"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Ingatkan mayat, rupanya… (Gambar)


Penduduk di Desa Manguranranan Kabupaten Kebumen Jawa Tengah, Indonesia, baru-baru ini digemparkan dengan penemuan satu ‘mayat’ terbaring di tengah sawah padi di perkampungan itu.

Insiden tersebut membuatkan penduduk kampung beramai-ramai berkumpul berdekatan dengan sawah itu untuk menyaksikan sendiri penemuan ‘mayat’ berkenaan.

Bagaimanapun, tiada siapa pun berani mendekati atau mengeluarkan ‘mayat’ berkenaan.

Susulan itu, ketua desa berkenaan, Taufiq telah memaklumkan kepada pihak polis yang secara kebetulan berada tidak jauh dari kawasan berkenaan.

Pihak polis yang tiba pun memulakan proses evakuasi.

Namun ketika dalam usaha mengeluarkan ‘mayat’ tersebut, polis dan orang ramai terkejut bukan kepalang apabila ‘mayat’ tanpa baju itu bangun secara tiba-tiba secara mengejut.

“Semua yang melihat proses pengeluaran itu terkejut. Mayat itu bangun secara tiba-tiba. Kawasan itu kemudian dipenuhi dengan gelak tawa orang ramai“, tulis tribratanews.

Difahamkan, lelaki itu sedang lena tidur di tengah sawah dan dipercayai dia tidak siuman.

Gambar insiden ini turut tersebar menjadi viral di negara ini

Akibat berang, penduduk terbalikkan 3 kereta (Gambar)


Mersing – Berang dengan tindakan tiga lelaki yang cuba memecah masuk premis karaoke di Taman Fajar, Endau di sini, penduduk setempat bukan sahaja memukul ketiga-tiga suspek itu, malah menterbalikkan tiga kenderaan.

Malah bermula apabila sekumpulan lima lelaki menahan dan memukul tiga suspek yang cuba memecah masuk ke premis itu pada Jumaat malam.

Suspek dipukul menggunakan kayu dan menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun, insiden itu tidak berhenti di situ, sebaik polis tiba dan menahan semua lapan lelaki, penduduk di kawasan perumahan yang didiami suspek mendapat tahu mengenai tindakan memukul suspek.

Sekumpulan penduduk yang marah kemudiannya memprotes di depan balai polis daerah itu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Cyril Edward Nuing berkata, kumpulan itu ke premis karaoke pada kira-kira pukul 11.30 malam dan memusnah serta menterbalikkan tiga kereta di situ.

“Kami telah mengenal pasti pihak terlibat dan dua kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes itu,” katanya.
-mStar

Dr M: Musuhi HARAPAN bermakna sokong Najib

MALAYSIA DATELINE
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima 'standing ovation' di Konvensyen Pakatan Harapan hari ini yakin pihak yang menimbulkan masalah di kalangan pembangkang adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak.

"Saya berpendapat siapa yang menimbul masalah dalam pembangkang ini adalah penyokong Najib," kata Mahathir ketika memberikan ucapan khas dalam Konvensyen Pertama Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

Tanpa menyebut mana-mana parti, bekas perdana menteri 22 tahun itu berkata, mereka boleh dakwa berjuang untuk Melayu tetapi sebenarnya sokong Najib.

"Mungkin mereka terima dedak," kata Mahathir di konvensyen itu.

"Kita akan menentang mereka yang tidak bersama dalam gerakan jatuhkan Najib," tegasnya.

Bagi beliau, ada yang berkata tak boleh terlibat sebab ada DAP.

"Saya dulu paling anti DAP, tapi itu terlalu kecil berbanding usaha jatuhkan Najib," kata Mahathir yang menyifatkan Najib terlalu melampau sekarang ini.

"Orang ini sangat berbahaya kepada negara. Hutang negara tak dapat bayar. Sudahlah tak cukup untuk bayar hutang 1MDB, kini pinjam pula kononnya nak buat landasan keretapi RM55 bilion.

"Sebelum ini dia ada RM2.6 bilion dalam akaun, kononnya Tok Arab bagi. Saya minta nak buat universiti Islam, saya dapat kosong," katanya.

Bagi beliau, tidak ada siapa yang nak percaya kepada Najib selepas kes RM2.6 bilion itu.

"DoJ telah sahkan wang RM2.6 bilion itu datangnya dari 1MDB," kata Mahathir merujuk kepada Jabatan Kehakiman Amerika yang bertindak membekukan aset 1MDB di Amerika dan sedang memburu dalang di belakangnya.

SATU SIMBOL

Sehubungan itu, beliau bertegas, semua parti pembangkang perlu bergabung dan menggunakan satu simbol dalam pilihan raya nanti.

"Kalau kita nak kalahkan BN satu cara sahaja iaitu dengan bersatu. Kita daftar seolah-olah satu parti, kita guna satu simbol. Kita letak satu calon. Tak kira DAP ke, Amanah ke, PKR ke...asalkan itu calon kita," tegas Mahathir.

"Hanya dengan cara itu kita akan dapat kemenangan," katanya.

"Kita perlu guna satu logo hilangkan identiti parti masing-masing untuk pilihan raya sajalah, pakai satu simbol," katanya.

Sorakan "Reformasi" dan "Bebas Anwar" kemudiannya menggamatkan dewan konvensyen selepas ucapan Tun Mahathir berakhir dengan sebahagian besar hadirin berdiri (standing ovation) memberikan tepukan gemuruh untuk beliau.

Dr M: Jangan pilih calon PM baharu sebelum Anwar bebas

Nawar Firdaws 
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak cadangan kepada Pakatan Harapan supaya menamakan calon perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penyokong Pakatan Harapan akan berpecah sekiranya gagasan itu mengambil langkah menamakan calon perdana menteri sebelum bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.

Beliau meminta Pakatan Harapan supaya jangan mengambil risiko itu walaupun pembangkang mempunyai beberapa ahli politik yang layak mengemudi negara, sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya.

“Tumpuan kita sekarang ini menyatukan semua parti pembangkang dalam Pakatan Harapan, kerana ada beberapa masalah kecil yang perlu kita selesaikan.

“Kita perlu dapatkan Putrajaya dahulu. Kemudian kita boleh namakan sesiapa sahaja untuk jadi Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Konvensyen Pakatan Harapan 2016 di Pusat Konvensyen IDCC hari ini.

Beliau menjawab cadangan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub awal hari ini yang mencadangkan pakatan pembangkang supaya menamakan calon untuk jawatan nombor 1 negara itu..

Jelasnya calon itu akan mengemudi Putrajaya sementara Anwar masih dalam penjara.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Dr Mahathir sahkan PPBM akan sertai Pakatan Harapan (video)

mahahir
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan partinya memang ingin menyertai Pakatan Harapan.

Berucap di Konvensyen Pakatan Harapan hari ini, beliau menafikan dakwaan kononnya Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin keberatan menyertai Pakatan Harapan, kerana ingin bekerjasama dengan PAS.

“Memang niat kita untuk bersama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan. Ini keputusan PPBM.

“Tak betul sama sekali (dakwaan) yang menentang perpaduan Pakatan Harapan dan PPBM adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dia bersama-sama saya setuju yang kita akan menyertai Pakatan Harapan secara langsung,” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 1000 hadirin.

Menurut laporan, Muhyiddin didakwa menangguhkan penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan yang dijadualkan diumumkan hari ini kerana ingin bekerjasama dengan PAS.

Bekas perdana menteri menyatakan kegembiraan melihat perpaduan parti komponen Pakatan Harapan yang ditunjukkan dalam konvensyen hari ini.

“Saya kagum tengok ramai yang hadir. Selepas ini, saya harap PPBM diterima dalam Pakatan Harapan untuk bersama-sama (melawan BN),” katanya.

Malah, beliau berkata tiada masalah untuk menyokong reformasi – slogan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menentangnya lebih 2 dekad lalu – yang disambut dengan laungan “Reformasi” daripada para hadirin.

Subheader: DAP bukan alasan tidak sertai Pakatan

Tanpa menamakan sesiapa, beliau mengecam pihak yang menjadikan DAP sebagai alasan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.

“Jangan kata tidak mahu sertai (Pakatan) kerana DAP. Saya dulu musuh ketat Lim Kit Siang (Ketua Ahli Parlimen DAP), tetapi itu hal kecil berbanding menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Sebaik Mahathir menamatkan ucapannya dan turun dari pentas, sejumlah hadirin melaungkan “bebas Anwar” berulang kali sebelum diminta pengerusi majlis supaya bertenang.

'Pak haji yang korupsi bukan pemimpin kita', kata Nurul

'Merujuk kepada kata-kata Pendita Za'aba, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa Pakatan Harapan tidak memerlukan 'pemimpin yang namanya sahaja pak haji tetapi korupsi'.

Sebaliknya, kata beliau, parti pembangkang kini memerlukan pemimpin yang berfikiran kritis.

Oleh demikianNurul Izzah berkata Pakatan Harapan perlu lebih bertegas dengan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan pakatan itu selain komited agenda reformasi yang dibawa mereka.

Beliau yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, kerjasama tersebut amat diperlukan bagi membolehkan pertembungan satu lawan satu dengan BN dalam pilihan raya akan datang.

"Kita alu-alukan siapa yang ingin bersama kita tapi ada syaratnya. Jika anda melanggar komitmen terhadap reformasi, anda keluar (dari kerjasama).

"Pemimpin perlu berfikiran kritis, bukan pemimpin yang nama sahaja pak haji tetapi korupsi. Pak haji yang korupsi bukan pemimpin kita," kata Nurul Izzah.

Nurul izzah berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan yang julung kali diadakan di Shah Alam hari ini.

Kenyataan Nurul Izzah itu dipetik dari cendekiawan Zainal Abidin Ahmad atau dikenali dengan nama pendita Za'aba.

Kata Nurul Izzah apa yang diperlukan negara adalah pemimpin yang melawan rasuah dan bukannya berpengetahuan agama semata-mata.

"Ini nasihat pendita Za'aba, bukan kata-kata DAP, PKR dan Amanah," katan Nurul Izzah.

The Star semalam melaporkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijangka menandatangani perjanjian menyertai Pakatan, tetapi rancangan itu dikatakandibatalkan selepas Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa berkata untuk menimbangkan perkara itu dahulu.

Bekas anggota parti PPBM, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dilaporkan mendakwa penangguhan itu mungkin kerana bekas timbalan perdana menteri itu ingin menjalinkan kerjasama dengan PAS terlebih dahulu.

Terjun tingkat 17 - Perkongsian Guru Sekolah Ini Membuatkan Ibu Bapa Menitiskan

Tranungkite

“MADI pergilah tolong gosok-gosok sikit budak tu. Kasihan dah akak tengok,” kata Sarana, guru setengah baya yang mengajar di kelas yang sama denganku.

Dia menahan saya ketika berjalan menuju ke kelas. Nampak wajah gusar beliau yang jelas melalui kerut dahinya yang bergaris-garis itu. Meski dalam payah mengusung buku latihan murid yang meninggi tetap juga dia mahu berbicara.

“Kenapa kak? Siapa?” soal saya berhenti mengadap beliau.

“ Hafiz tu lah,” balasnya pantas.

Kini giliran dahi saya pula yang berkerut. Mendengar nama seorang murid yang memang cukup terkenal dikalangan guru-guru yang mengajarnya.

Seorang murid lelaki tahun 1 yang namanya memang sering disebut-sebut. Satu demi satu keluhan-keluhan guru yang mengajarnya melintas di hadapan kotak mindaku.

Dia tak boleh duduk diam.

Dia kerap mengganggu rakan.

Dia taknak buat latihan

Dia kerap berjalan sewaktu guru mengajar.

“Dah kenapa kak? Markah dia teruk ke kak?” teka saya yang dipengaruhi oleh keluhan-keluhan dalam kotak memori saya.

Kebiasaannya begitulah untuk anak-anak yang menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan pengajaran dan pembelajaran.

Murid-murid yang menghadapi masalah ini akan berakhir dengan keputusan peperiksaan yang teruk.

Nombornya juga corot.

Tidak dinafikan ada juga tetap cemerlang meskipun berhadapan dengan masalah ini. Tergantung kepada bagaimana proses dan cara dalaman bagaimana seseorang murid itu belajar.

“ Bukan,” nafi guru tersebut.

“Markah dia ok lah kalau nak banding dengan perangai dia dalam kelas tu. Subjek akak dia dapat A kali ini,” sambungnya lagi.

“ Dah tu kenapa kak?” soal saya kehairanan.

“ Macam ni,” ujarnya sambil meletakkan timbunan buku latihan murid-muridnya di atas benteng kaki lima bangunan sekolah.

Merehatkan sedikit tangannya yang lenguh kerana menanggung beban berat itu sekian lama.

“ Tadi akak nampak dia buang kertas jawapan yang telah dipulangkan kepadanya ke dalam tong sampah. Bila akak tanya kenapa buang. Dia kata sebab tak dapat A. Akak suruh dia keluarkan balik dari dalam tong sampah.

“Bila akak tengok semua kertas tu dapat B. Markah 70 lebih tu kira ok lah bagi akak. Akak tanya kenapa dia buang. Kertas tu kena bawa balik. Tunjuk pada ibu atau ayah. Air mata dah bergenang-genang. Tiba-tiba dia menangis. Lepas dia berhenti menangis tu akak tanya lagi. Menangis lagi. Lama lepas tu, bila dia berhenti akak tanya semula. Baru dia bagitahu, mak taknak tengok kalau tak dapat A. Geram betul akak,

Saya berundur sedikit ke belakang apabila melihat rakan sejawat saya ini semakin emosi gaya cakapnya. Gerak tangan dan bahasa badannya sememangnya menunjukkan geram yang sunguh-sungguh.

“Patutlah ada budak yang terjun tingkat 17,tingkat 18, tingkat 19 sebab tak lulus periksa. Dulu kita dengar pelik, bila dah jumpa sendiri depan mata baru tahu kenapa berlaku macam tu. Mujur dia buang kertas periksa, kalau dia buat benda lain yang kita tak jangka, menyesal tak sudah jawabnya,” sambung beliau penuh emosi.

“Kita ni kadang-kadang memang geram juga masa-masa dia buat perangai dalam kelas tu, tapi bila tengok dia menangis tadi tu dengan kita–kita sebak,” ujar beliau lagi menyambung luahan ketidakpuashatiannya.

“Gi lah Madi. Mu gi pujuk-pujuk sikit. Kito tokleh mendo-mendo goni. Sat gi dengan kito-kito jerik,”
( Dialek kelantan)

Saya mengangguk-ngangguk faham. Memang jelas kelihatan airmata sang guru juga sudah mula bertakung. Menunggu masa tumpah. Mungkin kerana segan cepat-cepat diusung kembali buku latihan murid –muridnya dan terus mengorak langkah menuju ke pejabat guru.

Saya menyambung langkah ke bilik darjah. Dari jauh sudah melihat anak-anak murid di dalam kelas terjenguk-jenguk di pintu kelas meninjau kehadiran guru. Bergegas mereka berlari ke tempat duduk apabila terlihat kelibat saya.

Masuk sahaja ke dalam kelas, satu demi satu wajah anak murid saya perhatikan.

Pada waktu ini saya berharap sangat agar setiap gejolak emosi dalam diri mereka dapat saya lihat dan rawat. Namun siapalah saya.

Bukan seorang superhero atau ahli nujum yang punya kuasa sakti meneroka hati dan perasaan orang lain.

