"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Apa nasib Bersatu kalau Dr Mahathir tiada, tanya penganalisis

Noor Azam Shairi, Bede Hong
KEPIMPINAN Dr Mahathir Mohamad menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah antara kesan besar yang dibawa oleh Bersatu selepas setahun parti itu muncul dalam gelanggang politik Malaysia, kata penganalisis.

Bagaimanapun penganalisis berpendapat kekuatan Bersatu sangat bergantung dan menumpang kepada personaliti Dr Mahathir sehingga timbul tanda tanya, apa akan jadi pada parti itu sekiranya pengerusi mereka itu sudah tiada.

Penganalisis mengakui belum nampak gambaran jelas bagaimana parti serpihan Umno itu boleh bertahan sekiranya berlaku sesuatu kepada pengerusi parti itu yang kini berumur 92 tahun.

“Jelas kalau kita tengok, Bersatu ini menumpang atas faktor Dr Mahathir. Dr Mahathir ini ibaratnya tiang seri Bersatu. Kalau tidak ada Dr Mahathir, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku pada Bersatu,” kata Pengarah Ilham Centre, Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insight.

“Itulah sebabnya sekarang ini kita tengok betapa hebatnya serangan dilakukan terhadap Dr Mahathir. Ini semata-mata adalah untuk mengurangkan atau mengendurkan pengaruh Dr Mahathir yang seterusnya akan melemahkan sokongan rakyat kepada Bersatu,” tambahnya.

Hisommudin merujuk kepada isu masa lalu yang dibangkitkan semula dan dikaitkan dengan pentadbiran 22 tahun bekas perdana menteri itu, termasuk peristiwa berdarah Memali 1985 dan kerugian Bank Negara Malaysia akibat urus niaga mata asing antara 1988 dan 1994.

Kerugian Bank Negara Malaysia itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) manakala baru-baru ini, kerajaan turut menyatakan kesediaan menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali.

Bersatu yang diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 September 2016 merayakan ulang tahun pertama dengan rapat umum yang digelar Himpunan Rakyat Bermaruah di Muar, Johor, hari ini.

Hisommudin menambah kepimpinan dan personaliti dua lagi pemimpin kanan Bersatu, Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir belum cukup kuat pengaruhnya di peringkat nasional berbanding Dr Mahathir.

“Muhyiddin dan Mukhriz masing-masing nampak lebih berpengaruh di negeri, di Johor dan di Kedah,” tambahnya.

Menurut Hisommudin, faktor Dr Mahathir bukanlah sesuatu yang boleh diremehkan dan Barisan Nasional (BN), katanya, cukup menyedari pengaruh bekas perdana menteri itu dalam PRU14 akan datang.

Pengaruh Presiden Muhyiddin Yassin (kanan) dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir banyak tertumpu kepada Kedah dan Johor dan kerana itu faktor Dr Mahathir tidak boleh dipandang enteng dalam menentukan kelangsungan parti baru itu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2017.

Beliau membandingkan bagaimana Dr Mahathir menggerakkan kempen menjatuhkan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi dengan kempen yang sekarang sedang beliau terajui bersama Pakatan Harapan (PH).

“Dulu masa lawan Pak Lah (Abdullah), Dr Mahathir hanya menulis di blog, mendapat sokongan daripada blogger dan tidak ada parti politik.

“Tetapi sekarang, beliau sudah ada parti politik dan ada jentera, media juga sudah berkembang dengan lebih pesat dan beliau juga mengetuai pembangkang,” kata Hisommudin, merujuk kepada kedudukan Dr Mahathir sebagai pengerusi PH.

“Saya yakin, ini tentunya menggusarkan Umno,” tambahnya.

Jelas beliau, Umno wajar bimbang kerana faktor Dr Mahathir merentas kekuatan Bersatu malah melangkau pengaruh PH sendiri.

Bersatu melalui kempennya mengintai kerusi di kawasan majoriti Melayu di pedalaman termasuk yang terletak dalam 54 kawasan petempatan Felda.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penglibatan aktif Dr Mahathir dalam gerakan pembangkang ini memberikan kesan emosi dan psikologi yang seterusnya boleh mempengaruhi rakyat untuk tidak menyokong BN.

Kata beliau, hasil kajian pihaknya di lapangan mendapati faktor Dr Mahathir cukup kuat bersandarkan kepada dua persoalan utama  yang bermain dalam fikiran umum tentang penglibatan politik bekas presiden Umno itu sehingga ke hari ini.

“Orang bertanya mengapa Dr Mahathir keluar Umno, mesti ada sebab yang besar. Orang melihat juga pada umur beliau sekarang ini, Dr Mahathir ini berjuang untuk apa lagi, untuk negara atau peribadi?” katanya.

Jelas beliau, semua aktiviti politik yang disertai Dr Mahathir daripada demonstrasi di jalan raya sehinggalah perhimpunan ceramah pada hampir setiap minggu, secara tidak langsung memberi inspirasi kepada rakyat, terutamanya golongan muda.

“Ia menimbulkan satu perasaan kalau Dr Mahathir pada usia seperti itu masih begitu, kenapa tidak mereka juga,” katanya.

Pengarah Institut Asia di Universiti of Tasmania, James Chin bagaimanapun berkata kalau Dr Mahathir begitu popular dan pengaruhnya besar kepada politik melawan BN, bekas perdana menteri itu mesti bertanding dalam PRU14.

Jika tidak, katanya, pengaruh itu tidak ada gunanya dan sia-sia.

“Kalau Dr Mahathir tidak bertanding, bagaimana beliau hendak mengepalai pilihan raya?” kata editor bersama buku Malaysia Post-Mahathir: A Decade of Change? itu.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein sebelum ini mencabar Dr Mahathir bertanding di kerusi Parlimen Pekan, “kalau berani”.

Cabaran naib presiden Umno itu dijawab oleh Dr Mahathir yang mencabar Hishammuddin pula untuk bertanding di Parlimen Langkawi.

Langkawi memberikan dukungan padu kepada Dr Mahathir antara lain kerana sentimen terima kasih atas sumbangan beliau mengubah ekonomi pulau pelancongan semasa menjadi perdana menteri.

Di usia emasnya, Dr Mahathir masih gigih turun padang memberi ceramah, tindakan yang mencetuskan inspirasi kepada golongan muda untuk turut terlibat sama dalam politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2017.

Di usia emasnya, Dr Mahathir masih gigih turun padang memberi ceramah, tindakan yang mencetuskan inspirasi kepada golongan muda untuk turut terlibat sama dalam politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2017.

Sementara itu, Awang Azman yang menjalankan kajian bebas pilihan raya di beberapa tempat di seluruh negara memberitahu sentimen di akar umbi di kawasan-kawasan kajiannya menunjukkan Bersatu kurang mengumpulkan ahli tetapi tidaklah bermakna sokongan terhadap parti itu kecil.

Malah beliau menarik perhatian kepada perpecahan dalaman PAS yang melahirkan parti serpihan Amanah menyebabkan sokongan golongan profesional bukan ahli PAS yang dulu menyokong parti Islam itu kini terpecah dua, antara Amanah dan Bersatu.

Awang Azman bagaimanapun menyifatkan kekuatan Bersatu masih belum dapat menandingi kekuatan akar umbi Umno dan PAS yang sudah kukuh.

“Bersatu ini ada kepimpinan di peringkat atasan tetapi di peringkat pusat daerah mengundi, ia tidak sekuat Umno dan PAS,” katanya, sambil menarik perhatian kepada kedudukan PKR pada PRU1999, yang ketika itu dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan) — sebuah parti baru dan tidak ada jentera yang kuat.

Keadilan ditubuhkan pada 4 September 1999, setahun selepas bekas timbalan perdana menteri dipecat oleh Dr Mahathir daripada kerajaan dan melancarkan gerakan Reformasi, hampir tiga bulan sebelum pilihan raya.

Dalam PRU10 itu, Keadilan bertanding 47 kerusi Parlimen dan 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia hanya menang 5 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN.

Jelas Awang Azman, kelemahan Bersatu sekarang terselindung oleh faktor Dr Mahathir yang cukup besar memayungi parti itu.

“Dr Mahathir ini talian hayat yang cukup penting bagi Bersatu. Apa-apa berlaku pada Dr Mahathir akan beri kesan parti itu dan Pakatan Harapan amnya,” katanya. – 9 September, 2017.

Video Viral Wanita Mengamuk Dengan Steering Lock Kat Abang MPSJ


SEKALI lagi insiden steering lock menjadi fenomena apabila seorang wanita naik berang selepas tayar keretanya dikunci Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
-mstar

PH yakin PAS dan BN kalah di Selangor walaupun 3 penjuru

Mohamad Fadli
pua-khalid
PETALING JAYA: Amanah dan DAP menyuarakan keyakinan Pakatan Harapan (PH) dapat merampas kerusi yang dimenangi PAS di Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata PAS meningkat bilangan kerusin pada PRU lalu bukan disebabkan mereka menang atas sokongan penyokong tegar PAS sahaja tetapi atas bantuan parti pembangkang lain seperti PKR dan DAP di bawah Pakatan Rakyat (PR) ketika itu.

“Tiada istilah penyokong tegar PAS menangkan PAS ketika itu. Rata-rata sokong PAS sebab mahu tumbangkan BN,” katanya dalam bual bicara “Selangor ada harapan” yang disiarkan menerusi Facebook.

“Jadi apabila PAS ubah arah lebih mesra Umno, kita yakin sokongan itu akan beralih kapada mana-mana parti dalam PH yang akan bertanding di Selangor,” kata wakil rakyat Petaling Jaya Utara itu.

PAS masih menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran di Selangor yang disertai PKR dan DAP, walaupun parti Islam itu enggan mengadakan sebarang kerjasama politik pada PRU akan datang.

Sebelum ini, PAS Selangor berkata ia akan meletakkan calon di 42 daripada 56 kerusi di negeri itu, termasuk di kerusi yang disandang PKR dan DAP.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata PH tidak boleh menunggu PAS untuk berunding dan rakyat perlu disedarkan PAS bukan sebahagian gabungan pembangkang itu.

“PAS tak beritahu perkara sebenar bahawa akan wujud 3 penjuru selepas umum akan bertanding 42 kerusi DUN Selangor.

“Jadi kita di PH perlu teruskan dengan starategi kita dan jadikan pengalaman pilihan raya kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Pada ketika itu, kita ajak berunding untuk elak 3 penjuru tetapi tak berjaya juga. Jadi kita tidak boleh tunggu lagi,” katanya.

Dua PRK yang disebut Khalid itu diadakan tahun lalu dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalahkan calon Amanah dan PAS.

Khalid yakin strategi 3 penjuru tidak akan melemahkan PH.

“Berdasarkan 30% ahli PAS berlalih kepada terbentuknya Amanah, dan Umno juga sudah berpecah dengan wujudnya PPBM, maka Umno juga boleh dikalahkan.

“Sokongan Melayu kepada PH masih kuat dan bukan mudah untuk dikalahkan,” katanya.

Pada PRU 2013, PAS meletakkan 21 calon negeri di Selangor dan memenangi 15 kerusi.

PKR memenangi hanya 14 kerusi tetapi PAS dan DAP bersetuju supaya parti itu menerajui kerajaan negeri.

Memangkah bulan di dada dacing

Beberapa tahun sudah, ketika Parti Islam Semalaysia mula bermanja secara terbuka dengan Umno, suatu sesi bergambar melibatkan sayap pemuda parti itu diadakan.
Seingat saya, ia berlaku beberapa ketika sebelum muktamar yang menampilkan pertunjukan silat, memotong kek dengan keris dan pimpinan parti berbusana Melayu tradisional itu berlangsung di Kota Bharu.
Sesi bergambar tersebut, saya kira dilakukan bertujuan menampilkan sisi Melayu Pemuda PAS pada muktamar berkenaan, selepas muktamar sebelumnya memperlihatkan segerombolan besar pimpinan tunjang parti berkenaan disingkirkan.
Beberapa keping gambar daripada sesi tersebut dikongsikan ke media sosial. Salah satunya memperlihatkan anak kepada Tuan Guru Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi sedang berkeris dengan timbalannya di Pemuda PAS kini, Khairil Nizam Khirudin.
Khalil memperlihatkan langkah menangkap tikaman keris Khairil, sambil kerisnya sendiri ditusukkan ke rusuk rakannya itu.

Khairil bagaimanapun, menampan serangan itu dengan hanya telapak tangan. Mungkin Khairil ada ilmu kebal, dan tikaman itu tidak lut pada tapak tangannya. Kita tidak tahu. Namun jika itu bukan lakonan, Khairil pastinya cedera terkena tikaman rakannya itu.
Politik juga bukan sekadar lakonan, meski lakonan adalah sebahagian daripada politik. Seperti juga aksi bertikam Khalil, PAS dan Umno juga boleh berlakon.
PAS boleh sahaja bersahaja seolah-olah ia tidak punya hubungan dengan Umno. PAS juga boleh berlakon seolah-olah ia tidak tahu bahawa Umno sedang mempermainkan hati dan perasaannya. Tetapi seluruh negara tahu, malah anggota PAS - di peringkat akar rumput - juga tahu bahawa hubungan PAS dan Umno tidak banyak beza dengan pertarungan ‘sengit’ Khalil dan Khairil tadi.
Dalam PRU ke-13, arwah Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya apabila PAS gagal memenangi sebanyak kerusi yang sepatutnya mereka menangi.
Aneh sekular tapi Kristian
Sebahagian besar khabarnya digagalkan oleh jentera PAS sendiri yang dalam diam-diam menanam ranjau, menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan mengatur langkah menggagalkan usaha calon mereka sendiri yang cenderung memihak Anwar.
Gerombolan yang sama juga kini gigih menyuarakan bantahan terhadap usaha Pengarah Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Azmin Ali untuk berunding dan memastikan tidak terjadi pertembungan tiga penjuru.

Tembikai-tembikai ini (yang luarnya hijau, dalamnya merah Umno) masih jelas menjalinkan hubungan sulit dengan Umno meski beriya menafikannya.
Tidak sedikit sumber tiris di Putrajaya yang memberitahu betapa akrabnya hubungan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sejak ‘muktamar keris’ itu, PAS dengan terang dan nyata menolak serta membuang sahabat-sahabat lama mereka demi persahabatan baru yang menurut mereka lebih menguntungkan agama, kononnya.
Demi persahabatan baru itu, juak-juak PAS terpaksa mengeyakan fatwa dan ijtihad tanzim menggunakan hujah-hujah lama Umno bagi menyerang HARAPAN dengan membingkainya sebagai "dikemudi demi kepentingan DAP".
Parti itu pula didakwa PAS kononnya menjalin hubungan dengan evangelis demi membangun sebuah negara sekular.
Demikian cubaan kelakar anakanda Haji Hadi membingkai keadaan politik parti kawan-kawan lama sebagai "undi HARAPAN ertinya mengundi DAP".
Apalah mengarut negara sekular tidak bertuhan mahu dibangunkan dengan usahasama mubaligh Kristian?
Kekalkan Najib sebagai PM
Cubaan ini tidak banyak beza dengan cubaan Khairil menikam dan menampan serangan dengan tapak tangan itu tadi.
Dalam tak sedar, diri sendiri bakal cedera dan ditimpa malu kerana tidak pandai menyambut pukulan, tetapi ada hati pula melancarkan serangan.
Khalil pastinya sedar, setiap satu undian kepada PAS adalah tanda setuju dan akur kepada persandingan rahsia dengan Umno.
Setiap satu undi kepada PAS adalah pernyataan reda dan rela kepada persekongkolan terhadap rompakan berbilion ringgit terkait 1MDB.
Setiap satu undi ke parti bulan adalah talian hayat kepada Umno yang sedang gembira melihat parti-parti pembangkang bukan sahaja saling bercakar, malah melihat PAS menyerang parti kawan-kawan dengan peluru yang dibekalkan oleh mereka.
Mengundi PAS, ertinya memilih Najib Razak sebagai perdana menteri, dan mengekalkan Datin Seri Rosmah Mansor di Sri Perdana.
Memilih PAS, ertinya memilih Umno. Inilah pengertian budaya politik matang dan sejahtera PAS. Bersanding diam-diam, menipu terang-terang.

IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.

Hancurkah Pakatan Harapan tanpa PAS?

Wan Hamidi Hamid
ADAT orang bercinta – ada kala manis, ada kala pahit, dan kadangkala terpaksa berpisah. Namun, mungkin muncul kekasih baru atau bertemu seteru lama. Kita tahu begitulah kitarannya walau tak selalunya begitu.

Dalam arena politik tempatan, PAS kini intim dengan Umno. Walaupun PAS tidak menyertai Barisan Nasional, mereka sangat akrab. Atas nama agama, ruang kerjasama kedua-dua parti Melayu itu amat luas.

Persoalannya, di pihak pembangkang Pakatan Harapan, masih ada yang mahu bekerjasama dengan PAS yang sudah jelas riang gembira bersama Umno. Mengapa begitu?

1.Siapa kawan dan lawan PAS hari ini?

Sebenarnya ia berpunca daripada naratif lama, iaitu tanpa PAS, pembangkang akan sukar mendapat undi Melayu. Fahaman bersifat hitam putih ini masih dipegang walaupun sudah wujud alternatifnya, iaitu dua parti majoriti Melayu yang baru, iaitu Bersatu dan Amanah.

Walaupun Amanah masih dianggap kurang sokongan akar umbi – mungkin kerana masih bersaing dengan PAS yang hampir serupa sifat luarannya – ia membawa hasrat PAS era Pakatan Rakyat, iaitu mengutamakan perjuangan rakyat Malaysia berbanding agenda peribadi parti.

Kelahiran Bersatu pula menggugat Umno yang selama ini selesa tanpa lawan yang gagah sejak matinya Semangat 46 kira-kira 20 tahun dahulu. Apatah lagi Bersatu dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad, tokoh besar yang dikagumi ramai rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, walaupun dibenci sesetengah NGO serta segelintir ahli politik veteran.

Tidak mengejutkan kebencian mereka terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana mereka menjadi mangsa tekanan pentadbiran Mahathir sejak akhir 1980-an hingga awal alaf baru. Namun, ramai pula kalangan muda yang lahir selepas 1990-an yang memandang Mahathir sebagai wira yang membawa kemegahan nama Malaysia. Ditambah pula beliau kini menjadi peneraju utama Pakatan Harapan dalam usaha mengakhiri era pentadbiran Najib Razak.

Di sini jelas menunjukkan bahawa selepas kematian Pakatan Rakyat, penggantinya adalah Pakatan Harapan yang mempunyai parti-parti yang sudah mampu mengisi kekosongan PAS.

PAS pula tidak melahirkan blok ketiga. Walaupun ada cakap-cakap tentang Gagasan Sejahtera, ia hanya sekadar PAS dan beberapa parti kecil. Pimpinan PAS dilihat lebih senang hati bersama Najib dan para pemimpin Umno lain.

Jadi, memang sukar untuk difahami mengapa ada pihak dalam Pakatan Harapan yang masih mahu bekerjasama dengan PAS untuk melawan sahabat PAS, iaitu Umno-BN. Adakah tidak yakin dengan kekuatan sendiri dan mood rakyat sekarang?

2. Adakah PAS hari ini sama dengan PAS dahulu?

PAS menang di banyak kerusi pada PRU 2013 kerana sokongan pelbagai kaum, hasil kerjasama Pakatan Rakyat. Malah, DAP dan PKR juga menang atas sokongan yang sama. Jika mana-mana pihak mahu mendabik dada ia adalah kejayaan diri sendiri, ia hanya mencerminkan keangkuhan dan sikap mudah lupa diri.

Kini apabila PAS bersama dengan Umno, ia menyukarkan usahanya mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi dengan undi bukan-Islam. Malah pengundi Islam yang sebelum ini tidak selesa dengan PAS kerana dasar agama yang dianggap keras dan konservatif juga tidak akan memilih parti itu.

Ini bererti PAS hanya bakal mendapat undi daripada penyokong tegarnya. Pada masa yang sama, ini bererti pihak yang dianggap musuh oleh PAS, iaitu Amanah dan DAP, juga tidak akan mendapat lagi undi daripada para penyokong tegar tersebut. Namun, tidak bererti Bersatu dan PKR tidak akan mendapat undi daripada pengundi yang pernah memilih PAS dalam PRU 2013 lalu.

Yang belum jelas setakat ini ialah sama ada PAS dan Umno akan mewujudkan persefahaman pilihanraya, iaitu a) PAS dan Umno tidak akan bertanding di kerusi yang sama, atau b) PAS dan Umno akan bertembung sesama sendiri di semua kerusi yang mereka tandingi.

Keputusan kerjasama kedua-dua parti itu akan menentukan kesan dalam pilihanraya umum akan datang.

3. Adakah sejarah PRU 1974 akan berulang untuk PAS?

Apabila PAS menyertai BN dan bertanding PRU 1974 sebagai komponen BN, ia tidak bertembung dengan Umno kerana bertanding sebagai rakan gabungan.

Namun, tidak semua penyokong PAS mengundi parti sendiri. Di kubu kuatnya di Kelantan dan Terengganu, sebuah parti kecil Parti Sosialis Rakyat Malaya – walaupun tewas – telah meraih banyak undi di kedua-dua negeri Melayu tersebut.

Sebaliknya, apabila PAS dipecat daripada BN pada 1977, dan kembali bertanding sebagai pembangkang pada PRU 1978, undi yang diperolehi PSRM kembali kepada PAS di dua negeri tersebut. Malah, banyak calon PSRM hilang deposit.

Jika penyokong PAS hari ini tidak selesa melihat para pemimpin mereka bermesra manja dengan para pemimpin Umno, adakah mereka sanggup mengundi calon-calon BN, atau PAS sendiri dalam PRU akan datang? Atau mungkinkah mereka mengulangi apa yang telah dilakukan pada PRU 1974 dahulu?

4. Mahathir masih berpengaruh?

Semakin beliau dihina oleh pimpinan BN, semakin popular Dr Mahathir. Malah, ia menarik perhatian golongan yang selama ini tidak begitu pedulikan politik. Karisma Mahathir – tanpa melupakan sejarah penguasaannya selama 22 tahun – masih kekal. Di media sosial, kata-kata “smart”, “brave”, “cute”, “charismatic”, “sweet”, “charming” untuk menggambarkan dirinya menjadi sebutan ramai. Dalam bahasa Inggeris, ramai juga nama-nama Melayu di media sosial yang menggunakan istilah-istilah tersebut. Suasana ini membimbangkan pucuk pimpinan Umno.

Ini kerana pimpinan Umno-BN sedar bahawa emosi merupakan kuasa penentu undi. Selama ini fakta dan kebenaran pembangkang dengan mudah ditolak tepi melalui penguasaan media. Kini suasana sudah berubah. Mahathir sendiri sudah pandai berselfie.

Malah, melalui media sosial, timbul cerita kononnya penyanyi terkenal Siti Nurhaliza akan menyertai Bersatu, malah mungkin bertanding. Entah betul atau tidak, ia sudah menjadi viral. Hari ini media sosial bukan lagi milik orang kota semata-mata kerana di merata ceruk kampung ia sudah menjadi mainan dan maklumat seharian.

Tanpa PAS sekali pun, peluang Pakatan Harapan cerah untuk menarik undi Melayu melalui kerjasama Bersatu, Amanah dan PKR bersama DAP dalam satu gabungan yang kental. Yang penting ialah keyakinan diri bersama komitmen dalam satu pakatan.

Walau apa pun, jika ada yang masih menagih kasih daripada si dia yang sudah terang-terang menolak cinta, malah mengherdik pula, ia bukan sahaja sia-sia tetapi juga memalukan. Jika si dia mencintai sang kleptokrat, maka kita perlu kembali bersama rakyat untuk menyelamat dan memulihkan watan tercinta ini. – 8 September, 2017.

'Senjata' PAS kini memakan diri

Kenyataan dibuat pemimpin Pemuda PAS mengenai Pakatan Harapan (HARAPAN) menunjukkan pergerakan itu kini panik apabila mereka dipinggirkan rakyat, kata seorang pemimpin PKR.

Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan kecenderungan pemimpin PAS cuba bekerjasama - sama ada secara langsung atau tidak - dengan rejim yang ada, rakyat tidak lagi menyokong mereka.

"Kepimpinan PAS sekarang mula nampak strategi yang mereka gunakan memakan diri sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin mengulas dakwaan dibuat Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mengaitkan undi kepada HARAPAN adalah tanda sokongan buat DAP.

DAP adalah salah satu parti komponen dalam HARAPAN dan pernah menjadi rakan PAS semasa era Pakatan Rakyat dulu. Bagaimanapun kedua-dua parti menjadi seteru selepas itu.

Pada keadaan tertentu pula pemerhati dan ahli politik melihat kemarahan PAS kepada DAP melebihi kesungguhan mereka melawan BN.

Kata Saifuddin PAS kini seperti sedang menekan butang panik apabila menyedari sokongan yang diterima mereka semakin merosot.

Bersatu jatuhkan BN

PAS juga, katanya, sedang mencontohi strategi Umno dengan menakut-nakutkan orang Melayu serta Muslim negara ini kepada DAP.

"Nampak macam PAS sedang menyertai flotila untuk membawa rakyat menyokong rejim sedia ada," katanya.

Sebelum ini Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut menempelak Pemuda PAS yang dianggapnya kini bersuara seperti Pemuda Umno.

Terdahulu salah seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr Rais Hussin mendakwa setiap undi yang diberikan kepada PAS adalah tanda sokongan buat Umno.

Menurut Saifuddin sebelum ini DAP serta parti pembangkang lain - termasuk PAS - bersetuju untuk mendukung prinsip penting yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Persefahaman itu, katanya, terbukti apabila DAP, PAS dan PKR menandatangani manifesto bersama di Shah Alam pada 2009.

Antara prinsip penting yang setuju dipertahankan ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak keistimewaan bumiputera, hak kesaksamaan ekonomi dan perpaduan kaum.

Kata Saifuddin manifesto itu ditandatangani oleh bapa Muhammad Khalil sendiri, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut bekas anggota parlimen Machang itu, DAP menyertai HARAPAN kerana gabungan itu bersetuju dengan prinsip untuk menjatuhkan kerajaan BN.

"Prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju sentiasa menjadi pengikat antara parti dalam HARAPAN kerana matlamat utamanya ialah menggantikan BN sebagai kerajaan," katanya.

Wanita menghilangkan diri setiap kali kahwin, dia telah berkahwin dengan lapan lelaki

Pengantin 'Ghaib' Kahwin Lapan Lelaki

POLIS Thailand kini sedang memburu seorang penipu bersiri yang dikatakan berkahwin dengan sekurang-sekurangnya lapan lelaki dalam tempoh dua tahun lalu.


Suspek kemudian akan menghilangkan diri sebaik sahaja mengambil wang hantaran daripada keluarga pengantin lelaki.

Digelar sebagai 'pengantin perempuan lari', Jariyaporn “Nammon” Buayai yang berusia 32 tahun itu telah lama dikenali sebagai penipu di media sosial.

Wanita itu bagaimanapun hanya diburu pihak berkuasa beberapa hari lalu, selepas salah seorang mangsa membuat laporan terhadapnya.

Prasarn Tiamyam, 32, mendakwa dia baru-baru ini melihat satu kenyataan di Facebook yang memberi amaran kepada lelaki Thailand supaya menjauhkan diri daripada Nammon.

Dia mengecam wanita itu, yang pernah dikahwininya dua tahun lalu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan menghilangkan diri beberapa hari selepas berkahwin, dan membawa lari wang hantaran THB 200,000 ($6,000).

Mangsa mendakwa Nammon tidak pernah mengizinkannya untuk bertemu dengan keluarga wanita itu sepanjang hubungan mereka selama sembilan lalu.

Dia hanya menyedari ditipu selepas membaca kenyataan amaran mengenai wanita tersebut yang kini tersebar di Facebook.

Pihak berkuasa kini berusaha untuk menjejaki Nammon termasuk mengunjungi kediaman ibu bapa wanita itu di wilayah Nong Khai, tetapi kedua-dua mereka juga tidak dapat dikesan.
-mstar

Seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan merogol, ditahan disyaki merogol cucunya berusia tujuh tahun

Datuk, bapa saudara ditahan rogol kanak-kanak 7 tahun
Kuching – Polis menahan seorang datuk dan bapa saudara selepas kedua-dua lelaki tersebut disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah rumah panjang di Sungai Durin, Sibu dekat sini sejak tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kedua-dua suspek berusia 53 dan 25 tahun itu ditahan antara pukul 1 hingga 2 petang hari ini.

Menurutnya, perbuatan terkutuk kedua-dua lelaki itu terbongkar selepas kanak-kanak terbabit mengadu telah dirogol beberapa kali sejak 2016 kepada ibunya yang berusia 27 tahun pada 2 September lalu.

“Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu diketuai Asisten Superintendan Irwan Hafiz telah menahan suspek pertama di sebuah kilang kayu di Durin, Sibu pada pukul 1 petang.

“Sejam kemudian, pasukan polis sama telah memberkas datuk kepada mangsa di sebuah rumah panjang di Sungai Durin dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, siasatan awal mendapati datuk kepada kanak-kanak terbabit baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan atas kesalahan merogol kakak kepada ibu mangsa pada 2008.

“Kita akan mendapatkan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Sibu esok,” ujarnya lagi. – Kosmo

Apa anehnya 'cinta berahi' Najib, Hadi?

A Kadir Jasin
Frasa yang digunakan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam kenyataan akhbarnya selepas mesyuarat majlis presiden pada 28 Ogos lalu ialah “tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Itu adalah bahasa lembutnya. Dalam pengertian sebenar, maksud yang hendak disampaikan ialah mustahil bagi HARAPAN kerjasama dengan PAS.

Hatta parti-parti dan pemimpin-pemimpin HARAPAN yang bersedia tertolak ansur dengan PAS pun akhirnya mengaku kalah. Pendirian luar biasa pemimpin-pemimpin PAS membingungkan mereka.

Kelmarin cakap lain. Hari ini cakap lain. Esok entah apa akan dicakapkan. Lain pemimpin, lain cakapnya. Malah pemimpin yang sama pun bertukar cara dan selera mengikut apa yang lebih popular dan selesa.

Mohon maaflah kalau saya kata, amat sukar membezakan yang mana satu cakap orang agama dan yang mana satu cakap gedebe politik.

Ramai pemimpin HARAPAN pada awalnya memberi muka kepada PAS. Malah ada beberapa orang yang sanggup berjumpa, berbincang dan bersetuju itu dan ini dengan PAS.

Dalam proses itu mereka mengorbankan kelancaran, perluasan dan perjalanan HARAPAN.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) misalnya menangguhkan keputusan menyertai HARAPAN kerana mahu memberi masa dan peluang kepada PAS membuat kata putus.

Penyokong kerjasama dengan PAS dalam PKR dan BERSATU mengambil risiko kerana bukan semua anggota dalam parti mereka mahu bekerjasama dengan PAS. Malah ramai yang daripada awal lagi menolak kerjasama dengan PAS.

Setelah melihat perceraian dalam rumah tangga PAS pada Muktamar 2015 yang disusuli dengan cerai talak tiga dengan DAP dan perpisahan tanpa talak dengan PKR, ramai pemimpin BERSATU berasa adalah sukar menjalin kerjasama dengan PAS.

Namun begitu, sampai hari ini pun masih ada sisa-sisa harapan bahawa PAS boleh dibawa berunding. Pintu rundingan mungkin sudah tertutup tetapi - seperti kata sesetengah pemimpin HARAPAN - tingkap masih terbuka.

Dalam politik tidak ada istilah mustahil. Misalnya, PAS boleh berpecah mengikut negeri dan menjalin kerjasama dengan PKR atau BERSATU.

Misteri agamawan

Saya yakin banyak orang dan pihak cuba mendalami dan memahami apa yang sebenarnya berlegar dalam benak kepimpinan PAS yang kini didominasi oleh golongan agama.

Walaupun saya sudah mengenali PAS sejak zaman remaja saya pada tahun 1960-an, ikhlas saya katakan bahawa adalah lebih rumit memahami tindak-tanduk agamawan PAS daripada memahami golongan bukan agama yang telah ditendang keluar pada pemilihan pucuk pimpinan 2015.

Mungkin saya terlalu jahil untuk memahami roh suci agamawan PAS maka saya keliru dengan usik-mengusik dan cinta berahi yang semakin semerbak di antara ketua-ketua PAS dengan para pembesar Umno/BN.

Saya faham tindakan agamawan PAS menggunakan ortodoksi dan retorik agama untuk menyingkirkan golongan profesional. Mereka berasa terancam oleh kecanggihan golongan ini dan peningkatan pengaruh mereka di kalangan ahli dan penyokong parti.

Selepas kematian Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Februari 2015, golongan agamawan PAS yang diketuai Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang bimbang mereka tidak dapat lagi mengawal golongan profesional yang semakin berpengaruh.

Kumpulan profesional ini amat berjaya menjalin kerjasama dengan parti-parti Pakatan Rakyat dan pada masa yang sama menarik sokongan golongan bukan agama untuk menjadi ahli dan penyokong PAS.

Ini mencetuskan kebimbangan di kalangan agamawan bahawa pengaruh mereka mungkin terhakis dan pada satu masa nanti PAS akan diambil alih oleh golongan bukan agama.

Dalam kaitan ini, amat jelas perbezaan martabat ilmu, pegangan agama dan keyakinan diri di antara Nik Abdul Aziz dengan Abdul Hadi. Nik Abdul Aziz mengamalkan dasar keterangkuman ummah manakala Abdul Hadi mengamalkan dasar eksklusif golongan agamawan.

Sama bau sama warna

Kekacauan dalam Pas ini disedari oleh kepemimpinan Umno, khususnya Datuk Seri Najib Razak.

Dasar dan pendekatan Abdul Hadi dan Najib sama. Kedua-duanya telah menyingkir golongan yang tidak sebulu dengan mereka daripada pucuk pimpinan parti dan menjadikan parti masing-masing khusus untuk yang setia dan dengar kata saja.

Kedua-dua mereka memimpin parti yang pecah dan menghadapi pencabar baru yang tahu kelemahan mereka. PAS ditentang oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Umno oleh BERSATU.

PAS lega Umno berpecah dan Umno lega PAS berpecah. PAS yakin Umno lemah dan Umno yakin PAS lemah. Atas dasar itu, mereka yakin mereka kini boleh bekerjasama.

Umno tidak pernah mahu PAS berkembang dan menjadi kuat. Tanpa golongan profesional, sumber idea dan kewangan PAS kering. PAS terpaksa kembali mengemis sedekah dan derma.

Bagi Najib yang mengamalkan dasar “wang adalah raja”, masalah kewangan PAS ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Umno masih banyak duit – duit parti dan duit negara.

Tidak hairanlah kalau cinta berahi Najib - Abdul Hadi mekar umpama bunga lepas kemarau – sama bau dan sama warna.

Itulah sebabnya amat sukar bagi PKR dan BERSATU membawa PAS ke meja perundingan walaupun ada pemimpin PAS yang menolak kemungkaran Umno/BN dan tahu kerjasama dengan parti Najib itu akan membawa kemudaratan kepada PAS.

Duit haram, harus atau makruh

Sesiapa saja yang faham politik akar umbi Umno dan PAS tahu bahawa mustahil bagi kedua-dua buah parti itu memujuk atau memaksa ahli dan penyokong mereka menerima satu sama lain.

Kewujudan Umno dan PAS adalah kerana mereka saling bermusuhan. Ramai orang Umno dan segelintir orang PAS menjadi kaya-raya kerana permusuhan itu.

Kalau Umno dan PAS berpakat secara langsung atau secara taktikal melawan HARAPAN, belum tentu habuan itu berterusan atau menjadi lebih besar. Sebaliknya ia mungkin menguncup dan terpaksa dikongsi sesama Umno dan PAS.

Yang nampak jelas ialah Umno akan menggunakan kekayaannya untuk membeli PAS dalam usaha melagakan PAS dengan HARAPAN. Dengan cara itu Umno berharap boleh menyelam sambil minum air.

Agamawan PAS sendiri mungkin sudah menerima hakikat bahawa PAS akan kalah teruk kalau bertanding bersendirian. Bukan kepada HARAPAN tetapi kepada rakan kongsinya BN.

Di pihak yang lain pula, walaupun kerjasama dengan Umno tidak menjanjikan kemenangan tetapi sekurang-kurangnya mereka berpeluang mendapat duit daripada Umno dan kerajaan.

Duit sangat penting dalam PRU kali ini kerana itulah batu azimat Najib.

Setelah berjaya memiskinkan rakyat jelata dengan menghapuskan berpuluh bilion ringgit subsidi dan mencukai mereka melalui GST atas nama transformasi ekonomi, Najib berharap gula-gula pilihan raya seperti BR1M, bantuan khas dan penanak nasi akan memberikan beliau kemenangan.

PAS memerlukan duit dan tidak ada orang yang lebih berduit daripada Najib. Jadi hendak tak hendak, sama ada duit Najib itu haram, halal, sunat atau makruh, Abdul Hadi terpaksa menimbangkannya.

Kalau pada pendapat beliau, tidak ada empat orang saksi alim dan suci yang mengeluarkan fatwa mengatakan duit Najib itu haram, maka bolehlah PAS menerimanya kalau mahu.

DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

PH akan hentikan rundingan PAS-PKR, kata Dr Mahathir

Khairil Ashraf 
PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gabungan itu akan menghentikan rundingan PKR dan PAS, selepas ketua umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui menggesa partinya berpakat dengan parti Islam itu.

“Kita telah memutuskan sebagai satu gabungan, tidak ada rundingan lagi dengan PAS.

“Kenyataan yang dibuat oleh Anwar bahawa dia yang menggesa mereka untuk cuba dan berbincang dengan rakan lama. Kita akan hentikan itu. Saya harap kami dapat lakukannya,” katanya pada sesi pertemuan bersama pengundi di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata PKR mahu berpakat dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru di Selangor dan meningkatkan peluang kemenangan parti pembangkang pada pilihan raya nanti. Anwar dari dalam penjara berkata beliau menyokong usaha tersebut.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata gabungan mungkin tidak akan dapat menerima PAS kerana persetujuan mengenai kerusi pilihan raya dengan PAS akan menjejaskan Amanah dan PPBM – 2 lagi parti komponen dalam Pakatan Harapan, selain DAP dan PKR.

“Jika kita menerima PAS di dalam gabungan, akan ada 5 parti kongsi (kerusi),” kata Dr Mahathir, menjelaskan pendiriannya.

“PAS akan berkeras mahukan semua kerusi yang ditandinginya dan ia dianggarkan berjumlah hampir 60 kerusi. Jika mereka ambil semua itu, apa yang tinggal untuk Amanah dan kami yang hanya ada 1 kerusi sahaja di Pagoh?”

Selepas Azmin mendedahkan rundingan dengan PAS itu dilakukan dengan mandat parti, Pakatan Harapan bermesyuarat dan memutuskan tiada kerjasama dengan PAS, dan akan menyediakan strategi menghadapi pertandingan 3 penjuru.

Sementara itu, mengulas mengenai “pergaduhan” DAP dan PSM mengenai kerusi di Sungai Siput, Dr Mahathir berkata perkara berkenaan akan diselesaikan secara tertutup.

“Perkara itu kita akan selesaikan antara kita, kita bukan selesaikan dengan awam,” katanya.

Biarkan Pas jalan sendiri, usah dirayu lagi!

AHMAD LUTFI OTHMAN
Ketika Pas mula bergolak menjelang pemilihan kepemimpinan parti pada 2015, sudah ada kerisauan sesuatu yang pelik bakal berlaku. Ketegangan bukan lagi pada tahap lazim seperti dalam muktamar-muktamar sebelumnya. Kemungkinan proses pembersihan atau bahasa kasarnya "penghapusan etnik" ekoran pendekatan politik yang berbeda.

Setandan barisan pemimpin yang digelar Erdogan atau dilabel Anwarinas gugur serentak. Dalam muktamar di Kuala Selangor itu, melalui usul yang diluluskan dalam Dewan Ulamak Pas Pusat, persefahaman politik dengan DAP juga diputuskan, tetapi tanpa perbahasan. Ketetapan diambil dengana arahan seorang dua pemimpin tertinggi walaupun beberapa perwakilan bangun mohon untuk dibahaskan.

Secara tidak rasminya, Pakatan Rakyat sudah berkubur apabila Pas mengambil keputusan untuk menyingkirkan DAP. Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan kerusi timbalan presiden mengumumkan dalam ucapan penangguhannya peletakan jawatan sebagai lembaga pengarah dalam sebuah GLC kerajaan negeri Pulau Pinang, menghormati usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Perhatian kemudiannya tertumpu kepada kedudukan Pas dalam kerajaan negeri Selangor. Apakah wakil Parti Islam itu, terutama tiga orang Exconya masih boleh berfungsi dengan baik, bersama-sama tiga Exco daripada DAP, yang pastinya dilihat menentang agenda Islam Pas? Bagaimana pula dengan posisi wakil Pas dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis daerah, yang bersama mereka juga ada wakil DAP?

Pakatan Rakyat terkubur

Pas tidak terhenti di situ sahaja. Hubungan lamanya dengan PKR, sejak 1999, mula diungkit-ungkit. Semua maklum tentang tahaluf siyasi dengan parti reformasi itu tidak melalui jalan mudah, terutama dalam konteks agihan kerusi dalamm konstituesnsi hampir sama dan kerjasama semasa proses pilihan raya. Pas merasakan mereka terlalu banyak berkompromi dan mengalah dengan sebuah parti baru yang kekurangan penggerak, jentera dan dana.

Kemuncaknya, dalam muktamar di Alor Setar, tidak sampai dua tahun selepas memutuskan hubungan dengan DAP, usul diluluskan selepas perbahasan, iaitu kerjasama politik dengan PKR juga ditamatkan. Maka secara rasminya, Pakatan Rakyat terkubur. Namun kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor yang diketuai menteri besar daripada PKR tidak juga terjejas. Dalam masa sama, MB Azmin Ali tidak pula bersedia untuk memecat tiga Exco Pas atas alasan menghormati keputusan rakyat dalam PRU13.

Ramai pemerhati politik merasakan ada kejanggalan besar, merujuk persiapan parti pembangkang menghadapi PRU14. Pakatan Harapan yang dibentuk menggantikan Pakatan Rakyat tidak nampak mantap dan padu, terutama apabila dikaitkan dengan faktor Pas. DAP, Parti Amanah Negara dan Bersatu seolah-olah sudah sepakat sikap mereka terhadap Pas, walaupun pada awalnya ada segelintir pemimpin dalam parti baru yang diterajui Dr Mahathir Mohamad itu berpendapat masih ada ruang untuk berkelaborasi dengan Pas.

Masalah timbul apabila PKR terbahagi dua; ada kumpulan yang merasakan Pas masih boleh dirundingi untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU14. Bagi
kumpulan yang diketuai Azmin ini, Pas mempunyai sokongan dan pengaruh yang kuat dalam masyarakat Melayu. Tanpa Pas bersama gabungan mega pembangkang, nescaya Umno-BN menang mudah, malah mampu meraih kembali majoriti dua pertiga di Parlimen. Juga kemungkinan Pakatan Harapan bakal kehilangan Selangor.

Memang ada kewajaran pandangan kumpulan Azmin ini, apatah lagi sikap dan pendekatan mereka disokong laporan kajiselidik oleh Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan (yang khabarnya dekat-akrab dengan Azmin sendiri). Namun ia masih boleh disanggah atau sekurang-kurangnya diragui terutama apabila dilihat perbedaan ketara jalur pemikiran dan strategi kepemimpinan Pas sejak 2015.

Selain hujah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mewakili kumpulan yang bertembung Azmin, berpandukan laporan kaji selidik Invoke, kenyataan dan respons pemimpin Pas selama ini turut menggambarkan mereka bukan lagi "parti pembangkang yang boleh dipercayai".

Pas berubah sikap

Situasi jauh berbeda ketika Barisan Alternatif kehilangan DAP menjelang pilihan raya 2004 dahulu. Pas tetap mempertahankan prinsip sebagai oposisi berwibawa dan berintegriti. Tidak ada gosip sama sekali yang mempersoalkan kesetiaan Pas bersama rakan-rakan pembangkang walaupun BA menjadi pincang dan lemah. Pas putus hubungan dengan DAP tetapi kedua-duanya bukan musuh politik, sebaliknya dalam PRU2008 hubungan tidak rasmi berjalan baik dan lancar. Di beberapa negeri tertentu kerjasama erat terus berlangsung, seolah-olah Barisan Alternatif tidak menghadapi sebarang masalah.

Suasana sekarang jauh berbeda. Biarpun dinafikan berulang kali bahawa Pas seperti menjalin hubungan "pintu belakang" dengan Umno, tetapi pendekatannya yang lunak dan lembut dengan kerajaan pimpinan Najib Razak sukar disembunyikan lagi.

Tambah ketara apabila sikap Pas, terutama melalui kenyataan presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang cukup keras menyentuh parti-parti pembangkang yang lain. Nampak pintu tertutup rapat untuk sebarang rundingan, dengan awalnya, pakatan pembangkang yang mengandungi DAP dan Parti Amanah Negara. Pas juga seperti berkerat-rotan dengan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir yang kemudiannya dilantik Pengerusi Pakatan Harapan.

Ustaz Hadi konsisten menolak sama sekali DAP dan Amanah, malah kedua-dua parti itu menerima gelaran yang buruk dan negatif. Tidak berhenti setakat itu, PKR yang menjadi sekutu rapatnya selama hampir 20 tahun dan menerima impak positif daripada hubungan itu pun, bukan sahaja dicurigai malah dikecam hebat sehingga ditamatkan secara rasmi tahaluf siyasi.

Memang diakui rekod Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai perdana menteri mempunyai pelbagai catatan hitam tetapi dalam keadaan dia bersedia untuk menumbangkan Najib dan Umno-BN sepatutnya ada langkah diplomasi yang diambil Pas. Malangnya, Pas mengambil pendekatan keras-tegas kepada sesiapa sahaja yang bersama pembangkang, tetapi terus bersikap lunak dan tidak agresif terhadap regim kleptokrat Najib.

Seolah-olah, berdepan Umno-BN walaupun Pas tetap mengisytiharkan penentangan namun dalam nada dan keupayaan yang cukup terbatas, tetapi jika berbicara soal kerjasama pembangkang yang lain, tiada ruang untuk bertolak-ansur. Ciri-ciri normal sebuah parti pembangkang, apatah lagi mengenangkan Pas sebagai oposisi paling berpengalaman dan berpengaruh, seakan-akan sudah hilang. Strategi, pendekatan dan penampilannya terserlah umpama parti rakan atau mesra Umno-BN.

Langkah berisiko tinggi

Benar, dibandingkan Amanah, pastinya Pas lebih besar, mempunyai sokongan akar umbi dan luas wilayah pengaruhnya, seperti juga Umno yang lebih kuat berbanding Bersatu. Amanah buat masa ini mungkin tidak dapat mengisi sepenuhnya kekosongan yang ditinggalkan Pas dalam gabungan pembangkang. Tetapi mengharapkan Pas kembali bersama mainstream oposisi merupakan agan-angan yang tidak berjejak kepada alam realiti. Serentak masa sama, juga menafikan peluang dan potensi rakan sekutu.

Terus mengharapkan Pas dengan memperkecilkan rakan sebenar, contohnya Amanah, adalah langkah yang cukup berisiko tinggi. Apatah lagi Pas berulang kali menegaskan potensinya sebagai king maker atau penentu kerajaan baru selepas PRU14 nanti. Pas boleh sahaja bersama Umno-BN selepas keputusan PRU14 jika tawaran inkumben lebih menarik. Kita sedia maklum kelicikan pemimpin Umno memperdayakan Pas, khususnya berkaitan imej dan simbol Islam seperti berlaku dalam kes RUU 355.

Sukar membayangkan -- dengan sikap tidak berkompromi Pas sekarang -- untuknya bersama Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan yang baru nanti. Maka sudah pasti haluan dan objektif Pas boleh dibayangkan jika ia memperolehi kerusi Parlimen dalam bilangan yang membolehkannya menjadi king maker nanti. Apakah Azmin dan kumpulannya sanggup mengambil risiko itu.

Tambah merumitkan bentuk kerjasama dengan Pas, seperti diimpikan Azmin, adalah agihan kerusi terutama membabitkan kawasan yang perlu diperuntukkan kepada Bersatu dan Amanah. Pas bertegas tidak mahu melepaskan kerusinya kepada kedua-dua parti itu. Dan banyak lagi komplikasi yang bakal timbul; akhirnya akan merumitkan lagi persiapan pembangkang menghadapi PRU`14.

Selamatkan tanah air

Sebenarnya Pas sudah memilih jalan sendiri menurut pertimbangan strategis barunya sejak dua tiga tahun lalu. Mereka ada argumen dan hujah yang diyakini. Percubaan dan minat yang ditunjukkan banyak pihak untuk mendekati Pas juga dilihat bahawa parti itu memang semakin kuat dan diperlukan oleh semua pakatan, baik BN mahupun Pakatan Harapan. Formula mudah, biarkan Pas dengan keputusannya, ia pula tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk bersama gabungan pembangkang lain,

Memang seronok membayangkan kita masuk PRU14 tanpa masalah di kalangan pembangkang dan Umno terbelah dua. Seperti dibayangkan kaji selidik IDE, lapan negeri bakal dikuasai pembangkang. Tetapi ia tidak semudah itu. Najib berdepan konflik dalaman Umno yang cukup serius dan pembangkang juga dikepung masalah yang meungkinkan pertandingan tiga penjuru. Krisis seperti itu mencabar keupayaan semua pihak, BN mahupun Pakatan Harapan. Benar resolusi Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini, malah sebenarnya perlu lebih awal lagi untuk merangka strategi politik untuk pertembungan tiga penjuru!

Dunia belum kiamat. Rakyat belum memutuskan undi mereka. Pertarungan belum berakhir. Layar pentas belum dilabuhkan. Manfaatkanlah segenap potensi, ruang, peluang dan aset agar sejarah baru Malaysia tercipta. Tanah air tercinta ini perlu diselamatkan segera demi masa depan anak cucu kita.

'Bahasa tubuh orang Johor cerminkan gelombang perubahan'

Johor sentiasa dikenali sebagai kubu kuat bagi BN tetapi perkembangan terkini di negeri itu dilihat telah mengubahnya.

Berikutan langkah ADUN Jorak, Datuk Shahruddin Salleh meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Oktober tahun lepas, BN buat kali pertamanya, kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Johor.

Memetik masa ketika bersama pengundi di negeri itu setakat ini, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata beliau boleh "merasakan penerimaannya yang baik".

"Saya dapat melihat bahasa tubuh mereka, bagaimana mereka mendekati kami pada masa kini, (ia) lebih mesra.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam politik, saya dapat merasakan tanda-tanda perubahan kali ini," kata penasihat AMANAH Johor itu dalam satu temubual dengan Malaysiakini.

Dalam pilihan raya umum lepas, daripada 56 kerusi DUN, BN telah menang 38 sementara gabungan Pakatan Rakyat ketika itu hanya berjaya memenangi 18 kerusi.

Salahuddin mengaitkan perubahan itu dengan konsep "hanya berlian boleh memotong berlian", dengan memetik pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad serta presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih mempunyai pengaruh besar di negeri itu.

Dengan wujudnya Pakatan Harapan, katanya, ditambah pula dengan perpecahan dalam Umno, ia memudahkan pihaknya untuk meyakinkan orang Melayu mengenai isu-isu penting, seperti 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Tetapi saya bersetuju dengan (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli bahawa isu 1MDB tidak begitu berkesan di kawasan luar bandar, kerana mereka lebih prihatin terhadap GST, (mereka) terasa kos sara hidup telah meningkat," katanya.

Sokongan untuk HARAPAN

Salahuddin, yang telah menumpukan perhatiannya di Johor sejak setahun yang lalu, yakin sokongan yang akan diperolehi HARAPAN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin kita boleh dapat lebih daripada 50 peratus sokongan kerana kita tidak memerlukan majoriti besar. Untuk menang di Johor, sudah cukup bagi kita untuk mendapat majoriti mudah untuk perubahan di negeri itu," katanya.

Tidak seperti pada masa lalu, HARAPAN kini dapat menembusi kampung-kampung tradisional dan kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) - kawasan yang dianggap sebagai kubu terakhir untuk BN, dakwa Salahuddin.

Dengan memetik Tanjung Piai, tempat pemimpin AMANAH itu dilahirkan, Salahuddin menyifatkan bagaimana setiap rumah di kawasan tersebut pernah mewakili kekuatan Umno seluruh negara.

"Dalam pilihan raya umum yang lalu, saya boleh buat kiraan, bagi setiap rumah di mana terdapat lima atau enam pengundi, dulu memang tahu tak dapat undi (mereka).

"Sekarang ni, daripada tujuh atau lapan pengundi dalam sesebuah rumah, saya yakin boleh dapat sokongan empat atau lima orang," katanya.

Ada yang menganggapnya macam "tsunami Melayu", tetapi Salahuddin lebih suka memanggilnya "gelombang senyap Melayu".

"Orang Melayu Johor adalah berbudaya, mereka tak tunjuk penentangan mereka, sangat sopan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, apabila hari-hari bergaul dengan mereka, dapat dirasai penerimaan dan bahasa tubuh mereka itu.
-malaysiakini