"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tokoh agama dan tilawah AlQuran, Tan Sri Hassan Azhari meninggal dunia

Tokoh agama Tan Sri Hassan Azhari, 91, meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Anaknya, bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi Bernama berkata bapanya sudah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.

“Kami sedang menguruskan jenazah dan masih di hospital. Lokasi pengebumian belum diputuskan lagi,” katanya.

Hassan adalah seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tilawah Al-Quran di negara ini, dan sering menganggotai panel hakim musabaqah al-quran peringkat antarbangsa.

Beliau merupakan individu yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Beliau pernah menjadi pengajar di rancangan Muqaddam, program belajar membaca Al-Quran, selama lapan tahun di saluran televisyen RTM pada 1970-an.
-Bernama

Berlaku adillah dalam menghentam Dr Mujahid, kata Dr Kamarul

MALAYSIADATELINE 
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Yusoff meminta netizan berlaku adil dalam menghantam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa ekoran laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Beliau yang menulis di laman facebooknya terkejut apabila akhbar The Star milik MCA, yang masih merupakan parti komponen BN, meletakkan “No more moral policing” (tiada lagi polis moral), yang didakwa kata-kata Dr Mujahid, sebagai tajuk muka depannya hari ini.

Tajuk laporan sebenar akhbar ini juga katanya, tidak kurang mengejutkan, berbunyi “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims’ private lives says Mujahid” (tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam kata Mujahid).

Bahkan katanya, isi laporan sebenar akhbar ini juga bermula dengan ayat keras, berbunyi “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” (tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki).

Ekoran itu, katanya, tajuk dan laporan akhbar The Star ini pula terus sahaja dipetik dan disebarluaskan oleh akhbar-akhbar lain seperti Mstar yang mengeluarkannya semula di bawah tajuk “Tiada lagi operasi khalwat waktu malam – Dr Mujahid”, begitu juga dengan tajuk Sinar Harian dan Astro Awani yang berbunyi “Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat”, tajuk Malay Mail yang berbunyi “Islamic affairs minister vows end to moral policing” dan tajuk Malaysia Kini yang berbunyi “Mujahid sees end to khalwat raids – report”.

“Hanya dengan membaca tajuk muka depan, tajuk laporan sebenar dan pembuka kata laporan sebenar akhbar The Star ini sahaja, dan laporan akhbar lain, maka bolehlah difahami kemeriahan media sosial hari ini, khususnya laman-laman Facebook, yang diisi oleh kritikan dan hentaman keras terhadap Datuk Dr Mujahid di dalam isu ini.

“Apatah lagi bila tajuk muka depan akhbar The Star ini sensasi sekali yang memberikan gambaran bahawa bukan setakat dosa peribadi (private sin) sahaja yang tidak akan dikawal, tetapi juga dosa umum (public sin),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setelah mendengar sendiri rakaman video wawancara wartawan akhbar The Star, Zakiah Koya, dengan Datuk Dr Mujahid, rupa-rupanya ayat “No more moral policing”, ayat “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims’ private lives” dan ayat “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” bukanlah ayat-ayat yang keluar dari mulut Dr Mujahid sendiri tetapi hanyalah ayat-ayat yang dimasukkan oleh akhbar The Star.

Tulis beliau, terjemahan kepada jawapan penuh Dr Mujahid ini adalah berbunyi: “Isu perlaksanaan khalwat telah disalahguna, bukan semua tetapi ada isu-isu dan ada tempat-tempat di mana ia dieksploitasi dan disalahguna, tidak memberi keadilan kepada mereka yang melakukan dosa. Sebab itu kita sekarang sedang memperbaiki keadaan, dan adalah penting bahawa mereka menerimapakai Islam penyayang sebagai dasar mereka, dan dalam melaksanakan tugas mereka saya juga perlu sangat teliti dan berhati-hati untuk tidak mencerobohi hak-hak individu, yang saya fikir sekarang telah berkurang dalam, saya fikir, dan ada isu lain, untuk maklumat anda, bila anda bercakap mengenai perlaksanaan pencegahan khalwat, anda akan mendapati bahawa ia berada di dalam kehakiman negeri, bukan di bawah kehakiman saya, kerana kami terikat dengan undang-undang atau kuasa negeri dan kuasa persekutuan, dan kebanyakan daripada kehakiman Islam adalah berada di bawah kuasa negeri, bukan kuasa saya, tetapi kita boleh ada platform di mana kita akan berjumpa semua pengarah hal ehwal Islam negeri di mana kita boleh berbincang dan berkongsi pandangan-pandangan kerajaan persekutuan mengenai semua isu ini.”

Justeru, tegas beliau berdasarkan kefahamanya kepada jawapan penuh Dr Mujahid, maka bolehlah disimpulkan bahawa perkara-perkara ini adalah tidak tepat iaitu, tiada lagi polis moral di Malaysia selepas ini, tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam dan tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki.

“Walau apa pun perbezaan pendapat antara kita dan Dr Mujahid, kita perlu ingat bahawa kata-kata ini bukanlah kata-kata yang keluar dari mulut Dr Mujahid sendiri tetapi hanyalah kata-kata yang dimasukkan oleh akhbar The Star,”tegas beliau.

Malah, katanya, Dr Mujahid sendiri menyebut bahawa perkara-perkara ini adalah di bawah kuasa negeri, bukan di bawah kuasa beliau, di mana apa yang boleh beliau lakukan hanyalah “berbincang dan berkongsi pandangan-pandangan kerajaan persekutuan (dengan negeri) mengenai semua isu ini.”

“Saya memilih untuk menunggu sehingga perjumpaan dengan “semua pengarah hal ehwal Islam negeri” ini berlaku dahulu sebelum membuat ulasan lanjut ke atas isu ini,”katanya.

Abang Naib Presiden Umno masuk Amanah


Kamarazaman Yaacob
SHAH ALAM - Abang kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kamarazaman menyertai Amanah sempena sambutan ulang tahun ketiga parti itu, di Temerloh bulan lalu.

Kamarazaman yang juga penulis buku genre politik antaranya bersama Anwar ke penjara berkata, keputusannya untuk aktif kembali dalam politik adalah untuk bersama-sama rakan progresif di dalam Amanah atau bukan bagi membina sebuah negara berwajah baharu.

Menurutnya, dia amat berharap supaya penyertaannya itu akan dapat membina ruang demokrasi sebenarnya kepada rakyat dan pelajar terutama menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971).

“Semoga Malaysia Baru dapat melahirkan demokrasi sebenarnya. Tiga tonggak dapat berdiri bebas iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari. Saya memilih parti ini (Amanah) kerana yakin dapat memberi tenaga serta fikiran lebih efisien.

“Saya juga percaya ruang lingkup parti ini terbuka untuk saya berbakti, sebuah parti yang menyediakan tapak yang luas untuk saya berkarya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Kamarazaman yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 1973-1974 berkata, Amanah terbuka kepada berbilang bangsa dan agama serta diyakini dapat menyumbang ke arah perpaduan nasional.

Menurutnya, Amanah mampu melahirkan sebuah bangsa Malaysia sejati dan mempunyai masa depan yang amat cerah sebagai parti yang kuat, berpengaruh serta disegani.

“Saya tertarik kepada Amanah kerana melihat barisan kepimpinannya. Mereka ialah pemain politik yang gigih, lasak, kental dan tahan diuji. Mereka bersedia mengharungi riak, ombak dan badai lautan politik tanah air.

“Kegigihan mereka terbukti. Ramai antara mereka membilang jeriji dan pintu lokap termasuk yang tercampak ke kem tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak,” katanya.

Menurutnya, pemimpin Amanah adalah pemain politik sejati dan aktivis politik yang berani berdepan risiko demi perjuangan bangsa dan negara.

“Saya tertarik dengan ideologi menjadi garis perjuangan Amanah yang saya simpulkan sebagai Islam progresif dan keadilan sosial atau keadilan sosioekonomi selaras dengan pegangan politik saya iaitu marhaenisme.

Rafizi menang di Kelantan, Terengganu

N Faizal Ghazali

PEMILIHAN PKR | Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendapat tempat di hati anggota parti itu apabila mendahului pemilihan di Kelantan dan di Terengganu, hari ini.

Bekas anggota parlimen Pandan itu mendapat 5,211 undi berbanding calon penyandang jawatan itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meraih 4,922 undi.

Keputusan itu menyaksikan Rafizi mendahului dengan majoriti kelebihan 289 undi, demikian keputusan daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR setakat ini.

Pemilihan PKR Kelantan itu melibatkan 14 cabang yang berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Sementara itu, Rafizi juga mendahului Azmin di Terengganu apabila masing-masing meraih 1,506 dan 1,269 undi.

Selepas tiga minggu pengundian, keseluruhannya setakat ini Azmin mendapat 14,020 undi, mendahului Rafizi sebanyak 177 undi.

Bagi saingan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Zuraida Kamaruddin kedua-duanya kekal ditangga pertama dan kedua.

Sementara itu, Shamsul Iskandar Md Akin naik satu anak tangga di tangga ketiga, diikuti seterusnya oleh Tian Chua.

Pengundian ini akan memilih empat naib presiden PKR.

Pemilihan di Pahang akan berlangsung esok disusuli Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Remaja berusia 16 tahun mendakwa dia dan ibunya dirogol oleh anggota polis.

HARYANA - INDIA. 18 individu termasuk tujuh anggota polis didakwa terlibat dalam kes rogol seorang remaja berusia 16 tahun dan ibunya selama hampir dua bulan, antara Julai dan September lalu di sebuah kampung berhampiran bandar Kalayat.

Berdasarkan aduan mangsa Selasa lalu, polis mendaftarkan kes terhadap kesemua suspek di bawah seksyen berkaitan yang termaktub dalam Kanun Keseksaan India (IPC) dan Akta Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO).

Antara suspek dikenal pasti termasuk penolong sub-inspektor (ASI) Shamsher Singh, Roshan Lal dan Dhanpati, ASI Bajir Singh, ketua konstabel, Randeep dan konstabel Dilavar dan Isham Singh serta seorang ketua kampung dan bekas ketua kampung.

