"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PPSMI: 8 pemuda PAS Johor ditahan edar risalah PPSMI

Jimadie Shah Othman
Lapan Pemuda PAS Johor, termasuk ketuanya Khairul Faizi Ahmad Kamil, ditahan polis ketika mengedarkan risalah anti dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) petang tadi.

Kesemua mereka mereka ditahan serentak di sebuah pasar malam di Batu Pahat kira-kira jam 4.30 tadi kerana mengedarkan risalah anti-PPSMI yang tidak mempunyai nama pencetak dan penerbitnya.

Bagaimanapun, setelah diambil keterangan kesemua mereka dibebaskan kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Mereka adalah naib ketua Pemuda PAS negeri, Hamid Jammah; dua exco dewan itu, Norhalim Sakid dan Norazid Mohd Nor turut ditahan serta empat lagi aktivis PAS - Zulkifli Kama Kutti, Saruni Said, Rizal Harun dan Rashid Abdul Rahim.

Sejurus selepas dibebaskan, Khairul Faizi memberitahu Malaysiakini, beliau tidak menyalahkan pihak polis yang cuma menjalankan tugas mereka.

"Bagi kami, kami hendak sampaikan kepada masyarakat kenapa PPSMI perlu dimansuhkan. Walaupun kami diberitahu, keputusan perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat, selagi mana keputusan tak dibuat, gerakan mesti diteruskan," katanya.

Malam ini, PAS Johor dan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menganjurkan ceramah sempena 100 hari kejayaan menganjurkan demonstrasi besar membantah PPSMI pada 7 Mac lalu.

Dalam ceramah di Kampung Parit Bilal, Batu Pahat pada malam ini, Sasterawan Negara, A Samad dan naib presiden PAS, Salahuddin Ayub akan memeriahkan pentas

Pada 7 Mac lalu, dipimpin bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hassan Ahmad, ribuan penunjuk perasaan berarak daripada Masjid Negara menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada yang di-pertuan Agong.

Demonstrasi itu berakhir dengan pertembungan dengan pihak polis yang menyebabkan meriam air dan bertalu-talu gas pemedih mata dilepaskan.
-malaysiakini-

Isu Kerajaan Perpaduan/Unity Government - Ustaz Ahmad Awang

Maksud firman Allah SWT:
“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (Al-An'aam:44)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selamat berjumpa kembali kepada para pengunjung blog saya, setelah kira-kira 10 bulan blog saya tidak dikemaskinikan kerana sebab-sebab tersendiri. Saya tetap mengucapkan penghargaan kepada mereka yang tetap mengunjungi blog ini walaupun tuan rumahnya tidak menghidangkan santapan untuk mereka. Terima kasih juga kepada mereka yang menghubungi saya melalui pesanan-pesanan ringkas atau perbualan telefon meminta saya mengemaskinikan blog ini.

InsyaAllah mulai posting ini, blog Ustaz Ahmad Awang akan terus membawa bahan-bahan dakwah dan isu-isu semasa meliputi hal-ehwal agama, politik, sosial, jenayah dan isu-isu umat Islam antarabangsa. Saya akan terus berusaha membuat posting sekerap mungkin, memandangkan saya mempunyai kelapangan setelah menarik diri menduduki saf kepimpinan parti (PAS) di peringkat nasional hingga ke peringkat negeri. Bagaimanapun saya akan tetap memberikan pandangan dan fikiran saya kepada pimpinan parti samada melalui blog ini ataupun saluran lain menurut kesesuaian.

Mengapa KP/UG Diisukan?

Bagi membuka posting ini, saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai
Kerajaan Perpaduan/Unity Government (KP/UG) yang menjadi hot topic sejak kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) yang dibuatnya semasa Muktamar PAS Ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Sehingga hari ini sudah hampir 2 minggu isu KP/UG terus menjadi berita sensasi apabila ianya dijadikan bahan politik oleh pimpinan UMNO/BN. Isu menjadi lebih rancak apabila para bloggers mentafsirkannya menurut pandangan masing-masing dan mendapat sambutan pengulas-pengulas blog yang begitu bersemangat memberi komen masing-masing samada dengan pandangan yang positif atau negatif.

Yang lebih penting di sebalik
hot topic ini, UMNO/BN mendapatadvantage bagi mengalihkan pandangan rakyat untuk menutupi kelemahan-kelemahan parti mereka yang terus menerima kekalahan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU Ke-12, 8 Mac 2008. Dengan cara yang demikian UMNO/BN mengambil kesempatan untuk memecah-belah Pakatan Rakyat (PR), terutama dengan menggambarkan PAS cuba untuk berpakat untuk bergabung dengan UMNO/BN. Hakikat bahawa perasaan ragu atau sekurang-kurangnya bisikan-bisikan hati rakan Pakatan Rakyat terhadap kejujuran PAS memang sedang berbunga.

Perkara yang lebih membimbangkan lagi di kalangan ahli akar umbi dan kepimpinan PAS di peringkat pertengahan isu KP/UG ini dilihat oleh sebahagian mereka memang suatu perancangan ke arah bergabung dengan UMNO. Sebahagian besar suara perwakilan dalam Muktamar PAS Ke-55 baru-baru ini, mempunyai persepsi atau pandangan sedemikian, malah tambah menguatkan persepsi mereka apabila pimpinan tertinggi dalam ucapan penggulungannya menegaskan keterbukaan PAS untuk berbincang dengan mana-mana golongan termausk UMNO/BN.

Persoalannya, apakah sebenarnya konsep KP/UG itu? Sejak bilakah ianya dibangkitkan oleh pimpinan terutama TGHHA sendiri? Setakat manakah pernah ianya diperbincangkan di kalangan pimpinan tertinggi parti? Pernahkah ianya dibincangkan dengan rakan PR? Macam mana boleh timbul idea KP/UG ini? Kenapa Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz (TGNA) sangat tegas menolak KP/UG ini?

Maksud firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An'Nisa’:59)
Konsep Kerajaan Perpaduan
Kerajaan perpaduan atau
National Unity Government atau National Union Government adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.

Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk
Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865. Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atauUnity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931dan juga pada tahun 1935.

Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini. Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah. Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan. Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah
proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

Bila Idea Kerajaan Perpaduan Dibangkitkan?
Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya. Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah. Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu. Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib. Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea
Unity Government itu. Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja. Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat.

Bagaimana Isu Kerajaan Perpaduan Ditimbulkan
Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat. Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat. Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan. Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas. Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan
Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini. Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar. Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja. Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Mengapa Tok Guru Nik Aziz Sensitif

Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di
spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN. Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini. Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu. Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini. Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang. Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN. Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan. Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka. Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pengalaman Saya Di Perak
Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.

Umno-PAS: PAS tidak lupa sengketa lama - Nasruddin Tantawi

Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Pemuda PAS menempelak kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dato' Muhyddin Yasin yang mahu PAS melupakan sengketa lama bagi membina semula hubungan baru.


Ketuanya, Nasruddin Hasan Tantawi berkata meskipun PAS sebagai sebuah gerakan Islam harus mempraktikkan sikap terbuka dan memberi maaf kepada sesiapa jua, namun pada masa sama pihak yang memohon maaf perlu menghormati dasar serta prinsip perjuangan PAS.

"Bagaimana Muhiyidin boleh membangkitkan isu 'lupakan sengketa lama' sedangkan usaha untuk usaha-usaha yang Umno-BN lakukan selama ini langsung tidak menunjukkan ke arah untuk menamatkan sengketa itu, tindakan mereka ini tidak ubah seperti 'ajak-ajak ayam'," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, isu yang berlaku sekarang ini bukanlah sengketa lama tetapi Umno hendaklah menghapuskan punca sengketa tersebut.

"Kerana Pemuda PAS Pusat melihat punca itu ada pada Umno dan ianya bermula dengan BN, ianya masih kekal bersama BN," ujarnya mengulas kenyataan Muhiyidin yang mahu PAS melupakan sengketa lama.

Oleh yang demikian ujarnya, alternatif yang ada sekarang ini adalah yang pastinya akan mencederakan perasaan rakyat apabila meneruskan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) dengan tangkapan-tangkapan yang kebanyakannya memangsakan pemimpin-pemimpin parti lawan (pembangkang) dengan tuduhan yang tidak munasabah dan tidak dibuktikan di mahkamah.

Selain itu, Umno juga diragui apabila tidak memansuhkan program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI yang telah banyak melukakan perasaan pejuang-pejuang bahasa.

"Ia turut memangsakan pelajar-pelajar di luar bandar dengan pelaksanaan PPSMI," katanya lagi.

Nasrudin menambah, begitu juga dengan beberapa kepincangan lain yang melibatkan isu institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Kesemua itu masih tidak dilihat kesungguhan Umno-BN untuk memperbaiki keadaan yang ada, oleh PAS dan rakyat.

"Jika Umno-BN hendak kita (PAS) bersikap terbuka, mereka juga perlu menghormati dan menerima dasar perjuangan PAS," demikian ujarnya.


Nizar: Anwar Gusar Hakim Berat Sebelah Adili Krisis Perak

Datuk Seri Anwar Ibrahim gusar terhadap dengan kewibawaan sistem keadilan dalam membicarakan krisis dua menteri besar Perak yang kini akan di putuskan di Mahkamah Persekutuan.

Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Beliau terpaksa memfailkan rayuan itu walaupun tiga hakim mahkaham rayuan berkenaan gagal mengemukakan hujah bertulis untuk menyokong keputusan mereka itu yang mengejutkan banyak pihak termasuk pengamal undang-undang dan orang ramai.

Nizar telah meminta panel 11 hakim untuk mendengar rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 9 julai depan.

"Kita tidak menaruh penuh keyakinan kepada sistem kehakiman, semua orang tahu, kes video V.K Lingam dengan laporan suruhanjaya sehingga kini tiada tindakan undang- undang. kita tidak mengjangka ada perubahan dalam bidang ini. Tuntutan Datuk Sri Nizar itu masih mengikut proses biasa.Saya tidak mengharapkan ketua hakim negara akan bersetuju," Kata Datuk Sri Anwar.

"Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengisytiharkan Datuk Sri Nizar adalah menteri besar Perak yang sah. Hakim Datuk Abdul Aziz Rahim membuat keputusan demikian berikutan Datuk Sri Nizar tidak pernah meletakkan jawatannya dan tidak ada undi tidak percaya terhadap beliau dalam DUN Perak," Tambahnya lagi

Anwar berkata Ketua Hakim Negara Zaki Azmi harus menunaikan permohonan Nizar supaya permohonan beliau didengar oleh panel 11 hakim.

"Mengapa rasional kita adakan 11 hakim ? Isu ini isu perlembagaan yang besar. Kita tidak boleh angkat mana- mana hakim tertentu yang membuat keputusan yang memberat pada mana- mana pihak tertentu. Biarkan mereka buat keputusan dan biarkan masing- masing menulis supaya ini akan menjadi bahan yang akan dibaca oleh masyarakat," Ujarnya lagi.

-TVAntara.com.my-

UMNO/BN: Perbincangan Atas Isu Awam Saja, Bukan k/jaan Perpaduan - Anwar

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Sri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Pakatan Rakyat tidak menolak sebarang rundingan dengan UMNO- Barisan Nasional bersabit isu- isu berkepentingan awam tetapi bukan menjurus kepada cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata isu kerajaan perpaduan langsung tidak timbul kerana pentadbiran negara dibawah UMNO- Barisan Nasional masih dibelit dengan kerakusan kuasa, kezaliman dan ketidakadilan melibatkan institusi awam.

“Isu berbincang dengan Barisan Nasional dan Umno tidak jadi masalah. tapi kalau kita bicara pasal perpaduan, untuk apa ? Untuk teruskan kezaliman? gunakan ISA untuk tangkap orang atau untuk menyalahgunakan proses mahkamah?, Untuk merampas Perak ? Itu tidak dibereskan,’ kata Anwar.

“Jadi kalau nak bincang...mengapa tidak ada pilihan raya di Perak ? Mengapa jenayah meningkat ? Mengapa Peguam Negara tidak telus ? Mengapa badan kehakiman belum bebas ? Mengapa media jadi alat propaganda murahan ? Ini yang akan dibahaskan. Ini akan membolehkan kita mengadakan perbincangan yang baik,” tambah Anwar.

“Kalau BN tegur kita sebab kritikan kita pedas, kita boleh dengar. Apa- apa penyesuaian yang boleh kita lakukan, kita akan lakukan. Untuk bicarakan tentang kerjaan perpaduan, itu bukan sesuatu yang munasabah sama sekali," kata Anwar.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama Wacana Pendidikan Rakyat anjuran sayap pemuda dan biro pendidikan PKR di Shah Alam.

Merujuk usaha UMNO meminda perlembagaannya, Anwar berkata yang jelas PKR telah pun mengorak langkah itu jauh lebih awal dan secara komprehensif supaya menjadi parti yang lebih demokratik dan bebas dari rasuah politik.

"Umno menimba sedikit idea kita. Tetapi proses demokrasi ini tunggaknya kepada falsafah perjuangan dan dasar dan diperkuatkan dengan kaedah yang demokratik,” jelas Anwar.

“Umno memilih satu daripada aspek iaitu corak yang demokratik. tapi kerakusan, kezaliman masih menjadi falsafah mereka. Jadi saya tidak fikir ia (Umno) akan melakukan melakukan banyak perubahan, ia cuma babak drama yang baik saja,” kata Anwar.

Pada 13 Jun lalu, PKR meluluskan beberapa pindaan perlembagaan parti untuk menghadkan tempoh maksima seseorang boleh menjadi presiden tidak lebih dari 3 penggal atau 9 tahun.

Sistem perwakilan untuk memilih pemimpin tertinggi dimansuhkan dan hak mengundi diberikan secara langsung kepada ahli biasa.

Pindaan juga diluluskan untuk memperuntukkan 30 peratus jawatan penting dalam parti untuk wanita.

Berlainan daripada pindaan yang diluluskan oleh PKR, UMNO akan terus mengekalkan sistem perwakilan bagi memilih pemimpin yang disifatkan faktor utama menyebabkan parti itu dibelenggui dengan budaya politik rasuah.

UMNO memilih untuk hanya meminda sistem kuota yang ditetapkan untuk membolehkan calon bertanding, isu-isu berhubung yuran, penambahan jumlah perwakilan, had kelayakan menjadi calon serta penglibatan ahli di peringkat akar umbi.

Pemerhati politik mempertikaikan sejauh mana pindaan itu akan berkesan untuk memastikan perwakilan UMNO tidak menjual undi mereka kepada calon yang menawarkan harga paling tinggi, sebagaimana yang lazim berlaku pada setiap pemilihan parti.

-TVAntara.com.my-

1Malaysia: Rusuhan Pusat Serenti Kampung Selamat

ORANG ramai termasuk para wartawan dan jurugambar berkumpul di hadapan Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor bagi mendapatkan maklumat terkini kebakaran yang memusnahkan pusat serenti itu, malam tadi. Turut kelihatan anggota bomba dan penyelamat serta polis yang bertugas mengawal keadaan. Kebakaran yang bermula sekitar pukul 6 petang tadi dipercayai dilakukan penghuni pusat serenti itu


BUTTERWORTH: Seramai 30 penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini dipercayai dapat memboloskan diri dari pusat itu semasa rusuhan yang mengakibatkan kebakaran beberapa blok bangunan semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, selepas pemeriksaan hanya 492 daripada 522 penghuni pusat itu yang berada dalam kawasan berkenaan awal pagi Sabtu dan polis sedang mengenalpasti identiti mereka.

Katanya, polis melancarkan gerakan memburu mereka dengan mengadakan sekatan jalan raya serta pemeriksaan di kawasan berhampiran serta merta.

Semasa bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, dua daripada 30 yang melarikan diri berjaya ditahan semula di kawasan Padang Serai, iaitu sempadan antara Pulau Pinang-Kedah.

Katanya, kesemua 492 penghuni itu akan dipindahkan ke beberapa buah pusat serenti yang lain dalam masa terdekat.

Ayub berkata, rusuhan itu berjaya ditamatkan dan seramai 589 anggota polis dan pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam operasi berkenaan sejak lewat petang semalam.

Selain anggota polis, katanya, 57 anggota Bomba dan Penyelamat terlibat dalam pemadaman kebakaran di pusat itu.

Menurutnya, selepas pemeriksaan dijalankan 11 daripada 12 bangunan yang ada di pusat itu didapati rosak termasuk tiga yang musnah dalam kebakaran, antaranya blok klinik dan pusat latihan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada sesiapa yang cedera dalam rusuhan itu ataupun ditahan sebagai tebusan," katanya.

Beliau berkata, rusuhan itu dipercayai berpunca daripada sembilan penghuni pusat yang ditahan di dalam sel kerana didapati masih positif dadah walaupun menjalani proses pemulihan.

Ketika ditanya jumlah petugas pusat itu yang berada di kawasan berkenaan ketika kejadian, tanpa menyatakan dengan jelas Ayub berkata, jumlah mereka adalah mencukupi.

-BERNAMA-

Naib presiden Gerakan digantung keahlian

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan digantungkeahliannya selama tiga tahun. Ia diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) Gerakan malam tadi.

Sepanjang tempoh tersebut jawatan Huan sebagai naib presiden digantung dan beliau tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti parti

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow berkata, keputusan tersebut disebut selepas CWC mempertimbangkang semua fakta dan faktor terbabit.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana tindak tanduk Huan yang prejudis terhadap kepentingan parti itu dengan secara terbuka mengecam parti dan kepimpinannya, mengisytiharkan untuk meletak jawatan dan mengancam untuk membawa penyokongnya meninggalkan Gerakan.

Teng berkata, semua kenyataan Huan itu yang dibuat melalui media kerana beliau dan beberapa pemimpin akar umbi parti itu membantah pelantikan seorang penyelaras dalam sebuah kawasan pilihanraya di Pulau Pinang.

Katanya, Chuan yang juga anggota CWC yang membuat keputusan muktamad mengenai pelantikan penyelaras tersebut, telah membantah atas alasan orang yang dicalonkan itu dibawa masuk dari luar.

Dituduh hasut penyokong

Namun, kata Teng, jawatankuasa pusat tidak menganggapnya sebagai satu alasan yang sah.

"Hanya selepas CWC membuat keputusan, telah timbul dakwaan-dakwaan yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sebagai seorang naib presiden yang dipilih, sepatutnya saluran dalaman parti digunakan untuk menyuarakan sebarang pandangan dan sentimen, tetapi Huan dan penyokongnya memilih untuk berbuat demikian melalui media.

"Lebih teruk lagi, terdapat bukti yang menunjukkan beliau telah menghasut penyokongnya untuk menggantung kain pemidang, malah dilaporkan telah bertindak menghubungi pihak pembangkang," katanya.

Teng berkata, tindak tanduk negatif yang keterluan seperti itu tidak boleh diterima.

Tambahan lagi, katanya, ini bukan pertama kali Huan membuat kenyataan seumpama itu dalam media, walaupun tidak seserius kali ini.

Pemohonan maaf

Menurut Teng, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sendiri telah memberi amaran kepada Huan.

Tetapi kali ini, tegas beliau, Huan telah melakukan tindak tanduk yang lebih teruk lagi.

Sehubungan itu, katanya, beberapa pemimpin parti berpandangan bahawa tindak tanduk seperti itu sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal.

"Bagaimanapun, dengan mengambil permohonan maaf beliau secara bertulis dan terbuka kepada presiden, maka CWC memutuskan untuk menggantung keahliannya.

"Di bawah perlembagaan parti, jika tidak puas hati dengan keputusan tersebut, Huan berhak mengemukakan rayuan kepada jawatan pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh dimaklumkan mengenai hukuman tersebut," kata Teng.
-malaysiakini-

Manek Urai: Umno berpecah dua

Muda Mohd Noor
Peluang Umno menang di Manek Urai bukan hanya ditentukan oleh calon yang sesuai tetapi juga sama ada dua kumpulan Umno dalam bahagian tersebut, boleh bersatu.

Umno bahagian kini terbahagi kepada dua kumpulan - yang menyokong ketua bahagian sekarang, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan yang menyokong bekas ketua bahagian Datuk Wan Zaid Abdullah.

Menurut sumber, kedua-dua mereka mempunyai pengaruh yang sama banyak dan jika satu kumpulan tidak menyokong, Umno sukar menang di Manek Urai.

Jika tidak ditangani segera, kata sumber itu, jentera kempen BN Manek Urai boleh berpecah kepada dua kumpulan.

Sebanyak 28 daripada 42 cawangan Umno di Kurai Krai merupakan cawangan yang menyokong Wan Zaid sejak sekian lama.

"Hubungan mereka berdua renggang sebaik sahaja Datuk Ramzi menjadi ketua bahagian, menggantikan Datuk Wan Zaid pada 2005," kata sumber kepada Malaysiakini.

Isu jawatan ketua bahagian


Sumber itu mendakwa Ramzi telah menyingkirkan semua orang Zaid - sama ada di peringkat bahagian mahupun di cawangan-cawangan.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat Umno bahagian pertengahan tahun lalu, 28 cawangan mahu mencalonkan Wan Zaid bertanding jawatan ketua bahagian Kuala Krai.

Bagaimanapun, kumpulan itu gagal kerana mesyuarat mereka dikatakan tidak sah dan sekaligus gagal mencalonkan Wan Zaid untuk mencabar Ramzi.

Berikutan itu, Ramzi mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian tanpa bertanding.

"Tetapi pengaruh Datuk Wan Zaid di sini masih banyak lagi kerana disokong oleh 28 cawangan.

"Sebab itu masih ada orang Umno yang berharap beliau dicalonkan untuk bertanding di DUN Manek Urai," katanya.

'Peruntukan tak cukup'


Menurutnya lagi, jika isu antara Ramzi dan Wan Zaid tidak ditangani, maka jentera pilihanraya BN Manek Urai tidak bersatu padu.

Tambahnya, sehingga hari ini ramai petugas Umno di Manek Urai belum membina bilik gerakan di peti undi dan cawangan masing-masing.

"Ramai merungut kerana peruntukan RM2,000 untuk satu peti undi terlalu kecil. Peruntukan sebanyak itu sesuai untuk memasang poster dan kain pemidang tetapi sukar untuk membina bilik gerakan kecil.

"Sebab itu, ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Sebenarnya mereka mahu peruntukan yang lebih besar sebelum menjalankan kerja-kerja kempen pilihnaraya," kata sumber itu.

DUN Manek Urai mempunyai sembilan peti undi.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penanamaan calon dan 14 Julai hari mengundi.
-malaysiakini-

Manek Urai : Saifuddin Akan Mengamuk Di Manek Urai

KUALA KRAI - Sehingga hari ini kerajaan Barisan Nasional belum membuat penjelasan mengenai pendakwaan Saifuddin Nasition mengenai kegagalan BN melunaskan royalti minyak di kelantan. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,"Keupayaan BN untuk bangunkan negara lebih kuat berbanding keupayaan Pas di bawah pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat,"

Malah dengan ego beliau berkata sama ada rakyat mengundi Barisan Nasional atau pun Pas, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga. Muhyiddin berkata, perkara yang boleh menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan Pas adalah BN kononnya ada kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

Johor Daily difahamkan esok Saiffuddin akan berada di Manek Urai bagi memperjelaskan lagi penipuan demi penipuan yang dilakukan oleh kerajaan BN di Kelantan. Beliau adan bersama Daruk seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalm satu majlis yang dijangka kehadirannya lebih 5,000 orang..

http://johornews.blogspot.com/

20.06.2009

Umno-PAS: Isu perpaduan terpulang pada Presiden - Ustaz Azizan

Izwan Abdul Halim

ALOR SETAR, 20 Jun (Hrkh) - "Alhamdulillah...(sambil menadah kedua belah tangan) baru dia tau PAS ikhlas? Lama dah ikhlas, tapi depa (mereka) yang tak ikhlas dengan kami!," demikian reaksi spontan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika diminta wartawan mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa PAS ikhlas untuk berbincang mengenai Kerajaan Perpaduan.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini 17 Jun lalu, Ustaz Azizan bagaimanapun enggan memberikan kenyataan lanjut berhubung polemik tersebut.

"Kerajaan Perpaduan ni yang bercakap Presiden (PAS), biar dialah selesai, saya ni orang bawah saja. Saya tiada komitmen apa pun. Perpaduan baguslah... semua berpakat! Dengan DAP, PAS, Umno, Gerakan, MCA kita pakat dok sekali semua, perpaduanlah macam tu agaknya atau macam lain? Saya tak tahu, nak cakap macam mana?

"Kalau kita dah jelas konsep itu bolehlah beri komen. Mungkin perpaduan ni semua parti duduk bersama dan menggerakkan negeri bersama...mungkin! Perpaduan macam sekarang PAS, DAP, KeADILan itu perpaduan juga, kerajaan juga. Perpaduan peringkat BN macam MCA, MIC, Gerakan, Umno dan lain-lain, (itu) perpaduan juga.

"Kalau semua perpaduan tak bagus juga, tak ada pembangkang. Pembangkang mesti ada. Kalau tak ada pembangkang kita tak tahu mana kerja betul mana tidak betul, semacam semua. Kalau pun salah tak ada siapa tegur kita, pembangkang perlu. Kalau semua bersatu tak betullah, tak ada maknalah. Tak ada dalam dunia satu kerajaan saja memerintah tak ada parti pembangkang. Mesti ada pembangkang barulah demokrasi itu hidup," ujarnya sekadar menyatakan pandangan.

Oleh itu beliau berharap agar pihak media menunggu penjelasan dari Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri.

"Lagipun dalam PAS tak semua sokong. Masa muktamar hari tu pun banyak pandangan-pandangan yang tak merestuai tentang apa yang dikatakan perpaduan kerana orang tidak jelas apa itu perpaduan, nak buat orang tak tahu.

"Tapi orang merestui Hadi untuk berunding dengan sesiapa sahaja. Sebagai parti politik, sebagai kerajaan kita boleh berbincang dengan sesiapa sahaja. Kita dengarlah, kita setuju belum tahu lagi. Perundingan itu menunjukkan keterbukaan kita.

"Saya tidak mahu kata 'yes or no' sebab saya bukan orang yang melontarkan idea. Tetapi ingatan saya masa muktamar baru ni dia (Presiden) cakap dia bersedia untuk berunding dengan sesiapa sahaja, itu 'good'. Tok Guru Nik Aziz pun berunding dengan Lee Kuan Yew," ujarnya menerangkan keterbukaan PAS itu.


Umno-PAS: PAS tidak akan benarkan dirinya jadi talian hayat Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - PAS tidak akan membenarkan dirinya menjadi talian hayat untuk untuk memulihkan krisis kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar.

Beliau berkata, krisis kepercayaan rakyat terhadap Najib, Umno dan BN kini begitu parah sehingga apa yang disebut sebagai kerajaan perpaduan hendak dijadikan talian hayat "untuk menyambung nafas mereka".

Menurut Mahfuz, kalau dahulu rakyat mendengar parti-parti komponen BN mengadu mereka dibuli oleh Umno, keadaan kini bertambah parah apabila suasana hilang kepercayaan parti-parti komponen BN terhadap Najib merebak pantas seperti api dalam sekam.

"Kepimpinan Najib kini menghadapi krisis kepimpinan dari dalam BN malah dari dalam Umno sendiri sehingga beliau kini sangat terdesak dan tertekan.

"MCA dilihat mengugut mahu keluar dari BN manakala tokoh-tokoh Umno sendiri mengadakan kempen bisik-bisik yang mempersoalkan kepimpinan Najib.

"Kerajaan BN diberi nama kerajaan isteri suami malah didakwa sebagai kerajaan bini Najib oleh tokoh-tokoh Umno sendiri," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, hakikat bahawa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor begitu berkuasa diiktiraf oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Mengulas kunjungan hormatnya menemui Rosmah, Kuan Yew berkata, beliau melakukan kunjungan hormat menemui Rosmah kerana beliau diberitahu Najib dan isterinya berkerja sebagai satu pasukan dan adalah perlunya baginya memahami kedua-dua anggota pasukan itu.

Tidak ada mana-mana pembesar utama negara asing yang mengadakan kunjungan hormat menemui mana-mana isteri Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Mahfuz menegaskan, segala keupayaan dan kepakaran akan digembelingkan habis-habisan bagi memastikan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Manek Urai untuk memberi isyarat tegas dan jelas bahawa ia tidak boleh digunakan kuda tunggangan untuk memulihkan krisis kepercayaan terhadap Najib, Umno dan BN.


Manek Urai : Poster Nik Aziz punya nilai komersil yang tinggi kata Wan Rahim

Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Dun Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah menegaskan poster Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai nilai komersil yang tinggi bagi menarik pengundi.

Jelasnya, hanya poster Tok Guru Nik Aziz sahaja mempunyai nilai untuk menarik pengundi.

"Jadi dalam hal ini kita hanya menilai dari sudut komersil sebagai cara menarik pengundi di Manek Urai. Kita betul-betul eksploit gambar Tok Guru untuk pancing undi," katanya.

Wan Rahim mengakui Tuan Guru mempunyai tarikan tersendiri berdasarkan pengalaman dalam jentera parti sejak tahun 1982 semasa mencetak gambar Tuan Guru yang mengenakan serban di atas bahu.

Misalnya di Manek Urai, Wan Rahim terkejut apabila ada seorang imam di masjid Mukim Manek Urai menganggap seolah-olah mendapat pahala apabila memandang poster Tuan Guru Nik Aziz.

"Inilah bukti gambar Tok Guru mempunyai nilai yang tinggi di kalangan rakyat beliau," katanya ketika dihubungi.

Bahkan beliau turut menafikan ketiadaan poster Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan yang digambarkan wujudnya pergeseran antara pimpinan tertinggi itu.

Dalam pada itu, Wan Rahim memaklumkan kesemua jentera parti Kelantan kini sudah berkampung di Manek Urai sejak 13 Jun, dan jenteri parti lain-lain negeri sudah mula membanjiri kawasan pilihan raya itu peringkat demi peringkat.

"Ada di kalangan mereka menetapkan tarikh masiang-masing untuk turun ke Manek Urai. Sebabnya kita kena faham ini satu pilihan raya yang tempoh masanya agak panjang.

"Kita tidak menggesa jentera negeri untuk datang awal sampai akhir ianya terlalu lama. Jadi mungkin jentera negeri akan hadir kemudian sikitlah memandangkan jentera parti Kelantan sudah berkampung," jelas beliau.


Selangor catatkan keuntungan pelaburan RM1.8 bilion

Muhammad Arif Ismail

PETALING JAYA, 20 Jun (Hrkh) - Sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah negeri yang terkaya dalam Malaysia, Selangor telah mencatatkan keuntungan pelaburan asing dan tempatan sebanyak RM1.8 bilion dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Kerajaan negeri Selangor juga terus berkeyakinan akan terus menerima kemasukan pelabur asing bagi menanam pelaburan dalam semua bidang walaupun situasi ekonomi dunia mengalami kemelesetan kini.

Menurut Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang juga merupakan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Selangor masih menerima pelaburan dalam bilangan yang agak besar pada tahun ini walaupun terdapat ramalan bahawa pelaburan asing akan menurun.

"Ini adalah ekoran daripada ekonomi dunia yang sedang dilanda krisis," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Liberalisasi dan Kelembapan Ekonomi Global dekat sini, kelmarin.

Katanya, untuk tahun 2009 sahaja, kita hanya sasarkan separuh dari jumlah pada tahun lalu iaitu sebanyak RM5 bilion dan disebabkan oleh keadaan ekonomi dunia yang agak lembab.

"Jumlah ini akan dapat dicapai jika pelbagai langkah diambil bagi menarik keyakinan pelabur untuk terus melabur di Selangor," kata Ahli Parlimen Seputeh itu.

Ketika diminta mengulas mengenai seminar ini, katanya, ia bertujuan untuk memberi penerangan dan penyelesaian berhubung kesan anjakan paradigma global, liberalisasi dan ketidaktentuan ekonomi.

"Kesemua perkara ini sudah menjejaskan ramai pihak terutamanya syarikat-syarikat besar dan para pelabur asing untuk bertapak di negeri ini," jelasnya.

Ahli Dewan undangan Negeri (Adun) Kinrara itu berkata, selain dari itu, tujuan seminar ini diadakan untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai peluang-peluang pelaburan dalam sektor perkhidmatan yang terdapat di Malaysia khasnya di Selangor melalui beberapa insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

Seramai 100 orang peserta yang kebanyakkan terdiri daripada pelabur, usahawan dari pelbagai industri, pegawai penyelidik dari sektor awam dan swasta.

Turut beberapa orang Adun Selangor iaitu Adun Kota Alam Shah, Manoharan; Adun Subang, Hannah Yeoh dan Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Seminar yang dianjurkan oleh Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) mengundang dua orang pembentang kertas kerja iaitu dari Lembaga Perindustrian Malaysia (MIDA) untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk 'Investment Opportunities In The Sevice Sector In Malaysia'.

Manakala Pengerusi Instutut Kejuruteraan Malaysia, Ir. Rocky Wong membentangkan kertas kerja bertajuk 'Services Liberalisation & Global Economics Slowdown'.