"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerjasama dengan Bersatu: Pas berpecah dua?

MALAYSIA DATELINE
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan wujudnya dua kumpulan dalam Pas iaitu kumpulan yang menyokong kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan yang tidak menyokong kerjasama itu.

"Tidak ada dua kumpulan. Ini persepsi yang sengaja dibuat oleh para wartawan," katanya ringkas menjawab soalan pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Gombak semalam.

Tuan Ibrahim dan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilihat bercanggah dalam keputusan berkaitan rundingan dan kerjasam dengan Bersatu.

Abdul Hadi bertegas dengan keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu kerana parti serpihan Umno itu mempunyai hubungan dengan Amanah dan DAP.
Namun Tuan Ibrahim kelihatan sedikit lembut apabila berkata rundingan dengan Bersau akan diteruskan.

Sementara itu, mesyuarat semalam masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Tuan Ibrahim berkata, parti Islam itu akan terus mengadakan rundingan dengan Bersatu sampai bila-bila dan tidak terikat dengan mana-mana tempoh masa.

"Secara keseluruhannya Jawatankuasa Perunding (Pas) akan teruskan perundingan dengan Bersatu dan kita juga meneliti beberapa perkara dalam muafakat ini.

"Tak ada tempoh (tamat rundingan) dan tak terikat dengan tempoh," katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menjelaskan, walaupun adanya rundingan dengan Bersatu, namun keputusan muktamad terletak pada Majlis Syura.

Katanya lagi, 'kerjasama' dengan Bersau itu juga akan dipantau bagi memastikan parti itu tidak bersama parti politik yang menyerang Pas.

"Jawatankuasa Perunding ada beberapa prinsip. Yang nak kita tegaskan ialah walaupun tak ada perjanjian keseluruhan tapi kita tak nak mereka (Bersatu) bersama dengan parti yang menyerang Pas.

"Saya fikir ini adalah polisi biasa.

"(Bagaimanapun) Jawatankuasa Perunding tak ada mandat. Kita hanya runding, lepas runding bawa pada Pusat dan seterusnya pada Majlis Syura," katanya lagi.

Kereta rempuh sekumpulan remaja berbasikal, 8 maut

Bernama
JOHOR BAHRU: Lapan remaja lelaki maut manakala 8 lagi cedera termasuk 2 kritikal apabila basikal mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata dalam kejadian 3 pagi itu, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Katanya, pemandu berusia 22 tahun dari arah Taman Pelangi di sini dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan yang berusia antara 13 dan 17 tahun itu.

“Mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

“Pemandu wanita itu juga cedera ringan dan kita juga hantar untuk trauma sebab dia dalam keadaan terkejut,” katanya.

Beliau berkata wanita berkenaan buat masa ini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, daripada jumlah 16 mangsa, 6 mangsa masih bersekolah.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu wanita itu tidak di bawah pengaruh alkohol dan tidak memandu laju.

Sulaiman berkata pihak polis mendapati basikal yang digunakan semua mangsa sudah diubah suai dan tidak mengikuti spesifikasi yang dibenarkan.

“Kesalahan ini di bawah Kanun Lebuhraya Bahagian 3 yang mana penunggang basikal mesti patuh kaedah yang tercatat di bawah para 5 sehingga Artikel 68 dan tindakan saman boleh dikenakan di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia 165/69 kerana mengubahsuai basikal,” katanya.

Sepanjang tahun lepas, beliau berkata daripada 28 operasi, sebanyak 37 basikal yang diubahsuai disita.

Dalam tempoh 2 bulan pertama tahun ini, sebanyak 17 basikal disita menerusi 5 operasi yang dijalankan pihak berkuasa, katanya.

Selain itu katanya, tindakan juga boleh dikenakan terhadap ibu bapa dan penjaga di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak kerana membiarkan anak-anak mereka tanpa pengawasan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar ibu bapa sentiasa memantau pergerakan aktiviti anak masing-masing.

Demi fulus, PAS tak putus dengan PKR di Selangor?

Demi mandat rakyat, PAS tak putus dengan PKR di Selangor
Adam Abu Bakar

GOMBAK: PAS tidak akan keluar daripada pemerintahan kerajaan negeri Selangor kerana ia mandat yang diberikan rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jika pemimpin parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, ia seolah-olah mengkhianati kepercayaan diberikan rakyat.

“Mandat dikeluarkan rakyat dan kita kekalkan mandat itu sehingga tamat tempoh. Kalau kita keluar (putuskan hubungan PAS-PKR) bermakna kita mengkhianati rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Kolej Islam Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, malam tadi.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor yang merupakan salah seorang exco kerajaan negeri, Datuk Iskandar Samad berkata PAS Selangor tidak mungkin membuat keputusan untuk putuskan hubungan dengan PKR.

Iskandar berkata kedudukan PAS di Selangor penting bagi menunjukkan parti itu diterima di peringkat nasional bukannya di Pantai Timur atau pengundi Melayu saja.

Katanya, rakyat Selangor yang berbilang agama dan bangsa menikmati manfaat daripada pentadbiran Pakatan Rakyat.

Tuan Ibrahim menyokong kenyataan Iskandar dan berkata tidak timbul soal pemimpin PAS enggan putuskan hubungan dengan PKR disebabkan PAS mempunyai kuasa dalam kerajaan negeri.

Katanya, ini kerana walaupun Pakatan Rakyat di peringkat pusat sudah musnah, namun pemimpinnya masih menjalankan tugas dan pentadbiran yang sangat baik kepada rakyat.

Dalam ucapannya sebelum itu, Tuan Ibrahim berkata peserta Himpunan 355 (H355) diingatkan supaya tidak mencetuskan atau melakukan sebarang provokasi.

Katanya, jika berlaku provokasi, petugas Unit Amal akan merekodkan kejadian itu dan menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau yang juga pengerusi H355 berkata himpunan itu bukannya demonstrasi, sebaliknya hanya mahu mendapatkan sokongan rakyat bagi merealisasikan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

“Himpunan yang diadakan itu bukan mahu menentang mana-mana pihak, namun hanya sekadar mendapatkan sokongan untuk meluluskan perkara (RUU 355) yang menjadi tanggungjawab seorang Islam untuk memenuhi perintah Allah.

“(RUU 355) ini langsung tidak bermotifkan politik kerana hukum Allah melepasi politik. Kita ambil tindakan mengadakan himpunan sebagai tanggungjawab. Maka, saya harap tiada sebarang provokasi akan berlaku kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Rang undang-undang persendirian akta itu dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 24 November tahun lalu dan dijangka akan dibaca buat kali ketiga dalam persidangan pada Mac ini.

Kenali Siti Aisyah, suspek pembunuh Jong-nam

Misteri seorang suspek yang terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-un, abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara Jong-um makin terserlah setelah media Indonesia cuba mengesan jejaknya di negara seberang.

Siasatan Jawa Pos mendapati pemegang pasport Indonesia itu ternyata benar-benar warganegara republik itu, malah pasport dan maklumat dalamnya juga sahih.

Seorang pegawai kanan imigresen Indonesia Agung Sampurno mengesahkan nombor pasport – yang salinannya diperoleh wartawan Jawa Pos di Malaysia – dan data-data dokumen itu sahih.

Berdasarkan data itu, Siti Aisyah dilahirkan di Serang pada 11 Februari 1992 dan alamat terakhirnya di Jalan Angke Indah Gang I, Tambora, Jakarta Barat.

Berdasarkan rekod imigresen juga, ia pasport kedua Aisyah yang dibuat pada 17 November 2014 selepas pasport pertama tamat tempoh. Data dalam kedua-dua pasport itu dilaporkan konsisten.

“Foto pasport yang pertama dan kedua juga serupa. Namun, ada perubahan penampilan Aisyah,” lapor Jawa Pos.

''Yang kedua kelihatan lebih ayu. Mungkin kerana dandan, '' Agung dipetik sebagai berkata.

Siti Aisyah antara tiga suspek yang didakwa membunuh Jong-nam di lapangan terbang di Sepang. Beliau dilapor ditangkap di sebuah hotel di Ampang, semalam.

11 hari sebelum pembunuhan

Sementara itu, carian imigresen pula mendapati Aisyah secara rasmi meninggalkan Indonesia pada 8.35 pagi, 2 Februari 2017 – 11 hari sebelum tarikh beliau dikatakan membunuh Jong-nam.

Aisyah dikatakan melalui Batam untuk ke Johor tetapi imigresen Indonesia tidak menolak kemungkinan dia menggunakan laluan tikus.

Sementara itu, Jawa Pos juga cuba mengorek maklumat peribadi Aisyah dengan berkunjung ke alamat terakhirnya di rumah tiga tingkat di kawasan yang laluannya amat sempit.

Bagaimanapun, usaha media gagal apabila rumah 12 x 5 meter itu telah berpindah tangan.

Dilaporkan ia dulu dimiliki oleh majikan Aisyah, Liang Kiong, seorang pengusaha konfeksi dan agen rumah, yang kemudian menjadi mertua suspek itu.

Ia dikatakan telah bertukar tangan sejak tiga tahun lalu setelah Liang Kiong berpindah kerana perniagaannya gagal.

Sementara itu, ketua kampung itu Rahmat Yusri pula mendedahkan bahawa, Aisyah yang berasal dari kampung, pada awalnya menjadi pembantu rumah dengan Liang Kiong yang menginap di kejiranan itu selama 19 tahun.

“Memang (Siti) orangnya cantik. Anak Pak Liang Kiong, namanya Gunawan Hasyim, jadi tertarik.

“Mereka akhirnya menikah. Saya tidak ingat bagaimana nikahnya, tapi sekitar pertengahan 2000-an,’’ kata lelaki 48 tahun itu.

Pertama kali ke M'sia pada 2009

Rahmat tidak banyak maklumat berkaitan Aisyah kerana wanita itu hanya keluar rumah jika hendak ke pasar, manakala keluarga Liang Kiong yang berasal dari Pontianak pula jarang bergaul dengan masyarakat.

Rahmat juga mendedahkan Aisyah dan suaminya pertama kali datang ke Malaysia pada 2009 untuk bekerja tetapi mereka kemudian berpisah.

Sementara itu, Jawa Pos juga menemui Hendra Gunawan, seorang lagi menantu Liang Kiong yang pernah tinggal di Tambora – kira-kira 10 minit perjalanan dari rumah lama Liang Kiong.

Lelaki itu ternyata mempunyai kisah lebih sensasi berkaitan wanita itu apabila mendakwa perceraian Siti Aisyah disebabkan kecurangannya dengan lelaki lain ketika di Malaysia.

“Jadi, mereka memang sudah cerai saat anaknya masih satu tahun. Setelah itu (Siti Aisyah) sama sekali tidak pernah ke sini,’’ ungkap lelaki yang mesra dengan panggilan Abe itu.

Rio Hasyim, anak Aisyah dan Gunawan Hasyim, kemudian dijaga oleh datuknya.

Bekas suami Siti Aisyah kini dikatakan bekerja di Bangkok.
-malaysiakini

Suami isteri ditangkap khalwat saman JAWI

Sepasang suami isteri hari ini memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kerajaan Malaysia susulan penangkapan dan penahanan mereka dalam satu operasi khalwat bulan lepas, walaupun mereka telah berkahwin secara sah hampir tiga tahun lalu.

Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, serta ibu Ridhuan menamakan pegawai penguat kuasa Mohd Shiham Ramli, Mohamad Izehar Md Amin, ketua pegawai penguat kuasa agama JAWI, ketua pengarah JAWI, JAWI, Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Saman sivil tersebut telah difailkan oleh tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tujuh pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang penguat kuasa wanita menyerbu hotel tersebut pada jam 1:30 pagi pada 8 Januari lepas.

Dalam permohonan saman mereka, pasangan itu mendakwa penguat kuasa JAWI mengetuk pintu bilik hotel mereka dan apabila Ridhuan membuka pintu, pegawai JAWI menunjukkan kad kuasa mereka.

Tetapi sebelum Ridhuan dapat memastikan kad kuasa itu, mereka merempuh masuk. Mereka masuk sambil Ridhuan memaklumkan kepada mereka bahawa Siti Sarah tidak memakai pakaian sesuai yang menutup aurat.

Ridhuan memaparkan gambar sijil nikah mereka serta gambar perkahwinan yang berada di telefom bimbit beliau kepada pegawai-pegawai JAWI.

Tetapi pegawai lelaki JAWI didakwa menyerbu masuk walaupun Siti Sarah minta diberi peluang memakai pakaian, tetapi mereka terus mengambil gambar dan video.

Lanjutan daripada tindakan itu, berlaku pergelutan antara Ridhuan dan Shiham. Shiham didakwa mencekik Ridhuan sehingga menyebabkan kecederaan di leher.

Walaupun dipamerkan gambar sijil, Shiham dan pegawai lain didakwa enggan keluar dan seterusnya menahan pasangan tersebut.

Mereka mendakwa ketika Ridhuan dibawa ke lobi hotel, Siti Sarah masih berada dalam bilik bersama pegawai penguat kuasa lelaki JAWI. Siti Sarah meminta pegawai JAWI keluar dan ingin menutup pintu bilik hotel tersebut tetapi Shiham menolak pintu tersebut dan mengakibatkan tangan kiri wanita itu lebam.

Siti Sarah yang ketika itu bersinglet dan berseluar pendek didakwa diminta memakai baju dengan kehadiran pegawai lelaki tersebut. Mereka kemudian dibawa ke pejabat JAWI dan dikurung berasingan.

Ibu Ridhuan kemudian datang membawa sijil pernikahan asal pada malam yang sama untuk mendapatkan pelepasan mereka tetapi mereka didakwa enggan terima sijil bertarikh 17 Oktober 2014 itu.

Akibat daripada pihak JAWI enggan terima salinan asal sijil nikah itu, ibu Ridhuan terpaksa menandatangani bon persendirian untuk memastikan kehadiran suami isteri tersebut.

Ridhuan dan Siti Sarah menghantar surat notis tuntutan bertarikh Januari 11 dan 10 Januari, untuk mengarahkan Jawi memberhentikan siasatan ke atas mereka dan tidak mendakwa mereka di mahkamah atas kesalahan khalwat.


Bagaimanapun menurut peguam Yusfarizal Yusoff, bagi pasangan tersebut sampai ke hari ini notis surat itu tidak dibalas. Ini menyebabkan mereka memfailkan tindakan mahkamah ini.

Mereka mendakwa penahanan mereka tidak sah dan berlaku pelanggaran hak asasi mereka.

Ridhuan dan Siti Sarah menuntut ganti rugi am dan teladan serta kos bagi tindakan ini.

Tindakan Hindraf semakin melampau!’

NOOR AZURA SAHRIL, ASYRAF MUHAMMAD & MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) semakin melampau dan melepasi batasan apabila mendesak campur tangan Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan terhadap penceramah terkenal, Dr Zakir Naik.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Hindraf juga telah menuduh Dr Zakir sebagai pengganas dan menggesa kerajaan AS mengambil tindakan terhadap beliau.

“Betapa melampau puak Hindraf ini. Mereka tuduh beliau sebagai pengganas dan gesa tindakan AS ke atas beliau. Bahkan, meminta campur tangan AS ke atas Malaysia dalam kes ini agar  Dr Zakir dibawa ke AS untuk didakwa,” kata Mohd Asri di laman Facebook miliknya, semalam.

 Beliau turut memuat naik surat tersebut yang ditujukan kepada Setiausaha Negara AS, Rex W Tillerson.

Menurut Mohd Asri, tindakan Hindraf itu disifatkan melampau dan meminta kerajaan bertindak tegas terhadap NGO tersebut kerana boleh mencetuskan isu perkauman di negara ini.

“Hindraf pernah membawa dakwaan ke United Kingdom, kononnya Malaysia mengamalkan penghapusan etnik penganut Hindu di Malaysia. Kini ekstremis Hindu ini kembali mengganas dalam sikap mereka.

“Kita bimbang jika sikap ini ada persamaan mereka dengan pendekatan Tamil Tigers, kumpulan pengganas Hindu yang terkenal itu.

“Tahap keterlampauan puak radikal Hindu ini sudah melepasi batasan yang sepatutnya. Kita memohon agar kerajaan bertindak ke atas mereka,” katanya.

Sebelum ini, katanya, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy pernah mempertikaikan Kerajaan Negeri Perlis menjemput Zakir menyampaikan khutbah di Malaysia dengan alasan sedang disiasat pihak berkuasa India.

Malah, Waythamoorthy turut mempersoalkan apakah motif sebenar kerajaan menggalakkan ceramah Dr Zakir di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, Hindraf adalah kelompok radikal agama yang melampaui batas, malah tidak tahu bersyukur atas segala kebaikan yang negara ini berikan kepada mereka.

“Mereka cuba membawa keputusan kerajaan Hindu India ke atas umat Islam di Malaysia. Apakah mereka setuju jika ada pihak yang meminta agar keputusan Iran, ataupun Pakistan ataupun Saudi dilaksanakan ke atas kaum mereka di Malaysia?” katanya.

Beliau berkata, Hindraf bukan sekadar mempersoalkan urusan harian orang Islam, bahkan mempersoalkan hak orang Islam dalam menguruskan solat Jumaat yang merupakan urusan dalaman agama.

“Mereka ini berani pula memberikan amaran kepada pemerintah Muslim dalam hal yang seperti ini. Inilah kumpulan minoriti yang cuba menafikan hak majoriti, yang jika dibiarkan mungkin boleh membawa kepada ketegangan antara agama dalam negara ini,” katanya.

Mohd Asri berkata, Malaysia hanya boleh menerima pendekatan yang harmoni dalam beragama dan menolak sikap radikal serta ekstrem yang membawa kepada keadaan tidak baik untuk negara majmuk.

“Kumpulan radikal seperti ini wajar ditiadakan dari negara yang sepatutnya memilih pendekatan yang sederhana,” katanya

Mahfuz Omar minta Nik Amar jangan halau Orang Asli keluar Kelantan

"Bila dah halau saya keluar Pas, jangan halau Orang Asli keluar Kelantan"
HUSEIN MAHAT

Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menegur sikap naib presiden Pas Datuk Nik Amar Abdullah yang disifatkan beliau sebagai 'gedebe' apabila bertindak menghalau beliau daripada Pas hanya semata-mata kerana menegur tindakan pemimpin yang merugikan parti.

"Tidak saya sangka kenyataan saya berkaitan pendirian Pas tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan parti Amanah dan DAP mendapat perhatian Naib Presiden Pas, YB Datuk Nik Amar dengan kenyataan yang amat memalukan Pas.

"Kenyataan Datuk Nik Amar yang menghalau saya keluar dari Pas amat mengejutkan kerana ia memperlihatkan watak 'gedebe' (bengis) beliau.

"Sewajarnya beliau dengan latar belakang seorang pensyarah universiti serta berpendidikan Islam tidak membawa sifat 'menghalau' hanya kerana ahli Pas seperti saya mengambil tanggung jawab menegur parti dengan pandangan yang berbeza dari pimpinan dan pendirian parti," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, timbalan menteri besar Kelantan itu sepatutnya membawa watak matang, sejahtera, damai dan bukannya menghalau supaya perasaan kekeluargaan sentiasa tersemai dalam Pas.

Beliau mengingatkan pemimpin Pas agar tidak mengulangi peristiwa penyingkiran sekumpulan pemimpin Pas daripada hiraki parti, menghalau mereka supaya meninggalkan Pas dan kemudian menggelarkan 18 individu tersebut sebagai pengkhianat apabila menubuhkan parti baru.

Teguran yang dibuat oleh beliau adalah kerana sayangkan Pas dan negeri Kelantan memandangkan tindak-tanduk pemimpin parti yang merugikan.

"Saya sangat bimbang dengan keengganan Pas bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar (grand coalition) boleh menyebabkan Pas kehilangan Kelantan.

"Begitu juga dengan kedudukan Pas di Selangor setelah Pas membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan kerjasama dengan Amanah dan DAP.

"Kalau Pas boleh kerjasama dengan Semangat 46 yang (pemimpin utamanya) terlibat menjatuhkan kerajaan Pas (di Kelantan) dan Berjasa parti serpihan Pas yang pernah khianati Pas pada 1978 sehingga Pas di Kelantan tinggal 'batu nisan' (dua kerusi), kenapa hari ini Pas tidak boleh bekerjasama dengan Amanah dan parti-parti lain," soal beliau.

Mahfuz menasihati Nik Amar supaya melihat teguran beliau sebagai mewakili suara ahli-ahli biasa parti yang tidak gembira dengan cara politik Pas sekarang.

Menurut beliau, ramai ahli, penyokong dan pengundi Pas tidak senang dengan pendekatan politik Pas yang menjarakkan diri dari arus perdana politik tanah air bagi meranapkan 'kerajaan kleptokrasi' BN pada pilihan raya umum akan datang.

Mahfuz turut mengingatkan pemimpin parti supaya berani mendengar kritikan dan mempersoalkan sama ada budaya menegur sudah mati dalam Pas.

"Adakah ahli yang menegur semua kena keluar Pas kerana menegur parti sendiri secara terbuka? Apakah budaya tegur menegur sudah mati dalam Pas?

"Untuk Datuk Nik Amar dan lain-lain pimpinan, jangan membina persepsi rakyat terhadap Pas andai memerintah negara suatu hari nanti maka Pas tidak boleh ditegur dan dikritik.

"Saya amat gembira jika Datuk Nik Amar dapat urus Kelantan dengan baik dan cemerlang. Uruslah Orang Asli, Pasar Pasir Puteh, banjir lumpur di Temangan, KPK dan lain dengan penuh kesungguhan demi kemakmuran rakyat Kelantan," ujarnya.

Beliau juga berharap Nik Amar tidak menghalau masyarakat Orang Asli keluar daripada Kelantan semata-mata kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan kerajaan negeri.

"Terima kasih Datuk Nik Amar kerana halau saya. Insya Allah saya akan terus bawa suara akar umbi Pas demi cinta serta sayang terhadap Pas," ujar Mahfuz.

Padah muat naik berita palsu wanita dirogol, dibunuh

Miri – Polis menahan seorang mekanik kereta berusia 23 tahun kerana membuat catatan palsu dalam Facebook dengan mendakwa seorang wanita dirogol dan dibunuh di bandar raya ini.

Ketua Polis Miri, ACP Khoo Leng Huat berkata suspek dari Long Atap, Akah Ulu Baram, ditahan di sini pada pukul 11.30 malam tadi berikutan laporan polis dibuat selepas catatan tersebut ditular di media sosial semalam.

“Polis telah menjalankan siasatan dan mendapati catatan itu adalah palsu kerana tidak ada kes rogol dan bunuh berlaku di bandaraya Miri semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, telefon bimbit suspek turut dirampas bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata, suspek dan pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Ody Chica Rito’ telah memuat naik gambar seorang wanita ditemui terbaring dalam keadaan bogel di tengah-tengah jalan di sini, semalam.

Khoo berkata suspek juga telah memuat naik gambar tersebut di laman Facebook Miri Community II dan Miri City Community semalam sehingga menyebabkan imej itu ditular dalam media sosial.

Pemilik akaun Facebook itu mendakwa mangsa telah dirogol dan dibunuh sebelum dicampak berdekatan sebuah restoran makanan segera di bandar raya ini.

Katanya, catatan palsu itu telah menimbulkan kebimbangan dan panik dalam kalangan orang awam di sini.

Menurutnya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat catatan palsu di media sosial. 
-Bernama

Terima kasih 'halau' saya dari PAS, sindir Mahfuz

Ahli Parlimen Pokok Sena dari PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini 'berterima kasih' kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah atas nasihat beliau supaya keluar parti.

"Terima kasih Datuk Nik Amar kerana halau saya. Insya-Allah, saya akan terus bawa suara akar umbi PAS demi cinta serta sayang terhadap PAS.

"Tidak saya sangka kenyataan saya berkaitan pendirian PAS tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP mendapat perhatian Nik Amar dengan kenyataan yang amat memalukan PAS.

"Kenyataan Nik Amar yang menghalau saya keluar dari PAS amat mengejutkan kerana ia memperlihatkan watak 'gedebe' beliau," kata Mahfuz dalam kenyataan.

Semalam, Nik Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan menasihatkan Mahfuz supaya keluar dari PAS daripada terus mengkritik dan menyerang parti itu.

“Seelok-eloknya dia yang keluar, daripada jadi macam sekarang ini, tidak tahu ke mana, duduk dalam PAS tapi serang PAS. Kritik PAS, baik dia isytihar keluar, buat apa duduk lama-lama dalam PAS,” kata Nik Amar yang ditujukan kepada Mahfuz.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mahfuz yang berkata PAS tidak perlu menunggu muktamar parti itu pada bulan April ini untuk menentukan kerjasama dengan PKR kerana PAS sudah mengetahui PKR mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Sehubungan itu, Mahfuz turut mencadangkan PAS menarik diri daripada kerajaan negeri Selangor yang turut dianggotai PKR dan DAP bagi membuktikan ketegasan prinsip parti Islam itu.

Mengulas lanjut, kata Mahfuz, dengan latar belakang pensyarah universiti serta berpendidikan Islam, Nik Amar tidak membawa sifat 'menghalau' hanya kerana ahli PAS mengambil tanggungjawab menegur parti.

"Sepatutnya, beliau membawa watak matang, sejahtera, damai dan bukannya menghalau.

"Tanamkan perasaan kasih sayang, ingat mengingati supaya perasaan kekeluargaan sentiasa tersemai dalam PAS. Saya ingin menasihati Nik Amar tetapi siapalah saya, saya cuma ahli biasa.

"Kepada semua pemimpin tertinggi fahamilah perasaan 'anak-anak' anda, bukan 'sayang semasa berada, dan menyingkirkan ketika tiada'." katanya lagi.

Mengenai prestasi PAS di Kelantan, tambah Mahfuz, beliau sangat bimbang dengan keengganan PAS bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar yang boleh menyebabkan PAS kehilangan Kelantan.

"Harapan saya dan juga rakyat terhadap Datuk Nik Amar adalah jangan dihalau pula Orang Asli keluar dari Kelantan kerana masyarakat Orang Asli juga tidak setuju dengan beberapa tindakan Kerajaan Kelantan akhir-akhir ini," ujarnya lagi.
-malaysiakini

Kenapa Nik Abduh tak tanya soalan ini kat Almarhum TGNA semasa dia masih hidup

Mana bahaya Umno atau DAP, soal Nik Abduh
DALIA ISMAIL
Nik Mohamed Abduh Nik Aziz
Persaingan tiga penjuru dalam politik Malaysia hampir pasti berlaku. Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera (GS) yang diwujudkan oleh Pas dan IKATAN semakin jelas akan beraksi dengan kekuatannya sendiri sebagai pilihan untuk rakyat Malaysia berhadapan BN dan Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda Pas Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, kenyataan terbaru bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir untuk "tidak sujud" di kaki Pas telah menamatkan secara tidak rasmi teka-teki hubungan politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Bersatu telah mengukuhkan pendiriannya untuk menjalin hubungan dengan Pakatan Harapan. Justeru ujarnya, kekuatan Pas untuk bergerak sendiri memimpin blok ketiga adalah nyata kerana DAP, PAN (Parti Amanah Negara), PKR danBersatu dakwanya terus menerus menyerang Pas bahawa Pas adalah rakan Umno.

"Bagi Pakatan Harapan, undi Pas adalah undi Umno. Maka jangan undi Pas. Bagi Umno, undi Umno adalah undi Pas. Maka undilah Umno.

"Tujuan mereka walaupun berbeza tetapi bertemu di satu titik iaitu kemenangan adalah sama ada untuk Umno- BN ataupun untuk Pakatan Harapan. Hilangkan kemenangan untuk Pas.

"Adakah itu sukar buat Pas? Ya, Pas sentiasa sukar perjuangannya.

"Tetapi kemenangan dan kekuatan Pas hari ini adalah hasil kesabarannya menempuh kesukaran demi kesukaran. Pas sentiasa yakin bahawa motivasi perjuangan Islam adalah 'beriring kesukaran adalah kemudahan'," terangnya seperti dicatat dalam facebooknya pagi ini.

Ahli Parlimen Pasri Mas berkata, Umno tidak mampu lagi selain berbuat baik kepada Pas. Rekod buruk Umno terhadap Pas ujarnya, mesti dipadamkan demi survival Umno.

Manakala Pakatan Harapan tidak pula mampu memomokkan rekod buruk Pas dalam Pakatan Rakyat dulu sebagai peluru ampuh buat membedil Pas.

"Mereka walaupun benci tetapi terpaksa akur jasa Pas dalam PR. Jika mereka menidakkan, peluru itu akan melantun balik kepada mereka sendiri.

"Justeru sebaik-baik senjata mereka untuk membunuh Pas adalah menghujahkan perbuatan baik Umno kepada Pas sebagai bukti bahawa Pas dan Umno adalah satu.

"DAP menjaja Pas menyokong Umno. Bersatu menjaja Pas makan dedak Umno. PKR menjaja Pas menyokong kezaliman. PAN hanya ikut kata. Mabuknya belum habis. Setianya dengan DAP memang lejen. Satu dalam sejarah negara," ujarnya.

Sambung Nik Abduh lagi, Pas menolak untuk tunduk kepada tekanan musuhnya.

"Pas akan kekal melaungkan ingatan kepada umat Islam dan rakyat Malaysia bahawa penyelesaian terbaik adalah dengan kembali kepada Islam sebagai cara hidup. Ia suara yang tidak akan padam dengan jaminan Allah. Pas setianya dengan Islam adalah lejen. Satu dalam sejarah politik negara.

"Walau baik mana sekali pun Umno terhadap Pas, Pas akan kekal bersendirian melawan Umno. Umno adalah musuh tradisi Pas dalam politik.

"Jika Umno ikhlas berbuat baik, itu hak dan kewajiban semua untuk berbuat baik. Jika Umno bersandiwara atau hanya berlakon semasa susahnya kini, lambat laun Umno pasti akan terjun ke dalam lubang digalinya sendiri.

"Pas telah siap siaga menolak sebarang sandiwara. Pas telah lama beriman dan mengajar rakyat bahawa dunia ini adalah sandiwara. Yang selamat adalah yang hidup istiqamah dan berwaspada di jalan Allah. Di tikar sejadah ubudiyah mahupun di karpet merah kemewahan.

"Pas mengingatkan rakyat bahawa politik DAP adalah bahaya untuk negara. Rosak negara adalah kerana Umno membangunkan negara dengan tiang-tiang sekular sejak lama.

"Akhirnya ia merapuh dan dimakan anai-anai. DAP datang dengan tiang-tiang baru dengan tahap sekular yang berganda sepuluh. Ia jelas akan menambahkan kehancuran negara dalam kealpaan rakyatnya nanti.

"PAN adalah contoh awal kealpaan yang nyata. Amat malang.Lebih malang adalah rakan lama dalam perjuangan, IKRAM. Semoga Allah memilih yang terbaik daripada kalangan rakan-rakan dalam IKRAM untuk segera menyedari kesilapan dan memadamkannya. Jangan mabuk politik DAP macam PAN. Mabuk laut tak apa.

"Orang bertanya mana bahaya antara Umno dan DAP? Saya berkata, bahaya UMNO bahaya dirasai. Bahaya DAP bahaya menanti. Hapuskan bahaya dirasai. Hilangkan bahaya menanti. Begitulah ubat diciptakan dalam kehidupan menuju kesihatan dan kesejahteraan," ujarnya.

Wanita parah ditembak suami (gambar)


Tatau – Seorang wanita cedera selepas ditembak oleh suaminya menggunakan senapang buatan sendiri dalam kejadian di Bukit Kana, Ulu Sangan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun parah lengan kanan manakala suspek berusia 30 tahun pula cedera di leher selepas mengelar dirinya menggunakan parang.

Kejadian itu disedari selepas penduduk kampung terdengar sesuatu yang pelik apabila mangsa memukul gong untuk meminta bantuan.

Penduduk yang menemui mangsa dan suaminya cedera di rumah itu kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada keluarga pasangan terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian dua anak pasangan itu yang berusia enam dan lapan tahun tiada di rumah kerana tinggal dengan keluarga mangsa.

Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan, Dennis Bunyam, berkata bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian yang terletak di sebuah kebun di kawasan terpencil dan berjaya menahan suspek yang cedera di leher kira-kira jam 4.40 petang semalam.

“Pemeriksaan polis di rumah berkenaan menemui selaras senapang patah buatan sendiri bersama satu kelongsong peluru dan sebutir peluru hidup selain sebilah parang dipercayai digunakan lelaki itu untuk mengelar lehernya.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana mempunyai masalah tekanan perasaan berdasarkan rekod perubatan Hospital Bintulu,” katanya.

Katanya, mangsa dan suspek di hantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil dan masih memerlukan pemantauan pihak hospital.

Beliau berkata, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.
-bharianonline

Nik Amar cabar Mahfuz Omar keluar Pas

MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dicabar agar keluar Pas dan masuk parti lain daripada memburukkan parti sendiri.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mencabar supaya Mahfuz berbuat demikian kerana berpandangan tiada kewajaran Mahfuz bersama parti namun pada masa sama mengkritik dan menghentam parti sendiri.

“Saya cadangkan dia (Mahfuz) keluar sahaja daripada parti, jangan jadi macam sekarang iaitu duduk dalam Pas, namun pada masa sama serang dan kritik Pas secara berterusan tanpa arah tuju.

“Saya nak persoalkan kedudukan Mahfuz, buat apa lagi dia (Mahfuz) duduk lama-lama dalam Pas sekiranya beliau tidak mampu menerima perjuangan yang dibawa oleh Pas.

“Malah, sebarang kenyataan yang dikeluarkan Mahfuz sejak kebelakangan ini tidak diambil kira oleh parti kerana bagi kami tidak relevan langsung. Sekiranya tidak berpuas hati, sila keluar,” kata Mohd Amar.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat exco, di Kota Bahru Kelantan, hari ini seperti dipetik.

Sebelum ini sebuah akhbar tempatan melaporkan, Mahfuz telah meminta Pas membuat pertimbangan untuk menarik diri dari Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui PKR.

Ia berikutan pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah secara jelas memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR.

Hangat!!! Dua wanita bunuh Kim Jong Nam ditemui mati

Beberapa media dan agensi berita melaporkan dua wanita disyaki pembunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un ditemui mati.

Antara yang melaporkan demikian adalah Ketua Biro ABC News, Joohee Cho, di Kuala Lumpur.

Turut melaporkan demikian adalah wakil Channel News Asia, Michiyo Ishida yang memetik laman berita Kyodo News dari Jepun berkata mayat kedua-dua wanita itu telah ditemui.

Rakaman kamera litar tertutup CCTV turut menunjukkan rakaman seorang suspek di lokasi kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) yang tersebar meluas.

Wanita itu berambut panjang sehingga ke bahu dan memakai skirt dengan baju berwarna cerah dengan perkataan 'LOL' di bahagian depan dan sedang membawa satu beg tangan.

Sebelum ini, amalan ejen khas Korea Utara membunuh diri selepas menamatkan misi mereka sudah pernah dilihat beberapa kali.

Contohnya adalah Kim Hyun-hee, pengebom pesawat Korea Selatan pada 1987 yang mengikut arahan rejim Korea Utara.

Selepas melakukan tugasan yang menyebabkan 115 penumpang maut, Hyun-hee cuba membunuh diri tetapi gagal.

Sementara itu, portal Berita Harian Online memetik jurucakap polis Malaysia, Fadzil Ahmat beranggapan Jong Nam mungkin diracun menggunakan sehelai kain.

"Mangsa merasakan seseorang memegang muka beliau dari belakang. Beliau kemudian merasa pening," kata pegawai polis itu.

"Selepas diserang, beliau meminta bantuan di kaunter KLIA. Kami tidak pasti ia kain atau jarum."
-malaysiakini

Akhirnya, PKR mula jauhi PAS

Adam Abu Bakar
PETALING JAYA: PKR yang selama ini masih menaruh harapan terhadap PAS yang bermusuhan dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) kini dilihat semakin menjarakkan diri daripada parti Islam itu.

Beberapa pemimpin kanan PKR memberi bayangan yang parti itu lebih mengutamakan kerjasama dengan DAP dan Amanah, di samping Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjalinkan persefahaman dengan ketiga-tiga parti itu menerusi PH.

“Dari segi perjanjian PKR, kita konsisten untuk bekerjasama dengan Amanah, DAP dan PPBM. Jadi, sama ada PAS ingin bekerjasama atau kaji semula itu terserah kepada mereka (PAS),” kata Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh kepada FMT.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ahad berkata PAS akan menilai semula hubungan dengan PKR pada muktamarnya April ini.

Presiden PAS itu sekali lagi menegaskan tidak bekerjasama dengan DAP dan Amanah yang disifatkannya menentang Islam kerana tidak menyokong rang undang-undang (RUU) meningkatkan kuasa mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat.

Gesaan Hadi itu ketika PAS dan PPBM berbincang di luar kerangka PH, sesuatu yang masih belum menghasilkan sebarang kerjasama yang jelas.

Ia juga dilihat berlawanan dengan mesyuarat PAS-PPBM pada 1 Februari, diwakili Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan sejawatnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Kedua-dua mereka mengumumkan jawatankuasa teknikal bersama bagi mengkaji kerjasama secara rasmi.

Pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu bagaimanapun tidak sehaluan, dengan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali mengulangi kritikan terhadap PAS kerana semakin mesra dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Sejak muktamar 2015 yang menyaksikan kemaraan Hadi dan penyokongnya daripada sayap Dewan Ulama parti itu, PAS semakin berubah dasarnya terhadap parti pembangkang lain, dan mengambil sikap berlembut dengan Umno.

Parti itu juga bertindak memutuskan hubungan dengan DAP, dan memilih bersendirian di bawah apa yang yang dinamakan Gagasan Sejahtera, yang disertai sebuah parti kecil pimpinan bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Situasi itu menyebabkan hasrat pembangkang untuk melawan Barisan Nasional (BN) satu-lawan-satu pada pilihan raya umum akan datang, sesuatu yang tidak akan tercapai.

Syed Ibrahim berkata, PKR bersiap sedia menghadapi persaingan 3 penjuru.

“Kita semua pembangkang kena bersatu lawan satu. Itu akan beri kekuatan yang lebih.

“Kita tahu senario sekarang kita hendak capai yang terbaik 1 lawan 1, kalau tidak boleh masuk pilihan raya umum dalam 1 penjuru kita kena bersedia dengan 3 penjuru,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Ibrahim berkata PKR masih mengekekalkan kerjasama dengan PAS di peringkat kerajaaan negeri Selangor, yang turut disertai DAP.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution lebih tegas dalam soal kerjasamanya dengan DAP dan Amanah, dan memberi jaminan akan tetap bersama PH.

“Saya nyatakan secara jelas, tanpa berselindung. PKR adalah rakan komponen Pakatan Harapan bersama DAP dan Amanah, itu tidak akan berubah.

“Ikatan ini dimeterai dengan satu ikatan yang ditandatangani dan ada strukturnya, kekerapan pertemuan, kerangka bersama,” kata Saifuddin kepada FMT.

Saifuddin berkata, haluan dan pendekatan diambil PAS untuk menewaskan BN berbeza daripada pendekatan PKR dan PH.

“Jika PAS merasakan bersendirian adalah formula kemenangan, itu dianggap lebih baik untuk PAS.

“Kita hormati kefahamannya bahawa (menjadi) tunggal itu kuat,” katanya, dipercayai merujuk kenyataan beberapa pemimpin PAS sebelum ini yang lebih suka parti itu bersendirian daripada akur dengan dasar dan kemahuan parti pembangkang lain

Jangan terlalu promosikan hukuman dalam Islam, kata pensyarah hadis

BORHAN AHMAD
Dr Rozaimi Ramle berpendapat, kesejahteraan yang ditawarkan Islam perlu dipromokan.
Pensyarah Hadis Dr Rozaimi Ramle meminta parti politik tidak terlalu menonjolkan hukuman dalam promosi Islam mereka kerana dibimbangi ia memberikan gambaran salah bahawa Islam ini terlalu mementingkan hukuman.

Bagi beliau, mereka perlu menyatakan Islam itu secara seimbang antara hukuman dan kesejahteraan yang dibawa oleh Islam.

"Ini tidak, belum perintah lagi sudah cerita pasal hukuman," kata beliau dalam kuliahnya di sebuah surau di Kuala Lumpur.

Rozaimi yang memiliki PhD dalam ilmu hadis kini menjadi penceramah yang semakin popular dalam masyarakat. Beliau besikap tegas tidak bersetuju dengan cara sebuah parti Islam yang terlalu mempromokan hukuman dalam kegiatan mereka.

Menurut beliau, ketika Nabi Muhamad swt berada di Mekah, Baginda tidak menceritakan tentang hukuman kerana belum mendapat kuasa.

Begitu juga ketika Baginda mula sampai ke Madinah.

"Di Madinah, Baginda menyebarkan tentang kesejahteraan, keamana, memberikan makanan, solat dan menjaga hubungan dengan Allah," katanya.

Bagi beliau, bukan salah meminta undang-undang Islam dilaksanakan tetapi ia mestilah seimbang dengan promosi Islam bahagian yang lain.

"Bukan salah cerita tentang undang-undang Islam tetapi kena seimbang, hukuman cerita, Islam agama rahmat juga kena cerita supaya masyarakat tak nampak apabila awak perintah, asyik nak hukum orang saja," katanya.

Beliau menceritakan sejarah khalifah Islam pertama, Saidina Abu Bakar Al Siddiq apabila dilantik menjadi khalifah bukan bercakap soal menghukum.

"Abu Bakar bercakap soal keadilan, orang yang lemah di sisi kamu adalah orang yang kuat di sisi ku manakala orang yang kuat di sisi mu, orang lemah di sisi ku," cerita Rozaimi.

Begitu juga khalifah Islam kedua, Saidina Omar Al Khattab yang mati ditikam.

"Beliau bertanya, siapakah yang menikam. Apabila diberitahu orang bukan Islam, dia bersyukur kerana bimbang ada orang Islam yang tidak puashati dengan pemerintahan beliau," cerita Rozaimi.

Namun begitu, beliau tidak mempunyai masalah dengan ijtihad setiap individu Islam termasuk yang mahu mementingkan hukuman.

"Namun janganlah kafirkan orang yang berbeza pandangan dengan kamu," kata beliau dalam kuliah itu yang dipercayai merujuk kepada sikap sesetengah pihak yang suka mengkafirkan pihak yang menolak pendekatan mereka.

Rozaime tidak bersetuju dengan promosi terlalu berlebihan ke atas hukuman sehingga membuat perhimpunan di jalan raya untuk mengajak orang menyokongnya.

"Kadang-kadang saya hairan juga, yang nak pergi ke jalan raya tu buat apa.

"Selepas berhimpun nak buat apa. Tetapi tak apalah, masing-masing ada pandangan tetapi tak perlulah sampai bergaduh-gaduh," katanya.