Menurut Penguasa Polis Kaithal, SP Astha Modi, mangsa mendakwa ASI Shamsher Singh merogolnya dan ibunya, manakala suspek lain berada di luar rumah sambil bersorak menyokong perbuatan keji itu.

Bagaimanapun, Shamsher Singh menyangkal dakwaan tersebut dengan berkata ayah mangsa bersubahat dan berpakat dengan anaknya bagi mengenakan tuduhan palsu terhadapnya dan yang lain.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan khas dikatakan turut akan ditubuhkan bagi menyiasat insiden terbabit.- Times of India

SPRM tangkap anak Azeez Rahim pula

Belum dua jam anggota parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Rahim dilepaskan daripada reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), anak sulungnya pula dicekup.

Lelaki 24 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah hari selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM hari ini.

Menurut sumber penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan terhadap kes rasuah membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Katanya suspek dipercayai menjadi proksi kepada ayahnya yang juga angota Majlis Tertinggi Umno.

Sumber itu berkata, lelaki berkenaan berperanan sebagai runner dalam urusan perpindahan wang rasuah membabitkan syarikat kontraktor.

Siasatan SPRM dikatakan dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Penahanan terbaharu itu menjadikan lima individu direman sejak 26 September lalu termasuk Azeez membabitkan kes sama.

Pada 25 September lalu, Azeez, abangnya serta sepupu mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sama dan mereka direman sehari.
-malaysiakini

152,000 mangsa masih tertimbus di kawasan gempa Sulawesi

Bernama 
KOTA PALU: Dianggarkan 152,000 mangsa masih lagi tertimbus di seluruh kawasan dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Kota Palu, Sulawesi, Jumaat lepas.

Pengarah Informasi dan Media Kementerian Luar Indonesia Acmad Ramadan berkata pada masa yang sama sejumlah 65,733 kediaman turut musnah akibat bencana itu.

“Setakat ini, kita telah menemui sebanyak 1,558 mayat mangsa yang kebanyakannya tertimbus di dalam tanah.

“Mangsa yang cedera pula ialah 2,549 orang yang ada diantaranya dipindahkan ke hospital di daerah lain untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di Patebo hari ini.

Acmad menambah keadaan tanah serta kehendak keluarga yang inginkan jasad mangsa yang terkorban ditemukan dalam keadaan sempurna menjadi antara kesukaran yang dialami pasukan mencari dan menyelamat dalam menggali keluar mangsa.

“Kami akan lakukan yang terbaik bagi memastikan semua mangsa yang terkorban dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Indonesia tidak menetapkan sebarang tarikh akhir bagi kerja mencari dan menyelamat dilakukan.

“Tiada tetapan untuk pencarian mangsa. Ia akan diteruskan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Karo Penmas Divisi Humas Polri Brig Jen Ermi Widyatno berkata cuaca baik sehingga ini melancarkan operasi membawa keluar mangsa.

“Bantuan luar juga sekarang dah boleh masuk di tiga kawasan utama iaitu Sigi, Dongala serta Kota Palu…dijangka akan lebih banyak mangsa yang akan ditemui.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan rakyat Malaysia terutamanya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang sudi membantu kami di sini,” katanya.

Misi Bantuan Kemanusian Mapim merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu, Jumaat lepas.

Wanita dirogol ketika mandi, aksi dirakam

Paparan video mangsa dirogol di Sungai Gangga.
BIHAR - INDIA. Seorang wanita India telah dirogol dengan kejam oleh dua lelaki dengan mengheretnya keluar dari Sungai Gangga ketika sedang mandi.

Lebih malang, tindakan tidak berperikemanusiaan itu juga dirakam lelaki itu terhadap wanita berusia 45 tahun di Patna, Bihar di Timur Laut India.

Dia kemudiannya memuat naik video ke media sosial, sekaligus mengejutkan pelayar.

Memetik Dailymail, di dalam video itu, terdengar suara wanita merayu kepada lelaki berkenaan agar tidak melakukan perbuatan terkutuk kerana mereka berada di 'sungai suci'.

Menurut agama Hindu, Sungai Gangga adalah tempat suci mereka kerana dikatakan dewi Gangga turun ke bumi dan 'sungai suci' sering disebut sebagai 'ibu'.

Mangsa dikatakan telah mandi di sungai bagi upacara membersihkan diri namun diserang oleh mereka.

Video itu menunjukkan salah seorang lelaki mengheretnya keluar dari air sebelum merogolnya di tepi sungai.

Wanita itu akhirnya dilepaskan oleh penyerang dan terus bertindak membuat laporan polis.

Beberapa saluran berita tempatan mendakwa ketika wanita melaporkan dirinya dirogol, polis enggan mengambil tindakan.

Bagaimanapun, apabila video itu tular di media sosial, polis menjejaki kedua lelaki tersebut.

Kedua-dua lelaki itu telah ditangkap dan ia masih dalam siasatan polis. - Dailymail

Tidak masuk syurga kalau Allah bersikap adil, kata Wan Ji

ARIF ATAN
Penceramah Ustaz Wan Ji Wan Hussin mengingatkan tidak seorang pun mendapat ganjaran syurga sekiranya Allah bersikap adil.

Sebaliknya, tegas beliau, rahmat Allah yang membolehkan manusia layak masuk ke syurga lantaran ibadat yang dikerjakan tidak setanding dengan nikmat yang diberikan-Nya.

“Akhirat nanti nak masuk syurga. Rahmat daripada Allah. Sebab itu, kadang-kadang kita perlu perbaiki cara kita berfikir.

“Kita selalu mengharapkan keadilan Allah. Kita berharap Allah bersikap adil kepada kita. Kalaulah Allah bersikap adil kepada kita, kita semua tidak layak masuk syurga.

“Sebabnya, nikmat pemberian Allah dengan ibadat yang kita buat, adakah sama? Tidak sama. Ibadat yang kita buat dengan nikmat yang Allah Taala beri, memang tidak layak.

“Kalau ikut adil Allah, semua orang tidak layak masuk ke syurga. Tapi kalau nak masuk syurga, kita perlu minta rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” jelasnya dalam kuliah di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam di ibu negara malam tadi.

Ustaz Wan Ji berkata, Islam merupakan agama rahmat yang dapat dilihat buktinya melalui keupayaan manusia sebagai contoh untuk makan dan bernafas.

“Islam ini agama rahmat. Bila makan, telan, siapa punya kerja? Allah Taala punya kerja. Itu semua rahmat Allah. Boleh bernafas. Alhamdulillah. Siapa punya kerja? Allah. Semuanya rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar sentiasa membaca serangkap doa yang terkandung dalam Surah A-li’Imraan, ayat 8.

“Sebab itu kita baca, (maksudnya); ‘Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami dari sisi-Mu akan rahmat. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemberi.’

“Kita doa kepada Allah supaya hati kita ini diberi cahaya. Kita doa minta Allah beri rahmat kepada kita dan moga dengan rahmat Allah beri, Allah jadikan kita di akhirat dalam kalangan ahli syurga,” kata Wan Ji lagi.

Rosmah didakwa cuba ganggu saksi Halim Saad - Pendakwa

Bekas pengerusi Renong, Tan Sri Halim Saad ialah saksi yang didakwa cuba didekati Datin Seri Rosmah Mansor, kata pasukan pendakwaan hari ini.

Pendakwaan menyebut isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak cuba untuk mengganggu saksi pada masa lalu.

Hal tersebut didedahkan dalam prosiding hari ini apabila pendakwa raya khas, Datuk Seri Gopal Sri Ram menyerahkan suatu laporan polis kepada hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi.

Walaupun Sri Ram tidak menyebut nama bekas pengerusi Renong itu tetapi pasukan peguam belas Rosmah yang diketuai K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent bertanya kaitan Halim dalam kes ini.

Pasukan pembelaan mengatakan laporan polis itu tidak dibuat Sri Ram tetapi oleh pegawai SPRM.

Sebelumnya, pendakwa raya khas itu meminta mahkamah menolak permohonan ikat jamin Rosmah dalam kes pertuduhan pengubahan wang haram dan mendakwa beliau ada kecenderungan untuk mengganggu saksi.

Perintah larangan cuba dekati saksi

Susulan itu Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan telah menyerahkan suatu laporan polis yang dibuat pada Jumaat lalu bagi membuktikan penghujahannya.

Beliau berkata jika ikat jamin dibenarkan, mahkamah perlu mengenakan bayaran sebanyak RM10 juta dengan syarat-syarat tertentu.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura seterusnya membenarkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin serta Rosmah perlu menyerahkan passportnya dan perintah larangan beliau mendekati atau cuba mengganggu saksi-saksi berpotensi.

Hari ini, Rosmah meminta dibicarakan terhadap 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7.1 juta.

Para peguam Rosmah membantah Sri Ram membawakan isu gangguan terhadap saksi itu.
-malaysiakini

Tentang tuduhan jenayah RM7.1 juta pada Rosmah

Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengaku tidak bersalah atas 17 tuduhan melibatkan pengubahan wang haram.

Dua belas daripada tuduhan yang dikenakan ke atas beliau melibatkan dana bernilai RM7.1 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya antara 2013 hingga 2017.

Baki lima lagi pertuduhan itu melibatkan kegagalan beliau membuat pengisytiharan atas wang tersebut seperti termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Dari mana datangnya wang itu?

Pada ketika ini tidak jelas dari mana asal wang berkenaan.

Bagaimanapun pada 2015 Sarawak Report menerbitkan satu laporan mendakwa pembantu Rosmah memasukkan RM2 juta ke akaun isteri Datuk Seri Najib Razak itu antara 10 Feb hingga 23 Apr tahun itu.

Berdasarkan kepada lampiran pada kertas pertuduhan ke-10 ke atas Rosmah, berlaku lapan transaksi ke akaun beliau mulai 10 Feb hingga 23 Apr 2015 dengan nilai keseluruhan RM2 juta.

Tuduhan ke-10 mendakwa secara keseluruhan dari 21 Jan hingga 12 Dis 2015, sejumlah RM3.85 juta dimasukkan ke akaun Rosmah.

Apakah tuduhan yang dikenakan ke atas Rosmah?

Menurut pendakwa wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Rosmah diperolehi daripada kegiatan-kegiatan haram.

Bagaimanapun kertas pertuduhan tidak menyatakan apakah yang dimaksudkan dengan kegiatan haram berkenaan, sebaliknya apa yang dipaparkan ialah butiran mengenai di mana dan bila wang tersebut dimasukkan.

Pendakwa juga menuduh Rosmah tidak mengisytiharkan perolehan tersebut seperti dikehendaki Akta Cukai Pendapatan 1967.

Apakah tuduhan spesifik?

Seksyen 4(1) AMLATFA. Tuduhan mengikut peruntukan ini terpakai kepada kemasukan wang dan kegagalan membuat pengisytiharan.

Wang itu dimasukkan melalui lebih 235 transaksi dari 4 Dis 2013 hingga 8 Jun 2017.

Mengikut seksyen itu juga pesalah boleh dikenakan hukuman sama ada penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah yang terlibat, atau RM5 juta dengan ketetapan adalah yang lebih tinggi.

Bagaimanapun untuk sembilan tuduhan pertama serta tuduhan ke-13, kertas pertuduhan menyatakan Rosman boleh didenda tidak lebih RM5 juta, dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Tuduhan ke-13 melibatkan kegagalan membuat pengisytiharan kemasukan wang sehingga RM500,000 di antara 4 Dis hingga 23 Dis 2013.

'Ada parti tafsir perlembagaan berpusing-pusing'

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menyifatkan ada pihak yang mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan secara "berpusing-pusing" demi mempertikai kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di PRK Port Dickson.

Beliau tidak menamakan pihak itu secara khusus tetapi dipercayai merujuk kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Semalam, Takiyuddin - juga seorang peguam - menggesa mahkamah segera mendengar saman pemula seorang pengundi Port Dickson bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Anwar tidak layan bertanding.

Sama seperti saman pemula itu, Takiyuddin juga membangkitkan Perkara 42 yang menurutnya hanya merujuk kuasa memberi ampun, menunda dan melegakan hukum berkenaan kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah.

Menurut Perlembagaan, katanya lagi, peruntukan bagi membolehkan seseorang yang hilang kelayakan sebagai anggota parlimen hanya boleh dibatalkan melalui pengampunan bebas bawah Perkara 48(1)(e).

Hanipa berkata Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memberi pengampunan kepada mereka yang disabitkan bersalah di mahkamah.

"Ada seorang pemimpin parti ehem cuba pertikai status pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar.

"Bagi saya Perkara 42 sangat jelas (iaitu) kuasa Agong untuk ampun semua jenis kesalahan.

"Secara mudahnya, jika ada kuasa ampun semua kesalahan, sama ada pesalah disabit bersalah atau tidak tak timbul. Bila sudah diampun kesalahan, ia samalah macam tak ada atau tak lakukan kesalahan," katanya yang juga pengerusi Biro Undang-undang AMANAH, dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa pengampunan manakala Perkara 48 tentang kehilangan kelayakan menjadi anggota parlimen.

"Mengapalah tafsir berpusing-pusing macam masuk roundabout? Apa-apa pun, tahniah kerana kreatif," kata Hanipa dengan nada sinis.

Beliau berkata tafsiran itu tidak salah tetapi ia amat "aneh, pelik dan janggal".

"Apa yang pasti, tafsiran perlembagaan sewajarnya dibuat secara luas dan anjal, bukan sempit dan ketat. Itu yang saya belajar," katanya lagi.
-malaysiakini

Langsung: Ikat jamin Rosmah RM2 juta, sebutan kes 8 Nov

 
LANGSUNG | Hari ini bakal menjadi hari yang panjang buat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan prosiding mahkamah.

Najib akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk sebutan kes salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Manakala Rosmah akan berada di mahkamah sesyen untuk pertama kali di mana beliau dijangka menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Rosmah, yang ditahan malam tadi di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas beberapa jam disoal siasat, akan dibawa ke kompleks mahkamah pada pukul 8 pagi.

Malaysiakini membawakan secara langsung prosiding mahkamah di dalam dan suasana di luar kompleks mahkamah.

11.14am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Pelakon Ellie Suriati berada di kompleks mahkamah dan dilihat menangis teresak-esak.

Bercakap kepada Malaysiakini Elli memberitahu dia tersentuh kerana mengenangkan hubungan antara Najib dan Rosmah.

"Saya tersentuh kerana mereka orang yang baik (dan) kerana dia (Najib) adalah seorang ikon yang telah berkhidmat di negara kita.

"Jika dia berkhidmat kepada negara dengan baik, mengapa dia diperlakukan seperti ini?" soalnya.

Ellie berkata dia mendapati 17 pertuduhan terhadap Rosmah tidak munasabah.

Ellie, merupakan salah seorang daripada penyokong Najib yang memberikan sokongan kepada bekas perdana menteri itu di mahkamah Julai lalu.

11am: Tiga jam selepas ketibaan Rosmah dan Najib di mahkamah, pemimpin Umno, Datuk Lokman Noor Adam dilihat masih menunggu bersendirian. Ramai penyokong lain telah beredar.

Sementara itu, petugas media mula bersiap sedia dengan peralatan mereka untuk membuat liputan sidang media, manakala polis bersiap mengawal keadaan.

Mahkamah tetapkan ikat jamin Rosmah RM2 juta

10.27am: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Mahkamah Sesyen ditangguhkan selepas sebutan kes ditetapkan pada 8 Nov.

Secara keseluruhannya, Rosmah menghadapi tuduhan memasukkan RM7.097 juta ke akaun peribadinya dari tahun 2013 hingga 2017. Pertuduhan secara terperinci adalah seperti berikut:

1. Memasukkan RM200,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 4 Disember 2013;

2. Memasukkan RM100,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 16 Dis 2013;

3. Memasukkan RM200,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 23 Dis 2013;

4. Memasukkan RM100,000 daripada hasil kegiataan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 28 Jan 2014;

5. Memasukkan RM100,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 29 Jan 2014;

6. Memasukkan RM200,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 28 Feb 2014;

7. Memasukkan RM100,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 14 Mac 2014;

8. Memasukkan RM100,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya pada 8 April 2014;

9. Memasukkan RM1.6 juta daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya dalam lapan transaksi antara 4 Sept 2014 dan 22 Disember 2014;

10. Memasukkan RM3.85 juta daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya dalam 127 transaksi antara 21 Jan 2015 dan 12 Disember 2015;

11. Memasukkan RM510,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya dalam 87 transaksi antara 28 Jan 2016 dan 7 Nov 2016;

12. Memasukkan RM30,000 daripada hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang ke akaun peribadinya dalam lima transaksi antara 29 Mac, 2017 dan 8 Jun 2017;

13. Gagal mengisytiharkan RM500,000 didepositkan ke akaun peribadi beliau antara 4 Dis 2013 dan 23 Disember 2013 seperti yang dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan;

14. Gagal mengisytiharkan RM2.2 juta didepositkan ke akaun peribadi beliau antara 28 Januari 2014 dan 22 Disember 2014 seperti yang dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan;

15. Gagal mengisytiharkan RM3..85 juta didepositkan ke akaun peribadi beliau antara 21 Jan 2015 dan 12 Disember 2015 seperti yang dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan;

16. Gagal mengisytiharkan RM510,000 didepositkan ke akaun peribadi beliau antara 28 Jan 2016 dan 7 Nov 2016 seperti yang dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan;

17. Gagal mengisytiharkan RM30,000 didepositkan ke akaun peribadi beliau antara 29 Mac, 2017 dan 8 Jun 2017 seperti yang dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Sekiranya disabitkan kesalahan tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak lima kali daripada jumlah aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi, bagi setiap tuduhan.



10.15 pagi: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Hakim Azura menetapkan ikat jamin sebanyak RM2 juta terhadap Rosmah dengan dua penjamin.

Rosmah juga perlu memenuhi syarat yang diminta oleh pihak pendakwa, iaitu menyerahkan pasportnya ke mahkamah, dan menahan diri daripada menghubungi mana-mana saksi atau saksi yang berpotensi.

RM500,000 mesti dibayar hari ini, manakala bakinya perlu dibayar pada 11 Okt.

Pelantikan Sulaiman dipersoal

10.05am: Kes Najib, Mahkamah Tinggi - Peguam Najib, Havinderjit berkata beliau akan membuat permohonan rasmi untuk meneliti pelantikan Sulaiman.

Sebelum ini, Shafee juga telah meminta hal yang sama daripada Sri Ram dalam kes lain.

Namun, Sulaiman mengatakan ia berada di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Hakim Nazlan mahu isu itu dibincangkan pada 31 Okt semasa pengurusan kes.

10am: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Gopal berhujah jumlah ikat jamin perlu setimpal dengan kesalahan diakukan Rosmah.

"Individu yang berdiri di kandang tertuduh tidak sepatutnya berada di situ," katanya sambil menambah Rosmah mempunyai cara untuk membayar ikat jamin.

9.50am: Kes Najib, Mahkamah Tinggi - Perhatian kini beralih kepada pelantikan Sulaiman Abdullah oleh peguam negara dalam mengetuai kes berkenaan.

Peguam bela utama Najib, Shafee Abdullah meminta salinan surat pelantikan Sulaiman.

Beliau menyebut pelantikannya sendiri ketika mengetuai pendakwaan terhadap rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2015, di mana surat pelantikan diserahkan kepada mahkamah.

Shafee berkata dalam kes Anwar, DPP Mohd Hanafia Zakaria memberitahu mahkamah mengenai pelantikannya (Shafee).

Sulaiman membuat bantahan dengan berkata pihak pendakwa tidak meminta sijil kelayakan Shafee dalam mewakili Najib.

"Saya minta permohonan itu (untuk surat pelantikan) digugurkan. Kami tidak mengelirukan mahkamah kerana saya mempunyai 10 DPP di belakang saya," katanya.

Rosmah hadapi 17 pertuduhan

9.50am: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent berhujah bahawa jumlah ikat jamin patut dikurangkan, dengan mengatakan jumlahnya adalah besar dan tidak berkadar dengan kes-kes sebelumnya termasuk tuduhan pengubahan wang haram baru-baru ini terhadap Najib.

Beliau berkata Rosmah bersedia menyerahkan pasportnya dan dalam keadaan itu ikat jamin boleh dikurangkan seperti dalam kes-kes sebelum ini.

Rosmah juga bersedia untuk tidak menghubungi mana-mana saksi, tambahnya.

Peguam itu juga menegaskan bahawa Rosmah telah menghadiri soal siasat SPRM sebanyak tiga kali tanpa gagal apabila dipanggil dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau menyarankan ikat jamin ditetapkan sebanyak RM10,000.

Hakim tetapkan 31 Okt untuk pengurusan kes Najib

9.40am: Kes Najib, Mahkamah Tinggi - Ketua Pendakwa Raya Sulaiman Abdulllah meminta pengurusan kes pada hari lain kerana beliau mengatakan semua pihak tidak berminat bertemu hari ini untuk persidangan praperbicaraan.

Hakim Nazlan kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 31 Okt jam 3 petang.

Hakim meminta sama ada semua dokumen disampaikan melalui salinan cetakan dalam masa dua minggu dari hari ini, dan pihak pendakwaan berjanji untuk melakukannya.

Pertuduhan dibacakan, Rosmah minta dibicara

9.40 pagi: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Rosmah meminta dibicarakan terhadap semua 17 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya.

Pendakwa raya mengatakan ini adalah kesalahan yang tidak boleh diterima, oleh itumahkamah mempunyai kebijaksanaan sama ada untuk memberikan ikat jamin atau tidak.

Beliau menambah jaminan tidak harus diberikan sekiranya ada risiko saksi melarikan diri.

Oleh itu, beliau meminta jaminan ditetapkan RM10 juta, dengan syarat Rosmah menyerahkan paspotnya dan dilarang untuk menghubungi mana-mana saksi.

9.33 pagi: Kes Najib, Mahkamah Tinggi - Pertikaian antara pihak pendakwa raya dan pembelaan terhadap dokumen-dokumen yang diserahkan dalam beberapa CD masih berterusan.

Sulaiman meminta Shafee mengikut peredaran masa.

"Kita tidak sepatutnya ikut apa yang telah dilakukan pada tahun 1942 kerana sekarang tahun 2018.

"Kami mahukan perbicaraan yang adil, kami mahukan perbicaraan diteruskan, dan kami bersedia untuk bertemu dengan mereka hari ini (dalam persidangan praperbicaraan berhubung penyerahan dokumen).

Shafee menjawab mereka tidak boleh meneruskan persidangan praperbicaaan kerana pasukan pembelaan tidak dapat memahami dokumen tersebut.

"Bagaimana saya boleh teruskan perbicaraan apabila dokumen-dokumen itu tak boleh difahami? Ikut cara biasa, seperti yang dilakukan dalam beribu-ribu kes.

"Kami tidak meminta layanan khas, tetapi berikan kami (dokumen kes) dalam format yang betul," katanya.

Sulaiman menyampuk dan memberitahu pihak pembela untuk menghentikan alasan berkenaan dan "meneruskan perbicaraan".

9.28am: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Sepuluh pertuduhan pengubahan wang haram telah dibacakan kepada Rosmah setakat ini. Beliau meminta dibicarakan untuk semua pertuduhan.

Jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan ke-11.

9.25am: Kes Najib, Mahkamah Tinggi - Peguam Najib Havinderjit Singh menyatakan bahawa pembelaan tidak mengatakan ada motif jahat, tetapi mereka memohon dokumen-dokumen itu mengikut Seksyen 51A.

Havinderjit berkata mereka akan menjawab permintaan pihak pendakwa untuk memindahkan prosiding ke Putrajaya.

Sulaiman kemudian meminta bahawa perkara ini dibawa dalam persidangan praperbicaraan.

"Kami bersedia mengadakan persidangan praperbicaraan hari ini," katanya.

Havinderjit berkata mereka bersedia untuk bertemu hari ini.

Sementara itu, Shafee berkata Seksyen 51A adalah untuk pre-trial discovery (pencarian maklumat praperbicaraan).

"Pada 8 Ogos ketika mereka memberikan CD Rom, beberapa dokumen tidak boleh dibaca. Mengapa mengambil langkah yang tidak biasa dengan memberikan CD Rom.

"Berikan kami dokumen-dokumen yang betul dalam format yang betul (melalui kertas). Ini amalan standard untuk dokumen yang disampaikan kepada peguam dan bukan pelanggan. Banyak dokumen tidak boleh dibaca dalam format CD, " katanya.

9:20am: Kes Najib, Mahkamah Tinggi - Sulaiman berkata pihak pendakwaan telah mencuba yang terbaik berhubung dokumen-dokumen berkenaan dan tiada niat jahat daripada pihaknya.

Beliau menambah pihak pendakwa tegas mengikut undang-undang.

"Kami telah meminta persidangan praperbicaraan tetapi ada kesilapan oleh (Shafee)."

Beliau juga mengatakan mereka telah memohon perbicaraan Najib diadakan di Putrajaya.

"Permintaan itu dibuat kepada ketua hakim (Malaya) kerana terdapat ruang yang lebih besar di Putrajaya," kata Sulaiman.

