"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Lima Adun PKR lompat parti untuk Khalid ambil alih Selangor hanya cerita dongeng

Azmin Ali
Azmin Ali Azmin berucap pada majlis pecah tanah & pelancaran rumah di Klang. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN
KLANG: Khabar angin mengatakan lima Adun PKR akan melompat parti dan menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dianggap hanya cerita dongeng semata-mata.

Menurut Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, beliau tidak dapat mengiyakan khabar angin tersebut sambil mendakwa ia sebagai propaganda Umno dan BN.

‎"Itu cerita dogeng zaman purba, takkan saya nak mengiyakan cerita itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah dan pelancaran Rumah Selangorku 'Karya Residensi' di Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin mengatakan Adun Pelabuhan Klang itu bakal kembali menerajui Selangor bagi mengganti Azmin susulan lima Adun Selangor dari PKR akan melompat parti.

Perkara itu timbul selepas ada dakwaan mengatakan berlaku satu perjumpaan sulit antara Abdul Khalid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diadakan di Jakarta.

Tindakan lima Adun PKR akan mendapat sokongan Pas dan Umno bagi membolehkan Abdul Khalid mendapat majoriti mudah untuk diangkat menjadi menteri besar semula.
-sinarharian-

Budak darjah 3 ugut rogol guru wanita

Tranungkite

Percayakah anda bahawa seorang budak berumur 9 tahun kini sudah pandai mengugut orang dewasa???

Baru-baru ini seorang guru di Kedah mendakwa menerima ancaman rogol daripada seorang murid tahun tiga. Menurut laporan The Star, kanak-kanak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lanai itu membuat panggilan telefon dan kemudian disusuli dengan SMS yang berbunyi: “Cikgu , tunggu saya akan rogol cikgu , tidak lama lagi “ . Murid itu didakwa bertindak sedemikian kerana mempertahankan rakannya yang tidak dilantik menjadi ketua kelas.

Rakan sekerjanya, yang menghubungi pihak The Star berkata ancaman daripada kanak-kanak telah menyebabkan seluruh sekolah di Kupang , kira-kira 6km dari pekan Baling itu terkejut.Guru itu mengalami trauma apabila muridnya berani membuat ancaman.

Mangsa berusia 39 tahun itu berada di rumahnya di Bandar Putri Jaya , Sungai Petani, apabila beliau menerima ancaman pada kira-kira 10.30 malam pada 13 Februari lepas dan meminta suaminya untuk menyemak siapa membuat panggilan telefon, dan terdengar suara kanak-kanak. Dengan menggunakan telefon awam , suami itu membuat panggilan dari seorang lelaki yang berumur sekitar 30-an dan mengaku bahawa anak saudaranya telah menggunakan telefon bimbitnya dan dia akan menghukum budak lelaki itu dan melaporkan perkara itu kepada ibu bapanya.

Guru itu membuat laporan polis di ibu pejabat polis Kuala Muda pada 14 Februari lepas dan telah disahkan oleh seorang pegawai kanan polis. Sementara itu, aktivis anti -jenayah Tan Sri Lee Lam Thye mahu Jabatan Pelajaran Kedah untuk membuat siasatan penuh ke dalam perkara itu. Beliau berkata kes itu perlu dijadikan sebagai pembuka mata bahawa langkah-langkah pemulihan diperlukan segera untuk membendung kes-kes yang semakin meningkat di kalangan kanak-kanak sekolah.

Inikah yang dikatakan perbalahan kecil dalam PAS

6 minggu perang saraf PAS leburkan siapa?

Kira-kira enam minggu sebelum pemilihan PAS Jun ini, perang saraf antara kumpulan pro-Pakatan Rakyat dan pro-ulama dalam parti Islam itu dilihat semakin sengit.

Dikatakan antara persaingan paling sengit dalam sejarah pemilihan PAS selepas ketegangan 80-an, muktamar kali ini turut menyaksikan kewibawaan presiden dipertikaikan secara terbuka oleh anggotanya.

Perang saraf yang dulu membenih di media sosial, kini dilihat melebar melalui risalah kecaman yang diedarkan secara fizikal.

Dalam kempen terbaru, risalah bertajuk "Siapakah perosak sebenar PAS?" didakwa mula diedarkan sekitar Batu Caves, Selangor, yang menyerang beberapa pemimpin “parasit” parti itu.

Di alam maya, pelbagai media digunakan – daripada Facebook ke WhatsApp – oleh kedua-dua belah pihak berbeza pandangan bagi menobatkan wira masing-masing.

Pemilihan PAS ke-61 akan diadakan pada 4 hingga 6 Jun ini dalam keadaan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin dicabar – keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pemerhatian Malaysiakinimendapati, perang saraf dua kumpulan itu di Facebook amat rancak apabila hampir setiap jam status baru dinaikkan bagi mengecam individu atau pemimpin tertentu dalam PAS.

Malah, terdapat juga beberapa akaun Facebook yang dibuat khas semata-mata untuk mengecam pemimpin tertentu.

Walaupun gelar menggelar saling dilontarkan kedua-dua pihak, kumpulan pro-ulama dilihat mendahului kempen, malah lebih agresif dan kelihatan tersusun berbanding kumpulan pro-Pakatan.

Dari JEBON ke Hawaii Five-O

Dengan gelaran negatif dilempar bertubi-tubi, secara tidak langsung, fokus pesaing mereka terperangkap dalam mode defensif untuk mempertahankan diri, daripada menyatakan misi masing-masing.

Kumpulan itu dengan jayanya dilabel sebagai Jemaah Buat Onar dengan singkatan JEBON, Hawaii Five-O (didakwa diterajui pemimpin profesional PAS Dr Hatta Ramli), selain ungkapan biasa seperti “munafik haraki” dan “parasit”.

Berlindung di balik “dinding” Facebook, terdapat juga serangan nakal yang menggelarkan diri mereka sebagai Anti-Jebon Incorporated (AJI) yang cuba mempertahankan populariti Hadi dan kepimpinan ulama.

Seramai 21 daripada 32 anggota Jawatankuasa Pusat PAS dimasukkan dalam senarai JEBON itu, termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua naib presiden - Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Tidak terkecuali pemimpin lantang PAS seperti anggota Parlimen Hanipa Maidin dan Khalid Samad serta bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang juga bekas exco Kedah ketika ditadbir PAS, turut dimasukkan dalam senarai itu.

