"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


'Lempang-melempangi' akan meletus pada pemilihan Pas? Ini buktinya

ARIF ATAN
Aksi Abdul Hadi menjulang replika keris gergasi pada muktamar Pas tahun laluMenjelang Muktamar Tahunan Pas ke-63 pada 28 April hingga 1 Mei depan, Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad seolah-olah memberi gambaran insiden 'lempang-melempangi' bakal tercetus pada pemilihan parti tersebut.
Tanpa menyebut secara khusus, empat status Facebook yang dimuat naik Pesuruhjaya Pas Selangor Rabu lalu dilihat konsisten merujuk kepada kemungkinan penyingkiran kumpulan tertentu pada pemilihan sempena himpunan tahunan itu.

Berturut-turutan pada 8 April lalu sehingga 9.41 malam, Iskandar memulakan kenyataan dengan menulis, "Tunjukkan kehebatan kita dengan apa yang telah kita lakukan bukan dengan menidakkan apa yang orang lain telah lakukan."

Ungkapan pada pukul 8.09 malam itu diikuti dengan pernyataan dalam bahasa Inggeris selang 15 minit kemudian.

"Berdasarkan posting FB, sesiapa sahaja dapat merasakan bahawa pemilihan parti semakin dekat. Jadi, boleh diramal," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka itu.

Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Kerajaan Negeri Selangor seterusnya secara jelas membayangkan pemilihan Pas yang diadakan setiap dua tahun sekali itu seperti situasi dalam panggung wayang.

"Start dah. Jom beli popcorn. 2 tahun sekali aje bro. Ha ha ha," tulisnya pada status Facebook yang dimuat naik pada pukul 8.31 malam.

Akhirnya, lebih sejam kemudian, beliau mengingatkan supaya tidak berlaku babak pertelagahan sekaligus menggambarkan kemungkinan berlakunya gelombang penyingkiran dan perpecahan Pas kali kedua dalam masa terdekat.

Status Facebook Iskandar kelmarin menggambarkan berlakunya penyingkiran kumpulan tertentu pada muktamar Pas bulan depan
Status Facebook Iskandar kelmarin menggambarkan berlakunya penyingkiran kumpulan tertentu pada muktamar Pas bulan depan
"Lengkap melengkapi dan bukan lempang melempangi," tulis Iskandar ringkas pada 'posting' pukul 9.41 malam, 8 Mac lalu.

Difahamkan, Iskandar antara pemimpin Pas pusat yang disebut-sebut bakal 'dilempang' atau disingkirkan pada pemilihan parti itu bulan depan selain Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung di Kedah nanti adalah pemilihan kali pertama selepas kumpulan pro Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menguasai parti pada pemilihan sempena Muktamar Pas Ke-61 pada 2015 lalu.

Tiga jawatan naib presiden serta ketiga-tiga sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda dirampas oleh blok yang dilabel sebagai golongan ulamak pada pemilihan di Shah Alam, Selangor itu.

Turut menjadi tumpuan pada muktamar kali ini pasca hubungan mesra Pas-Umno yang sepentas, sepadang dan sekapal adalah status tahaluf siyasi dengan PKR dan arti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Abdul Hadi mencatatkan rekod tersendiri sebagai Presiden Pas pertama menjulang keris replika gergasi berukuran kira-kira dua meter panjang - satu aksi yang Presiden Umno pun belum pernah lakukan - pada perasmian Muktamar ke-62 parti itu di Kota Bharu tahun lalu.

Keris gergasi yang sebelum itu diarak masuk ke dalam dewan oleh seorang lelaki berpakaian seni silat berwarna hitam itu kemudiannya diguna untuk memotong kek pulut berwarna hijau dan putih menyerupai warna bendera Pas.

Muktamar Pemuda Pas tahun itu juga menyaksikan pemimpin kanan parti itu tampil berpakaian pahlawan Melayu lengkap bertanjak serta menyelit keris di pinggang termasuk Tuan Ibrahim; Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Format berpakaian pemimpin Pas pada muktamar tahun lalu jelas berbeza dengan penampilan mereka sebelum ini yang hanya berbaju Melayu lengkap atau berjubah dan berserban.

Akibat pemimpin tak peduli rakyat: Pas cawangan Kampung Laut bubar, ahli keluar parti

MALAYSIA DATELINE
Pas Cawangan Kampung Laut, Tumpat yang terletak dalam kawasan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dibubarkan dan diganti dengan cawangan Pari Amanah Negara (Amanah).

Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata cawangan Pas tersebut dibubarkan kerana akar umbi hilang kepercayaan kepada parti Islam itu.

Menurut beliau kepada FMT, ketua cawangan Nordin Adam dan ahli jawatankuasanya bersepakat untuk membubarkan cawangan dan mengumumkan keluar parti.

“Semalam (kelmarin) Nordin Aman umum keluar Pas dan membubarkan cawangan dan menggantikannya dengan cawangan Amanah Kampung Laut,” katanya seperti dipetik FMT.

“Pas cawangan tersebut telah lumpuh sebab semua AJK keluar parti dan menyertai Amanah. Keputusan dibuat hasil daripada usul tergempar yang dibawa pemuda kawasan tersebut menerusi mesyuarat agungnya dan semua bersetuju untuk bubar," katanya.

Pas Kampung Laut antara cawangan parti Islam tertua di Dun Pasir Pekan, Tumpat, ditubuhkan lebih 60 tahun lalu. Menurut Wan Rahim, Nordin menyerahkan 50 borang keahlian kepada pimpinan Amanah Kelantan pada suatu ceramah di situ malam tadi.

“Mereka kecewa dengan sikap Adun Pasir Pekan. Pelbagai aduan dibuat Pas kawasan terbabit untuk menyelesaikan masalah rakyat melibatkan isu kampung warisan tetapi tidak dilayan,” kata Wan Rahim.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Datuk Mohd Asri Mat Daud bagaimanapun menepis perkembangan ini sebagai kejadian yang dibesar-besarkan.

Katanya, Pas kawasan tidak lumpuh dan pengumuman Nordin itu bukan keputusan rasmi Pas cawangan kerana dibuat secara individu.

“Dalam perlembagaan Pas, walaupun ketua cawangan yang bubar ia tidak menggambarkan semua AJK dan ahli cawangan keluar parti menyertai Amanah.

“Walaupun dia istihar Pas dibubarkan dia tidak melumpuhkan Pas cawangan tersebut…kerana tidak semua ahli setuju dengan tindakan itu.

“Malah dalam perlembangaan parti, mana-mana ketua cawangan yang dihentikan atau dibubarkan dia hendak diganti oleh timbalan,” katanya kepada FMT.

Katanya, Pas kawasan akan mengesahkan perkara tersebut dan menyelesaikan isu berbangkit secepat mungkin.

Siapa Ketua Wanita Umno Bahagian dapat dana MARA RM5 juta?

ARIF ATAN
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub memberitahu terdapat seorang Ketua Wanita Umno Bahagian yang menerima dana pelaburan MARA yang dipanggil 'The Baron'.

Walau bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu enggan menyebut nama pemimpin wanita yang dikatakan memperoleh peruntukan di bawah MARA mencecah RM5 juta itu.

"Saya nak maklumkan, tak perlu saya namakan seorang Ketua Umno Wanita Bahagian telah mendapat dana RM 5 juta untuk perniagaan wanita tersebut," katanya ketika berucap dalam pelancaran Skim Pembiayaan Khas Wanita (DanaNita), di ibu negara semalam.

Semakan Malaysia Dateline mendapati The Baron adalah antara program pembiayaan perniagaan MARA bagi usahawan bumiputera di peringkat menengah selain Program Peruncitan, Program Smart Auto dan Kedai Hardware.

Menurut Ismail, program pinjaman khusus untuk kontraktor itu terbuka kepada semua lelaki dan perempuan.

Turut hadir, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno.

Selain itu, Pengerusi Sementara MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) Datuk Dr. Yusof Yacob dan juga Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Dalam majlis berkenaan juga, Ismail memberitahu Mara memperuntukkan sejumlah RM35 juta menerusi program pembangunan usahawan DanaNita bagi menggalakkan penglibatan secara aktif wanita dalam bidang perniagaan.

Tambahnya lagi, DanaNita yang dilancarkan itu bertujuan melahirkan usahawan wanita yang baharu sebagai pelapis kepada kepimpinan masa depan serta membantu usahawan sedia ada supaya lebih berdaya saing.

Mahfuz Omar bersyukur Pas kini sudah kendur.

BORHAN AHMAD
Ahli parlimen Pas bersyukur dengan sikap parti itu yang semakin kendur dalam perundingan mereka dengan parti-parti pembangkang di negara ini.

Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataannya kepada Malaysia Dateline berkata, kesediaan Pas untuk berunding bagi pembahagian kerusi dengan Bersatu lambang sikap itu.

"Saya bersyukur kerana Pas sudah kendur dalam sikap keras tidak mahu berunding dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah serta keras tidak mahu berunding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kesediaan Pas berunding dengan Bersatu bermakna Pas kini sedia berunding dengan parti pimpinan Tun dan parti yang menjalinkan hubungan rasmi dengan DAP dan Amanah," kata Mahfuz, ahli parlimen Pokok Sena itu.

Bagi Mahfuz, sikap Pas ini adalah menunjukkan satu sikap politik matang.

"Bagi saya, ini adalah anak tangga untuk Pas kembali kepada Pakatan Harapan bersama Bersatu, PKR, Amanah dan DAP," kata bekas naib presiden Pas itu.

Sebelum ini, pemimpin Pas menegaskan, partinya tidak akan berunding dengan mana-mana pihak yang mengadakan hubungan dengan DAP dan Amanah.

Pemimpinnya juga berkata, Pas sekali-kali tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana menyedari bekas Perdana Menteri itu tidak akan pernah berubah sikap.

Namun pada 8 Mac lalu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas kini bersedia berunding dengan partinya berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya umum akan datang

"Jika sebelum ini tiada sebarang hubungan bersama-sama Pas namun, kini mereka (Pas) telah menjemput kami untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Bersatu di Kuala Lumpur 8 Mac lalu, lapor Bernama.

Namun, Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob menafikan dakwaan parti itu bersetuju berunding mengagih kerusi pilihan raya umum dengan Bersatu.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau arahan pun mengenai perkara itu.

Dalam masa yang sama beliau menegaskan keputusan untuk mengagih kerusi adalah hak mutlak Pesuruhjaya Pas negeri.

“Tidak ada, setakat ini kita tidak ada maklumat bahawa Pas ajak PPBM untuk pengagihan kerusi.

“Kita cuma diberi laluan untuk bersama atas pentas menyatakan perjuangan masing-masing,” katanya.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad tidak tahu menahu dakwaan Bersatu itu kerana belum ada tarikh ditetapkan.

“Belum ada tarikh ditetapkan, untuk tarikh itu kita tidak tahu," katanya.

Mengapa 'alif tendang wau' jadi sarkas? (Filem Pendekar Bujang Lapok)

Muhaimin Sulam
Filem P Ramlee khususnya yang diterbitkan pada tahun 1950-an adalah gambaran tentang perkembangan tulisan Rumi dan Jawi.

Dalam banyak-banyak filem P Ramlee, aku pilih filem Pendekar Bujang Lapok sebagai mauduk perbincangan.

Filem itu ditayangkan pada 1959, dua tahun selepas Malaya merdeka. Filem itu dikeluarkan oleh Run Run Shaw, syarikat perfileman di Singapura.

Seluruh kekuatan filem itu sebenarnya dicetuskan oleh kreativiti P Ramlee dan rakan-rakan senimannya.

Biarpun skrip asalnya ditulis oleh P Ramlee, namun pelakon lain khususnya - Aziz Satar dan S Shamsuddin - diberikan kebebasan membuat skrip spontan.

Ini kelebihan seniman waktu itu bagi memastikan lakonan mereka lebih hidup. Bukan dibuat-buat walaupun pada realitinya ia hanyalah lakonan.

Rencana ini bukan tulisan tentang P Ramlee, tetapi tentang bagaimana P Ramlee menggunakan elemen tulisan Rumi dan Jawi sebagai gambaran situasi pada masa itu.

P Ramlee sudah tiada, manakala Jawi pula hanya tinggal nyawa-nyawa ikan saja. Aku dibesarkan sewaktu P Ramlee di era kejatuhannya.

Pada hari P Ramlee meninggal dunia, aku ikut sedih. Aku tidak pernah menonton filem lakonan beliau ketika itu. Hanya lagu-lagunya yang kudengar di corong-corong radio.

Tragedi dan komedi Melayu

Tahun 1973, kampung aku tiada elektrik. Jarak antara rumah aku dengan pekan Teluk Intan tidak sampai pun 10 batu (16km) tetapi hanya dapat menikmati elektrik sekitar tahun awal 1980-an.

Aku belajar Jawi pula di madrasah ataupun sekolah Arab yang tidak jauh dari tangga rumah aku. Apabila berada di sekolah menengah, pelajaran Pengetahuan Agama Islam diajar melalui tulisan Rumi.

Aku pun lebih cekap menulis Rumi berbanding Jawi. Masuk ke universiti, nasib baik terpaksa ambil bahasa Arab, sempatlah simpan kemahiran menulis Jawi. Itupun seminggu hanya belajar tiga jam sahaja. Yang lain, aku belajar menggunakan tulisan Rumi.

P Ramlee, Jawi dan Rumi? Ahhh, seperti tiada relevan untuk digandingkan dalam artikel ini.

Barangkali tulisan ini akan sedikit berbaur drama dengan historis yang ada unsur tragedi dan komedi. Ya, ini mungkin kesan pengaruh daripada pembacaan aku pada falsafah Aristotle.

P Ramlee dan Jawi adalah tragedi dan komedi untuk orang Melayu. Inilah drama yang aku mahu ajak kalian berfikir sebentar.

Aristotle menyebutkan bahawa tragedi itu berkaitan spoudaia ataupun perkara yang serius. Manakala komedi memberi makna, sesuatu yang bertentangan dengan tragedi dan sesuatu yang kurang penting.

Tragedi dan komedi wujud dalam pentas yang sama. Pada drama yang sama.

Kritikan tajam, mengejut

Benarlah Shakespeare yang menyebut dalam dramanya - bertajuk As You Like It pada 1599. Katanya: "All the world’s a stage. All the men and women merely players. They have their exits and entrances."

Maksudnya, dunia ini pentas sandiwara. Kesemua lelaki dan perempuan adalah para pelakonnya. Masing-masing mempunyai (waktu) keluar dan masuknya.

Dalam komedi P Ramlee, ada makna tragedi yang hendak diselitkan oleh Seniman Agung itu pada penonton. Memang itulah kekuatan P Ramlee, iaitu mengarap unsur komedi untuk menyindir atau mengkritik hal-hal dalaman masyarakat secara terbuka.

Dalam ketawa, sambil-sambil mengena. Malangnya, penonton hanya merasai jenakanya semata-mata tanpa ingin memikirkan lebih jauh daripada itu.

Pada penonton, itu hanyalah lakonan dalam filem, tidak lebih daripada hiburan semata-mata. Tidak. Ia adalah kritikan yang sangat tajam dan mengejutkan.

Melalui Pendekar Bujang Lapok, sekurang-kurangnya ada tiga adegan yang menunjukkan tulisan Rumi. Pertama, pada adegan awal apabila sebuah papan tanda tertera ‘PENAMBANG KAMPONG SUNGAI KEMUNTING’ kelihatan tergantung di atas jeti.

Kedua, pada minit 60:32, ketika adegan Bujang Lapok pergi ke sebuah sekolah umum.

Dan yang terakhir, pada minit 52:53 yang menunjukkan papan tanda Rumi yang tertulis nama kampong sebagai ‘JALAN KG PINANG SEBATANG’.

Secara keseluruhannnya ia menunjukkan tulisan Rumi sudah meluas digunakan sebagai wadah komunikasi di tempat-tempat penting seperti sekolah, pusat komersil (jeti) dan juga papan tanda nama tempat (nama kampung).

P Ramlee dalam filem tersebut telah mendedahkan suasana pembelajaran zaman itu. Hal ini dapat dilihat pada minit ke-60 apabila watak Bujang Lapok pergi ke sekolah umum dan diperlihatkan bagaimana pelajar diajar tulisan Jawi.

Walaupun huruf Rumi sudah digunakan sebagai papan tanda ketika itu tetapi dalam sistem pembelajaran di sekolah, tulisan Jawi masih penting dan diajar.

Sebaliknya kini, tulisan Jawi sedikit demi sedikit merangkak masuk ke balai muzium - sebagai bahan pameran - dan ke Arkib Negara - sebagai bahan kajian dan simpanan zaman.

Ia menjadi khazanah untuk dipertontonkan buat generasi muda orang Melayu dan masyarakat luar yang berminat tentang bidang arkeologi atau antropologi Melayu.

You kutuk apa?

Pada minit 21:31, ketika babak Bujang Lapok menghampiri sekolah yang ada sebuah papan tanda Rumi yang tertulis ‘SEKOLAH UMUM BUTA HURUF’. Sebaliknya dibaca sebagai "alif, min, nun, wau" dan disebut sebagai "sarkis" oleh S Shamsuddin.

Di dalam buku tulisan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain Seniman Agung P Ramlee terbitan Karangkraf (1984) ada mencatatkan peristiwa di sebalik dialog itu.

Sejurus selepas Filem Pendekar Bujang Lapok diumum memenangi kategori komedi terbaik Festival Filem Asia keenam di Kuala Lumpur (1959).

Dalam buku tersebut menyebut bahawa Tan Sri Ghazali Shafie yang ketika itu Menteri Kebudayaan dan Penerangan berjumpa P Ramlee di tempat duduk peserta dan bertanyakan beberapa soalan berkenaan kejayaan beliau mengondol anugerah Asia.

Aku kurang pasti, dan setahu aku, Ghazali menjadi menteri kabinet hanya di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein.

Aku petik dari buku itu dialog P Ramlee dengan Ghazali.

Ghazali: Tahulah, tapi macam mana you boleh menang dan macam mana juri dari Hong Kong, Jepun dan dua orang juri jemputan dari Australia boleh pilih filem you sedangkan mereka tak faham bahasa kita?

P Ramlee: Filem dan lagu tidak memerlukan bahasa yang khusus. Seni adalah bahasa universal.. Gua (saya) hasilkan seni dari gua untuk masyarakat dan dari masyarakat untuk gua. Ada nasihat ada sindiran dan teguran agar masyarakat boleh berfikir... Gua pun kutuk lu punya geng juga.. (sambil ketawa).

Ghazali: You kutuk apa? I tak nampak pun..

P. Ramlee: Alif mim nun wau tu lu punya geng la..

Ghazali: Hah.. I tak faham la..

P Ramlee : Alif itu akal, wau itu ugama. Alif tendang wau - sarkis, bermakna akal tendang (tolak ) agama maka manusia akan menjadi seperti binatang-binatang sarkis, hidup tanpa agama ini hanya layak untuk (makhluk) bukan manusia saja. Alif min nun wau kan bunyinya Umno.

Setakat ini, inilah satu-satunya sumber bertulis (yang aku jumpa) tentang cerita di sebalik dialog tersebut.

Jika ini boleh dijadikan hujah bahawa P Ramlee memang sengaja mengkritik Umno menerusi dialog filem Pendekar Bujang Lapok, apakah yang mendorong beliau menyindir sebegitu tajam?

Tentu ada peristiwa-peristiwa politik besar yang mendorong P Ramlee mengkritik Umno. Ini pasti berkaitan dengan konteks semasa yang menjadi latar belakang sesuatu karya itu dihasilkan. Sedangkan Umno secara umum ketika itu dipandang sebagai parti yang membawa kemerdekaan kepada Malaya.

Sumbangan Umno sangat besar ketika itu. Filem Pendekar Bujang Lapok itu diterbitkan dua tahun selepas Malaya merdeka. Tentu sekali sentimen rakyat pada Umno sangat kuat.

Umno melalui Perikatan telah menang semasa dalam pilihan raya umum 1955 dengan mencatat kejayaan cukup bergaya.

P Ramlee tinggal dan berkarya di Singapura yang secara politiknya terpisah dengan Malaya tetapi berkongsi budaya dan sosial sama.

Singapura adalah pusat pembangunan dan kemajuan serta sebuah kota yang dihuni oleh pelbagai kaum. Singapura - seperti juga Pulau Pinang - banyak membentuk pemikiran P Ramlee dalam berkarya.

Dalam filem-filemnya, P Ramlee cuba mempamerkan wajah Malaya yang pelbagai kaum.

Jika diambil dialog P Ramlee dengan Ghazali seperti dicatat Abdullah, kritikan seniman itu terhadap Umno adalah kerana parti berkenaan tidak menggunakan akal dan membuang agama!

Aku cuba mencari fafsiran agama mengikut pandangan P Ramlee terutama di Singapura. Ternyata sukar. Tema, jenis filem dan lagu-lagunya pelbagai. Hiburan, sosial, jenaka, agama, sejarah dan bermacam-macam.

Namun disebalik karya-karyanya itulah tersimpan rahsia mengapa P Ramlee menyindir Umno sebagai sarkis.

P Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok bukan saja memberi gambaran keadaan masyarakat kita pada zaman tersebut tetapi suatu gambaran masa kini

Kondo berpuaka 'tarikan' pelancong

Tranungkite
Luar Negara Sebuah bangunan 49 tingkat di Bangkok dibina sebagai kondominium mewah untuk didiami oleh keluarga kaya terbengkalai apabila Thailand dilanda krisis kewangan Asia pada 1997.

Selepas 20 tahun, bangunan itu kini dikenali sebagai ‘Menara Hantu’ oleh penduduk setempat tetapi reputasi yang menyeramkan menjadikan kawasan itu tumpuan pelancong.
Ketika letusan ekonomi pada awal 1990-an, banyak bangunan pencakar langit dibina di Bangkok. Syarikat pemaju mengaut untung berlipat kali ganda dengan menjual hartanah di kawasan bandar dan lokasi pelancongan popular.

Apabila krisis kewangan Asia melanda pada 1997, hampir semua pembinaan berkenaan terhenti. Kira-kira 500 projek pembinaan besar daripada pusat beli-belah hinggalah landasan kereta api bertingkat terbengkalai.

Beberapa tahun berikutnya, ada antara projek berkenaan diteruskan tetapi bukan menara yang dinamakan Sathorn Unique ini. Mempunyai ketinggian 185 meter, menara itu adalah antara bangunan pencakar langit tertinggi yang terabai di dunia.

Bagaimanapun, pada setiap hari, beratus-ratus pelancong mengunjungi menara itu dan memberi rasuah 200 baht (RM25) kepada penjaga untuk bergambar dan merakamkan video di bangunan usang berkenaan.

“Gambar di sini kelihatan sangat luar biasa,” kata Sorcha O’Malley, pelancong dari Ireland yang dilihat merakam gambar di tepi lorong di menara itu. Dia mendongak ke atas dan berkata, “Saya sangat berharap dapat mengambil gambar di atas sana.”

“Berjalan di sini sahaja sudah membuatkan jantung saya berdegup kencang,” kata pelancong dari Jerman, Annikha Mahnke. “Ia pengembaraan yang luar biasa hebatnya apabila naik ke atas,” tambahnya.

Pada April 2015, dua pelari bebas atau parkour merakamkan aksi lincah mereka meloncat dan berlari di bangunan berkenaan dan memuat naik video itu ke YouTube. Lantas video itu menular sekali gus menarik ramai golongan muda ke bangunan tinggal berkenaan.

Bagi pemilik Sathorn Unique, Pansit Torsuwan, aksi sebegitu sudah cukup untuknya bertindak menutup laluan ke tingkat atas.

“Saya khuatir kerana pembinaan ini tidak siap dan sangat bahaya membenarkan orang ramai naik ke tingkat atas,” jelasnya.

Beberapa tahun lalu, seorang lelaki Sweden menggantung diri di tingkat 43. Mayatnya yang sudah reput ditemui beberapa minggu kemudian sekali gus menguatkan reputasi bangunan itu sebagai ‘Menara Hantu’.

Penjaga bangunan, Suwaschai Dadaelor berkata, bangunan itu memang berhantu kerana dibina di atas tapak perkuburan lama.

“Setiap hari saya memberi penghormatan kepada roh di sini supaya tidak mengganggu saya.

“Ramai pengunjung termasuk saya sendiri pernah diganggu hantu di sini,” katanya.

SPRM serbu rumah exco Johor, rampas kereta,150 beg tangan (Gambar)


Kira-kira 150 beg tangan adalah antara barangan yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu serbuan di rumah exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi.

Berdasarkan gambar serbuan itu, antara beg tangan yang dirampas termasuk jenama-jenama mewah seperti Chanel, Hermes, Prada, Luis Vutton dan Gucci.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sekiranya beg tangan itu adalah asli.

Menurut sumber SPRM, barangan lain yang dirampas dalam serbuan itu termasuk RM41,000 dalam bentuk wang tunai dan sebuah kereta Toyota Vellfire.

Abd Latif awal hari ini ditahan oleh SPRM berhubung kes rasuah berkaitan dengan penukaran hak milik tanah bumiputera.

Sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa serbuan itu dilakukan pada kira-kira jam 11 pagi, sejurus selepas penangkapan Abd Latif di pejabat SPRM di Johor Bahru di mana beliau disoal siasat.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, SPRM menahan enam individu atas dakwaan rasuah melibatkan penukaran hak milik tanah bumiputera bagi mendapatkan sogokan.

SPRM turut menahan anak Abd Latif dan pegawai khas anggota exco itu. Selain itu suruhanjaya itu merampas 26 kenderaan mewah dan membekukan 45 akaun bank berkaitan kes itu.
-

Suami cemburu tetak isteri hingga mati (Gambar)



Indonesia – Hanya kerana cemburu dan keengganan mangsa menjalinkan hubungan seks, seorang lelaki nekad membunuh isterinya di Dusun Baruga, Desa Bambaira, Kecamtan Bambaira, Kabupaten Mamuju Utara, Sulawesi Barat, Indonesia baru-baru ini.

Portal Regional melaporkan, suspek, Muhammad Amin yang berusia 34 tahun dipercayai membunuh isterinya, Ainun Safitri, 28, menggunakan sebilah parang dengan menetak beberapa bahagian badan Ainun sehingga pergelangan tangannya putus.

Pasangan suami isteri itu dilaporkan pasangan yang sah namun tinggal berasingan kira-kira tujuh bulan lalu.

Polis tempatan, AKBP Mashura berkata, mangsa diserang ketika baru pulang dari mengajar di sebuah sekolah berdekatan.

Menurutnya, suspek menyerang mangsa dengan parang dan menetak tubuh mangsa yang bekerja sebagai guru hingga meninggal dunia.

Akibat tetakan itu, mangsa mengalami cedera parah di punggung, kepala dan telinga serta pergelangan tangannya putus akibat cuba menghalang serangan suspek.

Selepas menyedari isterinya sudah tidak bergerak, suspek melarikan diri ke rumahnya dan cuba membunuh diri dengan menikam dadanya dan meminum racun rumput.

Kejadian berkenaan disedari penduduk kampung dan mereka menghubung polis untuk tindakan selanjutnya.

Suspek ditemui tidak sedarkan diri dan dihantar ke hospital Ako Mamuju Utara, Indonesia bagi menerima rawatan.
-kualalumpurpost

Tahniah, hubungan Umno-Pas berkembang setapak lagi

MALAYSIA DATELINE

Hubungan Umno dan Pas berkembang setapak lagi apabila pemimpin Umno kini dijemput masuk ke pejabat lidah rasmi parti itu, Harakah hari ini.

Slot Bicara Harakah yang diadakan setiap minggu pada hari Khamis itu membicarakan pelbagai sudut berkaitan pasca Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) yang dibentangkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

Buat pertama kali pimpinan Umno dijemput hadir ke pejabat rasmi Harakah untuk berdiskusi mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau Akta 355 dengan tajuk: "Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera."

Panelis dari Umno yang dijemput ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan Tantawi.

Manakala moderator oleh Pengarah Komunikasi Korporat Pas Roslan Shahir Mohd Shahir.

Dalam RUU 355 Umno-Pas pernah bersama dipentas ceramah dalam himpunan `ungu'  RUU 355 yang diadakan di Padang Merbok pada 18 Februari lalu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan  Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohd Al-Bakri.

Perhimpunan tersebut bertujuan memberi penjelasan dan meraih sokongan terhadap RUU 355 bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Pas dilihat semakin mengeratkan hubungan kerjasama berkaitan isu keagamaan dan kemanusiaan bersama pimpinan Umno setelah menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam isu sama.

Sebelum ini Umno-Pas telah bekerjasama dalam dua misi kemanusiaan Rohingya dengan mengadakan Solidariti Ummah Rohingya pada Disember tahun lalu di Stadium Tertutup Tasik Titiwangsa.

Kemudian disusuli dengan penyerahan bantuan kemanusiaan menerusi pelayaran kapal Nautical Aliya dalam misi "Food Flotilla for Myanmar" pada 2 Februari lalu.

Kerjasama Umno-Pas ini tercetus dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Pas diwakili Presidennya.

Sebanyak tujuh resolusi dimuktamadkan dan antaranya Alumni Al-Azhar bersetuju mewujudkan sebuah jawatankuasa yang akan menjadi pihak ketiga menyediakan platform penyatuan pemimpin Umno dan Pas dalam satu pentas yang sama.

Ia adalah cadangan yang dilontarkan oleh Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaaffar yang menjadi moderator pada forum Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi bersempena Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang diadakan itu

Video: Lelaki maut dibaham harimau di hadapan isteri dan anak


Seorang lelaki maut apabila diserang tiga ekor harimau di hadapan isteri dan anaknya di sebuah zoo di Ningbo, timur China Ahad lalu.

Kejadian berlaku selepas lelaki tersebut memanjat dua tembok setinggi tiga meter untuk memasuki taman hidupan liar berkenaan namun malangnya termasuk ke dalam kawasan harimau.

Menurut South China Morning Post, rakaman video kejadian itu tular di media sosial menunjukkan mangsa di heret seekor harimau disaksikan beberapa beberapa harimau lagi.

Harimau yang membahamnya ditembak mati oleh pengurusan Taman Hidupan Liar Youngor di Ningbo.

Gadis berhijab cuba bunuh diri (Gambar)

C
Parit Buntar – Hasrat seorang gadis berusia 18 tahun yang berniat membunuh diri dengan terjun dari jambatan Kuala Kurau, Parit Buntar, gagal selepas dia berjaya dipujuk anggota bomba, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, tindakan mangsa yang cuba terjun dari jambatan terbantut selepas perbuatannya itu disedari anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melalui kawasan itu.

Usaha anggota JPJ yang cuba memujuk gadis memakai hijab itu bagaimanapun tidak berjaya sebelum dia bertindak menghubungi bomba.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk remaja berkenaan.

“Remaja perempuan yang berjaya dipujuk itu kemudiannya diserahkan kepada ibu bapanya sebelum operasi ditamatkan pada 7.47 malam,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, tidak diketahui apakah punca menyebabkan gadis bertudung berkenaan bertindak sedemikian.
-kualalumpurpost

Polis sahkan wanita berbogel dari Vietnam (Gambar)


Petaling Jaya – Seorang wanita yang dilihat berjalan sambil berbogel di sekitar kedai-kedai di SS3 Jumaat lalu disahkan sebagai Fun Hau dari Vietnam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan oleh polis yang meronda di kawasan itu.

“Sebuah kereta peronda menemui seorang wanita berbogel kira-kira jam 1.30 petang pada Jumaat. Dia kemudiannya diambil dan dihantar ke Balai Polis Sungai Way, dan laporan dibuat.

“Selepas itu dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, klip video wanita berbogel yang berdurasi 45 saat tersebar di WhatsApp.

Menurut beberapa orang yang berada di kawasan tersebut, wanita itu kelihatan tidak keruan dan bercakap dalam bahawa Mandarin.

Malah dia turut menolak pertolongan orang ramai sebelum kehadiran polis.
-mStar

Penduduk gempar, objek pelik muncul di awan


Zambia – Penduduk di Zambia telah dikejutkan dengan objek pelik yang dihasilkan oleh awan yang terbentuk di atas sebuah pusat beli-belah. Awan berkenaan umpama Dementor, iaitu makhluk yang menjadi penjaga di penjara Azkaban dalam cerita Harry Potter.

Ia sepanjang kita-kira 100 meter dan muncul di atas Mukuba Mall di Kitwe selama setengah jam.

Keadaan ini menyebabkan mereka yang berada di situ dalam ketakutan hinggakan ada yang melarikan diri.

“Ada yang mula berdoa tetapi ada juga yang lari. Ia sangat pelik.

“Kami terkejut melihat imej terbabit yang kelihatan seperti manusia dalam kepulan awan,’’ kata salah seorang saksi di situ.

Dementor adalah makhluk yang mengerikan dalam cerita Harry Potter dan boleh mengambil jiwa seseorang.
-.kualalumpurpost

Ibu terkejut lihat anak makan daging kanak-kanak


Uttar Pradesh – Seorang ibu terkejut besar dan ketakutan apabila menemui anak lelakinya sedang makan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dibunuh dan dipenggal kepala.

Ibu kepada lelaki yang dikenali sebagai Nazim Miyan itu menemui anaknya bersama mayat mangsa di sebuah rumah terbiar di Uttar Pradesh.

Turut ditemui wanita itu ialah beberapa bahagian badan mangsa seperti leher, tangan dan kaki yang telah dipotong manakala kulit perut dan organ dalaman kanak-kanak malang itu ditemui berselerakan di atas lantai.

Mangsa dikatakan diculik ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya. Sementara Nazim pula adalah penagih dadah.

Dia menyerah diri kepada polis tanpa melawan namun sebelum dibawa ke balai, penduduk di situ telah membelasahnya. Penduduk turut berhimpun di luar balai polis bagi mendesak agar Nizam dibunuh,

Nizam didakwa dengan tuduhan membunuh dan menculik. Menurut polis, ketika disoalsiasat, dia hanya berdiam diri. – Mynewshub

'...hang dah puas aku tak main bini hang', cerita Zam mengenai Tunku

Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini mengaitkan hak Datuk Seri Najib Razak untuk kekal sebagai perdana menteri dengan langkah Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan itu sekitar tahun 1970 walaupun masih berhak memegangnya.

"Bagi saya, anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya dan atas persetujuan parti berhak untuk menjadi perdana menteri walaupun tidak popular di kalangan majoriti rakyat. Maka itu Datuk Seri Najib berhak dari segi demokrasi.

"Tetapi ketidak stabilan negara, kehilangan keyakinan rakyat yang berpunca dari ketidak cekapan dan ketidak bijaksanaan dalam pengurusan politik, ekonomi dan keselamatan adalah mewajarkan seseorang perdana menteri yang berfikiran demokratik untuk meletakkan jawatan.

"Atas kesedaran dan sentivitinya terhadap perasaan rakyat lah maka Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada Tun Abdul Razak pada 23 September 1970 sekalipun dari segi demokrasi beliau masih berhak untuk terus jadi perdana menteri," kata Zainuddin dalam blognya.

Beliau yang terkenal dengan gelaran Zam dan pernah menjadi menteri penerangan turut menyelitkan kisah peribadi Tunku yang dianggap beliau sebagai perdana menteri Malaysia yang paling jujur.

"Dari pengalaman saya, tidak ada seorang pun perdana menteri Malaysia sejujur Tunku.

"Tunku pernah duduk bercerita sehingga lebih jam satu malam antaranya tentang siapakah di sebalik usaha untuk menjatukannya dan memfitnahnya mempunyai skandal dengan seorang seniwati Melayu tersohor.

"Bila suami kepada seniwati ini datang meminta ampun setelah mengetahui hal sebenar, Tunku bertanya 'Hang dah puas aku tak main bini hang'," kata Zam menceritakan pertemuan beliau dan rakan-rakan Utusan selepas Tunku tidak lagi menjawat kerusi nombor satu negara.

Antara wartawan Utusan Melayu yang turut sama dalam pertemuan itu, menurut Zam, ialah Tan Sri Melan Abdullah yang merupakan ketua pengarang ketika itu, Osman Abadi, Harun Hassan dan Jiro.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub mendedahkan Najib akan diminta untuk melepaskan jawatan perdana menteri dalam masa terdekat.

Justeru, kata Salahuddin, presiden Umno itu harus mengawal emosinya daripada begitu terdesak sehingga terpaksa mendedahkan ada pimpinan utama Umno yang meminta jawatan ketua menteri.

"Najib perlu belajar mengawal emosinya kerana akan ada pula di kalangan pimpinan kanan Umno yang meminta jawatan Perdana Menteri daripada beliau dalam tempoh waktu terdekat," kata Salahuddin.

Mengulas lanjut, Zam berkata, Tunku meletakkan jawatan setelah menciumi perasaan dalaman parti dan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu terhadap sikap tolak ansurnya walaupun beliau percaya kebenaran dasarnya sehingga ke akhir hayat beliau.

"Maka itu, beliau memberikan laluan kepada Tun (Abdul) Razak dan demikianlah juga Tun Abdullah (Ahmad) Badawi dalam memberikan laluan kepada Najib.

"Tunku Abdul Rahman tidak takut untuk meletakkan jawatan kerana beliau tidak berasa telah melakukan kesilapan besar terhadap negara dan bangsanya.

"Beliau tidak menyelewengkan wang negara, beliau tidak menyembunyikan kesilapan dan kelemahannya sebaliknya membuat pengakuan terus terang sekalipun yang melibatkan peribadinya dan tidak takut untuk ditangkap atau dihukum oleh rakyat sekiranya beliau berhenti," tambah Zam.

Antara pengakuan jujur Tunku kepadanya ialah tabiat bermain judi atau poker, jelas Zam.

"Umpamanya apabila saya menemui beliau selepas tragedi 13 Mei 1969 bertanyakan apakah benar beliau bermain poker bersama kawan-kawannya ketika negara sedang berada dalam kekacauan seperti yang didakwa oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad,Tunku terus mengakui: 'Ya benar, bukan saya ambil duit bapa dia, tulis, tulis.

"Demikian juga bila (Tan Sri) Syed Kechik (Syed Mohamed Al-Bukhary) jutawan Melayu menghadiahkan kereta Rolls Royce kepadanya, beliau berkata dalam suatu majlis ulangtahun kelahirannya yang turut dihadiri oleh ramai wartawan dalam dan luar negara: 'Syed buat apa hang bagi kereta kat aku, hang bagi duit kat aku,aku boleh pi main poker," cerita Zam lagi.
-malaysiakini

Tiga bukti Pas, Abdul Hadi tidak kuat di Terengganu

ARIF ATAN
Hasbie Muda berkemeja oren bersama YB Rafizi Ramli serta pimpinan AMK dan Armada Terengganu dalam satu program Pemuda Amanah negeri baru baru ini
Hasbie Muda berkemeja oren bersama YB Rafizi Ramli serta pimpinan AMK dan Armada Terengganu dalam satu program Pemuda Amanah negeri baru baru ini

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda menjelaskan tiga fakta bagi menafikan dakwaan Pas dan presiden parti berkenaan, Datuk Seri Abdul Hadi berpengaruh di negeri pantai timur itu.

Beliau berkata, tanggapan Pas kononnya kuat pada pilihan raya umum tahun (PRU) 1959 tidak benar kerana berlaku perpecahan undi antara parti Perikatan (nama lama Barisan Nasional) dengan Parti Negara ketika itu.

"Dalam pilihan raya 1959, Pas hanya dapat 36 peratus sahaja undi popular. Perikatan dapat 35 peratus, pecah dua sebab 17 peratus undi Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar (bekas Presiden Umno pertama). Maknanya, bukan sebab Pas paling kuat," ujarnya.

Menurutnya, kemenangan besar Pas pada PRU tahun 1999 pula berkaitan dengan faktor pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia setahun sebelum itu.

"(PRU) 1999, sebab kes mata lebam Anwar Ibrahim. Itu fakta sebab tahun 1995, Pas hanya menang 43 peratus sahaja undi popular dalam keadaan seluruh orang Terengganu tidak mahu lagi Wan Mokhtar Wan Ahmad (bekas Menteri Besar, 1974 hingga 1999) tapi dia boleh menang lagi.

"Undi popular (Pas) daripada 43 bertambah 13 peratus jadi 56 peratus. Itu yang dapat 28 kerusi. Bukan sebab Pas kuat," tegasnya pada Ceramah Pakatan Harapan di Cabang Tiga, Kuala Terangganu kelmarin.

Berdasarkan keputusan PRU-13 lalu pula, Hasbie juga menolak andaian kononnya Pas hebat kerana faktor tokoh melalui kehadiran Abdul Hadi kuat di Parlimen Marang.

"Kerusi Marang itu sendiri, undi popular di kawasan itu tidak besar mana pun. Biasa tokoh utama dalam parti politik macam Lim Kit Siang bertanding d Gelang Patah, Anwar Ibrahim di Permatang Pauh boleh dapat lebih besar undi majoriti.

"Tapi tokoh di Marang (Abdul Hadi) tak sampai 10,00 ribu pun. Paling banyak pada 1999. Sekarang hanya lebih 5,000 undi majoriti," tegasnya sambil menyifatkan kerusi itu menang sedia dimenangi Pas sejak dahulu lagi sekaligus menafikan persepsi Abdul Hadi kuat di kawasan tersebut.

Hasbie yang juga bekas Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Pas Pusat bagaimanapun tidak bermaksud mahu memperlekeh parti lamanya itu yang dipanggil sebagai 'parti rakan'.

"Saya sudah buat kajian. Dua buku dikeluarkan mengkaji kekuatan dan pencapaian Pas ini sejak 1959. Sebab itu, Pas jika dengan perangai sekarang yang tidak mahu berkawan dengan orang lain, memang kembali ke tahun 1986 dengan hanya menang satu kerusi di Pengkalan Chepa.

"Di Terengganu, tahun itu (1986), Cik Pa (Datuk Mustafa Ali, kini Pengarah Pilihan Raya Pas) beritahu, Pas berarak, yakin menang tapi hanya dua kerusi sahaja yang menang," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana parti politik tidak boleh bersendirian sebaliknya perlu bekerjasama serta berpolitik berasaskan fakta termasuk mengambil kira pengalaman juga sejarah lalu.

"Sebab itu, saya mahu mengajak orang muda di kawasan Dun Bandar dan Parlimen Kuala Terengganu, kita jangan takutlah. Nak duduk dalam Pas, silakan tetapi keputusan pimpinan parti tuan-tuan ykalau rasa tak betul, mesti berani kritik.

"Takkan presiden cakap semua betul. RUU (Rang Undang-undang) 355, kita di Amanah dan Pakatan Harapan kritik sebab itu cek kosong. Eh, tak sampai tiga bulan, tiba-tiba dia sendiri (Abdul Hadi) pinda kepada ada jumlah tahun dan sebat," bidasnya.

Mengulas lanjut tentang sikap politik sebahagian anak muda yang dilihat masih bersama Pas, beliau menasihatkan supaya golongan tersebut mendapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berusia selain banyak membaca.

"Kita (orang muda) mungkin tiada waktu 1986. Kita kena berdamping orang lama. Orang tua dulu juga pernah muda. Mereka melalui pengalaman dan membandingkan dengan keadaan sekarang. Sebab itu mereka bersama Pakatan Harapan.

"Baca buku supaya keputusan yang dibuat pada waktu muda ini, tidak kita tidak menyesal kemudian hari. Saya juga yakin 30 tahun akan datang, orang muda hari ini juga akan menerima formula Pakatan Harapan dan sedar bahawa Pas tidak boleh bersendirian," tambah Hasbie lagi.

Untuk rekod, keputusan PRU-13 dengan Pas masih dalam Pakatan Rakyat (nama gabungan parti pembangkang ketika itu) menyaksikan Abdul Hadi yang bertanding di P 037 Marang hanya memperoleh majoriti 5,124 undi.

Rekod itu jauh jauh lebih rendah berbanding Ketua Umum PKR ketika itu, Anwar Ibrahim di P 44 Permatang Pauh yang berjaya menang majoriti 11,721 undi manakala Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di P 162 Gelang Patah menguasai majoriti 14,762 undi.