"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M paling layak cabar Najib sebagai PM, kajian UM








Tun M paling layak cabar Najib sebagai PM, kajian UM

Tun M paling layak cabar Najib sebagai PM, kajian UM

Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (UM) mendapati, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh yang paling layak untuk mencabar Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU 14) nanti bagi pihak Pakatan Harapan (PH).
Dalam kajian itu, Mahathir mendapat peratus pengundian paling dekat dengan Najib untuk calon perdana menteri berbanding calon-calon lain.



Najib mendapat 21% dengan diekori Mahathir 18% iaitu hanya tiga peratus di belakang Najib.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat 10%, Datuk Seri Hishamudin Hussein (9%) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (7%).
Ia adalah keputusan yang diumumkan oleh UM dalam kajian terbaru mereka.
Kajian dibuat dari 1 Julai hingga Disember 2017 yang melibatkan 12 kawasan parlimen di seluruh negara dengan menggunakan 50 enumerator dan 1550 respondan terlibat dalam kajian ini.
Ketua panel penyeledikan ini adalah Pro Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari UM.
Ia turut disertai oleh empat penyelidikan lagi iaitu tiga dari UM dan seorang lagi dari UKM.
Dua pembantu penyelidik juga terlibat dalam kajian.
Sebelum ini, Retreat Pakatan Harapan (PH) pada awal Disember lalu telah memilih Mahathir sebagai calon PM manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon TPM mereka namun PKR belum membuat keputusan.
Sekarang ini kempen sedang rancak dibuat oleh untuk mencalonkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai bakal calon PM PH.
Turut terlibat dalam kempen ini adalah suara rasmi kerajaan negeri Selangor, Selangorkini.my melalui berita terbaru mereka.
Dalam berita itu, Azmin dilaporkan sebagai layak jadi calon PM Pakatan Harapan.
Satu poster Kabinet Bayangan PH dengan Azmin sebagai PM juga kini disebarkan di media sosial.

Anwar bebas Jun ini

Lagi lima bulan - itu tempoh yang perlu ditunggu penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mereka dapat melihat kelibat pemimpin PKR terbabit bebas daripada kawalan kakitangan penjara.

Menurut Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tarikh Anwar dibebaskan daripada tahanan ialah 11 Jun akan datang.

"Insya-Allah - kalau diizinkan Tuhan - mengikut lunas undang-undang, pada 11 Jun ini beliau (Anwar) akan dibebaskan," katanya di Kajang, Selangor hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata demikian di depan kira-kira 1,000 perwakilan wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mengadakan konvensyen selama sehari.

Majlis itu diadakan ketika semua pihak sedang mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat dalam kes kedua yang dikaitkan dengannya setakat ini. Bekas timbalan perdana menteri itu secara konsisten menafikan beliau terbabit dalam jenayah berkenaan.

Sebahagian besar penyokong serta parti pembangkang pula menganggap tuduhan berkenaan bersifat politik.

Anwar dianggap watak penting untuk menyatukan hampir semua parti pembangkang dalam menyusun gerakan berdepan dengan BN.

Bagaimanapun undang-undang negara masih mengikat Anwar untuk terlibat dalam politik selama lima tahun selepas pembebasannya.

Menurut Dr Wan Azizah walaupun Anwar belum dibebaskan semangat beliau tetap menyertai mereka di konvensyen berkenaan.

"Hari ini ialah hari yang ke-1,601 Anwar menjadi tahanan politik.

"Meski pun jasadnya dipenjara namun rohnya kekal bersama kita," katanya.
-malaysiakini 

Mahfuz perlu jadi sayap Presiden AMANAH - Ustaz Zolkharnain

AKMAL HAZIQ
Mahfuz perlu jadi sayap Presiden AMANAH, kata Ustaz Zolkharnain
Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin, berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang keluar Pas 1 Januari lalu perlu menyertai Parti AMANAH Negara dan menjadi sayap presidennya, Haji Mohamad Sabu.

Jika ditanya kepada saya, apa yang saya mahu daripada Mahfuz? Secara jujur, saya mahu dia menyertai AMANAH sebagai sayap kiri Bang Mat, selepas saya anggap Salahuddin Ayub adalah sayap kanannya, tulis beliau dalam Facebooknya.

Menurut Ustaz Zolkharnain, Mahfuz mempunyai aura tersendiri, popular dan terkenal sebagai seorang aktivis parti yang gigih.
Katanya, tulisan beliau mengenai Mahfuz di laman sosial Facebooknya mendapat respons yang luar biasa daripada pembaca.

Tulisan beliau mengenai Mahfuz yang dilabel sebagai buah buruk oleh Timbalan Presiden Pas, kata Ustaz Zolkharnain, mendapat 950 LIKES, 169 SHARE dan itu katanya tidak termasuk salin tampal dalam aplikasi WhatsApp.

“Begitulah bahang aura Mahfuz yang terkenal dengan ungkapan, “Saya katakan bahawa…” dan “… dalam, dalam negara kita”, termasuk perkataan “menangani” yang disebutnya “menanggani”.

“Saya sempat bersama Mahfuz pada eranya selaku KPP Pusat selama satu penggal. Baki penglibatan saya dalam Pemuda Pas adalah bersama Salahuddin Ayub. Semasa Abu Bakar Chik juga saya sudah berada dalam Dewan Pemuda.

“Pernah sekali saya berceramah bersama Mahfuz di Alor Setar. Dalam ceramah itu saya bersyarah agak panjang tentang rosaknya sistem ekonomi riba. Sampai giliran Mahfuz berceramah, dia respons, “Yang pasti komputer riba halal.”

“Sekitar tahun 86, semasa saya masih belajar di ibu negara, saya pernah ikuti ceramah Mahfuz di sebuah markas Pas. Ketika itu dia berceramah antara baca nota dengan tidak baca saya rasa sama banyak. Tapi ceramahnya lantang,” tulis beliau menceritakan pengalamannya bersama Mahfuz.

Dalam satu peristiwa di Perlis kata Ustaz Zolkharnain, Mahfuz makan bersama Ustaz Fadhil Noor. Mahfuz meminta Ustaz Fadhil tambah nasi lagi. Ustaz Fadhil respons, “Mahfuz tak pa la, dia perut stoking.”

“Dalam satu ceramah di Perlis yang saya pengerusikan, sampai giliran Mahfuz, hujan rintik-rintik. Mahfuz kata, “Kalau tuan-tuan lari, tunggu saya turun ceramah tengah hujan.” Orang ramai terus tunggu dengar dia ceramah walaupun hujan.

“Apabila kiasan Presiden Pas bahawa Mahfuz sudah lama mati dan baru saja kebumi, saya fikir, kenyataan itu keluar daripada kekecewaan dirinya kerana Mahfuz keluar Pas. Mahfuz adalah aset Pas, walaupun Pas seolah-olah tidak mengiktirafnya, katanya lagi.

Tambahnya, sebagai manusia Mahfuz disukai dan tidak disukai tetapi Mahfuz tetap Mahfuz, auranya dalam politik belum luntur, dan auranya itu akan terus membahang biarpun kini dia masih dalam tempoh edah perceraian dengan Pas.

“Apa pun keputusan Mahfuz selepas tamat tempoh edah nanti, saya akan terima dengan senang hati. Ketika Pas kehilangan Mahfuz walaupun mereka enggan akur, PH sudah mendapat Mahfuz. Itu lebih utama,” kata beliau.

Lelaki berbogel tunggang motosikal di Teluk Intan cetus kecoh dan tanda tanya (Gambar)

SUASANA tenang di Teluk Intan bertukar kecoh petang tadi apabila seorang lelaki dengan selamba menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di sekitar bandar ini.

Malah, kejadian berkenaan turut tular di media sosial dan mencetuskan persoalan kepada orang ramai sama ada ada lelaki terbabit kurang siuman atau sengaja bertindak sedemikian.

Dalam rakaman video tersebut, penunggang motosikal itu tidak memakai topi keledar dan tanpa seurat benang pada tubuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

“Tiada pihak yang tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu setakat ini dan kita turut giat mengesan identiti lelaki terbabit," katanya. 
-Bernama

Muafakat dicapai PH kejutkan pemerhati politik, Anwar seru teruskan agenda perubahan

HUSIN MAHAT
Muafakat yang dicapai di antara tokoh, wadah dan kecenderungan yang berbeza dalam Pakatan Harapan (PH) mengejutkan pemerhati politik.

Oleh itu para pemimpin PH digesa memperkukuhkan pemuafakatan dengan menghindari kenyataan melampau dan terlanjur yang boleh menjejaskan maufakat yang dibina.

Ini penting bagi memastikan usaha melakukan perubahan politik negara tidak terjejas demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

Dalam satu kenyataan semalam, penasihat umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu prinsip luhur permuafakatan PH terus dipertahankan manakala permasalahan lain yang tidak mendesak dirungkai melalui mesyuwarah.

“Pakatan Harapan telah mula bertapak dengan meyakinkan, dan terbukti mampu menggembleng semua kekuatan lama dan baru.

“Malah ia telah mengejutkan pemerhati politik yang curiga akan kemungkinan tercapainya muafakat di kalangan tokoh, wadah dan kecenderungan yang berbeda,” katanya.

Kesemua ini, katanya berlaku kerana tumpuan utama parti-parti komponen PH adalah menyelamatkan negara dari kebobrokan akibat keangkuhan kuasa, merebaknya rasuah dan kronisme, serta pembolotan dan ketamakan kleptokrasi.

Apa yang tambah meruncing, ujar beliau adalah mekarnya aliran perkauman melampau dan kefanatikan agama yang mengenepikan asas risalah Islam yang menjadi rahmat bagi sekelian alam.

“Saya gesa semangat permuafakatan segera dipahat dalam wadah Pakatan Harapan dengan mengenepikan kenyataan melampau dan terlanjur.

“Prinsip luhur inilah yang yang perlu didahulukan, manakala permasalahan lain yang tidak asasi atau mendesak dirungkai secara musyawarah,” katanya.

PH, jelas mantan timbalan perdana menteri itu memang bertunjangkan empat parti namun kekuatannya adalah suara rakyat terbanyak.

Beliau turut menyeru PH mengekalkan tradisi berunding dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat.

Hadi bakal hilang kerusi sendiri akibat salah perancangan

The Malaysian Insight 
PERANCANGAN yang dibuat oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh menyebabkan beliau kehilangan kerusi Parlimen dan negerinya di Terengganu, dedah satu kajian.

Kajian itu mendapati, tindakan Hadi untuk membawa PAS bertanding tiga penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bakal membawa bencana kepada partinya.

Penganalisis dari Pusat Kajian Universiti Teknologi Malaysia (VCE UTM) Dr Mazlan Ali dalam satu taklimatnya di Kuala Terengganu berkata bukan sekadar Parlimen Marang, Hadi juga boleh kehilangan kerusi DUN Rhu Rendang yang dimenanginya pada PRU13 jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 nanti.

Mazlan berkata PAS juga bakal kalah di tiga lagi kerusi Parlimen dalam pertandingan tiga penjuru.

Kajian itu menjangka, PAS hanya akan menang dua kerusi di Terengganu dalam PRU14 iaitu Paka dan Sura yang terletak dalam Parlimen Dungun jika pertandingan tiga penjuru berlaku.

Jika ini berlaku, tragedi 2004 akan berulang apabila PAS kehilangan Terengganu yang dimenanginya dalam PRU 1999, manakala Hadi sendiri kalah di Marang.

Hadi kalah di tangan calon BN, Abdul Rahman Bakar pada PRU 2004 namun menang kembali dalam PRU 2008 dan 2013 apabila PAS bergabung dengan parti dalam Pakatan Rakyat.

"Semua kerusi PAS di Marang juga akan jatuh ke tangan Umno jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS," kata Mazlan pada majlis Analisis Politik Semasa PRU14 anjuran exco kerajaan negeri Terengganu Mohd Jidin Shafie, 31 Disember lepas.

Turut hadir ialah Adun Bandar daripada PKR, Azan Ismail dan Pengarah Komunikasi Amanah Terengganu Zubir Mohamad.

Mazlan berkata antara faktor yang diambil kira dalam kajian ini ialah berlaku pertambahan luar biasa pengundi baharu di Terengganu, kadar pengurangan pengaruh PAS antara 20-35% dan pengurangan pengaruh Umno antara 3-10% di negeri itu.

Mazlan memberikan empat sebab utama kenapa beliau meletakkan kadar pengurangan pengaruh PAS yang besar itu.

Sebab utama adalah berdasarkan perpecahan yang dialami PAS, sehingga menyebabkan akar umbinya menubuhkan Amanah.

Yang kedua pula pengundi bukan Melayu yang memberi undi kepada PAS dalam PRU 2013 lari ke PH.

"Sebab yang ketiga hala tuju PAS yang kurang jelas menyebabkan pengundi atas pagar tidak melihat PAS sebagai alternatif menggantikan BN, sebaliknya mereka melihat PH sebagai satu-satunya parti yang boleh menyaingi BN," kata Mazlan.

Persepsi umum bahawa PAS kini berbaik-baik atau ingin kerjasama dengan Umno juga menyebabkan sebahagian akar umbinya tidak selesa dan mungkin sama ada membuat undi protes atau mengundi PH, katanya.

Beliau berkata selepas berpecah pada 2015, PAS kehilangan ramai pengundinya dari kelompok yang menyokong pembangkang utama, bukan Melayu dan pengundi yang mengundi kerana ilmu terutama golongan pertengahan Melayu dan pengundi muda.

Hadi kini saling serang menyerang dengan bekas perdana menteri yang juga Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mendakwa Hadi kini memihak kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Kajian Mazlan dan rakan-rakannya juga mendapati, PH berpeluang di tiga kerusi DUN iaitu Wakaf Mempelan, Bandar dan Ladang yang terletak di Parlimen Kuala Terengganu, apabila hanya kalah tipis di kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru.

"Namun simulasi ini dibuat tanpa mengambil kira faktor calon, isu dan perkembangan politik selepas September 2017, iaitu ketika kajian dibuat," kata Mazlan yang banyak membuat kajian bagi pihak Majlis Profesor Negara (MPN) untuk Najib.

Katanya, walaupun mendapat ancaman dari Bersatu, Umno tidak berapa terkesan kerana parti itu mempunyai struktur politik Melayu luar bandar yang masih kukuh bersamanya.

"Ini disebabkan Umno ada keupayaan mengawal pengundi ‘subjek’ dan pengundi ‘parokial’ yang menjadi pengundi utama luar bandar melalui jentera kerajaan, media dan wang," katanya.

Mazlan berkata andaian ini dipandu oleh empat kajian yang dilakukan oleh VCE (Pusat Kajian UTM) sejak 2015 yang diketuainya di Terengganu.

Kajian menggunakan kaedah “kuantitatif” berbentuk “inferensi” dengan mengambil sampel yang dipilih secara rawak daripada populasi setiap kawasan Parlimen di negeri itu.

Di samping itu, kaedah kualitatif juga digunakan dengan cara temu bual dan pemerhatian secara ikut serta.

Pada PRU13, PAS menang empat kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu serta 14 kerusi DUN.

Di Parlimen Marang, selain kerusi Parlimen, Hadi juga menang DUN Rhu Rendang manakala calon PAS lain menang di Bukit Payong dan Alor Limbat tetapi kalah kepada BN di Pengkalan Berangan pada PRU13.

Hadi tiga minggu lalu menegaskan sekali lagi PAS akan bertanding sebanyak mungkin kerusi pada PRU14 kerana parti Islam itu akan bersama Gagasan Sejahtera, dan bukannya bekerjasama dengan BN atau PH.

Katanya, PAS mahu bertanding lebih 130 kerusi Parlimen.

"Bagi Terengganu kita akan bertanding di semua kawasan. Insya-Allah, menang atau kalah itu cerita lain.

“Apa yang penting setelah kita berazam, bertawakal kepada Allah, ahli mesti patuh dan taat, " kata Hadi dalam satu majlis di Marang pada pertengahan bulan lepas.

Amiruddin nafi bakal MB, Pas tidak sepatutnya dalam Gagasan Sejahtera

DALIA ISMAIL 
Ketua pembangkang Dun Kedah Datuk Ir Amiruddin Hamzah menafikan bakal dilantik menteri besar jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit itu menyertai Pas pada 1999 namun mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 November lalu.

Beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Anak Bukit pada 2002 yang diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Fadzil Mohd Nor.

Selama empat penggal mewakili Pas bagi Dun Anak Bukit, Amiruddin ialah salah seorang yang disebut-sebut sebagai calon menteri besar (MB) jika Pas dan Pakatan Rakyat berjaya menawan negeri itu.

“Pandangan saya sesiapa sahaja yang bertanding boleh menjadi MB. Untuk menjadi MB parti yang diwakili calon itu perlu memenangi kerusi yang banyak daripada parti dalam gabungan.

“Kita pun tak tahu parti mana yang akan bertanding kerusi yang lebih banyak daripada parti yang lain dalam PH. Kita juga tidak tahu sejauh mana kemampuan PH memenangi kerusi yang dipertandingkan untuk menumbangkan BN.

“Untuk mengatakan saya masuk PPBM kerana ditawarkan menjadi MB itu dakwaan tidak betul. Insya Allah saya doakan PH menang di Kedah. Sudah tentulah parti komponen PH yang terbanyak kerusi dimenangi akan ada calonnya menjadi MB. Mungkin PKR, AMANAH atau PPBM tetapi tidak DAP kerana bilangan kerusi DAP paling sedikit di negeri ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Tindakan Amiruddin keluar Pas telah mengubah kedudukan kerusi PH di Dun Kedah yang kini mempunyai 9 kerusi manakala Pas (7) dan BN (20).
Datuk Ir Amiruddin Hamzah (dua dari kanan) menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada satu majlis ringkas yang diadakan di Alor Setar. 26 Nov lalu.

Dipelawa oleh 4 parti

Amiruddin juga tidak keberatan untuk berterus terang ketika ditanya sebab beliau memilih Bersatu, parti serpihan Umno berbanding menyertai AMANAH parti serpihan Pas.

Beliau mengakui pernah dipelawa oleh keempat-empat parti gabungan dalam PH, sebaliknya beliau memilih Bersatu.

“Saya berpandangan semua parti gabungan dalam PH punya kredibiliti untuk menumbangkan BN dalam PRU akan datang.

“Saya merasakan diri saya bersedia dan mampu memberikan sumbangan kepada PPBM dalam usaha untuk menjatuhkan BN.

“Setiap parti mempunyai kekuatan masing-masing. Dalam senario di negeri Kedah dan di Dun Anak Bukit saya rasakan dapat beri sumbangan lebih bermakna kepada PH berbanding kekal dalam Pas,” ujarnya.

Menurut Amiruddin, beliau memilih untuk bersama PPBM bagi memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam misi untuk menjatuhkan BN.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk mengekalkan kerusi Dun Anak Bukit dalam PRU14, Amirudin menyerahkan kepada keputusan pucuk pimpinan Bersatu Negeri.

“Saya pulangkan keputusan itu kepada pimpinan PPBM. Saya menjadi ahli parti sahaja, jika merasakan di tempat yang saya sudah jadi wakil rakyat selama empat penggal ini masih dianggap ‘winable candidate’ atau ditempat lain terserahlah pada PPBM menentukannya,” ujarnya.

Mengenai dakwaan beliau akan membawa masuk lebih ramai ahli dan pemimpin Pas menyertai PH, Amiruddin berkata perkara itu sudahpun berlaku.

“Ramai yang bertanya saya soalan ini. Di Kulim dan Kubang Pasu sudah berlaku. Mahfuz pun dah keluar Pas (MP Pokok Sena). Sebagai sebuah negara demokrasi, jangan sesekali kita meletakkan intelektual seseorang di peringkat rendah.

“Kita harap jangan pandang rendah intelektual mereka itu (yang berhasrat keluar parti). sebenarnya mereka boleh menilai sendiri dan membuat keputusan sendiri sama ada untuk kekal dalam Pas atau berhijrah ke parti baharu yang dirasakan dapat membawa harapan mereka,” ujarnya yang tidak sekali-kali berhasrat untuk menarik ahli Pas di negeri itu keluar parti.

Senario Pas dan ‘Harumanis’

Ini kerana Amiruddin dilihat antara pemimpin Pas yang dikategorikan sebagai ‘harumanis’.

Mengenai kelompok ‘harumanis’ yang dilihat lebih cenderung kepada PH terutama di Selangor apabila mula tersebar desas-desus enam Adun Pas akan menyertai PKR, Amiruddin berkata, Adun Pas di Selangor mempunyai pertimbangan sendiri untuk menghabiskan penggal mereka sebagai wakil rakyat.

“Mungkin ada pertimbangan sendiri untuk menghabiskan penggal mereka sebagai Adun atau MP yang dipilih rakyat.

“Saya mengenali kawan-kawan bukan sehari dua tapi cukup lama. Mereka mempunyai prinsip tersendiri bukanlah menjadi satu faktor bagi mereka untuk lompat parti kerana tidak dipilih sebagai calon PRU, itu bukan puncanya, saya tidak fikir begitu.

“Kami di dalam Pas dididik dan diasuh untuk tidak bertindak bertanding di mana-mana tempat,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan Adun Pas sedang menunggu ‘tawaran’ kerusi daripada PH, beliau berkata, “Saya sendiri bukan tunggu tawaran untuk masuk PPBM, tetapi ‘tawarannya’ bukan kerusi… iaitu mari bersama kami, jika saudara merasakan penyertaan saudara itu memberi impak yang baik untuk PH.”

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa “kewujudan PPBM kerana rakyat untuk rakyat”.

“Itu tidak bermakna semua keahlian parti itu yang ada hari ini semua mereka menawarkan diri untuk bertanding atau berebut jawatan? Tetapi mereka merasakan dapat memberikan sumbangan di dalam politik untuk menyelamatkan negara daripada jurang kemusnahan,” hujahnya.

Mengenai pendirian Pas hari ini yang tidak bersama PH, Amiruddin, berpandangan Pas tidak seharusnya berada dalam Gagasan Sejahtera.

“Kalau dulu Pas pernah menyertai Pakatan Rakyat (PR), mengapa tidak hari ini dalam PH? PR dan PH itulah sepatutnya menjadi ‘blok kedua’.

“Bagi rakyat kita mahu hanya ada dua blok pilihan mereka sama ada BN atau PH. Sementara saya secara peribadi mengharapkan semua parti pembangkang hanya ada satu pakatan sahaja.

“Dengan masa yang berbaki kurang daripada 100 hari ini, saya fikir inilah masa dan peluang PH untuk memenangi lebih kerusi berbanding Pas walaupun terpaksa menghadapi tiga penjuru,” ujarnya yang menjangkakan dalam tempoh kurang 100 hari pilihan raya umum ini, Pas tidak berkompromi untuk bekerjasama dengan PH bagi memastikan BN tumbang dalam PRU14 kali ini.

'Mungkin hanya saya orang PAS yang masih sayang Mahfuz' - Subky Latif

Bekas wartawan veteran disegani Subky Latif merasakan mungkin hanya beliau di kalangan anggota PAS kini yang masih sayang pada Datuk Mahfuz Omar, susulan tindakan anggota parlimen Pokok Sena itu yang dilihat bercanggah dengan kepimpinan dan akhirnya keluar daripada parti minggu lalu.

Namun, kata bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu lagi, sayangnya terhadap PAS melebihi sayangnya terhadap Mahfuz yang menganggotai parti itu sejak 1984.

"Orang PAS yang sayang pada Mahfuz dari dulu memang ramai. Tapi mungkin yang sayang padanya lagi saya saja. Tapi sayangkan PAS lebih daripada sayang Mahfuz.

"Dia (Mahfuz) pun sayangkan PAS...Jika sayangkan PAS (kemudian) tinggal-tinggalkan (parti), maka jadilah ia sayang yang tidak difahami," katanya dalam tulisan terbarunya di Harakahdaily hari ini.

Mahfuz (gambar) akhirnya keluar PAS secara rasmi pada 31 Disember lalu, selepas sekian lama dilihat sering mengeluarkan pandangan yang bertentangan dengan kepimpinan PAS, antaranya berhubung soal kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) dua tahun kebelakangan.
Mungkin kerana pertentangan itu, kebanyakan pemimpin PAS tidak terkejut dengan langkahnya. Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang misalnya menganggap Mahfuz sebagai "ibarat orang dah lama mati (tetapi) baru ditanam".

Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyifatkan Mahfuz sebagai 'harumanis' - jolokan kepada anggota PAS yang cenderung kepada Pakatan Harapan dan AMANAH - yang telah "busuk".

Sebelum Mahfuz, seorang lagi pemimpin PAS Kedah iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah menyertai BERSATU pada 27 November lalu.

Namun, berbeza dengan pemimpin lain yang segera mengecam Mahfuz susulan tindakannya keluar parti, tulisan Subky membayangkan yang beliau masih menghormati Mahfuz, walaupun tetap dalam nada mengkritik.

Antaranya berhubung apa yang disifatkannya sebagai usaha Mahfuz untuk membolehkan PAS kembali bekerjasama dengan pakatan pembangkang, selepas pembubaran Pakatan Rakyat dan tewasnya kumpulan profesional dalam muktamar pemilihan 2015.
"Mahfuz isytihar cuti daripada PAS untuk berfikir dan cari jalan supaya PAS kembali ke pangkuan Pakatan.

"Tetapi dia tidak bertemu dan berbincang dengan PAS (tetapi dengan HARAPAN). Dia seru PAS dari jauh sama seperti PAS seru Umno dari jauh supaya masuk PAS," katanya.

Tetapi dalam tempoh itu, katanya lagi, Mahfuz kelihatan lebih kritis terhadap PAS berbanding pembangkang lain seperti Pengerusi BERSATU Tun Mahathir Mohamad, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Lebih dua tahun dia memerah otak...Lebih dua tahun memikir sehingga PAS tidak memikirkan dia tidak bersama PAS lagi.

"Dia bukan lagi berfikir panjang, tetapi lambat membuat keputusan," katanya lagi.

Bagaimana mahu kembali?

Subky berkata, Mahfuz adalah tokoh PAS yang terakhir akan berbuat demikian susulan perpecahan dalaman pda 2015 yang membawa kepada penubuhan AMANAH.

Justeru, katanya lagi, soal pemimpin keluar parti baginya sudah tidak penting sekarang berbanding usaha untuk membolehkan mereka kembali.

"Perhatian sekarang bukan lagi yang hendak keluar, tetapi bagaimana dan bila yang keluar itu hendak masuk balik.

"Ini ramai yang tidak fikir, tetapi inilah yang saya fikir. (Terutama) apabila saya terima untuk menjadi pengerusi 'sidang Assabiqun', wadah orang lama PAS yang baru diwujudkan," katanya tanpa menyatakan dengan lebih lanjut tentangnya.
-malaysiakini 

Lebih 50,000 orang dijangka hilang kerja tahun ini

LEBIH 50,000 orang pekerja dijangka akan diberhentikan tahun ini, lapor The Sun Daily.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsudin Bardan yang berkata sektor pembuatan akan menjadi sektor utama yang terjejas, diikuti dengan sektor insurans, perbankan dan peruncitan, dan juga sektor pembinaan.

Beliau berkata, pasaran kerja akan berdepan dengan beberapa cabaran, termasuk levi yang dikenakan terhadap majikan kerana menggaji pekerja asing dan Skim Insurans Pekerja (SIP).

"Penambahan hari cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari, dan juga cuti paterniti juga akan menjadi faktor," kata Shamsudin.

Laporan itu juga menyebut, automasi juga akan terus menjadi satu lagi faktor kehilangan kerja kerana syarikat akan beralih kepada penggunaan robotik dan teknologi maklumat.

"Syarikat multinasional yang terbabit dalam industri intensif buruh juga akan keluar berikutan kos gaji yang lebih tinggi di Malaysia.

"Mereka beralih kepada negara yang mempunyai kos buruh lebih rendah di mana tiada kos sosial yang tinggi," kata Shamsudin dan menambah Kemboja dan Laos merupakan antara negara yang mana gajinya di bawah AS$100 (RM402.59) sebulan berbanding AS$250 di negara ini.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor turut memberitahu The Sun, berdasarkan laporan yang diterimanya daripada Jabatan Buruh, 30,000 hingga 50,000 orang akan diberhentikan tahun ini, membabitkan mereka dari sektor kewangan, pembinaan dan pembuatan.
-themalaysianinsight

Tiba-tiba powerbank meletup


“Tiba-tiba ada bau hangit dan bunyi letupan di sebelah pipi kiri saya,” kata Rus Nur Adilla Rusli yang terkejut apabila power bank yang diletakkan di atas katil secara tiba-tiba meletup kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi Isnin itu menyebabkan beberapa bahagian tilam di dalam biliknya di rumahnya di Klang, Selangor, rosak terbakar.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana tidak berada di atas tilam terbabit dan sempat menghidu bau hangit ketika cuba untuk tidur.

“Ada hikmah saya tidak dapat tidur malam tadi. Ketika saya cas power bank dan letak di atas tilam sebelah bantal saya baring tiba-tiba ada bau hangit.

“Saya terus bangun dan melompat dari katil selepas mendapati power bank saya dah mula meletup dan mengeluarkan api,” katanya menerusi posting yang dimuat naik di laman Facebook.

Rus Nur Adilla terus meminta pertolongan daripada ayahnya yang berada di bilik sebelah dan pada mulanya berjaya memadamkan api sebelum merebak.

Bagaimanapun, ketika ayahnya cuba mengangkat peranti berkenaan secara tiba-tiba power bank terbabit meletup kembali.

“Saya dah menggelabah gila, lari dan ketuk bilik mak abah pula. Mak abah keluar, saya terus beritahu yang power bank saya terbakar.

“Kemudian abah suruh ambil kain basah dan tutupkan atas powerbank itu. Selepas beberapa minit, tengok api dah tak ada, abah cuba nak ambil power bank itu untuk dibuang.

“Tetapi secara tiba-tiba power bank itu meletup sekali lagi dan nasib baik abah sempat mengelak daripada terkena percikan api dari power bank tersebut,” kata Rus Nur Adilla.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, dia tidak pasti punca letupan itu dan power bank berkenaan baharu saja dibeli secara dalam talian di sebuah portal beli-belah terkenal.

“Saya beli power bank jenama Pineng dari Lazada ketika ada jualan murah tempoh hari. Jenama yang Pineng inilah yang terbakar.

“Nak kata overcharge tak juga sebab saya baru saja charge power bank itu. Cuma nak nasihatkan pada korang semua, tak perlulah guna power bank atau kalau nak guna juga,’ katanya

Tambahnya, dia masih trauma dengan kejadian terbabit dan berharap ia dapat dijadikan pengajaran buat semua.

“Tolong berhati-hati. Jangan letak power bank itu dekat dengan barang-barang mudah terbakar. Kalau tidak, macam inilah jadinya.

“Perkongsian ini bukan untuk menakutkan orang tetapi untuk diri saya agar lebih berhati-hati dan mungkin anda semua juga perlu berhati-hati,” katanya. – Mynewshub
-kualalumpurpost

Azmin bakal bertanding di Shah Alam PRU14?

NOR AZIHAN MD GHAZALI
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka akan bertanding di Parlimen Shah Alam pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan (Harapan) Selangor yang ke-2 di Pejabat Jabatan Pilihan Raya Keadilan Selangor di Vista Alam, di sini hari ini.

Mengikut sumber yang berada dalam mesyuarat itu mendedahkan, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula akan bertanding di Parlimen Hulu Langat.

"PKR dijadualkan akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan yang sebelum ini ditandingi oleh Pas.

"Bagaimanapun perkara ini masih dalam perbincangan dan memerlukan persetujuan semua rakan dalam komponen," katanya.
-sinarharian

4 mantan Ketua Pemuda Pas Malaysia sudah keluar parti

AMNI JAGAT
Dalam kenyataan media Dato’ Mahfuz Omar semalam telah membawa kepada genapnya empat bekas Ketua Pemuda Pas bertindak untuk meninggalkan parti yang mereka paut sebelum ini. Perkara itu berlangsung sekitar tiga tahun kebelakangan ini yang mana ia tanpa disedari telah mencipta suatu polemik bahawa permasalahan di dalam Pas dilihat ketara rekahnya.

Senarai empat bekas Ketua Pemuda PAS itu adalah, Haji Mohamad Sabu (Pemangku 1995-1996), Haji Salahuddin Ayub (2003-2009), Suhaizan Kaiat (2013-2015) dan yang terbaru Dato Haji Mahfuz Omar (1999-2003).

Hakikatnya, kesemua pemimpin pemuda ini adalah pelopor yang mewujudkan generasi di zaman mereka (sekitar 1995 – 2015) dan ini telah membuktikan bahawa Pas hari ini adalah sebuah parti yang dilihat sebagai parti ketandusan pemimpin yang membawa suara pemuda di zaman kebangkitan parti itu.

Apa yang menjadi persoalan, perkara ini adalah sebuah tamparan yang hebat kepada kepimpinan parti Pas hari ini yang ditunjangi oleh Dato Seri’ Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Presiden PAS. Tamparan yang dimaksudkan adalah berkenaan dengan tadbir urus parti yang dipandu beliau boleh dikatakan sebagai pincang dengan berlaku insiden seperti keluarnya mereka yang sebelum ini adalah pemimpin utama anak muda di dalam Pas.

