"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Masjid di Mesir diserang, sekurangnya 235 terbunuh (Gambar)

Masjid di Mesir diserang, sekurangnya 200 terbunuh
Bom diletupkan di masjid Rawda, hampir 40 kilometer di barat Sinai Utara sebelum penembak melepaskan tembakan kepada umat Islam yang berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat. – Gambar AFP, 24 November, 2017.



LELAKI bersenjata menyerang sebuah masjid yang sesak di daerah Sinai Utara, Mesir pada Jumaat dan meletupkan bom, membunuh sekurang-kurangnya 235 orang menjadikannya salah sebuah serangan terburuk di negara itu, lapor media tempatan.

Bom diletupkan di masjid Rawda, hampir 40 kilometer di barat Sinai Utara sebelum penembak melepaskan tembakan kepada umat Islam yang berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat, kata pegawai.

Media negara itu melaporkan sekurang-kurangnya 235 terbunuh dan 130 lagi cedera dalam serangan itu, terburuk pernah berlaku ketika kumpulan pelampau Islam mula memberontak sejak empat tahun lepas.

Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) cawangan Mesir sudah membunuh ratusan polis dan tentera serta orang awam yang didakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siri serangan di utara Semenanjung Sinai. Mereka juga menyasarkan pengikut Sufi serta penganut Kristian.

Mangsa termasuklah orang awam dan jemaah yang sedang bersolat di masjid itu.

Seorang pemimpin puak dan ketua militia Bedouin yang memerangi IS memberitahu AFP yang masjid itu dikenali sebagai tempat berhimpunnya pengikut Sufi.

IS berkongsi pandangan Salafi yang menganggap Sufi sebagai ajaran sesat.

Militan sebelum itu menculik dan memenggal seorang pemimpin Sufi menuduhnya mengamalkan sihir yang dilarang Islam, dan menculik penganut Sufi sebelum membebaskannya selepas “bertaubat”.

Kumpulan itu juga membunuh lebih 100 orang penganut Kristian dalam letupan dan tembakan di sebuah gereja di Sinai dan kawasan lain di Mesir, memaksa ramai penganut agama itu meninggalkan Semenanjung Sinai.

Pihak tentera bergelut untuk memerangi militan yang berikrar taat setia kepada IS itu pada November 2014.

IS berulang kali menyerang tentera dan polis di semenanjung yang bersempadanan dengan Israel dan Tebing Gaza itu, walaupun serangannya semakin berkurangan sejak tahun lepas.

Militan juga meningkatkan serangan terhadap orang awam, bukan sahaja menyerang penganut Kristian dan pengikut Sufi tetapi juga penduduk kaum Bedouin yang tinggal di Sinai mendakwa mereka bekerjasama dengan tentera.

Selain IS, Mesir juga berdepan ancaman militan setia kepada Al-Qaeda yang menguasai Libya.

Sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka Ansar al-Islam mengaku bertanggungjawab ke atas serangan pada Oktober di Western Desert, Mesir yang membunuh sekurang-kurangnya 16 anggota polis.

Kebanyakan yang terbunuh dalam serangan itu adalah anggota pasukan Perkhidmatan Keselamatan Nasional.

Tentera kemudiannya melancarkan serangan udara ke atas penyerang, membunuh pemimpin mereka, Emad al-Din Abdel Hamid, salah seorang militan paling dihendaki yang merupakan bekas pegawai tentera sebelum menyertai sekutu Al-Qaeda di kubu kuat militan itu di Libya. – AFP

Milik siapa RM11 juta?

MALAYSIA DATELINE
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dilapor menemui wang tunai dianggar mencecah RM11 juta dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Kota Kinabalu kira-kira jam 1 pagi hari ini.

Serbuan Op Gegar di sebuah hotel dan pangsapuri sekitar ibu negeri Sabah itu hasil maklumat berhubung kegiatan pelacuran di lokasi terbabit.

“Semua wang tunai itu dianggarkan bernilai kira-kira RM11 juta dan proses pengiraan masih dilakukan setakat ini,” kata sumber dipetik dari Astro Awani.

Tahun lalu, Sabah turut menyaksikan rampasan wang tunai dalam kuantiti yang menggemparkan hasil operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jumlah wang yang ditemui di beberapa lokasi itu dikatakan sebagai terbesar pernah disita oleh SPRM berkaitan kes rasuah.

Sehubungan itu, bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan dua lagi berhadapan dengan pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM61.48 juta serta memiliki barang mewah daripada aktiviti haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, 11 Ogos lalu menangguhkan perbicaraan kes tersebut dan menetapkan 17 hari perbicaraan antara 5 Februari dan 22 Mac tahun depan.

Tun DR Siti Hasmah bertahu Dr Mahathir tak suka dia pakai tudung

DR Siti Hasmah Mohd Ali mahu bertudung, tetapi dilarang Dr Mahathir Mohamad, lapor MalaysiaKini hari ini.

Katanya, beliau mahu berbuat demikian selepas kembali dari Mekah, tetapi Dr Mahathir tidak menyukainya.

“Suami larang saya pakai tudung. Sebelum seseorang pakai tudung, dia perlu minta kebenaran suaminya.

“Saya hendak ambil berkat selepas kembali dari Mekah. Jadi saya pakai tudung tapi dia palingkan mukanya,” katanya seperti dipetik MalaysiaKini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika ditanya mengenai larangan bertudung di hotel yang dijawabnya, beliau bukanlah orang yang tepat untuk ditanya kerana beliau tidak memakai tudung.

Bagaimanapun, Dr Siti Hasmah berkata persoalah sama ada seseorang itu perlu memakai tudung bergantung jika orang tersebut mahu bekerja dalam industri hotel yang mempunyai peraturan dan syarat mereka sendiri.

Kemelut larangan bertudung untuk kakitangan hotel wanita beragama Islam tercetus apabila Union Network International-Malaysia Labour Center (Uni-MLC) mendedahkan aduan pekerja hotel wanita beragama Islam yang mengatakan mereka tidak dibenarkan bertudung di tempat kerja.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Samuel Cheah mempertahankan larangan itu menyifatkannya sebagai dasar rangkaian hotel antarabangsa yang sudah lama diguna pakai.

Isu itu terus mendapat perhatian ramai, termasuklah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz yang menyelar amalan diskriminasi industri perhotelan itu.

BN sudah berkempen di Chow Kit?

ARIF ATAN
Kempen BN secara terbuka di sekitar Chow Kit.

Tanpa berselindung, parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dilihat sudah mula berkempen di tengah hiruk-pikuk ibu negara ketika tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) masih teka-teki.

Pemerhatian Malaysia Dateline di Jalan Tuanku Abdul Rahman petang ini mendapati terdapat deretan papan iklan elektronik yang memaparkan logo BN dalam tiga versi.

Tertera ungkapan “Hidup Rakyat” dan “For A Better Nation”, paparan kemudiannya bersilih ganti dengan versi bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.

Terdapat lebih 10 skrin iklan sama di sekitar Chow Kit dipasang pada tiang lampu di bawah landasan monorel termasuk di hadapan pasar raya Mydin yang didatangi ramai pengunjung.

Deretan papan iklan elektronik di kawasan Parlimen Titiwangsa itu hanya kira-kira dua kilometer dari ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Difahamkan oleh syarikat Skyblue Media, skrin turut menayangkan iklan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) untuk dijual selain iklan perkhidmatan dobi dan KFC.
Deretan skrin iklan di kawasan tumpuan warga kota di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Khalid kekal MP Shah Alam, Mahkamah Tinggi Syariah kurangkan hukuman

BORHAN AHMAD
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini mengurangkan hukuman ke atas ahli parlimen Shah Alam daripada RM2,900 kepada RM1,900 sekaligus menyelamat kedudukan Khalid Samad sebagai ahli parlimen.

Namun begitu, Khalid masih disabitkan bersalah di atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah yang menyalahi Enakmen Agama Islam Selangor.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Salehan Yatim memutuskan demikian selepas menerima rayuan Khalid untuk mengurangkan denda itu.

Mahkamah menyatakan hukuman denda RM2,900 itu boleh menyebabkan kesan serius kepada Khalid kerana boleh menyebabkan beliau hilang kalayakan sebagai ahli parlimen sekaligus rakyat Shah Alam akan kehilangan wakil rakyat mereka.

Dalam perbicaraan pagi ini, Khalid merayu keputusan Mahkamah Rendah Syariah pada 19 Januari lalu yang mensabitkan beliau bersalah di atas tuduhan mengajar tanpa tauliah dan dijatuhi hukuman denda RM2,900 atau dua bulan penjara.

Mengikut peraturan SPR, Khalid tidak layak menjadi wakil rakyat jika didenda melebihi RM2,000.

Khalid didakwa memberikan ceramah tanpa tauliah di Surau Taman Seri Sementa Klang pada 16 Ogos 2011 lalu yang melanggar Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003).

Beliau diwakili peguam Dr Zulkarnain Luqman manakala defendan diwakili pendakwa syarie Aiman Roslan.

Rasuah di bangku sekolah?

Azizi Ahmad
Baru-baru ini warga pendidik di media sosial membincangkan bagaimana pelajar dibentuk menjadi korup dalam sistem persekolahan.
Salah seorang bapa murid telah meluahkan rasa ketidakpuasan hati beliau yang antaranya berbunyi:
“Apabila sistem pendidikan mengiktiraf keputusan peperiksaan yang tinggi sebagai ‘pendidikan yang baik’, lambat laun sistem itu pasti akan menghadapi masalah dan mengatakan bahawa ia membentuk pelajar untuk menjadi korup dan tidak bermoral.
“Salah satu daripada beberapa perkara yang dimaklumkan adalah terdapat guru memberi ‘petunjuk’ atau ‘soalan bocor’ kepada pelajar untuk mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan dan sekolah mengajar bahawa ‘berbohong adalah tidak salah’. Sekolah didapati mengalakkan murid ‘menghafal’, dan mereka yang mampu menghafal dengan baik akan pastinya mendapat A dalam peperiksaan yang diambil setelah ‘soalan’ diberikan sebelumnya.
“Anak saya memperolehi 9A dalam peperiksaan percubaannya sebelum ini, tetapi saya tidak gembira sama sekali kerana pihak sekolah terlebih dahulu memberi ‘makluman awal yang bersamaan dengan soalan yang bocor’ untuk semua subjek kecuali Kemahiran Hidup,” tulisnya.
Namun beliau tidak menyalahkan guru sepenuhnya, kerana percaya masalah sebenar terletak pada amalan dan arahan yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan menggunakan keputusan peperiksaan sebagai petunjuk pencapaian utama (KPI) untuk para guru.
Ini memberi tekanan yang besar kepada para guru, dan para guru terpaksa menggunakan kaedah yang tidak menyenangkan sedemikian untuk memastikan KPI tidak terjejas.
Sebagai kesimpulan, beliau menyatakan keputusan PT3 anaknya tidak bermakna apa-apa.
“Ini bukan petunjuk nyata tentang betapa pintar seseorang murid tetapi sejauh mana seorang murid mampu menghafal dan mengingat soalan bocor yang diberikan oleh pihak sekolah.”
Walaupun Malaysia sentiasa dikatakan menghasilkan pelajar dan graduan yang baik, perkongsian oleh bapa tersebut menunjukkan terdapat masalah yang besar dalam sistem pendidikan Malaysia, dan tindakan yang bijak perlu diambil bagi mengatasinya sebelum menjadi lebih teruk.
Isu ini boleh juga dikaitkan dengan beberapa kejadian dan tuduhan yang hampir sama di Baltimore, Amerika Syarikat. Media di Baltimore berjaya membongkar isu “mengubah gred dan markah dari gagal kepada lulus”.
Juga dilaporkan “surat pekeliling” diterima daripada pihak atasan dan menggesa serta mengarah pemeriksa kertas peperiksaan untuk menukar gred gagal kepada lulus. Kita tentu tidak mahu perkara sebegini turut berlaku di negara kita.

Walaupun ramai pemeriksa kertas peperiksaan melahirkan rasa kecewa (namun terpaksa kerana “saya yang terpaksa menurut sahaja”) jelasnya perbuatan sebegini tidak membantu pembelajaran dan kehidupan kanak-kanak.
Mengubah gred cara termudah dan terpantas untuk meluluskan pelajar dan tentu saja pihak sekolah dan pentadbir akan dilihat sangat baik atau cemerlang.
Hakikatnya, kebanyakan pelajar yang lulus tidak mempunyai nilai gred.
Dalam masa yang sama, seorang guru diharamkan mengajar seumur hidup selepas menukar gred gagal daripada “U” ke “A”.
David Fitzgerald, guru teknologi maklumat dengan sengaja menipu dalam pemberian gred peperiksaan General Certificate of Secondary Education (GCSE) murid-muridnya dan membantu menyiapkan tugasan untuk mereka kerana murid-muridnya “mendapati kerja kursus yang diberikan terlalu sukar”.
Apa yang pasti kenyataan dan makluman berlakunya penyelewengan ini datangnya dan dimaklumkan oleh murid-muridnya sendiri.
Guru membantu memastikan saya melakukannya dengan betul, dan dia juga memberi kami semua jawapan yang diperlukan untuk kertas ujian tersebut.”
Walaupun dilihat sebagai tidak amanah dan jujur dan tindakannya menjejaskan integriti sistem peperiksaan dan profesion pengajaran, Fitzgerald menafikan sebarang salah laku dan kesalahan yang dilakukan, dan menyatakan gred yang diterima oleh muridnya adalah melalui “bimbingan dan sokongan untuk murid-murid”.
Sesungguhnya memang agak lucu, bukan begitu? Malah di Malaysia, kita juga selalu mendengar anak-anak kita yang tamat persekolahan masih tidak cukup berwibawa untuk membaca dan menulis dengan baik. Kita juga sering dimaklumkan gred pencapaian UPSR, PT3, SPM dan sebagainya berada pada tahap terbaik.
Kita tidak boleh mempunyai sistem peperiksaan yang berasaskan markah kerja kursus terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Jika penyelewengan pemberian gred berlaku dalam kerja kursus (kuiz, ujian, tulisan akademik, portfolio, persembahan dan lain-lain), tentunya pelajar tidak perlu lagi menduduki peperiksaan akhir.
Pendidik yang cuba membantu dan meningkatkan taraf pencapaian murid berbanding prestasi sebenar, menggalakkan penipuan, plagiarisme dan tentu saja “sokongan tambahan”.
Ada juga yang menyebutkan sistem pendidikan berdasarkan kerja kursus seperti tugasan dan projek adalah tidak berguna, kerana kita mempunyai pelajar “A” yang tidak dapat menonjolkan keupayaan sebenar.
Pelajar sering dilihat menyalin, meniru hasil kerja satu sama lain, dan pendidik yang membantu menyiapkan tugasan. Terdapat juga pendidik yang begitu baik yang akan membenarkan mereka yang gagal dalam tugasan kerja kursus membuat semula tugasan mereka dan memastikan gred “lulus” apabila penyerahan semula.
Bagi mereka yang membantah penyalahgunaan dan penyelewangan ini, akan di kecam kononnya “tidak berhati perut” atau “tidak faham sistem pendidikan”, dan yang tidak terlepas dari dimaklumkan “mungkin anda lebih baik memilih kerjaya lain?”.
Menduduki peperiksaan adalah sesuatu sukar berbanding menipu. Sesungguhnya peperiksaan hanyalah untuk menguji keupayaan untuk menghafal fakta, kata pengkritik peperiksaan. Namun adakah dan apakah yang salah dengan dengan mengambil ujian? Bukankah itu yang dilakukan oleh doktor apabila membuat keputusan untuk memberi rawatan?
Azizi Ahmad adalah pembaca FMT.

Apa dah jadi Malaysia ni? Inspektor dan konstabel polis ditahan terlibat kes samun

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis antara empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes samun seorang lelaki di sebuah premis di Rawang, dekat sini, pada 12 November lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 30 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan sejak hari kejadian sehingga semalam.

Menurut Fadzil, dua anggota yang ditahan berpangkat Konstabel dan seorang berpangkat Inspektor manakala seorang lagi suspek adalah orang awam.

"Siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kesemua suspek yang ditahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fadzil berkata, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Media tempatan melaporkan lelaki berusia 51 tahun yang merupakan ejen insurans didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis bagi memeriksa premis miliknya pada 12 November lepas.

Suspek mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai kira-kira RM4,000 yang disimpannya bersama kad pengenalan untuk diperiksa sebelum mereka melarikan diri bersama wang tunai itu dengan sebuah kereta.
-Bernama

Husam: Nik Amar tak perlu pusing jauh

Datuk Husam Musa mendakwa Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tidak menafikan permohonan tanah oleh tiga buah syarikat diluluskan di peringkat Akademi Yakin Sdn Bhd yang dipengerusikan oleh timbalan menteri besar Kelantan itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berkata kelulusan tersebut diberikan oleh Akademi Yakin berdasarkan surat bertarikh 3 Oktober 2016.

"Apa alasan Akademi Yakin memberikan kelulusan (tanah berkenaan)? Itu antara pertanyaan saya di DUN. Kelulusan di peringkat Akademi Yakin adalah fakta yang tak dinafikan.

"Satu daripada syarikat ini mengalami kerugian RM3.7 juta. Dua lagi tanpa rekod kewangan. Bermakna kemampuan kewangan syarikat adalah meragukan. Tetapi kenapa Akademi Yakin luluskan?" soalnya dalam satu kenyataan media.

Katanya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kemudian mengeluarkan surat arahan melalui Akademi Yakin supaya tiga syarikat berkenaan tidak membuat bayaran deposit berjumlah RM4.683 juta.

Surat untuk ketiga-tiga syarikat itu kesemuanya bertarikh 22 Mei 2017, kata Husam.

"Untuk apa bayar deposit berjuta-juta untuk permohonan ditolak? Maknanya ia dalam proses kelulusan penuh. Bayaran deposit adalah syarat kelulusan penuh. Kelulusan dasar sudah selesai.

"Termasuk dalam senarai bayaran itu ialah hasil tahunan, pendaftaran dan pengeluaran hak milik dan harga batu sempadan. Batu sempadan apa kalau ditolak?" ujarnya.

Menurut Husam, terdapat usaha untuk meluluskan tanah kepada tiga syarikat tersebut tetapi terbantut selepas pendedahan beliau.

"Percubaan meluluskan sudah ada. Pendedahan saya menyebabkan kelulusan terbantut. Lalu TMB mula mereka cerita.

"TMB tak payah berpusing jauh. Lagipun, TMB sebagai orang besar jawatankuasa tanah adalah juga Pengerusi Akademi Yakin. Orang yang sama," katanya.

Semalam, kerajaan Kelantan menafikan dakwaan Husam mengenai isu kelulusan tanah seluas 5,500 ekar yang dibangkitkan sebelum ini.

Mohd Amar berkata, permohonan tanah di Kuala Pahi, Kuala Krai itu dibuat tiga syarikat melalui syarikat Akademi Yakin dan belum diluluskan sehingga sekarang.

"Tiga syarikat ini telah kemukakan cadangan kepada Akademi Yakin, kebetulan saya pengerusinya.

"Menjadi kebiasaan kita mana-mana pelabur yang berminat mereka perlu mencari tanah dan mencadangkan projek kepada agensi-agensi kerajaan negeri.

"Apabila kita buat perbincangan dengan mengambil kira latar belakang syarikat, Lembaga Pengarah (Akademi Yakin) berpuas hati dengan kesungguhan dan kemampuan syarikat serta meluluskan projek ladang kelapa sawit.

"Maka Akademi Yakin buat permohonan kepada PTG dan (kini) masih di peringkat permohonan," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri, di Kota Bharu.
-malaysiakini 

Penganjur forum Kristologi semak status ‘bekas rahib’ speaker

Nabihah Hamid
Rahib palsu, Ibu Irene dijemput ke Malaysia lagi
Poster memaparkan Irene yang lebih dikenali sebagai Ibu Irene akan membimbing peserta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 9 dan 10 Disember ini. – Gambar dari Facebook, 23 November, 2017.

PENCERAMAH agama Indonesia, Irene Handono yang dinafikan kerajaan Indonesia sebagai bukan rahib telah dijemput sekali lagi untuk mengendalikan sebuah program agama di Malaysia.

Sebuah poster memaparkan Irene yang lebih dikenali sebagai Ibu Irene akan membimbing peserta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Program "Mengenali Kristologi" anjuran NGO Nur Fitrah itu mengenakan bayaran RM30 bagi pelajar manakala RM100 bagi orang awam.

Menurut seorang jurucakap bahagian pendaftaran, pihak penganjur sedang menyemak semula penggunaan status mantan rahib itu selepas ada pihak curiga mengenai status beliau.

"Kita dapat banyak maklum balas, sejak semalam kita terima panggilan dan WhatApps yang curiga mengenai status Ibu Irene.

"Hari ini kita tengah berkomunikasi dengan Ibu Irene, kita tengah kenal pasti sama ada tukar kepada bekas Kristian atau (kekal) bekas rahib.

"Sebab ada orang beritahu dia bukan rahib sebab masih tengah belajar (jadi rahib). Ini kita tengah dan review dan bincang dalam group (WhatApp) untuk tukar atau tidak," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau turut memberitahu ini bukan kali pertama jemputan Ibu Irene pada tahun ini.

"Tapi Malaysia dah banyak kali jemput Ibu Irene, tahun ini sudah kali kedua dia datang dah," katanya.

Difahamkan, penganjur utama adalah Nur Fitrah yang berkolaborasi dengan KUIS bagi menyediakan kemudahan untuk program dua hari itu.

The Malaysian Insight kini sedang mendapatkan kepastian mengenai program tersebut daripada pihak penganjur dan KUIS.

Pada Mei 2014, satu seminar anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencetuskan kontroversi selepas memanggil Ibu Irene dan seorang lagi penceramah,  LS Mokoginta, juga dari Indonesia.

Kedua-dua dipanggil memberikan ceramah berkaitan Kristologi.

Bagaimanapun, semakan portal The Malaysian Insight bersama Bishops Conference of Indonesia (BCI) menafikan Irene seorang penganut Katolik dan Rahib.

Setiausaha BCI, Edy Purwanto berkata beliau tidak menghabiskan pembelajarannya.

"Dia tidak pernah habiskan (pembelajaran). Selepas itu kita tidak tahu dimana dia habiskan pembelajaran, dan kemudiannya bercakap pada seminar meremehkan Kristian, terutama Gereja Katolik," kata Purwanto. Sama sepertinya, LS Mokoginta, juga mendakwa dirinya bekas paderi Katolik namun BCI berkata namanya tidak ada dalam data mereka.  

‘Sikap membisu Zahid timbulkan syak wasangka’

Keengganan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi jawapan di Parlimen berhubung dakwaan penmbabitan bekas pegawai khasnya dengan permit untuk pekerja asing menimbulkan syak wasangka, kata seorang ahli parlimen DAP.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata beliau telah meminta Ahmad Zahid, selaku menteri dalam negeri, jika terdapat konflik kepentingan dalam pembabitan pegawainya itu dalam Bukti Megah Sdn Bhd, sebuah syarikat yang diberi kontrak oleh Putrajaya untuk mengendalikan permit kerja dari 15 negara.

Jawapan bertulis parlimen Zahid menghuraikan fungsi syarikat itu tetapi tidak menyebut mengenai pembabitan pegawainya dalam syarikat itu.

"Apabila diberi peluang untuk menjelaskan di Parlimen, menteri dalam negeri mengelak menjawap rsoalan saya dan tidak mahu berterus terang.

"Beliau bukan hanya menghina Parlimen sebagai forum untuk bertanggungjawab dan telus tentang tindakan kerajaan, (malah) beliau melepaskan peluang untuk membersihkan dirinya dan pegawai khasnya berhubung kecurigaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Dengan berbuat demikian, menteri dalam negeri telah terpalit dalam kes ini, saya menyeru kepada SPRM untuk menyiasat perkara ini," kata Sim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut dokumentari Al Jazeera yang disiarkan di seluruh dunia pada bulan Julai lalu, tetapi tidak ditayangkan di Malaysia, Putrajaya melantik tiga syarikat sebagai ejen untuk mengambil pekerja asing.

Dokumentari itu mendakwa ketiga-tiga syarikat itu diterajui oleh anggota Umno.

Antara pengarah Bukti Megah dikatakan adalah pegawai Zahid.
-malaysiakini

Hanipa sekolahkan 'adik berhingusnya' dalam PAS

Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS Syed Ahmad Fadhli sebagai “budak berhingus” selepas mengupas cubaan Pakatan Harapan menolak Belanjawan 2018.

Tanpa menyebut nama, Hanipa berkata pemimpin muda PAS itu harus belajar lagi hal ehwal politik apabila menyifatkan HARAPAN tidak serius dengan undi belah bahagi bagi bajet peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Alkisah, maka si budak ini pun dihikayatkan berkata kononnya HARAPAN hanya main-main saja buat undi belah bahagi ke atas KPDNKK dua hari lepas. Alasan beliau jika HARAPAN serius sudah tentu HARAPAN buat undi belah bahagi ke atas setiap kementerian.

“Maaf adik, belajarlah lagi ya. Jangan asyik dok ratib apa yang pemimpin kamu cakap! Yang main-main, adik, jika HARAPAN buat belah bahagi setiap kementerian, sebab BN sudah boleh baca dan bersedia, maka pastilah undi kalah. Itu namanya tak ada strategi dan membuta tuli.

“Sebab itu adik, kita kena cerdik. Kena ada strategi. Strategi yang sekali HARAPAN serang, BN menggelupur hingga ke sudah. Dan 'yang bagi nyawa' kepada BN pun sama-sama menggelupur macam ayam berak kapur! Itulah siasah adik!” kata bekas peguam PAS itu.

Syed Ahmad semalam mendakwa HARAPAN tidak serius untuk menolak Bajet dan “bersandiwara menipu rakyat” kerana hanya memohon undi belah bahagi untuk bajet peringkat KPDNKK.

Beliau juga berkata kandungan bajet RM1.43 bilion KPDNKK yang hendak diluluskan itu demi melaksanakan program pembangunan perdagangan dalam negeri, pembangunan koperasi, pendayaupayaan pengguna dan kecemerlangan organisasi.

Menulis di Facebook malam tadi, Hanipa juga menolak hujah Syed Ahmad bahawa belanjawan itu masih mempunyai kebaikan untuk rakyat dan pegawai kerajaan.

“Teruskanlah juga kata kerajaan Malaysian Official 1 (MO1) juga ada kebaikan walaupun berselirat yang tak baik, maka apa salahnya parti suci kena juga sokong kerajaan MO1 tu,” katanya.

Beliau mengajak Syed Ahmad meneliti kembali ayat al-Quran tentang pengharaman arak yang diakui mempunyai sedikit manfaat, berbanding dosa yang besar.

“Tapi adik, al-Quran juga kata dosanya atau kekejiaannya lebih besar daripada manfaatnya. Jadi, sebab itu arak haram adik!” katanya sambil mencadangkan buku Fatwa Mu'asirah karya sarjana terkemuka Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai rujukan.

Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerima cadangan undian belah bahagi dariapda G Manivannan (PKR-Kapar) yagn dibuat ketika Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu kemudian diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Pembangkang hampir berjaya menolak bajet itu selepas Enam wakil rakyat PAS yang berada dalam dewan ketika itu memilih mengundi menolaknya.

Bagaimanapun dua anggota parlimen PAS berkecuali, iaitu Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan anggota parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff.
-malaysiakini

Guru wanita jalin hubungan seks dengan murid 'hampir setiap hari'


Vera, 24, mendakwa hubungannya dengan pelajar 13 tahun itu bukan sahaja direstui tetapi dirai ibu bapa pelajar tersebut. - Foto The Washington Post
ALEXANDRIA M. Vera, seorang guru wanita mengajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah Stovall di Houston, Texas ditahan pihak berkuasa pada Rabu atas tuduhan jenayah penderaan seksual berterusan ke atas salah seorang anak muridnya yang berusia bawah 14 tahun.

Pihak polis mengambil masa dua bulan menyiasat kes berkenaan dan penangkapan Vera, 24, dibuat hanya selepas lapan bulan dia menjalinkan hubungan seks dengan murid gred lapan itu.

Menurut laporan, Vera pada April memberitahu bahawa hubungannya dengan lelaki yang berusia 13 tahun itu bermula melalui mesej di Instagram – dan telah berkembang menjadi cinta.

Vera ditahan di penjara sementara di Montgomery County dengan ikat jamin USD$100,000 (RM410,000), lapor Associated Press.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah Harris memberi gambaran terperinci dari segi hubungan cinta mereka yang dikatakan bukan sahaja direstui tetapi dirai ibu bapa murid terbabit.

Pengetua sekolah itu, Elsa Wright, hanya menerima maklumat tentang Vera pada April lalu, dan aduan telah dibuat kepada jabatan polis sekolah berkenaan sebelum siasatan dimulakan.

Dokumen mahkamah juga menunjukkan Vera tidak menafikan hubungannya, malah mengakui perkara berkenaan di hadapan pengetuanya dan seorang anggota polis.

Vera turut mengakui mengadakan hubungan seks 'hampir setiap hari' dengan anak muridnya itu sehingga menyebabkan dia hamil.

Dia kemudian bertemu ibu bapa murid terbabit, dan mereka dilaporkan menerima berita (hamil) dan hubungan itu dengan hati terbuka.

Namun, pada Februari kandungan tersebut digugurkan kerana Vera mula disoal siasat oleh Badan Perlindungan Kanak-kanak.

Dalam soal siasat berasingan oleh polis, murid berkenaan turut mengakui menjalankan hubungan seks dengan gurunya itu.

Polis berkata, mereka menemui banyak mesej antara lelaki tersebut dan gurunya, sekaligus mengesahkan apa yang telah diceritakan Vera.

Pejabat Guam Bela Harris County memberitahu ABC News 13 bahawa ibu bapa murid berkenaan boleh didakwa atas kesalahan gagal melaporkan penderaan kanak-kanak jika sah mereka mengetahui mengenai hubungan tersebut.

Ibu murid terbabit kini sedang disiasat oleh Badan Perlindungan Kanak-kanak.

Video: Aksi cemas, askar Korea Utara seberang sempadan



Dikemaskini 4 jam yang lalu · Diterbitkan pada 22 Nov 2017 4:58PM · 0 komen
Rakaman dramatik seorang anggota tentera Korea Utara yang dihujani peluru ketika cuba merentas sempadan untuk berpaling tadah ke Korea Selatan. Dia kemudian diselamatkan oleh tentera Korea Selatan.


Ads by Kiosked

Objek pelik dari luar sistem solar dikesan (Gambar)


Lakaran 'Oumuamua. - Foto sumber European Southern Observatory
HAWAII - AMERIKA SYARIKAT. Ahli astronomi berjaya mengesan objek pelik memasuki sistem suria dan ia dipercayai berasal dari sistem yang berbeza.

Menurut laporan CNN, objek tersebut yang dinamakan 'Oumuamua disahkan bukan dari sistem suria berdasarkan orbitnya dan bergerak dengan kelajuan 137,920 kilometer per jam.

Objek berkenaan mula dikesan pada 19 Oktober lepas menggunakan Pan-STARRS 1 di Hawaii dan beberapa teleskop lain sebelum ia hilang dari pandangan.

"Apa yang kita temui adalah objek yang ligat berpusing dan bersaiz sebesar padang bola sepak," kata ketua penyelidik dan ahli astronomi, Karen Meech dari Universi Hawaii.

'Oumuamua dilaporkan objek berbatu panjang berbentuk seperti rokok dan mempunyai warna merah gelap disebabkan radiasi akibat sinaran kosmik.

Warna 'Oumuamua dikatakan sama dengan objek yang ditemui di Kuiper Belt yang terletak di luar sistem solar.

Objek berkenaan dinamakan 'Oumuamua berdasarkan lokasi teleskop yang menemuinya.

"Selama beberapa dekad kami berteori mengenai objek dari sistem lain dan sekarang, untuk kali pertama, kita ada bukti pertama ianya wujud," kata pegawai kanan di NASA, Thomas Zurbuchen.

Kata Thomas, penemuan tersebut adalah penemuan bersejarah dan membuka era baharu untuk penyelidikan formasi sistem-sistem di luar sistem solar.

Ahli astronomi juga mengatakan 'Oumuamua dari arah sistem Vega, sebuah bintang yang terang dari konstelasi Lyra.

Disebabkan kelajuannya yang terlalu laju, pelanggaran 'Oumuamua dengan bumi akan menyebabkan kemusnahan dan menghasilkan tenaga lebih hebat dari mana-mana objek dari sistem solar sendiri.

Teleskop Hubble dan Spitzer mendapati 'Oumuamua kini pada kedudukan 124 juta batu dari bumi dan trajektorinya telah melepas orbit planet Marikh dan akan melepas Musytari pada Mei depan.

'Oumuamua seterusnya akan melepas orbit Zuhal pada Januari 2019 dan meninggalkan sistem solar menuju ke konstelasi Pegasus.
-sinarharian

Anak Husam Musa bebas dengan jaminan

ANAK Timbalan Presiden Amanah Husam Musa hari ini dibebaskan dengan jaminan setelah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bahru atas dakwaan memiliki 200 biji pil methamphetamine.

Ahmad Syafi Husam, 29, ditahan bersama dadah jenis itu di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong pada jam 3.30 petang, Sabtu lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin manakala Syafi diwakili lima peguam yang diketuai Firdaus Mohd Yusuf Yakob.

Majistert Kamarul Hasyime Rosli pada awalnya membenarkan Syafi dilepaskan dengan jaminan RM15,000 tetapi Firdaus memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin atas alasan ia membebankan anak guamnya.

Mahkamah menetapkan 14 Januari bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
-themalaysianinsight

Ketua pembangkang DUN Kelantan menangis dihalau dewan (Gambar)

 Ketua pembangkang DUN Kelantan menangis dihalau dewan
Adun Paloh Norzula Mat Diah menangis selepas dihalang membahaskan Bajet Kelantan 2018 oleh Speaker Abdullah Yakob. – Gambar Facebook, 22 November, 2017.

KETUA pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Norzula Mat Diah teresak-esak menitiskan air mata selepas dihalang oleh speaker DUN Kelantan untuk membahaskan Bajet Kelantan 2018 dan kemudian diarahkan keluar dari dewan.

Norzula, Adun Paloh daripada Umno, sebelum itu meminta kebenaran daripada Speaker Abdullah Yakob untuk membahaskan bajet namun tidak dibenarkan kerana ia telah dibahaskan oleh 10 wakil rakyat semalam.

Sambil menangis teresak-esak, beliau kemudiannya akur dan keluar daripada dewan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Anak muda tanya Dr M dakwaan Anwar 'melancapi lelaki'

Alyaa Azhar
Beberapa orang anak muda mendapati tidak semestinya mereka perlu menutupi pertanyaan mereka kepada pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Mahathir Mohamad malam ini agar soalan mereka terlihat lebih manis atau berbunyi lebih sopan.

Antara soalan yang ditanyakan kepada beliau dalam sesi dialog town hall bersama anak muda di Petaling Jaya ialah jika beliau masih berpegang dengan dakwaan beliau bahawa ketua umum HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim telah 'melancapkan lelaki lain'.

Bagaimanapun beliau tidak menjawab soalan itu secara langsung.

Mahathir memberitahu hadirin pihak polis telah menyerahkan laporan tentang salah laku Anwar kepada beliau tiga tahun sebelum bekas perdana menteri itu ditahan.

Malahan pada ketika itu, kata Mahathir beliau masih tidak percaya dakwaan tersebut.

Surat kakak Azmin, laporan polis

"Saya fikir polis cuba untuk menjejaskan beliau. Beliau timbalan saya, saya tidak arahkan polis untuk ambil tindakan.

"Tetapi kemudian saya mendapat surat dari adik perempuan (Datuk Seri) Azmin Ali (timbalan presiden PKR) yang saya tidak endahkan tetapi polis memberikan laporan teliti," kata Mahathir.

Malahan pada ketika itu, kata Mahathir beliau masih tidak percaya dakwaan tersebut.

"Saya mahu mewawancara orang-orang tersebut dan mereka bersetuju bahawa perkara itu berlaku.

"Selepas itu saya bertanya apa yang kita semua perlu buat. Parti memutuskan bahawa beliau tidak lagi layak berada di dalam parti atau selaku timbalan perdana menteri.

Seteru dua dekad, Mahathir dan Anwar berdamai

"Tetapi melangkaui tindakan polis ketika itu, saya tidak terlibat dalam tindakan polis tetapi mestilah kamu tidak percaya," kata Mahathir.

Mahathir pada September 1998 berkata pihak berkaitan dalam hal itu telah datang memberitahu beliau apa yang terjadi di antara Anwar dan mereka.

Mahathir kemudiannya menjelaskan beberapa perlakuan seks di luar tabie yang didakwa dilakukan Anwar.


Memberitahu sidang akhbar selepas itu, Mahathir berkata seorang lelaki memaklumkan kepada beliau bahawa Anwar bukan sahaja meliwat tetapi 'melancapi' dia.

"Saya tidak dapat terima seorang lelaki peliwat akan menjadi pemimpin negara ini," kata Mahathir menjelaskan kisah lama itu.

Walaupun berseteru selama hampir dua dekad selepas pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri yang kemudiannya didakwa meliwat dan menyalahgunakan kuasa, kedua-dua Mahathir dan Anwar telahpun berdamai pada September tahun lalu.

Kedua-duanya kini pemimpin utama Pakatan Harapan.
-malaysiakini

Ibu Terkejut Anak 15 Tahun Bersalin Dalam Tandas

KOTA KINABALU: Seorang ibu terkejut apabila mendapati anak perempuannya yang berusia 15 tahun telah melahirkan anak di dalam sebuah tandas di pusat beli-belah di sini ketika mereka sekeluarga keluar bersama.

Wanita itu menemukan anaknya mendukung bayi yang dipenuhi darah selepas dia ke tandas tersebut untuk melihat keadaan anak perempuannya itu.

Remaja tersebut pada awalnya mengadu mengalami senggugut dan sakit perut ketika keluarga mereka termasuk bapa dan adik lelakinya berjalan-jalan di pusat beli-belah tersebut pada pukul 4.30 petang Selasa.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan tidak menyedari bahawa anak perempuannya itu hamil.

Ketua Polis Penampang, Supritendan Rosley Hobden berkata, remaja terbabit dan bayinya sedang dalam rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Katanya, selepas pasangan tersebut mengetahui mengenai anak perempuan mereka yang baru melahirkan bayi, suami isteri itu mengejarkan anaknya ke hospital sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, remaja itu mendakwa telah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya yang berusia 17 tahun dan sudah berpisah lima bulan lalu.

Menurut Rosley, usaha menjejaki teman lelaki remaja tersebut sedang dilakukan bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, ibu remaja tersebut melihat keadaan anaknya selepas remaja itu tidak keluar dari tandas selepas hampir sejam.

"Selepas masuk ke tandas itu, dia menjumpai anaknya bersama seorang bayi," kata Rosley.
-mstar

Andai kata PPBM tidak dapat bertanding

Zin Mahmud
Ketika Pakatan Harapan (PH) masih belum menerima jawapan terhadap permohonannya untuk didaftarkan dengan mempunyai sebuah lambang, 2 parti anggotanya, PPBM dan DAP masih belum lepas daripada memenuhi kehendak Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Walaupun DAP mengadakan pemilihan semula anggota pimpinan eksekutif (CEC) dalam kongres seperti yang diarahkan, ROS masih belum menerima laporan mengenainya. Maka proses yang dikehendaki oleh peraturan ROS masih belum terlaksana.

Apa yang dihadapi PPBM adalah lebih besar. Ia telah diingatkan supaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Jika AGM tidak diadakan, maka parti itu tidak boleh menyertai pilihan raya umum akan datang dengan kemungkinan ia boleh terbatal. Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) yang diadakan PPBM sebelum ini tidak memadai.

Selain itu, PPBM diingatkan tidak menggunakan perkataan Armada untuk sayap pemudanya kerana ia tidak ada dalam perlembagaannya. Dalam perlembagaan parti itu, sayap itu ditulis sebagai Pemuda PPBM sedangkan mereka selama ini menggunakan nama “Armada Anak Muda Bersatu”.

Satu lagi kesalahan PPBM menurut ROS ialah parti itu menangguhkan AGM kerana ia tidak diperuntukkan dalam perlembagaannya.

Tetapi untuk mengadakan mesyuarat agung pula, perwakilannya perlu dipilih daripada cawangan dan bahagiannya. Sesuatu keadaan yang mengambil masa lama dan urusan kerja yang renyah. Malah ia mungkin tidak sempat dijalankan sebelum pilihan raya umum, jika ia tiba-tiba diadakan.

Politik lambang

Melihat PPBM dan DAP sendiri belum dapat menyelesaikan masalah mereka dengan ROS, maka harapan PH untuk didaftar dan seterusnya masuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang juga kelihatan tergugat.

Jika PH tidak dapat didaftarkan, maka parti anggotanya akan menggunakan lambang masing-masing seperti mana yang dilakukan oleh gabungan-gabungan parti pembangkang sebelum ini.

Dalam sejarah negara, hanya satu gabungan parti pembangkang yang dapat didaftarkan dan bertanding dengan menggunakan satu lambang iaitu Front Sosialis Rakyat Malaya pada tahun 1960-an dahulu.

Tetapi andai kata PPBM dan DAP tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dengan ROS, lambang siapakah yang mereka akan gunakan?

Menjelang pilihan raya umum 2013 lalu, DAP juga menghadapi kemungkinan tidak dapat bertanding kerana masalah dengan ROS. Ketika itu PAS menawarkan diri supaya DAP menggunakan lambangnya.

Setiausaha Agung PAS ketika itu, Datuk Mustafa Ali bersedia mengeluarkan surat bagi calon DAP.

Dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggunakan lambang PKR. Pada PRU 2004, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) bertanding di bawah lambang Parti Keadilan Nasional kerana penggabungan kedua-duanya belum mendapat kelulusan ROS.

Ketika Barisan Alternatif ditubuhkan menjelang pilihan raya umum 1999, terdapat cadangan supaya parti anggota menggunakan satu lambang, iaitu salah satu lambang daripada partinya.

Maka adalah dicadangkan supaya semua parti pembangkang menggunakan lambang Keadilan. Tetapi cadangan itu ditolak oleh ahli PAS dan DAP. Ini kerana PAS dan DAP adalah parti lama yang lambang mereka sudah dikenali ramai oleh rakyat.

Keadilan yang ditubuhkan pada 1998 adalah parti baharu dan lambangnya belum dikenali. Di kalangan penyokong PAS, lambang bulan itu mempunyai hubungan emosi dengan mereka.

Tetapi untuk PAS menggunakan lambang DAP, atau DAP menggunakan lambang PAS, adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh penyokong-penyokong mereka.

Kini PAS tiada dalam PH. Kalau PPBM dan DAP tidak boleh bertanding, mereka boleh menggunakan sama ada lambang PKR atau Amanah. Tetapi Amanah adalah parti baharu yang belum pernah menyertai pilihan raya umum dan lambang mereka tidak dikenali lagi.

Maka PPBM dan DAP boleh menggunakan lambang PKR. Atau semua parti PH termasuk Amanah menggunakan lambang PKR.

Namun penggunaan lambang parti ini mempunyai percaturan dan implikasi politiknya tersendiri, baik antara parti dalam PH ataupun dengan pengundi umumnya.

Kekangan

Dalam sejarah Malaysia, penubuhan parti politik bukanlah perkara yang mudah. Pengalaman parti politik dengan ROS adalah juga berbeza. Banyak parti politik mengalami kesukaran untuk didaftarkan dengan cepat. Mereka menghadapi pelbagai masalah dengan mengambil masa yang bertahun-tahun. Tidak kurang pula yang terus tidak dapat kelulusan.

PPBM ini kira mudah dapat kelulusan. Walaupun reka bentuk lambang asalnya telah ditolak.

Bunga raya yang menjadi asas lambang asalnya terpaksa diubah suai. Bunga raya ialah lambang kebangsaan negara. Bagaimanapun MCA menggunakan lambang bintang yang serupa dengan reka bentuk pada bendera dan jata negara.

Selain itu, PPBM juga tidak dibenarkan menggunakan perkataan “Bersatu” sebagai singkatannya seperti yang dipohon. Ia hanya boleh dipanggil PPBM.

Sebelum ini, Amanah dapat mendaftar singkatan Amanah, Parti Keadilan Nasional dulu dapat mendaftar singkatan Keadilan, Parti Melayu Semangat 46 sebagai Semangat 46, Gerakan Rakyat Malaysia didaftar sebagai Gerakan, Parti Islam Se-Malaysia sebagai PAS dan Front Sosialis Rakyat Malaya sebagai Front Sosialis.

Tetapi terdapat juga parti politik yang langsung tidak berjaya mendaftarkan diri.

Pengasas parti Amanah pada asalnya hendak mendaftarkan Parti Progresif Islam. Tetapi ia ditolak kerana menggunakan perkataan Islam.

Dalam sejarah Malaysia, antara parti yang berjaya didaftarkan dengan nama Islam selain PAS ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia yang juga dapat menggunakan perkataan Berjasa sebagai nama singkatannya.

Satu lagi parti ialah Ikatan Masyarakat Islam Malaysia. Parti inilah yang digunakan untuk menjadi Keadilan. Pemimpin Amanah, Khalid Samad sebelum menyertai PAS pada 1980-an dulu pernah cuba menubuhkan Parti Negara Islam Malaysia (PNIM) tetapi ditolak ROS.

Berjasa dan Hizbul Muslimin Malaysia adalah 2 parti pecahan PAS yang cepat dapat kelulusan pendaftarannya. Mereka kemudian menyertai Barisan Nasional dan menentang PAS.

Amanah dapat ditubuhkan dengan menggunakan Parti Pekerja-pekerja Malaysia (MWP). Parti ini asalnya ditubuhkan pada tahun 1978 dengan antara lain bertujuan untuk mewarisi perjuangan Parti Buruh Malaya yang dibubarkan ekoran kegagalannya mengadakan mesyuarat agung tahunan pada tahun 1969. MWP itu menggunakan sebahagian daripada lambang Parti Buruh.

Pengasas PSM pernah cuba mendapatkan MWP itu selepas pendaftaran parti mereka ditolak. Tetapi pemimpin MWP enggan menyerahkan. Akhirnya PSM dapat didaftarkan setelah bertahun-tahun masuk mahkamah.

Parti politik Melayu pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1945 gagal didaftarkan apabila pemimpin-pemimpin utamanya ditahan oleh British di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setelah Umno diisytiharkan haram pada 1988, usaha untuk menubuhkan Parti Umno 46 Malaysia ditolak. Sebaliknya Umno (Baru) diterima pendaftarannya walaupun ia dilakukan kemudian.

Pengasas Umno 46 kemudiannya mendaftarkan parti mereka sebagai Semangat 46. Sementara Umno (Baru) mewarisi Umno.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Hanipa: Mungkinkah MP 'parti suci' sengaja berkecuali?

Anggota Parlimen (PKR-Bukit Katil) Shamsul Iskandar didakwa telah bertemu dengan anggota parlimen PAS malam tadi sebelum pengundian untuk menolak Bajet 2018 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi peringkat jawatankuasa.

Anggota Parlimen (AMANAH-Sepang) Hanipa Maidin berkata pertemuan tersebut bagi mendapatkan jaminan mereka mengundi bersama anggota Parlimen Pakatan Harapan(HARAPAN) untuk menolak bajet tersebut.

“Anggota Parlimen Bukit Katil (PKR) sebenarnya yang paling kecewa semalam. Beliau beritahu kami (AMANAH) yang beliau telah berjumpa MP parti suci (PAS) sebelum undi dan dapatkan jaminan mereka untuk mengundi bersama HARAPAN.

“Tiba-tiba undi MP 'parti suci' tak solid (kukuh). Masih ada dua MP yang berkecuali,” kongsi Hanipa di Facebooknya hari ini.

Kenyataan Hanipa itu mengulas tindakan dua anggota parlimen PAS iaitu Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berkecuali daripada mengundi malam tadi.

Berkecuali, BN menang tipis

Hanipa turut mempersoalkan tindakan kedua-dua anggota parlimen berkenaan yang memilih untuk berkecuali sehingga memberi kemenangan tipis kepada BN.

“Jadi saya pun tak faham kenapa dua MP tersebut ambil sikap berkecuali semalam.

“Mungkin kah mereka berdua sengaja berkecuali dan rela dihentam teruk bagi menghantar satu mesej kepada parti suci khususnya kepada (MP) Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang apa parti suci buat tak diterima oleh rakyat. Maaf, saya hanya berimaginasi,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Shamsul berhubung perkara itu dan sedang menunggu maklum balas darinya.

Malam tadi Dewan Rakyat telah meluluskan Bajet 2018 KPDNKK bagi peringkat jawatankuasa dengan majoriti hanya satu undi.

Bajet peringkat jawatankuasa diluluskan dengan 52 anggota parlimen mengundi untuk menyokong manakala 51 yang lain membantah manakala Idris dan Zailah daripada PAS berkecuali daripada mengundi.

Idris hari ini berkata ahli parlimen PAS yang mengundi menolak Bajet 2018 dalam usul pengundian blok (belah bahagian) malam semalam, mungkin tidak menerima arahan mengenai cara mengundi serta mungkin terkejut.

Naib Presiden PAS itu bagaimana pun enggan menjawab apabila ditanya sama ada arahan yang dimaksudkannya adalah supaya ahli parlimen PAS mengambil pendirian berkecuali dengan tidak mengundi.

Enam ahli parlimen PAS yang lain mengundi menentang belanjawan itu, iaitu Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Ahmad Marzuk Shaary (Bachok), Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh), Izani Husin (Pengkalan Chepa) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan pemimpin tertinggi lain, Datuk Takiyuddin Hassan, Nasrudin Hassan, Nik Abduh Nik Aziz, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dan Che Rosli Che Mat tidak hadir.

parlimen undiblok bn harapan pas sokong tolak berkecuali
Kalau semua tunggu, MP BN akan tahu - Khalid Samad 21 Nov 2017
Enam wakil PAS tolak Bajet 2018 mungkin tak terima arahan 21 Nov 2017
Azalina: Undi belah bahagi
-malaysiakini