"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

UBN Najib Altantuya: Arak kepala lembu bantah pindah kuil

Sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka.

Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut di Shah Alam, selepas solat Jumaat tadi.

Mereka berarak sebagai menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

"Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.

Polis hanya memerhati

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.

Selepas kepala haiwan itu diletakkan di depan pintu, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas, tetapi berapi-api.

"Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."

Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam.

"Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab (berdemonstrasi), tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23."

Dihubungi
Malaysiakini selepas demonstrasi itu, Mahyuddin menafikan kepala lembu itu dibawa oleh penganjur.

"Bukan kehendak kita. Kita pun terkejut tadi," katanya.

Tidak hina Hindu

Mahyuddin menolak tanggapan mereka ingin menghina agama Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci.

"Mungkin yang mereka (yang bawa) maksudkan dengan kebodohan. Dalam budaya Melayu, lembu ini simbol kebodohan, pemimpin yang bodoh," jelasnya
(foto bawah).

Kelmarin, Dr Xavier dilaporkan meminta penduduk seksyen itu menimbang semula bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan memindahkan kuil ke kawasan itu.

Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri bercadang memindahkan pembinaan Kuil Sri Maha Mariaman kira-kira 300 meter dari tapak cadangan asal pembinaannnya kerana ia berdekatan dengan surau.

Berikutan tapak itu dianjakkan agak jauh, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina jalan raya di situ bagi memudahkan penganut Hindu ke kuil tersebut.

Sebelumnya, kuil di Seksyen 19 dipindahkan ke Seksyen 23 kerana kedudukannya terlalu rapat dengan kawasan kediaman.

Keputusan ini dibantah oleh sekumpulan penduduk Seksyen 23 dengan alasan mereka beragama Hindu hanya minoriti di situ.

Kuil itu dibuat untuk keperluan penganut Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23 Shah Alam.

'Khalid, Rodziah pengkhianat'

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kemarahan penduduk terhadap cadangan pembinaan kuil itu melimpah ke sekitar kawasan luar pejabat Rodziah, juga ADUN PKR bagi Batu Tiga, yang terletak di Seksyen 23.

Dinding dan saluran paip diconteng perkataan merah "Khalid, Rodziah pengkhianat bangsa", "bantahan kuil" serta "jangan main gila" dan perkataan hijau pula "jangan main api".

Khalid, seperti kenyataan di blognya hari ini, menyalahkan penyokong Umno atas perbuatan tersebut dan menggesa mereka membasuh sendiri dinding tersebut.

"Kalau Umno tahu malu, basuh sendiri dinding yang diconteng," katanya.

Tambahnya, beliau percaya Umno adalah dalang utama dalam kegiatan ini walaupun ada juga orang PAS yang terbabit kerana berjaya diapi-apikan Umno.

"Walaupun mereka (Umno) menafikan tetapi saya tahu ini kerja mereka. Ini semua permainan politik Umno," katanya.

"Kalau mereka memahami soal undang-undang, sistem demokrasi dan sebagainya mereka tidak akan bertindak sedemikian.

"Saya juga meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) biarkan sahaja tulisan itu di situ kerana kita tidak ada masa untuk membuang dan membersihkan kerja bodoh yang dilakukan mereka."
-malaysiakini.com-

Video Klip: Demo Arak Kepala Lembu

Isu rotan Kartika: BN diperangkap 'negara Islam' ciptaan sendiri

Ramlan Joharee
ANALISIS

KUALA LUMPUR, 29 OGOS:Di tengah-tengah kekecohan berhubung hukuman rotan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno, terdedahlah kelemahan kerajaan Barisan Nasional melalui sikap berdolak-daliknya dan hipokrasi dalam pelaksanaan undang-undang syariah.

Selasa lalu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menggesa Kartika, yang didapati bersalah kerana minum arak, supaya merayu hukuman enam sebatan yang perlu dihadapinya.

Tindakan beliau dilihat dibuat kerana kebimbangan kerajaan selepas dikejutkan dengan liputan meluas media antarabangsa berkenaan kes itu, yang sudah tentu akan menjejaskan imej keterbukaan pentadbiran sekarang yang cuba diketengahkannya.

Pada sebelah malamnya pula, hanya beberapa minit sebelum berbuka puasa, Najib bangkit setapak lagi meminta pihak berkuasa agama supaya tidak mengutamakan hukuman rotan.

"Hukuman fizikal sepatutnya menjadi pilihan terakhir," kata beliau yang mungkin telah menyedari Kartika tidak akan merayu hukuman rotannya itu.

Pada hari yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan mengapa Kartika yang sepatutnya sejak Isnin lalu dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman rotan, dihantar semula pulang.

Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa kakitangan penjara tidak ada kepakaran merotan menurut peruntukan undang-undang syariah yang mensyaratkan rotan tidak diangkat mengatasi kepala.

Hishammuddin dilaporkan berkata, keperluan Jabatan Penjara yang di bawah seliaannya untuk melaksanakan hukum sebat mengikut undang-undang Syariah merupakan "satu perkara baru" dan "mustahil untuk dilaksanakan tanpa pengalaman."

Tambahnya lagi kaedah hukuman itu akan dikaji secara mendalam oleh pegawainya dengan pihak berkuasa agama untuk memastikan keadilan.

Tindakan beliau itu satu lagi usaha untuk menjarakkan kerajaan persekutan daripada hukuman rotan itu kerana bimbang dengan implikasi hukuman tersebut di peringkat antarabangsa.

Kartika telah berjaya menarik simpati media dengan keputusannya untuk menerima hukuman itu dan turut meminta supaya dirotan di tempat awam, lantas berjaya dilihat sebagai mangsa.

Hakikatnya kerajaan BN telah terperangkap dalam usahanya untuk menunjukkan ia lebih mempunyai kelayakan Islam daripada PAS.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga jelas tidak gembira dengan hukuman rotan itu dalam catatan terbaru blognya.

"Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum beer," kata Dr Mahathir dalam nada sinis.

Beliau jelas bimbang parti yang diketuainya selama lebih dua dekad kini cuba mengikuti rentak PAS dan kehilangan jati diri yang dipertahankannya sebelum ini.

Anehnya Dr Mahathirlah yang sebelum ini memulakan permainan berlumba-lumba menunjukkan pentadbirannya lebih Islami berbanding PAS.

Hampir dua tahun selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan kemenangan beberapa kerusi baharu PAS di Selangor dan Perak beliau membuat perisytiharan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam.

Pengumuman itu dibuat sebagai menyahut cabaran Presiden PAS ketika itu Almarhum Datuk Fadzil Noor.

Walaupun Dr Mahathir dalam pengumuman pada tahun 2001 itu 'semasa mesyuarat agung Gerakan' sebenarnya cuba membentuk sendiri dan merampas definisi negara Islam, tetapi ia ditafsir banyak pihak sebagai langkah ke arah pelaksanaan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara.

Penggantinya pula Tun Abdullah Ahmad Badawi menyambung tradisi itu dengan memperkenalkan Islam Hadhari.

Hari ini melalui kes Kartika, kerajaan BN terperangkap dalam jerat 'negara Islam' yang dipasangnya sendiri.

-harakahdaily.net-

Penagih arak di Rusia bayar RM400 untuk dirotan

ROZMAL MALAKAN

Islam kata , orang Islam yang didapati bersalah minum arak harus dirotan mengikut syariat Islam. Rotan yang tidak menyiksa tetapi untuk pengajaran.Saintis bukan Islam pula kata merotan boleh merawat mereka yang ketagihan arak.Takkan orang Islam nak belajar daripada orang bukan Islam cara-cara merotan yang boleh mengubati ketagihan arak dan dadah?

Patutlah tak selesai selesai masalah penagihan dadah di Malaysia ini, terutama di kalangan orang Melayu. Ada ubat murah iaitu rotan pergi guna methadone.


……Dr Marina Chuhrova (saintis Rusia) pula menyatakan bahawa beliau mempunyai pesakit tetap seramai 10 orang yang memerlukan rawatan merotan ini.

Menurut beliau pada mulanya mereka tidak suka pada kaedah rawatan sedemikian, akan tetapi apabila mereka merasakan kebaikannya mereka mula gemar pada kaedah rawatan sebegini.

Malah para penagih-penagih dadah dan arak tadi sanggup pula untuk membayar sekitar RM 400 untuk satu sesi rawatan merotan.

-detikdaily.net-

UBN Najib Altantuya: Selcat Akan Bersidang Siasat Adun BN dan Pakatan

Jawatankuasa Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan mengadakan siasatan terbuka mendedahkan penyelewengan dana oleh kerajaan negeri yang lalu.

Jawatankuasa ini juga akan menyiasat penggunaan dana adun-adun Pakatan Rakyat bermula dari tahun lepas hingga ke suku tahun pertama 2009.

Siasatan yang dibuat akan dilaksana secara terbuka dan dipengerusikan oleh Speaker Teng Chang Khim bermula 8 September hingga 11 September, dan 15 September di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Turut dipanggil adalah saksi-saksi dari kalangan pegawai-pegawai daerah di semua daerah di Selangor untuk diambil keterangan berkenaan penggunaan dana oleh para Adun.

Juga disiasat adalah dakwaan bahawa adun-adun BN telah menghabiskan semua peruntukan kerajaan negeri dalam masa tiga bulan sahaja sebelum Pilihanraya Umum ke-12.

Hasil siasatan sebelum ini mendapati 203 permohonan untuk peruntukan diluluskan dalam masa satu hari sahaja, bahkan wang yang diagihkan itu diluluskan selepas Parlimen dibubarkan pada 13 Februari.
-tvantara.com-

'Terima Rafizah isteri kedua atau cerai'

Mohamad Ali Abdullah masih lagi menuntut Rohaizat Othman, bekas calon BN di Permatang Pasir, agar menyelesaikan isu anak perempuannya Rafizah dengan pemimpin Umno itu.

Peneroka Felda dari Jengka, Pahang itu meminta setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh itu menghubunginya bila-bila masa untuk menyelesaikan dengan wanita itu yang didakwa isteri keduanya.

"Buat penyelesaian, jalan terbaik adalah dengan berbincang dengan kedua-dua pihak. Kalau tindakan mahkamah, ia memakan masa, makan modal.

"Kita boleh berbincang cara keluarga," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini.

"Saya minta dia menghubungi saya melalui telefon atau perjumpaan empat mata, sama ada mengaku Rafizah sebagai isteri atau melepaskannya."

Mohamad Ali diminta mengulas tindakan yang akan diambilnya terhadap Rohaizat yang menafikan bahawa Rafizah itu isteri keduanya dalam kesibukan kempen pilihanraya kecil DUN tersebut yang berakhir Selasa lalu.

Bapa wanita itu hujung minggu lalu menuntut Rohaizat membuat pengakuan terbuka agar mengaku Rafizah isterinya itu yang dikahwini pada 2005.

Mohamad Ali yang mendakwa mewalikan perkahwinan Rafizah-Rohaizat di pejabat kadi daerah Pekan dan didaftarkan di situ pada tahun tersebut.

Dihubungi hari ini, Mohamad Ali berkata setakat ini beliau belum dihubungi oleh Rohaizat untuk menyelesaikan masalah ini.

Mohamad Ali juga berkata, beliau menerima panggilan daripada Rafizah – dipercayai berada di Lembah Kelang – yang meminta agar tidak diganggu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Rohaizat enggan mengulas permintaan Mohamad Ali.

-malaysiakini.com-

Nikmat puasa, cahaya hidayah bagi saudara baru

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 29 Ogos: Walaupun baru memeluk agama Islam 26 hari lalu, dia mampu berpuasa penuh sejak Ramadan bermula. Ini merupakan pertama kali, tidak perit atau pedih malah baginya pengalaman menjalani ibadah itu cukup menyeronokkan!

Dia, Azman Yap Abdullah, 32 sentiasa tersenyum dan ceria. Tiada raut keletihan atau kerut di wajahnya. Sungguhpun agak malu-malu bercerita pada awalnya, tetapi bersemangat sekali mengungkap pengalaman berpuasa, satu-satu ibadah yang dijalankan tanpa banyak tanya.

Sejak hari pertama sehingga kini, masih berpuasa tanpa tangguh. Tidak sekerat-sekerat atau separuh hari tetapi penuh, sehingga menjelang waktu berbuka.

"Saya tidak merasa susah, sakit ataupun pedih perut. Semuanya baik dan ianya cukup menyeronokkan!"

Menceritakan pengalaman, kata Azman dia bersahur beberapa minit sebelum masuk waktu subuh hanya dengan menjamah beberapa biji kurma, seperti yang disunnah oleh Rasullulah s.a.w.

"Saya buka puasa pun makan kurma juga. Kemudian cari nasi atau makan di KFC. Ada masa saya berbuka dengan cornflakes atau coco crunch," katanya sambil tersenyum lebar kepada kami.

Itu perasaan yang diluahkan Azman kepada Harakahdaily yang diberi peluang Allah SWT bertemu dengan insan yang mendapat cahaya hidayah 2 Ogos lalu, lalu mengucapkan kalimah syahadah di Hidayah Centre Pusat Komuniti Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dekat sini.

Dia mula mengenali agama indah ini sejak 3 bulan lalu, melalui sahabatnya yang juga merupakan saudara baru.Sahabatnya itu, turut menghadiahkan al-Quran terjemahan bahasa melayu untuk dia lebih mengenali dan memahami agama Allah itu.

"Saya baca terjemahan melayu sebab tak berapa pandai bahasa inggeris. Dari situ, saya mula percaya, bahawa agama Islam ini adalah agama yang baik,"jelasnya dengan tenang.

Masih bertatih dan belajar, dia mengakui baru solat hanya sekali sahaja tetapi terus mendapat bimbingan dua orang ustaz daripada JIM dikenali sebagai Johan dan Abdul Rahim.

Azman merupakan seorang guru tuisyen sepenuh masa, sejak sembilan tahun lalu. Dia mengajar Bahasa Melayu, Mandarin dan Sains untuk pelajar sekolah rendah di Jalan Klang Lama.

Lelaki berketurunan Cina ini masih bujang dan agak segan untuk ditemubual pada mulanya, tetapi kemudian menjadi teman mesra kepada kami berdua dari Harakahdaily.

Katanya dia masih menyembunyikan keIslamannya daripada ibunya untuk sementara waktu kerana tahu akan reaksi negatif yang bakal diterima.

"Lambat laun, saya akan beritahu juga...cuma perlahan-lahanlah. Tak mau mak saya marah..."katanya masih tersenyum dengan sinar cahaya di wajahnya.

Ditanya tentang tip kuat semangat untuk berpuasa dan petua untuk orang yang punya 'banyak alasan' untuk culas melakukan ibadah itu, Azman menjawab ringkas tetapi tajam.

"Di belakang rumah kami, ada juga orang Islam makan di restoran Cina waktu bulan puasa.

"Bagi saya, hati mesti baik dan jangan lupa, Tuhan ada tengok kita."

Setelah berkongsi rasa dengan Azman, kami beralih pula kepada Siti Aisyah Tresa, 38 yang memeluk agama Islam sejak 1993 di Melaka. .

Sambil matanya mula berkaca, hampir tumpah air mata, Siti menceritakan detik-detik awal mula menyintai dan menaruh minat kepada agama Islam.

"Saya bekerja kilang dan tinggal di asrama di Johor. Ketika itu saya begitu tertarik melihat kawan sebilik yang sentiasa mengerjakan sembahyang.

"Tiap kali waktu azan, dia akan terus bersiap-siap untuk sembahyang. Saya tengok dia sembahyang, buat hati saya cukup tenang dan saya jadi minat sangat untuk tahu agama kawan saya itu,"kata Siti.

Katanya kerana terlalu minat, adakala bila di kampung, dia akan sembahyang sendiri-sendiri meniru gerak gaya kawannya itu.

Namun, setelah masuk agama Islam, cabaran hebat diterima apabila ditentang hebat oleh kaum keluarga yang masih menganut Kristian. Selama hampir enam tahun, dia melalui tekanan dan asakan hebat.

Tetapi selama itu jugalah, dia tabahkan hati dan tidak terputus hubungan dengan kaum keluarga malah secara rutin, setiap sebulan sekali akan pulang ke kampungnya di Kg Layang-Layang, Johor.

"Selama enam tahun, biar apa pun keluarga buat dan beri tekanan, saya cekalkan hati balik juga bertemu mereka sebulan sekali...

"Alhamdulillah, kini mereka sudah boleh menerima saya dan hubungan masih baik seperti sediakala. Syukur kepada tuhan," katanya cuba menahan sebak

Kini Siti yang mempunyai dua cahaya mata bahagia bersama suami dikasihi, Khaidir Maidin dan merindui sahabatnya Zainab yang rajin solat itu, yang kini sudah terputus hubungan sejak sekian lamanya.

Siti memberitahu, pengalaman berpuasa bukanlah sesuatu yang asing dan menjalani seperti biasa sama seperti umat Islam yang lain.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa saudara baru sepertinya, sering diabaikan kebajikan dan disisihkan daripada masyarakat Islam.

"Saya sentiasa rasa diperlukan. Tak pernah saudara seagama menyisih saya malah merekalah yang banyak membantu tatkala saya menghadapi kesulitan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Siti sempat menyuntik semangat kepada rakan-rakan saudara baru baik yang sudah lama atau yang masih baru memeluk agama Islam agar terus istiqamah bersama agama tercinta ini.

"Walau apa pun berlaku, teruslah bersama agama Islam. Percayalah, setiap kesusahan yang dihadapi, ada jalan penyelesaian yang diberikan oleh Allah...percayalah, saya juga pernah melaluinya...,"tersenyum mengucapkan terima kasih kepada Harakahdaily.

Turut mencuri perhatian ialah seorang saudara baru yang berasal daripada Afnka yng dikenali sebagai Hilal Abdullah, bakal melanjutkan pelajaran di Kanada dalam masa terdekat.

Cuma kisah pilu Hilal yang berasal dari satu kawasan bernama Brundi,ialah kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh kerana berhasrat memeluk agama Islam.

Sebenarnya insan-insan bertuah ini antara 11 orang saudara baru yang kami temui di Hidayah Centre, Pusat Komuniti JIM, petang semalam.

Hidayah Centre adalah sebuah institusi di bawah JIM yang ditubuhkan sejak 2005, berperanan sebagai pusat sokongan kepada saudara baru membawa tema hidayah yang menarik perhatian iaitu "Saudara baru, Saudara Kita"

Objektif penubuhannya adalah untuk memberi penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat.

Semalam, Hidayah Centre mengadakan sidang media Majlis Pelancaran Buka Puasa yang dihadiri saudara-saudara baru yang kelihatan begitu ceria tetapi malu-malu dan tersipu bilamana lensa kamera menyorot wajah bercahaya mereka.

Sebelum sidang media dimulakan oleh jurucakap Hidayah Centre,Joannes Lukas yang juga seorang saudara baru, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada saudara-saudara baru yang hadir.

Ketika ditanya tentang aduan, masalah dan antara kekangan yang dihadapi oleh saudara baru, Joannes menjelaskan ianya terbahagi kepada beberapa perkara antara yang utama ialah ancaman daripada keluarga dan ketiadaan pekerjaan.

"Bila ada ancaman, maka kita berusaha sediakan penempatan dan penginapan sementara kepada mereka.

"Bagi yang tiada pekerjaan kerana terpaksa berpindah atau disishkan, kita mempunyai jaringan dengan NGO Islam dan syarikat yang bersedia memberi peluang pekerjaan bagi saudara baru ini,"katanya.

Setakat ini Hidayah Centre telah beroperasi di 14 cawangan di sembilan buah negeri manakala sejumlah 432 saudara baru yang berdaftar dengan pusat ini.

Bagi meneruskan pengoperasian dan untuk memberi bantuan kepada saudara-saudara baru, Hidayah Care akan menganjurkan Program Majlis Berbuka Puasa pada 12 September ini, di Putrajaya.

Menurut Pengarah Program Nasiruddin Tahir majlis itu bertujuan bagi mengutip dana melalui tajaan meja makan ataupun sumbangan syarikat, kumpulan atau individu yang berasa terpanggil untuk membantu saudara baru.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Joannes Lukas atau Rosmawati Zainal di 03-41053159 atau 03-41089669.

Moga sudi membantu dan meringankan beban saudara baru yang juga saudara kita.

UBN Najib Altantuya: Rakyat makin jelak dengan dakyah,tipu helah Umno-BN

Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Kemenangan mutlak buat Pakatan Rakyat. Rakyat makin matang dan tidak tertipu dengan dakyah Umno-Barisan Nasional (BN). Walaupun berdepan dengan pelbagai tipu helah dan taktik kotor BN, namun kemenangan jelas berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir yang telah meletakkan Ustaz Mohd Salleh Man sebagai Adun yang sah membuktikan rakyat terutama pengundi di kawasan tersebut mulai muak dengan permainan politik yang kotor oleh Umno-BN.

ImageRakyat mulai sedar dan memberi mesej jelas kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa corak dan gaya yang dibawa melalui kepimpinannya bukan lagi sebagai 'candu' yang ditagih oleh rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penolakan demi penolakan rakyat terhadap Umno dalam siri pilihan raya kecil sebagai isyarat mereka tidak menerima dasar kebangsaan parti itu.

ImageKetika mengulas kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir beliau berkata, salah satu punca kekalahan Umno di DUN berkenaan ialah dasarnya yang bercanggah dengan Islam.

"Penolakan-penolakan yang begitu banyak terhadap Umno ni satu daripada sebabnya berpunca daripada dasar yang dibuat parti Umno. Parti yang memerintah sekarang ni tak betul dengan dasar Islam.

"Kelantan telah hampir 20 tahun guna dasar Islam dengan segala praktikalnya. Alhamdulillah dapat penerimaan daripada semua bangsa dan agama," ujar Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita selepas mesyuarat exco di pejabat setiausaha kerajaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, penolakan demi penolakan serta kemenangan berturut-turut yang diperolehi Pakatan Rakyat dalam siri pilihan raya kecil adalah mesej dan amanat jelas untuk Najib dan barisan kepimpinannya dalam Umno-BN bahawa politik perkauman dan pembunuhan karektor tidak lagi menjamin peratusan undi bagi mereka.

Image"Meskipun berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, jelas kemenangan ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan Umno-BN yang memecahbelahkan,"jelas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan semalam.

Isu pengkhianat bangsa yang ditonjolkan oleh pimpinan BN-Umno jelas memakan diri sendiri apabila rakyat terutamanya pengundi di Permatang Pasir memberikan undi yang tidak berbelah bagi terhadap calon PAS, Ustaz Salleh Man.

Rakyat sudah boleh menilai siapa pengkhianat sebenar apabila Anwar dalam siri ceramah dan kenyataan media mendedahkan isu penjualan tanah bangsa kepada tauke judi seperti di Genting Highlands.

Bagi diri Anwar, kemenangan dalam pilihan raya ini jelas menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat.

"Ia juga hasrat mereka (rakyat) yang sentiasa bergelora mahukan perubahan dan melihat masa depan Pakatan Rakyat yang lebih gemilang,"katanya.

Apa yang jelas kemenangan di Permatang Pasir adalah tamparan hebat kepada pimpinan Najib.

Ini disebabkan dalam tempoh 144 hari sebagai Perdana Menteri keenam, rakyat mula melihat dan jelak dengan gaya yang ditunjukkan Najib dan menolak politik perkauman yang cuba dimainkannya.

Image"Pengundi di Permatang Pasir memberikan sokongan jelas kepada Pakatan Rakyat walaupun Umno-BN melalui kempen terdesak mereka cuba memainkan isu perkauman dan agama,"jelas Penasihat dan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang dalam blog peribadinya baru-baru ini.

Walaupun Umnno-BN cuba untuk menjadikan Permatang Pasir sebagai 'Manek Urai' yang didakwa sebagai 'kalah tetapi menang' namun, secara realitinya ia tetap sebagai satu kemenangan mutlak Pakatan Rakyat yang 'membelasah' 7-0 dalam siri pilihan raya kecil sejak tsunami pilihan raya ke-12 lalu.

ImagePilihan raya kecil Permatang Pasir yang merupakan pilihan raya kali kelapan diadakan selepas pilihan raya umum pada 2008. Ianya menyaksikan kekalahan Umno BN buat sekian kalinya dengan majoriti besar iaitu sebanyak 4551 undi.

Calon PAS Ustaz Salleh Man mendapat 9618 undi manakala calon BN, Rohaizat Othman mendapat 5067 undi.

BN hanya menang di DUN Batang Ai sementara di DUN Penanti, mereka tidak meletakkan calon.

Dalam lapan pilihan raya kecil iaitu tiga parlimen dan lima DUN yang ditandingi jelas menyaksikan rakyat menolak Umno BN walaupun pimpinan parti itu tetap mengatakan bahawa mereka masih diterima rakyat.

Bermula di Parlimen Permatang Pauh, menyaksikan Anwar mendapat majoriti yang besar iaitu sebanyak 15,671 undi mengalahkan calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah.

Di Parlimen Kuala Terengganu pula, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi menewaskan calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Seterusnya tiga pilihan raya kecil yang berlangsung serentak iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Dun Bukit Selambau dan Dun Batang Ai menyaksikan Pakatan Rakyat menang dua daripadanya.

Di Bukit Gantang,Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengalahkan calon BN, Ismail Saffian dengan majoriti 2,789 undi. Di Dun Bukit Selambau pula calon PKR S.Manikumar mengalahkan calon BN, Dato' S.Ganesan dengan majoriti 2,403 undi.

Manakala BN hanya menang di Dun Batang Ai apabila calonnya Malcom Mussen Lamoh mengalahkan calon PKR Jawah Gerang dengan 1854 undi.

Atas pelbagai alasan, BN membuat keputusan tidak meletakkan calon di DUN Penanti. Seterusnya di Dun Manek Urai, calon PAS tetap berjaya menewaskan calon BN walaupun hanya dengan majoriti 65 undi.

Umno upah, latih pelajar sekolah bencikan Pakatan Rakyat

Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 28 Ogos: Dibayar antara RM20-30 setiap seorang. Diberikan baju 'T' yang bertulisan Pemuda Umno Kepala Batas. Dihantar ke Pahang menghadiri program bencikan PAS, DAP dan KeADILan.

Demikian antara penemuan Harakahdaily dalam siri kempen Barisan Nasional (BN) yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah baru-baru ini.

Setelah disiasat rupa-rupanya Umno mempergunakan murid-murid sekolah yang dipilih daripada beberapa buah sekolah di kawasan Parlimen Kepala Batas untuk tujuan menjadi 'pasukan sorak' bagi Barisan Nasional (BN) di hari pembuangan undi Dewan Undangan Negeri (Dun) N11 Permatang Pasir pada 25 Ogos lalu.

Pasukan itu dibentuk oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas merangkap Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican supaya jentera Umno dan BN nampak ramai sekaligus membuktikan sokongan pemuda terhadap parti itu telah kembali sepertimana yang terjadi di Pilihan raya Kecil Manik Urai, Kelantan.

Murid sekolah yang dikesan itu diberikan baju 'T' yang bertulisan Pemuda Umno Kepala Batas. Mereka ini menaiki motor berkonvoi ke sana ke mari menyesakkan lagi lalu lintas dan bila sampai ke pondok PAS mereka akan melaungkan berbagai slogan provokasi untuk membangkitkan kemarahan jentera Pakatan Rakyat.

Manakala ada yang berbaju biru kehitaman dan tertera perkataan 'Pemuda Satria' merupakan sebahagian daripadanya tetapi mereka ini hanya berkumpul di Unit Peti Undi (IUPU) tertentu sahaja contohnya di Kampung Pelet, Bukit Indera Muda dan Kubang Semang bagi menyemarakkan lagi sokongan pada BN dengan melaungkan slogan ciptaan Umno.

Sekiranya sesiapa berada di sekitar UPU berkenaan pastinya terdengar slogan, 'pangkah PAS dapat apa jawapannya neraka', 'siapa barua DAP jawapannya PAS', dan berbagai lagi sehinggakan ada yang termakan provokasi itu membuatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) hadir dengan bantuan polis bagi menjaga keselamatan di kawasan terbabit.

Namun, apa pun cubaan Umno dan BN untuk mencetuskan pergaduhan, jentera Pakatan Rakyat tidak berganjak daripada kawasan yang dikhaskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berbanding dengan jentera BN terutamanya Wanita Umno yang memakai pakaian bertemakan kemerah-merahan dan Puteri Umno yang dilihat lebih suka berteduh di rumah penduduk atau di bawah rimbunan pokok di kiri kanan bahu jalan bahkan kereta pengangkut undi BN juga berehat awal.

Inilah perbezaan antara jentera Pakatan Rakyat dan BN mereka sanggup berpanas dan berhujan kerana perjuangan untuk menegakan keadilan dan kebenaran tambahan lagi pilihanraya kecil itu diadakan pada awal Bulan Ramadhan.

Tentunya tekak terasa pahit dan dahaga tetapi kerana memartabatkan perjuangan Islam yang dibawa PAS jentera Pakatan Rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus berdiri teguh sambil melaungkan perkataan membesarkan Allah SWT dan sekali sekala mengajak orang ramai yang melalui hadapan mereka supaya memberikan sokongan pada calon PAS, Ustaz Saleh Man.

Pelajar sekolah itu dikatakan diberi upah RM20.00 - RM30.00 seorang dan pernah dihantar ke Pahang menghadiri program bencikan PAS, DAP dan KeADILan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah ketika ditanya pandangannya berkata, Umno dan BN kini telah hilang kewarasan apabila menggunakan pelajar sekolah dalam kempen di hari pencalonan.

"Sepatutnya, Umno dan BN bersikap matang untuk berhadapan dengan jentera Pakatan Rakyat, tetapi apa boleh buat pemuda sekarang lebih bijak memilih perjuangan Pakatan Rakyat yang nampak lebih ketrampilan memerintah berbanding BN yang penuh dengan penyelewengan dan penipuan.

"Golongan muda sudah hilang kepercayaan pada Umno menyebabkan mereka terpaksa mengimpot pelajar sekolah untuk meramaikan sokongan, " ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Permatang Pauh,Suraiya Saat pula menegaskan, BN jelas melatih golongan muda dengan duit.

"Pelajar dibayar upah dengan duit dan tidak mustahil memperbanyakkan lagi budaya sogok, " ujarnya lagi.

UBN Najib Altantuya: Pegawai SPRM dera saksi hingga pengsan?

Harakahdaily
SHAH ALAM, 28 Ogos: Peguam Gobind Singh Deo memberitahu Inkues kematian Teoh Beng Hock, beliau mempunyai saksi dan bukti pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendera saksinya sehingga pengsan.

Beliau juga mempunyai gambar kecederaan mangsa bagi menyokong laporan polis itu yang dibuat terhadap pegawai SPRM di Tingkat 14 Plaza Masalam.

Gobind berkata demikian dalam inkues di hadapan koroner Azmil Muntapha Abas.

Menurut Gobind, beliau memohon untuk menyoalbalas saksi ke-19, inkues itu, Penolong Penguasa SPRM Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang memberi keterangan dalam prosiding hari ini. Ini kerana beliau didakwa salah seorang dari pegawai yang terlibat mendera itu.

Kata Gobind, antara deraan yang diterima pengadu itu adalah dengan ditampar beberapa kali, dibogelkan dan dipukul dengan batang besi.

Ekoran itu, Koroner Azmil menangguhkan inkues ke 8 September untuk membolehkan pegawai SPRM itu menyediakan peguamnya bagi menghadapi soalan-soalan mengenainya.

Gobind adalah peguam bagi pihak keluarga simati, Teoh Beng Hock.

UBN Najib Altantuya: Kelantan perluas tazkirah guna stesen radio

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 28 Ogos: Kerajaan negeri Kelantan dengan jalinan kerjasama sebuah stesen radio swasta, Manis FM telah mengadakan program tazkirah yang disiarkan melalui setesen radio tersebut bermula awal Ramadhan lalu hingga ke hujung bulan puasa ini.

Ianya sebgai usaha kerajaan negeri menyebar luaskan dakwah kepada masyarakat khasnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dapat mengikuti siaran itu.

Menurut Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan negeri Kelantan Abdul Rahman Yunus, tazkirah akan disampaikan oleh pimpinan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Ustaz Nasruddin Daud, Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan negeri dan juga Ketua Polis Negeri.

Siaran tazkirah tersebut dapat diikuti setiap hari sepanjang Ramadhan pada jam 7.30 pagi, 2.00 petang, 4.00 petang dan 7.05 petang pada frekuensi 90.6 MHz di Kelantan, 102.00 MHz di Terengganu dan 95.1 MHz di Pahang.

Abdul Rahman juga berkata sebelum ini siaran tazkirah tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya melibatkan Menteri Besar Kelantan sendiri apabila pihak Urusetia kerajaan negeri menerima panggilan talipon dari seluruh negeri.

"Saya berharap penduduk di negeri ini mengambil kesempatan untuk mendengar program tazkirah yang disampaikan oleh pimpinan kerajaan negeri sempena bulan Ramadhan ini," ujar beliau.Image

Dalam perkembangan lain, seramai 60 warga miskin Kota Bharu telah dipilih oleh Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kota Darulnaim untuk menerima sumbangan RM100 setiap orang bagi meringankan beban sempena bulan Ramadhan.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut Ir.Mohd Ariff Fahmi Abdul Rahman ketika ditemui di majlis Perasmian Sambutan Ihya Ramadhan peringkat Kompleks Kerajaan negeri Kelantan berkata, seperti di tahun-tahun lepas, masjid yang terletak dipinggir pagar komplek kerajaan negeri tersebut akan menyediakan program tazkirah pada setiap hari bermula jam 12 tengahari dan berharap kakitangan kerajaan dapat mengambil menafaat tersebut.

Perasmian Ihya Ramadhan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat,turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri,Dato'Aiseri Ilias,Pegawai Kewangan Negeri Mohd Faudzi Mat Jusoh, Exco negeri,Wakil-Wakil Rakyat, Ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri dan swata.

Dato'Aiseri Ilias ketika berucap berkata kakitangan kerajaan dari peringkat tinggi hingga bawah seharusnya memainkan peranan penting dalam masyarakat setempat iaitu seperti melibatkan diri dengan aktiviti masjid maupun masyarakat tempatan.

"Saya yakin kakitangan kerajaan negeri Kelantan dapat melakukan aktiviti harian yang baik kerana mereka ini juga sedikit sebanyak mempunyai pengaruh dalam masyarakat," katanya.Image

Sementara itu Tuan Guru semasa menyampaikan tazkirah pertamanya berharap pada tahun ini rakyat negeri ini dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan meraikan Al-Quran kerana Al-Quran telah diturunkan pada bulan yang mulia ini.

"Kita sering menyambut puja umur (hari lahir) manusia seperti isteri,anak-anak kita, Pemimpin Negara kita juga sambut hari kelahiran Nabi Muhammad saw, oleh itu bulan Ramadhan ini kita pakat-pakat (ramai-ramai)sambut kedatangan Al-Quran iaitu dengan membacanya seberapa banyak yang boleh,bertaddarus maupun mentafsirkannya," kata beliau.

Beliau juga berharap perubahan perlu diadakan di setiap masjid negeri ini iaitu dengan menyediakan imam-imam atau penceramah agama dari pelbagai kaum seperti kaum Tionghua dan India.

"Kalaulah kaum ini juga diterima sebagai penceramah di masjid-masjid,nescaya kita akan lebih memahami masalah kaum mereka dan ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama kaum di negeri ini," katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata tanggapan orang ramai yang mengatakan bulan Ramadhan hanya untuk berpuasa sahaja perlu dikikis kerana Ramadhan meliputi pelbagai program yang sudah diatur oleh Allah swt seperti setiap amalan dilipat gandakan ganjarannya, perbanyakkan sedekah,melakukan amalan solat sunat,membaca Al-Quran dan pelbagai lagi perkara yang berfaedah.

Bagi memperkemaskan lagi institusi masjid, beliau berkata jawatankuasa Masjid perlu menjemput rakan-rakan dari kaum lain yang belum Islam seperti di majlis sambutan Maulidurrasul,Israk Mikraj,Sambutan Awal Muharram yang sering diadakan di masjid.

"Mereka ini memerlukan pendedahan yang sebenarnya terhadap kemurnian agama Islam yang tidak mengamalkan sebarang keganasan, bila mereka ada bersama,mereka akan dapat melihat dengan jelas keadaan yang sebenar berlaku di masjid,Masjid bukan hanya tempat bersembahyang semata-mata,"katanya lagi.Image

Majlis berkenaan dihadiri lebih 300 orang termasuk dari masyarakat India dan Tioghua.

UBN Najib Altantuya: Merdeka: Apakah percikan bunga api boleh kembalikan keyakinan rakyat?

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Bukan kibaran bendera, nyanyian lagu, percikan bunga api, perarakan, ciptaan logo dan slogan yang utama tetapi bebas dan merdeka dari sebarang penindasan yang mencengkam minda, hak-hak dan keadilan sama rata menjadi harapan rakyat sejak 52 tahun yang lalu.

Dengan belenggu kemiskinan, jurang antara kaya dan miskin semakin melebar, gaji sedikit harga barang meningkat, jenayah bercambah, gejala keruntuhan akhlak makin menjadi dan kualiti kesihatan yang bertambah buruk lantaran penularan wabak terbaru, menjadikan rakyat makin resah gelisah mendiami negara tercinta ini.

Bukan itu sahaja, gelodak runsing rakyat, makin terpampang tatkala api perkauman mula dinyalakan, mula mengusik batas agama,hak-hak kebebasan bersuara dinafikan, cakaran politik di sana sini, agensi-agensi penguatkuasaan yang sudah hilang intergriti dan aneka keserabutan menjadikan 'Merdeka' tidak mempunyai erti, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Bagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, kemerdekaan perlu kepada satu anjakan baru yang lebih meyakinkan rakyat dan mendemokrasikan negara dalam erti kata sebenarnya.

"Saya akui ada peningkatan kemudahan asas dan pembangunan fizikal memang wujud namun itu tidak cukup.

"Yang menjadi virus kepada negara ialah intergriti,di mana rakyat semacam hilang kepercayaan kepada pemimpin dan kerajaan. Ini perubahan yang perlu dilakukan," jelasnya kepada Harakahdaily pagi ini.

Katanya keadaan yang tidak kondusif seperti agensi penguatkuasaan umpama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis yang semakin diragui menunjukkan bahawa 'perjuangan kewibawaan' ini masih belum selesai.

"Intergriti mesti dibaik pulih, keamanan sahaja tidak cukup untuk memacu pembangunan ekonomi, sosio politik. Mesti ada perpaduan dan iltizam.

"Akta-akta draconian seperti ISA mesti dimansuhkan dan penegasan terhadap penyelewengan yang terpilih seperti melibat kepimpinan negara perlu didedahkan dan dikenakan tindakan," katanya yang juga Chief Komandan Himpunan Mansuhkan ISA

Awal bulan ini, lebih 100,000 rakyat berhimpun secara aman membantah dan menggesa kerajaan memansuhkan ISA yang zalim dan menganiaya rakyat tanpa bicara.

Sebelum itu 7 Mac lalu, rakyat turut 'bangkit' menentang dasar kerajaan melalui PPSMI yang meminggir bahasa kebangsaan dan menyebabkan pelajar semakin tercicir, dan ibu kota menjadi saksi ratusan ribu rakyat menunjukkan solidariti.

Dalam kedua-dua isu itu atau apa yang didakwa sesetengah pihak bahawa pembangkang mencetuskan suasana tidak senang itu, Salahuddin menjelaskan kedudukan sebenar peranan semak dan imbang (Check and balance) yang dilakukan oleh pihak mereka.

"Peranan pembangkang bukan bersifat pengacau atau pencetus huru hara negara tetapi lebih bersifat "memulakan suatu langkah hari ini, bagi membekalkan perkara yang lebih baik kepada generasi akan datang,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Lain pula pandangan Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua yang melihat penindasan dan penjajahan bentuk baru sedang berlaku dalam negara ini.

"Kalau dulu penindasan datangnya daripada penjajah dan kini penjajah masih wujud dengan mekanisme yang sama cuma 'tukar kulit' sahaja.

"Merdeka tulen ialah apa yang dimimpikan dan apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang zaman dahulu iaitu bebas daripada penindasasn, boleh menjadi pemilik harta kekayan negara," jelasnya.

Kini negara katanya, mengalami kemerosoton dari segi hak asasi kepada rakyat dan pelbagai institusi yang 'check and balance' sudah hilang peranannya.

"Tiada banyak yang berubah kecuali Pilihan Raya Umum ke-12 menunjukkan kebangkitan rakyat yang tidak puas hati dengan kerajaan dan pemimpin yang sedia ada

Berkaitan slogan yang dicanangkan katanya aianya tidak lebih kepada slogan ubah suai setiap pemipin yang jadi Perdana Mneteri malah rakyat sendiri tidak faham apa makna 1Malaysia, Wawasan 2020 dan Islam Hadhari

"Saya berharap rakyat terus maju, dan rakyat boleh rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan mempunyai rasa 'sense of belonging' dan menjadi bangsa yang berdaulat." kata Ahli Parlimen Batu itu.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan pula berpendapat semenjak 52 tahun negara merdeka jurang pendapatan kaya dan miskin semakin melebar dari tahun ke tahun dan jurang pendapatan negara yang kedua terbesar di Asia.

"Kita bercakap soal hak dan rakyat menikmati kekayaan negara, tetapi hanya segelintir golongan sahaja yang kaya.

"Sepatutnya kerajaan mesti memberi perhatian kepada isu-isu berhubung akta gaji minima, polisi tanah-tanah untuk petani dan membela nasib rakyat golongan berpendapatan rendah," katanya.

Baginya, walaupun slogan Perdana Menteri iaitu 'rakyat didahulukan , pencapaian diiutamakan' adalah baik tetapi implementasinya yang perlu diambil kira.

"Satu Malaysia yang diuar-uarkan tidak mengambarkan apa yang terjadi terhadap institusi yang melindungi rakyat seperti SPRM yang jelas wujud pilih kasih.

"Media masih dikongkong dan ISA, OSA dan pelbagai akta yang mencengkam masih wujud. Yang penting dalam mengisi kemerdekaan ialah kebebasan hak rakyat itu ditunaikan dan kesaksamaan itu mesti diutamakan," katanya.