Bakar Suar
Politik Islam-Melayu di Malaysia kini dalam bahaya. Jika entiti seperti Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dungu serta tolol memahami erti perpaduan sebenar, seluruh masyarakat akan menyesal dan terperosok dalam kancah perhambaan politik.
Malah kengerian ini akan segera menjadi realiti jika pemain politik Islam-Melayu seperti PAS, Umno, dan Bersatu tidak ikhlas menguruskan peluang mencipta perpaduan sejati sesama mereka dan hanya menganggap perpaduan sebagai peluang mencari laba politik semata-mata.
Perpaduan adalah inti arkanul iman. Syahadah “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” yang apabila dijalin dengan mesej ayat “iya kanak budu” (hanya Engkau yang aku sembah) dalam surah Al-Fatihah, ia menjadi sumpah setiap Muslim, terutama para pemimpin politik, di hadapan Allah.
Ini kerana tugas utama pemimpin Islam ialah memastikan setiap muslim pimpinannya mesti mengenal Allah dan menyembah-Nya sahaja. Ini ialah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan berjemaah yang diikat tali perpaduan; terutama dalam politik.
Perkara ini berulang kali disebut dalam Al-Quran. Sila rujuk kenyataan mutakhir Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang dilaporkan Harakahdaily. Maka yang enggan menghayati prinsip ini dikira kufur perintah Allah.
Yang menolak atau menyanggah perpaduan ummah adalah musuh Allah. Panduan menyulam perpaduan dimaktubkan dalam kitab-kitab yang diwasiatkan melalui para Rasul Allah telahpun disempurnakan dalam kitab Al-Quran.
Lantas pentafsiran ayat-ayat perpaduan mestilah dibuat dengan jujur, rukun, dan adil. Justeru, haram menentukan parameter perpaduan ummah yang berbalah dan bersengketa menurut naratif sejarah yang dipesongkan
Sudah lumrah umat Islam bertelagah dan bersengketa sesama sendiri, termasuk di Malaysia. Ia bermula dari isu adab dan hukum berpolitik, pendekatan dan metode berdakwah hingga adakala menjerumuskan pemimpin Islam dalam isu mengkafir saingannya.
Setelah lebih setengah abad bersilang pandangan dan pendekatan politik, kini PAS dan Umno kelihatan menghampiri keinsafan tentang bahaya berpecah-belah. Umno bimbang ia tidak lagi mampu terus mewakili suara dan iradat umat Islam dan bangsa Melayu.
Sementara PAS yang tidak pernah berhasil mendapat kepercayaan mutlak memimpin umat Islam dan Melayu menggunakan alasan kepentingan ummah terancam dek kuasa politik baharu yang dikenali Pakatan Harapan (PH) yang dibarisi PKR, DAP, dan Amanah bagi memperbaiki kedudukan politiknya.
Dalam PRU 2018 PH berjaya merampas hak mentadbir negara yang sebelum ini dimonopoli Umno bersama parti komponen BN. PAS dan Umno mencongak jika penyertaan masyarakat bukan Islam semakin besar dalam kerajaan, kepentingan Islam dan Melayu akan terancam.
Kebimbangan ini mendorong PAS dan Umno bekerjasama. Maka lahirlah Muafakat Nasional (MN). Kemudian atas alasan mahu melebarkan platform perpaduan ummah, PAS ikut serta dalam muafakat menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu.
Strategi PAS ini menimbulkan musykil. Dalam PRN Melaka yang baru lalu, PAS cenderung supaya Umno, Bersatu, dan PAS menjadi sekutu, walaupun maklum Umno keberatan.
Pendirian Umno wajar. Antaranya, Melaka diperintah Umno sebelum krisis politik yang memaksa PRN diadakan. Maka jika menang, Melaka bukan lagi milik Umno tetapi condong kepada PN. Sekaligus ia melonjakkan imej politik PAS-Bersatu seraya mengecilkan status quo politik Umno.
Walhal kedudukan politik PAS tidak pernah kukuh di Melaka sementara rekod politik Bersatu pula adalah sebagai parti yang mengamalkan budaya politik katak dan kewujudannya adalah didorong dendam kesumat presidennya, Muhyiddin Yassin, yang pernah dipecat Umno.
