"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beranak maut, kereta dihempap lori muatan baja

Yun Mikail
am@hmetro.com.my
DUA beranak maut selepas kenderaan mereka dihempap lori yang hilang kawalan di persimpangan Batu 25 Jalan Labuk. FOTO ihsan bomba
DUA beranak maut selepas kenderaan mereka dihempap lori yang hilang kawalan di persimpangan Batu 25 Jalan Labuk. FOTO ihsan bomba
Sandakan: Dua beranak maut selepas kenderaan mereka dihempap sebuah lori yang hilang kawalan ketika berhenti di persimpangan Batu 25 Jalan Labuk, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.27 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Iswara Aeroback berusia 36 tahun dan anak perempuannya berumur 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta dinaiki tujuh sekeluarga yang bergerak dari arah Sandakan ke Beluran.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori membawa muatan baja yang dipandu lelaki berumur 36 tahun bersama penumpang terdiri daripada isteri serta dua anak lelaki dipercayai hilang kawalan.

"Keadaan terbabit mengakibatkan lori terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dan menghempap kereta dinaiki mangsa yang berhenti untuk memasuki simpang di kanan jalan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Iswara Aeroback dan salah seorang anaknya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah manakala lima lagi penumpang hanya cedera ringan.

"Pemandu lori berserta penumpang juga cuma mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Fuad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pas juga lancar bak kut teh dahulu, walaupun sekarang jadikan isu

BORHAN AHMAD

Makanan tradisional orang Cina, bak kut teh hanya satu dari 10 makanan tradisional di negara Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum ini disenaraikan dalam makanan warisan negara dalam Pengistiharan Objek Warisan 2024.

Ia disenarai bersama makanan tradisi India iaitu uthappam serta makanan tradisi dari Sabah dan Sarawak bersama makanan tradisi dari makanan orang Melayu.

24 Februari lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin berkata, 10 makanan telah diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa yang diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Makanan-makanan itu adalah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira di samping bak kut teh tanpa menyebut ia halal atau tidak.

Ini kerana, selain bak kut teh yang dibuat oleh msyarakat keturunan Cina menggunakan tulang rusuk babi yang haram bagi orang Islam, Pas juga memperkenalkan halal bak kut teh yang dibuat dari daging kambing atau ayam.

Isu bak kut teh telah menjadi isu perkauman untuk menyerang kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah ia satu-satunya makanan yang diwartakan sebagai makanan tradisi Malaysia.

“Nasi ambeng dan mi kolok berada dalam kategori makanan ruji manakala dodol kukus tahi minyak, kuih genggang dan karas berada di dalam kategori kuih-muih.

“Bak kut teh disenaraikan sebagai objek dalam kategori sup manakala jeruk tuhau (makanan pembuka selera) dan air katira (minuman),” kata Mohamad Muda.

Untuk rekod, nasi ambeng adalah makanan etnik Jawa merangkumi hidangan nasi putih bersama pelbagai lauk seperti ayam kicap, rendang daging, sambal goreng (tauhu, tempe, kacang panjang), bergedel serta serunding yang dihidangkan sama ada di dalam talam atau daun pisang.
(GAMBAR: Pas melancarkan halal bah kut teh pada 2018 lalu untuk menarik sokongan orang Cina sempena satu pilihan raya kecil, namun sekarang walaun atau penyokong Pas menjadikan makanan ini sebagai isu apabila disenaraikan dalam Makanan Warisan Negara).

Pada 8 Oktober 2018, Pas melalui Lajnah Perpaduan Nasional telah memperkenalkan halal bak kut teh, lapor media Pas melalui pas.org.my.

Menurut laman itu, terdapat sebuah restoran bak kut teh halal di Singapura yang menyediakan menu ini khusus untuk dinikmati oleh orang-orang Islam.

“Di sana, mereka menggunakan daging dan tulang lembu atau kambing. Di negara kita, versi bak kut teh halal masih belum dikenali ramai,” lapor media itu.

Bak kut teh halal versi Lajnah Perpaduan Nasional disediakan khas oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional berketurunan Cina, Puan Farah Foo Wai Yee.

Beliau memang mempunyai resepi rahsia (ramuan herba) yang diwarisi daripada mendiang ayahnya yang merupakan seorang peniaga bak kut teh di bandar Ipoh.

Bak kut teh halal yang dibuat oleh Lajnah Perpaduan Nasional menggunakan daging kambing atau ayam.

Lelaki maut kepala terhantuk batu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari bukit sebelum kepalanya terhantuk batu di Kampung Chenulang, Kuala Krai.

Dalam kejadian 11.56 pagi tadi, mangsa 23 tahun itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

Pemangku Ketua Polis Kuala Krai, Kamarulzaman Harun berkata, sebelum kejadian, mangsa mengikut beberapa orang ke kebun untuk menebas.

Ketika sampai di atas bukit, katanya, mangsa bersandar di sebatang pokok, sebelum tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terkena batu.

“Mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat. Hasil siasatan awal dan pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan mati mengejut dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Mangsa banjir di Sarawak meningkat lebih 1,000 orang

Malaysiakini 

Jumlah mangsa banjir di Sarawak kian meningkat malam ini dengan lebih 1,000 mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di selatan negeri.

Berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), sebanyak 1,193 mangsa daripada 367 keluarga berlindung di PPS berbanding 356 orang daripada 121 keluarga setakat 12 tengah hari tadi.

“PPS bagi kawasan di Kuching ialah Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru, Dewan Masyarakat Stapok, SJK (C) Chung Hua Batu Kawa, SJK (C) Chung Hua Sungai Tengah, Dewan Taman Malihah.

“Selain itu, PPS di Bau ialah Balai Raya Kampung Senibung dan Dewan Kampung Segong manakala PPS SK Pasir Tengah di Lundu,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

Seorang lagi penunggang dalam perjalanan ke RXZ Fighter Gathering maut nahas

Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Amir hamzah Nordin
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Amir hamzah Nordin
Maran: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan menghadiri program RXZ Fighter Gathering di Kuantan, maut dalam kemalangan di Kilometer (KM)156.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa Mohammad Sharfie Sukri, 21, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor menghala ke Kuantan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal itu yang berada di lorong kiri bergesel dengan lori.

"Akibatnya mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil temubual, semasa kejadian mangsa bersama sepuluh rakan yang turut menunggang motosikal berkonvoi dari Petaling Jaya untuk menghadiri program RXZ Fighter Gathering.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohamad Zamri berkata, ini kemalangan kedua membabitkan penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke program RXZ Fighter Gathering.

"Semalam seorang peniaga pasar malam maut selepas terbabas di Kilometer 166.6 Lebuhraya LPT," katanya.

Penumpang cemas, kereta api rempuh penghadang

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
KEADAAN jentera Lokomotif yang terlanggar penghadang di hujung landasan di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN jentera Lokomotif yang terlanggar penghadang di hujung landasan di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
Kota Kinabalu: Penumpang dan kakitangan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah berdepan detik cemas selepas sebuah lokomotif merempuh penghadang di hujung landasan dan dinding pagar Stesen Sembulan, di sini, hari ini.

Kejadian jam 7.08 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang dan kakitangan yang bertugas.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kejadian berlaku membabitkan kereta api PU201 yang membawa penumpang dari Beaufort ke Sembulan dengan formasi terdiri daripada sebuah lokomotif dan empat gerabak penumpang.

"Ketika menghampiri ke Stesen Sembulan, Jentera Lokomotif 7001 mengalami masalah teknikal iaitu sistem angin mengalami kerosakan dengan tiba-tiba menyebabkan sistem brek Jentera Lokomotif 7001 tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Keadaan ini mengakibatkan jentera berkenaan merempuh penghadang (Bumper Stopper) di hujung landasan kereta api dan dinding pagar di Stesen Sembulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, insiden bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang kerosakan kepada empat gerabak penumpang dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang dan kakitangan yang bertugas.

"Empat gerabak ini sudah ditarik menggunakan lokomotif lain dan meneruskan perjalanan untuk perkhidmatan lain yang dijadualkan dan kejadian ini juga tidak menjejaskan perkhidmatan lain dalam jabatan.

"Kejadian bagaimanapun menyebabkan lokomotif 7001 terkeluar daripada landasan, serta mengalami kerosakan pada komponen bogie, sistem brek dan buffer, serta komponen lain yang akan dikenal pasti selepas pemeriksaan lanjut dilakukan," katanya.

'MP Bersatu diseru sokong Anwar, ROS belum lulus pindaan parti'

Hariz Mohd

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal tetap tidak berbelah bahagi dalam menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan berkata ahli parlimen Bersatu yang lain juga tidak perlu takut.

Dia berkata peraturan baru Bersatu untuk menghalang wakil rakyat parti itu berpaling tadah dengan menukar sokongan sebenarnya tidak boleh menghalang ahli parlimen Bersatu daripada menyokong Anwar.

"Saya menyeru ahli parlimen Bersatu yang ada rancangan atau niat untuk bantu kawasan masing-masing dengan beri sokongan kepada PMX, teruskan.

"Pindaan ini tidak boleh halang sokongan kepada PMX.

EGM Bersatu.

"Kalau perlembagaan ini belum lagi diluluskan oleh ROS dan boleh dibawa ke mahkamah untuk dicabar.

"Jangan putus asa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Syed Abu Hussin antara enam ahli parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Bersatu hari ini meluluskan pindaan kepada Perkara 10 perlembagaan partinya, dengan menetapkan peraturan bahawa ahli yang menentang keputusan parti dianggap telah keluar parti, sekali gus mencetuskan penguatkuasaan undang-undang anti lompat parti.

Bagaimanapun, peraturan itu bukan retrospektif (tidak mengambil kira kejadian ahli parlimen Bersatu menukar sokongan sebelum ini).

Namun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata ahli parlimen Bersatu yang sudah menyokong Anwar akan diminta untuk menyatakan semula pendirian mereka.

Jika mereka berbuat demikian, maka mereka akan melanggar peraturan baru itu, katanya.

Selepas Sultan Selangor berdukacita, Pas serah Hadi untuk jawab

AKMAL MANAF

Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi menyelesaikan isu perutusan surat oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap beliau.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu tidak wajar dilibatkan dalam polemik itu memandangkan kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi adalah pandangan peribadi dan tidak merujuk pendirian parti secara keseluruhan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta semua pihak mendapat rujukan balas daripada pejabat presiden Pas sendiri dalam merungkai penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

”Kenyataan tuan guru (Abdul Hadi) adalah bersifat peribadi. Justeru media kena rujuk dengan pejabat presiden Pas atau tuan guru sendiri.

”Saya kira kenyataan tersebut bukan merujuk pendirian Pas secara keseluruhan.

”Jadi Pas tidak boleh memberi sebarang komen lanjut,” ujar beliau dipetik Sinar Harian.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Februari lalu itu, disiarkan di portal berita pas.org.my.

Susulan kenyataan kontroversi dikeluarkan Ahli Parlimen Marang itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya masih belum merakam percakapan Abdul Hadi atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan pada masa ini.

Pas Selangor mesti nasihati Hadi jangan melampaui batas

AKMAL MANAF

Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor meminta Pas negeri itu menasihati presiden mereka, agar tidak melampaui batas apatah lagi terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Azmi menyifatkan Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah pemimpin senior yang telah lama berada dalam parlimen.

”Sudah pastinya beliau sudah memahami kepentingan menghormati setiap keputusan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kebawah Duli Tuanku.

”Janganlah memilih kasih apabila setiap titah Kebawah Duli Tuanku itu memenuhi selera dan nafsu serakah, beliau menerimanya, manakala yang berlawanan dengan nafsu, beliau ingkar,” bidasnya dalam satu kenyataan.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Februari lalu itu, disiarkan di portal berita pas.org.my.

Susulan penulisan kontroversi itu, Abbas berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan tersebut yang dilihat berunsur menyentuh kredibiliti Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor terutamanya berkaitan keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor sendiri.

“Jangan hanya mendiamkan diri wala’ kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pimpinan,” tegas Abbas kepada parti berkenaan.

Pindaan perlembagaan Bersatu lulus, 6 Ahli Parlimen wajib kosong kerusi

Mohamad Fadli

SELAYANG: Pindaan perlembagaan Bersatu mewajibkan wakil rakyatnya mengosongkan kerusi jika menyokong parti lawan diluluskan sebulat suara dalam perhimpunan agung khas hari ini.

Pembentangan pindaan dibuat susulan enam Ahli Parlimen parti itu mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Yusuf Islam cadang buka ‘Peace Train’ di Malaysia

Bernama
Yusuf Islam, pemuzik Britain yang dahulunya dikenali sebagai Cat Stevens berharap Peace Train cawangan Malaysia boleh ditubuhkan tahun ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Yusuf Islam, pemuzik Britain yang dahulunya dikenali sebagai Cat Stevens, merancang menubuhkan sebuah pertubuhan amal, Peace Train di Malaysia, tidak lama lagi.

Penyanyi dan penulis lagu itu berkata, beliau memilih Malaysia sebagai cawangan bagi menubuhkan Peace Train pertama di luar negara, kerana imej negara ini.

“Peace Train ialah organisasi aktif yang menghantar makanan ke pihak perbandaran, kem pelarian dan kadangkala ke sekolah.

“Di UK (United Kingdom), kami membantu banyak kanak-kanak yang sangat miskin. Ini jenis projek yang kami lakukan, berdasarkan ajaran Nabi Muhammad untuk memberi makan kepada orang ramai dan menyebarkan keamanan,” katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada pertubuhan amal itu akan ditubuhkan pada tahun ini, beliau menjawab: “Ya, jika kita boleh melepasi kerenah birokrasi.”

Yusuf berkata, beliau telah menyampaikan rancangan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Beliau (Anwar) sangat mengalu-alukan. Beliau sedang menunggu stesen (Peace Train) dibuka,” katanya.

Sejak April 2020, Peace Train telah menyediakan hampir empat juta makanan di UK dan di luar negara.

Peace Train ialah lagu ciptaan pada 1971 oleh Cat Stevens yang diambil dari album Teaser and the Firecat.

Lagu itu melonjak naik ke No 7 carta Billboard Hot 100 AS pada minggu 6 Nov 1971, sekali gus ia menjadi lagu terbaik dalam US Top 10 hit.

Penyanyi itu memeluk Islam pada 23 Dis 1977, dengan menukar nama kepada Yusuf Islam pada 1978.

Parti tak bergerak, pimpinan Bersatu masih ‘bulan madu’

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Bersatu ketika ini seperti tidak bergerak kerana pimpinan tertinggi masih “berbulan madu”, dakwa seorang pemimpin akar umbi Perak.

Enggan dinamakan, pemimpin itu berkata walaupun rating Perikatan Nasional (PN) melonjak selepas PRU 2022 dan pada PRN enam negeri, “Bersatu kekal tidak bergerak berbanding PAS dari sudut keahlian, aktiviti, dan program, selain memperkukuh akar umbi.”

Katanya: “Dalam erti lain, parti tidak mengambil penuh peluang situasi itu, manakala PAS bergerak sangat pantas.” Bagaimanapun, beliau tidak menganggap PAS menjadi ancaman memandangkan parti berkenaan membuat apa yang perlu demi perkembangannya.

“Namun, Bersatu masih lagi dalam tempoh ‘berbulan madu’. Kita masih bergembira dan memikirkan semua orang akan menyokong kita secara organik tanpa perlu ada strategi sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bulan lalu, tumpuan utama parti dalam tempoh tiga ke empat tahun mendatang adalah menguatkan populariti dalam kalangan pengundi Melayu.

Muhyiddin berkata, parti mahu memperkukuh sokongan orang Melayu diterima pada PRN enam negeri, sambil mendakwa undi Melayu kepada Bersatu dan PN meningkat 70% hingga 80%.

Seorang lagi pemimpin akar umbi Selangor berkata, ahli akar umbi tidak memahami struktur politik dan parti walaupun ramai pimpinan Bersatu berpengalaman dalam urus tadbir.

“Ramai (ahli akar umbi) kali pertama (jadi ahli parti politik) atau amatur. Kefahaman pengurusan etika parti dan berpersatuan masih rendah,” katanya.

Katanya, pimpinan tertinggi parti sepatutnya bekerja keras membina jalinan di bawah terutama dalam hubungan dengan akar umbi. “Jika pemimpin masih ‘berbulan madu’, lebih ramai akar umbi ketinggalan. Pimpinan kena bekerja menambah ahli dan membina sokongan Melayu. Mereka tidak boleh bersenang-senang sangat,” katanya.

Katanya, parti hanya membuang masa apabila kepimpinan bertelingkah antara satu sama lain, mengambil kira pemukiman Bersatu minggu lalu telah mendepani kebanyakan isu yang timbul.

“Mungkin satu atau dua lagi isu yang perlu perhatian, seperti struktur parti ke hadapan dan siapa yang akan memegang jawatan mana,” katanya.

Warga emas hidap dementia pandu kereta lawan arus

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Wanita warga emas ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai memandu sebuah kereta secara berlawanan arus di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru - Air Hitam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, wanita berusia 75 tahun itu ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Iskandar Puteri sejurus video pemandunya secara berlawan arus itu tular di media sosial.

"Kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2.50 pagi semalam, dan kita menahan seorang suspek wanita kira-kira jam 4.11 petang semalam bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan awal mendapati wanita itu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya dia disyaki mengalami masalah kesihatan iaitu dementia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dijalankan.

Semalam, tular beberapa video memaparkan insiden sebuah kereta dipandu secara berlawanan arus di beberapa aplikasi media sosial.

Dakwa pengguna akaun yang memuat naik video berkenaan, dia percaya warga emas yang menghidap dementia itu memandu seorang diri sejauh 15 kilometer dari Kulai ke Iskandar Puteri.

Dakwanya, terdapat orang awam yang berjaya mengepung kenderaan warga emas berkenaan di sebuah jambatan sebelum bertindak menghubungi polis.

Banduan wanita antara dituduh sertai Geng Upik

IVAN AMIRUL
Angoota polis mengawal sebahagian Geng Upik ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini. - Foto oleh IVAN AMIRUL / KOSMO!
KOTA KINABALU – Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini mendakwa dua lagi individu termasuk seorang wanita atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik.

Kedua-dua tertuduh ialah Zulkahar Dusing, 29, dan Norsyafilah Pawawoi, 28, yang didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulkahar kini sedang menjalani tahanan reman di Tawau atas kesalahan dadah, manakala Norsyafilah pula kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 2018 atas kesalahan mengedar dadah.

Norsyafilah dituduh menganggotai Geng Upik antara 2015 hingga 28 Julai 2016, manakala Zulkahar menjadi ahli kumpulan sama antara 2021 hingga 3 Mei 2023.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail dalam prosiding hari ini memohon tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen serta pengurusan pemindahan kes ke mahkamah tinggi untuk kedua-dua tertuduh.

Hakim Noor Hafizah Mohd. Salim menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Radzi dan peguam.

Terdahulu, seramai 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk di mahkamah sama didakwa di bawah Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama atas kesalahan menganggotai kumpulan terbabit pada 22 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Penganalisis: Mahu jadi jaguh orang Melayu, Hadi salah ‘hitung’

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Seorang penganalisis berpendapat presiden PAS tersilap “perhitungan” sekiranya menganggap keberaniannya mengkritik institusi diraja mampu membantu meraih lagi sokongan pengundi Melayu.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, berkata sebaliknya tindakan Hadi Awang itu menimbulkan stigma negatif kerana sebahagian besar orang Melayu melihat perkara berkenaan sebagai sensitif.

“Mungkin Hadi berpendapat sokongan Melayu terhadap PAS adalah begitu kuat sekali iaitu sebanyak 80%, dan menganggap kritikan itu mampu meraih lagi baki 20% undi Melayu kerana menjadi jaguh mereka untuk memperjuangkan Islam.

“Beliau mungkin terpesong dalam pemikiran bahawa orang Melayu ini tidak sensitif dengan institusi monarki dan tindakan PAS mengkritik institusi diraja ini boleh diterima mereka. Sudah pasti konotasi negatif itu akan beri tempias kepada PAS,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, melihat PAS semakin hilang sokongan dan dukungan sekiranya berterusan menggunakan pendekatan mengheret Raja dan Sultan dalam polemik politik.

Beliau turut berpendapat presiden PAS itu perlu memohon maaf secara terbuka kepada institusi diraja dalam masa terdekat.

“Untuk mendapat sokongan rakyat dan pemerintah seperti Raja-Raja, PAS perlu ubah pendekatan dan berani menegur pemimpin parti agar tidak menyinggung institusi diraja.

“Ia bukan sahaja merimaskan orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada Khamis, media melaporkan Sultan Selangor dukacita dengan kenyataan Hadi dalam artikel berjudul ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’, sambil menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak beradab.

Baginda dalam surat diutuskan kepada Hadi menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.

Hadi dalam artikel diterbit pada 20 Feb, mengingatkan penganut Islam khususnya hakim dan peguam termasuk Ahli Parlimen dan Adun, bahkan Raja-Raja supaya “berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana”.

Pada 9 Feb, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dengan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

Nyawa di hujung parang pengganas Sulu

Amin Ishak

“Nasib tidak berhenti, kalau tidak sudah mereka potong kepala kamu pakai barong (parang Sulu),” terngiang-ngiang teguran seorang pegawai polis sebaik mengetahui penulis bersama beberapa rakan media lain terserempak dengan pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih 11 tahun lalu.

“Mereka itu tidak pandai kesian orang, jahat, dan sanggup membunuh,” sambungnya yang membuatkan penulis yang ketika itu bertugas sebagai wartawan Berita Harian agak tersentak mengenangkan nasib jika memutuskan berhenti di ‘markas’ terbabit.

Saya masih mengingati sebaik mendapat maklumat pengikut ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III mendarat dengan bot di Kampung Tanduo pada 11 Feb 2013, ketua biro Berita Harian Sabah, Wan Faizal Ismayatim, mengarahkan saya ke Lahad Datu, tempat saya membesar dari usia 7 hingga 17 tahun, pada keesokan harinya.

Turut mendapat arahan sama rakan dari New Straits Times, Avila Geraldine, dan jurugambar, Zunnur Al-Shafiq. Kami menaiki penerbangan pertama dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu iaitu sekitar 6.30 pagi. Sebaik mendarat sekitar 55 minit kemudiannya, kami bertemu dengan pasangan suami isteri bekerja sebagai wartawan di akhbar tempatan iaitu Azmie Lim serta Efa Rizan.

Usai bersarapan, kami berlima menaik kenderaan pacuan empat roda sejauh hampir 100 km ke Felda Sahabat, di mana terletaknya Kampung Tanduo. Ia memakan masa hampir dua jam dan ketika tiba di sana bertemu pula kru Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berpangkalan di Tawau.

Tanpa sebarang panduan jelas, kami sebenarnya agak buntu memulakan liputan memandangkan maklumat diterima daripada sumber agak samar. Penduduk di sekitar pun tidak tahu mengenai kehadiran pengganas Sulu yang dikatakan bersenjata.

Jam menunjukkan 2 petang, namun belum ada sebarang bahan berita. Kami meneruskan perjalanan ke Kampung Tanjung Labian dan di sana, kami bertemu penduduk dari Kampung Tanduo yang mendakwa diusir kumpulan yang penampilannya seperti ‘tentera’.

“Saya ingat Abu Sayyaf sebab pakai senjata dan ramai. Kami diminta keluar rumah dan saya bersama keluarga lari ke Tanjung Labian kerana takut diapa-apakan,” kata Ben Hamid, yang menunjukkan jalan ke Kampung Tanduo.

Mengikut naluri sebagai wartawan, kami bersama kru RTM terus ke kampung yang ‘ditawan’ rombongan pengganas Sulu diketuai adik Jamalul iaitu ‘Raja Muda Agbimuddin’. Kami melalui jalan denai di kawasan ladang kelapa sawit.

Sekitar 20 minit perjalanan, kami berselisih dengan seorang wanita menunggang motosikal yang secara tiba-tiba berhenti. Azmie yang memandu memberhentikan kenderaan. Dia menegur saya, “Amin cuba tengok apa dia buat.”

Dari sisi cermin di tempat duduk penumpang bahagian depan kenderaan itu, saya dapat melihat wanita itu menghubungi seseorang menggunakan telefon bimbit dan tidak lama kemudian meneruskan perjalanan.

Tanpa mengesyaki apa-apa, kami meneruskan perjalanan dan kurang 10 minit selepas itu saya terkejut melihat gerombolan orang ramai berkumpul di sebuah rumah. Ada yang memakai pakaian seragam tentera. Kelihatan bendera berwarna kuning, putih, dan hijau pada rumah tersebut.

Ketika itu kami sedari telah sampai ke Kampung Tanduo dan berdepan dengan pengganas Sulu. Seorang lelaki berbadan sasa yang membawa senjata berjalan ke arah kenderaan kami.

“Wait wait wait,” kata lelaki terbabit sambil tangannya meminta kami datang kepadanya.

Pada masa itu, saya mula merasakan mungkin kumpulan itu bersedia menerima kehadiran kami sebaik mendapat maklumat daripada wanita yang berselisih dengan kami.

Tanpa berlengah Azmie terus memecut kenderaan, begitu juga pemandu yang membawa kru RTM. Mungkin kerana terkejut, kelima-lima kami hanya terdiam sepanjang perjalanan keluar dan bimbang diekori pengikut pengganas Sulu.

Rupanya kelibat di Kampung Tanduo itu diketahui polis. Seorang pegawainya memberitahu mereka hampir menembak kami sehinggalah menyedari ada lambang RTM pada salah sebuah kenderaan.

“Baru kami tahu media. Nasib kamu semua tidak berhenti kalau tidak mereka sudah potong kepala kamu pakai barong,” kata pegawai itu yang kami temui pada keesokan harinya.

Namun 17 hari kemudian iaitu tanggal 1 Mac 2013 di lokasi sama dijejaki penulis itu, tercetus pertempuran di antara polis dan pengganas Sulu yang mengorbankan dua anggota Komando 69 dan 12 pengganas. Wira negara Zulkifli Mamat dan Sabaruddin Daud terkorban di tangan musuh yang membuat helah ingin menyerah kalah dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

Penulis bersama rakan media lain yang menunggu di suatu simpang menuju ke Kampung Tanduo berkesempatan melihat jenazah mereka dibawa keluar. Tangisan rakan seperjuangan mereka masih diingati sehingga sekarang.

Keesokannya pula, enam anggota polis gugur dalam serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna, yang terletak lebih 200 km dari Kampung Tanduo. Ketika kejadian mereka dalam misi merisik kegiatan kumpulan yang mempunyai kaitan pengganas Sulu.

Mereka yang terkorban dikenali Ibrahim Lebar; Michael Padel, Baharin Hamit, Abdul Aziz Sarikon, Salam Togiran, dan Mohd Azrul Tukiran.

Enggan lagi berunding, pihak berkuasa melancarkan Ops Daulat untuk memerangi habis-habisan pengganas Sulu. Detik 7 pagi, 5 Mac, jet tentera udara mula menggegarkan langit di Felda Sahabat dengan sasaran utama di Kampung Tanduo.

Operasi penggeledahan dan pembersihan di Zon Labian yang membabitkan Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, dan Kampung Tanjung Labian menyaksikan 65 pengganas ditembak mati dan lebih 100 ditangkap.

Pada 26 Julai 2016, sembilan ahli kumpulan pengganas dihukum penjara sepanjang hayat, 8 termasuk 3 rakyat tempatan dipenjara antara 10 tahun hingga 15 tahun.

Walaupun 11 tahun telah berlalu, namun ingatan pada kejadian itu masih kuat. Geram melihat kedaulatan negara diceroboh bertukar bangga melihat Jalur Gemilang kembali berkibar di Kampung Tanduo, apabila penulis kembali setahun selepas itu.

Pereka grafik didakwa rompak jongkong emas

BHarianonline 
Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak jongkong emas. - Foto BH
Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak jongkong emas. - Foto BH
KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak jongkong emas dan telefon bimbit milik seorang lelaki warga India bernilai RM266,050 minggu lalu.

M Ramesh Raj, 35, didakwa bersama-sama suspek yang masih bebas melakukan perbuatan itu ke atas Mohammed Mubarak Sikkander di lorong belakang sebuah restoran, Jalan Masjid India di sini pada 2.10 petang 19 Februari lalu.

Di mahkamah sama, seorang penghantar barang J Francis, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak Mohd Zainuddin Abdullah, 51, wang tunai berjumlah 25,000 Pound Sterling (RM150,750) dan RM34,720 di sebuah pangsapuri di Dang Wangi pada 2.20 petang 21 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn menawarkan jaminan RM20,000 untuk Ramesh dan RM16,000 kepada Francis, masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, mereka perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Iqhmar Syafiq Mohd Azmi, yang mewakili Ramesh, memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan hanya anak guamnya menanggung keluarga kerana isteri tertuduh tidak bekerja, manakala peguam K Komagan, yang mewakili Francis, pula anak guamnya orang kurang upaya fizikal dan menanggung keluarga.

Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 5 April sebagai sebutan kes bagi Ramesh serta 4 April bagi Francis. – BERNAMA

Yusuf Islam tampil di Seri Perdana penceramah jemputan

BHarianonline 
Anwar mendengar perkongsian pengalaman Yusuf Islam @ Cat Stevens di Putrajaya, malam ini. - Foto BERNAMA
Anwar mendengar perkongsian pengalaman Yusuf Islam @ Cat Stevens di Putrajaya, malam ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pemuzik tersohor British Yusuf Islam, yang sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens, hari ini membuat penampilan istimewa sebagai penceramah jemputan pada majlis Syarahan MADANI di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam ucapan alu-aluan beliau berkata, Yusuf seorang daie yang memperjuang keamanan dan menggunakan dakwah sebagai senjata ampuh serta bertukar-tukar pandangan dengan pelbagai pihak bagi menyampaikan mesej sebenar Islam.

"Hari ini kita amat bertuah dengan kehadiran Yusof Islam, bagi saya beliau seorang individu yang hebat serta mengagumkan.

"Beliau memiliki keberanian serta komited melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu gigih. Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, semasa dunia dilanda malapetaka yang tragik, beliau masih menyampaikan mesej yang amat positif dek kerana komitmennya yang begitu utuh terhadap Islam," kata Anwar.
Perdana Menteri berucap pada majlis bersama Yusuf Islam di Kompleks Seri Perdana malam ini. - Foto BERNAMA
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Anwar berkata, tradisi majlis Syarahan MADANI ini akan diteruskan dengan penceramah jemputan bukan sahaja dari dalam tetapi juga luar negara.

"Alhamdulillah, kita mempunyai tradisi ini untuk menimba ilmu dan belajar tentang dakwah di kediaman rasmi Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, dalam ceramah beliau, Yusuf menceritakan perjalanan hidupnya ketika mencari ilmu tentang Islam bagi mendalami ajaran serta prinsip-prinsip agama suci ini.

Turut dikongsi bagaimana Yusuf terpaksa bergelut menepis prejudis dan sikap berat sebelah masyarakat sekeliling yang akhirnya membawa beliau mencari ketenangan serta bimbingan daripada ayat-ayat suci al-Quran.

Di sebalik cabaran yang terpaksa dihadapi dalam masyarakat Islam, beliau menegaskan prinsip-prinsip Islam kekal relevan sepanjang zaman terutama dalam aspek melindungi hak asasi manusia dan menjaga bumi. – BERNAMA

Pemimpin muda warisi budaya politikus dinosaur?

Harapandaily

LIYANA MARZUKI

Ada pujangga menyebut:

“Power attracts the worst, and corrupts the best”

Saya saksikan pemimpin muda ini beraksi di Parlimen. TBH, saya hampa.

Ketika beliau dituduh dengan kes korupsi tahun 2021, beliau kata dianiaya oleh Kerajaan PN.

Beliau didakwa dengan kes yang diada-adakan, kerana enggan memberi sokongan kepada TSMY sebagai PM.

Bila money trail menunjukkan memang betul ada pecah amanah, bila duit parti disalurkan ke akaun ASB beliau sendiri. Macam mana lagi nak lari?

Maka beliau dijatuhkan hukuman. Tujuh tahun penjara dan sebatan.

Namun, beliau beralih sokongan. Kembali bersama mereka yang “aniaya” dia.

Menentang pula kawan-kawan yang bantu beliau dan parti selama ini. Menjerit-jerit kelmarin beliau di Parlimen penuh emosi.

Adakah dengan menyokong sebelah sana, beliau harap mereka akan bebaskan dia?

Kalau begitu, apa bezanya dia dengan Zahid Hamidi? DNAA yang sampai sekarang kita tak boleh terima lagi.

Kita sebagai orang biasa, memang tak boleh faham macam mana politikus ini berfikir dan berstrategi. Apabila prinsip Machiavellian menguasai.

Bila bergema laungan “berprinsip” dan “whiter than white”, apa sebenar maksudnya?
Adakah hanya retorik sahaja?

Persoalannya, bolehkah kita bergantung harap kepada pemimpin muda kita?

Ataupun mereka lebih kurang sama. Mewarisi budaya politikus dinosaur juga?

Warga emas minum arak, penjara dan denda RM10,000

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Toong Chen Qen (baju t kuning) dihukum penjara sehai dan dikenakan denda RM10,000. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Toong Chen Qen (baju t kuning) dihukum penjara sehai dan dikenakan denda RM10,000. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi, selepas mengaku bersalah menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol, tahun lalu.

Majistret Mazana Sinin membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Toong Chen Qen, 63.

Mazana menetapkan hukuman penjara bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, lelaki itu boleh dipenjara tambahan empat bulan selain lesen memandu digantung dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan dilakukan di Jalan Tamby Abdullah, di sini, pada jam 2.30 pagi, 2 September 2023, kira-kira jam 2.30 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.

Terdahulu, Chen Qen yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan kerana tidak bekerja dan menanggung ibu berusia lebih 80 tahun serta isteri dan anak perempuan yang menghidap penyakit mental.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd Jalil bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Shahbudin Husin: ELOKLAH DIADAKAN PRK DI ENAM KAWASAN LOMPAT SOKONGAN ITU…

Shahbudin Husin

Setakat ini tiga daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang melompatkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bersedia untuk mengosongkan kerusi masing-masing jika pindaan perlembaan parti itu pada 2 Mac ini membuatkan mereka tiada pilihan lain.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.

Ini bermakna, ketiga-tiga Ahli Parlimen ini tidak mahu berpatah balik menyokong Bersatu dan PN yang telah memenangkan mereka sebagai Ahli Yang Berhormat pada PRU15 lalu.

“Daripada kami tarik balik sokongan (kepada Anwar) dan kembali menyokong pihak asal (BERSATU) yang tak boleh buat apa-apa, kami rela rakyat yang buat keputusan (melalui pilihan raya).

“Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya ia kenyataan yang perlu diterima,” kata mereka.

Pokoknya, mereka tidak akan berganjak daripada memberi sokongan kepada Anwar yang telah diputuskan sebelum ini.

Berdasarkan maklumat daripada beberapa sumber Bersatu, pindaan perlembagaan Bersatu yang akan dilakukan esok (2 Mac) hampir memberi tiada pilihan untuk enam Ahli Parlimen yang telah mengalihkan sokongan kepada Anwar itu.

Ia antara lain dikatakan menetapkan seseorang Ahli Parlimen yang merupakan ahli Bersatu tidak dibenarkan memberi sokongan kepada pihak lain selagi mereka masih ahli parti, melainkan perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Untuk mengelakkan daripada tergugur sebagai Ahli Parlimen, ia hanya boleh dilakukan dengan mereka kembali bersama Bersatu dan PN.

Dalam hal ini, kenyataan tiga Ahli Parlimen berkenan yang sedia mengosongkan kerusi mereka adalah suatu langkah terpuji.

Diharapkan selepas 2 Mac nanti, mereka tidak berlengah lagi berbuat demikian sebagai mengotakan apa yang telah dijanji itu.

Jangan pula nanti janji dicapati lagi dengan macam-macam alasan dan hujah rekaan.

Sebaiknya tiga lagi rakan mereka – Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnanin Abdul Khalid, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi yang turut mengalihkan sokongan kepada Anwar, sedia juga mengosongkan kerusi mereka.

Jika sudah begitu ketetapan pindaan perlembagaan Bersatu, tambahan lagi mereka pun masih ahli Bersatu sehingga sekarang, terima sajalah keperluan mengosongkan kerusi itu dengan hati yang terbuka.

Daripada segi maruah sebagai pemimpin pun, dengan peralihan sokongan yang dilakukan itu, hanya dengan meletakkan jawatan dan kemudian bertanding semula saja yang dapat membersihkan nama mereka semula.

Kalah menang dalam pilihan raya kecil atau PRK nanti, biarkan rakyat menentu dan mengadilinya.

Di waktu yang sama, daripada segi tafsiran pindaan perlembagaan yang dibuat Bersatu nanti, diharapkan juga Speaker Parlimen, Johari Abdul tidak membuat tafsiran yang lebih memihak kepada kerajaan semata-mata, meski perlantikannya ke jawatan itu diputuskan oleh PH dan Anwar.

Tafsiran mestilah dibuat berdasarkan keadilan dan untuk memelihara maruah Ahli-Ahli Parlimen bersama gelaran Ahli Yang Berhormat yang mereka sandang.

Lagi pula, sebagaimana PH sebelum ini mengecam hebat kumpulan Azmin Ali yang khianat melalui Langkah Sheraton, menyimpan “enam jahanam” ini tidak pun memberi markah tambahan kepada Anwar dan kerajaan perpaduan di mata rakyat.

Apa lagi sokongan yang diberi itu hanya demi mendapatkan peruntukan dan kerana kerana ada kelompongan dalam akta lompat parti.

Maka, lebih baiklah ada pilihan raya kecil dan PH/BN mesti berusaha sebaik mungkin untuk merampas enam kawasan terbabit melalui cara yang sah lagi dihormati.

Jika PH/BN gagal sekali pun menang dalam semua enam pilihan raya kecil itu nanti, setidak-tidaknya semua sokongan yang bersama Anwar adalah asli yang masuk memberi sokongan melalui pintu depan, sekaligus meletakkan kerajaan madani lebih dihormati. – ShahbudinHusin 01/03/2024.

Pasangan suami isteri lapor polis cincin kahwin hilang

KOSMO!
SEORANG wanita menunjukkan cincin kahwin yang ditemui semula di sebuah balai polis di Taiwan baru-baru ini. - Foto Polis Taichung
TAIPEI  – Sepasang suami isteri warga Thailand memuji polis Taiwan kerana membantu mencari sebentuk cincin perkahwinan yang hilang ketika mereka menaiki bas, lapor portal berita VNExpress kelmarin.

Pasangan itu berada di Taiwan untuk berbulan madu. Mereka melaporkan kehilangan cincin tersebut  di Balai Polis Jizhong, Bandar Taichung pada Sabtu minggu lalu.

Menurut akhbar Liberty Times, pasangan tersebut perlu pulang ke Thailand dalam tempoh tiga hari kerana masalah keluarga.

Mereka tidak menemui cincin itu selepas menaiki bas ke Bandar Nantou.

Rakaman kamera pengawasan yang diteliti pihak  polis menunjukkan cincin itu hilang apabila si isteri cuba menyapu krim tangan dan menunggu kereta untuk membawanya ke stesen bas.

Dia meletakkan dua bentuk  cincin termasuk cincin perkahwinannya  di atas beg pakaian dan secara tidak sengaja meninggalkannya.

Bagaimanapun, sepasang suami isteri yang lebih tua menemui cincin itu di lantai dan menyerahkannya kepada polis, demikian menurut Taiwan News. – AGENSI

Miliki daging rusa tanpa lesen sah, peniaga dipenjara, denda RM12,000

Utusan Borneo Online

MIRI: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM12,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memiliki daging rusa secara haram dan berniat menjualnya.
    
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Azreena Aziz setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Junilis Wesley, 48, dari Jalan Acacia, Taman Shang di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar  (OPHL) 1998 (Bab 26) dan dihukum di bawah Seksyen 37 (2) akta sama kerana kesalahan memiliki daging rusa spesies Rusa Unicolor seberat 17.58 kilogram (kg) tanpa lesen sah.
    
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 untuk setiap ekor atau bahagian hidupan liar yang dimiliki.
    
Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 37 (3) OPHL 1998 (Bab 26) dan dihukum di bawah Seksyen 33 (1) serta dibaca bersama Seksyen 33 (3) akta sama kerana berniat menjual atau menawarkan daging tersebut untuk tujuan jualan.
    
Kesalahan ini memperuntukkan denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, pada jam 10 pagi, 15 Februari 2023 , sepasukan pegawai hidupan liar dari Sarawak Forestry Corporatian (SFC) diketuai Helmut Palus telah mengadakan pemeriksaan rutin di kawasan Tamu Pujut Corner di sini.
    
Ketika menghampiri sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan, mereka telah bertemu tertuduh yang kemudian mengaku memiliki 12 peket daging rusa di dalam kenderaannya.,
    
Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati tertuduh ada memiliki daging rusa spesies Rusa Unicolor seberat 17.58 kg tanpa lesen sah dan dipercayai berniat menjual atau menawarkan ia untuk tujuan dijual.
    
Berikutan itu, daging rusa tersebut bersama kenderaan, kunci kereta dan telefon bimbit tertuduh kemudian dirampas untuk dijadikan.
    
Difahamkan, tertuduh pernah dikompaun beberapa kali sebelum ini bagi kesalahan di bawah Seksyen 29 (2) OPHL 1998 pada 2021 dan pernah disiasat di bawah seksyen sama atas kesalahan yang dilakukan pada 24 Oktober 2022 kerana memiliki spesies hidupan liar terlindung di Tamu Pujut Corner.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya dan telah berkahwin serta mempunyai empat orang anak selain menyara ibu bapa yang telah tua.
    
Sementara itu, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman yang lebih berat kerana tertuduh pernah melakukan kesalahan serupa dan pernah dikompaun sebelum ini namun masih mengulangi kesalahan tersebut.
    
Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM2,000 atau sebulan penjara, sementara bagi kesalahan kedua, tertuduh didenda RM10,000 atau empat bulan penjara.
    
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin dan Mohd Muhaimin Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mufti Pulau Pinang tegur bayar elaun imam terawih belasan ribu RM?

Usah jadikan urusan ibadat sebagai barang dagangan – Mufti

NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Tidak salah sekiranya seorang imam solat tarawih menerima elaun pada kadar yang tinggi sebagai ganjaran melaksanakan tugasan memimpin jemaah untuk menunaikan solat sepanjang bulan Ramadan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, namun tidak wajar bagi seorang imam itu meminta dibayar untuk mengimamkan solat serta menentukan sendiri kadar bayaran tersebut.

Menurutnya, imam terbabit seharusnya perlu mempamerkan contoh akhlak yang baik kepada masyarakat seperti ikhlas dan zuhud serta tidak bersikap tamak kepada wang dan harta.

“Di pihak pimpinan dan pengurusan kariah, mereka hendaklah menghargai sumbangan seorang imam dan kesudiannya mengimamkan solat tarawih dan solat fardhu di masjid mereka dengan memberi ganjaran atau upah yang berpatutan.

“Jangan terlalu rendah atau terlalu tinggi. Kita tidak suka urusan ibadat dijadikan sebagai ‘barang dagangan’ yang boleh dinilai dengan wang dan mata benda keduniaan.” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, penilaian seperti itu amatlah bertentangan dengan konsep ikhlas yang menjadi inti kepada ibadat sebagaimana dikehendaki oleh Allah SWT. (Rujuk al-Quran, surah al-Bayyinah: 5).

“Jadi, untuk mengelak persepsi yang salah dalam isu ini, kita ingin mencadangkan supaya majlis agama Islam setiap negeri menetapkan kadar bayaran yang munasabah kepada imam-imam solat tarawih yang perlu dipatuhi oleh jawatankuasa qaryah.

“Semoga dengan itu imej para imam dan asatizah terpelihara daripada pandangan serong masyarakat awam,” ujarnya.

Semalam, akhbar Kosmo! melaporkan sebahagian pihak pengurusan masjid tidak berkira untuk memberi elaun sehinggga mencecah RM18,000 sebulan untuk seorang imam solat tarawih ketika Ramadan tahun ini sebagai salah satu cara untuk menarik kehadiran jemaah dan memeriahkan bulan puasa.

Tinjauan mendapati, imam tarawih di sekitar Kuala Lumpur dibayar antara RM12,000 hingga RM18,000 berdasarkan kepada kelulusan daripada pihak masjid dan kemampuan semasa mereka.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor pula berpandangan, budaya tawar-menawar dalam urusan menunaikan solat tarawih akan mewujudkan ketidakikhlasan pada diri seseorang imam dalam beribadah.

“Ini adalah satu budaya yang tidak sihat dan memberi pandangan negatif bila mana seseorang itu imam itu akan memilih sesuka hati masjid yang mampu menawarkan elaun paling tinggi sepanjang bulan Ramadan.

“Mana pergi sebuah keikhlasan ustaz atau imam solat tawarih? Ibadah perlu ikhlas tanpa mewujudkan sebarang sesi tawar-menawar antara pihak masjid dan imam solat tarawih atau hanya jadikan budaya ini semata-mata mahu popularkan masjid,” katanya kadar elaun maksimum imam solat tarawih di masjid berusia hampir 200 tahun itu ditetapkan kariah sejak turun-temurun. -KOSMO! ONLINE

Pandu sendiri kereta ke balai polis dengan berlumuran darah

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Gombak: Pandu sendiri kenderaan sejauh tiga kilometer ke balai polis selepas diserang lelaki bersenjata di kolam ikan Bandar Country Homes di sini, Isnin lalu.

Tindakan lelaki berusia 47 tahun itu berjaya menyelamatkannya yang kemudian menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.48 petang.

Beliau berkata, mangsa didapati dalam keadaan berlumuran darah ketika datang membuat laporan di Balai Polis Bandar Country Homes.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa berada dalam kereta di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudiannya diserang tiga lelaki tidak dikenali menggunakan senjata tajam sebelum mangsa melarikan diri ke balai polis,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudiannya dibantu anggota polis bertugas.

"Mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa disahkan mengalami kecederaan bahagian tangan, belakang badan serta bahu akibat kejadian,"katanya.

Katanya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Kelantan antara tertinggi catat kes jenayah seksual kanak-kanak

B Nantha Kumar

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kelantan merupakan antara negeri yang merekodkan kes jenayah seksual kanak-kanak yang tinggi, walaupun negeri itu mempunyai kanun jenayah syariah.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mencadangkan negara perlu mengamalkan undang-undang syariah untuk mencegah kes jenayah seksual kanak-kanak.

"(Ahmad Tarmizi)...Dia kata peningkatan salah laku ke atas jenayah seksual kanak-kanak ini berpunca daripada kegagalan undang-undang yang ada sekarang sebab tak dilaksanakan enakmen syariah.

"Kanun jenayah syariah ini buat di Kelantan. Tapi, Kelantan antara negeri kes yang paling tinggi," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Katanya, berdasarkan statistik polis, kes jenayah seksual kanak-kanak semakin meningkat di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, sementara menurun di Pulau Pinang, jika dibandingkan bagi tahun 2022 dan 2023.

Semalam, Ahmad Tarmizi memetik laporan statistik Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain, memberitahu Dewan Rakyat bahawa jenayah seksual kanak-kanak meningkat sebanyak 11.8 atau 202 kes dari tahun lepas sehingga awal tahun ini.

Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman
Katanya, undang-undang sivil di Malaysia tidak dapat mengendalikan kes sedemikian menjadi punca peningkatan jenayah seksual bawah umur.

Dia mencadangkan undang-undang syariah perlu digubal di setiap negeri untuk mengelakkan perkara ini berlaku dan juga berkata Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 juga dikenali sebagai RUU355 perlu dipinda bagi memastikan jenayah seperti itu dapat dicegah.

Bagaimanapun, Saifuddin menolak pandangan tersebut sebagai tidak berasas.

"Dia memetik taklimat yang diberikan kepada saya oleh pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. Jadi, dia ambil sebahagian daripada itu dan berkata bahawa kes kesalahan seksual kanak-kanak kerana tak dilaksanakan enakmen syariah macam di Kelantan.

"Tapi, saya sebut dari segi angka. Sebab angka tak menipu. Di Kelantan 98 peratus adalah Muslim.

"Jadi saya hendak nasihat kepada Ahli Parlimen Sik tak payah nak ambil satu atau dua segmen secara terpisah. Marilah kita ambil tanggungjawab ini secara bersama kerana ini adalah masalah dalam masyarakat kita.

"Penyakit ini tidak terhenti dengan menyebut bahawa tidak melaksanakan kanun jenayah syariah inilah kesannya," katanya.

Saifuddin juga berkata statistik itu menunjukkan bahawa golongan B40 paling ramai terlibat dalam jenayah seksual kanak-kanak.

"Bagi setiap 100 pelaku, 70 peratus adalah kelompok B40. Maksudnya apa? Ia dilakukan oleh golongan status ekonominya rendah.

"Bagi kelompok M40 pula adalah 24 peratus bagi 100 pelaku manakala pecahan mengikut kaum pula menunjukkan 67 peratus pelaku jenayah berkenaan adalah Melayu.

"Sekarang bukan masa untuk menunjukkan kelompongan dan salah itu ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama untuk mengatasi jenayah tersebut," katanya.

Ahli politik Britain menang PRK dengan kempen pro-Palestin

Bernama-Sputnik
GALLOWAY (depan, empat kiri) berucap selepas kemenangannya di Rochdale, berhampiran Manchester. FOTO Reuters
GALLOWAY (depan, empat kiri) berucap selepas kemenangannya di Rochdale, berhampiran Manchester. FOTO Reuters
Moscow: Ahli politik Britain George Galloway meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Rochdale dengan menjadikan sokongan terhadap Semenanjung Gaza sebagai modal kempen pilihan raya, lapor Sputnik.

Menurut media tempatan yang merujuk data Parlimen, pemimpin Parti Pekerja itu mendapat 39.7 peratus undi manakala pencabar utamanya, calon Bebas David Tully memperoleh 21.3 peratus undi.

"(Pemimpin parti Buruh) Keir Starmer, ini untuk Gaza. Anda telah membayar dan akan membayar harga yang tinggi untuk peranan yang telah anda mainkan dalam membolehkan, menggalakkan dan menyembunyikan bencana yang sedang berlaku di Palestin yang diduduki dan di Semenanjung Gaza," kata Galloway dalam ucapan kemenangan beliau pada Jumaat.

Semasa kempen pilihan raya beliau, Galloway memberikan perhatian besar kepada konflik yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza, mengutuk tindakan tentera Israel dan mengkritik cara pemimpin politik Britain mengendalikan konflik berkenaan.

Ini menjadikan bekas Ahli Parlimen Parti Buruh itu popular dalam kalangan pengundi Islam yang membentuk satu pertiga daripada penduduk Rochdale.

PRK itu diadakan untuk menggantikan penyandang, Sir Tony Lloyd dari Parti Buruh yang meninggal dunia pada Januari.

Kereta langgar tembok penghadang, terjunam dari parkir bangunan

Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my
Keadaan kereta yang terbalik di lokasi kejadian. - Foot ihsan bomba
Keadaan kereta yang terbalik di lokasi kejadian. - Foot ihsan bomba
KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera apabila kereta dipandunya dipercayai melanggar tembok penghadang sebelum terjunam dari tingkat satu tempat parkir sebuah premis perniagaan di Jalan P Ramlee, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 tengah hari tadi berhubung kejadian membabitkan kereta jenis Honda Accord itu.

Susulan itu, pasukan operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah van Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Pudu bergegas ke lokasi kejadian.

"Setiba pasukan di lokasi, sebuah kereta didapati berada dalam keadaan terbalik dengan bahagian bumbungnya remuk.

"Terdapat seorang mangsa wanita berusia 28 tahun cedera di kepala dan lutut. Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Siasatan punca kejadian dan tindakan selanjutnya diserahkan kepada polis," menurut pusat gerakan itu.

Kenyataan Presiden Pas sedang dalam siasatan - PDRM

AKMAL MANAF

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, pihaknya masih belum merakam percakapan Abdul Hadi atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan ketika ini.

“Kita (polis) telah buka kertas siasatan membabitkan kenyataan dikeluarkan beliau dan masih menunggu waktu yang sesuai untuk panggil dan ambil keterangan Abdul Hadi.

“Keterangan beliau (Abdul Hadi) masih belum diambil memandangkan keadaan kesihatan beliau yang tidak begitu baik,” katanya dipetik Harian Metro.

Semalam Harian Metro melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Marang itu yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi itu bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Februari lalu di laman sesawang https://pas.org.my/.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita menerusi surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Doktor cabul pekerja direman 3 hari

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my

Jempol: Seorang doktor sebuah klinik swasta di sini ditahan polis selepas mencabul seorang wanita yang juga pekerja di klinik miliknya.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang berkata suspek berusia 36 tahun ditahan selepas polis menerima laporan dibuat mangsa berusia 26 tahun.

Katanya, mangsa membuat laporan pada jam 6 petang kelmarin yang mendakwa dicabul oleh doktor berkenaan.

" Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan pembantu klinik yang sudah bekerja sejak sebulan lalu dan mendakwa dicabul di dalam bilik rehat selepas waktu bekerja.

" Siasatan polis juga mendapati kejadian itu bukan kali pertama berlaku berikutan pada pada 19 dan 24 Februari lalu mangsa pernah dicabul oleh suspek sehingga menyebabkan mangsa mengalami trauma," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata mangsa yang mengadu kepada keluarganya kemudian membuat laporan polis dan keterangan saksi sudah diambil.

Katanya, suspek ditahan pada jam 12 tengah hari semalam di sekitar Jempol dan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan polis sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tembak polis: Warga emas direman 6 hari bantu siasatan

BERNAMA

Sungai Petani: Seorang lelaki warga emas berumur 65 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes tembak seorang anggota polis di Hutan Simpan Ulu Muda dekat Sik, semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pegawai rendah polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut selepas terkena tembakan sewaktu operasi menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram di dalam kawasan kompartmen 124 di hutan simpan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman sebelum ini dilaporkan berkata mangsa memasuki kawasan Hutan Simpan Ulu Muda pada 12 tengah hari, 27 Februari lalu bersama sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, anggota Cawangan Khas IPK Kedah, pasukan Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah dan orang awam.

"Mereka bermalam di kompartmen 103, mangsa dan dua orang awam bergerak ke kompartmen 124 pukul 3 petang Rabu lepas menggunakan kenderaan awam untuk membuat pemerhatian dan menjalankan siasatan.

"Mereka dipercayai tersesat akibat cuaca gelap dan bunyi letupan kedengaran pada 2 pagi semalam … mangsa berjaya dibawa pulang ke kompartmen 103 pukul 5 pagi dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti punca tembakan yang menyebabkan kematian mangsa.

Warga Myanmar tunjuk kemaluan kepada seorang wanita dihadapkan ke mahkamah

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
THAN Htay Aung mengaku tunjuk kemaluan kepada seorang wanita di tandas sebuah pusat beli-belah awal bulan ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
THAN Htay Aung mengaku tunjuk kemaluan kepada seorang wanita di tandas sebuah pusat beli-belah awal bulan ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Lelaki warga Myanmar mengaku bersalah atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di sebuah pusat beli belah awal bulan ini.

Tertuduh, Than Htay Aung,40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh dengan sengaja melanggar kesopanan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun dengan menunjukkan kemaluan kepada mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik air tingkat bawah pusat beli belah di Jalan Lagenda di sini, pada jam 2.45 petang, 4 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Majistret Nabilah Nizam bagaimanapun menangguhkan perbicaraan pada 18 Mac hadapan dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Ini berikutan, mahkamah perlu memastikan bahawa pengakuan bersalah tertuduh adalah tuntas dan dia benar-benar memahami pertuduhan serta akibat pengakuannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.