"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Penghuni asrama gempar, pelajar perempuan berusia 15 melahirkan anak

Bersalin
Miri:Tangisan bayi dari sebuah bilik asrama sebuah sekolah di bandar raya di sini, membongkar rahsia kelahiran bayi perempuan masih bertali pusat yang dilahirkan seorang pelajar tingkatan tiga hingga menggemparkan pengurusan sekolah berkenaan, kelmarin.

Kejadian jam 10.50 malam itu disedari rakan remaja terbabit selepas terdengar pelajar perempuan berusia 15 tahun itu mengerang kesakitan disusuli tangisan bayi di dalam biliknya.

Sumber berkata, sebaik mendekati katil pelajar berkenaan, dia tergamam melihat keadaan katil dipenuhi darah dan ada bayi di sebelah rakannya itu.

Menurutnya, keadaan fizikal pelajar berkenaan sangat lemah selain kelihatan cemas dengan kejadian berkenaan selepas melahirkan bayi di sekolah.

“Bimbang dengan keselamatan pelajar itu, rakan sebilik remaja berkenaan memaklumkan kepada pihak sekolah sebelum mendapatkan bantuan ambulans.

“Pelajar terbabit dikatakan ada mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, namun rakan lain menyangka remaja terbabit hanya sakit senggugut, malah sebelum itu tiada siapa menduga pelajar itu sedang mengandung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, remaja berkenaan mengaku pernah terlanjur dengan teman lelakinya yang berusia 20 tahun dan mengenali lelaki itu sejak di sekolah rendah lagi.

“Remaja terbabit tidak mengetahui kediaman teman lelakinya itu, bagaimanapun dipercayai dia menetap di Batu Niah.

“Polis kini sedang mengesan teman lelakinya itu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Miri berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta pihak sekolah tampil memaklumkan kejadian itu kepada PPD Miri.

Pandikar dah letak jawatan Speaker Parlimen kata Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah memaklumkan kepadanya untuk meletakkan jawatan sebagai speaker Dewan Rakyat.

Tanpa memberi maklumat lanjut mengenai perkara tersebut, mantan perdana menteri itu berkata, Dewan Rakyat kini dipengerusikan oleh timbalannya Pandikar, Datuk Ronald Kiandee (kiri).

"Speaker sudah berhenti dah. Dia jumpa saya nak berhenti. Speaker dah berhenti. Sekarang yang jadi Pengerusi Dewan Rakyat ialah timbalannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada hadirin dalam program Bicara Negarawan di Ipoh hari ini.

Mahathir sebelum itu menjawab soalan hadirin sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh dijatuhkan sekiranya mendapat undi tidak percaya di Parlimen.
-malaysiakini-

8 Sebab Orang Jepun Lebih Islam Dari Orang Islam

Tranungkite
Jepun, sebuah negara maju yang pesat membangun tetapi masih lagi mengekalkan nilai-nilai murni dalam setiap penduduknya. Malah akhlak ini sama seperti yang diterapkan dalam agama Islam seperti menepati masa, jujur, dan lain-lain. Namun, ada yang berpendapat orang Jepun lebih Islam daripada orang Islam sendiri. Cuba lihat sebab dibawah.

1. Jepun terkenal dengan displin waktunya. Jadual kereta,bas, kereta api jika tidak ada keadaan darurat, sangat tepat, tidak lebih dari 1-2 minit saja.Mereka masuk pejabat 15 minit sebulum waktunya
2. Orang Jepun juga kejujurannya amat tinggi. Jika kita kehilangan dompet, jgn bimbang kerana pasti akan bertemu semula kerana kejujuran yg amat tinggi( pengalaman orang yg tinggal di sana)

3. Kanak-kanak Jepun dan gurunya membersihkan sekolah mereka setiap hari selama 20min.Dekat Malaysia guru hanya pandai mengarahkan anak murid.

4. Jika anda pergi ke restauran buffet di Jepun, anda akan dapati bahawa setiap orang akan mengambil makanan dengan kadar yang diperlukan sahaja, dan tidak akan meninggalkan apa-apa sisa makanan di atas pingan

5. Di Jepun diajar pada awal sekolah rendah sehingga darjah enam dengan satu matapelajaran yang dinamakann "Jalan kearah Akhlak" di mana pelajar mempelajari akhlak/etika dan cara berdepan dengan orang

6. Menghormati orang lain atau orang yang lebih tua juga berlaku di Jepun. Di kendaraan umum, pasti disediakan tempat duduk khusus untuk orang-orang tua. Tidak perduli apapun statusnya, melihat orang yang lebih tua, biasanya mereka sangat hormat.Apabila hendak keluar dari bas, mahasiswa mengucapkan terima kasih kepada pemandu..apabila mereka melayan tetamu atau meminta maaf , mereka akan membongkokkan badan tanda hormat atau merendah diri

7. Kanak-kanak di sekolah akan membawa berus gigi yang telah dan mereka membersihkan gigi mereka di sekolah setiap kali lepas makan bagi mengekalkan kesihatan pada usia yang muda.

8. Dilarang mengunakan handphone di dalam tren/keretapi, restoran dan tempat-tempat yang tertutup, dan dinamakan status ‘silent' di handphone sebagai "akhlak/etika". malangnya di Malaysia hari ini ayah sibuk telefonnya, ibu sibuk dgn telefonnya, anak sibuk dgn telefonnya.sedih melihat keadaan keluarga hari ini

"Dlm tv al-hijrah ada dokumentari tentang perbezaan negara arab dgn jepun. Satu part yg best host yg pegi ke jepun tu kata orang jepun tidak dianugerahkan oleh Allah akal yg lebih cerdik dari orang arab,seorang jurutera arab lebih cerdik sebenarnya dari seorang jurutera jepun,jadi mengapa jepun lebih maju? Bezanya orang jepun lebih bekerjasama dan mementingkan kerja berpasukan,seorang jurutera jepun kalah dgn arab tapi jika sepasukan jurutera jepun tidak mampu untuk ditandingi oleh sepasukan jurutera arab".'

Berkata ulama "Bayangkan:?mereka sudah berbondong-bondong ke masjid/mushola 5-10 menit sebelum azan berkumandang, pembayaran zakat akan sangat dipatuhi, alim ulama akan dihormati, masjid akan sangat rapi dan bersih.

Dihukum penjara ajak surirumah 'jom main'

Tindakan lelaki Myanmar mengajak seorang suri rumah untuk melakukan hubungan seks akhirnya dibalas dengan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Rofik Monu, 23, selepas dia mengaku bersalah menghina kesopanan T.Nanthini, 22, dengan mengeluarkan kata-kata "jom main" dengan niat untuk melakukan hubungan seks dengannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 28 April lepas.

Tertuduh, Muhamad Rofik didakwa melakukan kesalahan itu di Blok D Pangsapuri Ketumbar, Jalan Ketumbar Off Jalan Cheras Lama, Cheras, di ibunegara pada pukul 10 malam, 28 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-Bernama-

Jangan biarkan insiden busuk di pantai Miami berulang

Robin Stanley Augustin
SEKILAS PANDANG: The Star baru-baru ini melaporkan mengenai sebuah situasi ‘busuk’ yang dihadapi oleh pelawat-pelawat dan pelancong di pantai Miami di, Batu Ferringhi.

Ia menyatakan yang kumbahan mentah dipercayai telah mengalir ke dalam laut dari parit tengkujuh bersebelahan Miami Beach Baywatch Tower, selama sekurang-kurangnya lima hari.

Masalah ini berpunca dari sebuah lurang yang ditutup dengan tar di luar loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) yang telah terkeluar, sehingga menyebabkan kumbahan mengalir keluar.

Menurut laporan itu, ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid berkata majlis itu menerima aduan pertama mengenai masalah itu lima hari sebelumnya, dan IWK masih belum mengambil tindakan.

Pelawat-pelawat ke pantai popular itu telah dinasihatkan supaya tidak berenang di laut kerana risiko kesihatan.

Ketika dihubungi pada 8 Mei, Syerleena berkata kebocoran itu telah dihentikan.

Beliau berkata bahawa dia akan bertemu wakil IWK mengenai isu itu pada minggu berikutnya.

Mengapakah situasi mustahak seperti itu perlu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan?

Ketika dihubungi Semut Harian, penyelaras program penjagaan sungai Global Environment Centre, K Kalithasan berkata: "Ini tidak sepatutnya berlaku, ia sepatutnya telah ditangani dengan segera."

Kalithasan berkata yang air kumbahan mengandungi bakteria dan patogen yang berbahaya kepada manusia, kehidupan akuatik dan boleh menjejaskan kualiti air.

Beliau juga menggesa IWK untuk menerangkan kepada orang ramai tentang apa yang berlaku, dan memastikan supaya ianya tidak berlaku lagi.

Selain risiko kesihatan dan kerosakan alam sekitar yang jelas, kejadian itu akan memberi impak negatif kepada industri pelancongan di negeri ini.

Bolehkah anda bayangkan kekecewaan dan kejutan yang dirasai pengunjung ke pantai yang terkenal itu?

Apa sahaja rancangan menyeronokkan yang mereka ada, pasti telah punah.

Adakah mereka mahu kembali? Lebih buruk lagi, mungkin ada orang-orang yang berenang di dalam air itu tanpa menyedari yang ia telah dicemari.

Pelancongan adalah penting kepada negeri dan negara. Kita tidak boleh mendapat tumpuan negatif seperti ini.

IWK telah mengeluarkan satu kenyataan media yang menjelaskan bahawa sebuah kegagalan elektrik telah menyebabkan limpahan itu.
Seorang jurucakap IWK berkata bahawa mereka hanya menerima aduan mengenai limpahan itu pada 6 Mei, dan bekerja sepanjang masa untuk menyelesaikannya pada hari berikutnya.

Jurucakap itu berkata, IWK akan memperbetulkan isu itu di tempat rawatan air kumbahan, dan telah menurap semula kawasan sekitar lurang itu, supaya ia tidak berlaku lagi.

Jika masalah itu telah dilaporkan oleh orang ramai lebih awal tetapi lambat diterima oleh IWK, maka masalah komunikasi yang serius telah berlaku.

Sekarang setelah masalah itu diperbetulkan, IWK mesti mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan ia tidak berlaku lagi.

Kita berharap yang kejadian ini tidak akan membuatkan sesiapa enggan melawat pantai itu lagi.
-antdaily-

PAS pimpinan Hadi akan keluar Pakatan bulan depan?

Ng Kee Seng
ANALISIS BERITA: Jelas bahawa PAS tidak boleh terus menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat, selagi Hadi Awang yang pro-kerajaan perpaduan dan pro-Umno terus menerajui parti Islam itu.

Jika Hadi dipilih semula sebagai presiden PAS bulan depan, PKR dan DAP tidak mempunyai pilihan lain selain bergerak tanpa PAS dalam usaha mereka untuk menduduki Putrajaya.

Mungkin, ini adalah mengapa orang kuat DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang telah menulis pada 11 Mei bahawa beliau tidak pasti sama ada Pakatan akan terus wujud pada bulan depan.

Rupa-rupanya, Lim merujuk kepada pemilihan PAS bulan depan, yang akan menyaksikan pertembungan antara puak konservatif dan sederhana.

Jika Hadi dan golongan konservatif beliau menang, adakah masih praktikal untuk PKR dan DAP bekerjasama dengan PAS sebagai sebuah gabungan politik?

Sepanjang tahun lepas, Hadi sentiasa membangkitkan isu-isu yang dianggap memudaratkan perpaduan Pakatan, sekali gus memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.

Isu membingungkan terbaru yang dibangkitkan oleh Hadi adalah sokongan terhadap Najib Razak untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

The Star Online pada 12 Mei memetik Hadi sebagai berkata yang Najib perlu menjalankan tugasnya sebagai perdana menteri, kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil.

Biar betul? Jadi, adakah Hadi maksudkan yang setelah dipilih, rakyat Malaysia perlu menunggu sehingga penggal tamat untuk menukar pemimpin mereka?

Jika seorang Perdana Menteri kehilangan sokongan di tengah-tengah pemerintahannya, adakah undi tidak percaya, mungkin di Parlimen, tidak wajar?

Hadi menyatakan: "Beliau tidak seharusnya tunduk kepada tekanan dan dia harus dibenarkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

"Saya bersetuju dengan beliau yang beliau tidak perlu meletak jawatan dan saya mesti mengatakan bahawa beliau perlu diberikan peluang untuk menamatkan penggalnya."

Jadi, adakah Hadi maksudkan yang tiada masalah bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion?

Apakah Hadi juga maksudkan yang Najib tidak boleh dipersalahkan apabila beratus-ratus juta ringgit diambil dari 1MDB ke tempat-tempat lain oleh seorang "orang luar"?

Abdul Hadi juga menyatakan yang adalah sia-sia untuk memberi tekanan kepada perdana menteri untuk berundur, kerana kontroversi-kontroversi yang presiden Umno itu didakwa terlibat.

"Adalah memalukan untuk memberi tekanan kepada beliau bagi meletakkan jawatan, kerana kita perlu mengamalkan sistem demokrasi yang sihat," katanya.

Bukankah kenyataan yang dibuat "musuh politik" ini, membingungkan?

Jadi, adakah Hadi telah lupa bagaimana BN yang diterajui Umno telah membuli PAS, menafikan royalti minyak terhadap Terengganu dan Kelantan yang dipimpin PAS?

Adakah Hadi telah lupa bagaimana PAS telah disingkirkan daripada BN pada tahun 1978, selepas BN berjaya menggunakan PAS untuk menyatukan asas politik Melayu?

Abdul Hadi menambah yang tindakan mendesak Najib berundur adalah satu senario yang telah pun berlaku semasa kepimpinan perdana menteri sebelumnya.

"Ini bukannya perkara baru. Sebelum 1MBD, kita juga mempunyai masalah dengan Perwaja (Steel Sdn Bhd) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), hanya beberapa darinya," katanya.

Apakah Hadi kini mengatakan yang adalah tidak mengapa untuk membolehkan mereka yang bertanggungjawab ke atas skandal-skandal kewangan, bebas begitu sahaja daripada pendakwaan?

Tetapi apa yang pasti adalah Najib telah mengisytiharkan perang ke atas Dr Mahathir Mohamad, yang meminta Najib untuk meletakkan jawatan atas alasan bahawa BN akan tumbang dalam pilihan raya akan datang di bawah kepimpinan Najib.

Lim berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 "bukan sahaja menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan Najib hanyalah kerajaan minoriti dengan 47 peratus daripada undi kebangsaan, tetapi tujuh kerajaan negeri di Tanah Melayu, iaitu Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor boleh bertukar tangan dalam PRU14.

Beliau berkata BN memperolehi kurang 55 peratus daripada jumlah undi negeri dalam pilihan raya umum lalu – Perak (45 peratus), Kedah (50 peratus), Terengganu (51 peratus), Negeri Sembilan (52 peratus), Melaka (53 peratus), Pahang (54 peratus) dan Johor (54 peratus).

Jadi, apakah agenda politik Hadi? Apakah yang diterima PAS melalui kerjasamanya dengan Umno dan Najib, untuk memusnahkan Pakatan?
-antdaily-

Imej Haji Hadi terjejas: Dia perlu menang besar

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicabar Ahmad Awang (tengah, dalam gambar) dalam pemilihan presiden parti dijangka akan menang, tetapi bukan tanpa kerosakan pada imejnya. – Gambar ihsan Ahmad Awang, 15 Mei, 2015.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicabar Ahmad Awang (tengah, dalam gambar) dalam pemilihan presiden parti dijangka akan menang, tetapi bukan tanpa kerosakan pada imejnya. – Gambar ihsan Ahmad Awang, 15 Mei, 2015.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang hampir pasti memenangi jawatan presiden pada pemilihan PAS bulan depan, tetapi imej presiden lebih sedekad itu terjejas hanya kerana beliau dicabar, kata ahli sejarah Profesor Datuk Dr Redzuan Othman dari Universiti Malaya.

Bekas pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya UM (UMcedel) itu membandingkan apa yang berlaku sekarang dengan cabaran oleh Sulaiman Palestin terhadap presiden Umno Tun Hussein Onn pada 1978.

"Dengan mood dan penguasaan penyokong Hadi yang ada sekarang, Ahmad Awang tidak nampak jalan (untuk menang)," kata Redzuan.

"Tetapi walaupun orang tidak kata Sulaiman Palestin akan menang, ia sesuatu yang menjejaskan kepimpinan Hussein."
Menurutnya, bagi pemimpin yang tidak pernah dicabar untuk jawatannya, menang kalah menjadi perkara kedua.

"Adalah sukar untuk pencabar menang, tetapi setakat dicabar itu sudah cukup. Seseorang pemimpin yang tahu kedudukan dia, dia akan berfikir 2 kali," kata Redzuan kepada The Malaysian Insider.

Redzuan mengulas keputusan Ahmad semalam bersetuju menerima pencalonan melawan Hadi untuk jawatan presiden PAS pada muktamar PAS ke-61 nanti.

Hussein, perdana menteri Malaysia ketiga dari 1976 hingga 1981, dicabar Sulaiman, ketua penerangan Umno, tetapi berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai presiden parti itu.
Imej Hadi terjejas walaupun dijangka akan menang kerana setakat dicabar, menang atau kalah kini perkara kedua, kata Redzuan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Mei, 2015.
Imej Hadi terjejas walaupun dijangka akan menang kerana setakat dicabar, menang atau kalah kini perkara kedua, kata Redzuan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Mei, 2015
Imej Hadi terjejas walaupun dijangka akan menang kerana setakat dicabar, menang atau kalah kini perkara kedua, kata Redzuan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Mei, 2015.

Ahmad yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Perak, berkata beliau menerima pencalonan merebut jawatan presiden kerana percaya parti Islam itu perlu ada perubahan kepimpinan selepas lebih sedekad di bawah Hadi.

"Ini sebuah parti mengamalkan demokrasi dan kita mahu memperkasakan parti," kata Ahmad selepas menyerahkan pencalonannya di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, semalam.

Seorang lagi penganalisis, Ibrahim Sufian dari Merdeka Centre berkata, Hadi mempunyai kelebihan dalam pemilihan ini sebagai penyandang dan juga ulama, namun beliau perlu menang besar.

"Kalau tidak, imej beliau nampak cedera untuk mendapat keyakinan ahli dan pengundi PAS dalam pilihan raya umum akan datang."

Menurut Ibrahim, walaupun pertandingan ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam PAS, namun beliau tidak menjangkakan sebarang kejutan.

Katanya, berlakunya pertandingan ini menzahirkan rasa tidak puas hati sebahagian ahli PAS terhadap Hadi sehingga sampai ke peringkat mahu melawan beliau, kata penganalis dari badan bebas pengumpul pendapat awam itu.

Dari satu segi, Ibrahim berkata pertandingan ini juga menunjukkan amalan demokrasi yang sihat dalam PAS, berbeza dengan amalan parti politik sebelum ini yang berbincang dan membuat keputusan di belakang tabir.

"Pertandingan ini menunjukkan hasrat ahli dan perwakilan PAS diraikan," kata Ibrahim.

PAS dilanda konflik dalaman ekoran perbezaan pendapat melibatkan rakannya dalam Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PKR.

Ini termasuk langkah PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor tahun lepas, yang menyebabkan pilihan raya kecil Kajang.
– Gambar ihsan Ahmad Awang, 15 Mei, 2015.
– Gambar ihsan Ahmad Awang, 15 Mei, 2015. 
Kemelut politik di Selangor itu berpanjangan selepas PKR memilih presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Khalid, keputusan yang tidak disetujui PAS.

Sementara PKR dan DAP pula bersetuju hanya mencalonkan nama Dr Wan Azizah bagi dipersembahkan kepada Sultan Selangor mendapatkan perkenan.

Hubungan antara PAS dan rakan-rakannya bertambah buruk selepas keputusan PAS Kelantan meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah II bagi membolehkan pelaksanaan hudud di negeri itu.

Susulan itu, beberapa ahli PAS menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), sebagai platform memperkasakan pakatan pembangkang.

PAS Kota Baru mula mengenepikan Hadi dengan mencalonkan pencabar bagi jawatan presiden, diikuti beberapa bahagian lain yang mencalonkan Ahmad dan Datuk Husam Musa.

Bagaimanapun, Husam besar kemungkinan tidak akan bertanding atas alasan kesihatan.

Beliau juga tidak kelihatan pada dua mesyuarat terakhir PAS Pusat di Kuala Lumpur, dan tidak hadir majlis ceramah Pakatan Rakyat di Kota Baru baru-baru ini walaupun namanya tersenarai sebagai penceramah utama di samping Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, ketua ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli. – 15 Mei, 2015.
-malaysianinsider-

Video: Maut tercampak dirempuh Myvi

Nahas-2
Putrajaya: Seorang pekerja hotel maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Presint 5 awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.33 pagi itu, mangsa Affendi Aziz, 36, maut di tempat kejadian setelah motosikalnya dirempuh kenderaan berkenaan di simpang empat lampu isyarat.

Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak beberapa meter menyebabkan kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Difahamkan pemandu kereta berkenaan sedang dalam perjalanan menghala ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Bagaimanapun pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid mengesahkan kejadian tersebut.

“Lampu isyarat berhampiran simpang empat Pullmen berfungsi seperti biasa dan sehingga kini siasatan masih dijalankan,” katanya./klpost

Remaja dirogol ‘spiderman’

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja wanita tidak menyangka keputusannya berehat di rumah bersendirian pada waktu tengah hari turut tidak selamat apabila dirogol seorang lelaki bertopeng ala-ala ‘spiderman’, di kediamannya di Kampung Bukit Guntung, Marang, Rabu lalu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan sedang lena tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembaga bertopeng tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek bukan sahaja bertopeng, malah turut memakai sarung tangan itu terus bertindak menekup mulut sebaik menyedari mangsa tersedar daripada tidurnya.

“Suspek menekup mulut mangsa bagi mengelak dia menjerit, bagaimanapun dengan kudrat yang ada, mangsa cuba melawan untuk menyelamatkan dirinya.

“Namun, ketika itu juga suspek bertindak keluarkan pisau lipat lalu diacukan ke arah mangsa sebagai ugutan sekiranya mangsa masih berdegil mahu melawan sebelum merogolnya,” katanya di pejabatnya, semalam.

Wan Abd Aziz berkata, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersendirian menerusi pintu utama rumah.

Jelasnya, mangsa yang ditinggalkan itu terus cuba hubungi ibunya yang ketika itu di tempat kerja, namun gagal sebelum mengambil keputusan menghubungi rakan baiknya dan seterusnya membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati tiada tanda kediaman mangsa dipecah masuk suspek, namun siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti identiti serta bagaimana cara suspek menceroboh masuk rumah mangsa.

“Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan n susulan,” katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
-sinarharian-

Video: Anak Kurang Ajar Tendang Ibu Dalam Program TV

Tranungkite

LUBNAN: Anak kurang ajar. Sanggup menendang ibu sendiri di hadapan penonton yang menyaksikan program yang disiarkan sebuah stesen televisyen yang bermatlamat menyatukan kedua-dua beranak itu.

Kejadian mengejutkan itu berlaku apabila Ahmed, 15, ditemukan dengan ibunya yang sudah tujuh tahun tidak berjumpa, dalam program Bil Akeed.

Ahmed sebelum ini enggan bertemu dengan ibunya, yang telah bercerai dengan bapanya.

Ketika pengacara cuba mencari jawapan kepada perpisahan berkenaan, wanita itu memberitahu bahawa dia bercerai dengan suaminya kerana lelaki itu kaki pukul.

“Malah dalam mahkamah juga dia menyerang saya, di hadapan hakim,’’ kata wanita tersebut.

Ahmed kemudiannya mula marah dan mempertahankan bapanya.

Keadaan ini menyebabkan ibunya menganggap Ahmed sebagai remaja yang `mabuk’.

Ia menyebabkan Ahmed mengamuk lalu naik ke atas meja dan menendang ibunya. Dia bagaimanapun telah ditarik dengan segera oleh kakitangan produksi.

Pada akhir program berkenaan, pengacara . Zaven Kouyoumdjian memberitahu bahawa dia akan menyelesaikan isu tersebut.

Namun program itu dikecam hebat dalam media sosial.

Kredit : Ramadhan84

Video perbuatan jijik pekerja KFC jadi viral


Video-KFC
Sebuah video yang tersebar meluas ini pastinya memberi tamparan kepada penggemar makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC).

Video yang kini giat dikongsikan di pelayar media itu menunjukkan bagaimana dua orang pekerja KFC mencuci ayam dengan cara yang sangat jijik.

Kejadian ini dilaporkan berlaku di KFC Braamfontein, Afrika Selatan.

Mereka kelihatan membaling sahaja ayam di lantai dan menjirusnya dengan air dan pastinya lantai tersebut kotor.

Video yang dimuatnaik di Youtube ini mendapat respon negatif dari pengguna laman sosial dan ditonton lebih 200,000 ribu kali sejak dimuatnaik Mei pada minggu lepas.

Kes ini telah mendapat perhatian pengurusan KFC Afrika dan telah menjalankan siasatan berkenaan isu terbabit./klpost

Nahas Semenyih: Inilah perbualan antara Aidana Baizieva dengan Kapten Clifford yang dirakam kotak hitam

KUALA LUMPUR: Data daripada alat perakam suara kokpit menunjukkan seorang penumpang wanita, Aidana Baizieva sememangnya aktif dalam operasi penerbangan helikopter berkenaan.

Transkrip daripada rakaman alat perakam data mendapati juruterbang Kapten Clifford William Fournier beberapa kali merujuk kepada wanita warga Kyrgystan itu mengenai keadaan helikopter tersebut sebelum berlepas dari bandar Kuantan pada 4 April kira-kira jam 4 petang.

Dalam rakaman perbualan itu, Kapten Clifford menyatakan rasa khuatir mengenai kedudukan gear pendaratannya.

Aidana memberikan gambaran keadaan di sebelah kiri helikopter apabila roda pendaratan terbenam akibat tanah mendap di sebuah padang bola sepak.

Kapten Clifford: "why my landing gear... is it down? I got three in the green, I am little nervous about this now, let me see it."

Aidana: "it's ok.. it's a.. the dirt at the back... it's ok... Wheel went into the ground... it's a soft ground there... after the rain... we are good, we are good... yes.. yes.. yes, we are good; it's a soft ground there.. after the rain.. it's the field.. it's the football field."

Kapten Clifford: "wow... that was crazy"

Selepas menurunkan seorang penumpang, helikopter meneruskan penerbangan apabila Aidana memberi jaminan mereka dalam keadaan selamat dan mencadangkan agar gear pendaratan diturunkan.

Namun juruterbang menegahnya daripada berbuat demikian dan berkata kemungkinan berlaku kebocoran cecair hidraulik pada helikopter berkenaan.

Aidana: "Don't worry, we are absolutely safe. Shall we collapse our gear?"

Kapten Clifford: "no.. no.. no.. leave it down, there is probably some damage to the hydraulic or something. We went all the way to the belly, it's not good."

"It's definitely not normal for the wheels go down into the ground that far. It's definitely not good to tip like that.

"As a matter of fact, I saw hydraulic fluid leaking and that's why I don't want to put them up. They are locked in the down position and we keep them locked in the down position."

Namun persoalan berbangkit pada sidang media berhubung laporan awal nahas helikopter di Semenyih, apakah peranan wanita misteri itu dalam operasi penerbangan berkenaan?

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mendedahkan wanita itu hanya salah seorang penumpang.

"Penumpang wanita itu adalah kawan kepada juruterbang. Berdasarkan rakaman kokpit, anda dapat lihat bahawa juruterbang itu tidak dapat melihat apa yang berlaku di sebelah kiri roda helikopter dan meminta agar wanita berkenaan memeriksa keadaan roda berkenaan. Wanita itu hanyalah seorang penumpang." kata Liow.

Beliau turut berkata, pihaknya tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

Rakaman daripada alat perakam data turut mendedahkan sebanyak dua kali salah seorang penumpang melalui percakapan intercom helikopter menyuruh juruterbang agar lebih berjaga-jaga.
-tranungkite-

Dr Mahathir masih simpan peluru akhir untuk "kill" Najib?

Mohd Sayuti Omar
Jika diumpamakan gempa bumi yang melanda "negeri" Najib Razak kini, ia berlaku dalam skala Richter yang besar juga yang boleh menghasilkan tsunami. Kedudukan Najib kini bergoyang dan segala isu yang dimainkan memeningkan perdana menteri itu. Ada petunjuk dan lakar wajah yang beliau dalam kerisauan dan isterinya juga loya-loya bukan kerana hamil.
Sokongan yang diminta dari rakyat, pimpinan dalam parti Umno, badan-badan bebas atau atau NGO pengampu, atau pun jeritan sokongan oleh pemimpin tertentu, serta laungan sokong menteri musang berjanggut, tidak memberi kelegaan sebenar kepada Najib.

Najib boleh tidur tetapi lenanya tidak ada. Kaki dan tangannya sering tersentak. Dan pertanyaan selama mana dia akan bertakhta di kerusi PM sering bermain dalam kepalanya. Waktu ini Najib sedang mencari detik dan tarikh keramat untuk bersara.

Mesyuarat MT Umno semalam yang didakwa telah menyatakan sokongan padu kepadanya, hanya sebuah lakonan sementara sahaja atau kain langsir yang carik yang tidak dapat memagari permasalahan dalam Umno seluruhnya. Mesyuarat dan dakwaan kononnya ahli Umno berdiri di belakangnya hanya ilusi semata-mata. Najib kini bersadar kepada penyokong yang membawa rebah.

Perhimpunan 11 Mei sempena ulang tahun kelahiran Umno malam tadi juga tidak membawa apa-apa makna dan erti kepda Najib dalam keadaan goyah dan goyang begitu. Ahli Umno melaung "sokong, sokong" tetapi hati mereka berbelah bahagi. Isu-isu semasa yang didedahkan bukan saja merungsingkan Najib tetapi memalukan sekalian ahli Umno.

Serangan akan terus ditala kepada Najib. Untuk beberapa hari ini sementara Dr Mahathir Mohamad berada di Makkah, memberi sedikit kelegaaan dan peluang kepada Najib. Dengan waktu tersisa, bolehlah Najib menyusun langkah dan strategi untuk berdepan dengan serangan kepadanya. Mana-mana fail sulit yang tersimpan di pejabatnya bolehlah dilupuskan atau dibawa keluar sebelum kiamat berlaku.

Saya mengira Dr Mahathir tidak akan berhenti. Pemergiannya ke Makkah bukan menimbulkan keinsafan untuk bersalaman dan memaafi Najib dan mendamaikan Umno. Dr Mahathir masih ada peluru terakhir untuk dicampak kepada Najib. Peluru ini merupakan paku terakhir keranda Najib.

Apakah peluru itu? Saya tetap yakin ianya adalah berkaitan dengan isu Altantuya Shaariibbu. Satu masa sebelum Abdullah Ahmad Badawi turun dari kerusi perdana menteri, Mahathir ada menerima laporan lengkap mengenai isu Altantuya daripada salah seorang kuasa usaha Mongolia. Mahathir mulanya bercadang akan gunakan laporan itu untuk menjatuhkan Abdullah, tetapi Abdullah bertindakan awal mengelakkan laporan itu diedahkan dengan mengambil keputusan berundur.

Selain Mahathir, ada dua lagi person dikatakan menerima laporan berkenaan. Bagaimana pun laporan yang dianggap akurat mengenai tragedi itu tidak pernah didedahkan.

Apakah peluru terakhir mengenai Altantuya itu merupakan laporan berkenaan? Sekiranya Mahathir mendedahkan laporan ini, ia bukan sahaja mengheret Najib Razak, tetapi ia juga akan berkaitan dengan Abdullah Ahmad Badawi dan seorang bekas kuasa usaha Mongolia berasal dari Malaysia itu. Kisah Altantuya tidak akan pernah ada kesudahan, kerana Altantuya masih hidup?

Kita tunggu dan Mahathir seperti juga Anwar Ibrahim tidak akan pernah mengaku kalah dan tidak pernah mengaku salah
http://msomelayu.blogspot.com

Pasangan Seks Balkoni Lakukan Kelucahan Melampau - Peguam

PETALING JAYA: Pasangan yang melakukan hubungan seks di balkoni sebuah kondominium berkemungkinan akan didakwa kerana melakukan perbuatan kelucahan melampau, kata seorang peguam jenayah.

Peguam Sreekant Pillai berkata, sebarang dakwaan akan dibuat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 377D, adalah menjadi satu kesalahan jika seorang itu melakukan, membantu atau menyebab dilakukan, atau mencuba melakukan, satu perbuatan kelucahan melampau (gross indency) dengan orang lain.

Perbuatan ini boleh dilakukan sama ada di tempat awam atau di tempat yang tersembunyi (in public or in private).

Jika sabit kesalahan, perbuatan sedemikian boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun.

"Aksi mereka direkodkan dan menjadi viral di laman sosial," katanya kepada The Star Online.

Laporan dan video pasangan yang tidak dikenali melakukan hubungan seks di siang hari di balkoni sebuah unit kondominium di Bangsar South dikongsi di rangkaian media sosial sejak Selasa lalu.

Aksi selama 30 minit mereka itu dirakamkan oleh penyewa dari unit lain kawasan kejiranan berkenaan.

Polis mengesahkan bahawa perkara itu disiasat dan mereka sedang mengumpul bukti untuk tindakan lanjut.
-mstar-

SELEBRITI terkenal Hollywood, Lindsay Lohan Pilih Al-Quran (Gambar)

SELEBRITI terkenal Hollywood, Lindsay Lohan dilaporkan memilih agama Islam apabila didapati memegang Al-Quran disampingnya di Brooklyn, New York pada Rabu.

Selebriti berdarah kacukan Ireland dan Itali terbabit dibesarkan sebagai seorang Katholik dan dilaporkan memegang Al-Quran selepas selesai menjalankan satu sesi khidmat masyarakat di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.
Al-Quran yang merupakan kitab suci menetapkan gaya hidup bebas tanpa alkohol dalam Islam selain mengajar kepada cara hidup lebih sopan dan tenang.

Daily Mail Online memberitahu, ini juga bukan pertama kali selebriti tersebut menunjukkan minat terhadap ajaran agama yang lain.

Selain itu, Lindsay sebelum ini dikatakan menghadiri beberapa kelas Kabbalah (tradisi kuno agama Yahudi) dan sering digambarkan memakai gelang tangan merah Kabbalah, yang dikatakan boleh menghindari musibah yang disebabkan oleh 'mata jahat'.
Selebriti terbabit turut dilaporkan menyertai sebuah kumpulan keagamaan, 'Courtney Love Buddhist' pada 2012, sebelum akhirnya memilih Al-Quran.

Pada tahun lalu, Lindsay menyifatkan dirinya sebagai seorang yang 'lebih berohaniah' menerusi satu siri dokumentari terkenal Amerika Syarikat, Oprah Winfrey.

"Saya seorang yang mempunyai tahap rohani yang tinggi dan akan bertambah dari masa ke semasa," katanya.
-mstar-

Akhirnya Bekas MB Terengganu, Mat Said Dapat Tidur Lena Selepas Balas Dendam Terhadap DS Najib?

Tranungkite
Kenapa gua katakan beliau BERDENDAM terhadap Presiden Umno Datuk Seri Haji Najib ialah, boleh sahaja Bekas Menteri Besar (MB) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (BN-Kijal) mengatakan yang beliau TIDAK PASTI atau pun TIDAK INGAT berkaitan dengan Terengganu Investmen Authority (TIA) bila beliau Diajukan Soalan Lisan oleh Adun Bukit Payung Yb Mohd Nor Hamzah (PR-PAS).

Jika jawapan Tidak Pasti dan Tidak Ingat diberikan oleh beliau kepada Soalan Lisan Adun Bukit Payung tersebut, apa yang Adun Bukit Payung boleh lakukan kecuali Mendengar. Namun DS Ahmad Said tidak memilih Jawapan Tidak Pasti dan Tidak Ingat, sebaliknya mengatakan TIA atau yang sekarang dikenali sebagai 1MBD adalah antara Punca Kemarahan DS Haji Najib kepada beliau hingga diminta Meletakkan Jawatan sebagai MB Terengganu.

Yang mana dikatakan punca Kemarahan tersebut Berputik apabila beliau Tidak Bersetuju bila TIA cuba untuk Mencagarkan Gas dan Minyak di Laut Terengganu, kenapa DS Ahmad Said tidak menjawap soalan Adun Paka dengan Jawapan Tidak Pasti dan Tidak Ingat. Kenapa pula beliau perlu MEMBEBEL sampai kepada Peristiwa Perletakakan Jawatan beliau sebagai MB Terengganu, tiada lain sebab nya adalah kerana Dendam beliau terhadap DS Najib.

Untuk itu lu orang terutama Penyokong-Penyokong UMNO HARAMJADAH jangan pulak kata yang gua ni buat Fitnah ok, kerana bab Dendam Mendendam adalah perkara biasa kepada Isi Perut Umno dan Yang Sewaktu Dengan Nya. Jika tidak sebegitu tak kan Parti Umno boleh MAMPOS DIBUNUH oleh Ahli Umno itu sendiri dan Dikebumikan Tanpa Nisan. Ia nya juga Bertepatan sekali dengan Slogan Umno iaitu Perjuangan Agama Bangsa dan Negara... kah kah kah !.

Buat DS Ahmad Said gua ucapkan TAHNIAH diatas sebab DS telah Berjaya juga Membalas Dendam DS Terhadap Presiden Umno yang telah Memalukan DS satu ketika dulu, menurut kata lu DS ada lagi yang DS hendak ceritakan tetapi tidak dimasa ini. Tak apa DS, gua setia menunggu Masa dan Ketika nya untuk DS Menceritakan Perihal 1MDB tersebut. Cuma nya DS sekarang ni perlu lebih Berhati-hati dalam Pergerakan... tahu sama tahu sudah lah ya DS... kah kah kah !. 

hemmmmm..... nampak gaya nya perdana menteri wassatiyah terbaik umno terpaksa membuat tempahan bagi menambah stok pampers beliau yang sedia ada... kah kah kah !.

Senarai baru ‘Kabinet’ menguatkan khabar angin rombakan yang bakal berlaku

Alyaa Alhadjri
Perdana Menteri Najib Razak telah menafikan khabar angin rombakan kabinet terbaru tetapi faktanya kekal wujud yang seseorang telah memikirkan perkara ini dengan mendalam dan mengeluarkan senarai kebarangkalian barisan menterinya yang baru.

Senarai yang berjudul, “Tujuh menteri digugurkan dalam rombakan kabinet Najib” sudah diedarkan di dalam pelbagai pengkalan media sosial.

Berdasarkan kenyataan daripada pejabatnya pada 12 Mei, Najib berkata; “Itu (senarai) hanyalah khabar angin yang diwujudkan oleh pihak tertentu.”
“Sejak semalam (11 Mei), spekulasi di Twitter dan beberapa buah blog telah mencetuskan tarikan media yang cuba membuatkan dia (Najib) untuk mengesahkan khabar angin tersebut.

“ Antara lain, senarai itu menyatakan yang dua timbalan menteri akan diangkat menjadi menteri penuh sementara seorang presiden parti akan dilantik menjadi menteri,” kenyataan itu menyebut.

Menurut senarai yang tersebar itu, tujuh menteri akan dilucutkan daripada Kabinet oleh Najib ialah; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Hasan Malik; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala, Jamil Khir Baharom dan Shahidan Kassim; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz; Menteri Luar Anifah Aman; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari dan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman.

Lebih menarik juga pihak yang bertanggungjawab menyebarkan senarai itu bukan sahaja memikirkan tentang peranan “baru” kepada enam daripada tujuh orang yang akan digugurkan itu, tetapi juga perubahan portfolio dalam kalangan menteri kabinet sedia ada.

Antara lain, Idris (kiri) akan diberikan tanggungjawab untuk menguruskan 1Malaysia Development Berhad yang kini menangung hutang besar, mungkin kerana disebabkan oleh ‘kejayaannya’ memberikan gambaran baik tentang Malaysia dan ‘menguruskan’ statistik sewaktu berada di Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan (kanan) pula akan dinaikkan pangkat untuk mengetuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia- sekali lagi diandaikan kerana kepantasannya ‘mempertahankan’ dirinya dan BN daripada serangan dalam media sosial.

Dalam senarai itu juga terdapat penubuhan semula Menteri Pengajian Tinggi yang buat masa kini digabungkan dengan Menteri Pendidikan- yang akan diketuai oleh bekas naib canselor Nordin Kardi- satu langkah yang dilihat untuk mengembalikan kredibiliti akademik kepada institusi pendidikan tinggi tempatan.

Malah, ini bukanlah kali pertama khabar angin seperti ini tersebar.

Beberapa minggu sebelum rombakan kabinet pertama Najib pada 25 Jun tahun lepas, terdapat khabar angin serupa tentang kemungkinan beberapa menteri digugurkan daripada barisan pentadbirannya.

Bagaimanapun, sebaliknya terjadi apabila berlakunya pembesaran kabinet bagi perlantikan menteri baru daripada MCA dan Gerakan, walaupun terdapat keperluan lain yang lebih utama.

Merujuk kepada kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang menafikan khabar angin yang sedang bertiup kencang, penting untuk dinyatakan yang kenyataan itu turut menyebut “rombakan kabinet boleh dilakukan pada bila-bila masa atau tidak dilakukan langsung.”

Lagipun, ia adalah hak istimewa perdana menteri untuk melakukan begitu. Ataupun ada pihak dalam Umno yang sedang membida kedudukan dan keistimewaan daripada Najib, yang terdesak hendak memperkukuhkan kedudukannya yang makin lemah.

Nyata bahawa hakikat wujud yang sekurang-kurangnya dua kementerian akan dipisahkan berdasarkan senarai kabinet tersebut mencadangkan ada pihak dalam Umno yang sedang mencari keuntungan untuk diri sendiri ketika ini, berharap yang ianya menjadi satu bentuk desakan kepada Najib yang sedang bermasalah.

Buat masa ini, Najib mungkin berupaya menghentikan seketika khabar angin yang dia “akan diminta untuk mengundurkan diri” tetapi nampaknya ada pihak yang beria-ria mahu menguatkan pentadbirannya- dengan atau tanpanya sebagai perdana menteri.
-antdaily-

Sukarelawan Malaysia cerita detik cemas di Nepal

PETALING JAYA: Seorang sukarelawan Malaysia, Hew Cheong Yew menceritakan detik-detik cemas ketika gempa bumi melanda Nepal pada Selasa.

Dia yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ketika dihubungi FMT melaporkan kejadian berlaku ketika pasukannya berada di Shalom AG Church di Kathmandu.
Turut bersamanya, pasukan perubatan dari Malaysia.

“Masa tu ramai panik, nangis dan berdoa..

“Sebaik reda, masing-masing cuba menghubungi ahli keluarga”, kata Hew dalam mesej yang dihantar melalui Facebook.

Jelasnya, kejadian terbaru itu menambahkan trauma mangsa gempa bumi yang khuatir untuk pulang ke kediaman yang masih selamat.

Sebagai langkah berjaga-jaga mereka memasang khemah di kawasan terbuka.
“On the way back skrg nj nampak ramai yg pasang khemah tidur luar malam ini”, tulisnya ringkas.

Sehingga awal pagi Rabu, Hew yang bertugas pertubuhan sukarela antarabangsa Crest melaporkan terdapat gempa susulan di kawasan pergunungan Hilmalaya itu.

Dalam dua kejadian gempa berukuran 7.3 dan 6.3 pada skala Richter, pada Selasa, sekurang-kurangnya lebih 70 dilaporkan maut dan hampir dua ribu cedera.

Ia juga dilapor meragut lebih 20 nyawa di India.
-fmt-

Amah Indonesian ini mengaku dapat IC, BR1M? (video)

wanitaicbrim
Sedutan rakaman amah dakwa terima IC dan bayaran dipercayai BR1M
Video
SHAH ALAM: Sebuah video viral di laman sosial Facebook tersebar apabila seorang amah warganegara Indonesia mendakwa mendapat IC dan sejumlah wang yang didakwa sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Rakaman berdurasi 2 minit dan 41 saat tersebut mengandungi dialog di antara perakam video, dipercayai majikannya bersama amah tersebut.

Amah tersebut mendedahkan beliau menerima RM500, didakwa bayaran BR1M.

Beliau juga mendakwa sudah tinggal di Malaysia selama 15 tahun tanpa pasport dan dokumen perjalanan, dan menerima kad pengenalan Februari lepas.

"Siapa yang bagi IC?," tanya perakam video.

"Itulah saya tak tahu. Mereka tak cakap," balas amah terbabit.

Tinjauan Sinar Online mendapati video tersebut sudah ditonton lebih 30,000 pelayar semenjak dimuatnaik pada 9 Mei lepas dan rata-rata terkejut dengan pendedahan berkenaan.

"Senang dapat IC...dapat BR1M pula," kata Salma.

"Pihak berwajib sila siasat," kata Hafiz.

"Ini baru orang Indonesia. Belum Bangladesh lagi," luah Nazira.
-sinarharian-

Video Pasangan Lakukan Seks Di Balkoni Apartmen Di Bangsar Menjadi Viral

Balcony-sex_polis_600_1
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat insiden membabitkan pasangan tidak dikenali yang dikesan melakukan hubungan seks di balkoni sebuah unit apartmen di Bangsar South, Kuala Lumpur.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan insiden tersebut dalam siasatan dan polis masih mengumpul bahan bukti.

Laporan dan video pasangan yang tidak dikenali melakukan hubungan seks pada waktu siang di balkoni sebuah apartmen di Bangsar South menjadi viral pada Selasa.
Insiden selama 30 minit itu dirakamkan oleh seorang penyewa di apartmen lain yang menghadap balkoni tersebut.

Penyewa tersebut yang mengkritik tindakan biadap pasangan tersebut tidak menyatakan tarikh video dan gambar tersebut diambil.

Ketika dihubungi, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong turut membidas tindakan pasangan tersebut.

Chong menggesa penyewa tersebut supaya memfailkan aduan kepada polis atau pihak pengurusan apartmen itu supaya tindakan boleh diambil terhadap pasangan terbabit.
-mstar-