"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Kepala hampir putus diserang perompak (Gambar)


Remaja ini masih apat menahan kesakitan meskipun kepalanya hampir putus akibat diserang dengan pisau oleh perompak. Dia juga masih boleh berjalan untuk mendapatkan bantuan.

Pablo Patrik terpaksa berjalan dalam keadaan tegak sambil memegang kepalanya. Dia ditemui oleh pasukan perubatan ketika duduk di tepi jalan di Ponta da Vigia, Penha di Brazil.

Pisau telah digunakan oleh perompak untuk memotong separuh leher mangsa yang berusia 18 tahun itu, sehingga mendedahkan tisu dan otot.

Meskipun hampir putus kepala, remaja itu berada dalam keadaan tenang tatkala menceritakan mengenai kejadian ngeri tersebut kepada petugas perubatan.

Menurut Pablo, dia diserang sekitar pukul 8 malam oleh tiga lelaki yang turut merompak telefon bimbitnya. Dia cuba melawan namun mereka lebih kuat daripadanya dan menggunakan pisau untuk cuba memotong kepalanya.

Namun Pablo terselamat apabila dia berpura-pura meninggal dunia dan mereka kemudian mencampakkan remaja lelaki tersebut ke dalam kawasan hutan berhampiran.

Keesokan paginya, dia bangun dan berjalan di tepi jalan sebelum ditemui oleh seorang anggota bomba yang kemudiannya menghubungi talian kecemasan 911.

Dia dibawa ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya. Setakat ini tiada laporan mengenai keadaannya didedahkan. Polis juga sedang mengesan penjenayah terbabit
-kualalumpurpost

Pemindahan wang dari akaun peribadi Najib kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS SPRM sudah kertas siasatan

SPRM SUDAH ADA KERTAS SIASATAN PEMINDAHAN WANG DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB

Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Datuk Takiyuddin itu. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri.

Setelah saya menamakan tokoh tersebut, ia akan menjadi ujian besar kepada UMNO dan PAS seperti berikut:

1. Pimpinan UMNO akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM;

2. Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB. Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui).

Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setelah ditangguhkan 3 kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambahbaik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Dato’ Seri Najib dan PAS (seperti yang disahkan oleh Dato’ Seri S Subramaniam, presiden MIC bahawa keputusan itu telah dipersetujui lebih awal di Majlis Tertinggi Barisan Nasional) menunjukkan Dato’ Seri Najib tidak berniat pun untuk menambahbaik mahkamah syariah.

Isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB. Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Dato’ Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

Oleh itu, selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Dato’ Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan PAS.

Setelah saya bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan sama seperti semua rang undang-undang yang lain, saya yakin segala yang berlaku di Parlimen, bila diambil kira pula soal dana 1MDB yang mengalir ke tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS, mewajarkan saya memutuskan bahawa PAS akan terus “dipegang” Dato’ Seri Najib selagi isu RUU355 ini dibenarkan berpanjangan.

Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab saya berdepan terus dengan PAS dan UMNO sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Umno, PAS anggap rakyat mudah diperbodohkan

Raja Bahrin Shah
Tontonan sidang Parlimen pada 6 April lepas memperlihatkan bagaimana Parlimen yang mulia dipergunakan untuk sandiwara kononya pembentangan, perbahasan dan pengundian Rang Undang Undang 355 berkaitan dengan Islam yang mulia ini akan dilaksanakan.

Apa yang berlaku amat memalukan dan menghina agama Islam yang suci apabila untuk kali ke-3 perbahasan dan pengundian RUU 355 ditangguhkan. Yang paling anehnya apabiia untuk kali ke-3 ia ditangguhkan, seorang ahli Parlimen PAS pun tidak berdiri untuk membantah, tetapi ahli-ahli Pakatan Harapan yang membantah.

Kenapa membisu di Parlimen tetapi kalau di masjid dan surau kampung suara mereka begitu lantang melawan kerajaan kononnya?

Apa yang ditonton pada 6 April lepas adalah larutan sandiwara Umno bersama PAS berdasarkan lima sebab berikut.

Pertama, 2 kali RUU 355 telah dibentang pada hari terakhir sesi Parlimen iaitu pada awal dan akhir 2016 tanpa dibahas atau diundi. Selepas sesi tersebut gempak gempita PAS berceramah di kampung serta negeri bagaimana berjayanya mereka memujuk Umno ke arah melaksanakan undang-undang Syariah walaupun (bekas Menteri Besar Kelantan dan Musyidul Am PAS), Almarhum Nik Aziz Nik Mat telah berpesan jangan jatuh ke dalam lubang yang sama 2 kali.

Kedua, untuk kali ke-3 pada 6 April lepas, PAS diperdayakan lagi selepas RUU 355 dibaca oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disokong dengan ucapan setiausaha agungnya, dengan tiba-tiba sidang Parlimen ditangguhkan tanpa bahas atau undi.

Walaupun Almarhum Nik Aziz telah berpesan jangan jatuh dalam lubang yang sama 2 kali, PAS berjaya dengan cemerlang terjun ke dalam lubang yang sama untuk kali ke-3. Apa yang lebih menghairan dan mengejutkan lagi adalah apabila speaker menangguhkan sesi pada petang 6 April. Di Parlimen, PAS tidak pun membantah. Tugas ini dilakukan oleh ahli-ahli Pakatan Harapan sementara ahli-ahli Parlimen PAS nampak telah siap bersedia untuk drama sandiwara untuk kali ke-3 kerana sudah maklum skrip wayang yang ditulis oleh Umno.

Hairannya juga ahli-ahli Parlimen PAS yang mengeluarkan air mata semasa Presiden PAS membacakan teks RUU 355 tidak pula berilham mencurahkan air mata kesedihan atas penangguhan dan kecurangan kali ke-3 Umno. Kalau PAS bersungguh-sungguh hendak memperkasakan undang-undang Syariah kenapa mereka tidak sedih dan marah insiden ini?

Ketiga, jawapannya terkandung dalam usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan PAS Terengganu, Dr Syed Azman pada sidang DUN Mac 2017 baru-baru ini. Usul beliau meminta “Dewan Undangan Terengganu meneliti serta membahas kembali Enakman Jenayah Syariah ( Hudud dan Qisas) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Terengganu pada 7 Julai 2002. Ia telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu pada 2 September 2002 dan diwartakan pada 25 September 2002. Ringkasnya, kenapa selepas 15 tahun PAS tidak meminta Umno Terengganu untuk bekerjasama memperkasakan Mahkamah Syariah serta undang undang yang telah diluluskan seperti di peringkat Parlimen?

Bukankah PAS mempunyai 14 kerusi dan Umno 17 dari 32 kerusi DUN Terengganu? Bukankah “penghalang” utama DAP, AMANAH dan MCA tidak mempunyai sebarang kerusi di Terengganu? Apa masalahnya?

Keempat, lagipun ini negeri presiden PAS. Lagipun juga, apabila undi tidak percaya oleh orang Umno sendiri terhadap Menteri Besar Terengganu, PAS berpendirian untuk menyokong Menteri Besar Umno untuk kekal. Hubungan PAS dan Umno amat baik di negeri Presiden PAS. Jadi apa masalahnya?

Apabila usul ditolak speaker dan Umno, anehnya lagi ahli-ahli DUN PAS tidak menyokong usul Dr Syed Azman. Kenapakah tiada usaha selama 15 tahun untuk Enakman Jenayah Syariah yang PAS sendiri bawa dan luluskan pada 2002 untuk diperkemas dan diperkasakan?

Kelima, adakah Enakman Syariah Terengganu yang berusia 15 tahun hanya untuk saham politik PAS negeri semata-mata? Kalau tidak kenapa tiada kemajuan dan usaha usul untuk dihidupkan semula tidak disokong? Malahan Dr Syed Azman dimarahi oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu dan rakan rakannya.

Soalannya sekarang adakah ini cara PAS cuba memperalatkan RUU 355 untuk saham politik nasional pula? Adakah tujuan RUU 355 untuk menjadi penyelamat PAS dan penyambung hayat Umno walaupun Almarhum Nik Aziz menegur usaha menyelamatkan Umno yang sedang lemas dan juga usaha Kerajaan Perpaduan?

Kerana itulah seminar baru-baru ini menyatakan pendekatan Almarhum Harun Din, Mursyidul Am selama 2 tahun, lebih dekat dengan perjuangan PAS sebenar.

Ini dengan sekali gus cuba menidakkan sumbangan dan ketokohan Almarhum Nik Aziz yang menjadi Mursyidul Am selama lebih 20 tahun. Kerana itu jugalah Seminar Almarhum Nik Aziz pada 9 April ini cuba dihalang dengan laporan polis oleh pihak tertentu.

Dengan meminjam sedikit kata-kata ‘berhikmah’ speaker Parlimen Malaysia baru-baru ini, Umno dan PAS cuba membuat penyokong mereka dan rakyat Malaysia ‘bloody fool’ – rakyat yang mereka anggap mudah diperbodohkan. Ini adalah satu penghinaan yang amat dahsyat terhadap rakyat Malaysia.

Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Muktamar akan tentukan Pas bersama PH atau BN, dakwa Husam di Hardtalk

BORHAN AHMAD
Program Hardtalk malam tadi menghuraikan banyak perkara.
Program Hardtalk malam tadi menghuraikan banyak perkara.
Pakatan Harapan masih mempunyai harapan untuk bekerjasama dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika perwakilan parti itu membuat pilihan dan memberi isyarat yang betul dalam Muktamar Pas hujung bulan ini.

Datuk Husam Musa berkata, muktamar itu nanti akan menentukan Pas akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti.

"Kita masih ada harapan kalau Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memimpin Pas tetapi kalau Ustaz Hadi (Awang), gone case (tiada harapan)," katanya dalam rancangan "Hard Talk mengganti Debat" bersama Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi.

Bagi Husam, dalam pilihan raya umum nanti hanya ada dua pilihan sahaja antara Pas bersama dengan Pakatan Harapan atau Pas bersama BN.

"Bagi saya tidak ada pilihan raya Pas menjadi kumpulan ketiga dan bertanding tiga penjuru," kata beliau dalam rancangan yang disiarkan secara langsung melalui Youtube dan Facebook itu.

Dalam program yang diadakan selepas debat antara Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dibatalkan itu, tiga penal penyoal telah bertanyakan soalan kepada kedua-dua mereka di samping penonton dalam Dewan Pusat Kebudayaan Selangor di Shah Alam itu.

Tiga penal itu adalah Dr Mazlee Malek, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dan Dr Wong Chin Huat manakala moderatornya adalah Ariffin Hassan.

Kedua-dua penal telah ditanya pelbagai soalan yang sensitif dari kerjasama dengan Pas, kenapa mahu jatuhkan Datuk Seri Najib hinggalah cadangan pilihan raya kerajaan tempatan.
Hardtalk antara Tun Mahathir dan Husam anjuran Persatuan Penyayang Selangor.
Hardtalk antara Tun Mahathir dan Husam anjuran Persatuan Penyayang Selangor.
Tun Mahathir menegaskan sekali lagi walaupun Najib ditukar beliau tidak akan kembali semula kepada Umno kerana bagi beliau Umno sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi,

Tentang pilihan raya kerajaan tempatan, Tun Mahathir berkata, ia agak sukar dibuat kerana polarisasi kaum di antara kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

Jika diadakan pilihan raya kerajaan tempatan, satu kaum akan menguasai majlis perbandaran manakala majlis daerah di luar bandar pula dikuasai oleh kaum lain.

"Ini tidak baik kepada negara apabila sesuatu dewan dikuasai oleh satu kaum sahaja. Sebab itu kita buat Dewan Undangan Negeri yang akan gabungkan semua pihak dalam satu negeri dalam satu dewan mesyuarat," katanya.

Berpuluh-puluh ribu penonton mengikuti secara live rancangan itu manakala video rakamannya sudah ditontong hampir 100,000 selepas beberapa jam disiarkan dalam media sosial.

Ia dianggap temubual pertama secara live melalui sosial media yang paling berjaya dan mendapat sambutan hangat.

Suami paksa isteri lakukan seks dengan rakan sendiri

Alor Setar – Seorang wanita berusia 63 tahun mendakwa dipaksa melacurkan diri sebanyak dua kali oleh suaminya yang berusia 69 tahun dengan bayaran RM20.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Supritendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, wanita itu dipaksa untuk melakukan hubungan seks dengan rakan suaminya, berumur 61, pada 21 Mac dan 2 April di Padang Sanai.

“Wanita tersebut memberitahu suaminya telah menerima RM20 daripada lelaki itu.

“Suami dan rakannya telah ditangkap dan ditahan reman selama seminggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya sambil menambah bahawa wanita tersebut telah membuat laporan polis pada Khamis.

Kes itu disiasat sebagai rogol dan mengeksploitasi individu bagi tujuan pelacuran. 
-mstar

Kanak-kanak perempuan ini dibesarkan oleh monyet


Seorang kanak-kanak ditemui sedang berkeliaran dalam keadaan telanjang bersama sekawan monyet di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Katarniaghat di India pada Januari lalu, lapor Associated Press.

Gadis tersebut ditemui oleh kumpulan pembalak, sebelum diselamatkan oleh seorang polis, Suresh Yadav yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

Ketika melihat gadis itu, Suresh cuba untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak itu, namun kumpulan monyet tersebut bertindak agresif dengan mengusirnya.

Menurut laporan media antarabangsa, kanak-kanak perempuan itu tidak boleh berkomunikasi dan berkelakuan seperti seekor monyet.

Pegawai polis Dinesh Tripathi berkata, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan meskipun pihak polis berdepan dengan kesukaran untuk membawa dia keluar daripada kawanan binatang itu.

“Gadis itu dalam keadaan telanjang dan sangat selesa (tinggal) bersama monyet. Ketika mereka cuba menyelamatkan kanak-kanak itu, mereka telah dikejar oleh binatang tersebut.

“Apabila gadis itu dipanggil, sekumpulan monyet itu menyerang tetapi dia (pegawai polis) berjaya menyelamatkannya. Dia memecut laju menggunakan kereta polis ketika haiwan tersebut mengejar,” katanya kepada AP.

Kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital dan dilaporkan stabil selepas dua bulan kemudian dan kini masih di bawah penjagaan pihak kebajikan.

“Apabila dia dimasukkan di sini dia dalam keadaan ketakutan dan sentiasa menutup dirinya seperti haiwan, seperti seekor monyet.

“Ada kecederaan di beberapa bahagian badannya. Kami merawat dan menjaganya. Dia mengalami kekurangan zat makanan dan mungkin makan (seperti) apa yang dilakukan binatang. Dia juga cepat marah dan sukar untuk dikawal,” kata Ketua Pegawai Perubatan Dr Dinesh Singh dalam satu kenyataan, seperti dilapor Times of India.

Menurut Dr Singh, pihaknya kini berusaha untuk merawat kanak-kanak itu dan mengajarnya memahami bahasa manusia.

“Dia tidak boleh makan makanan dalam pinggan, sebaliknya dia akan makan makanan yang diletakkan atas katil,” katanya.

Kanak-kanak itu diberi gelaran ‘Gadis Mowgli’ kerana kehidupannya sama seperti kisah dongeng The Jungle Book, yang ditulis oleh Rudyard Kipling.

Pihak berkuasa berusaha mengenalpasti identiti dan asal usul kanak-kanak itu yang berkemungkinan telah ditinggal oleh ibu bapanya.
-kualalumpurpost

Kota Bharu di bawah PAS, tikus dan kucing hidup ‘harmoni’, sindir Mat Sabu

Aedi Asri
PETALING JAYA: Betapa berjayanya pemerintahan PAS di Kelantan sehingga kucing dan tikus pun hidup dengan “harmoni”, kata Mohamad Sabu dalam ulasan sinisnya terhadap mereka mendakwa mendokong Islam tetapi gagal mengamalkan nilai seperti kebersihan yang dititik beratkan agama.

Bekas timbalan presiden PAS itu mempersoalkan tahap kebersihan di negeri “serambi Mekah” itu, dan berseloroh saiz tikus di bandar Kota Bharu sudah hampir sama dengan kucing.

Keadaan itu turut terpancar di negara penduduk Islam lain, kata presiden Amanah itu, menunjukkan betapa umat Islam zaman ini tidak lagi menonjolkan nilai Islam yang menganggap kebersihan sebahagian daripada iman.

“Jika ke Kaherah, anda boleh hidu bau hancing di jalan sekitar Universiti Al-Azhar. Jadi apa gunanya menghasilkan ribuan agamawan setiap tahun?” soalnya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

“Kebersihan dan alam sekitar amat diutamakan dalam Islam, tetapi tidak diamalkan,” kata Presiden Amanah itu dalam wawancara bersama FMT.

Mohamad yang mesra dengan panggilan “Mat Sabu” berpendapat umat Islam zaman ini di peringkat paling bawah peradaban dunia.

Beliau memberi contoh kota suci penganut Katolik, Vatican City, yang menurutnya sangat terjaga kebersihannya.

“Saya masuk ke gereja dan tempat kuliah, pergi ke bandarnya. Mana bandar umat Islam yang dapat atasinya dari segi kebersihan?” soalnya, sambil menamakan bandar universiti Iran, Mashhad, sebagai antara bandar Islam yang bersih dan menandingi Vatican City.

Umat Islam terperosok

Mat Sabu berpandangan umat Islam kini pada tahap terburuk dalam sejarah, ketinggalan serba-serbi dengan masyarakat bukan Islam.

“Apabila disebut negara Islam, kita terbayangkan pemimpin yang kaya raya, diskriminasi terhadap wanita dan ramai pelarian. Apakah ini Islam?

“Masyarakat kita pula lebih mengutamakan label – Islam atau tidak, bukannya soal rasuah atau salah guna kuasa. Bagi mereka, tidak mengapa pemimpinnya rasuah asalkan Islam, berbanding pemimpin bersih yang bukan Islam,” katanya.
Beliau membandingkan sikap itu dengan masyarakat Korea Selatan, yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi sehingga menyebabkan presidennya Park Gyeun Hye berundur kerana dakwaan salah guna kuasa.

“Dari segi ini, orang Korea Selatan lebih berakhlak Islam berbanding umat Islam di Malaysia,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama beliau meluahkan kekecewaannya.

Pada program Himpunan 365#BebasAnwar Februari tahun lalu, beliau mengenepikan pendekatan jenaka yang sinonim dengan setiap ceramahnya, dengan “mengamuk” melemparkan mikrofon.

Ketika itu, beliau meluahkan kekecewaan kerana merasakan rakyat Malaysia takut bersuara dalam isu yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Namun bukan semuanya negatif, kata Mat Sabu.

Beliau yakin kini giliran umat Islam untuk bangkit kembali menerajui dunia.

“Barat sudah mencapai kemuncak, dan kini bergelut dengan masalah dan isu. Umat Islam dalam keadaan paling bawah, dan tidak boleh merosot lagi,” katanya.

Reformasi gerakan Islam

Untuk itu, katanya, gerakan dan parti Islam seluruh dunia perlu membuat reformasi menyeluruh terhadap pendekatan dan perjuangan mereka.

“Gerakan dan parti Islam telah gagal mengutarakan Islam sebenar, lebih menumpukan soal hukum dan bukan tadbir urus yang baik,” katanya yang mengkritik golongan ulama yang tidak menjadikan isu rasuah dan salah guna kuasa pemimpin sebagai perjuangan utama.

Katanya, antara kegagalan utama gerakan Islam adalah tidak dapat berhadapan dengan wacana demokrasi dan keadilan terutama selepas mendapat kuasa.

Beliau memberi contoh kerajaan pasca-revolusi di Mesir yang dipimpin tokoh Ikhwanul Muslimin Mohamed Morsi yang akhirnya jatuh.

Mat Sabu berkata, reformasi gerakan Islam dapat dilihat di Tunisia, apabila Ennahda yang sealiran dengan Ikhwanul Muslimin, kini tidak lagi memakai label “Islamis”, sebaliknya “Demokrat Muslim”.

Gerakan Islam di Indonesia seperti Nahdatul Ulama pula dilihat sebagai model kepada pembawaan Islam yang sesuai dengan rantau Nusantara, dan giat melawan pengaruh ekstremisme di sana, kata Mat Sabu.

Menurutnya, kegagalan gerakan Islam sebelum ini akan menjadi pengajaran buat Amanah dalam menjadi parti berasaskan Islam yang mampu menjawab persoalan dan mendukung nilai semasa.

Antara nilai tersebut adalah soal penyelewengan dan rasuah dan prinsip keadilan kepada semua pihak.

“Amanah tidak akan mengulangi kesilapan rakan-rakan yang lalu. Kenapa kita tinggalkan perjuangan ini kepada mereka yang digelar ‘kiri’ dan ‘liberal’?

“Bukan Islam ini tidak baik, tetapi ajarannya tidak diamalkan orang Islam sendiri. Tugas kita adalah mengembalikan nilai-nilai ini dalam masyarakat Islam,” katanya.
-fmt
Menurut Exco perbandingan bilangan kes antara 2015 dan 2016 menunjukkan peningkatan sebanyak 112.37%.

Suri rumah disamun, dikelar dan ditikam jiran

Bernama 
SANDAKAN: Seorang suri rumah ditikam sebanyak 11 kali serta dikelar jirannya ketika menyamun di Kampung Sungai Kayu, Jalan Airport semalam.Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Azhar Hamin berkata mangsa berusia 53 tahun tinggal seorang diri di rumah dan selepas disamun pada jam 6.17 pagi, mangsa menghubungi adiknya yang tinggal di kampung yang sama.

Menurut Azhar, suspek berusia lingkungan 40-an dikenali sebagai Eb merupakan warga Filipina.

“Suspek tinggal di kampung itu sejak 2008 dan bekerja mengambil upah memotong rumput dan membaiki rumah.

“Barang milik manga yang dilaporkan hilang ialah 2 utas rantai emas,” kata beliau.

Azhar berkata operasi mengesan suspek giat dilakukan.

Beliau berkata mangsa ditikam dan dikelar di leher, dada, perut, kaki, tangan dan tengkuk.

“Keadaan mangsa stabil dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Duchess of Kent,” katanya.

