"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Bapa kejam seterika muka, kemaluan anak perempuan berusia lima tahun

Seorang bapa dari Lagos, Nigeria tergamak melakukan kekerasan dengan menyeterika muka dan kemaluan anak perempuannya yang berusia lima tahun, baru-baru ini.

Semuanya tercetus hanya kerana si anaknya itu membuang air besar di atas lantai sehingga menyebabkan bapanya ‘naik hantu’ melakukan jenayah tersebut.

Suspek, Surakat Idowu bagaimanapun telah berjaya ditahan pihak polis tempatan di negara Afrika tersebut.

Difahamkan, kanak-kanak malang itu tinggal bersama-sama bapanya selepas ibu bercerai lebih tiga tahun lalu.

Jiran yang menyaksikan insiden itu kemudiannya telah mendail talian kecemasan sehingga membawa kepada penahanan Surakat; 45.

Susulan ‘serangan’ itu, budak perempuan itu melecur teruk di bahagian muka sementara kemaluannya membengkak.

Saksi yang menceritakan kejadian itu berkata: “Suspek yang bekerja sebagai mekanik telah menyuruh anaknya membuang tahi beraknya ke dalam mangkuk tandas yang terletak di belakang rumah mereka.

“Namun disebabkan licin, budak itu tertumpahkan tahinya ke atas lantai. Suspek yang berang kemudiannya mengambil seterika dan memukul serta menekap seterika di bahagian muka dan kemaluan mangsa,” jelas saksi.

Kanak-kanak itu kini dirawat di sebuah hospital berdekatan berikutan kecederaan melecur yang dialaminya dan berkemungkinan besar akan dipelihara oleh pihak jabatan kebajikan tempatan selepas ini.

Bapanya pula akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat selepas semua bukti berjaya dikumpulkan pihak pendakwa raya.
-kualalumpurpost 

Guru didakwa lakukan kelucahan melampau terhadap murid lelaki berumur 11 tahun

Kuala Lumpur: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan merangsang murid lelaki berumur 11 tahun untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kamarul Azamin Mohamad, 37, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap murud itu di bilik guru di sebuah sekolah rendah di sini pada 9 pagi, 4 Mei 2016.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap murid sama di bilik komputer sekolah itu pada 8.45 pagi, 6 Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membenarkan guru itu diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia dilarang mendekati saksi sementara menunggu perbicaraan pada 2 November.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa tidak menawarkan sebarang jaminan dan meminta syarat tambahan supaya tertuduh tidak menganggu saksi.

Peguam, Datuk Taqiyuddin Yahya yang mewakili Kamarul Azamin merayu supaya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan memandangkan dia memberi kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dilakukan.

Taqiyuddin berkata tertuduh, yang mempunyai dua anak, merupakan guru bertanggungjawab serta suka bergaul dengan murid-muridnya. 
-Bernama

9 Kesan Sampingan Bahaya Makan Buah Durian

Ttranungkite

Durian adalah buah yang lazat tetapi ada segelintir orang yang tidak menyukai durian disebabkan oleh baunya yang menyengat. Isi durian sangat lembut sesuai untuk dipadukan dengan makanan dan minuman. Namun siapa sangka di sebalik kelazatannya, durian boleh menjadi sangat berbahaya bagi kesihatan. Untuk orang tertentu, durian tidak digalakkan untuk dimakan.

Durian buah yang berkhasiat, vitaminnya yang banyak sangat bermanfaat bagi tubuh. Namun di sebalik kelazatan durian menyimpan kesan yang boleh menyebabkan kematian. Malangnya tidak semua masyarakat tahu akan bahaya dan kesan sampingan dari durian.

Durian Menyebabkan Kolesterol Tinggi

Bahaya dan kesan sampingan buah durian yang pertama adalah menyebabkan kolesterol tinggi. Durian mengandungi kolesterol yang sangat tinggi. Bagi orang yang sebelum ini mempunyai riwayat kolesterol sebaiknya jangan mengambil durian secara berlebihan. Memakan durian secara berlebihan boleh menyebabkan kadar kolesterol naik.

Durian Menyebabkan Diabetes

Kandungan glukosa yang tinggi dalam durian boleh memacu kenaikan kadar gula darah, sehingga risiko terkena diabetes semakin besar.
Pesakit diabetes tidak boleh memakan durian secara berlebihan. Kandungan glukosa di dalam durian boleh menaikkan kadar gula darah pesakit diabetes lebih cepat dibandingkan dengan glukosa di dalam gula pasir.

Durian Menyebabkan Kematian Janin

Janin yang ada di dalam kandungan tidak mampu menahan panas yang berlebihan. Jika wanita hamil memakan durian, kesan di perut akan panas. Panas berlebih akan mencetuskan kematian janin. Buat ibu hamil sebaiknya menghindari atau meminimakan pengambilan durian

durian bahaya

Durian Menyebabkan Penyakit Jantung

Penyakit jantung boleh disebabkan oleh pengambilan durian secara berlebihan. Penyakit jantung yang dialami akan lebih buruk dengan pengambilan durian yang berlebihan. Alkohol dan kandungan kolesterol yang tinggi pada buah durian membuat degupan jantung pesakit jantung terpacu lebih cepat lagi..

Durian Menyebabkan Kematian Pada Pesakit Hipertensi (WAJIB INGAT)

Orang yang menghidap tekanan darah tinggi biasanya mempunyai komplikasi dengan penyakit jantung. Kandungan alkohol yang ada di dalam buah durian mampu menaikkan tekanan darah pesakit hipertensi. Tekanan darah naik akan mencetuskan degupan jantung lebih cepat dan diserang penyakit jantung secara mendadak. Tekanan darah seseorang yang sering berada di atas tekanan 200 akan membuat dirinya terdedah terkena penyakit jantung. Jika tekanan darah dan jantung menyerang secara serentak, kesan kematian boleh terjadi padanya.

Menyebabkan Kematian Jika Dicampurkan Dengan Minuman Beralkohol

Kandungan alkohol yang ada di dalam durian akan menyebabkan kematian jika bertemu dengan alkohol dalam minuman keras. Alkohol yang bertemu dengan alkohol akan menghasilkan sulfur atau belerang. Sulfur yang masuk ke dalam tubuh seseorang akan menurunkan metabolisme dan sistem imun seseorang, bahkan jika jumlah sulfur yang masuk ke dalam tubuh sangat banyak akan menyebabkan kematian.

bahaya durian

Masalah Pencernaan Hingga Kematian

Pengambilan durian tidak boleh diiringi dengan minuman seperti kopi dan alkohol. Kopi merupakan minuman pencetus tekanan darah tinggi. Kerap mengambil durian bersama kopi akan membuat seseorang terkena penyakit komplikasi. Durian juga tidak boleh dicampurkan dengan soda sebab jika ia sering dilakukan akan membuat seseorang terkena gangguan pencernaan. Masalah pencernaan dalam jangka panjang akan membuat usus dan perut terluka bahkan berlubang.

Durian Menyebabkan Penyakit Ginjal

Di dalam durian terdapat zat ethanol, methanol dan juga ethyl metacrylate serta kompaun berupa sulfur atau belerang. Bahaya etanol dan metanol juga sudah sangat membimbangkan bagi kesihatan. Untuk pesakit buah pinggang, semua bahan-bahan tersebut sangatlah tidak baik untuk buah pinggang kerana buah pinggang yang sudah sakit tidak dapat menghuraikan semua bahan tersebut. Akibatnya prestasi buah pinggang terbeban dan prestasi buah pinggang menurun dari 40 peratus menjadi 35 peratus.

Bahaya Buah Durian menyempitkan Pembuluh Darah

Kompaun berupa alkohol dalam durian boleh menyebabkan penyempitan saluran darah di dalam otak. Pembuluh darah menyempit membuat oksigen tidak dapat disalurkan ke otak secara maksimum, akibatnya strok menyerang.

Tips Pengambilan Buah Durian

Jangan takut untuk mengambil buah durian. Bagi anda yang sihat dan mengambil durian asal tidak berlebihan tidak akan memberikan apa-apa kesan. Selain itu ada beberapa cara yang boleh menghindarkan anda dari kesan sampingan durian, caranya adalah berikut ini:

-Minum Air putih sebanyak-banyaknya sehabis memakan durian, jangan meminum air yang berwarna.
-Manfaatkan rongga pada kulit durian. Isi rongga yang ada menggunakan air. Biarkan beberapa saat, lalu minum airnya. Cara ini bermanfaat untuk menghilangkan bau durian pada mulut dan juga boleh mengawal tekanan darah seseorang. Jika cara ini tidak dilakukan, banyak yang mengeluh pening sehabis makan durian meskipun kuantitinya sedikit.
-Pengambilan manggis sehabis memakan durian. Kandungan vitamin pada manggis dapat meneutralkan kesan daripada durian.
-Tidak memakan secara berlebihan.
-Tidak pengambilan daging berlemak tinggi setelah santap durian.

Memandangkan kesan sampingan buah durian sangat berbahaya, sebaiknya anda tidak mengambil durian jika anda mengalami penyakit di bawah ini:

-Hipertensi / Tekanan Darah Tinggi
-diabetes
-penyakit Jantung
-buah pinggang
-kencing Manis
-radang Usus
-asid urik tinggi
-kolesterol Tinggi
-Ibu Hamil (jangan banyak banyak)

Husam yakin Amanah menang di Kelantan walaupun tiga penjuru

ZIKRI ABDULLAH
Datuk Husam Musa di sambut meriah di Kota Bharu selepas umum sertai Amanah semalam

Adun Salor, Datuk Husam Musa yang mengumumkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) di Cyberjaya 30 Ogos berkata beliau yakin parti yang baru disertainya boleh menang untuk mentadbir negeri dalam pilihanraya umum akan datang walaupun dalam pertandingan tiga penjuru.

"Saya yakin gabungan Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang lain akan mencapai sasaran untuk menang dalam piliharaya umum ke 14," katanya pada sidang media yang diadakan sebaik tiba di lapangan terbang Sultan Ismail Petra petang tadi.

Konvoi kereta pacuan empat roda yang membawa bendera Amanah mengiringi Husam dari Pengkalan Chepa ke Pasir Puteh.Ketibaan Husam di sambut beratus-ratus penyokong beliau yang kebanyakannya terdiri penyokong Amanah.

Selepas sidang media di ruang ketibaan, beliau diarak dengan konvoi motosikal besar dan kereta pacuan empat roda ke Pasir Puteh untuk menghadiri majlis penubuhan 16 cawangan Amanah bagi kawasan Dun Limbongan, Pasir Puteh.

Ditanya tentang Pas, beliau berkata sekarang parti itu ada tiga opsyen.

"Pas boleh pilih untuk sertai Pakatan Harapan, sertai Barisan Nasional atau terus menyendiri seperti sekarang.

"Hanya opsyen bersama Pakatan Harapan akan membolehkan parti itu boleh diterima rakyat, kalau mereka pilih opsyen lain, tentu rakyat akan tolak mereka," katanya.

Dengan masalah yang dihadapi kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sekarang dan kemunculan parti Bersatu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad beliau percaya lanskap politik negara akan berubah.

"Sekarang gerakan untuk mengalahkan Umno BN turut disertai Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Mukhriz dan Datuk Shafei Afdal di Sabah.

"Ini bukan perkara kecil yang harus dipandang ringan oleh sesiapa," katanya.

Husam membuat ucapan pertama di Pasir Puteh, Kelantan selepas menjadi ahli Amanah.Ditanya mengenai rancangan beliau mengembangkan Amanah di Kelantan beliau berkata parti barunya sangat berpotensi untuk diterima dengan meluas.

"Bagi orang Pas yang mahu mengikut perjuangan Tok Guru Nik Aziz mereka kena menyertai Amanah kerana hanya Amanah serupa dengan kehendak perjuangan Islam cara arwah Tok Guru.

"Bagi orang Umno pula mereka kini terbuka dan senang hati masuk Amanah kerana parti ini tiada stigma tuduhan kafir yang dibuat oleh Pas dulu," katanya.
-malaysiadateline

Pemuda Pas Kelantan kena kencing dengan Umno

MALAYSIA DATELINE
Ahmad Fadhli menunggu kehadiran wakil wakil parti politik khususnya Umno yang tak kunjung tiba.

Ketua Pemuda Pas Kelantan Ahmad Fadhli Shaari melahirkan rasa kesal dengan kegagalan Pemuda Umno Kelantan hadir pada majlis perisytiharan 'Deklarasi Kota Bharu' bagi menyatakan sokongan parti-parti politik Melayu-Islam di negeri itu terhadap Rang Undang-undang Akta 355 (RUU 355), 30 Ogos lalu.

RUU 355 itu bakal dibentangkan Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Malah Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat itu hairan dengan kegagalan wakil Pemuda Umno untuk hadir memandangkan Umno sudah secara rasmi menyatakan sokongan terhadap RUU 355.

"Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Ibrahim telah menyusun sidang media hari ini (30 Ogos) beberapa hari yang lepas.

"Ia merupakan satu detik bersejarah sekiranya berjaya dilaksanakan iaitu sayap-sayap anak muda di semua parti-parti yang dianggotai oleh masyarakat Melayu Islam di negeri ini iaitu Pas, Umno, PKR dan Amanah duduk semeja untuk bersetuju dengan satu tajuk yang penting.

"Kali ini tajuknya ialah sokongan terhadap Rang Undang-undang Akta 355," tulis Ahmad Fadhli di laman Facebooknya.

Lokasi program itu, ujarnya diadakan di sebuah hotel atas permintaan Pemuda Umno yang mahukan tempat berkecuali manakala masa juga ditentukan sayap Umno itu.
Deklarasi Kota Bharu hanya ditandatangani wakil Pemuda Pas dan AMK Kelantan.

"Sepanjang saya sebagai Ketua DPPNK (Dewan Pemuda Pas Kelantan), belum pernah dewan hotel ditempah semata-mata untuk sebuah sidang media. Biasanya ia dibuat di bangunan DPPNK Syabab Point atau di mana-mana lokasi bersesuaian.

"Bahkan jika laporan polis dibuat, sidang media hanya dilaksanakan di tepi jalan sahaja. Hari ini, ratusan ringgit dibelanjakan untuk menyewa dewan hotel bagi memberi laluan kepada detik bersejarah, kelahiran Deklarasi Kota Bharu," ujarnya dalam tulisan bertajuk 'Nota kesal terhadap Pergerakan Pemuda Umno'.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana semua wakil parti yang telah memberi persetujuan untuk menyokong RUU355 itu gagal hadir ke sidang media.

"Saya faham jika Ketua AMK Kelantan dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan tidak hadir, kerana telah diketahui secara umum bahawa parti masing-masing belum memutuskan secara rasmi pendirian terhadap RUU355 ini.

"Boleh jadi bagi menghormati pendirian pucuk pimpinan, rombongan pemuda mereka tidak hadir. Alhamdulillah, Ketua AMK hadir kemudiannya walaupun sekadar untuk menurunkan tandatangan, ia sudah cukup baik," nukil beliau.

Menurutnya, program itu adalah platform terbaik untuk Pemuda Pas dan Pemuda Umno "bersalaman di hadapan kamera bagi menghiasi dada akhbar keesokan harinya".

"Bukankah Umno paling suka jika digambarkan bahawa Pas sedang berbaik dengan Umno?" soal beliau.
Kegagalan Pemuda Umno untuk hadir, ujar beliau hanya menebalkan sangkaan tidak baik di kalangan masyarakat.

Beliau turut mempersoalkan komitmen Umno untuk memberi laluan kepada RUU355 ekoran sikap yang ditunjukkan Pemuda Umno Kelantan itu.

"Kita tunggu dan lihat. Adapun Pas, langkah kaki memartabatkan satu demi satu tuntutan syariat akan diteruskan.

"Biarpun hanya seorang diri memikul panji di tengah medan, percayalah Pas tidak akan berganjak dari kedudukan kakinya pada hari ini.

"Bersama sokongan Umno atau tidak, ke hadapan Pas melangkah," ujarnya.

Sultan Selangor kahwin pembaca berita RTM (Gambar)


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijab kabul dengan pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 31 Ogos lepas.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin dan Norashikin dinikahkan oleh Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam majlis pernikahan yang sederhana dan ringkas atas titah baginda.

Munir berkata pernikahan turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Selangor Dr Anhar Opir; Al Fadil Imam Paduka Mohd Rasid Mahful; Bekas Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar; Ahli Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin dan bapa serta anggota keluarga pengantin perempuan.

Sultan Sharafuddin dilahirkan di Istana Jema'ah Klang (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) pada 24 Dis 1945.

Ini adalah pernikahan ketiga Sultan Selangor selepas mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada 1968 tetapi bercerai pada 1986 dan kemudian berkahwin dengan Puan Nur Lisa Abdullah (rakyat Amerika) tetapi berpisah pada 1997.

Baginda mempunyai dua puteri dan seorang putera iaitu Tengku Zerafina,Tengku Zatashah dan Tengku Amir (kini Raja Muda Selangor).

Norashikin, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

Beliau pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada 2005 (ASA2005).
-Bernama

Cium payudara patung: Pegawai berdepan tindakan (Gambar)


HA TINH - VIETNAM . Seorang pegawai jabatan tanah bakal dikenakan tindakan selepas didapati mencium patung wanita di sebuah kawasan pelancongan di Da Lat, dekat sini.

Gambar pegawai terbabit, Phan Tuan Anh yang melakukan perbuatan tidak senonoh itu telah dimuat naikkan oleh Setiausaha Kerajaan Tempatan Ha Tinh, Tran Le ke dalam akaun Facebooknya.

Melalui gambar tersebut, kelihatan dua lelaki berdiri berhampiran patung batu berkenaan dengan salah seorang daripadanya sedang mencium bahagian dada patung wanita itu.

Selepas disiasat, lelaki terlibat akhirnya disahkan sebagai Tuan Anh, seorang pegawai muda daripada Jabatan Tanah Vu Quang, bahagian utara Ha Tinh.

Kerajaan Tempatan Ha Tinh telah mengesahkan menerima laporan tersebut dan dipercayai akan mengenakan tindakan terhadap pegawai tersebut.

Difahamkan, Tuan Anh bersama beberapa pegawai daripada jabatannya ketika itu sedang bercuti ke kawasan peranginan Da Lat dan kawasan puncak pergunungan Lang Biang.

Mengikut sejarah, nama Gunung Lang Biang adalah singkatan bagi sepasang kekasih yang dikenakan hukuman mati di situ setelah percintaan mereka dibantah oleh pihak keluarga.

Patung lelaki dan wanita itu pula diukir dan didirikan di kawasan pergunungan popular di situ bagi memperingati kesetiaan cinta mereka berdua.
-sinarharian

Rupa-rupanya polis berbohong dalam kes tembak mati tiga remaja

Mahkamah: Polis bertanggungjawab dalam kes tembak di Glenmarie
Enam tahun lalu Muhamad Hanafi Omar, ketika itu 22 tahun, bersama Mohd Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, ditembak mati di Glenmarie in Shah Alam.

Mereka dituduh merompak beberapa stesen petrol.

Polis yang menembak mendakwa suspek bersenjatakan parang dan pihak berkuasa terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Hari ini, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian ketiga-tiga allahyarham.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikan kes itu secara damai.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 4 Ogos lalu menasihatkan keluarga tiga remaja itu, polis dan kerajaan supaya mengkaji kemungkinan menyelesaikan kes itu secara damai.

Keluarga memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Ogos tahun lalu yang menolak saman sivil mereka.

Peguam N Surendran yang mewakili keluarga ketiga-tiga remaja itu berhujah bahawa laporan bedah siasat bercanggah dengan kenyataan polis bahawa suspek menyerbu ke arah polis dengan bersenjatakan parang.
-malaysiakini

Identiti 3 gadis beraksi bahaya di Genting dikenalpasti (Gambar)


Kuantan: Polis mengenal pasti identiti 3 gadis yang mengeluarkan badan dan duduk di tingkap kereta di jalan ke Genting Highlands yang viral di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong ASP S. Somo berkata identiti pemilik kereta juga diperoleh dan pihaknya dijangka menghantar kertas siasatan ke pejabat pendakwa raya pada minggu ini untuk tindakan selanjutnya.

“Pemilik kereta bagaimanapun tidak menggunakan kereta itu pada hari berkenaan. Tetapi semua yang menaiki kereta itu pada hari kejadian dikenal pasti,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Somo berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara berbahaya.

Kes itu juga disiasat mengikut Peraturan 4A Kaedah-kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 kerana penumpang berkenaan tidak memakai tali pinggang keledar. 
-FMT

Suami cedera dipukul isteri

Bukit Mertajam – Seorang mekanik luka dan lebam di muka, mulut serta dagu selepas dipukul isterinya dalam kejadian di rumah mereka di Flat Desa Damai, Sg. Rambai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa berusia 38 tahun baru balik kerja dan isterinya yang berada di rumah meminta wang daripada suaminya kerana mahu membayar hutang.

“Lelaki itu mendakwa dia memaklumkan kepada isterinya yang dia tiada wang tetapi wanita berkenaan tidak percaya dan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bertindak menumbuk serta menendang muka suaminya.

“Semasa kejadian itu, dua anak mereka, masing-masing lelaki dan perempuan berusia 17 dan 15 tahun berada di rumah.

“Anak lelaki mangsa bertindak meleraikan pergaduhan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bukit Mertajam, di sini.

Nik Ros Azhan berkata lelaki itu membuat laporan polis.

Katanya wanita itu yang berusia 35 tahun dan tidak bekerja, bertindak melarikan diri dari rumah sewa mereka dengan membawa anak perempuannya sejurus selepas kejadian berkenaan.

Usaha mengesan wanita itu giat dijalankan.

“Siasatan juga mendapati wanita itu pernah ditahan kerana kesalahan yang sama, memukul suaminya pada tahun lepas.

“Bagaimanapun lelaki berkenaan kemudian menarik semula laporan polis yang dibuatnya,” katanya.
-Bernama

Pasangan pelajar hanya bertuala ketika dicekup (Gambar)


Alor Setar: Tindakan seorang pelajar lelaki berdua-duaan dengan pasangannya dalam sebuah bilik hotel bajet di Lebuhraya Darulaman, di sini, mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) ketika cuba melarikan diri, awal pagi kelmarin.

Sebelum itu, anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik sebelah untuk membuat pemeriksaan jam 1 pagi, tetapi pelajar lelaki berusia 18 tahun yang juga penuntut sebuah universiti awam di negeri ini tiba-tiba keluar dari bilik sambil membawa beg dalam keadaan tergesa-gesa.

Pelajar terbabit menutup semula pintu biliknya selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, tetapi dia membuka pintu dan membenarkan anggota berkenaan masuk ke dalam bilik selepas diketuk berkali-kali.

Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penguat Kuasa JAIK Syeikh Mohd Rasydan A Rahman berkata, ketika pemeriksaan, pihaknya mendapati keadaan bilik gelap dan ada seorang wanita berusia 18 tahun hanya bertuala dan memakai baju sejuk di atas katil.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan mengaku berkenalan sejak lebih setahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati, bilik itu disewa pelajar perempuan terbabit dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Balai Polis Alor Setar bagi dibuat laporan tangkapan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat,” katanya yang mengetuai operasi bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi itu.

Dalam pada itu, Mohd Rasydan berkata, pihaknya mengesan taktik baru dilakukan pasangan Islam menyewa hotel murah bersama pasangan mereka apabila mengunci mangga dari luar untuk mengelak kegiatan maksiat dikesan. 
-hmetro

CCTV bongkar perbuatan kejam isteri

Uttar Pradesh – Pelik melihat kesan lebam di beberapa bahagian tubuh anak, seorang lelaki bertindak memasang kamera video litar tertutup (cctv) di dalam biliknya di Bareilly, Uttar Pradesh, India.

Deepak Chaturvedi terkejut apabila melihat isterinya, Poonam memukul anak mereka yang berusia satu tahun tanpa belas kasihan.

Hindustan Times melaporkan, Deepak membuat laporan ke Balai Polis berhubung kejadian itu dan kini masih dalam siasatan.

“Saya selalu melihat kesan lebam pada badan anak tetapi isteri hanya memberitahu ianya hanya kemalangan kecil. Curiga dengan jawapannya itu, saya memasang CCTV semasa dia tiada di rumah,” katanya yang berkahwin dengan Poonam pada lima tahun lalu.

Dalam video tersebut, Poonam dilihat memukul dan mencekik anaknya dipercayai dengan sengaja di atas katil di dalam bilik mereka.

Deepak mahukan isterinya itu dipenjarakan susulan tindakannya terhadap anak mereka.

Poonam dilaporkan sudah meninggalkan rumah mereka dan tinggal bersama ibu bapanya.

Difahamkan, Deepak sering menggangu Poonam dengan menuntut mas kahwin sebanyak Rs 5 lakh dan mendakwa sering dipukul suaminya itu.

Keluarga Poonam turut mendakwa anaknya berada di bawah pengaruh dadah yang diberikan Deepak ketika video tersebut dirakam.
-kualalumpurpost 

Husam umum sertai Amanah (Gambar)

Amanah bakal jadi parti utama negara, kata Salahuddin
MALAYSIA DATELINE
Turut hadir pada malam Ambang Merdeka anjuran Amanah Datuk Husam Musa (di tengah) bersama Presiden Mohamad Sabu (kiri) dan Salahuddin (kanan).

Amanah parti kecil hari ini tetapi penuh yakin akan menjadi parti penting dan utama yang berjuang untuk semua pada suatu masa nanti, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

"Kita akui, kita parti kecil hari ini tetapi percayalah kita akan menjadi parti penting negara yang memperjuangkan semua pihak di suatu masa nanti," kata Salahudin di majlis sambutan di Ambang Merdeka di Putrajaya malam tadi.

Bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa menjadi tetamu khas majlis malam ini.

Salahuddin meminta ahli-ahli Amanah tidak rasa rendah diri dengan kecilnya parti Amanah sekarang ini.

"Kita bermula dengan parti kecil tetapi percayalah ia akan menjadi besar satu hari nanti," kata Salahudin.

--------------------------------

BORHAN AHMAD
Husam ketika mengumumkan beliau mengambil pendirian untuk menyertai Amanah.

Bekas naib presiden Pas Datuk Husam Musa mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Amanah Negara di Cyberjaya malam ini.

"Malam ini saya serahkan perjuangan saya bersama tuan-tuan. Semoga saudara sudi terima saya. Isteri, anak, keluarga termasuk ibu mertu dan jentera saya.. saya serahkan untuk perjuangan ini," kata Husam ketika membuat pengumuman di majlis sambutan di ambang merdeka anjuran Amanah.

Turut serta di majlis itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu serta sebahagian besar pucuk pimpinan Amanah.

Penyertaan Husam dijangka bakal membentuk gelombang kedua Amanah selepas ditubuhkan pada 16 September tahun lalu.

Datuk Husam Musa (empat dari kiri) bersama kepimpinan utama Amanah ketika menyerahkan borang keahlian kepada Presidennya Mohamad Sabu.-Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.

Turut meraikan Husam sertai Amanah bekas calon PRK Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.

Husam akan meneruskan perjuangannya di pentas Amanah dengan memulakan siri jelajah berkaitan 1MDB di seluruh negara.
---------------------------


Malaysiakini
Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas mengumumkannya di sebuah majlis makan malam di Cyberjaya sebentar tadi.

Walaupun tidak begitu mengejutkan pengumuman rasmi penyertaan Husam dalam AMANAH dinanti kerana sebelum ini pembabitannya dengan parti serpihan PAS itu sekadar khabar angin saja.

Selepas membuat sedikit alu-aluan Husam dengan tenang dan bersahaja mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH.

Katanya selepas dipecat daripada PAS beliau tidak berasa gelisah atau resah.

“Kita semua tenang dengan Islam, kita senang dengan perjuangan Islam oleh itu kita masuk PAS. (Kemudian selepas dipecat) sekarang ada AMANAH, ia menenteramkan hati saya.

"Ia bertepatan dengan apa yang al-Quran beritahu - "jangan kamu bimbang dan takut (jika bersama Islam". Sekarang saya masuk AMANAH supaya hati saya tenteram.

"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin yang hadir di majlis makan malam Di Ambang Merdeka itu.

Kemunculan di atas pentas AMANAH malam ini bukanlah kali pertama buat Husam.

Pada Januari 2015 lalu beliau pernah berucap dalam majlis makan malam AMANAH di Petaling Jaya.

Husam dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas sering mengkritik kepimpinan parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob yang juga timbalan mursyidul am parti berkenaan.

Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas, Husam kini menyarung 'jersi' baru kerana berpendapat “berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan” untuk bekas mahasiswa Universiti Malaya itu.

Husam antara sekumpulan besar kumpulan sederhana yang disingkirkan perwakilan dalam pemilihan PAS di Kuala Selangor pada 2015.

Menurut ADUN Salor itu ramai orang yang ditemui menyarankannya menyertai AMANAH, termasuk individu yang ditemui di dalam teksi, pasar atau lapangan terbang.

Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.

Hanya 'goyang kaki'

Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.

"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak ada," katanya.

Pada masa yang sama, Husam juga mahu AMANAH mengambil alih pemerintahan PAS di Kelantan.

Ia kerana katanya PAS dilihat gagal menyelesaikan masalah yang berlaku di negeri itu, malah isu berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB, parti Islam itu dilihat hanya "goyang kaki" tanpa mengambil apa-apa tindakan.

“(Rakyat Kelantan) nak minta izin AMANAH ambil alih pemerintahan Kelantan. Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh Umno yang lebih rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB.

“Dan PAS pula goyang kaki. Tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan adalah tugu peringatan banjir.

“Kita tidak marah bina tugu tetapi lebih baik siapkan dulu rumah mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata penyertaan Husam tepat padanya kerana parti itu memerlukan individu yang mahir mengenai ekonomi.

“Dari segi angka, saya jauh kalah dengan Husam. Orang seperti dia (boleh) banyak mainkan peranan,” katanya.

Mohamad turut menyeru supaya Husam membawa lebih ramai lagi rakan-rakannya ke dalam AMANAH dalam usaha parti baru itu menuju ke Putrajaya dan selaras dengan prinsip parti itu, Islam rahmat kepada semua.

“Husam, jangan datang seorang, ajak ramai-ramai. (Kita kena) bekerjasama dengan semua pihak untuk betul-betul realisasikan Islam rahmatan lil amin,” katanya.

Sementara itu pada sidang media selepasnya Mohamad berkata AMANAH akan bermesyuarat untuk membincangkan posisi yang sesuai untuk diberikan kepada Husam.

"Kami akan bincang termasuk (dalam) mesyuarat bagi mencari posisi sesuai bagi orang berpengalaman dan berpengaruh seperti Husam ini," katanya.

Dr. Mohamad Khir Toyo Kahwin Lagi (Gambar)

KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini melangsungkan perkahwinan kedua bersama pasangannya, seorang penjawat awam, Christine Zanitrah Abdullah.

Difahamkan Dr. Mohamad Khir, 51, dan pasangannya Christine Zanitrah atau nama asalnya Christine Tan, 39, yang memeluk agama Islam pada April lepas, melangsungkan perkahwinan mereka di satu majlis dalam negara.
"Perkahwinan kedua Dr Mohamad Khir itu berlangsung di dalam negara, Christine Zanitrah merupakan penjawat awam di Putrajaya," kata sumber terdekat dengan Dr Mohamad Khir kepada Bernama.

Sumber tersebut turut mengirim beberapa keping gambar Christine Zanitrah pada majlis itu, yang memakai busana pengantin rekaan pereka terkenal Datuk Radzuan Radziwill.

Perkahwinan pertama Dr Mohamad Khir bersama Zaharah Kechik pada 1990 dan mereka dikurniakan tiga orang anak.
-Bernama

Sah, Husam Musa sertai Amanah .

Husam Musa
Esok(hari ini ), Saya Menyarung Jersi Baru.Kini, menghampiri empat bulan saya terpecat dari Pas.Dalam tempoh itu, nampaknya tidak ada sebarang isyarat saya diterima semula. Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa.

Saya menikmati tempoh bertenang. Sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka. Terburu-buru adalah dari syaitan, kata Nabi s.a.w.
Memerhatikan apa yang berlaku. Merenung dan mencari petanda-petanda pedoman.

Nyata, negara menuju keadaan yang lebih kritikal dari sebelumnya.

Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990.

Wadah yang saya harapkan dulu, se akan telah 'terjual'. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar relevansi, pelabelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang lebih luas meliputi.

Berdiam diri bukanlah pilihan. Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.

Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur.

Saya?

Mencari gua persembunyian dari kelelahan perjuangan akan sia-sia. Berpaling kerana kecewa belum diberikan kejayaan perjuangan, adalah sama dengan apa yang dialami Nabi Yunus a.s ketika ditelan ikan dalam lautan. Tiga kegelapan menyelubungi baginda sebagai pengajaran untuk kita.

Sesekali, ketika fikiran terlintas untuk berehat dari mendayung perjuangan kerana digempur keberatan bebannya, kebimbangan atas pedoman Al Qur'an melalui kisah Yunus a.s itu menerpa.

Dunia bukan tempat istirehat.

Bersendirian? Juga bukan pilihan.

Empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.

Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian.

Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula.

Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti.

Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya.

Dan mengumumkan parti baru pilihan saya.

Husam Musa
29 Ogos 2016
26 Dzulkaedah 1437

Bekas model Playboy dilabel bodoh, gila peluk Islam

Tranungkite
  

PETALING JAYA: Bekas model majalah Playboy, Raisyyah Rania Yeap dilabelkan bodoh dan gila kerana mengambil keputusan untuk bertudung serta memeluk Islam lebih dua tahun lalu.

Dugaan yang dihadapi wanita berkenaan tidak terhenti setakat itu, apabila rakannya turut menjauhkan diri daripada beliau kerana tidak memahami Islam serta cara hidupnya sebagai mualaf.

“Ada kawan yang mula menjauhkan diri apabila saya mula berhijab sebelum Islam, dan terkejut apabila mereka mengetahui saya agak petah bertutur dalam bahasa Malaysia.

“Katanya saya bodoh, gila dan pelik sebab ‘ada orang Cina tak mau jadi (Cina), tapi mau jadi Melayu’.

“Tak mengapa, mereka tak faham perbezaan antara kaum dan agama, dan mereka lupa bahasa Malaysia itu bahasa kebangsaan orang-orang Malaysia,” tulisnya dalam Facebook beliau, kelmarin.

Raisyyah Rania berkata, rakannya juga segan mengajak beliau keluar bersama disebabkan cara hidup dan penampilannya yang jauh berbeza dengan mereka.

Beliau berkata, semua ini berlaku kerana mereka tidak memahami cara hidup dan kewajipannya sebagai seorang umat Islam serta isteri.

“Mungkin diri dan hati kita sendiri rasa selesa dan senang untuk melangkah keluar dari kejahilan dan keseronokan dunia, tetapi fahamilah yang ianya mungkin tidak sama untuk kawan-kawan kita di sekeliling.

“Mungkin suatu hari mereka akan faham, jika mereka membuka hati. Sehingga waktu itu tiba, kita doakan sahaja mereka untuk dapat hidayah dan semoga Allah membuka hati mereka,” tulisnya.

Wanita berusia 30 tahun itu mula bertudung pada Disember 2013 sebelum memeluk Islam pada 3 Julai 2014 dan berkahwin pada 6 Jun 2015.

Teka-teki Husam tamat malam esok (Malam ini)

Teka-teki Husam tamat malam esok

29 Ogs 2016, malam 9:26

Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas bekas naib presiden PAS akan mengumumkan bahtera baru politiknya malam esok.

Dalam kenyataan terbuka disiarkan di Facebooknya Datuk Husam Musa berkata berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan.

"(Tempoh) empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.

"Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian," katanya.

Kata Husam selepas dipecat tiada sebarang petunjuk diterima daripada parti yang pernah disertainya dulu atau semakan ke atas penyingkirannya.

Surat penjelasan saya kepada presiden Pas tidak berguna apa-apa," katanya sebentar tadi.

Husam yang suatu ketika dulu dilihat sebagai pengganti allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat namun terpinggir sedikit demi sedikit selepas tokoh berkenaan meninggal dunia pada Februari 2015.

Ketika PAS mengadakan muktamar dan pemilihan pimpinan di Kuala Selangor pada Jun 2015 Husam antara pimpinan bukan ulama yang disingkir perwakilan.

Pimpinan tertinggi yang disingkirkan ialah Mohamad Sabu yang ketika itu menjadi timbalan presiden. Penyingkiran beramai-ramai itu, kata Mohamad, dianggap "pelik bin pelik bin pelik" kerana disambut baik oleh Umno.

Penyingkiran beramai-ramai itu kemudian melahirkan parti baru, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dilihat sangat dimusuhi PAS.

Parti seolah terjual

Selepas menyertai beberapa program yang tidak disenangi PAS, Husam kemudian disahkan dipecat daripada parti itu pada 6 Mei lalu.

Pengumuman pemecatan Husam dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok.

Bagaimanapun Husam tidak segera menyatakan penyertaannya ke dalam mana-mana parti sebaliknya menegaskan memerlukan masa untuk membuat penilaian.

Kata Husam semasa menikmati tempoh bertenang dia menemui masyarakat untuk mendapatkan pandangan mereka dan mengelak mengambil tindakan terburu-buru.

Pada masa sama Husam "merenung dan mencari petanda-petanda pedoman".

Ternyata, katanya negara menuju ke arah lebih kritikal berbanding sebelumnya, manakala Kelantan "tidak menjadi lebih baik" selepas ombak pengislahan bermula 1990 (ketika PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah membentuk kerajaan).

Pada masa sama katanya parti yang dianggotainya dulu seperti "terjual" dan berdepan masalah seperti kejumudan tanpa inovasi mentakwil nas di luar sepatutnya serta "syok sendiri" selain membelakangkan budaya berhujah.

"Berdiam diri bukanlah pilihan. Al-Quran menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al-Qa'idun.

"Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur," katanya.

Sesekali, katanya, disebabkan dugaan yang datang begitu "berat" terlintas di fikiran untuk berehat.

Namun kata Husam, dunia bukan tempat beristirahat.

"Bersendirian? Juga bukan pilihan.

"Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti," katanya.

Malam esok Husam dijadual menghadiri sebuah majlis makan malam Ambang Merdeka di sebuah restoran Cyberjaya.

Beliau dijadual membuat pengumuman mengenai wadah baru politiknya di majlis itu.
-malaysiakini