"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Hati-hati sabotaj pegawai kerajaan, kata Wan Ji

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin hari ini meminta kerajaan PH agar berhati-hati dengan kemungkinan berlaku sabotaj selepas dia diminta memberi keterangan berhubung ceramahnya di Melaka bulan lalu.

Menjelaskan kenyataan itu Wan Ji berkata pagi tadi dia dihubungi pegawai kanan di bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Katanya, selepas selesai memberikan keterangan, pegawai terbabit memintanya ke mahkamah syariah untuk proses pendakwaan.

Wan Ji yang selama ini bersuara lantang mengkritik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang cenderung kepada pembangkang menambah, pegawai terbabit sebenarnya akan meninggalkan perkhidmatannya di Jaim hujung bulan ini.

Katanya, kontrak pegawai kanan itu - yang didakwanya mempunyai hubungan baik dengan PAS dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) - tidak lagi disambung oleh kerajaan negeri.

“Perkara itu saya maklumkan kepada Pejabat Ketua Menteri Melaka," katanya yang mendakwa mereka terkejut dengan apa yang dilakukan pegawai kanan Jaim berkenaan.

Bagaimanapun menurut Wan Ji pejabat Ketua Menteri Melaka membantu menguruskan hal itu "sehingga selesai".

Terdahulu portal FMT hari ini melaporkan Wan Ji ditahan pagi tadi oleh pihak berkuasa Jaim bagi membantu siasatan kes memberi ceramah tanpa tauliah di Bukit Beruang pada 14 Julai lepas.

Kata Wan Ji ceramahnya sebelum ini sudah mendapat keizinan daripada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Melaka.

Hal sama juga, katanya, diberikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Sofi Wahab.

"Saya berpendapat pihak kerajaan PH di semua negeri dan persekutuan perlu lebih berhati-hati dengan mana-mana pegawai kerajaan yang cuba mensabotaj," katanya.

Sementara itu, malam ini Wan Ji meneruskan kuliahnya di Melaka dan ia turut disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Anggota polis dukung mangsa kemalangan dicakar isteri

TERJEMAHAN SINAR HARIAN

BANGKOK - Seorang anggota polis Thailand terpaksa dimasukkan ke hospital akibat cedera di bahagian muka selepas diserang isterinya.

Difahamkan, isteri anggota polis terbabit naik berang selepas melihat gambar suaminya mendukung seorang mangsa kemalangan yang tular di media sosial.

Dalam gambar tersebut, anggota polis terbabit dilihat membawa keluar seorang wanita dari kawasan semak selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kecelakaan jalan raya.

Apa yang membangkitkan kemarahan si isteri ialah tindakan spontan suaminya mendukung wanita muda tersebut, meskipun terdapat dua lagi lelaki yang boleh membantu mangsa.

Netizen menganggap anggota polis terbabit tidak bernasib baik kerana mendapat isteri yang cemburu buta.

Namun, terdapat juga segelintir pengguna media sosial beranggapan lelaki itu mengambil kesempatan ibarat sambil menyelam sambil minum air. - Agensi

Selangor bergolak - MB berdepan pemimpin PH esok

Malaysiakini

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijadualkan berjumpa dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri ketika kerajaan negeri pimpinannya dilaporkan bergolak gara-gara cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Setiausaha Bersatu Selangor, Hasnizam Adham memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat itu akan diadakan di kediaman menteri besar di Shah Alam petang, esok.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PKR Selangor Hee Loy Sien melabelkan perjumpaan itu sebagai mesyuarat lazim.

"Ini adalah mesyuarat biasa PH Selangor yang diadakan setiap dua bulan," katanya, sambil menambah bahawa lima wakil dari setiap parti komponen akan hadir.

Susulan mesyuarat itu, Amirudin dijadual mengadakan majlis makan malam bersama pemimpin cabang PKR Selangor di sebuah hotel di Shah Alam.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa menteri besar cuba meminda enakmen negeri untuk mengubah perkataan mengenai berhubung penukaran agama bagi anak yang di bawah umur.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".

Versi bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Walau bagaimanapun, ini mengundang bantahan yang kuat dari Adun PH pada mesyuarat 26 Julai lalu.

"Hampir semua (Adun) membantah. Pemimpin PKR dan Amanah juga berbelah-bahagi," kata seorang Adun PKR, yang enggan mendedahkan identitinya.

"Malah ada di kalangan yang rapat dengan menteri besar juga tidak bersetuju," katanya, sambil menambah bahawa ahli exco negeri juga berbelah-bahagi.

Difahamkan rang undang-undang itu dicadangkan oleh Majlis Islam Selangor (Mais) dan menerima sokongan dari istana negeri.

Percubaan untuk meminda rang undang-undang itu juga dilaporkan menyaksikan Amirudin kini sukar bekerjasama dengan Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim.

Ng dilaporkan memendekan sidang DUN Selangor bulan lalu bagi menghalang rang undang-undang itu daripada dibentangkan.

Walau bagaimanapun, speaker itu menegaskan bahawa dia bertindak menurut Peraturan Mesyuarat dan semua agenda telah diselesaikan.

MB keluar kumpulan WhatsApp

Sumber PKR mendakwa bahawa pada malam sidang DUN ditangguhkan, menteri besar bertindak keluar daripada kumpulan WhatsApp untuk wakil rakyat tempatan.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku, tetapi ada khabar angin mengatakan dia (Amirudin) mungkin ada masalah dengan speaker," katanya.

Sumber-sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa pada perjumpaan seterusnya membabitkan Amirudin dengan Adun Islam PKR dan seorang Adun Bersatu, cadangan menggantikan speaker ditimbulkan.

Bagaimanapun, wakil rakyat PKR Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) dan Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang) menafikan perkara itu.

Terdapat juga spekulasi di kalangan PH yang mengatakan bahawa empat ahli exco bukan Islam Selangor akan dipanggil ke istana esok.

Walau bagaimanapun ini dinafikan Teng Chang Kim dari DAP, yang mengatakan dia tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu.

Sementara itu, spekulasi juga bertiup kencang mengenai plot yang dikatakan mahu melucutkan Amirudin, yang merupakan sekutu timbalan presiden PKR Azmin Ali, sebagai menteri besar.

Menurut sumber, ini berkaitan dengan ucapannya selepas video seks yang mengaitkan Azmin.

Namun, sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak tahu-menahu mengenainya dan difahamkan dari mereka yang rapat dengan Anwar bahawa Amirudin secara peribadi telah memohon maaf kepada presiden PKR itu.

Walau bagaimanapun, Anwar dilaporkan menuntut permohonan maaf secara terbuka, yang dipersetujui oleh Amirudin tapi belum berbuat demikian.

Malaysiakini telah menghubungi menteri besar untuk mendapatkan maklum balasnya mengenai pindaan itu serta plot yang didakwa dirancang terhadapnya. Portal ini juga telah menghubungi istana Selangor untuk mendapatkan maklum balas.

Jingga 13 kecewa ada individu mahu Tun jadi munafik

MOHD ALI HASHIM
Mutakhir ini terdapat suara-suara sumbang yang mendesak agar Tun Mahathir terus kekal berkuasa sehingga sepenggal sebagai Perdana Menteri (PM).

Tindakan sebegini benar-benar memperlihatkan kejelekan politik apabila mencadangkan agar Tun menjadi munafik, iaitu melanggar konsensus Pakatan Harapan (PH) yang telah pun dimeterai secara bersama oleh Tun sendiri dalam satu perjanjian Muafakat PH pada 6 Januari 2018 yang lalu di Shah Alam.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa.

Jelasnya lagi, Jingga 13 optimis Tun merupakan seorang negarawan, orang Islam dan bangsa Melayu yang beradab mulia serta mempunyai integriti dan kredibiliti.

“Yang pasti beliau akan mengotakan janji tersebut, yakni untuk menyerahkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Harus diingat bahawa peribahasa Melayu, kerbau dipegang tali hidungnya, manakala manusia pula dipegang pada janjinya yang menuntut agar manusia berpegang pada janji, bukannya bersifat munafik iaitu apabila berjanji diingkari.

“Malah bercakap bohong merupakan perbuatan yang ditegah sama sekali dalam Islam,” tegas beliau.

Sehingga ini pelbagai pihak khususnya melibatkan komponen PH mengeluarkan pelbagai pandangan pro dan kontra mengenai isu tersebut.

Ia bukan saja memperlihatkan kecamukan dan kecelaruan dikalangan pimpinan komponen PH, sebaliknya memberi persepsi negatif kepada rakyat bahawa PH tidak mengotakan apa yang telah dicanang-canangkan sebelum ini.

Sehubungan itu PH harus beprinsip dan berpendirian tegas tanpa tunduk kepada mana-mana desakan setelah adanya perjanjian yang telah disepakati pada Januari 2018 yang lalu.