"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adik Nik Aziz dakwa pemimpin Kelantan tolak Nik Abduh jadi calon

FMT Reporters

PETALING JAYA: Adik kepada bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat mendakwa seorang pemimpin Kelantan menolak nama Nik Abduh sebagai calon PRN di negeri itu.

Nik Din Nik Mat berkata nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya disenaraikan sebagai calon malah Presiden PAS, Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta nama Nik Abduh dipilih.

“Presiden PAS sendiri jawab memang kita perlukan Nik Abduh kerana beliau cerdik, kerja bagus dan dalam Parlimen pun sentiasa bersuara.

“Jadi beliau (Hadi) meminta Nik Abduh diberikan kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa, tidak kira mana-mana kerusi,” katanya dalam satu video yang tular.

Bagaimanapun, Nik Din mendakwa nama anak Allahyarham Nik Aziz itu akhirnya digugurkan selepas ditolak oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.

“Apa yang sampai di telinga saya, beliau (Amar) tidak bagi keluarga Allahyarham Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa.

“Jadi, saya merayu kepada mereka yang melihat video ini termasuk pengundi di DUN Panchor supaya tidak mengundi Mohd Amar dan biar beliau kalah,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, PAS menolak dakwaan parti itu cuba menafikan Nik Abduh peluang bertanding pilihan raya dan mahu mematikan legasi bapanya.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata pimpinan PAS Kelantan sendiri yang mencadangkan nama Nik Abduh untuk PRN akan datang.

Nik Abduh berkata beliau berlapang dada dan menerima keputusan PAS yang tidak mencalonkannya pada PRN dengan hati terbuka.

Malah katanya, beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanding dan ia tiada masalah walaupun namanya tidak tersenarai.

Adik Nik Aziz seru jangan undi Mohd Amar

N Faizal Ghazali
story-image
Adik kepada bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah merupakan dalang di sebalik ketiadaan nama Nik Mohammad Abduh Nik Aziz sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) Kelantan.

Dalam satu rakaman video yang tular hari ini, Nik Din Nik Mat berkata dia hairan apabila nama anak saudaranya itu tidak dicalonkan di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Chempaka.

Sedangkan katanya, dia sendiri bertemu dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Rusila pada 23 Jun lalu dan diberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan.

“Haji Hadi maklumkan parti memang perlukan Nik Abduh kerana dia seorang yang cerdik, kerjanya bagus, dan rajin bersuara di parlimen.

“Jadi ambo hairan bila diperhatikan nama Nik Abduh tidak dicalonkan di DUN Chempaka.

“Sedangkan tok guru (Abdul Hadi) ada tulis surat kepada Pesuruhjaya PAS Kelantan (Ahmad Yakob) supaya diberikan kerusi DUN Chempaka kepada Nik Abduh, tetapi dia (Nik Amar) tolak.

“Apabila DUN Chempaka kosong, ambo tengok nama dia (Nik Abduh) tak ada, ini saya hairan dan takda kerja orang lain.

"Ini kerja Nik Amar (Mohd Amar) jahat dan dia tak bagi kepada Nik Abduh dan sampai di telinga saya dia tak bagi keluarga tok guru Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi dua minit 33 saat itu tular melalui aplikasi grup WhatsApp.

Sebelum ini, Malaysiakini memetik beberapa sumber PAS melaporkan nama Nik Abduh antara yang dicadangkan akan bertanding di DUN Chempaka.

Bagaimanapun, sumber terbabit memaklumkan sukar untuk Nik Abduh dicalonkan kerana mendapat bantahan daripada PAS Kawasan Pengkalan Chepa yang diketuai Mohd Amar yang juga calon PAS bagi DUN Panchor.

Mohd Amar menjadi wakil rakyat di DUN Panchor sejak 2004, kerusi itu juga merupakan salah satu kubu PAS di Kelantan selain DUN Chempaka dan Kijang. Ketiga-tiga kerusi DUN ini terletak di bawah parlimen Pengkalan Chepa.

Dia naik kerana rakyat

PAS akhirnya mencalonkan muka baru Nik Baharum Nik Abdullah diumumkan menggantikan penyandang kerusi itu Fathman Mahmood.

Sementara itu, Nik Din ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia mengesahkan rakaman video yang tular itu adalah sahih dan benar.

“Ya video itu benar, saya tak boleh terima apa yang dilakukan Nik Amar terhadap Nik Abduh.

“Jadi saya menyeru supaya pengundi tidak memberi undi kepada Nik Amar pada PRN kali ini,” katanya ringkas.

Dalam rakaman video itu juga, Nik Din menegaskan dan menyeru agar pengundi tidak berpihak kepada penyandang DUN Panchor itu.

“Oleh itu ambo rayu kepada adik-kakak jangan undi Nik Amar kali ini, biar dia kalah dan rasa sebab dia naik pun kerana rakyat.

“Siapa yang dengar video ini jangan undi Nik Amar, dan kalau kita undi maknanya kita sokong kejahatan dia.

"Orang seperti inilah yang menyebabkan PAS punah dan jahanam,” katanya lagi.

PAS Patut Bagi Tun M Tanding Di Kuala Terengganu

Shahbudin Husin

Meski Tun Mahathir Mohamad berharap agar PN memenangi keenam-enam negeri dalam PRN 12 Ogos ini, hubungan beliau sebenarnya masih dikira kekal pada tahap suam-suam kuku saja dengan gabungan blok pembangkang itu.

Yang beria-ia ingin berbaik dan tetap memuja bekas Perdana Menteri dua kali itu hanyalah Pas saja.

Selain membawa Tun Mahathir ke Kelantan minggu lalu dan Shah Alam semalam, didahulu sebelum itu Hadi Awang sendiri mengadakan perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri tersebut, difahamkan beberapa program lagi sedang diatur untuk menggandingkan kedua-dua pemimpin berkenaan sepanjang kempen PRN ini.

Sebaliknya, bagi Bersatu, walaupun Mahiaddin Md Yasin ada berjumpa empat mata dengan Tun Mahathir tidak lama sebelum ini dan turut bersama dalam program di Kelantan minggu lalu, hubungan itu dikatakan tidak lebih sekadar rasa hormat semata-mata.

Mahiaddin dikatakan tidak mungkin menjalin hubungan lebih jauh daripada itu dengan Tun Mahathir, lebih-lebih lagi berkaitan kerjasama politik melibatkan Bersatu dan PN atau dalam apa-apa hubungan yang ada kaitan dengan PRN akan datang.

Begitu juga dengan Hamzah Zainuddin yang merupakan Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN serta Bersatu, beliau sehingga ini kekal menjarakkan diri dengan Tun Mahathir.

Baik Mahiaddin dan Hamzah, kedua-dua mereka boleh dikatakan faham siapa Tun Mahathir yang sebenarnya dan apa yang diingini oleh bekas Perdana Menteri itu.

Mudah kata, tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh tetapi tidak bermusuh, adalah jalan paling selamat sekali bagi kedua-dua pemimpin itu dalam berurusan dengan Tun Mahathir demi memastikan PN dan Bersatu lebih mudah bergerak lancar mendepani pelbagai cabaran politik dalam negara.

Sebab itu, masih tiada hubungan yang rasmi terjalin antara Tun Mahathir atau Proklamasi Orang Melayu yang diterajui bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, sama ada dengan PN mahu pun dengan Bersatu sehingga ke hari ini.

Ia banyak didorong oleh pendirian Mahiaddin dan Hamzah yang tidak begitu menadah muka mereka kepada Tun Mahathir.

Tapi berbeza dengan Pas, parti itu dan Hadi sendiri benar-benar sedang merapatkan diri dengan Tun Mahathir, terutama dalam konteks persamaan matlamat membenci dan ingin menjatuhkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Hadi Awang selaku Presiden Pas bahkan dilihat begitu berahi mendekatkan dirinya dengan Tun Mahathir sejak mutakhir ini.

Dalam hal ini, apa yang menjadi kecacatan paling besar bagi Tun Mahathir dalam keghairahannya mahu menjatuhkannya Anwar ialah kedudukannya yang sekarang ini bukan berstatus Ahli Parlimen.

Lebih daripada itu, kekalahan beliau sehingga hilang deposit pada PRU15 lalu di Langkawi terus menjadi persendaan yang amat memalukan bekas Perdana Menteri itu setiap kali beliau menyerang Perdana Menteri.

Ramai yang memperlekeh Tun Mahathir dan menganggapnya tidak layak lagi berlawan dengan Anwar berikutan sejarah buruk hilang deposit yang dialaminya itu.

Paling relevan untuk berlawan dan ingin menjatuhkan seorang Perdana Menteri tidak lain ialah seseorang itu mestilah berstatus Ahli Parlimen.

Kalau tiada status Ahli Parlimen, cakap seseorang itu dengan sendirinya jadi tidak lagi berbisa kerana tanpa status Ahli Parlimen, selain seseorang itu tidak boleh menjadi pengganti Perdana Menteri, dia juga dikira berada di liga yang berbeza berbanding kelompok Ahli-Ahli Parlimen.

Lagi pun, takkan Ahli-Ahli Parlimen mahu berketuakan atau mendengar cakap seseorang yang bukan Ahli Parlimen.

Sebagaimana dimaklumi semua, selain PRN enam negeri bakal berlangsung pada 12 Ogos depan, PRK Parlimen Kuala Terengganu juga akan diadakan bersekali pada tarikh tersebut.

PRK Parlimen Kuala Terengganu perlu diadakan berikutan kemenangan calon Pas pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad Hashim telah dibatalkan mahkamah lantaran petisyen yang dikemukakan BN berjaya membuktikan wujudnya amalan rasuah ketika kempen berlangsung di kawasan tersebut.

Maka, untuk menjadikan Tun Mahathir lebih berbisa dan gerakannya untuk menumbangkan Anwar lebih relevan, di samping membuktikan Pas berjiwa besar serta benar-benar berahi dalam bersahabat dengan bekas Perdana Menteri itu, apa kata beliau diberi laluan bertanding dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos depan ini?

Di waktu yang sama, oleh kerana Tun Mahathir juga dikira gelandangan politik dan tidak berparti ketika ini, tentu tiada masalah baginya untuk menyertai Pas sebagai syarat menjadi calon itu.

Apa macam Tuan Guru, boleh ke? – ShahbudinHusin 26/07/2023.

Asyik mengata dan fitnah orang, kerja tak buat sampai pelabur ancam tarik diri

Pelabur Bandaraya Getah Kedah ancam tarik diri

MOHD. RAFIE AZIMI

PADANG TERAP: Kegagalan kerajaan negeri memberi jaminan tarikh kemasukan bekalan elektrik di Bandaraya Getah Kedah (KRC) hampir menyebabkan salah satu daripada dua pelabur di situ menarik diri sekiranya masalah itu gagal diselesaikan segera.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga kini tiada penjadualan atau jaminan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh terdekat memandangkan isu pengambilan tanah untuk pemasangan tiang elektrik juga difahamkan masih belum selesai.

Menurutnya, bekalan di situ perlu dihubungkan dari Tanjung Pauh, Jitra sejauh 42 kilometer kerana kawasan industri tersebut memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.

“Sekarang ini sudah masuk tahun keenam tetapi elektrik tak boleh sampai lagi ke KRC. Mengapa elektrik tak boleh sampai? Kerana Menteri Besar tak ambil peduli sedangkan pembangunan di situ penting sebab boleh membuka ribuan peluang pekerjaan.  

“Kalau Menteri Besar ambil peduli, hang panggilah pejabat tanah, Jabatan Kerja Raya dan pihak terlibat untuk tanya bila nak siap? Tetapi Menteri Besar tidak buat kerja itu sebaliknya asyik mengata dan fitnah orang.

“Minggu lepas salah satu pelabur datang jumpa saya dan memaklumkan kalau Februari tahun depan elektrik tak dibekalkan, mereka terpaksa tarik diri. Saya kata sabar sekejap dan tunggu hingga 12 Ogos ini untuk kita tukar kerajaan dan laksanakan projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Kedah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan Kuala Nerang di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Mahdzir yang juga calon BN bagi DUN Pedu berkata, ketidakpastian berhubung perkara melibatkan kemudahan asas seperti itu sudah tentu merisaukan pelabur ketika mereka juga sentiasa diundang untuk melabur di tempat-tempat lain.

“Kalau kerajaan negeri keluar kenyataan boleh masuk elektrik pada September atau Oktober dan sudah ada keputusan untuk pengambilan tanah, maka mudahlah. Menteri Besar boleh panggil pihak berkaitan untuk kepastian. Tetapi kalau tak dimulakan, maka perkembangannya jadi lambatlah. Pelabur tak boleh tunggu kerana itu akan membuatkan mereka rugi,” katanya.  –UTUSAN

Datuk Mahfuz Omar bertembung sekali lagi dengan Radhi Mat Din

M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
 
Alor Setar: Pertembungan satu lawan satu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan pemain bola sepak lagenda Hijau Kuning, Radhi Mat Din di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu menjadi tumpuan ramai.

Terdahulu kedua-dua mereka pernah bertembung ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi.

Mengulas mengenai 'perlawanan semula' berkenaan, Mahfuz berkata, keadaan ketika ini adalah berbeza kerana pada 2018, PH menjadi pembangkang dan PN pula kerajaan di peringkat Pusat.

"Selain saya, Datuk Zamri Yusuf yang bertanding di DUN Suka Menanti dan Teh Swee Leong yang bertanding di DUN Kota Darulaman mempunyai keyakinan untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi PH pada PRU14 lalu.

"Keyakinan itu berdasarkan pelbagai inisiatif yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengutamakan rakyat dalam pentadbirannya termasuk mereka yang di Kedah.

"Atas dasar itu, rakyat kini dapat menilai perubahan yang dibawa PH dan kesannya dapat dilihat apabila harga barang menjadi terkawal dan ekonomi negara terus berkembang," katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas kapten pasukan Hijau Kuning, Radhi menyifatkan pertembungan bersama Mahfuz bukan sebagai misi balas dendam kekalahannya pada 2018.

"Ini adalah pertembungan biasa dalam politik, dahulu kami di Pokok Sena, sekarang di Alor Mengkudu pula dengan suasana juga berbeza kerana terdapat banyak isu yang meresahkan rakyat.

"Kita dapat merasakan gelombang itu ada bersama PN ketika ini dan anak muda dapat memahami realiti politik semasa yang kita bawa khususnya kepada pengundi di DUN Alor Mengkudu," katanya.

Pertembungan di tiga DUN berkenaan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PH dan PN di setiap kerusi.

Di DUN Suka Menanti, Zamri yang juga penyandang dan Pengerusi PKR Kedah bakal berhadapan calon PN, Dzowahir Ab Ghani, manakala di DUN Kota Darulaman, penyandang kerusi, Teh Swee Leong bakal berdepan lawan PN, Chuah See Seng.

Lelaki peluk wanita, berdiri atas landasan di LRT Maluri

AZMI NORDIN
Share on linked
Tangkap layar video tular seorang lelaki memeluk seorang wanita dan berdiri di atas landasan kereta api di LRT Maluri, Cheras, semalam
KUALA LUMPUR – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dipeluk seorang lelaki yang tidak dikenali di stesen LRT Maluri, di sini, semalam.

Menerusi rakaman video tular yang dimuat naik oleh @localrkyt di Twitter, seorang lelaki yang berpakaian baju hitam dan berseluar jean putih telah memeluk seorang wanita sebelum jeritan minta tolong kedengaran.

Bagaimanapun, tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi terbabit berjaya menyelamatkan wanita itu.

Dalam pada itu, rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat berkenaan memaparkan lelaki terbabit berdiri di atas landasan kereta api.

Tidak hanya bertindak demikian, lelaki berkenaan turut memukul kereta api yang sedang bergerak di situ menggunakan kasutnya tanpa menghiraukan keselamatannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku dan akan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam masa terdekat.-KOSMO! ONLINE

PRN: Penamaan calon DUN Kota Lama kecoh, nama suri rumah ditolak

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
LAY Tho (kanan) yang tampil mahu menjadi calon DUN Kota Lama sebagai calon bebas tidak memenuhi syarat ditetapkan SPR. FOTO Hidayatidayu Razali
LAY Tho (kanan) yang tampil mahu menjadi calon DUN Kota Lama sebagai calon bebas tidak memenuhi syarat ditetapkan SPR. FOTO Hidayatidayu Razali
Kota Bharu: Berlaku sedrkit kekecohan di Pusat Penamaan Calon Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini, hari ini selepas nama seorang seorang wanita sebagai calon ditolak.

Difahamkan, Tan Lay Tho, 63, yang tampil mahu menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama ditolak berikutan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila pencadangnya, Ong Chi Lam, 63, yang juga suaminya dari DUN Bunut Payung.

Pada masa yang sama, suri rumah itu turut membawa penyokong iaitu bapa saudaranya, Wee Choon Seng, 85, yang juga pengundi DUN Kota Lama.

Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Izzuddin Ab Rashid mengumumkan nama calon DUN Kota Lama pada 11.45 pagi.

Beliau berkata, pihaknya menerima lima kertas penamaan di pusat penamaan calon itu.

"Mereka yang mengemukakan kertas penamaan itu adalah Izat Bukhary Ismail Bukhary sebagai calon bebas, Dr Hafidzah Mustakim (Pakatan Harapan), Zamri Ismail (Pas), Tan Boon Kian atau Andy Tan (Parti Rakyat Malaysia) dan Lay Tho (Bebas).

"Saya sudah menyemak kertas penamaan dan selepas selesai disemak saya berpuas hati memutuskan ada yang ditolak kertas penamaannya (Lay Tho).

"Dengan ini saya mengumumkan hanya empat calon disahkan bertanding dalam PRN ini," katanya ketika mengumumkan nama calon di sini, hari ini.

Untuk dua DUN lain di kawasan Parlimen Kota Bharu itu, menyaksikan pertembungan dua penjuru di DUN Tanjing Mas antara Rohani Ibrahim (Pas) dan Zinda Khalil Sastro Hassan (PH).

Di DUN Bunut Payong pula membabit Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin (BN) dan Shaari Mat Yaman (Pas).

PRN: ‘Hoi hoi ya hoi’ bergema di beberapa pusat penamaan calon

Malaysiakini

Suasana panas tercetus seketika apabila lagu “Hoi hoi ya hoi” dinyanyikan di beberapa pusat penamaan calon di enam negeri yang mengadakan pilihan raya.

Lagu itu dikesan didendangkan di Gurun, Kuang, Rawang, Taman Templer dan Gombak oleh penyokong Perikatan Nasional (PN) bagi mengejek BN yang beberapa pemimpinnya berdepan kes rasuah di mahkamah.

Lagu itu dipopularkan kembali oleh Altimet dalam pilihan raya umum lalu dengan mengubah suai lirik daripada lagu asal yang dinyanyikan P Ramlee dalam filem Ali Baba dan 40 Penyamun.

Anwar Ibrahim turut menggunakannya sepanjang kempennya sebelum menjadi perdana menteri.

Di Gurun, Kedah, lagu itu mengakibatkan kedua-dua penyokong berbalas jeritan.

Pegawai dari SPR kemudiannya terpaksa memberi amaran kepada penyokong supaya tidak menimbulkan provokasi antara satu sama lain.

Sementara itu, Anwar juga disambut dengan lagu itu oleh penyokong PH ketika tinjauannya di Gombak.

Dia bagaimanapun tidak begitu melayannya.

"Mood baik," sambil menunjukkan isyarat bagus kepada media hari ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, penyokong PN turut membuat sorakan itu sejurus selepas kumpulan penyokong PH-BN  tiba.

Parlimen Gombak antara kawasan ‘panas’ yang menyaksikan pertembungan tiga pengerusi parti negeri yang menghantar borang pencalonan.

Mereka adalah Pengerusi BN Selangor, Megat Zulkarnain Omardin; Pengerusi PH, Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Megat Zulkarnain akan bertanding di kerusi DUN Gombak Setia dan bertembung dengan penyandang, Hilman Idham dari PN.

Selain itu, Amirudin yang adalah menteri besar sementara Selangor mempertahan DUN Sungai Tua manakala PN mempertaruh Muhammad Hanif Jamaluddin.

Azmin pula bertanding di DUN Hulu Kelang dan berdepan dengan bekas Adun Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

PRN: Parti India dalam PN tak akan tarik pengundi

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak menarik pengundi India walaupun gabungan itu menubuhkan parti kaum tunggal baharu untuk memenuhi keperluan masyarakat, kata seorang penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata ini kerana PN perlu bersaing dengan parti sedia ada seperti MIC dan mengikuti arus politik semasa negara yang menunjukkan masyarakat cenderung kepada parti berbilang kaum.

“Walaupun PN cuba menarik pengundi India dengan membentuk jawatankuasa untuk kaum India yang diketuai oleh bekas pemimpin MIC, impaknya agak terhad. Hasrat mereka untuk bertapak tidak akan berlaku dalam masa satu atau dua tahun sahaja,” katanya kepada FMT.

Awal bulan ini, seorang pemimpin Bersatu, yang enggan namanya disiarkan, berkata PN sedang membentuk sebuah jawatankuasa India yang diketuai oleh bekas pemimpin MIC. Sumber itu berkata perbincangan mengenai perkara itu dengan pemimpin MIC sedang berjalan.

Seorang lagi pemimpin dari sayap bersekutu Bersatu mendakwa ramai ahli MIC tidak berpuas hati dengan cara parti itu diuruskan.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata parti kaum tunggal yang diketuai oleh bekas pemimpin Pakatan Harapan (PH) atau MIC berkemungkinan “gagal” kerana ketidakupayaan pemimpin sedemikian untuk bertahan dalam politik dalam jangka panjang.

Beliau menambah bahawa parti berasaskan India yang bersekutu dengan PN mungkin juga bergelut untuk mendapatkan penerimaan pengundi bukan Melayu.

“Penduduk India di sesebuah negeri atau kawasan Parlimen tidak begitu dominan dalam konteks demografi negara kita, menyukarkan mereka untuk bersaing tanpa kerjasama daripada blok utama lain seperti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PN mungkin menggunakan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat masyarakat India terhadap DAP sebagai peluang untuk bergerak ke hadapan dengan rancangan yang bertujuan menubuhkan parti baharu India dalam gabungannya.

Ini berlaku selepas DAP menggugurkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy daripada senarai calonnya untuk PRN.

“Ada peluang kecil, tetapi bukan satu yang akan menimbulkan kekecewaan dalam masyarakat India,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat India secara teorinya memerlukan perwakilan memandangkan MIC telah menjadi tidak relevan.

“Ia sepatutnya bebas daripada parti yang lebih besar. Masa yang sesuai untuk ia ditubuhkan bukan dalam masa terdekat, tetapi sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Kelantan: Lelaki langgar kereta polis kerana cemas bawa dadah

Malaysiakini

Cemas akibat membawa dadah, seorang lelaki melanggar bahagian depan kereta peronda ketika cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa itu di Taman Wira Jaya, Lubuk Jong Pasir Mas awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata sepasukan pegawai bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas terlihat sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru dalam keadaan mencurigakan dengan tingkap di bahagian pemandu terbuka.

"Menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit mengundurkan kenderaan yang dinaikinya secara laju sebelum melanggar bahagian depan kereta polis.

"Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek yang terbabas di bahu jalan dan terlanggar tiang elektrik," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Muhamad Zaki berkata pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki lelaki terbabit menemukan satu bungkusan plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi syabu seberat 1,790.45 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM49,500.

Dia berkata lelaki berumur 21 tahun itu ditahan di depan sebuah rumah di Taman Wira Jaya pada jam 1.50 pagi.

Katanya semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan positif methamphetamine.

"Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

- Bernama

Model mengamuk, berkata kesat sudah ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar rakaman kejadian yang tular di media sosial.
TANGKAP layar rakaman kejadian yang tular di media sosial.
Kuala Lumpur: Model wanita yang mengamuk dan menghambur kata-kata kesat kepada polis selepas disaman di Jalan Tun Sambanthan, di sini sudah ditahan.

Difahamkan, wanita berusia 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ketika memberi keterangan.

Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai proses berkenaan, malam ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan seorang wanita melakukan provokasi dan menjerit kata-kata kesat kepada dua anggota polis yang sedang bertugas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, siasatan mendapati suspek berusia 30-an tidak puas hati kerana disaman dengan kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang semasa memandu.

Beliau dipetik berkata, kejadian provokasi itu dikatakan berlaku pada 3.40 petang Isnin lalu.

Sehingga kini, video terbabit masih boleh diakses serta mempunyai 274 perkongsian di Facebook dan 5,414 perkongsian di Tiktok selain dikhuatiri boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

'Ayam tebuk' tak halal - JAIS

Ruwaida Md Zain
bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan produk 'ayam tebuk' di pasar raya Bukit Changgang, Banting tidak mempunyai sijil halal yang sah.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pengesahan itu diperoleh menerusi Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang memeriksa premis didakwa semalam.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, premis terbabit didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

"Premis juga didapati melakukan penyalahgunaan Logo Halal Malaysia kerana mempamerkan Logo Halal tanpa memiliki SPHM yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Siasatan dan tindakan lanjut dibuat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda tidak melebihi RM200,000," katanya hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan 'ayam tebuk ada sijil halal' di pasar raya berkenaan.

Mohd Shahzihan berkata, pada masa ini, sembilan skim pensijilan halal yang ditawarkan oleh JAKIM iaitu skim produk makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, logistik, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan peranti perubatan.

"Sekiranya terdapat sebarang penyelewengan status halal dan penyalahgunaan Logo Halal, aduan juga boleh dibuat kepada Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS di talian 03-5514 3726 / 3760 atau talian hotline 011-5582 0212," katanya.

Lelaki kurang siuman tetak pengurus bank, dakwa miliki RM132 juta dalam akaun

KOSMO!
Suspek masuk semula ke dalam bank lalu cuba menetak pengurus bank menggunakan pisau. – ThaiRath
BANGKOK – Seorang lelaki yang dipercayai  kurang siuman menyerang pengurus sebuah bank menggunakan pisau selepas permintaannya untuk mengeluarkan wang tunai 1 bilion baht (RM132 juta) ditolak, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Lelaki dikenali sebagai Surasak, 64, itu pergi ke Bank Pertanian dan Koperasi Pertanian (BAAC) di Loei, rantau Isaan.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) insiden itu menunjukkan Surasak masuk ke dalam pejabat pengurus bank sebelum menyerangnya.

Akhbar ThaiRath melaporkan, Surasak meminta untuk mengeluarkan wang sebanyak 1 bilion baht (RM132 juta) sambil menyerahkan sebuah buku nota kepada pengurus bank yang dianggapnya sebagai buku akaun.

Menurut lelaki itu, seseorang telah memindahkan wang kepadanya.

Pengurus bank kemudian memeriksa akaun peribadi Surasak dan mendapati hanya terdapat wang sebanyak 34 baht (RM4.51) dalam akaun simpanannya.

Surasak enggan percaya bahawa tiada wang dipindahkan kepada akaun bank miliknya, lantas dia menjerit ke arah mangsa sebelum dihalau oleh pengawal keselamatan.

Rakaman CCTV kemudian memaparkan suspek kembali ke dalam bank secara senyap sambil membawa sebilah pisau, lalu cuba menetak kepala pengurus bank.

Mangsa menahan serangan itu menggunakan tangannya, menyebabkan dia cedera pada anggota tersebut.

Seorang pemilik sebuah perniagaan di hadapan bank itu mendedahkan bahawa Surasak mempunyai masalah kesihatan  mental. – AGENSI 

Saingan 3 penjuru dijangka di 19 DUN Selangor

Bernama

SHAH ALAM: Menjelang hari penamaan calon bagi PRN Selangor esok, seramai 138 individu telah diumumkan oleh parti politik masing-masing bakal berentap untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding.

Pakatan Harapan (PH), yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008, menyenaraikan 44 calon yang meliputi PKR (20), DAP (15) dan Amanah (sembilan).

Barisan Nasional (BN), yang membentuk kerjasama dengan PH, turut menamakan 12 calon sekali gus memberi lebih peluang kepada PH mengekalkan penguasaan khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan, juga mengumumkan calon untuk bertanding di semua kerusi DUN dengan 31 didominasi Bersatu manakala PAS dan Gerakan masing-masing 17 serta lapan kerusi.

Pertembungan dua gabungan politik gergasi PH-BN dengan PN dihangatkan lagi apabila Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan 14 calon bagi membawa panji parti itu pada PRN kali ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang bekerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos ini, turut mengumumkan empat calon di kerusi Kota Damansara, Dengkil, Meru dan Kajang.

Perebutan kerusi tambah menarik apabila Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan calon di lapan DUN dengan tumpuan kepada kerusi sekitar Klang antaranya Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sentosa dan Pandamaran.

Susulan pengumuman calon oleh semua parti politik, PRN Selangor bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di 19 DUN, satu lawan satu di 36 kerusi dan satu persaingan empat penjuru iaitu di DUN Sentosa melibatkan PH-PKR, PN/Gerakan serta calon daripada parti MUDA dan PRM.

Antara kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Dusun Tua, Bukit Antarabangsa, Bandar Utama, Batu Tiga, Kota Anggerik, Sungai Kandis dan Dengkil.

Bagi aksi satu lawan satu, pertembungan menarik dijangka berlaku di kerusi DUN di Utara Selangor antaranya Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali dan Sungai Burong yang menyaksikan persaingan dua seteru politik utama negara sejak sekian lama iaitu BN/Umno dengan PN/PAS.

Pertembungan sengit juga dijangka berlaku di DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Semenyih, Kajang, Taman Medan, Sijangkang dan Tanjung Sepat.

Tumpuan pastinya terarah di DUN Sungai Tua apabila Menteri Besar Amirudin Shari (PH) akan mempertahan kerusi yang dimenangi sejak 2008 dan beliau dijangka ditentang oleh calon PN iaitu Muhammad Hanif Jamaluddin dalam pertembungan satu lawan satu.

Turut menjadi perhatian kerusi DUN Hulu Kelang yang bakal menyaksikan persaingan antara Azmin Ali (PN-Bersatu), tokoh yang diuar-uarkan sebagai calon menteri besar daripada PN, dengan setiausaha politik kepada menteri besar, Juwairiya Zulkifli (PH-PKR).

Juwairiya merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Melawati manakala Azmin adalah bekas ADUN Bukit Antarabangsa.

Proses penamaan calon bagi PRN Selangor akan berlangsung esok di 35 pusat penamaan yang antara lain meliputi dewan serbaguna, kompleks sukan, stadium tertutup, pejabat majlis perbandaran dan dewan sekolah.

Mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya, proses penamaan calon bagi PRN Selangor dan lima negeri lain iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan hanya berlangsung sejam iaitu dari 9 hingga 10 pagi.

Tak ada ke pemimpin PN yang berani berdebat dengan Rafizi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor menolak cabaran Rafizi Ramli untuk berdebat dengan alasan ia tidak menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Sanusi berkata, pengarah pilihan raya PKR itu sepatutnya menjaga kementerian ekonomi dan “menggunakan formula-formula ajaibnya” (untuk memulihkan ekonomi).

Beliau merujuk kepada formula diilhamkan Rafizi ketika PKR menjadi pembangkang, antara lainnya berkaitan isu ekonomi, harga barangan yang tinggi dan mengurangkan harga kereta.

Sanusi mempersoalkan kewajaran debat itu kerana PRN enam negeri bulan depan tiada kena mengena dengan kedudukan Rafizi sebagai menteri ekonomi.

“Keadaan ekonomi negara kritikal sekarang, debat dengan saya tak akan ubah kedudukan ekonomi negara,” katanya menurut Malaysiakini.

Menurut Harian Metro, timbalan presiden PKR itu berkata, beliau memilih Sanusi untuk berdebat secara langsung di televisyen kerana yakin ia akan menjadi “hiburan terbaik” menjelang PRN 12 Ogos ini.

“Oleh kerana Azmin, bekas menteri ekonomi sampai sekarang (tidak sahut cabaran debat). Sudahlah lari dari kerusi Bukit Antarabangsa, yang itu pun takut, sekarang orang ajak berbincang pasal ekonomi pun takut.

“Jadi saya ingat yang seterusnya dalam kalangan pimpinan PN ini yang paling berani adalah Sanusi.

“Oleh itu, lepas ini insya-Allah saya nak jemput Sanusi mari berdebat dalam televisyen. Saya yakin ramai, TV3 ke, Astro ke, semua akan berebut-rebut,” katanya dipetik sebagai berkata.

Dalam ceramah Selasa lalu, Rafizi mencabar Azmin berdebat. Katanya, debat dapat memulakan budaya persaingan idea bagi membantu rakyat, dan tidak tertumpu kepada retorik “siapa lebih Melayu”.

“Saya dah bentangkan satu perkara yang mudah saja, macam mana kita nak tukar solar dan atap nak bantu rakyat. Saya nak tunggu daripada PN apa idea mereka, idea konkrit macam mana nak bantu rakyat,” katanya.

Katanya, debat itu boleh diadakan dalam tempoh sepanjang dua minggu kempen sebagai cara terbaik untuk “menutup” mulut Sanusi daripada memperlekeh atau menghina pemimpin lawannya.

Anwar: Menteri ambil tanah, balak akan dilucut jawatan

Bernama

DUNGUN: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak mengizinkan mana-mana Jemaah Menteri atau pemimpin bawah kerajaan pimpinannya mengambil tanah atau hasil aktiviti pembalakan.

Beliau berkata, mana-mana menteri dan pemimpin didapati melanggar larangan itu akan dilucutkan jawatan mereka.

“Beza terbesar kerajaan perpaduan dengan kerajaan terdahulu ialah kerajaan ini tidak mengizinkan menteri atau pemimpin kerajaan ambil seinci pun tanah kerajaan mahupun seekar balak.

“Jika perkara itu berlaku, mereka akan tersingkir daripada jawatan,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Anwar berkata, ada pihak yang sering memfitnah kerajaan dan memainkan sentimen keagamaan tidak berani untuk melarang pemimpin mereka mengaut keuntungan melalui aktiviti membalak, kontrak serta saham.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak pernah mengkhianati rakyat dengan mengurangkan peruntukan seperti didakwa sesetengah pihak.

Perdana menteri berkata, dalam keadaan ekonomi sekarang yang bertambah baik, harapan untuk negara membangun semakin cerah malah kerajaan juga menambah beberapa peruntukan infrastruktur termasuk di negeri pembangkang.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang juga menteri pembangunan desa dan wilayah, dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Ahmad Said serta beberapa Jemaah Menteri.

Lelaki terjatuh dari tingkat 29 bangunan putus kepala

Afiezy Azaman

Lelaki terjatuh dari tingkat 29 bangunan putus kepalaPolis mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di bahagian tepi blok bangunan dalam keadaan kepala terputus daripada badan. - Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga warga asing ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah bangunan di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada 3.05 petang, pada Khamis.

"Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di bahagian tepi blok bangunan dengan kepala terputus daripada badan.

"Siasatan awal mendapati, mangsa berumur 43 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah restoran di bangunan tersebut.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup pula mendapati mangsa kelihatan berada di tepi kawasan balkoni bangunan pada jam 2.46 petang dan selepas itu tiada lagi kelihatan pergerakan mangsa di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mohamad Fakhrudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai suruhanjaya tinggi, pengarah syarikat ditahan rasuah lulus visa RM100 juta

FMT Reporters
Suspek dibenarkan reman empat hari sehingga 31 Julai untuk siasatan rasuah salah guna Visa Luar Negara (VLN) bagi membawa masuk warga Bangladesh.
PETALING JAYA: Dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah Suruhanjaya Tinggi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa bersubahat menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) untuk membawa masuk warga Bangladesh.

Sumber SPRM berkata turut ditahan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja, dipercayai bersekongkol dengan pegawai terbabit untuk meluluskan visa warga Bangladesh, kononnya untuk melancong namun sebaliknya bekerja di Malaysia.

Menurutnya, siasatan mendapati pegawai terbabit bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia sejak 2021 dan menerima bayaran sekitar USD300 ke USD500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN.

“Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya.

Sumber berkata, penahanan itu adalah ketiga membabitkan pegawai agensi penguat kuasa untuk membantu siasatan Op Taka dilancarkan April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Imigresen.

Suspek yang berusia lewat 30-an ditahan 6.30 petang semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Majistret M Mageshwary membenarkan suspek direman empat hari sehingga 31 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan menjelaskan siasatan dibuat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

PN akan menang 5-1, tapi tak boleh tembus Pulau Pinang - Mahathir

Malaysiakini 

Dr Mahathir Mohamad yakin Perikatan Nasional (PN) mampu  menang di lima daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya,  gabungan parti pimpinan  Muhyiddin Mohd Yassin itu diramal tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

"Saya berpendapat PN mempunyai potensi baik iaitu mereka mungkin menang semua negeri di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu), selain di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan..

Bekas perdana menteri itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sebuah majlis di Langkawi, hari ini.

“Kita dapati bahawa sentimen orang ramai bertukar. Tidak seperti pilihan raya dahulu. 

“Orang Melayu umpamanya berasa curiga tentang masa depan mereka, terutamanya generasi tua, generasi lama kerana mereka lihat kedudukan mereka tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan. 

“Mereka tak dapat petunjuk atau cadangan daripada kerajaan bagaimana untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.

Ditanya mengenai ramai calon yang dijangka bertanding atas tiket Bebas, dia berkata, mereka bukanlah calon yang serius.

“Apa boleh buat orang perseorangan yang jadi calon bebas? Dia tak boleh buat apa pun.  Dia boleh pergi ke Parlimen, bercakap. Tapi tak ada kesan sama sekali.

“Yang berkesan kalau kita jadi kerajaan. Sebab itu dalam pilihan raya hasratnya nak mendirikan kerajaan, bukan nak jadi wakil rakyat,” katanya.

Pada sidang media itu, Mahathir juga menjelaskan bahawa kehadirannya dalam program PN sejak kebelakangan ini bukan bermakna dirinya menyertai mana-mana parti.

Katanya, penampilannya hanya untuk menyokong mereka kerana mempunyai objektif yang sama.

“Saya hanya hadir untuk perjumpaan. Saya tidak menyertai PAS. Bukan PAS, bukan PN mahu pun Putra. Saya bebas daripada semua parti politik.

“Mereka (PAS) mempunyai objektif sama dengan saya, jadi saya akan sokong mereka. 

“Kami lihat kerajaan sekarang adalah kerajaan yang dipanggil sebagai kakistokrasi yang tidak tahu bagaimana hendak memerintah. Jadi kita perlu ubah (kerajaan),” katanya.

Mahathir juga pernah bersama Bersatu tetapi kemudiannya dipecat oleh Muhyiddin.

Anak Najib: 'Penyokong Bossku' ambil kesempatan untuk kepentingan diri

Isabelle Leong & Raveena Nagotra

Anak lelaki Najib Razak, Mohd Nazifuddin membidas penyokong bekas perdana menteri itu kerana mengeksploitasi pilihan raya negeri yang semakin hampir demi kepentingan mereka sendiri.

Ini selepas kumpulan "Penyokong Bossku", merujuk kepada gelaran terhadap Najib secara terbuka mengisytiharkan sokongan kepada PN menjelang enam pilihan raya negeri.
Kumpulan itu (gambar) juga berkata mereka telah hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Nazifuddin, yang juga ketua Umno Bahagian Langkawi, menegaskan pilihan raya akan datang dan usaha menegakkan keadilan untuk Najib adalah dua isu yang berbeza.

“Sekarang ini, disebabkan jadual dan acara-acara berkaitan pilihan raya negeri, saya rasa orang mengambil kesempatan daripadanya untuk keuntungan mereka sendiri.

“Sebagai sebuah keluarga, bagi kami, kami konsisten dengan apa yang kami percaya untuk bapa saya, iaitu untuk mendapatkan keadilan terhadapnya dan dia masih (mempunyai) lapan kes yang sedang berjalan.

“Kami percaya beliau akan menang dan akan ada jalan untuk beliau memohon perbicaraan semula atau pengampunan untuk membebaskannya,” katanya kepada Malaysiakini selepas menghadiri majlis pengenalan calon Perpaduan Kedah dan pelancaran manifesto di Sungai Petani, Kedah malam tadi.

Najib telah menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak Ogos lalu atas kesalahan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan SRC International Sdn Bhd milik kerajaan.

Keluarga Najib tetap sokong k’jaan perpaduan

Dengan semua jalan perundangan telah diteroka, satu-satunya harapan Najib untuk bebas adalah melalui pengampunan diraja.

Sambil melahirkan rasa terima kasih kepada penyokong bapanya atas kasih sayang dan sokongan mereka, Nazifuddin menegaskan bahawa pihak di luar keluarga mereka tidak benar-benar mewakili apa yang ada dalam fikiran Najib.

“Terdapat ramai penyokong yang mendakwa mereka mewakili bapa saya.

“Tetapi sebagai sebuah keluarga, kami membantu calon kerajaan sedia ada dan kami mahu melihat kerajaan (persekutuan) yang stabil untuk meneruskan pentadbiran negeri baru yang akan ditubuhkan di bawah kerajaan campuran.

"Kami adalah sebahagian daripada kerajaan ini, kebanyakan keluarga saya bersama Umno dan kami mahu melihat kerajaan ini terus mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bergerak ke hadapan untuk memulihkan ekonomi yang positif," katanya.

Sebelum ini, Nazifuddin dan adiknya Nooryana Najwa telah menyuarakan kebimbangan bahawa penyokong Najib mungkin tidak keluar mengundi, mendakwa mereka semakin tidak sabar dan mahu usaha lebih konkrit oleh kerajaan ke arah menegakkan keadilan untuk Najib.

Pasangan adik-beradik itu mengakui bahawa "bukan tugas mudah untuk memujuk" penyokong bapanya itu, yang merupakan majoriti ahli parti komponen BN.

Semalam, "Penyokong Bossku", yang diketuai oleh Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz, berkata mereka kesal dengan sikap Zahid yang 'membisu' dan tidak ada keinginan untuk mencari keadilan buat Najib.

Syed Muhammad Imran juga menuduh Zahid secara berterusan menggunakan mereka untuk meraih sokongan atas nama Najib.

"Sebagai ahli Umno kami telah hilang kepercayaan terhadap presiden kerana beliau menjadikan Umno seolah-olah milik individu dan sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung," katanya.
Syed Muhammad Imran (gambar, atas) juga menggesa ahli dan penyokong Najib atau dikenali sebagai Bossku menzahirkan sokongan kepada PN pada pilihan raya akan datang ini.

"Mari kita jadikan PRN ini sebagai referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Ahmad Zahid," katanya.

Dia juga berharap pemimpin PN akan menyambut baik sokongan yang diberikan mereka.

Kelantan: Lelaki parah dikelar penagih dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki parah dan terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, selepas dipercayai dikelar penagih dadah Rabu lalu.

Ketua Polis Pasir Mas, Kama Azural Mohamed, berkata mangsa berusia 32 tahun mengalami pendarahan di bahagian leher yang turut terkena saluran pernafasannya.

Katanya, ibu mangsa berusia 50 tahun memaklumkan anaknya menunggang motosikal ke tempat kerja dalam keadaan berlumuran darah kira-kira 6.27 petang kelmarin.

“Wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai terkejut melihat anaknya berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di bahagian leher,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, wanita itu segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Susulan itu, katanya, suspek dikenal pasti dan ditahan kira-kira 9 malam hari sama di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang.

Menurutnya, lelaki itu direman tujuh hari mulai semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya sambil menambah ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Rafizi cabar Sanusi debat

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Rafizi Ramli mencabar Sanusi Nor berdebat secara langsung di televisyen bagi kempen PRN selepas tawaran sama dilontarkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali beberapa hari lalu tidak disahut.

Timbalan presiden PKR berkata, beliau memilih Sanusi kerana pengarah pilihan raya PN itu dilihat sebagai pemimpin pembangkang paling berani selain yakin ia akan menjadi “hiburan terbaik” menjelang PRN 12 Ogos ini.

“Oleh kerana Azmin, bekas menteri ekonomi sampai sekarang (tidak sahut cabaran debat). Sudahlah lari dari kerusi Bukit Antarabangsa, yang itu pun takut, sekarang orang ajak berbincang pasal ekonomi pun takut.

“Jadi saya ingat yang seterusnya dalam kalangan pimpinan PN ini yang paling berani adalah Sanusi.

“Oleh itu, lepas ini insya-Allah saya nak jemput Sanusi mari berdebat dalam televisyen. Saya yakin ramai, TV3 ke, Astro ke, semua akan berebut-rebut.

“Sebab saya pengarah pilihan raya PKR, dia pengarah pilihan raya PAS. Jom mari kita berdebat supaya kita boleh bincang,” katanya dalam ceramah Jelajah Madani DUN Rawang malam tadi, menurut Harian Metro.

Dalam ceramah Jelajah Madani di Port Dickson Selasa lalu, menteri ekonomi tersebut mencabar Azmin berdebat mengenai ekonomi Malaysia jika pemimpin PN itu berani.

Sebelum itu, beliau juga pernah melontarkan cabaran debat kepada Azmin menjelang pemilihan PKR pada 2018 ketika bekas menteri hal ehwal ekonomi tersebut masih memegang jawatan timbalan presiden PKR, namun menolaknya.

Sementara itu, Rafizi berkata cabaran debat adalah untuk memulakan budaya persaingan idea bagi membantu rakyat, dan tidak tertumpu kepada retorik “siapa lebih Melayu”.

“Saya dah bentangkan satu perkara yang mudah saja, macam mana kita nak tukar solar dan atap nak bantu rakyat. Saya nak tunggu daripada PN apa idea mereka, idea konkrit macam mana nak bantu rakyat,” katanya.

Katanya, debat itu boleh diadakan dalam tempoh sepanjang dua minggu kempen sebagai cara terbaik untuk “menutup” mulut Sanusi daripada memperlekeh atau menghina pemimpin lawannya.

“Jadi ada masa dua minggu lagi ni, kalau saya tak bantu dia berdebat pasal ekonomi, pasal pentadbiran, saya tak tahu siapa lagi dia nak hina lepas ini,” katanya.

Hadi sanggahi dakwah Nik Aziz

Wan Ji Wan Hussin

Orang Melayu ada pepatah: “Tidur satu bantal, tetapi mimpi berbeza.”

Mungkin hikmah di sebalik pepatah Melayu itu boleh dilihat pada perbezaan antara dua tok guru - Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat (allahyarham).

Duduk dalam parti yang sama, tetapi dakwah Islam mereka berbeza.

Bagi yang mendapat tarbiah dan didikan Islam daripada Nik Abdul Aziz, pasti mereka akan merasakan perbezaan yang amat besar dengan pendekatan dakwah yang diperkenalkan oleh Abdul Hadi.

Kalau kita melihat pendekatan dakwah Nik Abdul Aziz, beliau mengajar bahawa Islam merentasi kaum. 

Antara ungkapan yang paling terkenal dari Nik Abdul Aziz: 

“Melayu ko, Cina ko, India ko, Siam ko, Arab ko; semua itu tidak ada nilai satu sen pun di akhirat kelak. Yang ada nilai adalah taqwa.”

“Melayu ko, Arab ko, Amerika ko, Siam ko, baka (keturunan) Wan ko, baka Nik ko, semua kita asal dari (Nabi) Adam. 

“Hakikat kita adalah adik beradik. Perbezaan kita hanya kerana geografi sahaja.”

PAS di era Nik Abdul Aziz, dalam kelemahan pun, bekas mursyidul am PAS itu mahu pandu PAS ke arah Islam yang merentasi kaum.  

Dakwah Nik Aziz ini sama dengan ajaran Nabi Muhammad yang mengajar bahawa Islam bukan untuk sesuatu kaum sahaja, tetapi untuk semua kaum dan bangsa. 

Dalam hadis, Nabi SAW ada bersabda: 

“Aku diutuskan kepada semua manusia.” (al-Bukhari, hadis no: 438)

Bahkan, terdapat ayat al-Quran yang diturunkan berkenaan sahabat Nabi yang satu bangsa dengan Nabi Muhammad. 

Seperti ayat: “Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling taqwa dalam kalangan kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Menurut Ibn Abbas, ayat ini berkaitan dengan sahabat nabi yang berbangsa Habshi, iaitu Bilal Bin Rabah (Qurtubi, 1964).

Perjuangan bangsa

Dakwah Hadi ternyata berbeza; apabila beliau memandu PAS ke arah perjuangan sesuatu bangsa sahaja. 

Ekoran itu, dalam artikel terbaru beliau yang bertajuk “Perjuangan Agama Dan Bangsa: Perbandingan Antara Tun Mahathir Dan Anwar Ibrahim”, Presiden PAS itu menjenamakan ahli PAS dengan “Ahli PAS ialah Melayu yang tidak lupa”

Dakwah Nik Abdul Aziz adalah memanfaatkan kebijaksanaan melebihi kaum dalam memajukan negara. Ekoran itu, beliau pernah menyebut bahawa tidak kisah Perdana Menteri dari apa jua bangsa sekalipun, asalkan dia seorang Muslim yang bijak dan mampu membawa negara ini kepada kemajuan.

Dakwah Nik Abdul Aziz ini selaras dengan hadis Nabi SAW yang bersabda: 

“Apabila sesuatu urusan itu diberikan kepada orang yang berkelayakkan, maka tunggu saat kehancuran.” (al-Bukhari, hadis no: 59)

Dan firman Allah: “Allah suruh kamu agar berikan amanah kepada orang yang berkelayakan” (Surah al-Nisa’, ayat 58)

Ini berbeza dengan dakwah Hadi yang menganggap perjawatan berasaskan perjuangan bangsa dan kaum tertentu, sedangkan faktor kelayakan hanya perkara sampingan sahaja. 

PAS perlu kembali kepada landasan Islam yang diperkenalkan Nik Abdul Aziz. Dakwah tersebut ternyata berasaskan semangat dan dasar ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW ada bersabda: “Barangsiapa yang mengamalkan amalan yang bukan dari urusan kami, maka ia tertolak.” (al-Bukhari, hadis no: 2697)

Senarai calon PN Kelantan

MB, TMB Kelantan pertahan kerusi, 23 calon muka baru
N Faizal Ghazali

Menteri Besar sementara Kelantan Ahmad Yakob dan timbalannya Mohd Amar Abdullah tampil mempertahankan kerusi masing-masing di dewan undangan negeri (DUN) Pasir Pekan dan Panchor.

Perikatan Nasional (PN) Kelantan turut mengekalkan tujuh exco kerajaan negeri dan menggugurkan dua exco dalam senarai calon pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan pada 12 Ogos nanti.

Penyandang DUN Demit, Mumtaz Md Nawi yang juga bekas exco kebajikan, pembangunan keluarga dan wanita digantikan dengan Setiusaha Politik Menteri Besar Kelantan, Asri Daud.

Di kerusi DUN Pengkalan Pasir pula menyaksikan penyandangnya Hanifa Ahmad yang juga bekas exco perindustrian, perdagangan dan pembangunan usahawan digantikan dengan Nasrif Daud.

Selain itu, antara kerusi kubu kuat PAS yang diberi sentuhan muka baru adalah DUN Chempaka apabila penyandangnya Fathan Mahmood digugurkan dan digantikan dengan calon muka baru, Nik Baharum Nik Abdullah.

Majlis pengumuman itu berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Sementara itu, barisan calon yang ditampilkan PN Kelantan membabitkan 23 calon muka baru secara keseluruhannya.

Seramai 39 calon daripada PAS, manakala Bersatu diamanahkan bertanding di enam DUN dalam PRN kali ini.

Calon-calon PN Kelantan adalah seperti berikut:

N01 Pengkalan Kubur - Wan Roslan Wan Hamat

N02 Kelaboran - Mohd Adanan Hasan

N03 Pasir Pekan - Ahmad Yakob

N04 Wakaf Bharu - Mohd Rusli Abdullah

N05 Kijang - Dr Izani Husin

N06 Chempaka - Nik Baharum Nik Abdullah

N07 Panchor - Mohd Amar Nik Abdullah

N08 Tanjung Mas - Rohani Ibrahim

N09 Kota Lama - Zamri Ismail

N10 Bunut Payong - Shaari Mat Yaman

N11 Tendong- Rozi Muhamad

N12 Pengkalan Pasir - Mohamad Nasrif Daud

N13 Meranti - Mohd Nassuruddin Daud

N14 Chetok - Zuraidin Abdullah

N15 Gual Periuk - Kamaruzaman Mohamad

N16 Apam Putra - Zamakhsari Muhamad

N17 Salor - Saizol Ismail

N18 Pasir Tumboh - Abdul Rahman Yunus

N19 Demit - Asri Daud

N20 Tawang - Harun Ismail

N21 Pantai Irama - Huzaimy Che Husin

N22 Jelawat - Zameri Mat Nawang

N23 Melor - Wan Rohaimi Wan Daud

N24 Kadok - Azami Mohd Nor

N25 Kok Lanas - Mohamed Farid Mohamed Zawawi

N26 Bukit Panau - Abd Fattah Mahmood

N27 Gual Ipoh - Bahari Mohd Noor

N28 Kemahang - Md Anizam Ab Rahman

N29 Selising - Tuan Mohd Sarifuddin Tuan Ismail

N30 Limbongan - Nor Asilah Mohamed Zain

N31 Semerak - Norsham Sulaiman

N32 Gaal - Muhamad Rodzi Jaafar

N33 Pulai Chondong - Azhar Salleh

N34 Temangan - Mohamed Fadzli Hassan

N35 Kemuning - Ahmad Zahran Mohd Nor

N36 Bukit Bunga - Mohd Almidi Jaafar

N37 Ayer Lanas - Kamaruddin Md Nor

N38 Kuala Balah - Abdul Hadi Awang Kechik

N39 Mengkebang - Zubir Abu Bakar

N40 Guchil - Hilmi Abdullah

N41 Manek Urai - Mohd Fauzi Abdullah

N42 Dabong - Ku Zaki Ku Husin

N43 Nengiri - Mohd Azizi Abu Naim

N44 Paloh - Shaari Mat Hussain

N45 Galas - Mohd Tarmizi Abd Rahman

Nik Abduh dan Annuar Musa tidak ada dalam senarai calon PN Kelantan

N Faizal Ghazali

Nama anak kepada bekas menteri besar Kelantan, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz, terus 'ghaib' daripada senarai calon pilihan PAS bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Kelantan.

Malaysiakini sebelum ini memetik beberapa sumber melaporkan bekas ketua Pemuda PAS Pusat itu berkemungkinan akan dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Dalam majlis pengumuman calon PN Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam ini, penyandang DUN tersebut, Fathan Mahmood, juga tidak dicalonkan semula.

Senarai nama calon itu diumumkan Timbalan Mursyidul Am PAS Ahmad Yakob.

Sebaliknya PAS menggantikann Fathan dengan muka baru yang juga seorang peguam, Nik Baharum Nik Abdullah.

Sementara itu bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa yang sebelum ini menyertai PAS turut tidak dicalonkan.

Bekas menteri Umno itu sebelum ini disebut-sebut antara individu berpengaruh yang mungkin menjadi pertaruhan PN di Kelantan.

Dia sebelum ini memberi gambaran bahawa dia tidak tergesa-gesa mahu menjadi calon PAS untuk bertanding PRN selepas meyertai parti itu awal Jun lalu.

Annuar - yang lima kali menjadi ahli parlimen sejak 1986 - berkata dia menyertai PAS untuk mengejar matlamatnya melindungi Islam dan Melayu, dan bukannya jawatan awam.

"Saya tidak bertanding pun tidak mengapa, asalkan Umno tak menang.

"Jika diberikan mandat untuk bertanding, saya perlu berbincang dengan pucuk pimpinan PAS bagi mengetahui untuk tujuan apa diamanahkan berbuat demikian.

"Kalau tidak, boleh sahaja bagi peluang kepada anak-anak muda atau calon dalam kalangan ahli PAS yang sudah lama dengan parti ini. Lagipun, saya masih baru dalam PAS," katanya seperti dilaporkan baru-baru ini.

Rogol amah, ahli perniagaan dipenjara 12 tahun

BERNAMA

Putrajaya: Seorang ahli perniagaan dipenjara selama 12 tahun selepas gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan, hari ini untuk mengetepikan sabitan dan hukuman kerana merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, pada 2016.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan supaya perayu dikenakan lima sebatan.

Ini berikutan keputusan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Wong Kian Kheong, yang sebulat suara menolak rayuan dikemukakan Sufian Sulaiman, 49, terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Mei 2018.

Dia dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 19 tahun ketika itu di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur, antara jam 3 dan 4 pagi pada Julai 2016.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 28 Ogos 2020.

Wong, yang bersidang bersama-sama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, tiada sebab untuk mengganggu dapatan serentak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Sufian atas kesalahan itu.

Beliau berkata hakim perbicaraan telah mempertimbangkan semua keterangan dalam kes itu terutamanya kelakuan mangsa yang memberitahu kakak ipar Sufian dan rakan kakak ipar mengenai kejadian itu.

Katanya, kes tersebut serius di mana majikan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga pembantu rumahnya tetapi sebaliknya mengkhianati tanggungjawab tersebut.

Hakim Wong, bagaimanapun berkata, mahkamah membenarkan rayuan Sufian untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 14 kepada 12 tahun.

Beliau kemudian mengeluarkan waran komital terhadap Sufian untuk memulakan hukuman penjara mulai hari ini.

Sufian diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Geethan Ram Vincent dan Kee Wei Lon manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang.

Dera isteri hingga mati, lelaki diburu polis

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
MOHAMED Imran diburu polis. FOTO Ihsan Polis
MOHAMED Imran diburu polis. FOTO Ihsan Polis
Kajang: Dera isteri sehingga mati sebelum hantar mayat wanita itu ke hospital. Perbuatan kejam lelaki itu terbongkar hasil pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan di sebuah hospital swasta, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan kejadian pada 12.15 tengah malam Ahad lalu.

Menurutnya, wanita berusia 38 tahun terbabit dihantar ke pusat perubatan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa dihantar oleh suaminya dan selepas mendapat tahu isterinya disahkan sudah meninggal dunia, dia menghilangkan diri.

"Pemeriksaan awal pegawai perubatan terbabit mendapati terdapat kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian mangsa akibat dipukul objek tumpul sehingga mengalami kecederaan dalaman serius selain terdapat kesan kecederaan di seluruh badan.

"Dalam siasatan yang dilakukan, kejadian dipercayai berlaku di sebuah pangsapuri di Sungai Long. Namun motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, polis kini sedang giat mengesan suami mangsa iaitu Mohamed Imran Mohamed, 32, beralamat terakhir di Apartment Sutera Pines, Jalan Sutera Pines, Sungai Long, Kajang.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis berdekatan.

PAS larang ahli buat kenyataan kecuali diizinkan presiden

Malaysiakini

PAS sekali lagi memberi peringatan kepada ahli-ahlinya agar memberikan komitmen maksimum bagi memastikan kemenangan calon PN dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan serentak pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassam berkata arahan yang dikeluarkan pemimpin parti itu, khususnya jabatan pilihan raya, mestilah dipatuhi.

"Secara tegasnya sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sehingga dipecat.

"Ini termasuklah sebarang tindakan seumpama menjadi calon atau menyokong calon selain daripada calon PN," katanya dalam kenyataan malam ini.

Arahan itu adalah peringatan sekurang-kurangnya kali ketiga dibuat oleh PAS selepas penegasan yang sama disebut presiden parti itu Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man siang tadi.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu turut mengeluarkan arahan kepada semua ahli PAS agar tidak membuat sebarang kenyataan kecuali selepas diizinkan presiden mereka.

"Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh pilihan raya ini," katanya.

Wajib undi calon PN

Sebelum ini ada beberapa pemimpin PAS peringkat pertengahan dan akar umbi menyatakan rasa kurang senang dengan pengagihan kerusi dalam kalangan parti PN.

Antara yang paling menonjol ialah pembabitan Presiden Gerakan Dominic Lau yang bertanding di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.

Asalnya nama Lau dikaitkan dengan kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan di Tasek Gelugor namun ia dibantah Pemuda PAS kawasan terbabit.

Semalam beberapa pemimpin termasuk anggota Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang membantah langkah pemimpin PN meletakkan Lau di Bayan Lepas.

Rasa tidak senang itu mendorong PAS di kawasan berkenaan mengancam untuk menutup bilik operasi masing-masing dan enggan memberikan undi kepada Lau.

Takiyuddin berkata PAS mewajibkan semua ahli dan penyokong parti itu agar keluar mengundi awal dan memberikan undi masing-masing kepada calon PN.

"PAS yakin dengan perjuangannya yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara yang digerakkan bersama gabungan PN akan terus diberikan mandat untuk mara berkhidmat di peringkat negeri dan negara," katanya.

Ada surat untuk Hang Tuah tersimpan di Itali

Amir Mamat
am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Kerajaan Melaka merancang untuk membawa pulang satu manuskrip lama dipercayai sepucuk surat yang didakwa diutuskan oleh Maharaja Rom kepada Hang Tuah satu ketika dahulu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, surat yang dikatakan dihantar oleh perutusan maharaja terbabit iaitu pelukis terkenal potret Monalisa Leornardo Da Vinci kini tersimpan di sebuah muzium di Vatican City, Rom di Itali.

Beliau berkata, pengkaji sejarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Rohaidah Kamaruddin mengesahkan mengenai penemuan surat terbabit.

"Dr Rohaidah melakukan kajian sejarah itu ke Vatican City dan satu daripada hasil penyelidikan terbabit menemui sepucuk surat dipercayai ditujukan kepada Hang Tuah dengan menggunakan nama Laksamana Orang Muda.

"Ada beberapa perkataan yang sukar dibaca di surat berkenaan tetapi beliau yakin surat itu ditujukan kepada Hang Tuah sebelum dititahkan oleh Sultan Mansur Syah untuk menghadap Maharaja Rom. Surat itu dihantar oleh Leornardo Da Vinci," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan Huffaz 2022 Melaka, di Amverton Heritage Resort, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pakar dan pengkaji sejarah Melayu untuk berkunjung ke Vatican City bagi membawa pulang surat terbabit serta beberapa artifak lain.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa fakta sejarah Kesultanan Melayu Melaka perlu diperbetulkan bagi memastikan generasi sekarang dan akan datang tidak terus keliru.

"Dengan kewujudan artifak sejarah itu sebenarnya membuktikan kehebatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah itu wujud di serata dunia.

"Kerajaan negeri sedang berusaha membawa balik semua artifak ini dan sedang mengatur bajet khas bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan," katanya.

Gaduh di hotel, warga emas ditemukan maut

Bernama

KUANTAN: Seorang lelaki warga emas warga tempatan ditemukan maut dengan kesan cedera di mulut, mata, dan muka di tempat letak kereta sebuah hotel di Genting Highlands selepas dirakam bergaduh di lobi hotel.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar, berkata mangsa berusia 67 tahun, ditemukan pada 5.39 petang semalam dalam keadaan terlentang.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di lobi, sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan sekali lagi bergaduh.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati antara mangsa dan suspek disebabkan bilik hotel,” katanya menerusi kenyataan.

Zaiham berkata, suspek yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah, IPD Bentong di 09-2222222 atau balai polis berhampiran.

Zeti: Keluarga saya tak terima satu sen pun

Ho Kit Yen 

KUALA LUMPUR: Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberitahu mahkamah bahawa tiada seorang pun ahli keluarganya pernah menerima atau mengambil dana 1MDB.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan kes rasuah Najib Razak berkait 1MDB.

Akram menyoal Zeti sama ada beliau dan ahli keluarganya pernah menerima sebarang manfaat daripada transaksi dalam akaun bank Najib.

“Tiada seorang pun dalam ahli keluarga saya pernah terima atau ambil satu sen pun (daripada 1MDB),” jawab Zeti.

Najib sebelum ini mendakwa keluarga Zeti menerima wang daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dalam permohonannya ke mahkamah, Najib meminta pihak pendakwaan mengemukakan penyata bank daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, Acme Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd.

Najib mendakwa syarikat-syarikat berkenaan mempunyai kaitan dengan keluarga Low dan keluarga Zeti.

Bekas perdana menteri itu juga meminta pihak pendakwaan mengemukakan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020, dan transkrip laporan forensik ke atas telefon bimbit bekas pengurus bank, Tim Leissner.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bagaimanapun menolak permohonan itu, atas alasan dokumen-dokumen berkenaan tidak relevan dengan tuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa yang dihadapi Najib.

Menurut mahkamah, Najib juga tidak berhak memperoleh keterangan saksi yang dirakam polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan, bagi mengelakkan ia terjejas.

Najib menarik balik rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memperoleh dokumen-dokumen itu bulan lepas.

Peguamnya bagaimanapun berkata, perkara ini akan ditimbulkan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

KJ: Tak mustahil PN menang di Selangor

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Bergantung pada tahap peratusan keluar mengundi, Khairy Jamaluddin berkata, tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan di Selangor.

Khairy berkata, terdapat tiga kemungkinan keputusan PRN Selangor.

Kemungkinan pertama, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal memegang Selangor apabila peratusan keluar mengundi tinggi, iaitu 81%.

“PH-BN akan memperoleh 52% undi Melayu, andaian realistik berdasarkan yang diperoleh PH pada PRU,” katanya dalam ulasan ISEAS Perspective.

Dalam senario “biasa”, dengan peratusan keluar mengundi bagi bukan Melayu pada 55% dan Melayu 81%, Khairy berkata, PH-BN akan kekal.

Bagaimanapun, dalam senario di mana PN menawan Selangor, Khairy berkata, bahagian undi PH-BN dalam kalangan orang Melayu akan menurun 32%, walaupun dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi sebanyak 81%.

Ini melibatkan peralihan sederhana dalam sokongan orang Melayu sebanyak 5%, katanya.

“Sudah tentu ia banyak bergantung kepada kempen untuk melihat sama ada golongan bukan Melayu boleh diyakinkan untuk hadir dalam jumlah yang besar, dan jika orang Melayu terus memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungannya, seperti yang diharapkan,” tambah Khairy.

Khairy juga berkata, keputusan buruk bagi BN akan mendorong Umno mempertimbangkan perubahan kepimpinan dan strategi kerana ia akan mengukuhkan mesej pengundi bahawa parti itu kekal “tidak boleh menang”.

“Namun, penyatuan parti oleh Zahid (Hamidi) melalui ‘pembersihan’ yang dilaksanakan awal tahun ini, pemberian ganjaran kepada penyokong setia menerusi pelbagai pelantikan menunjukkan bahawa Umno mungkin tidak akan mengendahkan sebarang keputusan yang mungkin suram dan berlagak seperti semuanya baik-baik sahaja,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu menambah, Anwar juga akan terpaksa menilai semula kerjasamanya dengan Umno jika parti itu menunjukkan prestasi buruk pada PRN.

“Adakah beliau mahu komited terhadap pakatan pilihan raya pada masa akan datang dengan dengan Umno dan BN?

“Atau adakah beliau akan menganggap mereka sebagai rakan kongsi sementara untuk memastikan kerajaan perpaduannya kekal sehingga akhir penggal Parlimen ini?”