9.20 pagi: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Tuduhan pertama mengenai pengubahan wang haram, didakwa dilakukan pada 5 Dis 2015, dibacakan.

Rosmah memohon dibicarakan bagi pertuduhan pertama.

Prosiding kedua-dua mahkamah bermula

9.17am: Kes Rosmah, Mahkamah Sesyen - Mahkamah Sesyen memulakan perbicaraan apabila hakim Azura Alwi mengambil tempat.

Rosmah dibawa ke kandang tertuduh. Mereka yang hadir bangun menyatakan hormat kepada hakim.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki tiba dan duduk di galeri awam.

9.07am: Kes Najib, Mahkamah Tinggi - Ketua Pendakwa Raya, Sulaiman Abdullah memperkenalkan semua pihak.

Beliau berkata pendakwaan akan membangkitkan tiga isu, antaranya, penyerahan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Seksyen 51A memerlukan pendakwaan mendedahkan maklumat dan dokumen kes itu kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Sulaiman berkata pendakwaan telah cuba melakukannya tetapi tidak dapat berbuat demikian.

Peguam Najib, Shafee kemudian berkata pada 8 Ogos lepas, Najib diberi CD Rom yang mengandungi dokumen-dokumen itu.

Beliau menambah bahawa pendakwaan telah menyerahkan satu lagi CD Rom semalam ketika Najib melawat Rosmah.

"Ini tidak sesuai kerana mereka perlu menyerahkan dokumen dan bukan CD Rom," kata peguam itu kepada mahkamah.

Najib, Rosmah kelihatan bersemangat

9.06am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Najib memasuki kamar mahkamah dari bilik saksi.

Jurubahasa menasihati semua pihak bersiap sedia dengan prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

8.52am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Peguam Najib berjalan memasuki kamar mahkamah, diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Havinderjit Singh.

Bekas perdana menteri itu dipercayai menunggu di bilik saksi Mahkamah Tinggi.

8.41am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Najib tiba tidak lama selepas ketibaan isterinya.

Diiringi pengawal peribadi, beliau melangkah keluar dari kenderaan berwarna hitam. Beliau dilihat memakai baju biru muda dan kot biru gelap.

Beliau juga kelihatan tenang dan tersenyum apabila memasuki mahkamah.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam sedang menunggu di luar kompleks itu.

Lokman berkata beliau berada di situ untuk memberikan sokongan kepada Rosmah dan Najib.

Beliau pada mulanya mahu bercakap dengan pihak media, tetapi dihentikan oleh polis apabila Najib tiba.

8.30 pagi: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Rosmah tiba dengan berpakaian baju kurung berwarna oren bersama-sama peguamnya K.Kumaraendran.

Petugas media dan orang awam mengerumuninya, tetapi beliau dikawal ketat oleh polis. Rosmah yang berjalan dengan tenang ke mahkamah dilihat tersenyum dan melambai kepada orang ramai, sambil para penyokong berteriak memanggilnya "Datin, Datin".

8:20am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur- Sementara itu di Mahkamah Sesyen, petugas media masuk dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Kakitangan mahkamah sibuk membawa bangku tambahan ke galeri awam. Baris pertama dikhaskan untuk anggota SPRM, manakala barisan kedua dikhaskan untuk ahli keluarga Rosmah.

Dua baris terakhir dikhaskan untuk petugas media.

8.20am: Putrajaya - The Star melaporkan Rosmah sedang dalam perjalanan ke kompleks mahkamah setelah meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 7.45 pagi.

Beliau dilaporkan dibawa dengan kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam dan dikawal oleh pegawai polis dan SPRM.

8.15am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Wartawan akhirnya dibenarkan memasuki Mahkamah Tinggi. Hakim ialah Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Turut kelihatan di mahkamah ialah pendakwaraya yang dilantik, Sulaiman Abdullah yang berada di kerusi roda dan pasukan pendakwa raya.

Dua baris pertama di tempat duduk di galeri awam dalam kes Najib dikhaskan untuk ahli keluarga manakala dua tempat duduk di barisan akhir adalah untuk petugas media.

8am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Prosiding kes Najib akan dilakukan di tingkat lima kompleks mahkamah, sementara kes Rosmah akan berlangsung di tingkat dua di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, pendakwaraya bagi kes Najib kelihatan sudah berada dalam bilik mahkamah.

7am: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur - Petugas media, baik tempatan mahupun antarabangsa, telah mula beratur untuk mendapatkan pas bagi memasuki mahkamah untuk membuat liputan kedua-dua kes itu, memandangkan pas yang diberikan adalah terhad.
Mereka membentuk dua baris panjang, satu untuk mereka yang membuat liputan kes Rosmah dan satu lagi untuk Najib, di bawah pengawasan sehingga 10 anggota keselamatan.

Rosmah akan diwakili peguam K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.

Sementara itu, Najib akan diwakili oleh peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas hakim mahkamah persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram dijangka mengetuai pendakwaan untuk kes Rosmah bersama peguam Sulaiman Abdullah.

Sulaiman seperti Sri Ram dilantik oleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengetuai pendakwaan.
-malaysiakini