"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

Keputusan Muktamad Hanya Selepas 19 Mei

Keputusan muktamad sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan akan melepaskan jawatannya hanya akan diketahui selepas 19 Mei depan.
Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh pada tarikh tersebut bagi membincangkan hasrat yang beliau telah luahkan untuk meletakkan jawatan akibat kekangan di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menghalang beliau untuk berkhidmat kepada rakyat dan pengundi Kota Alam Shah.

Manoharan hari ini mengeluarkan kenyataan yang menyatakan beliau sedang menimbangkan untuk meltak jawatan sebagai ADUN Kota Alam Shah.

Kenyataan tersebut dibaca kepada media oleh isteri beliau, S. Pushpaneela selepas melawat Manoharan di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping pagi tadi.

Puspaneela mengesahkan bahawa suaminya akan bertemu dengan Karpal bagi membincang sama beliau perlu meletak jawatan atau terus menjadi wakil rakyat yang ditahan di bawah ISA.

Manoharan, 49, yang juga penasihat undang-undang Hindraf dicalonkan oleh DAP Selangor untuk bertanding di kerusi tersebut ketika beliau ditahan di bawah ISA.

Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional daripada Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

Dalam komennya kepada TV Antara, Exco Kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok berkata beliau tidak bersetuju sekiranya ADUN Kota Alam Shah itu mahiu meletak jawatan.

"Ketika kami mencalonkan beliau bertanding di Kota Alam Shah beliau sudah pun ditahan di bawah ISA dan rakyat pun tahu keadaannya.

"Walau bagaimanapun rakyat tetap menyokong beliau untuk memenangi kerusi tersebut dan mereka pun sedar Manoharan mungkin tidak dapat memberi khidmat sebagai mana patutnya sebagai wakil rakyat mereka.

"Kami dalam Pakatan Rakyat akur mengenai keadaan yang beliau lalui dan sebab itu kami bersepakat membantu isteri beliau untuk sama-sama memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat Kota Alam Shah," jelas beliau ketika dihubungi.

Teresa yang juga pernah ditahan selama seminggu di bawah akta yang sama tahun lepas menyifatkan ISA sebagai satu undang-undang yang lapuk dan usang.

"Sepatutnya sudah lama ISA dimansuhkan kerana ia satu undang-undang lapuk dan kuno. Kerajaan Selangor dalam sidangnya tidak lama dahulu meluluskan usul agar akta ini dimansuhkan dan kami merupakan satu-satu Dewan Undangan Negeri yang berbuat demikian," katanya lagi.

Manoharan ditahan pada 31 Disember 2007 kerana didakwa terbabit dalam penganjuran protes jalanan di Kuala Lumpur pada 25 November tahun yang sama serta membuat kenyataan berbau hasutan terhadap kerajaan.

Beliau gagal buat kali kedua dalam usaha untuk dibebaskan daripada tahanan ISA di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping.

apabila Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membuat keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan Manoharan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus yang dikemukakan tahun lepas.

Dalam kehakiman tersebut, panel hakim berkata mereka berpuas hati bahawa Manoharan telah gagal untuk menyakinkan mahkamah bahawa penahanannya adalah tidak sah.

Manoharan sebelum ini memfailkan permohonan habeas corpus pada kali pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ditolak pada 26 Disember 2007.

Rayuannya di Mahkamah Persekutuan juga ditolak pada 14 Mei tahun lepas.

Beliau memfailkan satu lagi permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi mencabar kesahihan perintah tahanan bertarikh 13 Disember 2007 yang dikeluarkan mengikut Seksyen 8(1), ISA tetapi sekali lagi ditolak oleh mahkamah pada 8 September tahun lepas.

Pada 12 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi menolak permohonan habeas corpus.
-TVAntara.com.my-

Shafie Pujuk Chua Jangan Lompat Parti

MELAKA - Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak meneruskan hasratnya untuk melompat parti dan menyertai pembangkang.

Beliau berkata apa yang penting sekarang ialah semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan dan bekerja keras memperkuatkan BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya berharap tidak akan berlaku keadaan itu (lompat parti), apa yang penting kepada kita, kita mempunyai masa yang singkat iaitu dua setengah tahun untuk membangunkan negara ini dan untuk mempertingkatkan kekuatan BN," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kenyataan Dr Chua yang tidak menolak kemungkinan akan melompat parti dan menyertai pembangkang kerana mendakwa semakin tidak berperanan dalam parti termasuk sebagai pengerusi Biro Pemantauan Dasar Kerajaan.

Mengenai permintaan veteran Umno yang mahukan kelab itu diiktiraf sebagai sayap Umno, Mohd Shafie berkata perkara itu perlu dibincangkan dalam parti sebelum sebarang keputusan dibuat kerana Umno telah mempunyai banyak sayap.

Beliau berkata selama ini, veteran Umno telah banyak memberi sumbangan kepada parti dan ia perlu diteruskan. - 

-BERNAMA-

Polis nafi laporan kononnya ADUN Kuala Kurau diserang

 IPOH: Polis hari ini menafikan laporan beberapa laman blog yang mendakwa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Yunus Jamhari diserang sekumpulan lelaki berdekatan pejabat Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa serangan sebenarnya adalah pembantu khas kepada ADUN berkenaan yang hanya mengalami kecederaan kecil di tangan akibat terkena pisau ketika mempertahankan dirinya.

"Saya ingin tegaskan bahawa motif serangan tidak ada kaitan langsung dengan hal politik. Sebaliknya ia berpunca akibat masalah peribadi melibatkan pembantu khas itu dengan kumpulan lelaki tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mat Fauzi yang enggan mengulas lanjut bagaimanapun mengesahkan polis telah menahan empat orang bagi membantu siasatan kes serangan berkenaan.

Bernama difahamkan pembantu khas berkenaan dan seorang wanita merupakan antara empat yang ditahan polis itu dan kesemua mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah ketika dihubungi berkata kejadian serangan dipercayai adalah bermotifkan cemburu yang melibatkan seorang wanita.

Beberapa laman blog melaporkan sekumpulan lelaki bersenjatakan cota dan senjata tajam yang tiba dalam tiga buah kereta telah menyerang pembantu khas berkenaan pada pukul 8.40 malam tadi ketika beliau sedang minum di sebuah warung berdekatan pejabat Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau. 

-BERNAMA-

    Majlis Muzakarah Untuk Calon-calon Timbalan Presiden


    SERONOK juga mengikuti perkembangan dan laporan menjelang muktamar agung Pas ke 55. Macam-macam ada, macam Astro. Cerita paling menarik ialah mengenia siapa nak lawan siapa, dan siapa nak jatuhkan siapa, serta siapa jadi alat siapa?

    Diawal kata didoakan janganlah Pas jadi seperti Umno. Maksudnya jangan main kotor, jangan fitnah dan jangan sama sekali main wang dan bertandinglah dengan sihat menurut lunas-lunas demokrasi muslim. Demokrasi yang hijau ialah demokrasi yang tidak diserang 'flu ghairahsme.' Sekiranya Pas juga sudah meniru perangai Umno orang Melayu dan Islam negara ini akan hilang pengharapan di masa depan.

    Kenapa orang bukan Islam tertarik dengan Pas, antaranya kerana mereka melihat Pas berbeza dengan Umno dari beberapa aspek zahiriah antaranya ialah disiplin yang kuat, beramanah dan tawaduk.

    Politik wang cukup bahaya. Kalau ada calon yang sudah mulai bagi wang, tawar wang awal-awal lagi calon itu hendaklah ditimbus hidup-hidup. Calon sebegitu bukan ikhlas berjuang tetapi mereka itu telah diresapi oleh anasir Umno, virus Umno. Harus bagi seluruh ahli Pas anak beranak mencincang lumut orang seperti ini dan jangan sesekali memberi ruang walaupun sebesar lubang jarum dalam hiraki Pas.

