"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PANAS!!! Lapan Adun PKR tidak hadir bersama Mat Taib menggagalkan rancangan menjatuhkan kerajaan Selangor?

Mat Tyson patah balik untuk ulangi episod Perak, kata sumber
Jahabar Sadiq

Penyertaan semula Muhammad Muhammad Taib ke dalam Umno seharusnya melibatkan lapan Adun PKR bergabung bersama 12 Adun Umno dan 13 Adun PAS serta bekas Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim untuk membentuk barisan 34 Adun bagi membentuk sebuah kerajaan di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2017.

IA sepatutnya lebih daripada sekadar Muhammad Muhammad Taib masuk Umno semula semalam. Beliau sepatutnya membawa bersamanya lapan ahli dewan undangan negeri (Adun) dan menyebabkan pentadbiran Mohamed Azmin Ali tumbang.

Namun kerana ada campur tangan daripada pihak berkepentingan yang berkuasa di Selangor, akhirnya, Presiden Umno Najib Razak hanya ada Muhammad seorang untuk muncul pada sidang media yang digembar-geburkan pada pukul 5 petang di Kuala Lumpur.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight rundingan untuk membawa Muhammad, 72, pulang ke pangkuan Umno dan menarik masuk lapan yang yang lain itu diuruskan oleh orang tengah dan bukannya perdana menteri sendiri.

"Najib dimaklumkan semuanya lancar tetapi apabila beliau tiba, hanya Mat Tyson ada di situ," kata seorang sumber parti kepada The Malaysian Insight, dengan menggunakan nama gelaran popular bekas Menteri Besar Selangor itu.

"Rundingan terbantut kerana ia tersekat di peringkat tertinggi apabila didapati Mat Tyson termasuk dalam rundingan itu," kata seorang sumber lain kepada The Malaysian Insight.

Perkembangan itu membawa kepada pengumuman yang pendek dan hambar semalam Muhammad kembali ke pangkuan Umno, biarpun kehadiran hampir semua anggota Majlis Tertinggi Umno hadir sama mencetuskan desas-desus serta spekulasi peralihan sebuah kerajaan negeri atau rombakan dalam parti menjelang pilihan raya umum yang harus diadakan sebelum Ogos 2018.

Difahamkan percaturan politik penyertaan semula Muhammad ke dalam Umno melibatkan lapan Adun PKR bergabung bersama 12 Adun Umno dan 13 Adun PAS serta bekas Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim untuk membentuk barisan 34 Adun yang sudah cukup untuk membentuk sebuah kerajaan di Selangor. DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.

Kenapa lapan Adun PKR itu mahu meninggalkan parti mereka tidak didedahkan, kata sumber Umno yang mengetahui percaturan tersebut.

Pemerhati politik berkata langkah membawa Muhammad dan lapan Adun mengulangi episod yang berlaku di Perak pada 2009 ketika mana tiga Adun Pakatan Rakyat (PR) melompat keluar daripada kerajaan yang memerintah dan menyokong Barisan Nasional di DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Ia menyebabkan kerajaan PR yang mempunyai 28 wakil rakyat tumbang. Sultan Perak kemudian mempelawa BN yang mempunyai 28 Adun untuk membentuk kerajaan negeri setelah ia mempunyai majoriti tipis susulan tindakan tiga Adun yang lompat parti itu.

Pemerhati juga berkata langkah Muhammad semalam membayangkan hasrat Najib dan Umno untuk mengguna pakai jalan yang sama seperti di Perak untuk mengalahkan seteru politiknya di Selangor.

Muhammad empat penggal menjadi wakil rakyat Batang Kali (1982-1999) dan Menteri Besar Selangor antara 1986 hingga 1997 apabila beliau letak jawatan berhubung kes mata wang di Australia.

Beliau keluar Umno untuk menyertai PAS pada 2013, empat tahun selepas tidak tersenarai dalam Kabinet Najib pada 2009. Beliau meninggalkan PAS selepas dua tahun dan menyertai PKR pada 2015.

Muhammad berbalah dengan Istana Selangor apabila berkahwin secara sulit dengan adinda kepada Sultan sekarang pada 1987 di Thailand. Beliau dan puteri Selangor itu, Tengku Puteri Zahariah Sultan Abdul Aziz Shah, kini sudah bercerai.

Dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia dua tahun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyentuh tentang beberapa menteri besar negeri itu tetapi membuat kenyataan yang keras tentang Muhammad.

"Yang banyak tukar adat ini ialah Muhammad Muhammad Taib. Macam penganugerahan darjah kebesaran tidak lagi melalui Dewan Diraja, tetapi Exco sahaja luluskan terus, bagi darjah kebesaran.

"Terus terang, saya tidak hormat pada Muhammad Taib. Dia buat kekayaan ketika berada dalam Umno, kemudian masuk PAS. Kemudian apabila PAS kelam kabut, dia keluar dan masuk PKR. Kalau dia masuk mana sekalipun, macam mana hendak hormat sebab dia banyak melompat.

"Kalau orang tidak ada prinsip jadi pemimpin, memang goyanglah. Kita mesti teguh. Kalau kepercayaan kita betul, periksa dan ulang periksa dan jangan berganjak bila sudah buat keputusan," titah baginda. – 18 September, 2017.

Tiada ulasan: