"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak rasmi: BN menang PRK Semenyih

Malaysiakini

8.25pm - Berdasarkan kiraan Malaysiakini, calon BN menang PRK Semenyih.

Menurut kiraan kami, BN setakat ini mendapat 49.98 peratus undi, diikuti PH dengan 45.97 peratus, PSM (2.22 peratus) dan Kuan Chee Heng (1.82 peratus).

Berbaki satu lagi PDM Bandar Tasik Kesuma yang belum mengesahkan keputusannya, BN dijangka menang PRK ini.

Anggaran peratusan keluar mengundi pula pada kadar 73 peratus. Ia kadar tertinggi dalam enam PRK yang diadakan selepas 9 Mei.

PRK Semenyih: BN mendahului lebih 1,500 undi

Malaysiakini

BN mendahului lebih 1,500 undi

8.20pm - BN sekali lagi mendahului PH dengan lebih 1,500 undi.

Menurut keputusan tidak rasmi, BN kini meraih 18,854 undi manakala PH 17,350 undi.

Calon bebas Kuan Chee Heng mendapat 689 undi dan PSM dengan 838 undi.

Peratusan mengundi 73.3 peratus - SPR

8.15pm - Menurut SPR, kadar peratusan keluar mengundi bagi PRK Semenyih adalah sebanyak 73.3 peratus

BN rampas 5 PDM dari PH

8.10pm - Menurut kiraan tidak rasmi, BN merampas sekurang-kurangnya lima pusat daerah mengundi (PDM) yang dimenangi PH pada PRU ke-14.

PDM tersebut ialah Bukit Mahkota, Kantan Permai, Bandar Rinching Seksyen 5-6, Penjara Kajang dan Beranang.

Kemenangan BN di Bukit Mahkota dan Kantan Permai sangat signifikan kerana PH menang dengan 52.45 peratus dan 54.71 peratus undi di dua PDM itu pada PRU lalu.

Ia menunjukkan ada peralihan sokongan besar di dua PDM majoriti Melayu itu.

7.45pm - PH merapatkan jurang dengan BN namun masih ketinggalan lebih 600 undi.

Menurut keputusan tidak rasmi, BN kini mendahului dengan 17,067 undi manakala PH mendapat 16,457 undi.

Calon bebas Kuan Chee Heng mendapat 628 undi dan PSM dengan 782 undi.

Pengundi India masih sokong PH

7.40pm - Data daripada kiraan tidak rasmi menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu kekal bersama PH, walau menurun sedikit di kebanyakan pusat daerah mengundi (PDM) di mana mereka sebagai majoriti.

Misalnya di PDM Bandar Rinching Seksyen 1-4, yang mana 48.2 peratus adalah pengundi India, undi PH kekal pada kadar 59.5 peratus.N rampas pusat daerah mengundi dari PH

7.30pm - Terdapat 24 pusat daerah mengundi (PDM), termasuk pengundi awal, di DUN Semenyih.

Setakat ini, BN berjaya menang di dua PDM yang dimenangi PH pada PRU lalu, iaitu Penjara Kajang dan Beranang.

Menurut kiraan tidak rasmi, BN berpotensi menang di sebelas PDM manakala PH di empat PDM.

SPR ada maklumat langsung kesalahan kamu, pengerusi SPR Najib

FMT Reporters
PETALING JAYA: Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang membuat laporan polis terhadap Najib Razak berhubung dakwaan kesalahan pilihan raya pada pilihan raya kecil sebelum ini mempunyai maklumat langsung mengenainya, kata Azhar Harun.

Pengerusi SPR memberitahu FMT bahawa pegawai berkenaan membaca Facebook Najib pada hari mengundi PRK Sungai Kandis.

“Najib, selaku seorang wakil rakyat dan bekas perdana menteri, patut tahu membezakan maklumat langsung yang memenuhi keperluan-keperluan pembuktian dan maklumat tidak langsung, yang juga dikenali sebagai khabar angin.”

Beliau menjawab peringatan daripada Najib hari ini bahawa pegawai SPR boleh melaporkan kesalahan pilihan raya kepada pihak berkuasa, ditengah-tengah dakwaan Pakatan Harapan membeli undi pada pilihan raya kecil Semenyih.

Najib merujuk kepada laporan yang dibuat terhadapnya oleh pegawai SPR berhubung catatan Facebook yang dianggap berkempen di hari pengundian.

Azhar menambah laporan yang dilaporkan terhadap Najib itu sebelum pelantikannya sebagai pengerusi SPR.

Beliau berterima kasih kepada kakitangan SPR atas usaha keras mereka menanam kesedaran mengenai kesalahan pilihan raya.

“Kakitangan SPR nampaknya berjaya menanam kesedaran ini sehingga Najib sendiri bercakap mengenai kesalahan pilihan raya dan bahaya kesalahan-kesalahan itu dan impaknya pada demokrasi.”

Azhar mengulangi seruannya kepada Najib supaya membawa usul ke Parlimen supaya SPR diberi kuasa yang Najib harapkan.

“Saya beri jaminan jika SPR diberi kuasa, ia akan menyiasat dan mendakwa semua pelaku, termasuk orang-orang yang berulang kali melakukan kesalahan semasa PRU-13, PRU-14 dan PRK.”

Abdul Hadi menyeru pimpinan, ahli, penyokong Pas bermunajat

MALAYSIADATELINE
Melihat kepada serangan yang ditujukan kepada Pas dari segenap penjuru dan silih berganti, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyeru kepada seluruh pimpinan, ahli dan penyokong Pas untuk bermunajat dan mengadu kepada Allah Yang Maha Kuasa dengan menunaikan solat hajat, berpuasa, membaca Al-Quran dan melakukan amal kebajikan.

“Kepada semua pihak serta bertawassul memohon kepada Allah supaya memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat.

“Kita beriman dan percaya kepada Sabda Nabi Muhammad S.A.W. bahawa doa orang-orang yang dizalimi tidak ada hijab dan dimaqbulkan oleh Allah S.W.T.

“Kita memohon pertolongan kepada Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Tinggi mengatasi segala kerajaan di dunia ini.

“Yakinlah perjuangan Islam itu benar dan ikhlaskan niat kerana Allah,” katanya dalam Facebooknya petang ini.

Kenapa Hadi bersungguh nak selesai saman luar mahkamah?

Malaysiakini
Seorang peguam hari ini berkata PAS bercakap benar apabila menegaskan Abdul Hadi Awang dan parti itu tidak membuat sebarang bayaran kos bagi menyelesaikan saman terhadap Clare Rewcastle Brown baru-baru ini.

Hal itu kerana, kata Syahredzan Johan, bayaran bernilai lebih RM1.4 juta untuk kos guaman bagi editor Sarawak Report berkenaan dijelaskan sebelum penyelesaian tersebut dimuktamadkan.

Katanya jika apa yang didedahkan Clare itu benar, ia bukan sesuatu yang aneh atau luar biasa bagi prosiding mahkamah.

Namun kata setiausaha politik Lim Kit Siang itu ia tetap menimbulkan persoalan, mengapa presiden PAS terbabit bersungguh-sunggu mahu kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah hingga sanggup membayar RM1.4 juta kepada Clare.

"Jumlah itu bukan sedikit," katanya melalui ciapan di Twitter hari ini.

Pagi tadi Sarawak Report mendedahkan bahawa Abdul Hadi memang membuat bayaran lebih RM1.4 juta kepada pihak Clare agar saman yang dikemukakan itu diselesaikan di luar mahkamah.

Pengakuan itu dibuat sehari selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menafikan dakwaan Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa penyelesaian di London itu turut melibatkan bayaran tertentu.

Abdul Hadi menyaman Clare dan Sarawak Report pada April tahun lalu berhubung rencana disiarkan portal terbabit mengenai dana yang didakwa diberikan Umno kepada PAS.

Pada akhir April tahun lalu Malaysiakini melaporkan Abdul Hadi yakin pihaknya mempunyai peluang cerah memenangi saman berkenaan berdasarkan bukti-bukti yang dihantar peguam di Malaysia.

"Kita suruh minta maaf dia tak nak minta maaf, kita dah hantar segala dokumen melalui peguam kita di sini dan peluang kita menang 80 peratus," katanya.

Pada 1 Mei 2018 pula Malaysiakini melaporkan Clare memberitahu saman anggota parlimen Marang itu akan didengar di mahkamah London pada April tahun ini.

Kenyataan itu dibuat ekoran kenyataan peguam Abdul Hadi, Wan Rohimi Wan Daud mengisytiharkan "kemenangan awal" dengan apabila Sarawak Report diarahkan membayar kos sebanyak £28,900 (RM156,017).

Bagaimanapun pada 1 Feb lalu Setiausaha Politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, mengumumkan kes saman tersebut sudah dipersetujui untuk diselesaikan di luar mahkamah.

Kata Syahredzan PAS boleh melihat kenyataan dibuat Clare itu untuk memastikan sama ada ia benar atau tidak, sekali gus memberi ruang baru buat parti terbabit.

"Kalau apa yang Sarawak Report kata tentang bayaran RM1.4j kepada Clare adalah tidak betul, maka adalah terbuka buat pemimpin PAS... untuk menyaman Clare di mahkamah... sekali lagi," katanya.

Mursyidul am, exco PAS pula dipanggil SPRM

Mursyidul Am PAS, Hasim Jasin dan exco pari itu, Nasir Daud hari ini dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan SPRM.

Menurut portal Berita Harian Online, mursyidul am PAS itu akan memberi keterangannya di pejabat SPRM Perlis, manakala Nasir pula di pejabat SPRM Kelantan.

Difahamkan siasatan itu berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta dana berkaitan 1MDB yang diberi oleh Umno.

Semalam, SPRM merampas beberapa kenderaan mewah, sebuah rumah kedai dan wang tunai serta membekukan beberapa akaun bank berhubung siasatan ke atas PAS.

Sumber memberitahu Malaysiakini, kenderaan, akaun bank dan rumah kedai berkenaan dimiliki oleh beberapa pemimpin PAS.

Antara kenderaan yang dirampas itu adalah Toyota Vellfire, Range Rover dan Mini Cooper.

SPRM juga mengarahkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan untuk memberi keterangannya semalam.

Pada 8 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa hadir hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Isu itu timbul semula apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

Clare hari ini mengesahkan dia menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi di luar mahkamah pada bulan lalu.
-malaysiakini

Clare sahkan Hadi bayar RM1.4j


Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown hari ini mengesahkan dia menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi Awang di luar mahkamah pada bulan lalu.

Bagaimanapun Clare menjelaskan ia bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengarahkan presiden PAS itu membayar kos kerana ia sudah dibuat kepada pihak ketiga yang mewakili portal tersebut, iaitu peguam Malaysia, Americk Sidhu

"Sarawak Report bersetuju dengan syarat Abdul Hadi iaitu kedua-dua ppihak merahsiakan bayaran yang terlibat," katanya.

Menurut Clare lagi memang sesuatu yang lazim untuk bayaran bagi penyelesaian luar mahkamah seperti itu dirahsiakan bagi mengelak pihak yang mengeluarkan wang berasa aib.

Langkah itu juga katanya dapat menjimatkan masa dan wang kedua-dua pihak daripada terus terlibat dalam proses perundangan.

"Mahkamah memerintahkan prosiding kes berkenaan ditarik balik dan tiada perintah dikeluarkan untuk kos kerana sumbangan Hadi sudah dibayar dan berada di escrow (pihak ketiga)," kata Clare dalam blognya hari ini.

Turut dipaparkan dalam hantaran terbaru di Sarawak Report itu ialah beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang bernilai RM1.4 juta itu datang daripada Abdul Hadi.

