"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Cai' Amanah boleh bawa musibah

Anne Muhammad
Walaupun dibenarkan mengikut undang-undang, penggunaan cai dalam Pemilihan Amanah 2019 dilihat boleh membawa musibah jangka panjang buat parti yang masih muda itu, kata salah seorang pemimpinnya.

Naib Pengerusi Amanah Perak Muhaimin Sulam berkata hal itu diburukkan lagi dengan psikologi orang Melayu yang suka memendam dendam sehingga menimbulkan permusuhan jangka masa panjang.

“(Kesannya) psikologi orang Melayu, memendam dendam, kita tak boleh kata meraikan demokrasi, tapi masyarakat kita tak macam barat yang agak terbuka berbanding orang kita.

“Orang kita kalau gaduh sampai satu generasi baru habis permusuhan antara mereka, jadi saya rasa tak berapa manis amalan (cai) dari segi amalan orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Muhaimin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan parti itu yang memperkenalkan sistem cai dalam pemilihan mereka kali ini.

Pada 31 Julai lalu, Setiausaha Pemuda Amanah Fadzil Ahmad dilaporkan berkata terdapat perbezaan yang jelas antaranya 'cai' semasa di zaman PAS dahulu dibuat secara sembunyi-sembunyi dan tertutup.

Muhaimin bagaimanapun berkata walaupun sistem 'cai' telah dilaksanakan dalam pelbagai organisasi parti namun katanya Amanah perlu memberi ruang seluasnya kepada ahli mereka untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak.

“Cai seperti mengikat, memaksa dan ada unsur arahan yg hilang kebijaksaan pemilih untuk memilih pemimpin yang seharusnya jadi pemimpin,” katanya.

Amanah dijangka mengadakan pemilihan parti tahun ini, yang dimulakan dengan Mesyuarat Agung Tahunan peringkat kawasan bermula 1 Julai lalu sehingga 31 Ogos depan.

Buat masa ini, sayap pemuda Amanah dilihat berpecah kepada tiga kem iaitu Pemuda Bangkit, Pemuda Bekerja dan Pemuda Wibawa yang mempunyai pemimpinnya sendiri.

Untuk rekod, pasukan Pemuda Bekerja diketuai oleh Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi menerajui kumpulan Pemuda Bangkit.

Manakala Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim pula mengetuai kem Pemuda Wibawa.

Ditanya adakah sistem cai merupakan langkah kebelakang memandangkan Amanah yang lahir daripada perpecahan PAS yang mengamalkan konsep berkenaan, Muhaimin berkata perkara itu perlu dikawal supaya “pisang tidak berbuah dua kali”.

Pensyarah universiti itu juga berkata Amanah masih terlalu muda dan perlu mengukuhkan partinya dahulu.

Beliau juga mencadangkan supaya pemimpin Amanah duduk sama-sama berbincang mengenai isu ini dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya rasa begitulah (duduk berbincang). saya rasa pemimpin jangan diatur oleh pengikut, pemimpin mesti mengatur pengikut tapi saya takut cai ini bukan kehendak pimpinan tapi segelintir orang-orang yang nak caturkan pemimpin, seharusnya pemimpin caturkan masyarakat, orang bawah,” katanya.

Malaysiakini

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah jawab Haji Hadi

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkharnain Abidin menjawab istilah 'peluru getah' yang digunakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menggambarkan kritikan pemimpin Amanah terhadap PAS.

Jelas Zolkharnain, pemimpin Amanah sekadar menggunakan 'peluru getah' dalam politik kerana masih lagi menganggap seteru politik termasuk pemimpin PAS sebagai rakyat Malaysia dan saudara yang haram ditumpahkan darahnya.

"Dalam politik, kami guna peluru getah. Tak ada sesiapa yang cedera parah apatah lagi terkorban.

"Bagi kami, semua rakyat Malaysia, haram darah mereka ditumpahkan.

"[...] Kami gunakan peluru getah terhadap kamu kerana kamu adalah saudara kami," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Abdul Hadi sebelum ini berkata PAS tidak terkesan dengan serangan pemimpin parti Amanah dan menyifatkan kritikan mereka sebagai "peluru getah".

"Sekarang ini peluru Amanah itu peluru getah saja, dia tembak PAS tak jadi apa (tiada kesan), jadi saya buat diam saja lah.

"Peluru tendang balik, kena dia (Amanah) balik," kata Abdul Hadi dalam sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, Zolkharnain yang juga merupakan timbalan Yang diPertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) berkata pemimpin Amanah juga tidak mengkafirkan pihak yang berbeza pendirian politik.

"Tak ada sesiapa yang jadi kafir atau kafir harbi yang halal darah kerana berbeza pendirian politik dengan kami.

"Kami berbeza dengan kamu yang menganggap orang yang keluar daripada parti kamu seperti keluar agama. Bahkan ada dalam kalangan kamu yang pernah menghalalkan darah kami.

"Betul, kami hanya guna peluru getah dalam politik. Kami bukan seperti kamu yang sanggup guna peluru hidup kerana kamu menganggap halal darah orang yang tidak bersama kamu," katanya.

Syukur saya dah keluar PAS, kata Mariah

B Nantha Kumar

"Syukur saya keluar daripada PAS."

Demikian kata Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud yang meragui sokongan parti lamanya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Bagi, saya PAS makin tidak konsisten. Sokongan mereka kepada Tun M tidak ikhlas," katanya menjawab soalan Malaysiakini.

Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang memberitahu bahawa PAS sebenarnya cuba memecahbelahkan Pakatan Harapan, khususnya PKR.

"Saya bukan di mana-mana pihak. Tapi, ia bukan satu rahsia politik di mana Azmin (Ali) tidak sokong Datuk Seri Anwar (Ibrahim). Namun, gabungan PH memberi sokongan kepadanya (Anwar).

"Ini yang cuba dipecahbelahkan oleh PAS yang menyatakan sokongan kepada Tun M sedangkan PAS sendiri pernah melabel Mahathir sebagai nyanyuk ketika beliau diangkat sebagai calon PM sebelum PRU14," katanya.

"Jadi, kita boleh nampak pendirian PAS yang tidak konsisten dalam soal politik. Dulu mereka tolak Najib. Lepas Najib kalah, sokong Najib pula. Begitu juga dengan Umno. Dulu tolak sekarang sokong. Inilah keadaan PAS. Syukur, saya tidak lagi dalam PAS," katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya dan Umno akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.

Azmin senada dengan kenyataan itu.

Beliau berkata Dr Mahathir perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Kenapa PAS lebih sedia terima Dr M sebagai PM berbanding Anwar

Minderjeet Kaur -

PETALING JAYA:
Anggapan bahawa Anwar Ibrahim lebih mudah dipengaruhi oleh pihak di luar PKR adalah salah satu sebab kenapa PAS lebih cenderung menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri hingga pilihan raya umum akan datang, kata seorang pemimpin kanan parti Islam itu.

“Kami bimbang Anwar akan dipengaruhi oleh DAP dan parti lain,” kata Che Abdullah Mat Nawi, ahli Parlimen Tumpat dan setiausaha perhubungan PAS negeri Kelantan.

Che Abdullah memberitahu FMT bahawa partinya lebih mempercayai Mahathir kerana beliau ‘kelihatan tidak dipengaruhi” oleh mana-mana pihak selain partinya PPBM.

“PAS, Umno dan DAP tidak boleh mempengaruhinya,” kata beliau.

Che Abdullah Mat Nawi.
Beliau menjelaskan kenyataan terbaru Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan idea untuk membiarkan Mahathir terus memimpin negara sehingga mandat Pakatan Harapan (PH) tamat.

Beliau berkata, PAS juga bimbang bahawa Anwar tidak mendapat sokongan penuh daripada pemimpin PKR dengan memberi contoh kemenangan Mohamed Azmin Ali dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR walaupun “tidak disokong” oleh pemimpin tertinggi parti itu.

“Ini bermakna Azmin tidak bersendirian,” katanya.

Beliau menyifatkan Azmin sebagai “orang baik” dan berkata, ini merupakan sebab kenapa beliau mendapat sokongan PAS ketika menjadi menteri besar Selangor.

Katannya, perebutan kuasa yang berlaku dalam PKR adalah tidak baik untuk negara.

“Kami mahu PH memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan ke atas kehidupan rakyat,” katanya.

“Oleh sebab itu, kami fikir adalah lebih baik untuk membiarkan Mahathir kekal sebagai perdana menteri hingga pilihan raya umum akan datang.”

Mahathir tokoh negarawan tidak akan mungkir janji peralihan kuasa

MOHD ALI HASHIM
Seluruh negara telah mengetahui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan tokoh negarawan tidak akan memungkiri janji yang dilafazkan sebelum ini maupun setelah menjadi kerajaan yang menunjangi Pakatan Harapan (PH) untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru cadangan supaya Dr Mahathir meneruskan khidmat beliau sehingga tamat penggal dianggap sebagai ‘tiada moral politik’

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Cakna Ummah Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya, isu peralihan kuasa ini sudah pun selesai apabila Dr Mahathir berkali-kali berjanji dan dilafazkan acap kali akan memenuhi janji beliau.

Malah kata Dr Zaidi lagi, yang terakhir ketika Dr Mahathir ditemubual wartawan Bloomberg di Bangkok, Thailand.

“Anwar juga optimis Tun akan penuhi janji beliau dan meminta supaya tiada mana-mana pihak membangkitkan lalgi soal peralihan kuasa tersebut.

“Sebenarnya keadaan telah pun reda, namun begitu tiba-tiba Presiden Pas cuba menghangatkan kembali situasi dengan cadangan agar Tun meneruskan menerajui kepimpinan sehingga tamat penggal.

“Ia seolah-oleh menggalakkan Tun supaya memungkiri janji yang telah dicanang-canangkan kepada seluruh rakyat sebelum ini, ” ujarnya.

Dr Zaidi yang juga bekas Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh berkata, cadangan itu tidak pelik kerana ia datang dari musuh politik PH iaitu Pas yang cuba memporak-perandakan segala perancangan yang ada.

“Namun begitu apa yang peliknya apabila cadangan yang sama pula datang dari Timbalan Presiden PKR. Datuk Seri Azmin Ali yang juga merupakan pimpinan PH

“Ia seolah-olah cuba memungkiri segala janji dan konsensus PH.

“Tambah ajaib, aneh dan menghairankan apabila Azmin pula menyokong dan mengalu-alukan cadangan Pas yang merupakan pembangkang kepada kerajaan PH, ” katanya lagi.

Menurut Dr Zaidi, masalah dalaman PKR tidak seharusnya mengheret PH untuk sama-sama menanggung beban tersebut sehingga menghilangkan keyakinan rakyat terhadap PH.

Sedangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menjangkakan ekonomi negara ini akan pulih dalam tempoh tiga tahun.

“Itulah indikatornya tempoh peralihan kuasa sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tun sebelum ini.

“Dalam usia Tun yang telah menjangkau 94 tahun, tidak logik bagi Tun untuk memungkiri janji kerana ia akan menjadi suatu nostalgia kepada seluruh rakyat dalam negaran ini.

“Justeru itu segala polemik dan kecelaruan dalaman tidak harus mengheret PH kerana rakyat telah memberi mandat hasil janji-janji sebelum kemenangan dicapai dalam pilihan raya umum 2018 yang lalu, ” katanya.

Oleh kerana itu kata Dr Zaidi, jangan kerana keinginan hawa nafsu dan kepentingan peribadi maka segala konsensus dan kesepakatan PH terpaksa dinodai dan dicalarkan demi memenuhi kehendak rakus mana-mana pihak, sedangkan rakyat amat mengharapkan nasib mereka terus dibela dibawah pemerintahan kerajaan PH.

'Formula bersama Bersatu, BN, PAS boleh jadikan Azmin PM tapi...'

Kumpulan Otai Reformis hari ini mengakui Azmin Ali boleh dilantik sebagai perdana menteri sekiranya timbalan presiden PKR itu bersama beberapa ahli parlimen yang setia dengannya bergabung dengan BN dan PAS.

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail mengulas teori itu susulan kenyataan Azmin yang menyokong saranan Presiden PAS Abdul Hadi Awang agar Dr Mahathir Mohamad kekal menyandang jawatan perdana menteri untuk sepenggal.

“Satu teori ‘agak keras’ mengandaikan bahawa Azmin bersama beberapa orang ‘rakan-rakan setia kalangan beberapa ahli Parlimen dari kemnya, disertai oleh Bersatu, seterusnya berpadu tenaga dengan BN dan PAS untuk mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya.

“Bagaimanapun, saya berasa teori ini adalah ‘mustahil’ dan yakin bahawa Dr Mahathir tidak akan merestuinya usaha-usaha sedemikian tetapi dalam senario politik semasa tiada yang mustahil dalam kancah politik,” kata kumpulan tegar penyokong presiden PKR, Anwar Ibrahim itu dalam satu kenyataan.

Abdul Razak membayangkan gabungan tersebut tidak cukup untuk mendapatkan “simple majority” yang memerlukan 112 kerusi bagi menubuhkan kerajaan.

“Katakanlah akhirnya Azmin meninggalkan PKR bersama 15 orang Ahli Parlimen yang setia bersamanya dan andaian bahawa kesemua Ahli Parlimen PPBM (Bersatu) dengan 26 ahli parlimen turut serta dan ini secara kiraan kasarnya memberikan Azmin sebanyak 15 + 26 bersamaan 41 kerusi.

“Manakala BN mempunyai 40 kerusi dan PAS mempunyai 18 kerusi. Sekiranya kerjasama dan persepakatan ini berlaku juga, maka jumlahnya adalah 41 + 40 + 18 bersamaan 99 kerusi di parlimen,” katanya.

Namun, katanya, sekiranya 19 kerusi yang dimiliki oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyokong Azmin, maka ia mampu menubuhkan kerajaan iaitu dengan formula 99 +19 atau bersamaan 118 kerusi.

Namun, katanya, walaupun Azmin mampu menarik 15 ahli parlimen yang setia terhadapnya untuk keluar dari Pakatan Harapan atau kemungkinan menubuhkan parti baru, ia belum tentu diterima penyokongnya.

“Saya rasa Dr Mahathir yang begitu pakar dalam sepak teranjang politik tidaklah begitu naif untuk merestui perancangan ini yang bakal menggadaikan karier politik beliau hanya sekadar untuk menyelamat kerjaya politik Azmin,” katanya.

Bomba selamatkan lelaki pakai 'gigi daun gear' di zakar

N Faizal Ghazali

Gara-gara memakaikan 'gigi daun gear - iaitu alat komponen enjin motosikal - pada zakarnya, seorang lelaki melalui detik cemas apabila alat itu gagal ditanggalkan.

Lelaki itu pada mulanya datang ke Balai Bomba Sungai Durian di Kuala Krai, Kelantan, kira-kira jam tiga petang tadi sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Krai.

Ketua balai bomba itu Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.14 petang berkenaan perkara itu dan ketika itu lelaki itu sudah pun tiba di depan balai.

Katanya lagi, pemeriksaan awal oleh Ketua Operasi Mohd Razani Mamat bersama lima anggota bomba lain mendapati kemaluan lelaki berusia 34 tahun itu sudah membengkak.

"Susulan itu, kami membawanya ke Hospital Kuala Krai.

"Seterusnya kita membuat size-up di lokasi serta mengarahkan pasukan operasi bertindak bersama pihak hospital untuk membuka 'daun gear' di kemaluan mangsa menggunakan peralatan L-Ring Cutter.

"Alhamdulillah operasi berjaya selepas mengambil masa selama lebih kurang 20 minit, alat itu dibuka dengan selamat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, mangsa yang merupakan penduduk tempatan kemudian diberi rawatan lanjut di hospital itu.

Tak hadir mesyuarat PKR: 'Azmin boleh hilang jawatan'

B Nantha Kumar

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali boleh kehilangan jawatan yang disandangnya kerana tidak pernah hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik sejak pemilihan parti itu pada November 2018, menurut bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Jenapala.

Bagaimanapun, katanya, peraturan itu terpakai jika Azmin tidak dapat mengemukakan sebab yang wajar bagi menjelaskan ketidakhadirannya dalam mesyuarat parti.

Katanya, perlembagaan parti menetapkan seseorang pemimpin yang tidak hadir ke mesyuarat MPP sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa alasan munasabah boleh dianggap telah meletakkan jawatan.

"Ya, saya boleh sahkan (peraturan parti ini). PKR memang ada perlembagaan untuk berbuat demikian.

"Kalau tidak hadir tanpa alasan itu kira 'ponteng'. Tidak hadir tiga kali tanpa alasan boleh ambil tindakan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya lagi, seorang pemimpin yang tidak hadir ke mesyuarat MPP perlu memaklumkan kepada setiusaha agung parti.

"Bagi mesyuarat, setiausaha agung merupakan orang 'paling kuat'. Jadi, kena beritahu kepadanya," tambah beliau.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Azmin tidak pernah hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak November 2018.

"Kehadiran (mesyuarat) Biro Politik kosong, kehadiran (mesyuarat) Majlis Pimpinan Pusat kosong," katanya ketika dihubungi Malaysiakini menerusi Whatsapp.

Saifuddin yang juga menteri kabinet berkata Azmin tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.

"Tidak pernah dinyatakan alasan."

Fasal 21.16 Pelembagaan PKR menyatakan: "Mana-mana ahli pimpinan pusat mungkir menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai meletakkan jawatan di dalam Majlis Pimpinan Pusat dan Majlis Pimpinan Pusat berhak menguatkuasakan fasal ini'.

Bagaimanapun, Timbalan Setiusaha Agung PKR Dr Edmund Santhara (gambar, tengah, tiga dari kiri) ketika dihubungi mempertikaikan andaian Azmin tidak hadir ke mesyuarat tanpa mengemukakan sebab.

"Tanpa alasan? Mohon nyatakan sumber anda. Saya difahamkan beliau (Azmin) adalah menteri kanan dan sangat sibuk.

"Beliau juga banyak menyumbangkan masa dan tenaga untuk menyelesaikan masalah ekonomi, termasuk Felda dan banyak lagi GLC dibawah perhatian beliau," katanya kepada Malaysiakini.

Menjelaskan kenyataannya hari ini, Edmund berkata ia dibuat dalam kapasitinya sebagai MP Segamat dan Anggota MPP PKR dan bukan sebagai timbalan setiausaha agung parti.

"Saya menjawab sebagai MP Segamat dan Ahli MPP, dan bukannya sebagai timbalan ketua setiausaha agung.

"Kerana soalan itu perlu dijawab oleh Presiden (PKR Anwar Ibrahim) mengikut konvensyan kerana melibatkan pimpinan tertinggi parti," katanya lagi.

Selanjutnya, Edmund juga berkata klausa (Fasal 21.16 Perlembagaan PKR) tidak pernah dipakai sebelum ini.

"Klausa ini, tidak pernah dipakai sebelum ini mengikut konvensyen, sebab biasanya mereka akan membuat panggilan kepada pengerusi (ataupun whatsapp) ataupun telah ada persefahaman di antara mereka.

"Maka, mohon jangan membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap," katanya.

Beliau turut menyifatkan pengesahan Saifuddin bahawa sebagai Azmin tidak hadir sejak 2018 tanpa memberi alasan cuma pendapat peribadi beliau.

"Itu merupakan pendapat beliau. Sejak, presiden dan timbalan presiden masih dalam komunikasi. Saya ingat ini lebih atas dari pangkat dia," jelasnya.

Lelaki boleh mandul jika letak telefon pintar dalam poket seluar

FMT Reporters

Telefon pintar yang disimpan di dalam poket seluar membahayakan kesuburan golongan lelaki.
Ini kerana berdasarkan kedudukan penyimpanannya, telefon tersebut adalah berhampiran dengan buah zakar golongan tersebut.

Berdasarkan kajian penyelidik di Klinik Cleveland, ia menyebabkan testis terdedah kepada gelombang elektromagnetik radiofrekuensi, dan ia sepatutnya menjadi kebimbangan semua lelaki.

Kajian tersebut dibuat berdasarkan sampel air mani yang dikumpulkan daripada 32 orang lelaki.

Mereka membahagikan sampel lelaki tersebut kepada 2 kumpulan.

Separuh sampel air mani diletakkan 2.5cm dari telefon bimbit dengan radiasi frekuensi 850 MHz dalam mod ceramah selama satu jam.

Frekuensi ini dipilih berdasarkan rangkaian sinaran biasa yang dipancarkan dari telefon mudah alih biasa, yang berkisar antara 850 hingga 900 MHz, dan telefon bimbit itu di dalam poket seluar anda.

Pendedahan kepada gelombang elektromagnet “radiofreency” menghasilkan paras radikal yang merosakkan testis, malah sperma yang menjadi lemah.

Berikutan itu, anda dinasihatkan supaya menjauhkan telefon bimbit dari zakar anda.

Ini kerana pakar mempercayai lelaki yang bercakap selama 3 hingga 4 jam sehari dengan telefon pintar mempunyai risiko kemandulan yang tinggi.

Seorang lagi perunding kesuburan, Gedis Grudzinskas, di Harley Street dan Hospital St George berkata, lelaki perlu menitik beratkan kesuburan mereka dan sebolehnya elak daripada terus ketagih menggunakan telefon pintar.

“Jika anda memakai sut untuk bekerja, letakkan telefon bimbit di dalam poket di bahagian dada anda dan bukannya berhampiran dengan testis anda kerana dapat mengurangkan risiko pengurangan sperma anda,” katanya.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

'Azmin tak hadir mesyuarat sejak pemilihan 2018'

B Nantha Kumar

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak pernah hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik sejak pemilihan parti itu pada November 2018, kata setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution Ismail.

"Kehadiran (mesyuarat) Biro Politik kosong, kehadiran (mesyuarat) Majlis Pimpinan Pusat kosong," katanya ketika dihubungi Malaysiakini menerusi Whatsapp.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata Azmin tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.

"Tidak pernah dinyatakan alasan."

Isu kehadiran dalam mesyuarat PKR mengundang perhatian selepas pemimpin parti itu diingatkan untuk hadir ke mesyuarat parti memandangkan jadual telah diedarkan dua atau tiga bulan lebih awal.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Saifuddin telah memberikan peringatan itu berulang kali.

Untuk rekod, Azmin juga tidak hadir di pemukiman PKR di Port Dickson hujung minggu lalu.

Mesyuarat Biro Politik - yang mengendalikan soal eksekutif - diadakan seminggu sekali, manakala mesyuarat MPP - badan pembuat keputusan tertinggi parti - sebulan sekali.

MPP memiliki 41 anggota, dengan 28 dipilih ketika pemilihan tahun lalu manakala 13 lagi menerusi lantikan. Sejumlah 22 anggota tersenarai dalam calon kem Azmin (biasanya disebut sebagai 'cai') ketika pemilihan lalu.

