"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Mat Sabu jelaskan kenapa beliau tidak tanding 2 PRK

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atau lebih popular dengan gelaran Mat Sabu hari ini tampil menjelaskan sebab-musabab beliau tidak bertanding dalam dua pilihan raya kecil (PRK) dalam masa terdekat.

Ini kerana parti telah memilih calon-calon terbaik untuk bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kata Mat Sabu kepada pemberita.

“Hanya boleh letak satu calon, betul? Jika boleh ramai, saya juga mahu bertanding juga, tetapi kita hanya boleh pilih satu sahaja.

“Kami pilih seseorang yang kami rasakan sesuai untuk kerusi tersebut,” kata beliau semasa ditemui semasa Kongress Kebangsaan Parti Sosialis Malaysia di Shah Alam, hari ini.

Mat Sabu pernah menjadi ahli parlimen selama beberapa penggal sebagai mewakili kerusi Kuala Kedah, Kedah dari tahun 1999 hingga 2004 selain Kubang Kerian serta Nilam Puri di Kelantan atas tiket PAS.

AMANAH telah memilih profesor fizik, Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai calon pilihan raya kecil Kuala Kangsar bagi menentang calon Umno dan PAS manakala di Sungai Besar pula, Azhar Abdul Shukur dipilih sebagai calon parti itu untuk menentang dua parti lain.
-malaysiakini

PAS ‘mabuk’ dengan perkauman UMNO - Mujahid

FMT Reporters
Mujahid-pas-umno
PETALING JAYA: Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa menuduh parti lamanya PAS, jadi mabuk dengan perkauman UMNO dan mengetepikan kepercayaan parti terhadap universalisme Islam.

Mujahid berkata bapanya, Yusof Rawa, pengasas PAS menegakkan prinsip Islam sepanjang hidupnya.

Bagaimanapun, PAS kini menjadi perkauman selepas “mabuk dengan doktrin UMNO, kenyataan perkauman dan fitnah terhadap masyarakat Cina dan DAP”.

Kenyataan Mujahid itu sebagai respons terhadap komen dibuat pemimpin PAS di muktamar baru-bari ini.

Pemimpin Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata DAP menyediakan ahlinya dengan “arak”, hingga menyebabkan mereka keluar untuk menubuhkan AMANAH.

“Bukan kami yang mabuk, kamu yang mabuk,” kata Mujahid, menurut Malaysiakini.

“Itu sebabnya kami keluar parti (PAS), dan itu semua kerana kamu yang mabuk dengan UMNO.”

AMANAH, parti serpihan PAS, ditubuhkan tahun lalu selepas sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan oleh calon konservatif dalam pemilihan parti. Langkah itu diambil susulan perbalahan berterusan antara DAP dan PAS berikutan parti Islam itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, dan ia disokong UMNO.

Perbalahan itu menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat, dan kemudian AMANAH bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

Mujahid juga mengkritik pemimpin PAS yang memakai baju Melayu, kain pelikat dan songkok di muktamar itu, bukan jubah putih tradisi pakaian seragam mereka, yang digambarkannya mengikut gaya pemimpin UMNO.

“Cara mereka (PAS) berpakaian menggambarkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sedangkan UMNO pun tidak sejauh itu (membuktikan mereka Melayu),” kata Mujahid.

Katanya, tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan keris untuk memotong kek pada muktamar itu “ejekan” kepada semua orang Islam.

Umno ganti PAS, PAS ganti Umno: Biar gambar bercerita


Pas semakin Melayu bukan Umno semakin Islam, kata Khalid Samad
ARIF ATAN
Suasana di majlis perasmian muktamar Pas yang tidak pernah ada sebelum ini
Setelah bekerjasama dengan Umno, Pas kini dilihat semakin menjadi Melayu bukannya Umno yang menjadi semakin Islam, kata bekas pemimpinnya yang kini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

Pengarah Komunikasi Amanahnya, Khalid Samad bimbang, kesatuan yang didendangkan sekadar topeng bagi mereka masing-masing (Pas dan Umno) menonjolkan pihak mana lebih Melayu dan Islam.

"Sebabnya apa yang kita nampak sekarang Pas semakin mahu menjadi Melayu bukan Umno yang sepatutnya semakin Islam.

"Padahal, kita mesti bersatu menzahirkan politik Islam yang mementingkan nilai keadilan dan kepedulian membanteras gejala seperti rasuah dan perkauman," ujarnya ketika ditemui selepas sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di Seksyen 13 hari ini.

Mengulas tema pakaian pendekar Melayu pada muktamar tahunan Pas tahun ini, beliau menyifatkan penampilan tersebut bertujuan menarik sokongan pengundi Melayu menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, 18 Jun ini.

"Itu lebih kepada penyatuan Pas dengan Umno tetapi ironinya ketika Pas semakin Melayu tetapi Umno tidak pula lebih Islam.

"Patutnya tinggalkan Umno yang tiada asas perjuangan Islam," tegasnya yang juga pengarang buku 'Dari Pas ke Amanah' terbitan Ilham Books.

Sehubungan itu, Khalid yakin pengundi Melayu di kedua-dua Parlimen itu lebih bijak menilai bahawa Amanah lebih konsisten mengangkat perjuangan berteraskan prinsip Islam tanpa menyalahgunakan sentimen sempit perkauman dan agama.

Ibu tikam, kerat tiga anak sebelum bunuh diri

Ibu tikam, kerat tiga anak sebelum sebelum bunuh diri
Octavia Rogers dan tiga anaknya
PHOENIX - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita didakwa menikam dan mengerat tiga anaknya sebelum bertindak membunuh diri, lapor DailyMail.

Octavia Rogers, 29, didakwa membunuh dan mengerat sebahagian tubuh anaknya iaitu Jaikare Rahaman, 8, Yeremia Adams, 5, dan Avery Robinson, dua bulan.

Menurut polis Phoenix, Sarjan Trent Crump, wanita itu membunuh anaknya sebelum menyumbatnya di dalam almari dan beg pakaian.

Wanita itu juga turut bertindak menikam diri sendiri di bahagian perut dan leher dan mendakwa dia sedang mengandung.

Dia kini sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, nenek kanak-kanak malang itu Tanella McCoy berkata, Octavia merupakan seorang ibu yang baik dan dilihat tidak mempunyai masalah dengan anak-anaknya.

"Saya tidak tahu apa yang dirasai ketika ini," katanya.

Sementara itu, abang mangsa berkata, dia yang pulang ke rumah kira-kira jam 2 pagi dan berbual dengan adiknya.

Octavia mula bercakap mengenai agama dan bagaimana dia mendapatkan jawapan sebelum bertindak menguncikan diri di dalam rumah.

Abangnya terpaksa memecah masuk rumah berkenaan dan mendapati wanita itu berada di dalam bilik mandi dengan beberapa kesan tikaman.

Lelaki itu terus menelefon pihak berkuasa dan pergi mendapatkan tuala bagi menghentikan pendarahan namun wanita itu cuba membunuh diri dengan melemaskan diri di dalam tab mandi.

Octavia juga dilaporkan memberitahu abangnya dia mengandung dan pihak berkuasa sedang mengenalpasti samada dakwaannya itu benar atau tidak.

Polis berkata, wanita memberitahu pegawai polis yang tiba ditempat kejadian anak-anaknya berada di tempat lain.

Namun, polis kemudian menjumpai dua daripada mayat kanak-kanak malang itu diletakkan di dalam almari sementara seorang bayi disumbat ke dalam beg pakaian.
-sinarharian

Warga emas trauma dicabul jiran

Rembau: Seorang warga emas yang berusia 70 tahun trauma setelah dia dicabul lelaki berusia 50 tahun, yang juga jirannya dalam kejadian di Pedas disini pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.00 pagi itu, warga emas tersebut pada mulanya meminta tolong lelaki yang dianggap anak angkatnya itu untuk mengurut kaki yang sakit, namun berakhir dengan tragedi yang menakutkan.

Sumber Sinar Online memberitahu, warga emas itu tidak berani melawan anak angkatnya itu kerana tidak berdaya selain atas faktor usia sebaik sahaja anak angkatnya itu menanggalkan pakaian.

“Lebih malang lagi, warga emas itu terlalu mempercayai jiran lelakinya yang sudah dianggap seperti anak sendiri kerana sering berkunjung ke rumahnya untuk menziarahinya.

“Warga emas berkenaan kemudiannya nekad membuat laporan di Balai Polis Pedas susulan tidak mahu insiden berkenaan berulang kembali selain berasa trauma,” katanya.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan ke lokasi kejadian iaitu di rumah warga emas itu telah menjumpai kesan air mani di atas sarung tilam serta sehelai baju T dan kain batik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian berkenaan, dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Suspek yang tidak bekerja ditangkap pada jam 12 tengah hari pada hari sama dan kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.
-kualalumpurpost-

Abai undi kaum lain, Pas perjudi nasib fokus Melayu - Ilham Centre

Presiden Pas memotong pulut ulang tahun Pas dengan keris panjang.
Presiden Pas memotong pulut ulang tahun Pas dengan keris panjang.
Ilham Centre menyifatkan Pas sebenarnya sedang berjudi nasib apabila hanya memikirkan undi Melayu dengan mengabaikan terus undi kaum lain.

Pengerusi Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, hal ini dapat dilihat pada aksi Presiden Pas yang tampil dengan sebilah keris panjang memotong pulut sebagai simbolik perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-62 di Kota Bharu, Kelantan semalam.

Menurutnya, muktamar Pas cuba menghantar mesej bahawa parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu kini turut menjunjung perjuangan Melayu selain penekanan kepada Islam seperti kelaziman sebelum ini.

"Saya percaya tindakan ini selari dengan strategi Pas yang berusaha menawan hati penyokong Umno yang kecewa dengan kemelut parti mereka untuk memindah sokongan kepada Pas sebagai (parti) alternatif.

"Dengan formula itu, Pas sebenarnya beranggapan mereka akan menjadi parti yang mendapat laba dari perpecahan Umno dan akhirnya menjadikan Pas parti yang kuat kerana didukungi oleh orang Melayu.

"Dan adakah benar, formula menjulang keris dan berbusana lengkap pahlawan Melayu akan diterjemahkan undi orang Melayu kepada Pas?" soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Walau bagaimanapun pada fasa strategi Pas ini, ujarnya, parti tersebut kelihatan terpaksa mengorbankan sebarang pertalian dengan DAP demi mendekatkan sokongan Melayu kepada Pas.

"Dengan itu, menampakkan simbol penolakan total pada DAP dangan kenyataan berbaur serangan kepada DAP disamping mengukuhkan imej penonjolan membela kebudayaan Melayu," tegasnya.

Mengulas lanjut isu keris, Hisommudin berkata, Umno pernah terkena tempias penolakan bangsa lain kepada mereka akibat penggunaan senjata tradisional Melayu itu dan elemen menonjolkan aspek dominasi Melayu ke atas bangsa lain.

"Hishammuddin Tun Hussein sewaktu menjadi Ketua Pemuda Umno pernah menjulang dan mengucup keris telanjang dan akhirnya mengundang kecaman dari bangsa lain dan akhirnya menjadi isu yang besar perlu ditangkis Umno," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Pas bersedia untuk dikritik selepas mengambil langkah tidak popular itu demi meraih matlamat yang dilihatnya masih lagi samar-samar digapai oleh Pas.

"Saya yakin, sejak dua hari muktamar Pas berlangsung, serangan sinis ataupun kecaman netizen dizahirkan terbuka di media sosial berbanding pujian kepada mesej Pas tersebut," tambah Hisommudin lagi.

Kesetiaan pengundi UMNO bakal pecah di Kuala Kangsar?

Aedi Asri 
Kamilia-Ibrahim_umno_kuala-kangsar_600KUALA LUMPUR: Skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion, perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar dan calon bukan pilihan semua menjadi antara faktor yang akan menguji kesetiaan pengundi tegar UMNO dalam PRK Parlimen itu pada 18 Jun depan.
Bekas naib ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai segmen pengundi yang setia kepada parti masing-masing, sama ada UMNO atau PAS, terutama di kawasan luar bandar.

“Namun tidak mustahil kesetiaan pengundi UMNO akan pecah atas pelbagai sebab. Misalnya isu 1MDB dan RM2.6 bilion membuatkan ahli UMNO sendiri marah, walaupun ada yang tidak menunjukkan kemarahan mereka.

“Begitu juga faktor calon yang tidak dipersetujui semua, selain perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar akibat perbalahan sesama sendiri,” katanya dalam wawancara bersama FMT semalam.

Kamilia yang juga bekas ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar berkata isu 1MDB dan RM2.6 bilion juga mungkin mampu menyebabkan pengundi luar yang biasanya tidak mengundi dalam PRK – yang cenderung menyokong pembangkang, pulang untuk menunjukkan suara mereka.

Bekas senator yang 30 tahun menjadi ahli UMNO itu dipecat pada 2013, selepas mengambil tindakan nekad bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar pada PRU13 sebagai tanda protes kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Sementara itu, Kamilia menyambut baik spekulasi yang menyatakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir mungkin ‘menaja’ bekas ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman yang dipecat tahun lalu untuk turut bertanding sebagai calon bebas.

Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan penentangan Mahathir terhadap Najib sudah bersifat terlalu peribadi.

“Saya percaya apa yang beliau lakukan adalah perjuangan. Ramai orang lupa kalimah ‘perjuangan’ ini. Untuk mewujudkan negara yang lebih bersih, tidak rasuah dan berpegang kepada prinsip kenegaraan yang tulen.

“Saya pun rasa mahu bertanding kalau ada pasukan yang bagus. Ini (menentang kepimpinan Najib) adalah perjuangan yang bagus. Saya sudah lama dalam politik, dan perjuangan tidak pernah mati,” katanya.

Seorang lagi pemimpin UMNO Syed Rosli Syed Harman Jamalullail juga dikatakan akan menjadi calon bebas.

Namun setakat ini hanya UMNO, PAS dan Pakatan Harapan yang mengesahkan akan bertanding di Kuala Kangsar.

PAS mengaku hilang 200,000 anggota

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan memberitahu, jumlah anggota parti Islam itu kini berkurangan sebanyak 200,000 selepas proses pemutihan.
Takiyudin berkata, pada tahun lalu beliau mengumumkan bahawa jumlah keanggotaan PAS mencecah sejuta orang.

Namun, setelah beberapa perkara yang berlaku termasuk anggota PAS yang meninggalkan parti, jumlah anggota parti Islam itu berkurangan.

"Kita kena telus dan terbuka. Kita pernah umum jumlah keahlian mencecah sejuta tetapi selepas buat pemutihan, ada ahli yang meninggal, ada yang tinggalkan parti, kita sekarang ada 800,000 orang ahli," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Kelantan hari ini.

Parti Amanah Negara (AMANAH) dilihat menjadi alternatif baru kepada anggota PAS yang mahu meninggalkan parti.

Aset dibawa 'lari'

Takiyudin, anggota parlimen Kota Bharu, meminta semua pihak memperbanyakkan anggota PAS serta mendaftar mereka sebagai pengundi.

Takiyudin juga meminta supaya anggota parti di semua peringkat mendaftar aset mereka supaya tidak dibawa pergi pihak yang keluar parti.

"Apa yang berlaku selepas muktamar tahun lalu ialah, ada yang lari dari PAS dan bawa lari aset-aset PAS.

"Jadi kita akan mewajibkan pendaftaran aset PAS kerana ada pihak di peringkat cawangan? Kawasan mempunyai aset parti seperti markas," katanya lagi.

Ahli Umno minta Harussani taubat

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria disaran bertaubat ekoran kenyataannya menganggap pencalonan Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar tidak menyalahi hukum Islam.

Ahli Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Harussani itu seolah-olah mengizinkan seseorang wanita keluar rumah berkempen walaupun masih dalam idah akibat kematian suami.
Selain itu Syed Rosli (gambar) berpendapat tindakan mufti itu dan pemimpin Umno membenarkan Mastura mengeluarkan gambarnya di media sosial seolah-olah memperlekehkan agama dan perintah Allah.

“Dengan menggunakan rakaman video dan poster beliau, secara tak langsung ia menggambarkan juga calon BN melanggar perintah idah dalam Islam.

“Apabila Umno dan mufti cuba mengubah suai perintah Allah maka mereka ini kelihatan memperlekehkan agama dan perintah Allah hanya kerana kepentingan individu.

“Pada saya ia perbuatan terkutuk dan keji. Saya harap pemimpin Umno khususnya mufti-mufti yang telah membuat kenyataan ini supaya insaf dan bertaubat kerana ia jelas menghina agama Islam dan menghina Allah,” katanya kepada Malaysiakini.

Selepas BN menamakan Mastura sebagai calonnya dalam PRK Kuala Kangsar, beberapa pihak menimbulkan isu kesesuaian balu allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dipilih.

Antara lain Mastura masih dalam keadaan idah selepas Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam kemalangan helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun beberapa pihak lain termasuk Harussani menganggap tidak ada larangan untuk seseorang wanita dalam idah dijadikan calon dalam pilihan raya.

Pada pandangan Harussani pencalonan Mastura itu tidak melanggar hukum agama mahupun budaya Melayu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata strategi itu julung kali diguna pakai jentera BN semenjak parti itu ditubuhkan.

Malah, katanya ia dibuat dengan mengambil kira fatwa mengikut hukum qat'ie dalam Islam dalam hal tempoh idah seseorang wanita yang kematian suami.

Zahid berkata antara kaedah telah dicari untuk memperkenalkan Mastura kepada pengundi termasuk merakamkan ucapannya yang akan disiarkan di semua pusat daerah mengundi dan lokasi-lokasi sasaran, selain melalui komunikasi tanpa lisan.

Syed Rosli sebelum ini menegaskan bahawa beliau akan bertanding di PRK itu sebagai calon bebas memandangkan BN meletakkan Mastura yang disifatkannya supaya tidak sesuai.

Beliau turut tidak gentar sekiranya keahliannya di dalam Umno dilucutkan kerana bertanding dalam PRK berkenaan.
-malaysiakini

Guru ini hamil hasil hubungan dengan pelajar berusia 13 tahun

Seorang guru wanita di Texas, Amerika Syarikat ditahan pihak polis dan didakwa atas kesalahan melakukan penderaan seksual ke atas seorang pelajar lelakinya, berusia 13 tahun.

Hasil hubungan seks dengan pelajarnya itu, Alexandria Vera, 24, kini sedang hamil.

Alexandria berkata dia mula menjalin hubungan seks dengan pelajarnya itu sejak September lalu.

Mengikut undang-undang Texas, melakukan hubungan seks dengan individu berusia bawah 17 tahun adalah satu kesalahan merogol bawah umur melainkan kedua-duanya mempunyai jarak usia tidak kurang dari tiga tahun di antara satu sama lain.

Alexandria menyerah diri kepada polis dan kini ditahan di Penjara Negeri Montgomery.

Dalam keterangannya Alexandria berkata, ibu bapa pelajar terbabit mengetahui tentang hubungan mereka dan memberikan sokongan.

Menurut Alexandria dia berkenalan dengan pelajar terbabit ketika persekolahan musim panas tahun lalu.

Dia menyifatkan pelajarnya itu sebagai seorang yang nakal dan mengoratnya terlebih dahulu meskipun diminta Alexandria supaya berhenti mengganggunya.
-kualalumpurpost-

Pandu sendiri ke hospital setelah muka, lidah terbelah terkena mesin gergaji

Muka, lidah terbelah terkena mesin gergaji
(Atas) X-ray menunjukkan tengkorak mangsa yang hampir terbelah.
MELBOURNE - AUSTRALIA. Seorang lelaki hampir maut selepas mesin gergaji yang sedang digunakan gagal dikawal dan terkena pada mukanya.

Laporan Dailymail mengatakan muka Bill Singleton, 68 terbelah di bahagian mulut.

Mangsa kemudian mengambil kain dan membalut bahagian mukanya yang cedera parah dengan kain dan kemudian memandu sendiri kereta ke hospital.

Difahamkan, Bill tidak mampu menelefon ambulan pada waktu kejadian kerana lidahnya terbelah.

Bill kemudian diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital Royal Melbourne.

Menurut doktor, Bill terselamat kerana arteri carotid dan larynxnya tidak mengalami kecederaan.

"Jika gergaji tersebut terpotong arteri carotid atau larynx, Bill akan maut serta-merta," kata Profesor Alf Nastri.
-sinarharian

Muktamar PAS : 80 peratus ahli PAS Johor lari masuk AMANAH - Perwakilan Johor (video)



Perwakilan Johor, Shamsudin Jaafar sedih apabila beliau mendedahkan hampir 80 peratus meninggalkan PAS dan lari masuk Parti Amanah Negara, AMANAH.

Katannya, hampir seluruh pemimpin hebat dan mewakili parti di peringkat pusat sudah tidak ada bersama lagi
-kiniTV

IKUTI SIARAN LANGSUNG MAJLIS PENGISYTIHARAN CALON PAKATAN HARAPAN BAGI P.063 KUALA KANGSAR.

http://dpedasfm.blogspot.my/

PRK Kuala Kangsar: Bekas Saintis Mungkin Calon Pakatan Harapan

IPOH: Seorang bekas saintis nuklear dijangka akan dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.

Menurut sumber, ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Profesor Dr Ahmad Ramli Termizi, yang sebelum ini merupakan profesor fizik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ahli Persatuan Sains Nuklear, akan diumumkan sebagai calon, malam Khamis.

Dr Ahmad Termizi, yang dilahirkan di Kuala Kangsar, kini merupakan perunding keselamatan radiologi dan kesihatan dan ahli Jawatankuasa Persatuan Perubatan Fizik.

Beliau akan bersaing dengan Ketua Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad dan Datin Mastura Mohd Yazid yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Kerusi Parlimen itu kosong berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sarawak awal bulan lepas.

PRK Kuala Kangsar juga mungkin menyaksikan saingan empat penjuru dengan Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka Syed Rosli Harman Jamalullail menyatakan niat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Penamaan calon ditetapkan pada Ahad, manakala pengundian akan diadakan pada 18 Jun.
-mstar

Kesal kata-kata kurang sopan Nik Abduh

Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah
Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah
Di antara orang yang saya paling hormati dan sayangi adalah Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Akhlak Tok Guru lah yang paling patut dicontohi.

Kata-katanya yang selalu lembut dan penuh bijaksana bukan hanya dihargai kawan tetapi juga lawan.

Selepas Tok Guru meninggal dunia saya telah menulis dalam Facebook saya tentang jasa, tauladan dan sumbangan Tok Guru kepada umat Islam sedunia.

Anehnya beberapa hari selepas itu saya ditegur dan disoal oleh seorang Yang di Pertua Pas Terengganu kenapa saya menulis artikel tersebut.

Saya dengan penuh hairan menyatakan itu adalah penghargaan saya ke atas pengajaran ilmu berharga Tok Guru kepada semua.

Lebih dari 30 tahun saya mengunjung Masjid Tok Guru di Pulau Melaka Kelantan dan saya pernah berbual dengan anak-anak Tok Guru yang begitu baik akhlak serta tutur mereka termasuk Ustaz Nik Omar yang pada saya banyak mewarisi perwatakan Tok Guru.

Itulah cara Tok Guru mendidik keluarga beliau.

Saya amat sedih dan terkilan apabila mendengar dan melihat rakaman YB Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Abduh Nik Aziz, menyatakan DAP telah "memabukkan" dan "memberi arak" kepada pemimpin-pemimpin Amanah sehingga menubuhkan Parti Amanah. Walaupun kata-kata itu dikeluarkan atas rasa marah kepada Dap, ianya tidak harus dikeluarkan sebegitu cara.

Apatah lagi kita sudah di ambang bulan Ramadhan yang mulia dimana tutur kata lidah kita patut dipelihara.

Pengasas Parti Amanah Negara majoritinya orang Islam, dengan menggunakan istilah "memberi arak" dan "mabuk" telah memberi gambaran seolah-olah kami dihukum berakhlak rendah dan tidak bermoral.

Dalam masa yang sama Ketua Penerangan Pas Nasaruddin Hassan Tantawi mengatakan ulama Pas jangan menyerang Umno dan BN.

Kenapa kami pula menjadi tumpuan serangan?

Menjelang Ramadhan yang mulia ini, pihak pimpinan tertinggi berpendidikan agama terutamanya, tidak harus mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan sesama Islam.

Kalau YB Nik Abduh tidak berhasrat menghormati kami rakan sesama Islam dan Melayu dari Amanah, sekurang-kurangnya peliharalah nama harum dan baik ayahanda Allahyaram Tok Guru Nik Aziz yang merupakan seorang ulama dan Negarawan yang banyak menunjuk contoh pekerti dan akhlak yang amat mulia.

Semoga Allah senantiasa merahmati roh Tok Guru yang kami sayangi dan rindui serta memberi petunjuk kepada ahli keluarganya serta anakanda-anakandanya . InshaAllah

Indonesia digegarkan lagi dengan jenayah seks dan bunuh: Kanak-kanak diliwat, dibunuh (Gambar)

Indonesia: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum ini, ditemui mati dalam keadaan menggerikan apabila mangsa diikat dan digantungkan pada sebatang pelepah sawit dalam kejadian di daerah Kabupaten, Mesuji, Indonesia, Jumaat lalu.

Media tempatan melaporkan, mangsa, Yoga Adi Pratama, 9, sebelum itu dikatakan telah keluar pada lewat malam, Khamis namun tidak pulang ke rumah selepas itu, membuatkan neneknya bimbang lalu membuat laporan polis.

Susulan itu, penduduk kampung menubuhkan gerakan mencari mangsa pada Jumaat dan menemui mayat Yoga pada jam 8 pagi dalam keadaan tidak berbaju dan tersandar di pokok sawit di ladang sawit.

Difahamkan, pada awalnya mangsa dipercayai membunuh diri. Bagaimanapun siasatan pihak berkuasa mendapati terdapat kesan koyakan di bahagian dubur mangsa, dipercayai telah diliwat sebelum dibunuh.

Selain itu, kesan lebam turut ditemui pada belakang kepala yang mungkin dipukul dengan objek tumpul. Serta kesan l bahagian leher juga jelas kelihatan akibat dicekik suspek.

“Dubur mangsa yang berdarah, dipenuhi dengan air mani. Mangsa telah disahkan meninggal dunia kerana kekurangan oksigen,” kata polis Mesuji.

Menurut saksi, dia melihat mangsa yang menunggang motosikal Honda Beat berwarna biru tanpa nombor pendaftaran berhenti di depan sebuah rumah tidak jauh dari kediaman mangsa.

“Pada waktu itu, saksi ternampak mangsa diekori dua lelaki yang tidak dikenali menaiki motosikal lain, menghala ke Desa Adi Luhur,” katanya.

Ekoran itu, polis telah menyerbu rumah suspek, Kriswanto, 18, yang tinggal berhampiran kawasan kejadian. Namun, suspek telah melarikan diri sejauh 2 kilometer sebelum berjaya ditangkap.

Soal siasat suspek mendapati, mangsa dibunuh oleh tiga orang.

Mangsa juga telah diliwat secara bergilir-gilir sehingga mati. Selesai memuaskan nafsu masing-masing, mereka menggantung mayat mangsa di pelepah sawit agar kelihatan seperti membunuh diri.

Jelas suspek itu lagi, ketika kejadian itu berlaku dua suspek lain memegang tangan mangsa, manakala seorang lagi menjerut leher mangsa menggunakan kain dari belakang sambil meliwatnya.

“Suspek mengakui, motif pembunuhan adalah kerana cemburu dan ingin memiliki motosikal baru, Honda Beat, yang dimiliki mangsa. Dua lagi suspek yang terlibat, masih dalam buruan polis,” katanya.
-kualalumpurpost-

Terowong bawah tanah terpanjang, terdalam di dunia dibuka

FMT Reporters
rail_siwss
PETALING JAYA: Terowong bawah tanah terdalam dan terpanjang di dunia dirasmikan di Switzerland semalam.

Terowong sepanjang 57 kilometer itu, akan digunakan untuk lintasan kereta api melalui pergunungan Alps.

Laluan tersebut menghubungkan wilayah Eropah bahagian utara dan selatan.
Menurut kerajaan Switzerland, kewujudan terowong ini menjadi satu revolusi sistem pengangkutan kargo di Eropah.

Panjang pembinaan terowong yang mengambil masa 24 tahun mengalahkan rekod terowong kereta Seikan di Jepun yang panjangnya 53.9 kilometer.

Selain itu, laluan baharu di Switzerland ini akan dihubungkan dengan laluan sepanjang 50 kilometer yang dihubungkan dengan United Kingdom dan Perancis.

Canselor Jerman Angela Merkel, Presiden Perancis Francois Hollande dan Perdana Menteri Itali Matteo Renzi hadir di Switzerland hadir untuk menyaksikan pembukaan laluan baru itu.

“Ini adalah sebahagian dari ‘identiti’ pengangkutan Switzerland,” kata Pengarah Pengangkutan Persekutuan Peter Fueglistaler seperti yang dipetik oleh agensi berita Reuters.

“Bagi kami, menakluk Alps adalah seperti melayari lautan,” kata dia.

Projek ini mula diasaskan selepas hasil pungutan suara pada tahun 1992 di mana para pengundi dalam pungutan suara tersebut menyokong pemindahan semua pengangkutan barang melalui Switzerland daripada sistem jalan raya kepada landasan kereta api.

Menarik lagi mengenai terowong ini ialah, ia mencapai kedalaman sehingga 2.3 kilometer dari permukaan bumi, dan menembus bebatuan di bawah pengunungan.

Turut difahamkan, para pekerja menggali dan menemui 73 jenis batuan, malah turut direkodkan sembilan pekerja yang meninggal dunia sepanjang projek ini disiapkan.

Kini projek tersebut siap dan landasan ini akan menjadi sistem pengangkutan utama menghubungkan Rotterdam di Belanda dan Genoa di Itali.

Apabila perkhidmatan ini telah berfungsi sepenuhnya pada Disember akan datang, tempoh perjalanan antara Zurich dan Milan dapat dipercepatkan lebih satu jam hingga dua jam 40 minit.

Dalam sehari, akan ada 260 kereta angkut dan 65 kereta penumpang yang melalui lintasan ini dalam masa kurang dari 17 minit.

Laluannya datar dan lurus, bukan berliku melewati pergunungan seperti terowong landasan tertua seperti pada era 80-an.

Pihak Swiss Bank yakin infrastruktur ini akan memudahkan penghantaran pelbagai keperluan sekaligus meningkatkan industri pelancongan.

Huru-hara bila kuil simpan 137 harimau diserbu

Huru-hara bila kuil simpan 137 harimau diserbu
Antara harimau yang diberikan ubat pengsan dan dipindahkan dari kuil di Bangkok.
BANGKOK - THAILAND. Organisasi kebajikan menyerbu sebuah kuil yang menyimpan 137 ekor harimau kerana didakwa tidak dilayan yang baik.

Laporan CNN mengatakan pengarah Wildlife Conservation Office (WCO), Teunjai Noochdumrong menyifatkan serbuan tersebut huru-hara.

"Apabila pasukan kami sampai, terdapat banyak harimau berkeliaran di luar sangkar," katanya.

Katanya, pihak kuil melepaskan lebih dari 24 ekor harimau ke dalam kawasan kuil kerana mahu mengganggu pihak berkuasa.

Kuil tersebut yang dikenali sebagai 'Tiger Temple' merupakan kuil popular di kalangan pelancong.

WCO menerima waran untuk serbuan tersebut dari mahkamah selepas perbincangan di antara pihak kuil dan WCO gagal.

Seramai 2,000 anggota termasuk ahli veterinar, polis dan askar terlibat dalam rancangan untuk memindahkan harimau-harimau tersebut.
-sinarharian

Sah inlah calon Pakatan Harapan PRK di Parlimen Sungai Besar

Azhar calon Pakatan Harapan di PRK Sungai Besar
Pakatan Harapan meletakkan Ketua Amanah Sungai Besar Ustaz Azhar Ab Syukur sebagai calon Pilihanraya Kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar
untuk menentang dua calon lain dari BN dan Pas pada 18 Jun ini.

Azhar,51 yang juga Pengarah Urusan EZ Qurban Sdn Bhd adalah calon tempatan kelahiran Sungai Besar.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kuliah Hadis dan Pengajian Islam di Jamiah Abi Bakr Islamiyah, Pakistan. Beliau juga adalah bekas guru yang pernah berkhidmat di Maahad Tahfiz Quran Sungai Besar, Penolong Kanan Sekolah Menengah Islam Puchong dan pernah menjadi Penyelia di Maahad Tahfiz Al Mahmudi di Temerloh.

Selain itu beliau berpengalaman dalam mengendalikan program bersama IKIMfm dan TV9 dalam beberapa siri rancangan berkaitan dengan Qurban dan Aqiqah.

Pencapaian beliau di luar negara pernah apabila dilantik menjadi Pembantu Mufti Majlis Tertinggi Kemboja pada 2004.
Barisan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan ketika pengisytiharan nama calon yang akan bertanding  bagi kerusi Parlimen  Sungai Besar yang diadakan malam tadi.
Pengumuman pengisytiharan calon telah disempurnakan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu yang diadakan di Dewan Sri Sekinchan malam ini.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Setiausaha DAP Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook selain barisan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan penyokong parti gabungan itu.

Dengan pengumuman Pakatan Harapan malam ini menyaksikan akan berlaku bertembungan tiga penjuru di Parlimen Sungai Besar antara Budiman Zohdi dari BN dan Dr Abdul Rani dari Pas

Esok Pakatan Harapan akan melakukan pengistiharan calon bagi PRK Kuala Kangsar yang dijangka akan berlangsung di Kota Lama Kanan, Jambatan Sayong.

Pakatan Harapan meletakkan calonnya bertanding bagi dua kerusi parlimen dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar setelah mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapanmembuat keputusan untuk meletakkan calon, selepas rundingan dengan Pas menemui jalan buntu.
-malaysiadateline

Azmin dilarang hadir majlis umum calon Pakatan Harapan?

Adam Abu Bakar
wan-azizah_azmin-ali_600_newSEKINCHAN: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dinasihatkan oleh pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak hadir pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan (PH).
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga keharmonian pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang masih lagi bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

“Kita tahu PAS masih lagi dalam kerajaan dulu yang dipilih oleh rakyat. Sebab itu parti buat ketetapan ini adalah pilihan raya di peringkat Parlimen.

“Azmin Ali kita tahu dia mesti menjaga kerajaan beliau. Azmin adalah Menteri Besar. Itu kita memang faham, dia ada satu kedudukan untuk menjaga kerajaan Pakatan yang dulu,” katanya dalam sidang media di Dewan Sri Sekinchan, malam tadi.

Ujar Wan Azizah, isu Azmin tidak hadir bukan isu besar memandangkan beliau yang juga merupakan Presiden PKR turun bagi mewakili Pakatan Harapan

“Saya ada untuk mewakili Pakatan Harapan, semalam kita ada bincang, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain juga mengetahui dan memahami,”ujarnya.

Pada majlis itu, antara pemimpin PKR yang lain ternasuk Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, dan juga beberapa pemimpin tertinggi daripada DAP.

Tindakan calon BN melobi diri, jadi isu panas

Datin Mastura Mohd Yazid
Tindakan calon Barisan Nasional (BN) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid membuat lobi besar-besaran untuk membolehkan beliau menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) telah menjadi isu panas di kalangan pemimpin dan ahli Umno.

Selain bercakap di kedai-kedai kopi dan lobi hotel mewah, mereka juga menulis dalam laman sosial dan dibahaskan dengan hangat oleh rakan-rakan mereka.

Antara yang menulis dalam facebook adalah bloggger Datuk Zaharin Mohd Yassin dan yang menulis tentang tindakan melobi beliau.

Beliau menulis bahawa seorang pemimpin Umno Kuala Kangsar, Syed Rosli Jamalullail mengistiharkan akan menjadi calon bebas dalam PRK itu kerana marahkan pimpinan Umno yang tidak memilih anak tempatan untuk bertanding di situ.

"Kelmarin aku ada bertanya dengan Syed Rosli Jamalullail.. kenapa marah sangat Pak Tuan (sapaan aku kepadanya) pasal Datin Mastura Yazid dengan kata-kata kesat yang menunjukan marah.

"Saya sangat marah kerana dia ini jumpa PM minta jadi calon di Kuala Kangsar... aku terkedu dan tidak bercakap apa lagi," tulis Zaharin dalam facebooknya.

Syed Rosli dalam tulisan di facebooknya menulis, borang penamaan calon untuk PRK Kuala Kangsar sudah berada di tangan beliau.

"Tunggu 05/06/2016 nanti. Orang Kualer untuk orang Kualer!" tulis beliau.

Selain Zaharin dan Syed Rosli, turut merungut soal lobi yang dibuat oleh Mastura adalah seorang menteri Umno.

Menurut seorang ahli parlimen Pas, menteri yang mempunyai kerusi parlimen di Perak itu tidak hadir ke majlis pengisytiharan Mastura sebagai calon kerana membantah pemilihan beliau oleh Umno.

"Dia beritahu saya, Mastura telah melobi Menteri Besar Perak agar memilih beliau sebagai calon padahal ada calon lain yang lebih baik," kata ahli parlimen Pas itu kepada Malaysia Dateline.

Calon BN di Kuala Kangsar, Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam edahnya selepas baru kematian suami, kata ulama Umno yang juga Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari bin Mat Jahya.

Oleh itu beliau mencadangkan agar anak beliau menjadi pengganti untuk berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini.

"Saya ingin memberi cadangan kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional supaya tetap menghormati keputusan agama iaitu Puan Mastura TIDAK BOLEH KELUAR dari rumah untuk berkempen," katanya.

Bagi beliau, kehendak agama wajib didahulukan dari kehendak manusia.

"Saya amat yakin umat Islam mampu memahami situasi ini dengan baik. Dan saya berharap kepada pengundi2 non-muslim juga memahami sensitiviti hukum yang telah diputuskan dalam agama kami," kata Fathul Bari dalam satu kenyataannya.
-malaysiadateline

Kajian dapati Pas bakal hilang 6 hingga 8 ribu undi Cina Sg. Besar

CEO Ilham Centre Hisomuddin Bakar
CEO Ilham Centre Hisomuddin Bakar
Rata-rata pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar yang ditemui oleh Ilham Centre dalam tinjauan lapangan badan kajian politik itu baru-baru ini menyatakan penolakan mereka secara berterus-terang terhadap Pas.

Pengerusi Eksekutifnya, Hisomudin Bakar berkata, reaksi spontan pengundi Tionghoa di parlimen tersebut dipercayai ekoran perubahan dasar kepimpinan Pas termasuk bertindak keluar daripada blok pembangkang sekaligus memecahkan gabungan Pakatan Rakyat.

“Pengundi Cina sudah tentu tak akan undi Pas. Melalui pertemuan dengan penduduk Cina di Sungai Besar, bila ditanya kepada mereka, berapa peratus Cina boleh bagi (undi) pada Pas, mereka ada yang jawab, kalau dapat 1 peratus pun, Cina buta saja yang undi Pas,” ujarnya.

Berkongsi hasil pemerhatiannya pada forum “Tiga Penjuru: Pembangkang Rugi?” di Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi, beliau memberitahu, pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar jelas marah dengan pendirian politik Pas.

“Jadi, ke mana pengundi cina pergi? Kepada Amanah kebarangkalian tinggi, atau dapat nombor dua (jumlah undi). Jika kena dengan strategi, Amanah juga akan meraih undi daripada kelompok atas pagar yang sebelum ini mengundi Pas atas tiket pakatan pembangkang,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Hisomudin mengakui pihaknya tidak terlalu optimis dengan jumlah undi yang diterima Amanah sekiranya peratusan pengundi Cina keluar mengundi merosot atau pengundi muda di luar Sungai Besar enggan pulang untuk mengundi.

Mengulas perkembangan semasa Pas di Sungai Besar, beliau berpendapat parti diterajui Datuk Seri Hadi Awang itu sedang mengalami banyak masalah.

“Suramnya kempen Pas di Sungai Besar setakat ini. Pas tak buka lagi 40 cawangan. 15 cawangan saja yang buat (mengadakan) mesyuarat. Itupun tak buka UPU (Unit Peti Undi) mereka.

“Mereka sudah tahu keputusan (PRK). Pas dijangka hilang 6,000 hingga 8,000 undi daripada pengundi Cina,” ujarnya.

Melihat potensi yang ada pada Amanah ekoran kemelut Pas itu, menurutnya, situasi tersebut berbeza di antara Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Ada kelompok harummanis (masih ahli Pas tetapi kritis terhadap parti) yang masih belum keluar. Kelompok ini lebih ramai di Sungai Besar berbanding Kuala Kangsar. Pada peringkat awal lalu, mereka yang masuk Amanah ini ramainya adalah guru dan aktivis Pas,” katanya lagi.

Sementara itu, pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon bertanding di Sungai Besar, ujarnya, keputusan BN itu lebih bersandarkan faktor populariti.

“Budiman dia ini begitu popular termasuk kalangan mat-mat rempit. Umno ingin mengambil jalan mudah kerana calon sudah dikenali. Kita juga perlu memahami cara berfikir penduduk tempatan yang tegar pemikirannya sama ada di sebelah Umno mahupun Pas,” tambahnya lagi.

Forum anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) selama kira-kira dua jam itu tetap diteruskan dalam keadaan bergelap dan panas akibat terputusnya bekalan elektrik ketika memasuki jam kedua program tersebut.

Walau bagaimanapun, pentas forum masih diterangi sedikit cahaya apabila beberapa peserta secara spontan menyalakan fungsi lampu pada telefon pintar masing-masing.
-malaysiadateline