"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Siapakah tokoh penggerak pemulihan Yapeim?

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) sedang dalam fasa pemulihan yang aktif sejak 6 bulan yang lalu walaupun masyarakat umum hanya menyedarinya seminggu dua ini sahaja.

Pelbagai tindakan dalaman di sudut pentadbiran dan pengurusan telah pun dilaksanakan dan kemuncaknya ialah penggantungan Ketua Pengarah YaPEIM itu sendiri.

Itulah yang didedahkan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM yang dilantik oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, sebermula era Malaysia Baru. Nama susuk tubuh yang sederhana tapi sangat cemerlang ini ialah Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Beliau merupakan seorang yang sangat terkenal di dalam dunia ekonomi Islam. Beliau adalah anak Malaysia yang mendapat penghormatan tertinggi di dalam dunia kewangan Islam.

Bekas Professor di Kulliyah Undang-Undang UIAM dan bekas Timbalan Reaktor UIAM ini merupakan seorang ulama’, penasihat Syariah dan pakar dalam kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

Semua orang yang terlibat dalam dunia kewangan Islam secara profesional akan mengenali beliau.

Bukan mudah bagi seorang yang berbangsa bukan arab mendapat penghormatan dari bangsa Arab, tetapi beliau sangat dihormati di kalangan syarikat-syarikat Arab malah di kalangan penasihat syariah berbangsa Arab sendiri. Nama beliau adalah setaraf dengan nama besar seperti Sheikh Nizam Yakubi, Dr Mohamed Ali El-Gari dan Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah.

Selepas bersara dari UIAM, Beliau menjadi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group.

Sekarang ini beliau merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Lembaga Penyeliaan Syariah International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), Labuan serta penyandang Kursi Akademik Yayasan Tun Ismail (YTI) – USIM.

Dr Mohd Daud Bakar juga adalah Ahli Lembaga Syariah the Dow Jones Islamic market Index (New York), Muzn Islamic Bank (Oman), BNP Paribas (Bahrain), Morgan Stanley (Dubai), Bank of London and Middle East (London) dan boleh di simpulkan sebagai Tokoh Syariah Global atau Pakar Penasihatan Syariah Global.

Memenangi pelbagai anugerah, antaranya Anugerah “The Asset Triple A Industry Leadership Award” oleh The Asset magazine, “Tokoh Perdana – Maulidur Rasul” tahun 2014, dan “Shariah Scholar of the Year-2015” oleh London Sukuk Summit dan yang terkini Syarikat penasihatan beliau Amanie Advisors dianugerahkan Best Syariah Advisory Firm 2016 oleh Global Islamic Finance Award (GIFA).

Beliau juga merupakan ahli lembaga Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) (Bahrain), Morgan Stanley (Dubai), Bank of London and Middle East (London), Noor Islamic Bank (Dubai), Jadwa-Russell Islamic Fund (Saudi Arabia) dan Salama Islamic Insurance.

Beliau berkelulusan Doktor Falsafah dari St. Andrews University, Scotland; Ijazah Sarjana Muda (Fiqh dan Usul) dari Universiti Kuwait dan (second degree) Ijazah Sarjana Muda Perundangan (external), Universiti Malaya.

Beliau seorang yang aktif dalam pembentangan penasihatan Syariah dalam industri Perbankan dan Kewangan Islam merata dunia, penulis prolifik berdasarkan perkongsian pengalaman beliau yang luas di bidang penasihatan syariah.

Sebagaimana pemilihan Datuk Seri Zukri Samat, individu yang telah menyelamatkan Bank Islam yang kemudiannya menjadi individu penting dalam penyelamatan Tabung Haji, pemilihan Dr Daud Bakar sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM oleh Dr Mujahid ini diharapkan akan memberikan kecemerlangan kepada YaPIEM dan membolehkan YaPIEM kembali menyumbang kepada rakyat.

Rosmah perlu isytihar perolehan hartanya

Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor perlu mengisytiharkan harta yang diperolehinya dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017 selepas gagal mengetepikan notis pihak pendakwaan yang mewajibkannya berbuat demikian.

Dalam menolak permohonan Rosmah, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau menerima hujahan pendakwaan mengikut Seksyen 48(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari[pada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata tujuan seksyen berkenaan adalah untuk membantu pendakwa dalam mengenal pasti harta milik seseorang yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

”Oleh itu, ia tidak akan memprejudiskan pihak pembelaan atau menyebabkan kebimbangan maklumat itu akan digunakan untuk menentangnya terhadap dakwaan yang dihadapinya.

“Hujahan pemohon bahawa beliau akan dihalang daripada hak perbicaraan yang adil adalah spekulatif,” katanya.

Hakim berkata notis pihak pendakwaan itu dalam proses siasatan tiada kaitan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal membuat penyataan pendapatan yang dihadapi oleh Rosmah, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Saya juga bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa hak berdiam diri dan keistimewaan daripada menjawab notis itu, bukan hak dijamin Perlembagaan,” katanya.

Peguam Rosmah, Mohamed Reza Rahim memohon mahkamah menangguhkan keputusan kerana mereka akan memfailkan rayuan.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini memerintahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan rasmi.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Mohamed Rez, Manjeet Singh Dhilion, N. Rajivan dan Datuk K. Kumaraendran.

Rosmah, 67, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Rosmah memfailkan notis pada 24 Feb lalu bagi mengetepikan notis pendakwaan tersebut.

Pada 4 Okt, 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan/

Bagi tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Husam ajak kerajaan Pas Kelantan terlibat dalam perkongsian bestari

NASUHA RAHMANMay
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa mengajak kerajaan Kelantan untuk sama-sama terlibat di dalam perkongsian bestari bagi membangunkan ekonomi, sosial dan pertanian rakyat negeri itu.

Katanya, kerajaan Kelantan merupakan ‘stakeholder’ penting untuk pembangunan rakyatnya diminta mengurangkan perkara-perkara berkaitan politik sebaliknya fokus kepada perkongsian bestari.

“Kami harap kerajaan negeri bersama-sama dengan perkongsian bestari ini untuk membangunkan rakyat negeri Kelantan, kita kurangkan politiknya.

“Hasrat saya kemakmuran rakyat adalah perkara utama, perkara politik boleh berkembang sendiri terpulang kepada rakyat,” katanya dalam segmen BicaraPolitikEkonomi fokus kepada Kemakmuran Ekonomi Industri Pertanian di RTM semalam.

Menurut Husam, tugas KADA menjadi lebih besar dan berperanan utama melalui perkongsian bestari ini dengan 20 agensi yang berperanan dalam pembangunan pertanian dan juga institusi.

Misalnya, kata beliau, rancangan dan kajian daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menggunakan bahan tempatan yang diolah menjadi produk bio organik dan bakteria berguna untuk pertanian.

“Dalam cadangan mereka menggunakan daun laksamana yang diikisar dan diletak dalam sawah, ubah fungsi KADA yang memggunakan bahan kimia yang boleh ancam keselamatan dan ekosistem termasuk belut, siput yang kita boleh manfaatkan.

“Sebelum ini, skop digunakan tanpa kira masalah yang timbul, kerjasama dengan UMK ini menggagalkan penggunakan baja kimia, ia wajar dibanggakan,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar satu majlis pertanian di peringkat negeri di bawah Kementerian Pertanian atau mana-mana kementerian diwujudkan bagi memberi impak lebih besar kepada pembangunan pertanian.

Antaranya, kata beliau mengadakan kerjasama dengan MARDI yang mempunyai ramai saintis dan memiliki makmal yang canggih dapat menghasilkan pelbagai produk inovasi.

“Bagaimana hendak kaitkan MARDI lebih dekat dengan rakyat, kita ada UPM, agensi banyak seperti Kementerian Luar Bandar, dan Kementerian Pelancongan.

“Tetapi agensi-agensi yang begitu berterabur selama ini boleh dijadikan rakan kongsi bestari, dengan itu impak pembangunan pertanian dapat dilihat.

“Pada hari ini saya lihat agensi ini berpisah-pisah, masing-masing jabatan ada program sendiri dan tidak ada majlis yang dapat satukan mereka,” katanya.

Justeru katanya, KADA boleh menjadi peneraju sekali gus dapat menggerakan perubahan pemikiran petani-petani.

“Transformasi pertanian bermula dari kepimpinan tidak semestinya Perdana Menteri tetapi dari petani sendiri kita bagi pendedahan, mereka boleh jadi peneraju pada peringkat mereka.

“Pegawai KADA boleh jadi pemikiran peneraju, saya kira perkongsian bestari ini akan beri impak lebih nyata dari segi petani dan negara,”tambah beliau.

Amaran IGP pada anak buahnya: Hentikan hubungan dengan tauke judi

Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis untuk menghentikan sebarang hubungan dengan tauke sindiket perjudian dan maksiat sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Beliau secara sinis berkata pegawai dan anggota masih mempunyai peluang untuk menghentikan sebarang hubungan dengan sindiket haram sebelum ditahan.

Katanya pasukan tidak akan bersubahat atau melindungi mereka yang menjalankan kegiatan haram di negara ini.

“Nasihat saya, hentikan segera connection (hubungan) dengan sindiket judi dan maksiat kerana saya tidak akan bertolak ansur dan akan berusaha hapuskan gejala rasuah dalam pasukan.

“Selagi mereka (anggota polis) belum memakai baju jingga (baju lokap) dan digari tangan, ia masih belum terlambat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata kegiatan judi yang berleluasa ketika ini hanya akan merosakkan tamadun.

“Saya seru tauke judi ini lakukan perniagaan yang halal kerana Malaysia banyak sumber,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kenaikan pangkat dan surat penghargaan akan diberi kepada pegawai dan anggota yang menolak rasuah.

“Kepada orang ramai jangan sesekali menawarkan rasuah kepada polis dan agensi penguat kuasa yang lain, jika berdegil mereka akan ditangkap oleh pegawai dan anggota polis,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitan beberapa anggota dalam perlakuan jenayah akhir-akhir ini, beliau berkata perkara itu adalah menyedihkan apabila ia turut berlaku dalam bulan Ramadan.

“Anggota yang melakukan jenayah telah ditahan serta-merta dan disiasat sebelum tindakan lanjut dikenakan kepada mereka...ini memberikan mesej jelas yang kelajuan jenayah oleh pegawai dan anggota polis tidak akan dipandang ringan,” katanya.

Selasa lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes samun seorang ahli perniagaan pada 19 Mei.
-Bernama

Tangani segera politik jalur keras yang berbahaya

AHMAD LUTFI OTHMAN

Analisis dan ulasan terhadap prestasi kerajaan baharu Pakatan Harapan memang menarik minat umum. Rata-rata tidak berpuas hati dengan perkembangan selepas setahun mengambil alih, namun bersedia memberikan lebih banyak masa untuk memperbaiki upaya.

AHMAD LUTFI OTHMAN menemui wartawan veteran dan kolumnis popular ZIN MAHMUD, berbicara panjang sekitar persoalan PRU14, faktor kemenangan PH, langkah pembaharuan yang dibuat, cabaran era kebebasan bersuara, masalah dalaman Pas, sehingga isu-isu seperti populariti menurun Dr Mahathir kepada persoalan jalur keras dalam politik.

Zin adalah bekas wartawan akhbar Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Harakah, Harian Watan dan Mingguan Tempo. Beliau mengasaskan dan menerbitkan majalah Dunia Islam dan Pembaharu.

Pernah juga menjadi editor jurnal Pemikir dan memimpin akhbar Mingguan Malaysia. Beliau juga pernah mengetuai syarikat Utusan Karya yang menerbitkan pelbagai majalah, dan juga syarikat penerbitan buku, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Kolum beliau pernah disiarkan dalam akhbar-akhbar Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Harakah, Harian Watan, Utusan Malaysia, Mingguan Amanah, majalah-majalah Fatimah, Al-Muslimah, Al-Ummah, Dunia Islam, Tamadun, Detik, Al-Islam, Wanita, Dakwah, Dian dan portal berita Malaysia Dateline. Pada masa ini beliau mempunyai kolum di portal berita Free Malaysia Today dan akhbar Wilayahku.

AHMAD LUTFI: Setahun lalu, 9 Mei 2018 hari mengundi dan malamnya keputusan PRU14 diumumkan. Boleh sdr ceritakan aktiviti pada hari Rabu dan malam Khamis itu?

ZIN MAHMUD: Pagi Rabu itu saya mengundi di Sekolah Agama Jabal Nur, Puncak Gombak, Gombak Setia bersama isteri. Pada petang bersama dua anak, saya pergi ke Bandar Seri Putra dan bermalam di situ. Buat pertama kali dalam hidup saya, saya tidak mahu mengikuti keputusan pilihan raya kerana menjangka bahawa BN akan menang semula. Saya tidur awal, pukul 10, dan tutup telefon saya.

Hebat, sdr mampu tidur dengan tenang malam itu tanpa perlu mengetahui terlebih dahulu keputusan PRU14. Bila pula sdr mendapat tahu kerajaan sudah bertukar?

Tidur saya malam itu tidaklah tenang kerana perasaan ingin tahu itu merenggut-renggut perasaan dan tangan asyik hendak menarik telefon. Tetapi lawan saja perasaan itu kerana suspense boleh memberi tekanan perasaan yang teruk akibat kekecewaan. Setelah mengalami kekecewaan sejak tahun 1986, rasanya tidak mampu berdepan perasaan kecewa itu lagi. Saya dapat tahu kemenangan apabila menyedari anak saya tidak pergi kerja kerana cuti umum. Suatu kejutan manis, perasaan paling seronok dalam kehidupan berpolitik.

Ramai mengharapkan BN tumbang dan kalah dalam PRU14 tetapi hanya sebilangan kecil yang merasakan PH akan menang. Sdr pula bagaimana?

Saya juga mengharapkan BN tumbang pada malam itu. Tapi harapan itu adalah biasa bagi saya. Ini kerana saya mengharapkan BN kalah sejak PRU 1974, tahun BN ditubuhkan dan usia saya ketika itu 15 tahun. Saya adalah pembangkang tegar.

Saya juga tidak merasakan Pakatan Harapan boleh menang kerana saya beranggapan bahawa sistem pilihan raya kita berat sebelah bukan saja pada PRU14 tetapi sejak pertama kalinya ia diadakan pada tahun 1955.

Cumanya saya berasakan harapan untuk BN tumbang adalah paling cerah untuk berlaku. Perasaan saya itu hanya timbul pada masa Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media di Parlimen sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Nada kata-kata Tun penuh emosi menandakan bahawa suatu revolusi sedang berlaku.

Apakah faktor utama kemenangan PH dan penyebab terkuat BN tumbang selepas 61 tahun berluasa?

Faktor utama kemenangan PH adalah Tun Mahathir. Tidak pernah dalam sejarah pihak pembangkang mempunyai calon Perdana Menteri yang paling berwibawa. Dalam sejarah, calon-calon Perdana Menteri pada pihak pembangkang ialah Dato Onn Jaafar, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim. Mereka semua gagal tetapi Tun berjaya.

Sebagai orang lama suratkhabar, bagaimana sdr menilai loporan media ketika berkempen, atau lebih awal daripada itu ketika serangan ke atas Perdana Menteri Najib Razak giat dijalankan pembangkang? Atau lebih lama daripada itu, penilaian tentang tahap kebebasan dan integriti media di Malaysia?

Bagi saya kempen menentang BN bermula sejak ia ditubuhkan lagi iaitu pada tahun 1974. Ia hanya bersifat bibit-bibit idea mengapa polisi BN akan gagal. Masa itu Pas dalam BN. Jadi paling kuat ialah daripada DAP, diikuti dengan Pekemas dan PSRM tetapi tentulah mesejnya tidak sampai pada rakyat kerana media dikuasai oleh BN. Tetapi ia cukup untuk melahirkan aktivis yang akan meneruskan perjuangan. Ucapan wakil DAP dan Pekemas di Parlimen diedarkan secara terhad. PSRM secara terhad juga melahirkan aktivis.

Menjelang PRU 1986, mesej menentang BN adalah lebih besar dengan Pas aktif berceramah. Walaupun Pas kalah teruk tetapi mesejnya diterima oleh sebahagian anak muda yang kemudiannya menjadi aktivis menentang BN. Ia menjadi bertambah pada setiap pilihan raya umm termasuk ketika Ku Li dan Anwar menentang BN. Maka akhirnya, kemuncaknya ialah Tun turut menentang BN dalam suasana adanya media sosial yang meruntuhkan tembok kongkongan media BN.

Kerajaan PH tidak lagi mengongkong media dan bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan serta teguran. Akhbar yang condong kepada pembangkang, seperti Utusan, tidak diganggu. Dalam masa sama PH pula tidak mempunyai akhbar harian dan dilihat seperti tidak berhasrat mengambil alih media-media utama. Media kerajaan seperti RTM dan agensi awam seperti Jabatan Penerangan dilihat agak kurang berkesan untuk menjelaskan dasar dan program kerajaan serta menjawab serangan pembangkang. Apa pandangan sdr terhadap situasi ini, dan bagaimana harus ditingkatkan komunikasi politik yang disifatkan gagal itu?

Walaupun kerajaan PH tidak mengongkong tetapi ia patut bertindak tegas terhadap fitnah dan laporan berniat jahat. Untuk itu Majlis Media perlu disegerakan supaya kerajaan boleh membuat aduan terhadap salah laporan dan laporan berniat jahat. Penggunaan undang-undang juga perlu bagi fitnah.

Sementara teguran dan kritikan perlu dijawab dan pastikan ia disiar secara saksama. Selagi pembangkang ada akhbar, PH juga perlu akhbar sendiri. Tetapi ancaman besar datang dari media sosial, sebarang fitnah kepada kerajaan mesti ditangani setiap satu dengan tegas dan konsisten.

Media kerajaan kurang berkesan kerana cara kerja mereka adalah cara kerja lama ketika BN jadi kerajaan di mana pembangkang terkongkong. Sama ada pengendali media kerajaan benar-benar memahami atau beserta dengan visi kerajaan pun boleh dipersoalkan. Ataupun kerajaan PH tidak mempunyai polisi atau kaedah jelas dan bersistematik dalam komunikasi. Ini kerana parti-parti dalam PH pun tidak benar benar padu dalam menghadapi serangan pembangkang. Antara sesama parti pun tidak cukup komunikasi. Malah ahli parti pun tidak dapat cukup penjelasan apa yang kerajaan buat dan akan buat sedangkan penyokong ini merupakan benteng di akar umbi. Bagi saya caranya ialah tingkatkan kerja dan lebih aktif serta kreatif dalam komunikasi. Tidak ada jalan pintas.

Dan sebagai bekas penyokong kuat Pas yang pernah menjadi pengarang Harakah, bagaimana sdr melihat perkembangan Pas bermula perpecahan dalaman parti sehingga tertubuh Parti Amanah Negara dan sikap Pas yang bermusuh dengan pembangkang lain, sebaliknya mesra BN. Apakah benar pembentukan blok ketiga yang diterajui Pas juga memenangkan PH dalam PRU14?

Antara punca kekalahan BN juga adalah strategi. Strategi untuk memecahbelah undi pembangkang telah backfire. Ini kerana ia melemahkan kutipan undi BN. Pada asasnya daripada awal Umno berstrategi menjadikan Pas sebagai backup jika ia kalah. Dalam PRU 1969, apabila Umno hampir kalah, langkah pertama Tun Razak lakukan ialah berunding dengan Datuk Asri untuk menubuhkan kerajaan campuran. Ketika saya menjadi Pengarang Kumpulan Harakah dalam PRU tahun 1990, saya diberitahu bahawa pada malam pilihan raya apabila BN panik kerana Ku Li boleh menang ekoran sokongan PBS, Dr Mahathir telah bersedia untuk mengirim wakil bagi berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bagi berunding. Malah saya diberitahu juga MCA bersedia dengan Pas.

Jadi tidak hairanlah apabila keluar keputusan PRU 2008, ada usaha menubuhkan Kerajaan Pas-Umno di Selangor dan Perak. Selepas ia gagal usaha berbaik dengan Pas diteruskan. Selepas PRU 2008 saya menjadi Pengarang Mingguan Malaysia. Arahan dikeluarkan supaya mencari jalan untuk berbaik dengan Pas. Tetapi yang menjadi penghalang kepada kerjasama Pas-Umno adalah penyokong Anwar dalam PAS yang dilabelkan Anwaristas kerana mereka menguasai Jawatankuasa PAS Pusat. Maka langkah yang dilakukan ialah menyingkirkan golongan Anwaristas dari Pas.

Peralihan kuasa sejurus PRU14 berjalan secara lancar dan licin sedangkan banyak pihak beranggapan regim kukubesi akan pertahankan kuasa dengan apa sahaja, sehingga menumpahkan darah dan menelan banyak korban. Apa penilaian sdr terhadap proses pertukaran kerajaan itu?

Bagi saya peralihan kuasa tidak licin. Najib dan BN tidak rela hati menghormati demokrasi dan menyerahkan kuasa pada pemenang pilihan raya. Selalunya pihak yang bukan demokrat akan hanya mahukan demokrasi selagi ia menguntungkan mereka. Mereka hanya memperalatkan demokrasi dan bukan pendukung demokrasi. Pada malam itu Najib cuba pecahkan PH. Aktivis dan penulis, Hishamuddin Rais ada cerita hal ini. Terdapat usaha berunding dengan pelbagai pihak. Kunci kritikal di sini ialah kepandaian Najib. Tetapi semua ini gagal. Ini kerana institusi negara seperti institusi raja, jentera kerajaan dan tentera dengan cepat mengiktiraf hasil proses pilihan raya. Di sinilah terletaknya kewibawaan Tun Mahathir. Kepimpinan waktu krisis amat penting.

Banyak pihak meletakkan faktor Mahathir membantu melicinkan bukan saja proses peralihan kuasa tetapi menjamin kelancaran pembentukan kerajaan baharu dan agenda pemulihan negara dengan baik.

Faktor Tun Mahathir adalah besar. Hormat dan yakin pada Tun mendorong jentera kerajaan dan institusi negara menerima beliau. Langkah beliau dalam membentuk kerajaan pada awal penubuhannya adalah bijak dan menunjukkan kepentingan pengalaman, sesuatu yang mungkin tidak dapat dilakukan oleh pemimpin PKR, DAP, AMANAH dan pemimpin Bersatu yang lain.

Beliau tidak terus masuk ke pejabat PM. Beliau lantik menteri yang penting dahulu. Kebijaksanaan dalam rundingan dalam Majlis Presiden PH juga penting. Silap langkah boleh terburai. Beliau tenang dan yakin. Bila panggil KSN dan KSU, semua datang. Sebarang sabotaj tidak berlaku walaupun dirasakan majoriti kakitangan kerajaan di Putrajaya menyokong BN.

Di antara banyak perubahan positif berlaku selepas 9 Mei 2018, yang paling menonjol adalah agenda menbanteras korupsi dan kebebasan bersuara. Mungkin sdr ada tanggapan berbeda.

Saya setuju bahawa penghapusan korupsi adalah utama dan paling menonjol. Tetapi ia berlaku dalam kerangka terhadap keyakinan bahawa keadaan buruk boleh berubah, dan perubahan itu adalah di tangan rakyat. Inilah apa yang dipanggil sebagai Malaysia Baharu. Perasaan bahawa negara ini milik semua rakyat Malaysia dan bukannya ditentukan oleh Umno untuk kepentingan peribadi ahli politik mereka. Inilah perkara yang paling menonjol.

Selepas setahun menjadi perdana menteri buat kali kedua, sokongan terhadap Mahathir dikatakan menurun dan populariti kerajaan PH jatuh merosot. Banyak janji manifesto terutama berkaitan penurunan harga barang dan kos sara hidup belum dapat ditunaikan. Orang Melayu digambarkan resah dengan prestasi kerajaan PH. Anak muda juga tidak berpuas hati.

Sememangnya sokongan pada Tun dan PH menurun. Ada lima sebab. Pertama, harapan terlalu tinggi rakyat yang tidak realistik. Kedua, prestasi kerajaan yang rendah. Ketiga, gelagat sebahagian ahli politik PH yang buruk. Keempat, jentera kerajaan acuan BN yang sememangnya tidak serasi dengan PH. Kelima, kempen Umno-Pas yang ambil garis perkauman.

Apa yang perlu dilakukan kerajaan untuk terus mendapat sokongan rakyat? Bagaimana pula penilaian sdr terhadap usaha pembaharuan kerajaan selama setahun ini?

Kerajaan perlu bertindak tegas, berani dan cepat bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit. Serta komunikasi dengan rakyat wajib kemas, baik daripada saluran kerajaan, parti mahupun rakyat. Strategi komunikasi perlu dirombak segera dan berkesan. Komunikasi kerajaan setahun lalu telah gagal.

Pembaharuan yang dicapai oleh kerajaan sepanjang tahun ini memuaskan hati saya. Pembaharuan sememangnya kena buat berhati-hati. Ia seperti menarik rambut dari tepung. Tun sudah buat terbaik tetapi kabinetnya yang kurang memuaskan. Tetapi tentunya banyak isu yang belum sempurna ditangani.

Johor dilihat banyak menyumbangkan kemenangan terhadap PH dalam PRU14. Selama ini ia dianggap tiang seri Umno tetapi runtuh pada 9 Mei 2018. Namun nampaknya seperti ada masalah besar di negeri kelahiran Umno itu sehingga menteri besar terpaksa ditukar dan berlaku krisis di antara Putrajaya dan Istana Johor. Sebagai anak Johor mungkin sdr ingin komen hal ini.

Benar, Johor adalah tiang seri Umno. Tetapi ia juga tiang seri PH khususnya DAP. Sememangnya ada masalah di Johor. Tetapi saya tidak mahu komen apa-apa mengenainya.

Boleh sdr bayangkan situasi politik negara tiga hingga empat tahun akan datang, khususnya menjelang PRU15. Dinamika politik kita kadang-kadang sukar untuk ditelah.

Dalam empat hingga lima tahun, keadaan politik akan bertambah bergolak. Pakatan Umno-Pas akan meningkatkan kempennya untuk merebutkan Putrajaya. Bagi mereka jika PRU15 gagal dimenangi, maka lagi sukar untuk mereka menang. Bagi PH, mereka juga akan meningkatkan kempen. Bagi mereka, kalau mereka dapat mengekalkan Putrajaya, bertambah mantaplah kedudukan mereka. Kerajaan PH akan bertambah baik, ekonomi bertambah elok. Tetapi persaingan dalaman PH menjadi tajam.

Kalau sekarang, ia kelihatan persaingan antara PKR dan Bersatu, tetapi akan datang ia merupakan persaingan empat penjuru, dan setiap parti termasuk AMANAH juga akan berlaku persaingan dua fraksi. Anwar akan menggantikan Tun tetapi laluannya tidak lancar. Di pihak Umno dan Pas juga berlaku persaingan, dengan setiap parti juga ada dua fraksi. Sementara itu akan muncul blok ketiga yang hanya bibit-bibit tetapi tiada impak. Ada kalangan PH akan menyertai blok ketiga.

Komen sdr terhadap gejala ekstremisme atau pendekatan jalur keras terutama berkaitan elemen bangsa dan agama bagi meraih sokongan politik. Bukankah ia sudah menjadi fenomena global termasuk dalam kempen politik di negara jiran kita juga?

Politik jalur keras atau ektremisme itu adalah berbahaya. ia kena ditangani masa ia jadi bibit lagi. Tidak boleh toleransi pada jalur keras. Ini kerana jalur keras ini menggugat keamanan. Ia mengundang keganasan walaupun ia bermula dengan hanya kata-kata dalam media sosial. Tapi perlu takrifan jelas mengenai jalur keras ini.

Bagi menteri agama, pemberantasan jalur keras ini adalah keutamaan. Lebih utama daripada penerapan gagasan Rahmatan Lil Alamin. Jalur keras ini berbahaya bukan saja bagi kerajaan tetapi bagi pihak pembangkang. Jika mereka mahu menggunakan jalur keras, maka ia akan menyusahkan diri mereka juga.
Ia merupakan fenomena global yang tidak boleh dibiarkan.

Golongan jalur keras tidak akan hilang, ia akan sentiasa ada tetapi ia perlu dikawal. Malangnya banyak kerajaan di dunia termasuk Amerika Syarikat memperalatkan jalur keras untuk kepentingan sendiri, akhirnya ia akan makan diri. Fenomena jalur keras perlu penelitian tersendiri.

Ekstremisme politik Islam membimbangkan

MOHD ARIF JUHANI
Minggu lalu gempar di media sosial apabila pelaku dalam kes bakar kereta Mufti Perlis dikatakan merupakan anggota jabatan di bawah sebuah parti politik Islam Malaysia.

Punca perbuatan jenayah itu pula dikatakan rentetan isu pemecatan imam di negeri utara semenanjung tersebut.

Walaupun pemimpin-pemimpin dari parti tersebut menolak kaitan antara perbuatan jenayah itu dengan parti, tetapi satu hal yang tidak boleh disangkal lagi adalah penularan pemikiran radikal yang membawa kepada tindakan ekstrem termasuklah melakukan jenayah.

Sukar dibayangkan. Sebuah parti politik Islam yang sebelum ini begitu tegas membawa agenda muwajahah silmiyyah dengan menggunakan demokrasi sebagai laluan perjuangan tetapi pada hari ini sudah mula cenderung menyokong apa sahaja tindakan di luar batas undang-undang.

Mereka mula cenderung untuk memilih atau menyokong tindakan keganasan berbanding menggunakan pendekatan diplomatik. Puncanya, mungkin kerana mereka kurang sabar mahu mendepani masalah tersebut.

Masih segar dalam ingatan bagaimana dalam sebuah muktamar di Johor, salah seorang perwakilan secara terang-terang menyatakan sokongan kepada bekas ahli parti itu yang pergi ke Syria kononnya menyahut seruan berjihad melalui jalan peperangan.

Pada awalnya kelompok ini tidak begitu mendominasi dalam parti. Tetapi selepas berlakunya kegawatan sehingga memecahkan parti itu, ternyata pemikiran radikal itu semakin mudah mendapat tempat khususnya dalam kalangan anak muda.

Emosi mereka lebih mudah dibakar dengan propaganda parti yang menjadikan DAP sebagai musuh Islam manakala AMANAH pula dianggap pengikut setia DAP.

Penulis pernah menyusup dalam sebuah kuliah tertutup parti itu di markas tarbiyah Titiwangsa, ternyata pengisiannya cukup beremosi dan mudah menaikkan semangat jihad para hadirin pada waktu itu.

Sebenarnya tidak sukar untuk meneliti perkembangan membimbangkan ini secara nyata. Kalau kita buka media sosial dan mencari berita-berita yang agak kontroversi sifatnya seperti isu LGBT, minum arak, tangkap khalwat dan seumpamanya, cuba teliti komen-komen yang dihamburkan oleh warganet.

Minda dakwah kelihatan sudah semakin ‘mandom’ dalam kalangan mereka. Mereka lebih beratkan tentang bentuk hukuman yang sepatutnya dikenakan berbanding memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Memang tiada siapa nafikan isu-isu seperti LGBT, gejala sosial dan sebagainya merupakan satu masalah terutamanya dalam perspektif dakwah tetapi apa yang membezakan adalah bentuk pendekatan yang mahu diambil.

Satu contoh paling terkini adalah kenyataan seorang ustaz parti itu yang aktif berkuliah di Selangor. Dalam satu tulisannya di laman media Facebook, beliau menyatakan rasa meluat dengan gelagat pemimpin DAP yang berbuka puasa dengan hadirin di sebuah masjid.

Apa yang membingungkan apabila beliau menganggap itu semua lakonan dan mencabar supaya para pemimpin DAP supaya bersujud dan bersolat untuk menunjukkan keikhlasan mereka terhadap Islam.

Sudah tentu kita berasa aneh dengan cabaran yang dilontarkan itu kerana untuk mengajak seseorang kepada Islam sudah tentu melalui jalan dakwah yang berhikmah dan mendamaikan.
Mengajak orang bersolat pun ada caranya dan ini sudah pun ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.

Tetapi apabila pendekatan yang berbeza digunakan oleh ‘ustaz mimpi’ itu, kita tertanya-tanya dimanakah kebijaksanaan dakwah pemimpin itu?

Namun begitu, kita juga tahu walau apa pun yang disebut oleh pemimpin parti, ahli-ahlinya akan tetap mengangguk setuju dan bertakbir menyokong kenyataan tersebut.

Maka di sinilah cabaran pendekatan Rahmatin Lil ‘Alamin yang dibawa oleh AMANAH. Mencabar bukan?

Kes bakar kereta mufti: 3 anggota Unit Amal direman

Shakira Buang

Jabatan Amal Malaysia (JAM) hari ini mengesahkan tiga anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan insiden membakar kereta Mufti Perlis pada 22 Mac lalu.

Ketua pengarahnya, Mohd Nazree Mohd Aris, ketika dihubungi Malaysiakini berkata anggota terlibat ditahan reman empat hari mulai semalam.

Bagaimanapun, kata Mohd Nazree beliau pelik dengan penahanan tersebut.

"Saya difahamkan ada suspek utama yang dicari, dan dia bukan anggota Unit Amal, bukan ahli PAS dan kami sendiri tak kenal (suspek).

"Difahamkan suspek utama yang dicari adalah penagih dadah dan dia mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Justeru Mohd Nazree berkata pihaknya hairan apabila polis menahan tiga anggota Unit Amal yang tidak terlibat dan tiada sebarang rekod jenayah.

Katanya dua suspek utama yang dilihat terbabit membakar kereta Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu ialah penagih dadah dan masih bebas.

Unit Amal ada kredibiliti cemerlang

Menurut Mohd Nazree, JAM - yang menjadi salah satu organisasi dalam PAS - mungkin sedang cuba dianiaya pihak tertentu.

Pada masa sama Mohd Nazree berkata JAM kecewa dengan sikap diambil Mohd Asri kerana memaparkan gambar dua gambar anggota mereka dalam laman Facebook beliau.

Katanya tindakan itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kerana kedua-dua individu yang dipaparkan itu tidak terbabit dalam kejadian tersebut.

"Itu gambar (dimuat naik di Facebook Mohd Asri), mereka tak tahu dan tak terlibat langsung.

"Jadi, bagi saya apa yang dimuat naik oleh admin Facebook Dr Maza adalah tindakan tidak bertanggungjawab," katanya.


Mohd Nazree Mohd Aris
Mohd Nazree berkata, setakat ini tidak ada sebarang tuduhan dikenakan terhadap anggota JAM tersebut dan penahanan dibuat sekadar untuk membantu siasatan.

Oleh demikian, Mohd Nazree JAM sedang mempertimbangkan tindakan lanjut berhubung hantaran tersebut.

"Saya tengah tunggu maklum balas daripada peguam kami," katanya.

Selain itu, Mohd Nazree turut mempersoalkan usaha pihak tertentu yang disifatkan sengaja cuba memburukkan imej Unit Amal dan PAS.

Katanya, langkah itu dibuat mungkin disebabkan JAM mempunyai kredibiliti yang sangat baik sebelum ini.

Baca Suspek ditawar simbah asid ke muka mufti Perlis

"Ini semua satu tindakan yang sengaja dilakukan pihak tertentu untuk memalukan kami atas kredibiliti kami yang cemerlang sebelum ini.

"Kami membantu semua pihak dan atas sikap dengki itu maka ada usaha untuk memburukkan nama kami, burukkan nama parti.

"Kami selama ini membantu semua pihak, tak kira PH atau BN, juga semua bangsa dan agama yang ada di negara ini, semua kami tolong," katanya.

Tegas Mohd Nazree, JAM adalah sebuah unit perpaduan yang bertindak membantu semua pihak yang memerlukan pertolongan termasuk ketika rakyat Malaysia ditimpa musibah seperti banjir besar.

"Unit Amal ini adalah unit perpaduan, seperti pengakap yang membantu semua orang.

"Kami tak ada berceramah, kami tak pernah kutuk mana-mana pihak pun, termasuk PH," katanya.

2 inspektor, 5 anggota ditahan samun ahli perniagaan

Bernama
KUALA LUMPUR: Dua pegawai polis berpangkat inspektor selain 5 anggota ditahan bagi membantu siasatan membabitkan satu kes samun seorang ahli perniagaan Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim dalam satu kenyataan semalam berkata, 2 inspektor berkenaan iaitu seorang dari Maktab Teknik PDRM, Muar manakala seorang lagi pegawai dari Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta 5 anggota lain iaitu seorang dari IPD Petaling Jaya, 3 dari Balai Polis Sea Park dan seorang dari Balai Trafik, Jalan Bandar.

“Mereka ditangkap pada 20 Mei dan direman selama 4 hari bermula pada 21 hingga 24 Mei ini. Turut ditahan, 4 lelaki termasuk seorang kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) yang ditangkap pada 21 Mei pula akan dibuat permohonan reman pada 22 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata semua suspek berusia dalam lingkungan 31 hingga 41 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan.

Mazlan menjelaskan, kes ini merupakan susulan daripada seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan yang membuat laporan polis pada 4.40 petang Ahad lepas.

Lelaki berkenaan menyatakan terdapat 9 individu datang dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis Bukit Aman dari Bahagian Jenayah Perdagangan dan pegawai BNM serta mendakwa pengadu menjalankan kegiatan pengurup wang tanpa lesen perniagaan di premis perniagaannya di Jalan Silang.

Dalam kejadian itu, pengadu turut mendakwa dirinya dan 4 orang pekerjanya digari selain telefon lelaki terbabit diambil serta wang tunai berjumlah RM4,000 yang disimpan di dalam peti simpanan juga dirampas.

Selain itu, Mazlan menjelaskan, suspek juga meminta wang berjumlah RM200,000 sekiranya pengadu mahu dilepaskan dan akibat ketakutan atas ugutan tersebut, pengadu menyerahkan wang yang diminta suspek.

Mazlan berkata, pihaknya memandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota PDRM termasuk orang awam yang terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

“Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Jangan sombong sebab sujud, kata pemimpin Yadim pada lebai

Seseorang yang sering bersujud wajar mengelak diri masing-masing daripada berasa sombong dengan amalan itu, kata Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zolkharnain Abidin.

Katanya lebih daripada itu tidak wajar untuk seseorang itu mencabar orang lain dalam isu sujud.

"Sujud bukan untuk disombongi, tetapi sebaliknya ia untuk disyukuri.

"Jika kita sudah bersujud kepada Allah, bersyukurlah," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Pandangan Zolkharnain itu dibuat tidak lama selepas Timbalan Ketua Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani mencabar anggota DAP untuk bersujud dengannya.

Menurut Ahmad Dusuki DAP "dah sekutu" parti itu juga wajar melaksanakan janji mereka sebelum ini, termasuk menghapuskan tol dan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Jika benar DAP dan sekutu mereka meletakkan Islam sebagai keutamaan, kita cabar mereka, jom bersolat dan sujud bersama kami, laksanakan janji penghapusan tol dan bayaran PTPTN yang di janjikan di dalam manifesto mereka itu," katanya.

Untuk rekod, "sekutu mereka" yang dirujuk Ahmad Dusuki itu dapat difahami merujuk kepada parti lain dalam PH, termasuk Amanah yang diasaskan oleh bekas pemimpin kanan PAS.

Terdahulu Ahmad Dusuki mempersoalkan pembabitkan pemimpin DAP dalam program melibatkan orang Islam dan Melayu seperti berbuka puasa.

Bagi Ahmad Dusuki apa yang dilakukan pemimpin DAP itu tidak lebih daripada sekadar lakonan untuk mempengaruhi orang Melayu dan Islam.

Zolkharnain berkata seseorang yang sujud kepada Allah wajar berdoa agar terus diberikan hidayah untuk tekal dengan amalan itu sehingga akhir hayat.

Hal itu kerana, katanya, tidak ada jaminan seseorang yang sering sujud akan kekal dengan amalan itu sehingga akhirnya.

"Seperti orang yang belum bersujud boleh mendapat sujud pada kemudian hari, begitulah kita yang sudah bersujud, boleh juga kehilangan sujud.

"Bukankah iblis antara makhluk yang kehilangan sujud kerana sombong?" katanya.

Kena minta kerja dengan BN la lepas ni

Ketua pengarah Yapeim digantung tugas

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mengumumkan penggantungan sementara Abibullah Samsudin dari menjalankan tugas sebagai ketua pengarah berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim Mohd Daud Bakar memaklumkan bahawa tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan Abibullah.

"Sepanjang penggantungan tersebut, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau (Abibullah) untuk hadir bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan berkenaan dakwaan tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tugas ketua pengarah Yapeim akan dipangku oleh pengarah kanannya, Parihah Hasan.

18 Mei lalu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa Abibullah, mempengaruhi kakitangan Yapeim pada pilihan raya umum lepas.

Individu dalam klip video itu juga mengugut untuk memeriksa satu persatu undi kakitangannya dan berkata “kalau anda mengundi PH, anda tak layak duduk di Yapeim. Pergilah cari kerja dengan DAP”.

Adoii!!! Kesian tak lena tidur mamat ni, apalah punya nasib puasa tahun ni

'Nasib KP Yapeim diketahui sehari dua lagi'

Keputusan mengenai kedudukan Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Abibullah Samsudin, hanya akan diketahui dalam masa sehari dua ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yapeim Prof Dr Abdul Ghafar Ismail berkata satu siaran akhbar akan dikeluarkan atau sidang akhbar mungkin akan diadakan oleh lembaga pemegang amanah yayasan itu bagi memperjelaskan isu yang melibatkan pegawai kanan yayasan itu.

“Tunggu sehari dua ini. Insya-Allah...Saya tidak boleh menyatakan sehingga siaran akhbar dilakukan atau mungkin lembaga pengarah akan memanggil media sekali lagi untuk menjelaskan keadaan ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasi Ramadan Yapeim peringkat negeri Johor di Masjid Jamek Haji Ahmad Shah, Kampung Rimba Terjun, dekat Pontian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kedudukan Abibullah, sama ada masih bertugas atau tidak.

Dua hari lepas, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa kononnya Abibullah, mempengaruhi kakitangan Yapeim pada pilihan raya umum lepas.

Ketika ditanya sama ada pihak Lembaga Pemegang Amanah Yapeim telah menetapkan tindakan tata tertib ke atas Abibullah, beliau menjelaskan beberapa tindakan telah diambil tetapi bukan tata tertib termasuk pembentukan satu jawatankuasa khas audit dalaman sejak November lepas, bagi menangani isu berkenaan, berdasarkan laporan dari PricewaterhouseCoopers (PWC).

"Kita ahli lembaga pengarah sedia maklum bahawa kakitangan Yapeim adalah berjawatan tetap jadi segala tindakan haruslah melalui saluran tertentu, proses tertentu termasuk garis panduan yang diikuti.

"Dan garis panduan yang diikuti ini harus telus dan jelas supaya kita tidak membuat satu keputusan yang boleh menyebabkan seorang individu itu teraniaya atau mungkin akan disabitkan kesalahan tanpa ada apa-apa bukti," kata Abdul Ghafar.

Terdahulu, program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
-Bernama

Ridhuan Tee tidak habis-habis bicara tentang bangsa

MALAYSIA DATELINE
Senator Aiman Athirah Al-Jundi menyelar Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang dianggap contoh kaum Cina yang menukar agama kerana lebih takjub dengan bangsa Melayu.

Menurut Athirah, pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tersebut tidak harus membicarakan tentang bangsa sehingga melampaui Islam.

“Ini satu contoh kaum Cina yang tukar agama sebab lebih takjub dengan bangsa Melayu. Mengapa saya katakan begitu?

“Antara sebab utama adalah kerana sejak sekian lama Ridhuan Tee tak habis-habis bicara tentang bangsa, lebih daripada bicaranya tentang agama iaitu Islam,” ujarnya.

Athirah yang merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional berkata demikian dalam hantaran di Facebook mengulas artikel Ridhuan ‘Jangan sampai imej baik Melayu bertukar ganas’ dalam laman web Ismaweb.

Dalam tulisan tersebut, Ridhuan yang terkenal sebagai moderator Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 mengkritik artikel Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong merangkap Pengerusi DAP Johor bertajuk, ‘Peralihan rejim memperkukuh sistem demokrasi’.

Mengulas lanjut, Athirah berkata, bangsa tidak boleh secara simplistik disamakan dengan agama walaupun majoriti Melayu di Malaysia itu beragama Islam.

“Itu wewenangan yang sama sekali membawa implikasi negatif seperti faham yang salah dan songsang, yang kesudahan akhirnya mencacatkan ketinggian serta keaslian wajah dan citra agama (Islam).

“Islam tidak pernah disinonimkan dengan bangsa, dan keIslaman manusia tidak pernah diukur dengan bangsa.

“Sama ada berdasarkan petunjuk dalam al Quran mahupun hadis dan sirah. Hanya Umno yang melakukannya, dan kini diikuti rapat oleh bekas seteru politiknya iaitu Pas. Mereka bertolong bantu dalam kefasadan, kesan daripada mabuk kekalahan,” ujarnya.

Menganggap Ridhuan sebagai “berjaya jadi lebih Melayu, berbanding berjaya menjadi lebih Islam,” Athirah berpendapat ramai terkeliru kesan daripada polisi, sikap dan percubaan Umno untuk menyinonimkan diri mereka sebagai Islam.

“Termasuk dalam usaha mereka mendepani pola politik Pas yang sekian lama juga cuba menyinonimkan ‘parti’ itu sebagai agama,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Ridhuan bahawa pensyarah tersebut boleh mengulas isu-isu politik daripada segala sisi seni kemungkinan tetapi Islam tidak seperti itu.

“Maka berhenti mengaitkannya dengan Islam. Ia satu percubaan yang bukan sahaja jahat, tetapi salah, berbaur hasutan dan tidak bertanggungjawab,” tambahnya lagi.

Siapalah yang bodoh sangat cadangkan gelaran datuk kat malaun ni

Polis siasat 'Datuk Seri' terbabit pergaduhan kelab malam

Seorang lelaki bergelar Datuk Seri hari ini menyerah diri kepada polis untuk membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur pada 3 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Kuala Lumpur, ACP Alzafny Ahmad, berkata lelaki terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bersama peguamnya kira-kira jam 3 petang semalam.

"Datuk Seri yang dimaksudkan menyerah diri untuk membantu siasatan dalam kes ini.

"Selepas keterangan diambil dan soal siasat dijalankan dia dilepaskan dengan jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod beberapa tahun lalu lelaki berusia 31 tahun itu pernah terbabit dalam serangan di depan sebuah kuil di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian awal bulan ini sekumpulan lelaki yang bersenjatakan batang kayu menyerbu masuk sebuah pusat hiburan dan merosakkan barangan di premis terbabit.

Nilai kerosakan dianggarkan kira-kira RM200,000.

Ekoran kejadian itu polis menahan 14 lelaki berusia antara 26 dan 27 tahun

Siasatan awal mendapati kekecohan itu berlaku disebabkan rasa cemburu terhadap seorang wanita.

Polis kemudian mengenal pasti empat lelaki yang boleh membantu siasatan kes berkenaan termasuk pemuda bergelar Datuk Seri terbabit.

Minggu lalu seorang peguam mewakili Datuk Seri itu dilaporkan cuba membincangkan isu berkenaan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim.

Bagaimanapun Mazlan bertegas agar Datuk Seri terbabit menyerah diri kepada polis atau berdepan kemungkinan ditangkap.

Sementara itu Alzafny berkata polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu dan sedang menunggu seorang lagi lelaki - yang kini berada di luar negara - untuk pulang memberi keterangan.

Dibayar RM 5,000 untuk bakar kereta Mufti Perlis

Bernama

Polis telah memberkas seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam perbuatan membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 22 Mac lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad berkata suspek seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan dirumahnya di Kampung Jelempok Arau pada kira-kira 2.45 pagi Sabtu oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perlis.

Beliau berkata hasil siasatan awal, suspek mengaku diupah RM500 oleh seorang individu untuk melakukan perbuatan khianat itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas yang dikenali sebagai Mie Tomoi.

Menurut Noor Mushar, polis telah mengenal pasti identiti tiga daripada lima suspek yang masih bebas dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat dan menambah bahawa pihak polis telah mendapatkan perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula semalam.

Katanya polis juga merampas telefon bimbit suspek yang turut mempunyai lima kesalahan lampau dan pernah menjalani hukuman sebanyak dua kali.

Noor Mushar berkata hasil siasatan lanjut suspek memberitahu polis bahawa beberapa hari sebelum kejadian itu beliau telah dibawa oleh Mie Tomoi berjumpa tiga lagi individu yang berniat untuk melakukan sesuatu terhadap mufti.

Katanya menurut suspek seorang daripada individu terbabit menawarkan upah yang lumayan dengan menyuruhnya dan Mie Tomoi menyimbah asid ke muka Mohd Asri tetapi tidak dipersetujui.

“Bagaimanapun hasil perbincangan lanjut Mie Tomoi dan suspek bersetuju untuk membakar kenderaan Mohd Asri dengan upah sebanyak RM5,000,” kata Moor Mushar.

Selang beberapa hari kemudian, Mie Tomoi telah ke rumah suspek dengan menaiki motosikal dan kemudian menaiki Proton Waja milik suspek menuju ke sebuah rumah di Titi Tok Bandar, Kangar,” katanya.

Menurut Noor Mushar, seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Dik E menyerahkan beg galas, jaket, botol plastik dan helmet dan mereka kemudian menuju ke sebuah stesen minyak di Kodiang, Kedah dengan menaiki motosikal milik Mie Tomoi untuk mengisi petrol ke botol plastik sebelum ke rumah mufti.

Beliau berkata setibanya di rumah mufti, Mie Tomoi menyimbah minyak petrol ke kereta mufti dan suspek menyalakan api selain mengetuk cermin belakang kereta menggunakan tukul.

“ Setelah selesai mereka terus meninggalkan tempat kejadian dan barangan yang mereka bawa telah dibakar, katanya lagi.

“Selang beberapa hari kemudian suspek berjumpa dengan seorang individu di sebuah kedai serbaneka di Kangar dan meminta bayaran sebanyak RM5,000 seperti yang dijanjikan, bagaimanapun individu itu hanya memberinya RM500,” tambahnya.

Pada 22 Mac lepas, kereta rasmi Mohd Asri musnah dibakar oleh dua lelaki yang dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran Mohd Asri.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, kereta jenis Honda Accord berwarna hitam terbakar di bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri manakala cermin belakang dan depan dipecahkan.
-Bernama

Polis temui kaitan Jho Low dan barangan kemas dirampas di rumah Najib

Polis dilaporkan telah menemukan hubungan antara ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dan barangan kemas yang dirampas di kediaman berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut The Edge, para penyiasat telah menjejaki ratusan juta dolar AS yang masuk ke dalam empat akaun syarikat di Singapura datangnya dari 1MDB.

Syarikat-syarikat di Singapura itu didakwa membelanjakan AS247.59 juta (RM1.03 bilion) daripada dana 1MDB untuk membeli barangan kemas daripada 30 tukang emas dari seluruh dunia.

Kebanyakan barang kemas berkenaan, kata laporan itu ditemui di Pavilion Residencies yang diserbu polis tahun lalu.

Syarikat tersebut ialah Blackstone Real Estate Partners, Blackrock Commodities, Alsen Chance Holdings dan Brightstone Jewellery yang dimiliki oleh orang kepercayaan Low, Eric Tan Kim Loong.

Terdahulu, pihak berkuasa SIngapura telah mendedahkan Low menggunakan nama Eric sebagai proksi bagi membuka akaun korporat bank, termasuklah akaun Tanore yang dikaitkan dengan skandal RM2.6 bilion.

212 beg tangan

Jabatan Keadilan (DOJ) AS pula menemukan jejak dana dari 1MDB yang dikutip pada fasa Aabar BVI di dalam akaun Blackstone dan Alsen Chance.

Riza Aziz, anak tiri Najib didakwa menggunakan AS1.2 juta daripada akaun Alsen Chance bagi membeli poster filem mahal.

Jun lalu, polis menyerbu beberapa unit hartanah yang dikaitkan dengan Najib. Pada serbuan tersebut, polis merampas hampir 12,000 barang kemas, 401 jam tangan dan wang tunai dalam pelbagai mata wang.

Turut dirampas ialah 567 beg tangan daripada 37 jenama yang berbeza yang memerlukan penjagaan khas oleh pihak polis.

The Edge melaporkan terdapat 212 beg tangan buatan Hermes dan bernilai RM47 juta.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki oleh Obyu Holdings Bhd.

Obyu Holdings dimiliki oleh Bustari Yusof, abang mantan menteri kerja raya Fadillah Yusof. Bustari merupakan orang kepercayaan Najib.

Kerajaan telah memfailkan notis pelucuthakan bagi barangan tersebut.