"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

Kpg Buah Pala: K'jaan negeri buat laporan polis

Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung isu pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor.

Laporan itu dibuat oleh ADUN Komtar, Ng Wei Aik di ibu pejabat polis daerah Timur Laut kira-kira jam 1.20 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Ng yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata ia dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat dengan teliti proses penjualan tanah di kampung tersebut, lapor Bernama.

"Ini merupakan persoalan yang besar, sama ada sesetengah pihak mempunyai kepentingan sendiri apabila memberikan kelulusan terhadap penjualan tanah tersebut," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang antara lain mendakwa kerajaan negeri terdahulu yang ditadbir BN, telah menjual tanah di kampung tersebut yang kebanyakannya diduduki penternak lembu, dengan harga yang murah kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

"Walaupun pemberian milik tanah ini (kepada koperasi) adalah sebagai ganti kepada tapak tanah bersebelahan dengan Dewan Sri Pinang untuk pembinaan bangunan tambahan mahkamah, namun kami mendapati kelulusan ini diberi tanpa merujuk kepada laporan penilaian nilai pasaran kedua-dua bidang tanah itu," kata Ng.

Isu Kampung Buah Pala timbul apabila penduduknya terpaksa mengosongkan tanah yang mereka duduki selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk terus tinggal di kawasan itu yang telah dihuni mereka sejak sekian lama.
-malaysiakini-

Manek Urai: Peniaga ikan kutuk penghinaan ke atas Abe Uji

Muhammad Yusri Amin | Foto Miji

KUALA KRAI, 11 Julai (Hrkh) - Kehadiran begitu ramai peniaga dan pemborong ikan di Pasar Laloh petang semalam memberi satu lonjakan baru kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.

Mohd Fauzi atau lebih dikenali sebagai Abe Uji kelihatan terharu di atas kunjungan begitu ramai rakannya.

Keadaan itu dapat dilihat apabila beliau seketika terkedu dan tidak dapat meneruskan ucapan mungkin terharu di atas sokongan padu kawan-kawan.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota Exco, Dato' Husam Musa, Presiden Persatuan Pemborong Ikan Kelantan, Ahmad Termizi Mamat.

Hampir 2,000 peniaga ikan dari seluruh Kelantan hadir pada program itu bagi memberi sokongan kepada Abe Uji selepas diperlekehkan Umno, yang disifatkan sebagai peraih ikan.Image

Terdapat sepanduk yang mengecam pemimpin Umno yang bertulis 'Jangan Hina Pekerjaan Kami' dan 'Pilih Calon Amanah Pilih Abe Uji'.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan yang juga seorang timbalan menteri menyifatkan Abe Uji sebagai seorang peraih ikan kerana tidak mempunyai pendidikan tingi.

Berucap pada majlis itu, Menteri Besar melahirkan rasa tidak senang terhadap pemimpin Umno kerana melempar fitnah menghina calon PAS sebagai peraih ikan.

Image"Hari ini kita berhimpun bagi melahirkan rasa kecewa di atas penghinaan seorang timbalan menteri terhadap calon kita sebagai peraih ikan. Hina nampaknya pada pandangan mereka," katanya.

Sedangkan katanya, Nabi Muhammad saw pada usia remaja baginda pernah menjadi pengembala kambing.

Menurutnya pemikiran macam itu menggambarkan cara berfikir orang Melayu dan Islam jauh berbeza.

"Mana lebih baik menjual ikan dengan parti rasuah. Parti dia sah parti rasuah. Mana lebih baik terima rasuah berbanding dengan menjual ikan.

"Menjual ikan tentu sah dan halal, manakala rasuah Islam pun kutuk, demokrasi pun kutuk. Tidak kata apa dia, dia berasa bangga boleh rasuah. Kita jual ikan, dia hina," katanya.


Debat bersama Dr Mujahid, Khairy menghilangkan diri

Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 11 Julai (Hrkh) - Bagai menanti buah yang tak akan gugur, ramai di kalangan yang hadir di Kompleks Masyarakat Penyayang petang tadi ternyata kecewa apabila Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin tidak hadir dalam debat bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

"Takut dengan bayang-bayang sendiri," demikian antara tanggapan orang ramai yang hadir pada petang tadi apabila dimaklumkan ketiadaan Ketua Pemuda Umno itu.

Sebaliknya, tempatnya diambil oleh Pengerusi Biro Agama, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia,Afendi Yusuf dalam debat yang berlangsung jam 2 petang tadi.

Selain Khairy, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shabudin Yahya juga tidak hadir dalam debat yang mengulas isu; 'Wacana Minda Perpaduan Ummah'.

Program anjuran Umno Bahagian Tanjung itu dibuat untuk menghurai beberapa masalah yang berlaku di negara selain mendapat pandangan daripada berbagai pihak termasuk PAS yang dikatakan mempunyai banyak formula untuk tanganinya.

Momentum 2008 dijangka kekal di Manek Urai - Timbalan Presiden

Lanjusoh | Foto Miji

KUALA KRAI, 11 Julai (Hrkh) - PAS melihat momentum pilihan raya kecil pasca 2008 akan berulang di Manek Urai berdasar kepada perkembangan semasa yang berlaku.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, setiap kali menyertai pilihan raya kecil atau besar PAS mengharapkan kepada kemenangan.

"Kita InsyaAllah mampu menambah majoriti dengan mengambil kira keputusan pilihan raya kecil sebelum ini yang bermula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang akan turut memberi kesan di Manek Urai.

"Cuma tinggal dua hari lagi pilihan raya akan berlangsung. Kita melihat isu-isu tempatan sudah banyak dijelaskan oleh agensi kerajaan pusat dan negeri.Image

"Selain itu sudah banyak penjelasan yang dibuat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri," katanya ketika ditemui media selepas program solat sunat dhuha di perkarangan Masjid Kampung Peria di sini, hari ini.

Ribuan penduduk tempatan hadir menunaikan solat dhuha yang diimamkan Menteri Besar. Ia diadakan sempena program Bulan Sembahyang sekarang.

Menurut Nasharuddin isu royalti minyak biar pun kurang difahami penduduk tempatan namun melalui penjelasan yang dibuat boleh memberi kefahaman kepada mereka.

Sebaliknya kata beliau ia juga boleh memberi justifikasi kepada pemimpin Umno.

Ditanya ketidakhadiran pada awal kempen di Manek Urai katanya, beliau menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Serdang Khamis lepas.

Image"Saya menghadapi masalah usus dan keadaan badan saya masih lagi lemah. Namun alhamudillah saya dapat hadir sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini. Sebelum ini saya janji mahu berada di Manek Urai hari Sabtu dan hari ini saya tunaikan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada keputusan dibuat Badan Perhubungan Negeri kurang memberi ruang kepadanya pada kempen hanya pada peringkat awal sahaja.

"Tetapi selepas melihat kepada perkembangan yang berlaku di peringkat bawah dan selepas Presiden pun ada di sini didapati banyak andaian-andaian sebelumnya tidak tepat. Saya telah diminta oleh Presiden dan Mursyidul am PAS supaya datang ke sini.

"Saya tidak dapat hadir pada hari penamaan calon disebabkan oleh masalah kesihatan. Dan alhamdulillah selepas operation saya boleh hadir ke sini," ujarnya.

Beliau juga berkata tidak berbanngkit isu-isu pada muktamar lepas pada pilihan raya kecil ini kerana ia lebih terarah kepada isu-isu tempatan.

Beliau juga memberitahu akan membuat penjelasan mengenai apa yang berlaku sebelum ini selepas pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Katanya, beliau mengambil sikap tidak menjawab segala isu yang timbul sebelum ini apabila mengambil kira media di Malaysia tidak bebas.

Beliau juga berkata, terdapat cabaran baru dalam perjuangan PAs sekarang apabila ada kemungkinan terkeluar sedikit daripada kerangka Islam ekoran tindak tanduk sesetengah pihak.Image

"Alhamdulillah dengan umur PAS yang sudah masuk 56 tahun sudah cukup matang untuk menangani isu-isu yang berlaku sekarang. Prinsip tidak akan berubah dan yang berubah ialah prinsip dan metodologi.

"Saya melihat mereka tidak ada isu sehingga ada pemimpin Umno yang mahu mencabar saya. saya tidak perlu jemputan kepada Umno untuk hadir berceramah. Organisasi PAS sudah cukup untuk mengatur segala program untuk saya," katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Bachok berkata, banyak usaha yang telah dilakukan arwah Paksu Wil di Manek Urai.

Begitu juga usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan melaksanakan pelbagai program.

"Jadi kita lakukan kesinambungan apa yang telah dilakukan oleh Paksu Wil," katanya.

Nasharuddin juga berkata, penduduk di Manek Urai berharap kepada penyelesaian kes-kes berkaitan kehidupan harian mereka sebagaimana dilakukan Allahyarham Paksu Wil.

"Personaliti yang ada pada Abe Uji boleh menjadi tarikan kepada pengundi," katanya.

KENYATAAN MEDIA PKR TERHADAP TINDAKAN POLIS DI MANEK URAI

Kita ingin merujuk kejadian Khamis 9 Julai 2009 jaln 11.10 pagi di hadapan Bilik Gerakan PKR yang didatangi pegawai polis ASP Suzaimi yang mengarahkan dibuang bendera PKR dan ditutup Bilik Gerakan dengan alasan Pakatan Rakyat belum lagi berdaftar. Beliau juga memaklumkan kepada petugas PKR bahawa Tan Sri Musa Hasan Ketua Polis Negara mengarahkan Ketua Polis Kelantan untuk memastikan tiada sebarang logo atau bendera PKR dilihat pada pilihan raya kecil Manek Urai. Kita mengutuk keras tindakan terpilih pihak polis atas alasan-alasan berikut:


Kerjasama Pakatan Rakyat

1. Pilihan raya umum 2008 yang lalu melakarkan sejarah dimana Barisan Nasional buat pertama kalinya gagal menguasai dua pertiga mojirit Parlimen dan menghasilkan kejayaan parti-parti pembangkang untuk memnangi dan membentuk kerajaan di negeri-negeri Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

2. Najitah daripada pilihan raya 2008 itu ialah jalinan kerjasama parti-parti pembangkang khasnya PKR, DAP dan PAS menerusi pembentukan Pakatan Rakyat yang tersangat digeruni oleh BN.

