"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Azmin anjur majlis kesyukuran, Anwar buat majlis selawat

Haspaizi Zain & Alyaa Alhadjri

Ketika pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali hangat diperkatakan, kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan dua majlis agama berasingan pada hari yang sama dan waktu yang hampir sama, Ahad ini.

Azmin Ahad ini akan mengadakan majlis kesyukuran di kediaman rasmi menteri besar Selangor, sementara di kediaman Anwar Ibrahim pula dijangka akan berlangsung majlis pelancaran zikir dan selawat.

Rencana penganjuran kedua-dua majlis itu hadir ketika isu klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin menyebabkan pergolakan dalaman PKR yang memecahkan parti itu kepada dua kumpulan antara kem presiden parti dan kem timbalan presiden parti.

Bagaimanapun, ketika dihubungi untuk pengesahan, seorang pegawai kanan Anwar mendakwa program yang diadakan di rumah presiden PKR itu hanya "program biasa" dan tiada kaitan dengan kemelut yang sedang melanda parti itu.

"Betul, ini majlis biasa setiap Ahad di rumah bos (Anwar)," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Alam Shah, Syed Amru Syed Abdullah yang mengelola majlis di rumah Anwar menjelaskan bahawa program itu telah diadakan sejak sekian lama.

"Majlis memang sudah lama dianjurkan setiap Ahad malam Isnin sudah berbulan-bulan. Kita pun ada buat penerangan dalam Facebook.

"Tak ada kena-mengena langsung dengan apa-apa yang berlaku sekarang, majlis ilmu terbuka untuk semua," katanya.

Antara pengisian program di rumah Anwar yang dinyatakan pada poster ialah bacaan Yassin dan solat hajat.

Terdahulu, pembantu kepada Menteri Besar Selangor, yang mengesahkan jemputan majlis kesyukuran Azmin memaklumkan program di kediaman rasmi Menteri Besar Selangot dianjurkan oleh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

"Seluruh pimpinan dan anggota, serta semua rakyat yang menolak fitnah dipersilakan dan dijemput hadir bersama," kata jemputan program itu.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan jika acara itu diadakan sempena perkembangan siasatan polis berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Pada 17 Julai lalu, ketika mengulas isu klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin, Anwar berkata menteri hal ehwal ekonomi itu wajar meletakkan jawatan sekiranya terbukti terbabit dengan klip video seks berkenaan.

Membalas kenyataan Anwar, Azmin yang juga anggota parlimen Gombak meminta Anwar "melihat cermin" dan "bermuhasabah".

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan klip video seks sejenis itu adalah tulen berdasarkan hasil analisis CyeberSecurity.

Abdul Hamid bagaimanapun menambah bahawa hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

Abdul Hamid juga menyatakan bahawa penghasilan video berkenaan didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik dan individu yang terbabit dengan penghasilan klip video berkenaan menerima upah ratusan ribu ringgit.

Setakat ini, polis telah menahan lapan individu berhubung dengan sisatan video itu, termasuk Haziq dan pembantu politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Haziq sebelum ini mendakwa klip video itu dirakamkan di bilik hotel Azmin di Sandakan, Sabah, dua bulan lalu.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan klip video itu sebagai plot jahat untuk merosakkan kerjaya politiknya.

Polis tangkap 4 remaja susulan kes pijak al-Quran

Polis menahan empat remaja perempuan berhubung siasatan salah seorang daripada mereka memijak al-Quran, yang tular di alam maya.

Keempat-empat suspek berusia antara 17 hingga 18 tahun itu ditahan di sekitar daerah Kusial, Tanah Merah sejak 2 pagi tadi, lapor Berita Harian.

“Susulan laporan itu, operasi dijalankan dan polis menahan empat suspek perempuan termasuk yang memijak al-Quran dan perakam video dalam operasi di sekitar daerah ini.

“Mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” Timbalan Ketua Polis Kelantan Azmi Abu Kassim dilapor sebagai berkata ketika dihubung.

Penahanan itu susulan laporan kakak salah seorang suspek yang melihat video yang itu, katanya lagi.

Ditanya sama ada seorang remaja itu dipaksa bersumpah dengan memijak al-Quran itu, Azmi berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Mahkamah membenarkan suspek direman tiga hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Menerusi rakaman tular itu, seorang remaja perempuan bertudung dilihat memijak senaskah al-Quran dan mengaku berzina.

Remaja perempuan berkenaan berdiri berhampiran dengan sebuah motosikal sambil memijak al-Quran dan berkata "sumpah dia buat aku”.

Perbuatan itu dibuat sambil disaksikan tiga lagi rakannya termasuk individu yang merakam video berkenaan.

Dalam paparan video berkenaan, kelihatan rakannya mendesak apakah perbuatannya bersumpah mengaku berzina itu adalah betul.

Rakan kepada remaja berkenaan yang merakam video berkenaan mendesaknya supaya mengulangi perbuatan itu, namun dia enggan.

Selesai bersumpuh, salah seorang rakannya menghulurkan "air tawar" ataupun air yang dibacakan dengan ayat suci al-Quran.

Video berkenaan yang tular di media sosial mendapat kecaman daripada netizen.

Remaja berkenaan menafikan yang dia telah melakukan persetubuhan dan mengaku melakukan perbuatan memijak al-Quran kerana bimbang ancaman keselamatan.

Pergeseran Anwar - Azmin bolah musnahkan PH - Ku Li

Kow Gah Chie

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) berpecah.

"Ia mungkin. Tetapi bergantung sama ada Anwar atau Azmin memiliki sokongan (yang cukup).

"Berdasarkan apa yang kita baca di media sosial, seperti ada perpecahan dalam parti. Mari berharap kestabilan akan kekal," katanya yang juga anggota parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak tahu sama ada pembangkang akan menang dalam PRU akan datang.

"Tetapi jika kita ada bilangan (kerusi parlimen yang cukup), mengapa tidak?" katanya.

Beliau yakin Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi PH tahu ke mana hala tuju gabungan itu pada masa ini.

Terdahulu, sejumlah 27 pemimpin dan anggota parlimen PKR menyatakan sokongan kepada Azmin dan berkata Anwar selaku presiden perlu segera menyatupadukan parti.

Tengku Razaleigh berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sama ada seseorang pemimpin itu memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

"Anda boleh kata ada sokongan tetapi terpulang kepada Agong untuk menentukan sama ada seseorang itu ada majoriti atau tidak," katanya.

Dalam respons segeranya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin setuju bahawa pergeseran antara Anwar dan Azmin tidak baik untuk PH.

"Saya tak mahu beri nasihat kerana mereka kawan dan saudara saya dalam PH.

"Tentulah kita sentiasa mendoakan ini akan berakhir tak lama lagi. Isu ini tidak baik untuk kita, bukan saja untuk PH tetapi untuk kerajaan dan rakyat Malaysia," katanya yang juga timbalan presiden PH.

Beliau bagaimanapun tidak setuju bahawa PH akan musnah jika pergeseran itu berterusan.

"Saya tidak terlalu pesimis dalam perkara ini. Harapnya ia akan reda," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Saya tak tahu nak kata apa lagi, hanya (boleh) doa," katanya lagi.

Ketua polis sahkan video intim Haziq tulen

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan video intim Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri adalah tulen.

Bagaimanapun katanya, pihak Cybersecurity tidak dapat memastikan seratus peratus pelaku dalam video berkenaan yang tular sebelum ini.

"Jawapan yang kami terima, mereka kata tulen. Tapi mereka tak dapat sahkan seratus peratus siapa pelaku-pelaku dalam tu (video).

"Saya selaku ketua polis negara tidak boleh memandai-mandai… perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke muka pengadilan.

"Saya harap orang ramai khususnya faham tentang kekangan tanggungjawab saya sebagai ketua polis negara," katanya dalam satu rancangan televisyen terbitan RTM, malam tadi.

Senarai MPP dan wakil rakyat PKR tempelak Anwar

Dua puluh tiga pemimpin kanan PKR bersama 14 anggota parlimen hari ini nmendesak Anwar Ibrahim - yang juga presiden mereka - supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan parti.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pagi ini, mereka berkata sebagai presiden Anwar perlu segera menggembleng perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan (PH) dan negara.

Mereka juga dikatakan tidak setuju dengan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen.

Berikut adalah teks kenyataan bersama ahli MPP & ahli parlimen PKR.

Hentikan usaha memecahbelahkan parti

Ketika menjawab soalan wartawan di Parlimen semalam, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali harus meletakkan jawatan sekiranya kesahihan video seks yang menjadi persoalan dibuktikan.

Kami tegas berpendirian bahawa kenyataan tersebut tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata. Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Mohamed Azmin.

Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.

Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya. Justeru berdasarkan penafian tegas Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan timbalan presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.

Presiden wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepimpinan dan anggota PKR berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen. Mohamed Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics.’

Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden. Kami akan bersama Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.

Kami menggesa Anwar Ibrahim selaku presiden PKR untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti. Kami menyeru presiden untuk segera menggembeling perpaduan anggota demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini.

Kenyataan dibuat oleh

Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat:

1. YB Zuraida Kamaruddin - Naib Presiden

2. YB Dr Xavier Jayakumar - Naib Presiden

3. Chua Tian Chang - Naib Presiden

4. YB Ali Biju - Naib Presiden

5. YB Haniza Talha - Ketua Wanita / Ahli MPP

6. YB Dr Santhara - Timbalan Setiausaha Agung / Ahli MPP

7. YAB Amirudin Shari - Ahli MPP

8. YB Rashid Hasnon - Ahli MPP

9. YB Sivarasa Rasiah - Ahli MPP

10. Rahimah Majid - Ahli MPP

11. YB Elizabeth Wong - Ahli MPP

12. YB Saifuddin Abdullah - Ahli MPP

13. Zakaria Abdul Hamid - Ahli MPP

14. Mohd Radzlan Jalaludin - Ahli MPP

15. YB Dr Mansor Othman - Ahli MPP

16. YB Kamarudin Jaafar - Ahli MPP

17. YB Azmizam Zaman Huri - Ahli MPP

18. Gan Pei Nei - Ahli MPP

19. YB Hee Loy Sian - Ahli MPP

20. YB Lee Kai Loon - Ahli MPP

21. YB Baru Bian – Ahli MPP / Pengerusi MPN Sarawak (MP)

22. YB Dr Daroyah - Timbalan Ketua Wanita / Ahli MPP

23. YB Muhammad Hilman Idham - Timbalan Ketua AMK / Ahli MPP

Ahli-Ahli Parlimen:

1. YB Steven Choong - MP Tebrau

2. YB Jonathan Yasin - MP Ranau

3. YB Willy Mongin - MP Puncak Borneo

4. YB Maria Chin Abdullah - MP Petaling Jaya

Penganalisis ramal lebih ramai pemimpin PKR ‘jauhi’ Azmin

Nur Hasliza Mohd Salleh
PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangka lebih ramai pemimpin dan ahli akar umbi PKR akan menjauhkan diri daripada timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali selepas video seks gay yang menyasarkan pemimpin itu tersebar, baru-baru ini.

Awang Azwan Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa mana-mana pemimpin yang terpalit dengan tuduhan salah laku “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai sebagai petanda ramai lagi orang kepercayan Azmin akan membuat pusingan U.

Katanya, ini disebabkan Shamsul sebagai pemimpin parti yang sering kali dikaitkan dengan “kem Azmin”.

“Ini juga dugaan politik yang besar kepada Azmin ketika ramai yang dahulunya oportunis, dekat dan mahu dikaitkan dengan kumpulan Azmin, kini mulai menjauh diri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Shamsul berkata tindakan bercuti sementara itu penting bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin berkenaan tidak cuba berselindung sebalik jawatan tinggi atau kedudukan dalam parti, “apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai”.

Perkembangan ini sebulan selepas tersebarnya video seks sejenis yang menyasarkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz.

Mengulas lanjut, Awang Azman yakin kenyataan Shamsul itu sudah pun diteliti dengan baik mengambil kira kesan jangka panjang, reaksi ahli parti dan kehendak rakyat yang mahukan proses siasatan yang lebih telus seperti yang dijanjikan beberapa pihak sebelum ini.

Bagaimanapun, Awang Azman mengingatkan supaya semua pihak akur kepada prinsip undang-undang negara yang menuntut seseorang itu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Bukannya seperti undang-undang kuno China bahawa seseorang itu dianggap bersalah sehinggalah didapati tidak bersalah,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff berkata Azmin boleh mengabaikan gesaan itu dengan mudah kerana terdapat segelintir pemimpin yang dituduh melakukan salah laku tidak mengambil cuti sementara.

“Contohnya Lim Guan Eng yang terus berkhidmat sebagai ketua menteri (ketika) berhadapan dengan tuduhan rasuah,” katanya.

Jelas Kamarul Zaman lagi, Azmin juga boleh menafikan kenyataan yang dibuat Shamsul dengan mengatakan ia sebagai pandangan peribadi kerana tiada keputusan yang dibuat melalui Mesyuarat Biro Politik PKR dan Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Bagaimanapun, katanya, beliau bersetuju jika Azmin mengambil cuti sementara kerana pemimpin itu dilihat sangat terganggu dengan tuduhan tersebut.

“Namun saya ragu dia akan melakukannya kerana begitu banyak yang akan dipertaruhkan di sini,” katanya.

3 lagi ditahan kes video lucah

3 lagi ditahan kes video lucahTiga lagi individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Johor Bahru hari ini berhubung siasatan kes penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Utusan Online melaporkan bahawa salah seorang daripada tiga yang ditahan itu merupakan ahli politik yang mengetuai parti di sebuah negeri.

Laporan itu memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed yang mengesahkan penahanan tiga individu berusia antara 29 dan 37 tahun.

Huzir bagaimanapun tidak mengulas apabila diminta mengesahkan sama ada seorang daripada yang ditahan merupakan ahli politik.

“Ya, kita tahan dua lelaki Melayu dan seorang India di Johor Bahru berhubung kes video seks yang tular,” katanya seperti dilapor.

Dalam kenyataan awal hari ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya memperluaskan skop siasatan termasuk kemungkinan pembabitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor dalam kes itu.

Perkembangan terbaru itu menjadikan sembilan kesemuanya yang ditahan berhubung kes penularan video seks berkenaan.

Semalam, bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima yang lain ditahan reman sehingga 20 Julai bagi membantu siasatan.

Keenam-enam mereka direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan, berkaitan pengedaran bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret bagi siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Azmin dikaitkan skandal seks sejenis dengan Haziq setelah beberapa rakaman video seks yang didakwa mirip wajahnya tersebar sejak sebulan lalu.

Haziq mengaku merupakan individu dalam video tersebut manakala Azmin menafikan dirinya terlibat dan mendakwa ia adalah komplot untuk memusnahkan karier politiknya.

Mie Tomoi mengaku bakar kereta Mufti Perlis

KANGAR - Polis mengesahkan lelaki yang membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mac lepas, adalah individu sama mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan pada September tahun lalu.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohamad berkata, susulan soal siasat minggu lepas, lelaki itu yang dikenali sebagai Mie Tomoi membuat pengakuan membakar kereta dan mengancam keselamatan Mufti Perlis itu, serta mencederakan Dr Hazman.

Dr. Hazman cedera parah di bahagian muka setelah ditetak dengan senjata tajam dipercayai pedang samurai oleh seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Jalan Kampung Guru di sini pada 3 September 2018.

“Mie Tomoi juga mengaku diberi upah individu lain untuk melakukan kedua-dua jenayah itu,” kata Noor Mushar kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini, hari ini.

Mie Tomoi, 48, direman enam hari sehingga esok kerana membakar kereta rasmi Mufti Perlis, dan selepas itu dia akan direman bagi kes mencederakan pengarah JAIPs.

Mie Tomoi ditahan di Kuala Ketil, Kedah pada 6 Julai lepas, dan mempunyai 16 kes lampau berkaitan samun dan penyalahgunaan dadah serta pernah dihukum oleh mahkamah sebelum ini.

Seorang rakannya yang merupakan peniaga pasar malam, Azimar Abd Razak, 36, ditahan Mei lepas dan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, namun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
-sinarharian

Zahid terancam gandingan Mat Hasan-Khairy

A Kadir Jasin
Pelantikan bekas perdana menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) tidak memeranjatkan.

Ungkapan Inggeris berkata, “birds of a feather flock together” atau kalau dipadankan ke bahasa Melayu lebih kurang “burung sewarna berkumpul bersama”.

Macamlah kata anak raja dari negeri selatan, “pipit sama pipit, helang sama helang”. Walaupun yang sepatutnya ialah pipit sama pipit, enggang sama enggang.

Inilah cara Pengerusi BN dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mencari burung sewarna di kalangan orang kena tuduh (OKT).

Kalau kita tengok gambar yang disiarkan oleh media massa, ada tiga OKT di dalamnya – Najib, Zahid dan Datuk Seri Adnan Mansor.

Zahid perlukan Najib sebagai rakan oleh sebab dia tentunya tidak berasa selamat bersama pemimpin Umno/BN yang bebas tuduhan.

Pelantikan Najib berlaku sebaik saja Zahid kembali bertugas sebagai presiden Umno pada 30 Jun lalu setelah bercuti mulai 18 Disember lepas.

Zahid perlukan Najib kerana amat jelas yang kepulangannya tidak dialu-alukan oleh sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno.

Ramai pemimpin dan ahli yang bersikap sederhana, waras dan berpandangan jauh mahu timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, terus pangku tugas presiden.

Zahid tentunya berasa cemburu dan terancam dengan penerimaan baik ahli dan pemimpin Umno terhadap Mohamad, termasuk pemimpin senegeri Khairy Jamaluddin. Saya melihat Khairy sebagai watak menanti yang penting dalam politik Umno dan negara.

Faktor Mohamad-Khairy ini telah mula menyuburkan imaginasi banyak pihak dalam dan luar Umno yang melihat gandingan mereka sebagai menjanjikan harapan perubahan dan pemulihan kepada Umno.

Zahid tentu tidak berasa terancam dengan Najib bukan sahaja kerana mereka sama-sama OKT, tetapi mungkin dalam perkiraan Zahid tuduhan terhadap Najib adalah lebih berat daripada tuduhan terhadapnya.

Umno kembali berpuak

Zahid juga terpengaruh dengan reaksi dan penerimaan terhadap kempen “Bossku” dan mahu tumpang sekaki. Untuk kekal relevan kepada kelompok Melayu tradisional dan merapatkan diri dengan PAS, Zahid perlu terus menampilkan dirinya sebagai jaguh Melayu dan Islam.

Tetapi PAS nampak lebih selesa dengan Mohamad daripada Najib atau Zahid. Ini mungkin kerana PAS tidak mahu terpalit dengan kes mahkamah Najib dan Zahid.

Di masa yang sama, Zahid tahu dia kena jaga hati MCA dan MIC yang berupa ahli pelengkap bilangan bagi BN. MCA dan MIC lebih percaya kepada Najib daripada Zahid.

Umno masih memerlukan MCA dan MIC walaupun kedua-dua buah parti itu ibarat rumput di tengah jalan. Tanpa MCA dan MIC, gabungan Umno-Pas tidak ada perwakilan bukan Melayu.

Buat masa ini, kepulangan Zahid dan pelantikan Najib tidak menampakkan hasil positif. Sebaliknya Umno yang mula bersatu di bawah Mohamad, kembali berpecah, berpuak dan saling tuduh-menuduh.

Nampak jelas yang ramai pemimpin dan ahli Umno serta orang Melayu yang boleh berfikir tidak setuju dengan gabungan Zahid-Najib ini.

10 tahun kes Beng Hock: 5 misteri belum dirungkai

Ng Xiang Yi dan Fion Yap

LAPORAN KHAS | Sepuluh tahun lalu, pada 16 Julai 2009, Teoh Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam yang ketika itu menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Kematian pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah itu menggemparkan negara. Teoh yang hanya berusia 30 tahun ketika itu, dibawa ke lokasi berkenaan untuk membantu siasatan berhubung peruntukan kawasan majikannya.

Selepas sedekad berlalu, sebab sebenar kematian Teoh masih terjawab.

Sepanjang sepuluh tahun itu juga, keluarga mendiang sudah menyaksikan beberapa proses perundangan berhubung kematian Teoh, termasuklah prosiding inkues, suruhanjaya siasatan diraja (RCI), dan penghakiman Mahkamah Rayuan yang menolak keputusan terbuka (open verdict) mahkamah koroner.

Namun, sehingga ke hari ini, meski selepas Malaysia menyaksikan peralihan kerajaan buat kali pertama, keluarga Teoh masih terus menuntut kebenaran di sebalik kematian mendiang.

Dengan Pakatan Harapan kini membuka semula kes siasatan, Malaysiakini menyorot semula lima perkara yang belum dirungkai dalam kes ini, berdasarkan laporan RCI dan tiga penghakiman bertulis oleh korum tiga hakim Mahkamah Rayuan.

Pertama, kesan luka pada leher

Setelah kematian Teoh, dua bedah siasat dijalankan oleh lima pakar forensik patologi. Bedah siasat kedua melibatkan pakar patologi forensik terkemuka Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Dr Pornthip merupakan yang pertama mendedahkan kesan luka pada leher Teoh.

Menurut laporan RCI, Dr Pornthip mendapati kecederaan pada leher Teoh selepas merujuk kepada gambar-gambar yang diambil oleh pakar patologi kerajaan Dr Prashant Naresh Samberkar.

Dr Pornthip berpendapat bahawa Teoh tidak membunuh diri, sebaliknya pernah dicekik di leher sebelum jatuh bangunan.

Bagaimanapun, pendedahan itu mencetuskan perbalahan pendapat antara pakar forensik tempatan dengan Dr Pornthip.

Walaupun Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant mempercayai kesan luka tersebut akibat pewarnaan bedah siasat (postmortem staining) yang pertama, Dr Pornthip tetap mempertahankan pendiriannya.

Pandangan Dr Pornthip turut dicabar dan dipersoalkan oleh ketua pendakwa SPRM Abdul Razak Musa.

Dalam prodising inkues kematian Teoh, apabila bertanya kepada Dr Pornthip sama ada Teoh mencekik diri sendiri, Abdul Razak membuat aksi mencekik diri sendiri yang mengundang ketawa bukan saja di dalam dan di luar mahkamah.

Abdul Razak membuat aksi mencekik diri
Meskipun perkembangan awal kes ini tidak memihak kepada Dr Pornthip, namun keterangannya menjadi bahan rujukan utama kepada penghakiman korum tiga hakim yang akhirnya menolak keputusan terbuka oleh mahkamah koroner.

Hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai berkata, “Pada saya, sesetengah orang mesti melakukan sesuatu terhadap Teoh Beng Hock yang mengakibatkan kesan lebam pada lehernya. Kesan lebam itu tidak akan muncul pada lehernya sendiri tanpa sebab luaran.”

Hakim Mah turut memetik laporan bedah siasat kedua, yang menyatakan bahawa kecederaan leher Teoh disebabkan daya dari luar, contohnya cekikan yang mengakibatkan kekurangan oksigen dalam otak, dan menyebabkan mangsa tak sedarkan diri.

Menurut Hakim Mah, prosiding inkuestelah mengemukakan bahan bukti yang secukupnya untuk mengesahkan Teoh mengalami kecederaan sebelum jatuh bangunan. Hakim Mah dalam penghakimannya turut berterima kasih atas pandangan Dr Pornthip yang mendedahkan luka pada leher mendiang.

“Saya berpandangan bahawa, Teoh masih hidup sewaktu jatuh dari tingkat 14 sama ada dalam keadaan taks edarkan diri atau sekurang-kurangnya separa sedar,” kata Hakim Mah.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof turut memetik keterangan Dr Pornthip secara meluas dalam penghakimannya, menyatakan bahawa laporan forensik jelas menerangkan kecederaan leher Teoh terjadi sebelum jatuh bangunan, maka andaian jatuh bangunan atas kecuaian adalah tidak sah.

Seandainya kecederaan itu disebabkan oleh daya dari luar seperti yang dikatakan Dr Porntip, maka persoalan di sini: Siapa yang menyebabkan luka pada leher Teoh?

Kedua, tempoh 7 jam yang tidak dijelaskan

Teoh diiringi ke pejabat SPRM Selangor pada 15 Julai 2009, jam 6 petang. Teoh berada di dalam pejabat selama 19 jam sebelum mayatnya ditemui. Tiada sesiapa yang menjelaskan keadaan Teoh dalam tempoh tujuh jam itu.

Inkues menyifatkan tempoh waktu ini sebagai “tempoh masa yang tidak dijelaskan” atau "unexplained gap". Setelah merujuk laporan RCI, Malaysiakini mendapati bahawa penceritaan peristiwa hari kejadian mula tidak jelas dan terputus-putus sejak pukul 3.30 pagi pada 16 Julai.

Apa yang telah berlaku sepanjang tempoh ini? Di mana Teoh selepas sesi soal siasat tamat? Pegawai SPRM yang terlibat tidak memberikan jawapan.

Waktu kematian Teoh dianggar antara pukul 7.15 pagi hingga 11.15 pagi. Namun, hanya selepas beberapa jam kematian, jasadnya ditemui pada jam 1.30 petang hari itu.

Hakim Mah berpandangan, Teoh mati di bawah tahanan SPRM, maka sama seperti kematian dalam tahanan.

“SPRM bertanggungjawab memastikan keselamatan Teoh pada setiap saat apabila berada di bawah tahanan mereka dan memastikan dia tidak mengalami kecederaan seperti dipukul atau diserang oleh sesiapa,” kata Hakim Mah.