    Orang Pas sejati tidak akan tergamak untuk melakukan itu semua. Orang Pas tidak akan menukar keimanan (perjuangan) dengan wang ringgit. Orang Pas sejati tidak akan membeli jawatan dan kuasa dengan wang dan sihir. Bagaimana Muhammad s.a.w. tidak akan menukar agamanya walaupun bulan diletakkan diitangan kanan dan mentari di letakkan tangan kiri, begitulha juga orang Pas!

    Ada juga yang terdesis di telinga saya kononnya ada usnur rasuah dalam proses pemilihan pencalonan hari ini. Apakah ianya benar atau tidak walahu'alam. Beberapa maklumat dan orang tertentu sambil menanyai saya mengenai hal itu turut memberi tahu dan menghuraikan bagaimana rasuah kemungkinan berlaku. Katanya ada orang tertentu telah menghadiahkan wang sebanyak sekian-sekian kepada kawasan bagi tujuan membantu kawasan berkenaan!

    Katanya Pas sedang meneliti penuh prihatin perkara ini. Apakah Pas akan sampai menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau elemen ini atau tidak, tidak diketahui. Sekiranya Pas menubuhkan jawatankuasa mengenai hal ini maka benarlah laporan dan desas desus ini. Jadi untuk tidak dieksploitasikan oleh musuh Pas, jangan wujudkan panetia ini.

    Apa yang hendak dicatatkan menerusi posting inilah mengenai bagaimanakah untuk para perwakilan Pas memilih calon yang benar-benar layak dan berkemampuan untuk memimpin parti dalam memperjuangkan Islam. Apakah kriteria yang telah digunakan oleh ahli Pas untuk membuat pemilihan itu? Kerana kawasan Pas sudah pun bermesyuarat dan pencalonan telah dibuat mungkin Pas telah ada acuannya sendiri dalam membuat pencalonan itu.

    Nampak nama-nama yang dicalonkan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti berbagai wajah, watak, pemikiran serta mazhab politik (isme). Media juga ada mengkelaskan mereka ini dengan berbagai kelompok atau puak atau jenis-jenis berdasarkan latar belakangan budaya dan pendidikan.

    Bagi saya apa juga nama kumpulan dan puak tidak penting. Apa yang penting, ialah mereka mempunyai pegangan Islam yang kuat, ada prinsip Islam yang kukuh serta memilliki iltizam ampuh untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara menerusi Pas. Mereka juga biarlah rasional dan memiliki empat tahap ilmu, syariat, tariqat, hakikat dan marifah. Dan kalau boleh biarlah mereka sampai boleh melakukan ijtihad tersendiri dalam keadaan-keadaan yang memerlukan berbuat begitu.

    Kalaupun ia dikelasifikasikan sebagai ustaz atau ulama tetapi kalau inividu itu tidak ketahui hari-hari apa yang sunat untuk berpuasa tidak ada makna ia dianggap ustaz dan ulama. Begitu juga kalaulah dia dinamakan profesional tetapi tidak tahu sedikit pun soal-soal pengurusan dan pentadbiran organisasi siasah tidak guna dinama profesional. Kalau ia dikelompokkan sebagai ulama tetapi cakap bohong, mungkir janji dan berbicara melampau batas, berdolak dalih ianya tidak membawa apa-apa faedah kepada agama, bangsa dan negara.

    Di sini saya nak fokus kepada pemilihan timbalan presiden Pas. Jawatan ini adalah penting dan menjadi tumpuan dunia. Setakat ini ada empat calon popular yang dijangka akan bertarung merebut jawatan ini. Masing-masing telah pun mendapat pencalonan lebih daripada 10. Mereka ialah Naib-naib Presiden, Husam Musa, Mohammad Sabu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Razak dan Timbalan Presiden kini, Nassharudin Mat Isa. Keempat-empat nama ini masing-masing telah memberi isyarat mereka akan berlawan antara satu sama lain.

    Tidak jadi masalah. Jangan kita kelasifikasikan mereka dalam kelompok apa dan tidak terlampau melihat dari mata angin mana mereka datang. Mari kita letakkan mereka dalam satu kelompok dan puak sahaja, iaitu puak Pas. Mereka datang dari satu tujuan dan berjalan ke satu matlamat saja iaitu mencapai mardtatilah. Kesemua mereka adalah ahli-ahli Pas yang ikhlas untuk berjuang.

    Soal puak, samada ada ulama atau profesional tidak boleh dijadikan kayu ukur ke atas mereka. Ia adalah subjektif. Di zaman serba baru ini semuanya sukar untuk ditentukan hatta menggunakan mikroskop yang paling tinggi nilainya. Ia teralu seni. Ulama tidak lagi boleh diukur menerusi pakaian tradisi, jubah dan serban, jangut dan misai, cara makan dan berbini.

    Begitu juga profesional bukan boleh diukur dengan profesyen mereka dan budaya pergaualan dan makan minum serta hobi mereka. Hari ini yang kahwin satu, dua dan tiga bukan sahaja golongan ulama atau ustaz tetapi golongan profesional juga turut sama mengamalkan poligami seperti kebanyakan ustaz.

    Manakala hari ini sudah ada mereka yang bergelar ulama memakai kot dan tali leher. Pakai Mercedez atau Lexus berplatkan dua angka. Makan menggunakan gerpu, menimum berdiri dan tinggal di hotel-hotel lima bintang. Makan malam di Singapore bersahur di Cairo biasa bagi ulama zaman moden ini.

    Demikian juga dengan golongan profesional mereka bukan saja sanggup bermesyuarat di hotel, tetapi ikut sama berjemaah di surau di hujung kampung. Berpeluh berpelai bersama rakyat marhaen di tengah jalan mengimarakan tunjuk-tunjuk perasaan. Menziarahi lorong 'tui' untuk menyedarkan masyarakat. Pakaian mereka juga bukan ala Barat lagi, tetapi ada kalanya lebih Arab daripada Arab jubah sampai meleret boleh menyapu kaki lima. Ekor serbannya pula mengembang macam ekor Merak janta nak mengawan.

    Jadi bagaimanakah untuk mengenal mereka dan mengukur mereka untuk dipilih sebagai pemimpin.

    Saya ada idea. Apa kata kalau ada pihak yang menganjurkan majlis Muzakarah Ilmu untuk calon-calon timbalan presiden itu. Menerusi majlis itu mereka akan diminta bercakap dan menghuraikan megenai beberapa tajuk khusus secara ringkas. Di sini dapat diuji dan dinilai sejauh mana firkah dan kemampuan mereka untuk jadi pemimpin.

    Topik-topik khusus boleh dikemukakan yang mencakup alam lama dan alam baru. Maksudnya mengenai sirah perjuangan Rasulullah dan juga peralihan temadun barat dari zaman industri sampai ke zaman teknoligi di samping mengunkap permasalahan ummah di masa akan datang. Topik-topik lain yang boleh diminta dibahaskan seperti;

    • Sejarah politik dunia dan Malaysia.
    • Ekonomi, sosial dan budaya.
    • Mengenai Fikh Islam.

    Mereka boleh diminta mengulas dan membahaskan topik-topik itu dalam konteks pemikiran dan gagasan yang mereka hendak bawa kalau mereka menjadi pemimpin Pas.

    Saya rasa dengan cara inilah ahli Pas dapat menilai sejauh mana, fikrah serta bakat mereka untuk diangkat sebagai pemimpin.

    Dengan mengemukakan medan demikian saya percaya ia memberi kesempatan baik untuk ahli Pas menilai kebolehan, bakat, pemikiran dan komitent mereka kepada perjuangan Pas. Bagi saya adalah malang kalau ahli Pas memilih pemimpin berpandukan kepada kecenderongan pengkelompokan yang dibuat oleh pihak lain. Lebih malang lagi kalau mereka dipilih kerana ia ditunjuki oleh orang luar Pas itu sendiri. Dan malang lagi kalau pemilihan itu nanti diupah!

    Mungkin cadangan ini sukar dilaksanakan. Tetapi calon-calon yang bertanding boleh mengambil inisiatif sendiri mengemukakan idea, pandangan mereka serta proposal untuk membantu parti dan terpenting mendaulahkan Islam menerusi blog masing-masing ataupun dalam tulisan-tulisan ringkas di akhbar ataupun menerusi agen-agen kempen masing-masing. Tetapi sebaik-baiknya kalau ia boleh dibuat dalam satu tempat dalam bentuk muzakarah.
     

    http://msomelayu.blogspot.com/


    Baru berjalan ke Puduraya, sudah dianggap merakyat?

     Abu Firdaus 
    PUDURAYA, 30 April (Hrkh) - Stesen bas utama Kuala Lumpur sememangnya tempat tumpuan rakyat. Patutnya stesen bas itu sudah lama berganti. Sememangnya rancangan untuk menggantikannya pun sudah ada, dan sudah dibuat iaitu Plaza Rakyat. Nama pun merakyat. Tetapi terbengkalai dan masih macam itu.

    Begitu juga dengan terminal bas utama yang lain. Jalan Duta juga hanya bangunan sebegitu. Hentian Putra juga seperti itu sedangkan rancangannya adalah hendak membina di Terminal Putra di Gombak. Apa yang berkaitan dengan rakyat bawahan tidak begitu diambil serius oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

    Keluhan rakyat mengenai kelemahan pengangkutan awam tidak begitu diambil peduli. Keadaan pengangkutan awam terus sesak dan tidak menarik bagi orang ramai. Bukanlah tiada usaha tetapi dibandingkan tumpuan pembangunan adalah untuk orang kaya-kaya. Lihatlah bagaimana pihak berkuasa membangun sekitar kawasan Hartamas tentunya jauh berbeza apabila dibandingkan dengan apa yang dicurahkan kepada kawasan Puduraya.

    Perbezaan ketara lebih-lebih lagi pada zaman Dr Mahathir Mohamad dahulu. Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) diusahakan dengan penuh bersemangat. Begitu juga dengan lebuh-lebuh raya bagi menampung kereta yang bertambah banyak dan mewah.

    Sememangnya kecenderungan perkhidmatan kerajaan adalah kepada golongan kaya. Iaitu apabila dibandingkan layanan yang diberikan kepada pengangkutan awam, termasuk stesen-stesennya.

    Sememagnya selama ini, Umno yang memimpin Perikatan dan BN tidak mendahulukan rakyat. Maka Najib Razak hendak mengubah keadaan ini. Maka antara yang dilakukan ialah melawat Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Puduraya. Itulah usaha untuk mendahulukan rakyat. Maka ditekankan betapa kesesakan yang ditanggung oleh rakyat perlu diatasi. Tetapi janganlah hendaknya ia hanyalah untuk mencari populariti. Hakikatnya, mana-mana pemimpin politik, sama ada daripada BN mahupun Pakatan Rakyat, tidaklah perlu melakukan perkara-perkara yang bersifat menunjuk-nunjuk. Buat saja apa yang memudahkan kehidupan rakyat. Dapatkan penyelesaian mana-mana masalah yang ditanggung secara seharian oleh rakyat.

    Ingatlah masalah-masalah rakyat banyak yang tertumpu di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi tentulah sebahagiannya memerlukan campur tangan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Maka sekiranya seseorang pemimpin politik ikhlas untuk membantu rakyat, mereka perlu melakukannya serta merta dan tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk.

    Namun begitu, ingatlah hakikat perjalanan kerjaya seorang ahli politik yang kehidupannya dikelilingi dengan kesenangan. Lebih-lebih lagi bagi mereka daripada kalangan golongan elit. Mereka membesar di lingkungan mewah, dan apabila semakin tinggi seseorang itu naik dalam tangga politik, makin jauh mereka daripada kehidupan rakyat biasa.

    Sepuluh, 20 hinggalah 30 tahun, ada kalangan mereka yang sudah lupa bagaimana orang kebanyakan menaiki bas untuk tempat pekerjaan. Dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang mengecewakan mereka tidak dapat menyelami kehidupan rakyat yang susah. Ada kalangan politik yang berasal daripada golongan susah seringkali juga lupa bagaimana orang susah hidup.

    Tidak cukup untuk melawat bandar-bandar dengan begitu saja jika prihatin sebenar tidak ada. Mereka tidak akan berasa masalah sebenar rakyat walaupun diusahakan untuk menghayatinya. Mungkin akan diusahakan penyelesaian masalah melalui senarai yang diberikan oleh pegawai-pegawai, tetapi kesemuanya tidak akan dapat menggambarkan kesusahan rakyat. Namun begitu, usaha untuk menyelami perasaan rakyat dalam menghadapi kesusahan wajarlah dihargai.

    Pendek kata, golongan senang akan berasa susah untuk menyelami kehidupan orang susah. Jadi apa yang perlu mereka lakukan untuk benar-benar menjunjungi slogan mendahulukan rakyat? Selain daripada menyelesaikan semua masalah rakyat, yang sebenarnya kecil dan remeh-temeh bagi golongan kaya, tetapi bagi individu kecil, ia merupakan masalah maha besar. Maka selain daripada penyelesaian itu, apa yang perlu dilakukan ielah untuk menyokong pihak rakyat apabila berdepan dengan dua pilihan.

    Apa saja masalah dan timbul pula dua pilihan yang bertentangan dengan kedua-duanya memiliki hujah untuk disokong, maka sikap yang perlu ada bagi pemimpin ialah memilih opsyen yang memihak kepada rakyat. Umpamanya dalam kerja-kerja pembangunan atau pembukaan kawasan baru. Andai kata sesuatu langkah itu lebih menguntungkan golongan kaya daripada miskin, maka wajar pilihanya jalan yang memihak pada orang miskin, walaupun langkah itu seumpama menjejaskan kepentingan orang ramai, masyarakat dan negara.

    Kerajaan perlu mendahulukan rakyat

    Sebagai contoh, pembukaan satu wilayah milik Orang Asli. Berkurun-kurun golongan Orang Asli menyara hidup mereka melalui pencarian rezeki dalam hutan yang sememangnya kampung halaman, malah negara mereka, lama sebelum datangnya orang Melayu, apatah lagi penjajah Inggeris. Tetapi katakan, apabila membangunkan wilayah itu boleh membantu negara kerana nilai tanah itu tinggi dan jika dimajukan, dapatlah banyak rumah dan rumah kedai dibina. Maka, apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan yang mendahulukan rakyat?

    Kalau pemimpin berkenaan memikirkan betapa susahnya kehidupan Orang Asli jika tanah mereka diambil untuk pembangunan, maka kerajaan yang prihatin kepada kepentingan rakyat akan memihak kepada golongan terpinggir ini. Tanah Orang Asli itu akan dipelihara supaya masyarakat itu akan dapat terus hidup dengan mencari bahan-bahan jualan di hutan mereka.

    Sementara bagi pemaju, mereka harus mencari tempat lain yang tidak menjejaskan kehidupan Orang Asli itu. Tetapi kaedah ini akan sukar untuk dilaksanakan kerana tentunya pemaju mempunyai pengaruh lebih kuat daripada Orang Asli. Lebih-lebih lagi para pelabur yang menggunakan dorongan wang untuk membangun dan membina.

    Maka dalam keadaan begini, badan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat rakyat dan ideologikal, maknanya tidak terikat atau terluntur dengan pengaruh harta benda dan kuasa, wajar wujud membela golongan susah dan terpinggir. Masyarakat sivil dengan aktivis-aktivis ini wajar menjadi pengimbang kepada kerakusan di pihak yang lagi satu.

    Maka mengapa Umno melalui Perikatan dan BN boleh bermaharajalela sejak tahun 1957 dengan membelakangkan rakyat adalah kerana kurang wujudnya gerakan NGO rakyat yang boleh menjadi pengimbang kepada golongan elit politik. Tetapi akhirnya apabila keadaan bermaharajalela ini terlalu lama, maka ia memakan iri Umno sendiri. Akibatnya ialah kebangkitan pihak pembangkang.

    Mengapa SPR tidak guna dakwat celup jari di Dun Penanti? Susah sangatkah? - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man



    AJK PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yakin, kesedaran rakyat Pahang terhadap kepincangan BN negeri, kian meningkat. Usaha sedang dijalankan terutama di kawasan Felda, bagi menjelaskan isu-isu terkini yang membabitkan kepentingan mereka. Beliau juga mencadangkan agar SPR memulakan penggunaaan dakwat "celup jari" pada pilihan raya kecil Dun Penanti. Beliau juga turut menyedari Najib hanya menjadi boneka kepada Tun Mahathir. Ikuti interbiu eksklusif Pesuruhjaya PAS Pahang ini bersama wartawan ANIS NAZRI.

    PM baru, Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat seperti "PM boneka" apabila banyak dipengaruhi Tun Mahathir Mohamed dan ini dikatakan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. Bagaimana Dato' melihat peranan Mahathir ini boleh meningkatkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat?

    DATO' TUAN IBRAHIM: Ada dua perkara dalam hal ini. Pertamanya, peranan Mahathir dalam 'menentukan' dasar negara itu dilihat sebagai kelemahan Najib sendiri sebagai PM. Campur tangan seperti Mahathirlah yang tentukan siapa boleh duduk dalam kabinet, tentukan dasar hubungan luar negara. Semua ini akan menonjolkan lagi kelemahan Najib.
    Dalam Pakatan Rakyat, kita lihat Mahathir dulu turun dalam keadaan beliau dipaksa rakyat. Apabila dia kembali semula, ini akan membangkitkan semula nostalgia lama rakyat yang terguris dengannya. Dari sebelah pihak, keadaan ini memberi kelebihan dan kekuatan kepada Pakatan Rakyat.
    Dengan suasana yang ada hari ini, senario pilihan raya kecil menunjukkan dokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat cukup kuat dan ini lebih mempercepatkan lagi kemenangan Pakatan Rakyat dengan kemunculan Mahathir semula bersama Najib.

    Menyentuh isu Pilihan Raya Kecil Dun Penanti, ia telah menonjolkan sikap berat sebelah SPR. Pada pandangan Dato', adakah SPR telah bertindak menjadi perkakas BN secara langsung atau sebenarnya badan itu cuba bertindak profesional?

    Seingat saya, SPR kena ingat tindakan mereka muktahir ini jelas menunjukkan ia tidak profesional. Kita nampak rakyat mula sedar SPR ini sebagai satu agen kepada BN dengan beberapa larangan-larangan yang dibuat, yang jelas menunjukkan sikapnya yang tidak bebas.

    Bagaimana Dato' melihat isu penggunaan dakwat kekal di jari pengundi? Mungkin ini masanya untuk SPR membuktikan tahap profesional mereka?

    Rakyat sedang tunggu. Dalam pilihan raya dulu, SPR bertindak memperkenalkan penggunaan tersebut. Tiba-tiba ia bertindak menarik balik penggunaan itu. SPR boleh menjadikan Penanti sebagai satu medan untuk membuktikan dakwaan pembangkang selama ini berkaitan pengundian berulang ini.
    Bagi PAS, SPR patut ambil peluang ini untuk melakukan perubahan dan ini memang jelas berada di dalam bidang kuasa SPR, bukan seperti yang dilakukan sekarang dengan mencampuri urusan politik kepartian. Isu dakwat ini memang di dalam bidang tugasnya. Jangan buat benda lain yang bukan bidang tugas SPR.

    Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said melihat perlantikan Menteri Pelajaran yang baru tidak membawa apa-apa perubahan kepada penghapusan PPSMI. Apa cadangan Dato' untuk menyelesaikan kemelut PPSMI ini?

    Gerakan untuk memansuhkan dasar ini perlu ditingkatkan. Kalau dulu menganjurkan
    himpunan. Kita sudah bagi masa kepada kerajaan. Kalau tiada lagi sebarang perubahan, rakyat perlu bangkit sekali lagi.
    Soalnya sekarang ini, memang tidak nampak menteri baru ini utamakan rakyat. Kalau betul utamakan rakyat, awal-awal lagi boleh kembalikan dasar asal pendidikan dahulu dengan memansuhkan PPSMI ini.

    Selain isu PPSMI, banyak lagi isu lain yang menggambarkan kebobrokan kepimpinan BN. Bagaimana Dato' melihat akta ISA yang kini mendapat tentangan rakyat?

    ISA ini secara jelasnya bertentangan dengan syarak. Dalam Islam, sesiapa yang dituduh perlu diberi peluang untuk membela diri. Walaupun Najib menguar-uarkan
    untuk mengkaji akta ini, tetapi dalam masa yang sama, baru-baru ini berlaku penangkapan di bawah akta ini.
    Kajian apa lagi diperlukan? Rakyat sudah muak dengan sandiwara Umno. Setiap kali naik PM baru, janji macam-macam. Sepatutnya mansuh terus bukan kaji. Biasanya, benda kaji ini benda yang tidak jelas. Yang jelas macam ISA ini, mansuh sahaja.
    Berapa banyak kos akan dibazirkan jika buat kajian? Kalau Najib mahu buat perubahan, inilah masanya. Ketika inilah rakyat tunggu perubahan yang ingin dibawa Najib.

    Berkaitan ISA ini, GMI akan menganjurkan satu himpunan besar-besaran yang dijangka penyertaan 100 000 peserta bagi membantah akta ini. Sejauh mana demonstrasi ini membantu untuk menghapuskan akta rimba ini?

    Rakyat sebenarnya tidak suka berdemo. Tapi ini merupakan cara terakhir, kalau pemimpin tidak prihatin dengan kehendak rakyat. Jadi, apa pilihan yang ada? Itu yang rakyat turun ke jalan raya, sedangkan rakyat bukan suka sangat turun ke jalan. Kita sudah beri masa kepada kerajaan, sepatutnya masa ini mansuh terus akta itu.

    Baru-baru ini, Kabinet memutuskan kanak-kanak mesti mengekalkan agama asal ketika ibu bapa berkahwin walaupun salah seorang daripada mereka menukar agama lain. Selain membelakangkan ahli agama, BN dikatakan mempunyai agenda tersendiri untuk menarik sokongan bukan Islam. Sejauhmana Dato' melihat isu ini?

    Apabila melibatkan soal agama, Kabinet tidak boleh membuat keputusan tanpa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan, dan majlis agama. Apabila menyentuh sahaja soal agama dia tidak boleh mengatasi bidang kuasa pihak tadi. Apabila buat keputusan bercanggah dengan syarak, Kabinet kena tanggung dosa tersebut dunia akhirat.
    Bila timbul bantahan dari mufti, NGO, rakyat melihat kecelaruan tersebut. Ini akan merosakkan institusi kekluargaan. Kabinet perlu tarik balik, rujuk kembali majlis fatwa. Jika ada sekalipun agenda politik, jangan peralatkan agama. Bagi kita, kalau isunya jelas melanggar syarak, kalau guna juga ia akan 'back fire' kerajaan balik.

