FAIZ FADZIL
Antara filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang saya cukup minat adalah filem Tiga Abdul. Filem ini penuh dengan adegan lucu dan banyak pengajaran kepada kita umat Melayu dalam menjaga keharmonian keluarga dan kasih sayang adik-beradik.
Abdul Wahab dan Abdul Wahib, dua orang abang yang tamak menafikan harta Abdul Wahub, tetapi ayah mereka bijak menyimpan rizab harta di luar negeri untuk Abdul Wahub.
Setelah 57 tahun berlalu, filem Tiga Abdul ini mengingatkan saya kepada politik negara hari ini. Plot Tiga Abdul ini seolah-olah muncul kembali dengan adanya tiga parti di pihak kerajaan hari ini iaitu Umno, Bersatu dan Pas.
Bersatu dan Umno adalah dua pemain layar utama yang merampas kerajaan tanpa pilihan raya yang mempermainkan undi rakyat dalam PRU ke-14 lalu kerana tamakkan kuasa, manakala Pas ibarat pak turut yang gilakan kuasa.
Watak ini sedikit berbeza dengan filem Tiga Abdul kerana Abdul Wahub adalah insan ‘innocent’ dan ‘decent’ berbeza dengan Pas. Namun, plot utama filem ini ada persamaan dari sudut perebutan harta pusaka. Hari ini, ketiga-tiga parti berebut harta rakyat. Rasuah dan penyelewengan terus berlaku sejak zaman pemerintahan Umno sehinggalah Bersatu.
Pemimpin hidup mewah, rakyat semakin menderita. Tetapi sebahagian rakyat masih ada yang belum sedar, leka dengan pemberian RM1,000 wang prihatin dan melihat kekayaan pemimpin seperti menonton filem sahaja.
Jika rakyat sedar adegan dua darjat dalam politik negara hari ini bukan ‘fiction’, sudah pasti mereka akan marah. Kenapa tidak, “aku dapat seribu ringgit, mereka dapat seribu juta”. Walhal gaji mereka sudah berpuluh ribu ringgit.
Berbalik kepada filem Tiga Abdul, yang membuatkan saya tertarik adalah wang royalti Kelantan yang ditarik balik dan dijadikan wang ihsan. Zaman PH, rakyat Kelantan dijaga baik dengan pemberian wang royalti sebanyak RM400 juta.
Jika wang itu dibeli Mercedes sekalipun, ia tetap okey, sekurang-kurangnya untuk pemandangan rakyat Kelantan. Rakyat pula dihidangkan ‘teh tarik’, itupun sudah cukup membuatkan sesetengah rakyat Kelantan bersyukur kerana menurut pak menteri, ianya lebih baik daripada mandi di sungai. Dalil ini diterima tanpa was-was.
Apabila Umno dan Bersatu menjadi kerajaan sekarang, ditarik balik wang royalti ini dan diganti dengan wang ihsan. Pas sugul menerima wasiat ini kerana Pas takut hilang kuasa di Pusat.
Jika di zaman Dato’ Asri Muda dulu, Pas menarik diri daripada kerajaan Pusat disebabkan kerana perintah darurat di Kelantan. Inilah semangat jantan Pas ketika itu yang menjaga rakyat Kelantan.
Tetapi kini Pas sudah tidak jantan lagi. Yang boleh selamatkan hak rakyat Kelantan ini adalah rakyat sendiri. Sepertimana filem Tiga Abdul, bapa mereka (Ismet Ulam Raja) yang bijak menyimpan harta luar negeri untuk Abdul Wahub.
Namun, dalam politik negara hari ini, watak Ismet itu tidak wujud, tetapi kebijaksanaan Ismet itu yang perlu diikuti rakyat Kelantan. Petroleum itu hak bumi Kelantan. Jadi, orang Kelantan berhak belaka menuntutnya.
Janganlah berdiam diri lagi. Cukuplah kalian ditindas. Jangan sampai ‘mu kena jual’ sepertimana adegan di plot-plot terakhir filem Tiga Abdul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan