"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Buli jalan raya’ rampas beg tangan, ditahan polis

FMT Reporters

Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat seorang lelaki meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya sebelum merampas beg tangan wanita berkenaan.

PETALING JAYA: Lelaki tempatan yang dipercayai merampas beg tangan dari kenderaan wanita yang terlanggar keretanya di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam selepas membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. 

“Siasatan mendapati, kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku pada 1.33 tengah hari (semalam) membabitkan tiga kenderaan.

“Kejadian berlaku apabila wanita yang memandu kereta BMW terlanggar belakang sebelah kanan kereta Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki yang berusia 56 tahun itu terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV di hadapan yang dipandu oleh seorang wanita. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut laporan Harian Metro.

Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat lelaki terbabit meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis.

Dia kemudian bertindak merampas beg tangan wanita terbabit dan membawanya ke kereta sambil mengarahkan wanita berkenaan mengikutnya membuat laporan polis.

Kejadian dipercayai berlaku berhampiran stesen minyak Shell dan Petron di Lebuhraya Persekutuan sebelum susur ke Seksyen 13 serta Lebuhraya Guthrie. 

Selain itu, Baharudin berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim (013-9557042),” katanya.

Tiada ulasan: