"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak menolak Bajet bukan bererti menyokong kerajaan PN yang tiada keabsahan

 1. Tak ada sesiapa yang terima bajet 2021 dari blok PH ++ bulat-bulat. Penerimaan awal Bajet peringkat dasar bukan bermakna noktah berakhir. Peringkat jawatankuasa adalah tindakan susulan untuk meneliti setiap perincian kerana asal bajet telah dibuat berbagai perubahan dalam penggulungan Menteri Kewangan.

2. Adapun keputusan untuk ‘stand down’ undi (tak jadi mengundi tolak bajet) dari Ketua Pembangkang, ianya dibuat pada saat akhir semasa penggulungan sedang berlangsung.

3. Perubahan keputusan pada saat akhir menimbulkan berbagai kekeliruan di kalangan MP blok PH ++ sehingga membuatkan MP Pokok Sena mencadangkan usul belah bagi. Sebagai rekod, kelayakan mengundi disyaratkan 15 MP bangun menyokong usul.

4. Oleh kerana ketua-ketua parti menerima arahan ‘stand down’, bilangan 15 MP tidak mencukupi untuk undian, bagi AMANAH tidak semua MP nya berdiri tanda sokongan, dari PKR hanya seorang, DAP seorang manakala yang lain ialah dari Pejuang menjadikan bilangan mereka 13 MP sahaja.

5. Dari sudut etika, MP dari blok PH tertakluk kepada arahan Ketua Pembangkang untuk menyelaraskan tindakan mereka di dewan. Ketua Whip parti masing-masing akan menerima arahan untuk tindakan. Samada arahan saat akhir tidak diterima, atau arahan samar-samar ataupun sengaja dibuat, itu adalah sesuatu yang belum dapat dipastikan.

6. Dalam keadaan demikian, pada pendapat saya, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi pada waktu yang sama, kita tidak boleh menyalahkan penyokong2 PH dari berasa marah terhadap insiden yang berlaku. Untuk itu, saya secara peribadi memohon maaf jika tindakan kami menimbulkan keresahan, keliru dan marah atas arahan ‘tarik handbrake’ dari menolak bajet 2021 pada saat-saat akhir.

7. Atas garis yang sama, saya perlu bersikap adil untuk memahami mengapakah arahan saat akhir ini bertukar arah. Alasan Ketua Pembangkang secara asasnya bersandarkan kepada keperluan rakyat adalah lebih utama dari keperluan politik di dalam dewan.

8. Hakikatnya inilah yang berlaku…Semasa penggulungan 26hb Nov, Menteri Kewangan ternyata mengalah kepada tuntutan blok PH ++ dan BN backbencher berbanding dari janji-janji dalam pembentangan awal. Antara lain ialah morotorium pinjaman bank hingga Mac 2021, keluaran otomatik KWSP 10ks secara meluas dan pemotongan peruntukan untuk JASA.

9. Penyokong PH perlu memahami, ini adalah antara tuntutan PH dan BN backbencher yang disuarakan dalam perbahasan mereka. Adalah sesuatu yang merugikan jika kita menolak bajet yang tunduk kepada sebahagian kehendak kita. Bayangkan jika PH ++ menolak bajet ini, kita akan dilihat memperbodohkan diri sendiri dan mengundang kemarahan rakyat.

10. Ketua Pembangkang menegaskan bahawa semua pindaan yang disebut oleh Menteri Kewangan perlu diteliti di peringkat jawatankuasa bajet dan tidak menolak kemungkinan membawa usul belah bagi jika perincian tidak mencerminkan pindaan-pindaan yang dijanjikan. Perjuangan Bajet yang benar-benar menfaatkan rakyat belum berakhir. Saya merayu kepada penyokong PH janganlah cepat membuat rumusan dan andaian yang tidak membantu memperkukuhkan kesatuan dalam PH.

Apa sahaja yang berlaku pada 26hb Nov lalu tidak sama sekali menyokong keabsahan (legitimasi) kerajaan PN yang hingga kini tanpa majoriti yang terbukti. Perjuangan lebih besar ialah membawa usul tidak percaya kepada TSMY dan sekaligus mempertahankan demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa/Ahli Parlimen Parit Buntar/Naib Presiden AMANAH/28hb Nov 2020.

Penganalisis: Anwar tak cukup sokongan untuk undi belah bahagi

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kekurangan sokongan Ahli Parlimen untuk menolak Belanjawan 2021 ketika bacaan kedua Rang Undang-undang Perbekalan di Dewan Rakyat Khamis lalu.

Justeru, berdasarkan hakikat itu, beliau mungkin memutuskan untuk tidak meminta undi belah bahagi, kata James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania.

Presiden PKR itu mungkin memikirkan soal kredibiliti beliau sekiranya meminta undi belah bahagi tetapi gagal menghalang bacaan kedua rang undang-undang berkenaan daripada diluluskan, memandangkan sebelum ini percubaannya menawan Putrajaya September tidak berjaya, kata Chin.

” Beliau tidak mempunyai sokongan yang cukup atau sekiranya beliau mempunyai sokongan itu sebelum ini, mereka tidak lagi bersamanya,” kata Chin.

“Beliau tidak akan memilih untuk mengundi secara belah bahagi apabila ia jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai sokongan. Sekarang, beliau boleh masih mengatakan bahawa beliau masih mempunyai sokongan untuk menghalangnya pada peringkat jawatankuasa.

“Ramai orang kecewa dengan Anwar dan pembangkang tetapi mereka perlu menjadi realistik dan menyedari bahawa pembangkang tidak akan dapat bersatu untuk membantah belanjawan berkenaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata pembangkang mungkin terlepas peluang terbesarnya menumbangkan Muhyiddin Khamis lalu dan yakin kedudukan beliau sebagai perdana menteri “agak selamat” buat masa ini.

Chin melihat perubahan akan dibuat terhadap belanjawan berkenaan pada peringkat jawatankuasa untuk menampung keperluan Ahli Parlimen sebagai pertukaran kepada sokongan mereka.

Beliau melihat pilihan raya umum sebagai satu-satu opsyen untuk pembangkang mencapai matlamat menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Ahli Parlimen Umno memegang kunci

Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata peluang pembangkang untuk menjatuhkan Muhyiddin adalah tipis berikutan keputusan pimpinan Umno dan penyokong kerajaan menyokong belanjawan.

Beliau berkata meskipun sokongan daripada Umno adalah sedikit, ia tetap menjadi faktor penting.

“Umno tidak menyokongnya (Anwar) pada saat terakhir dan ia adalah sebab beliau berasa beliau tidak akan menang lalu memutuskan untuk tidak meminta undi belah bahagi,” katanya kepada FMT.

Mat Sabu: Hubungan dengan Anwar mesti dipertahankan

MALAYSIA DATELINE

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menegaskan hubungan AMANAH dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah dibina sejak 20 tahun yang lalu mesti dipertahankan.

Bagaimanapun menurut Mohamad di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing-masing ianya perlu diperbaiki.

“Begitu jugalah di dalam Pakatan Harapan yang menggabungkan tiga parti iaitu AMANAH, DAP dan PKR.

“Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan.

“Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan. Inilah sikap saya,”katanya.

Hal yang sama berlaku dalam perhubungan Mohamad dengan Tun Dr Mahathir apabila ada suara menasihatkannya untuk meninggalkan Tun Mahathir dan menghentam beliau, Mohamad katakan tidak.

“Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama-sama sepentas melawan kerajaan Kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali di antara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau,” ujarnya.

Ketika berlawan dengan BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir sebelum ini, beliau bersungguh-sungguh berlawan sehingga ditahan di bawah Akta ISA sebanyak dua kali, namun setelah bekas perdana menteri itu menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia untuk melawan BN pimpinan Najib Tun Razak AMANAH menghulurkan tangan untuk bekerjasama.

“Maka kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah Pakatan Harapan.

“Kerja keras yang kita lakukan telah berjaya di dalam pilihanraya yang lalu dan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018,” katanya.

Katanya, apabila AMANAH bergabung ianya sukar untuk berpisah malah sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ianya membuahkan kejayaan.

“Begitu jugalah halnya apabila kita bekerjasama dengan PKR pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Di dalam kerjasama ini, setiap orang ada kelebihan dan kelemahan. Tetapi apabila kita sudah bergabung amat sukar untuk berpisah disebabkan lamanya perhubungan sesama kita dan kesamaan titik perjuangan,’ katanya.

Pada pengundian undi belah bahagi Belanjawan 2021 Khamis lalu, hanya 13 orang sahaja Ahli Parlimen Pembangkang yang bangun menolak belanjawan itu menyebabkan ia diluluskan.

Sehubungan itu, Anwar Ibrahim mengaku telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang untuk mengarahkan agar tidak menyokong dan menolak cadangan undi belah bahagi dalam Dewan Rakyat.

MT Umno desak Gabenor Bank Negara dan CEO KWSP letak jawatan kerana menyusahkan rakyat?

Mana Gabenor Bank Negara dan CEO KWSP nak letak muka, tanya MT Umno

MALAYSIA DATELINE

Selepas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Zafrul Abdul Aziz memenuhi dua tuntutan utama dalam Belanjawan 2021, pemimpin Umno meletakkan kesalahan kepada Gabenor Bank Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang didakwa mereka sebagai penghalang ia dilaksanakan sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, kedua-dua mereka, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Tunku Alizakri Alias patut meletakkan jawatan tanpa syarat.

Beliau juga memberikan kredit kepada bekas Perdana Menteri yang telah didapati bersalah di mahkamah kerana mempelopori “sokong tanpa syarat” terhadap Belanjawan itu.

Puad juga bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

“Mana Gabenor Bank Negara dan CEO KWSP nak letak muka. Mereka ini penghalang kuat dua permintaan rakyat itu.

“Eloklah berhenti tanpa syarat,” tulis Puad, bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda yang akan dihidupkan semula oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas timbalan menteri itu mendakwa, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah umpama telor di hujung tanduk sebelum pengundian belanjawan kelmarin.

Sebelum ia dijatuhkan, barulah kerajaan PN bersetuju memenuhi pelbagai tuntutan untuk mengekalkan kerajaan yang ada.

“Mula mula telor di hujung tanduk. Bila nyaris ditanduk barulah Kerajaan setuju memenuhi dua tuntutan besar rakyat yang diperjuangkan oleh BN di Parlimen. Kredit kepada Najib kerana mempelopori sokong tanpa syarat,” tulis beliau.

Buat SOP biarlah masuk akal

Ibrahim Ali

Tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama kumpulan barisan hadapan, para doktor, jururawat dan ketua kengarah kesihatan serta pelbagai golongan petugas seperti polis dan tentera.

Mereka bertugas dengan cermerlang dan pengorbanan mereka amat dihargai dan disanjungi.

Sebenarnya tidak ada keperluan untuk tergesa- gesa bagi mendapatkan vaksin. Kita percaya banyak negara akan memperolehi lebih banyak vaksin, manakala setakat ini negara kita dapat menangani Covid-19 tanpa vaksin.

Kita berharap perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tidak dilanjutkan apabila tamat pada 6 Dis ini. Rakyat perlu bernafas dan kembali bebas untuk meneruskan kehidupan saperti biasa. Untuk berniaga dan berkerja. Tidak perlu ada halangan lagi.

Ketua pengarah kesihatan disarankan - semasa melaporkan status perkembangan Covid-19 setiap hari - agar menunjukkan dalam peta di mana pesakit Covid-19 berada supaya orang ramai boleh mengelak tempat tersebut.

Apabila tiba-tiba keluar berita di Selangor begitu ramai terkena jangkitan Covid-19, semua orang jadi panik. Padahal kawasan yang berlaku kejadian itu adalah di Klang yang membabitkan kilang Top Glove.

Perkara seumpama ini wajar dimaklumkan dengan tepat lebih awal.

Sementara itu sesiapa yang berhajat melakukan perjalanan rentas sempadan pula perlu mendapat kebenaran polis. Ini membebankan tugas polis dan menambah mereka yang tidak perlu.

Sudah ada peraturan tetap

Polis sepatutnya menumpukan tugas kepolisan untuk menangkap pencuri dan pelbagai jenis jenayah. Apatah lagi ketika negara dibanjiri pelbagai jenis pendatang asing termasuk yang masuk sebagai pelancong dan tidak pulang ke negara asal mereka.

Polis kena melipatgandakan operasi mencari dan menangkap mereka. Ini patut dijadikan keutamaan.

Manakala prosedur operasi standard (SOP) pula selalu berubah-ubah menyebabkan rakyat jadi keliru. Akhirnya ada yang kena tangkap dan didenda kerana naif dengan SOP dan undang-undang.

Mengenai makanan yang dipesan secara dalam talian untuk penduduk dalam kawasan petempatan berkawal, kenapa tidak dibenar makanan atau apa saja tempahan mereka diizinkan hantar terus kepada yang membuat tempahan?

Kenapa membebankan kakitangan keselamatan (pengawal keselamatan) yang terpaksa menghantar setiap hantaran tempahan atau yang membuat tempahan kena turun untuk dapatkan tempahannya bagi yang tinggal di kawasan seperti apartmen, flat dan kondominium?

Kenapa pula kolam renang di apartmen diarah tutup? Sebelum arahan tutup, setiap kolam renang sudah pun ada peraturan tetap. Tidak ada over crowding (orang bersesak-sesak). Boleh saja dihadkan pengguna setiap masa.

Maka tidak perlu diarah tutup kolam renang di kawasan apartmen.

Pengunjung atau pelawat pula dihadkan kepada 20 orang tanpa mengambil kira keluasan apartmen atau rumah. Ia sepatutnya dikira mengikut keluasan tempat berkenaan termasuk apa jua program yang di adakan.

Keluarga tidak dibenarkan melawat atau menziarahi orang tua. Ini menyebabkan kesunyian dan stress yang boleh menyebabkan kematian.

Kenapa ada syarat kepada setiap keluarga atau penguna kereta hanya dibenarkan dua orang - dan sekarang diizinkan tiga orang? Kenapa tidak dibenarkan jumlah dalam kenderaan mengikut saiz kenderaan?

Contohnya kalau kereta Vellfire yang boleh muat enam orang, kenapa dihadkan tiga orang?

Amat wajar pihak yang menguruskan SOP ini bersikap lebih prihatin dan berfikir secara mendalam sebelum membuat peraturan. Biarlah ia logik pada akal.

Sememang saya menyokong 100 peratus usaha menangani Covid-19 demi kesihatan dan keselamatan rakyat semua, tapi biarlah peraturan-peraturan yang dilaksanakan masuk akal.

Kempen pakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sabun dan selalu mengamalkan penjarakan fizikal mesti dilipatgandakan.

Semoga Allah SWT selamatkan kita semua daripada Covid-19.

Anwar setuju letak jawatan Ketua Pembangkang jika gagal jatuhkan PN?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pemuda AMANAH mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) jika gagal menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam masa tujuh hari.

Perkara tersebut diberitahu Sheikh Khuzaifah yang berkata, perjanjian itu dibuat selepas Anwar gagal memberi penjelasan kepada rakan-rakan komponen berhubung arahan saat akhir agar tidak menyokong cadangan undi belah bahagi semalam.

Menerusi Twitternya, dia berkata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berang dalam mesyuarat Pakatan Harapan kerana tindakan Anwar, selain kata-kata Anwar yang hanya meminta untuk tidak risau kerana sudah ada sokongan.

“(Ahli Parlimen) Kota Raja dan Pulai mengamuk dalam mesyuarat PH selepas sidang. Ketua Pembangkang telah sekali lagi ‘throw’ kawan-kawan ‘under the bus’. Sama seperti ketika memutuskan untuk berunding dengan kumpulan lanun.

“Anwar hanya berkata ‘jangan risau. Saya ada Akuan Bersumpah (sokongan). Muhyiddin habis’.

“Setelah tidak dapat memberikan penjelasan sewajarnya kepada kawan-kawan, dia akhirnya bersetuju jika kerajaan PN gagal dijatuhkan dalam masa 7 hari, dia akan letak jawatan sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang.

“Ini harus kita pegang dan tuntut,” katanya.

Menurutnya, semua Ahli Parlimen telah bersetuju untuk menunggu tujuh hari tersebut dan perbincangan kini tertumpu bagaimana untuk menjelaskan kepada ahli-ahli di bawah.

Naratif yang dipersetujui pula, pembangkang dikatakan akan menolak sebahagian belanjawan, melawan ketika undi peringkat Jawatankuasa dan tidak tolak belanjawan dasar demi rakyat.

Dalam tweet awalnya tadi, Sheikh berkata, terlalu banyak yang diselindungkan sehingga membodohkan ahli dan pengundi.

Baginya, keputusan dilakukan Anwar sebenarnya sama sekali tidak berkait dengan isu belanjawan kerana Anwar telah berjanji untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui undian tersebut.

Bahkan katanya, belanjawan boleh dibentangkan semula jika PH Plus yang merampas semula kerajaan.

“Belanjawan tak jadi isu kerana jika PH Plus ambil alih kerajaan, tentulah kita akan bentangkan semula.

“Jadi, soal tolak bantuan untuk rakyat dan lain-lain tidak timbul sama sekali. Kerajaan baru akan bentang belanjawan baru.

“Mesyuarat PH Plus pada hari Selasa juga setuju sebulat suara untuk menolak belanjawan sebagai isyarat tidak percaya kepada kerajaan PN,” katanya lagi. 

'Saya boleh mati 'anytime' – Bob Lokman

Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Doktor maklumkan dalam tempoh sebulan ini, tak mustahil jika saya meninggal dunia secara mengejut,".

Demikian kata pelakon, pelawak dan penulis lirik popular, Bob Lokman mengenai keadaan kesihatannya kini.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 56, juga memohon maaf kepada semua pihak sekiranya ada kata-kata atau tindakannya ketika zaman kegemilangannya di kaca TV mengguris hati.

"Doktor maklumkan, saya berisiko tinggi untuk meninggal dunia secara mengejut. Itu berdasarkan ilmu kedoktoran, namun saya serahkan soal ajal kepada Allah.

"Kepada yang mengenali saya atau tidak, saya banyak dosa. Maafkan sekiranya ada yang terguris dengan kesombongan saya, tutur kata, atau lawak jenaka saya yang keterlaluan ketika saya muncul di kaca TV," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya, Bob berkata, dia baru dibenarkan keluar hospital hari ini selepas dua hari ditahan akibat masalah jantung.

"Saya menngalami masalah jantung sejak 1998. Rabu lalu, kali pertama saya berdepan situasi di mana jantung saya berdegup kencang. Ketika saya nak ambil wuduk, tiba-tiba saya pitam sekejap kerana oksigen tak sampai ke otak. Apabila saya tersedar sekejap, saya macam lupa apa yang saya sedang buat.

"Jadi, apabila dada saya mula sakit sampai ke bahagian belakang, saya minta sepupu saya hantarkan saya ke bahagian kecemasan di Hospital Univers Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, tak jauh dari rumah," katanya yang kini berada di Kelantan.

Katanya, selepas dirawat doktor memaklumkan jantungnya semakin membengkak dan banyak parut. Ia membuatkan kadar denyutannya tak stabil.

"Satu cara adalah untuk memasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantung," katanya.

Namun, kos untuk pemasangan alatan itu dan juga kos rawatan mencecah RM60,000 sekali gus memaksa Bob dan keluarga memohon bantuan.

"Selama ini, kos untuk ubat-ubatan saya setiap bulan mencecah RM700 sebulan. Itu tak menjadi masalah kerana saya masih lagi mampu untuk menanggung kos itu. Cuma apabila dimaklumkan kos rawatan dan pemasangan alat IACD ini mencecah RM60,000, saya akui memang tak mampu. Jadi, saya mohon kalau ada yang sudi membantu untuk menderma.

"Terima kasih juga kepada pihak Muslim Care Malaysia yang sudi membantu. Alhamdulillah, ada juga rakan-rakan penderma yang sebelum ini pernah menderma untuk surau dan sekolah tahfiz yang saya bantu, kini membantu saya pula," katanya.

Ahad ini, Bob akan menjalani ujian darah dan perlu melaksanan rawatan pemasangan IACD dalam masa sebulan.

Bagi sesiapa yang ingin menderma, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank bernombor 162348359386 atas nama Relawati Daud (isteri Bob) atau akaun Maybank bernombor 564490211159 atas nama Muslim Care Malaysia.

MUHYIDDIN BELUM MENANG, ANWAR JUGA TIDAK KALAH, CUMA MAHATHIR KIAN TERSISIH

Shahbudin Husin

Ramai yang terlihat kecewa dengan keputusan PH menolak undi belah bahagi bagi pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021 semalam sehingga menyebabkan ia diluluskan hanya berdasarkan kuatnya suara Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong.

Sehubungan itu, tidak kurang yang menyalahkan Anwar Ibrahim atas kegagalan menolak belanjawan tersebut.

Mereka itu, sebahagian besarnya penyokong PH sendiri, dengan lantang menempelak dan mengecam Anwar sehingga menyeret kepada andaian bahawa Presiden PKR itu sudah tidak layak lagi untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Hakikatnya, walaupun belanjawan telah diluluskan di peringkat dasar semalam, ini tidak bermakna Belanjawan 2021 telah lulus dan perjuangan blok pembangkang untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin sudah berakhir.

Kelulusan semalam hanyalah untuk bacaan kali kedua dan bermula Isnin nanti, akan bermula perbahasan yang diikuti pengundian di peringkat jawatankuasa atau kementerian, seterusnya akan dilakukan bacaan kali ketiga serta pengundian sekali lagi.

Selepas lulus semua pengundian itu, barulah dikira Belanjawan 2021 telah diluluskan untuk dibawa ke Dewan Negara bagi pengesahan, seterusnya boleh dibawa untuk perkenan Yang Dipertuan Agong.

Dalam erti kata lain, Muhyiddin belum lagi boleh diisytiharkan menang dalam perjuangaj belanjawan ini dan Anwar atau juga tidak kalah secara mutlak.

Perjuangan masih diteruskan dan laluan untuk belanjawan ini diluluskan masih lagi panjang, malah boleh dikata tetap berliku.

Walaupun penolakan jika dilakukan semalam, adalah baik untuk memberi gambaran bahawa Anwar dan PH tidak berkompromi dengan kedudukan kerajaan yang tiada keabsahan serta majoritinya diragui, tetapi persoalan penting harus difikirkan, apakah kemenangan boleh diperolehi memandangkan BN telah membuat ketetapan menyokong belanjawan di saat-saat akhir berikutan tuntutan pengeluaran KWSP akhirnya dipenuhi oleh kerajaan?

Sebelum ini, selain Tengku Razaleigh Hamzah yang dilaporkan hampir pasti berkecuali, beberapa Ahli Parlimen BN, khususnya Najib Razak dan yang lain-lain juga cenderung untuk menolak belanjawan kiranya tuntutan yang mereka minta tidak dipenuhi.

Malah, dalam perbahasan, Najib dan Anwar senada bahawa sokongan mereka terhadap belanjawan adalah mengambil kira sama ada kerajaan sedia memenuhi tuntutan berkaitan KWSP, moratorium wajib enam bulan lagi serta dana untuk propaganda Jasa dimansuhkan.

Makanya, oleh kerana tuntutan itu sedia dipenuhi kerajaan, Najib selaku Pengerusi BNBBC dan Zahid Hamidi atas kapasiti Pengerusi BN mengambil keputusan untuk menyokong belanjawan itu.

Apabila tuntutan itu dipenuhi, bererti bukan saja desakan Najib dan BN telah dipenuhi kerajaan, bahkan desakan Anwar juga turut didengari.

Bayangkan, apa jadi setelah tuntutan itu dipenuhi kerajaan, tetapi Anwar masih juga bersikap menolak belanjawan?

Sudah pasti, beliau akan dikecam dan dianggap tidak mengambil kira keperluan rakyat dan dinilai secara semberono menolak belanjawan.

Lebih-lebih lagi, berdasarkan BN sendiri menyokong belanjawan, penolakan Anwar dan PH jauh sekali untuk membuahkan kejayaan.

Dengan kalah di peringkat dasar lagi, ia akan lebih menyukarkan jika Anwar berhasrat untuk terus menolak belanjawan di peringkat jawatankuasa atau selepas bacaan kali ketiga nanti.

Tetapi, dengan membiarkan belanjawan diluluskan di peringkat dasar terlebih dahulu, Anwar dan PH boleh memfokuskan perjuangan mereka selepas ini untuk peringkat jawatankuasa atau kementerian serta membangkitkan isu-isu peruntukan tidak perlu atau yang tiada kaitan dengan Covid19, seterusnya memohon pengundian belah bahagi bagi tujuan tersebut.

Harus difahami, ada berpuluh-puluh perbahasan di peringkat jawatankuasa atau kementerian bermula Isnin ini dan jika kerajaan tidak mendengar semua bantahan yang disuarakan, kemungkinan ada yang gagal diluluskan lantaran tidak mustahil ada Ahli Parlimen BN turut tidak setuju dengan beberapa perkara dalam belanjawan di peringkat jawatankuasa.

Dalam posting di laman Facebooknya malam tadi, Najib juga menyatakan beliau masih menunggu butiran lanjut mengenai pengeluaran KWSP yang dibenarkan kerajaan dan membayangkan tidak teragak-agaknya untuk menolaknya di peringkat jawatankuasa jika kebenaran yang diberi kerajaan masih tidak memenuhi sebagaimana yang diminta.

Selain itu, strategi menolak pengundian di pertingkat dasar semalam juga bermakna Anwar tidak mendedahkan angka sebenar sokongan yang dimilikinya.

Menyembunyikan buat sementara perkara itu akan menjadikan Muhyiddin sentiasa dalam keadaan tidak menentu dan resah yang berpanjangan.

Ia turut menjadikan Muhyiddin sentiasa bergantung untuk sentiasa memenuhi tuntutan Najib dan BN bagi memastikan kerajaan pimpinannya tidak ditumbangkan.

Akhirnya, keadaan itu menjadikan UMNO dan BN terus menekan Muhyiddin sehinggalah PRU akan datang.

Dalam waktu yang sama, sementara Anwar sebelum ini telah mengadap Agong dengan membawa surat sokongan daripada Najib dan Zahid Hamidi, lulusnya belanjawan semalam tidak bermakna usaha mahu mengambil alih kerajaan sudah berakhir.

Perkara boleh terus berlaku bila-bila masa, sama ada ketika sidang Parlimen ini tengah berjalan atau selepasnya nanti.

Sekali lagi, ini juga menimbulkan keresahan dan jiwa kacau buat Muhyiddin.

Yang nyata, selain Muhyiddin belum menang dan Anwar juga belum kalah, hanya Tun Mahathir Mohamad yang jelas tersandung semalam kerana terbukti beliau semakin tiada sokongan, tersisih dan tidak relevan lagi untuk kembali sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

Sebab itu, tidah hairan, selain Tun Mahathir, para pentaksub bekas Perdana Menteri itu juga jadi agak emosi dan melenting dengan strategi Anwar semalam.

Hakikatnya, Anwar bukan saja telah berjaya menjadikan Tun Mahathir termalu sendiri kerana sokongan terbukti amat kecil di belakangnya, ia juga menunjukkan Presiden PKR itu lebih ke depan dalam permainan strategi politik.

Kemarahan Tun Mahathir lewat petang semalam melalui tulisannya dengan menempak wakil rakyat pembangkang kerana menolak undi belah bahagi adalah bukti jiwanya sedang sengsara dan terluka.

Sementara Anwar kekal tidak melayan walau sepatah cecehan Tun Mahathir terhadapnya, tetapi dalam diam-diam beliau membuktikan kehebatannya.

Pemuda DAP gesa Anwar mohon maaf pada rakyat dan rakan sekutu

Pemuda DAP menggesa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.

Ini selepas Anwar memberi arahan saat-saat akhir untuk tidak meneruskan undi belah bahagi pada undian Belanjawan 2021 peringkat dasar semalam.

Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat berkata DAP perlu pertimbang untuk memutuskan "berpisah" dengan PKR dan menyusun semula barisan pembangkang sekiranya Anwar, yang juga presiden parti itu, enggan meminta maaf.

"Anwar telah mengakui bahawa beliau memberi arahan supaya DAP dan PKR agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

"Jadi, beliau perlu bertanggungjawab dengan sepenuhnya atas kesilapan beliau dan meminta maaf terhadap penyokong Pakatan Harapan (PH).

"Sekiranya DSAI masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat, maka pemimpin pusat DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan PKR, biarlah PH dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Anwar sebelum ini menjelaskan bahawa dia meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi kerana tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Anwar juga berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Sementara itu, Teh menolak penjelasan bahawa pembangkang akan memastikan undi belah bahagi di peringkat jawatankuasan.

"Penjelasan seperti ini adalah tidak bertanggungjawab sekali. Bacaan kedua (peringkat dasar) merupakan peringkat di mana ahli parlimen menyatakan pendirian mereka berdasarkan prinsip-prinsip.

"Sekiranya belanjawan ditolak di bacaan kedua, maka bacaan ketiga kehilangan keperluannya.

"Pemimpin PH telah mengelakkan undi belah bahagi di peringkat bacaan kedua, bagaimanakah kita mampu menyakinkan penyokong bahawa kita akan memandang serius dalam peringkat yang seterusnya?" soalnya.

Teh turut menyifatkan bahawa kegagalan untuk meneruskan undi belah bahagi sebagai saat yang paling memalukan dalam sejarah perjuangan DAP di Parlimen sejak penubuhan parti itu.

Belanjawan 2021semalam diluluskan melalui undian suara.

Meskipun Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar ketika itu mengusulkan undi belah bahagi, speaker menolak usul itu kerana hanya mendapat sokongan 13 ahli parlimen, iaitu kurang dua daripada jumlah yang diperlukan.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk daripada kalangan pemimpin PH sendiri menyifatkan keputusan untuk tidak mengadakan undi belah bahagi sebagai satu kesilapan dan mengecewakan.

Guan Eng, Mat Sabu mahu, tapi saya kata tidak pada undi belah bahagi, dedah Anwar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendedahkan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mahu undi belah bahagi dibuat terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, namun beliau meminta tidak berbuat demikian.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata langkah itu supaya Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman menteri kewangan.

“Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana kementerian lain. Apakah jumlah sebenar belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

“Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan moratorium bank juga perlu diteliti,” katanya.

Anwar berkata, masih wujud peluang bagi pembangkang menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu akan datang.

Semalam, Anwar dijangka meminta Ahli Parlimen pembangkang memilih supaya menentang RUU berkenaan, namun hanya 13 Ahli Parlimen yang berdiri untuk meminta undi belah bahagi, ketika sekurang-kurangnya 15 wakil diperlukan untuk proses itu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti itu.

“Ini adalah tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan (precedent) Parlimen,” katanya. 

Enggan tolak belanjawan, pembangkang iktiraf kerajaan kecuali 13 MP

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Apabila belanjawan dilulus tanpa tentangan di peringkat bacaan kali ke-2 di Dewan Rakyat, ini bermakna Kerajaan sudah pun diiktiraf oleh pembangkang, kecuali 13 ahli yang berdiri menentang.

Menentang di peringkat jawatankuasa, seperti yang dikata akan dilakukan, tidak akan bawa apa-apa kesan signifikan ke atas Kerajaan mahupun kepada belanjawan yang dikemuka.

Ianya hanya usaha untuk mengalih pandangan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang.

Kerajaan pintu belakang pimpinan Tan Sri Muhyiddin bukan dipilih rakyat. Manipulasi dilakukan untuk merampas kuasa daripada Kerajaan pilihan rakyat.

Tidak cukup di peringkat Pusat, Kerajaan negeri Sabah yang jelas dipilih rakyat juga dirampas dengan memaksa pilihan raya negeri diadakan.

Untuk kekal berkuasa, Kerajaan ini terpaksa sogok Ahli Parlimen untuk dapat sokongan.

Pada perbahasan Belanjawan 2021 semalam, kita dapati bukan sahaja parti Kerajaan yang sokong, tetapi sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang menyokong.

Ini aneh. Selama Kerajaan Tan Sri Muhyiddin tertubuh, pihak pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tak percaya di Parlimen.

Tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.

Tetapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, dua kurang daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara.

Tidak dapat tidak, kita cenderung untuk percaya yang pelbagai gula-gula ditawar untuk dapat sokongan. Jika benar bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada negara. Segala-gala boleh dibeli dengan duit, termasuk Kerajaan.

Kerajaan pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuh kerana wakil yang dipilih oleh rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah. Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh rampas kuasa dan terus memerintah negeri dan negara.

Pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.

Saya dan kumpulan Pejuang akan terus tolak Belanjawan ini. Ini kerana kami tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara di dalam usaha tangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19.

Tidak ada apa-apa rancangan untuk pulih dan kembangkan ekonomi serta bantu perniagaan yang terjejas teruk.

Yang ada hanya pemberian wang dan lebih banyak wang yang ditawar untuk menawan hati rakyat. Tidak dinyata di mana dan bagaimana Kerajaan akan dapat hasil untuk biayai semua ini.

Kerajaan yang menagih populariti dengan sogokan untuk kekal berkuasa tidak ada beza dengan Kerajaan kleptokrat yang kita jatuhkan. Mereka hanya akan hancurkan negara ini.

Anwar tak cukup undi atau tak mahu Yang di-Pertuan Agong murka?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin mengakui kegagalan blok pembangkang mencadangkan undi belah bahagi di Dewan Rakyat semalam, menimbulkan syak wasangka dan persoalan tentang strategi dan mainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, tindakan Anwar semalam mendorong kepada persoalan lain iaitu adakah beliau tidak yakin mempunyai sokongan kukuh seperti yang didakwanya pada 13 Oktober lalu.

Ini kerana menurutnya, jika benar Anwar mempunyai sokongan seperti yang diperkata, Pakatan Harapan (PH) boleh mengalahkan Perikatan Nasional (PN) dalam undi belah bahagi menolak belanjawan semalam.

“Mungkin benar (Anwar punya sokongan) dan mungkin tidak, kerana dia dikhabarkan baru saja menyerahkan dokumen kepada Istana Negara bagi membuktikan sokongan 128 ahli Dewan Rakyat terhadapnya.

“Tapi seperti kata Anthony Loke Siew Fook, Ketua Parlimen DAP, kalau PH tolak Rang Undang-undang itu, dia akan dituduh ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Faktor mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong ini cukup menarik. Andainya betul Anwar telah mempersembahkan bukti 128 SD (Akuan Bersumpah) menyokong beliau, maka tindak balas Seri Paduka Baginda adalah penentu masa depan Ketua Pembangkang itu,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Dengan itu kata Kadir, Anwar perlu berhati-hati agar tindakannya tidak menimbulkan kemurkaan Baginda.

Pada masa sama beliau menjelaskan, Belanjawan 2021 masih lagi belum diluluskan dan perlu melalui dua atau tiga peringkat lagi sebelum pengundian terakhir yang dijadualkan pada 17 Disember ini.

“Orang ramai yang tidak arif tentang peraturan Dewan mungkin percaya Belanjawan 2021 telah lulus dan pembangkang belot atau mengaku kalah. Rang Undang-undang Perbekalan 2021 hanya lulus peringkat bacaan kedua iaitu peringkat dasar.

“Mulai Isnin ini, perbahasan akan masuk peringkat jawatankuasa di mana peruntukan setiap kementerian perlu dibahas secara terperinci dan diluluskan.

“Pada peringkat itu, secara teknikal, setiap hari ada peluang bagi mengusulkan undi belah bahagi oleh mana-mana 15 Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Kemasukan setengah juta warga asing mungkin babitkan unsur rasuah

SITI NUR ZAWANI MISCON

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menganggap wujudnya unsur rasuah ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) berhubung kemasukan warga asing dalam negara yang telah dibawa masuk dengan ‘kelulusan khas’ dari Menteri Dalam Negeri.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya sebelum ini mendapati, kelulusan melalui permohonan khas bagi kemasukan pekerja asing lebih tinggi berbanding menggunakan permohonan biasa.

PAC melaporkan hampir 512,315 kelulusan khas diberikan kepada pekerja asing sepanjang 2016 hingga 2018, berbanding dengan 416,510 kelulusan melalui permohonan biasa.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, kelulusan khas yang diberikan ahli politik BN ketika itu kepada ‘orang tengah’ untuk membawa masuk warga asing, menimbulkan persoalan mengenai rasuah.

“Patriot ingin bertanya kepada Zahid Hamidi, mengapa lebih dari setengah juta kelulusan khas diberikan dan tidak membawa masuk pekerja asing melalui permohonan biasa?

“Apa alasan untuk melantik ahli politik sebagai orang tengah dalam ‘perdagangan’ ini? Dengan melakukan itu, bukankah ianya tindakan kronisme?

“Adakah salah jika orang awam menganggap bahawa semua orang tengah (termasuk ahli politik) telah mendapat keuntungan wang?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, ahli politik yang dilaporkan sebagai orang tengah dalam isu berkenaan ialah Tan Sri Pandikar Amin Mulia (bekas Speaker Parlimen), Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang), Datuk Masir Kujat (Ahli Parlimen Sri Aman), Datuk Seri Mohd Alwi Che Ahmad (Ahli Parlimen Kok Lanas) dan Muhammad Yusof Mohd Nor (Adun Sungai Dua).

Berikutan itu, Patriot menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap amalan yang tidak menepati proses permohonan kuota pekerja asing, iaitu perlu menyediakan saringan kelayakan yang ketat

“Laporan PAC telah mengundang persepsi masyarakat terhadap penyalahgunaan dan kemungkinan besar berlakunya rasuah dalam isu ‘kelulusan khas’ oleh kementerian dalam negeri antara 2016 dan 2018,” katanya lagi.

Tidak Tolak Belanjawan: 'Anda ingat kami bodoh' - Penganalis

Penganalisis politik Prof Dr Wong Chin Huat berpendapat belanjawan perlu diundi secara belah bahagi pada peringkat dasar semalam.

"Anggota parlimen (perlu) menyatakan pilihan mereka ya atau tidak.

"Untuk memilih undi suara - digunakan hanya ketika andaian mempunyai majoriti yang jelas pada perkara yang tidak kontroversi- sama sekali tidak profesional.

"Alasan paling pincang yang saya dengar adalah 'tidak berguna' (futility), kerana penukaran sokongan Umno tidak berlaku.

"Tidak, anda tidak mengundi hanya apabila anda dapat memastikan keputusan undiannya.

"Sekiranya ahli parlimen begitu 'memikirkan akibat tindakan mereka', maka adakah patut jika penyokong parti mereka hanya tinggal di rumah semasa pilihan raya bagi setiap kawasan yang bukan kubu kuat mereka?" soal Wong pada hantaran di Facebooknya, malam tadi.

"Alasan paling 'pincang' kedua adalah bahawa 'kami membantah melalui suara suara'. Undi suara adalah hanya untuk pilihan 'ya'. Anda fikir kami bodoh?"

"Jika masalahnya adalah kempen 'menentang Agong', maka mereka harus setidaknya memilih tidak mengundo selepas memilih undi belah bahagi," katanya lagi.

"Anwar, (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng, (Presiden Warisan) Shafie Apdal dan (Presiden Amanah) Mohamad Sabu berhutang penjelasan kepada masyarakat," tambah Wong.

Maradona disemadikan di perkuburan Bella Vista, Buenos Aires

Media mengelilingi sebuah ambulans dipercayai sedang membawa lagenda bola sepak, Diego Maradona di Buenos Aires pada 11 Nov. (Gambar AP)

BUENOS AIRES: Pemain bola sepak hebat Argentina Diego Maradona selamat disemadikan di tanah perkuburan di kawasan perumahan Bella Vista berhampiran Buenos Aires, lapor agensi berita Sputnik, memetik penyiar TN.

Tanah perkuburan itu dipilih kerana ibu bapa Maradona dikebumikan di sana.

Penyerang ikonik itu meninggal dunia pada Rabu pada usia 60 tahun akibat serangan jantung.

Dua minggu sebelum kematian beliau, Maradona dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan di bahagian otaknya.

Berlaku pergaduhan dan rusuhan di Buenos Aires pada Khamis ketika majlis perpisahan berlangsung. Sekurang-kurangnya 9 orang ditahan manakala ramai orang awam, wartawan dan jurukamera RT, mengalami kecederaan.

Polis tahan pendakwah selebriti dituduh rogol gadis

Polis malam tadi menahan seorang pendakwah selebriti bagi membantu siasatan atas tuduhan merogol seorang gadis pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib pada satu kenyataan malam tadi berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan selepas hadir ke balai memberi keterangan.

Katanya, sebelum itu mangsa memfailkan laporan polis mengenai kejadian tersebut sekitar jam 7.18 malam tadi.

"Difahamkan, mangsa berusia 23 tahun keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial Instagram kira-kira jam 8 malam pada 11 September tahun lalu.

"Mangsa menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.

"Suspek seterusnya membawa mangsa makan di kedai makan di Batu 3, Shah Alam dan kemudian ke rumahnya iaitu sebuah studio di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan berhubung bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan," katanya.

Ketika berada di rumah berkenaan, Baharudin berkata mangsa dirogol dan tidak berdaya untuk melawan selain mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat terbabit.

"Keesokan harinya, suspek bertindak menghantar mangsa ke lobi dan mangsa menaiki kenderaan pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya menggunakan perkhidmatan e-hailing atau Grab.

"Mangsa yang mengalami tekanan perasaan yang teruk kemudian dimasukkan ke Hospital Kajang serta dirujuk ke rawatan psikiatri dan perlu rawatan susulan pada 23 September tahun lalu," katanya.

Baharudin berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang dan mendapatkan rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Katanya, mangsa juga ditahan selama lima hari di wad psikiatri.

Menurutnya, pihak hospital berkata mangsa mengalami tekanan perasaan serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan masih menerima rawatan susulan.

Baharudin memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jelasnya lagi, polis akan memohon perintah penahanan reman untuk suspek daripada mahkamah Shah Alam pagi ini.

Anwar minta rakan biarkan belanjawan lulus dulu

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata dia telah meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi pada Belanjawan 2021 hari ini.

Ini kerana kata Anwar, dia tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Namun, Anwar berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Menjelaskan tindakannya setelah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Anwar berkata gabungan itu tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana isu utama seperti perbelanjaan "tidak realistik" belum dijawab oleh Zafrul, katanya.

"Tetapi apa yang dilakukannya adalah mengumumkan geran dan elaun tambahan untuk barisan depan, petani, nelayan dan lain-lain.

"Itu menjadikan isu ini sulit. Saya tidak mahu dilihat mengabaikan fakta bahawa menteri telah mengambil beberapa langkah, yang lebih diterima oleh rakyat.

"Walaupun Lim dan Mohamad mempunyai pandangan yang kuat, saya merayu mereka, berikan tugas itu, buat masa ini kita harus biarkan (belanjawan) terus berjalan," katanya kepada wartawan di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan Anwar untuk tidak melakukan undi belah bahagi dibuat pada saat-saat akhir.

Berikutan itu berlaku satu pertemuan selama dua jam mengenai perkara itu yang dikatakan berlangsung 'panas'.

"Ia ambil masa lama sebab mereka (MP) sama ada hentam atau pertahankan dia (Anwar)," kata seorang ahli Parlimen Harapan yang hadir dalam mesyuarat itu.

"Keputusan Anwar jadikan semua orang berada dalam posisi yang sangat sulit," katanya.

Sumber berkata Presiden Amanah, Mohamad "geram dan kecewa" terhadap presiden PKR itu, manakala DAP "sangat tidak senang" dengan keputusan berkenaan.

Bercakap kepada wartawan, Anwar berkata keputusan hari ini bukan bermaksud Pakatan Harapan akan membenarkan belanjawan diluluskan pada peringkat jawatankuasa atau bacaan kali ketiga nanti.

"Kita telah buat keputusan untuk minta belah bahagi

"Seandainya beberapa kementerian bercanggah dengan pendirian kita dalam pengurusan kerajaan baik, penyelewengan, soal dasar. Ini kita mula dari hari Isnin," katanya.

PH katanya, juga ingin penjelasan lebih terperinci mengenai pengumuman terbaru yang dibuat oleh menteri kewangan hari ini.

Hari ini, Zafrul mengumumkan beberapa perubahan, termasuk meluaskan pengeluaran Akaun 1 KWSP kepada semua pencarum yang terjejas pendapatan tahun ini.

Terdahulu, Umno turut menuntut perkara itu dan membayangkan akan menolak belanjawan jika ia tidak dipenuhi.

Zafrul turut mengumumkan bahawa peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dikurangkan. Perinciannya akan dimaklumkan di peringkat jawatankuasa.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat, Anwar berkata: "Kita akan menyentuh soal itu bila tiba masanya (we will cross it at the right time)".

‘Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikit rasa bersalah mungkir janji kepada rakyat’

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Apabila cuma 13 ahli Parlimen bukan kerajaan bangun untuk tolak Belanjawan 2021, undi belah bahagi tidak dapat dilakukan kerana ia memerlukan 15 ahli.

Apabila ini berlaku, ia bermakna bahawa kerajaan yang dipilih rakyat boleh dijatuhkan di tengah jalan dan diganti dengan kerajaan pintu belakang. Pilihan raya tidak bermakna lagi.

Kerajaan yang didirikan melalui rasuah dan sogokan pada Ahli Parlimen, dan kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikit pun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.

Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi saya dan semua ahli Parti Pejuang, serta beberapa ahli Parlimen yang lain, kami tetap berpegang kepada janji kami untuk menolak belanjawan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Apabila kami mengambil pendirian, kami tidak berganjak atas dasar amanah dan tanggungjawab kami sebagai wakil kepada rakyat.

Kami tetap dengan pendirian menentang apa sahaja bentuk rasuah dan kami berharap yang rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah. Hanya dengan penolakan rasuah sahaja yang kehancuran negara dapat di elak.

Perasuah, penjenayah dan segala bentuk penyamun boleh membentuk kerajaan hanya dengan menggunakan wang untuk membeli undi dan wakil pilihan rakyat.

Apabila mereka yang tidak berprinsip, yang tidak berkualiti, yang sanggup menggadai amanah rakyat demi kepentingan peribadi mendirikan kerajaan, maka negara akan dijual untuk memenuhi ketamakan diri mereka.

Saya, Ahli Parlimen Langkawi, dan tiga lagi Ahli Parlimen Pejuang, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shaharuddin Md Salleh (Sri Gading) tetap tidak berganjak dengan pendirian kami menolak Belanjawan 2021.

Mengapa PKR, DAP tidak sokong undian belah bahagi?

FAZLI RADZI

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bangun untuk pengundian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini dilihat mengundang rasa tidak puas hati rata-rata penyokong Pakatan Harapan (PH).

Selain Anwar yang juga Presiden PKR kesemua Ahli Parlimen parti itu serta DAP turut tidak menyokong undian belah bahagi terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021.

Hanya empat Ahli Parlimen Pejuang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan sembilan Ahli Parlimen AMANAH berbuat demikian.

Ini bermakna 13 ahli Dewan Rakyat sahaja yang berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena) untuk undian belah bahagi.

Berikut senarai 13 Ahli Parlimen yang mengusulkan undian belah bahagi Belanjawan 2021:

Ahli Parlimen Pejuang:

1. Mahathir Mohamad (Langkawi)

2. Mukhriz Mahathir (Jerlun)

3. Amirudin Hamzah (Kubang Pasu)

4. Shaharudin Salleh (Sri Gading)

Ahli Parlimen AMANAH:

5. Mahfuz Omar (Pokok Sena)

6. Khalid Samad (Shah Alam)

7. Hanipa Maidin (Sepang)

8. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar)

9. Hatta Ramli (Lumut)

10. Anuar Tahir (Temerloh)

11. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor)

12. Hasanuddin Yunus (Hulu Langat)

13. Hasan Bahrom (Tampin)

'Ada MP pembangkang mungkin undi sokong belanjawan'

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata gambaran menjelang undi Belanjawan 2021 tidak jelas.

Pemimpin PKR itu memetik khabar angin yang mengatakan beberapa ahli parlimen Umno tidak akan menyokong sementara beberapa ahli parlimen pembangkang mungkin telah dipujuk untuk menyokong belanjawan dengan menawarkan sumber dan peruntukan.

"Khabar angin mengatakan bahawa beberapa ahli parlimen Umno tidak akan mengundi dan pada masa sama saya juga pernah mendengar khabar angin beberapa ahli parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan sebagai balasan untuk sumber dan peruntukan kepada ahli parlimen.

"Apa pun yang berlaku, undian belanjawan ini penting untuk membantu menjelaskan kekaburan politik yang bermula setelah kerajaan pintu belakang berkuasa pada Februari 2020.

"Keputusan hari ini, akan menunjukkan dengan jelas siapa sokong siapa," kata Wong dalam catatan Facebook pagi ini.

Dia mengatakan bahawa beberapa ahli parlimen mungkin melihat situasi ini sebagai permainan politik merebut kuasa, namun, katanya, hasil undian hari ini akan memberi kesan serius kepada demokrasi dan rakyat Malaysia.

"Demokrasi Malaysia akan diuji sepenuhnya hari ini. Bolehkah kerajaan terus menuntut keabsahan tanpa dicabar dengan undi tidak percaya?

"Undian belanjawan ini pada dasarnya akan menjawab persoalan apakah kita akan membenarkan pemerintahan 'diktator berperlembagaan'," kata Wong.

Wong juga mempersoalkan sama ada rakyat akan membiarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terus memerintah dan mengurus krisis Covid-19.

"Selepas bencana pilihan raya Sabah, melaksanakan dua peraturan Covid-19 yang berasingan, satu untuk ahli politik dan satu lagi untuk rakyat, peraturan perintah pergerakan pergerakan bersyarat (PKPB) yang sentiasa berubah-ubah, dan sekarang sikap 'tak apa' terhadap penularan wabak di kalangan pekerja asing.

"Adakah kita masih percaya bahawa kerajaan pintu belakang ini memiliki daya saing untuk terus memerintah kita. 

"Undian belanjawan hari ini akan membuat keputusan secara langsung dan tidak langsung terhadap persoalan itu," kata Wong.

Adakah Belanjawan 2021 akan ditolak hari ini, Muhyiddin dijatuhkan?

MALAYSIA DATELINE

Hari ini adalah hari penentuan untuk dua persoalan: Sama ada Belanjawan 2021 dapat diluluskan di Parlimen dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dijatuhkan sebagai Perdana Menteri dengan menjadi PM yang terpendek perkhidmatannya dalam sejarah.

Timbul juga persoalan, apakah akan ada bacaan kedua Belanjawan 2021 ini akan diundi di Dewan Rakyat hari ini memandangkan ada ia mungkin akan ditangguhkan ke minggu hadapan.

Inilah dua persoalan yang ditimbulkan oleh ahli Parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya petang semalam menjelang pengundian ke atas Belanjawan 2021 yang dijadualkan hari ini.

Namun begitu, katanya, pelbagai pergerakan politik telah terserlah dengan isu pengundian Belanjawan 2021 ini, yang dapat dilihat daripada kenyataan bersama luar biasa daripada para menteri dan timbalan menteri yang mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Muhyiddin sehinggalah pilihan raya dapat dilaksanakan selepas wabak Covid-19.

Katanya, sesetengah orang mungkin akan tertanya, mengapakah perlu kenyataan luar biasa seperti ini dikeluarkan oleh para menteri dan timbalan menteri, sedangkan perkara ini tidak lain dan dan tidak bukan hanyalah satu bentuk rayuan kepada Parlimen untuk membolehkan mereka terus kekalkan jawatan itu.

“Tetapi, kenyataan ini terus menjadi bukti jelas yang tidak ada sesiapapun, termasuklah Muhyiddin, yang mempunyai keyakinan mereka ada majoriti ahli-ahli Parlimen,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor itu.

Bagi beliau, pemain utama kini adalah ahli-ahli Parlimen Umno, yang kini yang berpecah dua; antara mahu menumbangkan Muhyiddin dan yang mahu terus kekal komited dengan kerajaan Perikatan Nasional sehinggalah wabak Covid-19 ini cukup reda untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Hasilnya, kata beliau, puak Umno yang mahu menumbangkan kerajaan Muhyiddin ini telah menghantar utusan kepada beberapa orang yang merasakan mereka dapat menggunakan keadaan semasa politik ini untuk mendapatkan peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

“Namun perkara ini hanyalah fantasi dan angan-angan, memandangkan kepimpinan Umno tidak mahu sesiapa pun menjadi Perdana Menteri melainkan dalam kalangan mereka sendiri.

“Apa yang menjadi taruhan pada hari ini bukan sahaja Belanjawan 2021 dan kerajaan pintu belakang Muhyiddin, tetapi juga visi masa hadapan negara kita,” kata beliau lagi dalam kenyataan itu.

Bagi beliau, sembilan bulan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional ini telah menunjukkan perbezaan ketara dengan 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

“kerajaan Perikatan Nasional dapat dilihat mundur ke arah masa lampau kleptokratik dan kakistokratik seperti Barisan Nasional, yang telah ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah pada 9 Mei 2018,” katanya.

Antara kemundurannya adalah:-

– Kelulusan pindaan perlembagaan negeri Pahang yang mewujudkan lima kerusi ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak diundi, yang memundurkan kemajuan demokrasi di Malaysia;

– Pengembalian Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan peruntukan sebesar RM85.5 juta untuk meneruskan kerja kotor Jasa memomokkan DAP sebagai Anti-Melayu, Anti-Islam, dan Anti-Raja, dan meneruskan kerja-kerja “pembersihan” skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan menyebar penipuan dan fitnah untuk mengapi-apikan kempen kebencian dan syak wasangka di antara kaum dan agama.

– Intimidasi polis terhadap kesatuan pelajar dan NGO, seperti yang dilakukan kepada presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dan para pemimpin pelajar yang lain;

– Peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengekang penjualan arak di semua kedai runcit dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur bermula pada 1 Oktober 2021;

– Pengangkatan politik toksik kebencian dan syak wasangka antara kaum dan agama menjadi ideologi kebangsaan; dan

– Pengunduran dalam perjuangan melawan rasuah di pejabat-pejabat awam.

“Saya menjangkakan kedudukan dan markah yang lebih teruk dalam Indeks Persepsi Rasuah 2021 Transparency International yang bakal diterbitkan dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya.

Legenda bolasepak, Diego Maradona meninggal dunia

image placeholder

Legenda bola sepak dunia, Diego Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun.

Bekas penyerang dan pengurus Argentina itu mengalami serangan jantung di kediamannya di Buenos Aires, lapor BBC.

Sebelum itu, dia menjalani pembedahan darah beku di otak pada awal November dan dirawat kerana masalah alkohol.

Maradona menjadi kapten ketika Argentina menjuarai Piala Dunia 1986 dan menjaringkan gol 'hand of god' yang masih diingati sehingga kini ketika menentang England pada suku akhir.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Persatuan Bola Sepak Argentina menyatakan rasa dukacita atas perkhabaran itu.

"Anda akan selalu ada di hati kami," ujarnya.

Maradona pernah bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli serta memenangi dua gelaran Serie A dengan pasukan Itali.

Dia menjaringkan 34 gol dalam 91 perlawanan untuk Argentina dan mewakili pasukan itu dalam empat Piala Dunia.

Sementara itu, Presiden Argentina Alberto Fernandez mengisytiharkan negara itu berkabung selama tiga hari berikutan kematian bintang bola sepak itu.

Dr M sedia kerjasama semula dengan Muhyiddin jika ‘kena caranya’

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia bekerjasama semula dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika “kena caranya”.

“Itu kalau kena cara, ada cara, tapi tak payah saya cerita cara yang boleh saya kembali kerjasama (dengan Muhyiddin),” katanya ketika ditanya sama ada beliau sedia bekerjasama semual dengan Muhyiddin dalam program khas eksklusif bersama Astro Awani malam ini.

Katanya, jika kerjasama itu mahu dijalankan terdapat syarat yang perlu dipersetujui, namun tidak mendedahkan lanjut mengenainya.

Mahathir turut mendedahkan, ada pihak daripada kerajaan memujuk dan bertemu dengannya untuk bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana ada beberapa perkara tidak dipersetujui termasuk bekerjasama dengan pemimpin Umno yang mempunyai kes mahkamah.

“Dah dibuat dah (pujuk), tetapi saya kata biar kena syaratlah. Saya masuk saja tak jadi apa. Mereka nak tonjolkan saya sebagai menyertai mereka, itu bukan caranya. Saya dapati banyak yang tak kena.

“Saya dapati gabungan itu terdapat Umno, dengan semua enam orang penjenayah semua itu. Jadi saya tak mahulah dapat sokongan daripada enam orang ini kita harus ingat kalau menang pun, enam orang ni, kalau dia pergi ke tempat lain jatuh juga kerajaan,” katanya.

Dakwa Mahathir, beliau ditawar mengetuai PN jika setuju bekerjasama.

Belanjawan 2021 mungkin lulus

Mengulas Belanjawan 2021, Mahathir tidak menolak kemungkinan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

Namun, beliau berpendapat kerajaan perlu sedar belanjawan berjumlah RM322.5 bilion itu dilihat hanya memberi wang tanpa matlamat tepat.

Katanya, kerajaan dan Kementerian Kewangan sewajarnya mendengar dan mengambil kira pandangan Ahli Parlimen bukan kerajaan kerana mereka juga membawa suara rakyat.

“Tetapi ramai yang tidak senang hati dengan belanjawan ini kerana ia nampaknya seolah-olah satu usaha memberi wang tanpa matlamat. Kita harap kerajaan ini lebih terbuka, iaitu mereka bukan sahaja nak kita luluskan sesuatu tetapi dengar juga pendapat kita.

“Jadi kalau kerajaan berasa terhutang budi kepada rakyat, maka mereka harus terima sekurang-kurangnya sebahagian daripada teguran kita,” katanya merujuk 12 cadangan penambahbaikan diutarakan pihaknya sebelum ini untuk menambah baik Belanjawan 2021.

Tak halang Anwar jadi PM

Sementara itu, Mahathir menafikan beliau mempunyai niat untuk menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Katanya, Anwar sepatutnya sudah menggantikan beliau sebagai perdana menteri pada 1998, namun tidak berlaku kerana beberapa perkara tertentu termasuk dipenjara.

“Saya yang angkat Anwar Ibrahim sehingga dia dapat jadi timbalan perdana menteri akan mengganti saya jika saya letak jawatan. Tetapi ada perkara berlaku yang mana itu tak terjadi,” katanya.

Katanya, rancangan sama juga dibuat ketika beliau menjadi perdana menteri PH untuk memberi jawatan itu kepada Anwar, namun tidak kesampaian apabila kerajaan pimpinannya tumbang selepas 22 bulan.

“Tetapi dia (Anwar) cerita dekat orang, kononnya saya yang halang dia. Saya tak ada halangan. Sekarang ini kalau saya nak jadi PM, saya boleh jadi PM. Tetapi saya pegang kepada prinsip.

“Kalau sudah sampai masa saya undur, saya undur. Saya bukan nak pegang jawatan ini sampai bila-bila. Orang lain kalau nak pilih Anwar, pilih Anwarlah,” katanya.

Surat terbuka kepada 220 Ahli Parlimen

DR MUJAHID YUSOF RAWA

Negara telah memilih Demokrasi sebagai acuan dan panduan bernegara. Amalan pengasingan kuasa melalui 3 cabang pemerintahan (Parlimen, Kabinet dan Kehakiman) adalah doktrin demokrasi terpenting dalam urusan pemerintahan negara kita.

Konsep Bernegara kita merujuk kepada kuasa dalam perlembagaan melalui Institusi Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Pilihanraya Bebas, Hak Kebebasan Individu dan Kehakiman yang bebas.

MP yang dilantik oleh rakyat berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan asas-asas demokrasi ini sejurus masuk ke dewan yang mulia. Lafaz berbunyi:

Saya, ……………………………………………………………………………., setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab MP untuk melakukan sepenuhnya seperti yang dilafazkan ‘…menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya”

Krisis politik negara memerlukan 220 MP membetulinya secara demokrasi sebagaimana yang dijangkakan ketika MP menawarkan diri sebagai calon dalam pilihanraya. MP perlu selesai isu bukti majoriti Perdana Menteri hari ini sebagai pra-syarat keabsahan tugasannya untuk mengeluarkan nilai RM322b dalam bajet 2021 sebagimana termaktub dalam perlembagaan. Hal ini telah ditegaskan secara tepat oleh MP Gua Musang dalam suratnya kepada Speaker Dewan Rakyat yang diedarkan di atas meja kita.

Hanya Parlimen mampu membetuli dan memulihkan keadaan dalam krisis mandat yang telah dibeloti oleh Langkah Sheraton. Luka negara terlalu mendalam diparahkan lagi dengan krisis hilang kepercayaan terhadap institusi pemerintahan oleh rakyat, termasuklah hilang hormat terhadap institusi parlimen kita.

Janji menumpahkan taat setia kita kepada Malaysia menuntut kita membuat keputusan kritikal secara bersama untuk proses penyembuhan negara bagi kita membuang ‘badi-badi pembelotan’. Kepercayaan kepada institusi pemerintahan dan politik negara perlu kita pulihkan dan sekaligus institusi parlimen dikembalikan kewibawaannya. Kita punya masa 3 tahun sebelum pembubaran wajib dan setiap 220 anggota di kalangan kita seharusnya bersetuju membentuk Suruhanjaya Di Raja untuk tujuan penyembuhan ini.

Demokrasi kita diuji melalui fasa pendemik global ini di mana kepercayaan terhadap kerajaan semakin penting menentukan keberkesanan kerajaan menangani krisis. Begitu juga keberkesanan penyampaian yang menjadi kayu pengukur kejayaan. Kerajaan Perikatan Nasional membuktikan dirinya lemah dalam mengemudi saat krisis ini dan mana-mana kerajaan sekalipun akan terdedah kepada berbagai kelemahan dalam masa pendemik ini.

Oleh kerana itu, 220 MP perlu tangani perkara pokok masalah iaitu dengan memelihara dan melindungi demokrasi berperlembagaan supaya mana-mana kerajaan sekalipun akan dipandu atas landasan penting ini dan tidak akan melanggar asas perlembagaan.

Jangan kita hilang fokus untuk tergesa-gesa luluskan bajet atau tidak luluskan sedangkan kita gagal memelihara dan melindungi perlembagaan negara. Bajet tidak guna diluluskan jika PM hari ini gagal membuktikan dia ada majoriti dan kita 220 MP gagal mempertahankan hak asas dalam perlembagaan negara!


Penulis adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden AMANAH

Pejuang tak akan sokong Belanjawan 2021

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli-ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil ketetapan untuk tidak akan menyokong Belanjawan 2021 semasa hari pengundian nanti.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, proses perbahasan yang berlangsung selama tiga minggu ini dilihat amat mengecewakan apabila tiada sebarang tanda dari pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang diajukan ahli-ahli Parlimen.

Katanya, keutamaan kerajaan hanya untuk memastikan belanjawan yang mementingkan kelangsungan politik itu diluluskan segera, mengambil contoh isu kuarantin Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Menurutnya, kuarantin selama 14 hari tiba-tiba sahaja tidak menjadi satu ketetapan hanya kerana kerajaan mahukan undi mereka.

“Tiba-tiba sahaja, kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kepada mereka yang terlibat di dalam pergerakan dari Sabah Sarawak ke Semenanjung, tidak lagi menjadi satu ketetapan.

“Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia kerana undi ahli-ahli Parlimen ini perlu kepada kerajaan untuk meluluskan belanjawan.

“Setiap perlakuan dan pertukaran dasar dan ketetapan dibuat seperti menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sekiranya belanjawan tidak diluluskan, ia membuktikan kerajaan telah hilang keabsahan kerana tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk meluluskan belanjawan.

Menurutnya, jika itu berlaku dan Perdana Menteri meletakkan jawatan atau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubar Parlimen, proses pemilihan kerajaan baharu boleh dilakukan melalui cara selain pilihanraya.

Katanya, proses yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentulan siapakah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuh Kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan.

“Setelah kerajaan baharu ditubuh, maka kerajaan ini boleh memilih untuk membentangkan belanjawan yang baru ataupun mengambil velanjawan yang telah ditolak dan melakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu.

“Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa yang begitu lama,” katanya lagi.

Undian Belanjawan 2021 bakal ditunda?

FAZLI RADZI

Proses undian Belanjawan 2021 yang dijadualkan esok dijangka akan ditunda ekoran pelbagai faktor antaranya kekurangan Ahli Parlimen di pihak kerajaan ekoran isu kuarantin Covid-19.

Turut dilihat menjadi penyebab penangguhan undian itu ialah ketidaksepakatan Ahli Parlimen Umno dan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh beberapa kementerian yang belum selesai.

Setakat ini, hanya lima kementerian selesai menggulung perbahasan iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Rata-rata Ahli Parlimen blok kerajaan atau pembangkang mahukan bahagian tertentu dalam Belanjawan 2021 dipinda dengan beberapa penambahbaikan.

Perbahasan rang undang-undang itu juga menyaksikan Ahli Parlimen tidak terlalu terikat kepada pendirian parti.

Parti penyokong kerajaan, Barisan Nasional (BN), memberikan sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021 dengan antara lain menuntut pelanjutan moratorium pinjaman automatik selama enam bulan lagi dan pengeluaran one-off RM10,000 caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dewan Rakyat mempunyai semua 222 ahli tetapi berlaku dua kekosongan apabila kematian dua penyandangnya iaitu Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) yang meninggal dunia pada 2 Oktober lalu dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada 16 November lalu.

Najib, Anwar pemenang besar jika belanjawan ditolak, ramal penganalisis

Robin Augustin

PETALING JAYA: Seorang penganalisis sosiopolitik meramalkan bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan menjadi “pemenang terbesar” jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Najib akan mendakwa beliau bertindak atas kepentingan rakyat, manakala Anwar berpeluang mengubah kerajaan.

Dalam perbahasan mengenai belanjawan, Najib menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” sebanyak RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan moratorium pinjaman dilanjutkan 6 bulan sebagai syarat untuk mendapat sokongan Barisan Nasional.

“Beliau dan Umno akan mendakwa belanjawan ditolak kerana perjuangan mereka untuk mendapatkan tawaran terbaik untuk rakyat. 

“Anwar dan PKR akan mendapat manfaat kerana mereka kini mempunyai peluang untuk mengubah lanskap politik negara dengan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional,” kata Awang Azman.

                      Awang Azman Pawi

Belanjawan memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan dan ini akan mencabar kerajaan dengan majoriti tipis, khasnya jika ahli Parlimen Umno bersama ahli Parlimen pembangkang menolaknya.

Awang Azman berkata, kegagalan meluluskan belanjawan akan menjadi undi “tidak percaya” terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang perlu meletak jawatan dan menyebabkan kerajaan pimpinannya tumbang.

Tetapi, katanya, masih ada ruang untuk kerajaan berunding dengan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mereka untuk belanjawan itu.

“Berdasarkan situasi Covid-19, Yang di-Pertuan Agong tidak mungkin mengizinkan pilihan raya diadakan dan ini bermakna melantik perdana menteri baru yang mendapat sokongan majoriti.

“Tetapi, walaupun Najib dan Anwar sependapat dalam menolak belanjawan itu, bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan ialah perkara lain dan akan bergantung kepada keadaan politik ketika itu.


Seorang lagi penganalisis yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, Najib akan dilihat sebagai pemenang hanya dalam isu KWSP dan moratorium, tetapi masih akan didakwa bermain politik terhadap Muhyiddin.

Katanya, mereka yang menentang belanjawan itu atau berkecuali daripada menyokongnya akan dilihat mendahulukan politik berbanding kebajikan rakyat.

Beliau percaya kerajaan masih mempunyai masa dan mungkin akan berunding dengan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mereka untuk meluluskan belanjawan itu.

Katanya, sukar untuk Anwar menubuhkan kerajaan baru, walaupun jika belanjawan ditolak dan Muhyiddin meletak jawatan.

“Umno dan DAP perlu bekerjasama, itu mustahil berlaku.

“Malah, sukar untuk mana-mana ahli Parlimen membukti beliau mempunyai sokongan majoriti.

“Ini sebabnya kenapa ia mungkin berlaku walaupun jika kerajaan tumbang, Muhyiddin masih akan dilantik sebagai PM sementara sehingga pilihan raya boleh diadakan.”