"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Jadi rasis, kerjasama dengan Pas punca pemimpin Sabah tinggalkan Umno

BORHAN AHMAD
Perhimpunan membantah ICERD yang disertai Umno bersama Pas menjadi sebab langsung pemimpin Sabah tinggalkan Umno.

Bimbang Umno menjadi terlalu Islamik dan rasis selepas rapat dengan Pas menjadi sebab utama pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti, menurut sumber, lapor The Malaysian Insight (TMI).

Sumber portal berita itu menyatakan bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor, yang mengetuai gerakan itu, merujuk kepada hubungan antara Umno dan Pas apabila menyatakan kepimpinan Umno sudah hilang hala tuju.

Hajiji berkata demikian semalam ketika mengumumkan sembilan Adun, empat ahli Parlimen, dua senator, dua ahli Majlis Tertinggi Umno, 21 ketua bahagian, Wanita Umno Sabah, Puteri Umno Sabah, dan juga 12 Pemuda bahagian keluar parti.

Mereka turut membawa lebih 50% daripada 500,000 ahli Umno Sabah berdaftar.

Sumber itu menambah, lapor TMI, mereka turut terkejut apabila pada perhimpunan anti-ICERD di Kuala Lumpur, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengumumkan Umno dan Pas boleh bekerjasama.

Menurut sumber berkenaan, perkembangan terbaru itu turut mengecewakan lebih 100,000 ahli Umno bukan Islam di Sabah.

“Mereka mengadu Umno menjadi semakin Islamist dan rasis,” tambah sumber berkenaan kepada TMI.

“Majoriti ahli di sini bukan Melayu. Jadi adakah itu bermakna kami adalah ahli Umno kelas kedua?” soal sumber itu.

“Semakin Umno-Pas rapat, semakin ramai ahli Pas Kelantan lari”

ARIF ATAN
Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed memberitahu pihaknya bersedia untuk menerima ribuan penyertaan bekas ahli dan penyokong Pas mulai Januari ini.

Menurutnya, hubungan mesra Pas dan Umno setakat ini mengundang rasa tidak puas hati rata-rata ahli parti yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Kita yakin semakin Umno dan Pas merapatkan diri, semakin ramai ahli Pas melarikan diri. Hubungan Umno-Pas nampaknya tidak diterima akar umbi.

“AMANAH Kelantan sentiasa bersedia untuk menerima mereka yang menolak hubungan Umno-Pas itu,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline dalam Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh, Perak hari ini.

Sehubungan itu, Ketua AMANAH Ketereh berkenaan meletakkan sasaran keahlian baharu AMANAH Kelantan yang lebih ramai berbanding pencapaian sebelum ini.

“Perkembangan amat memberangsangkan dengan pertambahan keahlian. Buktinya, Kelantan telah mencipta hatrik keahlian teramai tiga bulan berturut-turut untuk seluruh Malaysia.

“Sepanjang Ogos, September dan Oktober lepas, Kelantan mendapat tempat pertama dari segi keahlian teramai di Malaysia dengan purata 2,500 keahlian baharu.

“Jadi, kita sedang membuat persiapan menerima ahli baharu bermula Januari ini dengan sasaran 3,000 keahlian,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Che Ibrahim berkata, AMANAH Kelantan dilihat bakal mempunyai mekanisme pentadbiran di peringkat Pusat melalui penubuhan Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan (MTPP) selewat-lewatnya Februari depan.

“Kita akan ada jentera penyelaras di peringkat Parlimen dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung. Selesai semua ini, kita yakin keahlian AMANAH akan lagi bertambah.

“Sekarang kalau kita bergerak ke agensi-agensi kerajaan, kita dalam dilema sebab kita tidak ada platform.

“Kita mahu ke Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), Mardi atas platform apa? Sebab tidak boleh atas kapasiti parti.

“Bagi melicinkan pergerakan, kita terpaksa tunggu satu mekanisme kerajaan Pusat melalui penubuhan MTPP di peringkat kerajaan negeri Kelantan,” ujarnya lagi.

Nik Omar diumum YDP bersama empat lagi ahli AMANAH terajui Yadim

NASUHA RAHMAN Foto: SYAFIQ ISKANDAR

Nik Omar Nik Aziz (kanan) ketika melancarkan buku 'The Return Tok Guru Nik Aziz' dan beliau menghadiahkan dua naskah buku itu kepada Presiden AMANAH Mohamad Sabu pada Konvensyen AMANAH Nasional yang diadakan di Ipoh petang ini.

Lima pemimpin AMANAH telah diterima untuk menerajui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang diketuai oleh Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika sesi membentangkan laporan minit mesyuarat Konvensyen Amanah kali ke-2 hari ini.

Nik Omar dilantik sebagai Yang Dipertua Yadim, timbalannya Zolkarnain Abidin dan tiga lagi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah iaitu Timbalan Penasihat Umum AMANAH Datuk Wira Abdul Ghani Shamsuddin, Presiden ABIM Mohd Raimi Abdul Rahim dan ahli akademik Dr Mohd Abdul Razak.

“Yadim di bawah Jakim dan Jabatan Perdana Menteri, pelantikan ini saya baru terima surat semalam. Tokoh-tokoh ini akan berperanan membantu kita agar agensi bawah kuasa kita berperanan lebih berkesan,” katanya.

Mujahid menjelaskan pelantikan lima pimpinan itu berikutan perwakilan daripada Alor Setar Adnan Saad yang membangkitkan kedudukan dan peranan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Zolkharnain Abidin di dalam kerajaan yang masih tidak diberi tempat dalam mana-mana agensi agama kerajaan.

Zainuddin Maidin meninggal dunia

Tokoh wartawan dan Bekas Menteri Penerangan Zainuddin Maidin meninggal dunia petang ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh adik allahyarham, lapor Bernama.

Pada 13 November lalu, allahyarham yang berusia 79 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya akibat masalah paru-paru berair.

Mat Hasan pun nak tinggalkan Umno?

Kow Gah Chie

Berbeza daripada apa yang difahamkan kepada media, pertemuan beberapa pemimpin kanan Umno dengan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bukan berkaitan pembubaran parti.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru melanda Umno hari ini perdana menteri berkata 'rombongan' tersebut datang untuk memaklumkan rancangan mereka meninggalkan Umno.

Jika kenyataan itu benar, bermakna Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berdepan tekanan lebih kuat untuk melepaskan jawatannya.

Hal itu kerana seorang daripada pemimpin Umno yang bertemu Mahathir - dan gambar itu menjadi tular beberapa hari lalu - ialan timbalan Ahmad Zahid sendiri, iaitu Mohamad Hasan.

Ditanya mengenai pertemuan tersebut perdana menteri berkata tujuan rombongan berkenaan bertemu ialah untuk menyatakan hasrat mereka keluar Umno.

"Mereka datang berjumpa saya dan beritahu yang mereka akan meninggalkan Umno.

"Mereka mahukan nasihat saya. Cuma itu, tak ada yang lain," katanya.

Mahathir ditemui media selepas menghasiri sambutan ulang tahun ke-20 Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.

Umno hilang lagi 5 MP

Umno sekali lagi menerima tamparan apabila lima lagi anggota parlimennya bertindak keluar parti dan menjadi wakil bebas berkuat kuasa hari ini.

Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Latiff Ahmad (Mersing), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Terdahulu pagi tadi Anggota Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abd Aziz mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan dalam Umno.

Langkah itu dibuat sehari selepas Anggota Parlimen Tanah Merah, Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersatu.

Kelmarin, lima anggota parlimen Umno dari Sabah turut mengiystiharkan keluar parti dan menjadi anggota bebas.

Perkembangan terbaru ini menyebabkan Umno kini memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenangi PRU lalu.

Sementara itu, Shahbudin ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan beliau salah seorang daripada lima anggota parlimen yang bertindak keluar dari parti Melayu itu.

"Ya, keluar (parti) bersama-sama dengan lima YB yang dalam senarai," kata Shahbudin.

Sebelum itu tersebar satu surat pemaklumkan keluar parti yang dihantar kepada Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Surat yang ditandatangani keenam-enam anggota parlimen terbabit mengumumkan keputusan mereka untuk keluar parti berkuatkuasa 14 September.

5 lagi akan keluar Umno hari ini – MP Tanah Merah

Anggota Parlimen Tanah Merah Ikhmal Hisham Abd Aziz yang baru meninggalkan Umno pagi ini berkata selain beliau, lima lagi anggota parlimen parti itu akan mengikut jejak langkahnya hari ini.

"Hari ini saya difahamkan ada selain dari saya lima lagi ahli parlimen yang akan mengumumkan keluar juga.

"Saya tak tahu dah keluar ke belum.

“Hari ini saya difahamkan ada enam ahli parlimen Umno (termasuk Ikhmal) yang akan umumkan mereka keluar daripada Umno," katanya.

Sidang media itu disiarkan secara langsung di Facebook Live.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusannya keluar Umno dan meletak jawatan sebagai ketua Umno di kawasan tersebut.

Pegawai kanan polis didakwa cabul, laku persetubuhan luar tabii terhadap dua wanita

Seorang pegawai kanan polis berpangkat Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kangar semalam atas dua pertuduhan mencabul dan dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap dua wanita, tahun lepas.

Supt Ghazani Ab Ghani, 49, yang bertugas sebagai sebagai Ketua Polis Daerah Padang Besar semasa kejadian, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Ghazani dituduh melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap wanita berusia 36 tahun dan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan wanita itu di dalam sebuah kereta, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau, antara pukul 10 malam hingga 11.30 malam pada 3 Julai 2017.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan serupa ke atas wanita berusia 29 tahun antara pukul 12.10 pagi hingga 1 pagi pada 31 Oktober 2017, di tempat sama juga di dalam sebuah kereta.

Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun manakala pertuduhan mencabul mengikut Seksyen 354 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau disebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ghazani dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Jan tahun hadapan untuk sebutan semula kes.

Ghazani diwakili peguam M Puveneswaran dan K Kumaran manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani dan Mohd Nordin Ismail.
-Bernama

Ini sebabnya SPV ambil alih aset TH - Dr Zaharuddin Abd Rahman

Saya akan cuba mengulas berkenaan keperluan memindah aset tidak untung milik Tabung Haji (TH) kepada syarikat tujuan khas (SPV) bagi tindakan jangka pendek dengan bahasa mudah dan difahami orang awam.

Menurut standard laporan kewangan (FRS), sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan. Bagaimanapun, menurut Pricewaterhouse Coopers (PwC), TH sebelum ini menetapkan had ambang (threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.

PwC berkata jika had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.

PwC berkata tindakan menyembunyikan kerugian ini dengan tujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012. Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi. PwC berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.

Bagi menghadapi masalah peninggalan pentadbiran lama tersebut, TH dilihat berusaha mengemas kini aset tidak menguntungkan yang bernilai lebih RM 19.9 billion (berbanding asset yang bagus bernilai RM 57.1 bil). Ertinya aset ini semuanya rugi di atas kertas dan jika tidak memberikan hasil kepada TH bagi tahun kewangan terkini dan kewujudannya di dalam buku TH hanya merosakkan kesihatan laporan kewangan, TH yang akhirnya akan menyekat pemberian dividen kepada pendeposit.

Maka bagi merawat hal terbabit dengan segera, pihak TH memilih untuk memindahkan atau menukarkan aset tidak untung ini (sebagaimana klasifikasi yang ditetapkan oleh TH sendiri dan kaedah perakaunan) kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan.

Ini satu bail out

Ia perlu dilaksanakan kerana tiada entiti perniagaan yang ingin membeli aset kurang bagus itu pada waktu ini, maka Kementerian Kewangan adalah entiti yang tepat mewakili kerajaan Malaysia bagi tujuan menerima pemindahan dengan berbalaskan pegangan instrumen pelaburan Sukuk dan saham keutamaan boleh tebus - Islamik (RCPS-I) untuk dimiliki oleh TH.

Pegangan Sukuk bertempoh matang tujuh tahun terbabit akan memberikan jangkaan pulangan sebanyak lima peratus setahun kepada TH berbanding aset tidak bagus sedia ada yang tidak memberikan apa-apa. Bagaimanapun RCPS-I yang bernilai RM 9.9 bilion tiada tarikh matang dan tiada dividen tetapi sentiasa terbuka untuk ditebus kembali oleh TH. Jika digabungkan kedua-duanya bererti untuk aset bernilai RM 19.9 bilion, TH bakal mendapat pulangan 2.5 peratus setahun.

Saya juga tidak lihat bagaimana mungkin Kementerian Kewangan akan ‘merampas’ aset tiada hasil itu di masa akan datang, Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc membawa agenda kerajaan, berbeza dengan syarikat yang sifatnya hanya mengejar keuntungan. Kecuali jika SPV di bawah MOF inc itu menjualnya kepada pihak ketiga. itu pun perlu diputuskan oleh kerajaan dan bukannya keputusan satu dua orang sahaja, khususnya jika aset terbabit adalah aset strategik.

Semua wang pendeposit turut dijamin oleh kerajaan. Sebenarnya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan ‘hampir’ boleh dikatakan sedang ‘bail out’ TH melalui dua instrumen ini. Orang yang tidak biasa isu kewangan mungkin menganggapnya sebagai pelik.

Aset tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, kemerosotan nilai melebihi 20 peratus. Justeru jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion.

Sefaham saya, tindakan pemindahan kepada SPV dan menerbit instrumen pelaburan Sukuk dan RCPS-i tersebut boleh memberi kebaikan kepada TH.

Pertama, ia menjadikan TH mungkin berpeluang mendapat keuntungan daripada pegangan sukuk sebanyak lima peratus setahun berbanding terjerat dengan aset tidak untung serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan membesarkan jumlah impairment loss dalam laporan kewangan Tabung Haji.

Kedua, ia memastikan TH mampu memberikan dividen kepada pendeposit kerana tanpa pemindahan melalui terbitan dua instrumen patuh shariah itu, TH akan dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset justeru - menurut aktanya - tidak boleh membayar dividen.

Jangan politik berlebihan

Adalah hal biasa SPV di bawah MOF Inc bertindak untuk tujuan-tujuan spesifik memegang aset kerajaan atau institusi kerajaan. Dulu pun kerajaan merawat non-performing loans melalui Danaharta Nasional Bhd yang berfungsi seperti SPV pada waktu itu.

Kini model yang digunakan dan dibentuk di bawah MOF ialah dengan mengambil aset dengan ’bayaran’ sukuk dan RCPS-I sebagai balasan kepada TH. Ini tidak bermakna aset itu dimiliki oleh menteri kewangan, timbalannya atau mana-mana individu politik, tetapi dipegang oleh kerajaan Malaysia sendiri. Mungkin menjadi sebahagan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa akan datang juga.

Sebaiknya isu ini tidak dipolitikkan berlebih-lebihan (sedikit saja adalah natural kerana tiada apa yang dapat lari dari politik) kerana pihak TH sedang berusaha sungguh-sungguh membaik pulih lembaga itu yang sebelum ini dipegang oleh orang politik (dari kalangan ahli Lembaga Pengarah) sehingga kelihatan wujud campur tangan yang akhirnya mengurangkan kredibilitinya.

Semua ahli lembaga pengarah TH hari ini bukan dari kalangan politik dan cadangan pemindahan ke SPV di bawah MOF juga sefaham saya datang dari perbincangan lembaga Pengarah, PwC dan pengurusan tertinggi sebelum dibentang di Kabinet.

Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah Haji - ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika tahun 2013 dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bilion setelah ditolak segala liabiliti dan penyesuaian.

Jika apa yang dijangka ini tidak berlaku dan TH menjadi semakin teruk dan dicerobohi pula secara politik, maka bolehlah dianjurkan bantahan ala Himpunan Kesyukuran Penolakan Icerd sekali lagi atau boleh juga diubah kerajaan yang ada melalui PRU ke-15 kelak.


DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid), pakar kewangan Islam dan profesor adjunct Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Unisel. Rencana ini asalnya disiarkan pada akaun Facebook beliau.

Gambar ini tulen, tapi...


Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin mengesahkan gambar tular pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin Umno sebagai tulen.

Katanya, pertemuan itu berlaku pada 22 Oktober atas permintaan pemimpin-pemimpin Umno terlibat, termasuk timbalan presidennya Mohamad Hasan.

"Perdana menteri yang dulu mereka maki dan caci jamu mereka makan malam.

"Kalau zaman raja-raja dulu kala boleh jadi dah mati kena racun," kata tokoh wartawan itu.

Selain Mohamad, turut hadir dalam pertemuan itu ialah bekas menteri wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah, bekas menteri undang-undang Shahidan Kassim dan bekas menteri pembangunan luar bandar Noh Omar.

Kadir juga tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang berharap sesuatu dari pertemuan dengan Mahathir itu.

"Mesti ada di kalangan mereka yang berharap pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat.

"Tetapi mereka silap besar. Pada 15 November Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah.

"Jumpa PM perkara biasa. Keluar masuk parti pun perkara biasa juga. Tetapi jenayah tetap jenayah," katanya lagi.

Sementara itu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut mengulang tweet gambar itu dengan kapsyen "pertemuan sekret (rahsia)".
-malaysiakini

Selepas tumbang di Sabah, Umno berdepan gelombang kedua keluar parti

Minderjeet Kaur
PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 32 ahli Parlimen Umno di Semenanjung sudah menukar taat setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, FMT difahamkan 5 daripada mereka sedia mengisytihar keluar parti yang sedang merawat daripada penghijrahan terbesar di Sabah sejak memasuki negeri itu 27 tahun lalu.

Dua daripada kumpulan 5 orang itu dari pantai timur dan yang lain dari Perak, Johor dan Selangor.

“Apabila ini berlaku, lebih ramai ahli Parlimen Umno dijangka meninggalkan parti,” kata sumber yang rapat dengan kelompok tertinggi parti itu.

Menggambarkannya seperti “gelombang kedua” penghijrahan dari Umno, sumber berkata ia akan berlaku secara berperingkat.

Semalam, 36 wakil rakyat, senator dan ketua-ketua bahagian di Sabah mengumumkan keluar parti, secara efektif melumpuhkan Umno Sabah yang ditubuhkan pada 1991.

Turut menyertai mereka adalah bekas menteri persekutuan Datuk Seri Salleh Said Keruak dan bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Seorang lagi bekas menteri persekutuan, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti itu pada September dan menjadi wakil rakyat bebas.

Walaupun bekas ketua Umno dan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman tiada pada sidang media wakil-wakil rakyat itu di Kota Kinabalu semalam, difahamkan beliau juga menyetujui penghijrahan itu.

Anak Musa, Hafez Yamani, yang belum mengangkat sumpah ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Sipitang, juga akan mengikuti rakan-rakannya keluar parti.

Sumber berkata langkah Umno Sabah itu lebih kepada kekecewaan terhadap hubungan rapat kepimpinan Umno pusat dengan kumpulan haluan kanan serta PAS.

“Ahli dan pemimpin Umno Sabah secara tradisinya tidak mahu terlibat dengan retorik perkauman seperti itu, tetapi bunyi bising dari Kuala Lumpur terlalu kuat hingga mereka tak lagi boleh mengabaikannya,” kata seorang veteran Umno Sabah kepada FMT.

“Tiada arah tuju yang jelas daripada Umno. Ramai mahukan perubahan di peringkat tertinggi tetapi itu tidak berlaku,” tambahnya.

Sementara itu, salah seorang yang meninggalkan parti itu berkata perasaan putus asa sudah terlalu ketara.

“Kami pergi kerana tidak tahu ke mana arah tuju parti,” katanya kepada FMT.

Walaupun 4 ahli Parlimen dan 9 Adun berkata mereka kini wakil rakyat bebas, spekulasi kuat mengatakan langkah itu persediaan untuk menyertai PPBM, yang belum membuka cawangan di Sabah.

Spekulasi semakin kencang apabila Dr Mahathir semalam mengesahkan beberapa pemimpin Umno Sabah menemuinya sebelum keputusan semalam.

Perdana menteri bagaimanapun enggan memberitahu sama ada ahli-ahli Parlimen itu mempunyai tempat dalam PPBM, yang dipengerusikannya.

“Kita perlu melihat bagaimana kelakuan mereka. sekiranya mereka menyokong dan tidak melakukan apa-apa sebelum ini, kami boleh menerima mereka,” katanya kepada pemberita semalam.

Pada Oktober, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin mendakwa seramai 40 ahli Parlimen Umno akan meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM.

Sementara itu, seorang wakil rakyat Umno Sabah tidak menyembunyikan pertemuan dengan Dr Mahathir.

“Semasa kami mengikrarkan sokongan kepada Dr Mahathir, kami beritahu kami akan sertai PPBM,” katanya.

Umno memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum Mei lalu, yang menyaksikan parti itu tumbang selepas 6 dekad menguasai kerajaan.

Beberapa pemimpin tertingginya berdepan tuduhan rasuah, termasuk bekas presiden Datuk Seri Najib Razak, Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor.

Beberapa Ahli Parlimen Umno sudah meninggalkan parti itu selepas kekalahan pilihan raya, termasuk bekas menteri perdagangan Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali.

Lagi pemimpin kanan BN akan sertai AMANAH Jumaat ini

MALAYSIADATELINE
Lagi pemimpin kanan BN akan sertai AMANAH Jumaat ini
Seorang lagi pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengumumkan menyertai Parti AMANAH Negara (AMANAH) pada Jumaat ini.

Unit Media dan Komunikasi AMANAH dalam kenyataan hari ini memaklumkan ahli parti komponen BN itu akan hadir dan menyerahkan borang keahlian menyertai AMANAH pada Konvesnyen AMANAH Nasional 2018 yang diadakan di Ipoh, Perak.

Individu yang dimaksudkan itu dikatakan berpengalaman luas dalam bidang perniagaan merupakan bekas ahli Parlimen BN dari Selangor dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas (PTK) sebuah kementerian ketika pemerintahan Umno-BN.

Minggu lepas, AMANAH juga menerima kemasukan bekas Naib Presiden Gerakan Tan Sri Liew Yun Fah.

Konvensyen AMANAH Nasional 2018 ini akan diadakan selama tiga hari bermula pada Jumaat ini yang dirasmikan oleh Presiden Mohamad Sabu.

Wakil rakyat Umno Sabah keluar parti, sokong Dr M

Sekumpulan besar Anggota Parlimen Umno Sabah dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mereka termasuk Anggota Parlimen Beluran, Ronald Kiandee, Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri, Anggota Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun dan Anggota Parlimen Libaran Zakaria Mohd Edris.

Anggota Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa juga dikatakan meninggalkan parti itu tetapi tidak hadir pada sidang akhbar untuk mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu petang ini.

Hafez merupakan anak kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.

Dengan perkembangan tersebut, Musa merupakan salah seorang daripada dua anggota Umno yang berada dalam parti itu selain Anggota Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Tindakan empat anggota parlimen Umno itu menjadikan bilangan kerusi parlimen Umno kini tinggal 44 kerusi.

Bagi kerusi DUN pula, Umno kini hanya memiliki satu kerusi berbanding 17 yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu. Kerusi berkenaan ialah Sibuga yang dipertahankan Musa.

Sementara itu, timbalan presiden PBRS dan Anggota Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup juga mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam BN pada hari ini.

Tanah DBKL: Ku Nan didakwa terima RM2juta daripada pemaju

Malaysia Dateline
Bekas Menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana menerima RM2juta daripada seorang ahli perniagaan berkaitan tawaran tanah yang melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hakim Azman Ahmad membacakan dakwaan ke atas Ahli Parlimen Putrajaya itu .

Ku Nan dituduh menerima sejumlah wan itu tanpa pertimbangan dari Cai Kin Kong melalui cek dari Aset Kayamas Sdn Bhd walaupun mengetahui bahawa Aset Kayamas, Sinerjuta Sdn Bhd, Fiber Vista Sdn Bhd, Era Ecoland Sdn Bhd, Garuda Searah Sdn Bhd dan Ujana Mutiara Sdn Bhd telah berurusan dengan kementeriannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank CIMB Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Tuduhan itu disabitkan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, di mana ia adalah suatu kesalahan bagi seorang penjawat awam.

Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda.

Azman membenarkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.

Pada November, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah menerima RM3juta daripada dua pemaju hartanah berhubung tawaran tanah itu.

Mengenai pertuduhan pertama, beliau dituduh menerima RM1juta daripada pemaju Tan Eng Boon, yang didakwa memberi suapan dan bersubahat dengan Tengku Adnan.

Eng Boon juga didakwa.

Tuduhan pertama dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengenai pertuduhan kedua, Tengku Adnan dikenakan denda RM2juta daripada Cai.

Terdahulu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berjaya memohon pelepasan yang tidak membebaskan kes RM2 juta atas alasan bahawa fakta kes RM1juta itu berbeza.

Kedua-dua kes itusebelum ini dijadualkan didengar oleh hakim yang sama.

6 sebab ibu bapa kena simpan tali pusat bayi

FMT Reporters
Tahukah anda mengenai keajaiban sel stem dari tali pusat yang mampu mengubati pelbagai penyakit?
Ia tidak perlu ditanam selepas kelahiran, tetapi kemajuan teknologi terkini merungkai keistemewaan tali pusat yang berupaya merawat hampir 80 jenis penyakit.

Darah dan tisu tali pusat bayi didakwa kaya dengan sel stem muda dan belum rosak kerana tidak terdedah kepada sebarang pencemaran.

Oleh itu, ia boleh berubah menjadi sel atau tisu yang boleh diguna semula untuk menjadi sel otot, sel saraf, sel jantung dan sel darah.

Kandungan tali pusat

Ia mengandungi banyak sel dan salah satu daripadanya adalah sel stem. Penyimpanan tali pusat adalah satu keputusan yang baik. Sekiranya ia tidak digunakan pada masa kini dan kepada anak anda, ia mungkin akan memberikan manfaat kepada ahli keluarga anda pada masa akan datang.

FMT Ohsem memetik laporan majalah Pa&Ma dan portal MyHealth mengenai sel stem dan fungsinya:

1. Sel stem ialah sel utama atau sel induk yang membentuk sel-sel lain, tisu dan organ tubuh manusia.

2. Tali pusat bayi yang baru lahir kaya dengan sel stem yang terbahagi kepada sel Hematopoietic dan sel stem Masenchymal.

3. Sel paling sempurna dan kombinasi 2 sel mempunyai risiko penolakan yang rendah semasa pemindahan.

4. Sel stem Hematopoietic dan sel stem Masenchymal berupaya mengubati penyait berkaitan leukemia, talasemia, limfoma dan anemia.

5. Dua sel ini mempunyai fungsi yang berbeza dan digunakan untuk merawat penyakit-penyakit yang berlainan.

6. Sel stem Masenchymal pula boleh merawat penyakit yang berkaitan dengan otot dan saraf seperti penyakit jantung, retina mata, osteoarthritis dan kencing manis.

Bagi anda yang bakal menyambut kelahiran bayi, pertimbangkan keputusan penyimpanan darah tali pusat anak kerana banyak kelebihan yang diperoleh.

Ia berupaya menyelamatkan nyawa dan mengubati anak anda dan adik beradik dan ahli keluarga yang lain.

Gabungan kleptokrat, ulama cipta sejarah negara

ROSLINDA HASHIM
ALOR SETAR - Himpunan ICERD, Sabtu lalu mencipta sejarah negara apabila dua parti yang juga musuh tradisi bergabung.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, malangnya gabungan kleptokrat dan ulama itu memperjuangkan sesuatu yang tidak wujud.

“Himpunan gabungkan golongan kleptokrat dan ulama ini yang bersejarah. Bagaimana dua golongan ketara bezanya boleh bersama. Satu pihak telah merosakkan negara, satu pihak lagi bantah ICERD yang sudah ditolak kerajaan.

“Situasi itu menyedihkan kerana masing-masing cuba menutup kelemahan dengan tampil sebagai juara umat Islam,” katanya.

Menurutnya, gabungan itu kelihatan janggal dan himpunan itu umpama lawak jenaka kerana membantah perkara yang tidak wujud.

“Saya buat sujud syukur bila kerajaan tolak ICERD, itu gambaran kesyukuran bukan dengan adakan himpunan.

“Apa pun, tahniah kepada Umno dan Pas kerana berjaya berganding bahu dan beriringan pada himpunan bersifat sentimen keagamaan dan perkauman sempit,” katanya.

Menurutnya, ia sekadar untuk mengalih pandangan konon kerajaan PH bersekongkol dengan pihak yang merugikan umat Islam dan Melayu.

“Saya percaya gabungan kerjasama itu mempunyai agenda lain iaitu untuk menyekat kebanjiran Melayu untuk bersama PH.

“Mereka mula sedar, semakin ramai Melayu sokong PH, jika berterusan Umno akan lumpuh,” katanya.

Mahfuz berkata, Pas dinasihatkan supaya menyedari helah itu sedangkan pada PRU14 parti itu menentang kleptokrat namun kini bersekongkol pula dengan parti sama.

“Mereka gunakan alasan bantah ICERD, ia sekadar untuk tutup keburukan yang mereka lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, ibu bapa harus bertanggung jawab menjaga keselamatan anak yang dibawa ke himpunan berkenaan.

“Cuma elakkan beri asuhan kepada anak dengan elemen tidak sihat seperti unsur keganasan,” katanya.

Isu Tabung Haji: Apa yang anda perlu tahu

RIDAUDDIN DAUD
KUALA LUMPUR -
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam sidang medianya di Parlimen semalam mendedahkan dua itu yang berlaku selepas institusi itu melakukan audit dalaman.

Dua perkara yang dikenal pasti adalah TH mengalami kerugian rosot nilai RM227 juta bersangkutan dengan pelaboran yang tidak dilaporkan.

Lebih mengejutkan, TH yang mempunyai defisit RM4.1 bilion berakhir 31 Disember tahun melanggar Akta TH 1995 Seksyen 22 (3)(a) di mana TH membayar hibah kepada pendeposit walaupun TH tidak merekodkan keuntungan dan liabiliti TH melebihi aset yang dimiliki oleh institusi itu.

Berikut merupakan kronologi membabitkan kontroversi yang berlaku dalam TH:

30 November 2018

Lembaga Tabung Haji (TH) menggemparkan negara apabila membuat dua laporan polis melibatkan beberapa bekas pengurusan kanannya.

Antaranya melibatkan bekas Pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Menurut TH, laporan dibuat melibatkan dana berjumlah lebih daripada RM22 juta dikeluarkan dari Program Yayasan Tabung Haji dan digunakan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Laporan turut dibuat berhubung salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham TH pada 2012.

1 Disember 2018

Polis mengesahkan menerima dua laporan polis yang dibuat Lembaga TH membabitkan salah guna kuasa yang dilakukan pemimpin terdahulu organisasi itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika itu berkata, setakat ini pihaknya membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.

2 Disember 2018

Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan penyelewengan terutama jika ia melibatkan wang rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata beliau yakin pihak berkuasa akan bertindak mengikut undang-undang.

3 Disember 2018

Akhbar Sunday Times melaporkan, TH kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017.

Angka tersebut dipetik melalui penyata kewangan TH bagi tahun 2016. Laporan itu mendakwa, jurang kekurangan ini mungkin lebih besar bagi tahun 2017, dan 2018.

Untuk tahun 2016, aset TH dinyatakan berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya sebanyak RM67.7 bilion.

3 Disember 2018

Bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan Lembaga TH tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) institusi Islam.

Jelas beliau, TH seharusnya menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu dengan memanggil beliau untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya terus membuat laporan polis tanpa mengetahui perkara sebenar susulan dakwaan RM22 juta telah digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

Menurut Abdul Azeez, dana RM22 juta yang digunakan untuk program ‘Ziarah Kasih’, ‘Jom Bantu Rakyat’ dan ‘Ziarah Kasih Ramadhan’ adalah untuk membantu ibu-ibu tunggal miskin di lebih 60 kawasan Parlimen tanpa mengira fahaman parti.

Tegasnya dana tersebut bukan wang daripada pendeposit TH tetapi sebahagiannya hasil daripada keuntungan pelaburan Tabung Haji itu sendiri berjumlah RM7 juta.

4 Disember 2018

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat dua laporan polis dibuat TH pada 30 Nov lalu.

11 Disember 2018

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengadakan sidang media mengenai pendedahan dan laporan prestasi TH.

Isu Tabung Haji: Mufti kecam pengkhianat berbaju pembela agama

Pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof berhubung defisit RM4.1 bilion dialami Tabung Haji (TH) turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Melalaui hantaran di laman sosialnya mufti itu berkata kekuatan umat Islam tidak memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkannya.

Sebaliknya kata Mohd Asri ia hanya perlu dilakukan pengkhianat yang memakai baju "pembela agama."

"Siapakah yang menganiayai umat sendiri? Siapakah pula yang bersekongkol dengan kezaliman sebegini?" tanya Mohd Asri melalui hantaran berkenaan.

Pagi tadi Mujahid melalui sidang media di parlimen mendedahkan TH melanggar dua syarat semasa membuat pembayaran hibah (dividen) sejak 2014.

Kata anggota parlimen Parit Buntar itu, sepatutnya sebelum hibah dibayar kedudukan aset TH tidak boleh kurang berbanding liabiliti ditanggungnya.

Ia juga bergantung kepada kadar keuntungan yang diperolehi badan yang ditubuhkan khusus untuk membantu umat Islam mengerjakan haji itu.

Menurut Mujahid dapatan audit menunjukkan nilai keseluruhan aset TH ialah RM70.3 bilion manakala liabilitinya RM74.4 bilion.

Akaun yang diaudit itu berdasarkan laporan kewangan TH pada 31 Disember 2017.

Mujahid juga berkata kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia untuk masa depan yang lebih terjamin.

Mohd Asri juga membangkitkan persoalan, siapakah pihak yang bersekongkol untuk membiarkan kezaliman pada TH itu berlangsung.

"Kadangkala tidak perlu musuh luar untuk memusnahkan kekuatan kita, cukuplah dengan pengkhianat yang memakai baju pembela agama," katanya.

Empat lelaki disyaki (Gambar) serang Muhammad Adib dibebaskan


Empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.Foto: Bernama
PETALING JAYA - Empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim yang diserang pada awal pagi 27 November lalu dibebaskan daripada tahanan reman, hari ini.

Majistret Nurshahirah Abd Salim membenarkan dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan

jamin polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini telah direman selama empat hari bermula Jumaat, 7 Disember lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pada prosiding itu, mereka diwakili peguam R. Sritheren.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib, 24 dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua minggu lalu menyebabkan beliau mengalami patah rusuk dan beberapa kecederaan dalaman lain.

Muhammad Adib kini dilaporkan menunjukkan perkembangan positif namun masih bergantung kepada mesin sokongan jantung.

Sementara itu, Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan kes siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di kuil tersebut.

Lelaki itu ditahan bermula hari ini sehingga 15 Disember depan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Hari ini, Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun menegaskan tangkapan suspek kes berkaitan rusuhan itu masih sama (106 orang) dan tiada sebarang tangkapan baharu dilakukan pihaknya.

"Bagaimanapun, setakat Sabtu lalu, tujuh individu telah tampil beri keterangan daripada 66 individu dicari polis sebelum ini," katanya. - Bernama

Najib ditangkap SPRM lagi - Hariz Mohd

SPRM menangkap bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berhubung dakwaan mengubah laporan audit 1MDB, kata sumber

Sumber daripada pihak berkuasa memberitahu Malaysiakini Najib ditangkap ketika beliau hadir untuk sesi soal siasat pada jam 11 pagi tadi.

Ketika berita ini ditulis, Najib masih berada di bawah tahanan SPRM tetapi sumber berkata para penyiasat mungkin akan membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin hari ini.< "Ketika kita bercakap ini, Najib sedang direkodkan keterangannya oleh para penyiasat.

"Bagaimanapun, Najib akan dibebaskan kemudian dengan ikat jamin," kata pegawai kanan SPRM yang enggan namanya disiarkan.

Najib ditangkap di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 mengenai salah guna kuasa.

Sumber berkata mereka menjangkakan Najib akan di hadapkan ke mahkamah pada Rabu ini untuk dikenakan pertuduhan berkaitan dakwaan meminda laporan audit bersama CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Satu lagi sumber berkata para penyiasat juga merancang untuk menangkap Arul yang juga presiden syarikat pelaburan negara itu.







Isu Icerd: Peluang tipu umat Melayu lagi?

Ketika saya menulis ini, perhimpunan kesyukuran atas keputusan kerajaan untuk tidak mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) anjuran PAS dan Umno sedang berlangsung.

Perhimpunan ini pada asalnya adalah untuk membantah ratifikasi berhubung Icerd. Tetapi kini ditukar dan secara tidak langsung ia menggambarkan bahawa kumpulan ini bersetuju dengan keputusan kerajaan.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa kerana membenarkan demonstrasi ini berjalan selaras dengan hak untuk berhimpun oleh mana-mana pihak.

Saya secara peribadi tidak menyokong kumpulan ini bukan kerana ia dianjurkan oleh parti politik PAS dan Umno, sebaliknya kerana saya merasakan perjuangan ini tidak membawa apa-apa erti kepada masyarakat khususnya orang Melayu dan Islam.

Jika benar dengan demo Icerd puak-puak ini mampu menumbangkan kerajaan, adakah bermakna masalah ekonomi dan salahguna kuasa BN Umno selama ini telah selesai? Adakah dengan demo ini masalah ekonomi kaum bumiputera Islam automatiknya selesai?

Sama ada kita mengiktiraf Icerd atau tidak, nasib bangsa ini belum lagi terjamin. Sebagai seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan Johor yang memegang portfolio pembangunan keusahawanan contohnya, saya tidak melihat di sana ada jaminan bagi masyarakat dan usahawan Melayu Islam akan berjaya dalam perniagaannya, atau nilai mahupun saham syarikat Melayu Islam akan meningkat pasca perhimpunan ini. Jika kenyataan saya ini salah, tolong berikan hujah balas bagaimanakah caranya?

Apakah logik dan relevennya soalan saya ini?

Bangunkan ekonomi rakyat

Telah berpuluh tahun kita baik BN mahupun PH telah bercakap tentang masalah diskriminasi, ketirisan dan ketidakadilan dalam peluang ekonomi yang wujud khususnya di kalangan bumiputera.

Bukankah persoalan ekonomi bumiputera dan Islam ini harus dijawab dengan dasar dan mekanisme ekonomi yang lebih mantap dan berkesan?

Inilah perjuangan kita, untuk membantu meningkatkan keupayaan ekonomi rakyat hingga kita berupaya mengecilkan jumlah kumpulan B40 dan membolehkan suasana adil dan kondusif untuk aktiviti ekonomi dan sosial.

Majoriti kumpulan B40 ini ialah mereka yang berpendapatan isi rumah di bawah RM 3000. Majoriti kumpulan B40 ini juga adalah Melayu Islam dan lain-lain kaum. Semua sudah tahu akan hal ini.

Dengan cara dan perjuangan ini sahaja - mengemukakan dasar dan mewujudkan mekanisme ekonomi yang mantap dan berkesan - masalah ekonomi rakyat dan masyarakat Melayu Islam akan dapat diselesaikan.

Maka, saya tidak nampak perhimpunan serta gembar- gembur mengenai Icerd ini relevan dalam rangka membangun ekonomi rakyat khususnya bumiputera dan Islam.

Kegagalan usahawan Bumiputera

Kita wajar merasa bimbang dengan laporan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) tahun lalu yang memetik angka hanya 10.13 peratus daripada 5,797 usahawan sahaja berjaya menceburi bidang eksport.

Daripada lima (5) ribu usahawan bumiputera, hanya sepuluh (10) peratus yakni sekitar lima ratus (500) usahawan yang berjaya hingga ke tahap mampu mengeksport produk atau perkhidmatan mereka ke luar negara.

Adakah nisbah lima ratus usahawan berbanding jutaan umat Melayu di Malaysia ini tidak merisaukan pejuang Melayu dan Islam? Bagi bijak pandai PAS dan Umno, adakah mereka memahami maksud laporan ini?

Laporan ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan BN sebelum ini menerusi pelbagai bantuan dan latihan yang selama ini diberikan untuk membantu usahawan Melayu agar menjadi lebih maju dan berdaya saing, sebenarnya jauh daripada mencapai tahap yang disasarkan.

Firma penasihat rangkaian usahawan, Soul Rich Woman (SRW) menyatakan bahawa hanya satu peratus usahawan wanita Malaysia berjaya memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa walaupun negara memiliki sejumlah besar usahawan terutamanya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana, lebih-lebih lagi usahawan wanita di Kelantan.

Menurut bekas pemimpin politik yang memperjuangkan Melayu, Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), kadar kegagalan usahawan Bumiputera dalam perniagaan masing-masing masih tinggi. Daripada 100 syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hanya 18 buah syarikat didapati berjaya dalam tempoh lima tahun ini.

Apakah maksud statistik ini? Adakah kerana kerajaan tidak cukup membantu usahawan wanita? Adakah nisbah ini menunjukkan bahawa kegagalan usahawan Melayu disebabkan oleh Umno dan Icerd atau kumpulan anti-Melayu dan Islam?

Perhimpunan Icerd ini bagi saya tidak lebih sekadar himpunan berkaitan survival politik Umno dan PAS yang kini sedang nazak. Bahkan dari satu sudut lain, ia seolah-olah satu demonstrasi hibur-hiburan yang menunggang nama Melayu dan Islam demi kepentingan politik dan survival Umno yang ternyata telah merosakkan sistem ekonomi dan sosial di negara kita.

Akhirnya, adakah kita sedar bahawa jalan untuk menguatkan kedudukan Bumiputera adalah dengan mengeluarkan kumpulan B40 untuk berpindah masuk ke dalam kumpulan M40 dengan jalan menjadi usahawan yang berjaya? Inilah cabaran besar kita, bukan Icerd, bukan Cina atau liberal.


SHEIKH UMAR BAHGARIB ALI ialah ADUN Paloh merangkap Setiausaha Publisiti DAP Johor. Beliau juga dikenali dengan nama Bro Shake.

PAS, Umno akan keluarkan Malaysia dari PBB?

Yasmin Ramlan
Tidak dinafikan perhimpunan kesyukuran terhadap kerajaan untuk tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Sabtu lalu berlangsung dengan aman tanpa sebarang rusuhan.

Bahkan selepas selesainya perhimpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu, penganjur mengotakan janjinya untuk tidak meninggalkan sampah-sarap selepas tamat perhimpunan.

Namun, adakah ini bermakna ia merupakan satu penanda aras bahawa objektif perhimpunan itu dianggap tercapai?

Ini kerana himpunan yang disertai oleh pemimpin tertinggi Umno dan PAS di ibu kota itu juga secara terang-terangan menampakkan kemarahan mereka terhadap bukan Islam dan bukan Melayu.

Sesetengah dilihat mengeluarkan ucapan berbaur perkauman dan menanamkan perasaan marah terhadap kaum bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini dengan memberi amaran supaya tidak sentuh hal dan hak orang Islam dan Melayu.

Kemarahan itu turut disuarakan oleh veteran Umno Tajuddin Abd Rahman yang turut mengambil peluang memaki Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam ucapannya.

Tajuddin dalam ucapannya berkata, jika Malaysia menerima konvensyen tersebut, Malaysia akan dikenakan syarat-syarat tertentu yang akan mempengaruhi keputusan hala tuju negara.

Dalam ucapannya itu, beliau turut berkata dengan lantang "go to hell with United Nation" (pergi jahanam PBB).

Diusahakan PBB sejak 1955

Apa yang lebih menghairankan, himpunan kesyukuran yang terdiri rata-rata daripada penyokong parti Islam dan parti Melayu itu bersorak dengan kenyataan Tajuddin itu, seakan-akan bersetuju dengan kata-kata kesat yang dilemparkannya terhadap PBB.

Sekitar 55,000 peserta yang hadir itu setia menanti ucapan dari pemimpin-pemimpin parti seterusnya untuk menyampaikan ucapan. Mereka sanggup menunggu di dalam panas terik dan berbahang semata-mata untuk menyokong himpunan kesyukuran itu.

Pada 23 November, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasikan Icerd.

Namun, rata-rata daripada peserta bantah Icerd pada Sabtu lalu mempertikaikan keputusan Putrajaya itu kerana berpendapat ia perlu dibawa ke parlimen supaya ia direkodkan. Jika tidak, bagi mereka, ia boleh diluluskan pada bila-bila masa.

Icerd yang diusahakan oleh PBB pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman. Tetapi di Malaysia ia dilihat sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Artikel 153) dan Islam.

Agenda freemason

Selain ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, sehari sebelum kerajaan menyatakan pendiriannya mengenai Icerd, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula mendakwa konvensyen tersebut sebagai agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.

Freemason ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang sering dikaitkan dengan pelbagai teori konspirasi di seluruh dunia.

Dua hari selepas membuat keputusan tidak meratifikasikan Icerd, PAS nampaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan dengan mempersoalkan sama ada kerajaan akan menandatangani konvensyen PBB yang lain.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan membangkitkan konvensyen-konvensyen PBB yang dilihat membimbangkannya kerana didakwa berpotensi membawa risiko besar terhadap negara.

Empat lagi konvensyen PBB yang belum ditandatangani Malaysia dan dibangkitkan Nasrudin ialah Konvensyen Hak Sivil dan Politik, Konvenan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya; Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka; Konvensyen Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa; dan Konvensyen Mengenai Status Pelarian.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan PAS dan Umno yang berhubung isu Icerd yang senada sebelum ini menunjukkan ciri-ciri mereka menentang dengan pendirian PBB yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Jadi, adakah sekiranya PAS atau Umno berjaya merampas Putrajaya dari Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang, parti pembangkang ini akan membawa keluar Malaysia dari PBB?

YASMIN RAMLAN ialah wartawan Malaysiakini.

Wan Azizah perlu jawab isu ini

Haramkan surat sokongan kepada pembida kontrak, kata kumpulan hak asasi
FMT Reporter

Surat yang dikeluarkan oleh setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi menggesa Putrajaya mengharamkan surat sokongan menteri atau pembantu mereka selepas setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri dikritik keras kerana didakwa mengeluarkan dokumen sedemikian.

“Ia jelas salah guna kuasa kerajaan. Perlu diingat surat tersebut dikeluarkan dengan menggunakan kepala surat timbalan perdana menteri sendiri, jawatan awam kedua paling tinggi di negara ini.

“Jadi di manakah perubahan yang selalu dijanjikan Pakatan Harapan (PH),” kata pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya dalam satu kenyataan.

Semalam, akhbar The New Straits Times melaporkan Romli Ishak, setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dikritik hebat kerana mengeluarkan sepucuk surat berkait satu kontrak katering kepada pejabat menteri pendidikan.

Bagaimanapun Romli menafikan sebarang salah guna kuasa dengan berkata, walaupun beliau menulis surat itu, namun ia tidak mengandungi apa-apa syor supaya syarikat terbabit diberikan kontrak berkenaan.

Beliau berkata, anggota parti juga kerap meminta surat seperti itu untuk disertakan dalam bidaan mereka sebagai rujukan dan “ahli politik tidak menolaknya”, tetapi menambah, beliau sering mengeluarkan surat sedemikian bagi “memberi mereka jaminan dan keyakinan untuk memasukkan bidaan.”

Latheefa bagaimanapun berkata, dengan menyokong seseorang pemohon semata-mata kerana beliau anggota parti, pejabat timbalan perdana menteri mungkin menafikan “rakyat biasa” yang lebih berkelayakan daripada mendapat kontrak tersebut.

“Adakah ini adil? Ia berlawanan dengan semua yang diperjuangkan oleh PH dan bertentangan dengan Malaysia Baru yang dijanjikan kepada rakyat”

Beliau juga menyifatkannya sebagai amalan yang tidak bermoral, dengan berkata, kerajaan dipilih untuk memberi perkhidmatan sama adil kepada rakyat, bukannya memberi layanan istimewa kepada anggota parti.

Latheefa juga menggesa Wan Azizah menjelaskan sama ada beliau sedar setiausaha politiknya mengeluarkan surat sokongan dan sama ada beliau juga sedar surat tentang surat terbaru itu dan memberi kuasa supaya surat sedemikian dikeluarkan.

Beliau berkata, sekiranya timbalan perdana menteri itu tidak menyedarinya, maka timbul pula isu lebih besar iaitu penyalahgunaan kepala surat pejabat beliau untuk tujuan yang tidak disahkan.

“Sebaliknya jika beliau tahu, maka beliau perlu jelaskan kenapa beliau membenarkan amalan naungan politik sedemikian.”

Pada Jun lepas, kerajaan memutuskan menteri dan timbalan menetri tidak dibenarkan mengeluarkan surat sokongan untuk mana-mana cadngan tender melibatkan kerajaan.

Doa hebat dan lejen, kata Hanipa

MALAYSIA DATELINE
Ahli Jawatankuasa AMANAH, Hanipa Maidin, berkata, doa yang dibacakan oleh seorang tokoh Pas dalam Himpunan Bantah ICERD yang diadakan di ibu negara semalam sebagai hebat dan lejen.

Beliau mengulas laporan media bahawa dalam perhimpunan berkenaan semalam seorang agamawan parti Pas berdoa supaya umur Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pendek.

“Media lapor dalam himpunan bantah ICERD semalam seorang agamawan merangkap YB dari parti ehem berdoa agar umur Kerajaan PH pendek.

“Ini namanya doa hebat atau lejen dari puak puak hebat dan lejen.

“Jika kita baca seerah, setelah Rasulullah S.A.W ditolak, dihina hatta dicederakan oleh penduduk Taif dan Allah utuskan para malaikat untuk membantu Rasullullah S.A.W untuk musnahkan penduduk Taif, Rasulullah S.A.W ‘politely’ menolak.

“Sebaliknya baginda S.A.W berdoa lagi agar kaumnya diberi hidayah kerana mereka masih tak mengerti (mesej dakwah Rasulullah S.A.W),” tulis Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu dalam Facebooknya hari ini.

Kata beliau, kita bernasib baik kerana menerima Islam daripada Rasulullah S.A.W, bukan daripada golongan hebat dan lejen yang mempunyai doa yang hebat dan lejen.

Raja Bahrin kata Hadi cakap lain PAS doa lain

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan rasa aneh dengan pendirian PAS apabila pemimpinnya mendoakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pendek umur semalam.

Kata Raja Bahrin Shah Raja Ahmad doa itu pula diaminkan puluhan ribu penyokong PAS termasuk presiden parti itu Abdul Hadi Awang.

Menurut Raja Bahrin sebelum ini Abdul Hadi jugalah yang meminta PH supaya memberi peluang kepada Najib Razak menyelesaikan masalah kerajaan ketika anggota parlimen Pekan itu menjadi perdana menteri.

Katanya gesaan Abdul Hadi itu dibuat ketika sebahagian pemimpin Umno mempersoalkan Najib dan beliau juga berdepan dengan pelbagai dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

"(Kalau dulu Najib) diminta supaya dibenarkan menghabiskan penggalnya, kenapa kerajaan PH yang baru beberapa bulan memerintah hendak dijatuhkan?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Bahrin yang juga pengerusi Biro Antarabangsa Amanah mengulas himpunan menentang Icerd di Kuala Lumpur yang dihadiri penyokong PAS, Umno dan pertubuhan bukan kerajaan berasaskan Melayu semalam.

Pada penutup himpunan berkenaan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Nik Zawawi Salleh membacakan doa memohon agar kerajaan PH dipendekkan umurnya.

Menurut Raja Bahrin himpunan semalam bukanlah majlis menyatakan kesyukuran terhadap keputusan Putrajaya enggan meratifikasi Icerd seperti didakwa PAS dan penganjurnya.

"Itu bukan perhimpunan kesyukuran seperti dinyatakan Umno dan PAS. Ia perhimpunan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia yang di pilih rakyat secara sah," katanya.

Menurut senator terbabit dapat dilihat berlaku gandingan unit beberapa pihak yang berpakat mahu menentang kerajaan semasa Malaysia.

Katanya PAS dan Umno berganding bahu mengasak dari dalam, manakala Singapura - yang didakwa menjadi ejen Israel dan Yahudi di rantau ini - memberi tekanan dari luar.

"Inikah politik matang dan sejahtera PAS yang boleh berkerjasama dengan Umno selepas mereka terlibat dalam isu kafir-mengafir dulu," katanya.

Raja Bahrin juga mendakwa gesaan dibuat Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menteri kabinet bangkit menghadapi Singapura mungkin mempunyai niat tertentu.

Katanya sikap sebegitu sepatutnya ditunjukkan Khairy semasa dia menjadi menteri dalam kabinet BN dulu.

"Gesaan Khairy supaya menteri-menteri Malaysia bertelagah lagi dengan Singapura memberi gambaran jelas bahawa Umno dan PAS memainkan peranan menggugat kerajaan PH dari dalam sambil mengharapkan Singapura melengkapkan strategi dengan asakan dari luar," katanya.

Untuk rekod pada Julai 2016 Abdul Hadi pernah berkata bukan urusan PAS untuk menentukan sama ada Najib perlu berundur atau sebaliknya apabila nama pemimpin negara itu dikaitkan dengan skandal 1MDB.

"Itu bukan kerja PAS. Itu kesilapan pihak berkenaan. Desak Najib 'berehat' juga bukan urusan saya, itu urusan BN selaku kerajaan pemerintah," katanya dipetik sebagai berkata.

Pada 29 Sept lalu pula Abdul Hadi meminta Dr Mahathir Mohamad diberi peluang kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh penggalnya selama lima tahun.

Justeru kata Abdul Hadi, langkah Anwar Ibrahim mahu mengambil alih jawatan perdana menteri secepat mungkin boleh dianggap tidak mengikut moral politik yang sepatutnya.

"Kita tidak mahu orang yang bernafsu memerintah kerana bimbang apabila jadi pemimpin mereka tidak pegang amanah yang diberikan.

"Jadi biar perdana menteri sekarang tadbir negara selagi dia mampu untuk menjalankan tugas.

"Walaupun tak sebati (sependapat), kena bagi tempoh yang cukup dan jangan berhenti (mentadbir) tengah jalan kerana Tun Mahathir banyak pengalaman dan mampu untuk laksanakan tugas," katanya.

Ke mana syukur di himpunan Icerd semalam?

M Fakhrull Halim
Himpunan Icerd yang berlangsung semalam sepatutnya berlaku dalam 'format' penganjur dan peserta menyertainya dengan penuh kesyukuran.

Memang itulah yang dijanjikan oleh penganjur, Gerakan Pembela Ummah (Ummah), ketika mereka bertegas mahu meneruskan himpunan itu pada hari Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (Icerd), 23 Nov lalu.

Tetapi, sepanjang tiga jam himpunan kesyukuran itu berlangsung semalam, yang kedengaran hanyalah: ancaman, amaran, seruan bangkit, serta doa agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipendekkan umur kerana berani cuba membawa Icerd ke parlimen.

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya memberikan amaran agar PH tidak main-main dan mengusik orang Islam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula berpantun mengulang amaran yang pernah diucapkannya: agar lampu lampu merah jangan dirempuh, dan sarang tebuan jangan dijolok.

Jika tidak, kata Abdul Hadi, akan buruk dan besarlah padah menanti.

Baru 11 hari lepas, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan harapan agar himpunan itu dapat meredakan ketegangan kaum, dan bukan menyemarakkannya.

Ada Melayu mengada-ngada

Tetapi semalam, begitu marak pula penceramah mengingatkan bahawa kaum bukan Melayu di negara ini ibarat beri petis hendak paha.

Malah, ada penceramah mendakwa bahawa yang tertindas di negara ini sebenarnya ialah kaum Melayu.

Mungkin kerana itulah himpunan tersebut berlangsung canggung sekali apabila terlalu banyak perkara berbeza ‘memancut-mancut’ dari mulut seorang demi seorang penceramah.

Adakah himpunan itu mahu bersyukur (seperti yang sepatutnya berlaku), atau mahu membuktikan tiada penindasan kaum berlaku di Malaysia?

Atau penganjur mahu menunjukkan sebenarnya orang Melayu yang tertindas?

Atau hendak marahkan bukan Melayu yang ‘mengada-ngada’.

Satu lagi persoalan: adakah penganjur dan peserta hendak marahkan PBB, atau hendak marahkan Waythamoorthy?

Pusat rujukan dan Pesuratan Melayu (PRPM) mendefinisikan diskriminasi sebagai; perlakuan membeza-bezakan sesuatu hal (kerana keturunan, warna kulit dan lain-lain).

Jadi, biarpun keistimewaan bumiputera digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan sekalipun, ia masih tidak menafikan bahawa diskriminasi ada berlaku di negara ini.

Apa kesan pada hati

Yang sepatutnya dipancarkan oleh perhimpunan semalam ialah diskriminasi yang berlaku selama ini sifatnya tidak menindas. Diskriminasi ini berlaku kerana uniknya Malaysia. 'Diskriminasi' ini boleh diterima oleh semua kaum.

Format himpunan sepatutnya lebih menjemput agar semua kaum dapat turun untuk menunjukkan yang mereka menerima diskriminasi unik di Malaysia ini seadanya.

Perhimpunan semalam ialah peluang keemasan penganjur membuktikan perkara di atas, tetapi dipunahkan oleh penceramah yang hilang punca.

Ia kira-kira sama seperti pemidato yang tidak sempat menyiapkan teks ucapan sebelum hari pertandingan.

Akhirnya, yang dapat dilihat ketara daripada himpunan itu hanyalah dua percanggahan: kaum bukan Melayu di Malaysia tidak pernah ditindas, tetapi jika mereka berani mendakwa mereka tertindas, mereka akan menerima padahnya.

Mungkinkah kerana kecelaruan itu, semangat peserta himpunan kelihatan agak kendur?

Barangkali secara bawah-sedar, mereka turut terkeliru dengan pengisian himpunan kali ini?

Setiap orang berhak untuk berhimpun dan bersuara, tetapi yang akan diingati ialah kesan dan bekas dalam hati peserta dan pemerhati.

Himpunan semalam bersurai jam 5 petang - sejam lebih awal dari masa yang dibenarkan atas faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

Benarkah himpunan tersebut tamat lebih awal kerana hujan? Atau kerana tumpuan peserta yang sudah tidak terik?

M FAKHRULL HALIM ialah wartawan Malaysiakini.

Berhimpunlah kamu dalam Malaysia Baru

Syahredzan Johan
Maka berakhirlah perhimpunan anti-Icerd yang dianjurkan oleh badan-badan NGO dan disokong oleh dua parti pembangkang paling besar di Malaysia.

Perhimpunan jalanan pertama setelah terbentuknya kerajaan baru selepas 9 Mei 2018 telah berlangsung dengan jayanya.

Saya ada sedikit pengalaman sebagai peguam pemerhati semasa perhimpunan aman.

Saya ingat lagi, bagaimana di hadapan mata saya seorang demonstran yang berlari, tersungkur dan kemudian ditahan beberapa anggota polis semasa Bersih 2.0.

Saya juga ada sedikit pengalaman sebagai peguam mereka yang ditahan polis semasa perhimpunan aman. Saya ingat lagi, menunggu di hadapan Pulapol selama berjam-jam, untuk dibenarkan masuk berjumpa tahanan-tahanan ketika Bersih 3.0.

Hak berhimpun secara aman

Saya juga ada sedikit pengalaman membawa kes di mahkamah untuk menegakkan hak berhimpun dengan aman.

Dan saya sendiri juga pernah menjadi seorang demonstran dalam perhimpunan aman.

Oleh itu, apabila saya melihat gambar-gambar 70,000 hingga 80,000 demonstran membanjiri Kuala Lumpur pada hari ini, tanpa apa halangan atau sekatan dan dibantu oleh pihak berkuasa sebagai pemudahcara, saya berasa amat puas hati.

Bukan sebab saya sokong perhimpunan anti-Icerd ini. Langsung tidak! Tetapi saya menghormati hak untuk berhimpun. Kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun dalam sejarah negara Malaysia ini, perhimpunan jalanan sentiasa dihalang. Hak yang termaktub, bagaikan ilusi.

Saya ingat lagi, himpunan-himpunan jalanan mega sebelum ini. Betapa rakyat dihalang masuk ke Dataran Merdeka. Betapa individu-individu tertentu ditahan sebelum perhimpunan.

Diangkut ke Pulapol

Betapa amaran-amaran dikeluarkan dan demonstran ditomah dan dicerca. Betapa gas pemedih mata dan meriam air jadi sajian.

Betapa para demonstran ditahan dan diangkut ke Pulapol. Betapa mereka yang ditahan, dilanjutkan reman. Betapa mereka kemudian di dakwa di Mahkamah.

Ingat lagi roadblock yang dikenakan ke atas kenderaan-kenderaan yang masuk ke dalam Kuala Lumpur?

Ingat lagi-lagi bagaimana baju berwarna kuning diharamkan?

Ingat lagi 6 pemimpin PSM ditahan sebelum Bersih 2.0 di bawah Ordinan Darurat?

Ingat lagi Maria Chin Abdullah yang ditahan bawah SOSMA semasa Bersih 5?

Ingat lagi mahasiswa-mahasiwa yang dikenakan tindakan atas sebab menyertai ‘perhimpunan haram’?

Ingat lagi yang luka, yang rebah, yang naik dan turun mahkamah?

Peristiwa-peristiwa ini, pengorbanan-pengorbanan ini, telah menyumbang kepada apa yang berlaku pada hari ini.

Kejayaan perhimpunan jalanan, tanpa ada sekatan, halangan atau tangkapan ini harus menjadi peringatan kepada kita tentang apa kita perjuangkan selama ini

Semangat Malaysia baru

Sebuah negara yang mana rakyatnya bebas mengamal hak dan kebebasan mereka.

Sebuah negara yang kerajaannya bukan setakat membenarkan demonstrasi, membantu perjalanannya tetapi juga mengucapkan selamat maju jaya kepada demonstran.

Inilah semangat Malaysia Baru.

Malaysia Baru bukan bermakna hanya yang menang saja boleh berdemonstrasi tanpa halangan.

Malaysia Baru adalah negara di mana yang tidak menang dan yang menentang, boleh juga berdemonstrasi tanpa halangan.

SYAHREDZAN JOHAN ialah setiausaha politik anggota parlimen Iskandar Puteri.

Gambar pra-perkahwinan: Klasik, pelik…hilang akal?

FMT Reporters

Gambar Noor Arifah Mohamad Yusop dan Safwan Azim Shukri
Pasti ramai pasangan yang ambil kesempatan sempena cuti sekolah ini untuk melangsungkan perkahwinan. Memori hari indah ini tentu sekali ingin dikongsi bersama kenalan, terutamanya di media sosial. Dari dewan kenduri, pelamin, barang hantaran, persalinan pengantin hingga ke corak inai pilihan akan jadi topik bualan.

Tapi kalau ikut ‘trend’ sekarang, pasti ramai juga yang mahu berkongsi gambar pra-perkahwinan. Maklumlah, ia umpama cerita perjalanan cinta sebelum sah menjadi pasangan suami isteri.

Kalau dulu-dulu, trend gambar pra-perkahwinan biasanya dilakukan di taman, bawah pokok rimbun ala-ala dalam hutan gitu.

Gambar Noor Arifah Mohamad Yusop dan Safwan Azim Shukri
Namun sesuai dengan peredaran masa, pasangan muda kini lebih cenderung merakam detik ini dengan cara dan setting yang luar dari kotak kebiasaan. Lagi ‘rare’ lagi bagus.

Antara yang paling diingati mungkin gambar pasangan yang memilih gim sebagai latar belakang gambar pra-perkahwinan mereka. Apa yang ‘rare’? Pasangan ini membuat aksi bersenam dengan memakai persalinan pengantin, bertengkolok dan baju penuh labuci! Mungkin pasangan ini suka bersenam.

Baru-baru ini ada satu pasangan itu mengabdikan memori indah pada hari bahagia dengan mengambil gambar bersama ular peliharaan mereka. Pasangan Noor Arifah Mohamad Yusop dan Safwan Azim Shukri memilih untuk menggunakan ular sebagai prop kerana rasa cinta pada reptilia ini. Yang menariknya, bukan satu tapi 7 ekor ular dari spesis Ball Python dan Burmese Python. Kalau orang yang takut ular mahu pengsan dibuatnya.

Mungkin inilah tuntutan kemodenan, lain dari yang lain.