PAS juga tidak sensitif akan keperitan Umno yang ditumbangkan PH di mana Bersatu adalah salah satu komponennya bersama PKR, DAP, dan Amanah. PAS mengabaikan hakikat bahawa siasah Bersatu ini curang, tidak Islamik, dan tidak demokratik bila ia mengkhianati rakan kongsi PHnya.
Kemudian PAS tutup sebelah mata akan perangai jijik Bersatu yang memancing Ahli Parlimen PKR untuk mengurangkan majoriti PH keseluruhannya. Nampaknya yang PAS lihat dan kejar hanya peluang menjadi kerajaan.
Persoalannya ialah di mana akhlak dan nilai adil PAS? Ke mana imannya ketika menjadikan Umno sasaran kempen takfirnya tetapi kemudian berganding dengan parti (kafir itu) menubuhkan MN?
Haji Hadi menyusun ayat-ayat Quran untuk berhujah betapa perpaduan ummah itu satu perintah Allah. Hakikat tidak boleh disanggah. Bagaimanapun pelaksanaan dan strategi bertahap PAS nampaknya lebih menguntungkan PAS sahaja dan bukan ummah.
Sebenarnya, perpaduan ummah dalam sesebuah negara majmuk kaum dan agama seperti Malaysia mesti menjamin kerukunan hidup dan keadilan bagi setiap rakyat. Allah mengingatkan supaya kebencian pada sesuatu kaum itu membuat orang Islam berlaku tidak adil dan zalim.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (Ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorongmu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan, sungguh, Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah: 8)
Usahlah curang dalam berpolitik. Jangan fitnah saingan ataupun buruk sangka serta benci kepada sesuatu kaum saingan kamu. Ini perintah Allah. Sebagai pemimpin, baik Umno, PAS, atau Bersatu wajib kawal kebencian terhadap sesuatu kaum membuat politikus muslim menzalimi hak kaum lain. Taatilah sempadan berpolitik yang digariskan Allah.
Mengkambinghitamkan sesuatu kaum yang dibenci adalah berdosa. Allah membaca niat di hati, termasuk pemimpin politik. Usahlah alasan memelihara dan mempertahankan kepentingan orang Melayu beragama Islam membuat umat Islam berdosa kerana menafikan hak bukan muslim.
Pendekatan politik untuk mematuhi perintah ini ialah meningkatkan silaturahim antara rakyat seluas-luasnya. Jangan terkejut dan kecewa dengan kekalahan PRU14 umat yang dipimpin Melayu sehingga hilang pedoman dan menjadikan bukan muslim musuh.
MN dan PN mesti inklusif. PH berjaya meleburkan rekod pemerintahan BN kerana ada pertimbangan yang khusus memelihara kepentingan rakyat bukan muslim. Ini baru patuh syariah Allah. PKR yang majoriti ahlinya Muslim dan parti Amanah yang lahir kerana kurang yakin dengan politik kebencian Pas juga faham dan akur pada aspirasi politik Islam ini.
Sebenarnya, konsep dan pendekatan politik Islam bukan sesuatu yang baru. Rasulullah sudah mengamalkannya menurut Piagam Madinah dan bekerjasama dengan bukan muslim. Kalau benar PAS parti Islam, ia wajib mematuhi adab politik ini.
Namun rekod ini bukanlah baru, perintah Allah sebenarnya sudah diamalkan di Malaysia melalui konsep BN. Berkat kepatuhan ini ialah kestabilan dan kemakmuran dinikmati di Malaysia sejak penubuhannya pada 1974.
Bagaimanapun nikmat ini mula ditarik balik Allah sesuai dengan kebijaksanaanNya apabila pimpinan BN mula tidak menghiraukan batas politik Allah. Banyak tindakan tidak amanah, tidak adil, dan zalim seperti mengabaikan hak orang lain.
Umno-BN hilang kuasa selama 22 bulan, tetapi menggunakan cara curang bersama PAS, Bersatu, dan beberapa parti lain untuk menumbangkan mandat PH. Amalan ini harus dihentikan. Usah guna hujah Al-Quran untuk mengekalkan kuasa.
Berpada-padalah berpolitik, jangan sampai mahu terus berkuasa sehingga rahmat yang dikendong berciciran. Generasi Muslim yang menyusul akan mencercamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan