"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Penduduk kampung ikat 2 pencuri kelapa pada pokok (Gambar)

Bernama


SITIAWAN: Dua lelaki menerima padah akibat mencuri kelapa, apabila orang kampung bertindak menangkap dan mengikat mereka pada sebatang pokok kelapa sebelum diserahkan kepada anggota polis di kawasan Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, beberapa orang kampung berjaya mencekup kedua-dua individu itu yang tidak menyedari pergerakan mereka memanjat pokok kelapa setinggi 5m diperhatikan seorang pemilik kedai runcit berhampiran sekolah berkenaan.

Bekas ketua kampung, Mohd Yaacob Hashim, 65, berkata sebaik menerima maklumat, beliau bersama 10 penduduk lain bergegas ke lokasi dan mendapati seorang daripada suspek sudah berada di dalam kereta Proton Wira, manakala seorang lagi mahu ke kedai berhampiran.

“Di dalam kereta itu terdapat beberapa tandan buah kelapa dan saya tidak pasti buah itu diambil di kampung ini sendiri atau tempat lain.

“Mereka mengaku mengambil kelapa itu dan kami terus menangkap dan mengikat kedua-duanya pada pokok kelapa menggunakan tali yang mereka guna untuk menurunkan kelapa dari pokok,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yaacob berkata, tujuan mengikat kedua-dua suspek berumur belasan tahun dan awal 30-an itu untuk memberi pengajaran kepada mereka.

“Kami ikat 2 lelaki itu sementara menunggu polis tiba dan tidak memukul atau mencederakan mereka kerana mahu pihak polis yang mengambil tindakan.

“Siapa sangka di bulan mulia ini, masih ada individu yang melakukan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.

Yaacob berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun merayu untuk dilepaskan sambil mengaku ia pertama kali dilakukan, namun semuanya terlambat dan kejadian itu perlu dijadikan pengajaran kepada individu lain.

Kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial termasuk Facebook.

Suami wanita tunjuk isyarat lucah tampil mohon maaf


Sejak semalam menjadi tular di laman sosial sebuah video yang memaparkan tindakan seorang wanita yang dilihat mengamuk dengan menunjukkan isyarat lucah dan mambaling kasut kepada pemandu kereta lain gara-gara berebut parkir di pekan Kuah, Langkawi.

Di dalam video yang berdurasi kira-kira 42 saat itu telah dirakam oleh seorang wanita yang berada di dalam kereta yang dibaling kasut itu dan dimuatnaik kira-kira jamg 7 malam dua hari lalu.

Video itu ternyata menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen di mana rata-rata menempelak tindakan wanita berkenaan kerana tindakan keterlaluannya.

Memetik laporan Harian Metro, suami kepada wanita yang menunjukkan isyarat lucah berkenaan, Muhammad Jefry Sudin, 33, telah tampil membuka mulutnya untuk mengulas mengenai kekecohan yang berlaku itu.

Menurut beliau, ketika dia telah meletak kereta yang turut dinaiki isterinya, Siti Khadijah Awang, 28, di sebuah ruang pakir berhampiran tapak Bazar Ramadan di pekan Kuah itu.

“Sebelum kejadian itu, saya sedang memandu kereta, manakala di hadapan saya ada sebuah kereta dinaiki tiga wanita dan kami sama-sama sedang mencari ruang untuk meletak kenderaan.

“Ada satu ruang kosong, ketika itu kereta di hadapan saya sudah terlajak, jadi saya yang sempat masuk ke ruang kosong itu untuk meletak kenderaan,” katanya.

Menurut Muhammad Jefry, pemandu kereta yang merakam video berkenaan telah mendakwa ruang kosong itu miliknya, selain melemparkan kata-kata kesat yang menimbulkan rasa marah isterinya sehingga tercetus perbuatan menunjukkan isyarat lucah dan membaling kasut.

“Dari segi itu (perbuatan menunjukkan isyarat lucah dan membaling kasut) saya bagi pihak isteri mohon maaf dan saya pun tidak menjangkakan dia bertindak sampai begitu.

“Saya menganggap kejadian itu kecil saja dan ia menjadi tular apabila wanita yang dipercayai perakam kejadian itu memuat naik ke media sosial, sekali gus mendapat pelbagai komen orang ramai,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Jefry meminta orang ramai yang menonton video itu di laman sosial tidak membuat komen melulu dan menyalahkan isterinya 100 peratus tanpa mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Berdasarkan ‘posting’ pemandu yang memuat naik video itu, dia mendakwa dia orang pertama tiba di pakir berhampiran bazar Ramadan itu dan menunggu kereta lain untuk keluar.

Semasa menunggu kereta lain keluar dari parkir, dia telah memberikan isyarat untuk memasuki tempat letak kereta tersebut sebelum dipintas kereta pasangan berkenaan yang kemudiannya meletak kenderaan mereka di situ.

Kejadian itu menyebabkan wanita itu membunyikan hon namun tidak beri laluan sebaliknya dimarahi oleh pasangan itu yang turut memukul keretanya. 
– Siakapkeli.my

Lelaki maut selepas bergaduh dengan isteri

Sarikei – Seorang tukang rumah dijumpai maut dengan kesan luka di beberapa anggota badan dalam keadaan terlentang di depan kediamannya di Jalan Repok di sini, pada jam 11.24 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Mat Jusoh Mohamad, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Young Teck Hoo, 43, dan dipercayai meninggal dunia selepas berlaku pertengkaran dengan isterinya.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati ada kesan luka di bahagian dahi, pipi kiri, batang hidung, bahagian belakang kepala dan bahagian lutut kiri kanan si mati dipercayai berlaku ketikanya rebah.

“Tiada kecederaan serius pada badan mangsa yang memungkinkan sebab kematiannya,” katanya.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan serta anak lelaki.

Bagaimanapun, katanya, akibat perselisihan faham lelaki terbabit tinggal berasingan dengan isterinya

“Pertengkaran antara antara dan isteri dilaporkan ketika isteri dan anak perempuannya datang ke rumah itu untuk membawa balik anak lelaki mereka.

“Pertengkaran itu dileraikan oleh teman wanita mangsa, seorang wanita warga Indonesia yang tinggal bersamanya. Sejurus dileraikan lelaki berkenaan terus melutut dan rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” katanya.

Susulan kejadian, katanya, polis merampas sebatang kayu berukuran 19.5 sentimeter di tempat kejadian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. – BH Online

Pas kembali ke perigi buta, kata Mahfuz

MALAYSIA DATELINE
"Saya gembira bercampur duka. Tetapi nampaknya keputusan itu seakan mahu menarik Pas kembali terjun ke dalam perigi buta," kata Datuk Mahfuz Omar, ahli parlimen Pokok Sena dari Pas ekoran keputusan partinya yang akan kekal dalam kerajaan negeri Selangor.

"Saya teruja, gembira dan bangga kerana Pas terus kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor," kata Mahfuz dalam kenyataan medianya.

Keputusan itu bukan sahaja semata-mata mengekalkan 3 Exco tetapi secara langsung turut mengekalkan lebih dari 5 ribu ahli Pasyang menjawat pelbagai jawatan lantikan politik sejak parti itu bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Ini suatu yang sudah tentu membuatkan lebih 5 ribu ahli Pas yang terlibat 'menarik nafas lega' kerana banyak manfaat dan faedah yang mereka perolehi sejak tertubuhnya Kerajaan Pakatan Rakyat dahulu," katanya.

Beliau yakin, Datuk Iskandar Samad Naib Presiden Pas telah berjaya mempengaruhi keputusan untuk tidak menarik diri dari pentadbiran kerajaan Selangor.

Ia dibuat walaupun pernah dituduh oleh Dewan Ulamak Pas Selangor yang menyindir kenyataan Adun dan Ahli Parlimen Pas dengan menulis, "bila berhadapan dengan ujian di dalam jamaah kita nampak dengan mata kepala kita sendiri."

"Selama ni kita bicara menerusi kitab-kitab haraki sahaja.. sekarang kita lihat dan saksi dengan realiti," kata Mahfuz memetik kenyataan Najhan Halim, ketua penerangan Dewan Ulama Pas Selangor.

Antara yang disenarai Najhan dalam 10 perkara ekoran kenyataan wakil rakyat Pas Selangor itu adalah seperti berikut:

1. Sayang jawatan
2. Takut kalah
3. Hilang jatidiri
4. Jawatan dalam kerajaan lebih tinggi daripada jawatan dalam jamaah
5. Hilang bergantung kepada Allah. Lebih kepada manusia
6. Kepentingan jamaah tak lagi diutamakan
7. Terlalu sayang kepada nikmat harta ghanimah bimbang terlepas
8.Tak yakin dengan janji Allah
9. Banyak alasan diberi daripada taat dan patuh serta wala
10. Mencari peluang dunia dilebihkan daripada habuan akhirat.

Menurut Mahfuz, kenyataan Najhan itu telah dibalas oleh Iskandar yang merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor ketika itu dalam posting di facebooknya pada Julai 2016 dengan menyatakan "golongan ini (ulamak) umpama masih berada dalam 'perigi buta' sejak PRU tahun 2008 kerana tidak melihat banyaknya manfaat yang PAS dapat".

Bagi beliau, kenyataan Iskandar ini memperlihatkan keputusan Pas seakan mahu menarik Pas kembali terjun ke dalam 'perigi buta' (telaga buruk).

KENAPA BERDUKA

"Rakyat, ahli, penyokong Pas dan saya sendiri berduka kerana Pas sedang berhadapan dengan kesan dari kesilapan memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR dan kekal didalam Kerajaan Selangor dengan berketuakan Menteri Besar dari parti PKR yang didakwa menentang agenda Islam Pas," katanya.

Di samping itu Pas juga, katanya, telah mengisytiharkan perang pada PRU ke 14 akan datang untuk menentang Pakatan Harapan termasuk di negeri Selangor yang mana PKR, Amanah, PPBM dan DAP adalah ahli gabungan pakatan didalamnya.

"Oleh demikian, berdasarkan congakan 'ilmu hisap' politik adalah sukar untuk Pas berada di luar 'perigi buta' selepas PRU14 nanti sekiranya Pasmengambil jalan untuk menentang BN dan dalam masa yang sama menentang Pakatan Harapan," kata Mahfuz.

Bagi Mahfuz, masih belum terlambat untuk Pas menyemak kembali keputusan untuk tidak bersama dan menyertai Pakatan Harapan.

"Apa yang Pas perlu sedar adalah menyertai PRU ke14 dengan tiga penjuru tidak menguntungkan Pas sebaliknya Pakatan Harapan akan berjaya memposisikan kedudukkan politik masa depan negara bagi mengambil alih kuasa dari Umno BN," katanya.

Katanya, rakyat mahukan kuasa politik baru di mertabatkan dengan mengalahkan Umno BN dan rakyat juga tidak akan membuang masa serta tenaga untuk mengundi Pas yang hanya sekadar berminat bertanding 80 ke 100 kerusi serta mensasarkan kemenangan 40 kerusi parlimen sahaja.

Ini kerana ia sudah pasti tidak dapat membentuk kerajaan kerana masyarakat umum telah memahami bahawa untuk membentuk kerajaan mesti memenangi minima 112 kerusi dari 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, katanya.

"Saya sependapat dengan Datuk Iskandar, tak mahu melihat Pas kembali 'perigi buta' (telaga buruk)," katanya.

‘Saya mahu letupkan pesawat ini!’ jerit lelaki dalam penerbangan Malaysia Airlines

FMT Reporters

Lelaki yang memegang alat menyerupai jack atau beatbox iPhone itu berjaya dikawal beberapa penumpang
Lelaki berusia 25 tahun yang berjaya dikawal penumpang selepas mengancam meletupkan pesawat MH128, malam tadi.

Lelaki berusia 25 tahun yang berjaya dikawal penumpang selepas mengancam meletupkan pesawat MH128, malam tadi.

PETALING JAYA: Seorang penumpang lelaki yang cuba menceroboh masuk ruang kokpit sebuah pesawat Malaysia Airlines dalam perjalanan dari Melbourne ke Kuala Lumpur malam tadi mengancam mahu meletupkan pesawat itu, sebelum beberapa penumpang lain mengambil tindakan menahannya.

Beberapa saksi dipetik sebagai berkata lelaki yang berusia 25 tahun itu membawa sebuah alat bersaiz tembikai dengan 2 antena.

“Ia amat besar, berwarna hitam dan mempunyai 2 antena, tetapi seakan-akan alat pengecas iPhone,” seorang penumpang bernama Andy memberitahu akhbar Herald Sun.

“Ia mungkin alat beatbox,” katanya.

Lelaki itu kemudian dikenalpasti sebagai seorang warganegara Australia berasal dari Dandenong di tenggara Melbourne.

Andy menceritakan detik-detik cemas sejurus selepas penerbangan MH128 berlepas dari Lapangan Terbang Melbourne.

“Kami baru sahaja 10 minit dalam penerbangan. Saya di kerusi 4A dalam kelas bisnes, dan saya terdengar si bodoh ini mahu masuk berjumpa juruterbang,” beliau memberitahu Herald Sun.

Selepas anak kapal menyuruhnya duduk, lelaki itu membalas dengan mengancam mahu meletupkan pesawat itu, mencetuskan panik.

“Saya meninggalkan tempat duduk dan menghampirinya. Saya tanya, kau ingat apa yang kau nak lakukan?

“Dia jawab: ‘Saya nak letupkan pesawat ini. Saya akan letupkan pesawat ini’.”

Andy berkata dia dan 2 orang lagi penumpang lain berjaya mengawal lelaki itu, sementara penerbangan berpatah balik.

Sejurus mendarat di Melbourne, pihak berkuasa dikatakan mengambil masa lebih sejam sebelum menggempur pesawat.

“Keselamatan penumpang menjadi keutamaan dan kami perlu mengambil kira beberapa pilihan,” kata jurucakap polis persekutuan Australia, Martin Good, dipetik The Australian.

MH128 merupakan salah satu daripada 2 penerbangan rutin harian dari Melbourne ke Kuala Lumpur.

Penerbangan itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.28 pagi tadi.

Penumpang yang terkandas ditempatkan di hotel sementara menunggu penerbangan seterusnya.

Kecoh Shah Rukh Khan meninggal dunia

Khabar angin kematian aktor Bollywood Shah Rukh Khan yang didakwa terlibat dalam kemalangan apabila kapal terbang peribadinya terhempas telah tersebar di laman sosial pada Ahad.

Kemudian muncul semula laman Facebook R.I.P Shah Rukh Khan yang diwujudkan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi menarik perhatian netizen sehingga menerima hampir satu juta like.

“Pada kira-kira 11 pagi, Ahad lalu (28 Mei 2017), pelakon yang kita cintai Shah Rukh Khan meninggal dunia. Shah Rukh Khan dilahirkan pada 2 November 1965 di New Delhi. Pemergiannya akan dirindui tapi tidak akan dilupakan.

“Sila tunjukkan simpati dan takziah anda dengan menulis komen di laman Facebook ini,” tulis status pada berita palsu tersebut.

Beratus-ratus peminat aktor berkenaan meninggalkan komen dan ucapan takziah dengan menyatakan rasa sedih terhadap berita berkenaan.

Bagaimanapun, segelintir peminat tidak mempercayai berita palsu tersebut berikutan terlalu banyak berita palsu tentang kematian artis terkenal.

Mereka berkata, berita penting itu seharusnya dilaporkan oleh media-media utama di India dan bukan hanya sekadar di laman Facebook.

Pada Isnin lalu, wakil kepada pelakon Kuch Kuch Hota Hai menerusi satu kenyataan menafikan perkara berkenaan.

“Beliau kini turut termasuk dalam senarai panjang selebriti yang menjadi mangsa penipuan ini. Dia masih hidup dan berada dalam keadaan baik. Berhenti mempercayai apa yang anda baca di Internet,” ujarnya.
-kualalumpurpost

Aduka Taruna cerita insiden kena tampar

















24.5.2017

Pagi semalam, Khairul Nizam Abd Ghani menjangkakan pertemuan biasa dengan pegawai Kumpulan Perumahan Rakyat Kelantan (KPRK) untuk membincangkan masalah dihadapi orang ramai di negeri itu.



Tetapi apabila tiba di tempat yang sepatutnya, pengerusi Parti Sosialis Malasya (PSM) itu terkejut.

Katanya, dia menghulurkan salam kepada Pengarah Urusan KPRK, Nik Salman Nik Din, namun apa yang diterima adalah tamparan pada muka.

Seorang lelaki lain yang menemani Nik Salman kemudian datang secara agresif dan berlaku pergelutan, menyebabkan Khairul Nizam terpaksa mempertahankan diri.

"Pergaduhan berlangsung selama kira-kira dua atau tiga minit.

"Saya kena mempertahankan diri dan (semasa pergaduhan berlaku) beberapa peralatan dalam pejabat rosak," katanya menceritakan insiden itu kepada Malaysiakini hari ini.

Kira-kira jam 11 pagi semalam, Khairul Nizam - yang turut dikenali dengan nama Aduka Taruna - bersama beberapa pengadu mahu mengemukakan bantahan mengenai projek perumahan KPRK yang tergendala.

Mereka sepatutnya bertemu dengan Nik Salman untuk mendapatkan penjelasan.

Sebelum ini pun, kata Khairul Nizam, mereka sudah bertemu dengan pegawai KPRK terbabit beberapa kali dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Biasanya, mereka akan menjemput kami ke pejabat Nik Salman untuk mesyuarat tetapi semalam, kata Khairul Nizam, pegawai terbabit keluar dari pejabat bersama seorang lelaki yang mungkin pengawal peribadinya.

"Macam selalu saya hulurkan tangan untuk memperkenalkan diri walaupun dia sudah kenali saya.

"Mukanya ketika itu sangat marah, dan tiba-tiba dia menampar saya," katanya.

Pergaduhan itu akhirnya terlerai pengadu masalah perumahan dan Khairul Nizam mengeluarkan telefon tangan masing-masing untuk merakamkan kejadian berkenaan.

Katanya, PSM sebelum ini pernah membantu guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang membeli rumah KPRK yang terbengkalai selepas 90 peratus disiapkan.

Nafi ahli PAS

Menurut Khairul Nizam, Nik Salman begitu berang semalam kerana isu perumahan itu menjadi tular di media sosial apabila PSM membantu pembeli terbabit.

Semasa berbincang selepas pergaduhan dileraikan, Khairul Nizam mendakwa Nik Salman mengeluarkan notis kepada pengadu dan mengugut untuk membatakan perjanjian jual beli mereka kerana wujudnya campur tangan PSM.

Pada penghujung sesi perbincangan itu, kata Khairul Nizam, dia menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman.

"Tapi sebagai perlindungan, (saya beritahu dia) saya kena buat laporan polis.

"Nik Salman kata, terserahkan, tapi dia sudah buat laporan lebih awal mengenai kejadian itu," katanya.

Sementara itu Nik Salman ketika dihubungi Malaysiakini berkata, apa yang berlaku bukanlah isu besar.

Katanya, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan pihak berkuasa wajar diberi ruang menjalankan siasatan terlebih dulu.

"Biarkan siasatan polis berjalan dulu," katanya.

Nik Salman juga menafikan dia adalah anggota PAS, sebaliknya mendakwa tidak menyertai mana-mana parti politik.
-malaysiakini

‘Pencabul’ meninggal dunia, adik minta siasatan terperinci

Bernama

ALOR SETAR: Adik kepada suspek yang meninggal dunia selepas dipukul orang awam kerana disyaki mencabul seorang wanita di bangunan menjual peralatan komputer dan telefon bimbit di Jalan Putra meminta pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian adiknya itu.

Adik mangsa yang dikenali sebagai Fizah, 20, berkata kejadian ini tidak patut berlaku memandangkan abangnya (suspek) berusia 31 tahun tidak diberi peluang untuk membela diri dan dipukul sebegitu rupa.

“Sejak malam tadi doktor memberitahu abang tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan kerana otaknya sudah mati.

“Kami sangat mengharapkan abang dapat kembali pulih bagi menerangkan kejadian sebenar, tetapi Allah lebih sayangkan abang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Fizah berkata, Allahyarham adalah anak ke-4 dari 7 beradik.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di zon merah HSB tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu, seorang lelaki dipukul oleh orang awam selepas dipercayai cuba mencabul seorang wanita di dalam tandas premis tersebut.

Suspek bagaimanapun gagal melarikan diri selepas wanita terbabit menjerit dan meronta sebelum suspek ditahan dan dipukul oleh orang awam yang berada di premis itu.

Ustaz Pas 'meluat', 'menyampah' pemimpin DAP buka puasa dengan orang Islam

ARIF ATAN
Status Facebook Ustaz Salehhuddin Nasir yang tidak rasional ketika umat Islam berada di hari kedua bulan Ramadan dibanjiri kecaman pengguna media sosial
Status Facebook Ustaz Salehhuddin Nasir yang tidak rasional ketika umat Islam berada di hari kedua bulan Ramadan dibanjiri kecaman pengguna media sosial

Selepas aksi bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Hafiz Nordin menampar Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Zaidi Ahmad, 26 Mei lalu, pemimpin Pas Gombak pula mengejutkan banyak pihak dengan kecamannya pada hari kedua umat Islam berpuasa.

Salehhuddin NasirSalehhuddin NasirMeluahkan isi hatinya di Facebook pada 28 Mei lalu, Yang Dipertua Pas kawasan itu, Salehhuddin Nasir jelas tidak menyenangi kehadiran pemimpin DAP dalam majlis berbuka puasa bersama penganut Islam.

Beliau dalam status di media sosial itu jam 10.59 malam, secara berterus-terang mengakui "meluat (dan) menyampah" dengan keadaan tersebut yang dianggapnya sebagai menyibuk.

Salehhuddin Nasir
"Masa lain buat pesta arak dan pesta onani. Haram jadah sungguh," katanya merujuk kepada program yang dikaitkan dengan Penang Tourism tetapi sebenarnya tidak wujud seperti disahkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, 27 Mei lalu.


Tidak cukup itu, Salehhuddin menujukan petikan ayat enam, Surah Al-Kafiruun yang bermaksud 'untukmu agamamu, untukku agamaku' kepada masyarakat Islam.

"Kepada orang Islam, Allah dah sebut lakum dinukum waliyadin," ujarnya yang kemudian mengundang lebih 400 komentar selepas 24 jam dimuat naik dengan majoritinya mengutuk sikap pemimpin Pas kawasan di Selangor itu.

Lanjut memanaskan kenyataan apabila beliau dengan butiran pada profil Facebook, "Mengejar syurga yang telah sedia menanti" mengaitkan Amanah dan PKR pula sebagai 'macai' DAP.

"Sori saya tak perlu pandangan sufi tasauf di sini. DAP musuh Islam. Pan (panggilan lazim pemimpin dan penyokong tegar Pas terhadap Parti Amanah Negara), PKR macai DAP!!" kecamnya lagi.

Kenyataan tersebut biarpun memperoleh hampir 200 'likes' pada tempoh sama bagaimanapun menyaksikan komentar pro Salehhuddin atau Pas 'ditenggelami' dengan cemuhan pengguna media sosial atau netizen.

Antaranya mendesak Salehhuddin memperbanyak mengucap dua kalimah syahadah selain menyifatkan tidak memiliki ciri sosial Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Terdapat juga netizen meletakkan pautan laporan berita mengenai Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang turut berdoa bersama penganut Islam di masjid.

Tidak kurang juga sejumlah pengagum Ustaz Salehhuddin sebelum ini lantaran ceramah agamanya yang menarik telah mengisytiharkan menolak pemimpin Pas akar umbi itu ekoran status Facebook tersebut.

Mengejutkan statistik Jabatan Perangkaan KL bakal jadi bandar orang kaya, pekerja asing sahaja?

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP memberi amaran Kuala Lumpur bakal hanya didiami oleh golongan kaya dan pekerja asing, sekiranya trend penghijrahan penduduk ibu kota ke negeri lain berterusan seperti yang didedahkan dalam Laporan Penyiasatan Migrasi 2016 minggu lepas.


Laporan yang menunjukkan kadar penghijrahan dalaman rakyat Malaysia itu mendapati Kuala Lumpur dan Perak merupakan antara wilayah paling tinggi penduduknya berhijrah ke tempat lain.
Ia juga menunjukkan Selangor dan Pulau Pinang paling banyak menerima penduduk dari negeri lain.

“Jika trend ini berterusan, Kuala Lumpur bakal menjadi bandar raya yang hanya didiami golongan kaya dan ekspatriat di samping pekerja asing yang miskin,” kata Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming.

Walaupun laporan Jabatan Perangkaan Malaysia itu tidak memberikan punca penghijrahan secara terperinci, Ong mengandaikan penduduk Kuala Lumpur mungkin bergelut denan harga hartanah yang melambung dan lebih tertarik kepada dasar kerajaan negeri Selangor.

Ong berkata hakikat yang Selangor dan Pulau Pinang terus menjadi penerima terbesar rakyat Malaysia yang berpindah dalam negara menunjukkan mereka yakin dengan pentadbiran negeri itu.

Statistik menunjukkan dalam tempoh 7 tahun antara 2009 dan 2016, Selangor dan Pulau Pinang menerima penghijrah tempatan paling ramai.

Ia disusuli Kelantan, Sabah, Sarawak dan Melaka. Negeri-negeri lain bagaimanapun hanya mencatatkan perpindahan keluar penduduknya.

“Angka Laporan Migrasi jelas menunjukkan rakyat Malaysia mengundi dengan kaki mereka dengan berpindah beramai-ramai ke Selangor dan Pulau Pinang.

“Ini petanda jelas rakyat Malaysia mempunyai keyakinan tinggi terhadap kerajaan Selangor dan Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan (PH),” kata Ong.

Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS pada pilihan raya umum 2008. Bagaimanapun, gabungan politik mereka dibubarkan selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP, dan terkini dengan PKR. Parti Islam itu bagaimanapun kekal dalam pentadbiran negeri Selangor.

'Akulah Tuhan, sembahlah aku' kejutkan jemaah

Hidayah Hairom & Noraniza Jaafar

Kejadian berlaku di Masjid Amru Ibni Al'As, Bandar Baru Sentul.
KUALA LUMPUR - "Akulah Tuhan, sembahlah aku" kata-kata itu mengejutkan ratusan jemaah Masjid Amru Ibni Al'As, Bandar Baru Sentul, yang sedang solat Isyak kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Laungan itu diikuti dengan kata-kata "ha bagus, sembah lagi" ketika jemaah sedang rukuk dan sujud.

Meskipun terganggu dengan situasi mengejutkan itu ia bagaimanapun tidak menjejaskan solat yang masuk pada rakaat ketiga setelah imam menguatkan suara.

Salah seorang jemaah, Mohd Ali Oshman, 52, yang berada di saf ketiga ketika kejadian berkata, dia terkejut dan terganggu dengan insiden itu.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai tidak bersama dalam saf solat namun tiba-tiba masuk ke ruang solat utama mengadap jemaah sambil melaungkan kata-kata itu.

"Imam menguatkan bacaan takbir 'Allahhuakhbar' bagi meredakan situasi sebelum beberapa kakitangan dapur masjid datang membawa keluar lelaki itu,"katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Syabandi Saarani, 40, berkata, ketika insiden itu dia sedang mengambil wuduk.

"Saya dengar kekecohan itu dan bunyi bising ketika ada pihak yang membawa lelaki itu keluar dari dalam ruang solat,"katanya.

Sementara itu, Bilal masjid, Reza Iskandar, yang mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun menasihati jemaah agar tidak bimbang dengan keadaan itu kerana dalam keadaan terkawal.

Ujarnya, insiden itu merupakan kejadian ketiga pada tahun ini melibatkan individu sama di mana lelaki berkenaan juga pernah mengaku diri sebagai dajjal.

"Lelaki berusia 30-an itu merupakan kariah tetap masjid dan mempunyai masalah kesihatan mental dan bergantung dengan ubat. Dia dalam keadaan berhalusinasi dan tidak sedar apa yang dia buat.

"Sebelum ini ada laporan polis telah dibuat. Namun untuk hari ini pihak masjid telah uruskannya. Tiada sebarang keganasan berlaku dan semuanya terkawal.

"Lelaki ini dikenali dengan perwatakan yang baik dan merupakan jemaah tetap pada setiap solat fardu di masjid ini," katanya.
-sinarharian

Peniaga warung diarah beri penjelasan nasi campur RM32

FMT Reporters
PETALING JAYA: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Terengganu mengeluarkan surat amaran kepada seorang peniaga warung di Kemaman untuk menjelaskan isu nasi campur berharga RM32.

Pengarahnya, Azlan Abdul Samat yang dipetik China Press dan Sin Chew Daily berkata, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, peniaga itu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, jika didapati mengaut keuntungan berlebihan.

Katanya, penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan cawangan Kemaman menjalankan pemeriksaan ke atas kedai terbabit pada Rabu lalu, susulan aduan seorang pengguna yang tersebar di media sosial.

Beliau berkata, selain diberikan surat amaran, 3 jenis lauk turut disita kerana tidak diletakkan tanda harga.

Minggu lalu, pengadu yang juga seorang bapa tunggal terkejut apabila sepinggan nasi yang berlauk seekor udang besar, 2 keping sotong dan sedikit kangkung dicaj RM32.

Beliau kemudiannya memuat naik gambar nasi campur itu ke Facebooknya dan ramai pengguna media sosial turut mengkritik peniaga terbabit mengenakan harga tidak masuk akal.

Pengadu kemudiannya dilaporkan mahu menyaman apabila peniaga terbabit mempertahankan diri dengan mendakwanya menyorokkan sekeping lagi sotong di dalam nasi dan saiz udang galah gred A kelihatan lebih kecil daripada saiz sebenar dalam gambar yang disebarkan.

Zahid Hamidi peluk pemimpin Pas tular di media sosial

ARIF ATAN
Aksi mesra Zahid dan Khairuddin makin menguatkan tanggapan umum tentang kerjasama Umno-Pas menjelang PRU14.

Bagai sahabat lama, aksi mesra Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memeluk Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tular di media sosial sejak malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri yang berjubah dan berkopiah putih itu bersama segerombolan rombongannya dalam kunjungan Naib Presiden Umno berkenaan ke Terengganu sempena Ramadan ini.

Khairuddin merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus yang berpakaian warna perang dan berkopiah hitam itu pula dilihat tersengih apabila dipeluk Zahid.

Terengganu dilapor menjadi negeri pertama kunjungan Zahid untuk berbuka puasa selepas mengumumkan akan ke setiap negeri bagi majlis iftar bersama rakyat.

Bernama melaporkan Zahid semalam hadir pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) peringkat negeri dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari kawasam Kuala Nerus di Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Isyak dan Terawih di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, di Kuala Terengganu.

Foto pemimpin Umno dan Pas yang dikongsi pengguna Facebook itu mengukuhkan lagi tanggapan umum tentang hubungan dan kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Exco Pulau Pinang anjur program ‘bulan onani’?

Exco Pulau Pinang nafi anjur program ‘bulan onani’
Bernama

GEORGE TOWN: Polis menerima laporan daripada seorang exco kerajaan negeri hari ini yang menafikan terlibat dengan penganjuran 1 program tidak bermoral di Batu Ferringhi dekat sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata, Pengerusi Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Danny Law Heng Kiang dalam laporannya mendakwa beliau sama sekali tidak mengetahui mengenai program itu.

“Exco itu mengetahui mengenai perkara itu ketika berada di pasar Jelutong selepas seorang lelaki tidak dikenali memberikan 1 kertas kepada beliau dan apabila berada di rumah dia memeriksa kertas tersebut dan ia berkaitan program “bulan onani”,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan 1 kenyataan berkaitan program itu dimuat naik dan tular di laman Facebook dan mendakwa ia anjuran sebuah hotel dengan kerjasama Penang Tourism.

Sehubungan itu, Anuar berkata polis sedang mengesan pemilik akaun laman sosial itu bagi membantu siasatan.

Menurut Anuar, ia merupakan laporan ke-2 yang diterima polis berhubung program berkenaan.

Sebelum ini, sebuah hotel di Batu Ferringhi membuat laporan polis menafikan menjadi penganjur program itu selepas sebuah kain rentang berhubung pesta berkenaan memaparkan nama hotel tersebut.

Sementara itu Ketua Menteri Lim Guan Eng semalam dilaporkan berkata, beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab didakwa tidak berpuas hati terhadap sektor pelancongan Pulau Pinang bertindak menyebarkan fitnah menerusi sebuah program yang tidak wujud.

Katanya, pihak terbabit juga dilihat cuba untuk sabotaj dan memudaratkan kerajaan negeri dengan membuat pembohongan melalui program yang tidak pernah dianjurkan di Batu Ferringhi di sini.

Bekas penasihat undang-undang Pas dedah kenapa sertai Amanah (video)

ARIF ATAN
Hisham Fauzi...saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk AmanahSem
Hisham Fauzi...saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk AmanahHisham Fauzi...saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk Amanah
Tampil berkongsikan rasa kecewanya terhadap Pas, peguam Hisham Fauzi memberitahu tiga daripada enam Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan telah menyertai Amanah.

Hisham Fauzi Hisham Fauzi Bekas penasihat undang-undang Pas itu tidak dapat lagi menerima sikap Pas pada masa ini yang gagal bertindak menyuarakan kesempitan ekonomi rakyat.

"Saya salah seorang enam daripada Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan. Kita dalam jawatankuasa membincangkan bagaimana untuk melaksanakan syariah di Malaysia.

"Tapi daripada enam itu, tiga sudah masuk Amanah. Dr Zulkarnain, peguam Tarmizi dan malam ini saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk Amanah," ujarnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Pengkalan Chepa, 25 Mei lalu.

Beliau menyifatkan pemimpin Pas termasuk ahli parlimen parti itu hanya seperti "pasu bunga" kerana tidak menunjukkan pendirian jelas membela rakyat dan masa depan negara.

"Negara kita sedang bermasalah, sikap ulamak dan parti Islam macam mana? Apa yang menyebabkan saya sedih dengan Pas, bila Najib bentang belanjawan 2017.

"Bila pembangkang-pembangkang lain membantah, undi tolak bajet tetapi wakil-wakil Pas berkecuali sedangkan kita mahu tunjukkan pada Najib yang kita marah pada BN.

"Tiba-tiba kita pergi Parlimen jadi pasu bunga, pergi duduk saja. Kita dibayar gaji berbelas ribu sebulan, pergi ke parlimen sepatutnya bawa jerih perih, tangis rakyat cakap pada Najib, rakyat susah. Nak undi tolak bajet Najib pun tak berani," bidasnya.

Turut mengecewakan Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun) itu apabila Pas enggan turut serta dalam desakan pilihan raya bersih dan adil.

"Apabila dihimpun gerakan Selamatkan Malaysia, kutip sejuta tandatangan kepada Agong, nyatakan bantahan kepada Najib, Pas juga berkecuali.

"Kita bantah pilihan raya yang berat sebelah, Bersih 5 mengadakan bantahan sikap tegas kepada kemungkaran tetapi sekali lagi Pas berkecuali. Ini adalah sikap mengecewakan," jelas bekas timbalan pengerusi lajnah undang-undang Pas Pusat itu.

Mengulas isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), Hisham berkata, usul persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Pas itu tidak menuruti pendekatan yang sewajarnya.

"Apa yang Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) buat pada sidang lepas, baca tajuk baru. Sebelum ini, tiga kali tangguh. Kalau Speaker kata boleh bahas, baru boleh bahas pada sidang akan datang.

"Kalau tak bahas, undi, bila lepas undi, pada masa itu, usul tersebut akan diberi kepada menteri yang berkenaan iaitu dalam kes ini Jamil Khir.

"Usul Marang akan diberi kepada menteri berkenaan sama ada undi untuk pinda, baiki, tambah atau potong. Serah pada menteri juga, peguam negara buat draf baru," jelasnya.

Beliau memberitahu terdapat 18 anggota jawatankuasa teknikal persekutuan yang dianggotainya termasuk wakil kerajaan pusat, penjara, polis, peguam negara, mahkamah dan Parlimen.

"Kita kena menghadap Raja-raja Melayu terlebih dahulu sebab bidang kuasa mahkamah syariah ini duduk bawah majlis raja-raja. Raja tandatangan, bentang di parlimen, tiada ahli parlimen Melayu bantah.

"Ini kaedah sebenar. Bila Pas bawa kucar-kacir habis. Himpunan (di Padang Merbok di ibu negara) bukan perkara yang dipersetujui (jawatankuasa)," ujarnya.

Sehubungan itu, Hisham mengajak rakyat terus menolak Umno-BN pada pilihan raya akan datang selain menggesa Pas berterus-terang menyatakan pendirian sebenar mereka.

"Kita mahu parti yang jelas sikapnya kepada Umno-BN. Kalau musuh, katakan musuh. Kalau duduk dalam, duduk dalam. Kalau duduk luar, duduk luar.

"Getah harga sekarang berapa? Kena fikir masalah rakyat. Masa depan negara nak letak di mana. Saya merayu kita istiqamah menentang Umno-BN," tambahnya lagi.

Remaja maut dipercayai terkena renjatan ‘power bank’ telefon

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicaj menggunakan ‘power bank’ di bilik tidurnya di Taman Merbok, Bukit Baru, Melaka semalam.

Mangsa, Syamirul Armizie Adenan, 19, ditemui meninggal dunia oleh ibunya Suriah Rahim di atas katil dengan kesan kulit melecet pada bahagian bahu kiri, kira-kira 8.10 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, kejadian hanya disedari oleh ibunya apabila mangsa tidak membuka pintu bilik selepas diketuk berulang kali sebelum dibuka dengan kunci pendua.

“Selepas berjaya dibuka, si mati ditemui dalam keadaan terbaring sambil mengenakan fon telinga yang disambungkan pada telefon bimbitnya dan dalam keadaan bercas pada sebuah power bank.”

Ibu mangsa, seorang jururawat, juga mendapati terdapat kesan melecet di bahagian bahu kiri dan power bank berada berdekatan bahu kiri si mati.

“Dia kemudian cuba menggerakkan remaja itu, namun menyedari anaknya tidak lagi bernyawa,” kata Kamaluddin dipetik Sinar Harian Online.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.