"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

Najib akan tubuhkan parti Ang Pau ganti MCA? / UBN Najib Altantuya

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 10 Okt: Perwakilan MCA tidak percaya kepada Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Kiat? Mereka juga tidak bersetuju timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memegang balik jawatannya.

Kemanakah MCA akan pergi? Apakah Presiden Umno perlu menubuhkan sebuah parti baru untuk menggantikan MCA yang hancur sebagaimana parti Makkal Sakthi ditubuhkan untuk menggantikan MIC?

Seorang pemerhati politik pula mencadangkan, Najib menubuhkan parti baru untuk gantikan MCA dan namanya adalah Ang Pau.

Apakah pandangan ini satu jenaka. Tidak, kerana nama ini sesuai dengan keadaan politik wang dalam Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib sekarang.

Para perwakilan MCA hari ini mengundi menyokong usul undi tidak percayai terhadap Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, manakala Datuk Seri Chua Soi Lek gagal mendapat sokongan perwakilan untuk dilantik semula ke jawatan timbalan presiden.

Seramai 1,155 perwakilan mengundi menyokong usul tidak percaya terhadap Tee Keat, manakala 1,141 satu lagi menolaknya. Terdapat lapan undi rosak, lapor Malaysiakini.

Manakala 1,184 perwakilan mengundi menolak Soi Lek dilantik semula ke jawatan timbalan presiden, manakala 1,110 perwakilan menyokongnya. Terdapat 10 undi rosak.

ImageBagi usul kedua, 1,204 perwakilan mengundi menolak pemecatan/penggantungan keahlian Soi Lek, manakala 1,095 menyokongnya. Terdapat 5 undi rosak.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA, Datuk Yip Phooi Hong.

Presiden MCA yang tidak dipercayai ahlinya, Ong Tee Kiat ketika mengulas keputusan ini berkata, beliau akan bermesyuarat dengan Majlis Presidennya sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Dari hari pertama kita mahu menyelesaikan krisis parti melalui EGM, inilah dia dan kami menerima keputusannya," kata Tee Kiat dalam sidang medianya mengulas keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA hari ini.

Sebelum EGM bermula, pengerusi mesyuarat agung luar biasa itu, Datuk Yip Phooi Hong, mengumumkan bahawa dua daripada tiga usul telah ditarik balik.

Dua usul tersebut ialah usul membatalkan sebarang pelantikan termasuk timbalan presiden yang dibuat sebelum EGM dan tidak dikenakan tindakan disiplin terhadap penuntut EGM itu.

Yip berkata, dua usul tersebut diketepikan kerana ia tidak lagi menjadi isu.

Bagan Pinang: Kebangkitan rakyat menentang rasuah / UBN Najib Altantuya

Abdul Aziz Mustafa
BAGAN PINANG, 10 Sept: Para pengundi khususnya pengundi-pengundi muda di Bagan Pinang diyakini akan menjadikan hari pengundian dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang esok sebagai hari kebangkitan rakyat menentang rasuah, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Gelombang pertama dicetuskan dalam perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 lalu, gelombang kedua dicetuskan dalam perhimpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos lalu dan hari pengundian di Bagan Pinang esok adalah pelancaran gelombang ketiga kebangkitan rakyat, kalai ini menentang rasuah," katanya."Saya yakin sepenuhnya para pengundi Bagan Pinang akan menjadikan hari pengundian esok untuk melancarkan gelombang ketiga rakyat negara ini yang cintakan demokrasi dan pemerintahan yang bersih dari rasuah.

Pengarah jentera pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut yakin rakyat Bagan Pinang mahu membuktikan bahawa rakyat Malaysia khususnya pengundi di Bagan Pinang masih mempunyai integriti dan harga diri kepada seluruh dunia yang memberikan perhatian dan liputan kepada keputusan pilihan raya itu.

"Saya yakin mereka tidak mahu diri mereka dituduh memilih calon dari Umno yang disebut sebagai parti perasuah oleh bekas presiden parti itu sendiri, (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)," kata beliau.

Dr Mahathir berkata, imej Umno akan terjejas jika Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Isa sudah didapati bersalah (terlibat dalam politik wang), kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata beliau.

Mengambilkira kenyataan Dr Mahathir itu, Salahuddin yakin majoriti rakyat Bagan Pinang bukan dari jenis yang tidak mengambil berat isu rasuah dan sanggup merelakan diri mereka dianggap tidak serius memerangi politik wang.

Beliau yakin, rakyat Bagan Pinang tidak lagi percaya kepada Umno dalam usaha menyelamatkan negara ini dari rasuah.

"Bukan sahaja Isa mereka calonkan di Bagan Pinang sebagai calon BN, (Datuk Seri Mohd) Ali Rustam yang dihukum kerana kesalahan yang sama mereka kekalkan sebagai Ketua Menteri Malaka dan lantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, malah presiden mereka (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menghalalkan pula politik wang di sisi undang-undang negara.

"Jika mereka menghalalkan politik wang yang merupakan amalan rasuah di sisi undang-undang negara, rakyat tidak boleh menaruh harapan lagi kepada Umno untuk rasuah.

"Rakyat Bagan Pinanglah yang bertanggungjawab melancarkan gelombang kebangkitan rakyat menentang rasuah pada hari pengundian esok," katanya.

Salahuddin juga menolak "dakwaan karut" kononnya Umno memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu.

"Lihatlah sendiri tanah rezab Melayu seluas 20 ekar di dalam kawasan DUN Bagan Pinang ini yang terlepas kepada kroni dari tangan orang Melayu ketika Isa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan", katanya.

Tanah tersebut terletak di Batu 6, Telok Kemang berhadapan bilik gerakan Barisan Naional (BN) bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang di mana terletaknya Marina Bay Resort kini.

"Bukan setakat itu, tanah rizab Melayu diambil bagi tujuan ternakan babi. Tidak cukup dengan itu para penternak babi di Bukit Pelanduk pula akhirnya mengadu ditipu apabila tanah berharga RM18,000, antaranya dibeli dari Kumpulan Guthrie, hendak dijual kepada mereka dengan harga RM160,000.

"Di Telok Kemang ini, tanah hutan simpan malah hutan simpan kekal telah dihadiahkan kepada kroni. Tanah dasar laut pun dijual. Pulau pun dijual dengan lautnya sekali. Kita ada laporan bertulis mengenai perkara itu," katanya.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu bukan sahaja bukti pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pemuda PAS serah bukti BN rasuah tentera kepada SPRM / UBN Najib Altantuya

Hazayani Zakaria
PUTRAJAYA, 10 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera ke atas dua pemimpin BN yang didakwa melakukan rasuah politik kepada tentera dalam kempen pilihanraya kecil Dun Bagan Pinang.

Gesaan itu dibuat ketuanya Ustaz Nasrudin Hasan dalam satu aduan rasmi kepada SPRM petang semalam berhubung tindakan Menteri Pertahanan Dato' Seri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Mohamad Hassan yang menjanjikan pelbagai projek pembangunan kepada tentera jika mereka mengundi Barisan Nasional.

Dalam aduan dua muka surat itu, Pemuda PAS memberikan maklumat lengkap mengenai rasuah politik yang dilakukan dua pemimpin BN itu dan diserahkan kepada seorang pegawai SPRM, Siti Fairuz.

Menurut Nasrudin, pihak SPRM menerima aduan tersebut dan berjanji akan memanjangkannya kepada pihak atasan dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan,aduan itu dibuat kerana perbuatan dua pemimpin itu merupakan satu kesalahan pilihanraya dan melanggar peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Nota:Seksyen 10) AKP.

Zahid dan Mohamad Hassan juga telah menggunakan kedudukan mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin kerajaan untuk masuk berkempen di kem tentera di Bagan Pinang bertujuan untuk mempengaruhi anggota tentera yang merupakan pengundi pos untuk mengundi BN.

Semalam, Nasrudin mendedahkan kepada media rakaman ucapan Zahid dan Mohamad Hasan dalam satu majlis hari raya yang diadakan di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Kampung Sawah di Port Dickson sekitar jam 10 pagi 6 Oktober lalu.

Dalam rakaman 10 minit ucapan yang diperdengarkan kepada media itu, kedua-dua pemimpin BN itu menjanjikan pelbagai projek pembangunan kepada tentera sekiranya mereka mengundi BN.

Antara janji dan rasuah politik yang ditawarkan ialah bantuan pendidikan kepada anak tentera, pembinaan kolam renang dan gelanggang futsal di dalam kem, penyediaan perkhidmatan internet tanpa wayar serta sumbangan bernilai RM100, 000 untuk menaik taraf surau IJED.

Cakera padat rakaman ucapan berkenaan yang diberikan kepada media semalam turut diserahkan kepada SPRM sebagai bukti dakwaan tersebut.

Nasrudin dalam pada itu berkata, perbuatan pemimpin BN itu juga mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan mencalarkan integriti BN sebagai sebuah kerajaan yang memerintah.

"BN ajak kita(PAS) sertai pilihanraya tapi meletakkan kita dalam suasana yang tidak seimbang. Kita tak dibenarkan masuk berkempen dalam kem. Tapi mereka boleh masuk bahkan menawarkan pelbagai rasuah politik,"katanya.

Beliau juga berharap pengundi di Bagan Pinang khususnya pengundi pos dapat berfikir dengan baik dan sedar mengenai rasuah yang ditaburkan BN itu.

"Sekaligus kita ingin nyatakan kepada pihak pengundi di Bagan Pinang bagaimana sikap tidak adanya satu kejujuran dan juga satu ketelusan dalam politik mereka.Integritai yang mereka laungkan selama ini juga satu kepalsuan. Mereka terlibat dengan rasuah dan menyogok pengundi dengan mengggunakan kelebihan material yang mereka ada,"katanya lagi.

Mengenai laporan kepada dua pihak lagi iaitu pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya, Pemuda PAS menyerahkan perkara tersebut kepada jentera operasi PAS untuk diambil tindakan.

Pemuda PAS ujarnya menunggu tindakan positif dari pihak SPRM berhubung aduan yang dibuat itu.

PAS bimbang kalau-kalau ada konspirasi undi pos / UBN Najib Altantuya

Abdul Aziz Mustafa
BAGAN PINANG, 10 Sept: Kewujudan nama pemilih awam yang juga wujud dalam senarai pengundi pos di Bagan Pinang dibimbangi membuka ruang kepada pakatan jahat yang selama dibangkitkan berulang kali, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Di dalam daftar pengundi pos bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, terdapat lebih 250 pengundi pos yang juga tersenarai sebagai pengundi awam di tempat lain, walaupun tidak disenaraikan di Bagan Pinang.

"Mereka mungkin pesara tentera yang telah pun mendaftar sebagai pengundi awam di tempat mereka masing-masing," katanya.

Mahfuz bimbang wujudnya pakatan jahat di mana pihak lain yang mengundi untuk mereka jika mereka tidak datang mengundi memandangkan mereka sudah berpindah dan tidak lagi berada di Bagan Pinang.

"Amat sukar untuk menolak kewujudan pakatan jahat itu dengan mengambilkira pengakuan begitu ramai bekas tentera bahawa mereka pernah diarahkan memangkah Barisan Nasional (BN) pada kertas undi anggota-anggota tentera yang lain," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz mengaitkan pengakuan-pengakuan tersebut dengan trend di Kuala Lumpur di dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu di mana kesemua kerusi Parlimen di situ dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) kecuali kerusi Parlimen Setiawangsa.

"Mengapa Setiawangsa dimenangi BN ketika semua kerusi lain di Kuala Lumpur dimenangi oleh PR?

"Semua pihak mengaitkannya dengan kewujudan lebih 26 peratus oengundi pos di situ," kata beliau.

Persoalannya, kata beliau, benarkah kesemua pengundi pos di Setiawangsa itu mengundi sendiri atau ada pihak lain yang diarahkan memangkah BN pada kertas-kertas undi mereka sebagaimana yang didedahkan oleh pesara-pesara tentera itu?

"Begitu juga di Bagan Pinang. PAS bimbang kemungkinan pakatan jahat yang sama berlaku," kata Mahfuz.

Beliau yakin kewujudan nama pengundi pos yang sama dengan nama pengundi awam di tempat lain itu berlaku kerana pengundi-pengundi pos yang telah bersara mendaftar sebagai pengundi awam di tempat lain.

"Soal sama ada pertindihan berlaku dalam kawasan Bagan Pinang juga atau tidak bukan isunya.

"Isunya mengapa nama pengundi pos berkenaan juga terdapat dalam senarai pengundi awam di tempat lain?" beliau mempertikaikan.

Sepatutnya, kata Mahfuz, apabila seseorang pengundi pos telah bersara dan tidak sepatutnya lagi menjadi pengundi pos, nama mereka hendaklah dikeluarkan dari senarai pengundi pos yang berkenaan.

"Tetapi apa yang berlaku, nama mereka tetap tersenarai sebagai pengundi pos walaupun mereka telah mendaftar sebagai pengundi awam di tempat masing-masing," kata beliau.

Ditanya apakah penyelesaian kepada pelbagai misteri yang berlaku dalam senarai pengundi pos itu, Mahfuz mengulangi tuntutan Bersih supaya undi pos dimansuhkan kecuali bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Anwar Cabar Polis: Siasat Saya Dan Khairy / UBN Najib Altantuya

Kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bagan Pinang menguja semangat jentera Pakatan Rakyat menghadapi amarah Barisan Nasional.

Laluan di Batu 4 Port Dickson lumpuh. Dari Terengganu hingga ke johor, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di sebuah teratak kecil, dimana pemimpin reformasi itu berucap ke hadapan ribuan manusia yang hadir.

Acara malam ini adalah penampilan pertama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat di Bagan Pinang. Memeranjatkan apabila khemah-khemah ceramah Umno-BN sunyi sepi di kala warga Bagan Pinang menyambut Anwar dan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat - duo tiang sri Pakatan Rakyat.

Yang lebih memeranjatkan adalah kepadatan mereka yang hadir. Motokar dan motorsikal bersusun-susun dan terpaksa bersesak untuk bergerak beberapa sentimeter ke hadapan.

Bagi yang berjalan kaki, mereka terpaksa mencelah selangkah demi selangkah.

Namun susah-payah mereka nampaknya berbaloi dengan gempita suara masing-masing menyambut oratori mantan Timbalan Perdana Menteri ini.

"Kita berkumpul untuk pastikan kemenangan calon kita, yang menjamin kebaikan kesejahteraan kepada semua. Kita kena bekerja kuat, kita bertarung dalam keadaan yang seraba kurang dan sempit. Kita bertarung dalam keadaan media yang zalim dan berat sebelah yang menghebahkan fitnah, tidak beri ruang kita menjawab.

"KIta bertarung dalam keadaan 5000 undi pos yang tidak tentu ke mana. Sebab itu lah kita perlu menmanfaatkan kesempatan yang ada dui Bagan Pinang untuk buat perubahan,"katanya.

Seminggu berlalu, petugas-petugas parti Pakatan Rakyat dan BN bersaing memikat sokongan 13,664 pengundi di Dun Bagan Pinang. Pilihanraya kecil ini adalah yang kesembilan pasca PRU-12 8 Mac tahun lalu, dan perhatian seluruh negara tertumpu di sini.

Dari sembilan pilihanraya kecil, BN hanya memenangi satu di Batang Ai, Sarawak. BN tewas dalam semua pertarungan menghadapi Pas di kekalahan memalukan di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Lantas, Bagan Pinang adalah peluang terakhir BN dari menyekat kemaraan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya.

"Saya harap Ahad ini InsyaAllah pagi-pagi dengan lafaz Bismillah turun dan bagi kemenangan. Jangan satu undi pun hilang, jangan harapkan kempen sahaja perlu turun dan pastikan semua sokongan kepada Pakatan Rakyat. Selamatkan orang Melayu Islam dan menjaga semua Melayu, Cina dan India," katanya.

"Kalau Bagan Pinang ini mudah laluan Pakatan Rakyat, lepas Bagan Pinang Putrayajaya lah.....InsyaAllah," katanya.

Calon BN, Isa Samad, berusaha keras menemui mereka-mereka yang pernah telah lama tidak dikunjungi. Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengharapkan rekod 22 tahun sebagai Menteri Besar menjadi pancing terbaik memancing undi.

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut menawarkan RM900,000 ringgit bantuan kepada tujuh sekolah-sekolah jenis kebangsaan cina, manakala Menteri Pertahanan Zahid Hamidi menyogok askar-askar Melayu dengan kolam renang dan padang futsal.

"Khianat ini maknanya pecah amanah, kita menentang Umno kerana pengkhianatan yang dilakukan. Bahasa, pendidikan ekonomi. Apa yang mereka lakukan saham Malayu mereka ambil, ini dasar Bumiputera jangan soal. Kontrak berbillion ringgit, cukuplah....cukup bagi pencen sudahlah...," katanya.

Anwar mengambil kesempatan malam itu mencabar pihak berkuasa membuka semula fail siasatan berhubung dakwaan beliau menyimpan RM3 bilion. Dan sekiranya perlu, Anwar mencabar pihak berkuasa menubuhkan juga Suruhanjaya Bebas mengali semula tuduhan yang telah lama terkubur itu.

"Tidak apa, itu tuduhan 1998, 11 tahun dia cari tidak jumpa dia nak cari lagi. Itu kerja dia, saya hendak jawab, saya jawab 1998 tubuhkan suruhanjaya bebas siasat saya, siasat bekas pemimpin, siasat pemimpin yang ada sekarang. siasat semua dengan bebas dalam bank dalam negara, tanah saham dan akaun di luar negara termasuk Switzerland.

"Semak saya, semak Mahathir, semak Khairy Jamaluddin mana dapat ratusan juta ringgit?" katanya

Anwar berkata demikian merujuk kepada gesaan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kepada polis supaya kes tahun 1999 ini disiasat semula. Kes ini terbit dengan akuan bersumpah dari pembantu Gabenor Bank Negara Abdul Murad Khalid, yang bagaimanapun menarik-balik akuan tersebut.

Ketika dipenjara di Sungai Buloh, Anwar didapati tidak bersalah selepas disoal-siasat Badan Pencegah Rasuah.

"11 tahun kamu mengaibkan saya, fitnahkan saya cerita pasal RM3 bilion. malam ini saya hendak jawab. Siasat, siasat dengan bebas, siasat akaun dalam negara bagaimana seorang muda semata-mata kerana menantu perdana menteri. Seorang muda belum 25tahun pada masa itu hartanya ratusan juta, siasat semua saya setuju tiada masalah," katanya

Persoalan apakah Pas atau Isa Samad yang dipilih akan terjawab esok. Untuk Pas menewaskan gergasi ini, Pakatan Rakyat memerlukan kira-kira 4,720 undi orang Melayu

untuk menewaskan 4,604 undi pos tentera yang sekian lama menjadi nadi hayat Umno-Barisan Nasional.

Anwar merayu kepada supaya dipinjamkan sokongan kepada calon Pakatan Rakyat. Beliau menggesa pengundi mengundi untuk perubahan dan bukan projek-projek terbengkalai yang menjadi mercu pemerintahan BN di Bagan Pinang.

"Tan Sri Isa pergilah....duduk baik-baik buatlah rumah besar sedikit tidak mengapa. Biarlah negeri ini dan Bagan Pinang bagi pada tokoh muda, akhlak baik, professional yang dihormati, tokoh Pas yang disegani, disambut dan disokong oleh semua kaum Zulkefly Mohamad Omar," katanya.

-tvantara.com-

Undi Pos: PAS Buat Laporan Polis Terhadap SPR / UBN Najib Altantuya

PAS terus menjadikan isu pengundian pos sebagai isu utama apabila parti itu memfailkan satu laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mendakwa suruhanjaya berkenaan telah melakukan beberapa kesalahan mengikut peraturan pilihan raya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata laporan polis berkenaan dibuat oleh wakil calon PAS, Ramli Ismail awal pagi tadi.

"Satu laporan polis telah dibuat, dalam isu ini kita mahu membina satu pemikiran bahawa terlalu banyak isu yang dipertikaikan dalam undi pos," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menerusi laporan polis berkenaan, PAS menyenarai lima kesalahan yang mereka dakwa dilakukan oleh SPR berhubung isu pengundian pos.

Pertamanya PAS mendakwa daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor siri pengundi pos yang sebenar seperti yg dikeluarkan dalam daftar pemilih SPR selain daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor tentera yang penuh.

"Selain itu kita juga nyatakan bahawa daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor identiti isteri pengundi pos.

"Daftar pemilih tentera juga tidak mempunyai nombor lokaliti pengundi pos dan selain itu daftar pengundi tentera tidak mempunyai nombor kad pengenalan lama isteri pengundi pos," katanya.

Tambah Salahuddin lagi, penggunaan daftar pemilih yang berbeza juga menyukarkan polling agent daripada PAS untuk mengesahkan identiti pengundi pos semasa mereka datang mengundi.

"Polling agent kita tidak boleh berfungsi kerana mereka tak boleh menyemak daftar pemilih pengundi pos," katanya.

Proses pengundian pos melibatkan anggota keselamatan iaitu tentera dan polis telah bermula sejak Khamis lalu dan berakhir tengah hari ini.

Anggota tentera mengundi di Dewan Jeneral Tan Sri Sani, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kem Si Rusa manakala anggota polis mengundi di Ibu Pejabat Polis Port Dickson.

Terdapat sejumlah 4,604 pengundi pos di kawasan DUN Bagan Pinang. Daripada jumlah itu 4,571 terdiri daripada anggota tentera, 31 anggota polis manakala dua pengundi pos dikategorikan sebagai pemilik tak hadir kerana bertugas di luar negara.

Mereka merupakan sebahagian daripada 13,664 pengundi dalam DUN Bagan Pinang, yang turut membabitkan 9,060 pengundi biasa.
-MstarOnline-

Ong Tee Keat Tewas Undi Tak percaya

Para perwakilan MCA hari ini mengundi menyokong usul undi tidak percayai terhadap Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, manakala Datuk Seri Chua Soi Lek gagal mendapat sokongan perwakilan untuk dilantik semula ke jawatan timbalan presiden.

Seramai 1,155 perwakilan mengundi menyokong usul tidak percaya terhadap Tee Keat, manakala 1,141 satu lagi menolaknya. Terdapat lapan undi rosak.

Manakala 1,184 perwakilan mengundi menolak Soi Lek dilantik semula ke jawatan timbalan presiden, manakala 1,110 perwakilan menyokongnya. Terdapat 10 undi rosak.

Bagi usul kedua, 1,204 perwakilan mengundi menolak pemecatan/penggantungan keahlian Soi Lek, manakala 1,095 menyokongnya. Terdapat 5 undi rosak.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA, Datuk Yip Phooi Hong.

Dalam reaksinya selepas itu, Tee Keat berkata beliau menerima keputusan EGM.

Menurutnya, tindakan lanjut akan dibincangkan oleh majlis presiden dan jawatankuasa pusat parti.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan, Tee Keat berkata ia akan dibincangkan dalam majlis presiden dan jawatankuasa pusat.

Sebelum itu, Tee Keat dan anggota jawatankuasa pusat MCA masuk ke dewan sejurus sebelum keputusan diumumkan.

Selepas keputusan diumumkan, beliau naik ke bilik mesyuarat di tingkat sembilan bangunan MCA untuk mengadakan sidang akhbar.

Tee keat kelihatan kecewa tetapi tenang. Ditanya sama ada beliau terperanjat dengan keputusan tersebut, Tee Keat berkata:

"Saya tetap saya, anda nampak saya terperanjat?

"Dari hari pertama kita mahu menyelesaikan krisis parti melalui EGM, inilah dia dan kami menerima keputusannya."

Sebelum itu, keadaan tegang apabila kiraan semula dibuat untuk undian bagi usul tidak percaya kepada Tee Keat kerana majoritnya majoritinya hanya 20 undi atau 1 peratus.

Yip memberitahu para perwakilan, sekiranya jumlah undi sama banyak, mengikut perlembagaan parti, beliau akan mengundi bagi menentukan pemenangnya.

Beliau kemudiannya meminta perwakilan menunggu dan kedengaran bunyi laungan 'boo' dari para hadiran.

Bagaimanapun, sejurus kemudian, diumumkan oleh pengiraan undi telah tamat dan pengumuman akan dibuat pada bila-bila masa.

Seramai 2,307 perwakilan MCA mengundi dalam EGM hari ini untuk menentukan nasib dan masa depan politik Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan Soi Lek.

Sebelum EGM bermula pada kira-kira 10.30 pagi tadi, pengerusi mesyuarat agung luar biasa itu, Datuk Yip Phooi Hong, mengumumkan bahawa dua daripada tiga usul telah ditarik balik.

Dua usul tersebut ialah usul membatalkan sebarang pelantikan termasuk timbalan presiden yang dibuat sebelum EGM dan tidak dikenakan tindakan disiplin terhadap penuntut EGM itu.

Yip berkata, dua usul tersebut diketepikan kerana ia tidak lagi menjadi isu.

Berikutan itu, 2,307 perwakilan MCA yang menghadiri EGM pagi ini akan mengundi tiga usul utama, iaitu usul tidak percaya terhadap Tee Keat, membatalkan keputusan majlis presiden memecat dan keputusan jawatankuasa pusat parti menggantung keahlian Soi Lek dan menerima semula Soi Lek sebagai timbalan presiden MCA.

Proses pendaftaran perwakilan selesai pada jam 10.30 pagi di mana 96.93 peratus perwakilan hadir. Seramai 73 lagi perwakilan tidak hadir.

Sehingga jam 11.08 pagi, kira-kira 70 peratus perwakilan telah selesai mengundi. Pada jam 11.44 pagi, sebahagian besar perwakilan telah selesai mengundi. Manakala Tee Keat pula mengundi pada jam 11.50 pagi.

Keseluruhan proses pengundian selesai pada jam 11.55 pagi. Proses pengiraan pengundi akan bermula selepas ini, keputusannya dijangka diketahui selepas jam 2 petang.

Lapan wakil - masing-masing dari puak Tee Keat dan Soi Lek - dilantik untuk memantau perjalanan proses pengundian pagi ini.

Tee Keat and Soi Lek tiba di ibupejabat MCA di Jalan Ampang, awal pagi untuk bersarapan bersama para perwakilan di bawah kemah yang dipasang di depan bangunan tersebut.

Kedua-dua tidak bertegur sapa. Apabila pihak media meminta mereka bergambar bersama, Tee Keat dan Soi Lek bersikap seolah-olah tidak mendengarnya.

Tiada masa ditetapkan oleh proses pengundian tiga usul berkenaan pagi ini.

Sementara itu, apabila diberitahu yang majlis makan malam anjuran Soi Lek malam tadi, lebih mendapat sambutan, Tee Keat enggan mengulas.

Bagaimanapun, para pemerhati berkata, majlis makan malam anjuran Tee Keat dan Soi Lek masing-masing mendapat sambutan.

Menurut mereka, jumlah yang menghadiri majlis makan malam Tee Keat dianggarkan seramai 1,700 orang manakala 1,500 orang menghadiri majlis makan malam Soi Lek.

Sebaliknya, penyokong Soi Lek mendakwa 1,500 orang yang menghadiri majlis makannya kesemua adalah para perwakilan.

Ekoran pemecatannya, Soi Lek tidak boleh masuk ke dewan dan hanya dilihat berlegar di luar bangunan ibupejabat MCA itu.

Sementara itu EGM kali berlangsung dengan tiga-10: bermula pada jam 10 pagi hari ke-10 bulan kesepuluh. Namun ramai pemerhati politik dalaman percaya para perwakilan telah membuat keputusan mereka.

Pertembungan antara penyokong Tee Keat dan Soi Lek ini bakal menentukan masa depan kepimpinan parti komponen kedua terbesar BN itu, yang dilanda krisis kepimpinan sejak tindakan diambil terhadap Soi Lek berkaitan skandal klip video seks.

Lembaga disiplin MCA mencadangkan Soi Lek dipecat, yang kemudiannya disahkan oleh Majlis Presiden. Ekoran keributan yang tercetus ekoran tindakan tersebut, maka jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Soi Lek, dan sebaliknya penggantung keahliannya.

Turut menarik perhatian ialah kewujudan apa yang dipanggil "pasukan ketiga" yang mahukan perwakilan menolak kedua-duanya - Tee Keat dan Soi Lek dalam EGM hari ini.

Jika ini menjadi kenyataan, maka akan berulang sejarah penukaran kepimpinan MCA - di mana presiden dan timbalan presiden - melepas jawatan dan kompromi dicapai untuk melantik calon lain, bagi mengelak
perpecahan yang berterusan dalam parti itu.

-malaysiakini.com-

Azizan: Selepas Bagan Pinang Ke Kota Seputeh / UBN Najib Altantuya

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yakin pilihan raya kecil Kota Seputeh Kedah bakal menyusul selepas pilihan raya kecil Bagan Pinang esok.

“Insya Allah, selepas Bagan Pinang kita akan ke Kedah pula untuk pilihan raya kecil di sana,” kata Azizan ketika berucap dalam sesi penerangan rakyat di Taman Sri Rusa bagi membantu calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat, Zulkefly Mohamad Omar.

Menurut Azizan, Speaker Dun Kedah telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kekosongan kerusi Kota Seputeh berikutan kegagalan Adunnya menghadiri sidang Dun sebanyak dua kali berturut-turut.

“Kita telah melantik tujuh peguam untuk mengkaji balik keputusan SPR yang memohon permohonan Speaker kita,” kata Azizan.

Beliau yakin, kes ini berpihak kepadanya berdasarkan undang-undang yang ada di negeri Kedah.

“Ada pemimpin Umno kata kita membazirkan duit...Saya kata, saya rela bazirkan duit untuk adakan pilihan raya semula dari terus membayar gaji Adun yang pemalas...nak datang sidang Dun pun malas,” katanya disambut sorakan orang ramai.

1 Oktober lalu Speaker Dewan Negeri Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Surruhanjya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Siputeh.

Abdul Isa mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk mengisytiharkan Abu Hassan dari Barisan Nasional bukan lagi ADUN kawasan berkenaan berikutan kegagalan beliau menghadiri dua sidang DUN itu.

Sehubungan itu, Abdul Isa, 61, memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh adalah kosong dan seterusnya mahu SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Sebelum ini, Abdul Isa telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan yang didakwa telah hilang keanggotaannya.

Abu Hassan, Ketua UMNO bahagian Jerlun itu dikatakan telah hilang kelayakannya kerana gagal menghadiri sidang DUN secara berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Walau bagaimanapun, sebagaimana di Perak, keputusan speaker Pakaran Rakyat di Kedah juga ditolak oleh SPR walaupun keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan Negeri.

Seksyen 51 dalam Perlembagaan Negeri menjelaskan anggota DUN yang tidak hadir ke sidang DUN secara dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya serta hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.
-tvantara.com-

Kepercayaan rakyat makin terhakis terhadap SPR / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Angkasanuri

Perjalanan pilihan raya Bagan Pinang terus bercelaru dan haru biru. Semua ini bukan kerana kerancakan kempen pilihan raya kecil tetapi sikap senget sebelah SPR kepada Umno@BN. Sepatutnya SPR menjadi menjunjung dan melaksanakan proses demokrasi di Malaysia.

Dalam undang-undang pilihan raya tidak termaktub parti politik yang tidak bertanding boleh berkempen dengan menaikkan bahan kempen seperti bendera tetapi SPR kata ada peraturan begitu.Apa yang berlaku menunjukkan SPR semakin hampir untuk menjadi komponen BN walaupun tidak diwartakan secara rasmi. Lihatlah Undang-undang yang dibuat dikhianati oleh SPR sendiri. Wujud peraturan pelik yang tak masuk akal. Yang ada ditiadakan yang tiada diadakan.

PAS melalui pengarah pilihan rayanya mendedahkan 253 nama yang bertindih dalam buku daftar pemilih beserta dengan bukti. SPR kata mana ada! Semalam PAS membantah kerana Menteri dan Menteri Besar berkempen dalam kem tentera beserta bukti audio yang dirakam. Tetapi SPR seolah-olah hanya memekakkan telinga.

Hari ini PAS bantah lagi daftar pemilih semasa penamaan calon untuk undi pos bercanggah dengan buku daftar hari pengundian. Walhal jelas dalam peraturan pilihan raya menjelaskan tindakan SPR itu bertentangan dengan Peraturan 14A Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981.

Statut tersebut berbunyi: "Daftar Pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan calon HENDAKLAH merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi..."Apa alasan dan dalih SPR kali ini.

Pengerusi SPR dalam berita semalam menuduh PAS sengaja bising-bising kerana takut kalah. Nak tanya pada pengerusi SPR sejak bila PAS bertanding pilihan raya takut kalah? Kalah menang sudah asam garam PAS sepanjang menyertai pilihan raya. Malah PAS selalu hilang deposit sebelum ini bila bertanding di Negeri Sembilan!

Apa yang dilakukan ini jelas menunjukkan bahawa SPR kini bertindak sebagai komponen BN di Bagan Pinang. Apa yang berlaku semakin menghakis kepercayaan majoriti rakyat negara ini kepada SPR dan demokrasi serta pilihan raya di negara ini.

Antara terjahan Dr Maza dan soalan Tok Guru untuk Umno / UBN Najib Altantuya /PKFZ

Mat Zain Mat Isa

Dalam kolum tetapnya di sebuah akhbar mingguan, Ahad (4 Oktober) lalu, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) menulis tentang ‘Islam tulen dan Umno’. Sepertimana lazimnya tulisan beliau sangat berterus-terang, tanpa kecenderungan ‘takut atau meraikan’ mana-mana pihak.



“Saya terlebih (dahulu?) akui bahawa saya bukan ‘ahli politik’ untuk menghuraikan masalah Umno. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam Umno,” demikian beliau memulakan coretannya.

Penghuraiannya kali ini adalah reaksi terhadap dambaan ramai tokoh Umno yang bertanyakan pendapatnya akan cara memulihkan parti itu. Tanpa selindung Dr Maza terus menerjah Umno dengan persoalan Islam.

Beliau meletakkan asas jelas bagi Umno bahawa jika parti itu mahu masyarakat Melayu terus menerimanya, Umno mestilah menjaga dan mendokong dengan baik Islam sebagai nadi hidup mereka.

“Justeru itu, jawaban saya mudah sahaja: Umno! Kembalilah kepada Islam tulen! Umno mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif,” ujarnya.

Saranan itu tidak terhenti setakat itu. Ia diperjelaskan menerusi penghuraian panjang lebar. Dr Maza sempat melontarkan beberapa soalan panas yang sayugia direnung Umno.

Di ketika lain, beliau menyuarakan pemerhatian peribadinya yang agak keras mengenai letak duduk Umno dan Islam. Katanya, beliau menemui ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, tetapi kebanyakan mereka tidak memilih Umno.

“Secara jujur, akuilah iklim dan suasana Islamik tidak cukup kuat dalam Umno untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat,” tegasnya.

“Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘Anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi Muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam Umno’?”, terjah Dr Maza lagi.

Beliau mengakui agak sukar menemui ungkapan sebegitu. Jika ada pun, katanya, ia mungkin kes terpencil.

Lantaran itu beliau menyarankan agar Umno jujur terhadap Islam, zahir dan batin. Umno perlu ikhlas terhadap kerja Islam sehingga gerak kerja pendokongnya terhadap parti layak dianggap ibadah. Dengan itu, jika pun Umno tidak menang pilihan raya, parti itu yakin boleh menang pahala.

Dr Maza turut menyebut buat masa ini imej Umno sering dikaitkan sebagai kurang Islamik dan para pemimpinnya dikatakan kurang kefahaman Islam.

Sementara beliau menyarankan Umno memperbetulkan imej itu, bagi kita pula apa yang beliau luahkan itu, itulah juga sebenarnya punca utama pertembungan antara PAS dan Umno sejak berdekad lamanya. Pertelagahan tradisi antara dua parti utama orang Melayu itu sebenarnya bertitik tolak soal akidah, mengenai batas iman dan kufur serta perbezaan pegangan mengenai persoalan Islam dan politik.

Letak duduk Umno dari perspektif Islam tulen sepertimana diterjah Dr Maza itulah yang cuba diterangkan para pemimpin PAS. Malangnya para pemimpin Umno terlalu angkuh dan ego untuk menerima atau cuba memahami hakikatnya.

Suratan atau kebetulan, Ahad lalu juga, di sebelah malamnya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengulas perkara sama, iaitu ‘Islam tulen dan Umno’. Dalam ceramahnya bersempena perasmian bangunan baru PASTI Al-Khairiah, di Alur Keladi, Besut, Menteri Besar Kelantan itu mengulang sebut dua soalan asas yang menyebabkan beliau menolak sebarang kerjasama politik dengan Umno.

“Ambo (saya) tanya dua soalan (kepada pemimpin Umno). Pertama, pasal apa Umno tolak Islam, Umno tak nak kepada (pelaksanaan dan dasar perjuangan) Islam ? Yang kedua, sebab apa Umno lawan PAS?”, jelas Tok Guru.

Beliau merujuk kepada isi utama surat peribadi beliau kepada pemimpin tertinggi Umno beberapa bulan lalu. Ketika itu isu Tok Guru melabelkan Umno sebagai sesat sedang hangat dibual bicara. Tok Guru mengaitkan penyelewengan Umno kerana parti itu menolak Islam sebagai dasar perjuangan dan mengambil nasionalisme sebagai ganti.

Malam itu pula Tok Guru mengibaratkan manusia yang menghuni dunia ini umpama pelajar yang menghuni asrama sekolah. Sebagaimana pelajar yang diberikan segala kelengkapan dan keperluan agar belajar bersungguh dan berjaya dalam pelajaran, manusia yang dijagai Allah dengan segala keperluan di dunia ini juga ada tujuannya, iaitu untuk mengabdi diri kepadaNya.

Tok Guru turut membangkitkan soal dosa dan pahala bagi setiap perbuatan manusia. Sepertimana harapan Dr Maza agar apabila Umno betul dengan kehendak Islam, maka gerak kerjanya menjadi ibadah dan mendapat pahala di sisi Allah, penerangan Tok Guru malam itu turut menjurus ke arah pertanyaan sama. Apakah beroleh pahala gerak kerja sebuah parti yang tidak berdasarkan Islam? Jika tidak mendapat pahala, bagaimana mungkin pendokongnya akan masuk syurga?

Secara jujur soalan-soalan tadi elok diulang tanya kepada Umno. Persoalan sebegitulah sebenarnya yang menunjangi persengketaan tidak berkesudahan antara PAS dan parti itu. Meski pun berbeza pendekatan, terjahan Dr Maza dan hujahan Tok Guru terhadap Umno adalah sealiran.