"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasleaks sebabkan Pas tidak boleh dipercayai lagi, dakwa bekas pemimpin

BORHAN AHMAD

Tindakan Pas yang hanya mengenepikan dakwaan kebocoran maklumat sulit Pas dengan menafikannya telah menyebabkan parti itu kini menjadi parti yang tidak boleh dipercayai.

Bekas Naib Presiden Pas yang kini Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Pas ini telah menyebabkan parti itu dilihat flip flop bertukar ganti selalu.

“Isu Pasleaks menyebabkan Pas menjadi parti yang tidak boleh dipercayai lagi.

“Semua orang tahu, sikap flip flop ini yang hanya nak kekal kelangsungan kerusi empok kepimpinan mereka sekarang sahaja.

“Bayangkan dalam dokumen itu, sebelum bincang dengan Bersatu, Pas nak bincang dengan AMANAH dan PKR, lepas itu baru Bersatu.

“Ini semua usaha-usaha nak kekalkan kerusi empuk sahaja bukan atas dasar prinsip perjuangan,” kata Mahfuz dalam majlis Iftar Perdana dan Penerangan Isu Semasa di Pasir Mas malam tadi.

Sebelum ini, Pas mati matian menafikan audio rakaman suara seorang pemimpin Pas tentang hubungannya dengan Umno dan bagaimana pemimpin Pas menerima duit Umno.

Namun selepas itu, ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengaku itu suara beliau dan mengecam pihak yang membocorkannya.

Ekoran Pas tidak dipercayai lagi, Ahli Parlimen Pokok Sena itu, menyeru kepimpinan AMANAH khasnya di Kelantan agar bersedia menggantikan Pas.

“Kalau bukan AMANAH, siapa lagi,” kata beliau dalam majlis yang mendapat sambutan hangat dari rakyat Kelantan dan memberikan semangat baru kepada kepimpinan negeri itu.

“AMANAH mesti membina kepercayaan rakyat. Ini kerana mereka bukan harapkan benda sahaja tetapi sebuah kejujuran dari pemimpin untuk membela masyarakat dan negara,” kata beliau yang menyifatkan rakyat hilang kepercayaan kepada pimpinan Pas yang ada.

Menurut Mahfuz, selepas kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan melalui pintu belakang, pelbagai nasib malang yang menimpa rakyat negara ini dan gagal dibela oleh kerajaan yang ada.

“Hari ini rakyat tengah lapar, bukan kerana puasa tetapi kerana kos hidup yang tinggi.

“Masa pandemik, hilang pekerjaan. Masa peralihan ke endemik, meningkat pula kos kehidupan.

“Jadi rakyat berhadapan dengan masalah berterusan.

“Kerajaan tak fikir untuk berbuat sesuatu. Yang ada hanya beri subsidi, tidak ada cara lain.

“Misalnya bila ayam naik harga. Kerajaan tidak fikir cari cara untuk kurangkan harga ini melainkan sabsidi.

“Padahal isu sebenarnya adalah kos bahan mentah makanan ayam. Dia tak selesaikan isu pokok ini selain dari sabsidi,” kata Mahfuz.

Sehubungan itu, Mahfuz meminta pemimpin AMANAH memperjuangkan isu yang dekat dengan hati nurani rakyat.

Semasa kerajaan PH, masalah kenaikan harga tidak pernah berlaku bahkan menjadi kebanggaan rakyat sebagai salah satu kejayaan besar kerajaan iaitu mengekang kenaikan harga barang.

Dr Rozaimi saran Ustaz Wadi masuk kursus orator

Selepas Ustaz Wadi nafi kait Perlis dengan Wahabi, Dr Rozaimi saran masuk kursus orator

FAZLI RADZI

Dr Rozaimi Ramle menyarankan supaya Ustaz Wadi Annuar memasuki kursus orator dan pengucapan awam susulan tindakan penceramah itu semalam yang menjawab kenyataan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) itu berkata, ceramah Ustaz Wadi dalam petikan video yang tular itu difahami kebanyakan orang sebagai merujuk pada Perlis walaupun Ustaz Wadi katanya tidak bermaksudkan demikian.

“Semalam Ustaz Wadi Anuar buat kenyataan bahawa beliau tidak menyebut atau mengaitkan Perlis ketika videonya berbicara tentang bahaya Wahabi.

“Saya bersyukur kerana sememangnya Perlis bukan Wahabi.

“Cuma ramai orang yang mendengar ceramah beliau faham dia maksudkan Perlis. Tapi dia sendiri tidak faham begitu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pagi Jumaat ini.

Semalam, Ustaz Wadi dalam kenyataannya menegaskan langsung tidak menyebut atau mengaitkan mana-mana negeri dalam negara ini, termasuk Perlis dalam potongan daripada rakaman penuh video ceramahnya di Langkawi, Kedah, pada 2017 itu.

“Saya percaya kenyataan saya berkaitan isu sujud yang menjadi ‘subject matter’ dalam kenyataan jabatan ( Mufti Negeri Perlis) itu adalah pandangan saya sebagai pendukung Mazhab Shafie,” kata Ustaz Wadi.

Mengulas lanjut, Dr Rozaimi menegaskan menjadi masalah apabila Ustaz Wadi maksudkan lain tetapi berbeza pula dengan pemahaman orang lain.

“Maka Ustaz Wadi perlu masuk kursus orator dan pengucapan awam supaya ceramah beliau mudah difahami kerana kita tidak mahu nanti akan ada program yang berbunyi:

“Selamat datang ke ceramah Ustaz Wadi maksud lain, sedangkan anda faham lain,” sinisnya.

Dalam masa sama, Dr Rozaimi bertanyakan negeri mana sebenarnya yang menyokong ajaran Wahabi yang antara lain memahami makna ayat al-Quran dan hadis secara literal dan membidaahkan atau menganggap sesat pelbagai amalan umat Islam di Malaysia.

“Cuma persoalannya, ceramah beliau (Ustaz Wadi) di sana-sini menyebut tentang bahaya Wahabi di Malaysia.

“Bila beliau nafikan Perlis, negeri mana yang endorse ajaran Wahabi itu? Perlu jelaskan kerana beliau menegaskan Wahabi ini bahaya,” ujar Dr Rozaimi.

Beliau turut berharap dialog dua hala antara Ustaz Qarni Edrus dan Ustaz Wadi akan dapat diadakan bagi menjawab pelbagai isu.

“Dengar khabar Ustaz Qarni Edrus telah menerima jemputan dialog bersama Ustaz Wadi Anuar ini.

“Eloklah, berdialog secara dua hala. Kadang-kadang bila berdepan ini banyak isu dapat diselesaikan.

Moga dialog ini jadi kenyataan,” tambahnya lagi.

Bekas ketua penerangan PAS anggap dipecat di luar perlembagaan

N Faizal Ghazali


story-image

Bekas ketua penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus Raja Arizal Raja Arif mendakwa pengguguran jawatannya oleh dibuat tanpa mengikut perlembagaan parti terbabit.

Menurutnya, keputusan pemecatan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Harian PAS Kuala Nerus yang bermesyuarat pada 14 April lalu.

Melalui proses itu juga, kata Raja Arizal, badan terbabit membuat keputusan tanpa memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan terlebih dulu.

"Pada hemat saya berdasarkan Fasal 28 (4) dan Fasal 28 (8) Perlembagaan PAS (pindaan 2000), ia tidak memberi mandat kepada jawatankuasa harian PAS kawasan bagi melaksanakan maksud dan tujuan tersebut," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Malah, tambah Raja Arizal, kegagalan PAS Kuala Nerus memahami peruntukan perlembagaan tersebut sebenarnya boleh mendatangkan aib dak kesipuan kepada mereka walaupun kawasan tersebut sudah wujud sejak lebih 62 tahun lalu.

Terdahulu Raja Arizal mengesahkan salinan surat yang dihantarnya kepada Yang Diertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Shukrimun Shamsuddin.

Untuk rekod fasal 28 (4) yang dipetik Raja Arizal menyatakan bahawa setiausaha, penolong setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya PAS Kawasan hendaklah dilantik oleh yang dipertua PAS kawasan dengan persetujuan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS kawasan.

Berkhidmat di pejabat MP

Penjawat terbabit akan memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali mesyuarat agung tahunan kawasan atau sehingga dia meletakkan jawatan, atau sebab-sebab lain yang menghalangnya bertugas.

Fasal 28 (8) pula menyatakan jawatankuasa kerja PAS kawasan berkuasa memberhentikan atau menahan seseorang ahli jawatankuasa daripada menjalankan kerja-kerjanya pada masa yang ditentukan.

Bagaimanapun ia tidak boleh memberhentikan seseorang ahli jawatankuasa kerja terbabit melainkan dengan persetujuan sekurang-kurangnya satu per dua daripada ahli jawatankuasa kerja kawasan itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Raja Arizal dipecat daripada jawatan ketua penerangan kerana mempunyai kaitan dengan anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini mengumumkan keputusannya meninggalkan PAS.

Khairuddin sebelum ini merupakan salah seorang pemimpin berprofil tinggi dalam PAS dan lantang bersuara bagi pihak parti berkenaan.

Selepas Pakatan Harapan dijatuhkan di luar pilihan raya pada akhir Feb 2020, Khairuddin yang juga setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat dilantik menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoditi oleh Muhyiddin Yassin.

Dia bagaimanapun digugurkan apabila Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan perdana menteri.

Tidak saja itu, Khairuddin turut gagal terpilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS, namun dibawa masuk ke badan tersebut melalui lantikan.

Kedudukan itu hanya bertahan seketika apabila Khairuddin dipecat daripada jawatan tersebut didakwa atas isu disiplin. Dia kemudian mengumumkan keputusannya keluar PAS.

Sebagai rekod Raja Arizal sebelum ini berkhidmat sebagai ketua eksekutif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, namun kini tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

"Sayugia saya menyarankan agar kepimpinan tertinggi PAS Kawasan Kuala Nerus menjalankan amanah yang diberikan berdasarkan tatkelola dan aturan perlembagaan PAS serta garis panduan Pejabat Agung PAS dengan cermat dan lebih teliti," katanya.

Sementara itu ditanya Malaysiakini mengenai langkah selanjut yang akan diambil ekoran pemecatan tersebut, Raja Arizal berkata "setakat ini" dia kekal "istiqamah bersama PAS."

Dokumen sulit ‘political enggagement’ Pas bocor, antaranya Zahid, Najib perlu ke penjara

BORHAN AHMAD

 pihak kini mendedahkan satu dokumen sulit bertajuk “Laporan political enggagement Pas Pusat” dalam media sosial masing-masing dan menunggu Pas untuk menafi atau mengiyakan dokumen itu.

Terbaru, ia didedahkan oleh Tan Sri Shahrir Samad – Tok Uban melalui akaun facebook beliau.

Yang paling mengejutkan beliau adalah pendedahan bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yassin memberitahu, Peguam Negara (AG) dan Ketua Hakim Negara setuju untuk percepatkan kes dua pemimpin Umno dan jatuhkan hukuman.

“Menurut TSMY dalam urusan mahkamah Zahid dan Najib, AG dan CJ setuju membantu percepatkan kes dan jatuh hukum.”

Conclusion No. 6, Laporan Political Engagement PAS Pusat.

“Ini adalah sedutan dari apa yang dikatakan adalah ‘laporan risikan’ pemimpin-pemimpin Pas bagi tujuan menyediakan pilihan atau ‘option’ untuk strategi Pas berhadapan dengan PRU15. 

“Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat ‘TSMY’, maka ianya membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan AG dan CJ,” kata Shahrir.

Sebelum ini, dokumen lima muka surat ini diedarkan melalui kumpulan whatapps yang menggambarkan perancangan dan usaha Pas menjelang PRU-15.

“Political enggagement” ini dilakukan oleh dua pemimpin kanan Pas iaitu Naib Presiden yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut dokumen itu, kedua-dua pemimpin Pas ini bertemu dengan semua pemimpin termasuk Datuk Seri Azmin Ali (24 Mac), Tun Dr Mahathir (27 Mac), Datuk Dr Ahmad Masrizal (4 April), Datuk Seri Hamzah Zainudin (4 April) dan Datuk Seri Hishamuddin Husein (7 April).

Shahrir mendedahkan kesimpulan dari ‘political enggagement’ yang dibuat oleh dua pemimpin kanan Pas itu.

Antaranya semua jentera Pas mesti menunjukkan kepada umum bahawa mereka adalah parti stabil, parti mainstream, perjuangkan semua rakyat, mahukan perpaduan, Pas lebih segar dan berintergriti dan sepatutnya menjadi pilihan rakyat.

Sementara itu, Samsuri menafikan dokumen itu sebagai milik dan menganggap ia hanya dokumen sampah yang direka-reka.

“Dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya juga? Saya buat gelak saja benda tu.

“(Dokumen berkenaan) tak benar, entah datang daripada mana entah dokumen tu. Benda sampahlah bagi saya,” katanya kepada media selepas menghadiri sebuah majlis di Kuala Terengganu hari ini, lapor Malaysiakini.

Saya dipukul kerana tak mahu larikan diri, dakwa tahanan Rohingya

FMT Reporters

Dua daripada tahanan Rohingya yang melarikan diri, ditahan semula di Sungai Rembai Relau, dekat Bandar Baharu, Kedah malam ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah mendakwa dia dipukul sehingga lebam di muka kerana enggan melarikan diri dari sana.

Katanya, dia dipukul tahanan lain kerana enggan mengikut perusuh lain melarikan diri ketika rusuhan berlaku.

“Tahanan yang membuat kecoh tersebut merupakan mereka yang tidak memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Jumlah mereka terlalu ramai dan memaksa kami yang memiliki kad sah supaya turut melarikan diri beramai-ramai atau kami akan dipukul serta dicederakan,” katanya dipetik Utusan Malaysia selepas ditahan semula di Bandar Baharu, Kedah, hari ini.

Lelaki itu antara tiga tahanan Rohingya yang ditahan semula dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu sebelum dihantar ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.

Seramai 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah kira-kira 4.30 pagi tadi. Terdapat 664 tahanan di depot terbabit ketika itu.

Setakat ini, 385 daripadanya ditemui dan ditahan semula, termasuk enam yang maut ketika melintas lebuh raya dekat Jawi, Pulau Pinang.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, semua 528 tahanan itu ialah etnik Rohingya yang dipindahkan dari kem Wawasan Langkawi, selepas ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia pada 2020.

Kuasa hakim tentu siapa salah, menteri beritahu mufti

Hakimie Amrie Hisamudin

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi peringatan, seseorang itu “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” sebagai respons kepada kenyataan mufti Perlis, “berdosa” bagi peguam membela mereka yang diketahui melakukan jenayah.

Wan Junaidi berkata, peguam tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

“Hanya hakim mempunyai kuasa mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis hari ini.

Semalam, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menjawab pertanyaan beberapa peguam mengenai kerjaya mereka, kadangkala membela atau mempertahankan kes yang mereka tahu berada di pihak salah atau zalim.

Mufti itu berkata, Islam melarang mereka melindungi pesalah atau pendosa, sambil menambah adalah berdosa dan haram bagi mereka menerima bayaran perkhidmatan daripada pesalah.

Beliau menegaskan dosa wang diambil daripada pihak yang salah itu lebih buruk daripada hasil pelacuran.

Asri menggesa peguam menilai kes mereka sebelum menerimanya.

Wan Junaidi menolak kenyataan Asri dan berkata, jika menerima bayaran dan yuran guaman adalah berdosa, maka tidak ada orang Islam yang mahu menjadi peguam.

Akta 347 dibentang Julai

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, kementerian mencadangan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 atau Akta 347, dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai.

Pindaan dicadangkan itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi yang bertujuan memperkukuh kuasa Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi di negara ini.

Penyanyi ditahan serang bekas isteri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang penyanyi atas dakwaan memukul bekas isterinya ketika datang mengambil anak mereka di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku di kawasan parkir rumah penyanyi terbabit di Kota Damansara semalam.

Katanya, perselisihan faham berlaku antara kedua-duanya kerana bekas isteri berusia 27 tahun itu enggan bergambar dengan suspek.

Penyanyi itu kemudian memarahi dan memukulnya, menyebabkan badannya lebam dan sakit. Wanita itu kemudian membuat laporan polis.

“Suspek berumur 45 tahun itu ditahan di kediamannya bagi membantu siasatan. Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk permohonan reman.

Kes dera Bella: Giliran adik peguam Siti Bainun pula dikecam warganet

FAZLI RADZI

Kes dera remaja Sindrom Down, Bella menyaksikan giliran adik kepada peguam, Nurul Hafidzah Hassan pula dikecam warganet ekoran satu hantarannya di Facebook hari ini.

Nurul Hayati Hassan dilihat ‘gigih’ membalas serangan demi serangan daripada warganet berhubung kes Bella yang didakwa didera pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Kebanyakan daripada ratusan komen dalam hantaran itu mempersoal hujah Nurul Hayati yang antara lain berpendapat saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 18, sebagai “banyak tipu dalam mahkamah”.

Nurul Hayati yang juga penjual insurans itu turut menganggap aktivis masyarakat, Mona Din sebagai “tak tulis benda yang betul” dengan bertindak ambil dan pilih sahaja.

Dia juga melontarkan persoalan demi persoalan ketika perbicaraan melibatkan Siti Bainun yang berdepan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi masih lagi berlangsung.

“Kenapa semua ini tak diberitahu apabila mereka menulis? Apa yang mereka cuba nak capai? Ada siapa siapa coaching Yasmin ke buat cerita?

“Yasmin kena ugut ke? Mahkamah tak tolak ke kenyataan Yasmin? Influencer ni semua dapat apa kalau cerita sebelah pihak? Ada pihak yang coaching diorang jugak ke?” soal Hayati berkali-kali.

Sehubungan itu, warganet menyelar dan menyindir Hayati termasuk menganggapnya seperti ‘acah peguam’.

Terdapat juga warganet yang ikhlas menegur adik peguam itu. Antaranya, Amir Fikri yang terlebih dahulu berpendapat tidak salah untuk Hayati mempertahankan Hafidzah.

“Saya tengok posting akak ni seperti akak yang lebih-lebih seperti lawyer pulak,” katanya.

Amir juga berkata, tindakan Hayati bersuara itu seperti mengeruhkan lagi keadaan bahkan ujarnya, tidak mustahil orang ramai akan menganggap Hayati sebagai ‘gila’ publisiti.

“Cara akak (Hayati) posting ni nampk seperti akak pulak dah macam “pemerhati” dalam mahkamah,” tambahnya lagi.

Ada juga yang bertanyakan kepada Hayati berkenaan luka dan lebam di badan Bella.

“Saya nak tanya, yang luka dan lebam di badan Bella tu apa? Kira tipulah? Luka semua tu sebab Bella buat sendirilah ye? Macam mana?” bidas Zairi Aziz.

Hal sama juga dibangkitkan pengguna Facebook, Bella Yusoff yang mengingatkan kes Bella dan Siti Bainun itu masih lagi berjalan di mahkamah.

“Diamlah. Benda tak habis lagi dalam mahkamah. Yang sibuk dok menjaja pi public ni kenapa? Lapar perhatian? Insurans tak laku ke?” selarnya lagi.

Kes kecederaan fizikal dan emosi yang teruk dialami Bella menyaksikan Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan di mahkamah iaitu mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down berkenaan.

Penerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada 2016 itu didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Amanah tolak PAS dalam ‘khemah besar’, Takiyuddin ucap ‘terima kasih’

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS menyatakan ‘penghargaan’ kepada Amanah yang mengesahkan parti berkenaan tidak mempunyai sebarang kerjasama politik terutama membabitkan Pakatan Harapan (PH), menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu, hari ini, yang enggan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, menerusi pendekatan “khemah besar”.

Takiyuddin berkata, PAS konsisten menyokong kerajaan persekutuan diterajui bersama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR.

“PAS mengucapkan terima kasih di atas kenyataan presiden Amanah yang mengesahkan bahawa PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dan sekaligus tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang, khususnya PH.

“PAS amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mohamad dalam kenyataannya, berkata pendekatan “khemah besar” tidak termasuk Bersatu dan PAS kerana tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah serta mandat rakyat.

Manakala, DAP menerusi pengerusinya, Lim Kit Siang, berkata parti itu menutup pintu kerjasama dengan Bersatu dan PAS kerana tidak lagi mempercayai kedua-dua parti itu yang didakwanya bersikap “tikam belakang”.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata PAS melalui pendekatan politik matang dan sejahtera sentiasa komited dan sedia berbincang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.

“Apa yang penting dalam era pasca pandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” katanya.

Apabila Najib mengambil wuduk

Wan Ji Wan Hussin

Baru-baru ini tersebar video bahawa bekas PM Najib Razak mengambil wuduk dengan mencelup tangan ke dalam gayung. Tidak sedikit yang menyindir Najib, kononnya cara itu salah.

Setelah saya melihat, saya dapati tindakan Najib yang berwuduk dengan cara mencelup tangannya ke dalam gayung air itu tidak ada apa yang perlu dianggap salah. Bahkan saya anggap tidak perlu menjadi isu.

Wuduk yang Najib lakukan itu mengikut mazhab selain Syafie. Bahkan, amat selaras dengan Mazhab Maliki.

Isu itu, dalam fikah Islam disebut sebagai air mustakmal. Air mustakmal, dalam istilah fikah bermaksud lebihan air wuduk atau mandi wajib yang kurang daripada kadar dua kolah. 

Dalam Mazhab Syafie, air itu tidak boleh digunakan untuk berwuduk lagi. Jika berwuduk juga, maka wuduk dianggap tidak sah.

Hanya Mazhab Syafie menganggap begitu, sedangkan dalam mazhab selainnya tidak menjadi sebarang masalah pun.

Dengan ini difahami, tindakan Najib berwuduk itu dikira sah, jika dilihat dari sudut mazhab selain syafie.

Beragama dan sentimen

Di Malaysia bahkan di banyak tempat dalam dunia ini, beragama tidak berasaskan kepada rasional, hujah serta keterbukaan. Ramai sangat beragama secara sentimen.

Orang menjadikan wuduk Najib sebagai isu, kerana Najib musuh politik mereka. Apatah lagi, Najib terpalit dengan skandal 1MDB yang menjadi wacana rakyat Malaysia sejak PRU lepas.

Andai yang melakukan wuduk cara Najib itu adalah Mat sabu atau Anwar Ibrahim, saya tidak tolak kemungkinan ada orang Amanah atau orang PKR akan bangkit pertahankan tindakan tersebut. 

Saya kira, cara beragama sebegini adalah sesuatu yang tidak sihat. Ia tidak membijakkan umat dalam beragama. Ia adalah projek membodohkan umat dalam beragama.

Cara umat beragama

Selagi mana seseorang itu manusia, pasti dia boleh melakukan kesilapan. Sesempurna mana pun manusia itu, pasti ada kelemahan dan kekurangannya. Sama ada disengajakan atau tidak, manusia tidak boleh elak dari melakukan kesilapan.

Dengan sebab itu, jika ada seseorang ulama mengeluarkan sesuatu pandangan, kita tidak wajar membutakan akal kita dalam melihat pandangan tersebut. 

Jika ulama itu dari geng kita—andai ada kesalahan pada pandangannya, kita perlu kata itu salah. Jika ulama itu bukan dari geng kita—andai perbuatannya benar, kita perlu katakan bahawa itu benar.

Saya kadangkala pelik, orang pro-Salafi yang anti-Asyairah membuatkan dia tidak nampak sebarang kebaikan dan kebenaran hujah ulama Asyairah. 

Demikian juga, orang yang pro-Asyairah, yang anti-Salafi, gagal nampak kebaikan dan kebenaran hujah pihak Salafi.

Kalau seseorang itu anti Ibn Taimiyyah; dia anggap apa sahaja yang datang dari Ibn Taimiyyah salah, tidak ada yang benar kecuali semuanya salah belaka. 

Bagi orang yang pro-Ibn Taimiyyah pula; dia anggap semua yang datang dari Ibn Taimiyyah adalah benar sehinggakan tidak ada yang salah.

Cara beragama sebegini berasaskan kepada taasub, sedangkan taksub antara perkara yang tidak disukai oleh agama. Pada saya, cara beragama yang baik adalah hujah. 

Jika sesuatu pendapat itu bertepatan dengan kehendak hujahnya, masuk akal dan tepat dengan kaedah pendalilan, maka pendapat itu perlu diterima. 

Saya berpendapat, cara melihat agama dalam masyarakat kita di Malaysia (mungkin juga di dunia) perlu diubah. Kita perlu ajar umat beragama dengan melihat kepada kandungan yang diperkatakan, bukan siapa yang berkata.

Kita perlu melihat kebaikan sebagai kebaikan, walaupun ia datang kalangan yang bukan geng kita. Kita perlu melihat kejahatan sebagai kejahatan, walaupun ia datang dari kalangan geng kita sendiri.

WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.

Empat lelaki ditahan kerana rogol biawak

KOSMO!

MUMBAI – Empat lelaki di negeri Maharashtra, India ditahan atas dakwaan merogol seekor biawak Bengal di sebuah kawasan perlindungan harimau, lapor laman berita India Today.

Biawak Bengal dikategorikan sebagai spesies simpanan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar India 1972.

Insiden jelik itu terbongkar apabila pegawai perhutanan menemui rakaman aksi rogol dalam telefon bimbit salah seorang tertuduh.

Keempat-empat suspek ditahan dengan bantuan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di dalam Kawasan Simpanan Harimau Sahydari dan ditahan oleh pegawai perhutanan.

Peralatan lain yang dirampas oleh pihak berkuasa termasuk pistol yang digunakan untuk pemburuan haram, bateri dan dua motosikal.

Tiga daripada tertuduh juga didapati melawat kawasan simpanan itu bagi tujuan memburu.

Beberapa lagi gambar haiwan seperti tenggiling, arnab, kancil dan landak turut ditemui dalam telefon bimbit itu.

Pada 8 April lalu, mahkamah tempatan membenarkan mereka diikat jamin.

Pegawai perhutanan menambah bahawa mereka sedang menuntut hukuman maksimum dikenakan kepada keempat-empat suspek.

Sekiranya tertuduh disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tujuh tahun jika didakwa dan didapati bersalah di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk mendakwa tertuduh melakukan kesalahan di bawah undang-undang berbeza iaitu IPC Seksyen 377 (Kesalahan Luar Biasa). – Agensi

Rafizi: PH diberi kata dua, terima Bersatu atau mungkin berpecah

Yasmin Abdul Latif

PETALING JAYA: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Harapan pada 2016 telah diingatkan supaya bergabung dengan Bersatu jika tidak mahu mereka berpecah.

“Kita sebenarnya diberikan kata dua pada 2016, kalau tidak terima Bersatu dalam PH, maka besar kemungkinan PH akan berpecah,” katanya sempena Jelajah Yakini Rakyat hari ini.

Beliau berkata, PH pada dasarnya enggan menerima Bersatu, sebaliknya hanya mahukan parti itu mengadakan perjanjian dalam pilihan raya bagi mengelak mereka bertembung.

Bagaimanapun, Rafizi berkata atas desakan rakan sekutu iaitu Amanah dan DAP serta semangat untuk membentuk satu perubahan dalam negara, maka PH bersetuju bergabung dengan Bersatu ketika itu.

“Tetapi iyalah kita dah bersangka baik atas harapan bahawa negara ini perlu perubahan, maka kita telan. Kita dah cuba, hadiah yang kita dapat daripada sangka baik itu adalah pengkhianatan,” katanya.

Menurutnya, isu prinsip dalam PH seharusnya tidak perlu diubah, sebaliknya gabungan itu perlu merencanakan taktik lebih berkesan selain yakin dengan kekuatan parti masing-masing.

“Tapi, inilah PH kadangkala ada cucuk jarum tak kena tempat, ada timbul isu lain sebab itu bagi saya PH perlu bersatu dah menerima kekuatan masing-masing, kita bawa kekuatan itu sehingga sampai ke Putrajaya.

“Taktik itu kita kena tukar, jangan kita kacau soal prinsip, kalau itu semua pandangan baik dalam DAP, Amanah, PKR baru senang kita buat kerja,” katanya.

Lebih baik Hadi tutup mulut dari keluar kenyataan bodoh

Malaysiakini

Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri BN bagi pilihan raya umu (PRU) ke-15 adalah hak Umno dan PAS tidak perlu sibuk dalam urusan parti itu.

Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata PAS tak perlu jadi "tukang sibuk" dan tidak perlu menjaga tepi kain Umno.

Jelasnya, PAS boleh menamakan sesiapa saja calon perdana menteri pilihan mereka dan Umno tidak berminat untuk tahu atau campur tangan.

"Veteran Umno menasihati Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya jangan cuba jadi 'tukang sibuk' dalam urusan Umno. Hadi tak payah nak jaga tepi kain Umno. Lebih baik dia menjaga dalam kain PAS. PAS bukan sepupu sepapat Umno.

"Keputusan MKT mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri sekiranya BN menang dalam PRU15 itu adalah hak Umno. Gopoh atau terburu-buru itu adalah hak Umno.

"Kalau PAS merasakan PN boleh menang maka PAS juga boleh menamakan sesiapa saja sebagai calon perdana menteri. Umno tidak berminat untuk ambil tahu dan campur tangan," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam media melaporkan Hadi menyifatkan Umno bertindak terburu-buru apabila menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri bagi PRU15.

Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan parti itu apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

“Kita serah pada rakyat. Pilihan raya tak lama lagi, rakyat menentukan keputusan pilihan raya siapa dia perdana menteri, parti mana (menang).

"Tak perlu gopoh, nanti jadi macam Johor. Calonkan orang lain, naik orang lain. Order barang lain, sampai hok lain,” katanya di Marang, Terengganu, semalam

Dalam pada itu, Mustapha berkata Hadi tidak perlu mengingatkan Umno dengan pelantikan menteri besar Johor.

Katanya, undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor tidak sama dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kuasa pelantikan menteri besar Johor di dalam bidang kuasa Tuanku Sultan tidak sama dengan pelantikan perdana menteri yang dibuat oleh Agong berdasarkan calon dari parti yang mendapat sokongan dan menang dalam PRU.

"Oleh itu veteran (Umno) menyarankan Hadi menutup mulut dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bodoh dan dangkal menyentuh apa saja yang diputuskan Umno. Mind your own business (jaga tepi kain sendiri)," katanya lagi.

Lelaki belasah isteri guna kayu angkara cemburu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Angkara cemburu, seorang lelaki tergamak membelasah isterinya dengan batang kayu sehingga menyebabkan mangsa cedera dan berlumuran darah dalam kejadian di sebuah ladang sawit di Kluang.

Timbalan Ketua Polis Kluang, Abdul Razak Abdullah Sani, berkata serangan itu berlaku selepas pertengkaran membabitkan suspek berusia 44 tahun dengan mangsa berusia 42 tahun yang bekerja sebagai kerani.

“Kejadian itu berlaku 12.51 tengah hari Jumaat di Ladang Sindora, Layang-Layang. Susulan serangan itu, mangsa cedera di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Hajjah Khalsom.

“Hasil laporan dan maklumat 3 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dibantu anggota Balai Polis Layang-Layang menahan suspek lelaki tempatan di ladang itu serta merampas sebatang kayu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan saringan awal air kencing ketika ditahan mendapati dia positif methamphetamine.

Suspek yang juga penjual air direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Debat Anwar-Najib 12 Mei

Samuel Chua

PETALING JAYA: Debat umum antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berhubung isu Sapura Energy Bhd akan diadakan pada 9 malam, 12 Mei ini.

Ia akan diadakan di Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, semua media harus dibenarkan membuat liputan debat itu, merujuk kepada kem Najib yang berkata mereka berminat mengadakan debat itu secara langsung di Malaysia Gazette.

Kedua-dua pihak sebelum ini mempunyai pendapat yang berbeza mengenai bila perbahasan itu patut diadakan.

Fahmi yang diiringi Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil pada sidang media itu berkata, debat itu akan berlangsung dalam tiga segmen.

Segmen pertama akan menyentuh mengenai masalah yang dihadapi Sapura Energy, serta sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak, disusuli segmen kedua yang akan menyaksikan debat berhubung masa depan negara, merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir, dan hala tuju negara.

Ia akan diakhiri dengan sesi soal jawab dalam segmen ketiga.

“Kami percaya ramai yang menantikan debat perdana ini. Kami juga percaya acara ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan idea, hujah serta pandangan yang berbeza, dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik yang lebih matang,” kata Fahmi.

Sapura Energy, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengumumkan kerugian RM8.9 bilion tahun lepas, yang disifatkan Najib sebagai kerugian terbesar dalam sejarah bagi mana-mana GLC di negara ini.

Beliau mendesak agar syarikat itu diselamatkan, namun idea itu ditentang oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang berkata, dana itu boleh disalurkan untuk tujuan lebih baik.

Selepas 1MDB kini 4 lagi skandal kewangan besar dihadapi negara

MALAYSIA DATELINE

Selepas 1MDB kini terdapat 4 lagi skandar kewangan besar yang sedang dihadapi negara iaitu MRT, Digital Nasional Berhad (DNB), MySejahtera dan Sapura Energy.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan empat skandal kewangan ini beliau mengusulkan agar diadakan sidang Parlimen.

Katanya sidang itu nanti wajar diperuntukan beberapa hari untuk membahaskan isu tatakelola kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus.

“Saya menggesa agar penjelasan segera diberikan oleh Perdana Menteri terkait beberapa projek nasional yang perinciannya tidak dijelaskan kepada negara dan rakyat.

Selepas 1MDB kini 4 lagi skandal kewangan besar dihadapi negara

MySejahtera antara skandal kewangan yang sedang diperkatakan ketika ini

“Usah jadikan Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai alasan untuk diinjak prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, masalah ini ternyata membimbangkan dan beliau desak supaya diberi perhatian segera sebelum ia kian parah dan semakin berterusan.

“Jangan izinkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terus berleluasa,” katanya.

Enggan bayar tambang RM400, remaja perempuan kelar leher pemandu e-panggilan

FMT Reporters

Mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas memandu ke Balai Polis Sentul bagi mendapatkan bantuan. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Berang selepas dikenakan tambang sebanyak RM400, seorang remaja perempuan bertindak mengelar leher pemandu e-panggilan dalam kejadian di Kovil Hilir, Jalan Ipoh, ibu kota, Rabu lalu.

Kejadian berlaku jam 2.55 pagi ketika mangsa yang juga warga emas berusia 63 tahun mengambil suspek di Sagil, Muar, Johor menggunakan aplikasi Mycar.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beng Eh Lai, berkata, sebaik tiba di destinasi di Kovil Hilir, mangsa memberitahu jumlah tambang perlu dibayar suspek ialah RM400.

Katanya, suspek enggan membayar kerana tidak mempunyai wang dan mangsa membuat keputusan untuk menghantar suspek ke balai polis untuk tindakan lanjutnya.

“Disebabkan ketakutan, suspek bertindak mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat dan kemudiannya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Selepas kejadian itu, suspek meninggalkan pisau lipat berkenaan dalam kereta mangsa.

Beh berkatai, mangsa kemudian memandu ke Balai Polis Sentul bagi meminta bantuan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil siasatan dan risikan dijalankan, polis berjaya menahan suspek di sebuah premis perniagaan di Jinjang, 4.55 petang tadi.

“Siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis turut merampas telefon bimbit milik suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Budak perempuan 4 tahun maut jatuh tingkat 18 kondominium

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Setapak, dekat sini pagi tadi.

Kejadian disedari jam 2 pagi selepas polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi bersama pasukan forensik. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa ditinggalkan bersendirian manakala ibunya keluar.

Beliau berkata, pada masa sama, penghuni rumah yang lain sedang tidur di bilik berasingan dan mereka tidak mengetahui mangsa ditinggalkan bersendirian.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (2001) iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Ashari turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

Katanya, orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Lelaki amuk, tetak ahli keluarga ketika berbuka

FMT Reporters

Polis memburu pekerja ladang nanas Mohd Adi Hashim, 38, yang disyaki menetak ahli keluarganya. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Seorang lelaki disyaki menetak empat ahli keluarganya menggunakan parang ketika berbuka puasa di sebuah rumah di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, Khamis lalu.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata susulan itu pihaknya kini memburu suspek dikenali Mohd Adi Hashim, 38, bekerja di sebuah ladang nanas dan beralamat terakhir di No 1003, Blok 12, Felda Air Tawar 3.

Beliau berkata, dalam kejadian 7.11 malam itu, isteri suspek yang berusia 30-an, ibu mentua berusia 50-an, adik ipar perempuan berusia 30-an serta adik ipar lelaki berusia 16 tahun parah.

“Siasatan mendapati, secara tiba-tiba, lelaki itu dipercayai mengamuk dan menetak semua mangsa yang berada di dalam rumah menggunakan parang. Ketika kejadian, dua anak lelaki masing-masing berusia lima tahun dan dua bulan berada bersama isterinya, namun kedua-duanya tidak cedera.

“Keempat-empat mangsa dirawat di Hospital Kota Tinggi dan berada dalam keadaan stabil. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Bernama.

Hussin berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima maklumat awam berhubung kejadian itu melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada 8.22 malam hari sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019 5121568 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi 07 8831222 atau balai polis berhampiran.