Kali terakhir Malaysiakini melihat Azmin di mesyuarat biro politik PKR ialah pada September tahun lalu.

Terdahulu hari ini, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi mempersoal mengapa dirinya menjadi sasaran berkenaan ketidakhadiran ke mesyuarat MPP yang diadakan semalam.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah bagi seseorang pemimpin tidak dapat hadir ke mesyuarat parti, apatah lagi jika turut menjadi anggota kerajaan.

“Ada program parti yang saya hadir, kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum.

“Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?... Kita sebagai pemimpin parti kerajaan, kita ada tanggungjawab kepada kerajaan dan parti," katanya.

RM1.13 bilion dipindahkan ke akaun Najib antara 2011 dan 2013

Bernama
Datuk Seri Mohd Najib Razak
Bekas pegawai bank yang menguruskan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sebanyak RM1.13 bilion telah dipindahkan ke akaun Najib antara 2011 dan 2013.

Joanna Yu Ging Ping, 48, yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank berkata Najib menerima US$369.99 juta menerusi beberapa pemindahan wang antara 2011 dan 10 Jan 2013.

Saksi ke-54 itu berkata demikian semasa diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, pada hari ke-45 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit : Jumlah semua mata wang asing yang dipindahkan ke akaun Najib yang bernombor akhir 694 ialah US$369.99 juta

Yu : Ya.

Harvinderjit : Dan jumlah itu bersamaan dengan RM1.136 bilion

Yu : Ya.

Sebelum itu, Yu juga mengesahkan bahawa US$100 juta telah dipindahkan ke akaun semasa Najib yang nombor akhirnya 694 itu pada 2011.

Harvinderjit menyoal Yu untuk mengesahkan bahawa akaun Najib menerima kira-kira US$100 juta pada 2011, menerusi dua pemindahan wang sebanyak US$10 juta masing-masing, satu pemindahan sebanyak US$50 juta dan satu lagi pemindahan wang sebanyak US$30 juta dan saksi berkenaan mengesahkan jumlah itu.

Sementara itu Yu berkata ahli perniagaan yang juga orang buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low memainkan peranan penting dalam membuat keputusan bagi pengurusan akaun Najib.

Yu berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil yang juga pemegang mandat bagi akaun-akaun itu seolah-olah seperti seseorang yang hanya menjadikan arahan-arahan itu rasmi.

Harvinderjit : Kamu kata “Jho menghantar kepada saya semua arahan-arahan ini, saya katakan kepadanya supaya memberitahunya kepada Nik Faisal. Kenapa kamu menyuruh Jho

Yu : Pada sikiran saya, mereka telah membincangkan perkara itu.

Harvinderjit : Perbualannya ialah kamu menerangkan kepada seseorang yang tiada pengetahuan mengenainya

Yu : Mungkin…ya.

Harvinderjit: Saya menganggap kamu mendapat semua maklumat ini daripada Jho dan kamu menjadikannya rasmi dengan Nik Faisal

Yu : Ya.

Harvinderjit : Adakah kamu bersetuju bahawa arahan-arahan itu datang daripada Jho dan Nik Faisal hanya menjadikannya rasmi

Yu : Nampaknya macam itulah.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.- BERNAMA

Azmin langgar konsensus PH, kata pensyarah

Seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini tampil mendakwa pendirian Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mahu Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal melanggar konsensus dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan Azmin mampu mencetuskan krisis yang lebih besar dan mencetuskan ketidakstabilan dalam parti.

“Ini kerana Azmin akan dianggap sebagai mengkhianati parti sendiri dan akan mencetuskan bantahan dari penyokong-penyokong Anwar,” kata Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam, Pusat Perdana, UTM, Dr Mazlan Ali yang dipetik oleh portal Utusan Online.

Dr Mazlan Ali, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam, Pusat Perdana, UTM
Azmin yang juga adalah menteri ekonomi, hari ini dilaporkan berkata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang memimpin negara hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya Umno kepada Mahathir.