Menurut laporan RCI, pegawai SPRM terakhir yang menyoal siasiat Teoh, Mohd Nadzri Ibrahim memberitahu Teoh bahawa beliau dibenarkan pulang ke rumah pada pukul 3 pagi.

Namun, Teoh dikatakan meminta kebenaran untuk terus berada di pejabat SPRM untuk berehat. Selepas itu, hanya tiga individu dikatakan pernah berjumpa dengan Teoh. Pegawai SPRM Raymond Nion adalah individu yang terakhir berjumpa mendiang, iaitu pada pukul 6 pagi.

Pegawai penyiasat Mohamad Anuar Ismail turut bermalam di pejabat SPRM pada malam itu. Apabila bangun pada pukul 8.30 pagi, dia mendapati beg milik Teoh masih berada di dalam pejabat tapi tidak nampak tuannya.

Mohamad Anuar dikatakan cuba mencari Teoh, namun gagal. Pada pukul 1.30 petang, Mohamad Anuar baru “perasan” Teoh jatuh bangunan.

Yang dapat dirumuskan di sini ialah, semua pegawai SPRM yang terlibat dalam soal siasat mampu menceritakan peristiwa yang berlaku dari pukul 6 petang hingga 3 pagi, namun tempoh masa selepas itu sehingga Teoh ditemui mati menjadi persoalan.

Mengambil kira keterangan ketiga-tiga saksi terakhir yang berjumpa Teoh, maka amat jelas bahawa selepas pukul 6 pagi pada 16 Julai, ada sesuatu yang amat serius berlaku terhadap Teoh.

Namun, panel RCI menolak menolak keterangan pegawai SPRM Raymond yang keluar masuk dalam pejabat pada waktu yang sama kerana mendapati bahawa ia tidak boleh dipercayai (not credible) dan tidak logik.

Ketiga, keterangan palsu?

Lima pegawai SPRM didakwa membuat keterangan palsu berdasarkan laporan RCI. Mereka ialah Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim, pegawai penyiasat Mohamad Anuar Ismail, Mohd Ashraf Mohd Yunus, Bulkini Paharuddin dan Raymond Nion.

Selaku ketua operasi siasatan terhadap Teoh, Hishammudin dilihat tidak aktif terlibat dalam proses penyiasatan. Namun, sebanyak tujuh muka surat laporan RCI menjelaskan ketidakhadiran beliau adalah disengajakan.

Panel RCI beranggapan Hishamuddin tidak mungkin tidak tahu sebarang butiran mengenai siasatan tersebut. Maka, keterangannya dianggap palsu dan tidak ikhlas maka tidak dapat diterima.

Laporan menyebut, “...walaupun tiada fakta secara langsung membuktikan Hishamuddin terlibat dalam kematian Teoh, tetapi sebagai pegawai tertinggi dalam operasi yang turut berada dalam pejabat secara fizikal ketika pegawai-pegawai lain menyoal siasat Teoh, dia (Hishammudin) sepatutnya memegang tanggungjawab atas tindakan-tindakan yang diambil olehnya dan pegawainya yang mendorong Teoh bunuh diri."

Selain itu, Anuar, Ashraf, Buklini dan Raymond turut didakwa membuat keterangan palsu. Ashraf mempunyai rekod lampau mendera tahanan lokap, Raymond pula didakwa diperalatkan oleh rakan sekerja bagi menetapkan “time-marker” (penanda masa) untuk gambaran Teoh masih hidup, dan mengelakkan tuduhan salah laku.

Pada Ogos 2011, Majlis Peguam menyifatkan kumpulan pegawai SPRM itu telah melakukan suatu pergerakan yang “teliti, besar-besaran, konsisten dan terancang” bagi menutup situasi sebenar kematian Teoh.

Majlis Peguam juga mendakwa pegawai-pegawai SPRM sudah tahu punca kematian Teoh sejak pagi 16 Julai 2009, tetapi mereka "mencipta, memusnah dan mengubah bahan bukti" supaya tidak dikenakan tindakan.

Selain lima individu berkenaan, Majlis Peguam turut menamakan lima pegawai SPRM yang lain iaitu Hairul Ilham Hamzah, Zulkefly Aziz, Effezul Azran Abdul Maulop, Arman Alies, Mohd Nadzri Ibrahim sebagai melanggar undang-undang tatatertib SPRM.

Namun, sehingga kini, tiada seorang pun pegawai SPRM itu dikenakan hukuman atau tindakan disiplin.

Keempat, "nota bunuh diri" dikemukakan selepas setahun

Setelah setahun kematian Teoh, ketika peringkat akhir prosiding inkues, Jabatan Peguam Negara secara mengejut mengemukakan nota yang didakwa "nota bunuh diri" Teoh sebagai "bukti".

Kelewatan ini telah menimbulkan keraguan dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Walaupun nota itu tidak diterima oleh laporan RCI dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, pihak polis masih mengaitkan nota itu dengan kematian Teoh setelah diarah membuat siasatan semula.

Dalam inkues, pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal mendakwa dia terjumpa nota itu pada 17 Julai 2009 dalam beg sandang Teoh. Namun mendakwa disebabkan tidak terfikir mengenai kepentingannya, maka dia tidak menyenaraikan nota itu sebagai bahan bukti inkues.

Ahmad Nazri berkata pada Pada 7 Oktober 2009, dia membuat pemeriksaan kedua pada beg Teoh, dan seterusnya menghantar nota itu ke unit makmal untuk mengesahkan tulisan pada nota berkenaan.

Nota yang didakwa nota bunuh diri.
Laporan RCI berkata, disebabkan kelewatan penghantaran bahan bukti, kesahihan nota itu amat diragui. Sikap Ahmad Nazri yang tidak mengendahkan bahan bukti, disifatkan bukan semata-mata masalah kecuaian atau tidak sengaja.

Laporan menyebut, “Sebenarnya, ini telah menimbulkan ketidakpercayaan kami terhadap kesahihan dokumen ini, iaitu nota tersebut. Memandangkan keadaan dan kekurangan dalam pendapat (penganalisis dokumen) Encik Wong, nota ini tidak akan memberi sebarang pengaruh dalam perbincangan kami.”

Majlis Peguam turut mempertikaikan nota itu dan berpandangan bahawa ia adalah taktik SPRM bagi menyokong pendapat bahawa Teoh mati bunuh diri.

Manakala Hakim Mah berkata, tiada bukti yang cukup menyatakan Teoh bunuh diri kerana nota itu telah menunjukkan ketidakcekapan polis, sementara penganalisis turut tidak menolak kemungkinan nota itu direka cipta.

Namun, setelah Mahkamah Rayuan menolak keputusan terbuka dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara dan pihak polis menyiasat semula kes kematian Teoh, polis sekali lagi menumpukan perhatian terhadap nota itu.

Keluarga Teoh diambil keterangan untuk memberi lebih banyak maklumat mengenai tulisan Teoh. Hal ini telah membangkitkan kemarahan umum.

Penyiasatan semula itu tidak membawa perkembangan yang baru. Pada 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata pejabat Peguam Negara mendapati "tiada unsur jenayah" dalam kes kematian Teoh selepas menyemak laporan yang dikemukakan oleh pasukan petugas khas polis.

Persoalannya, jikalau tiada unsur jenayah yang didapati dalam kematian Teoh, mengapakah Mahkamah Rayuan menolak keputusan terbuka mahkamah koroner dan mengarahkan siasatan semula dijalankan?

Kelima, siapa perlu menanggung liabiliti jenayah?

Laporan RCI dan penghakiman Mahkamah Rayuan jelas menyatakan pegawai SPRM yang terlibat dalam kes kematian Teoh mempunyai salah laku dan melanggar undang-undang sewaktu proses soal siasat Teoh.

Namun, tiada seorang pegawai yang dikenakan hukuman atau tindakan disiplin sehingga hari ini, malah ada yang telah dinaikkan pangkat dan jawatan.

Menurut laporan RCI, walaupun tiada kekerasan dikenakan terhadap Teoh, namun dua pegawai SPRM Arman Alies dan Mohd Asraf berkemungkinan besar menyoal siasat Teoh dengan cara intimidasi yang kasar.

Di samping itu, tiga pegawai SPRM turut didapati menggunakan taktik soal siasat yang “agresif dan tidak wajar” iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Laporan turut menyifatkan Arman sebagai “pembuli”, Ashraf sebagai “pendera”, dan Hishammudin sebagai “pemimpin yang angkuh”.

Hakim Hamid Sultan Abu Backer berkata, Teoh dibawa ke pejabat SPRM Selangor dengan iringan pegawai, secara teknikal ia sudah menjadi satu penangkapan. Namun, memandangkan Teoh hanya seorang saksi yang membantu siasatan, ia menunjukkan SPRM menyalahgunakan kuasa sejak awal.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof pula mengulas, bahan bukti menunjukkan Teoh bukan bunuh diri, tetapi mengandungi unsur penderaan yang menjerumus kepada pembunuhan. Tambahan pula, katanya, kesan luka pada leher Teoh disahkan terjadi sebelum jatuh bangunan, maka alasan kemalangan telah ditolak.

“Ia hanya boleh dikatakan bunuh diri atau dibunuh, atau jikalau ia bunuh diri, ia akan memberi kepentingan awam untuk mengetahui apa dan siapa yang mendorong si mati bunuh diri, dan apa, atau siapa yang menyebabkan kecederaan sebelum jatuh bangunan,” katanya.

Pada pandangan Hakim Mah, Teoh yang hadir sebagai seorang saksi dilayan seperti suspek termasuk dilarang meninggalkan pejabat SPRM Selangor, dan dinafi hak berjumpa dengan peguam.

Kata Hakim Mah, hal ini menunjukkan kelakuan pegawai yang kurang kredibiliti, dan perkara itu perlu disiasat dengan teliti dan mengenakan tindakan disiplin dan hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Selain menuntut keadilan dari segi undang-undang jenayah, keluarga Teoh turut memfailkan saman sivil terhadap SPRM dan kerajaan pusat atas kecuaian dan penderaan terhadap Teoh. Kedua-dua pihak akhirnya mencapai persetujuan dan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kerajaan (sebagai defendan) bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM600,000 kepada keluarga mendiang dan RM60,000 sebagai kos mahkamah. Namun, kerajaan hanya mengaku atas tuntutan kecuaian.

Bagaimanapun, saman sivil ini tidak dapat membawa kepada sebarang siasatan jenayah yang lanjut.

Kini, setelah peralihan kuasa kerajaan pusat, pihak polis membuka semula kes kematian Teoh bawah seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan secara salah.

Pengkategorian siasatan itu dilihat bercanggah dengan penghakiman dan arahan Mahkamah Rayuan, kerana ia dikatakan tidak melihat secara langsung terhadap salah laku yang pernah terjadi.

Kritikan sekali lagi dihalakan kepada kerajaan.

'Hala tuju kes sudah ditetapkan'

Mengapakah kebenaran di sebalik kematian Teoh masih menjadi satu persoalan sedangkan pelbagai bukti sudah dinyatakan dalam mahkamah?

Sukarelawan TBH Trust for Democracy Ng Yap Hwa berpandangan bahawa ia disebabkan pihak polis telah menetapkan hala tuju kes ini sejak 10 tahun lalu.

“Pada pendapat saya, polis tidak ingin mengenakan tindakan terhadap SPRM. Mereka melihat kes ini sebagai kes bunuh diri sejak awal lagi dan tidak pernah mempertimbangkan kemungkinan yang lain.

“Maka, tidak kira berapa kali kes ini dibuka dan siasat semula, seandainya hala tuju siasatan tidak berubah, maka tidak mungkin akan kita tahu sebab kematian Teoh yang sebenar,” ulasnya.

Ng berkata, tanggungjawab mencari kebenaran terletak pada Peguam Negara dan pihak polis. Peguam Negara pula mempunyai budi bicara untuk menentukan arah siasatan.

Kes Teoh “tiada masalah"

Bagi peguam keluarga Teoh yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, dia melihat kes ini sebagai satu kes yang “tiada masalah”.

Apa yang dimaksudkannya ialah, siasatan kes kematian Teoh sebenarnya tidak mempunyai kesulitan untuk mendapatkan jawapan.

Ramkarpal juga adalah peguam keluarga mendiang warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. Dia membandingkan kedua-dua kes ini dan menyatakan bahawa tahap kesukaran kes Teoh tidak sama seperti kes Altantuya kerana motif dan kejadian sebenar masih menjadi misteri sehingga kini.

Dalam kes Teoh pula, katanya, dari inkues kematian sehingga ke Mahkamah Rayuan, semuanya menyatakan bukti pembunuhan wujud dalam kes.

“...Ini adalah kes kematian dalam tahanan. Adakah mereka (pegawai SPRM) bertanggungjawab? Saya rasa soalan ini tidak susah dijawab,” ulasnya.

Ramkarpal turut mengkritik tindakan polis yang menyiasat kematian Teoh di bawah seksyen “pengurungan bersalah”.

Kata Ramkarpal, tindakan pihak polis yang bercanggah penghakiman Mahkamah Rayuan boleh dianggap menghina mahkamah.

“Jikalau masih bertumpu kepada soal bunuh diri, tidakkah ini satu penghinaan terhadap Mahkamah Rayuan?

“Bukannya tidak boleh siasat di bawah seksyen ini, anda boleh berbuat sedemikian, namun anda juga perlu berfikir lebih jauh lagi, iaitu menyiasat di bawah seksyen pembunuhan.

“Tidak menurut arahan Mahkamah Rayuan adalah satu tindakan yang amat bodoh,” katanya.

Pakatan Harapan bersikap terbuka terima Pas

Bernama
Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka jika Pas berhasrat untuk menyertai gabungan itu demi penyatuan umat Islam di negara ini, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata sebarang tindakan untuk penyatuan ummah adalah satu langkah baik, namun pihak Pas diharap tidak meletakkan pelbagai syarat yang ketat sehingga boleh menyisihkan kaum lain.

Mukhriz Mahathir
Datuk Seri Mukhriz Mahathir

“Pihak kami kena sentiasa terbuka, tetapi macam mana pun kena bertoleransi, tak boleh kata nak satukan umat Islam dalam negara ini tetapi pada masa sama nak menyingkirkan dan menyisihkan kaum lain,” kata Menteri Besar itu kepada pemberita selepas menutup Bicara Eksekutif Maqasid Syariah peringkat negeridi Alor Setar hari ini.

Jumaat lepas, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa PAS untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan Umno sia-sia.

Beliau dilaporkan berkata jika Pas menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang, boleh menjadi kerajaan sekali lagi.

Sementara itu, Mukhriz berkata Bersatu juga kini lebih menumpukan kepada penglibatan ahli Umno menyertai PH dalam usaha memperkukuhkan kerajaan sedia ada sekali gus dapat meningkatkan jumlah Ahli Parlimen Melayu Islam di Dewan Rakyat.

“Kita kena tonjolkan kebaikan dan ketepikan perbezaan pendapat, saya ingat itu untuk kebaikan semua,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata mesej dan pendekatan Maqasid Syariah yang diintegrasikan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) atau SDGs oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sangat bersesuaian dengan nilai atau fitrah semua manusia, tanpa mengira agama dan bangsa atau negara.

“Ini kerana inti pati Maqasid Syariah yang inklusif dan dinamik amat bersesuaian dengan fitrah manusia, bukan hanya untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk seluruh manusia termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan dunia sejagat.

“Pada hari ini, Kedah dapat bersama-sama melaksanakan agenda Maqasid Syariah ini sebagai maklumat dan pencerahan mengenai hala tuju pentadbiran kerajaan yang baharu untuk menuju kepada sebuah negara rahmah yang berpaksikan nilai Rahmatan Lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah,” katanya.

Beliau berkata mewakili kerajaan negeri, pihaknya menyambut baik dasar baharu kerajaan itu dan komited untuk bekerjasama bagi menjayakan matlamat yang besar itu.– BERNAMA

Warden penjara yang pukul Ustaz Wan Ji diminta tampil sebelum terlambat

Pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Hussin mendakwa beliau dipukul oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang.

Menceritakan pengalamannya sehari selepas dibebaskan pada 12 Julai lalu, Wanji berkata warden berkenaan memintanya menanggalkan cermin mata sebelum menumbuknya sebanyak tiga kali selepas beliau memperkenalkan diri.

"Ana masuk (penjara) ana cakap jujurlah, ana kena pukul. Masuk tu, ada seorang mamat tu, mula-mula masuk ana pakai baju Melayu, dia suruh buka baju, bukalah baju tinggal seluar. Lepas tu nak botakkan kepala janggut semua ni.

"Ada seorang budak (warden) tu cakap Kelantan. Dia tutup muka, pakai baju warden, dia tanya demo namo gapo.

"(Dia suruh) Buka spec. Dah buka, tu bam bam, tiga kali dia bagi. Apa salah aku? (Warden) Yang lain gelak-gelak, bukan nak halang pun," katanya ketika menyampaikan kuliah dalam satu rakaman video.

Pendakwah dari PKR itu berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, manakala Presiden PKR, Anwar Ibrahim turut mengetahui insiden berkenaan.

Anwar, kata Wan Ji telah menghubungi pihak penjara untuk mengenalpasti warden berkenaan.

Wan Ji berkata beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada peguamnya yang kemudian memintanya agar membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Wan Ji berkata beliau pada mulanya enggan berbuat demikian kerana tidak mahu warden itu dibuang kerja.

"Tapi dia (peguam) kata tak boleh nanti dia buat kat orang lain," katanya.

Wan Ji berkata selepas berbincang, beliau mencadangkan agar warden itu tampil meminta maaf dan selepas itu beliau akan menarik balik laporan polis.

"Tak tahu apa pasal buat macam tu dekat ana mungkin dia dah bengang lama dengan ana. Buka FB, Youtube ke apa, bengang. Sebab mamat tu cakap Kelantan," katanya yang mengesyaki warden berkenaan kemungkinan penyokong parti politik tertentu.

Pada 9 April 2018, Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan atas tuduhan menghina Sultan Selangor, namun pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam agar tempoh itu ditingkatkan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai lalu bersetuju untuk menambahkan hukuman penjara hingga setahun dan mengarahkan agar hukuman segera dijalankan walaupun pihak pembelaan memberitahu hakim mereka mahu memfailkan penangguhan dan rayuan.

Wan Ji kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.

Hanipa minta Hadi diam jika tidak tahu apa-apa

MALAYSIA DATELINE
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin menyarankan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya berdiam diri sahaja daripada mempertahankan Akta Hasutan yang hangat diperkatakan sejak penahanan pendakwah, Ustaz Wan Ji Wan Husein.

Kata beliau, adalah lebih baik Hadi berdiam diri kerana bagi beliau, Anggota Parlimen Marang itu tidak mengetahui apa-apa mengenai Akta berkenaan.

Jelasnya, isu yang dibangkitkan bukan setakat salah guna, tetapi sebaliknya Akta berkenaan merupakan undang-undang yang zalim.

“Contohnya dalam Akta ini kebenaran kata-kata bukan satu pembelaan (a defence). Tahukah YB bahawa di bawah Akta ini pendakwa tak perlu buktikan pun kata-kata seseorang itu menghasut. Cenderung menghasut sahaja sudah salah YB. Bayangkan jika cenderung mencuri pun sudah salah.

“Bukankah YB selalu ajar pada orang bawah YB bahawa dalam Islam cenderung kepada kezaliman pun tak boleh, nanti kena sentuh api neraka. Menyokong Akta ini, YB , bagi saya, bukan lagi cenderung kepada kezaliman, ia dah masuk dalam kategori menyokong kezaliman itu sendiri,” tulis Anggota Parlimen Sepang itu dalam facebooknya hari ini.

Ujar Hanipa beliau pernah disiasat di bawah Akta tersebut, pernah mewakili anakguam yang didakwa di bawah Akta tersebut serta menyaksikan sendiri bagaimana Barisan Nasional (BN) menambah lagi “kezalimannnya” dari kezalimannya yang sedia ada.

Beliau dipercayai mengulas berita yang melaporkan Hadi menggesa kerajaan supaya mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi meminta takrif hasutan untuk dibincangkan dengan lebih jelas supaya undang-undang itu tidak disalahgunakan.

Perdana Menteri sebelum ini pernah mengesahkan untuk memansuhkan Akta berkenaan dan menggantikannya dengan undang-undang baharu.

Najib sebenarnya minta jadi pengerusi BN, bukan penasihat

Anggota Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata Najib Razak meminta untuk menjadi pengerusi BN semula dan bukannya pengerusi lembaga penasihat BN.

Nazri mendakwa, bekas presiden Umno itu mahu mengambil kesempatan apabila menyedari BN boleh menang kembali hasil kerjasama dua parti berkenaan.

"Saya tahu jawatan yang dipohon sebenarnya pengerusi BN, bukan pengerusi lembaga penasihat (BN), bila dia (Najib) lihat masa depan kita cerah dengan PAS.

"Mahu jadi PM (perdana menteri) lagi ke? Bagilah peluang kepada anak-anak muda, pimpinan baru, cukuplah," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Nazri dan Khairy masing-masing sebelum ini dilihat tidak senang dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN.

Khairy mengakui bahawa dia tidak gembira dengan pelantikan Najib, semantara Nazri menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang.

Dalam ucapannya hari ini, Nazri mengaku bahawa dia terkejut apabila mengetahui jawatan itu diwujudkan dan seterusnya diberikan kepada Najib.

Namun, katanya, reaksi yang diberikannya adalah reaksi sebenar yang dia tida boleh sembunyikan.

Susulan itu, kata Nazri, ramai pihak yang marah kepadanya.

"Kerana budaya Umno ini masih lagi tidak sedar, masih lagi dengan sistem malu alah, mungkin termakan budi begitu banyak sekali dengan mantan presiden kita (Najib), sehingga tidak dapat membuat kesimpulan bahawa cadangan itu tidak baik," katanya.

MT, naib presiden tak dimaklumkan

Tambah Nazri, kerjasama PAS dan Umno yang ada hari ini dipelopori oleh pemimpin parti ketika ini, dan bukannya ketika Najib menjadi presiden parti.

"Pada peringkat permulaan, (dimulakan) Zahid Hamidi. Kemudian dia berehat, (diteruskan) Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

"Tiba-tiba apabila menampakkan satu kejayaan yang membanggakan, dan kita boleh nampak satu masa nanti pada pilihan raya akan datang kita boleh menang, tiba-tiba timbul cadangan (melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN) ini," katanya.

Mengulas tanggapan yang melihatnya sebagai penyokong tegas Najib sebelum ini, Nazri menegaskan bahawa kesetiaannya ada perjuangan dan parti, bukan individu.

"Minta maaf saya tidak pernah setia pada individu...yang Datuk Seri Najib sebut walak, pada perhimpunan tahun lepas, walak itu pada perjuangan, walak kepada parti bukan kepada individu.

"Ahli Umno kena ingat, kesetiaan itu kepada parti bukan pada individu, dan kalau dulu saya dikatakan setia kepada Najib, (sebenarnya) bukan setia kepada Najib, tapi kepada presiden parti," jelasnya

Justeru, Nazri merayu sekiranya Najib sayangkan Umno untuk memberi peluang kepada kepemimpinan baru menguruskan parti itu.

Nazri turut mengingatkan Zahid bahawa beliau bukan lagi setiausaha politik kepada Najib, sebaliknya adalah presiden parti.

Ia ekoran keputusan diambil Ahmad melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN tanpa mengambil kira padangan pimpinan parti yang lain.

Malah kata Nazri, naib presiden Umno dan Majis Tertinggi (MT) tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Polis tahan individu disyaki terlibat bikin video seks kaitkan menteri

Dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah dikenal pasti, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berkenaan dalang itu, beliau berkata pihaknya telah mempunyai ‘bayangan’ dalang yang terlibat kes itu, dan telah membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kes itu.

“Siasatan kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video berkenaan.

“Dalam kes ini, kami kesan terdapat wujud konspirasi dan pakatan pihak tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan seorang menteri, untuk menjatuhkan seseorang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Malam Semarak Kasih Perumahan Blok Melati Polis Diraja Malaysia di Setiawangsa, di Kuala Lumpur malam tadi.

Abdul Hamid berkata sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, pihaknya akan melakukan tindakan menahan semua yang terlibat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada saksi berkaitan, serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.

“Mereka yang terlibat dalam menyebarkan (menularkan) video seks sejenis berkenaan juga akan diambil tindakan. Kita sedang mencari siapa yang salah guna laman sosial untuk sebarkan video itu menerusi telefon-telefon bimbit yang dikesan,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kertas siasatan kes berkenaan perlu dikemas kini dan ditambah baik, dengan pasukan Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman yang menyiasat kes berkenaan terpaksa berulang alik ke Sandakan, Sabah dan ia makan masa yang lama.

Katanya terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil dan diteliti terlebih dahulu, sebelum kertas siasatan melibatkan individu yang terlibat dalam video seks itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Tindakan yang perlu diambil itu pun atas arahan daripada pihak pendakwa raya, sebab kita telah pun menghantar fail itu dua kali dan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, dengan yang terakhir pada Khamis lepas.

“Pihak Jabatan Peguam Negara memberikan arahan-arahan tertentu untuk mendapatkan keterangan kes, maka kami dapatkan kenyataan daripada individu terlibat, terpaksa ke Sandakan,” katanya.

Mengenai ketulenan video itu, Abdul Hamid berkata video itu telah dihantar ke makmal untuk pengecaman dan ia memakan masa untuk mendapat keputusan.
-Bernama