"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

Bimbangkan DSAI,RPK egen Yahudi,UMNO belanja berjuta untuk APCO tak bimbang?

notan
Assalamualaikum,,..
Berbagai bagai dakwaan mengenai hubungan DSAI dan terbaru RPK dengan yahudi. Yahudi didakwa membiayai RPK, sementara DSAI pula dikatakan menjadi sahabat baik Yahudi. Tetapi satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah sebarang penglibatan kedua dua orang ini tidak menjejaskan rakyat tetapi penglibatan APCO serta hubungan dagang rahsia dengan Israel yang sedang dirasai rakyat.

APCO dibayar berjuta RM untuk menjadi penasihat kerajaan sementara peneroka Felda dibodohkan kerana sumbangan mereka kepada perdagangan minyak sawit dengan Israel. Peliknya, ada juga suara suara sumbang yang menyuarakan kebimbangan mereka dengan hubungan DSAI dan RPK dengan yahudi sebagai unsur yang bakal merosakkan agama secara perlahan lahan. Untuk menambah rencahnya lagi, DAP turut didakwa bersubahat dengan Yahudi untuk menghapuskan Islam tetapi apa yang dilakukan oleh APCO dan UMNO berkaitan urusniaga rahsia dengan Israel didiamkan.

Mana yang lebih patut dibimbangkan sekarang? peranan APCO dan UMNO dalam memberi kesenangan kepada Yahudi atau hubungan DSAI, RPK dan DAP dengan yahudi yang tidak dirasai oleh rakyat? Itupun kalau benar ada hubungan sulit jahat antara DSAI, RPK dan DAP dengan yahudi. Barangkali MCA yang mendapat untung dari urusniaga dengan Israel.

Barangkali patut juga kita renung kembali hadis baginda yang menyebut bahawa satu hari sebelum kiamat, yahudi akan dihapuskan. Kalau yahudi akan dihapuskan bermakna segala perancangan jahat yahudi pasti tidak akan berjaya dan untuk apa DSAI dan RPK mahu bersubahat dengan yahudi dan kalaupun memang ada hubungan jahat antara mereka, kenapa harus kita kalut tak tentu pasal? Lupakah kita dengan ALLAH dan janji pertolongan ALLAH? Asal saja kita berganding bahu untuk menegakkan akidah dan syariat ALLAH menerusi kaedah kaeadah yang dibenarkan, kenapa kita perlu takut?

Dalam masa yang sama wajarkan kita berdiam diri dan membiarkan kerajaan UMNO membelanjakan duit kita untuk APCO yang sudah sah yahudinya? Atau kita mahu ikut ZUL NORDIN yang bebal dengan menyatakan APCO itu bukan APCO worlwide? Wajarkan kita pekakkan telinga dengan fakta kemasukan kapal dagang Israel ke pelabuhan kelang untuk mengambil minyak sawit dan yang digunakan untuk terus menghidupkan yahudi di Israel dan sejenis bahan kimia yang mungkin digunakan untuk membuat senjata untuk membunuh saudara kita di Palestin?

Tepuk dada tanya iman.

NKRA (Najib Kerja Rosmah Arah), Geli Gelemannya!!!

ruhan
Isu tentang ketiadaan kualiti, kredibiliti, dan integriti dalam kalangan pemimpin UMNO-BN sudah lama diperkatakan. Namun demikian, dakwaan itu sering dipertikaikan oleh mereka. Kini, tindak-tanduk mereka telah memperjelaskan kebenaran dakwaan itu.

Isu FELDA belum lagi reda. Akhbar Suara Keadilan tidak diberi kebenaran menyambung pengeluarannya gara-gara rencana "FELDA Bankrap". Anehnya, cabaran ANAK untuk berdebat dengan Ahmad Maslan tidak disambut. Mereka meminta supaya diadakan majlis dialog sahaja. Bahana perdebatan Anwar-Ahmad Saberi Cheek dan Lim Guan Eng-Koh Soo Koon masih segar dalam ingatan mereka. Pemimpin UMNO-BN tidak berupaya menepis hujah berserta bukti yang dikemukakan oleh lawan mereka. Sehubungan itu, rakyat tahulah kedudukan sebenar isu yang diperdebatkan itu.

Sudahlah begitu. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin yang berlainan atas topik yang sama juga berbeza-beza. Ahmad Maslan cakap lain. Najib cakap lain. Yang terpinga-pinga ialah peneroka dan rakyat melihat putar belit yang disengajakan itu. Khabarnya Najib akan bagi duit raya kepada peneroka. Taktik ini sebenarnya sudah selalu sangat digunakan oleh UMNO-BN untuk menutup kecurangan dan memenangi kembali sokongan rakyat. Pemikiran kuno ini mensahihkan kebankrapan idea UMNO-BN. Rakyat bukan macam dulu lagi. Mereka sudah cerdik. Tak mainlah dengan kepura-puraan itu. Tak mainlah dengan telunjuk lurus kelingking berkait itu.

Isu pembelian kapal selam pun begitu juga. Kerajaan Perancis sudah mula membuat siasatan tentang kewujudan pemberian rasuah melalui komisyen juta-juta. Menteri Pertahanan Malaysia yang bergelar doktor mengeluarkan kenyataan dangkal apabila menyatakan bahawa SPRM tidak perlu menyiasat kes itu kerana semua prosedur telah dipatuhi. Baginya apa-apa saja yang dibuat oleh kerajaan semuanya betul. Tutup sebelah mata untuk apa-apa yang orang lain kata.

Begitu juga dengan kenyataan Wain dalam bukunya mengenai penyelewengan berbilion ringgit yang dilakukan oleh Dr. Mahathir. SPRM kata tiada kes. Jika begitu halnya, Wain telah berbohong. Mengapa dia tidak disaman kerana melakukan perbuatan tidak bermoral itu? Satu dunia baca buku yang didakwa berunsur fitnah itu.

Isu jawapan bertulis yang berbeza-beza kepada soalan yang sama di parlimen juga menjatuhkan kredibiliti dan integriti menteri dan timbalan menteri UMNO-BN. Hal ini tidak akan berlaku jika sikap flip-flop disingkirkan. Keputusan yang kabur dan tidak konsisten telah menggelabahkan pegawai-pegawai kerajaan untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Sikap sambil lewa sebegini menunjukkan kompetensi menteri sangat rendah. Ke mana perginya KPI yang dilaung-laungkan itu? Buang dalam tong sampah sahajalah.

Isu terbaru yang ditimbulkan ialah PETRONAS menjadi sebuah syarikat yang tidak berdaya saing dalam bidang cari gali untuk mendapatkan telaga minyak yang baru jika dibandingakan dengan Shell, Exxon-Mobil, dan sebagainya. Ketidakmampuan ini akan mendatangkan masalah besar kepada ekonomi negara yang terus bergantung kepada perolehan PETRONAS. Senang cerita, pendapatan PETRONAS merudum, ekonomi Malaysia turut merudum. Ketika masalah ini tidak mampu diselesaikan, sumber lain pendapatan negara gagal dijana. Jawabnya bertambah teruklah negara ini nantinya.

Bila bercakap tentang ekonomi, banyak pula telahan yang diberikan sehingga rakyat keliru yang mana satu hendak dipegang. Dulu Najib kata ekonomi berkembang. Hari ini dia kata ada masalah. Datang Nur Mohamed pula, oh kita berada di landasan yang betul, ekonomi tetap berkembang sebanyak 6% berdasarkan pencapaian China dan beberapa negara lain. Semua kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan Dr. M yang baru balik dari England. Dia kata ada tanda-tanda kemelesetan di Eropah. Oleh sebab itu, ada harapan Malaysia akan menghadapi kemelesetan berganda. Apa ni? Dia juga kata Wawasan 2020 akan gagal jika beberapa pengubahsuaian yang positif gagal dilaksanakan. Sindir ke balun orang ni?

Kecelaruan demi kecelaruan sedang memerangkap pemimpin-pemimpin UMNO-BN. Kesemuanya menyerlahkan situasi tiada kualiti, tiada kredibiliti, dan tiada integriti dalam kalangan mereka. Oleh sebab itu, ada yang mentafsirkan NKRA sebagai Najib Kerja Rosmah Arah. Hai geli-gelemannya!!! Ada betul ka?

http://bilahrotan.blogspot.com

Ahli PBT: PAS Selangor lakar sejarah, ‘denda jika khianat’

KUALA LUMPUR, 10 Julai: Susulan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS akhir Mei lalu, PAS Selangor mengumumkan satu lagi kelainan malam tadi.

Lazimnya, parti-parti politik hanya akan memberi keutamaan kepada ahli masing-masing dalam pelantikan jawatan politik. Bagaimanapun PAS Selangor mengambil pendekatan berbeza.

Daripada 67 kerusi ahli majlis yang diperuntukkan kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu di Selangor, PAS memilih empat ahli kalangan bukan Islam.

Daripada empat nama itu, tiga orang India dan seorang Cina.

Mereka terdiri daripada K. Deepakaran yang dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang, S. Arun (Hulu Selangor), S. Lakshmanan (Kuala Selangor) dan Low Hock Khieng (Selayang).

Di sebalik pelantikan bersejarah itu, bakal ahli-ahli majlis PBT ini mempunyai tugas dan tanggungjawab besar - mereka mengangkat sumpah di hadapan kepimpinan PAS bahawa akan meletakkan jawatan serta-merta dan membayar ‘ganti rugi’ jika wujud situasi tidak lagi kekal dalam PAS.

Sebahagian besar daripada 67 wakil itu menerima watikah lantikan sebagai ahli majlis daripada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali di sini malam tadi.

Ketika ditemui wartawan, Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri mengakui, “saya percaya ini kali pertama PAS” melantik kalangan bukan Islam sebagai ahli majlis.

Yang pasti, ia memang satu rekod lebih-lebih lagi selepas pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, hasil dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS berusia enam tahun.

Ekroan langkah dinaik taraf, dewan itu telah menghantar wakil mereka sebagai pemerhati khas untuk berucap pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Kota Baru bulan lalu.

“Saya percaya ini kali pertama PAS berbuat demikian... kami hendak mengiktiraf peranan penyokong-penyokong bukan Islam yang menyokong kami selama ini,” katanya.

“Memang semasa kami mengemukakan nama kepada kerajaan negeri ada yang terkejut apabila calon bukan Islam dikemukakan... tetapi ini cara kami mengiktiraf peranan mereka dalam PAS,” katanya.

Ini kali ketiga kerajaan negeri Selangor membuat pelantikan ahli majlis sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri itu bermula Mac 2008.

Memandangkan ini kali pertama PAS khususnya PAS Selangor membuat pelantikan ahli majlis kalangan bukan Islam, sesi angkat sumpah taat setia kepada parti menjadi tumpuan mereka yang menghadiri majlis malam tadi.

Ahli-ahli majlis beragama Islam membacakan bai’ah manakala bukan Islam pula ikrar aku janji.

Malam tadi, mereka juga menandatangani surat letak jawatan sebagai langkah berjaga-jaga jika melompat ke parti lain ataupun tidak lagi menjadi ahli PAS.

Di bawah bai’ah mana-mana ahli PAS yang keluar parti atau menyertai parti dikehendaki meletakkan jawatan dan segala pendapatan wakil itu dan anggota keluarganya akan dianggap “haram”.

PAS lazimnya mengamalkan bai’ah semasa pemilihan calon pilihan raya.

Ahli-ahli bukan Islam pula dikehendaki meletakkan jawatan dan membayar balik segala pendapatan dan elaun yang diperolehi ketika memegang jawatan sebagai ahli majlis.

“Bayar balik elaun atau pendapatan ini hanya melibatkan mereka bukan Islam kerana ahli beragama Islam pendapatan mereka terima dianggap haram di bawah bai’ah... mereka mengambil taat setia bai’ah,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir kepada The Malaysian Insider.

Ketika ditanya apakah pelantikan ini petanda PAS Selangor akan memberikan kerusi untuk bukan Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS bertanding di negeri itu, Hasan berkata, kemungkinan itu boleh dipertimbangkan.

“Selagi saya menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor saya akan memberikan pertimbangan jika ada calon yang sesuai dan kerusi yang sesuai.

“Lagipun perkara ini sudah diputuskan ketika muktamar bulan lalu,” katanya.

-malaysianinsider-

Isu pembatalan judi bola cetus pergeseran antara Umno dengan MCA

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak berpuas hati dengan Presiden UMNO yang juga sebagai Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dalam isu pembatalan kebenaran lesen judi sukan. Beliau sangat kuatir keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno akan menjadi satu 'precedent' kes yang merbahaya.

Sepatutnya, kata beliau keputusan tersebut dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri bukannya Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Menteri-menteri yang telah dilantik tidak boleh menyuarakan pandangan masing-masing sedangkan sebelum ini MCA, MIC, PPP dan LDP bersama-sama mempertahankan Perdana Menteri dalam isu ini. Keputusan ini boleh menimbulkan tanggapan parti komponen BN yang lain adalah di bawah telunjuk Umno.

"Kami berasa kecewa. Ia sepatutnya diputuskan pada peringkat kabinet, supaya semua pihak komponen dapat memberikan pandangan mereka," kata Chua pada sesi wawancara khas dengan beberapa media terpilih di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur.

Presiden Umno pada pada 25 Jun lalu, telah mengumumkan Majlis Tertinggi Umno sebulat suara menolak cadangan memberi lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Vincent Tan.

Apa yang berlaku ini membuktikan sudah wujudnya perselisihan faham antara Presiden Umno dengan Presiden MCA dan mungkin juga MIC, PPP dan LDP. Walaupun mereka dalam kumpulan yang sama (BN) tetapi mereka berbalah sesama sendiri.

Mengulas perkara ini, Setiausaha Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Suhaizan Kaiat berkata, benarlah Allah menyatakan dalam Al-Quran judi akan membawa manusia kepada pergaduhan dan pergeseran sekarang peringkat tertinggi dalam negara.

"Jika menteri pun boleh bergaduh atas isu judi, cuba kita bayangkan bagaimana penagih judi, keluarga dan masyarakat mereka. Pergaduhan ini sangat merugikan negara. Malangnya kerajaan berbangga menggunakan cukai hasil judi untuk pembangunan negara walaupun di sana ada rakyat yang tertindas akibat daripada judi," tegas beliau.
-detikdaily-

Najib Gentar Dedahkan laporan kewangan Petronas

Pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak dicabar agar mendedahkan segera laporan kewangan Petronas kepada seluruh rakyat Malaysia secara telus, tegas bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Dato' Dr Tan Kee Kwong. Dalam satu kenyataannya, Tan mencabar Perdana Menteri, supaya mendedahkan segala akaun dan kewangan dengan telus syarikat GLC tersebut.

Meskipun Petronas sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang diurus secara baik dan profesional dan menyumbang kira-kira 40 peratus perbelanjaan tahunan kerajaan namun akaun serta laporan kewangannya tidak pernah dibentangkan di Parlimen, katanya

Sebagai salah seorang yang pernah menggangotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Malaysia (PAC) sebelum ini, Tan pernah mendesak Menteri Kewangan II sebelum ini meneliti laporan kewangan Petronas.

"Namun Menteri Kewangan ketika itu hanya memberi tahu bahawa beliau hanya menjaga Kementerian Kewangan manakala Petronas di bawah pengawasan Perdana Menteri," katanya.

Beliau juga mempersoalkan Perdana Menteri, Umno dan seluruh kabinet, mengapa rakyat tidak boleh mengkaji dan meneliti laporan kewangan dan akuan Petronas. Keadaan ini tidak boleh diterima langsung, malah dibimbangi ada rahsia tersembunyi.

Tan juga mempersoalkan amalan Petronas yang menggunakan pemegang opsyen atau orang tengah untuk menjual minyak mentah yang dikeluarannya sama di dalam atau luar negara dan tidak secara terus kepada pasaran terbuka.

"Sekira ini benar, saya ingin bertanya kepada Petronas mengapa tidak jual secara terus kepada pasaran terbuka?," soalnya. Beliau difahamkan Petronas dipaksa menjual kepada pemegang opsyen ini pada harga yang amat rendah melalui ikatan kontrak untuk tempoh yang panjang.

"Umpamanya kontrak menyatakan Petronas perlu menjual minyak mentah pada harga US$40 satu tong sementara harga pasaran dunia kini ialah US$75 satu tong. Jadi pemegang opseyen membuat untung sebanyak US$35 satu tong dan Petronas akhirnya mendapat keuntungan yang kecil.

"Bayangkan sekiranya harga minyak mentah dunia melambung kepada US$100 satu tong. Pada harga ini kadar komisyennya sudah tentu meningkat dan lebih baik daripada apa yang dibayar kerajaan untuk membeli dua kapal selam Perancis. Inilah cara bagaimana negara kehilangan wang setiap hari," dakwanya lagi.
-detikdaily-

Usaha Terancang Umno BN Tekan Media Alternatif

Parti Keadilan Rakyat berkata ada usaha terancang untuk menekan dan menyekat media yang lantang mengkritik dasar dan tindak-tanduk kerajaan Umno-BN.

Pengarah Strategi PKR Tian Chua berkata keengganan Kementerian Dalam Negeri memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan, Harakh dan Roket atas pelbagai alasan menunjukkan ada usaha yang terancang di pihak pemerintah.

“Suara Harakah, Suara Keadilan dan Suara Roket semuanya tidak mendapatkan keadilan yang sewajar dan ini menunjukkan bahawa kita ditekan oleh KDN.

“Itu jelas dan mereka nampaknya takut kepada media yang telah disebarkan dan ini juga mencerminkan penyebaran maklumat oleh media-media alternatif semakin berkesan dan ini merupakan ketakutan rejim Najib,” katanya.

Beliau menyelar tindakan KDN yang lambat memperbaharui tempoh permit bagi akhbar bulanan DAP yang diterbitkan dalam versi bahasa Melayu, Cina dan Inggeris itu yang telah pun luput.

Permit edisi bahasa Inggeris Roket tamat pada Jun lalu, manakala edisi bahasa Melayu dan bahasa Cina pula masing-masing tamat pada September dan November tahun lalu.

Nasib yang menimpa Roket ini menyusuli tindakan yang dikenakan keatas Suara Keadilan dan Harakah baru-baru ini.

Lidah rasmi PKR dan Parti Islam Se-Malaysia itu dikenakan tindakan atas tuduhan menjual kepada bukan ahli.

“Ini jelas membuktikan mereka berat sebelah dan prejudis terhadap media-media alternatif tetapi saya anggap ini sabagai satu rancangan yang tersusun untuk menyekat kita tetapi saya sebenarnya tidak setuju untuk menyekat mana-mana pihak Utusan, tetapi saya berharap isu-isu Utusan atau Perkasa boleh keluar satu kenyataan dan saya tidak setuju dengan pandangan mereka.

“Jadi saya tidak setuju untuk menyekat dengan mana-mana pihak sebab saya percaya rakyat mempunyai hak dan rakyat akan menimbang dan menilai semua maklumat ini dan biar mereka putuskan,” katanya.

Setelah lapan tahun Fadzil Noor pergi

Subky Latif
SELEPAS 8 tahun Almarhum Ustaz Fadzil Noor meninggal, Jun 2002, Jun 2010 Ustaz Shukri pula meninggal.

Memperingati lapan tahun Presiden PAS kembali menemui Tuhannya, PAS Kawasan Permatang Pauh menganjurkan majlis memperingati perjuangan pemimpin besar ulama negara dasawarsa 90an dan 2000.

Saya diberi penghormatan untuk meriwayatkan beberapa perkara penting dalam sejarah dan kehidupannya sepanjang lebih 60 tahun itu.

Bagi saya beliau dilahirkan bagi menjadi pemimpin Islam yang tabah, berhati-hati, teliti, berpandangan jauh dan berfikiran tajam serta penyabar.

Setelah menamatkan ijazah sarjana mudanya di Universiti Azhar, Ustaz Fadzil telah mendaftar untuk melanjutkan pelajaran ijazah sarjana. Ketika itu pemimpin Kedah Datuk Abu Bakar Umar, yang berkunjung ke Mesir mencadangkan kepada beliau agar menangguh pengajian dan pulang ke Kedah kerana PAS Kedah memerlukan pemimpin pelapis dan bakat dan ilmunya ada sudah memadai bagi memimpin PAS Kedah.

Kata isterinya Kak Jah Ibrahim, Ustaz Fadzil menyambut pelawaan Datuk Abu Bakar Umar dan pulang. Tetapi keadaan menyebabkan cadangan untuk bersama memimpin PAS Kedah tertangguh. Beliau tidak segera menjadi pemimpin.

Keadaan menjadikannya seorang pensyarah jurusan Islam di Universiti Teknologi Malaysia yang membawanya jauh dari Kedah.

Sebagai pensyarah universiti banyak pantang larang untuk bergiat dalam politik, apa lagilah dalam PAS yang menjadi penentang utama UMNO. Ruang tidak mengizinkannya untuk bergiat cergas dalam PAS, tetapi ruang yang terbuka dalam dakwah ialah dalam Abim. Di sinilah bakat pimpinannya terselah.

Walau pun tidak menjadi pemimpin utama Abim tetapi beliaulah penasihat utama Anwar Ibrahim yang memimpin Abim yang kepimpinannya terserlah ke seluruh alam.

Dari Abim inilah UMNO menonjolkan bakatnya untuk menjadi pemimpin PAS dari hujung tahun 70an hingga awal tahun 2000. Bukan kerana UMNO sayang kepadanya mahu beliau menjadi parti seterunya, tetapi dera yang UMNO kenakan kepadanya menyebabkan beliau menjadi pemimpin PAS dan menjadi penentang utama politik UMNO.

Banyak pantang larang berpolitik bagi pensyarah. Larangan itu menyebabkan para pensyarah Islam yang memimpin berundur dari pimpinan kerana dikehendaki menumpukan tugas di universiti saja. Pantang larang inilah yang menghalang Ustaz Fadzil untuk bergerak cergas.

Tetapi dalam pilihan raya umum 1978, beliau bertanding sebagai calon PAS bagi kawasan Parlimen Kuala Kedah dan kalah. Tindakannya itu bertentangan dengan kemahuan UMNO. Dengan pengaruh yang ada pada UMNO, UTM memecatnya.

Jika beliau diberi amaran saja, mungkin beliau akan mematuhi larangan berpolitik seperti lain-lain penyarah yang meninggalkan pimpinan PAS untuk memberi penuh masa mengajar universiti. Bukan senang bagi seseorang untuk meninggalkan gaji besar di universiti semata-mata untuk berpolitik yang tiada janji berjaya.

Tetapi UTM memilih untuk memecatnya. Beliau yang biasa bergaji besar tiba-tiba jadi penganggur. Bagi mengisi masa menganggur inilah Ustaz Fadzil diberi sebuah bilik di Pejabat Agung PAS dan menggunakan sepenuh masanya untuk menjelajah seluruh negara berceramah di pentas PAS.

Keperluan hidup Ustaz Fadzil ditanggung oleh kawasan-kawasan PAS yang mengundangnya berceramah dan bantuan rakan-rakannya.

Ketika yang sama beliau memfailkan saman kepada UTM atas pemecatannya. Beberapa tahun kemudian beliau memenangi perbicaraannya dan disambung semula perkhidmatannya. Mahkamah memerintahkan dibayar gajinya selama tempoh penganggurannya.

Ustaz Fadzil yang sudah sekian lama merasa bebas, terasa terikat apabila terpaksa ke kampus semula. Tidak dapat berceramah lagi.

Oleh kerana beliau sudah tahu bagaimana hendak hidup tanpa gaji semasa penganggurannya dulu, maka beliau tidak takut untuk tidak bekerja semula. Beliau berhenti dari universiti untuk bergerak sepenuh masa dalam politik.

Keadaan inilah membuka jalan baginya untuk menjadi pemimpin. Bermula dengan menjadi jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik, beliau menjadi Naib Presiden, Timbalan Presiden dan akhirnya menjadi Presiden dan anggota Majlis Syura Ulama.

Jika beliau tidak dipecat, saya tidak dapat membayangkan beliau akan meninggalkan tugasnya di universiti. Seperti lain-lain pensyarah masa mereka untuk terjun aktif dalam PAS ialah setelah bersara. Orang bersara adalah orang tua yang tenaga pun sudah tidak kuat. Sudah tidak banyak masa dan tenaga yang dapat diberikan kepada PAS.

Kerana Ustaz Fadzil dipecat dalam usia 40an, masih belia yang bertenaga, maka pengalaman itu mengajarnya untuk berdikari, maka beliau memanjat tangga pimpinan PAS dan terbukti beliau muncul sebagai seorang pimpinan gerakan Islam yang disegani olah kawan dan lawan.

Di zaman pimpinannya beliau membuka semula peranan Muslimat untuk menjadi calon. Dan peranan luas yang diisi oleh Muslimat sekarang dimulai di zamannya.

Beliau mengambil masa untuk mengadakan hubungan dengan masyarakat bukan Islam. Tetapi persetujuannya untuk membentuk CCC, kumpulan komuniti Cina untuk bekerjasama dengan PAS dalam tahun 1986, membuka kerjasama PAS dengan masyarakat bukan Islam dan muafakat dengan DAP dan lain-lain badan bukan Islam secara terbuka.

Ia adalah antara peninggalan pimpinannya.

Catatan Pertama

Ahmad Lutfi Othman
Tulisan ini mahu bermula dari mana, ya? Tentang rawatan dari pembedahan pintasan jantung yang kian pulih? Itu mungkin terlalu personal dan tidak ada elemen kepentingan umum. (Bagaimanapun saya kira banyak juga pengalaman, terutama menjelang subuh Isnin, 26 April, sebelum katil ditolak ke bilik bedah HUKM boleh dikongsi bersama nanti).

Mengenai politik yang tidak pernah reda suhu kepanasannya? Tentunya sudah banyak diulas oleh karyawan lain, lagipun saya sendiri jarang mengikuti dari dekat pergolakan semasa. Umpama tertinggal keretapi. (Namun, isu berkaitan permit Suara Keadilan dan kuasa tanpa batasan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang mengetepikan sama sekali fungsi mahkamah, wajib disinggung. Harakah juga harus bingkas mempersiapkan diri sebagai media PRU13 yang paling ampuh).

Sudah cukup lama saya meninggalkan kolum ini, Catatan Hujung, nama ruangan tetap yang dimulakan di majalah Dunia Islam pada awal 1990-an, kemudian berpindah ke majalah Tamadun, seterusnya Detik (hanya sempat setahun usianya sebelum majalah yang diterbitkan ketika gema reformasi memuncak itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri), beralih menghiasi lembaran akhir akhbar Siasah. Kini menumpang di Harakah. Harapnya ia kekal lebih lama, dan konsisten.

Agak ramai kenalan merungut tentang 'kemalasan' saya menghidupkan kolum tersebut. Apabila sesekali keluar Kuala Lumpur, bertemu secara tidak sengaja pembaca Harakah, mereka kerap mengingatkan tentang Catatan Hujung.

Sering kali saya berdaleh dengan kekangan kesihatan. "Tak perlu tulis yang berat-berat. Apa saja saudara tulis, okey, terutama yang menyentuh jiwa," jawab pantas seorang yang mengaku 'peminat' ketika saya singgah minum di Dungun, empat bulan lalu. (Saya pun kurang mengerti apa maksud 'menyentuh jiwa' itu namun yang pasti ia membuatkan saya lebih terasa sukar untuk memulakannya).

Rasanya sejak menjalani operasi angioplasti, ekoran tiga salur darah jatung tersumbat, bermula Disember 2009, kolum ini tidak diisi. Sebenarnya ia satu kegagalan besar. Bagi seorang kolumnis, apa pun hambatan menerpa, kolum mesti disiapkan, dengan apa jua cara.

Pengalaman kolumnis besar, seperti Subky Abdul Latiff, cukup sukar untuk saya teladani. Bagi Pak Subky, tiada alasan untuk mengetepikan deadline. Ketika beliau keluar negara, hatta semasa mengerjakan fardu haji (dan teknologi ICT belum cukup canggih lagi waktu itu), kolumnya untuk dua bulan disiapkan terlebih dahulu.

Saya menjadi kerdil jika mahu dibandingkan dengan pengasas Harakah itu, juga kolumnis lain, misalnya A Shukur Harun dan Dinsman.

Keperitan menanggung penyakit kronik dan meniti episod 'hidup-mati' memang misteri yang 'cukup indah'. Anda belajar mengenali diri setulusnya, menyerah sebulatnya kepada Yang Maha Pengasih, menyedari keterbatasan memaknakan kehidupan, dan mengkagumi bagaimana cantiknya ukhuwwah sesama Muslim. Mulanya memang sukar untuk menerima hakikat namun selepas 'dipelajari' (harus ada keinsafan dan kesungguhan untuk menekuninya), insya-Allah akan terbuka hijab dan lapis-lapis yang mendindingi selama ini.

Sebagai mukadimah, catatan ini terasa cacatnya jika tidak mengalungkan penghargaan buat seluruh team pembedahan saya tempoh hari, yang diketuai Dr Mohd Zamrin Dimon, Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman (kedua-duanya pakar perunding bedah jantung), pakar bius Dr Joanna, Dr Hairulfaizi Haron, Dr Ishamuddin Ismail dan dua perfusionist, Yusof Hambali dan Zulkifli Zain. Juga buat para jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Wad Sutera, HUKM.

Saya sama sekali tidak dapat melupakan kunjungan, doa, bantuan dan sokongan begitu ramai pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menghantar SMS pada malam pembedahan.

Begitu juga dengan majlis solat hajat yang diatur tanpa pengetahuan saya. Termasuk yang menawarkan bantuan rawatan secara percuma (termasuk Ustaz Ahmad Awang dan isteri yang hampir setiap minggu membawakan ubat homeopathy Dr Azmi Zainonabidin dari Kamunting, Perak).

Bantuan kewangan Dato' Husam Musa dan pihak Harakah (melalui perhatian serius Dato' Mustafa Ali dan Dato' Kamarudin Jaffar) cukup banyak membantu. Kenalan lama tiba-tiba menziarahi sekali gus menghulurkan bantuan yang tidak pernah terlintas. Maha Suci Allah ...

Boleh jadi Umno lebih sesat - bekas Imam Besar

Ali Hashim
ALOR SETAR, 10 Julai:
Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib mengingatkan pemimpin Umno terutamanya di negeri Kedah supaya tidak membuat tuduhan dan dakwaan melulu tanpa sebarang fakta dan bukti yang konkrit.

Menurut beliau lagi tuduhan yang dilemparkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sesat adalah sesuatu yang melampau dan keterlaluan.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kedah berkata, seandainya Umno menyifatkan PAS sesat, kemungkinan Umno itu lebih sesat kerana mereka bukannya memperjuangkan ajaran Islam sebenarnya sebaliknya memperjuangkan isu perkauman dan assabiyah.

"Pemimpin Umno sepatutnya tidak bercakap mengikut angin mereka sahaja. Setiap dakwaan dan tuduhan perlulah mempunyai fakta kebenaran sebelum membuat sebarang dakwaan.

"Oleh kerana itu kepimpinan Umno dinasihatkan supaya sentiasa berpandukan kepada kebenaran dalam isu yang mengaitkan PAS sebagai sebuah parti yang sesat.Dakwaan tersebut juga adalah suatu perkara yang tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh mencelarukan pemikiran masyarakat,"katanya yang juga besar imam besar Masjid Negara.

Pemuda PAS Kedah cabar siasat

Sementra itu, Dewan Pemuda PAS Kedah mencabar Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Shafei Apdal supaya menubuhkan jawatankuasa agama bagi menyiasat dakwaan kononnya PAS parti yang sesat.

Menurut Ketuanya, Ahmad Yahya, siasatan boleh dilakukan dalam apa jua aspek mengenai dakwaan tersebut.

Namun begitu beliau juga berkata seandainya dakwaan yang tidak disertakan dengan bukti yang tepat tidak harus dilayan kerana ia merupakan satu tuduhan liar yang tidak berasas.

"Sekiranya beliau (Shafie) seorang yang bermaruah, maka tunjukkan bukti dan jalankan siasatan dari aspek mana kebenaran dakwaan beliau itu. Siapakah yang sebenarnya sesat? Mungkin Umno atau mungkin PAS. Hanya siasatan saja yang mampu untuk menyatakan kebenarannya," kata Ahmad Yahya
(gambar).

Menurutnya, Pemuda PAS Kedah amat kesal dengan dakwaan beliau ini kerana ia amat keterlaluan dan melampau.

Samada dengan sengaja atau pun tidak, tindakan beliau ini tidak boleh dimaafkan, katanya.

Menurut Ahmad, Shafie yang merupakan Pengerusi Umno Kedah juga sengaja mahu menimbulkan isu serta mencetuskan kekeruhan dalam PAS dan Umno.

"Ini adalah soal akidah. Ia boleh menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat kerana dakwaan sesat adalah sesuatu yang serius,"katanya.

Ahmad juga menasihatkan Shafie supaya menerima hakikat bahawa PAS bukan hanya sebuah parti politik, namun ia juga merupakan kerajaan kepada negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat (PR) yang menggabungkan PKR dan DAP di negeri Kedah.

"Beliau juga sepatutnya akur ketokohan yang ada pada pemimpin PAS yang memerintah negeri yang dikuasai oleh PR di negeri ini,"tambahnya.

Nik Aziz: Boikot media pro-BN jika permit tidak diperbaharui

Harakahdaily
KOTA BHARU, 10 Julai:
Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui.

“Saya harap permit Harakah dan Suara Keadilan di perbaharui. Bagaimanapun, jika kedua-dua akhbar yang menjadi suara rasmi Pakatan ini tidak diperbaharui, saya cadangkan arahan rasmi dikeluarkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan agar mula memboikot media pro BN," kata beliau melalui laman komuniti Facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sehingga kini tidak menyambung permit Harakah dan Suara Keadilan yang telah tamat tempoh.

Turut tamat tempoh adalah permit akhbar Rocket versi Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh DAP.

Permit akhbar Harakah tamat pada 7 Julai lepas. Pada 5 Julai, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya telah dipanggil mengadap lapan pegawai KDN di Putrajaya.

Pada 8 Julai lepas, KDN menghantar satu surat tunjuk sebab kepada Harakah kenapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas akhbar itu.

Pada 9 Julai, Taufek sendiri telah ke pejabat KDN di Putrajaya menghantar jawapan Harakah ke atas surat tunjuk sebab itu. Ia dijawab sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam kenyataannya berkata, Harakah akan diterbitkan seperti biasa kerana permohonan penyambungan permit sudah dibuat kepada KDN dan Harakah memang menunggu kelulusan permit itu.

Sementara itu, KDN memberikan amaran kepada PKR agar jangan menerbitkan Suara Keadilan kerana pihaknya tidak berpuashati dengan jawapan PKR ke atas isu 'Felda Bangrap".

Dalam kenyataannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

"Jika mereka rasa Harakah salah, mereka boleh saman dan memberikan bukti kesalahan Harakah jika ada," katanya.

CheguBard: Saya Ditahan Kerana Altantuya

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shahrin yakin penahanan beliau malam tadi ada kaitan dengan pendedahan yang dibuat berhubung kematian wanita Mongolia, Altantuya Shariibu di Jakarta kelmarin.

Beliau berkata bagaimanapun polis memberi alasan penahanannya malam tadi adalah dibuat berdasarkan laporan polis yang mengaitkan tulisannya di dalam blog yang menyentuh mengenai Institusi Diraja.

Lawatan Badrul ke Jakarta selama lima hari bermula 4 hingga 9 Julai itu adalah dibuat atas rangka Lawatan Kerja Solidariti Anak Malaysia. Badrul bertemu aktivis dari pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan dan Gerakan Mahasiswa di Indonesia dan membentangkan pelbagai isu yang berbangkit di negara ini.

Bagaimanapun setelah pulang dari Jakarta semalam, pihak berkuasa menahannya atas akta hasutan (41) ekoran kenyataannya di blog dan di pentas ceramah.

“Selepas sesi soal-siasat saya dimaklumkan bahawa ada beberapa laporan polis yang dibuat ke atas saya dan siasatan dibuat di bawah seksyen (41) Akta Hasutan kononnya yang saya ni ada beberapa laporan dan ceramah dan penulisan saya di dalam blog tetapi dia cuba memberi pengkhususan mengenai laporan tulisan saya mengenai meraikan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong kononnya saya hina Raja-raja Melayu dengan cuba mengajar.

“Bila saya membawa cadangan yang baik iaitu untuk memartabatkan lagi Instutusi Raja-raja Melayu, ada beberapa pembaikan dilakukan dan bagaimanapun sebenarnya saya tahu laporan polis tersebut dibuat oleh Umno Negeri Sembilan. Ia telah dibuat sebulan lebih tetapi tangkapan semalam dengan secara tergesa-gesa sebaik sahaja saya pulang dari Jakarta, saya rasa ada sedikit tekanan daripada rejim pemerintah,” katanya.

Badrul ditahan pada jam 8.45 malam sebelum memulakan mesyuarat Keadilan Rembau di pejabatnya oleh 10 anggota polis.

Beliau melahirkan rasa kekesalannya ekoran pihak polis kerana rencana yang dimaksudkan dibuat sebulan yang lepas di blognya.

Tindakan polis ini mengukuhkan lagi yang sebenarnya mereka bukan hendak mempersoalkan tentang artikelnya yang menyentuh Instutusi Diraja tetapi lebih kepada tindakan terdesak rejim Umno BN yang takut dengan bayang-bayangan sendiri.

“Saya memberi kerjasama yang baik semalam tetapi saya rasa cukup kesal kerana tangkapan dibuat secara tergesa-gesa dengan mengepung pejabat saya dan membawa saya semata-mata hendak memberikan tekanan tetapi kalau itulah yang diharapkan untuk melemahkan semangat dan sebagainya, saya tidak rasa ia adalah satu elemen yang boleh melemahkan semangat dan menakutkan saya. Malah semalam dalam sesi soal-siasat saya, mereka telah mendapatkan waran untuk mengeledah rumah saya dan kononnya bukti yang boleh mengaitkan saya dengan akta hasutan tersebut, mereka ambil beberapa gambar di ruagan kerja saya.

“Semua ucapan dan tulisan saya, saya ambil tanggungjawap penuh tetapi jawapan saya, saya yakin ini semua ada kaitannya dengan khususnya serangan terbaru kerana saya mendedahkan isu yang terbaru kepada tetamu kita di Jakarta dan media tempatan di situ mengenai kes penglibatan pembunuhan Altantuya sehinggalah bagaimana teorinya ia melibatkan keputusan penyerahan kedaulatan negara iaitu penyerahan keretapi tanah Melayu di mana kita perlu sujud kepada Singapura dan serahkan," katanya.

Selain itu, ketika disoalsiasat, beliau memberitahu ada soalan yang ditimbulkan daripada Polis Cawangan Khas untuk merekodkan kenyataan beliau mengenai beberapa persoalan lain bagaimanapun beliau mengambil keputusan untuk tidak menjawapnya.

Beliau berkata tindakan terdesak pihak polis yang telah diperkudakan oleh rejim Umno Negeri Selangor akhirnya berlarutan sehingga memaksa mereka terpaksa mencari bukti-bukti lain di kediamannya namun gagal.

“Cuma saya yakini ada cubaan untuk mengambil kenyataan saya daripada Cawangan Khas tetapi Alhamdullilah pengalaman saya mengajar kita menganai prosedur-prosedur siasatan dan saya tidak memberikan kerjasama untuk ini dengan cawangan khas yang cuba mengambil banyak maklumat daripada saya dan saya tidak mahu memberikan hujah lanjut akhirnya mereka telah berbincang dan membebaskan saya dengan jaminan polis.

“Mereka masih cuba mencari seperti diari, buku-buku saya dan antara yang disebut ialah komputer yang digunakan," katanya.

Sotong pilih Jerman, siapa lebih gagah?

Siapakah bakal memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara Uruguay dan Jerman awal pagi ini?

Walaupun kedua-dua mereka tewas pada peringkat separuh akhir, namun kedua-dua pasukan dilaporkan bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk memenangi perlawanan tempat ketiga itu nanti.

Bagi Jurulatih Uruguay Oscar Tabarez dipetik berkata perlawanan awal pagi ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa ramalan Paul, si sotong kurita adalah salah.

Katanya perlawanan awal pagi ini bukan sahaja mengalahkan Jerman, tetapi sekaligus mengalahkan ramalan Paul.

Semalam Paul dilaporkan telah membuat ramalan bahawa Jerman bakal merangkul tempat ketiga dalam kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Jerman lebih gagah?

Persoalannya, apakah skuad bimbingan Oscar mampu untuk menewaskan Jerman yang dipimpin oleh Joachim Loew?

Sejarah pertemuan antara kedua-dua negara menyaksikan Jerman (termasuk Jerman Barat) memenangi enam daripada lapan perlawanan.

Baki dua daripada lapan perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri.

Justeru, di atas kertas Jerman kelihatan lebih gagah berbanding Uruguay. Ini kerana skuad dari Amerika Latin itu tidak pernah memenangi sebarang perlawanan.

"Pasukan Jerman saya tengok diaorang egolah abang. Uruguay mesti menang," kata seorang jurujual ketika ditemui Malaysiakini petang ini.

Manakala seorang lagi jurujual yang ditemui Malaysiakini di Bangsar memilih pasukan Jerman kerana "permainan skuad itu bagus".

Malah jurujual itu turut menjangkakan Jerman akan menang tipis 1-0 ke atas Uruguay yang juga dikenali sebagai 'La Celeste'.

Jentera Uruguay, awal pagi ini dijangka diperkuatkan dengan kehadiran semula penyerang berbisanya, Luis Suarez yang digantung satu perlawanan akibat 'menyelamatkan' pintunya dari dibocori oleh pemain Ghana sewaktu pertemuan mereka di peringkat suku akhir.

Bagi Jerman pula, mereka juga turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain tengah mereka Thomas Mueller yang turut digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning.

Uruguay sudah pastinya akan berusaha untuk memenangi perlawanan itu awal pagi ini dan seterusnya merangkul tempat ketiga.

Piala dunia tahun ini merupakan persembahan terbaik mereka sejak 40 tahun lalu di mana mereka pernah memasuki peringkat separuh akhir pada tahun 1970.

Formasi 4-3-3 lawan 4-5-1

Seperti biasa awal pagi nanti, selain Suarez, Uruguay bakal menurunkan penyerang berbisa Atletico Madrid Diego Forlan dan Alvaro Fernandez bagi merobek gawang Jerman.

Selain itu, kesebelasan utama mereka juga bakal disenaraikan ialah Egidio Arevalo, Diego Perez dan Edinson Cavani yang akan mengemudi bahagian tengah.

Oscar, kemungkinan akan menggunakan formasi 4-3-3 dalam perlawanan awal pagi esok.

Manakala Jerman pula, mereka sudah pastinya tidak dapat melupakan kekalahan tipis kepada Sepanyol tempoh hari.

Oleh itu, bagi menebus kekecewaan itu, mereka bakal menurunkan kesebelasan pemain terbaik menentang pasukan dari Amerika Selatan itu.

Selain Mueller, Joachim juga bakal menurunkan kesebelasan utama termasuk Lukas Padolski, Mesut Ozil, Miroslav Klose untuk mejaringkan gol dengan mengekalkan formasi 4-5-1.

Formasi itu digunakan sewaktu menewaskan pasukan Argentina tempoh hari.

Selain merebut tempat ketiga, kedua-dua pasukan itu juga turut berpeluang untuk merebut anugerah penjaring terbanyak dalam edisi piala dunia kali ini.

Diego Forlan, Miroslav Klose dan Thomas Mueller masing-masing menjaringkan empat gol, kurang satu gol berbanding Wesley Scneijder dan David Villa yang menjaringkan lima gol.

Jika ketiga-tiga pemain tadi menjaringkan dua atau lebih gol maka, kemungkinan salah seorang daripada mereka bakal mendakap anugerah tersebut.

-malaysiakini-

Enam maut akibat jangkitan 'air kencing tikus'

Enam penduduk kampung yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur, Lubuk Yu, dekat Maran dilapor meninggal dunia dalam tempoh seminggu selepas operasi itu.

Semua mereka yang terbabit dalam operasi bermula 26 Jun hingga 30 Jun itu, meninggal dunia akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata masing-masing satu kematian dilapor pada 3 Julai, 6 Julai, 7 Julai dan 8 Julai manakala dua kematian pada 9 Julai.

"Mereka mula sakit selepas seminggu menyertai operasi itu, simptom utama adalah demam, batuk, sakit-sakit otot, cirit-birit. Empat orang meninggal di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dan dua lagi di rumah mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai kejadian itu di Maran, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rosnah Ismail.

Mereka yang meninggal dunia dikenali sebagai Azizam Abdullah, 58, Timothy Hoo Seng Heng, 29, Lim Sin Lai, 55, Mohd Ali Abdullah, 60, Zakaria Ayub, 52, dan Zainal Abidin Ismail, 56.

Liow berkata tujuh lagi kini dirawat di hospital iaitu tiga di Hospital sultan Ahmad Shah, dua di Hospital Jengka dan masing-masing satu di Hospital Selayang dan Kuantan Medical Centre.

"Hasil kajian awal mendapati, bakteria ini tidak merebak, hanya membabitkan mereka yang terlibat dalam operasi dan menyelamat itu. Semua keluarga mangsa tidak mengalami simptom itu," katanya.

Beliau berkata seramai 83 orang terbabit dalam operasi itu iaitu 56 anggota penyelamat dan 27 penduduk kampung.

"Semua mereka terbabit kini telah diberi rawatan awal sebagai langkah berjaga-jaga, bakteria ini sebenarnya boleh dikawal, kematian yang berlaku adalah kerana mereka lambat mendapat rawatan awal," katanya.

Liow berkata semua mangsa dipercayai terkena virus leptospirosis dan melioidosis kerana kesemua mereka berkhemah di kawasan Lubuk Yu ketika operasi dan menyelamat itu dilakukan sehingga mayat mangsa lemas, Mohd Azhar Azizam, 28, ditemui pada 30 Jun lalu.

Beliau berkata kawasan rekreasi itu kini ditutup kepada orang ramai sehingga keputusan ujian terhadap sampel tanah dan air kawasan itu diperoleh dan tempat itu disahkan selamat untuk orang ramai beriadah.

Liow meminta orang ramai tidak panik kerana bakteria itu tidak berjangkit.

-Bernama-

Istana Kelantan: Jangan spekulasi rawatan Sultan

Pejabat Istana Sultan Kelantan mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi mengenai keadaan kesihatan dan rawatan susulan Sultan Kelantan di Singapura pada Rabu ini.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata sebarang spekulasi akan hanya mengusutkan keadaan dan menimbulkan salah tanggapan di kalangan rakyat.

"Keberangkatan Sultan Kelantan ke Singapura mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhamad Faris Petra yang prihatin terhadap kesihatan ayahanda baginda untuk mendapat rawatan terbaik di luar negara," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Abdul Halim berkata demikian bagi memperjelas kenyataan akhbar yang dihantar kepada semua media semalam bahawa Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura untuk mendapat rawatan susulan pada 14 Julai ini.

Katanya Pemangku Raja berhasrat agar Sultan Kelantan diberi rawatan terbaik di luar negara atas nasihat doktor pakar dalam negeri dan keluarga terdekat.

"Tidak sepatutnya mana-mana pihak buat kenyataan, andaian dan spekulasi dalam hal ini," kata Abdul Halim.

Beliau berkata rawatan itu bertujuan menukar tiub di bahagian perut Sultan Kelantan bagi berfungsi untuk menyalurkan makanan.

Bagaimanapun, katanya rawatan itu tidak diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan dan setakat ini pejabat berkenaan tidak dititah menguruskan rawatan susulan berkenaan.

"Keadaan pentadbiran Pejabat Sultan Kelantan berjalan dengan baik dan Pemangku Raja mentadbir negeri ini mengikut Perlembagaan dan berjalan sempurna," katanya.

-Bernama-

PI: Britain tak sama dengan Malaysia

Umno telah mula siar gambar saya. Lazimnya mereka takkan memberi apa-apa laporan tentang diri saya, apatah lagi nak masuk gambar.

Bila mereka berbuat demikian ertinya; sudah sampai masa saya akan di pukul dan dibelasah. Kerja akhbar Gestapo.

Lagi besar gambar itu maknanya lagi teruk mereka akan belasah saya, secara besar-besaran. Hari ini ada gambar saya dengan Raja Petra dan mereka membuat kesimpulan bahawa kerana hubungan ini maka PKR-lah atau parti Keadilanlah yang sponsor atau bantu Raja Petra dari segi Kewangan.

Menteri Nazri kata dia ada bukti PKR beri wang kepada Raja Petra. Mengapa Utusan tak tunjuk bukti itu? Kita pun nak tahu kerana setahu saya parti saya ini tak ada duit, kais pagi makan pagi.

Tak usah nak guna andaian untuk membuktikan sesuatu yang memang sudah ada bukti jelas dan kukuh. Lainlah kalau mereka tak ada bukti, lalu perlulah mereka membuat tohmahan dan dakwaan palsu.

Saya baru bertemu dan makan ais kacang dengan Petra dan Bala. Saya tanya mereka mengapa tidak mahu balik ke Malaysia. Mengapa mereka berada di luar negara.

UMNO telah menuduh mereka buat kesalahan dan lari kerana takut kepada tindakan Mahkamah. Mereka menjawab serentak. Mereka akan balik ka Malaysia kalau mereka tidak akan kena ISA. Siapa boleh beri jaminan? Mereka takut mereka kena tahan dan diseksa sampai mati.

Mereka takut kena bom C4. Mereka adalah dua insan kerdil yang takut kepada kerajaan yang ada sekarang. Saya amat faham ketakutan mereka. Saya sendiri berasa takut, entah apa pula yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa.
Tetapi apa yang rakyat mesti ingat ialah: kedua-duanya, Petra dan Bala, tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Polis tidak pernah mengambil apa-apa tindakan untuk membawa mereka pulang. Jadi, jelas bagi saya mereka tidak bersalah.

Jadi mengapa Utusan cuba mengelirukan Rakyat dan menimbulkan persoalan yang tidak relevan, mengenai hubungan saya dan mereka. Yang relevan dan perlu dipersoalkan ialah kenyataan mereka bahawa kes Altantuya itu ada kaitan dengan orang lain yang Maha Berkuasa dan perlu disiasat.

Jadi usahlah kita kata Petra itu tidak boleh dipercayai, atau boleh percaya tetapi 40% sahaja. Sanggupkah Kerajaan mengadakan Siasatan Terbuka untuk menentukan betul atau salah Petra dan Bala ini?

Dan sanggupkah Kerajaan memberi jaminan keselamatan ke atas mereka supaya mereka dapat pulang? Inilah yang sepatutnya menjadi persoalan dan perbincangan. Bukan mengapa saya jumpa Petra dan mengapa saya makan ais kacang dengan beliau.

Lagipun PM Najib kena ingat, pilihan raya akan datang akan berkisar kepada soalan mengenai watak dan sifat pemimpin yang macam mana yang rakyat perlukan. Cara PM Najib cuba menutup Bala dan Petra tidak akan menguntungkan dia. Rakyat mahu pembangunan, itu betul.

Rakyat mahu kemudahan asas, betul. Tetapi Rakyat juga mahu pemimpin yang tidak terlibat dengan kekejaman, yang tidak memperlihatkan ciri menyalahgunakan kuasa, dan yang tidak mentadbir negara ala gestapo. Rakyat mahu Kerajaan dan pemimpin yang telus dan sederhana, dan yang tidak menakutkan mereka. Menteri Hishamuddin, cukuplah bermain wayang.

Janganlah pula hendak menyalahkan Kerajaan Britain mengatakan ia tidak mahu bekerjasama. Di England ni, tangkapan hanya boleh dibuat kalau orang itu buat salah, bukan macam Malaysia.

Kalau Britain tidak mahu extradite seperti yang Menteri kata, itu ertinya Raja Petra tidak melakukan apa-apa kesalahan. Janganlah pula kata Britain tidak memberi kerjasama.

Perkasa Umno. Perkasa MCA, Perkasa MIC?

Sofi Wahab
Naib Presiden MCA, Donald Lim mencadangka supaya 'PERKASA' Cina ditubuhkan bagi mengimbangi 'PERKASA'Melayu tajaan Berahim Ali.

Donald Lim Siang Chai, yang membuat cadangan itu juga membayangkan agar kumpulan berkenaan diterajui oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) yang seringkali dilihat lantang membuat tuntutan mengenai kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, tanggungjawab itu tidak sesuai dipikul oleh MCA kerana ia parti politik dan NGO dibolehkan bertindak dalam cara yang berlainan.

"Komuniti Cina dan persatuan Cina seperti KLSCAH boleh memainkan peranan itu. MCA hanya boleh bertindak sehingga peringkat tertentu - ia sepatutnya NGO menentang pencabarnya,” kata Lim dalam satu wawancara dengan akhbar Cina di Putra Jaya semalam.

Terbukti bahawa masyarakat Cina benar-benar marah dan tersinggung dengan PERKASA yang lantang kononnya untuk membela hak orang Melayu.

Kenyataan Donald Lim ini sedikit sebanyak mengeruhkan hubungan di dalam BN kerana semua orang tahu PERKASA seolah-olah menjadi anak emas Umno di mana sebahagian besar ahlinya adalah ahli dan penyokong Umno termasuk Timbalan Presiden (Pengerusi) PERKASA, Rahman Bakar.

Blog ini mencadangkan kepada Donald Lim dan semua pemimpin Cina dalam BN khasnya MCA dan Gerakan bertindak keluar dari parti masing-masing dan sekaligus menyertai parti-parti PR seperti PAS, PKR dan DAP.

Tidak ada gunanya duduk di dalam BN jika suara kita diketepikan malah suara orang luar seperti Perkasa dilayan dengan baik.

Jika semalam Donald mencadangkan kaum Cina menubuhkan PERKASA CINA, kemungkinan besar Samy Vellu akan juga mahu menubuhkan PERKASA INDIA pula.

Persoalan apakah dengan penubuhan PERKASA ini negara lebih kaya, stabil dan matang serta telus bebas dari rasuah, penyelewengan, pembaziran dan sebagainya.

Tingkatkan Aktiviti Sebaran Maklumat Semasa Kpd Rakyat : PAS Perak

Ust Misbahul Munir
IPOH, 9 Julai: Pesuruhjaya PAS Perak mengharapkan agar Setiap ahli PAS Perak melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota penerangan yang melaksanakan tugasan menyebarkan maklumat secara aktif berkaitan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara bagi mengubah pemikiran rakyat.

Menurut beliau kegagalan petugas parti diperingkat akar umbi menyampaikan maklumat kepada rakyat terutama orang Melayu di kawasan kampung menjadi punca kepada sukarnya penduduk di kawasan luar bandar mendapatkan maklumat.

“Kebanyakan penduduk kampung hanya memperolehi maklumat yang disampaikan TV dan akhbar Utusan Malaysia dan akhbar tajaan umno sahaja,” ujar beliau.

“Sebab itu kita nak setiap ahli PAS berperanan sebagai penyampai maklumat yang benar dan tepat kepada rakyat, khususnya dalam membongkar kezaliman dan penyelewengan yang dilakukan pemimpin umno/bn dalam mentadbir negara,” katanya.

“Contohnya kita boleh perincikan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara termasuk isu-isi terkini membabitkan pengambilan syarikat berlatar belakangkan rejim Zionis Israel, Apco yang menyediakan perkhidmatan komunikasi strategik yang dikaitkan penglibatan pemimpin Umno,” tegas beliau lagi.

Selain itu beliau juga mahukan agar jentera penerangan PAS perlu mempelbagaikan kegiatan penerangan bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendedahan isu semasa sesuai dengan latar belakang pemikiran dan budaya mereka.

“Dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat kita perlu mempelbagaikan
teknik agar maklumat yang disampaikan berkesan dan dapat diterima oleh
rakyat. Sebab itu pendekatan yang pelbagai teknik adalah penting dan perlu difahami,” katanya.

http://misabah.blogspot.com/

Indonesian Fast Food- Cobra Burger

Bujang Susah
Makanan segera terkini di Indonesia, burger cobra daripada daging ular yang amat berbisa ' ular tedung'. Di sana telah wujud sebuah industri memproses daging ular untuk dijadikan burger cobra lengkap dengan pekerja-pekerja khusus menangkap ular.

Jika anda hendak makan burger ketika berada di negara tersebut pastikan ia bukan burger daging ular yaaaaa...Lihat foto-foto berikutnya...
- orangmuo

http://rubbertapperz.blogspot.com

Final Piala Dunia: Paul Lwn Mani

A Kadir Jasin
UNTUK kita renung dan fikirkan bersama. Dalam kehidupan ini, cara paling selamat untuk selesa adalah dengan tidak berbuat apa-apa kerana setiap keputusan atau tindakan, biar sekecil mana sekali pun, pasti ada tindak balas.

Orang yang berpeluk tubuh, tidak melakukan apa-apa adalah lebih selamat daripada orang yang melakukan sesuatu. Tetapi itu hanyalah dalam jangka pendek.

Lihatlah apa yang terjadi kepada tukang tilik Paul, si sotong kurita di akuarium Oberhausen, Jerman.

Kerana meramalkan dengan tetap kekalahan pasukan Jerman kepada Sepanyol dalam pertandingan bola sepak Piala Dunia, ada tuntutan supaya ia dibakar hidup-hidup dan dimakan.

Yang terakhir, Paul meramalkan kemenangan Sepanyol dalam pertandingan akhir melawan Belanda.

Tentu ada penyokong Sepanyol yang percaya kepada Paul gembira dan ada penyokong Belanda yang berang. Maklumlah ramalan negatif Paul itu boleh menjejaskan semangat – kalaupun tidak semangat pasukan Belanda, tetapi semangat penyokongnya.

Moral cerita, hatta seekor sotong akuarium pun mengalami bahaya sekiranya membuat pendirian yang menyentuhi kepentingan sesuatu pihak.

Jadi tidak hairanlah kalau dalam masyarakat manusia ramai yang berpeluk tubuh, berdian diri, main selamat atau berbisik-bisik di belakang tabir.

Menyatakan pendapat atau pendirian boleh membawa bahaya dan bencana. Memuji memuja dan mengiakan kata-kata orang yang berkuasa, boleh menghasilkan pangkat dan harta.

Bagi saya, walaupun si sotong kurita Paul meramalkan kemenangan Sepanyol, saya akan memihak kepada Belanda kerana saya lihat pasukan Oranje itu lebih bersemangat dan konsisten.

Dalam tiga setengah dekad, Belanda telah masuk pertandingan akhir dua kali iaitu pada tahun 1974 dan 1978. Kali ini adalah kali ketiga.

Dalam dua pertandingan lalu, Belanda kalah kepada tuan rumah – Jerman dan Argentina. Kali ini, Belanda tidak bermain dengan negara tuan rumah, tetapi dengan Sepanyol.

Siapa tahu, mungkin kerana terlalu yakin dan taasub dengan status selebriti globalnya, Paul membuat kesilapan. Itulah pun pendapat Mani, burung serindit milik seorang penilik di Singapura.

Mani memilih kad ramalan yang tersembunyi di bawahnya bendera Belanda.

Satu lagi, jangan lupa mungkin Paul menderita dilema identiti dan taat setia. Menurut Wikipedia, Paul ditetaskan di Sea Life Centre, Weymouth, England. Pada tahun 2006 ia dipindahkan ke Oberhausen, Jerman.

Apa pun, marilah kita bersuka hati menonton perlawanan akhir Belanda-Sepanyol itu nanti. Tapi minta satu saja -- tolong jangan ganggu harimau Malaysia daripada tidurnya nan nyenyak, penuh mimpi.

Kenapa PAS tidak mahu bersama UMNO......senang jer jawabnya

notan
Assalamualaikum,...
Satu ketika dulu, Persatuan kristian begitu berleluasa memurtadkan orang melayu Islam dan pada ketika itu juga UMNO leka menyamun harta rakyat dan leka dengan anjuran hiburan yang melalaikan. Hampir kesemua peringatan diabaikan mereka malah dengan angkuh sombong menyebarkan propaganda yang menyebut PAS sebagai extremis dan pengganas ugama.

UMNO juga menyebarkan fahaman bahawa agama mesti diasingkan dengan politik serta pentabdiran dunia sehingga sebahagian besar orang melayu yang dikenali sebagai pengundi atas pagar percaya dan masih ramai yang percaya sebegitu. Oleh itu kita boleh melihat di masjid masjid hari ini, bagaimana adanya jemaah yang rajin mengimarahkan masjid tetapi mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang dilakukan oleh wakil rakyat UMNO di tempat mereka serta tindak tanduk kerajaan selama ini.

Kembali kepada aktiviti memurtadkan orang melayu Islam yang pernah ditentang mati matian oleh Zul Nordin si katak puru, pendedahan yang pernah dibuat oleh ustaz Farhan Abdullah seharusnya dimengertikan oleh orang orang Islam. Ustaz Farhan Abdullah adalah anak seorang paderi dari Sabah yang menerima cahaya hidayat ALLAH menerusi ustaz yang mengajar di sekolahnya dan pernah mengaku bagaimana beliau berjaya memurtadkan sekumpulan remaja melayu Islam menerusi wang peruntukan yang disediakan oleh gereja ayahnya. Tetapi setelah menerima hidayat dan berhijrah ke semenanjung, beliau berjaya menjadi hafiz dan mula mempersoalkan kenapa orang Islam di Malaysia sering mencari alasan untuk mengelakkan perlaksanaan hudud? Soal ustaz Farhan lagi, kenapa tidak orang Islam mencari jalan untuk melaksanakan hudud?

Inilah soalan yang mengandungi erti yang tersirat kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO walaupun UMNO juga terdiri dari orang Islam. Sejak lebih 50 tahun, UMNO enggan melaksanakan hudud dan enggan mencari jalan untuk melaksanakannya walaupun seribu satu alasan diberikan mereka untuk mengelak. Jadi soalan kenapa orang Islam mencari alasan mengelakkan hudud oleh ustaz Farhan itu ditujukan kepada orang orang UMNO sementara PAS dalam keadaan serba tertekan berusaha untuk melaksanakannya walaupun pernah dituduh oleh mahadir sebagai hudud PAS. Ini bermakna orang orang PAS sudah menjawab soalan ustaz Farhan mengenai kenapa tidak orang Islam cari jalan untuk menegakkan hudud.

Sekaligus pernyataan ini turut merungkai persoalan kenapa PAS tidak boleh menerima UMNO selagi mereka enggan menuruti perintah ALLAH bukan sahaja dalam bab hudud tetapi dalam segenap perlakuan kehidupan. Pengalaman ustaz Farhan juga membuktikan bahawa hidayat ALLAH itu boleh dimiliki oleh sesiapa jua. Malah bekas paderi besar Sabah juga turut menerima hidayat bersama berdozen lagi paderi lain. Dan kesemua mereka menyokong usaha menjadikan Islam sebagai carahidup.

Bayangkan kalau paderi yang sebelumnya aktif memurtadkan orang melayu Islam boleh menukar akidahnya, apalah sangat ahli ahli DAP dan PKR yang bukan Islam? Tetapi sehingga kini, UMNO masih enggan menerima carahidup Islam dan kerana itu tidak sepatutnya mereka dijadikan pemimpin umat Islam. Apa yang berlaku di masa depan masih dalam ilmu ALLAH dan apa yang mampu kita usahakan ialah ikhtiar dalam lingkaran panduan ALLAH menuju jalan ALLAH, tanpa perlu menjadikan kejadian hari ini sebagai kesimpulan kepada apa yang bakal terjadi di masa depan atau dengan pemikiran muktazilah.

Pemuda PAS tubuh Lajnah Felda ‘terokai’ sokongan politik peneroka

G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 10 Julai
: Dewan Pemuda PAS pusat menubuhkan biro baru — Lajnah Felda — dilihat sebagai langkah memikat sokongan generasi muda di kawasan pembangunan perladangan itu menjelang pilihan raya umum ke-13.

Sayap PAS itu memutuskan perkara itu pada mesyuarat bulannya hari ini bagi membantu peneroka Felda dan generasi keduanya ekoran isu-isu terbaru sejak kebelakangan ini khusunya berkaitan dengan masalah kewangan.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Azman Shapawi Abdul Rani pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan mereka di sini hari ini.

“Lajnah ini akan mengambil berat golongan peneroka dan anak-anak mereka yang selama ini dianggap sebagai sokongan hayat Barisan Nasional (BN), yang tidak membantu mereka dengan menyeluruh, kalau BN ada membantu pun bukan untuk membangunkan mereka,” katanya.

“Tidak semua yang mendapatkan faedah, cuma yang terpilih sahaja,” kata beliau.

Beliau berkata peneroka-peneroka Felda sebenarnya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada BN sejak lima dekat lalu, walaupun pengundi di Felda menjadi sandaran ikatan itu selama ini.

Kata beliau lajnah itu akan bergandingan dengan Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) yang diketuai oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Mazlan Ahmad.

“Kami akan bekerjasama dengan Anak yang sudah lama memperjuangkan isu-isu Felda,” katanya.

Ketika ditanya sama ada langkah Dewan Pemuda ini bertujuan mendapatkan sokongan golongan muda daripada penguasaan BN, Shapawi berkata, peneroka-peneroka Felda mempunyai banyak masalah yang belum diselesaikan.

“Bagaimanapun kami bukan memaksa mereka mengundi kami, terpulang kepada mereka untuk mengundi siapa... tapi dengan mengambil kira keadaan semasa seperti masalah kewangan yang didakwa dialami Felda, kami hendak membantu mereka,” katanya.

Chegubard PKR ditahan kerana aduan hasutan, kata polis

SEREMBAN, 10 Julai: Polis menahan anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shahrin di sini malam tadi kerana mahu merakamkan kenyataannya.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan di pejabat perhubungan parti itu di Jalan Rahang di sini dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini untuk dirakamkan kenyataannya berhubung tulisan dalam blognya.

“Kita menahannya lebih dua jam dan dia beri kerjasama yang baik. Kita cuma mahu rakam kenyataanya, kalau ada perkataan dalam blognya itu berunsur menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong dan juga institusi raja.

“Sebelum ini ada pihak yang membuat laporan polis mengenai penulisan dalam blognya itu,” katanya di sini, hari ini.

Osman berkata Badrul Hisham ditahan sebelum pukul 9 malam tadi untuk direkodkan kenyataannya dan selepas itu dia dibebaskan dengan jaminan.

Katanya kes ini disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.
-Bernama-