Mengikut konsensus dalam PH, Mahathir akan menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

Sementara itu, kata Mazlan, krisis berpanjangan dalam PKR tidak akan menjejaskan kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri selagi beliau kekal mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, krisis itu boleh sedikit merencatkan usaha kerajaan untuk memberi fokus pembangunan, meningkatkan ekonomi negara,membantu menambah pendapatan rakyat dan menurunkan kos sara hidup.

“Krisis yang berpanjangan dalam PKR akan mengurangkan sokongan rakyat kepada PH yang mungkin jemu melihat gelagat ahli-ahli politik yang lebih banyak bermain politik sedangkan rakyat mahu kerajaan memberi fokus kepada usaha mewujudkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi,” katanya.

Selepas memenangi pilihan raya umum tahun lalu, Dr Mahathir berkali-kali berdepan soalan berkaitan tempoh masa penyerahan kuasa itu dan berjanji akan mengotakannya.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, partinya Bersatu makin giat menambah kerusi parlimen dengan menerima kemasukan wakil rakyat Umno yang berpaling tadah.

PAS, walaupun menjadi pembangkang, berjanji akan memberikan sokongan di Dewan Rakyat sekiranya terdapat undi tidak percaya dikemukakan di parlimen.

Azmin tak hadir lagi: Pemimpin PKR diingatkan utamakan mesyuarat parti

Alyaa Alhadjri

Semua pemimpin PKR sudah diingatkan untuk mengutamakan kehadiran dalam mesyuarat parti berbanding perkara lain, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata demikian ketika diminta pemberita untuk mengulas ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) bulanan yang berlangsung hari ini di ibu pejabat PKR.

Untuk rekod, Azmin juga tidak hadir di pemukiman PKR di Port Dickson hujung minggu lalu.

"Pada waktu ini MPP telah diingatkan oleh setiausaha agung dalam mesyuarat pada hari ini bahawa jadual untuk mesyuarat-mesyuarat termasuk mesyuarat MPP biro politik telah diedarkan awal.

"Jadi kita tahu untuk dua, tiga bulan ke hadapan inilah tarikh-tarikhnya. Pimpinan telah diingatkan untuk menghadirkan diri dan memberikan keutamaan kepada mesyuarat ini supaya kita boleh (bergerak) sebagai satu parti menyelaraskan keputusan yang diambil.

"Peringatan itu telah dikeluarkan kepada semua pimpinan," kata Fahmi.

Fahmi bagaimanapun menyerahkan kepada biro politik PKR untuk memutuskan sama ada akan mengambil tindakan ke atas Azmin.

Pemimpin PKR lain yang tidak hadir hari ini termasuklah naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Kesemua mereka dilihat sebagai penyokong kem Azmin.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim dilihat meninggalkan ibu pejabat parti itu ketika sidang akhbar sedang berlangsung.

Fahmi sebelum itu menjelaskan bahawa ramai pemimpin telah beredar selepas mesyuarat hari ini kerana mereka harus ke Sarawak bagi menghadiri majlis kerajaan PH.

PKR dilihat bergelut konflik dalaman susulan klip video seks yang dikaitkan dengan timbalan presidennya.

Pergeseran memuncak selepas Anwar bersetuju bahawa Azmin yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi perlu meletakkan jawatan sekiranya klip video seks itu tulen.

Susulan itu, Azmin membalas kenyataan Anwar dengan menyarankan presiden PKR itu "melihat cermin".

Azmin juga sebelum ini menafikan dakwaan terlibat dalam klip video itu dan menyifatkan ia percubaan "orang dalam" memusnahkan kerjaya politiknya.

Siasatan polis setakat ini sudah mengesahkan ketulenan klip video, namun hasil pengecaman wajah dikatakan negatif dan tidak dapat dikaitkan dengan Azmin.

Setiausaha politik Anwar merupakan antara yang ditahan dalam siasatan polis berhubung kes itu. Anwar bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan.