"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Anwar tidak mahu tawar diri jadi calon PM

FMT Reporters
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk tidak mahu menawarkan diri beliau sebagai calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebaliknya kata beliau, keperluan pada masa sekarang adalah memberi tumpuan sepenuhnya menghadapi PRU14.

“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon Perdana Menteri.

“Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU.

“Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.

Sebelum ini, PKR dan 2 lagi komponen PH menamakan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun sebagai bakal perdana menteri barisan pembangkang.

Kenyataan Anwar ini dilihat sebagai meredakan perasaan tidak senang yang didakwa wujud ekoran pendirian tidak sepakat di kalangan gabungan PH mengenai calon PM pakatan itu.

Awal bulan ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesediaan beliau kembali berkhidmat sebagai perdana menteri jika gabungan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun menurut Pengerusi PPBM itu, beliau memerlukan sokongan penuh pemimpin dalam PH yang kini dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 berkata, beliau sanggup kembali berkhidmat “untuk seketika” jika tidak ada pilihan lain.

“Jika tidak ada calon, saya mungkin cuba, tetapi hanya dengan syarat semua orang setuju,” kata beliau yang berusia 92 tahun.

Kata beliau: “Saya tidak boleh mengabaikan rakan dalam PH. Jika mereka ada cadangan seperti itu dan dipersetujui, maka saya mungkin terpaksa mempertimbangkannya.”

“Pada masa ini, saya tidak setuju untuk menjadi perdana menteri…pada masa ini,” katanya.

Respons kepada kenyataan itu sebelum ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, bukan keputusan Dr Mahathir untuk mengambil peranan kepimpinan dalam pembangkag.

“Bukan dia yang buat keputusan, tetapi PH yang buat keputusan. Orang tak tawarkan diri. Perlu ada konsensus,” kata Anwar.

Anwar sebagai penasihat atau ketua umum, Mahathir sebagai pengerusi, Wan Azizah sebagai presiden Pakatan Harapan?

PH sedang pertimbang dua struktur kepimpinan
MALAYSIA DATELINE
Amanah akhbar
Pakatan Harapan (PH) kini sedang menilai dua struktur yang melibatkan kedudukan tokoh-tokoh utama mereka sebelum didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, satu struktur itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat manakala Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai pengerusi Majlis Presiden.

"Satu lagi struktur adalah yang dicadangkan oleh Bersatu iaitu yang disiarkan oleh akhbar mingguan Amanah (gambar atas) yang sedang berada di pasaran sekarang," katanya kepada Malaysia Dateline.

Kedua-dua struktur ini sedang dipertimbangkan oleh pimpinan dan dijangka akan dibuat kata putusnya dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan akhbar Amanah yang meletakkan struktur cadangan PH.

Dalam struktur itu, Anwar dicadangkan sebagai penasihat atau ketua umum manakala Mahathir sebagai pengerusi manakala Presiden PKR, Wan Azizah sebagai presiden.

Presiden tiga lagi parti gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dicadangkan sebagai timbalan presiden.

"Kedua-dua struktur ini sedang dipertimbangkan dari segi baik buruknya kerana ia mempunyai kelebihan masing-masing," kata Khalid.

Guru disyaki lakukan seks luar tabii terhadap seorang murid ditahan

Sibu: Tabiat seks songsang seorang guru hingga sanggup meliwat pelajarnya lebih 50 kali terbongkar selepas ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis di Kapit, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, penahanan guru terbabit susulan laporan dibuat seorang guru lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sejurus mangsa mengadu mengenai tabiat pelik suspek.

Sumber memberitahu BH, bertindak atas laporan polis dibuat kelmarin, polis melancarkan usaha mengesan suspek sebelum berjaya mengesannya di Kapit, seterusnya menahan guru berusia lingkungan 40-an itu untuk membantu siasatan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, remaja berusia 14 tahun itu mengalami peristiwa hitam itu sejak berusia 12 tahun dan belajar di Tahun 6 di salah sebuah sekolah rendah di Kapit.

“Mangsa mendakwa diliwat lebih 20 kali di kuarters guru dan sebuah hotel murah di bandar berkenaan. Difahamkan, insiden berkenaan berlaku antara Ogos hingga Disember 2015,” katanya.

Sumber berkata, tertekan dan mengalami trauma susulan kejadian itu, mangsa bertukar ke sekolah lain di Mukah, namun terus menjadi sasaran pelampias nafsu songsang guru terbabit.

Katanya, kali ini mangsa diliwat di sebuah rumah di Kemunyang, di sini, selain hotel bajet.

“Mangsa mendakwa diliwat lebih 30 kali sepanjang tahun lalu. Sepanjang 2017, suspek terus mengulangi perbuatan terkutuknya antara Februari hingga Mei lalu di Mukah.

“Tertekan dengan keadaan itu, mangsa menceritakan detik hitam berkenaan kepada guru di sekolah baharunya yang kemudian membuat laporan polis hingga membawa kepada penahanan suspek,” katanya.

Katanya, suspek ketika kini ditahan di lokap Balai Polis Kapit dan akan dibawa ke dibawa ke Mukah untuk mendapatkan perintah reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377 C atas kesalahan melakukan seks di luar tabii.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau ketika mengesahkan penahanan berkenaan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
-bhonline

Watak-watak baru dalam saman DOJ, ini senarainya

Selain perincian berkaitan aset-aset dipertikai, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dalam langkah terbarunya turut mendedahkan watak-watak baru di sebalik dakwaan skandal itu.

Antara yang disebut termasuk “1MDB Officer 4” dan“1MDB-SRC Officer”.

Walaupun nama mereka tidak dinyatakan, saman DOJ semalam memberikan perincian yang dapat memberi gambaran berhubung identiti pihak itu.

1MDB Officer 4

Menurut DOJ, 1MDB Officer 4 adalah rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai pengarah eksekutif kewangan 1MDB, paling minimum, antara tahun 2012 hingga 2015.

Menurut jabatan itu, 1MDB Officer 4 terlibat dalam rundingan dengan Goldman Sachs pada 2012 dan menjadi orang perhubungan utama untuk pinjaman 1MDB daripada Deutsche Bank pada 2014.

Berdasarkan garis masa yang diberikan, kemungkinan besar individu itu adalah Terence Geh, yang menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara masih menjadi pengarah eksekutif kewangan 1MDB pada Oktober 2015.

Sebelum ini, nama Geh muncul dalam dokumen mahkamah Singapura yang menjelaskan bagaimana dana SRC International dipindahkan kepada rakan Jho Low, Eric Tan.

Dana-dana itu disalurkan melalui Pacific Harbour Global Growth Fund AA4 – dana yang dilanggan oleh SRC International yang didakwa diselia oleh Geh.

Bagaimanapun, saman DOJ semalam memberi gambaran bahawa Geh mempunyai peranan lebih besar dalam skandal melibatkan syarikat pelaburan negara itu.

Menurut DOJ lagi, 1MDB Officer 4 terlibat mengelirukan KPMG, juruaudit syarikat itu pada 2012, berkaitan hal ehwal aset yang dipegang oleh Brazen Sky.

1MDB Officer 4 juga membantu menubuhkan Aabar-BVI, untuk urusan pemindahan bon-bon yang melibatkan 1MDB.

Rundingan lain didakwa melibatkan kelulusan pinjaman Deutsche Bank yang kemudian turut didakwa dilencongkan.

1MDB-SRC Officer

1MDB-SRC Officer juga seorang warganegara Malaysia. Tempoh minimum dia menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah SRC International dari hujung 2011 hingga 2013.

“Pada 2011, sebelum berkhidmat di kedudukan itu di SRC International, 1MDB-SRC officer pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai pelaburan 1MDB,” kata DOJ.

Berdasarkan penjelasan itu, kemungkinan ia merujuk kepada Nik Faisal Ariff Kamil, yang menjadi pengarah di SRC International dan bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB.

Menurut DOJ, 1MDB-SRC Officer terlibat dalam perpindahan AS$681 juta yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB ke akaun Malaysian Official 1 (MO1).

Dia juga didakwa terlibat dalam pemindahan dana untuk usaha sama palsu antara 1MDB dan PetroSaudi International kepada Good Star Limited, syarikat yang dikawal oleh Low.

1MDB-SRC Officer juga dikatakan pernah berjudi bersama Low di kasino Las Vegas pada 2012.

Pihak lain yang turut bersama adalah bintang Hollywood Leonardo DiCaprio dan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Jasmine Loo Ai Swan

DOJ juga menyebut nama seorang individu yang namanya dirahsiakan sebelum ini.

Dirujuk sebagai 1MDB Officer 3 sebelum ini, DOJ kini menamakannya sebagai Jasmine Loo Ai Swan. Loo adalah bekas peguam 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan perniagaan itu.

DOJ dan mahkamah Singapura menyebut beliau diberikan kuasa menandatangani untuk akaun Tanore Corporation yang digunakan untuk memindahkan wang AS$681 juta kepada MO1.

Isteri MO1 dan lain-lain

Pihak lain dinamakan dalam latar belakang saman atau “individu relevan” adalah sama seperti saman sebelum ini.

Mereka adalah Low, 1MDB Officer 1, 1MDB Officer 2, MO1, Riza, Tan, Khadem Abdulla Al-Qubaisi, dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Bagaimanapun, watak baru muncul dalam saman itu, iaitu isteri MO1, yang mencuri perhatian banyak pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan bahawa MO1 yang disebut dalam saman pertama DOJ merujuk kepada Najib.

Beliau bagaimanapun menegaskan Najib bukan sebahagian daripada subjek siasatan.

Dalam pemfailan semalam, DOJ mendakwa sebahagian daripada AS$620 juta yang dikatakan dipulangkan oleh MO1 kepada “penderma” digunakan untuk membeli rantai dan loket permata merah jambu 22 karat kepada isteri MO1 yang bernilai AS$27.3 juta.

DOJ juga menuduh hartawan Jho Low membeli 27 bentuk rantai emas 18 karat dan gelang kepada isteri MO1 yang keseluruhannya bernilai AS$1.3 juta.

Najib sudah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Beliau juga mendakwa dakwaan-dakwaan itu bertujuan menggulingkannya daripada tampuk kuasa.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Malaysian Friend

Selain isteri MO1, watak yang dirujuk sebagai "Malaysian Friend" juga mencuri perhatian awam.

Walaupun identiti itu masih tidak jelas, wanita itu dikatakan menerima rantai dan loket permata merah jambu dan dikatakan menyerahkannya kepada isteri MO1.
-malaysiakini

6 lelaki bernafsu binatang dihadap ke mahkamah

ENAM lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas tadi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol secara berkumpulan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, awal bulan ini.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh Mohamad Nurruddin Mohd Fauzi, 22, Muhammad Yusuf Danial Luqman, 21

Che Kamarul Aiman Che Rasid, 20, Mohamad Tasyrik Mahmud, 20, Muhamad Alif Asmawi Othman, 20, dan Wan Hazaki Wan Hanafi, 38.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Nuruddin didakwa merogol secara berkumpulan remaja perempuan itu pada jam 1 pagi dan 3 pagi di Kubur Cina Pasir Parit, Sungai Batu, Pasir Mas, 3 Jun 2017.

Bagi kedua-dua tuduhan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimun 30 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan seks oral terhadap mangsa sama di lokasi sama pada jam 3 pagi.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat.

Lima lagi tertuduh didakwa merogol secara berkumpulan terhadap mangsa sama di lokasi sama antara jam 1 pagi hingga 3 pagi, 3 Jun 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Dazuki Ali tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 16 Julai ini untuk laporan kimia, forensik dan perubatan mangsa.

Harian Metro pada 5 Jun lalu, melaporkan enam lelaki bernafsu binatang tergamak merogol remaja perempuan berusia 17 tahun secara bergilir-gilir di sebuah pondok yang jauh dari rumah penduduk.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad dipetik berkata, sebelum itu, mangsa dipercayai mengikut teman lelakinya keluar makan rojak di sebuah kedai makan.

Mangsa kemudian dibawa ke sebuah pondok terpencil sebelum dirogol semua tertuduh.

Dalam kejadian itu, mangsa diugut akan dimasukkan mercun bola ke dalam mulut sekiranya melawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Dirogol, dipaksa memasak separuh bogel

WARTAWAN SINAR HARIAN

SINGAPURA - Seorang lelaki warga Singapura dihukum penjara 14 tahun dan 22 sebatan semalam selepas didapati bersalah merogol seorang rakyat Malaysia, empat tahun lalu.

Menurut laporan Straits Times, Yap Jun Cheng yang kini berusia 26 tahun mengaku bersalah merogol mangsa ketika mangsa berusia 20 tahun di rumah flat Tampines pada 4 Mac, 2013.

Selain rogol, Jun Cheng menghadapi 11 dakwaan lain yang berkaitan dengan serangan seksual.

Dalam kejadian berkenaan, Jun Cheng berkenalan dengan mangsa pada 2011 melalui Facebook dan mangsa bertemu dengan Jun Cheng pada 2013 untuk mencari kerja.

Jun Cheng yang ketika itu berusia 22 tahun mempelawa untuk 'membantu' mangsa sebelum mengurung mangsa di rumahnya.

Mangsa dirogol kali pertama selepas mangsa gagal melarikan diri dan tombol pintu bilik suspek rosak akibat pergelutan.

Mangsa yang kelaparan kemudian dipaksa memasak tanpa memakai seluar untuk beberapa ketika.

Suspek kemudian memberitahu akan membawa mangsa makan di luar dan merogol mangsa sekali lagi di ruang tamu.

Selanjutnya, mangsa dan suspek makan bersama di Bedok dan suspek menghantar mangsa ke stesen MRT Boon Lay.

Setibanya di Malaysia, mangsa memberitahu tentang insiden berkenaan kepada sepupunya.

Kedua-duanya kemudian kembali ke Singapura untuk membuat laporan polis

Tahniah kepada lima pemuda Cina ini!

WARTAWAN SINAR HARIAN

Foto yang tular di laman Facebook.
GELAGAT lima pemuda Cina yang tidak menyentuh makanan mereka sehinggalah azan berkumandang rupa-rupanya diperhatikan seorang pelayar laman sosial.

Pelayar tersebut yang dipercayai berbuka puasa di Aeon Melaka, 11 Jun lepas mendakwa kumpulan pemuda berkenaan menunggu masa sesuai untuk mereka menjamah makanan.

"Mereka tak sentuh langsung makanan tersebut..sehingga la azan berkumandang, mereka berpusing-pusing perhatikan sekeliling nak pastikan sama ada boleh makan atau belum," kata pelayar tersebut di Facebook.


Katanya, bila semua orang orang Islam yang berada di dalam restoran makan, baru la mereka sentuh makanan mereka.

"Tahniah untuk kamu berlima. Terima kasih kerana menghormati kami," akhiri pelayar berkenaan.

Perkongsian pelayar berkenaan jelas menarik perhatian pelayar Muslim dan bukan Islam yang lain.

"Toleransi adalah kuncinya," kata seorang pelayar bukan beragama Islam.

"Tahniah kepada saudara!" kata seorang lagi pelayar.

Perkongsian berkenaan telah tular di laman Facebook.

Mayat ditemui dikerat kepada 6 bahagian

Mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemui mati di sebuah rumah sewa di Kampung Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani awal pagi semalam, dikerat kepada enam bahagian dan dipotong secara kemas di bahagian sendi kaki dan tangan menggunakan objek tajam dan berat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, kesemua anggota badan berkenaan diletakkan di dalam tiga guni berasingan, iaitu guni pertama berisi bahagian kepala hingga ke pusat, guni kedua berisi bahagian pinggang hingga ke lutut dan guni ke tiga berisi lengan kedua-dua belah tangan dan betis kedua-dua belah kaki.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah 'sharp force trauma to the head and neck'. Bagaimanapun bahagian organ dalaman tidak terjejas," katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Dalam kejadian awal pagi tadi, mayat Azad Late Late Mofyan Uddin, 38, dijumpai pihak polis selepas teman wanita mangsa yang berumur 31 tahun tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 1 pagi meminta polis mengesan Azad.

Polis yang membuat pemeriksaan ke atas rumah sewa mangsa kemudiannya terhidu bau busuk dan mendapati terdapat kesan cecair berwarna kehitam-hitaman yang mengalir dari bahagian belakang kabinet batu di ruang dapur rumah berkenaan.

Pemeriksaan lanjut di bahagian bawah kabinet dapur itu menemukan tiga bungkusan guni plastik yang diikat yang mengandungi badan manusia yang telah dipotong-potong dengan menggunakan senjata tajam.

Usaha mengesan rakan serumah mangsa masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.
- Bernama

Polis siasat kes kanak-kanak 3 tahun dipaksa hisap syabu

Bernama
ALOR SETAR: Polis sedang giat untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun yang video dia dipaksa menghisap dadah oleh bekas teman lelaki ibunya tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Mior Farid Al Athrash Wahid berkata ia selepas nenek mangsa yang berusia 53 tahun dan menetap di Gurun membuat laporan polis petang semalam selepas melihat video tersebut.

“Pada Isnin lalu, nenek mangsa melihat 7 rakaman video yang dihantar oleh seorang lelaki yang merupakan bekas teman lelaki menantunya. Di dalam rakaman tersebut, cucunya dilihat dalam keadaan tidak berbaju dan khayal selepas diberi dadah jenis syabu oleh suspek.

“Nenek mangsa tidak pasti sama ada kejadian dilihat melalui rakaman video tersebut benar atau tidak kerana cucunya tinggal bersama ibu kandungnya dan bukan dengan bekas teman lelaki ibunya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata nenek mangsa juga ingin menuntut kembali hak penjagaan ke atas cucunya kerana bimbang dengan keselamatan kanak-kanak itu.

Katanya polis sedang mengesan suspek yang dikenal pasti dan usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak Kanak 2001, katanya.

Import 1.5 juta pekerja Bangladesh: 'Zahid Hamidi usah tipu rakyat'

ARIF ATAN
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil mengingatkan kerajaan supaya tidak membohongi rakyat berhubung pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat selama tiga tahun.

Menurutnya, usaha mengimpot pekerja asing dari negara Asia Selatan itu didakwa masih berterusan sehingga pada masa ini walaupun Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan antara Malaysia dan Bangladesh pada Februari tahun lalu telah diumum dibekukan pelaksanaannya setelah diprotes pelbagai pihak.

Kerajaan Malaysia juga, ujarnya, tidak menyanggah kenyataan pihak kerajaan Bangladesh yang dilapor akan menghantar pekerja terbabit seperti yang dimeterai walaupun Zahid mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja negara itu pada Februari tahun lalu.

"Datuk Seri Zahid Hamidi diminta jangan tipu rakyat! Kerajaan perlu memastikan agar usaha mengimpot 1.5 Juta pekerja Bangladesh diberhentikan segera dan mulakan langkah merevolusikan sektor pekerjaan di Malaysia secara keseluruhannya.

"Kerajaan tidak harus mengutamakan kepentingan komersial beberapa syarikat atas kepentingan sosio-ekonomi yang lebih luas daripada rakyat Malaysia," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh itu hanya akan memberi manfaat kepada syarikat yang ketagih kepada buruh murah tetapi menghasilkan kesan luaran negatif kepada negara.

"Kesan tersebut termasuk mewujudkan tekanan ke atas gaji, mengubah demografi masyarakat dan menyesakkan golongan pekerja tempatan yang kurang mahir," katanya.

Sehubungan itu, Faiz menyarankan Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri mengambil kira pilihan dasar alternatif termasuk usaha memaksimumkan penggunaan warga asing sedia ada di negara ini melalui cara mendaftarkan pekerja asing haram.

Hal ini termasuk, ujarnya, menghantar pulang mereka terbabit yang enggan mendaftar atau menggunakan pelarian sedia ada dari negara-negara seperti Myanmar dan Syria yang dianggarkan seramai 150,600 berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk ditawarkan pekerjaan.

"Cadangan ini adalah wajar untuk mengimbangi tuntutan pasaran dan kebanjiran warga asing di negara ini supaya kehadiran hampir lapan juta warga asing tidak berdaftar dapat dibendung dan peluang pekerjaan warga tempatan yang mempunyai kadar pengangguran yang agak tinggi iaitu 3.5 peratus dapat diatasi.

"Bagi merungkai kebimbangan ini, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu segera tampil dengan penjelasan sebenar dan tindakan jelas dalam isu pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh sama ada diteruskan atau tidak oleh Kerajaan Malaysia.

"Jangan hanya membisu semata-mata menahan kemarahan rakyat menjelang pilihan raya umum," tegas Faiz lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid pada awal tahun ini dilapor berkata, pihaknya menerusi Jabatan Imigresen memperoleh keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengeluarkan kad pekerja sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mempunyai majikan di negara ini.

Menurutnya, pengeluaran kad itu dibuat atas permintaan golongan majikan untuk mendaftarkan pekerja PATI mereka selain membantu kerajaan merekodkan jumlah sebenar pekerja asing di negara ini.

Naib Presiden Umno itu turut memaklumkan kerajaan sedang membangunkan Sistem Permohonan Pekerja Asing Bersepadu (SPPA) bagi memudahkan urusan permohonan pengambilan pekerja asing termasuk secara atas talian.

Kesungguhan Mak Cik penjual rebong

DR ASRI ZAINUL ABIDIN
Dr Maza makcik rebong
Ketika jam hampir 12 malam, mak cik ini masih di kaki lima menjual rebong dan beberapa jenis makanan segera. Mula-mula saya bertemu anaknya yang masih kecil berniaga di hadapan KFC Kangar tadi.

Dia anak istimewa. Dia memberitahu ibunya juga berniaga di sana. Saya mencari ibunya. Saya dapati wanita yang sudah berusia berniaga di kaki lima.

Saya bertanya: Adakah mak cik mendapat bantuan zakat? Dia menjawab: Ya! Mak cik ada terima zakat secara bulanan dan bantuan Badan Kebajikan juga. Cumanya mak cik tidak mahu duduk sahaja sebab ada tanggungjawab tiga anak OKU di rumah.

Saya lihat beliau menjual sekarong rebung yang dimasukkan dalam bungkusan-bungkusan kecil. Agak banyak dan berat.

Saya bertanya: "Dari mana modal mak cik ambil untuk berniaga?"

Dia menjawab: "Mak cik cari dan potong sendiri dari hutan".

Saya sedih mendengar kesungguhan beliau berusaha agar tidak meminta-minta. Itulah kemuliaan dan itulah ibadah yang hebat.

Saya hulurkan sedikit sumbangan kemudian saya membeli kesemua rebung beliau sebagai tanda sokongan kepadanya. Hampir 40 bungkus rebong beliau. Saya bukan penggemar rebung. Namun saya pasti pagi esok saya akan cari masjid yang sudi terima semua rebung ini untuk dibuat menu berbuka puasa.

Rebong makcikSebelum saya dan keluarga beredar, saya tanya beliau: "Mak Cik tinggal di mana?" Jawabnya: "Di Chuping". Saya tanya lagi: "Macam mana semua barang ini dibawa ke sini?" Dia menunjukkan motosikalnya yang uzur. Dia beritahu semalam tayar motorsikalnya pecah, dia terpaksa menolak motorsikal itu sehingga ke rumah. Dari jam 12 malam, jam 4 pagi baru sampai rumah. Amat sedih saya mendengar.
Rebong makcik

Sebelum saya masuk ke kereta saya tanya lagi: Mak cik tahu pejabat MAIPs di mana? Dia agak terpinga-pinga. Saya tanya lagi: Mak Cik tahu pejabat zakat kat mana? Dia jawab: Tahu! Saya kata kepadanya: "Di situlah pejabat MAIPs. Esok pergi ke situ bagitahu kat kaunter tu mufti suruh mak cik mohon zakat tambahan". Dia mengangguk.

Orang sepertinya yang kuat berusaha tidak duduk saja layak ditambah peruntukan bantuan. In sha Allah MAIPs akan menambahkan bantuan untuknya.

Saya beredar dalam jiwa yang sedih. Semoga Allah ampuni saya dan segala dosa serta kelemahan saya. Semoga Allah memberikan rezeki kepadanya yang banyak. Melihat kepada kesusahan dan kesungguhan orang yang seperti ini, menjadikan kita insaf betapa kita tidak cukup bersyukur kepada Allah atas segala kurniaanNYA dan betapa sedikitnya ujian yang kita terima.

Imam bazar Ramadan tak patut samseng

Tindakan seorang lelaki yang mendakwa dia seorang imam ketika menghalang penyokong Pakatan Harapan memasuki bazar Ramadan di Kluang pada Ahad lalu sama sekali menyalahi akhlak seorang Muslim.

Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata lagak "kasar dan samseng" itu juga tidak menepati adab pekerti orang Melayu.

"Tindakan kasar dan lagak samseng ditunjukkan itu bukanlah akhlak yang dianjurkan oleh Islam mahupun adab pekerti Melayu sekalipun pelaku melaung-laungkan kalimah: saya imam, saya imam.

"Ia hanyalah amalan budak-budak Umno yang mendapat restu pemimpin mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Omar bersama beberapa penyokong pembangkang hadir untuk mengedarkan buah kurma kepada pengunjung di bazar Ramadan Kluang.

Turut hadir, Anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Bagaimanapun mereka disekat daripada memasuki bahagian jualan barangan kering dan pakaian.

Tak suka keganasan

Seorang daripada lelaki terbabit beberapa kali beristighfar dan mendakwa dia seorang "imam" dan mengarahkan mereka beredar dari situ.

Insiden itu yang sempat dirakam juga menjadi tular dan menghasilkan klip video parodi yang melucukan.

Kata Sheikh Omar, kenyataan dua pemimpin Umno Johor - iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Exco Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday - mempertahankan tindakan "imam" terbabit adalah sesuatu yang malang.

"Razali dan Jais sepatutnya lebih tegas dan kembali kepada persoalan pokok - adakah mereka bersetuju dengan tindakan dilakukan pemuda tersebut ke atas anggota parlimen Kluang?

"Adakah mereka bersetuju dengan tindakan melarang seorang wakil rakyat memasuki bazar Ramadan yang merupakan kawasan awam?

"Adakah Razali dan Md Jais bersetuju bahawa anggota Umno perlu menguasai bazar Ramadan mengatasi pihak berkuasa tempatan sehinga berlaku lagak samseng yang tiada kawalan?" katanya.


Berdasarkan reaksi setakat ini, kata Sheikh Omar, Razali dan Md Jais tidak sedikit pun menunjukkan rasa bersalah atas tindakan ala samseng oleh pihak terbabit, sebaliknya seperti selalu menyalahkan DAP.

"Apa yang berlaku semasa kami mengedarkan kurma di Bazar Ramadhan Kluang cukup menggambarkan bahawa majoriti rakyat tidak suka kepada keganasan dan budaya samseng.

"Rakyat mahukan keamanan, kerukunan, semangat muhibbah dan budaya saling hormat-menghormati," katanya.
-malaysiakini

Polis cari botol atau kayu dalam kes liwat remaja

GEORGE TOWN: Polis akan memeriksa sebuah padang di Kampung Buah Pala, Gelugor untuk mencari objek yang digunakan untuk meliwat seorang remaja berusia 18 tahun, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata, sepasukan forensik akan pergi ke padang itu untuk mengadakan pemeriksaan sekali lagi, walaupun polis menemui beberapa objek yang digunakan untuk menyerang mangsa pada awal pagi Sabtu lalu.

T Nhaveen, 18, seorang promoter di sebuah pusat beli-belah diserang dengan topi keledar oleh 2 lelaki, sebelum diculik dan dibawa ke sebuah padang di Jalan Kaki Bukit. Tiga lagi lelaki menyertai mereka dan didakwa memasukkan objek ke duburnya.

“Ahad lalu, seorang doktor pakar memaklumkan kepada kami tusukan 1 objek tumpul ke dubur Nhaveen. Kami tidak diberitahu mengenainya apabila mangsa dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya.

“Berdasarkan penemuan ini, kami akan memeriksa padang itu sekali lagi untuk mencari objek seperti kayu atau botol yang mungkin mencederakan Nhaveen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, hari ini.

Anuar turut menjelaskan kesan lecur di belakang badan Nhaveen adalah parut akibat cucuhan puntung rokok, bukannya kesan terbakar seperti dilaporkan.

Katanya, 5 suspek yang ditahan mengaku menyerang Nhaveen, tetapi menafikan mereka menusuk objek ke dalam duburnya.

“Kami sudah mengambil keterangan daripada 5 doktor berhubung kes itu. Dua lagi keterangan diambil daripada rakan Nhaveen yang cedera dan satu lagi dripada abang suspek yang menghantar Nhaveen ke hospital.”

Anuar turut menafikan dakwaan pembabitan geng kongsi gelap terbabit dalam kes itu.

“Kami tidak dengar daripada keluarga yang adik perempuan Nhaveen berusia 16 tahun diugut. Kami akan hubungi mereka untuk soal siasat.”

Sementara itu, Anuar mendedahkan perkataan yang digunakan suspek terhadap Nhaveen.

“Dua lelaki itu mula-mula kata lama tak jumpa pondan, kemudian mereka turut kata awak ada misai kontot, awak pengecut,” katanya.

Anuar berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Tetapi, kami akan mencadangkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana ada bukti tusukan secara paksaan ke dalam duburnya.”

Seksyen itu merujuk hubungan seks dengan objek, iaitu mana-mana orang yang memasukkan objek ke dalam faraj atau dubur orang lain tanpa kebenaran. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara minimum 5 tahun dan maksimum 30 tahun serta mungkin boleh disebat.

Dalam pada itu, Mahkamah Majistret membenarkan tempoh reman 5 remaja berusia 16 hingga 18 tahun itu dilanjutkan.

Reman 3 daripada 5 suspek tidak bekerja itu dilanjutkan 3 hari lagi, manakala 2 lagi pelajar tingkatan 5 direman sehari lagi.

Jumaat lalu, Nhaveen dan rakannya, T Previin, 19, diserang 2 lelaki bermotosikal di sebuah gerai burger yang terletak di luar Masjid At-Taqwa, Taman Tun Sardon, Gelugor.

Mereka dipukul 2 bekas rakan sekolah itu yang kemudiannya menghubungi 3 rakan lain. Kumpulan itu kemudiannya menculik Nhaveen ke sebuah padang di Jalan Kaki Bukit di mana mereka didakwa menderanya.

Previin yang sempat melarikan diri sebelum diculik, mengalami keretakan di tulang pipi dan dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Nhaveen yang tidak sedarkan diri dibawa abang kepada salah seorang penyerang itu ke Hospital Pulau Pinang pada jam 2 pagi Sabtu lalu.

Beliau kini bergantung kepada mesin sokongan hayat selepas doktor mengisytiharkannya “mati otak” disebabkan kecederaan di kepala, pinggul dan kemaluan.

Saudaranya berkata, Nhaveen turut menghidap sawan kerana mempunyai ketumbuhan kecil di otaknya.
-fmt

Remaja lelaki ‘mati otak’ selepas dipukul, diliwat, dilecurkan

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun didakwa dipukul, diliwat dan dilecurkan sekumpulan pemuda di luar sebuah kedai burger yang terletak berhampiran sebuah masjid di Gelugor Jumaat lepas.

T Nhaveen, 18, diisytiharkan “mati otak” di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang.

Polis menahan 5 suspek berusia antara 16 hingga 18, atas dakwaan merusuh.
Menurut ahli keluarga mangsa yang ditemui di hospital, Nhaveen dan sahabat baiknya, Previin, 19, yang bekerja sebagai promoter di sebuah pasar raya di Bayan Lepas sedang menunggu untuk kembali ke kolej.

Nhaveen sepatutnya pulang ke kolejnya yang terletak di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pada Jumaat, selepas syif malam, Nhaveen dan Previin pergi ke sebuah kedai burger yang terletak di luar Masjid Taman Tun Sardon berhampiran rumah mereka untuk makan malam.

Di sana, mereka terjumpa 2 bekas rakan sekolah yang mula mencemuh Nhaveen. Dua individu itu didakwa membuli Nhaveen sejak di sekolah kerana bersifat keperempuanan.

Nhaveen merayu 2 bekas rakannya supaya berhenti, tetapi sebaliknya mereka menghubungi rakan mereka dan 6 lelaki bermotosikal tiba di tempat kejadian.

Mereka kemudian memukul Nhaveen dan Previin berulang kali dengan topi keledar.

Salah seorang pemuda memaksa Nhaveen ke padang berhampiran di Jalan Kaki Bukit.

Sementara itu, Previin, melarikan diri dari tempat kejadian dan kemudian mendapat rawatan untuk kecederaan yang dialami di Hospital Pulau Pinang.

Apa yang berlaku di padang tidak diketahui, tetapi Nhaveen yang tidak sedarkan diri dibawa abang kepada salah seorang penyerang ke Hospital Pulau Pinang pada 2.00 pagi Sabtu.

Di sana, kakitangan di unit kecemasan merawat kecederaan parah di kepala Nhaveen dan luka di bahagian kemaluan yang berdarah.

Nhaveen kemudiannya dimasukkan di wad neurologi unit rawatan rapi hospital itu.

Doktor memberitahu ahli keluarga terdapat bukti kesan tembus pada dubur Nhaveen dan juga kecederaan pada kemaluan dan kesan lecur di bahagian belakang badan.

Hari ini, ibu Nhaveen mengadakan sidang akhbar bersama peguam Baljit Singh di hospital, menuntut pihak berkuasa hospital menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas Nhaveen.

Baljit, yang juga pengerusi biro undang-undang dan hak asasi Gerakan, menggesa polis supaya menyiasat perkara itu dengan teliti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata, 5 remaja yang berumur antara 16 dan 18 ditahan atas dakwaan merusuh.

Dua daripada 5 suspek yang ditahan pelajar tingkatan 5 manakala 2 lagi pelajar kolej dan suspek yang ke-5 tidak bekerja.

“Suspek mengakui terlibat dalam kejadian itu,” kata Anuar ketika dihubungi.

Kenapa Arab musuhi Hamas, Ikhwan lebih dari Israel?

ABDUL MUEIN ABADI 



“MUSUH Israel ialah musuh Amerika, manakala musuh Amerika ialah musuh Arab – Tetapi Arab pula bukanlah sahabat Israel”



Mengapa Hamas dan Ikhwan Muslimin lebih dimusuhi sebahagian negara Arab berbanding Israel?



Mengapa Qatar yang melindungi dan membantu kedua-dua gerakan ini ditekan sebegitu hebat sekali?





Sedangkan Israel lebih dahsyat ancamannya pada waktu ini dengan menduduki tanah Palestin secara haram dan besar-besaran?



Ada tiga jawapan yang saling berkait iaitu: menjaga hubungan dengan Amerika yang memberi pulangan ‘petroDollar’ kepada negara Arab; memelihara proksi Arab Saudi di Timur Tengah; dan menyekat potensi pesaing kepada kepimpinan Arab Saudi pada masa hadapan.



Krisis Qatar memasuki episod baru apabila Arab Saudi memberi amaran agar Qatar segera memutuskan hubungan dengan Hamas dan Ikhwan Muslimin.



Sama sekali bukan rahsia bahawa Hamas ialah benteng yang menghalang Palestin daripada dijajah Israel sejak sekian lama.



Ikhwan Muslimin pula bukan sekadar pernah membantu perkembangan pendidikan di dunia Arab yang dahulu dibelenggu buta huruf yang kritikal, tetapi juga dalam sektor perniagaan, kesihatan dan kesukarelawanan.



Ikhwan Muslimin mempunyai sejarah panjang yang cukup berpengaruh dalam peta dunia Arab hari ini.



Malah Hamas di Palestin sebenarnya ialah cawangan Ikhwan Muslimin yang ditubuhkan oleh As-Syahid Sheikh Ahmed Yassin.



Membezakan Ikhwan Muslimin dengan gerakan politik lain ialah doktrin fundamentalnya dengan Islam, termasuklah berkenaan menolak hegemoni Amerika Syarikat dan penjajahan Zionis.



Sebaliknya raja-raja negara Arab memerlukan sistem petrodollar Amerika di mana hasil petroleum mereka yang dilaburkan dalam mata wang Dollar memberi pulangan yang jauh lebih besar berbanding melabur atau menggunakan hasil minyak dalam negara mereka semata-mata.



Berkembangnya pengaruh Ikhwan dalam negara mereka bakal menjejaskan pulangan lumayan petroleum mereka ini bila mana legitimasi politik mereka terhakis lalu menjejaskan hubungan dengan Washington.



Umum mengetahui bahawa Washington dipengaruhi kuat para pelobi pro-Israel lantas jika negara Arab ini memberi pengiktirafan kepada Hamas dan Ikhwan yang dianggap sebagai ‘pengganas’ oleh Israel dan Amerika, maka pendapatan lumayan mereka bakal terjejas.



Perlu diketahui pendapatan ini bukan hanya menampung pentadbiran negara mereka, tetapi juga membiayai ‘survival’ atau kelangsungan rejim monarki yang digasak hebat arus pendemokrasian.



Kedua-dua gerakan Hamas dan Ikhwan juga mencabar secara langsung sekutu atau proksi Arab Saudi di dua kawasan berpengaruh iaitu rejim Al-Sisi Mesir dan autoriti Palestin pimpinan Fatah yang direstui Arab Saudi.



Mesir ialah sekutu penting bagi Arab Saudi kerana bukan sahaja jumlah populasinya yang besar, tetapi juga kerana lokasi strategiknya, di samping saiz angkatan tentera kedua terbesar dalam kalangan negara Islam selepas Turki.



Maka apabila Al-Sisi menghapuskan dasar bantuan Mesir kepada Hamas Palestin seperti mana yang dilaksanakan di era Morsi, ia memberi isyarat yang positif untuk bersekutu dengan Arab Saudi yang menjaga kepentingan hubungan baik dengan Amerika, iaitu sekutu Israel.



Fatah pula lebih mudah untuk menjadi pelaksana agenda Arab Saudi di Palestin berbanding Hamas, terutama sekali apabila melibatkan rundingan dengan Israel.



Hal ini dipengaruhi keengganan Hamas untuk berunding sama sekali dengan Israel selagi mana penjajahan dan pendudukan haram Yahudi di tanah Palestin berleluasa.



Sebaliknya pendekatan lunak Fatah bakal memberi laba imej ‘positif’ Arab Saudi di mata Washington – disamping memelihara reputasinya sebagai pemimpin dunia Islam, meskipun rundingan demi rundingan terbukti kurang berhasil tanpa langkah ofensif.



Lingkungan pengaruh Ikhwan yang luas di Qatar, Mesir, dan negara-negara Arab lain turut dianggap sebagai ancaman strategik jangka panjang buat rejim monarki.



Ikhwan bukan semata-mata gerakan politik, tetapi juga ialah gerakan profesional serta dakwah yang tersebar luas yang berupaya mengakumulasi pengaruh dalam kalangan massa.



Maka berbeza dengan iklim politik yang agak terbendung di beberapa negara Teluk, gerakan Ikhwan berupaya untuk bergerak secara aktif dan meluaskan pengaruh dalam sistem berasaskan demokrasi.



Maka jika Turki pada hari ini yang mesra Ikhwan sahaja sudah berupaya untuk menyaingi hegemoni Arab Saudi dalam Dunia Islam, tentu sekali jika lebih banyak negara lain berjaya dikuasai Ikhwan maka pengaruh dan kepimpinan Arab Saudi akan lebih terpinggir.



Lihat sahaja respon Arab Saudi dan sekutunya setiap kali gerakan Islamis dan Ikhwan berjaya selepas memenangi pilihan raya di mana-mana negara, sama ada di Mesir, Turki, Algeria, mahu pun di Palestin sendiri.



Ringkasnya, “Musuh Israel ialah musuh Amerika, manakala musuh Amerika ialah musuh Arab – Tetapi Arab pula bukanlah sahabat Israel”.



Soalnya kini, selama manakah hubungan status quo segi tiga secara tidak langsung antara Arab Saudi, Amerika Syarikat, dengan Israel ini akan berkekalan?



Oleh: Abdul Muein Abadi

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)