah Rasulullah. Tahulah sendiri apakah hukum dan bahananya orang menghina Rusulullah.Saya ingin sangat Mahathir mengulangi ayat-ayat itu di Iran, Syaria, Pakistan, Afghanistan dan Madinah.

Mahathir juga pernah mempersendakan hukum hudud, cuba menolak hukum hudud dengan mengatakan ia adalah hukum hudud Pas. Ironisnya beliau sendiri tidak pernah membentangkan, usahkan anekmen hukum hudud, deraf hukum hudud pun tidak. Tidak mahu menerima hudud mungkin boleh dimaafkan atas maslahat agama, tetapi menolak dan mempersendakan hudud satu yang berat dari sisi agama, berdosa dan celaka.

Hasil ajaran dan didikan Mahathir mengenai hudud maka lahirnya seorang murid mutabar yang menolak hudud bernama Chua Soi Lek. Itulah hasil dan kesannya dari perbuatan lisan Mahathir. Soi Lek tidak akan berani mempertikaikan hudud kalau Mahathir bukan gurunya. Chua Soi Lek akan mempertahankan dirinya dengan bersandarkan kepada Mahathir. Sebab itu pemimpin Umno tidak menghentam Soi Lek bila Cina itu menghina hudud sebab, pemimpin Umno tidak mahu memalukan Mahathir. Hentam Soi Lek bermakna memansuhkan pandangan Mahathir mengenai hudud. Woww...

Mahathir cukuplah dengan apa yang sudah anda lakukan selama 22 tahun lalu. Negara ini banyak rosak kerana anda dan orang Melayu hidup bercemperaian ini pun adalah kerana anda juga. Apakah anda akan berhenti selepas Umno hancur dan tidak akan menjadi penguasa lagi? Nampaknya Mahathir akan berkubur bersama Umno Baru yang diilhamkan. Mat, Mat mana lagi kalau bukan Mat Maslan, sihatkah, katanya saham Felda terus merudum. Betulkah?