    Umno Pahang dilanda krisis kebelakangan ini ekoran kecuaian melampau MBnya hingga disaman RM63juta, suatu yang boleh dielakkan. Apa yang Dato' nampak?

    Isu ini isu lama, zaman MB terdahulu. Tapi asal isu ini melibatkan kepentingan Umno. PAS Pahang membuat laporan polis tentang mengapa MB boleh bagi tanah kepada Umno. Kemudian syarikat ini pada awalnya tuntut ganti kawasan lain, tapi kerana sikap degil Umno, akhirnya kerugian ini terpaksa ditanggung rakyat.
    Dulu kena RM60 juta, sekarang sudah RM63 juta. Sekarang MB minta tangguh lagi dan akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos lagi.
    Bagi PAS, MB sepatutnya kena menghormati keputusan mahkamah, undang-undang. Juga membuat pembayaran yang diminta. Saya rasa, jalan terbaik, kegagalan ini perlu ditanggung MB. Kita cadangkan MB dikenakan potongan gaji sebagai pengajaran kepada dia. Walaupun ia dilakukan MB dahulu, tapi kenapa dia biarkan? Hakim sudah membuat keputusan, jangan tangguh-tangguh lagi.

    Sejauh mana tindakan PAS Pahang mendesak MB untuk melepaskan jawatan akibat kecuaian melampau ini?

    Apa yang penting, MB dan barisan Exco perlu bertanggungjawab. Kenapa mesti rakyat Pahang yang terpaksa tanggung dalam keadaan kritikal, dengan banyak projek negeri tidak boleh berjalan dengan baik. Kita akan teruskan desakan, dia mungkin tidak akan letak jawatan, tapi ini suara rakyat kalau dia mahu dengar suara rakyat.
    Kita minta dia jelaskan hutang tersebut. Kalau tangguh, akan menambah kos dengan 'interest'nya. Jika Pakatan Rakyat menang di Pahang pun, Pakatan Rakyat terpaksa tanggung kos ini.
    Dengan pelbagai konflik yang melanda Umno Pahang, namun PM baru ini dari Pahang. Di mana serba sedikit rakyat Pahang menaruh harapan tinggi kepada PM kerana berasal dari Pahang.

    Apakah strategi PAS Pahang untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?

    Dari sudut perasaan rakyat Pahang terhadap Najib itu memang ada. Tidak boleh dinafikan, cuma rakyat perlu rasional. Perlu letak harapan kepada orang yang memang membina rakyat. Najib sudah menjadi MP berpuluh tahun, baru inilah nampak Pekan itu membangun sikit. Bukan soal kepimpinan Najib sahaja dipertikai, tapi kewibawaan parti itu dilihat secara keseluruhannya.
    PAS Pahang baru siap membentangkan satu pelan induk. Kita ada jangka panjang bagi menghadapi PRU ke 13. Kita kukuhkan dengan pelan tindakan untuk menarik dokongan rakyat kepada kita.
    Oktober nanti, kita akan adakan konvensyen bersama parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Saya lihat dalam gerak kerja yang kita turun sekarang ini perlu beberapa tumpuan.
    Pertamanya, Felda. Kedua, kampung tradisional yang tidak menerima maklumat menyeluruh. Dan ketiganya kekuatan kita dalam menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kawasan-kawasan tertentu termasuk di kalangan masyarakat orang asli.

    Tadi, Dato' ada sebutkan tentang penumpuan di Felda-Felda. Mungkinkah ada strategi tertentu yang boleh dikongsi bagi menarik sokongan peneroka ini kepada Pakatan Rakyat dan adakah selama ini Dato' berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil parti dalam usaha tersebut?

    Mengenai Felda ini memang kita perlu membuat kajian khusus, bagaimana nak meningkatkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat. Tugas PAS ialah menghapuskan tanggapan mereka bahawa seolah-olah mereka mendapat anugerah dengan penerimaan tanah oleh BN.
    Sedangkan dalam masa yang sama ditekan dengan harga komoditi yang tidak menentu, terpaksa tangung kos pembajaan, yang dia sendiri tidak tahu betapa kosnya. Kita juga menubuhkan satu NGO yang dikenali sebagai Anak yang nampaknya berjaya menarik generasi kedua dan ketiga kepada Pakatan Rakyat.
    Memang agak susah mahu menembusi tanah rancangan ini, tapi di Jengka, ada beberapa felda yang kita tidak pernah kalah. Sampai sekarang menang, waktu kalah teruk pun, ada peti undi yang kita menang. Jadi, bagi saya jika ada tumpuan di kawasan ini, sokongan golongan ini boleh berubah. Insya-Allah.

    'Title' ulama sahaja tidak cukup dalam kita memimpin, elakkan dari dituduh lembab dan tidak pandai beroganisasi - Ustaz Nasruddin Tontawi



    KEPIMPINAN Ulama mesti berkeupayaan menarik keyakinan rakyat dari pelbagai pihak, bukan hanya dari kalangan PAS semata-mata. Ia perlu segera menempatkan diri di tengah-tengah masyarakat. Apa lagi kejayaan lebih besar selain orang Cina dan India kini tidak lagi takut untuk bersama PAS malah mulai memahami aspirasi perjuangan Islam setelah lebih 50 tahun mereka dimomokkan oleh Umno dan BN bahawa PAS adalah bahaya, parti yang ekstrim, ganas dan pelampau agama. Itu antara pandangan yang diutarakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan mengenai perjuangan 25 tahun kepimpinan ulama dalam PAS. Wartawan NYZA AYOB mencungkil pendapat spontan beliau.

    Bagaimana Pemuda PAS melihat setelah 25 tahun kepimpinan Ulama dalam PAS?

    NASHARUDDIN HASSAN: Gerak tindak pemerkasaan parti sememangnya menjadi agenda yang berterusan dan ia melibatkan kepimpinan ulama’ yang telah melalui pengalaman kepimpinannya sejak 25 tahun yang lalu. Meskipun kita tidak pernah berasa memadai dengan pencapaian, tetapi Alhamdulillah kepimpinan ulama dalam tempoh 25 tahun ini telah berjaya meletakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam kontemporari yang mampu memberi saingan dan tamparan hebat kepada kerajaan nasionalis bahkan berjaya mengatasi penguasaan mereka serta disegani bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.
    Pengalamannya ditimba oleh gerakan Islam antarabangsa. Kepimpinan ulama ini menjadi tonggak untuk PAS terus kekal bersama ketulenan manhaj perjuangannya membawa negara dan rakyat agar diredhai oleh Allah.

    Setelah berjaya mengalihkan kepimpinan terdahulu (kepimpinan Dato' Mohd Asri Muda) banyak kejayaan telah dikuasai parti selain memerintah Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah. Apa yang boleh diperkatakan di sebalik kejayaan ini?

    Alhamdulillah, kejayaan ini menjadi khibrah (pengalaman) dan ibtila’ (ujian) yang besar dan bermakna buat PAS. Ianya telah berjaya menafikan persepsi negatif yang menjadi khurafat sekian lama kononnya PAS tidak mampu memerintah dan mentadbir negara.
    PAS juga telah berjaya keluar dari lingkaran imej 'parti pak lebai' dan 'parti kampungan' yang kononnya tidak mampu menyaingi tuntutan dan memenuhi keperluan zaman.
    Kini PAS telah bersedia dengan segala upaya dan kemahiran yang dimiliki untuk diberi kepercayaan atau mandat oleh rakyat bagi memerintah dan mentadbir negara ini sebagai kerajaan alternatif.
    Ya! kerajaan alternatif setelah rakyat sekian lama menderita di bawah kepimpinan parti perkauman dan tidak mesra kebajikan. Perkara kedua, suka saya tegaskan di sini bahawa kemenangan ini juga menjadi satu latihan praktikal kepada PAS untuk menghadapi suasana berbeza sebagai sebuah kerajaan yang memerintah bukan lagi pembangkang.
    Tentunya berjuang dalam suasana menang dan senang sangat jauh beza dan cabarannya berbanding sewaktu kalah dan susah. Kita perlukan latihan praktikal ini untuk melahirkan kepimpinan yang bertaqwa dan berilmu, sederhana, amanah dan bijak memimpin serta benar–benar berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab pemerintahan.

    Pada pemerhatian ustaz, apakah kejayaan terbesar yang telah memecah landskap politik tanah air sepanjang 25 tahun kepimpinan Ulama?

    Saya melihat Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah meresap jauh ke dalam hati nurani masyarakat. Betapa kini mereka memerlukan Islam untuk keluar daripada segala kemelut yang menimpa negara sama ada politik mahupun ekonomi.
    Jika dulu sering kita dengar pemimpin negara menyebut bahawa 'politik suku agama suku', maka kini tiada siapa lagi berani berkata demikian kecuali mereka yang benar–benar jahil dan kufur. Ini adalah episod kejayaan yang ditempa oleh kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS.
    Malah kita berjaya mematahkan tongkat Umno dan BN yang selama ini membenarkan mereka tegak angkuh sekian lama. Tongkat yang saya maksudkan ialah MIC dan MCA. Kini masyarakat Tiong Hua dan India tidak lagi 'berkiblatkan' MCA dan MIC untuk terus mendokong BN tetapi rata–ratanya telah beralih menyatakan sokongan kepada KeADILan dan DAP sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat.
    Sebahagiannya kepada PAS sendiri melalui Kelab Penyokong PAS yang kita tubuhkan di bawah Lajnah Perpaduan Nasional. Apa lagi yang lebih besar selain orang bukan Islam di kalangan bangsa Cina dan India kini tidak lagi takut dan bimbang untuk bersama PAS malah mulai memahami aspirasi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS setelah lebih 50 tahun mereka dimomokkan oleh Umno dan BN bahawa PAS adalah bahaya, parti yang ekstrim, ganas dan pelampau agama.
    Apabila tongkat Umno dan BN ini patah, kini mereka mulai kenal tinggi rendahnya langit dari bumi setelah mereka dibelenggu perasaan angkuh dan bongkak di puncak kuasa sejak sekian lama.

    Sokongan bukan Islam terhadap PAS sejak akhir-akhir ini begitu luar biasa hebat. Bagaimana peranan yang dimainkan ulama dengan perkembangan amat positif ini?

    Keistimewaan ulama ialah ketakwaan, keikhlasan dan keilmuan mereka. Berasaskan tiga faktor ini ulama telah memimpin gerakan membawa risalah perjuangan dengan cukup meyakinkan.
    Bermula dengan maklumat yang disebar secara gigih tanpa jemu melalui penulisan, kuliah, khutbah, ceramah, berhujah di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan kini melalui blog, laman web atau Facebook, ulama juga tampil dengan syakhsiyah (peribadi) dan watak serta 'skil' kepimpinan yang cukup mempesona dan meyakinkan.

    Ini bermakna rakyat melihat ulama sebagai 'role model' yang dapat menyelamatkan negara?

    Ya! Setelah rakyat muak dengan rasuah, gelisah dengan penyelewengan kuasa dan benci dengan keruntuhan moral para pemimpin negara hari ini, para ulama kita dilihat sebagai 'role model' yang boleh menyelamatkan negara dari segala kerendahan aqal dan moral tersebut.
    Sentuhan spiritual para ulama mengisi kekosongan jiwa rakyat sekalipun dari kalangan non muslim setelah mereka ditinggalkan lompang oleh kerajaan Umno dan BN tanpa pengisian insaniah yang berkesan.

    Setakat ini bagaimana penerimaan Pemuda dan PAS khususnya tentang gerakan Kelab Penyokong PAS yang tumbuh bagai cendawan?

    Melalui Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat, kita juga menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS dan ini menunjukkan kita sangat peka dan gembira dengan perkembangan ini. Ia menjadi cabaran baru kepada PAS dalam meluaskan 'coverage' risalah perjuangan yang diperjuangkan oleh parti sejak sekian lama.
    Selama ini, orang PAS sering bercakap tentang PAS kepada orang PAS dalam markaz PAS, akhirnya risalah perjuangan ini tidak lepas–lepas! Perkembangan ini membawa PAS menemui semua orang terutamanya 'non muslim' untuk mengenali hati budi dan aqal budaya mereka.
    Kemudiannya ia meletakkan PAS berjiwa besar untuk memimpin bukan sahaja di kalangan orang PAS tetapi juga rakyat pelbagai lapisan latar belakang agama, bahasa dan bangsa.

    Dalam pilihan raya umum yang lepas, bukan Islam dibenarkan bertanding sebagai proksi PAS. Hingga kini sejauh mana orang bukan Islam boleh bertanding menggunakan tiket atau lambang PAS itu sendiri?

    Pengalaman dan suasana semasa yang didepani oleh PAS akan banyak membantu PAS dalam membuat keputusan demi kepentingan perjuangan yang didokong selama mana ia tidak bercanggah dengan kehendak syarak.
    Untuk meletakkan calon 'non muslim' bertanding menggunakan tiket PAS dalam keadaan tertentu seperti di kawasan majoriti 'non muslim', pada asasnya tidak bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS selama mana calon tersebut turut sama memberi komitmen untuk mendokong dasar perjuangan PAS.

    Sejauh mana keputusan Majlis Syura memutuskan keahlian bersekutu, ahli bukan Islam dalam PAS?

    Untuk soalan ini, saya rasa wajar dihubungi 'direct' pengerusi atau ahli Majlis Syura .

    Berbalik kepada kepimpinan ulama, apakah ustaz berpuas hati dengan penyertaan ulama dalam hiraki kepimpinan PAS Pusat, Pemuda dan juga negeri-negeri?

    Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, namun pada asasnya saya sangat berpuas hati. Malah kita mempunyai gandingan yang baik antara tiga unsur kepimpinan parti iaitu ulama, profesional dan aktivis.
    Cuma saya kurang senang apabila cuba digambarkan oleh pihak–pihak tertentu kononnya berlaku krisis antara ulama dan profesional dalam parti. Sememangnya dua pihak yang berbeza disiplin pengajian dan kerjaya ini akan dilihat berbeza pendekatan dalam banyak keadaan namun parti mempunyai mekanisme tersendiri yang mengurus gaya dan cara kepimpinan secara kolektif.

    Apa sikap Majlis Syura dalam hal ini?

    Majlis Syura yang menjadi teraju parti akan terus meletakkan kepimpinan ulama sebagai tonggak kepimpinan kolektif ini. Saya juga mengharapkan ulama’ yang diberi ruang menyertai hiraki parti walau di mana posisi mereka benar–benar dapat berperanan bagi membukti kemampuan sebenar ulama’ dalam memimpin. Saya cukup tidak sedap hati kalau orang kata ulama lembab, tidak agresif, tidak peka, tidak pandai berorganisasi dan mengurus.
    Apatah lagi, kalau apa yang disebutkan itu ada benarnya, maka para ulama mestilah memastikan mereka benar–benar mampu memikul amanah yang diberi. 'Title' sahaja tidak cukup dalam kita memimpin. Ulama mesti bekerja keras untuk memimpin dan mendokong cita–cita perjuangan agar ulama tidak menjadi bahan sendaan apalagi diperlekehkan.

    Akhir sekali, apakah Pemuda berpuas hati dengan pencapaian 25 tahun kepimpinan ulama dan apakah harapan Pemuda terhadap kepimpinan PAS pada masa depan yang menanti 1001 cabaran?

    Kepimpinan yang optimis, senantiasa meletakkan diri mereka tidak berpuas hati terhadap pencapaian sebelum kerana mereka terus akan membina pencapaian yang lebih baik dari masa ke semasa. Kita belajar dari kelemahan dan kekurangan semalam untuk kesempurnaan di hari esok.
    Sebagaimana saya sebutkan tadi, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam kepimpinan ulama setelah kita melalui tempoh pengalaman 25 tahun kepimpinannya. Apa yang pasti, kepimpinan ulama mesti dipertahankan dan diperkasakan dari masa ke semasa.
    Kepimpinan Ulama mesti berkeupayaan menarik keyakinan rakyat dari pelbagai pihak, bukan hanya dari kalangan PAS semata–mata. Ia perlu segera menempatkan diri di tengah–tengah masyarakat terutama saat mereka diperlukan untuk membimbing dan memimpin masyarakat.
    Kepimpinan yang bersedia untuk memerintah dan mentadbir negara atau negeri, bukan lagi hanya memimpin organisasi, tetapi juga kepimpinan yang mampu merungkai kebuntuan negara dan rakyat dalam berhadapan dengan pelbagai polemik kehidupan pada zaman moden ini.
    Justeru itu, kepimpinan ulama masa depan yang kita perlukan ialah kepimpinan yang mampu dan berani berijtihad, tangkas menangani isu, cepat bertindak dan menjadi kepimpinan yang memimpin bukan kepimpinan yang dipimpin.

    Gempar : Cubaan bunuh ADUN PKR Kuala Kurau

    Sebentar tadi..aku menerima panggilan telefon dari Albanjari tentang satu serangan yang dibuat terhadap ADUN  Kuala Kurau, Yunus Jamsari.

    Sekumpulan penyerang dalam tiga buah kereta telah menyerang kereta YB Yunus dan dilaporkan Pembantu Khas YB Yunus yang dikenali sebagai Pak Nan telah cedera parah.

    Update: 11.53 malam.

    Aku baru dapat menghubungi YB Yunus dan beliau memaklumkan bahawa beliau selamat dari serangan tersebut kerana belum sampai kepejabat waktu itu.

    Menurut YB Yunus, serangan berlaku kira-kira jam 8.40 malam tadi dimana sekumpulan hampir 20 orang lelaki Melayu telah menyerang Pak Nan yang pada waktu itu sedang minum disebuah warung berdekatan pejabat Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau.

    (Berita sepenuh akan menyusul)

    Sementara itu, seorang pemimpin PKR Perak memaklumkan bahawa semua ADUN telah diminta untuk menjaga keselamatan masing-masing berikutan ancaman dan ugutan ganas yang akan dilakukan terhadap mereka menjelang 7hb Mei ini.

    Kepimpinan Ulama: Tanya Cik Gu Pa, Subky, Wan Mutalib

    Jika anda nak tahu apa yang ada dalam kepala mereka yang mencadangkan konsep kepimpinan ulama, sila baca cerita di bawah. Setakat yang saya ingat sahaja. Tanyalah tiga orang yang mengusulkan konsep kepimpinan ulama itu jika anda mahu tahu lebih lanjut apa yang ada dalam kepala mereka ketika merangka usul konsep kepimpinan ulama. Setakat saya ingat sahaja, kalau siapa-siapa yang lebih tahu, tolonglah betulkan:
    Sebelum berlangsungnya muktamar Dewan Pemuda PAS pada tahun 1982 di Madrasah al-Masriah di Bukit Mertajam, berlaku sesuatu yang pelik. Tidak ada usul yang dikemukakan oleh Pemuda PAS negeri-negeri untuk dibincangkan dalam muktamar itu.

    Akhirnya, Ketua Pemuda PAS pada masa itu, Haji Mustapha Ali (Cik Gu Pa) berbincang dengan dengan Setiausaha Pemuda waktu, Haji Subky Latiff dan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda pada masa itu, Haji Wan Abdul Mutalib Embong. Mereka berbincang di rumah Almarhum Sheikh Ahmad Masri, iaitu datuk kepada Ustaz Hasan Salehuddin, juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS pada masa itu (Tok Guru Presiden hari ini juga Ahli Jawatankuasa Pemuda pada masa itu).

    Dalam perbincangan itu, Subky mengemukakan draf usul supaya Muktamar Dewan Pemuda PAS tahun itu memutuskan untuk mempelopori konsep kepimpinan ulama. Apabila usul itu dibentang dalam muktamar tersebut, para perwakilan menerima sebulat suara dengan laungan takbir yang meremangkan bulu roma (masa tu, orang-orang PAS memang pakar takbir).

    Di peringkat Muktamar PAS Pusat dua minggu kemudian juga berlaku keganjilan. Tidak ada sebarang usul yang diterima dari perwakilan melainkan perwakilan Dewan Pemuda. Allah Maha Besar dan Maha Merencanakan, usul mengenai konsep kepimpinan ulama yang dibentangkan oleh Dewan Pemuda itu akhirnya menjadi ketetapan sebulat suara muktamar.

    Kalau anda berada di dewan persidangan di Dewan Bahasa dan Pustaka di mana PAS bermuktamar pada waktu itu, anda tentu dapat merasakan aura luar biasa apabila gegak gempita laungan takbir mengisi jiwa raga dan emosi anda. Allahu Akbar! Allahu Akbar! AllahuAkbar!

    Dalam muktamar itu jugalah Yang Dipertua Agong PAS pada masa itu, Almarhum 
    Tan Sri Asri Mudaatau Ayah Mat menyerahkan kembali kepada muktamar mandat sebagai Yang Dipertua Agong PAS. Muktamar menerimanya.

    Asri bukan tidak ada penyokong langsung. Apabila muktamar menerima mandat yang diserahkan oleh beliau, beberapa penyokongnya naik angin. "Sapo takbir ambo tapa (tampar)! Sapo takbir ambo tapa!"

    Tapi orang tak peduli, takbir tetap bergema!

    Almarhum 
    Ustaz Haji Yusof Rawa yang sangat dikasihi kemudiannya menjadi pemimpin yang pertama menerajui PAS dalam era kepimpinan ulama.
    http://penarikbeca.blogspot.com/

    Anwar mahu Nizar bertanding Naib Presiden?

    Ada orang memberitahu saya Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Haji Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding sebagai Naib Presiden PAS. Saya dengar dan saya buat tiga kemungkinan:

    1. Berita itu tidak benar, bohong, tipu, auta dan tidak berasas. Tak ada ceritalah kalau tak benar.

    2. Anwar hanya memberi pandangan sebagai kawan. Apa salahnya beri pandangan sebagai kawan. Rasanya tak salah. Siapa-siapa pun boleh beri pandangan.

    3. Anwar memang suruh betul-betul Nizar bertanding. Dia nak sangat Nizar menjadi Naib Presiden. Kalaulah benar demikian, kenapa dan apa perkiraannya Anwar nak sangat Nizar bertanding sebagai Naib Presiden PAS?

    Nizar boleh menang. Nama dia tengah harum dan memuncak. Malah, ada orang yang menyebut-nyebut beliaulah yang sepatutnya menggantikan Anwar memimpin Pakatan Rakyat (PR) jika terjadi apa-apa kepada Anwar apabila beliau dibicarakan Julai nanti.

    Mengambilkira Nizar memang boleh menang dan beliau hampir pasti akan menjadi Naib Presiden PAS jika beliau bertanding berikutan fenomena ala-fenomena Mawi atau apa yang disebut sebagai politik Mawi yang mudah sangat menjadi wabak yang menyerang orang-orang PAS termasuk para perwakilan di dalam muktamarnya, timbul persoalan mengapa Anwar nak sangat Nizar menjadi Naib Presiden PAS?

    Jangan jawab dalam ruangan komen. Kalau buat spekulasi bukan-bukan apa lagi kalau tuduh-tuduh, komen tak akan disiarkan. Tak payah jawab dalam ruangan komen, jawab dalam hati.

    Assalamu'alaikum PAS Perak, kenapa ada orang tak nak dengar cakap? PAS Perak does not have any say? Does anybody there have at least the illusion of controlling?

    (Sedikit nota mengenai muktamar PAS: Kira-kira empat tahun lalu, apabila saya mempertikaikan mengapa ramai yang undi Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden, ramai yang jawab kerana dia boleh cakap tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Arab.

    Saya tidak kisah kalau keresahan terhadap Ustaz Hassan Shukri menjadi alasan - perkara itu tak dapat ditahan-tahan ketika itu. Tapi bila ada yang beri jawapan kerana Nasharudin boleh cakap tiga bahasa, melengung saya. Saya tak berani nak kata apa-apa. Tetapi, ada juga di antara mereka yang saya tanya balik, muktamar sebenarnya nak pilih Timbalan Presiden atau polis pelancong?

    Lebih menarik ialah jawapan seseorang. Dia kata, kalau nak yang banyak bahasa, lagi baik pilih Mahadzir Lokman yang jadi pengacara musabaqah al-Quran tiap-tiap tahun tu - awal-awal dulu dia baca berita TV3. Dia multi-linguist. Lagi banyak bahasa dia boleh cakap!)

    UMNO BN SALAH GUNA WANG KERAJAAN UNTUK KEMPEN DI BUKIT GANTANG


    Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bk. Gantang mendedahkan kepada media bahawa UMNO BN telah menyalahgunakan wang kerajaan dan rakyat dalam kempen pilihanraya Bk. Gantang baru-baru ini. Beliau mendedahkan penyalahgunaan wang kerajaan ini dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat PAS Perak selepas bermesyuarat bersama dengan seluruh adun-adun PR.

    Menurutnya wang kerajaan tersebut digunakan bagi membiayai kos percetakan sebuah majala
    h yang terang-terang digunakan sebagai bahan kempen calon BN di Bukit Gantang. Buku tersebut diterbitkan oleh Pejabat Menteri Besar Perak. Menggunakan Pejabat Menteri Besar sebagai penerbit kepada majalah tersebut juga satu penyalahgunaan pejabat kerajaan.

    Hj Nizar kemudiannya menyerahkan majalah tersebut kepada YB Wong, Pengerusi PAC Dewan Undangan Negeri Perak untuk diambil tindakan terhadap penyalahgunaan harta dan Pejabat Kerajaan untuk tujuan kempen pilihanraya. Satu laporan kepada SPRM juga akan dibuat di pejabat SPRM Ipoh.

    KETUA-KETUA KAMPUNG DAN JKKK BERHIMPUN BERSAMA EXCO KERAJAAN PAKATAN RAKYAT


    Ketua-ketua Kampung dan JKKK seluruh Perak berhimpun di Dewan Majlis Bandaraya Ipoh, Taman Meru pagi tadi. Perhimpunan tersebut diadakan bagi menyatakan sikap dan pendirian Ketua-ketua Kampung ekoran daripada notis penamatan khidmat mereka sebagai Ketua Kampung dan pembubaran JKKK seluruh Perak yang dikeluarkan oleh Pegawai Daerah masing-masing.

    Perhimpunan tersebut turut dihadiri oleh YAB Dato' Seri Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin, YB Hj Zainuddin Yusuf, YB Nga Khor Ming, ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dan pimpinan PR Negeri Perak.

    Dalam perhimpunan tersebut YAB Dato' Seri Hj Nizar telah menyampaikan ucapan dan amanat penting kepada seluruh Ketua Kampung dan JKKK. Dalam ucapannya beliau banya menyetuh kronologi krisis negeri Perak dan perkembangan terkini politik negeri Perak. Beliau juga mengajak seluruh Ketua Kg dan JKKK berdiri teguh di belakang Pakatan Rakyat bagi menuntut supaya DUN dibubarkan.

    Manakala YB Zainuddin dan YB Nga Khor Ming yang turut menyampaikan ucapan menegaskan bahawa notis penamatan khidmat Ketua-ketua Kampung yang dikeluarkan oleh Pegawai Daerah adalah tidak sah kerana bercanggah dengan peraturan-peraturan perlantikan Ketua-ketua kampung yang diguna pakai oleh kerajaan PR. Mereka dipilih melalui pilihanraya dan setelah dipilih dan diberi watikah perlantikan oleh Kerajaan Negeri, mereka akan berkhidmat selama dua tahun. Ketua-ketua Kampung yang telah dipilih dan diberi watikah tidak boleh ditamatkan perkhidmatan mereka semata-mata bertukar kerajaan.

    Turut berucap dalam perhimpunan tersebut ialah Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak, Tn Hj Osman, Pengerusi Perhubungan PKR negeri Perak dan En. Ridzuan Asid, Ketua Kampung Sg. Ati juga turut berucap mewakili seluruh Ketua-ketua Kampung negeri Perak.

    Perhimpunan Ketua-ketua Kampung telah menerima 6 ketetapan dan resolosi untuk dilaksanakan dan bersetuju melantik Jawatankuasa Bertindak bagi melaksnakan 6 resolosi tersebut.Dato' Seri Hj Nizar menyumbang RM1000 kepada Jawatankuasa bertindak, YB Nga juga turut menyumbang sebanyak RM 1000, kemudian turut diikuti oleh adun-adun PR yang lain serta orang ramai. Hampir RM 5 ribu berjaya dipungut ketika itu sebagai sumbangan kepada Jawatankuasa ini menjalankan kempen menentang pemecatan Ketua-ketua Kampung oleh kerajaan haram BN.

    Sidang akhbar turut didakan bagi menjelaskan isu pemecatan Ketua-ketua Kampung


    Ketua-ketua Kampung turut mengambil kesempatan mengambil tandatangan Dato' Seri dan pimpinan PR dalam buku Rampasan Kuasa di Perak yang dijual pada perhimpunan tersebut.


    RESOLOSI PERHIMPUNAN KETUA-KETUA KAMPUNG NEGERI PERAK

    05 JAMADIL AWAL 1430/30 APRIL 2009

    1. BERSETUJU MEMBENTUK JAWATANKUASA BERTINDAK KETUA-KETUA KAMPUNG SELURUH PERAK BAGI MENGGERAKKAN KEMPEN MENENTANG PEMECATAN KETUA KAMPUNG OLEH KERAJAAN BARISAN NASIONAL NEGERI PERAK.


    2. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT AKAN MENYERAHKAN MEMORUNDUM KEPADA KERAJAAN BN MENUNTUT MENGEKALKAN KETUA-KETUA KAMPUNG DAN MENGEKALKAN JKKK SEHINGGA TEMPOH PERKHIDMATAN TAMAT.


    3. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT AKAN MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP PEMECATAN KETUA-KETUA KAMPUNG & PEMBUBARAN JKKK.


    4. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT SELURUH KETUA-KETUA KAMPUNG DAN JKKK MENERUSKAN PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT WALAUPUN TIDAK DIIKTIRAF OLEH KERAJAAN BN.


    5. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT UNTUK MEMBUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KERAJAAN BN YANG MENAMATKAN PERKHIDMATAN KETUA-KETUA KAMPUNG DAN MEMBUBARKAN JKKK SEBELUM TEMPOH PERKHIDAMATAN TAMAT.


    6. BERSEPAKAT MENUNTUT SUPAYA KEMELUT DAN KRISIS POLITIK NEGERI PERAK DISELESAIKAN MELALUI PEMBUBARAN DUN BAGI MEMBOLEHKAN RAKYAT MEMILIH SEMULA KERAJAAN BARU NEGERI PERAK.