Dari wajah mereka saya hanya melihat wajah suci tanpa dosa yang sentiasa menagih perhatian dari guru,ibu dan ayah. Persis wajah putera dan puteri saya di rumah.

Sebagai ayah ada kalanya saya juga turut keliru apa yang harus saya tekankan kepada anak saya. Samada apa yang perlu dibuat atau apa yang perlu di capai.

Menekankan apa yang perlu di capai selalunya menyebabkan anak-anak akhirnya belajar mencari helah menyembunyikan perbuatan mereka atau bertindak kasar. Asalkan hasrat yang diingini tercapai.

Merampas mainan dengan kasar dari tangan adiknya yang masih kecil asalkan mainan itu dapat diperolehinya. Sedangkan yang perlu diasuh pada waktu itu adalah tindakannya mengambil mainan tersebut.

Perlu berlemah-lembut dengan adik yang masih kecil atau menggantikan mainan ditangan adik dengan mainan yang lain.

Kerap juga meninggikan suara menyuruh anak membaca dengan lancar sedangkan yang perlu diasuh dan didisiplinkan adalah budaya membaca sekerap yang mungkin yang akhirnya akan melancarkan bacaannya.

Kita menekankan mereka supaya mesti mendapat A dan cemerlang tetapi tidak menekankan apa yang perlu dibuat untuk cemerlang.

Ya, mungkin juga boleh berhasil namun akhirnya kita akan melihat anak- anak hanya akan berprestasi di bawah kawalan kita dan gagal mengekalkan kecemerlangan apabila berada jauh dari pemantauan ibubapa.

Saya belajar dari Hafiz. Anak murid yang pada saya memerlukan banyak bimbingan dari guru-guru yang mengajarnya. Namun hari ini runtuhan emosi Hafiz telah membimbing saya untuk melihat apakah keperluan yang perlu saya titik beratkan dalam mendidik anak saya di rumah.

Begitu juga dengan askar-askar kecil disekolah ini yang punya warna-warni kehidupan tersendiri.

Adakalanya kami mencorak mereka dan tidak kurang juga ada waktunya mereka mencorak peribadi kami sebagai guru. Terima kasih daripada sang guru buat mujahid dan mujahidah kecil dalam dunia pendidikan.

Cikgu Asmadi Abdul Samad
General Briged Tempur Tahun 1

Guna 80 jengkaut selamatkan kanak-kanak jatuh perigi (Gambar)

HEBEI - CHINA. Berpuluh penyelamat bertungkus lumus cuba menyelamatkan seorang budak lelaki yang terjatuh ke dalam perigi berkedalaman 40 meter ketika memetik kubis dengan bapanya.

Kanak-kanak berusia enam tahun terjatuh dalam perigi berkenaan sekitar jam 11 pagi Ahad lalu di sebuah perkampungan luar bandar di wilayah Hebei, menurut media China.

Sebanyak 80 jengkaut bekerja sepanjang masa di tempat kejadian dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak itu yang telah terperangkap kira-kira 50 jam.

Kanak-kanak Zhao Zicong jatuh ke dalam perigi kering yang terletak di dalam sebuah ladang di perkampungan Zhongmengchang, di Lixian County, bandar Baoding Hebei.

Menurut Beijing News, kanak-kanak itu menuai kubis dengan bapanya ketika kejadian.

Perigi kering tersebut hanya berukuran 30 sentimeter lebar

Sementara itu, datuk kanak-kanak itu memberitahu wartawan dari The Beijing News, telaga itu terletak berhampiran rumah mereka dan telah digunakan untuk mengairi sawah berhampiran.

Lelaki itu juga berkata, telaga tersebut berkedalaman kira-kira 40 meter (131 kaki) dan telah terbiar selama kira-kira lima tahun.

Selepas keluarga memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan, pasukan penyelamat, termasuk pegawai polis, bomba, paramedik dan sukarelawan tempatan telah dihantar ke tempat kejadian untuk mencari kanak-kanak yang terperangkap itu.

Bagaimanapun masih tidak diketahui sama ada Zhao masih hidup atau tidak.

Pasangan mati ketika lakukan seks dalam kereta

Sepasang kekasih menemui ajal akibat keracunan karbon monoksida, ketika mereka sedang melakukan seks di dalam kereta yang dihidupkan enjinnya dalam kejadian mengejutkan di Ufa, Rusia.

Pasangan itu dikenali sebagai Artem S, 18 dan Anna D, 20, memilih melakukan seks di dalam kereta yang diletakkan di dalam garaj selepas kedua-duanya tidak mempunyai tempat lain untuk melepaskan nafsu.

Mayat Artem ditemui dalam rangkulan Anna dan kedua-duanya dalam keadaan bogel,

Pasangan itu ditemui selepas keluarga Artem melancarkan gerakan mencarinya. Sebelum kejadian,Artem memberitahu keluarganya bahawa mereka mahu keluar berjalan-jalan.

Dalam pada itu, rakan rapat Artem berkata, hubungan pasangan itu masih terlalu baru malah Anna sendiri tidak memperkenalkan teman lelakinya kepada rakan-rakan lain.

Artem dijadual menamatkan pengajian di kolej dan bercita-cita untuk membuka bengkel kereta.
-kualalumpurpost

Tiada siapa tolong sampai dilanggar dua kali

Sedutan rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita dilanggar motor sebanyak dua kali.
SICHUAN - CHINA. Seorang wanita mengalami nasib malang apabila dilanggar dua kali dalam tempoh dua minit, minggu lalu.

Menurut laporan South China Morning Post, rakaman CCTV menunjukkan wanita berkenaan dilanggar sebuah motosikal semasa melintas sebuah jalan raya yang sibuk di Leshan Rabu lepas.

Walaupung penunggang motosikal dan mangsa sama-sama terjatuh, penunggang motosikal berkenaan tidak menolong mangsa dan berlalu pergi.

Orang awam yang dirakam berjalan dan menunggang basikal di kawasan sekitar juga dilihat tidak menghiraukan mangsa.

Selepas dua minit, mangsa yang masih terbaring di atas jalan raya dilanggar oleh sebuah lagi motosikal.

Sebuah van yang dirakam hampir 'melanyak' mangsa pula berhenti dan mengundur, kemudian membuat pusingan untuk mengelak mangsa yang masih terbaring.

Mangsa akhirnya dibantu oleh seorang lelaki yang membawanya ke hospital.

Laporan media tempatan mengatakan mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

8 Sebab Kenapa Rakyat US Tergamak Pilih Trump Sebagai Presiden

Irwan Dahnil
Aku bangun pagi, hampir semua group Whatsapp sembang pasal Trump menang jadi Presiden US. Haha. Terhibur aku. Cerita harga minyak naik minggu lepas, luput dari ingatan.

Kawan opis aku John, asal dari Tennessee US. Memang mengundi sejak zaman Bush sampai Obama.

Untuk orang yang buta politik macam aku, saja gatal tanya dia. Seronok tak Trump menang? Sebab dia sokong Hillary, John geleng kepala. Haha..

Seronok juga dengar apa dia cakap tentang negara sendiri. Kenapa orang Amerika tergamak pilih Trumph.

1. Golongan baby boomers, orang yang lahir selepas perang dunia, adalah golongan paling ramai di US sekarang. Pro kulit putih, white supremacy.

Dia rasa negara dia sudah diambil orang orang lain. Plot cerita dia sama macam Brexit juga, bila orang putih UK menyampah dengan imigran yang masuk melambak.

2. Orang Amerika biasa-biasa ini bukan semua ada skill. Tidak kompetitive dalam mencari kerja. Kau kan tau, orang Amerika bukan rajin sangat. Kerja sikit tapi mahu gaji besar. Masih perasan dia bangsa hebat, mendahului semua bangsa lain.

3. So bila imigran datang, semua kerja beralih tangan. Imigran yang sanggup kerja susah tapi otak lebih geliga.

4. Imigran yang masuk beri jalan banyak industri baru untuk wujud. Kalau tiada mereka, industri boleh tutup. Silicon Valley contohnya, kerja orang-orang pandai.

Orang ini ramai dari Asia, China, India. Orang Malaysia toksah cakaplah. Pandai dan beriman. Ramai je orang Malaysia di US tu.

5. Lama-lama orang US terasa tertinggal dalam negara sendiri. Mahu kejar tidak larat. Skill tidak cukup kuat, ilmu tidak setinggi mana. Tapi masih nak sembang hebat.

6. John cakap tahun 80an-90an memang zaman yang paling gemilang. Lebih lagi orang kerja bank atau teknologi. Itu memang zaman US hebat. Michael Jackson dan Hollywood memang dasyat.

7. Tapi sekarang, Amerika sudah suam-suam kuku. Kalah dengan banyak negara. Kalau buang semua imigran, Silicon Valley dan pejabat Google pun boleh tutup sama. Kerana itu slogan ‘Making America Great Again’ buat orang US semangat membara.

8. Jadi mereka pilih Trump. Sebab dia jenis sembang power walau buat belum tentu. Nampak seorang yang berani walau cakap semua benda bikin kontroversi, Anti muslim, rasis, sexist.

Jadi rakyat mengharap ahli politik memajukan US semula. Tapi US kena terima hakikat.

Kalau bangsa dia terlalu rasa selesa dengan kehebatan lampau , ada masanya akan turun. Kalau dia rasa masih hebat, superior, suka hidup bertongkat, kedaulatan bangsa kononnya, itu mungkin tidak kekal lama.

Guru didakwa lakukan kelucahan melampau terhadap murid berusia 11 tahun

Kuala Lumpur – Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang murid lelaki berusia 10 tahun.

Asman Ambo Sakka, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam tandas guru di sebuah sekolah di sini pada 7 pagi, antara Julai hingga September 2016 mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Datin M.Kunasundary membenarkan tertuduh yang berasal dari Sabah itu diikat jamin RM15,000 oleh seorang penjamin dengan beberapa syarat tambahan iaitu tidak boleh berhubung dengan mangsa dan keluarganya.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri setiap sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawawi Mohd Radzi tidak menawarkan jaminan namun beliau berkata sekiranya mahkamah memberikan jaminan jumlahnya perlu melebihi RM10,000 serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa.

Peguam Azi Azlin Zulkifli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kerana anak guamnya yang masih bujang itu menyumbang kepada pendapatan keluarganya.
- Bernama

Seorang doktor wanita doktor khatan tercantik jadi bualan netizen (Gambar)

Manila: Kecantikan seorang doktor wanita di Filipina bukan sahaja mengagumkan ramai netizen apabila melihat gambarnya tersebar dalam laman sosial tetapi kerjayanya sebagai pakar khatan.

Krestle Lailene Deomampo yang berasal dari Davao, Manila itu mula meraih populariti apabila gambarnya tersebar dalam laman sosial Facebook ketika dia sedang menyunat pelajar lelaki di sebuah sekolah di negara itu.

Program berkhatan itu merupakan kerja amal yang dilakukannya di Sekolah Tinggi Kebangsaan San Pedro dekat Laguna.

Malah gambar tersebut yang disebarkan oleh rakannya sendiri, Niquie Delgado turut tertera kapsyen yang menjelaskan Krestle telah menyunat lebih 28 budak lelaki.

Majoriti netizen bersetuju Krestle layak digelar sebagai tukang khatan paling cantik di dunia dan lebih mengagumkan lagi, dia menggunakan kaedah konvensional untuk mempraktikan ilmu perubatannya itu.

Krestle menggunakan kaedah dorsumsisi berbanding kaedah yang lebih moden iaitu penggunaan pancaran laser.

Bagaimanapun usia dan status wanita itu tidak dapat dipastikan sama ada dia sudah berkahwin atau belum.
-kualalumpurpost

Husam doa anak sulung Nik Aziz jadi MB perintah Kelantan (video)

Konvensyen Pakatan Harapan bakal tubuh gabungan besar

MALAYSIA DATELINE
Konvensyen Pakatan Harapan Sabtu ini diharap dapat mengukuhkan perpaduan parti parti pembangkang untuk menghadapi BN dan parti sekutunya.

Konvensyen Pakatan Harapan yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini akan membincangkan penubuhan gabungan pembangkang yang lebih besar dan kuat bagi merealisasikan pertandingan satu lawan satu untuk menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Saifuddin berkata konvensyen yang pertama kali diadakan itu akan dihadiri 1,000 anggota daripada tiga parti gabungan Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Amanah serta tetamu undangan.
Konvensyen yang bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu, ujarnya akan diisi dengan perbahasan oleh beberapa lapisan pemimpin Pakatan Harapan termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Muhamad Sabu.

"Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin juga akan memberikan ucapannya iaitu bersama-sama dengan tiga pimpinan utama Pakatan Harapan.

"Di samping itu, Tun Dr Mahathir akan menyampaikan Pidato Khas di konvensyen ini," ujarnya.

5 murid SJKC rakam gambar guru dalam tandas

FMT Reporters
PETALING JAYA: Lima murid sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di timur laut Johor Bahru dikesan merakamkan gambar 8 guru wanita ketika berada di dalam tandas.

Oriental Daily melaporkan, tindakan 5 murid perempuan itu bermula sejak Mac lalu dan guru terbabit membawa suspek ke balai polis untuk membuat laporan, petang semalam.

Difahamkan, seorang murid memaklumkan guru terbabit mengenai perbuatan 5 murid itu pada malam Ahad lalu, sebelum mereka mengaku berbuat demikian ketika disoal guru.

Lima suspek itu dikatakan akan bersembunyi dalam 5 tandas, dengan hanya seorang yang akan merakamkan gambar guru wanita ketika menggunakan baki sebuah tandas.

Pengerusi lembaga pengarah SJKC itu yang dipetik Oriental Daily mengakui terkejut dengan kejadian itu yang sudah diselesaikan saluran dalaman pengurusan sekolah terbabit.

“Guru besar berkata kejadian itu berpunca daripada kenakalan murid perempuan dan pihak sekolah sudah menghubungi ibu bapa murid terbabit untuk menangani perkara itu.”

Beliau mendakwa pihak sekolah, guru dan ibu bapa murid terbabit bersetuju memberi amaran kepada suspek dengan membawa mereka ke balai polis untuk “menakut-nakutkan” mereka.

Katanya, difahamkan pihak sekolah akan mengambil tindakan terhadap murid terbabit dan yakin mereka akan diberikan amaran.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd Aziz mengesahkan menerima laporan itu, tetapi pihaknya belum mendapat gambar berkenaan kerana suspek mendakwa sudah memadamkan gambar terbabit dan polis akan meneruskan siasatan.

Negara Palestin berakhir selepas Trump menang

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennett mendakwa, idea penubuhan sebuah negara Palestin berakhir selepas Donald Trump dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).

"Kemenangan Trump adalah peluang untuk Israel dengan segera menarik balik penubuhan negara Palestin di tengah negara itu yang akan menjejaskan keselamatan," kata Bennet, anggota parti pelampau, Jewish Home.

"Ini adalah pendirian presiden yang dipilih. Era sebuah negara Palestin berakhir," katanya dipetik AFP.

Sementara itu, Menteri Kehakiman, Ayelet Shaked yang juga dari parti Jewish Home, meminta Trump mengotakan janjinya untuk mengubah kedutaan AS di Tel Aviv ke Baltulmaqdis, bertentangan dengan dasar pendirian Parti Republikan dan Parti Demokrat.

Timbalan Menteri Luar, Tzipi Hotevely turut menyeru perpindahan kedutaan itu.

Bagaimanapun tiada sebarang maklum balas dari Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Perdana Menteri mencetuskan kontroversi apabila dia menolak sebuah negara Palestin menjelang pilihan raya umum 2015, tetapi kemudian menarik balik dan telah menyatakan sokongan untuk penyelesaian dua negara.

Status Baltulmaqdis adalah salah satu isu yang paling sukar dalam konflik Israel-Palestin.

Rakyat Palestin memperjuangkan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara masa depan mereka, manakala Israel mendakwa bandar itu sebagai ibu negaranya.

Sebelum ini, Trump telah berjanji untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
-sinarharian

Gambar bogel isteri Timbalan Menteri cetus kontroversi

Gambar-gambar yang memaparkan isteri kepada Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Svetlana Zakharova dalam keadaan bogel ketika sedang bercuti, telah mencetuskan bantahan dengan ramai yang mendesak supaya wanita itu diberikan teguran secara rasmi oleh kerajaan.

Dalam gambar berkenaan, Svetlana yang berasal dari Moscow, telah dirakamkan bersandar di tepi pokok dan berada di pantai, dalam keadaan menjolok mata.

Pemilik butik berusia 45 tahun itu, berkahwin dengan Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Timur Ivanov, yang muda empat tahun daripadanya. Timur dilantik ke jawatan berkenaan awal tahun ini.

Salah seorang netizen yang mengecam Svetlana berkata: “Sekurang-kurangnya anggota tentera tahu bahawa kemewahan itu dibayar dengan nyawa mereka di Syria Donbass (Ukraine).”

Salah seorang Ahli Parlimen, Vasily Vlasov pula meminta supaya kerajaan Vladimir Putin memberikan ingatan kepada Timur berhubung gambar isterinya itu.

“Dia perlu diberikan peringatan, dihukum. Saya rasa peringatan secara terbuka lebih baik,’’ kata Vasily.

Beliau turut meminta Menteri Pertahanan supaya memberikan perhatian terhadap apa yang dilakukan oleh isteri timbalannya, sebagai mana yang perlu dilakukan oleh seorang ketua.

“Isteri kepada golongan atasan ini perlu ingat bahawa ramai yang mengikuti kehidupan mereka dalam media sosial.

“Apa-apa gambar boleh bocor, termasuk di parti hari jadi atau percutian,’’ katanya.
-kualalumpurpost

Jangan bincang siapa bakal PM dalam Konvensyen Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE
Konvensyen Pakatan Harapan yang akan berlangsung pada 12 November ini harus mengenepikan persoalan siapa bakal perdana menteri jika menang dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar atau lebih dikenali sebagai MSO, Pakatan Harapan - Amanah, PKR dan DAP  serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  harus bersetuju menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri seperti dipersetujui sewaktu penubuhan Pakatan harapan tahun lalu.

"Jangan ada mana-mana parti cuba meletak atau menamakan sesiapa dari kalangan mereka sebagai bakal PM, kerana tindakan itu sudah tentu ia akan menimbulkan persoalan sesama sendiri dan akhirnya isu siapa PM itu akan dijadikan isu oleh Umno BN. Berbalahlah dan carilah siapa untuk jadi PM selepas menang, bukan sebelum pertarungan," tulisnya dalam blognya Merah Tinta MSO hari ini.

Pemerhati politik itu juga menegaskan, konvensyen itu juga harus membuat persetujuan untuk menggunakan satu lambang sahaja dalam PRU akan datang bagi menghadapi BN secara satu lawan satu.

"Jika timbul masalah untuk mendapat kelulusan ROS, parti-parti pembangkang perlu bersetuju menerima pakai salah satu lambang dari parti gabungan itu sebagai lambang bersama," katanya.

Selain itu beliau mencadangkan konvensyen agar mengambil persetujuan untuk merangka satu manifesto bersama antara parti-parti pembangkang, tidak ada manifesto lampiran atau khusus untuk mana-mana puak atau golongan.

Beliau juga mengingatkan keempat-empat parti agar mencari formula pembahagian kerusi di antara parti-parti pembangkang dan mengelakkan perebutan calon agar tidak bertembung sesama sendiri.

"Mengenai kerusi ini ia perlu dimuktamadkan awal. Selepas dimuktamadkan semua pihak kena akur dan bekerjasama dan menganggap yang bertandingkan itu adalah parti mereka," katanya lagi.

Beliau juga berkata, konvensyen harus dengan jelas menyatakan sikap menolak terhadap Pas agar ia tidak menjadi persoalan menyerabutkan dalam kalangan ahli parti pembangkang.

"Cara itu juga ia akan menutupkan percakapan dan dolak dalih Pas yang berbagai-bagainya itu," ujarnya.

Konvensyen Pakatan Harapan buat pertama kali ini akan diadakan di Shah Alam pada Sabtu ini.

Kecoh toyol 'serang' kampung


Lokasi jumpa jelmaan toyol.
TUMPAT - Kejadian aneh duit kerap hilang yang menghantui penduduk kampung Talak di sini bukan lagi tahyul apabila ada penduduk ternampak jelmaan toyol malam semalam.

Dakwa penduduk, kejadian duit kerap hilang dalam kuantiti sedikit itu mula mengganggu penduduk di sini sejak setahun lalu.

Namun sejak beberapa bulan ini ia semakin menjadi-jadi dan hampir 10 penduduk kampung telah menjadi mangsa kejadian aneh ini.

Pada mulanya disangka pencuri namun bila kerap mengalami keadaan sama, penduduk mula kecoh mengatakan ia toyol.

Ada yang hilang RM500, RM100, RM50, RM10 dan kekecohan ini menimbulkan trauma kepada penduduk dan menjadi bualan hangat di kedai kopi.

Penduduk, Halim Ismail, 46 berkata, dia pada mulanya tidak percaya apabila kecoh orang bercerita toyol kacau kampung ini.

"Tetapi bila terserempak sendiri dengan makluk halus itu yang berwarna hijau, saya jadi seram," katanya.
-sinarharian

Ajal dua pelagak ngeri ketika beraksi (Gambar)


Bangalore: Dua pelagak ngeri lemas semalam selepas melompat dari sebuah helikopter ke dalam takungan air di selatan India ketika menjalani penggambaran filem, kata polis.

Kru sedang melakukan penggambaran adegan kemuncak filem serantau Kannada, ‘Maastigudi’ apabila Anil Verma, 31, dan Raghav Uday, 38, terjun ke dalam takungan Thippagondanahalli di negeri Karnataka.

“Kedua-dua aktor mati lemas kerana mereka tidak tahu berenang dan tidak sempat diselamatkan,” kata inspektor polis tempatan, HL Nandeesha.

Rakaman televisyen menunjukkan dua pelakon lagak ngeri dan Duniya Vijay, seorang daripada aktor terkenal pawagam Kannada, melompat daripada ketinggian kira-kira 30 kaki (9.14 meter) dan timbul di permukaan selepas beberapa saat. Namun hanya Vijay berjaya berenang ke daratan dengan selamat.

Polis memfailkan kes jenayah kecuaian ke atas produser “oleh kerana langkah berjaga-jaga dan keselamatan tidak diambil untuk penggambaran,” kata pegawai polis kanan, Chandragupta.

“Tiada jaket keselamatan, tiada pasukan penyelamat atau ambulans,” tambahnya. Kedua-dua lelaki terbabit hilang selama lebih tiga jam sebelum mayat mereka ditemui.
-kualalumpurpost

Ponteng sidang Parlimen: Haji Hadi disaran jadi pendakwah sepenuh masa macam Yusof Qadrawi

Hadi Awang tidak hadir Parlimen terus jadi polemik
ARIF ATAN
Ketidakhadiran Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat untuk undian Bajet 2017 malam tadi terus mengundang polemik orang ramai yang dapat dilihat pada lontaran komentar di media sosial Facebook dan kumpulan WhatsApp.

Antaranya, Nazir Mahmud Khan membayangkan kekerapan ayah Abdul Hadi dipanggil pihak sekolah ekoran ponteng.

"Hadi ni kan kalau dia budak sekolah, aku tak tau la berapa kali bapa dia kena panggil pi sekolah pasai ponteng.

"Dah la tu kalau banyak hari ponteng dia akan kena gantung dan lepas tu kalau repeat jugak dia akan kena buang.

"Rasa-rasa belum tamat darjah 1 dia dah kena buang, buat rayuan, masuk semula, kena buang lagi," katanya berbaur sinis.

Bahkan, Nazir turut menyindir pendirian Abdul Awang berhubung gesaan rundingan satu lawan satu pada pilihan raya umum akan datang.

"Dalam dok ponteng sekolah tu ada hati pulak nak jadi ketua kelas. Dah jadi ketua kelas nak ambik tindakan kat budak-budak pandai dan jaga yang bodoh-bodoh dan gatai," ujarnya dalam loghat Utara.

Sementara itu, Mejar Zaidi Ahmad yang mempersoal status Pas hari ini sebagai pembela rakyat atau pembela Perdana Menteri ekoran tindakan parti tersebut yang mengambil keputusan berkecuali.

"Undian bajet sepatutnya peluang untuk nyatakan bantahan terhadap Najib si penyamun yang telah merompak berbelas bilion wang rakyat.

"Namun, Ahli-ahli Parlimen Pas memilih untuk berkecuali. Jadi, adakah Pas parti pembela rakyat atau pembela Najib?" soalnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Akram Yusof pula, alasan penyokong tegar Hadi yang ponteng Parlimen kononnya Presiden Pas itu milik dunia adalah sangat bodoh.

"Alasan Haji Hadi ponteng Parlimen dari para pewalak sangat-sangatlah dangkal. Kalau Haji Hadi tu milik dunia, tak payah bertanding PRU14 nanti.

"Jadi macam Yusof Qadrawi pendkwah sepenuh masa. Ada dia main politik? Tanggungjawab sebgai ahli politik dengan ahli agama pun tak reti nak bezakan.

"Sidang Parlimen bukan hari-hari. Takkan Setpol Haji Hadi tak reti nak urus jadual majikan dia?" selar Akram lagi.

Lebih banyak lagi kecaman orang ramai terhadap Hadi dan parti itu selepas Bajet 2017 diluluskan malam tadi dengan menaip "Hadi ponteng" di ruang carian Facebook.

Hadi antara 24 Ahli Parlimen yang ponteng pengundian bajet malam tadi.

Turut ponteng, Najib Razak (Pekan-BN), Muhyiddin Yassin (Pagoh-Bersatu) dan Syafie Apdal.