Pindahan wang 1MDB ke akaun pemimpin Pas dalam siasatan SPRM

HUSEIN MAHAT
Pindahan wang dari akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke akaun tokoh yang rapat dengan pemimpin Pas sudah pun dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ianya bersumberkan dana 1MDB, kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Sehubungan itu, beliau tidak perlu menyerahkan bukti kepada SPRM dengan kadar segera kerana kertas siasatan berhubung perkara tersebut telah pun dibuka.

"Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang.

"Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas itu," jelas beliau.

Bagaimanapun Rafizi memberi jaminan akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu lagi dan laporan SPRM juga akan dibuat bagi suruhanjaya terbabit merujuk kembali kertas siasatan sedia ada.

Naib Presiden PKR itu juga yakin, pemimpin Umno akan bergelut dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul SPRM.

Beliau turut menasihati para pemimpin Pas di semua peringkat supaya menyemak sama ada pernah menerima bantuan kewangan, derma, infak atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang bakal dinamakan itu kerana kemungkinan besar ia bersumberkan wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB.
"Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin Pas perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui)," tegas beliau.

Beliau mengakui tidak berniat menimbulkan isu ini tetapi episod pembentangan usul Rang Undang-undang Akta 355 di Parlimen semalam mengesahkan bahawa isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Datuk Seri Najib Razak.

"Setelah ditangguhkan tiga kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh Pas melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambah baik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Datuk Seri Najib dan Pas menunjukkan Datuk Seri Najib tidak berniat pun untuk menambah baik mahkamah syariah," katanya.

Beberapa pemimpin parti komponen BN semalam termasuk Presiden MIC Dato’ Seri S Subramaniam mengakui penangguhan perbahasan mengenai usul RUU 355 telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN dengan ahli parlimen Marang hanya diberi ruang membentangkan usul itu di Dewan Rakyat.

Rafizi menambah, isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan Pas kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB.

"Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin Pas sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Datuk Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

"Oleh itu selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Datuk Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan Pas," ujarnya.

Menurut Rafizi, setelah bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan seperti semua rang undang-undang yang lain, beliau kini yakin Pas akan terus 'dipegang' perdana menteri selagi isu RUU355 ini berpanjangan.

"Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggung jawab saya berdepan terus dengan Pas dan Umno sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan," ujarnya.

Dipaksa berpakaian jururawat sebelum diliwat

Melaka: Pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini mendakwa diliwat ketika mendiami sebuah rumah kebajikan yang menempatkan penghuni di kalangan budak lelaki di Durian Daun di sini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial (Perbak), Muhammad Khairul Hafiz berkata, dia juga dipaksa berpakaian umpama jururawat sebelum didera secara seksual.

Beliau berkata, kejadian melibatkan petugas rumah kebajikan itu berlaku antara 1999 dan 2004.

“Saya tidak malu untuk menyatakan mengenai kejadian diliwat itu, malah tiga yang lain turut menerima nasib sama,” katanya dalam temubual di sini, Khamis.q

Muhammad Khairul mendakwa, seorang mangsa yang dikenali sebagai Anbarasu kini berubah menjadi pondan dan menetap di Ipoh.

Katanya, berdasarkan pengalaman pahit yang dilaluinya, beliau mahu memperjuangkan hak bekas penghuni dan mereka yang menetap di rumah kebajikan itu.

“Penghuni yang menjadi mangsa terpaksa mendiamkan diri selepas aduan kepada pengurusan rumah kebajikan itu tidak dapat mengambil sebarang tindakan susulan kekurangan bukti, kecuali beberap kes yang mendapat perhatian,” katanya.

Menurutnya, selepas lima tahun mengumpul bukti beliau dapat merujuk kejadian itu kepada seseorang yang berkuasa di Putrajaya yang mahu mendengar masalahnya.

Kata Muhammad Khairul, beliau akan membuat laporan polis di Putrajaya pada Jumaat.

Katanya, pengarah Jabatan Kebajikan Melaka, Burhanuddin Bachik telah menunjukkan keprihatinannya terhadap apa yang dilaluinya.

Pada 2012, Muhammad Khairul telah membuat laporan polis mendakwa beberapa pekerja di rumah kebajikan itu terlibat meliwat dan melakukan penderaan seksual terhadap 150 penghuni sejak 2004.

The Star pada 14 Mac melaporkan, dua penghuni rumah kebajikan itu yang berusia 13 dan 16 tahun dimasukkan ke Hospital Melaka selepas dilaporkan diserang warden premis itu.
-mstar

'Saya ada bukti orang rapat dengan PAS dapat duit 1MDB'

'Rafizi Ramli hari ini membuat dakwaan mengejutkan apabila mendakwa mempunyai bukti terdapat individu yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB.

Malah, dakwa naib presiden PKR itu, wang itu mengalir daripada akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam sidang media di parlimen hari ini, anggota parlimen Pandan itu mencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab perkara itu.

Rafizi berjanji akan membuat pendedahan lanjut berkaitan perkara itu selepas ini.

“Saya hendak tanya Hadi sama ada beliau yakin tiada... wang daripada akaun Najib mengalir kepada individu yang rapat dengan PAS,” katanya.

Najib telah menafikan menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata wang itu adalah sumbangan daripada seorang putera Arab Saudi, justeru membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku.

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa sebanyak AS$681 juta telah mengalir kepada "Malaysian Official 1 (MO1)".

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi menegaskan perdana menteri bukan sebahagian daripada siasatan itu.

Najib mengaitkan dakwaan terhadapnya itu bertujuan menjatuhkannya daripada tampuk kuasa.

Sementara itu, dakwaan hampir sama telah dibuat terhadap laman pembocor maklumat Sarawak Report dan bekas naib presiden PAS sendiri Datuk Husam Musa.


Husam mendakwa RM90 juta mendakwa berlaku pemindahan wang melalui akaun di Affin Bank. PAS sebelum ini berkata akan menyaman Sarawak Report dan Husam.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika dihubungi Malaysiakini menafikan perkara itu.
-malaysiakini

Pelajar tahun 6 cuba terjun bangunan

BERNAMA
Sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Rompin semalam gempar apabila seorang murid lelaki tahun enam dikatakan cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian pada pukul 8 pagi sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pentadbiran sekolah.

"Sebaik tiba, murid berkenaan didapati berada di hujung tingkat tiga bangunan sekolah itu dalam keadaan mendiamkan diri serta enggan beredar ke kawasan selamat walaupun telah dipujuk guru-guru dan rakan-rakannya.
"Mangsa dipercayai mengalami tekanan emosi sehingga bertindak sedemikian, " katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Bagaimanapun, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, berjaya memujuk dan membawanya turun selepas sejam kemudian.

Azli berkata, murid berkenaan kemudian telah diserahkan kepada keluarga dan sekolah bagi tujuan kaunseling.

Ekoran sandiwara RUU 355, Rafizi mahu dedah dana 1MDB oleh Najib kepada Pas

MALAYSIA DATELINE
Rafizi bercakap dalam sidang media Pakatan Harapan di bangunan Parlimen.
Rafizi bercakap dalam sidang media Pakatan Harapan di bangunan Parlimen.
Penangguhan perbahasan usul Rang Undang-undang Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini menimbulkan kembali isu penyaluran dana kepada para pemimpin Pas oleh perdana menteri, namun kali ini membabitkan wang 1MDB.

Yakin bahawa isu RUU 355 akan dijadikan modal politik oleh Umno dan Pas bagi meraih sokongan rakyat, ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli tidak mahu menunggu lama untuk mendedahkan skandal tersebut memandangkan pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Bercakap pada sidang media ahli parlimen Pakatan Harapan di bangunan Parlimen sebentar tadi, Rafizi berkata harapan pemimpin Umno dan Pas supaya Pakatan Harapan berpecah ekoran sandiwara RUU 355 adalah meleset.

"Kami telah bersetuju untuk menangani isu ini (RUU 355) secara berhemah sebagai satu pakatan," tegasnya.

Menurut Rafizi lagi, oleh kerana pilihan raya umum mungkin diadakan sebelum sidang parlimen akan datang, beliau tidak akan menunggu untuk mendedahkan dokumen berkaitan penyaluran dana 1MDB kepada para pemimpin Pas.

Walaupun pada awalnya Pakatan Harapan mahu mendedahkan isu ini secara berhemah, namun Rafizi berkata insiden hari ini mendorong pendedahan itu dibuat segera.

Beliau juga menunggu reaksi daripada para pemimpin Pas dalam tempoh seminggu dua ini sebelum melakukan pendedahan.

Parlimen 'ribut' sebelum Hadi bentang RUU 355

ARIF ATAN
Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini.
Tempoh kira-kira 30 minit sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) membentangkan Rang Undang-undang (RUU) 355 menyaksikan sidang Dewan Rakyat dilanda 'ribut' apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, berlaku perdebatan antara Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) berhubung isu penyerahan notis dan saman pemula kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia oleh anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abd Rahman semalam.

Bagaimananapun, beberapa ahli parlimen BN kemudiannya bangkit menjerit termasuk mengeluarkan maki hamun ketika Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) turut berdiri mempersoalkan RUU Hadi.

"Bisinglah. Duduklah. Ini provokasi hanya mahu kelirukan rakyat," jerit Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) manakala Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) turut beberapa kali bangun memekik antaranya, "Makin tua, makin gila."

Kit Siang antara lain mempersoal sejauh mana pembentangan RUU 355 hari ini turut dipersetujui parti komponen BN lain.

"Ini permintaan kerajaan. Presiden MCA, Gerakan adakah setuju?" soalnya lagi diikuti sorakan bantahan berterusan daripada ahli parlimen kerajaan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya mengingatkan ahli parlimen duduk supaya Abdul Hadi dapat membentangkan RUU 355 yang tertangguh sejak tahun lalu.

"Ahli-ahli Berhomrat yang lain, politik itu bawa di luar sana. Jangan buat (gaduh) di sini," sebelum membenarkan Abdul Hadi meneruskan pembentangan pada pukul 11.38 pagi tadi.

RUU Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dengan meningkatkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
--------

Bukan Islam ganggu hak orang Islam, dakwa Presiden Pas

ARIF ATAN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaitkan masyarakat Islam di Malaysia seolah-olah dinafikan hak untuk mengamalkan pegangan agamanya ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, cadangan pindaan Akta 355 hanya untuk meningkatkan hukuman maksimum pada yang hampir atau sepadan dengan hukuman syarak yang memang sudah termaktub dalam sumber-sumber hukum di bawah panduan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias para ulamak.

"Kita sedia maklum, undang-undang sivil yang diwarisi daripada Suruhanjaya Reid warisan British dan terpakai sehingga hari ini menjadi undang-undang rasmi negara di mana Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi.

"Namun, kita ingin mengingatkan semua ahli dewan yang mulia ini juga, di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang sama juga, Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

"Dalam hal ini, tidakkah Ahli-ahli yang Berhormat terfikir, bagaimana rakyat beragama Islam di dalam negara sebenarnya seakan-akan dilarang tidak dapat mengamalkan agamanya sendiri dengan sepenuhnya dengan pembelaan yang dijanjikan oleh Islam, dalam keadaan mereka yang bukan Islam telah menganggu hak orang Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuklah syariat hukuman yang terkandung di dalamnya?" soalnya.

Berucap selama 20 minit sebelum sidang Dewan Rakyat berehat pada pukul 1 petang hari ini, Ahli Parlimen Marang berkenaan turut membidas pihak yang menganggap pindaan Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita ingin bertanya kepada semua Ahli Berhormat, bagaimana mungkin cadangan pindaan batas hukuman ini bertentangan dengan Perlembagaan negara? Tiada peruntukan baru dikuatkuasa yang memungkinkan peruntukan tambahan diwujudkan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Jika usul pindaan ini diterima dan diluluskan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mempunyai waktu dan kesempatan seluas-luasnya untuk membahaskan pemakaian batas hukum baru yang diluluskan itu untuk kesalahan jenayah syariah.

"Di sinilah sepatutnya ahli-ahli Dun nanti menggunakan kebijaksanaan masing-masing membahaskan isi dan bentuk kesalahan syariah untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah," ujarnya.

Abdul Hadi dalam pembentangannya buat kali ketiga untuk meminda Seksyen 2 dalam Akta 355 turut memaklumkan pindaan peruntukan tersebut tidak berkaitan dengan hudud.

"Janganlah kedengaran lagi cadangan pindaan Akta 355 merupakan pintu belakang ke arah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia, menyamai hukum hudud," katanya lagi.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun, hukuman denda maksimum sehingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Pada masa ini Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum sehingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan.

Kerajaan sebelum ini berhasrat mengambil alih pembentangan rang undang-undang itu, namun tidak meneruskan hasrat berkenaan atas faktor semangat pemuafakatan Barisan Nasional (BN).

Suara aneh dari kubur gemparkan penduduk


TUMPAT - Bunyi aneh suara nyaring seperti seorang lelaki bertempik yang datangnya dari kawasan tanah perkuburan gemparkan penduduk kampung Cherang Melintang.

Suara yang menyeramkan itu didengari seorang penduduk dua minggu lalu ketika berada di rumahnya bersebelahan tanah Perkuburan Islam Mukim Jal Besar.

Sejak itu, cerita misteri suara dari kubur mula tersebar dari mulut ke mulut sehingga ada penduduk mula rasa takut dan ada juga yang menganggap ianya cerita tahyul.

Ia juga menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial apabila status misteri suara aneh dari kubur itu dimuatnaik di media sosial semalam.

Mahadi Mat Salleh, 45, berkata tiga kali dia mendengar suara lelaki bertempik yang menyeramkan sehingga bulu romanya meremang.

"Suara itu jelas kedengaran dan amat nyaring bunyinya sehingga mengejutkan saya, tiga kali saya dengar ia bertempik.

"Ketika itu saya berada di belakang rumah kira-kira jam 10 malam kerana mahu mengambil tukul," katanya.
-sinarharian

Polis heret lelaki ke balai selepas ganggu temuramah dengan kata kesat

FMT Reporters
Mana tak kena kalau ganggu polis dengan kata kesat ketika sesi temuramah dengan media. Kan dah kena heret ke balai! Itulah, jangan cari pasal dengan pihak berkuasa.

Dalam kejadian di New South Wales, Australia, seorang lelaki memegang botol bir dirakam menggangu polis yang sedang ditemuramah dengan mengeluarkan perkataan “bullshit”.

Rakaman video saluran berita 9 News merakam insiden di mana polis itu tiba-tiba berhenti bercakap kepada media, kemudian menarik lelaki yang membuat kacau itu.

Polis itu mengarahkan dia menuang semua sisa bir dan mengheretnya ke balai polis Albury yang terletak tidak jauh dari lokasi temuramah.

Menurut laporan Daily Mail, lelaki itu disaman dengan notis jenayah atas kesalahan menggunakan kata kesat ke atas pegawai kerajaan dan didenda AUD500.

Kedah negeri pertama yang bakal menubuh kerajaan dibawah Pakatan Harapan selepas PRU14?

Lebih mudah Pakatan Harapan ambil alih Kedah

AHMAD LUTFI OTHMAN
Sepatutnya Datuk Mahfuz Omar mengetuai jentera kempen Pas Kedah untuk merebut kembali negeri Jelapang Padi itu daripada Umno selepas memimpin negeri itu selama satu penggal, 2008 hingga 2013.

Tetapi, begitulah lumrahnya politik, keadaan sudah banyak berubah. Baik dalam Pas, mahupun Umno.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu, yang menggantikan Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak, bekas Menteri Besar Kedah, sebagai Pesuruhjaya Pas negeri, bukan sahaja tidak memegang jawatan penting parti lagi, malah hanya berkedudukan sebagai ahli biasa, dan sering dilihat menimbulkan kontroversi. Akibatnya, beliau "dihalau" keluar dari Pas, tetapi enggan akur. Aneh juga, Mahfuz tidak pula dipecat!

Ketika rakan-rakan rapatnya memilih Amanah sebagai wadah baru, namun Mahfuz kekal bersama Pas, tetapi bersuara seperti pengkritik tegar.

"Saya tak peduli apa orang nak kata, yang penting saya masih beri harapan agar Pas kembali kepada pakatan oposisi. Saya terlalu sayang kepada Pas jika terpinggir daripada grand coalition ini. Harap Pas dapat posisikan balik bersama rakan-rakan pembangkang," kata Mafuz dalam satu pertemuan khas di sebuah restoran Pakistan, di ibu kota.

Susah-payah sejak 1990

"Saya bimbang, jika situasi sekarang berterusan sampai PRU14, Kelantan yang kita bina susah-payah sejak 1990, bersama bekas pimpinan yang kita sayang, Pak Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, pun boleh tumbang," ujarnya serius, sambil mengharapkan ahli Pas dapat memahami apa yang beliau cuba jelaskan selama ini.

"Saya tak peduli sangat respons pemimpin. Ramai ahli akar umbi yang saya temui dalam kumpulan kecil ataupun melalui SMS dan Whatsapp memberikan sambutan positif. Mereka terkilan dan rasa rugi besar jika Pas berada di luar gabungan pembangkang," tambah Mahfuz lagi.

Menjelang PRU14, saya menganggap Kedah negeri istimewa selain Johor dan Perak yang bakal menyumbang saham terbesar untuk mengambil alih Putrajaya. Sejarah kebangkitan pembangkang di Kedah, mungkin terlewat daripada Kelantan dan Terengganu, tetapi prestasi Pas dalam pilihan raya 1969 agak mengejutkan. Ramai tokoh terkenal Umno kalah pada tahun itu, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri yang juga Setiausaha Agung Umno waktu itu, Tan Sri Senu Abdul Rahman.

Walaupun penguasaan kerusi naik-turun, namun pengaruh Pas kekal sekitar 50 peratus di kalangan masyarakat Melayu. Di zaman reformasi, hampir semua kawasan Parlimen dan Dun yang mempunyai majoriti besar pengundi Melayu, kecuali Kubang Pasu dan Langkawi, dimenangi oleh calon Pas. BN Kedah diselamatkan oleh pengundi bukan Melayu.

Justeru, apabila mereka menyokong oposisi pada 2008, Kedah mudah tumbang dan Pas memimpin kerajaan negeri.

Anugerah terbesar

Biarpun Kedah sering diingati kerana beberapa tragedi berdarah, misalnya Peristiwa Memali, November 1985 dan kes Lubuk Merbau, Januari 1985, namun ia tidak menghalang budaya berpolitik penduduknya yang lebih terbuka dan senang menerima kepelbagaian. Dan anugerah terbesar yang dilahirkannya adalah sosok pemimpin hebat, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden Pas (1989-2002) dan Ketua Pembangkang di Parlimen (1999-2002).

Beliau dapat menangani cabaran getir politik negeri Kedah dengan sabar dan bijaksana.

"Dalam keras, terselit kelembutannya. Dalam tegas, tidak terputus toleransinya," kata seorang penganalisis politik mengenai personaliti Ustaz Fadzil. "Ucapannya dalam setiap kali muktamar Pas, terutama di penghujungnya, ditunggu-tunggu perwakilan.
Arahannya kejap tapi masih ada nada seloka dan jenaka. Sungguh, saya kerap bayangkan, alangkah indahnya jika ditakdirkan Ustaz Fadzil sempat menjadi MB Kedah."

Datuk Dr Ismail SallehSementara itu, Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, optimis dengan masa depan pembangkang: "Kedah antara negeri paling awal menubuhkan Pakatan Harapan. Ia boleh berlaku kerana hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama di antara ketiga-tiga ketua parti, Dr Azman Ismail (PKR), Tan Kok Yew (DAP) dan saya sendiri mewakili Amanah."

Untuk memastikan kerjasama ini berjalan lancar, seorang setiausaha kepada Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Kedah telah dilantik, iaitu Dr Abdul Rahman Ahmad.

Agihan kerusi

"Sebahagian besar pembahagian kerusi telah selesai selepas beberapa siri mesyuarat bersama. Di antara formulanya, kerusi yang telah dimenangi akan kekal milik parti inkumben.

Setiap Parlimen sebolehnya diwakili semua parti komponen. Kalau berlaku pertembungan faktor merit dan winability untuk menang diambil kira," jelas Dr Ismail.

"Fasa seterusnya, Pakatan Harapan akan berunding kerusi dengan Bersatu," tambahnya.

Bekas anggota Exco kerajaan negeri itu menjelaskan, sebaik Bersatu diterima anggota Pakatan Harapan, Dr Azman, Kok Yew dan beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tentu saja pengaruh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz banyak membantu terutama untuk mendekati pengundi Melayu di Kedah. Dr Mahathir adalah bekas ahli Parlimen Kubang Pasu sejak 1974-2004. Manakala Mukhriz merupakan calon BN dalam PRU13 yang "diumpan" sebagai menteri besar jika Pas dapat dikalahkan. Dan misi itu berjaya.

"Dengan gelombang perubahan orang Melayu di Kedah terutama selepas penubuhan Bersatu, faktor sokongan ahli Umno kepada Dr Mahathir dan Mukhriz telah menghakis sokongan kepada Umno-BN. Survey tidak rasmi terkini menunjukkan, sokongan Melayu kepada Umno kurang 35%, dan sokongan pengundi Melayu kepada Pas kurang 18%," jelas Dr Ismail, yang pernah dilantik Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah.

Beliau percaya, khususnya selepas Bersatu menjadi anggota rasmi Pakatan Harapan dan penggunaan satu logo serta satu manifesto dalam PRU14, Kedah bukan saja mampu diambil alih tetapi berupaya menang, insya-Allah dengan majoriti dua pertiga.

Ranking keahlian ketiga

 Aris AwangDitanya sambutan masyarakat di Kedah khusus terhadap Amanah, beliau berkata: "Sangat positif. Ia diterjemahkan melalui jumlah keahlian dan penubuhan cawangan-cawangan baru. Dari segi keahlian, ranking Kedah di tangga ketiga daripada semua negeri."

Senario politik di Kedah dihurai lebih lanjut oleh Setiausaha Amanah Negeri, Aris Awang. "Suasana politik sekarang semakin panas, bermula dengan gelombang Gerakan Harapan Baru, GHB, penubuhan Amanah yang dianggap pengkhianat Islam oleh sebahagian pemimpin Pas, penyingkiran Mukhriz sebagai MB, naiknya (Datuk Seri) Ahmad Bashah (Md Hanipah) sebagai pengganti."

"Ia ditambah isu-isu rakyat seperti potongan berat timbangan padi hingga 22% menyeksa para petani sehingga terpaksa melakukan kerja sampingan lain, harga ikan kembung yang melambung tinggi, harga getah yang tidak stabil ditambah beban GST dan kos keperluan dapur yang gila-gila, terkesan pula dengan nilai mata wang Malaysia berbanding Thailand kepada peniaga yang mendapat barangan dari seberang sempadan.

"Lebih rancak dengan pelancaran Deklarasi Rakyat yang diketuai Dr Mahathir, Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya muncul parti Bersatu. Semua itu menyemarakkan bahang politik Kedah di musim kemarau ini. Jika diadakan PRU14 sekarang, ia mampu membakar hangus Umno-BN," jelas Aris penuh yakin.

Dialog dua hala

Diminta pendapat mengenai cabaran Pas yang diketahui mempunyai pengaruh kuat di Kedah, Aris berkata, Amanah menggunakan pendekatan dialog dua hala secara berfakta di setiap Pusat Daerah Mengundi dan pendekatan melalui media sosial.

"Di samping pendekatan hujah agama oleh tok-tok guru serta ustaz dalam dan luar Amanah, juga dari luar negara mengenai fiqh siyasah dalam pendekatan waqie Malaysia. Apabila ia diketengahkan kepada ahli Pas yang sebelumnya keras dan tegar membuta-tuli, tiba-tiba dapat berubah setelah mereka faham bahawa diluar dari Pas rupanya masih banyak pandangan yang juga berpandu Al-Quran dan Hadis, namun berbeza pendekatan dengan doktrin ulamak Pas dewasa ini yang keras dan kasar," tambah Aris, yang pernah dilantik Setiausaha Perhubungan Pas Kedah.

Cabaran utama buat Amanah di Kedah, jelasnya, ialah gejala takfiri yang diasak masuk ke dalam minda ahli Pas sehingga ada sesetengah tempat berlaku kes tidak bertegur sapa, menyerang di tengah malam ke rumah penyokong Amanah oleh pemuda Pas hanya disebabkan ahli Amanah memasang bendera di tempat yang kononnya kawasan jagaan Pas.

"Ada setengah kawasan di awal penubuhan telah "memfatwakan" sesiapa yang menyertai Amanah, halal darah dan bughah. Tapi ia semakin reda apabila kita mengambil pendekatan berdialog dalam kumpulan kecil di seluruh kawasan-kawasan panas seluruh Kedah, melibatkan semua segmen parti," ujar Aris.

Sentimen agama

Dr Ismail turut berkongsi isu sama, yang merupakan antara cabaran besar Amanah di Kedah. "Sentimen agama dan kefahaman terhadap jemaah Islam yang salah yang dimainkan pihak tertentu, yang mengaitkan terbatalnya Islam apabila mereka menjadi ahli Amanah atau gelaran seperti pengkhianat dan bughah kepad mereka yang bersama Amanah, adalah cabaran buat kami," ujarnya.

"Ini berlaku kerana suasana masyarakat melayu yang masih ramai menjadikan pondok-pondok pengajian agama yang banyak di Kedah sebagai tempat rujukan," jelasnya lagi. "Ramai ahli Pas yang berhasrat sertai Amanah menangguhkannya kerana bimbang dengan struktur masyarakat kampung seperti pakatan kenduri dan khairat kematian menjadikan mereka terikat dan takut dipulau masyarakat setempat," tambah Dr Ismail.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mengakui keupayaan jentera Amanah dan masalah yang dihadapi Pas: "Ramai penggerak pilihan raya Pas dulu sudah bersama Amanah. Dan program Pas kini lebih terarah kepada hal-hal dalaman, yang mana kehadiran hasil kerahan. Ramainya yang hadir tidak boleh dijadikan ukuran. Lihat saja sambutan Himpunan Hijau di stradium Darulaman sebelum PRU13 dulu, saya jadi pengarahnya, melaut kehadirannya, tapi bila pilihan raya kalah juga."

Beliau yang dilihat rapat dengan Mahathir dan Mukhriz menambah, faktor negawaran ulung itu mempunyai impak besar kepada politik Kedah. "Kalau tahun 2008, Umno tumbang di Kedah, antara lain disebabkan kritikan tajam Dr Mahathir kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, cuba bayangkan kesannya selepas beliau tubuh parti baru dan secara terbuka minta rakyat tolak Umno-BN," kata Mahfuz.

"Saya difahamkan, setiap kawasan Parlimen, hampir 4,000 ahli baru Bersatu, 90 peratus adalah bekas ahli Umno, dan jika dikira setiap ahli boleh bawa tiga orang lagi, maknanya, setiap kawasan adalebih 10,000 penyokong baru Pakatan Harapan," ujar beliau, yang sering turun padang berceramah di Kedah.

Pusingan-U yang dinanti

Walau bagaimanapun, beliau masih mengharapkan Pas dapat membuat pusingan-U, dengan menyertai gabungan mega pembangkang. "U-turn Pas itu akan dihargai orang ramai dan ahli akar umbi. Ia bukan tanda Pas flip-flop. Ia juga bukti Pas berjiwa besar tapi mesti disegerakan," ujarnya.

Beliau turut menyentuh sasaran yang dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, iaitu menang 40 kerusi Parlimen dalam PRU14 dan bersedia membentuk kerajaan, sama ada dengan BN ataupun Pakatan Harapan.

"Ahli Pas kena faham, jika Pas menang 40 kerusi, mustahil ia akan bergabung dengan Pakatan Harapan, kerana selama ini Pas sentiasa tekankan bahawa tidak boleh sama sekali mengadakan hubungan dengan Amanah dan DAP. Jadi, hanya ada satu pilihan, iaitu Pas bentuk kerajaan dengan BN, dan apakah ini diterima ahli-ahli Pas?" soal Mahfuz. "Sudah tentu tidak," jawabnya sendiri.

Beliau turut mengulangi kenyataannya agar Pas dapat membuat keputusan segera, sama ada mengadakan persefahaman politik bersama Pakatan atau BN, dan tidak bertanding secara solo. "Tentulah saya tidak bersetuju Pas bersama BN, tetapi itulah dua pilihan yang ada, untuk Pas kekal relevan," tambahnya.

Selesa tiga penjuru

Pahrolrazi ZawawiNamun begitu, ditanya pandangan peribadinya, Aris berkata, "sebenarnya saya lebih selesa jika berlaku pertandingan tiga penjuru Pakatan Harapan lawan BN lawan Pas, berbanding dua penjuru Pakatan lawan BN (Umno + Pas) di Kedah ini."

"Walaupun kita tetap akan pujuk Pas atas perasaan kasih dan sayang kepada ahli Pas untuk bersama Pakatan menentang Umno-BN, selagi Pakatan peringkat nasional tidak umumkan secara rasmi tiada lagi pujukan terhadap Pas, walaupun pemimpin Pas sekarang jelas kelihatan sudah terlalu kemaruk ingin bersama Umno-BN," tegasnya.

Di atas kertas, Pakatan Harapan Kedah jelas mempunyai potensi dan kelebihan, untuk mengambil alih negeri itu. Tiada keraguan tentang calon Menteri Besar. Selain Mukhriz yang berpengalaman, dua bekas Exco Kanan juga dikira layak, Datuk Phahrolrazi Zawawi, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah dan Datuk Amiruddin Hamzah, masih Adun Pas, yang juga dilihat "harumanis". Dr Ismail sendiri tidak boleh diketepikan.

Amiruddin pernah dilantik Pesuruhjaya Pas negeri, menggantikan Mahfuz selepas muktamar bersejarah di Kuala Selangor, 2015, tetapi menolaknya. Sejak itu beliau dilihat tidak lagi dapat bersama kepemimpinan tertinggi parti. Manakala Phahrolrazi merupakan antara saf terpenting yang mengemudi Amanah Kedah.

Dalam satu sesi wawncara khas dengan wartawan Malaysiadateline, Phahrolrazi berkata Amanah negeri bersedia jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Jika berlaku demikian, beliau yakin majoriti ahli dan penyokong Pas akan beralih kepada Pakatan Harapan.

Tolak sikap mesra-Umno

"Di Kedah ini, Pas negeri terpaksa patuh kepada Pas Pusat tetapi mereka tidak dapat mengawal sikap dan pendirian ahli dan penyokong. Jika Pas terus-menerus bersikap mesra Umno, tidak mustahil sebahagian besar ahli Pas negeri itu meninggalkan parti," tambahnya.

"Kalau benar berlaku apa-apa persefahaman antara Pas Pusat dengan Umno saya rasa Pas Kedah akhirnya akan membuat pendirian yang jelas. Saya mempunyai sikap yang positif, ia akan memberi manfaat kepada Pakatan Harapan.

"Pas Kedah ini agak keras dengan Umno, ini warisan yang sedia ada. Walaupun Umno Kedah buat kenyataan mahu kerjasama dengan Pas tapi kenyataan itu nampak sebelah pihak. Pas Kedah tidak pernah menyambut seperti mana pimpinan Pas Pusat yang membuat kenyataan lunak terhadap Umno," jelas Phahrolrazi lagi.

"Kalau Pas Pusat melangkah terus lagi, saya fikir sebahagian besar pendukung Pas Kedah, sama ada bersama dengan Pakatan Harapan kalau tidak beralih parti pun dari segi sokongan, saya yakin mereka memihak kepada Pakatan Harapan," katanya.

Difahamkan Pas Kedah sebelum ini pernah memohon kuasa autonomi daripada Pas Pusat untuk berunding dengan parti-parti pembangkang di negeri itu, tetapi tidak dilayan. Ini menunjukkan jika diberikan kebebasan, mungkin sebahagian besar pemimpin Pas Kedah masih berminat untuk membentuk grand coalition bersama pembangkang yang lain.


Mencari pemimpin 'kelolo'

Asri BaharomSementara itu, menjelaskan lagi cabaran parti baru itu di peringkat akar umbi, Setiausaha Amanah Kubang Pasu, Asri Baharom berpendapat: "Amanah tiada tokoh yang nampak menyerlah dan benar-benar bersifat Kedahan, ada perangai 'kelolo', berwatak agamawan sikit dan paling penting rapat dengan istana dan surau."

Beliau mencadangkan, untuk penambahbaikan Amanah pada masa depan, ia perlu melahirkan pemimpin yang bersikap 'hemoi' dan sanggup 'berlemoih' dengan isu-isu rakyat.

Ditanya maksud 'hemoi', Asri berkata, secara mudah ia merujuk kepada pemimpin yang selesa untuk turun padang, selami jerit-payah rakyat, juarai isu-isu bersama dan inovatif merakyatkan parti.

Beliau mengakui sambutan masyarakat terutama golongan berpendidikan terhadap Amanah agak memberangsangkan. Malah, tambahnya, ramai ahli Pas membuat pengakuan untuk menyokong Amanah tetapi tidak dapat menyertainya disebabkan mahu menjaga hubungan dalam masyarakat, seperti badan-badan kebajikan dan pakatan kenduri-kendara.

"Pas kehilangan dua segmen penting yang dimilikinya sebelum ini, iaitu para aktivis dan mereka yang membiayai kegiatan parti. Kalangan masyarakat masjid pun sudah mula menerima Amanah dan mengiktirafnya sebagai sebuah parti Islam," jelas Asri menceritakan senario akar umbi.

Fenomena lautan merah

Menggambarkan lagi situasi di peringkat bawah, seorang anak kelahiran Jitra yang sudah lama bermaustautin di Shah Alam tetapi kerap berulang-alik kampung berkata: "Baru-baru ini, balik Changlun, terkejut saya, para penyokong kuat Umno pakat-pakat masuk Bersatu. Saya jangka Kedah dan Perak, selain Pulau Pinang, jatuh kepada Pakatan Harapan."

"Sekarang, pi mana-mana pun orang sebut gelombang merah. Faktor Mahathir dan Mukhriz cukup hebat, terutama orang muda. Saya berjumpa orang-orang tua di Kubang Pasu, depa kata jika Tun M bertanding, aku nak nak hasut semua ahli Umno sokong Bersatu," tambahnya, sambil berkata, ramai penyokong Umno nampak berdiam diri tetapi sebenarnya menyokong Dr Mahathir.

Beliau juga menjelaskan sikap ahli dan penyokong Pas yang keliru dan bingung dengan sikap Presidennya. "Yang setia membuta-tuli memang tak boleh buat apa dah, maki-hamun jadi ulam setiap kali buka mulut tapi ramai lagi yang bersedia mendengar penjelasan Amanah walaupun kita tak tahu mereka boleh terima atau tidak," ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang peminat politik, kelahiran Pendang, lulusan Akademi Islam Universiti Malaya, yang mahu dikenali sebagai Abdul Mun'eim turut merasai sambutan hebat Pakatan Harapan di Kedah.

"Aura Mukhriz nampak terkesan kepada golongan wanita, belia dan warga emas. Amanah juga dapat tarik perhatian kelas menengah. Saya rasa Bersatu perlu menjadi tunjang. Amanah mungkin lebih sukar tembusi tembok Pas berbanding Bersatu," ulasnya.

Imej parti Islam diperkukuh

Beliau mengharapkan jatidiri Amanah sebagai sebuah parti Islam perlu diperkukuhkan. "Peluang Amanah terbuka luas ketika rakyat melihat Pas semakin suram aktivitinya dan hanya berlegar di kalangan ahli sahaja. Guna pendekatan santai dan dialog kelompok untuk menjawab banyak persoalan berbangkit," tambahnya.

Beliau yang pernah berpengalaman sebagai wartawan politik mengandaikan, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, mungkin ahli Pas lebih mudah memberi undi kepada Bersatu. "Ada benteng tebal yang menghalang orang Pas undi Amanah walaupun mereka berfikiran pembangkang. Minta tertutup Pas mesti diberi pencerahan oleh Amanah dengan segera."

"Dan saya kira tokoh seperti Faiz Fadzil Noor dan Dr Siti Mariah Mahmud wajar lebih kerap turun Kedah. Amanah perlukan tenaga baru yang nampak lebih segar dan tidak terpalit dengan liabiliti lama," katanya.

Rakannya, pengundi Pokok Sena pula menambah, sambil tersenyum: "Kita juga tidak sabar menunggu Mahfuz umumkan bersama Amanah, lagi cepat lagi balik, Pas sudah tidak boleh dibaiki lagi."

Aktivis Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang juga anak Kedah, Kassim Muhammad juga berpendapat Kedah adalah asas kekuatan bagi Dr Mahathir dan parti Bersatu.

"Rakyat Kedah menolak rasuah dan kleptokrasi yang menjadi isu besar sekarang. Mana-mana parti yang dilihat dingin dengan isu itu, termasuk Pas, akan ditolak rakyat. Masyarakat yang semakin berilmu dan terdedah dengan maklumat akan menolak politik sentimen Melayu-Islam ini."

"Saya kira Pakatan Harapan mempunyai potensi yang lebih cerah di Kedah. Konsep politik nasionalis-agama juga ditolak kerana ia sesuatu yang tidak real. Kecuali penipuan besar-besaran berlaku, insya-Allah Kedah akan dapat kerajaan baru," hurainya lagi.