"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angka korban Covid-19 seluruh dunia hampir cecah 11,500

Ketika jumlah kematian global sudah menghampiri 11,500 orang, pegawai kesihatan seluruh dunia mengumumkan kes baru Covid-17 terus bertambah, lapor agensi berita Anadolu.

Negara yang mencatat kematian tertinggi adalah Itali dengan 4,032 maut setakat ini, selepas mengatasi angka korban yang dicatatkan China pada minggu ini.

China, tempat wabak itu mula dikesan pada Disember lalu, di tempat kedua dengan 3,255 orang. Iran sehingga kini melaporkan 1,433 kematian.

Australia melaporkan jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 1,051, apabila menyatakan 300 kes baru dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menteri Kesihatan Singapura Gan Kim Yong, berkata jumlah kes di negara itu meningkat kepada 385 selain melaporkan dua kematian membabitkan wanita tempatan berusia 75 tahun dan seorang warga Indonesia.

Pegawai Kesihatan Maghribi berkata, jumlah kes di negara itu naik kepada 86 termasuk tujuh orang yang baru pulang dari luar negara.

Pada Jumaat, Maghribi mengisytiharkan darurat ekoran penularan wabak berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Paraguay mengumumkan menerusi Twitter, seorang lelaki 69 tahun meninggal dunia akibat wabak itu selepas mendapat rawatan di unit rawatan rapi.

Media tempatan melaporkan, jumlah kes di negara itu adalah 18.

Presiden Mario Abdo Benitez mengumumkan tempoh kurantin bermula 10 Mac hingga 4 April dilanjutkan sehingga 12 April.
-Bernama

Dr Kevin kecewa wanita hamil tak dedah kaitan dengan peserta Tabligh

Darshini Kandasamy


Doktor pakar bius di Kedah yang membantu kelahiran seorang wanita yang kemudian disahkan positif Covid-19, menyifatkan kejadian tersebut satu penderitaan buat diri dan keluarganya.

Ini selepas wanita berkenaan menyembunyikan maklumat bahawa dirinya mempunyai kaitan dengan peserta Tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

Terpaksa menjalani kuarantin diri selama dua minggu, Dr Kevin Goh menjelaskan dia hidup dalam kebimbangan terutama ketika hari-hari awal menanti keputusan pemeriksaan kesihatan.

“Ia satu seksaan buat saya dan keluarga.

“Sekarang saya mengasingkan diri dari keluarga, saya menghabiskan masa di taman sekitar rumah,” kata doktor berusia 42 tahun itu kepada Malaysiakini.

Meskipun Goh diuji negatif terhadap wabak tersebut yang telah menyebabkan 8 kematian, beliau memilih menghabiskan masa di taman rumahnya dan tidur di bilik berasingan pada waktu malam bagi melindungi keluarganya.

“Anak-anak saya ada di rumah, saya takut menyebarkan (wabak) itu kepada mereka, sampai sekarang. Walaupun diuji negatif untuk kali pertama, tetapi siapa tahu?

“Saya kini bercakap dengan anak dan isteri menggunakan video call dan Whatsapp,” katanya.

Bagaimanapun ayah kepada dua orang anak itu secara bergurau mengatakan sekurang-kurangnya dia mempunyai lebih banyak masa untuk berkebun.

Ditanya bagaimana keluarganya mengatasi perkara itu, doktor berkenaan berkata isterinya dilihat cuba untuk memberanikan diri.

Meskipun demikian, Goh berkata dia tahu isterinya “sedih” terutama mendapat maklumat bahawa wanita hamil yang bersalin di Hospital Pantai Laguna Merbok itu diuji positif Covid-19.

“Isteri saya menyokong tetapi dia juga sedih, dia tidak tunjukkan tapi saya tahu dia takut,” katanya.

Hospital tersebut terpaksa ditutup dua hari bermula 22 Mac lalu untuk menjalani proses disinfeksi dan semburan pewasapan (fumigation).

Saya makan malam bersama orang tua

Menurut hospital tersebut, wanita berumur 30 tahun itu tidak mendedahkan bahawa dirinya merupakan kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19 yang telah dimasukkan wad.


“Bagaimanapun, dia (wanita itu) demam selepas bersalin.

“Setelah ditanya, (pihak hospital) dimaklumkan bahawa wanita berkenaan tinggal bersama ahli keluarga yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur dan disahkan positif Covid-19," kata hospital itu dalam kenyataan.

Kes Covid-19 dari kluster melibatkan peserta tabligh kini merekodkan sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,183.

Pihak berkuasa kini masih mengesan 4,000 daripada 14,500 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh itu bulan lalu.

Malaysiakini menghubungi Goh setelah beliau membuat luahannya di akaun Facebook susulan tindakan pesakit yang “mementingkan diri” dengan tidak mendedahkan maklumat penting tersebut.

Dalam hantarannya, doktor pakar bius itu menerangkan pada 18 Mac lalu, beliau menerima panggilan kecemasan kerana pesakit itu hendak melahirkan anak.

Setelah selesai tugasnya, Goh berkata beliau pulang berjumpa keluarga malah makan malam bersama kedua orang tuanya – yang dikatakannya turut berisiko.

“Selepas selesai semua kerja di hospital, saya balik rumah berjumpa keluarga seperti biasa, malah saya pergi rumah ibu ayah saya untuk makan malam.

(untuk pengetahuan, ayah saya seorang yang berumur 75 tahun dan telah melalui pembedahan jantung).

“Saya terkejut dan sedih bila dapat khabar (wanita itu diuji positif). Bukan kerana saya terdedah, tetapi keluarga saya dalam bahaya kerana tugas saya,” katanya.

Goh juga berkata, staf bilik bedah, staf wad bersalin dan juga konsultan terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu.

“Hanya kerana seorang yang pentingkan diri tolong beritahu perkara benar apabila kita (doktor) tanya. Jangan sorok apa-apa informasi dari kami.

“Sekurang-kurangnya kalau beritahu perkara sebenar, kami doktor boleh bersedia dan memakai PPE (sut perlindungan diri) ketika membuat pembedahan.

“Dengan tidak beritahu, ia seperti menyerang kami, meminta kami pergi perang tanpa bawa senapang dan pakai perlindungan diri,” katanya.

(Carta) Pola kes Covid-19 Malaysia dan Itali serupa, kata kumpulan penyelidik

FMT Reporters

(Carta Refsa)
PETALING JAYA: Pola kes Covid-19 yang dicatatkan di Malaysia memperlihatkan persamaan dengan tempoh awal krisis kesihatan awam itu di Itali, kata satu badan penyelidik hari ini.

Pusat Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa) berkata dalam satu hantaran di Facebook bahawa walaupun jumlah peningkatan kes baru lebih kecil, namun banyak daripada masih belum dikesan dan disaring.

“Bagi menghindari peningkatan mendadak kes, amalan jarak sosial dan terus berada di rumah sangat penting bagi mendatarkan keluk (jangkitan) sebelum terlambat. Kita mesti mengambil semua langkah bagi menghalang Malaysia mengikuti ‘jalan Itali’,” kata Refsa.

Kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac dan meminta orang ramai berada di rumah masing-masing sehingga 31 Mac depan.

Refsa menerbitkan satu carta yang membandingkan jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan di negara ini dan juga Itali.

Pada 20 Mac, Malaysia mencatatkan 1,030 kes, iaitu kira-kira seminggu selepas perdana menteri melaporkan “gelombang kedua” pandemik Covid-19.

Ini menyerupai pengalaman Itali, yang mencatatkan angka jangkitan sebanyak 1,694 kes pada 1 Mac, juga kira-kira seminggu selepas melaporkan pertambahan mendadak kes koronavirus pada 23 Feb.

Pada 20 Mac, Itali mencatatkan ledakan 47,000 kes Covid-19 dan mempunyai angka kematian paling tinggi di dunia iaitu lebih 4,000 orang.

Lebih 60 juta orang kini berdepan kemungkinan langkah kawalan lebih ketat, susulan banyak negara mengalami peningkatan kes jangkitan Covid-19.

PH sedia tawarkan khidmat Dr Dzul gantikan 'pelawak'

Malaysiakini

Ketika ancaman Covid-19 terus meningkat, Pakatan Harapan (PH) hari ini menyatakan kesanggupan untuk 'mengembalikan' Dr Dzulkefly Ahmad bagi mengepalai gerakan menghadapi wabak itu jika ada permintaan daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, berkata sekarang adalah waktu untuk pelaksanaan profesionalisme yang lebih tersusun, kecekapan yang tinggi serta keseriusan bagi menyatukan rakyat Malaysia mendepani Covid-19.

"Jika terdapat permintaan daripada lerajaan untuk bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, kembali bagi menjalankan satu khidmat demi negara memimpin peperangan melawan Covid-19 ini, saya pasti Majlis Presiden PH akan mempertimbangkan permintaan ini sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandangan itu dinyatakan veteran DAP terbabit ketika orang ramai mempertikaikan kenyataan dibuat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam temu bual disiarkan televisten semalam.

Dalam program itu Adham menjelaskan amalan meminum air suam dapat membuat virus Covid-19 yang ada pada kerongkong disingkirkan sebelum ia memasuki paru-paru.

Virus itu, mengikut penjelasan Adham, kemudian akan dibawa masuk ke perut dan mati dengan adanya asid di situ.

Beliau juga mendakwa virus berkenaan "tidak sukakan air panas".

Kenyataan itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pakar perubatan. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga sebelum ini menafikan amalan berkenaan berkesan melawan virus Covid-19 dan menganggapnya hanya sekadar mitos.

Lim berkata tindakan pakar perubatan - termasuk Dr Amalina Bakri yang kini berada di United Kingdom - menegur kenyataan tersebut kerana tidak berdasarkan fakta memang patut dipuji.

"Kita semua perlu bersatu melawan wabak Covid-19 ini dan tidak ada ruang untuk kita membiarkan ia dipimpin oleh pelawak dalam usaha ini," katanya lagi.

Menurut Lim lagi, kesepakatan rakyat Malaysia melawan Covid-19 ini juga tidaklah bermakna tindakan menggunakan anggota tentera perlu dilakukan.

"Apa yang penting sekarang adalah untuk kita menaik taraf kemudahan perubatan sedia ada dengan menambah jumlah katil hospital, bekalan ubat-ubatan serta menambah tenaga kerja dengan memberikan keutamaan dalam melindungi petugas barisan hadapan.

"Tentera kita mempunyai pelbagai kebolehan, dengan kor perubatan, kejuruteraan, uUnit CBRNe (bahan letupan kimia, biologikal radioaktif, dan nuklear) yang boleh digembleng dalam usaha memerangi wabak ini.

"Perkhidmatan profesional seperti persediaan katil dan wad tambahan di hospital tentera juga boleh digunakan untuk membantu hospital tempatan, tetapi tidak ada keperluan untuk digunakan tentera bagi tujuan rondaan.

"China berjaya membina hospital di Wuhan yang dilengkapi dengan 1,000 katil, beberapa wad pengasingan, dan 30 pusat rawatan rapi dalam masa 10 hari. Bolehkah kita mencontohi teladan ini?" katanya lagi.

Korban Covid-19 kini 8 orang, jumlah tenat di ICU meningkat

Geraldine Tong

Malaysia mencatatkan lapan kematian akibat jangkitan Covid-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan terbaru hari ini mengesahkan empat lagi kematian akibat wabak itu.

Ia melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun yang meninggal dunia pada 18 Mac lalu, dan anak perempuannya yang berusia 40 tahun yang meninggal dunia hari ini.

Noor Hisham berkata, wanita berusia 40 tahun itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac selepas mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac.

"Beliau disahkan positif COVID pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac 2020," katanya.

Berkenaan kematian ibunya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, kelambatan berkenaan laporan kematian kerana hospital swasta yang merawatnya menunggu keputusan ujian daripada makmal swasta di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, dua lagi kematian melibatkan dua lelaki tempatan berusia 57 tahun dan 69 tahun daripada kluster jemaah Tabligh.

Lelaki berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang di Hospital Kuala Lumpur, manakala lelaki berusia 69 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam empat petang diHospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, kata Noor Hisham.

Dalam kenyataan sebelumnya hari ini, Noor Hisham mengesahkan kematian mangsa keempat, iaitu pesakit kes-238 yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Pesakit itu, yang dimasukkan wad di Melaka pada 12 Mac lalu, merupakan antara yang mempunyai kaitan dengan kelompok perhimpunan tabligh.

'Makin ramai di ICU'

Perkembangan terbaru juga menyaksikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 37, dengan 23 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 153 kes jangkitan baru di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 1,183.

Sebanyak 90 daripada 153 kes baru itu mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung bulan lalu.

Pada 20 Mac lalu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri menggesa baki 4,000 peserta perhimpunan tabligh masjid Seri Petaling tampil menjalani ujian Covid-19.

Ismail berkata polis telah mengenal pasti individu-individu yang telah menghadiri perhimpunan itu pada 28 Februari lalu.

Perhimpunan tabligh yang diadakan di ibu kota itu dikatakan dihadiri 16,000 peserta, dengan 14,500 daripada jumlah itu merupakan warga tempatan.

Sila ganti menteri cap ayam ini


Malaysiakini
Menteri Kesihatan baru, Dr Adham Baba dikritik kerana dikatakan menyebarkan maklumat yang salah mengenai cara membendung jangkitan Covid-19, dengan menggalakkan meminum air suam yang menurutnya dapat menghalang virus tersebut.

Pengguna Twitter merujuk kenyataan Adham dalam bual bicara yang disiarkan di TV1 petang semalam, dengan ada yang menggesa Adham supaya meletakkan jawatan atau tidak membenarkannya mengeluarkan sebarang kenyataan.

Bekas Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan mencadangkan jawatan menteri kesihatan kembali dipegang oleh bekas menteri kesihatan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Dzulkefly Ahmad. Dzulkefly dipuji atas cara beliau menangani krisis kesihatan negara ketika memegang jawatan itu.

"Ia tidak kelakar. Kita patut kembalikan semula Dr Dzul (Dzulkefly) untuk berkhidmat kepada negara. Kita menghadapi krisis dan ini merupakan jalan penyelesaian yang jelas. Kerajaan sepatutnya melupakan isu politik dan memastikan kita (rakyat) dalam keadaan selamat!" ciapnya.

Hantaran tersebut sebagai respons balas kepada ciapan bekas timbalan menteri PH, Hannah Yeoh.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepatutnya melakukan perkara yang sewajarnya ketika negara sedang dalam keadaan kritikal.

Beliau juga menyarankan supaya stesen TV berhenti menjemput Adham untuk memberikan pandangannya lagi.

"Rakyat Malaysia tidak memerlukan lebih banyak kekeliruan lagi,” ciapnya.

Sementara itu, penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis), Harris Zainul, meminta supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggantikan menteri kesihatan barunya itu kerana "menyebarkan maklumat palsu".

“Dia perlu melepaskan jawatannya kerana menyebarkan maklumat palsu, Muhyiddin Yassin. Dia tidak layak untuk menjadi seorang jurucakap, apatah lagi sebagai seorang menteri," katanya.

Dalam satu ciapan yang agak kasar dari seorang pengguna Twitter, Noraishah Mydin Abd Aziz berkata Adham "tidak sama nilai dengan 29 orang jururawat”.

Ia merupakan ciapan balas daripada seorang pengguna media sosial yang merujuk kepada gaji bulanannya sebagai menteri yang disamakan dengan gaji bulanan 29 orang jururawat.

"Tidak, Adham Baba tidak sama nilai dengan 29 orang jururawat. Lebih baik mempunyai seorang jururawat daripada 29 orang (yang seperti) Adham Baba," katanya.

Ketika wawancara di saluran televisyen RTM TV1 semalam, Adham menasihatkan orang ramai minum air suam sebagai petua bagi menghalang jangkitan Covid-19.

"Virus ini tak suka panas. Jangan (air) panas sangat lah.

"Virus ini akan dinyahkan, disingkir, dan di perut. Kalau masuk perut ada asid, dia kalah.

"Yang penting kita mesti singkirkan virus ini dari kerongkong sebelum dia boleh masuk ke paru-paru. Virus ini dia suka paru-paru bawah," katanya sambil minum air.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menolak mitos yang sama pada 26 Februari lalu.

"Walaupun mengekalkan kandungan air dalam badan dengan minum air adalah penting untuk kesihatan keseluruhannya, namun ia tidak menghalang jangkitan koronavirus," kata WHO Pasifik Barat pada hantaran di Twitter.

Rakyat sudah penat, meluat dengan politik Muhyiddin

AKMAL MANAF
Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin menyifatkan rakyat sudah penat dan meluat dengan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin merebut dan kini ingin bergantung pada jawatan dalam Bersatu bagi menghadapi pemilihan parti ketika nyawa rakyat terancam dengan Covid-19.

Katanya, rampasan kuasa kerajaan pintu belakang semasa peringkat awal Covid-19 telah menyebabkan wabak itu menjadi lebih serius.

“Tidak serik dengan tindakan tidak bertanggungjawab di peringkat awal Covid-19, kini di peringkat kritikal iaitu pihak tentera dibawa bertugas, Muhyiddin mencetuskan pula krisis dalam parti sendiri yang kononnya menerajui kerajaan Perikatan Nasional.

“Penubuhan kerajaan pintu belakang untuk merebut jawatan Perdana Menteri bukanlah untuk menyelamatkan negara.

“Pemecatan Setiausaha Agung Bersatu di saat kritikal negara dilanda wabak Covid-19 adalah usaha menutup pintu supaya beliau (Muhyiddin) terus kekal berkuasa dalam Bersatu.

“Apa yang jelas, negara yang rugi dan keselamatan rakyat dibelakangkan dengan episod terbaharu politik Muhyiddin ini,” bidasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Raja Bahrin yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu, rampasan kuasa kerajaan melalui pintu belakang ini telah membuatkan situasi Covid-19 yang pada awalnya di bawah kawalan, namun menjadi lebih parah.

Beliau berkata, ketika ini iaitu di saat situasi Covid-19 lebih kritikal, sekali lagi tindakkan Muhyiddin akan membawa situasi wabak ini ke dalam keadaan tidak menentu.

“Hilang tumpuan beliau dengan tindakan sendiri iaitu mencetuskan krisis politik baharu dalam parti Bersatu.

“Apabila gambar Perdana Menteri masih sibuk bermain golf waktu kritikal ini, saya bersangka baik beliau perlu merehatkan minda menghadapi masalah negara.

“Seolah-olah tidak ada pengajaran dari peristiwa pertikaian politik pertukaran kerajaan semasa Covid-19 telah menular dan keadaan menjadi lebih buruk.

“Masalah politik perebutan kuasa baru dalam Parti Bersatu pula muncul dengan pemecatan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki oleh Muhyiddin.

“Datuk Marzuki adalah penyokong Tun Mahathir yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin. Walaupun mesyuarat agung telah ditunda kepada Jun 2020 oleh ROS, perlukah krisis dalaman kritikal parti Perdana Menteri sendiri diburukkan lagi di saat ini? Bolehkah Muhyiddin tumpu perhatian kepada masalah terbesar negara dan dunia dengan meningkatkan lagi konflik dalaman Bersatu?,” soalnya.

Kerajaan digesa ganti pekerja asing dengan warga tempatan

Minderjeet Kaur
PETALING JAYA:
Persatuan majikan menyeru tindakan segera untuk menggantikan pekerja asing dengan penduduk tempatan, mengatakan ia perlu disebabkan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia akibat perintah kawalan pergerakan (MCO) dan ekonomi yang lembap.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan memberitahu FMT, beliau bersetuju dengan laporan yang memetik sumber perusahaan kecil dan sederhana bahawa kira-kira 1 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan kerana MCO selama 2 minggu itu.

Beliau berkata syarikat-syarikat yang menggunakan 10 pekerja atau kurang mudah terjejas dan mungkin muflis.

Terdapat kira-kira 650,000 syarikat bersaiz mikro yang membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada syarikat yang lebih besar.

“Mereka mungkin tidak mempunyai simpanan untuk mengekalkan operasi mereka,” kata Shamsuddin.

Beliau menggesa syarikat-syarikat yang lebih besar menawarkan pekerjaan kepada rakyat tempatan yang kini diisi warga asing.

Beliau mengakui sukar untuk memecat majoriti pekerja asing serta-merta tetapi beliau menggesa kerajaan menyediakan garis masa untuk dilaksanakannya secepat mungkin.

Beliau berkata ribuan penduduk tempatan boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan jika keadaan kerja bertambah baik dan skop kerja dijenamakan semula.

“Berikan mereka latihan supaya mereka dapat bekerja dalam pasukan tindak balas kecemasan. Beri mereka elaun tambahan.”

Beliau memetik laporan yang mengatakan terdapat lebih 2 juta pekerja asing dan berjuta-juta lagi bekerja secara haram di Malaysia.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk memperkenalkan automasi dan meningkatkan piawaian kerja bagi menarik pekerja Malaysia.

Beliau menggesa kerajaan melihat setiap langkah yang mungkin untuk membantu syarikat-syarikat kekal dalam perniagaan dan pekerja kekal dengan pekerjaan mereka.

Beliau juga berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur harus bertindak membenteras “banyak perniagaan haram di Kota Raya dan Bukit Bintang” yang dikendalikan warga asing dan dengan itu ia membuka peluang kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata kumpulannya menganggarkan sekurang-kurangnya 30% pekerja hotel akan kehilangan pekerjaan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, industri hotel menggunakan kira-kira 220,000 pekerja.

Yap memberitahu FMT wabak Covid-19 menyebabkan perniagaan hotel mengalami kerugian lebih 50% walaupun sebelum MCO berkuat kuasa pada 18 Mac.

“Disebabkan MCO, kebanyakan hotel menjangkakan kerugian RM500 juta,” katanya, sambil menambah majoriti mereka tidak dapat menampung kerugian sedemikian lebih daripada 3 bulan.

Beliau berkata ahli persatuannya berharap pekerja akan menerima tawaran cuti tanpa gaji sementara.

Beliau juga berkata beberapa bulan akan datang akan menjadi sangat mencabar, di mana hotel-hotel perlu memutuskan sama ada mereka harus terus kekal dalam perniagaan itu.

Jemaah Tabligh ditahan ketika cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya

Bernama
Seorang wanita dan tiga jemaah tabligh termasuk seorang yang disyaki menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini ditahan polis ketika cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan, di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat George Town hari ini.

Setelah ditahan kira-kira jam 6.30 petang itu, kesemua mereka diiringi ke Klinik Kesihatan Bayan Baru untuk tapisan COVID-19.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt AA Anbalagan berkata polis menahan sebuah kereta Proton Waja dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita yang dalam keadaan mencurigakan.

Apabila diperiksa dan ada antara mereka cuba melarikan diri, anggota polis terpaksa menahan semua mereka yang berusia antara 27 hingga 56 tahun.

"Pemeriksaan awal, seorang daripada tiga lelaki itu mengaku menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling dan dia tidak membuat pemeriksaan kesihatan selepas pulang dari perhimpunan tersebut,” katanya.

Siasatan pada doktor senam di taman

Dalam perkembangan lain, polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang doktor sebuah klinik swasta yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan tetap mahu bersenam di Taman Bandaraya, di George Town semalam walaupun penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengarahkannya beredar dari situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam itu, lelaki berusia 60-an itu bersenam di Taman Bandaraya tersebut dan tindakannya dikesan penguat kuasa MBPP yang membuat rondaan di kawasan tersebut sebelum menasihatkannya beredar dari situ.

"Namun, doktor itu enggan beredar malah memberi alasan mahu bersenam kerana menjaga kesihatan dan mendakwa Taman Bandaraya itu adalah lokasi awam untuk orang ramai beriadah jadi tiada halangan untuk dia berbuat demikian.

"Berikutan itu penguatkuasa MBPP membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut," katanya kepada Bernama di George Town hari ini.

Dr Amalina sangkal Menteri Kesihatan: Tiada bukti petua minum air suam elak Covid-19


Malaysiakini
Doktor pakar bedah Dr Amalina Bakri menyangkal petua daripada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba supaya orang ramai digalakkan minum air panas bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

"Ia bukan nasihat (doktor) dan tiada bukti di sebalik syor ini.

"Sila ikuti nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan WHO," katanya pada kicauan di Twitter, membalas suatu ciapan yang menyertakan pautan mengenai saranan menteri kesihatan itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menolak mitos yang sama pada 26 Februari lalu.

"Walaupun mengekalkan hidrat (kandungan air dalam badan) dengan minum air adalah penting untuk kesihatan keseluruhannya, namun ia tidak menghalang jangkitan koronavirus," kata WHO Pasifik Barat pada hantaran di Twitter.

Sementara itu, Amalina juga menegaskan petua minum air untuk menghalang jangkitan Covid-19 sebagai mitos.

"Tidak kiralah di mana anda dengar tips ini walaupun di stesen televisyen nasional, tips ini adalah mitos.

"Tips yang betul adalah jaga kebersihan, basuh tangan, jangan sentuh muka, amalkan etika batuk serta bersin, duduk rumah dan amalkan penjarakkan sosial pada kadar satu meter.

"Hanya menjelaskan, kepanasan kira-kira 60 darjah Celcius boleh menyahaktifkan virus di luar badan, tapi bila sudah di dalam badan kita, minum air panas tak akan lemahkan virus tu.

"Tiada bukti asid di dalam perut kamu boleh membunuh virus itu.

"Dengan demikian, minum air bagus mengekalkan kamu senantiasa hidrat, tetapi ia tidak akan menyebabkan virus itu tidak aktif dengan apa jua sekalipun," katanya.

Ketika wawancara di saluran televisyen RTM TV1 semalam, Adham menasihakan minum air suam sebagai petua bagi menghalang jangkitan Covid-19.

"Virus ini tak suka panas. Jangan (air) panas sangat lah.

"Virus ini akan dinyahkan, disingkir, dan di perut. Kalau masuk perut ada asid, dia kalah.

"Yang penting kita mesti singkirkan virus ini dari kerongkong sebelum dia boleh masuk ke paru-paru. Virus ini dia suka paru-paru bawah," katanya sambil minum air.

Ketika wawancara itu juga, Adham berkata China mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu negara-negara lain yang mendapat kesan Covid-19 kerana virus itu 'dieksport' dari sana.

"Kalau di China pun telah mengurang, wabak yang ditularkan, mereka mungkin boleh deploy aset-aset yang mereka tak pakai itu.

"Kita kena berhubung dengan pihak Wisma Putra dan Kementerian Luar negara China supaya mereka yang bertanggungjawab selama ini dalam mengeksport Covid-19 ini ke negara luar, adalah satu tanggungjawab sosial terbesar dalam dunia, yang mungkin boleh beri (bantuan) kepada kita," kata Adham.

Adham berkata, bantuan China boleh dihulurkan khususnya dalam membekalkan cecair pembasmi kuman, topeng muka, serta keperluan lain dalam menangani wabak berkenaan.

China pada hari ini buat kali pertama mengesahkan tidak ada kes domestik baru selepas wabak Covid-19 menular di negara itu sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, kes import bagi Covid-19 dilaporkan terus meningkat.

'Tak masuk akal' kerah tentera mulai Ahad - Anwar

Malaysiakini
Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengerahkan tentera mulai Ahad ini sebagai 'tidak masuk akal' (absurd).

"Bagi saya, ini sebenarnya tidak masuk akal untuk mengerahkan tentera pada waktu polis masih boleh mengawal keadaan," kata Anwar kepada CNBC hari ini.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri berkata pihak tentera akan dipanggil bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau keadaan susulan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Awal hari ini, polis menyuraikan kehadiran ramai pelanggan di pasar basah di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Jabatan Pengangkutan Jalan juga menutup kaunternya selepas dikerumuni orang ramai.

Anwar berkata PH akan menyokong kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

"Kami bersama dengan kerajaan dalam semua usaha untuk menangani isu ini," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Anwar kerajaan kekurangan perancangan yang jelas dan koheren dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Beliau berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk menjaga kebajikan golongan miskin dan memastikan nasib mereka terbela sepanjang tempoh dua minggu perintah kawalan pergerakan dua.

Anwar juga mengkritik kerajaan kerana tidak melarang perhimpunan agama lebih awal, berkata usaha Perikatan Nasional yang mahu dilihat sebagai pentadbiran Islam telah mengakibatkan keputusan lambat dibuat.

Setakat tengahari tadi terdapat 1,030 kes jangkitan Covid-19, manakala terdapat 26 pesakit yang dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Covid-19 telah meragut tiga korban di Malaysia.

Menteri Pertahanan tidak mempunyai kuasa untuk mengatur mana-mana unit angkatan bersenjata - Patriot

AKMAL MANAF
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) percaya polis sebagai pihak berkuasa yang kini memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mempunyai sumber mencukupi untuk mengawal dan menguruskan perintah tersebut dengan berkesan.

Presiden Patriot, Briged Jeneral Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri yang akan mengerahkan anggota tentera pada Ahad ini bagi membantu pihak polis, adalah keputusan yang terburu-buru.

“Lebih daripada 130,000 kakitangan, terutamanya dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kini berada di bahagian yang berlainan di negara ini, boleh digunakan untuk tugasan berkenaan (PKP).

“Menteri Pertahanan mesti mempunyai kepercayaan penuh dan keyakinan terhadap kemampuan pasukan polis yang berpengalaman menangani isu-isu keselamatan dalam negara.

“Kami tidak mahu imej negara kelihatan seperti zon perang (jika menggunakan tentera dan ia akan memberi gambaran buruk di mata dunia. Menggunakan khidmat tentera untuk tugasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) haruslah menjadi pilihan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Arshad berkata, Menteri Pertahanan tidak mempunyai kuasa untuk mengatur mana-mana unit angkatan bersenjata.

“Ismail Sabri juga mesti memahami bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengatur mana-mana unit angkatan bersenjata, atau membuat apa-apa rujukan terhadap perbuatan tersebut.

“Kuasa tersebut hanya terletak dengan Ketua Perkhidmatan masing-masing melalui konsensus yang dibincangkan dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Panglima-Panglima yang dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera.

“Walaupun sekarang kita berada dalam situasi pandemik kecemasan, keputusan yang dibuat mestilah difikirkan dengan baik dan tidak sembarangan, termasuk keputusan yang dibuat semasa mesyuarat kecemasan,” ujarnya lagi.

Menteri PN sibuk pikat MP PKR dari tangani Covid-19 - Anwar

Malaysiakini
Para pemimpin kerajaan Perikatan Nasional saat ini sedang sibuk memikat MP PKR daripada menangani wabak Covid-19, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR mendakwa antara pemimpin yang giat bermain politik ialah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

"Kami ada para pemimpin, menteri-menteri, termasuk menteri dalam negeri yang sepatutnya menumpukan kepada isu virus dan keselamatan negara tetapi cuba menarik (sokongan) orang, menghubungi para MP daripada parti kami dan memujuk mereka, menjanjikan bermacam imbuhan untuk menyertai mereka," kata Anwar dalam wawancara bersama CNBC hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Hamzah untuk mendapatkan maklum balas terhadap dakwaan ini.

Anwar juga ditanya wartawan penyiaran CNBC sekiranya PH masih mahu meneruskan cadangan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan jika gabungan tersebut mempunyai bilangan MP yang cukup untuk menyokong usul berkenaan di parlimen.

Menjawab soalan itu, MP Port Dickson berkata walaupun kini beliau menumpukan terhadap kebajikan orang ramai, virus dan keselamatan negara namun Anwar optimis mengenai usul undi tidak percaya PM itu.

Jelasnya, usaha berterusan untuk memikat MP PKR menjadi bukti gabungan politik PN rapuh.

Bagaimanapun, katanya lagi usul undi tidak percaya tersebut bergantung kepada situasi semasa negara.

Pada masa ini, Anwar berkata PH menyokong kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

"Kami bersama-sama dengan kerajaan dalam semua usaha untuk menangani isu ini," jelasnya.

Menurut Anwar, bagaimanapun, kerajaan kekurangan rancangan yang koheren dan jelas dalam menangani Covid-19.

Banyak yang dapat dilakukan bagi menjaga kebajikan golongan miskin dan memastikan keperluan mereka dipenuhi sepanjang tempoh dua minggu perintah kawalan pergerakan.

Muhyiddin lebih bimbang kedudukannya dalam parti dari rakyat

MALAYSIA DATELINE

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin nampaknya lebih bimbang kedudukannya tergugat dalam Bersatu daripada kebimbangan kepada Covid-19 yang boleh mengancam nyawa manusia, kata penulis.

Mohd Sayuti Omar dalam tulisan berkata, kalau dia tidak bimbang dengan kedudukannya dalam parti dia tidak pecat Setiausaha Agung partinya, Datuk Wira Marzuki Yahya.

“Pemecatan Marzuki dalam suasana diguruhi C19 itu menunjukkan Muhyiddin lebih memikirkan kedudukannya daripada nasib rakyat,” tulis beliau melalui facebooknya.

Mahyuddin telah memecat Marzuki dari jawatan Setiausaha Agung Bersatu dalam satu suratnya bertarikh 18 Mac lalu serta merta.

Tidak ada sebarang sebab diberikan oleh beliau ketika memecat bekas Timbalan Menteri Luar itu.

Sementara itu, seorang peguam menyifatkan pemecatan itu tidak sah kerana menurut Perlembagaan Bersatu, Presiden boleh memecat mana-mana pegawai parti “selepas berunding dengan Pengerusi parti”.

Lagipun, jawatan yang sah dalam Bersatu sekarang adalah Pengerusi selepas hanya nama Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan untuk jawatan pengerusi sedangkan ada tiga nama untuk jawatan presiden.

Siaran langsung titah Agong malam ini

Malaysiakini
Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan menyampaikan titah berkenaan perintah kawalan pergerakan pada malam ini, menurut laporan The New Straits Times.

Menurut laporan itu, ia akan disiarkan secara langsung di RTM dan TV3 pada pukul lapan malam.

Seorang jurucakap Istana Negara mengesahkan kepada Malaysiakini berkenaan siaran langsung tersebut.

Terdahulu hari ini, Sultan Abdullah membuat rondaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi memantau pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Menurut Istana Negara, baginda antara lain memandu ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitar KLCC, serta berhenti untuk bertemu pegawai polis yang memantau lalu lintas di Jalan Semantan, Sri Hartamas, Jalan Loke Yew dan Jalan Ampang.

Baginda juga menjelaskan masih terdapat banyak kereta di jalan raya dan berharap ia akan berkurang secepat mungkin.

Hari ini merupakan hari ketiga perintah kawalan pergerakan di seluruh negara yang akan dikuatkuasakan sehingga 31 Mac ini.

Dr M bantah Muhyiddin singkir Marzuki

Hariz Mohd

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menyuarakan "bantahan terhadap pemberhentian Marzuki Yahya" daripada jawatan setiausaha agung parti itu.

Hal ini dinyatakan dalam surat Dr Mahathir kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dilihat Malaysiakini.

"Pemberhentian Marzuki Yahya daripada jawatan setiausaha agung Bersatu oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin) adalah tidak sah dan wajar diketepikan," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri telah memecat Marzuki Yahya daripada jawatan setiausaha agung Bersatu.

Muhyiddin dilaporkan memetik Fasal 13.9 perlembagaan parti Bersatu untuk menamatkan perkhidmatan Marzuki di dalam parti itu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam surat itu menegaskan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu memang memperuntukkan kuasa atau tugas melantik setiausaha agung kepada presiden tetapi dengan syarat: "Selepas berunding dengan pengerusi parti."

"Maksud dan aplikasi berunding di dalam konteks ini bukan hanya setakat presiden memaklumkan pengerusi tetapi ianya mesti mencapai perbincangan yangbersungguh-sungguh antara presiden dengan pengerusi parti berkenaan urusan melantik pegawai-pegawai (tertinggi parti) tersebut," katannya.

Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir yang dilantik semula sebagai pengerusi Bersatu tanpa bertanding pada Isnin lalu berkata "presiden adalah pada setiap masa material" mesti berunding dengannya parti sebelum apa-apa tindakan dan keputusan pemberhentian boleh dibuat.

"Di dalam situasi pemberhentian Marzuki Yahya tersebut daripada jawatan setiausaha agung bersatu oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin), tiada sebarang rundingan telah dilakukan antara Tan Sri (Muhyiddin) dengan saya selaku pengerusi parti," kata Mahathir lagi.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dilantik sebagai setiausaha agung parti.
Mahathir juga tidak bersetuju dengan pelantikan setiausaha agung Bersatu yang baru yang dilantik Muhyiddin bagi menggantikan Marzuki.

"Saya selaku pengerusi dengan ini memaklumkan bahawa melalui pemakaian fasal-fasal perlembagaan parti sebagaimana dinyatakan di atas, saya tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri (Muhyiddin Yassin) untuk melantik Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung parti yang baru," jelasnya.

Terdahulu, Marzuki yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima surat pemecatan itu.

Diminta mengulas sebab pemecatannya, Marzuki sekadar menjawab: "Saya pun tak tahu, tanya dia (Muhyiddin) lah."

Marzuki juga berkata beliau tidak akan membuat rayuan.

Saya selaku pengerusi dengan ini memaklumkan bahawa melalui pemakaian fasal-fasal perlembagaan parti sebagaimana dinyatakan di atas, saya tidak bersetuju dengan cadangan Muhyiddin Yassin untuk melantik Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung parti yang baru.

Pertembungan antara Muhyiddin dan Tun Mahathir semakin hangat: Muhyiddin pecat Marzuki dari Setiausaha Agung Bersatu

BORHAN AHMAD
Tan Sri Muhyiddin Yassin memecat Datuk Wira Marzuki Yahya dari menjadi Setiausaha Agung Bersatu berkuatkuasa serta merta.

Pemecatan itu dibuat melalui satu surat bertarikh 18 Mac 2020 yang ditujukan kepada Marzuki.

Pemecatan ini dibuat ketika negara sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19.

Ia dipercayai ekoran pertembungan antara kumpulan yang menyokong Muhyiddin sebagai presiden dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu.

Marzuki adalah penyokong kuat kepada Tun Mahathir.

Dalam penamaan calon pimpinan Bersatu baru-baru ini, hanya nama Tun Mahathir dicalonkan sebagai Pengerusi Bersatu namun Muhyiddin dicabar oleh dua calon lain termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tentera akan dikerah mulai Ahad

Malaysiakini
Pihak tentera akan dipanggil bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau keadaan susulan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri.

"Mesyuarat hari ini memutuskan supaya pihak tentera membantu pihak polis di dalam memantau keadaan yang berlaku hari ini terutama untuk pastikan pematuhan rakyat kepada arahan supaya rakyat berada dalam rumah masing-masing.

"Tentera akan mula digerakkan pada hari Ahad ini, jadi kita yakin bantuan dari pihak tentera kawalan akan lebih lagi dapat dilaksanakan. Kita berharap rakyat akan terus patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, kerajaan yakin dengan bantuan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.

"Kita berharap rakyat terus patuh arahan tentera. Dari laporan pihak polis, jelas nampak ada peningkatan dari segi pematuhan rakyat. Kita ucap terima kasih kepada rakyat.

"Bagaimanapun, masih terdapat insiden ramai tidak mempedulikan arahan pihak kerajaan dan arahan polis. Pada peringkat awal ini, kita hanya nasihat dan tindakan berhemah dilakukan.

Kalau akhirnya sampai tahap tidak boleh kompromi, maka tindakan undang-undang akan digunakan," katanya.

Namun, menurut Ismail Sabri, pembabitan tentera itu bukanlah satu perintah darurat sambil menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.

"Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini lebih menambah banyak panik dalam kalangan rakyat. Ada sampai audio, 'posting' dalam Facebook yang mengatakan menteri ertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.

"Saya tidak tahu menteri pertahanan mana. Tiada dalam perancangan untuk perintah darurat. Malah kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Jadi, saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya," katanya.

Lelaki ditahan halang tugas polis ketika perintah kawalan pergerakan

Bernama
SUNGAI PETANI:
Seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sebuah rumah ibadat, di sini kerana menghalang tugas penjawat awam dengan mempertikai dan menghamburkan kata-kata kesat kepada polis selepas diminta akur kepada perintah kawalan pergerakan yang sedang dikuatkuasakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, polis yang membuat pemantauan di rumah ibadat itu kira-kira 10.30 pagi semalam berikutan penguatkuasaan perintah berkenaan mendapati sekumpulan individu berada di sana.

“Pihak polis telah memberi penjelasan kepada mereka mengenai perintah ini dan meminta mereka beredar dan mereka yang lain akur cuma seorang individu cuba mempertikaikan pihak berkuasa, jadi polis memutuskan untuk tahan dia.

“Kita tahan dia bukan sebab langgar syarat perintah kawalan pergerakan, tapi kerana menghalang tugas penjawat awam selepas kita minta dia beredar, dia tidak mahu beredar, dia maki kita, tidak mahu bagi kerjasama,” katanya kepada pemberita semalam.

Adzli mengingatkan orang ramai tidak memandang ringan perintah kawalan pergerakan dan akur kepada arahan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengeluarkan nasihat kepada orang ramai agar patuh kepada semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa susulan perintah kawalan pergerakan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Selepas bergambar dengan MP Kuching, Dr Mahathir jalani kuarantin

ARIF ATAN
Gara-gara pernah bergambar dengan Ahli Parlimen Kuching dari DAP, Dr Kelvin Yii yang disahkan positif koronavirus baharu (Covid-19), Tun Dr Mahathir bertindak menjalani kuarantin secara sukarela.

Dalam satu klip video yang dikongsi eksklusif bersama Buletin Utama TV3 malam tadi, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mengikut arahan dan sanggup berkurung selama 14 hari supaya jangkitan wabak itu tidak merebak kepada orang lain.

“Ini pengalaman saya sekarang ini, terkurung di rumah tidak boleh keluar, tidak boleh jumpa sesiapa pun, tidak boleh bersalam dengan orang tapi Alhamdulillah tidak begitu berat bagi saya,” jelasnya.

Dalam masa sama, bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menasihatkan orang ramai agar tidak perlu pulang ke kampung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan mengawal diri kerana tempoh dua minggu ‘mengurungkan’ diri adalah untuk kebaikan bersama.

“Ini usaha kita menunaikan ajaran agama iaitu kita perlu berusaha sendiri sebelum berdoa dan solat hajat kita dimakbulkan oleh Allah.

“Bukan balik kampung atau tinggal di kampung tetapi tinggal di tempat kita berada sekarang.

“Tidak (perlu) balik kampung kerana kalau kita balik, seolah kita bercuti, mungkin kita bawa penyakit (Covid-19) ini ke kampung.

“(Jika) di kampung kita tak jaga diri kita, maka orang kampung pula dapat sakit, oleh itu jangan balik kampung,” jelasnya lagi.

Dr Kelvin dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak selepas disahkan positif Covid-19 berdasarkan hasil keputusan ujian yang dibuat Jabatan Kesihatan di hospital itu,16 Mac lalu.

Dr Kelvin, 34, memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang gejala virus sejak dua minggu lalu bahkan tiada demam.

Terdahulu, beliau pernah berurusan dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu pada 2 Mac lalu yang sebelum itu telah positif wabak tersebut.

‘Allah berkuasa bukan virus berkuasa’

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Dalam kalangan orang tabligh, ramai orang alim. Saya pernah bertemu dengan seorang pemimpin mereka yang fasih berbahasa Arab dan saya diberitahu beliau alim dalam hadith dan fiqh.

Sementara itu, kebanyakan pengikut tabligh di negara ini terdiri daripada mereka yang berminat untuk memperbaiki kehidupan beragama, terutama golongan muda yang mula sedar dirinya jauh daripada agama.

Kesedaran itu sangat bagus. Selain institusi pondok, bagi mereka yang punya komitmen kehidupan yang banyak, tabligh adalah pilihan untuk mencapai tujuan tersebut.

Cuma, setakat yang saya tahu, mereka tidak belajar agama kecuali melalui program agama yang menjadi rutin kelompok mereka iaitu keluar, bayan, tazkirah, gasy dan sebagainya.

Keluar dalam bilangan hari tertentu adalah rutin utama mereka. Ada yang sanggup keluar sampai empat bulan, meninggalkan keluarga yang perlu disantuni atas nama jalan Allah dengan tujuan “dakwah” dan “kerana Allah.”

Saya pernah bertanyakan hal itu kepada seorang rakan tabligh. Katanya, kita keluar kerana Allah, jadi keluarga kita Allah jaga.

Namun sedihnya, hal yang saya lihat dengan mata sendiri, sepanjang tempoh keluar, keluarganya tidak terurus dan ada anak-anak yang terbiar. Lebih sedih lagi, anak-anak itu dibeban kepada orang tua di kampung untuk disantuni.

Saya tidak berkata semua orang tabligh begitu kerana dalam kalangan mereka ada yang berjaya, dan anak-anak mereka cemerlang mengatasi anak-anak orang bukan tabligh.

Setahu saya, pelajaran agama yang mereka dapat hanya sesama mereka melalui bayan berpandukan kitab fadhilat iaitu fadhilat solat, zikir dan sebagainya.

Mereka hanya membaca teks kitab berkenaan tanpa ada orang alim yang boleh mencungkil isi kandungan teks tersebut dari sudut maqasid, kaedah pelaksanaan dan sebagainya.

Akhirnya, kefahaman mereka terhadap teks itu berlaku secara literal dan apabila mereka beramal dengannya, amalan mereka menjadikan agama ini kaku, keras, tidak meraikan realiti dan jumud.

Semua teks itu tidak ada masalah, kerana ia disusun oleh orang yang mahir dalam ilmu hadith, cuma kaedah memahami teks dengan mengambil kira konteks realiti tidak wujud dan tidak dilatih.

Saya berikan contoh. Seorang saudara saya orang tabligh begitu konsisten dengan berjamaah di masjid. Suatu hari, beliau terlewat sedikit ke masjid menyebabkan beliau memecut keretanya untuk mengelak terlepas takbiratul ihram bersama imam.

Hasilnya, dia kemalangan. Tindakan itu berpunca daripada kefahamannya yang kaku terhadap hadith kelebihan solat berjamaah dan kelebihan mendapat takbiratul ihram bersama imam.

Dia mengabaikan hadith, ikutlah imam sekadar yang seseorang dapat. Jika terlepas, sempurnakan secara bersendirian. Juga hadith larangan tergesa-gesa untuk hadir solat berjamaah.

Demikian juga hadith berkaitan larangan berkain labuh di bawah buku lali. Dalam satu musafir, guru saya ditegur oleh orang tabligh kerana memakai seluar labuh di bawah buku lali. Guru saya yang alim usul fiqh diam sahaja sambil senyum kepada saya.

Justeru kita nampak ramai orang tabligh pakaian mereka singkat kerana berpegang dengan hadith larangan berpakaian labuh di bawah buku lali.

Padahal, larangan itu illahnya ialah sombong kerana kebanyakan orang dahulu apabila berkain labuh akan sombong. Lantas dilarang berkain labuh untuk mengelak sombong, sifat yang Allah benci itu.

Namun kini, berseluar labuh di bawah buku lali menjadi perkara biasa, bahkan berseluar di atas buku lali menjadi perkara janggal pula. Justeru apabila tidak ada sombong, tidak adalah larangan itu.

Jika berkain atau berseluar di atas buku lali tapi sombong tetap berdosa kerana alasan larangan ialah sombong bukan semata-mata melihat kepada singkat atau labuhnya pakaian.

Maksud saya ialah, sebahagian orang tabligh beragama tanpa kefahaman. Ketekunan mereka beragama tanpa memahami selok-belok kaedah berdalil, tidak memahami usul fiqh apatah lagi tanpa mengambil kira maqasid syariah, menjadikan amalan agama mereka kadang-kadang tidak menampakkan keindahan agama tetapi merosakkannya.

Hal inilah yang saya nampak dalam kefahaman mereka terhadap isu Covid-19 ini. Mereka melaung, Allah berkuasa, bukan virus berkuasa. Kita ada Allah, jangan takut kepada virus, takutlah kepada Allah. Bertawakkallah kepada Allah, jangan bergantung kepada manusia.

Saya pernah berkata kepada seorang teman saya, apabila dia mahu keluar ketika padinya sudah mula merunduk dan dia serahkan kepada Allah, “Apa hang ingat Allah kuli sakai hang ka? Tuai padi hang tu kerja hang, bukan kerja Allah.”

Cakap saya tak berkesan. Dia keluar juga 40 hari. Apa jadi dengan padi dia? Entah, saya tak ambil tahu lagi selepas itu. Begitulah cara mereka memahami tawakkal, takdir, rezeki dan banyak lagi urusan qada’ dan qadar dengan konsep yang celaru dan keliru.

Banyak lagi contoh lain yang memberi gambaran kepada kaedah memahami agama yang tidak serasi dengan semangat dan ruh agama yang Allah turunkan sebagai rahmat untuk semesta alam.

Itu belum lagi seorang rakan tabligh yang saya jumpa sedang berjemur di tengah panas. Apabila ditanya alasannya, dia jawab Allah jadikan matahari untuk keringkan pakaian sebagai nikmat. Jadi saya sedang mensyukuri nikmat Allah. Sebelumnya dia mengambil wuduk sehingga basah lencun kurtanya.

Kefahaman agama secara literal sebegini bukan berlaku dalam kalangan orang tabligh saja tapi berlaku dalam kalangan ramai orang terutama anak muda yang ghairah untuk beragama dan menjadi orang beragama.

Mereka membaca teks tanpa guru, dan lebih bahaya mereka tidak memahami bahasa asal teks berkenaan. Mereka memahami agama melalui terjemahan kepada teks secara bersendirian.

Saya pohon maaf dengan tulisan ini yang bukan bertujuan untuk menjatuh apatah lagi menghina.

Cuma saya tak tertahan hati, otak saya mendesak, jari saya meronta-ronta untuk menulis hal ini apabila terbaca berita orang tabligh berkumpul di Indonesia dalam suasana kita semua sedang dilingkungi fitnah Covid-19 yang mengancam nyawa ini.

Semoga Allah melimpahkan afiat-Nya untuk kita.

Boleh didenda RM10,000 jika langgar perintah kawalan pergerakan, kata peguam

V Anbalagan
PETALING JAYA:
Individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa semalam bagi membendung penyebaran Covid-19, boleh didenda sehingga RM10,000 jika pendakwa raya memfailkan kes di Mahkamah Majistret, kata peguam.

A Srimurugan berkata, Akta Mahkamah Rendah membenarkan majistret kelas pertama menjatuhkan denda itu kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak menyatakan jumlah denda.

Seksyen 24 menyatakan sesiapa yang didapati bersalah untuk kali pertama di bawah akta ini yang tidak menyatakan denda khusus boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Beliau berkata, pesalah juga boleh didenda melebihi RM10,000 jika pendakwa raya memutuskan untuk melakukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen.

“Seksyen 65 Akta Mahkamah Rendah menyatakan hakim Mahkamah Sesyen boleh mengenakan sebarang hukuman kecuali hukuman mati,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, Seksyen 283 (1)(a) Kanun Prosedur Jenayah menyatakan di mana jumlah denda tidak dinyatakan, penalti itu perlu adil dan munasabah.

Perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu menyatakan tiada individu dibenarkan menjelajah dari sebuah tempat ke tempat lain, kecuali untuk urusan rasmi, menyediakan perkhidmatan asas, membeli, membekal atau menghantar makanan atau barang keperluan, mendapatkan rawatan atau bagi tujuan lain yang dibenarkan ketua pengarah kesihatan.

Peguam, GK Ganesan berkata, ketua pengarah atau mana-mana pegawai awam yang mempunyai kuasa boleh mendenda pesalah sehingga RM1,000 bagi sebarang kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ini pada dasarnya ialah budi bicara pihak berkuasa dalam kes berkaitan.”

Semalam, Muhyiddin menerusi perutusan khas merayu rakyat tidak balik kampung sepanjang 2 minggu perintah kawalan pergerakan kerana pergerakan beramai-ramai akan menggagalkan matlamat perintah itu.

Katanya, kerajaan tiada pilihan kecuali melanjutkan perintah kawalan pergerakan jika gagal membendung penularan Covid-19.

Ketakutan dan panik mungkin bunuh kita

A Kadir Jasin
Kalau Covid-19 tidak bunuh kita, ketakutan dan panik mungkin akan bunuh kita.

Ini bukan lagi wabak penyakit. Ia sudah jadi penyakit mental.

Ketakutan dan panik telah nengambil alih, diapi-apikan oleh ketidakwarasan dan ketidakbertanggungjawaban pengamal media sosial.

Pembelian panik menyebabkan supermarket dan kedai kehabisan barang, harga naik dan bekalan disembunyikan.

Penjualan panik menyebabkan trilion ringgit modal pasaran hancur musnah di merata dunia.

Akibatnya setiap orang yang ada pelaburan atau simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), mengalami kerugian.

Dilaporkan dua orang telah meninggal dunia akibatnya di negara kita, bilangan dijangkiti meningkat dan yang sembuh bertambah.

Itulah bahana wabak era digital di mana ketakutan dan panik mudah disebar sehingga menyebabkan manusia hilang akal dan habis wang simpanan.

Saya berusia 73 tahun. Generasi saya melalui pelbagai wabak dan jangkitan maut. Kita takut, tetapi kita tidak panik. Yang selamat dan sembuh, daya tahan jangkitannya menjadi lebih kuat.

Isnin lalu, saya membuat kunjungan biasa kepada doktor saya, seorang bekas pegawai perubatan tentera. Dia menjaga kesihatan saya sejak tahun 1980-an apabila dia menjadi doktor di New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Waktu itu NSTP amat berjaya. Ia mempunyai klinik perubatan sendiri. Ia juga memberi biasiswa kepada kakitangan dan orang luar untuk melanjutkan pelajaran, ada pejabat di London dan New York, menghantar kakitangan untuk menunaikan haji sebagai hadiah perkhidmatan lama, memberi pinjaman perumahan dan kenderaan serta membayar bonus sehingga tujuh bulan.

Itu cerita lama. Bahan nostalgia. Waktu itu ramai anak muda berjaya jadi wartawan dan pengamal perbuhungan awam melalui Skim Latihan Pra-Pengambilan (PETS) yang dimulakan pada akhir 1980’an oleh NSTP sebagai khidmat

Dalam lawatan kepada doktor saya itu, tekanan darah saya 139/60, paru-paru baik, tidak demam dan daya refleks baik. Hanya ada sedikit sakit tekak. Saya tidak merokok dan tidak makan gula mentah jadi itu menyumbang kepada kesihatan.

Dilahirkan dan dibesarkan ketika zaman susah ada kebaikannya. Sesiapa saja yang berjaya melepasi zaman kanak-kanak yang penuh penyakit, kekurangan zat makanan dan tahap kebersihan rendah menjadi lebih kuat.

Setidak-tidaknya itulah yang tercetus dalam perbualan saya dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengenai kesihatan pada zaman sebelum merdeka dan selepasnya dalam kaitan wabak besar Covid-19 ini.

Dr Siti Hasmah yang pernah bertugas sebagai Pengarah Perubatan Desa di Alor Setar amat peka tentang penyakit dan jangkitannya serta kesan rawatan kepada kesihatan jangka panjang pesakit, khususnya mengenai imuniti.

Waktu itu, taraf kesihatan rendah dan kemudahan rawatan amat terhad. Ada pelbagai penyakit berjangkit yang membunuh atau mencacatkan seperti cacar, taun, demam kepialu (typhoid), malaria, batuk kering dan polio.

Tidak cukup dengan itu, ada pula penyakit yang dibawa oleh binatang ternakan dan haiwan kesayangan.

Dalam perbualan dengan doktor saya pula, kami menyentuh tentang penjagaan dan rawatan kesihatan moden yang mungkin menyebabkan manusia hilang imuniti dan mudah dijangkiti penyakit.

Ini belum lagi diambil kira penyakit yang berpunca daripada keturunan (genetic) dan gaya hidup.

Walaupun pelbagai vaksinasi diberi sejak bayi, ia belum menjamin yang seseorang itu tidak akan dijangkiti penyakit kerana badannya tidak membina imunit semula jadi untuk menyekat penyakit-penyakit baru.

Jadi dalam kita berjaga-jaga terhadap pandemik atau wabak besar Covid-19 ini, kita jangan panik hingga hilang akal dan kira bicara. Ketakutan kita biarlah berasas.

Masih ingat lagikah bagaimana kita dilanda ketakutan dan panik malah menyangka dunia akan kiamat akibat Y2K?

Bagi saya, Covid-19 menjadi lebih buruk daripada yang sebenarnya kerana sebahagian besar manusia telah menjadi hamba kepada media sosial dan menyalahgunakan kuasa digital.

Menteri PN kurang berfungsi netizen cadangkan Dr Noor Hisham sebagai Menteri Kesihatan

MALAYSIA DATELINE
Selepas mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipuji oleh pengguna media sosial kini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula menjadi pujaan netizen.

“Saya cadangkan Datuk Dr Noor Hisham ni jadi Menteri Kesihatan,” tulis Noor Azizah Tahir melalui facebook beliau.

Bagi ramai pihak, cadangan sebegini bukan perkara baru kerana sebelum ini banker telah dilantik sebagai Menteri Kewangan manakala Mufti pula dilantik sebagai Menteri Agama.

“Apa salahnya kita lantik Datuk Dr Noor Hisham sebagai Menteri Kesihatan bagi menggantikan menteri yang ada,” tulis seorang netizen.

Dr Noor Hisham sentiasa terlibat dalam pelbagai krisis negara dari penembakan MH17, banjir besar di Kelantan, wabak di kalangan Orang Asli Kuala Koh, pencemaran di Pasir Gudang dan terkini Covid-19.

Cadangan ini datang ketika pelbagai kecaman dibuat terhadap Menteri Kesihatan yang ada, Dr Adham Baba.

Antaranya beliau diserang ketika mengajar orang ramai memakai toping muka ketika beliau sendiri terpaksa diajar bagaimana cara mengikat toping muka tersebut.

Peringatan terbaru Dr Noor Hisham agar patuh arahan, duduk di rumah untuk elak gelombang ketiga Covid-19 dianggap orang ramai sebagai terbaik.

“Hari ini adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita. Dengan kata-kata mudah, sila duduk di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menggesa agar masyarakat membantu Kementerian Kesihatan dengan memainkan peranan masing-masing ke arah memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

“(Ini) kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Menegaskan bahawa kegagalan bukan pilihan dalam soal menangani Covid-19, Dr Noor Hisham turut memperkatakan tentang bahaya yang mungkin muncul jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa.

“Kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah,” katanya.

Beliau mengakhiri hantaran itu dengan pesanan berikut kepada orang ramai, “Duduk di rumah dan jangan keluar.”

Jemaah Tabligh berkumpul di Indonesia pula

Malaysiakini
Ribuan umat Islam daripada seluruh Asia dilapor berkumpul di Indonesia hari ini di tengah-tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Ia diadakan walaupun polis dikatakan cuba meminta ia dibatalkan, lapor Reuters.

“Kami lebih takutkan Allah,” kata salah seorang penganjur Mustari Bahranuddin ketika ditanya berkaitan risiko penularan wabak itu.

Acara itu diadakan di Gowa, Sulawesi Selatan.

Republika melaporkan acara dinamakan "Ijtima’ Dunia 2020 Zon Asia" itu dianjurkan oleh Jemaah Tabligh.





Tulisan bekas SU Akhbar Menteri Kesihatan ‘disekat’ kerana kritik Azmin

MALAYSIA DATELINE
Kerana tindakannya mengkritik pengakuan kerajaan bahawa “Langkah Sheraton” dibuat untuk kepentingan kerajaan dan negara, sesaorang telah membuat laporan kepada Facebook menyebabkan tulisan itu tidak lagi boleh dilihat oleh orang ramai.


Ini kerana, Facebook telah mengambil tindakan menyekat tulisan itu sehingga siasatan mereka selesai.

Inilah yang berlaku kepada tulisan bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Kesihatan, Ismail Amsyar yang mengkritik pengakuan Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ismail memberitahu Malaysia Dateline, sesaorang dipercayai membuat laporan kepada Facebook kononnya beliau membuat tulisan yang berlawanan dengan ‘community standard’ telah menyebabkan tulisan itu disekat oleh Facebook.

Tulisan Ismail yang kini tidak lagi boleh dilihat oleh orang ramai selepas sesasorang yang berkuasa membuat laporan mengenainya kepada FB. Ia hanya boleh dilihat kembali pada jam 10.15 pagi ini selepas berita ini tersiar.

Azmin dalam satu kenyataannya mendakwa, langkah Sharaton dibuat dengan cara mereka mengambil risiko untuk kepentingan rakyat (Taking risks for sake of the rakyat) telah dikecam oleh Ismail melalui postingnya dalam facebook beliau.

“Sejujur mana kamu apabila berkata ‘Langkah Sheraton’ dibuat untuk kepentingan rakyat dan negara,” soal Ismail dalam tulisannya melalui facebook itu dengan mengepilkan laporan yang dibuat oleh akhbar The Star itu.

Bagi beliau, pihak yang patut diberikan pengiktirafan dan pujian adalah kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, pegawai Imigresen dan Polis.

“Mereka adalah petugas barisan depan sebenar yang mempertaruhkan nyawa mereka,” kata Ismail mengecam kenyataan Azmin yang mendakwa mereka mempertaruhkan diri mereka dengan “Langkah Sheraton” demi kepentingan rakyat.

Azmin dalam kenyataannya sebagaimana dilaporkan oleh The Star berkata, “Sebagai barisan depan dalam krisis Covid-19, kami terpaksa meletakkan diri kami dalam risiko kerana terpaksa berdepan secara langsung dalam mesyuarat untuk menyelesaikan wabak itu.”

Menurut Ismail yang saban hari bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bagi membuat komunikasi dengan orang ramai bagi menangani Covid-19, kenyataan Azmin itu sangat tidak boleh diterima.

“Bagaimana kamu meletakkan agenda politik lebih utama berbanding kepentingan rakyat dan dalam masa yang sama berkata, “kami lakukan ini untuk rakyat dan keselalamatan negara

“Adakah kamu sedar, ketika kamu sibuk di Sheraton, Covid-19 sedang dalam proses menjadi wabak.

“Kamu menarik plug ketika kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengawal Covid-19. Kami terpaksa menghentikan kerja kami secara mengejut hanya untuk membolehkan kamu memenuhi agenda politik kamu.

“Kami sungguh kesal kamu mengenepikan semua ini,” tulis Ismail jam 3.04 Isnin .

Ekoran Langkah Sharaton, kata Ismail, Kementerian Kesihatan telah berjalan secara ‘auto pilot’ selama dua minggu dan banyak perkara telah berlaku ketika pembentukan kerajaan itu.

“Salah satu darinya adalah kluster Masjid Sri Petaling,” kata Ismail lagi merujuk kepada kluster yang kini menjadi kumpulan terbesar disahkan sebagai positif Covid-19.

RAYUAN PENTING: 'Tsunami Covid-19 akan melanda jika rakyat ingkar arahan'

Malaysiakini
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai untuk berada di rumah dan mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Kegagalan berbuat demikian, kata beliau akan menyebabkan penyebaran wabak Covid-19 menjadi lebih buruk.

"Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap "tidak kisah".

"Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar," tulis Dr Noor Hisham di Facebook.

Menurutnya, Malaysia kini mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

"Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Penyebaran wabak Covid-19 yang membawa maut telah meragut nyawa dua rakyat Malaysia dan menjangkiti lebih daripada 600 orang setakat semalam.

Kerajaan sedang menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan yang mewajibkan kebanyakan perniagaan ditutup dalam usaha menghalang orang ramai berkumpul, seterusnya melambatkan penyebaran Covid-19.

Senarai terkini perkhidmatan asas, bukan asas dibenarkan beroperasi

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan senarai terkini perkhidmatan asas dan bukan asas yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.



Lampiran A: Perkhidmatan asas bawah perintah kawalan pergerakan Covid-19.
Lampiran B: Perkhidmatan bukan asas bawah perintah kawalan pergerakan Covid-19.

Mahathir sudah mulakan kempen untuk Mukhriz jadi Presiden Parti Bersatu, kedudukan Muhyiddin dalam bahaya?

TEMA KEMPEN MAHATHIR #SelamatkanBERSATU, MUHYIDDIN DALAM BAHAYA?
Shahbudin Husin
Hanya beberapa ketika selepas diisytihatkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad sudah pun memulakan langkah kempennya.

Melalui media sosial, beliau memperkenalkan tema kempennya ialah #SelamatkanBERSATU.

Sambil memberitahu beliau merupakan pengasas dan mempunyai keahlian No 1 dalam Bersatu, bekas Perdana Menteri itu turut meletakkan gambarnya ketika mengisi borang keahlian parti itu pada tahun 2016 dahulu.

“Saya Dr Mahathir, ahli no.1 BERSATU dan Pengasas parti ini.

“Saya menawarkan diri saya untuk bertanding sebagai Pengerusi untuk #SelamatkanBERSATU yang kini sebahagian pemimpinnya berkerjasama dengan kleptokrat dan UMNO untuk mendiri Kerajaan dari pintu belakang. Sertailah perjuangan kami untuk mengembalikan Parti kita ke jalan yang benar.

#KekalBerprinsip

#SelamatkanBERSATU

“Gambar ini semasa saya mendaftarkan diri sebagai Ahli No 1 BERSATU pada tahun 2016.”

Begitulah apa yang ditulis di laman sosial milik Tun Mahathir sejak petang semalam lagi.

Dengan mempekenalkan tema #SelamatkanBERSATU dalam kempennya, bermakna ia tidak lain ialah untuk Tun Mahathir ingin memastikan kemenangan pasukannya, khusus anaknya Mukhriz yang bertanding merebut jawatan Presiden menentang Muhyiddin Yassin.

Untuk dirinya yang sudah diumumkan menang tanpa bertanding, Tun Mahathir pada hakikatnya tidak perlu lagi berkempen atau memperkenalkan sebarang tema untuk pemilihan ini.

Tetapi, tentulah keutamaan Tun Mahathir kini ialah untuk memastikan Muhyiddin dapat ditewaskan dan anaknya, Mukhriz memperolehi kemenangan.

Meskipun tema #SelamatkanBERSATU yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir masih boleh dipertikaikan sama ada beliau benar-benar ingin menyelamatkan parti atau masa depan anaknya, tetapi di peringkat awal ini Tun Mahathir nampaknya telah berjaya memperolehi kelebihan dari segi sentimen untuk dimainkan dalam gerakan kempennya.

Adalah tidak dinafikan melalui gerakan turun padang dan kempen untuk kononnya menyelamatkan BERSATU itu, Tun Mahathir akan lebih berjaya mempengaruhi ahli dan perwakilan untuk menyokong pasukannya.

Memainkan sentimen dan perasaan orangranai bukan asing dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum ini di mana beliau pernah melakulannya ketika mahu menjatuhkan Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak sebelum ini.

Ini sekaligus bermakna, dengan mainan sentiman untuk menyelamatkan parti dan menonjol kedudukannya sebagai pemegang keahlian No 1, kedudukan Muhyiddin adalah dalam bahaya untuk mempertahankan jawatan Presiden BERSATU nanti.

Mahu tidak mahu, Muhyiddin yang kini merupakan Perdana Menteri harus meningkatkan lagi usaha dan memikir sesuatu di luar kotak untuk memastikan beliau tidak tewas di tangan Mukhriz yang diusahakan oleh bapanya, Tun Mahathir.

Jika tewas, ia bukan saja merupakan keadaan yang memalukan bagi Muhyiddin serta mengancam kedudukannya sebagai Perdana Menteri, malah akan memberi ruang kepada Tun Mahathir untuk terus dilihat relevan dalam politik negara ini.

Untuk memastikan beliau lebih selesa daripada ancaman dan gangguan Tun Mahathir, Muhyiddin, tanpa kompromi, mesti memastikan bellau dan pasukannya menang dengan bergaya dalam pemilihan Bersatu kali ini.

Setidak-tidaknya jika hanya Tun Mahathir seorang saja yang ada dalam barisan kepimpinan Bersatu nanti, manaka yang lain-lainnya dikuasai oleh pasukan Muhyiddin, ia dengan sendirinya menjadikan seolah-olah tangan dan kakinya selaku Pengerusi Bersatu seolah-olah terikat untuk melakukan banyak gangguan bagi memenuhi dendamnya. (ShahbudinHusin 17/03/2020)

Kakitangan klinik kesihatan geram dengan Muhyiddin boleh pergi main golf

NASUHA RAHMAN

Seorang kakitangan klinik kesihatan meluahkan perasaan geramnya di Facebook hari ini berikutan tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang boleh pergi bermain golf di dalam keadaan negara yang sedang panik ekoran wabak COVID-19.

“Kau boleh berjimba pergi main golf weekend, tangguh meeting COVID19 buat hari Isnin, kau ingat langkah bijak nak announce Movement Restriction pukul 10 malam?” soal pengguna facebook yang menamakan dirinya Tuan Mohammad Akmalhakim.

Luahnya, beliau dan isteri terpaksa mencari orang yang boleh menjaga anaknya kerana taska diarahkan tutup dalam masa yang sama anaknya baru sahaja didiagnosis penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).

“Sampai pukul 2-3 pagi aku dengan wife menggagau cari orang yang boleh jaga anak sebab taska tutup. Anak pulak baru diagnosed HFMD, dibekukan cuti kuarantin sebab tak cukup MO, wife pulak susah nak cuti sebab ada officemate dikuarantin sebab COVID19 ni, plus cuti dia yang dah negative.

“Sumpah aku tak boleh brain, kau boleh pergi main golf dalam keadaan tengah shoot up 100++ cases dalam sehari, semalam lagi 100++, latest dah 533 cases,” ujarnya.

Tambahnya, mungkin masalah ini kecil sahaja bagi sesetengah orang tapi tidak bagi mereka yang merupakan petugas-petugas kesihatan yang berdepan dengan wabak ini.

Beliau tidak menafikan pasukan kerajaan yang lalu terutama bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sanggup mengadakan mesyuarat pada hari kedua Chinese New Year dan bekas Menteri Datuk Seri Dzulkefly Ahmad yang sibuk bekerja untuk rakyat pada hari minggu begitu juga bekas Menteri MESTECC Pn. Yeoh Bee Yin terus kerja pada hari kedua selepas majlis perkahwinannya.

“Bukan nak politicking sangat tapi mereka tunjuk usaha mereka sememangnya destined as wakil rakyat, bekerja untuk rakyat.

“Until you come out with an explanation kenapa kena pergi main golf, kau nak cakap tu fake news ke, kau ada backdoor meeting dengan YB Menteri Kesihatan tapi zuhud tak nak bagitahu rakyat ke, atau nak buat permohonan maaf, terserah.

“Or if at least boleh counter-measure dengan sediakan taska 24 jam bagi petugas kesihatan sepanjang musim COVID, until then, you are not highly qualified to be our Prime Minister, sir.

“Ini post geram dan kecewa. Tapi aku cuba tulis dengan berhemah,” katanya.

WAJIB BACA: Soalan lazim berkait Perintah Kawalan Pergerakan

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Majlis Keselamatan Negara hari ini menjawab beberapa soalan lazim berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan perdana menteri semalam.

1. Nama perintah
Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order).

2. Tempoh masa
Perintah ini berkuat kuasa dari 18 – 31 Mac 2020.

3. Liputan kawasan perintah
Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia.

4. Kuat kuasa undang-undang
Perintah ini disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

5. Arahan-arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan
Terdapat 6 arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini iaitu:

i. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya;

ii. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;

iii. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

iv. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

v. Penutupan semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

vi. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

6. Adakah majlis keraian/ perkahwinan/ kenduri atau sebagainya boleh diadakan?
Upacara pernikahan boleh dilaksanakan dengan tidak melibatkan kehadiran ramai. Bagi majlis persandingan dan resepsi serta majlis lain, disarankan untuk ditangguhkan sehingga isu penularan Covid-19 di Malaysia tamat.

7. Adakah Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai tempoh waktu tertentu sepanjang 18 – 31/3/2020?
Tidak. Perintah ini berkuat kuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

8. Sekiranya barang keperluan habis, adakah boleh keluar membeli dan terus balik?
Ya.

9. Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan suami saya merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini?
Boleh dengan syarat pasangan boleh membuktikan kesahan perkahwinan tersebut sama ada didaftarkan dengan kerajaan Malaysia atau kerajaan negara asal. Pasangan perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

10. Anak saya yang merupakan seorang pelajar di institusi luar negara. Adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia?
Dibenarkan. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara boleh pulang dalam tempoh sekatan ini. Bagaimanapun, individu tersebut perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

11. Saya merupakan pemegang pas jangka panjang di Malaysia dan telah pulang ke negara asal saya sebelum perintah ini dikeluarkan. Adakah saya dibenarkan kembali ke Malaysia bagi tujuan kerja semasa tempoh sekatan ini?
Hanya migran asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan penting negara sahaja yang dibenarkan masuk semula ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini. Migran asing tersebut perlu mendapatkan satu surat pengesahan daripada majikan masing-masing dan dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia semasa berada di pintu masuk.

12. Saya bekerja di Singapura. Adakah saya dibenarkan berulang-alik ke pejabat di Singapura?
Tidak. Perintah Kawalan Pergerakan adalah terpakai kepada semua individu yang berada di dalam negara. Dalam hal ini, atas dasar keselamatan komuniti, mana-mana individu yang bekerja di negara jiran, tetapi tinggal di Malaysia tidak dibenarkan keluar masuk secara harian dan dipohon untuk memaklumkan kepada majikan masing-masing berkenaan perkara ini.

13. Saya telah membuat perancangan untuk bercuti di Malaysia dan membuat pembayaran sepatutnya. Adakah saya masih boleh meneruskan percutian saya?
Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dilarang pergi ke mana-mana tempat, termasuklah pusat peranginan untuk aktiviti sosial dan sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara berkaitan perkhidmatan penting negara. Anda dinasihatkan tidak meneruskan percutian anda.

14. Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mengambil rakan yang baru pulang dari luar negara atau saudara yang bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan penting negara?
Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

15. Adakah sekolah perlu melaksanakan kelas ganti?
Tidak perlu.

16. Adakah kelas pengajian dan semua aktiviti yang melibatkan pelajar IPT awam dan swasta serta institut latihan kemahiran tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan?
Ya.

17. Bagaimana dengan pelajar yang menginap di fasiliti IPT awam dan swasta, khususnya pelajar luar negara?
Semua pelajar IPT awam dan swasta diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini. Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa. Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melaporkan kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada perintah yang berkuat kuasa.

18. Adakah kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka?
Kedai makanan boleh dibuka, tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti GrabFood atau Food Panda.

19. Adakah pengangkutan awam seperti bas, LRT, MRT, KTM boleh beroperasi?
Semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan dalam tempoh perintah kawalan ini berkuat kuasa.

20. Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan?
Orang ramai digalakkan berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang dibuat sebelum perintah ini diumumkan.

21. Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit Covid-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?
Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja bersama kariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil.

PH gesa kerajaan beri penjelasan jaminan bekalan makanan mencukupi

SITI NUR ZAWANI MISCON
Kerajaan perlu segera menjelaskan mekanisme yang akan digunakan dalam memastikan jaminan bekalan makanan dalam negara adalah mencukupi, kata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KODNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, jaminan semata-mata bahawa bekalan makanan dalam negara tidak akan terputus tanpa penerangan yang jelas, sama sekali tidak mencukupi.

Katanya, ini kerana negara mencatat nilai import makanan dari negara luar sehingga RM51 bilion pada tahun lalu.

“Jaminan semata-mata tidak cukup, tanpa kita diberikan penerangan jelas tentang mekanisme memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Ini kerana, negara kita bergantung pada import makanan. Nilai import untuk tahun lalu sebanyak RM51 bilion, termasuk import ikan, daging, sayur-sayuran, bawang dan keperluan rakyat.

“Ketika ancaman virus berlaku di seluruh dunia membabitkan negara pengimport, sudah tentu kerajaan perlu terang lebih jelas bagaimana jaminan makanan mencukupi dan mekanisma perlaksanaan yang akan berlaku,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Majlis Sekretariat PH, hari ini.

Topeng muka

Pada masa sama, kata Saifuddin, gesaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada KPDNHEP untuk memastikan bekalan mencukupi adalah sedikit tersasar.

Ini kerana ujarnya, dalam fungsi kerajaan, tanggungjawab memastikan bekalan mencukupi berada di bawah bidang pertanian, manakala fungsi KPDNHEP adalah lebih kepada tanggungjawab downstream iaitu perlesenan, kawalan dan penguatkuasaan.

Namun, kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu, penjelasan mengenai bekalan makanan harus disertakan dengan langkah penguatkuasaan yang lebih cekap oleh KPDNHEP termasuk jaminan import berterusan.

“Adalah menjadi satu keperluan segera di pihak kerajaan untuk mengadakan Frequent Asking Questions (FAQ) kerana banyak perkara yang ingin diketahui oleh rakyat yang memerlukan jawapan segera,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Ketua Setiausaha PH itu turut menggesa agar kerajaan segera melakukan pembelian dengan syarikat pengeluaran topeng muka untuk didahulukan kepada kakitangan baris depan yang berhadapan ancaman wabak berkenaan.

Beliau berkata, sehingga hari terakhir perkhidmatannya dalam kementerian, sejumlah RM5 juta telah pun diluluskan untuk tujuan membeli topeng muka.

“Permintaan bekalan topeng ketika ini melebihi pengeluaran. Kita sudah kenalpasti syarikat yang bersetuju memberi bekalan.

“Jadi, saya mengesyorkan supaya pembelian dan pengedaran dapat dilakukan segera,” tambah Saifuddin lagi.

Covid-19: MKN keluar perintah kawal pergerakan 18 Mac - 31Mac

Malaysiakini

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting bagi menangani penularan wabak Covid-19.

"Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan," kata beliau dalam perutusan khas malam ini.

Menurut Muhyiddin, arahan penutupan premis ini berdasarkan perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac depan bagi menangani Covid-19.

Perintah mengawal pergerakan ini, kata perdana menteri diambil kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan "tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia."

Selain penutupan premis kerajaan dan swasta ini, perintah kawalan pergerakan itu juga meliputi hal-hal berikut:

"Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan-perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam,penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

"Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari.

"Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

"Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

"Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara," kata perdana menteri lagi.

Muhyiddin juga berkata "Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19."

"Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa," katanya.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.

Perintah kawalan pergerakan tersebut susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Malaysia. Kementerian Kesihatan merekodkan 553 kes hari ini.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menjadi korban Covid-19 yang telah meragut 6,650 nyawa di seluruh dunia.

Menurut perdana menteri lagi, beliau sedar perintah kawalan pergerakan ini "menimbulkan kesulitan dan kesukaran" kepada rakyat tetapi terpaksa dilakukan demi membendung penularan Covid-19.

"Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang singkat di beberapa buah negara lain.

"Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.

"Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang," jelasnya.

Perdana menteri juga memberi jaminan "bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi."

"Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah KawalanPergerakan ini berkuatkuasa," katanya lagi