Sememangnya, strategi yang cuba digarap oleh Pas hari ini dilihat seperti tidak berjaya memenangi hati ahlinya apatah lagi hati rakyat. Justeru dari apa yang berlaku ini, ia telah membuktikan bahawa Pas seperti hilang arah dalam membentuk konsep mempertahankan ahli dan perkara ini telah menjadi bukti bahawa PAS sekian hari telah didatangi dengan bayangan pemberontakkan dari ahli mereka sendiri.

Dalam hal ini, Pas perlu muhasabah dalam menilai pencapaian matlamat yang dikejar. Hari ini dapatlah dikonsepkan bahawa cita-cita Pas untuk menjadi ‘king maker’ semakin tipis apabila siri perletakkan jawatan serta keluar ahli mereka dari parti itu telah membataskan segala impian tersebut.

Justeru, apa yang boleh disimpulkan pada hari ini, Pas hanyalah sebuah parti yang akan menjadi pengacau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan membawa pertembungan dua kumpulan dari Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan. Kenapa ianya sebagai pengacau? Jawapannya, kerana Pas sendiri tidak ada strategi yang yakin terhadap rakyat.

Jika benar-benar Pas mempunyai strategi yang mantap sudah tentu dan pastinya ahli Pas atau pimpinan mereka tidak mengambil tindakan untuk keluar parti. Abdul Hadi perlu melihat akan perkara ini sebagai suatu yang utama.

Jangan hanya mengira hari untuk berhadapan dengan PRU sahaja, malah beliau perlu mengira sama ada Pas akan menjadi pengacau yang akan membantu memenangkan Barisan Nasional akibat dari undi yang terpecah.

Dari peristiwa yang membabitkan empat bekas Ketua Pemuda Pas ini bolehlah digambarkan sebagai Pas sudah semakin tidak relevan untuk memimpin negara kerana generasi penyambung kepimpinan telah pun disingkirkan. Apakah tindakan Pas hari ini mengikut adab Islam atau konsep Islam? Tepuk dada tanyalah iman dan akal bukan ketaksuban.

Diminta letak jawatan ini jawapan Mahfuz...

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan bahawa beliau mengambil maklum sebarang 'serangan' ke atasnya selepas beliau keluar daripada Pas.

Ini termasuklah kenyataan daripada pemimpin Pas yang meminta agar beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena.

Katanya, beliau hanya tersenyum tatkala mengetahui mengenai perkhabaran tersebut.

"Saya tunggu lagi apa orang nak kata, biar diorang keluar habis.

"Saya senyum sahaja baca surat khabar hari-hari," katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, mengulangi kenyataan beliau semalam, Mahfuz berkata beliau akan mengulas semua isu berkaitan pengundurannya daripada Pas dalam masa lima hari daripada sekarang.

"Seminggu selepas ini saya akan isytiharkan semua perkara," katanya lagi.

Sinar Harian hari ini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyarankan agar Mahfuz melepaskan jawatan selaku Ahli Parlimen selepas menghantar surat pemberhentian menjadi ahli Pas kelmarin kerana dibimbangi pendapatannya sebagai wakil rakyat adalah haram.

Takiyuddin berkata, ini memandangkan bekas Naib Presiden Pas itu masih terikat dengan baiah atau lafaz sumpah sebagai calon Pas.

Malah menurutnya, jika Mahfuz melanggar baiah itu, beliau juga berdepan laknat ALLAH SWT dan seluruh umat Islam.

Saksi: Dilanggar hingga mati, telefon bimbit pula dicuri

Adam Abu Bakar
PETALING JAYA: Seorang individu yang kononnya mahu membantu seorang pelajar yang dihujung nyawa selepas dilanggar sebuah van bertindak melarikan telefon bimbit mangsa, menurut seorang saksi kemalangan.

Menurut beliau, orang ramai ketika itu sedang menolong remaja itu, yang meninggal dunia selepas dilanggar sebuah van yang melanggar lampu isyarat berdekatan pusat membeli belah Danga City Mall, Johor Bahru.

Berdasarkan cerita seorang individu bernama Harry Cyclone di Facebook, FMT difahamkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki itu berlumuran darah apabila datang seorang individu memeriksa barang mangsa.

“Kami semua sedang menolong remaja ini dan datang seorang lelaki yang secara tiba-tiba memeriksa telefon untuk menghubungi ibu bapa remaja itu.

“Dia mengambil telefon remaja itu dan melarikan diri. Manusia jenis apa ini,” katanya di ruangan Facebook JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report.
FMT difahamkan remaja itu sedang menunggang motosikal apabila dilanggar sebuah van.

“Sebuah van yang melanggar lampu isyarat terus langgar remaja berkenaan. Berlaku pendarahan yang banyak di kepala remaja berkenaan,” kata Harry.

“Pemandu van berkenaan pada mulanya mahu melarikan diri tetapi berjaya dihentikan oleh orang ramai” tambahnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais ketika dihubungi FMT, mengesahkan kejadian berkenaan namun masih belum mendapatkan laporan lengkap kejadian.