Mahu maklumkan rakyat Malaysia

Beberapa hari lalu Presiden PKR Anwar Ibrahim bertanya kepada PAS sama ada penyelesaian luar mahkamah saman Abdul Hadi ke atas Clare dan Sarawak Report melibatan wang bernilai lebih RM1 juta.

Beberapa jam kemudian Setiausaha Agung PAS yang juga seorang peguam, Takiyuddin Hassan, mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, PAS akan mendedahkan dokumen bukti bahawa tiada bayaran dibuat kepada Clare.

Malam kelmarin pula Anwar - semasa berceramah di Semenyih - menegaskan Abdul Hadi membayar Clare sebanyak RM1.4 juta. Takiyuddin semalam berkata PAS akan mengadakan sidang media khas bagi menjawab tuduhan anggota parlimen Port Dickson tersebut.

Kata Clare, dokumen bukti yang dilihat Anwar itu ialah surat kepada Maybank tersesebut.

Clare menambah penafian dibuat Takiyuddin itu mengelirukan, tidak benar dan melanggar perjanjian kerahsiaan yang dicapai sebelum ini.

"Hadi tidak sepatutnya membincangkan butiran bayaran penyelesaian dengan mana-mana ahli PAS sama sekali.

"Tindakan Takiyuddin mewakili Hadi adalah pelanggaran dan penolakan perjanjian kerahsiaan yang sangat ketara kerana ia tidak benar.

"Justeru Sarawak Report berhak mempertimbangkan untuk keluar daripada kerahsiaan juga supaya kebenaran dapat diberitahu kepada rakyat Malaysia dikelirukan," katanya.

Menurut Clare dia mula-mula dihubungi untuk ditawarkan penyelesaian luar mahkamah sejak akhir tahun lalu melalui orang tengah Abdul Hadi.

Kata Clare asalnya presiden PAS itu mahu membayar wang tunai tetapi ditolak sebaliknya memilih untuk menggunakan cek tarikh tertangguh.

Siasatan 'RM90 juta PAS' - SPRM rampas kereta, beku akaun bank

Hariz Mohd

SPRM hari ini merampas beberapa kenderaan mewah, sebuah rumah kedai dan wang tunai serta membekukan beberapa akaun bank berhubung siasatannya berhubung dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Umno.

Menurut sumber, kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dirakamkan hari ini dan lebih ramai pemimpin PAS dijangka akan disoal esok.

Antara kenderaan yang dirampas itu adalah Toyota Vellfire, Range Rover dan Mini Cooper.

Menurut sumber, rumah kedai berkenaan bernilai RM2 juta manakala terdapat kira-kira RM2.3 juta dalam akaun bank. Jumlah wang tunai yang dirampas pula tidak didedahkan.

Lebai mohon maaf fitnah AG anti Islam

Lelaki mohon maaf, tarik balik tuduhan AG 'anti-Islam’

 
Seorang pengguna Facebook memohan maaf kepada Tommy Thomas kerana membuat hantaran berunsur fitnah di media sosial yang memaparkan peguam negara itu sebagai anti-Islam.

Lelaki, yang menggunakan nama Mohd Shahrizan, itu berkata hantaranya hanya dimuatnaikkan selama enam minit.

Permohonan maaf itu dibuat hanya beberapa jam selepas peguam negara, semalam mengarahkan laporan polis dibuat berhubung pelbagai tuduhan mengaitkannya dengan sikap anti-Islam beredar di media sosial.

Shahrizan semalam berkata beliau mahu memohon maaf kepada Thomas selepas mengetahui bahawa mesej yang dikongsi di akaun media sosialnya adalah tidak benar.

“Saya, adalah pemilik akaun ‘Mohd Shahrizan’ dan melalui satu kenyataan yang dimuat naik oleh saya pada 27 Februari lalu dengan ini memohon maaf secara terbuka dan menyesali kenyataan yang didakwa dibuat oleh peguam negara dan berbunyi sebagaimana berikut, ‘Penghina Nabi dan Islam bukan penjenayah, mereka berhak lontarkan pandangan’.

“Saya telah difahamkan bahawa kenyataan yang telah tular tersebut adalah tidak benar sama sekali dan kenyataan tersebut juga merupakan satu kenyataan berunsur fitnah kepada peguam negara yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik pihak peguam negara sendiri.

“Saya sedar bahawa saya sepatutnya mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan segala maklumat adalah adalah tepat dan benar sebelum memuat naik kenyataan tersebut bagi mengelakkan sebarang fitnah atau sebarang isu berbangkit yang lain,” katanya.

Mohd Shahrizan mendakwa bahawa dia tidak dapat mengawal kemarahannya dan sangat beremosi semasa memuat naik kenyataannya itu susulan hantaran di Facebook oleh seorang warga emas yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan Sayyidatina Aisyah RA.

“Saya berharap agar pihak tuan berlapang dada untuk memaafkan kesalahan saya. Saya juga telah insaf dan berjanji untuk tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi.

“Saya juga telah memadam kenyataan tersebut setelah enam minit ia dimuat naik dengan segera setelah menyedari kesahihannya. Saya memohon supaya tiada sebarang tindakan lanjut akan dikenakan ke atas saya selepas permohonan maaf ini dikeluarkan,” katanya.

Malaysiakini difahamkan oleh sumber di Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa laporan polis Thomas tidak berkaitan dengan hantaran Shahrizan.

Dilaporkan bahawa pegawai khas Thomas membuat laporan polis di ibu pejabat polis Putrajaya kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Laporan itu dibuat berikutan tuduhan dari pemimpin Umno dan PAS bahawa AGC tidak tegas dengan mereka yang dituduh menghina Islam.

Anwar dakwa PAS bayar RM1.4 juta, tunjuk bukti kalau dicabar

Omar Zin
SEMENYIH: Anwar Ibrahim malam tadi mendakwa PAS membayar RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kalau nak saman boleh saman dekat mahkamah tapi saya ada bukti,” kata presiden PKR dalam satu ceramah di Semenyih malam tadi.

“Kalau PAS cabar, saya boleh tunjuk kenyataan bank. Bank mana? Nanti dahulu,” tambahnya, disambut sorakan dan ketawa daripada hadirin.

Anwar sengaja mencabar PAS semalam untuk pastikan sama ada mereka benar-benar membayar wang kepada Rewcastle-Brown.

“Tapi PAS nafikan. Kalau tak ada fakta saya tak lawan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar di satu program di Pulau Pinang mencabar PAS menyatakan jika ia membayar wang lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown untuk menyelesaikan kes saman Hadi.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Hadi kemudiannya menarik balik saman itu awal bulan ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PAS dan Hadi tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada editor Sarawak Report itu untuk penyelesaian di luar mahkamah.

“PAS menganggap kenyataan presiden PKR tersebut langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat dari isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti Pakatan Harapan terhadap pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

Anwar: Ada maklumat PAS bayar editor Sarawak Report, akan dedah malam ini

Mohamad Fadli
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa dia mempunyai maklumat PAS ada membayar editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia akan didedahkan malam ini dalam ceramahnya di pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

“Saya ada maklumat yang cukup, untuk buktikan bahawa PAS ada bayar kepada Rewcastle-Brown. Saya akan jelaskan secara terperinci malam ini nanti di Semenyih.” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2018.

Sebelum ini, Anwar di satu program di Pulau Pinang mencabar PAS menyatakan jika ia membayar wang lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown untuk menyelesaikan kes saman Hadi.

Menyahut cabaran itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata ada 3 perkara penting dalam perintah persetujuan yang direkodkan di mahkamah iaitu Hadi tidak meneruskan tuntutannya, Rewcastle-Brown tidak meneruskan tuntutan balasnya dan tiada perintah mengenai kos.

Oleh itu, Hadi tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada Rewcastle-Brown untuk penyelesaian kes di luar mahkamah, katanya dalam kenyataan.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Hadi kemudiannya menarik balik saman itu awal bulan ini.

Anwar memberitahu pemberita hari ini bahawa dia mempunyai keraguan sekitar penyelesaian kes saman Hadi itu, mengingatkan pemberita bahawa Sarawak Report tidak menurunkan laporan yang menjadi pertikaian itu.

“Clare tetap kekal tidak tarik balik,” katanya.

“Anehnya biasa kes saman sivil kita selesai dengan tarik balik atau minta maaf, kalau tak minta maaf pun dia padamkanlah.”

Presiden PKR ini berkata dia mendapat “maklumat tambahan” berkaitan penyelesaian kes saman Hadi semalam.

Adakah PAS bayar RM1 juta kepada editor Sarawak Report, soal Anwar

Predeep Nambiar
GEORGE TOWN: Presiden PKR, Anwar Ibrahim mempersoalkan PAS jika parti Islam itu membayar RM1 juta kepada Claire Rewcastle-Brown untuk penyelesaian di luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, banyak “kekeliruan” timbul selepas PAS mengumumkan ia memenangi kes itu, sebelum Hadi menarik balik saman terhadap editor Sarawak Report itu.

“Saya nak kepastian, adakah bayaran dari PAS diberi kepada Claire Rewcastle-Brown? Saya tak mahu panjang, saya selama ini tak pernah ulas.

“…ini kali pertama kerana saya lihat percanggahan kenyataaan, termasuklah boleh bohong…saya sukar terima sebagai Muslim.”

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Pada 1 Mei 2018, peguam mewakili PAS, Wan Rohimi Wan Daud dilaporkan berkata, Hadi memenangi semua 5 permohonan interlokutori dalam kes saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown.

Hadi kemudiannya menarik balik saman itu awal bulan ini.

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan hasil siasatan tidak menemui sebarang kemasukan dana 1MDB sebanyak RM90 juta ke akaun PAS.

Hari ini, Anwar meminta SPRM memberi penjelasan berhubung kes itu bagi mengelakkan rakyat keliru.

Malaysia bakal perkenal prototaip kereta terbang

Bernama
KUALA LUMPUR: Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

“Tahun ini adalah sasaran yang realistik kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Pertumbuhan Malaysia, hari ini.

Beliau berkata kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.

“Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta,” katanya.

Redzuan berkata projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.

“Kami menyediakan pemangkin dan ekoistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini,” katanya.

Beliau berkata projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.

“Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional, dan kita perlu menggunakan kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ke-3 yang diilhamkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai Pertumbuhan Malaysia, beliau berkata inisiatif itu diterajui operator platform dalam talian ke luar talian Fave untuk membantu peruncit luar talian di Malaysia memasuki dunia digital dari segi perkhidmatan pembayaran, pemasaran, data dan kewangan.

“Ini selaras dengan misi kementerian untuk memperluas dan menyelaraskan kegiatan keusahawanan kepada lebih bersasar,” katanya.

Pengasas Fave Joel Neoh berkata inisiatif itu berobjektif membantu 100,000 restoran di seluruh Malaysia untuk memanfaatkan digital menjelang 2020.

“Ketika dunia pesat beralih kepada digital, perniagaan luar talian terutamanya mereka dalam bidang minuman dan makanan serta runcit perlu memanfaatkannya dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam tingkah laku pengguna atau berisiko ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga dilaksanakan secara usaha sama dengan Grab Malaysia, Maybank, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Persatuan Pembiayaan dan Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman.

Husam cabar Pas datang berkempen menangkan calon PH jika benar sokong Dr M

ARIF ATAN
Pendirian Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa partinya teguh menyokong Tun Dr Mahathir tidak bermakna tanpa sokongan Pas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berkata, sokongan Pas kepada kepimpinan Perdana Menteri adalah dialu-alukan tetapi perlu dibuktikan dengan menyokong calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

“Kalau ada undi tidak percaya di Parlimen, Pas kata semua Ahli Parlimen mereka sokong Tun Mahathir. Menteri Besar Kelantan juga buat kenyataan media bahawa kerajaan negeri yakin dengan kepimpinan Tun Mahathir.

“Sedangkan sebelum ini, ada pemimpin Pas menghina Tun Mahathir seperti tangannya masih berdarah dengan mangsa Memali, jahil agama, sudah tua.

“Pas sangat lunak dengan BN tetapi sangat agresif dengan Tun Mahathir. Sekarang, Pas kata Tun Mahathir bagus dan dipercayai.

“Kalau Pas kata sokong Tun Mahathir, saya mahu cabar Presiden dan Setiausaha Agung Pas juga Timbalan Presiden Pas dan pemimpin Pas, mereka mesti datang berkempen menyokong calon Pakatan Harapan,” tegasnya dalam ceramah di Dataran Putra Walk, Bandar Seri Putra kelmarin.

Walau bagaimanapun, kata Husam, pemimpin Pas bersifat “main talam dua muka” jika tidak berkempen menyokong PH dalam pertandingan empat penjuru, 2 Mac ini.

“Sekarang saya ulangi, kalau penyokong Pas betul-betul ikhlas menyokong kepimpinan Tun Mahathir, pemimpin Pas mesti datang berkempen untuk menyokong calon PH bagi PRK Dun Semenyih.

“Kalau pemimpin Pas tidak datang bermakna ia hanya “berbohong syarie”. Pas berbohong sudah jadi sunnah. Sunnah Pas ialah berbohong.

“Kalau betul dia (Pas) menyokong kepimpinan Tun Mahathir, bagaimana dia boleh melawan calon Tun Mahathir?” bidas bekas Naib Presiden Pas itu lagi.

Ramai doa Dr M sihat, jika tak huru-hara negara

M Fakhrull Halim

PRK SEMENYIH | Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pernah menjadi seteru paling sengit buat Dr Mahathir Mohamad ketika dalam Umno dahulu.

Bagaimanapun kini, Tengku Razaleigh yang dikenali dengan gelaran Ku Li menzahirkan harapan agar perdana menteri diberikan kesihatan yang baik bagi mentadbir negara.

“Ini bukan saya nak sindir. Orang berdoa supaya dia (Dr Mahathir) sihat sekarang.

“Kerana kalau berlaku apa-apa kepada Dr Mahathir di saat ini, huru-hara negara ini,” katanya.

Razaleigh berkata demikian ketika berucap dalam Sembang Santai di Pangsapuri Seri Dahlia, pusat daerah mengundi (PDM) Bukit Mahkota 2 malam tadi.

Majlis sembang santai yang merupakan sebahagian kempen BN pada PRK Semenyih itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad.

DAP kuasai kepentingan negara

Razaleigh juga berkata sekiranya Dr Mahathir terpaksa berundur daripada mentadbir negara dalam keadaan ketidaktentuan yang berlaku dalam PH, maka negara mungkin bakal berhadapan masalah besar.

“Dengan keadaan yang berlaku dalam PKR, yang dihadapi oleh PH, (dengan) DAP menguasai semua kementerian yang ‘bisa-bisa’ (penting), bayangkan apa yang akan berlaku?

“Dan kemungkinan, dengan apa yang dikuasai oleh (DAP terhadap) kepentingan-kepentingan ini, kita akan menghadapi masalah yang besar,” tambahnya lagi.

Kenyataan Razaleigh itu dipercayai merujuk dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP kini menguasai kerajaan dengan mengetuai kementerian penting seperti menteri kewangan serta menteri komunikasi dan multimedia.

Terdahulu dalam ucapannya, Razaleigh mengimbau kenangan kalah dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1987 ketika bertanding merebut jawatan presiden dari Dr Mahathir.

“Saya diminta menawar diri untuk melawan dia. Tak tumbang dia, kita lawan tak tumbang dia.

“Katanya peti undi hilang, lampu gelap, macam-macam berlaku. [...] Walaupun menang tipis dengan 43 undi, menang lagi dia.

“Sekarang dia balik jadi perdana menteri pula. Syukur Alhamdulillah, dapat dia buat kali kedua,” katanya sinis disambut tawa handirin.

Untuk rekod, pertandingan antara Razaleigh dam Mahathir berlaku pada Perhimpunan Agung Umno, 24 April 1987.

Pemilihan kontroversi tesebut menyaksikan Umno berpecah kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Dr Mahathir dan kumpulan Razaleigh. Selanjutnya, kes ini dibawa ke mahkamah dan Umno diharamkan.

Razaleigh kemudian menubuhkan parti Semangat 46 pada 1988 dan membentuk kerjasama pembangkang dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah yang sempat bertanding dua pilihan raya umum, 1990 dan 1995.

Selepas PRU9 pada 1996, parti Semangat 46 dibubarkan dan Razaleigh kembali ke pangkuan Umno.

Tunggulah siasatan penuh SPRM, kata Sarawak Report kepada Pas

MALAYSIA DATELINE
Sarawak Report berkata, semasa pembelaan dalam saman oleh Hadi kepadanya, mereka memberikan bukti bahawa Umno telah memberikan wang kepada Pas untuk membayar deposit untuk calon-calon pilihanrayanya.

Sarawak Report meminta Pas agar menunggu hasil siasatan penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum membuat kenyataan bahawa dakwaan Pas menerima duit Umno tidak berasas.

Dalam jawapannya kepada kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan bahawa kenyataan SPRM bahawa tiada bukti yang menunjukkan RM90 juta wang ke akaun Umno, Sarawak Report berkata;

“Mari kita tunggu laporan penuh dari siasatan SPRM dan tidak memberikan komen berdasarkan apa yang tidak didakwa,” kata Sarawak Report.

Semalam Takiyudin berkata, kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa tiada bukti dakwaan kemasukan RM90 juta ke dalam akaun Pas menunjukkan bahawa semua dakwaan dalam isu itu adalah palsu.

Takiyudin berkata pengesahan dibuat pemimpin tertinggi SPRM itu membuktikan segala tohmahan dan dakwaan yang dibuat kepada parti terbabit adalah pembohongan dan fitnah.

Kata Takiyuddin lagi ia juga menunjukkan perancangan jahat ke atas Pas bertujuan untuk memburukkan imej dan integriti parti tersebut terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Justeru itu, Pas menyeru semua pihak agar dapat menerima pengesahan daripada SPRM ini sebagai suatu fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus, profesional dan tanpa gentar atau berat sebelah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu ketika bertemu dengan pemberita di Terengganu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri berkata hasil siasatan SPRM setakat ini tidak menemui sebarang bukti ada kemasukan dana RM90 juta ke dalam akaun Pas sebagaimana yang didakwa sebelum ini.

Sarawak Report dalam kenyataaannya hari ini meminta Takiyudin membuktikan bila laman itu mendakwa “wang dari Umno kepada Pas adalah wang dari 1MDB.”

Dalam kenyataannya, Sarawak Report berkata, semasa pembelaan dalam saman oleh Hadi kepadanya, mereka memberikan bukti bahawa Umno telah memberikan wang kepada Pas untuk membayar deposit untuk calon-calon pilihanrayanya.

“Sarawak Report ada bukti kemasukan wang dari Umno ke akaun Pas menjelang PRU 14 bertujuan untuk itu (membayar deposit calon) sebagai sebahagian dari pembelaan dari tuntutan saman Hadi,” kata Sarawak Report.

Hadi telah menarik balik saman itu dengan cara penyelesaian di luar mahkamah.

Adib beritahu dia dipukul, kata pakar IJN

Faiz Zainudin
SHAH ALAM: Anggota bomba yang maut, Muhammad Adib Mohd Kassim sempat memberitahu seorang kakitangan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur bahawa beliau dipukul.

Saksi ke-14, yang juga Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib memaklumkan perkara itu berdasarkan maklumat yang diberikan kakitangan IJN yang dikenali sebagai Asyraf, antara individu dalam pasukan khas yang memantau secara rapi perkembangan rawatan Adib.

Ezani berkata, Asyraf ada memberitahunya mengenai perkara itu beberapa hari selepas Adib meninggal dunia.

“Asyraf ada tanya sama ada dia (Adib) ingat apa terjadi dan dia angguk kepala,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ke-9 inkues kematian Adib di Mahkamah Koroner, Shah Alam.

Ezani berkata, beliau kemudian menasihati Asyraf berhubung dengan bahagian guaman IJN untuk langkah seterusnya.

Beliau juga berkata, sepanjang merawat Adib, beliau pernah bertanyakan anggota bomba itu sama ada dia ingat apa yang berlaku kepadanya.

“Bagaimanapun, pesakit (Adib) hanya menggelengkan kepala,” katanya sambil menambah soalan sama pernah ditanya pegawai penyiasat.

Ezani memberitahu, Adib dipindahkan dengan berhati-hati dari Ramsay Sime Darby Subang Jaya Medical Center ke IJN pada sebelum tengah malam 27 November 2018.

Katanya, sebaik tiba di IJN, mangsa segera dikejarkan untuk menerima rawatan dengan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), mesin khas bagi menyokong paru-paru dan jantung mangsa.

“Keadaan dia ketika dibawa turun dari ambulans adalah sangat kritikal. Kami semua ingat dia akan mengalami serangan jantung. Jadi, pesakit dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Sebelum ini, pakar bedah kardiotoraks yang merawat Adib memberitahu Mahkamah Koroner, kecederaan parah dialami anggota bomba itu mungkin bukan berpunca daripada serangan.

Dr Anand Sachithanandan yang berkhidmat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) berkata, kecederaan pada dada kanan hingga bahu Adib akibat trauma tumpul pada dada yang mungkin berpunca daripada rempuhan, jatuh dari tempat tinggi, libasan atau serangan.

Ezani berkata pada hari ke-6 rawatan, beliau telah berkomunikasi dengan Adib.

“Adib tidak dapat bercakap kerana mempunyai tiup dalam mulutnya dan hanya berkomunikasi dengan bahasa isyarat dan menulis.”

Katanya, pada waktu itu, keadaan Adib bertambah baik.

“Dia memberi maklumbalas ketika kami memanggil namanya dan boleh mengerakkan anggota badan.

“Dia menulis di papan putih dan mahu telefon bimbitnya,” katanya.

Ezani berkata, keadaan kesihatan Adib kembali merosot pada 14 Disember apabila gagal mengekalkan tahap oksigen dalam badan.

“Pada 15 Disember, keadaannya semakin merosot dan kami perlu mengerakkan mesin ECMO untuk menstabilkan tahap oksigen dan tekanan darah. Sehari selepas itu keadaanya bertambah buruk,” katanya.

Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Jho Low guna 'projek Makkah' beri MO1 AS$10j

Malaysiakini

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa Ahli Perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dalam buruan menggunakan projek hartanah di Makkah dan Madinah untuk memindahkan AS$10 juta kepada 'Malaysia Official 1' melalui orang tengah.

'MO1' merupakan nama yang digunakan DOJ bagi merujuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Pemindahan dana itu didakwa merupakan sebahagian daripad AS$20 juta yang dikatakan diberi kepada MO1 di bawah fasa Good Star.

Perincian ini pertama kali dikemukakan oleh DOJ pada 2007. Malaysiakini menyemak semula dokumen berkenaan susulan saman sivil terbaru yang difailkan DOJ berhubung 1MDB pada Jumaat lalu.

Menurut DOJ, Good Star yang merupakan syarikat di bawah kawalan Jho Low, menerima AS$700 juta pada 2009, dan AS$330 juta yang diambil dari 1MDB pada 2011.

Sejumlah AS24.5 juga dari Good Star ketika itu dipindahkan ke dalam akaun Riyadh Bank di bawah nama individu yang digelar 'Saudi Associate 1' dan 'Saudi Associate 2'.

Dana AS$20 juta yang diberikan kepada M01 itu dikatakan dibahagi kepada dua pemindahan AS$10 juta yang dipindahkan beberapa hari selepas pemindahan kepada akaun di Riyadh Bank pada Feb dan Jun 2011.

"Sebagai respons kepada pertanyaan RBS Coutts, Jho Low menyatakan bahawa tujuan pemindahan dana pada Jun 2011 itu sebagai untuk pelaburan hartanah dan pembangunan di Makkah dan Madinah yang merupakan perjanjian pengurusan pelaburan dengan Saudi Associate 1," kata DOJ.

Akaun yang digunakan oleh MO1 untuk menerima dana AS$20 juta itu merupakan akaun sama yang digunakan untuk menerima AS$681 juta yang didakwa diambil dari 1MDB pada 2013.

Najib sebelum ini menegaskan bahawa AS4681 juta yang juga bersamaan dengan RM2.6 bilion merupakan 'derma' dari keluarga diraja Arab Saudi.

Pada Sept tahun lalu, Najib mendedahkan surat yang menurutnya merupakan bukti derma berkenaan.

Bagaimanapun, menurut DOJ, AS$681 juta itu dipindahkan daripada Tanore Finance Corporation menggunakan syarikat palsu.

Tanore merupakan syarikan yang mana akaun dengan Falcon Bank dikawal oleh rakan Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

DOJ berkata, emel yang dihantar dari akaun Tan kepada Falcon Bank mendakwa akaun bank MO1 merupakan milik bekas syarikat subsidiari 1MDB, SRC International.

Tinjauan: Sokongan pada PH di Semenyih jatuh bawah 50%

Kow Gah Chie

Sokongan terhadap Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semakin merosot, menurut tinjauan sebuah badan kaji selidik kerajaan Selangor.

Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati gabungan parti kerajaan itu hanya akan mendapat 46 peratus sokongan dalam pilihan raya kecil akan datang.

Ini susulan penurunan lima peratus sokongan berbanding undi 50.76 peratus yang diperoleh calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan lalu Bakhtiar Mohd Nor.

Daripada 1,142 responden, sebanyak 37 peratus pengundi menyatakan sokongan pada Umno.

Dua belas peratus lagi menyokong calon lain dan baki lima peratus mengaku mahu mengundi bebas.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Pengerusi IDE Mohammad Redzuan Othman berkata dapatan itu menunjukkan tiada pemenang yang jelas setakat ini.

Penentuan kali ini bergantung kepada pengundi yang mahu menyokong calon selain PH dan bebas.

Tinjauan itu dijalankan antara 31 Januari hingga 1 Februari lalu.

Pilihan raya 2 Mac ini diadakan susulan kematian Bakthiar.

Allahyarham sebelum ini mengalahkan calon BN, PAS dan PSM dalam pertarungan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi. Beliau mendapat 23, 428 undi.

PAS dan Umno terus bekerjasama dalam pilihan raya kecil kali ini.

Sementara itu Bernama melaporkan PH perlu melipatgandakan usaha untuk mengekalkan kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lepas.

Selain itu, Mohammad Redzuan berkata, kajian juga menunjukkan kadar sokongan BN di DUN Semenyih adalah sebanyak 37 peratus, berbeza hanya sembilan peratus dengan pakatan berkenaan.

“Kadar sokongan itu adalah hasil kajian situasi semasa dan apa yang kita lihat, jika PH khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di kawasan itu mahu menang kerusi berkenaan, mereka harus memperoleh sekurang-kurangnya 51 peratus undi.

“Berdasarkan kepada survei IDE, penentuan PRK DUN berkenaan kali ini terletak kepada persaingan calon parti untuk meraih sokongan pengundi atas pagar sebanyak 17 peratus tersebut,” katanya.

Tambah beliau, daripada kajian itu juga, trend pengundian menunjukkan 50 peratus pengundi telah menetapkan keputusan mereka untuk mengundi calon daripada parti tertentu namun 28 peratus lagi hanya akan membuat pilihan menjelang hari mengundi.

Disebabkan itu kata Mohammad Redzuan, tempoh 48 jam terakhir sebelum hari mengundi sebenarnya boleh menentukan pola pengundian dan ia juga mampu menggambarkan calon daripada parti mana yang akan memenangi kerusi dipertandingkan.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun sokongan pengundi terhadap kerajaan PH masih tinggi, namun isu seperti kos sara hidup dan kenaikan harga barang dilihat sedikit sebanyak mempengaruhi tahap sokongan tersebut

Namun, beliau berkata kajian IDE masih menunjukkan rakyat tetap menaruh kepercayaan kepada kerajaan PH.

“Respons masyarakat juga masih positif terhadap pentadbiran kerajaan Selangor serta program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan untuk membantu rakyat negeri itu sejak tahun 2008,” katanya.

Jelas beliau, hasil kajian itu juga menunjukkan kadar sokongan kaum Melayu kepada PH dan BN di DUN Semenyih adalah seimbang manakala sokongan kaum Cina serta India kepada PH adalah masing-masing 70 peratus dan 80 peratus.

Menjawab satu pertanyaan, Mohammad Redzuan berkata Bersatu adalah sebuah parti baharu, justeru komponen PH yang lain harus bergerak secara kolektif bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada pakatan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih, Sabtu ini hari penamaan calon manakala tarikh mengundi awal pada 26 Feb.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Bakhtiar Mohd Nor di Hospital Kajang pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar dari Bersatu memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464); calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

“Kasi lima tahun, tengok tidak baik, baru kita buang”

ARIF ATAN
“Singgah minum dulu. Ada air kelapa pandan. Singgah minum,” laung seorang wanita Cina berusia emas di kaki Bukit Broga pagi semalam.

Setiap kali pengunjung turun mendaki dari bukit berketinggian 400 meter dari paras laut tersebut lalu di hadapan gerainya, beliau dengan sebutan cara Melayu itu dilihat begitu mesra menyapa.

Namun, pemerhatian Malaysia Dateline sambil menikmati kesegaran air kelapa muda itu mendapati tidak ramai orang yang singgah.

Rata-rata mereka terutama orang Melayu yang turun dari Bukit Broga itu sekadar memerhati. Ada juga yang melemparkan senyuman bahkan terdengar seorang lelaki mengingatkan rakannya jangan singgah kerana penjualnya adalah Cina.

Ditanya tentang jualan kelapanya yang berharga RM5 sebiji itu, beliau mengakui kemuraman ekonomi semasa menyebabkan ramai yang berkira-kira untuk berbelanja.

“Tidak tentulah (jualan). Cuaca panas pun kalau dulu boleh laku 100 biji (kelapa pandan).

“Sekarang tidak, sebab ekonomi jatuh punya pasal. Orang mahu isi perut pun susah,” katanya lagi sebelum melayan pembeli.

Serentak itu, suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Richard, 63, menyampuk memberitahu perubahan ekonomi yang lebih baik sukar dicapai dalam tempoh singkat.

“Ekonomi jatuh bukan sini (Malaysia) saja. Satu dunia ekonomi turun. Itu (dakwaan kemerosotan ekonomi) hanya tipu helah pembangkang. Bukan betul pun.

“Terlalu awal untuk kata kerajaan PH (Pakatan Harapan) tidak tahu jaga ekonomi. Tunggu lebih empat tahun, baru kita buat keputusan.

“Kasi lima tahun (peluang), tengok tidak baik, baru kita buang(PH) ,” tegasnya sambil memerhati pengunjung yang hanya terus berlalu tidak singgah ke gerainya.

Ditanya tentang apa perlunya pengundi N24 Semenyih menyokong calon PH, beliau berkata, memilih pembangkang sebagai wakil rakyat di kawasan itu tidak menjamin pembangunan.

“Sebenarnya, rakyat tiada pilihan punya. Belum setahun PH jadi kerajaan, tidak adil kata (PH) tidak bagus,” kata pemilih yang bakal membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Semenyih itu.

Kerja kuat

Richard yang juga terlibat dalam industri hartanah sejak 1999 itu mendakwa salah laku dan penyelewengan berkaitan hartanah begitu ketara ketika era pentadbiran BN.

“Zaman BN property (hartanah) banyak masuk BN. Setiap kali pilihan raya, kerajaan (era BN) angkat tanah pergi jual untuk wang pilihan raya. Geran tanah semua keluar.

“Semua dari atas sampai bawah songlap, money laundering (pengubahan wang haram) itu semua ada. Dia (BN) buat macam negara kita ini dia punya. Sudah melampau.

“Pas pun serupa. Kalau saya ahli Pas, kasi buang semua memang imej semua habis. Depan saja alim tapi belakang wang juga,” tempelaknya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih pada 2 Mac ini.

Beliau juga berpendapat kerajaan PH tidak harus terus memanjakan rakyat dengan pemberian wang kerana menganggap cara BN itu hanya terus melemahkan rakyat terutama masyarakat Melayu.

“BN ajar banyak benda tidak baik macam BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Ada yang ambil BRIM tapi datang pakai kereta besar. Ajar rakyat jadi lemah. Ajar Melayu angkat wang, tidak mahu kerja. Tapi kalau tak dapat, marah.

“Kalau hidup mahu senang, kerja kuatlah. Kerajaan terus bagi duit semua jadi lemah. Kita mesti mahu belajar, mahu pandai, cari kerja, baru boleh hidup senang.

“Bukan (kerajaan) terus bagi wang. Tidak guna. Bagi pancing bukan ikan. Bagi kuasa pun, kalau negara bankrap tidak guna juga,” tegasnya lagi.

Richard dan isterinya antara kira-kira 17 peratus kaum Cina daripada keseluruhan 54,471 pengundi di Semenyih.

PRK N24 Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30; calon BN, Zakaria Hanafi, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25 dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau ‘Uncle Kentang’.

Anwar tak sangka PAS guna taktik kotor

Omar Zin
KUALA LUMPUR
: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyangka PAS menggunakan taktik kotor dengan menuduh ada komplot menggulingkan perdana menteri selepas parti Islam itu gagal memenangi hati rakyat.

Presiden PKR menganggap PAS cuba memecah-belahkan Pakatan Harapan dan menggunakan taktik kotor itu demi kepentingan peribadi.

“Tidak ada seorang pun yang membangkitkan isu ini tapi PAS tiba-tiba tuduh PH ada komplot. Ini satu perkara yang luar biasa dari PAS.

“Sekarang kita tak pasti sama ada mereka bercakap benar atau tidak tetapi nampaknya menipu sudah dihalalkan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Thirukkural di Universiti Malaya hari ini.

Anwar berpandangan PAS tiada pilihan lain ketika ini selain daripada menyemai kebencian terhadap kerajaan.

“Mereka tahu mereka tidak boleh menang dengan sendiri, jadi mereka sokong pihak yang terlibat dengan korupsi.

“Kalau ini yang Hadi mahukan, silakan, kita tidak layan,” katanya, merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anwar bersama Hadi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah memimpin gabungan parti politik, Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa 2 parti komponen PH mungkin merancang menyingkir Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Beliau mendakwa PAS berikrar menyokong Dr Mahathir dalam satu pertemuan dengan Hadi.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH dan PPBM berkata dia mengambil sikap tunggu dan lihat kalau ada undi tidak percaya itu.

“Saya akan tengok sama ada PAS akan sokong saya atau tidak,” katanya.

Pagi tadi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan komplot itu bukan dibuat-buat kerana “kalau tiada angin, tidak bergoyang pokok”