"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kasari wanita, tindakan SPRM menjijikkan

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan dakwaan Pegawai Syed Saddiq Siti Nurul Hidayah sangat serius jika ia benar-benar dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah katanya, tindakan SPRM yang didakwa meminta Hidayah berdiri selama 30 minit dengan mengangkat sebelah kaki dan kedua-dua tangan beliau adalah bentuk ‘torture’.

“Jika benar, ia amat amat dikesali. Ia salah di sisi undang-undang dan moral. Dan jika benar dakwaan ia diperlakukan hatta pada wanita, bagi saya, itu makin memperlihatkan kejijikan dakwaan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) menggesa pihak SPRM menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Sudah tentu, kita tidak mahu insiden dan mimpi ngeri yang berlaku kepada mendiang Teoh Beng Hock dan arwah Sarbini berulang kembali,” tegas beliau.

Hidayah dalam sidang medianya semalam mendakwa dikasari, diherdik serta dipanggil ‘babi’ dan ‘bodoh’ ketika memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kehilangan wang RM250,000 dari kediaman Syed Saddiq.

Beliau juga mendakwa pegawai SPRM telah menendang kerusi yang didudukinya kemudian memaksa beliau berdiri sebelah kaki dengan kedua tangannya diangkat selama 30 minit.

PAS yang menemui dirinya

Muhaimin Sulam

Dulu PAS bercita-cita mahu jadi 'pencatur raja' (king maker). Biarlah PH atau BN yang menang dalam pilihan raya umum (PRU) tetapi PAS tetap memiliki kuasa tawar-menawar untuk memelihara kepentingan parti itu.

Oleh itu, dalam PRU lalu, PAS melawan dua 'musuh' sekali gus. Bukan calang-calang parti gagah itu berseteru dengan lawan dari atas dan dari bawah, dari kiri dan dari kanan.

Ramai yang ketawa, sinis dan termangu. Saya hanya melihat dan menunggu sama ada memang benar-benar bulan jatuh ke riba atau PAS cuma pungguk yang merindukan bulan.

Ternyata pada PRU lalu pendekatan politik PAS bahkan menyebabkan Umno tumbang untuk pertama kali dalam sejarah politik negara.

PAS bukan ‘kacau daun’ untuk PH tetapi memang menjadi ‘pencatur raja’ dalam PRUI lalu. PAS yang mengangkat PH jadi kerajaan walaupun tidak mereka pernah sesaat pun tenang berada di bawah PH.

Hingga kini PAS kekal menjadi ‘pencatur raja’ biar nampaknya gembira bersanding di atas takhta dengan Muhyidin Yassin, Azmin Ali dan Zahid Hamidi.

Memang Umno menggelupur bagai ikan yang terdampar di tanah gersang. PH harus ambil tahu bahawa pendekatan PAS membolehkan gabungan itu menjadi kerajaan Persekutuan dan berkuasa di lapan negeri.

Cuma PH tidak perlu berterima kasih kepada PAS. PH tetap musuh PAS selagi DAP dan Amanah ada di dalamnya.

Penyelamat kerakusan dan kejahilan

Dalam nyawa-nyawa ikan Umno kembali bernafas segar apabila idea penyatuan Melayu Islam mendapat dalil selepas sekian lama dicari-cari. PAS dan Umno kembali berada pada landasan perjuangan nasionalisme Islam era kepimpinan para ustaz-ustazah beberapa dekad lampau.

Meski masih belum sepenuhnya serasi hingga ke akar umbi, perkembangan politik tanah air selepas PH menguasai Putrajaya sangat mempunyai nilai politik yang mahal.

Dalam politik sebenar (real politic), idealisme perjuangan sering ditangguhkan atas kemaslahatan yang lebih besar. Ada fiqh yang digunakan dalam membuat hujahan yang boleh diterima oleh penyokong di peringkat akar umbi.

Berada di atas satu pentas dengan PAS adalah detik bermakna buat Umno. Ia akan dikenang dalam lipatan sejarah politik pada masa hadapan negara. PAS juga yang menjadi penyelamat kejahilan dan kerakusan Umno selama ini.

Yang penting, Umno kembali bernyawa dan sedang belajar mengaum dan menerkam mangsa. Saat itu, PH berada kesukaran bergelut dalam sistem tinggalan Ummo selama ini.

Para birokrat, kapatalis, sarjana dan aktor-aktor negara masih berkarat dengan sistem regim lama.

Reformasi instituisi yang dilakukan oleh PH tidak mungkin diteruskan oleh PN. Reformasi itu bersifat agak struktural dan jika diteruskan, boleh menghakis dominasi saki-baki regim yang telah berakar umbi.

PAS dan PN adalah sebahagian daripada saki-baki regim yang membentuk sistem dan struktur pentadbiran yang ada pada hari ini. Meneruskan reformasi instituisi PH bermakna menamatkan hayat PAS dan PN untuk terus berkuasa.

PAS sudah sampai kemuncaknya. PAS mungkin terbang lebih tinggi. PAS boleh mengapai bulan mengambang. PAS mungkin juga boleh terjunam membunuh diri jika tidak berhati-hati saat kritikal sebegini.

Sebagai parti yang berpengalaman, PAS tentu lebih tahu langkah selanjutnya yang boleh menguntungkan parti dan pemimpinnya.

Manakala Amanah akan ketinggalan jauh sekiranya masih berpegang pada prinsip perjuangan sebagaimana tercatat dalam buku, dokumen dan minit mesyuarat.

Inilah kelemahan paling ketara dalam Amanah. Parti itu rela hilang kerajaan dan kuasa asal saja tidak melanggar prinsip perjuangan dan setiakawan.

PAS parti paling beragama

PAS pula menemui dirinya setelah sekian lama mencari-cari makna kuasa dan politik. Menyingkirkan Mat Sabu, Salahudin Ayub dan rakan-rakan mereka adalah langkah sebagai ‘pencatur raja’ paling tersusun. Bak kata Sayidina Ali, kebatilan yang tersusun akan menewaskan kebaikan yang tidak tersusun.

PAS tidak boleh menoleh ke belakang seperti ahli sejarah yang terlalu asyik dengan dokumen dan rekod lama. Jangan. PAS juga tidak boleh terlalu futuristik macam pakar motivasi. Pendekatan politik terkini PAS sememangnya berada pada landasan paling tepat.

Jika perlu penambahan rencah dan bumbu, tekankan terus unsur rohani mistik seperti mimpi, ilham para malaikat, bantuan dari langit yang pastinya membawa kesan berganda buat mereka.

Abaikan saja pendapat Liew Chin Tong yang menganggap PAS tersalah haluan. Chin Tong berasa bahawa haluan yang diambil oleh PAS yang dipimpin oleh golongan asolah (purists) adalah salah.

Golongan ini hanya mahu menumpukan kuasa politik di kawasan orang Melayu Islam seperti di negeri-negeri pantai timur.

Golongan asolah telah memadamkan ijtihad pimpinan PAS yang disebut sebagai golongan pengarus perdana (mainstreamer) seperti Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz.

Legasi mereka tinggal kenangan. PAS telah membuka buku baru. Golongan asolah telah membentuk pemikiran baru yang lebih realistik. Siapa terfikir bahawa PAS berada di persada politik pada hari ini?

Bab pertama yang perlu dihadam ialah bagaimana menguruskan khazanah negara dengan jawatan yang ada.

Chin Tong mungkin terlepas pandang bahawa PAS adalah parti politik paling beragama. Chin Tong - walaupun lulusan sains politik yang menjadi pemain politik - dia tidak mendapat tarbiyah PAS.

Oleh itu pertimbangannya hanya berasaskan ilmu dan pengalaman yang dilalui sahaja. Ia tidak memadai.

Sebagai parti Islam, PAS sudah masak selok-belok politik Malaysia. Dari dikenali sebagai Pan-Malayan Islamic Party hingga Parti Islam Semalaysia, PAS sudah ada eksiklopedia politik sendiri.

PAS perlu istiqamah dengan haluan yang dibawa sekarang. Ini bukanlah satu nasihat, tapi satu pandangan yang mungkin boleh diabaikan saja.

Pegawai Syed Saddiq diherdik, dipanggil ‘babi’ oleh SPRM

NASUHA RAHMAN

Pegawai kepada Ahli Parlimen Muar, Siti Nurul Hidayah didakwa telah dikasari dan diherdik oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil sebagai saksi.

Beliau berkata, pegawai SPRM bertindak ke atasnya seperti beliau adalah suspek sedangkan beliau dipanggil sebagai saksi bagi kes kehilangan sejumlah wang RM250,000 milik Syed Saddiq.

Nurul Hidayah turut memberitahu pegawai SPRM juga menjerit kepadanyanya dengan memanggilnya ‘babi’ dan bodoh.

“Salah seorang daripada mereka mengancam akan menampar saya, tangannya mendekati wajah saya,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada sidang media itu Hidayah turut membacakan laporan polis yang dibuatnya di Putrajaya berhubung kejadian yang berlaku ketika siasatan oleh SPRM.

Hidayah juga berkata, pegawai SPRM telah menendang kerusi yang didudukinya kemudian memaksa beliau berdiri sebelah kaki dengan kedua tangannya diangkat selama 30 minit.

Beliau juga telah dihalang oleh pegawai SPRM untuk berjumpa dengan peguamnnya yang berada di luar bilik siasatan.

Beliau percaya tindakan pegawai SPRM memperlakukan beliau sedemikian bertujuan untuk menakut-nakutnya.

Hari ini dalam satu kenyataan, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali menafikan dakwaan memaki, mengherdik, menghina dan melayan dengan teruk seorang pegawai bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

SPRM menolak sekeras-kerasnya kenyataan dikeluarkan oleh wanita yang dikenali sebagai Siti Nurul Hidayah itu dalam satu rakaman video sidang media yang disiarkan di laman Facebook.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap aduan berhubung kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 milik Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar itu membuat laporan polis pada 29 Mac lalu dengan berkata wang itu disimpan dalam peti besi di rumahnya.

Henti guna SPRM untuk ganggu pembangkang atau saya dedah salah laku k'jaan'

Annabelle Lee

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengancam akan mendedahkan salah laku kerajaan sekiranya tidak berhenti menggunakan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengganggu pembangkang.

Pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini beliau juga mendakwa kerajaan PN secara tidak langsung menggunakan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan menteri sebagai rasuah.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed, yang juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM, dilihat berada di pejabat Mahathir, tetapi tidak jelas mengapa beliau berada di sana.

Bercakap mengenai dakwaan gangguan berkenaan terhadap Pemuda Bersatu, Mahathir berkata sekiranya taktik yang digunakan pada era Najib Razak ini tidak dihentikan, beliau akan mendedahkan semua salah laku mereka.

"Kita terkejut bahawa SPRM melakukan ini, menahan orang, menyoal mereka dan semua ini.

"Sekiranya mereka tidak (berhenti) kita harus secara aktif mendedahkan semua kesalahan yang mereka lakukan," katanya.

Mahathir menolak untuk menjelaskan apa yang akan beliau dedahkan, tetapi mengatakan perkara itu tidak melibatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Berikutan sidang media bekas perdana menteri itu, anggota Pemuda Bersatu, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin menunjukkan kepada media laporan polis yang dibuatnya dengan mendakwa dia dan ahli parti lain disoal siasat secara berasingan selama beberapa jam oleh SPRM pagi ini.

Adam juga merupakan pegawai media Mahathir.

Sementara itu, Siti Nurul Hidayah, pembantu peribadi Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga mendakwa beliau telah diperlakukan secara tidak adil ketika disoal siasat oleh pegawai SPRM.

Menurut laporan polisnya, Siti mengatakan beliau telah dipanggil untuk disoal sebanyak tiga kali sejak April.

Siti mendakwa pegawai SPRM telah merampas telefon bimbitnya, melemparkan telefon kepadanya, menggunakan kata-kata kesat terhadapnya, mengancam untuk menamparnya, menendang kerusi dan mematikan lampu semasa sesi soal jawab.

Siti mendakwa dia dipaksa menjawab soalan mengenai kehidupan peribadi Syed Saddiq dan percaya taktik pegawai berkenaan adalah untuk menekannya supaya mengakui maklumat yang melibatkan bekas menteri berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen.

Terbaru seorang Ahli Parlimen PKR umum keluar parti

Jugah keluar PKR, ikrar sokong PM

AHLI Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang hari ini mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Jugah dalam kenyataan malam ini berkata, beliau menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

"Kawasan Parlimen saya terletak di luar bandar yang memerlukan bantuan kerajaan untuk pembangunan.

"Justeru, saya menyokong penuh PN dan GPS demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Lubok Antu," katanya.

Jugah berkata, beliau kesal apabila berlaku masalah dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH).

"Saya kesal berikutan permasalahan dalaman PH menyebabkan Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan sehingga akhirnya kerajaan PH tumbang. "Sehubungan itu, saya mengumumkan keluar dari PKR dan bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas yang menyokong penuh kerajaan PN dan GPS," katanya.

Jugah memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Sejurus selepas PRU-14, penyokong beliau beramai-ramai menyertai PKR dan Jugah kemudian turut menyertai parti itu.

Dr Mahathir tak berhajat jadi PM sekali lagi

Chan Kok Leong

DR Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak berhajat untuk jadi perdana menteri sekali lagi jika pilihan raya baharu diadakan.

“Saya tidak tawarkan diri (sebagai calon perdana menteri), tetapi saya melihat perkara-perkara ini sebagai tanggungjawab kepada negara, bukan tanggungjawab kepada diri sendiri,” kata bekas perdana menteri berusia 94 tahun itu pada sidang media di Putrajaya hari ini.

2 menteri dijangka letak jawatan

Sekurang-kurangnya dua menteri kabinet daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka meletakkan jawatan dalam masa terdekat dan menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor Harian Metro online.

Sumber berkata, ia susulan peletakan jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Dr Shahruddin Md Salleh semalam kerana isu pemecatan ahli parlimen Langkawi itu bersama empat yang lain minggu lalu.

Minggu lalu, laman Umno, MyKMU telah menamakan Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof sebagai menteri berkenaan. Namun Harian Metro tidak menamakan kedua-dua menteri berkenaan.

Rina telah menafikannya manakala Redzuan akan membuat sidang media jam 5 petang nanti.

Kedua-dua menteri kabinet berkenaan sebelum ini adalah menteri penuh ketika pemerintahan Pakatan Harapan dan bertukar portfolio selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lalu.

“Ya, ada lagi yang akan menyusul. Sekurang-kurangnya dua menteri. Selepas itu dijangkakan ada lagi.

“Mereka ini semua berjuang sejak awal bersama-sama Tun, menubuhkan parti untuk menentang amalan rasuah dan kleptokrasi. Dengan hala tuju parti yang baru ini, mereka rasakan Bersatu sudah lari daripada matlamat asal,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan media, beliau memaklumkan, tindakannya melakukan ijtihad politik dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah kurang tepat.

Katanya, beliau seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi di Parlimen Sri Gading memilih Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.

Bersatu pecah, Umno mencelah

A Kadir Jasin

Ceritanya mudah saja. Pemimpin yang mengepalai gerakan tidak demokratik menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata, tidak akan mampu bersikap demokratik terhadap parti mereka sendiri.

Itulah yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh sebagian besar kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memihak kepada Muhyiddin Mohd Yassin.

Mereka telah merancang kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata dengan menarik Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu.

Untuk mempertahankan rampasan kuasa mereka itu, mereka terpaksa bersikap tegas dan keras ke atas pemimpin Bersatu yang tidak sebulu dengan mereka.

Yang telah, sedang dan akan mereka hukum dengan sewenang-wenangnya adalah ahli Bersatu. Manakala yang ditimang dan ditatang adalah ahli Umno dan PAS.

Umno dan PAS diutamakan kerana menyertai mereka dalam kerajaan pintu belakang atau, mengikut takrifan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kerajaan tebuk atap.

Justeru itu, tidak hairanlah kalau Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan empat orang lagi pempimpin kanan Bersatu telah disingkirkan pada 28 Mei lalu hanya menerusi surat yang ditandatangani oleh Muhammad Suhaimi Yahya.

Bagi menghalalkan tindakan tidak berpekerti itu, sidang Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah dipanggil semalam untuk mengesahkan pemecatan Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Turut dikenakan tindakan adalah Marzuki Yahaya yang dipecat daripada jawatan Ketua Badan Perhubungan Pulau Pinang dan Akramsyah Sanusi yang digugurkan daripada MPT. Tetapi Akramsyah berkata tindakan itu ditarik balik semalam.

Adalah tidak mustahil ramai lagi akan dikenakan tindakan kerana menentang hegemoni Muhyiddin dan feksyennya dalam Bersatu.

Muhyiddin juga boleh menggunakan kuasa eksekutif beliau bagi mempengaruhi Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memberikan “cop getah” kepada apa saja tindakan Bersatu.

Apatah lagi Menteri yang bertanggungjawab ke atas ROS, Datuk Hamzah Zainuddin, adalah penyokong kuat Muhyiddin dan antara arkitek utama Perikatan Nasional.

Penyokong asal tak setuju pecat Dr M

Tatapi kuasa eksekutif sahaja tidak akan membantu menyelesaikan kekusutan yang sedang berlaku di dalam Bersatu.

Rasanya majoriti ahli dan penyokong asal Bersatu tidak menyetujui pemecatan Dr Mahathir. Sebaliknya mereka terus mengiktiraf beliau sebagai pengerusi parti.

Di sini patut diulang sebut bahawa Dr Mahathir telah pun dipilih semula sebagai pengerusi tanpa dicabar sementara di pihak lain pula, Muhyiddin yang mengaku memangku jawatan pengerusi sedang dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan presiden.

Cabaran oleh Mukhriz ini adalah antara sebab Muhyiddin dan konco-konconya dalam MPT mahu feksyen yang menyokong Dr Mahathir ditendang keluar.

Jadi, adalah tidak mengejutkan kalau umum berkata bahawa buat masa ini Bersatu berpecah dua - satu menyokong Dr Mahathir dan satu lagi bersama Muhyiddin.

Tetapi saya rasa kita jangan lupa kemungkinan wujud dua “sub-faction” yang tidak semestinya menyokong salah seorang daripada dua watak ini.

Besar kemungkinan Hamzah dan konco-konconya yang melompat masuk Bersatu daripada Umno selepas PRU ke-14 lalu dan Mohamed Azmin Ali dengan geng PKRnya sedang bermain “watching game” – tunggu dan tengok.

Untuk mereka terus relevan dalam Bersatu, mereka wajib bersama “the winning side” – pihak yang menang – dan buat masa ini tidak semestinya feksyen Muhyiddin.

Muhyiddin beri talian hayat pada Umno

Permainan ini sedang diperhatikan oleh Umno seperti burung hering bercangkung di atas pokok kelapa menunggu lembu nazak mati.

Rasa saya inilah faktor yang menjadi pemangkin kepada deklarasi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pada 3 Jun lalu bahawa “kami sudah siapa siaga untuk PRU15”.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan bossnya, Najib Abdul Razak, di rumah beliau pada hari tersebut.

Umno mempunyi kepentingan langsung di dalam apa yang sedang berlaku dengan Bersatu. Ia akan menyokong Bersatu selagi Bersatu boleh memberikannya kebaikan – termasuk jawatan Menteri dan lantikan GLC.

Kita kena ingat, Muhyiddin telah memberikan Umno (dan PAS) talian hayat setelah kalah PRU 9 Mei 2018. Daripada pembangkang, Umno balik menjadi kerajaan.

Bagi ahli dan penyokong Umno ini adalah rahmat. Mereka tidak peduli tentang prinsip, maruah dan perjuangan. Bangsa, agama dan negara hanyalah tebu di pinggir bibir. Yang mereka fikirkan adalah habuan. Jadi dengan ihsan Muhyiddin, Umno kembali relevan.

Najib dan Ahmad Zahid memerlukan pihak yang berkuasa memandangkan nasib mereka umpama telur dihujung tanduk di dalam kes-kes mahkamah yang sedang mereka hadapi. Buat masa ini, Muhyiddin adalah pilihan lebih baik bagi mereka berdua.

Tetapi seandainya mereka nampak bahawa sampan Muhyiddin akan tersadai di tengah sungai atau karam terus, mereka akan terjun menyelamatkan diri.

Jika mereka terjun dan sebuah kerajaan baru tidak dapat dibentuk, maka besar kemungkinan Dewan Rakyat terpaksa dibubarkan dan PRU diadakan seperti yang diuar-uarkan oleh Ahmad Zahid.

Akhir kalam, izinkan saya menyatakan tanpa keraguan bahawa di dalam semua ini, saya adalah di sebelah MPT Bersatu yang, pada mesyuarat 23 Februari lalu, tidak menyokong penarikan diri daripada PH.

Saya perpegang kepada rayuan Dr Mahathir agar beliau tidak dipaksa mengorbankan prinsip dan janji beliau kepada PH dan persetujuan MPT memberi masa kepada beliau untuk berfikir dan bertindak. Itu prinsip saya.

Wallahuaklam. Terima kasih.

TAMPARAN BUAT MUHYIDDIN, ADA LAGI AKAN MENYUSUL LETAK JAWATAN DALAM SEHARI DUA MENDATANG

Shahbudin Husin
Setelah bertemu Tun Mahathir Mohamad Jumaat lalu dan kemudian menulis warkah panjang lebar mengenai kedudukan diri dan masa depannya dalam Bersatu, Ahli Parlimen Sri Gading, Dr. Shahruddin Md Salleh akhirnya meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya.

Perletakan jawatan ini bermakna penarikan sokongannya terhadap Muhyiddin Yassin yang kini membentuk kerajaan PN bersama UMNO, Pas, GPS, kumpulan Azmin dan parti-parti kecil yang lain.

Bagi Dr. Shahruddin, perletakan jawatannya adalah disebabkan beliau merasakan penyertaannya bersama PN adalah suatu pilihan yang silap dan kurang tepat.

Surat perletakan jawatan Dr. Shahruddin adalah seperti di bawah ini:-

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KENYATAAN AKHBAR

PELETAKAN JAWATAN

TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA

1. Hari ini; Khamis 04 Jun 2020,

2. Dengan rasminya saya umumkan meletak jawatan perkara di atas berkuatkuasa mulai hari ini,

3. Saya telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional PN,

4. Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14,

5. Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh YAB Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN,

6. Sekian pernyataan yang saya ingin maklumkan terutama kepada pengundi-pengundi di Parlimen Sri Gading P149.

Sekian, terima kasih.

Shahruddin Salleh

Parlimen Sri Gading P149.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Yang nyata, perletakan jawatan Dr. Shahruddin ini adalah tamparan paling pedih dan tepat ke muka Muhyiddin yang belum sampai tiga bulan menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana Dr. Shahruddin dikenali sepanjang masa sebagai “budak Muhyiddin” dalam karier politiknya.

Muhyiddin yang membawanya ke dunia politik daripada perkhidmatan awam dengan melantiknya sebagai Setiausaha Politik dan seterusnya memberi peluang bertanding di DUN Jorak, sebuah kawasan pilihanraya dalam Parlimen Pagoh.

Apabila Muhyiddin dipecat daripada UMNO pada 2015, Dr. Shahruddin turut meninggalkan UMNO dan apabila Bersatu ditubuhkan di mana Muhyiddin menjadi Presiden parti itu pada 2016, bellau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang pertama.

Perlantikan Dr. Shahruddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu adalah tanda kepercayaan tanpa keraguan Muhyiddin terhadapnya.

Pada pilihanraya 2018, Dr. Shahruddin bertanding di Sri Gading dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri bersama PN pada Mac lalu, Dr. Shahruddin terus dikekalkan sebagai Timbalan Menteri dengan portfolio baru di Kementerian Kerjaraya.

Keinginan Dr. Shahruddin untuk beralih arah meninggalkan PN dan kembali semula kepada PH sebenarnya mula diperkatakan sejak pertemuannya dengan Tun Mahathir, Jumaat lalu.

Beliau bertemu Tun Mahathir pada petang Jumaat, manakala pada sebelah paginya pula, Menteri Tugas-Tugas Khas, Mohd Redzuan Md Yusof bertemu Pengerusi Bersatu yang telah dipecat itu.

Dengan itu, Mohd Redzuan turut dispekulasikan akan meletakkan jawatan dalam kerajaan untuk kembali kepada PH dan memberi sokongan kepada Tun Mahathir yang kini berkrisis dengan Muhyiddin.

Dalam perkembangan terkini selepas Dr. Shahruddin meletakkan jawatan ini, seorang dua lagi pemimpin Bersatu yang ada jawatan dalam kerajaan diperkatakan akan melakukan tindakan yang sama dalam sehari dua lagi.

Ini akan menjadikan, dalam waktu terdekat ini, jika seorang lagi menarik sokongannya, keadaan kerajaan akan tergantung dengan kedudukan 111-111, manakala jika dua orang sekaligus meletakkan jawatan, Muhyiddin sudah dikira tumbang dengan rekod sebagai Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara sejak merdeka.

Sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya sehari dua lagi. (Shahbudindotcom 04/06/2020)

Shahruddin letak jawatan timbalan menteri kerja raya, mahu perbetul ‘kesilapan’

FMT Reporters

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan menteri kerja raya secara mengejut berkuat kuasa hari ini.

Shahruddin dalam kenyataan berkata, beliau membuat “ijtihad politik” yang kurang tepat ketika menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya beliau seharusnya memberi keutamaan kepada pengundi di kawasan Parlimennya.

“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi di Parlimen Sri Gading sudah memilih Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14.

“Sebagai langkah awal bagi membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Isnin lepas Shahruddin menyuarakan harapan supaya Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berdamai bagi menguatkan semula PPBM.

Ketika dihubungi FMT, Shahruddin, yang merupakan bekas setiausaha agung pertama PPBM, mengesahkan keputusan itu.

Shahruddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai timbalan menteri kerja raya dan meninggalkan PN jika langkah itu dapat mengukuhkan PPBM.

Katanya, beliau menyayangi parti dan tidak mahu melihat PPBM lemah kerana berpecah-belah serta berlakunya serang menyerang yang memalukan.

Pada 9 Mac, Shahruddin dilantik sebagai timbalan menteri kerja raya.

Beliau merupakan bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Muhyiddin singkir tiga pemimpin Bersatu dari kem Mahathir

Hariz Mohd

Tiga pemimpin Bersatu di peringkat pusat dan negeri yang diketahui umum berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad mendakawa telah dipecat oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Mereka adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya, dan timbalan Pengerusi Bersatu Kedah Anuar Abdul Hamid.

Surat penamatan perkhidmatan ketiga-tiga mereka yang dilihat oleh Malaysiakini, bertarikh 2 Jun dan menggunakan kepala surat Presiden Bersatu. Ia ditandatangani oleh Muhyiddin selaku presiden parti dan pemangku pengerusi.

Menurut surat itu, semua ketiga-tiga mereka ditamatkan jawatan masing-masing berkuatkuasa serta merta. Tidak ada sebarang alasan yang diberikan oleh Muhyiddin.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, Marzuki berkata bahawa dia menerima surat itu melalui Whatsapp dari setiausaha kerja Bersatu, Suhaimi Yahya semalam, sementara Anuar pula berkata, bahawa dia menerima suratnya pagi ini.

Untuk rekod, Marzuki juga adalah Setiausaha Agung Bersatu tetapi dipecat oleh Muhyiddin baru-baru ini. Bagaimanapun, pemecatan itu tidak diiktiraf oleh Dr Mahathir yang mendakwa bahawa sebagai pengerusi perkara itu tidak dirujuk kepadanya.

Marzuki berkata bahawa dia percaya bahawa pemecatan itu dibuat untuk menyingkirkan pemimpin parti yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin.

“Saya lihat pemberhentian ini tak lain kerana saya tak pendirian sama dengan presiden dan saya dapati mereka yang tak sama pendirian semua akan diambil tindakan,” katanya.

Marzuki juga mengesahkan bahawa Akhramsyah telah menerima surat yang sama, dan tidak faham mengapa Akhramsyah juga dipecat sedangkan beliau adalah salah satu daripada tujuh anggota pengasas parti itu.

“Dia pun mungkin pendirian sama dengan saya. Jadi mungkin ini adalah satu dari usaha-usaha untuk membersihkan parti supaya tak ada orang yang menentang.

“Jadi tidak ada demokrasi dalam parti,” katanya.

Marzuki mendakwa tidak ada usaha yang dilakukan untuk mendapatkan penjelasannya sebelum pemecatan.

Sementara itu, Anuar mendakwa pemecatannya sebagai timbalan pengerusi Bersatu Kedah adalah usaha kem Muhyiddin untuk membersihkan kepimpinan parti daripada penyokong Mahathir.

“(Sebelum ini) Mukhriz Mahathir depa (mereka) dah pecat dah. Jadi sekarang, mereka jadikan saya sasaran, saya timbalan.

“Jadi tak ada siapa la lepas ni. Nampak tak? Jadi depa boleh kontrol (kawal) la Kedah,” katanya.

Beliau juga percaya bahawa pemecatan itu ada hubungan dengan laporan yang dibuatnya kepada SPRM dan lembaga disiplin parti terhadap Muhyiddin dan Suhaimi.

Anuar berkata, bahawa bersedia dipanggil oleh lembaga disiplin parti, tetapi kecewa kerana ini tidak dilakukan.

"Bagi saya, mudah saja, panggil saya berdepan lembaga tatatertib dan saya akan ceritakan segala-galanya ( tentang mengapa laporan dibuat).

"Tetapi mereka pengecut. Mereka pilih pecat saya," katanya.

Anuar dalam satu kenyataan kemudian berkata bahawa beliau tidak mengiktiraf surat pemberhentian oleh Muhyiddin dan menganggapnya tidak sah, dengan alasan bahawa tindakan tersebut mesti dilakukan setelah berbincang dengan pengerusi parti.

PENOLAKAN KEPADA PN SEKARANG MIRIP PENOLAKAN TERHADAP BN SEBELUM PRU14 LALU

Shahbudin Husin
Apakah kerajaan Perikatan Nasional atau PN benar-benar akan tumbang dalam masa terdekat ini atau ia sekadar perang psikologi yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH)?

Inilah antara persoalan yang sedang bermain dalam kepala majoriti rakyat ketika ini.

Sesetengah rakyat percaya PN akan tumbang dalam masa terdekat, manakala yang lain pula yakin ia mampu bertahan sehingga PRU15 akan datang.

Sementara sokongan yang ada pada PN sebagai kerajaan amat runcing dan terumbang-ambing iaitu hanya dua majoriti Ahli-Ahli Parlimen dan mungkin berkurangan lagi dalam waktu terdekat ini, yang sukar dinafikan juga ialah penolakan rakyat ternampak terus berkembang daripada semasa ke semasa.

Ada banyak isu yang menyebabkan rakyat mula sangsi dengan kerajaan sekarang, antaranya rungutan berhubung bantuan kepada rakyat akibat Covid-19 tidak seperti yang dijanjikan, tiada pelan untuk rakyat yang hilang pendapatan, masih tidak membela nasib Adib Kassim, anggota Bomba yang terbunuh dalam tragedi Kuil di Subang, hudud dan RUU355 masih kabur, kerajaan terlebih memanjakan Ahli-Ahli Parlimen dengan lambakan jawatan GLC dan pelbagai lagi.

Gembar-gembar kononnya kerajaan PN ini adalah kerajaan Melayu/Islam hampir tiada maknanya bagi rakyat kerana apa yang mereka bising-bising sebelum ini semuanya jadi senyap belaka apabila sudah beroleh kuasa.

Selain itu, dari sudut politik, cara Muhyiddin Yassin menangani isu Bersatu dengan keghairahan bertindak ala diktator turut membuatkan rakyat terhakis keyakinan terhadapnya.

Ramai yang melihat Muhyiddin atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak harus bertindak sekeras itu terhadap Tun Mahathir Mohamad selaku pengasas Bersatu atau kepada Mukhriz Mahathir yang akan mencabarnya bagi jawatan Presiden parti, sebaliknya perlu berhadapan secara “gentleman” dengan mereka dalam proses pemilihan.

Jika diperhatikan cara Muhyiddin ini tidak ubah seperti apa yang dilakukan Najib Razak sebelum beliau tumbang pada PRU14 lalu.

Ketika itu, semua yang cuba menentang dan melawannya akan dipecat dan diketepikan melalui kuasa dan keangkuhan yang bertapak tinggi dalam dirinya.

Najib juga pada waktu itu tidak memperdulikan banyak teguran yang bertujuan memperbaiki kelemahannya lantaran terlalu yakin dirinya kebal daripada dijatuhkan.

Akhirnya, dengan serangan demi serangan yang mengakibatkan penolakan kian membesar, sokongan yang ada padanya terhakis sedikit demi sedikit dan akhinya berjaya ditumbangkan.

Apa bezanya dengan kedudukan Muhyiddin sekarang?

Kalau diperhati dan diteliti, semuanya saling tak berbeza sama sekali.

Sementara majoriti yang ada padanya hanya cukup-cukup makan dan serangan pihak lawan iaitu PH dan kumpulan Tun Mahathir sentiasa agresif, berfakta dan boleh diterima, ditambah rasa tidak puas hati rakyat yang terus membuak-buak, hakikatnya penolakan kepada Muhyiddin sekarang ini tak ubah seperti bagaimana Najib dan BN ditolak sebelum dijatuhkan pada PRU14 lalu.

Melihat semua perkembangan mutakhir, jika diadakan PRU mengejut sekali pun dalam waktu terdekat ini, kalau mereka tidak berpecah dan mampu berpakat sekali pun, PN tetap sukar untuk mencapai kemenangan berbanding PH.

Apa lagi kerana PN beroleh kuasa melalui pengkhianatan dan perampokan di tengah-tengah jalan, gelodak rakyat untuk membalas dendam tidak pernah surut selagi ia tidak dilampiaskan.

Lantaran itu, mungkin faktor paling pokok ialah tidak sanggup kecundang dalam PRU15 akan datang, dalam waktu-waktu mendatang ini akan terlihat perkembangan beberapa Ahli Parlimen PN menyeberang kembali kepada PH.

Mungkin bermula dengan seorang, diikuti seorang dua selepasnya, kemudian ada lagi menyusul, realitinya PN dalam potensi yang sangat besar untuk menjadi kerajaan paling singkat dalam sejarah negara.

Oleh itu, kemungkinan PN akan tumbang dalam waktu terdekat ini bukan sekadar perang psikologi, tetapi realiti yang paling mungkin menjadi kenyataan. (Shahbudindotcom 02/06/2020)

Bubar Parlimen bukan pilihan untuk Muhyiddin dan Azmin

BORHAN AHMAD
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diyakini tidak akan mencadangkan pembubaran Parlimen walaupun beliau kehilangan suara majoriti di Dewan Rakyat kerana membubarkan Parlimen bermakna membunuh kerier politik beliau.

Yang Dipertuan Agong yang mempunyai kuasa budibicara untuk menentukan Parlimen dibubarkan ataupun tidak selepas mendapat nasihat dari Perdana Menteri, juga diyakini tidak akan pro kepada pilihan raya diadakan pada tahun ini berdasarkan kedudukan negara dan dunia sekarang.

Begitu juga kumpulan 10, bekas pemimpin PKR pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Untuk tahun ini saya yakin, pilihan raya tidak akan diadakan samada ianya dari perspektif Perdana Menteri ataupun Yang Dipertuan Agong,” kata penganalisis politik dari Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia
(UTM), Dr Mazlan Ali.

Menurut Mazlan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri memang mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang Dipertuan Agong agar Parlimen dibubarkan.

Tetapi membubarkan Parlimen bermakna membunuh kerier politik beliau dan juga partinya Bersatu.

“Beliau hanya bernilai ketika Umno dan Pas memerlukan beliau pada penggal ini. Jika Parlimen terbubar sebagaimana yang dikehendaki oleh Pas dan Umno, bermakna Muyiddin tidak berguna lagi kepada mereka,”
kata beliau.

Ini kerana, Muhyiddin dan Bersatu terpaksa berkongsi kerusi pilihan raya yang sama dengan Umno dan Pas iaitu kerusi Melayu luar bandar.

“Umno dan Pas belum selesai dalam pembahagian kerusi antara mereka. Takkan kedua-duanya mahu memasukkan satu lagi rakan untuk berkongsi kerusi yang sama iaitu kerusi Melayu luar bandar,” kata Mazlan yang banyak membuat kajian politik di negara ini.

Kajian Mazlan pada awal tahun ini (Januari 2020) mendapati sokongan kepada Umno dan Pas di kalangan pengundi Melayu sangat tinggi iaitu mencecah lebih 85 peratus.

Namun selepas Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, sokongan orang Melayu kepada PH kembali meningkat manakala di kalangan bukan Melayu, sokongan kepada PH kembali tinggi.

Menurut Perlembagaan, Yang Dipertua Agong mempunyai kuasa budibicara untuk menerima nasihat PM bagi membubarkan Parlimen.

“Saya yakin, Yang Dipertuan Agong akan menggunakan sepenuhnya bidibicara Baginda untuk menentukan Parlimen perlu dibubar atau hanya melantik pengganti kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika
beliau hilang undi majoriti di Parlimen,” kata Mazlan.

Faktor keadaan negara yang berada di era PKP dengan keadaan ekonomi yang sangat tidak baik, kos pilihan raya dalam suasana normal baharu (new normal) akan mempengaruhi keputusan budibicara Yang Dipertuan
Agong, kata Mazlan.

Menurut beliau, kos pilihan raya ke 14 yang lalu adalah sekitar RM500 juta.

“Jika pilihan raya nak diadakan tahun ini, dalam suasana normal baharu ini, kosnya boleh meningkat sehingga sekali ganda iaitu boleh mencecah RM1 bilion,” kata Mazlan.

Antaranya beliau menjangkakan, pilihan raya mungkin perlu diadakan sehingga dua hari kerana satu hari tidak akan mencukupi dalam suasana normal baharu ini.

“Dengan keperluan kepada penjarakkan sosial, pilihan raya tidak boleh selesai sehari sahaja. Boleh jadi dua hari baru boleh selesai. Jadi kosnya sangat tinggi dan berlipat kali ganda.

“Berdasarkan faktor-faktor di atas, saya yakin pilihan raya tidak akan berlaku tahun ini,” kata Mazlan.

KEHILANGAN MAJORITI

Cakap-cakap mengenai Muhyiddin kehilangan majoriti semakin kencang selepas sidang Dewan Rakyat hanya diadakan sehari sahaja pada 18 Mei lalu dan hanya mempunyai satu agenda sahaja iaitu Titah Diraja.

Ia semakin panas apabila timbul khabar angin sidang media yang hendak dibuat oleh dua Ahli Parlimen Bersatu iaitu seorang menteri dan seorang timbalan menteri yang dikatakan mahu menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika menjelaskan sidang media yang tidak menjadi ini, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam satu kenyataannya meminta semua penyokong dan ahli Bersatu berfikir dengan jujur tentang masa depan parti dan diri beliau sendiri.

“Cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya. Saya sekarang adalah Ahli Parlimen Sri Gading.

“Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah untuk calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading dalam PRU-15 nanti?

“PN atau PH?

“Itu juga adalah jawapan kepada satu solan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH? Saudara jawab!!” tulis Timbalan Menteri Kerjaraya itu.

Bagi Dr Mazlan, pendirian Dr Shahruddin adalah sama dengan pemikiran bekas Menteri Pelajaraan, Dr Mazlee Malik yang sangat prihatin kepada masa depan partinya.

“Saya yakin inilah pendirian akar umbi Bersatu. Mereka lebih senang bersama PH dari PN. Jika bersama PN, mereka mudah dimakan oleh Umno,” kata Mazlan.

Katanya, kalau begitu sikap Dr Shahruddin yang merupakan bekas Setiausaha Agong Bersatu dan bekas Setiausaha Politik Muhyiddin itu, semua orang boleh bayangkan apakah sikap pemimpin Bersatu yang lain.

Bagi Mazlan, Bersatu akan mempunyai kedudukan yang sukar jika mereka terpaksa berunding dengan Umno dan Pas dalam menentukan kerusi dalam pilihan raya kerana mereka bertanding di kerusi yang sama.

“Paling baik, Bersatu akan mendapat 20 kerusi. Itupun kalau Umno setuju. Kalau kerusi Pas lagi payah kerana semua kenal Pas sangat keras dalam hal ini,” katanya.

Bagi beliau, Umno tidak akan yakin setakat mana kesetiaan Bersatu kepadanya selepas pilihan raya nanti “jadi kenapa mereka perlu memberikan kerusi tradisi mereka kepada Bersatu.”

“Antara pilihan yang ada kepada Muhyiddin adalah beliau menyertai Umno semula,” kata Mazlan jika Umno menerima syarat-syarat yang ditentukan oleh Muhyiddin.

KEDUDUKAN AZMIN

Kedudukan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan-rakannya yang meninggalkan PKR juga sama dengan Bersatu.

“Kat mana Azmin akan bertanding jika Parlimen dibubarkan tahun ini. Saya yakin bukan Gombak kerana mereka tidak ada sokongan akar umbi.

“Oleh itu bagi saya, bubar Parlimen bukan juga pilihan untuk Azmin dan rakan-rakannya buat masa sekarang,” kata Mazlan.

Sultan Ibrahim beri amaran bubar DUN Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Melalui satu catatan di Facebook, baginda bertitah bahawa dirinya tidak akan membiarkan Johor dikucar-kacirkan.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.

“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda.

Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor menyebut baginda mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan DUN, tetapi atas nasihat.

Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan, walaupun DUN belum berakhir, tetapi juga atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).

Pada hantaran di Facebook itu, sambil menzahirkan rasa amat kecewa baginda dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, titahnya, ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa,” titahnya yang dipercayai merujuk keadaan semasa penularan wabak Covid-19.

PH Johor mendakwa bahawa mereka mempunyai jumlah Adun yang mencukupi untuk merampas semula negeri itu setelah Perikatan Nasional mengambil alih pada bulan Februari lalu.

Spekulasi adalah bahawa ada Adun Bersatu yang ingin kembali dan meninggalkan PN.

PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH. Pembelotan seorang sahaja Adun PN cukup untuk menyaksikan DUN Johor tergantung.

Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar baru bulan Februari setelah presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya keluar dari PH.

Beliau menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang dilantik sebagai menteri besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Ini adalah pelantikan menteri besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

Onn Hafiz cuba mendahului Sultan Johor

AMNI JAGAT
Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam yang mempergunakan nama Sultan Johor dilihat cuba mendahului baginda.

Mengulas perkara itu, Exco Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Mohd Azam Mektar berkata, Onn Hafiz tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah kuasa istana berada di tangannya.

Katanya, beliau yakin Tuanku Sultan Sultan Johor mempunyai kebijaksanaan dalam menguruskan kemelut politik yang melanda negeri dan ia tidak memerlukan campur tangan mana-mana pihak.

“Mengapa Onn Hafiz mahu memikirkan soal pembubaran DUN hari ini, mengapa tidak pada ketika mereka mahu merampas kuasa di Johor?

“Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga sebuah kerajaan yang diiktiraf oleh Tuanku Sultan Johor. Justeru, kenyataan Onn Hafiz mengesahkan Perikatan Nasional (PN) juga adalah golongan yang membelakangkan titah Sultan Johor dengan merampas kuasa dari kerajaan yang diiktiraf oleh Tuanku,” katanya.

Onn dalam satu kenyataan semalam menggesa PH negeri “berhenti mengaburi dan mengelirukan rakyat dengan pembohongan” berhubung jumlah kerusi bagi tujuan pilihan raya peringkat negeri.

Katanya, Sultan Johor telah mengingatkan pada sidang DUN lepas bahawa sekarang bukan masa untuk semua wakil rakyat negeri bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

“Mereka (Rakyat) mahukan pemimpin yang ikhlas mewakili mereka dan gigih bekerja di kawasan masing-masing. Pemimpin yang fokusnya pada ketika ini adalah untuk memulihkan ekonomi dan memperbaiki keadaan semasa semata-mata demi negeri dan rakyat,” ujarnya lagi.

Reaksi Onn itu susulan kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memberi gambaran PH mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan PN sebelum persidangan Parlimen pada Julai nanti.

Meraih simpati

Mengulas lanjut, Azam menggesa agar cara berpolitik yang menggunakan nama Sultan Johor demi meraih simpati baginda itu dihentikan.

“Onn Hafiz tidak perlu menggantikan tempat Tuanku Sultan dengan mencadangkan perkara yang jelas akan menghuru-harakan negeri Johor,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Azam yang juga Exco Pemuda AMANAH Nasional mengajak Onn untuk membaca portal berita harian agar cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar itu sedar akan perjuangan AMANAH yang selama ini mengutamakan rakyat.

Tambahnya lagi, tahap pembacaan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia Dan Sukan negeri itu
perlu ditambahkan agar beliau mampu untuk mengetahui permasalahan sebenar rakyat.

“Saya nasihatkan agar Onn memerhatikan nasib belia di Johor daripada sibuk bersuara berkenaan kemelut politik Johor.

“Sekiranya, Umno dan Onn rajin membaca, pastinya mereka tahu berkenaan perjuangan AMANAH yang sentiasa mendahulukan rakyat.

“Akibat kesombongan membuatkan Onn dan Umno ketinggalan untuk cakna dalam perjuangan AMANAH sebelum ini.

“Lebih baik beliau fokus berkenaan anak muda yang semakin hilang tempat dalam perkerjaan di Johor,” kata Azam lagi.

Untuk rekod, Umno dan DAP di Johor masing-masing mempunyai 14 kerusi daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi DUN manakala Bersatu (11), AMANAH (9), PKR, (5), MIC (2) dan bakinya kerusi tunggal dimiliki Pas.

Antara Mahathir dan Zahid, siapa bohong?

Rusnizam Mahat

Langkah Sheraton yang berlangsung pada malam 23 Februari lalu pada awalnya dilihat bukan bertujuan untuk menjadikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Idea mengenai pensejajaran semula atau gabungan politik baru hanya diketahui umum selepas Muhyiddin mengumumkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sehari selepas itu.

Pada masa itu Muhyiddin berkata kesemua ahli parlimen yang bersamanya telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Selain penubuhan gabungan baru, langkah itu juga dilihat sebagai usaha untuk mengekang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Strategi politik ini dikatakan bertitik tolak daripada desakan dari dalam PH agar Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dilapor berlangsung dalam suasana penuh tegang pada 21 Februari.

Dalam sidang media selepas mesyuarat malam itu Mahathir menegaskan kata putus telah dicapai bahawa beliau sendiri akan menentukan tarikh peralihan kuasa kepada peggantinya.

Daripada bahasa badan dan riak muka Mahathir yang dirakam lensa kamera pada masa itu, jelas menunjukkan beliau tidak gembira.

Pertemuan parti-parti politik Melayu diadakan di rumah Mahathir pada petang 23 Februari. Dan pada sebelah malam itulah bermulanya Langkah Sheraton.

Selepas beberapa bulan, gambar mengenai pertemuan di kediaman Mahathir tular baru-baru ini. Gambar itu didakwa oleh penyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai bukti bahawa Mahathir merestui langkah Bersatu keluar daripada PH.

Menurut Presiden Umno Ahmad Zahid, pertemuan itu bertujuan mengajak Mahathir menubuhkan kerajaan tanpa DAP, PKR dan Amanah.

Kata Zahid, sudah ada titik persetujuan awal daripada Mahathir sebelum bekas perdana menteri itu menukar keputusan dan membuat pusingan U dengan idea kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, penyokong Mahathir mengatakan pertemuan di rumahnya itu diatur sendiri oleh Muhyiddin.

Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu sehari selepas Langkah Sheraton iaitu pada 24 Februari.

Ini dijadikan alasan yang kuat oleh penyokongnya bahawa Mahathir tidak merestui langkah tersebut.

Pada 25 Februari, pemimpin Bersatu, termasuk ketua pemudanya, Syed Sadddiq Syed Abdul Rahman dilapor enggan menerima Umno secara en bloc dalam kerajaan.

Pada hari yang sama, Reuters melaporkan Mahathir yang pada masa itu memegang jawatan PM interim mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan yang merentasi parti-parti politik.

Kerajaan perpaduan yang dimaksudkan Mahathir adalah kerajaan tanpa pembangkang.

Anehnya Mahathir dikatakan tidak dapat menerima Umno secara en bloc dalam kerajaan baru, tetapi kemudian menawarkan kerajaan perpaduan yang termasuk di dalamnya adalah Umno sendiri.

Idea kerajaan perpaduan

Bagaimanapun idea mengenai kerajaan perpaduan ini tidak dapat diterima bukan sahaja oleh pemimpin PH, bahkan pemimpin Umno sendiri yang menolak kerjasama dengan DAP.

Persoalan yang buat ramai tertanya-tanya ketika ini apakah Mahathir bersetuju dengan penubuhan kerajaan tanpa DAP, PKR dan Amanah seperti didakwa Zahid ketika berlangsung pertemuan di rumah bekas perdana menteri itu?

Kita tidak tahu apa yang dibincangkan dan apa yang diperkatakan Mahathir kepada parti-parti Melayu ini.

Tiada sesiapa mengetahui cerita sebenar kecuali lingkaran mereka yang hadir pada pertemuan tersebut.

Yang pasti, antara kedua-dua tokoh ini, salah seorangnya telah berbohong dan memutarbelitkan fakta.

Di pihak Mahathir, mereka mendakwa kelompok Muhyiddin telah "menjual" nama Mahathir agar parti itu dikeluarkan daripada PH.

Bekas perdana menteri itu dikatakan enggan mengikut sama kerana berpegang kepada prinsip untuk tetap bersama PH dan akan mengotakan janji menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Oleh yang demikian, mereka menganggap Muhyiddin melakukan pengkhianatan kerana menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang serta mengkhianati Mahathir untuk menjadi perdana menteri.

Di pihak penyokong PN dan pro-Muhyiddin pula, mereka mendakwa Mahathir sendiri mengkhianati persetujuan untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP, PKR dan Amanah, selepas diasak menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Rentetan peristiwa

Untuk memahami bagaimana krisis politik ini bermula, kita harus melihat kronologi dan rentetan peristiwa yang berlaku sejak kekalahan BN di tangan PH pada PRU 2018.

Hanya kira-kira sebulan selepas kekalahan BN, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang pada masa itu menjadi calon bagi jawatan presiden Umno membayangkan kerajaan PH tidak akan bertahan lama.

Beliau dilapor berkata banyak cara boleh dilakukan untuk memastikan Umno bersama dalam kerajaan.

"Kamu boleh adakan usaha sama (joint venture), campuran pelbagai gabungan (mix of coallition), (atau) rundingan - asalkan kami tidak mengalami kerugian," kata Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan sapaan Ku Li itu.

Ternyata ramalan Ku Li benar-benar menjadi kenyataan apabila PH akhirnya tersungkur tidak sampai sepenggal.

Sejak 2018 lagi beberapa siri pertemuan diatur antara sama ada pemimpin Umno dan PAS dengan Mahathir.

Perbicangan tersebut bagaimanapun kononnya hanya berkisar mengenai perpaduan politik Melayu dan masa depan negara.

Bahkan Zahid sendiri dilapor beberapa kali bertemu Mahathir, namun menafikan kerjasama Umno dengan bekas perdana menteri itu.

Kadir: Dr M kata Zahid ada sokongan ka?

Spekulasi mengenai gabungan baru kembali timbul pada pada November tahun lalu apabila Anwar secara tersirat mendedahkan usaha di belakang tabir untuk mengumpul sokongan anggota parlimen bagi menghalang peralihan kuasa.

Pada masa itu, nama Hishamuddin Hussein disebut-sebut sebagai dalang utama untuk menubuhkan kerajaan baru dengan mengumpulkan sekumpulan ahli politik di kediaman timbalan presiden PKR Azmin Ali

Penyokong Mahathir dan PH melihat ia sebagai usaha menyelamatkan pemimpin-pemimpin Umno, terutama Najib Razak dan Zahid sendiri yang sedang berhadapan perbicaraan rasuah di mahkamah.

Dalam masa yang sama, sokongan pengundi terutama orang Melayu terhadap PH semakin merosot dengan kekalahannya dalam beberapa pilihan raya kecil.

Dengan beberapa isu yang dilihat gagal ditangani dengan cermat oleh PH, mengakibatkan Umno-BN menjadi kembali popular.

Mahathir sendiri memberi bayangan dua bulan sebelum kerajaan PH tumbang, bahawa PH mungkin menjadi kerajaan sepenggal sekiranya gabungan itu tidak berubah.

“Kita kalah lima pilihan raya kecil dan mereka masih tidak faham.

“Saya beritahu mereka, dalam demokrasi kamu perlu sokongan kuat orang ramai,” beliau dipetik berkata kepada pemberita di Langkawi.

Dari semasa ke semasa, Mahathir dikatakan menerima tekanan daripada kelompok pro-Anwar dalam PH untuk segera menyerahkan kuasa kepada presiden PKR.

Kesempatan ini diambil oleh Muafakat Nasional untuk mengikrarkan sokongan kepada Mahathir agar kekal menjadi perdana menteri.

Pada 20 Januari, Mahathir dilapor berkata beliau sentiasa terbuka dalam membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PAS jika perkara itu memberi banyak manfaat kepada negara.

Sokongan PAS dibuat di tengah desas-desus bahawa beberapa pihak dalam PH mendesak Mahathir melepaskan jawatan pada Mei setelah genap dua tahun mentadbir negara.

Pada Februari, PAS sekali lagi menyatakan sokongan kepada Mahathir dengan mahu membawa usul percaya kepadanya di parlimen.

Dari satu segi langkah PAS, sebagai sebuah parti pembangkang untuk membawa usul percaya kepada Mahathir dilihat aneh. Namun dari segi yang lain, ia dilihat strategi politik pintar untuk memastikan musuh politiknya berpecah.

Langkah Sheraton ikut skrip asal?

Apakah Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH telah direncanakan lebih awal sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH?

Jika ia dirancang lebih awal, apakah ia mengikut pelan yang asal?

Apakah Muhyiddin dirancang sebagai perdana menteri atau pelan yang awal adalah menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP, Amanah dan PKR dengan Mahathir kekal sebagai perdana menteri?

Terdapat dua teori utama yang boleh merungkai mengenai apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan pemimpin parti Melayu bersama Mahathir di rumahnya, beberapa jam sebelum Langkah Sheraton.

Pertama, Mahathir bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan gabungan kerajaan baru tanpa PKR, DAP dan Amanah seperti didakwa oleh Zahid.

Persetujuan awal itu mungkin dibuat selepas beliau menerima asakan demi asakan dari dalam PH agar mengundurkan diri.

Mahathir berkemungkinan mengubah pendirian itu selepas parti-parti komponen PH akur untuk menyerahkan kepadanya bagi memutuskan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar. Oleh sebab itu beliau menawarkan kerajaan perpaduan yang kemudian ditolak oleh Umno.

Teori Kedua, Zahid yang sebenarnya berbohong apabila mengatakan Mahathir bersetuju pada awalnya untuk menubuhkan gabungan baru.

Seperti ditegaskan Mahathir berulang kali, beliau tidak akan menggadai prinsip untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno yang pernah dilabelnya sebagai perompak dan pencuri.

Oleh itu antara kedua-dua tokoh ini siapakah sebenarnya berbohong dan memutarbelitkan fakta?

Melainkan wujud masalah komunikasi atau salah faham antara kedua-dua belah pihak, jelas salah seorangnya telah berbohong.

Mencongak masa depan Bersatu: Mengulangi nasib Umnokah?

Bersatu merupakan parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno dalam usaha mereka menumbangkan BN yang ketika itu dipimpin Najib Razak.

Kelahiran Bersatu berlaku selepas Muhyiddin Yassin - ketika itu menjadi timbalan presiden Umno - dan Dr Mahathir Mohamad disingkirkan kerana kritikan mereka dalam skandal 1MDB.

Penubuhan Bersatu menyaksikan Mahathir dilantik sebagai pengerusi manakala Muhyiddin menjadi presidennya. Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir, pula diletakkan sebagai timbalan presiden.

Semuanya kelihatan berjalan lancar sehinggalah berlaku gerakan sulit dan mengejutkan ramai dalam peristiwa digelar sebagai Langkah Sheraton - yang mengambil nama sempena tempat ia berlaku.

Tiba-tiba Muhyiddin mengumumkan Bersatu menarik diri daripada gabungan yang memenangkan mereka - Pakatan Harapan (PH) - untuk bersama-sama dengan parti yang kalah buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) negara, iaitu Umno serta BN.

Ia kemudian membawa kepada jatuhkan kerajaan PH selepas mereka mendapat mandat daripada rakyat pada Mei 2018.

Kesinambungan perjalanan politik Bersatu kemudian menyaksikan parti itu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun ia tidak mendapat restu Mahathir serta beberapa pemimpin lain.

Apa yang berlaku seterusnya ialah krisis yang berlarutan sehingga membabitkan status keanggotaan kem Mahathir dalam Bersatu.

Bagaimanapun 19 Mei lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu dan Muhyiddin kini menjadi pemangku.

Kerana perebutan kuasa dalaman

Untuk rekod, mengikut Perlembagaan Bersatu, jawatan tertinggi dalam parti itu ialah pengerusi dan semua keputusan tertakluk kepada kelulusan penyandangnya.

Keadaan itu meletakkan Muhyiddin berdepan dengan jalan sukar kerana Mahathir tidak memberikan restu kepada langkah Bersatu bekerjasama dengan Umno.

Turut digugurkan keanggotaan daripada Bersatu ialah Mukhriz; Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Menurut Bersatu pemecatan itu dibuat mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

Ekoran daripada itu timbul persoalan sama ada Bersatu akan ditimpa nasib seperti Umno pada 1987 dulu apabila ia diharamkan gara-gara perebutan kuasa dalaman parti.

Bagaimanapun, penganalisis politik Prof Mohd Azizuddin Mohd berpendapat mustahil untuk Bersatu mengulangi apa yang berlaku pada Umno pada 33 tahun lalu.

Kata pensyarah Universiti Utara Malaysia itu krisis yang membelenggu Bersatu tidak sama dengan apa yang terjadi pada Umno dulu.

"Dari segi Perlembagaan Bersatu, ia jelas, dan saya ada nampak salah langkah sikitlah di pihak Mahathir dan empat yang lain, yang duduk di kerusi pembangkang.

"Dan sekarang ini mereka telah terpecat dengan sendirinya apabila duduk di kerusi pembangkang. Jadi, kalau mereka tak puas hati, jalan penyelesaiannya adalah bawa isu ini ke mahkamah untuk disahkan.

"Cuma dari pemahaman saya Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu itu sebenarnya jelas cuma mungkin Fasal 10.2.3 itu boleh dijelaskan oleh mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Azizuddin Bersatu hanya berdepan dengan risiko pengharaman jika membabitkan kecurangan atau manipulasi seperti yang berlaku pada Umno dulu.

Boleh bawa ke mahkamah

Katanya Umno diharamkan selepas ada sebilang orang yang bukan perwakilan dibenarkan mengundi semasa pemilihan parti.

Dalam krisis Bersatu, katanya, isu yang berlaku ialah Mahathir dan empat ahli parlimen lain memilih untuk duduk bersama blok pembangkang - atau crossing the floor - semasa sidang parlimen baru-baru ini.

"Kemudian banyaklah insiden yang menunjukkan ada penentangan lima orang tersebut terhadap kepimpinan dan keputusan parti," katanya.

Crossing the floor merupakan istilah yang digunakan dalam Parlimen United Kingdom iaitu penetapan bahawa wakil kerajaan duduk di sebelah kanan speaker, manakala kumpulan pembangkang di bahagian kiri.

Jadi, pertukaran kedudukan seseorang wakil rakyat - sama ada dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri - dilabel sebagai crossing the floor.

Azizuddin berkata langkah penyelesaian terbaik bagi krisis Bersatu sekarang ialah Mahathir membawa isu kesahihan pengguguran keanggotaannya ke mahkamah.

Bagaimanapun perlu diingat, Perlembagaan Bersatu juga menyatakan bahawa mana-mana anggota parti yang membawa sebarang pertikaian ke mahkamah akan tergugur keahlian mereka secara automatik.

"Saya tak nampak kalau ia dibawa ke mahkamah akan menyebabkan Bersatu diharamkan.

"Sebab isunya ialah status keahlian, bukan pemilihan. Kalau isu pemilihan boleh jadilah (diharamkan). Tetapi ini insiden keahlian," katanya.

Semakan Malaysiakini terhadap Perlembagaan Bersatu mendapati, fasal 10.2.2 memang ada menyatakan alasan untuk keanggotaan seseorang tergugur, iaitu apabila individu terbabit membuat pengisytiharan keluar parti.

Manakala fasal 10.2.3 pula menyatakan ia terpakai sekiranya individu terbabit menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini.

Sementara itu, menurut Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, beliau menjangkakan krisis dalaman Bersatu akan berterusan.

"Peguam Tun (Mahathir) sudah merujuk kepada ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan mahkamah. Jika berterusan, ia boleh memanjangkan pertembungan di antara dua kem dalam parti dan bagi Tun ini bukan baru kerana peristiwa 1987-88 Umno pasti akan dijadikan sebagai 'nota kaki'.

"Bagi perdana menteri (Muhyiddin), beliau pernah digugurkan daripada Umno pada 2016 dan tahu implikasinya tetap bersedia membuat keputusan tidak popular ini kerana tidak boleh ada dua jurucakap atau kapten dalam satu-satu parti.

"Kedua-duanya berpegang kepada perlembagaan parti dan ROS perlu segera menghentikan pertelagahan dalaman parti yang telah menghasilkan dua perdana menteri dalam masa 24 bulan," jelasnya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata beliau tidak pasti sejauh mana krisis kepimpinan Bersatu akan membawa kepada pengharaman Bersatu.

"Saya tidak pasti sama ada ia akan meleret sehingga pengharaman parti kerana kepentingan peringkat akar umbi juga perlu diambil kira. Impaknya besar ke atas orang Melayu khususnya jika ia berlaku tanpa ada penghujungnya.

"Adakah salah satu pihak bersedia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ROS atau mahkamah jika tidak berpihak kepada mereka?" soalnya.

"Jadi, rasanya elok ROS segera membuat kenyataan supaya ia tidak berpanjangan," katanya.

Beri peluang betulkan keadaan

Bagi pengamal undang-undang pula, New Sin Yew, kemelut yang melanda Bersatu ketika ini memberi risiko kepada pembatalan pendaftarannya jika ia gagal ditangani dengan cermat.

"Ya, Bersatu berisiko dibatalkan pendaftarannya dengan apa yang berlaku ini. Jika sesuatu pertubuhan melanggar peraturannya sendiri maka ia adalah asas kepada pembatalan pendaftarannya di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

"Jika lima anggota parti itu bertindak bertentangan dengan dasar parti, jika ada dasar sedemikian, dengan tidak menyokong kerajaan PN maka ia adalah mencabuli tanggungjawab mereka di bawah Perkara 9.1.1 Perlembagaan Bersatu.

"Namun dalam keadaan deimikian, satu pendengaran disiplin perlu dilaksanakan terhadap mereka di bawah Perkara 23 Perlembagaan Bersatu yang memberikan mereka peluang untuk mempertahankan diri mereka," katanya.

Mengikut Akta Pertubuhan 1966, sekiranya sesuatu pertubuhan didapati sengaja melanggar akta berkenaan, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 atau undang-undang tubuh atau melanggar Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) maka pendaftaran sesebuah pertubuhan itu akan dibatalkan.

New berkata anehnya pemecatan mereka tidak selaras dengan Perkara 23 dan ini mencabuli hak-hak mereka sebagai ahli di bawah Fasal 9.2.3 Perlembagaan Bersatu.

"Bagaimanapun perkara ini tidak berkadaran (dengan pemecatan atau pencabulan hak sebagai ahli) dan ROS perlu memberikan Bersatu peluang untuk membetulkan perkara ini," katanya.

Merujuk kepada Fasal 9.2.3 Perlembagaan Bersatu ia menyatakan setiap ahli biasa atau ahli seumur hidup mempunyai hak membela diri terhadap sebarang pertuduhan pelanggaran disiplin parti mengikut proses dan tatacara disiplin menurut Fasal 23.

Fasal 23 Perlembagaan Bersatu pula menyatakan berkaitan disiplin dengan menyatakan bahawa semua ahli hendaklah cintakan parti dan patuh kepada perlembagaan, kod etika serta tatakelakuan ahli, mengikut perintah parti, menjalankan dasar parti, patuh dan menghormati keputusan parti termasuk Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan, menjaga rahsia parti serta memelihara nama baik dan maruah parti.

Senada dengan New, peguam Nizam Bashir turut mempersoalkan sejauh mana kelima-lima ahli MPT Bersatu yang dilucutkan keahliannya itu melakukan kesalahan mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti itu.

"Secara nyatanya mereka belum lagi berbuat demikian. Apa yang mereka lakukan adalah menyatakan pilihan tempat duduk mereka yang mungkin memberikan bayangan kepada undi mereka dalam isu-isu tertentu.

"Perlembagaan Bersatu - merujuk kepada Perkara 10 - tidak menyatakan apa-apa akibat daripada sikap berdiam diri ini.

"Surat penamatan keahlian kelihatannya seperti menyatakan tindakan itu sebagai menyeberang ke pihak lawan dan untuk makluman semua, ia biasanya berlaku menerusi dua cara.

"Pertama, apabila seorang ahli Parlimen meletak jawatan daripada partinya dan menyertai parti lain atau apabila seorang ahli Parlimen mengundi atau berkecuali daripada mengundi dan berlawanan dengan arahan yang dikeluarkan partinya.

"Malangnya, tiada satu pun daripada dua perkara ini benar-benar telah berlaku. Surat penamatan keahlian dikeluarkan tanpa sebab dan pendirian penyokong surat tersebut juga tiada asas.

"Pendek kata, lima MP Bersatu itu masih lagi anggota parti mereka," tegasnya.

Selain Muhyiddin, 6 MP Bersatu kini jadi sasaran Dr M

Pengerusi Bersatu yang dipertikai jawatannya, Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya dari parti itu kini menyasarkan sasaran bukan sahaja kepada presiden Muhyiddin Yassin, tetapi enam penyokongnya.

Mereka yang kini berdepan usaha penyingkiran daripada Bersatu dalam satu kenyataan bersama, berkata Muhyiddin dan enam ahli Parlimen lagi telah melanggar etika parti dan perlu dikenakan tindakan.

"Perbuatan Muhyiddin dan enam ahli Parlimen lain yang menyatakan keluar daripada PH jelas melanggar perlembagaan parti kerana tiada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk keluar daripada PH.

"Maka, Muhyiddin dan enam (6) lagi ahli Parlimen tersebut telah melanggar etika parti dan wajar dihadapkan ke lembaga disiplin," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani Mahathir (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Bersatu yang kini dikawal oleh kem Muhyiddin, pada 28 Mei lalu mengeluarkan surat memaklumkan keahlian mereka "dihentikan serta-merta" kerana duduk di blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menamakan enam ahli Parlimen yang dimaksudkan.

Mereka juga menegaskan perlucutan keahlian mereka tidak sah.

Mereka disingkirkan berdasarkan Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 perlembagaan Bersatu yang menyatakan keanggotaan ahli terbatal jika mengisytiharkan keluar parti atau menyertai parti lain.

Mahathir dan enam penyokongnya berkata keengganan menyokong kerajaan Muhyiddin tidak bermaksud meninggalkan parti.

"Kami tidak pernah mengisytiharkan keluar daripada parti mahupun menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini. Pilihan kami untuk tidak menyokong kerajaan Muhyiddin atau Perikatan Nasional tidak bermakna keluar parti.

"Surat pemakluman oleh Kapten (B) Suhaimi Yahya atau apa-apa pernyataan oleh individu lain, sekalipun ianya datang dari seorang perdana menteri, tidak boleh mengubah fakta bahawa perlucutan keahlian kami adalah salah di sisi perlembagaan parti dan undang-undang dan berniat jahat."

Mereka berkata Fasal 6 perlembagaan Bersatu, yang merujuk kepada tujuan dan matlamat parti, adalah memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta mewujudkan amalan tadbir urus yang baik.

"Tidak ada sebarang pertuduhan terhadap kami melakukan apa-apa yang bercanggah dengan agenda parti," kata mereka.

Mereka menggesa ahli Bersatu agar berpegang teguh kepada slogan parti iaitu "Bersatu, Beramanah dan Bermaruah".

"Kerajaan yang ada sekarang bukan pilihan rakyat. Kerajaan yang sah dan hak adalah PH...Janganlah tunduk kepada kepentingan diri seperti yang ditunjuk oleh Muhyiddin," kata mereka lagi.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu, setelah Mahathir enggan mengetuai gabungan baru yang merangkumi Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS and Star.

Tida lama sebelum itu, Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH selepas mentadbir negara sejak Mei 2018.

Mahathir membayangkan hasratnya untuk membawa kembali Bersatu ke dalam PH tetapi pada masa ini, Muhyiddin dilihat mempunyai kelebihan dalam parti itu.

Sila baca luahan hati Ahli Parlimen Sri Gading ini

1. Masa berlalu begitu pantas, seumpama kilat, hari nie saya dah janji nak tulis lagi, tulisan lepas bertarikh 15 Mei, iaitu hari lahir saya,

2. Sebulan berpuasa di bulan Ramadhan telah berlalu, dan sekarang kita pun sudah berada lebih seminggu di bulan Syawal, kita sibuk berpuasa 6 sekarang,

3. Juga telah berlalu tarikh 18 Mei 2020, tarikh persidangan Dewan Rakyat penggal ini, tarikh yang cukup digeruni dan ngeri oleh sesetengah pihak, tidak boleh tidor lena dibuatnya,

4. Persidangan yang hanya merupakan hari Perasmian Dewan oleh Baginda Tuanku Yang DiPertuan Agong,

5. Tidak ada perbahasan, tidak ada soal jawab soalan-soalan lisan, luar dari kebiasaan, norma baru, agaknya takut kan covid 19,

6. Dewan Rakyat akan disambung nanti bulan Julai, bulan depan, insha Allah, semua kita ahli-ahli Parlimen menunggu, penuh debaran! Siap, Jaga kau! (bahasa bangsa Johor),

7. Saya telah berkunjung hormat Tun M di Ibu Pejabat Bersatu pada jam 3 ptg hari Jumaat 29 Mei 2020, yang pada mulanya patut berjumpa di Yayasan Kepimpinan Perdana YKP,

8. Memang tak sabar-sabar nak jumpa Tun, pengasas Bersatu dan Negarawan,

9. Tun selalu membebel dalam mesyuarat MPT berkenaan keahlian Bersatu, kesian pada Saudara Akram Shah yang kena jawab, berapa ramai ahli Bersatu sekarang? Saya sebagai SUA kecut perut dibuatnya, itulah dia Tun,… tegas ! No play play !!! Macam- macam hal berkenaan keahlian Bersatu dibangkitkan! Panas ,…!

10. Saya berjumpa Tun hari Jumaat lepas antara lain sebagai reaksi surat SUK kepada Tun, yang kandungan nya kata, Tun dah gugur keahlian Bersatu secara automatik, disqualified himself,..

11. Pulak gitu,..

12. Perlembagaan Bersatu ditafsirkan begitu, katanya oleh pakar undang-undang. Tun dah duduk di barisan pembangkang di Dewan Rakyat dalam persidangan bulan lepas. Maka Tun dah masok pembangkang,

13. Saya tanya Tun, betul kah Tun dah masok Parti pembangkang? Tidak sekali-kali katanya! Tun nafikan,..

14. Saya ambik keputusan untuk menyertai PN dan menyokong TSMY jadi PM. Beliau telah dapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat dari kalangan ahli-ahli Parlimen,

15. Sebagai ‘budak’ TSMY pastinya saya amat gembira apabila beliau menjadi PM,

16. Saya bertanya pada diri sendiri, adakah Perikatan Nasional PN ini telah wujud sebagai badan sah? Lengkap dengan Perlembagaan dan pendaftaran ROS,

17. Sepanjang ingatan saya, PH adalah badan sah didaftar dengan ROS dan ada sijil pendaftarannya,

18. Pada saya, PN adalah sekadar nama badan persatuan tidak rasmi antara ahli-ahli Parlimen yang bersetuju TSMY sebagai PM,

19. PN bukan gabongan parti-parti, apatah lagi saya belum lihat, kaji dan bahas sedalam-dalamnya Perlembagaan PN yang telah dibawa ke Perhimpunan Agong Khas atau setidak-tidaknya ke MPT dan telah sama-sama kita putuskan disitu bahawa Bersatu telah BERSETUJU masok PN?

20. Tun tak masok atau setuju dengan perkara 18,

21. Bolehkah ditafsir Tun masok pembangkang? Sokong parti pembangkang,…

22. Saya tak mahu lihat Bersatu lemah kerana kita berpecah dan berbalah. Boleh pengsan bila kita baca perbahasan kita dalam media sosial,… kita saling melondeh kain sendiri,.. di viral,.. dah tak ada segan silu lagi,.. mana kita dapat budaya begini rupa?,..

23. Saya jugak tak mahu lihat Bersatu mati tidak berkubur, tidak berbatu nisan,

24. Saya sayangkan Bersatu, sayang sangat-sangat, … betapa sukarnya membina Bersatu, susah payah lawan BN, ke sana ke sini bersama Tun dan TSMY dan rakan-rakan versi 1.0,..

25. Masa tu saya ADUN Jorak, ulang alik antara Ibu Pejabat Bersatu menjalankan tugas-tugas SUA dan menjaga kawasan di Pagoh, tidor dalam kereta di RnR tu biasa, itu belum lagi kempen road show Bersatu dan PH,.. Allah saja yang tahu betapa nikmat dan sengsaranya pada ketika itu,..

26. Terkenangkan akan Tun M dan Tun Siti begitu komited berkempen, sana sini, utara selatan, timor barat,.. ribuan yang hadir,.. الحمدالله ….. kita menang bentuk Kerajaan!

27. Majoriti yang masok jadi ahli Bersatu adalah kerana Tun,.. bukan pasal nama saya!!! Shahruddin,.. tak siapa yang kenal ! ADUN saja, EXCO pun tak, semasa dalam BN dulu, jasa pun tak ada,..

28. Jasa Tun, umpama sebesar dan seberat bumi ini,.. Tanpa Tun, Bersatu akan terkujur layu, mati lah Bersatu,..

29. Hari ini hari Isnin, tanggal satu Jun tahun 2020, saya berjanji nak buat kenyataan, azam dan hala tuju saya dalam Bersatu dan Kerajaan, tidak ada niat lain saya,..

30. Saya nak lihat Bersatu kuat dan kukuh; sayang saya pada Bersatu mengatasi sayang saya pada Tun dan TSMY,… Barang di jauhkan sekali parti Bersatu di lihat sebagai melukut di tepi gantang dan ahli-ahli awal yang tulin dalam perjuangan pula dipingggirkan,…

31. Andai kata saya perlu letak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kementerian Kerjaraya, saya akan letak jawatan, demi memperkukuhkan Bersatu, supaya masa sepenuhnya dapat saya tumpukan pada Bersatu. Sebagai SUA pertama saya kenal KB, Srikandi dan Armada. Mengajak dan memujuk ahli-ahli yang ramai di bawah sana supaya tidak berbalah yang hanya akan melemahkan Bersatu. Ada yang dah merajuk, dah nak keluar Bersatu,… saya kata,.. JANGAN LAH BERTINDAK BEGITU!! Please,… BERSATU LAH,…

32. Andaikata saya perlu meninggalkan rakan-rakan PN dan kembali semula kepada PH dan disitu ada JAMINAN bahawa Bersatu akan kuat dan terus hidup, maka saya akan jugak sedia lakukan!

33. Akhir kalam untuk kali ini, cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya. Saya sekarang adalah ahli Parlimen Sri Gading. Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah tanpa bahas untuk menerima calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading di PRU15 nanti? PN atau PH? Itu jugak adalah jawapan kepada satu soalan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH?,.. Saudara jawab!!!

Jaga jarak, jaga kesihatan, jaga Iman.

YB Shahruddin Salleh

Ahli Parlimen Sri Gading P149.

01-06-2020.

PN Johor tergugat, haluan Adun Bersatu mungkin bertukar arah

Kow Gah Chie

Sumber yang dekat dengan kepemimpinan Bersatu Johor mengakui bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu berada dalam keadaan tidak menentu sekarang.

Bercakap kepada Malaysiakini, sumber itu mendedahkan PN boleh kehilangan Johor jika ada Adun dari Bersatu menarik balik sokongan mereka kepada gabungan yang masih 'muda' tersebut.

Enggan didedahkan identitinya sumber itu mengulas mengenai jangkaan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, mengenai perubahan kerajaan di pusat menjelang sidang parlimen Julai ini.

Kata sumber terbabit, dia sependapat dengan Salahuddin kerana keadaan majoriti yang tipis memihak kepada PN di Johor iaitu hanya dibezakan dengan dua kerusi saja berbanding Pakatan Harapan (PH).

Ditanya mengenai kemungkinan ada Adun Bersatu kembali menyokong PH, sumber itu menjawab: "Jika bukan mereka, siapa lagi dari pihak ini (PN)?"

Bagaimanapun dia enggan menamakan wakil rakyat terbabit sebaliknya menjelaskan memang wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan Bersatu dan Umno di Johor.

"Dulu kita dalam PH pun ada yang tak puas hati, sekarang dalam PN pun ada.

"Walaupun tak ada orang yang sempurna, kita mahu hak kita," katanya lagi.

Hilang jawatan MB

Ditanya bagaimana keadaan itu boleh diperbaiki, sumber terbabit berkata, ketika ini memang kedua-dua pihak tidak berpuas hati dengan keadaan semasa dan mahukan hak masing-masing.

Antara isu yang menyebabkan rasa tidak puas hati Bersatu ialah hilangnya jawatan menteri besar daripada parti itu.

Untuk rekod, keputusan pilihan raya umum (PRU lalu menyaksikan BN tumbang buat pertama kali - masing-masing di peringkat pusat dan Johor - kepada PH.

Bersatu merupakan parti termuda dalam gabungan PH ekoran pemecatan timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin, serta beberapa pemimpin kanan lain.

Mereka - dengan disertai bekas presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad - kemudian menubuhkan Bersatu. Kejayaan PH membolehkan Bersatu memiliki menteri besar di Johor, Kedah dan Perak.

Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal
Kesepakatan dalam PH juga menyaksikan Bersatu menjadi menteri besar di Perak walaupun mereka mempunyai seorang saja Adun ketika itu.

Langkah Sheraton kemudian menyaksikan Muhyiddin membawa sebahagian besar wakil rakyat Bersatu meninggalkan PH untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS, selain MCA dan MIC.

Perkembangan itu menyaksikan Bersatu kehilangan jawatan menteri besar di Johor dan Kedah, masing-masing kepada Umno dan PAS.

Bekas menteri besar Johor dari Bersatu, Dr Sahruddin Jamal, kemudian dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Bersemuka dan melalui telefon

Sumber itu berkata jika kerajaan negeri kembali ke tangan PH, Bersatu mahu agar jawatan menteri besar dikembalikan kepada mereka.

"Yalah, Bersatu ni... dia sudah ada perjanjian asal - Bersatu mentadbir beberapa buah negeri (seperti) Perak, Johor, Kedah dan Perlis.

"Sebab itulah consensus asal, apabila menang saja kerusi Johor, bagi bersatu... itu persetujuan asal," katanya.

Sementara itu sumber dalaman PH Johor pula berkata ada beberapa Adun Bersatu menghubungi gabungan berkenaan sejak bulan lalu dan menyatakan hasrat untuk mengubah sokongan mereka.

Enggan menamakan Adun terbabit, sumber PH itu berkata mereka menyatakan beberapa syarat sebagai pertukaran sokongan tersebut.

"Ada lebih daripada separuh Adun Bersatu berhubung dengan PH. Mereka menghubungi kami melalui telefon atau bersemuka dan sudah tentu ia datang dengan syarat," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod PN menguasai 29 daripada 56 kerusi DUN Johor membabitkan 14 Umno, 11 Bersatu, dua MIC dan satu PAS. Seorang Adun bebas pula menyatakan sokongan kepada PN.

PH pula menguasai 27 kerusi membabitkan 14 DAP, sembilan Amanah dan empat PKR.

Apakah pemimpin Bersatu sanggup terima pencuri sebagai pemimpin?

ARIF ATAN

Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan persoalan sama ada anggota Bersatu sanggup untuk menerima pencuri sebagai pemimpin.

Menurutnya, kemenangan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) disebabkan sokongan rakyat dalam usaha menumbangkan Datuk Seri Najib Razak yang berdepan dakwaan berkaitan penyelewengan dana kerajaan.

Walau bagaimanapun, Mahathir kesal apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya membuat keputusan meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

“Rupa-rupanya ramai juga orang Malaysia yang sanggup menerima pemimpin yang telah curi berbilion duit kerajaan.

“Antara mereka ialah pemimpin dan ahli Parti Bersatu yang dahulu menyertai Bersatu konon kerana berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri yang curi berbillion duit Kerajaan.

“Mereka bekerjasama dengan parti pembangkang dahulu yang mempunyai tujuan yang sama. Dan rakyat pun beri kemenangan kepada mereka kerana percaya keikhlasan janji parti-parti ini sertai pemimpin mereka.

“Apabila menang Presiden Parti Bersatu rancang bersama parti yang kalah untuk keluar dari Kerajaan Pakatan Harapan supaya jatuhlah Kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Muhyiddin pada 24 Februari lalu mengumumkan Bersatu keluar daripada PH. Keputusan itu, katanya, hasil mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti sehari sebelum itu.

Muhyiddin memberitahu semua Ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mahathir menyelar tindakan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dengan sokongan “pemimpin pencuri” dan gabungan bersama parti yang kalah yang diberi nama Perikatan Nasional.

“Apa kata pemimpin lain dalam Bersatu. Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin. Okaylah – asal dapat nikmat.

“Apa jadi kepada ikrar dahulu untuk lawan dan jatuhkan pemimpin kleptokrat? Oh. Itu ikrar sahaja untuk dapat sokongan pengundi. Sekarang sudah dapat lupakan sahaja,” tempelak Mahathir dalam blognya, Chedet.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Bersatu akan hancur manakala tidak diketahui bagaimana perjuangan untuk menyelamatkan orang Melayu daripada pemimpin kleptokrat.

“Itu masalah Bersatulah. Asalkan kita dapat nikmat okaylah. Di masa hadapan orang tidak lagi akan percaya kita – tak apakah?

“Itu masa depan. Demikian sikap beberapa pemimpin dan ahli Bersatu,” bidas Mahathir lagi.

Kemelut Bersatu antara kem Muhyiddin dan Mahathir yang mengaku masih memegang jawatan pengerusi parti berlarutan selepas Mahathir bertindak meletak jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu.

Tindakan Mahathir yang menggemparkan itu sekali gus menyaksikan runtuhnya kerajaan PH yang sebelum ini membentuk kerajaan dengan 139 kerusi hilang majoriti.

Malah, beliau enggan mengubah pendirian tersebut walaupun Yang di-Pertuan Agong telah cuba memujuknya supaya tidak meletak jawatan.

Pergolakan kemudiannya memuncak apabila Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin seperti disahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof pada 8 Mei lalu.

Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengemukakan usul tersebut pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Selanjutnya, dalam istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu pula, Mahathir dan empat Ahli Parlimen Bersatu termasuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz duduk di blok pembangkang.

Ekoran itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 29 Mei memberitahu keahlian Mahathir dan empat lagi pemimpin parti itu terhenti kerana melakukan tindakan yang bercanggah dengan parti.

Kata Hamzah, tindakan bertentangan itu termasuk duduk di kerusi pembangkang ketika pembukaan Parlimen 18 Mei lalu, serta menyatakan secara terbuka untuk menggugurkan Muhyiddin.

MUHYIDDIN HILANG SATU UNDI LAGI?

Shahbudin Husin
Dalam hantaran melalui media sosialnya malam tadi, Setiausaha Agung Bersatu pro Tun Mahathir Mohamad menulis kata-kata berikut:-

“Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Datuk’ Dr. Shahruddin Md Salleh kerana memilih untuk terus kekal dengan prinsip perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) demi menyelamatkan parti BERSATU yang berpaksi kepada ketelusan serta menolak amalan kleptokrasi dalam kepimpinan.”

Ungkapan penuh makna itu ditujukannnya kepada Timbalan Menteri Kerjaraya, Dr. Shahruddin yang pada petang Jumaat lalu telah mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor.

Berbeza dengan Menteri Tugas-Tugas Khas, Mohd Redzuan Md Yusof yang turut mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir pada pagi Jumaat di Yayasan Kepimpinan Perdana, tetapi kemudian menafikan perjumpaan itu untuk menzahirkan sokongannya kepada bekas Perdana Menteri itu yang sekarang sedang berusaha menumbangkan Muhyiddin Yassin, Dr. Shahruddin sebaliknya masih lagi berdiam diri mengenai pendiriannya sehingga kini.

Apakah dengan kata-kata yang ditulis Marzuki itu menunjukkan Dr. Shahruddin sekarang sudah bersama Tun Mahathir dan telah menanggalkan sokongannya terhadap Muhyiddin?

Sementara itu, dalam temubualnya dengan sebuah akhbar, Dr. Shahruddin menjelaskan, kehadirannya ke pejabat Bersatu pada Jumaat lalu dan berjumpa Tun Mahathir adalah kerana sayangkan parti itu.

“Saya jumpa pengasas parti, pejuang, bapa dan seorang negarawan.

“Kami sama-sama susah, berkempen ketika lawan BN dahulu,” tambah beliau juga merupakan Ahli Parlimen Seri Gading, Johor.

Yang paling menarik tentunya ialah pengiktirafan yang masih kekal daripada Dr. Shahruddin terhadap kedudukan Tun Mahathir sebagai pengasas Bersatu.

Walaupun kedudukan Tun Mahathir sebagai pengasas Bersatu adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan, tetapi itulah yang kini cuba dipadamkan oleh kumpulan pro Muhyiddin, seperti dapatan dalam wikipedia misalnya.

Dengan apa yang terpapar melalui penzahiran Dr. Shahruddin ini, apakah kini sokongan Ahli-Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin berkurangan satu undi lagi daripada 113 kepada 112?

Dalam erti kata lain, majoriti Muhyiddin hanya tinggal satu undi saja lagi.

Adakah mana-mana kerajaan dalam dunia ini yang hanya ada satu undi majoriti?

Berapa lama lagi Muhyiddin mampu bertahan dengan satu undi tersebut? (Shahbudindotcom 01/06/2020)

Rakyat tengah susah

MALAYSIA DATELINE
Mahu nafi sedang tenat tetapi mungkin tanpa disedarinya pecahkan tembelang diri sendiri. Itu yang dilihat berlaku pada Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Jelebu itu dilapor Bernama memberitahu beliau berada di Kuala Lumpur pagi semalam dan selesai bermain golf pada tengah hari.

Reaksinya itu sebagai menjawab laporan berita sebuah akhbar berbahasa Tamil yang mendakwa Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA) tersebut sedang tenat.

“Saya sekarang berada di Jelebu, pagi tadi (semalam) saya berada di Kuala Lumpur dan selesai bermain golf tengah hari tadi, saya terima banyak panggilan telefon dan WhatsApp daripada kawan-kawan bertanyakan tentang keadaan saya dan saya kata saya okey, sihat, Alhamdulillah.

“Dalam masa sama, ada juga yang kongsikan berita daripada akhbar tersebut yang melaporkan saya kini sedang tenat. Jadi, apa yang dilaporkan akhbar tersebut memang tidak betul,” dipetik Bernama.

Jalaluddin yang sebelum ini pernah berjawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Pengerusi Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah dilantik oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sebagai Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA) berkuatkuasa 13 Mei lalu.

Pendedahan Jalaluddin yang bermain golf itu sekali gus dilihat bercanggah dengan realiti sebahagian besar rakyat negara ini hidup susah dan terjejas sumber pendapatan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan wabak Covid-19.

Pergerakan Jalaluddin ulang-alik dari Jelebu, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur sejauh kira-kira 85 kilometer juga dilihat telah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang rentas negeri.

Ketika Jalaluddin bermain golf di ibu negara, ramai rakyat Malaysia terutama bekerja sendiri dan di sektor swasta putus sumber pendapatan akibat larangan operasi perniagaan, diberhentikan atau dipotong gaji.

Ketika Jalaluddin menikmati gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen melebihi RM16,000 sebulan, kelompok rakyat 40 peratus terbawah (B40) bahkan 40 peratus pertengahan (M40) telah dan sedang terpukul dengan kejatuhan ekonomi.

Untuk rekod, isi rumah B40 adalah mereka yang berpendapatan di bawah RM4,360 sebulan, M40 dengan pendapatan isi rumah bulanan antara RM4,360 dan RM9,619 manakala isi rumah T20 memperoleh lebih daripada RM9,619 sebulan.

Mengikut kertas statut yang disiarkan di laman web Parlimen, seorang Ahli Parlimen menikmati sekurang-kurangnya 14 jenis elaun.

Selain gaji RM16,000 sebulan, ahli Dewan Rakyat menikmati pelbagai elaun lain iaitu:

1. Menghadiri sidang Parlimen – RM400 sehari
2. Menghadiri mesyuarat atau bengkel agensi kerajaan – RM300 sehari
3. Elaun keraian – RM2,500 sebulan
4. Bayaran khas – RM1,500 sebulan (kecuali jika MP adalah ahli pentadbiran)
5. Penerbangan kelas perniagaan dan perjalanan kereta api kelas pertama
6. Elaun hotel semasa di luar negara – bilik standard
7. Elaun hotel apabila bekerja luar kawasan dalam negeri lebih daripada 32 km dari rumah – tidak lebih daripada RM400 semalam
8. Jika tidak menetap di hotel, lojing harian semasa bekerja luar kawasan – RM100 malam (domestik), RM170 malam (antarabangsa)
9. Elaun makanan di luar negara – RM340 malam
10. Elaun perjalanan tetap – RM1,500 sebulan
11. Elaun bahan api – RM1,500 sebulan
12. Elaun tol – RM300 sebulan
13. Elaun pemandu – RM1,500 sebulan
14. Bantuan pakaian majlis ‘black tie’ – RM1,500.

PH Johor cukup kerusi bentuk semula kerajaan

AMNI JAGAT
Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini yakin bahawa kerusi untuk mengambil semula kerajaan dari Perikatan Nasional (PN) mampu dilakukan.

Menurut Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata bilangan kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan itu sudah diperolehi dan hanya menanti waktu yang sesuai untuk membuat tindakan.

Tegasnya, sebelum ini perbezaan antara kerajaan PN dan PH di Johor hanya terpisah dengan satu kerusi dan ia menggambarkan kerapuhan sebuah kerajaan yang dibina oleh PN.

“Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini kita dapat lihat pergolakkan berlaku dan pastinya perkara itu terkesan di negeri ini.

“Hitungan serta susun gerak kerja yang dilakukan telah membuktikan bahawa kerajaan PN hari ini akan menjadi kerajaan terpendek dalam sejarah negeri Johor dengan kerapuhan dalam mereka membentuk kerajaan di negeri ini.

“Kita sudah kenal pasti beberapa Adun PN di Johor yang mampu untuk menunjukkan sikap berprinsip mempertahankan mandat rakyat bagi bertaut semula dengan PH di negeri ini.

“Senarai pendek yang diterima kita sudah cukup untuk membuktikan bahawa kerajaan PH akan terbentuk semula di Johor dengan bilangan yang lebih stabil berbanding dengan kerajaan PN hari ini,” tegasnya ketika dihubungi.

Beliau ketika ditanya tidak menjawab Adun dari parti mana yang akan membuat tindakan menyokong PH tersebut namun dalam pada masa yang sama beliau menyatakan bahawa PH sedia menerima mana-mana Adun dari PN yang mahu bersama.

“Kita hanya menegaskan bahawa bilangan itu cukup. Rakyat hanya perlu tunggu dan lihat keadaan ini berlaku.

“Kita tidak nafikan bukan sahaja Adun dari rakan lama PH sahaja yang akan menyokong PH malah ada juga dari kalangan parti-parti lain di kalangan mereka.

“PH bersedia untuk menerima sesiapa sahaja Adun dari PN bagi sama-sama menjalankan semula usaha memartabatkan rakyat setelah rakyat ditipu dengan janji manis mereka yang inginkan kuasa namun tidak memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat,” tegasnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi AMANAH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan dalam sidang media pagi tadi turut menyebut akan perkara tersebut.

“Berdasarkan kepada mandat rakyat, saya yakin dan percaya ada wakil rakyat (Adun) yang pro Tun M akan berpihak kepada kami (PH) dan Insya Allah dia akan bersama dengan kita.

“Pada kami, sekiranya Adun dari PKR yang menyokong PN sebelum ini mahu membuat keputusan bersama semula PH kami terima. Yang penting mereka sedar sekarang berlakunya kepincangan dalam pentadbiran dan sebagainya apabila kerajaan yang diambil hari ini secara tidak betul,” katanya.

Apakah pukulan mati yang bakal menimpa Umno?

JEFRI MOHD NOR
Muhyiddin sedang memecat keluar Tun Mahathir dan 4 lagi untuk mendapatkan kuasa penuh dalam Bersatu. Dengan tersingkirnya karakter-karakter penting ini, Bersatu di peringkat akar umbi seakan lumpuh dan terpaksa akur dengan arahannya.

Dia juga sedang melumpuhkan Umno dengan membeli pimpinan Umno dengan jawatan menteri dan GLC. Kelak pemakan dedak ini pasti tidak akan membantah apa jua tindakan susulan yang lebih kurang sama dengan nasib Bersatu.

Apakah pukulan mati yang bakal menimpa Umno?

Kita semua tahu bahawa arahan pengharaman Umno dari RoS telah dikeluarkan kepada KDN tahun lepas tetapi ianya diperam supaya dapat digunakan apabila tiba masa yang tepat.

Kita juga tahu Muafakat Nasional berkeras untuk mengetepikan Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam PRU akan datang.

Kes berprofil tinggi Najib, Zahid, Bung, Azeez dan lain-lain akan menyaksikan mereka merengkok ke dalam penjara satu demi satu seperti mematahkan lidi dari secekak penyapu.

Tanpa pimpinan ini, ahli Umno akan menjadi seperti kehilangan arah. Sekali gus dengan pengharaman Umno, Bersatu akan menjadi parti dominan yang akan menentukan calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 kelak. Struktur Umno bakal lumpuh dan dominasi Muhyiddin, Azmin dan Hamzah bakal menjadi penentu kepada pilihan raya tersebut.

Pas? Mereka cuma kucing kurap yang kenyang taburan dengan nasi basi kerana Pas bukanlah parti yang boleh pergi lebih jauh.

Scheme of things ini sedang dilaksanakan dengn sistematik dan bakal melihat Umno terperangkap di dalamnya. Kita lihat sekarang pun pimpinan tertinggi Umno seperti telah kehilngan cengkaman ke atas beberapa menteri kabinet seperti Annuar Musa, Ismail Sabri dan lain².

Nasib akar umbi Umno bakal menjadi lebih teruk dari akar umbi Bersatu yang sekarang telah kehilangan segalanya.

Jangan sampai nasi menjadi bubur.