Seperti melancarkan peluru tabur, serangan pengguna Facebook yang berlindung di sebalik identiti “Tuc Tok Usin Ceroi” mungkin paling berjaya apabila mendedahkan rakaman suara mirip Mohamad Sabu yang dikatakan mahu menjatuhkan Hadi.

Sementara itu, di pihak pro-Pakatan pula, kempen mereka lebih kepada mengkritik pentadbiran Hadi yang menjejaskan hubungan dalam Pakatan serta menonjolkan tokoh ulama Ahmad Awang sebagai alternatif menggantikannya.

Ahmad, nama yang semakin dilupakan dalam PAS selepas tidak mempertahankan jawatan naib presiden beberapa tahun lalu, diharapkan mereka kembali “menyelamatkan” parti itu daripada tersasar haluan.

Terlalu kecil, Hadi?

Kumpulan pro-Pakatan juga masih menjaja kisah kerajaan perpaduan (UG) dengan Umno yang pernah dicadangkan Hadi pada 2009 selain keterbukaannya bekerjasama dengan parti lawan ke arah pelaksanaan hudud.

Hadi dipaparkan berbeza pandangan dengan tokoh ikonik PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerjasama Pakatan untuk merampas Putrajaya.

Faktor perkembangan media sosial dilihat merancakkan lagi perang saraf kedua-dua pihak berbanding penggunaan blog dan laman forum sebelum ini seperti Malaysia Waves dan Tranungkite.

Tiada malu-malu lagi, “bodoh membodoh” dan "baruamembarua"  di kalangan “pendekar papan kekunci” kini dilihat perkara biasa menjelang pemilihan awal Jun ini.

Melihat kepada perkembangan ini, siapakah yang tidak ragu terhadap kenyataan Hadi yang mengatakan perbalahan dalam PAS "terlalu kecil"?

Sementara itu, biar siapa pun berjaya dalam pemilihan kali ini, presiden sesi akan datang mempunyai tugas besar menyatupadukan kembali perpecahan dalam PAS.

Tidak mungkin satu pihak bertelagah boleh dihalau keluar menjadi parti baru begitu sahaja. Formula itu, PAS tanpa ulama atau PAS tanpa profesional, bukan penyelesaiannya.

Sekiranya PAS boleh menukar slogan dari 'Negara Islam' kepada 'Negara Berkebajikan' untuk menambat hati pengundi bukan Islam, tiada salahnya jika segelintir pemimpin PAS sedia ada berubah menjadi lebih terbuka.

Perang enam minggu ini, jika tidak terkawal, berpotensi besar membuatkan yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

Kepala babi di pintu masjid

Kepala babi di pintu masjid
Kepala babi di pintu masjid
SOLIHULL - ENGLAND. Empat kepala babi ditemui di hadapan sebuah masjid yang dikatakan beroperasi secara haram, Ahad lepas.

Menurut BBC, polis kini menyiasat kes berkenaan yang dikategorikan sebagai 'jenayah kebencian'.

Jenayah kebencian bermotivasikan kebencian terhadap suatu agama, kaum, jantina atau beberapa jenis prejudis yang lain.

Minggu lepas, akhbar tempatan Birmingham Mail mendedahkan seramai 1,000 orang menandatangani petisyen untuk menutup masjid berkenaan yang beroperasi tanpa kebenaran.
-sinarharian-

Pemilik restoran terkejut lihat rakaman CCTV (video)

CCTV
UNITED KINGDOM: Seorang pemilik restoran Get Baked di Leeds terkejut apabila melihat rakaman CCTV restorannya pada waktu awal pagi.

Menurut portal Mirror, Marcus Levin pemilik restoran itu mula percaya akan kewujudan hantu apabila dia melihat suatu makhluk putih bergerak menembusi cahaya skrin di luar restorannya.

Reaksi kagum Marcus boleh didengar dalam rakaman yang dimuatnaik di laman Facebook restoran tersebut.

Ujarnya tidak pernah saksikan perkara sedemikian dalam hidupnya dan ini kali pertama dia berasa sangat takut.

Rakaman video yang telah dikongsi di Facebook jadi viral./klpost

Musuh dalam PAS ditaja?


khalid-samad
PETALING JAYA: Perang dingin dalam PAS semakin terserlah menjelang muktamar dan pemilihan parti itu yang dijadual diadakan pada Jun ini.


Selepas digelar parasit dalam PAS oleh kumpulan pro ulamak, salah seorang pemimpin yang didakwa liberal telah menyerang balik kumpulan itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kumpulan yang menggelarkan diri mereka pro ulamak dalam PAS lebih sesuai dipanggil sebagai “Geng Juhala”.

Katanya, gelaran itu kerana sikap jahil mereka yang melabelkan pihak lain dalam parti itu sebagai parasit dalam PAS.

“Kononnya mereka lakukan demi menyokong calon ‘ulamak’ dalam muktamar. Kalau benar, maka saya harap calon ulamak ini bukan jenis yang ‘bisu’, tidak menegur kejahilan dan kejahatan penyokong,” tulis Khalid dalam blognya.

Beliau memberi respon terhadap sebuah buku yang menyenaraikan lapan pemimpin termasuk dirinya sebagai parasit dalam PAS yang dipercayai ditulis oleh penyokong pro ulamak.

Khalid berkata, selain digelar parasit dalam PAS, kumpulan lapan pemimpin itu sebelum ini telah dilabel dengan pelbagai gelaran seperti ‘Jebon’, ‘Anwarinas’, ‘anti-ulama’, ‘anti-hudud’, ‘liberal’, dan ‘sekular’.

“Dan apa sahaja (gelaran) yang mungkin digunakan untuk menimbulkan kebencian terhadap kumpulan pemimpin ini. Samada gelaran ini betul atau pun tidak, benar ataupun fitnah, tidak langsung diendahkan. Yang penting, berjaya ditanam kebencian terhadap mereka ini,” tulis Khalid dalam blognya,

Katanya, gelaran parasit itu asalnya digunakan oleh Datuk Dr Hassan Ali untuk melabelkan kumpulan yang menentang rancangannya untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/Barisan Nasional pada 2008 dengan dirinya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Dia berkata, mungkin juga pihak yang menggunakan gelaran parasit itu merupakan ‘tukang tiru’ Zulkifli Nordin yang mencipta gelaran Anwarinas dalam PAS.

“Adakah mustahil mereka ditaja? Oleh yang inginkan PAS dan PR berpecah untuk UMNO kekal memerintah,” katanya yang sangsi mana datangnya wang untuk mencetak buku itu.
-fmt-

Inilah dua beranak yang ludah dan tampar polis

ANGGOTA polis mengiringi Shaikh Abdul Wahab (dua kiri) dan anaknya, Shaikh Abdul Shukor (dua kanan) di Mahkamah Majistret. FOTO Mikail Ong
Georgetown: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, sebentar tadi atas kesalahan meludah dan menampar seorang anggota polis pada 15 April lalu.

Shaikh Abdul Wahab Shaikh Ibrahim, 67, bersama anaknya, Shaikh Abdul Shukor Shaikh Abdul Wahab, 31, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal Mohamed Shahrul Nizam Mohamed Salleh di Jalan Pattani, Georgetown.

Majistret L Umma Devi kemudian menetapkan jaminan RM3,000 seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, peguam kedua-dua tertuduh, Muhammad Asri Abdul Hamid, ketika ditemui di luar kamar, berkata, Shaikh Abdul Shukor mempunyai penyakit bengkak hati manakala bapanya adalah pesakit jantung.

"Kedua-dua tertuduh mempunyai penyakit dan itu menyebabkan mereka bertindak di luar jangkaan terhadap mangsa," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan kes akan disebut semula pada 19 Mei hadapan.
-hmetro-

(Gambar) Bukan hantu,penunggu atau lembaga putih mereka maksudkan itu saya - Tok Man

Batu Pahat: “Penunggu atau lembaga putih mereka maksudkan itu saya,” kata Sulaiman Mangat, 77, atau lebih dikenali sebagai Tok Man berhubung gambar viral di laman media sosial mendakwa kononnya ada lembaga putih menyerupai perempuan tua bertongkat di Jalan Ayer Hitam-Batu Pahat berhampiran Parit Khalil, di sini.

Penyebaran gambar itu bukan saja menggemparkan penduduk kampung di situ, malah mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya selepas lembaga itu dikatakan menjadi punca kemalangan jalan raya yang meragut nyawa.

Menurut Sulaiman, dakwaan itu ternyata tidak benar kerana lembaga putih dimaksudkan itu adalah dirinya yang sedang dalam perjalanan ke Surau Sentosa Parit Khalil Laut, jam 5.45 pagi menunaikan solat Subuh.

Katanya, secara kebetulan dia pada pagi itu menggunakan jalan pintas dikelilingi pokok sawit dengan memakai jubah dan serban berwarna cerah.

“Mungkin apabila saya keluar dari celah pokok sawit itu dan ditambah dengan pakaian serba putih, ia mengejutkan penduduk berhampiran.
-hmetro-

Bayar zakat tidak perlu lagi GST-Mufti

Adam Abu Bakar
Kerajaan dicadang mewujudkan mekanisma supaya tidak berlaku pertindihan pembayaran yang sesungguhnya membebankam umat Islam.
Zakat
PETALING JAYA: Masyarakat Islam yang telah membayar zakat tidak seharusnya lagi dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Cadangan itu dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi mengelak umat Islam terbeban dengan dua kali pembayaran -zakat dan GST.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak kerajaan mewujudkan satu mekanisme supaya tidak berlaku pertindihan pembayaran yang sesungguhnya membebankan.

Beliau juga mencadangkan supaya kadar enam peratus itu dikurangkan mengikut pada kemunasabahan dan kemampuan rakyat kebanyakan pada masa kini.

“Rakyat jelata dan orang ramai begitu ternanti-nanti ingin melihat hasil daripada percukaian GST. Adakah kualiti sistem pengangkutan awam, kemudahan awam, pembelajaran dan lain-lain yang bersifat maslahah (kerosakan) ‘ammah akan dibaikpulih,” katanya.

Bahkan, katanya, ketelusan dalam pelaksanaan ini haruslah dipertingkatkan dan dilakukan dengan penuh integriti dan amanah.

“Mekanisma, cara pungutan dan pengagihan perlu selamat daripada sebarang unsur penindasan dan orang-orang miskin dikecualikan daripada dibebani dengan cukai.

“Begitu juga mekanisma supaya tidak berlaku eksploitasi orang yang tidak bertanggungjawab yang perlu dikawal sebaik mungkin agar kemaslahatan terzahir,” ujar beliau lagi.
-fmt-

Wanita Bukan Islam lindungi pasangan Islam dari dihina

Tranungkite
SYDNEY - AUSTRALIA. Seorang wanita muda membuat keputusan untuk membuka mulut untuk melindungi sepasang suami isteri beragama Islam yang dihina di dalam sebuah komuter, Rabu lepas.

Menurut Dailymail, Stacey Eden, 23, berasa tertekan dan marah selepas seorang wanita pertengahan umur menuduh pasangan Islam berkenaan sebagai 'penyokong pengganas'.

Eden turut merakam kejadian berkenaan dan memuatnaik video ke laman sosial Facebook.

"Dia (perempuan Islam) memakai hijab kerana (untuk) bersederhana, bukan untuk orang seperti anda yang akan duduk dan tidak menghormatinya," luah Eden dalam video tersebut.

Sementara itu, wanita pertengahan umur berkenaan kedengaran berterusan menghamburkan penghinaan terhadap suami isteri berkenaan.

"Tutup mulut awak! (Kalau) anda tidak ada benda elok untuk cakap, jangan cakap apa-apa." kata Eden.

Eden kemudian membuat keputusan untuk menemani pasangan Islam berkenaan yang kemudiannya turun di sebuah perhentian.

"Saya terlepas stesen saya kerana saya mahu memastikan mereka (pasangan Islam) selamat," kata Eden yang sedang dalam perjalanan ke rumahnya di Maskot ketika itu.

Menurut jurucakap polis, polis menggalakkan saksi kejadian supaya tampil membuat laporan dan mereka akan menyiasat kejadian berkenaan.

Di mana Izzati

Di mana Izzati
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Taman Melawati, Siti Nur Izzati Mokhtar, 15 dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke sebuah pusat beli-belah di ibu negara, sejak Sabtu lalu.

Kakaknya, Fatimah Ihsan, 26, berkata, adik bongsu daripada tiga beradik itu meminta izinnya untuk keluar berdua bersama rakan sekolahnya dikenali sebagai Azizah.

Dia menghantar adiknya dan rakan ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai dan bercadang mengambilnya di pusat beli belah tersebut pada sebelah petang.

“Saya telefon dan mesej Izzati untuk mengambilnya tapi gagal dan sekitar jam 9 malam dia menghantar pesanan ringkas mengatakan dalam perjalanan pulang.

“Itulah kali terakhir saya dapat berkomunikasi dengan dia dan selepas itu hingga ke hari ini, kami sekeluarga gagal menghubunginya termasuk rakan yang keluar bersamanya pada hari tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Fatimah berkata, dia bimbang akan keselamatan adiknya yang tidak pernah meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama.

“Sebelum ini, dia tiada masalah dan tak pernah tidur di rumah rakannya apatah lagi tidak pulang ke rumah.

“Biasanya dia hanya ke Wangsa Walk, cuma pada hari itu Izzati mahu ke sana kerana ingin cuba permainan di pusat beli belah berkenaan,” katanya.

Fatimah amat berharap mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan Izzati boleh menghubunginya di talian 013-370 1104.
-sinarharian-

Bekas jururawat ini dijel lagi

Bekas jururawat dijel lagi
Bekas jururawat dijel lagi Tertuduh (tengah) ketika hadir ke mahkamah atas tuduhan sama sebelum ini.
KOTA BHARU: Seorang bekas jururawat yang pernah dijel atas kesalahan guna wang palsu dihukum penjara lapan tahun lagi atas kesalahan sama di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim Mohd Yusoff Yunus terhadap Nor Aziarina Ismail, 31, dan mengarahkan hukuman berkuat kuasa pada tarikh ia dijatuhkan.

Nor Aziarina didakwa menggunakan tiga not RM100 bernombor siri AJ2209377 dan dua not RM100 bernombor AD6926408 sebagai tulen yang dibuat dengan jalan pemalsuan untuk membeli seunit tablet 7.0 berjenama Asus daripada Muhamad Afifizuhdi Muhamad Sukri, 23.

Urus niaga berlaku di simpang tiga Bukit Tiu, Machang, jam 7.10 malam pada 26 November 2013.

Perbuatan tertuduh yang beralamat di Kedai Tepi Masjid Jelor, Pasir Puteh itu, menyebabkan mangsa kerugian RM700.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan dengan mengambil kira dia yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak masih kecil.

Tertuduh sebelum ini pernah dihukum penjara lapan tahun dan tiga tahun atas tuduhan membabitkan kesalahan sama. Nor Aziarina juga pernah dituduh bersama suaminya, Azahar Yusof, 39, menjalankan aktiviti memproses dan memiliki wang palsu, bagaimanapun lelaki itu dibebaskan.

Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 489 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
-sinarharian-

Bintang Hollywood Sebut Bush dan Cheney 'Pencipta' ISIS

Bintang Hollywood Sebut Bush dan Cheney 'Pencipta' ISIS
Sean Penn. REUTERS/Mario Anzuoni
TEMPO.CO, Jakarta: Saat tampil dalam acara TBS "Conan," Rabu, 18 Maret 2015, aktor senior Hollywood Sean Penn menyatakan bahwa mantan Presiden Amerika George W. Bush dan Wakil Presiden Amerika Dick Cheney yang "menciptakan" ISIS, kelompok teror yang telah menguasai sebagian besar Irak dan Suriah. Pernyataan tersebut sejalan dengan penyelidikan CBS News yang menelusuri bahwa akar ISIS berasal dari penjara militer AS di Irak, setidaknya dua tahun setelah Bush pensiun.

"Merekalah orang-orangnya, ia dan Presiden Bush dan beberapa orang lain, yang menemukan Daesh atau ISIS," katanya mengacu pada Cheney, seorang Republikan yang oleh kaum liberal disebut sebagai “Darth Vader”.

"Maksud saya, merekalah yang benar-benar membuat itu, jadi saya ingin meneriaki mereka," kata Penn kepada rekannya, Conan O'Brien.

Penn juga ingat bahwa Bush sempat memperingatkan bahwa kelompok seperti ISIS akan terbentuk pada tahun 2007 jika AS ditarik keluar dari Irak terlalu cepat. Peringatan itu sayangnya diabaikan Obama.

Penn bukan penganut liberal pertama yang menyalahkan Bush untuk situasi saat ini di Irak. Tahun lalu, Senator Barbara Boxer, D-Calif, menyalahkan Bush meskipun faktanya Obama adalah pria yang sekarang menjalankan pemerintahan sejak tahun 2009.

Penn, yang belum selesai dengan omelan kebencian terhadap Cheney, menyebut mantan wakil presiden itu sebagai "bakteri kebencian pada kemanusiaan". Ia bertanya-tanya bagaimana pria asal Wyoming itu masih bisa hidup setelah menderita penyakit jantung.

"Ini selalu menjadi kejutan bagi saya untuk mengingat bahwa, melalui teknologi bionik dan sebagainya, orang ini masih di sini. Kami memiliki orang-orang seperti Harvey Milk yang cerdas, brilian, punya pengaruh, dan, kau tahu, kemudian Anda punya Cheney. Saya hanya bisa merenungi hai ini," ia menambahkan.

Penn memenangi Oscar pada 2009 untuk perannya sebagai Milk, gay pertama yang terpilih untuk jabatan publik di California. Dia dilaporkan muncul di "Conan" untuk mempromosikan film terbarunya, The Gunman.

Republikan memberikan tanggapan dengan mengatakan bahwa sudah sejak Februari 2011 mereka pertama kali mengatakan bahwa liberalisme, pada intinya, adalah sebuah ideologi kemarahan dan kebencian. “Kaum liberal seperti Penn membuktikan pernyataan kami benar dan terjadi setiap hari.”

Umno kecut perut: Siti Nurhaliza boleh tenggelam suara Umno

Khairil Ashraf 
Sokongan yang dibuat golongan artis dianggap merbahaya ke atas Najib.
siti, mahathir
PETALING JAYA: Kenyataan secara terbuka Penyanyi No 1 Negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, menenggelamkan sokongan yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada ahli UMNO.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, sokongan yang dibuat secara ikhlas itu amat merbahaya ke atas Najib.

Atas sebab itu, ia tidak diketengahkan oleh akhbar perdana yang pro Najib.

“Jika tidak “ merbahaya” sokongan ini masakan semua akhbar diminta membenamkan berita ini. Bodohkah semua Ketua Pengarang akhbar sehingga tidak nampak nilai berita ini?

“Suara Siti Nurhaliza berada dihati pencintanya dan kejelitaan Rozita dalam kesederhanaannya menutup kejelitaan wanita-wanita yang berpakaian atau berbarang kemas berjuta ringgit. Sokongan dalam pilihanraya tidak hanya berasaskan kepercayaan politik.

Dalam entri terbarunya zamkata.blogspot.com, beliau menulis, artis seperti Siti Nurhaliza dan Che Ta mewakili suara rakyat dan fakta itu dikaitkan dengan kejatuhan Presiden Suharto sebagai Presiden Indonesia.

Katanya, lagu Singkong dan Keju telah membangkit perasaan marah rakyat republik itu presiden yang berkuasa lebih 30 tahun.

Sebelum ini, dalam albumnya Siti Norhaliza pernah mendendangkan lagu Lelaki yang dikatakan ditujukan khas kepada Dr. Mahathir dan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.
-fmt-

Ini ada beberapa hujah kenapa rakyat Malaysia patut sokong GST?

Adakah Rakyat Malaysia Yang Suka GST ?
Mohammad Agus Yusoff
Jika saya, jawapannya mudah: Saya tidak suka GST kerana benci dengan penjelasan kerajaan yang menyatakan GST menurunkan harga barang. Ini hujah yang tidak jujur.
Bagi kebanyakan rakyat, mereka tidak suka GST kerana menyebabkan barang naik dan ini membebankan kehidupan mereka. Kata mereka: “tidak ada pun harga barang keperluan yang turun.”

Hairannya ada juga kawan-kawan saya yang mendokong kuat GST ini. Kata mereka GST meninggalkan kesan yang baik. Antaranya ialah:
i. Rakyat semakin cerdik memilih kedai yang boleh dituju.

ii. Rakyat merancang bajet dan berbelanja untuk barang bekeperluan sahaja.

iii. Institusi keluarga menjadi semakin kukuh kerana rakyat makan di rumah.

iv. Rakyat berani bersuara kepada pekedai untuk menjaga hak mereka sebagai pengguna.

v. Rakyat menyimpan resit untuk menghargai kos produk yang dibeli.

vi. Rakyat mula berjimat dan ini baik untuk meningkatkan tabungan.

vii. Pekedai dan peruncit tidak lagi berani menipu kerana takut kepada hukuman melalui Akta Pencatutan.

viii. Rakyat semakin jimat berbelanja untuk mengelakkan pembaziran.

Saya berfikir lama untuk menghadam hujah kebaikan GST di atas. Tapi semakin saya fikir, semakin otak saya menolaknya.

Mengapa? Ini kerana hujah di atas sengaja dibuat dan dicipta. Hujah sebegitu tidak ikhlas dan tidak ada roh.

Moralnya: Berilah penjelasan yang betul dan konsisten kepada rakyat. Alasan yang banyak berbelit menyebabkabn rakyat hilang keyakinan kepada kebaikian GST, jika ada

Pelik, masuk praya tapi Putrajaya bukan matlamat

A Shukur Harun
Ramai yang berkongsi kerunsingan dan menyertai kebimbangan bekas pemimpin PAS, Ustaz Haji Ahmad Awang apabila beliau berkata, “ramai yang sedih melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat."
"Sama ada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang mengentahui.”

Menurut Ahmad Awang, kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tidak penting” dan sebagainya adalah sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.

Ungkapan seperti ini bermunculan ketika tercetusnya krisis berat dalam PAS sendiri sekarang ini, lebih-lebih lagi menjelang Muktamar Tahunan PAS bulan Jun depan.

Menurut pendapat saya, pandangan PAS mampu bersendirian sementara sokongan bukan Melayu tidak penting adalah kata-kata yang menggambarkan betapa naifnya bacaan politik mereka ini, yang sama sekali tidak berasaskan realiti politik yang ada.

Bahkan pandangan begini membahayakan kelansungan masa depan PAS lebih-lebih lagi apabila golongan ini berkata, “Putrajaya bukan matlamat kami”.
Pandangan seperti ini bukan saja aneh, tetapi juga membayangkan pemikiran paranoid, kecelaruan, bahkan kedangkalan politik.

Belum pernah dalam sepanjang sejarah politik moden seperti PAS yang berjuang untuk kemenangan politik dan kuasa, tiba-tiba merasakan Putrajaya (pusat kuasa) tidak penting.

Kalau begitu adakah PAS mahu berhenti sebagai parti politik dan hanya mahu menjadi badan dakwah? Pendapat begini bertentangan dengan wawasan pemimpin masa lalu. Perlu diingat, pelaksanaan hudud itu sendiri, umpamanya memerlukan kuasa politik. Oleh itu sangat aneh dan dangkal pemimpin politik yang berkata, “Putrajaya bukan matlamat kami.”

Sepanjang sejarahnya, selama ini pemimpin PAS berjuang dalam politik diiringi dengan niat untuk mencapai keredhaan Allah. Ini bermakna kemenangan politik dan redha Allah itu tidak pernah terpisah. Oleh itu, janganlah ada pemikiran dangkal memisahkannya.

Sementara itu, jika ada pemikiran PAS perlu menumpukan perhatian kepada pengundi kawasan majoriti Islam saja untuk menang, maka pemikiran politik seperti itu sangat naif dan ketinggalan zaman.

Ia hanya merugikan PAS sendiri dan tidak menolong usaha memperkukuh Pakatan Rakyat yang dipersetujui bersama dalam empat kali muktamar tahunan PAS sebelum ini.

Keadaan ini berasaskan realiti demografi pengundi di negara ini yang taburannya pelbagai, di mana negeri di Pantai Timur – Terengganu dan Kelantan – jumlah pengundi Melayunya besar. Tetapi di Pantai Barat, jumlah pengundi Melayu sekitar 60% atau kurang dari itu, sementara jumlah pengundi bukan Melayu ialah sekitar 40%.

Adalah sangat naif jika berfikir cukupkah kalau PAS dapat menang di negeri yang majoriti Melayunya besar, seperti di Pantai Timur.

Sikap seperti itu hanya mahu menarik PAS undur ke belakang 20 atau 30 tahun. Tidak munasabah jika PAS yang sudah berumur 63 tahun hendak ditarik ke belakang semakin jauh.

Sementelah lagi apakah teori memberi fokus lebih kepada kawasan Melayu itu saja, konon kerana orang Melayu majoritinya “pasti” akan mengundi PAS dengan andaian ia didukung orang Melayu/Islam. Sejarah pilihan raya yang lalu menunjukkan keadaan seumpama ini jarang, malah tidak berlaku.

Menurut suatu kajian lain pula, jumlah pengundi Melayu di luar bandar akan jauh merosot di tahun-tahun akan datang di mana mungkin susut hingga tinggal 25% saja dari jumlah keseluruhan peratusan pengundi di Malaysia hingga PRU akan datang.

Ini kerana jumlah pengundi di luar bandar banyak berpindah, mengikut anak di bandar, meninggal dunia dan beberapa sebab lagi ke bandar. Dengan itu jumlah pengundi Melayu seperti di Lembah Kelang, sekitar bandar di Johor, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan lain-lain akan terus bertambah.

Oleh itu, tumpuan pengundian pada asasnya kini ialah di dalam bandar, iaitu pengundi Melayu dan bukan Melayu. Ini tentunya sangat signifikan dalam menentukan kemenangan sesuatu parti yang bertanding dalam PRU akan datang.

Dalam PRU yang lalu, banyak calon PAS menang di kawasan campuran iaitu di bandar seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, terbukti sukar bagi calon PAS untuk menang.

Inilah hakikat yang sebenarnya dan terimalah realiti ini walaupun mungkin sukar diterima. Parti politik yang matang menerima realiti yang wujud dan berusaha berasaskan rialiti yang ada.

Bagaimanapun saya yakin, pendukung PAS yang berfikiran jauh ke depan tidak akan berfikir untuk bertanding secara bersendirian dalam PRU akan datang betapapun didorong kemarahan atas apa yang berlaku dalam Pakatan sendiri. Emosi dan pemikiran sempit tidak wajar diberi ruang dalam membuat keputusan politik.

Pemikiran besar dan jauh ke depan perlu ada pada pendukung PAS. Maka di sinilah saya masih ingat pesan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Mat, beberapa tahun lalu:

“Kita (PAS) berada dalam Pakatan Rakyat, banyak manfaatnya. Kita dapat berdakwah dengan luas kepada semua kaum. Kita dapat menjalin hubungan dengan mudah dengan bukan Islam.”

Memang diakui sejak krisis yang menimpa Pakatan Rakyat lebih tujuh bulan lalu dan merecik menjadi krisis dalam PAS sendiri, tetapi ini tidaklah boleh menyebabkan sesetengah pendukung PAS terdorong mahu PAS bersendirian dalam perjuangan politik walau apa hujah pun.

Seperti diketahui, sebanyak empat kali muktamar PAS bukan saja menunjukkan komited dengan Pakatan Rakyat, bahkan berikrar memperkukuh Pakatan Rakyat.

Jadi tidaklah wajar ada sesetengah pihak di dalam PAS sendiri, walau dalam status apa pun, begitu mudah mengeluarkan kenyataan bersifat mengugut, mendesak, mengancam, menyindir, memberi kata dua dan sebagainya mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Yang perlu di sini ialah PAS bersama komponan Pakatan perlu kerap berunding untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul.
http://muktamarpas61.blogspot.com/

Perdana Menteri Dan Menteri Yang Melayan Orang Gila

Zainudin maidin
Pak Chat Gila seorang yang mempunyai nama besar di Kedah dan Seberang Perai di awal tahun 60an. Sama ada dia tiga suku atau gila sepenohnya saya tidak tahu tetapi orang panggilnya Pak Chat gila. Saya adalah diantara ramai orang yang pernah dihalaunya balik sembahyang Magrib ketika menunggu untuk masuk ke panggung wayang tayangan jam tujuh petang.

Pak Chat biasanya berada di panggung Empire Alor Setar dan berteriak : Lembu! kerbau! balik! balik sembahyang! tetapi dia sendiri berada di depan panggung wayang ketika waktu sembahyang.
Identiti Pak Chat tak pernah bertukar, Dia memakai seluar pendek labuh dan kain pelekat yang disintingnya keatas separuh paha,berbaju kemeja dan mengepit payung. Kawasan operasinya dari Stesen Keretapi Bukit Mertajam hingga ke Stesen Keretapi Alor Setar.
Dia tunggu keretapi dari Kuala Lumpur yang singgah awal pagi di Stesen Bukit Mertajam dan menjadi penumpang percuma hampir setiap hari ke Alor Setar. Konduktor tidak pernah mempedulikannya.

Dia tidak sahaja di kenali oleh rakyat biasa tetapi juga pembesar-pembesar negara termasuk Menteri Pelajaran Mohd Khir Johari dan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman dan dia juga mengenali mereka.

Menteri Pelajaran Mohd Khir Johari (Pak Khir) suka melayannya. Abang Ipar saya seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani menceritakan ketika Pak Khir sedang berucap di upacara anugerah liga bola sepak antara sekolah -sekolah Kuala Muda, tiba tiba Pak Chat muncul didepan pentas dengan mengepit payungnya.

Beberapa orang guru cuba menariknya ketepi tetapi Pak Khir dengan segera memanggil Pak Chat naik ke pentas dan menyuruhnya duduk di kerusinya yang kosong menyebabkan orang ramai ketawa gembira.

Hingga hari ini saya tidak dapat melupakan sekeping gambar di muka depan Straits Times yang menunjukan Pak Chat berada dalam suatu barisan tetamu kehormat yang hendak menziarahi kemangkatan Sulan Perak Sultan Izzuddin Shah pada Januari 1963. Pak Chat berada betul -betul di belakang Tunku Perdana Menteri dengan sebelah tangannya memegang kasut seliparnya dan sebelah tangan lagi mengepit payungnya

Barangkali pihak keselamatan tidak berani menariknya keluar kerana mengetahui Tunku juga mengenalinya dan melayannnya. Saya ingin membeli gambar ini jika masih ada dalam simpanan NST( dulu Straits Times).

Tunku dan Pak Khir mempunyai hubungan yang baik hingga ke akhir hayat kerana mempunyai minat yang sama dalam kehidupan riang ria,suka berjenaka dan pandai membuat jenaka.

Tunku dan Pak Khir amat mesra dengan para wartawan. Apabila melihat ramai pemberita menunggunya, Tunku akan berkata lalat-lalat dah nak hurung atau apabila melihat wartawan yang lama tidak ditemuinya akan berkata" Oh awak masih hidup" dan Pak Khir pula akan berkata" beruk beruk dah mai"tetapi para pemberita tidak pernah marah dengannya.

Saya difahamkan Pak Khir tidak mahu menerima anugerah Tan Sri sehingga Dr Mahathir sendiri sebagai Perdana Menteri menalifonnya.

Semuga cerita- cerita ini akan dapat mengurangkan ketegangan politik yang sedang berlaku sekarang yang mungkin akan mendatangkan perpecahan yang lebih besar di kalangan orang Melayu.
-http://zamkata.blogspot.com/

KWSP: Wang persaraan atau wang anak cucu pesara

Fauziah Arof
“TUNGGU 60 tahun baru boleh keluar duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Aku keliru ni... KWSP sebenarnya urus wang untuk simpanan persaraan atau simpanan untuk anak cucu?”

Itu antara komen yang saya baca dalam media sosial apabila keluar berita tentang cadangan KWSP untuk menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya kepada usia persaraan 60 tahun, Sabtu lepas.

Walaupun setakat ini cadangan itu masih kekal sebagai cadangan kerana perlu dibawa ke Kabinet untuk di­bincangkan sama ada boleh dilaksanakan atau tidak, tetapi cadangan berkenaan telah banyak membuatkan orang ramai marah.
Bagaikan tidak kena pada waktunya, cadangan itu di­suarakan ketika orang ramai masih terpinga-pinga dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula pada 1 April lalu yang sistemnya dikatakan baik tetapi diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan.

Betapa tidak, sehingga kini ramai tertanya-tanya barang mana yang turun harga kerana sebelum ini dikatakan akan ada penurunan harga barang tertentu apabila GST dilaksanakan.

Sudah tentunya ini semua menambah kacau dan serabut dalam kepala orang ramai. Isu-isu yang membabitkan wang rakyat termasuk cadangan pengeluaran wang simpanan pada usia 60 tahun ini pasti membuatkan orang ramai cepat tersentap.

Tersentap kerana kita kini melalui fasa berperang de­ngan kos sara hidup yang kian meningkat sedangkan pendapatan tidak banyak berubah atau tidak berubah langsung terutamanya dalam sektor swasta. Ini hakikat yang tidak boleh ditolak.

Jadi apa saja cadangan yang boleh menambah beban rakyat, lebih baik didiamkan saja ketika ini.

Ini kerana rakyat perlukan dasar-dasar yang tidak menekan lagi kehidupan mereka. Kalau sudah boleh keluar wang pada usia 55 tahun, kenapa perlu tambah lima tahun lagi atas sebab semata-mata tidak mahu wang itu cepat dihabiskan pencarum.

Sedangkan dalam usia sudah mencapai warga emas, kebanyakan rakyat negara ini masih bergelut dengan bebanan hutang terutamanya ansuran rumah.

Perlu diingat, ramai rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah tidak mempunyai wang simpanan di bank pun kerana tiada lebihan wang untuk menabung. Mereka cuma ada simpanan dalam KWSP sahaja.

Maka wang itulah yang diperlukan untuk membayar kos perubatan bila sakit. Kita pun tidak tahu berapa ba­nyak pula kos perubatan akan naik pada masa depan. Ada yang mahu gunakan wang itu untuk ke tanah suci dalam usia 50an ketika kesihatan masih baik. Ada yang masih menanggung anak yang belajar di pusat pengajian tinggi dan macam-macam lagi keperluan dan perancangan.

Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh pakar ekonomi yang menunjukkan rata-rata pencarum cenderung untuk menghabiskan wang simpanan dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh sepatutnya tidak boleh dijadikan sebab untuk perlunya menambah lima tahun lagi pengeluaran wang.

Hakikatnya wang simpanan persaraan adalah hak pencarum. Janganlah membuat perkara-perkara yang menyukarkan pencarum untuk mengeluarkan wang mereka sendiri. Kalau wang itu tidak dapat bertahan lama sekali pun, sudah pasti ia dihabiskan untuk memenuhi keperluan pencarum.

Lainlah kalau KWSP memberi pilihan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan itu sama ada dalam usia 55 atau 60 tahun.

Perlu diingat purata jangka hayat rakyat di negara ini tidak sampai 79 tahun bagi wanita dan lelaki kurang daripada itu. Dalam usia 60 tahun, risiko menghidap macam-macam penyakit termasuk yang kronik adalah amat tinggi.

Jadi apabila sudah sakit-sakit baru boleh menikmati wang persaraan atau umur tidak sempat ke angka 60 itu, maka betullah wang caruman tersebut lebih tepat dipanggil wang simpanan anak cucu pekerja ! 
- utusan.com.my

Pakatan sulit Anwar-Mahathir asak Najib?

Khabar angin terdapat pakatan sulit Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan perdana menteri adalah tidak benar, kata pemimpin Umno Wilayah Persekutuan.
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata penyebaran dakwaan itu sebahagian kempen fitnah menjatuhkan Datuk Seri Najin Razak yang juga presiden Umno.

Syed Ali menuduh pembangkang terlibat menyebarkannya di laman-laman sosial dan portal berita.

“Dalam keadaan hubungan mereka agak kurang selesa, ada pihak ambil kesempatan sebarkan fitnah kononnya berlaku pakatan Dr Mahathir dan Anwar,” tegas ketua Umno Cheras itu.

Blog Umno bahagian itu juga melaporkan Syed Ali sebagai yakin ahli-ahli Umno tidak mudah terpedaya dengan spekulasi itu.
“Ahli-ahli Umno yang berikan mandat kepada Najib, sudah tentu mereka akan mempertahankan kedudukan presiden parti selaku Perdana Menteri,” tegasnya.

katanya, khabar angin itu munsul selepas Mahathir hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bapa Anwar, allahyarham Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 4 April lalu.

Dr M sendiri pecat Anwar

Mahathir diringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berada di rumah allahyarham di Kajang sebelum Anwar tiba dari Penjara Sungai Buloh.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga naib presiden Umno.

Syed Ali hari ini berkata beliau kesal kunjungan Dr Mahathir ke rumah bapa Anwar disalah ertikan oleh pihak tertentu.

“Saya sedih kerana menziarahi orang yang meninggal dunia telah dipolitikkan, ini perbuatan tidak baik,” katanya lagi.
Menurut beliau, kesannya bukan setakat menjejaskan nama baik Dr Mahathir tetapi juga turut dirasai oleh keluarga Ibrahim.

“Bagi saya, kunjungan Dr Mahathir itu sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham yang sebelum ini pernah aktif dalam Umno,” tegasnya.

Syed Ali juga berkata, tidak ada kewajaran bagi Mahathir untuk berpakat dengan Anwar yang dipecatnya sendiri daripada Umno dan kerajaan.

“Ada yang kata politik itu serba mungkin, tetapi dalam isu ini, agak mustahil bagi Dr Mahathir,” katanya.
-malaysiakini-

Sedekah jariah atau maksiat jariah?

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
KITA biasa mendengar mengenai sedekah jariah iaitu pahala amalan sedekah yang berterusan walaupun setelah meninggal dunia.

Ini kerana kesan daripada sedekahnya itu masih lagi dimanfaatkan oleh orang lain seperti membina masjid, sekolah dan sebagainya. Ini disebutkan dalam hadis Nabi SAW:

“Apabila meninggal seseorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: dari sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Riwatat Imam Muslim)

Di samping sedekah jariah ini, terdapat juga apa yang dinamakan dengan dosa atau maksiat jariah. Dalam bahasa Arab, perkataan 'jariah' bermaksud berlari atau mengalir seperti dikatakan sungai yang mengalir dengan 'nahr jar'. Kemudian perkataan berlari atau mengalir ini membawa maksud kekal atau berterusan.

Justeru, sedekah jariah atau maksiat jariah bermaksud pahala atau dosa yang masih lagi kekal dan berterusan bertambah walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia, kesan daripada perbuatan yang dilakukan semasa hidupnya di dunia, sebagaimana firman ALLAH:

“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan, serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (catatan amalan) yang jelas nyata.” (Yasin: 12)

Sesungguhnya pahala amalan baik dan dosa amalan buruk adalah perkara yang tidak dapat diragukan lagi kerana perhitungan atau hisab pada hari kiamat adalah berdasarkan kepada timbangan-timbangan amalan, sebagaimana firman ALLAH:

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Al-Anbiya’:47)

Manusia setelah meninggal dunia terbahagi kepada beberapa bahagian berdasarkan kepada amalan baik dan buruk mereka di dunia.

Pertama, orang yang meninggal dunia, maka terputuslah pahala amalan baik dan dosa amalan buruknya. Hanya baginya pahala atau dosa atas perbuatan yang telah dilakukannya di dunia semasa hidupnya.

Kedua, orang yang meninggal dunia, tetapi dosa dan pahalanya masih lagi berterusan. Orang sebegini, kesudahannya adalah bergantung pada berat timbangan salah satu daripada kedua-duanya, sama ada dosanya lebih berat atau pahalanya lebih berat.

Ketiga, orang yang meninggal dunia, namun pahalanya masih lagi berterusan kesan peninggalan amalan baiknya di dunia, sesuai dengan kadar keikhlasannya kepada ALLAH dan kesungguhannya melakukan amalan baik tersebut. Betapa bahagianya hidup orang sebegini di alam kuburnya sesudah kematiannya.

Keempat dan yang paling buruk adalah orang yang meninggal dunia dalam keadaan pahalanya telah terputus tetapi dosanya masih lagi berterusan sepanjang masa dia berada di alam kubur.

Malah dosanya semakin bertambah dari sehari ke sehari, sehinggalah dia dibangkitkan pada hari kiamat dengan membawa bergunung-gunung dosa yang dia sendiri tidak menyangkanya. Betapa rugi dan menyesalnya dia nanti di akhirat kelak.

Perihal dosa jariah ini, Imam al-Ghazali telah menyebutkan tentang perkara ini dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din dengan kata-katanya:

“Betapa beruntungnya buat orang yang mati, dalam masa yang sama, dosanya juga turut mati (terhenti), tetapi celakalah buat orang yang mati, namun dosanya masih kekal berterusan selama seratus tahun, dua ratus tahun, atau lebih dari itu. Dia diazab di dalam kuburnya kerana dosa-dosa tersebut.”

Sesungguhnya nas-nas al-Quran juga jelas menyatakan perkara ini, antaranya firman ALLAH SWT.

“(Mereka dibiarkan menuduh dengan demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar. Sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.” (Al-Nahl: 25)

Dalam dunia media sosial masa kini dengan aplikasi perkongsian maklumat yang serba canggih seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram dan pelbagai lagi, hakikatnya mendedahkan kita kepada ancaman maksiat jariah sebagaimana yang dibincangkan.

Kecenderungan untuk berkongsi menyebarkan maklumat yang tidak diketahui sumbernya sememangnya boleh menjerumuskan kita kepada dosa atau maksiat fitnah.

Dosa fitnah yang kita sebarkan ini pula akan berterusan selama mana perkara tersebut terus tersebar walaupun kita telah meninggal dunia, kesan dari apa yang kita buat yang diikuti dan dipercayai oleh orang lain.

Moga-moga kita semua dijauhkan daripada menjadi muflis di akhirat lantaran tingkah dan olah kita sendiri.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
-sinarharian-