3. Jalinan kerjasama Pakatan Rakyat merangkumi aspek-aspek politik, ekonomi dan sosial untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama, jantina dan negeri.

4. Jalinan kerjasama Pakatan Rakyat ini tidak mengecualikan urusan yang berkaitan dengan kerjasama dalam urusan pilihan raya. Ini dibuktikan dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang telah diadakan di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai dan Penanti serta pilihan raya kecil yang sedang berlangsung sekarang di Manek Urai.

5. Oleh yang demikian, penyertaan parti-parti sahabat dalam Pakatan Rakyat dalam mana-mana pilihan raya bagi menyokong parti rakannya yang bertanding adalah elemen biasa dalam amalan politik di Malaysia. Sokongan parti-parti yang menjadi rakan politik sudah menjadi perkara lumrah dalam proses demokrasi dan pilihan raya. (quote calon-calon Berjasa yang bertanding lawan PAS semasa pilihan raya umum sekalipun tidak menjadi parti komponen).

6. Namun sekarang, kita dikejutkan dengan tindakan Kerajaan Persekutuan BN yang memperalatkan Polis Diraja Malaysia untuk menghalang penyertaan PKR daripada menyokong PAS di Manek Urai. Halangan ini meliputi arahan polis supaya semua premis bilik gerakan PKR ditutup.

Pendirian Prinsip

7. Tindakan menghalang penyertaan aktif parti-parti rakan khasnya PKR dalam membantu PAS dalam pilihan raya kecil Manek Urai bermotif politik yang mencabul hak asasi dan demikrasi secara nyata.

8. Arahan menutup premis bilik gerakan PKR adalah satu penyalahgunaan kuasa dan melampaui peruntukan undang-undang.



Adakah sokongan PKR kepada PAS melanggar undang-undang?

Proses pilihan raya dijalankan mengikut undang-undang :

a) Perlembagaan Persekutuan

b) Perlembagaan Negeri
c) Akta-akta dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya berkaitan (5 akta semuanya)
d) Beberpaa Undang-Undang sampingan seperti Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Kerajaan Tempatan dan sebagainya.

Dalam semua pilihanraya umum dan kecil telah diadakan, sejak ditubuhkan pada 1999 PKR mempunyai rekod yang cemerlang dari segi mematuhi undnag-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya. Begitu juga dengan parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat.

Kita mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan tersebut, sekalipun kita tidak menyetujui aspek-aspek yang bertentangan dengan prinsip-prinsip sejagat mengenaio keperluan menjalankan pilihan raya secara adil, bebas, telus dan jujur.

Umpamanya, menelang pilihan raya umum 2008 lalu, kita terpaksa berdepan dengan karenah SPR dengan isu pemguatkuasaan duti sete, pada borang akuan berkanun pencalonan yang ditarikbalik pada hari penamaan, dan isu pembatalan penggunaan dakwat tak mudah padam pada jari pemilih bagi mengelakkan manipulasi pengundian berganda. Namun, kita akur dan serahkan keputusan kepada rakyat.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - Sek 10 (a) hingga (i) meliputi perbuatan sogokan berupa awang atau pinjaman, tawaran atau janji agar mengundi atau jangan mengundi calon.

Kod Etika Pilihan Raya (9 Bab termasuk Kempen) - diperkenal mula 9 Mei 2006 semasa pilihan raya DUN Sarawak hingga sekarang tanpa sebarang pindaan yang menyentuh etika yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat, iaitu calon, ejen pilihan raua, parti politik dan pekerja serta penyokong calon dan parti politik.

Bab 6 mengenai Kempen - 12 bentuk larangan - tiada larangan untuk calon mendapat sokongan atau bantuan daripada parti-parti sekutunya.
Sebaliknya, Kod Etika Pilihan Raya dengan jelas, menurut perkara 6.2 (b) menyebut semua calon, ejen pilihan raya, parti politk, dna pekerja serta penyokong calon dan parti politik tidak boleh menggunakan kenderaan atau alat-alat komunikasi milik kerajaan untuk tujuan berkempen.

Maknanya, dari segi prinsip, kemudahan jentera dan instutusi-institusi milik kerajaan dilarang daripada digunakan atau disalahgunakan untuk tujuan dan kepentingan sempit politik kepartian dalam pilihan raya.

Tetapi ini yang dilakukan oleh BN di Manek Urai secara berleluasa, Penglibatan ketara agendi atau jabatan seperti RISDA, Felcra, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Jabatan Pelajaran, Jabatan Kesihatan, JAKIM dalam siri kempen Barisan Nasional sesungguhnya berlawanan dengan pengendalian pilihan raya yang bersih dan adil. Persoalannya kenapakah tiada tindakan terhadap BN yang menyalahgunakan jentera dan isntitusi kerajaan? Rakyat Manek Urai dianjurkan menilai kedudukan ini dan bersama-sama menolak calon BN pada pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 Julai ini.

Saifuddin Nasution Ismail
Pengarah Pilihan Raya JKR
Manek Urai 10 Julai 2009

MENTERI-MENTERI BN TIDAK DIPEDULI RAKYAT DI MANEK URAI

Kedatangan menteri-menteri ke Manek Urai tidak dihiraukan oleh masyarakat di sini. Timbalan Perdana Menteri yang sering berulang alek dengan helikopter dari Kuala Lumpur tidak dipedulikan oleh penduduk tempatan, ceramahnya tidak sampai 100 orang yang menghadirinya, sekiranya tidak ada penyokong-penyokong BN dari luar, kerusi yang disediakan kosong.

Ketua Wanita UMNO Malaysia hanya sempat beberapa ketika sahaja di Manek Urai Lama, dia sendiri mengakui payah nak dapat sokongan dari penduduk tempatan, sehingga sekarang, ketua Wanita UMNO tidak lagi nampak kelibatnya di Manek Urai. Menteri Pelancongan , Dr Ngah Yeng Yeng datang berkempen di rumah penduduk keturunan Cina di Kampung Manek Urai Lama juga mengalamai nasib yang sama apabila tidak dihiraukan tuan rumah dan ahli keluarganya. Kejadian itu berlaku ketika beliau berkunjung ke rumah Ong Guan Chong yang rumahnya berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai. Tuan rumah tidak mahu keluar menemuinya walaupun mereka sesama orang Cina.

Berbeza sekali apabila calon PAS Abe Uji berkunjung pula ke rumahnya sehari selepas itu, kehadirannya disambut oleh Ong atau Pak Chong, malahan Pak Chong menghimpunkan seluruh ahli keluarga besarnya untuk turut menyambut Abe Uji. Pak Chong merupakan pengurus pasukan Seri Muay (tomoi) yang ramai pelatih-pelatihnya orang Melayu. Abe Uji diberi penghormatan besar oleh Pak Chong dan ahli keluarganya.

Pengundi Cina di Manek Urai hanya berjumlah 51 orang, namun sokongan mereka tetap diperlukan, Pak Chong memberi jaminan semua pengundi Cina akan menyokong Abe Uji. Pak Chong mengakui walaupun beliau tidak rapat dengan Abe Uji sebagaimana rapatnya beliau dengan arwah Paksu Wil, tetapi cerita-cerita tentang keramahan, kemesraan dan kebaikan Abe Uji telahpun didengari sebelum ini lagi, sikap yang ada pada Abe Uji hampir menyamai Paksu Wil yang penduduk Manek Urai sangat sayangi itu.

Dr Mujahid berdebat dengan Khairy petang ini

Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 11 Julai (Hrkh)- Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa akan berdebat dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shabudin Yahya mengenai 'Wacana Minda Perpaduan Ummah' di Komplek Masyarakat Penyayang, Jalan Utama berdekatan Hospital Besar Pulau Pinang mulai jam 2.00 petang ini.

Program anjuran Umno Bahagian Tanjung itu dibuat untuk menghurai beberapa masalah yang berlaku di negara selain mendapat pandangan daripada berbagai pihak termasuk PAS yang dikatakan mempunyai banyak formula untuk tanganinya.

Penduduk dan sesiapa yang berminat boleh hadir untuk mengikuti debat berkenaan.

KHIR TOYO SERAH SAMAN PADA ADUN SEKINCHAN DALAM DEWAN SELANGOR




Tindakan Khir Toyo Serah Saman Kepada Ng Dianggap Hina Dewan


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, hari ini menyifatkan mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohammad Khir Toyo menghina Dewan Negeri Selangor kerana memberinya surat saman jam 12.30 tengahari tadi.

Ng yang ditemui selepas sesi pagi Sidang Dewan Negeri hari ini, berkata tindakan Khir Toyo itu juga tidak mengikut peraturan undang-undang.

Ng sudah melantik ADUN Kota Alam Shah, M.Manoharan sebagai peguamnya, berikutan pertelingkahan antara beliau dan Ketua Pembangkang itu, berhubung isu banglo Khir berharga RM24 juta.

Sebagai peguam kepada ADUN Sekinchan itu, Manoharan menasihatkan Ng agar tidak menerima surat saman tersebut kerana ada unsur ugutan.


Menurut Manoharan lagi ini merupakan satu penghinaan ke atas Ng.

Manoharan menegaskan tindakan Ng ini bukanlah kerana beliau takut terhadap dakwaan yang dibuat Khir Toyo, tetapi sekadar mengikut prosedur yang betul.

TVSELANGOR

PPSMI: Bukan mansuh di sekolah sahaja tetapi juga universiti

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Hrkh) - Selaras dengan Akta Pendidikan 1996, pemansuhan PPSMI tidak seharusnya terbatas di peringkat sekolah sahaja kerana Akta Pendidikan turut merangkum sistem pendidikan di peringkat pengajian tinggi.

Bagi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, Prof. Dr. Awang Sariyan, kerajaan seharusnya bertegas dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat Matrikulasi, Tingkatan Enam dan Institusi Pengajian Tinggi.

Jelasnya sewaktu dihubungi Harakahdaily semalam, keputusan memansuhkan PPSMI itu bertepatan dengan hujah dan alasan perjuangan pejuang-pejuang bahasa selama ini.

Dengan keputusan ini juga katanya, diharapkan kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan pada waktu akan datang dengan melaksanakan sesuatu dasar yang bertentangan dengan dasar negara serta tidak berdasarkan kajian mendalam lebih dahulu.

Beliau juga menegaskan, pemansuhan tersebut membuktikan PPSMI bukanlah kaedah yang betul dan berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta sains dan matematik di kalangan pelajar.

Jelas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia ini juga, pelaksanaan kembali bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains menunjukkan dasar negara dalam bidang pendidikan telah sebahagiannya dikembalikan menurut undang-undang negara, iaitu akta Parlimen tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan seharusnya perlu itiqamah dan konsisten dalam mempertahankan dasar negara yang betul dan baik.

ISA:BN tidak wajar dimaafkan, mangsa dianiaya dan dizalimi

Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Hrkh) - Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh pemerintah Barisan Nasional (BN) di negara ini tidak boleh dimaafkan.

"Ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri,"tegasnya Ahli Jawatankuasa PAS Mohamad Sabu apabila bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan.

Semalam Nik Aziz menyifatkan penggunaan ISA terhadap pemimpin lebih teruk daripada istilah 'binatang'.

"Kezaliman Umno menggunakan ISA ke atas pembangkang yang tidak bersalah lebih teruk daripada perkataan itu,"bidas Nik Aziz.

Beliau berkata demikian bagi menjawab serangan media yang menyebut beliau mengeluarkan kata-kata kesat termasuk binatang atau 'menate' dalam loghat Kelantan dalam satu ceramah di Manek Urai Dua baru-baru ini.

Nik Adli Nik Aziz salah satu anak beliau turut menjadi mangsa tahanan ISA dituduh terlibat dengan Kumpulan Militan Malaysia pada 4 Ogos 2001 kemudian dibebaskan pada 18 Oktober 2006.

Mohamad Sabu yang turut mengulas mengenai akta zalim itu turut sama bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am itu dan menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan.

Katanya, akta seperti ISA tidak perlu lagi dipertahankan kerana ternyata ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri.

Tegasnya yang juga pernah ditahan dibawah akta itu semasa Ops Lalang, kerajaan yang mementingkan kedudukan mereka sahaja sanggup mengggunakan akta ini.

Justeru, beliau yang tidak berganjak dari pendirian bahawa ISA harus dimansuhkan meminta seluruh rakyat negara ini turun beramai-ramai pada 1 Ogos nanti untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman kerajaan BN.

Beliau yang akan berada di lokasi Masjid Negara pada hari tersebut, percaya himpunan itu akan berlangsung secara aman jika tidak ada sebarang provokasi dari mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Yang dipertua PAS Kawasan Batu Ishak Surin yang pernah ditahan ISA pada 1965 turut merasai kepahitan ditahan dalam tempoh 60 hari.

Beliau berkata, mereka yang tidak merasai keseksaan ditahan dibawah akta itu boleh bermacam-macam mengandaikan akta itu ada baiknya.

Tetapi, kata beliau hanya mereka yang mengetahui dan mengalami sendiri pengalaman dizalimi akan tetap menyatakan akta itu harus dimansuhkan.

Beliau menyeru semua bekas tahanan ISA, keluarga tahanan dan orang ramai bersama-sama dalam perhimpunan itu nanti.

"Kita tunjukkan satu perpaduan menentang kezaliman ISA pada hari itu, dan tuntut agar akta itu dihapuskan," katanya semasa dihubungi.

Surat kepada Ketua SPRM

Mohd Basir Abdullah

Assalamualaikum kepada ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia. (SPRM)

Saya merayu kepada tuan supaya diadakan satu siasatan terhadap Menteri Kewangan negara ini daripada era Dr. Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi dan pada masa sekarang, Dato' Seri Najib.

Siasat mereka bertiga ini atas tuduhan meluluskan lesen judi empat nombor ekor. Kelulusan lesennya diperolehi dengan terlalu mudah.

1. Magnum = Sebulan 14 cabutan
2. Toto = Sebulan 14 cabutan
3. Damacai = Sebulan 14 cabutan

Jumlahnya, sebulan 42 cabutan daripada tulisan saya yang bertajuk "Kepada Ahli Parlimen". Cabutan nombor ekor kini sudah meningkat jumlahnya.

Sekali lagi, saya mohon kepada tuan dan seluruh rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, marilah kita bersama-sama mehapuskan gejala JUDI EMPAT NOMBOR EKOR ini.

Tidakkah anda semua malu dan takut kepada kemurkaan ALLAH? Ini negara Islam, bangsa Melayu berkedudukan TUAN, tambah pula berhak ISTIMEWA, setahu saya mengapa pula membisu, memekak dan membuta terhadap perkara ini?

Bagaimana boleh perkara sebegini boleh dibiarkan berlaku di dalam NEGARA ISLAM yang tercinta ini?

SPRM perlu bertanggungjawab dan siasat, kelulusan lesen sebanyak ini, pasti ada unsur rasuah dan salah guna kuasa. Ketiga-tiga nama yang tersebut di atas adalah Menteri Kewangan pada zaman mereka. Jadi, siasatlah mereka ini.

Jika tuan tidak siasat mereka bertiga ini dan dakwa mereka, bermaksud tuan bersubahat dengan mereka.

Mana hilangnya bekas MUFTI PERLIS, MUFTI PERAK? Berdiam bermaksud bersubahat. Adakah ini bentuk rupa kemajuan kerajaan BN?

Sekian...

Terima kasih,

Daripada wakil NEGARA,

Yang benar,

MOHD BASIR ABDULLAH
019-6705720_

Barat tidak benar Islam menang melalui demokrasi

Mohamad Sabu
Sat Jul 11, 09

Negara dunia ketiga, khasnya negara-negara umat Islam, cuba keluar dari pemerintahan diktator kepada pemerintahan demokrasi. Negara-negara Eropah Barat yang menjadi kolonial kepada dunia ketiga telah menikmati demokrasi terutama selepas Perang Dunia Kedua.

Satu demi satu negara Eropah Timur cuba melepaskan diri dari sistem diktator "ala komunis" kepada sistem demokrasi bebas ala Eropah Barat dan Amerika Syarikat.

Negara kuasa besar Eropah seperti Perancis, Britain dan AS menyeru negara dunia ketiga agar memilih demokrasi. Setiap negara Eropah Timur yang terkeluar daripada amalan "sosialis diktator" akan dialu-alukan oleh Perancis, Britain dan AS.

Mereka amat mengalukan perubahan politik di Poland, Romania, Chekoslavakia dan beberapa negara lain ke arah melaksanakan demokrasi ala mereka, bahkan segala bantuan dicurahkan untuk memperteguhkan ekonomi negara "saudara baru" demokrasi itu.

Rapat umum

Pada tahun 1991 pilihan raya bebas diadakan di Algeria, negara bekas jajahan Perancis. Pertama kali rapat-rapat umum parti-parti politik diizinkan secara bebas. Pelbagai aliran dan ideologi mengenengahkan corak politik dan negara yang akan mereka bentuk bila rakyat memilih mereka.

Parti aliran Islam, FIS dipilih oleh rakyat secara gemilang dan terhormat. Pilihan raya berjalan lancar dan bersih dari segala penipuan dan manipulasi. Pemimpin utama FIS, Dr Abbas Madani sudah bersedia untuk mengangkat sumpah bagi memimpin negara demokrasi Algeria setelah mendapat mandat rakyat.

Hipokrasi negara Eropah Barat dan Amerika terserlah apabila mereka menggalakkan tentera merampas kuasa dan membatalkan keputusan pilihan raya secara demokrasi yang dibuat oleh rakyat Algeria itu.

Algeria kembali bergolak, pembunuhan sesama rakyat berleluasa, negara "mustakbirin Kristian" Barat rela melihat kehancuran demokrasi di Algeria.

Pilihan raya Palestin di kawasan autonomi dijalankan secara bebas pada Jan 2006. Pemerhati antarabangsa dan NGO mengakui pilihan raya itu dikendali secara bebas dan adil. Ia diakui sendiri oleh bekas Presiden AS, Jimmy Carter.

menang mutlak

Hamas (Harakatul Muqawamah Islamiah) mendapat kemenangan mutlak. Sepatutnya negara kuasa besar Barat mengalu-alukan proses demokrasi di Palestin, sebaliknya kemenangan Hamas tidak diiktiraf oleh negara Islam dan negara kuasa utama Barat.

Tidak lain dan tidak bukan, "mustakbirin Kristian" Barat tidak boleh menerima kemenangan golongan Islam melalui proses demokrasi. Huru-hara berlaku di Palestin adalah atas kehendak Eropah Barat dan AS demi menghancurkan gerakan Islam yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi yang mereka sendiri taja.

Demokrasi juga cuba dilaksanakan di Mesir. Ikhwan muslimin yang diharamkan, "diizinkan" untuk ke tengah gelanggang pilihan raya. Hampir semua bandar besar di Mesir mampu dikuasai Ikhwan. Amat diyakini bahawa Ikhwan boleh menguasai dan memenangi pilihanraya di Mesir.

Bagaimanapun polis dan tentera digunakan oleh regim Hosni Mubarak untuk menyekat orang ramai daripada keluar mengundi. Demokrasi dicemari, proses pilihanraya penuh dengan kepincangan, penipuan dan ugutan.

Walaupun demokrasi tajaan Barat dicemari, namun negara Barat dan AS tidak berbuat apa-apa terhadap pencemaran demokrasi di Mesir, asalkan golongan Islam tidak memenangi dan berkuasa di negeri itu. Bahkan regim Hosni Mubarak terus dibantu AS untuk mengekalkan pemerintah diktator di bumi penuh bersejarah itu.

Gambaran buruk

Daripada 60 minit siaran berita CNN, lebih 40 minit adalah untuk membincangkan pilihan raya di Iran pada awal Jun lalu. Siaran BBC dan Aljazerah memperuntukkan masa lebih separuh waktu beritanya untuk fokus pilihan raya Iran. Ahmadinejad cuba digambarkan sebagai manusia diktator yang mesti ditolak oleh rakyat Iran.

Seluruh dunia diletakkan dalam keadaan gelisah tentang apa yang berlaku di Iran. Debat terbuka yang berlaku di antara calon presiden mengatasi debat terbuka calon-calon presiden AS. Obama sendiri terkejut dan kagum tentang debat terbuka antara calon-calon presiden Iran.

Keputusan pilihan raya diisytihar memihak kepada Ahmadinejad dengan mendapat undi popular lebih 62 perayus daripada empat calon yang bertanding.

Rasa tidak puas hati calon yang kalah adalah perkara biasa berlaku dalam mana-mana pilihan raya. Tetapi CNN, BBC, Aljazerah Britain, AS dan negara Barat terus mempertikai keadilan demokrasi di Iran.

Kita yang mengikuti dari jauh perjalanan pilihan raya Iran turut merasa cemas melihat perjalanan demokrasi di Iran. Tetapi apabila kita toleh akan apa yang berlaku terhadap demokrasi di Algeria, demokrasi di Mesir dan realiti di Pelestin membuatkan kita mudah faham terhadap suasana di Iran.

Bagi Britain, AS dan negara Eropah Barat, mereka hanya akan menerima proses demokrasi apabila golongan aliran Islam kalah dalam pilihan raya. Apabila golongan aliran Islam menang melalui pilihan raya, maka demokrasi itu dengan sendirinya terbatal.

Sampai bila mustakbirin Barat dan AS akan terus mengatur sistem demokrasi dunia? Sampai bila negara dunia ketiga dan negara Islam menjadi kuda tunggangan mereka?

-harakahdaily-

Samad Said: Bahasa Inggeris dapat RM5 bilion, bahasa Melayu dapat berapa?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah-sekolah sebagaimana yang diberikan untuk pengukuhan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menurut Bernama, beliau berkata sekiranya kerajaan seperti yang dilaporkan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, ia seharusnya boleh dilakukan terhadap bahasa Melayu.

"Saya ingin tahu juga, untuk memartabatkan bahasa Melayu berapa jumlahnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku antologi sajak bertajuk "Mengabdi, Melestari" sempena ulang tahun ke-30 Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini Jumaat.

Peruntukan RM5 bilion itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.

Sementara itu A Samad Said yang juga Penasihat Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PPSMI sebagai bukan pemansuhan PPSMI, tetapi menangguhkan pemansuhan.

"Cuma yang saya tidak setuju, ia (pemansuhan PPSMI) bukan sekarang, bukan tahun depan tetapi ia 2012," katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau memahami bahawa pemansuhan itu tidak dapat dilakukan serta merta dan kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat itu sudah cukup baik.

Ustaz Azizan hidup penuh sederhana

Wan Nordin Wan Yaacob

TANPA disangka, kedatangan krew Harakah ke Kedah yang tidak dirancang, disambut mesra Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak meskipun hanya membuat temu janji saat akhir.

Misi utama adalah untuk mendapatkan ulasan mengenai isu-isu kontroversi membabitkan kerajaan negeri. Seawal jam 7.00 pagi, kami sudah berada di hadapan kediaman Ustaz Azizan di Sungai Limau dengan harapan dapat bertemunya.

Ustaz Azizan tersenyum mesra menyambut kehadiran kami di muka pintu rumahnya, dan tanpa berlengah menjemput kami masuk untuk turut serta bersarapan.

Markas PAS Jerai

"Yeh, pi beli sat mi ka, nasi lemak ka, kueh-kueh manis sikit, nak jamu depa ni," ujar Ustaz Azizan kepada pembantu beliau yang berada di rumahnya.

Rumah yang didiami Ustaz Azizan terletak di tepi Jalan Alor Star-Sungai Petani. Paling menghairankan, beliau duduk di rumah yang turut menempatkan markas PAS Kawasan Jerai.

Tidak terfikir di benak mana-mana rakyat di negara ini akan kehidupan sederhana seorang Menteri Besar selain kehidupan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di Kedah, rakyatnya sangat bertuah memiliki Menteri Besar yang hanya duduk di rumah sendiri yang bersebelahan rumah rakyat; di belakang rumahnya terbentang sawah padi saujana mata memandang.

Beliau sendiri tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, Alor Setar.

Mudah bertemu rakyat

Kehidupan Ustaz Azizan lebih selesa di kampung yang mana beliau lebih mudah bertemu dengan rakyat, manakala rakyat mudah berhubung dengannya bagi mengadu hal semasa.

Berkain pelikat dan berbaju pagoda putih sudah menjadi kebiasaan Ustaz Azizan sejak 15 tahun menjadi wakil rakyat dan kini menjadi Menteri Besar.

Melayan para tetamu di rumahnya tidak pernah jemu, sebut apa sahaja masalah beliau sedia mendengar. Prinsip beliau mudah, tidak mahu promosi atau populariti kerana apa yang dilakukannya hanya untuk berbakti kepada rakyat dan mendapat keredaan Allah.

Jadual hidupnya mudah, berada di rumah sendiri untuk bertemu rakyat, dan sesekali singgah di Sri Mentaloon untuk bertemu tetamu dari luar atau urusan rasmi.

Medah dakwah

Selain itu, kediaman rasmi turut dijadikannya sebagai medan dakwah apabila dua kali Sabtu dalam sebulan akan diadakan kuliah bersama Dato' Dr Haron Din dan beberapa pendakwah tempatan.

Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid memaklumkan Harakah bahawa Ustaz Azizan tidak mengambil elaun-elaun selaku pengerusi beberapa syarikat berkepentingan kerajaan negeri (GLC), malah banyak mewakafkan sebahagian pendapatannya untuk rakyat dan parti.

Sekian lama menjadi Adun Sungai Limau sejak 15 tahun lalu, beliau tidak pernah 'lokek' dengan senyuman, wangnya dibelanjakan untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat.

"Saya mahu rakyat selesa, duduk aman damai dan sejahtera." Itulah prinsip utama Ustaz Azizan yang dipegang sejak sekian lama.

Beliau akan berada di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman seawal jam 9.00 pagi dan pulang kira-kira jam 6.00 petang. Beliau akan menghadiri pelbagai program yang telah disusun termasuk acara rasmi kerajaan, pertemuan dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri, pertemuan dengan tetamu rasmi atau tidak rasmi.

Mudah didekati

Seperti kata jiran sebelah rumahnya, yang dikenali sebagai Haji Man atau Pak Long, yang memuji keramahan dan kesederhanaan Ustaz Azizan, bahawa beliau sangat mudah didekati berbanding menteri besar sebelum ini.

Kehidupan Ustaz Azizan mudah, makan cara kampung, duduk di rumah yang kecil tidak seperti sesetengah menteri besar dan bekas menteri besar.

Isterinya mudah melayani tetamu dengan menghidangkan air dan makanan sendiri tanpa mengharapkan pembantu rumah.

Kehidupan anak-anaknya mudah, bersekolah di sekolah agama sama seperti anak rakyatnya, malah pergaulan mereka juga adalah di kalangan anak-anak rakyat marhaen.

Jaga lalu-lintas

Anaknya sudah biasa melakukan kerja-kerja 'budak parti', menjadi anggota Unit Amal, daripada menjaga keselamatan lalu lintas pada program ceramah hinggalah mengangkat kerusi.

Seharian bersama Ustaz Azizan memperlihatkan seorang menteri besar yang hidupnya sederhana, mudah dan 'humble' yang menghampiri kehidupan 'sederhana' Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Pastinya penduduk di luar Kedah mencemburui rakyat negeri Jelapang Padi kerana memiliki seorang menteri besar yang hidupnya sederhana seperti rakyat kebanyakan.

-harakahdaily-

Mahathir: 100 hari Najib 'lebih banyak negatif'

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif".

Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari esok.

bukit gantang by election mahathir ceramah and luncheon 060409 04Bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas menyampaikan ucap utama program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" yang diadakan secara tertutup, Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Masa depan orang Melayu

Ketika ditanya mengenai nasib orang Melayu di negara ini, Dr Mahathir berkata, ianya bergantung kepada orang Melayu sendiri.

“Mereka harus bertindak untuk orang Melayu tetapi lima tahun pentadbiran (Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi rosak semua - rakyat, ekonomi, kewangan dan parti-parti BN.

“Tetapi saya tidak dengar orang Melayu komplen terhadap Tun Abdullah,” katanya.

Mantan perdana menteri itu berkata, orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, mereka bimbang apa yang akan berlaku kepada mereka nanti dan mereka harus tahu apa yang akan berlaku dalam negara mereka sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, parti pembangkang tetap diperlukan untuk menegur kerajaan jika membuat salah.

“Tidak pedulilah DAP atau PAS, kita perlukan pembangkang kerana orang kita tidak tegur walaupun kerajaan buat tidak semuanya benar,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata, sepanjang 38 tahun penggubalan dasar tersebut, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terbaik.

Sepatutnya, kata beliau, orang Melayu menggunakan DEB untuk kepentingan ekonomi mereka tetapi sebaliknya menyalahgunakannya.

Orang Melayu, katanya, menyalahgunakan lesen, kontrak dan permit import yang diluluskan (AP)

'DEB tidak salah tetapi yang salah (ialah) kerana orang yang menyalahkan lesen, kontrak dan AP itu,” katanya.
-malaysiakini-