"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Bayi 2 bulan maut disembelih ibu di Kelantan (Gambar)

MACHANG: Seorang ibu berusia 32 tahun dipercayai mengelar leher bayi perempuannya berusia 2 bulan setengah sehingga mati dalam satu kejadian di Kuarters Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan isteri kepada seorang anggota tentera berpangkat korporal itu berkemungkinan mengalami gangguan emosi.

“Dalam kejadian 2.45 petang itu, bayi itu dikelar dengan pisau dan meninggal dunia di ruang tamu rumah di tingkat 2 sebuah bangunan kuarters di kem tersebut.

“Ketika kejadian, suami suspek tiada di rumah dan kejadian itu disedari jiran suspek yang kemudiannya melaporkannya kepada polis,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Kelantan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tei Hwa, hari ini.

Ab Rahman berkata, suspek yang berasal dari Kampung Jal, Tumpat itu ditemui masih berada bersama mangsa ketika kejadian dan ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Kita juga akan mendapatkan laporan perubatan dari hospital berhubung status kesihatan mental suspek.

“Mangsa juga dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya

Misteri: Lima sekeluarga naik kereta masuk 'alam lain' 8 hari

TUMPAT: Lapan hari dilaporkan hilang, seorang daripada lima mangsa mendakwa “masuk ke alam lain” dan “ditutup hijab” ketika menjawab misteri kehilangan ganjil itu.

Ilham Kamaruddin, 35, mendakwa beliau bersama empat lagi ahli keluarganya menaiki kereta sehingga ke Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur dalam tempoh itu, lapor Harian Metro.

Mereka hanya ditemui ketika membeli roti canai di kedai makan di kampung Neting, Pengkalan Kubor dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

“Sejurus itu, saya segera memaklumkan kepada pihak polis dan sepasukan anggota ke sana membawa kelima-limanya ke balai polis untuk diambil keterangan.

“Saya bersyukur mereka ditemui selamat dan sihat kerana sudah puas mencari mereka selama lapan hari. Malah keliru dengan cara kehilangan mereka,” kata abang mangsa Mafauzi Kamaruddin, 38.

Kelima-lima hilang pada 25 Januari lalu selepas menaiki kereta Perodua Alza dari rumah di Pengkalan Kubor untuk makan di kedai berhampiran kira-kira jam 4.30 petang.

Mafauzi berkata adiknya mula berubah, menjadi “pendiam dan seperti dipukau”, selepas mendapat rawatan tonsil dengan seorang bomoh di Terengganu.

“Saya juga tidak sangka kejadian yang menimpa Ilham itu turut berjangkit kepada mereka yang menaiki kereta bersamanya sebelum hilang,” katanya.

Sementara itu, polis Tumpat menolak sebarang perbuatan jenayah dalam kejadian pelik itu. Kelima-lima mereka sudah memberi keterangan kepada polis.

Pemimpin Pas berbaju logo Utusan, Najib kata Flotilla lambang perpaduan

ARIF ATAN
Muslimat Pas kelihatan gembira dengan berpakaian berlogokan Utusan dan Media Prima
Muslimat Pas kelihatan gembira dengan berpakaian berlogokan Utusan dan Media Prima

'Misi Kemanusiaan-Food Flotilla for Myanmar' yang diketuai Umno semalam menyaksikan pemimpin Pas turut mengenakan pakaian berlogokan Utusan Malaysia dan Media Prima.

Antara mereka yang memakai baju berwarna putih dan berlengan panjang itu Ketua Dewan Muslihat Pas Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan beberapa pimpinan sayap wanita parti itu.

Turut berpakaian sama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat seperti Dr Riduan Mohd Nor dengan masing-masing menyarung jaket perang berlogokan Pas.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat hanya berpakaian kemeja panjang putih berjalur dengan jaket berwarna coklat itu.
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) menggantikan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) menggantikan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan

Penampilan pemimpin Pas bersama logo Utusan Malaysia itu dilihat bercanggah dengan pendirian pembangkang sebelum ini yang pernah melancarkan kempen memboikot akhbar tersebut beberapa bulan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Tindakan berkenaan diambil ekoran sikap media yang dikuasai Umno-BN itu yang cenderung menyiarkan laporan negatif berkaitan blok pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak turut mengakui misi bantuan yang membawa 2,200 tan makanan dan ubat-ubatan itu bukan sahaja perlambangan perpaduan Umno dan Pas bahkan perpaduan ummah.

Walau bagaimanapun, tiada pemimpin Melayu Islam dari PKR, Amanah, Bersatu dan DAP yang turut diundang dalam majlis pelepasan kapal 'Nautical Aliya' ke Yangon itu.

Hadir sama dalam majlis yang sebelum ini diuar-uarkan akan dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan slot membaca doa adalah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Turut serta Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan masing-masing berpakaian lengkap baju Melayu.

Antara pemimpin Umno yang hadir Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Johari Abdul Ghani; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Polis serbu rumah aktres popular dipercayai bantu raja dadah

Aktres dipercayai bantu raja dadah

Bangkok – Polis Thailand menyerbu rumah seorang aktres popular semalam untuk menyiasat hubungan selebriti itu dan ahli perniagaan dengan seorang suspek raja dadah warga Laos.

Penyiasat berkata, rakan elit mungkin membantu melindungi kegiatan seorang lelaki warga Laos, Xaysana Keopimpha yang dipercayai polis sebagai raja dadah antarabangsa.

Keopimpha, 42, ditangkap polis pada bulan lalu dalam satu operasi dramatik di lapangan terbang utama Bangkok.

Beberapa kumpulan anggota polis melakukan lebih 12 serbuan di Bangkok semalam termasuk apartmen pelakon televisyen dan hos rancangan bual bicara, Napapa Thantrakul.

Napapa ketika ini belum dijadikan suspek tetapi polis percaya suaminya menerima beberapa kereta mewah daripada seorang pembawa dadah Keopimpha termasuk sebuah Lamborghini.

Pihak berkuasa percaya, empayar dadah Keopimpha menyalurkan methamphetamine yang dihasilkan di Myanmar ke Thailand dan Malaysia.

Bangkok dan pinggir bandarnya dijadikan tempat persembunyian penting dan perlindungan kepada sindiket itu.

Beberapa pengedar kereta mewah dan selebriti di Thailand juga dipercayai terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram keuntungan milik Keopimpha.
-kualalumpurpost

Ibu durjana benar anak dirogol bapa tiri

Perangai seperti syaitan. Seorang ibu yang telah menjalani pembedahan membuang rahim, bersetuju membenarkan suaminya, merogol anak tirinya bagi membolehkan mereka mendapat anak.

Lelaki itu, yang tidak dinamakan dilaporkan telah melakukan serangan seksual ke atas anak tirinya itu sekitar 1970-an, ketika budak perempuan itu berusia 10 tahun dan ia berterusan sehingga dia remaja.

Budak itu kemudiannya mengandung dan melahirkan anak lelaki. Perkara mengejutkan itu didedahkan di mahkamah dalam kes perbicaraan ke atas lelaki terbabit yang kini sudahpun tua dan berusia 75 tahun.

“Dia telah membawa anak tirinya ke KFC di Slough dan dalam perjalanan pulang, dia menghentikan kereta di tempat sunyi sebelum dia memasukkan tangannya ke bawah skirt budak terbabit.

“Bukan itu sahaja, lelaki itu juga akan menyelinap masuk ke bilik anak tirinya dan merogol budak berkenaan,” kata pendakwaraya, Ward-Jackson.

Malah pada satu tahap, ketika lelaki itu merogol anaknya, wanita itu hanya menjerit dari dalam bilik mereka dan meminta suaminya masuk dan tidur di dalam bilik mereka.

Ia menunjukkan bahawa wanita itu mengetahui anaknya telah dirogol oleh suaminya.

Budak tersebut tidak membuat laporan polis kerana bimbang dia akan diapa-apakan. Disebabkan dia masih muda, budak itu tidak mengetahui dia mengandung sehingga usia kandungan itu mencecah lima bulan.

“Saya cuba menolaknya tetapi dia sangat kuat. Saya tidak tahu apa yang saya fikirkan masa itu kerana saya masih kecil dan tidak tahu sama ada budak lain juga mengalami keadaan yang sama,’ katanya.

Ketika memberikan keterangan, dia memberitahu bahawa bapa tirinya akan memberinya wang selepas melakukan seks dan dia berjaya memujuk lelaki syaitan tersebut supaya mengurangkan jumlah seks kepada hanya sekali dalam seminggu.

“Bila saya menolak, dia akan mula bertindak ganas. Dia akan menendang dan mencederakan saya serta memukul saya dengan tali pinggang,” katanya.

Lelaki syaitan itu yang berdepan tujuh tuduhan merogol tidak hadir di mahkamah dan menafikan melakukan perbuatan terbabit. Perbicaraan bersambung. – Mynewshub

PRU14 makin hampir bila MB naik lori sampah?

ARIF ATAN
Aksi Zambry mengumpulkan beg-beg sampah untuk diangkut  ke lori sampah.
Aksi Zambry mengumpulkan beg-beg sampah untuk diangkut ke lori sampah.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat semakin hampir ketika blok pembangkang masih ternanti-nanti kesudahan rundingan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pagi tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan berpakaian seperti pekerja bahagian pembersihan Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) menaiki lori sampah dan mengutip sampah di beberapa kawasan perumahan di sekitar bandar raya itu.

“Ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk mendekati golongan yang bertanggungjawab membersihkan persekitaran bandar raya ini. Saya perlu turun ke bawah untuk merasai pengalaman golongan ini melaksanakan kerja-kerja mereka," ujarnya dipetik dari Utusan Online.

Walaupun Zambry yang juga Adun Pangkor mendakwa tindakannya itu dibuat secara mengejut dan tidak dirancang tetapi banyak pihak melihat berkaitan dengan tempoh PRU14 yang semakin hampir.
Kelmarin, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di laman Facebook beliau menyeru supaya jentera pilihan raya parti itu bersiap sedia.

"Saya ingin berpesan kepada semua jentera Umno dan Barisan Nasional agar tidak leka atau ambil mudah kerja kita. Kita harus sentiasa bersedia dan berusaha memastikan jentera kita terus mantap untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 21 November 2016 memberi bayangan Perhimpunan Agung Umno tahun itu adalah yang terakhir menjelang PRU14.

Tarikh mandat penggal lima tahun kerajaan berakhir pada 24 Jun 2018 tetapi banyak pihak meramalkan PRU14 akan berlangsung selepas Sukan SEA berakhir 31 Ogos nanti.

Walau bagaimanapun, kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Semenanjung bermula 15 September tahun lalu masih digantung sehingga bantahan mahkamah di Selangor dan Wilayah Persekutuan berhubung syor persempadanan itu selesai.

Panas!! Rakaman CCTV Jamal Yunos dan pengikut buat jenayah samun dan cabul




Jamal akhirnya ditangkap kerana kes samun berkumpulan
BERNAMA
Pengerusi Gerakan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos adalah antara 10 orang ditahan polis dalam siasatan yang dikaitkan dengan tindakan mereka 'menyerbu' beberapa premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi di Ampang pada Disember tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata Jamal ditahan petang semalam di kediamannya manakala sembilan lagi ditahan kelmarin.

Beliau berkata mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beberapa barang milik premis berkenaan dilaporkan hilang.
"Polis ada menerima beberapa laporan mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Fadzil berkata permohonan reman akan dibuat hari ini.

Dalam pada itu, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut akibat ditikam di pusat hiburan di Mont Kiara pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata lelaki itu ditahan pada 2.45 petang di sebuah restoran di Taman Mutiara, Cheras, di sini.

Ini menjadikan sembilan individu ditahan susulan insiden itu.

Mangsa berumur 27 tahun dilaporkan ditikam gara-gara dikatakan berlanggar bahu dengan seorang lelaki lain di pusat hiburan berkenaan.

Ini lagi satu bukti PAS mahu pecahbelahkan pembangkang

Pas tidak bersama PPBM jika ada hubungan dengan DAP, Amanah
MALAYSIA DATELINE

Pas hanya akan bekerjasama dengan PPBM sekiranya parti itu sanggup melupakan hubungan dengan DAP dan Amanah,kata Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Mahfodz Mohamed.

Beliau berkata, Pas tidak kisah menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti seperti PKR dan PPBM tetapi tidak sesekali berganding bahu di atas pentas politik yang sama dengan DAP dan Amanah.

"Jika parti itu mempunyai hubungan dengan DAP dan PAN (Amanah), maka kita tidak akan bersama dengan mereka walau dengan apa alasan atau sebab sekali pun,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Semalam Pas dan PPBM telah mengadakan pertemuan tertutup bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti dan mengeluarkan kenyataan rasmi bersama.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bersama antara Pas dan PPBM yaang diadakan di Bangsar itu telah bersetuju untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama Pas-PPBM untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan-keputusan yang dipersetujui oleh kedua-dua parti.

pertemuan itu dihadiri Timbalan Presien Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Pesiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Hasil pertemuan itu juga bersetuju untuk memperhalusi lagi rangka kerjasama antara Pas dan PPBM oleh pimpinan tertinggi kedua parti untukditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.

Selain Tuan Ibrahim dan Mukhriz, turut berada dalam pertemuan yang berlansung dua jam itu ialah Naib Presiden Pas Idris Ahmad.

Mohammed Bello Abubakar mati tinggalkan 86 isteri (Gambar)


Abuja – Seorang lelaki berusia 93 tahun yang pernah berkahwin sebanyak 130 kali, meninggal dunia Sabtu lalu, meninggalkan 86 isteri dan lebih 200 anak.

Mohammed Bello Abubakar mati di negeri Niger di Nigeria akibat penyakit yang tidak diketahui dan ramai yang hadir pada upacara pengebumiannya.

Mohammed Bello pernah menjadi tajuk akhbar seluruh dunia kerana jumlah isterinya ramai.

Dia pernah dikritik oleh ulama tempatan dan luar negara yang mendesak dia menceraikan 82 daripada 86 isterinya dalam masa 48 jam.

Bagaimanapun Bello berkata, dia mempunyai ‘tugas suci’ yang membolehkan dia memiliki isteri seramai itu.

Dia berkahwin sebanyak 130 kali. Daripada jumlah itu, 10 perkahwinannya berakhir dengan perceraian dan ada isterinya yang meninggal dunia.

Dalam satu wawancara dengan BBC pada 2008, lelaki itu berkata, dia diberi kemampuan oleh tuhan untuk memiliki dan mengawal 86 isteri.

“Seorang lelaki yang mempunyai 10 isteri akan mati. Tetapi tuhan memberikan saya kekuatan. Kerana itu saya boleh mempunyai 86 isteri,” katanya.

Sebahagian besar isterinya berkata, mereka mulanya datang menemui Bello untuk berubat.

Ketika ditahan kerana tindakannya berkahwin lebih daripada empat, Bello disifatkan oleh isteri dan anaknya sebagai suami dan bapa yang baik.

Dia bagaimanapun menasihati orang lain supaya tidak mengikuti jejak langkahnya kerana kemampuannya memiliki hampir 100 isteri itu adalah selaras dengan misi suci yang dipikulnya.

Pembantu peribadi yang juga anaknya, Mutairuu Salawudeen Bello berkata, bapanya sakit sebelum meninggal dunia pada hari sama.

“Dia memberitahu kami, masanya sudah tiba. Dia secara peribadi memberitahu saya, misi sucinya sudah disempurnakan dan tiba masanya untuk menemui tuhan.” 
-hmetro

'Nyawa saya pertaruh asalkan anak pulang'

SITI NOOR SEPEE

Mohd Sharin menenangkan isterinya yang tidak dapat menahan kesedihan. - Foto Sinar Harian
PASIR GUDANG - "Saya sanggup taruhkan nyawa asalkan anak kami pulang dengan selamat," demikian luahan seorang operator pengeluaran, Mohd Sharin Mahmood, 50, yang tidak dapat menahan kesedihan mengenai kehilangan anak tunggalnya sejak Selasa lalu

Mohd Sharin dan isterinya, Suraya Ngadiran, 50, tampil mengadakan sidang media di Pejabat Umno Parlimen Pasir Gudang yang merayu anak tunggal mereka, Nur Atikah Mohd Sharin, 21, kembali ke pangkuan mereka selepas gagal dihubungi.

Kali terakhir dia bertemu Nur Atikah yang dipanggil kakak itu kira-kira jam 9.45 pagi pada hari kejadian iaitu ketika menghantar anaknya ke tempat kerja di sebuah pasaraya di Jalan Tembikai, Taman Kota Masai, di sini yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari kediaman mereka.

"Saya sendiri menghantarnya ke tempat kerja pada hari berkenaan namun ketika itu pasaraya berkenaan masih belum dibuka namun ketika itu ada ramai orang di restoran bersebelahan. Kebetulan ketika itu saya agak mengantuk dan mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah.

"Sehinggalah jam 12.45 tengah hari, saya menerima panggilan daripada penyelia pasaraya yang memaklumkan Atikah tidak masuk kerja. Ketika itu memang saya sedang menunggu panggilan daripada anak saya untuk mengambilnya ketika waktu rehat untuk makan tengah hari di rumah.

"Saya sudah mula tidak sedap hati kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku selepas telefon bimbitnya juga gagal dihubungi sebelum meminta bantuan ahli keluarga dan jiran untuk mengesan di mana dia berada," katanya.

Mohd Sharin mengakui selama ini dia dan isteri tidak mempunyai masalah atau berlaku sebarang perselisihan faham dengan Nur Atikah malah dia mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang.

Mohd Sharin berkata, Nur Atikah bukanlah seorang gadis yang bebas bergaul malah ke mana sahaja dia pergi akan ditemani ibunya. Dia juga mengakui pernah memeriksa telefon bimbit anaknya namun tiada apa yang mencurigakan.

"Kami menjaganya bagaikan minyak yang penuh..sebelum kejadian ini juga tidak berlaku perselisihan faham malah apa yang kami tahu dia juga tidak rapat dengan mana-mana lelaki.

"Saya mencuba pelbagai cara untuk menjejaki anak kami termasuk bertemu dengan beberapa pengamal perubatan Islam, mereka memaklumkan perkara yang sama bahawa Atikah masih berada di sekitar Taman Kota Masai,"katanya.

Katanya, Nur Atikah memakai t-shirt berwarna hijau dan seluar jeans biru selain memakai tudung berwarna oren keluar bekerja sehelai sepinggang dan hanya membawa wang sebanyak RM10.

Sementara itu, Suraya yang tidak menahan mengawal perasaan hanya memanggil nama anaknya itu agar kembali pulang ke pangkuan keluarga. Malah dia juga mengakui berlaku perubahan sikap anaknya sebelum tidak pulang ke rumah.

"Pulanglah kakak, ibu dan ayah rindu kan kakak," katanya yang tidak menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan suaminya.

Suraya memaklumkan selalunya dia dan Nur Atikah tidur bersama apabila suaminya bekerja pada waktu malam. Namun beberapa hari sebelum kejadian anaknya tidur berasingan selain tidak melambainya seperti selalu pada hati terakhir Nur Atikah keluar rumah.

Berhubung kehilangan anak gadisnya, Mohd Sharin telah membuat laporan di Balai Polis Taman Pasir Putih pada 27 Januari (Rabu) lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan, Jokhiri Abd Aziz mengesahkan kejadian terbabit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad akan menghulurkan bantuan termasuk mengedarkan poster Nur Atikah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Parlimen Pasir Gudang, Syeb Dzulfakar Shukor ditalian 011-11111854 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-Sinarharian

Selangor, Pulau Pinang akan ikut Sabah adakan pilihan raya awal

V Anbalagan
PETALING JAYA: Selangor dan Pulau Pinang akan mengikut jejak Sabah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) awal bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) boleh mengekalkan kuasa mereka, kata pakar undang-undang.

Dr Abdul Aziz Bari berkata, keputusan mengadakan PRN awal oleh PH juga perlu bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung tindakan kerajaan Selangor mencabar cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula.
“Jika Selangor gagal, pucuk pimpinan PH akan memilih untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat berdasarkan kawasan pilihan raya semasa,” katanya kepada FMT.

Aziz mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menepis laporan media pada minggu lalu mengatakan PRN mungkin diadakan di Sabah seawal April ini.

“Kita tidak ada keputusan, malah belum ada keputusan berhubung sama ada pilihan raya negeri awal akan dibuat di Sabah atau tidak. Jadi, pada kedudukannya ia masih spekulasi setakat ini,” kata presiden Umno itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu, Jumaat lalu.

FMT difahamkan walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tambahan 12 kerusi di bawah cadangan persempadanan semula, ia bagaimanapun perlu dibentangkan di Parlimen untuk mendapat kelulusan pada sidang Mac ini.

Hanya selepas itu, SPR boleh mengadakan PRN untuk 72 kerusi DUN di Sabah.

Aziz berkata, Selangor dan Pulau Pinang mempunyai peluang lebih baik mempertahankan 2 negeri itu pada PRN awal, memandangkan cadangan persempadanan semula tidak memihak kepada mereka.

Ia didedahkan dalam mahkamah baru-baru ini yang SPR mencadangkan 30 kerusi majoriti Melayu di Selangor berbanding hanya 17 kerusi sedia ada yang memihak kepada Barisan Nasional.

Walaupun kerusi majoriti pengundi Cina meningkat daripada 5 kepada 8, kerusi berbilang kaum bagaimanapun berkurangan daripada 34 kepada 18.

“Juga, pembangkang mempunyai prospek lebih baik mencuba peluang di Putrajaya pada pilihan raya umum jika mereka berjaya mengekalkan kedua-dua negeri itu,” katanya.

PRN awal boleh diadakan pada bila-bila dengan persetujuan ketua negeri, walaupun tempoh pemerintahan 5 tahun kerajaan persekutuan dan negeri berakhir pertengahan tahun depan.

PRU14: PAS mungkin tumbang di Kelantan jika...

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, kajian pihaknya mendapati PAS kemungkinan tidak dapat mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kata beliau yang juga pengarah pendidikan politik DAP, kemungkinan tersebut boleh berlaku jika Parti Amanah Negara (AMANAH) mampu memberikan cabaran serius kepada PAS di 10 daripada 33 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang disandangnya.

"Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula mampu memberi saingan di 5 daripada 12 kerusi DUN yang kini disandang oleh Umno, PAS dan Umno mungkin tidak lagi boleh bersenang-lenang dalam bertanding antara satu sama lain di Kelantan.

"Hakikatnya PAS mungkin terpaksa membentuk pakatan pilihan raya bersama Umno di Kelantan, sama ada melalui pilihan atau kesesuaian," kata Liew dalam blognya.

Pada masa ini, PAS menguasai 31 kerusi DUN di Kelantan setelah Datuk Husam Musa keluar menyertai AMANAH, PKR pula memegang 1 kerusi DUN manakala Umno dengan kawalan dalam 12 kerusi DUN.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, partinya menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Pada masa yang sama, kata Abdul Hadi, parti itu perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan dan Selangor selain memerintah semula Terengganu dan Kedah.

Mengulas lanjut, Liew berkata, juga dengan mengandaikan AMANAH, BERSATU dan PKR tidak bertanding menentang satu sama lain tetapi membentuk gabungan melawan PAS atau Umno atau kedua-duanya dalam pertandingan tiga atau empat penjuru, Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BERSATU bukan di pihak yang kalah.

"Jika PAS dan Umno tidak dapat mencari titik perjanjian untuk membentuk pakatan pilihan raya dan berlawan sesama sendiri tetapi HARAPAN dan BERSATU membentuk kerjasama dengan meletakkan calon tunggal di setiap kerusi maka tidak ada keputusan yang pasti terutama kerusi-kerusi marginal.

"Jika PAS dan Umno mengalami penurunan 10 peratus dalam undi mereka ekoran keterlibatan dengan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), mereka masih bertempur dalam pertandingan tiga penjuru, PAS mungkin kehilangan Kelantan manakala Umno boleh ucapkan selamat tinggal kepada impiannya untuk menawan semula negeri itu," jelasnya lagi.

Tambah Liew, pada pilihan raya umum 2013, PAS dan PKR kedua-dua mendapat 425,291 undi (55,26 peratus) manakala Barisan Nasional pula menerima 343,416 undi atau 44.62 peratus.

"Daripada 32 kerusi PAS, 13 daripadanya dimenangi dengan kurang daripada 55 peratus undi. Daripada 12 kerusi DUN Umno pula, 9 daripadanya dimenangi dengan kurang daripada 55 peratus undi.

"Dalam erti kata lain, 23 daripada 45 kerusi DUN Kelantan iaitu lebih sedikit daripada separuh adalah kerusi marginal yang rapuh kepada PAS jika HARAPAN dan BERSATU membuat gabungan yang mantap manakala Umno dan PAS berlawan antara satu sama lain.

Justeru, tambah Liew, jangan sekali-kali memandang rendah kebijaksanaan politik pengundi Kelantan.

"Saya telah bertemu dengan ramai rakyat Kelantan selama ini dan saya amat menghormati tinggi untuk mereka. Jika berlaku perubahan mood di Kelantan, PAS dan Umno akan dipaksa untuk membentuk pakatan," katanya lagi.
-malaysiakini

Menerokai 40 kerusi idaman Pas

RAHMAN IMUDA
Pas sasarkan 4 negeri di samping 4o kerusi parlimen.
Pas sasarkan 4 negeri di samping 4o kerusi parlimen.

Bulan lepas saya ada menulis satu artikel yang bertajuk Pas semakin lemas, tulisan itu mendapat sambutan yang agak hangat apabila tersiar di beberapa portal berita.

Saya menerima banyak kritikan tentang artikel itu, ada yang membina, ramai pula yang menghina. Hari ini saya akan menggunakan gaya penulisan yang bernada lembut agar ia lebih mudah diterima oleh segenap masyarakat, samada mereka adalah penyokong Pas atau tidak.

Apabila membaca berita melalui portal berita Harakah Daily, hasrat utama Pas untuk memenangi 40 kerusi parlimen adalah untuk memberi kesedaran kepada Barisan Nasional supaya tidak sombong.

Pas juga berpandangan bahawa tahaluf siyasi pada Pilihan Raya Umum 13 kerana daripada 89 kerusi yang dimenangi oleh pembangkang, 50 daripadanya dimiliki oleh mereka yang bukan Islam.

Ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Pas melakukan kajian semula terhadap tahaluf siyasi, dan akhirnya Pakatan Rakyat dikuburkan.

Prestasi Pas dalam 4 PRU terakhir

Pada Pilihan Raya Umum 10 (PRU10) tahun 1999, prestasi Pas sangat baik apabila menang hampir empat kali ganda kerusi berbanding PRU sebelumnya apabila memenangi 27 kerusi.

Pada PRU11 (2004), Pas yang membawa manifesto untuk membina sebuah Negara Islam kalah teruk apabila hanya memenangi 7 kerusi parlimen. Tuan Guru Datuk Seri Abdul Haji Hadi Awang gagal mengekalkan kerusi parlimenya. Pada kedua-dua PRU ini Pas bertanding untuk gabungan parti yang dinamai Barisan Alternatif.

Pada PRU12 pula, Pas berjaya menawan 24 kerusi parlimen. Pencapaian ini sangat baik, dan Pas dan DAP ketika itu seolah-olah menerima paradigma baharu, disamping faktor kehadiran Anwar Ibrahim.

Pada PRU13 pula, Pas memenangi 21 kerusi parlimen melalui kerjasama mereka di Pakatan Rakyat.

Melihat daripada prestasi Pas pada 4 PRU kebelakangan ini, kita pasti akan tertanya-tanya adakah angka 40 itu realistik untuk dicapai? atau wajarkah Pas menumpukan perhatian untuk mengekalkan kerusi parlimen yang mereka miliki sekarang?

Tentu sahaja ramai yang akan menjawab bahawa meletakkan sasaran yang tinggi diperlukan, agar semua jentera akan bekerja keras. Sasaran tidak semestinya perlu dicapai, tapi sekurang-kurangnya hampir kepada sasaran itu sudah cukup baik. Ini membawa kepada persoalan saya yang seterusnya.

Manifesto Pas

Saya agak berteka-teki dengan manifesto utama yang ingin dibawa oleh Pas pada PRU akan datang. Pas pernah menawarkan Negara Islam dan Negara Berkebajikan, ternyata ia belum boleh diterima oleh kebanyakkan rakyat Malaysia. Pendekatan Islam Pas berjaya menarik ramai pengundi Melayu khususnya, namun untuk membina satu rejim teokratik, saya fikir masyarakat kita masih tidak menerimanya.

Untuk mencapai angka 40 kerusi di parlimen, pemilihan manifesto yang baik untuk sesebuah parti adalah kritikal. Sejak kebelakangan ini, perjuangan Pas yang paling ketara adalah untuk memperkasakan mahkamah syariah melalui kempen ‘RUU 355’.

Saya bersetuju dengan perjuangan ini walaupun saya berpandangan apa yang diusulkan oleh Presiden Pas tempoh hari agak drastik. Tambahan lagi, saya merasakan isu ini sepatutnya menjadi ‘sub’ kepada perjuangan Pas dalam usahanya untuk memperkasakan Islam di negara ini.

Suka atau tidak suka, Pas perlu lebih menonjol dalam menawarkan idea-dea yang memberi solusi kepada derita rakyat, seperti isu pengangguran, kos sara hidup, bebenan hutang dan bencana alam.

Isu-isu terkait Pas

Sejak kebelakangan ini, kita melihat hampir semua parti politik yang ada di Malaysia dibelenggu pelbagai isu, Pas tidak terkecuali. Sejak berlaku perpecahan di dalam Pas, kita harus mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kekuatan parti ini.

Kewujudan parti AMANAH yang membawa imej Islam ‘progresif’, seolah-oleh memberi pilihan alternatif kepada mereka yang mahukan parti Islam memerintah. Tambahan lagi, tokoh-tokoh yang keluar daripada Pas ini turut membawa keluar penyokong mereka bersama.

Baru semalam saya membaca berita berkenaan UMNO Kelantan ingin menjadikan kegagalan Pas di Kelantan sebagai propaganda utama untuk memenangi negeri itu pada PRU akan datang.

Saya sudah lama menasihatkan melalui tulisan supaya kerajaan negeri Kelantan memaparkan ‘dokumentasi yang jelas’ tentang apa yang telah dicapai oleh kerajaan negeri ini setelah PRU13.

Isu-isu seperti pembalakan terbuka, kemiskinan, kemunduran ekonomi dan kegagalan mengurus bencana alam pasti akan menjadi modal yang kuat untuk parti lawan untuk mengambil kubu kuat Pas itu.

Kedudukan Pas yang buat masa ini memilih untuk ‘bersendirian’ juga akan menjadi faktor angka 40 kerusi itu sukar untuk dicapai. Secara teorinya menyertai mana-mana blok akan membantu untuk meningkatkan kadar undi dan memudahkan pembahagian kerusi.

Bersendirian akan menyebabkan kebarangkalian untuk menghadapi lawan daripada blok yang kuat adalah tinggi, sekali gus mengurangkan potensi untuk menang. Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas yang mengatakan adalah mustahil buat masa ini Pas untuk memerintah Malaysia secara bersendirian.

Kesimpulan

Pas adalah parti yang sudah lama bertapak dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika saya katakan parti ini masih kuat dan menjadi rebutan untuk kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan.

Sekiranya mereka benar-benar berhajat untuk memenangi 40 kerusi di parlimen, mereka harus bekerja keras dan mencatur strategi dengan bijak kerana sasaran itu tidak mudah.

* Penulis adalah Aktivis Mahasiswa, YDP Ikatan Anak Muda Tawau. Beliau boleh dihubungi melalui ada.urusan@gmail.com atau facebook.com/rahmanimuda

Hadi didakwa sengaja 'buat-buat' tidak nampak

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Guan Eng (tengah) menyampaikan cek replika kepada wakil 22 buah sekolah mubaligh yang berkelayakan di Komtar, hari ini. - Foto Sinar Harian
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan Kerajaan Pulau Pinang tidak menjaga kepentingan rakyat sebagai tidak berasas.

Menurutnya, Abdul Hadi sengaja buat-buat tidak nampak dengan usaha kerajaan negeri dalam membela rakyat sejak Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang.

Guan Eng berkata, beliau akan membiarkan fakta menjawab terhadap semua dakwaan Abdul Hadi itu.

"Saya tidak tahu mengapa dia buat tuduhan sedemikian. Dia ada mata, kenapa tidak lihat sendiri? Saya anggap tuduhannya itu tidak berasas. Saya juga kesal, seorang ustaz sepertinya sanggup tabur fitnah jahat seperti ini.

"Jika kita lihat dari segi peruntukkan, hal ehwal Islam mengalami kenaikan 100 peratus berbanding kerajaan negeri terdahulu. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu, biar fakta sahaja yang jawab tuduhannya itu," katanya kepada media hari ini.

Guan Eng ditemui ketika menyampaikan cek replika peruntukkan kepada sekolah-sekolah mubaligh 2017 di Komtar.

Dalam majlis berkenaan, kerajaan negeri menyalurkan RM1.18 juta kepada 22 buah sekolah mubaligh yang berkelayakan.

Ditanya adakah Abdul Hadi membuat dakwaan itu disebabkan berdendam dengan DAP, Guan Eng berkata, beliau merasakan tindakan itu ada sangkut paut dengan Umno.

"Dia nak berdendam, itu terpulang lah. Tetapi, dari tuduhannya itu, jelas dia nak sokong Umno. Itu sahaja. Sekarang dia nak peluk Umno kuat-kuat. Dia lebih rela BN hidup dari Pakatan Harapan ganti BN di Putrajaya.

"Dia tidak sedar, tindakannya ini akan menyebabkan dia hilang Kelantan. Rakyat Kelantan hidup susah selama 25 tahun, apa yang mereka buat? Dia buat kenyataan ke atas Pulau Pinang kerana mahu tutup kelemahan Pas dan kerajaan negeri yang gagal di Kelantan," katanya.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, Abdul Hadi perlu menunjukkan usahanya dalam menjaga kepentingan rakyat Kelantan terlebih dahulu sebelum mengkritik Kerajaan Pulau Pinang.

"Sehingga ke hari ini, mereka gagal menyediakan rumah kepada mangsa banjir dalam kejadian tiga tahun lalu. Banjir berlaku sebab banyak hutan ditarah dan pokok di tebang. Ini untuk siapa? Saya pasti bukan untuk rakyat.

"Mereka juga dilihat gagal menjalankan ekonomi yang baik sehingga rakyat mereka yang miskin menjadi makin susah. Ini lah kelemahan yang mereka cuba tutup," katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa DAP telah menunjukkan 'belang sebenar' kepada umat Islam di Pulau Pinang dan gagal menjaga kepentingan awam di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pelawaan menjalin hubungan semula antara DAP dan Pas dalam menghadapi PRU14 nanti.

Hipokrasi Pas diantara Tugu Banjir dan Pohon Ceiba Chodatii

MUAMMAR QADDAFI
Pohon Ceiba Chodatii
Pas Negeri Terengganu mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri menanam tiga pohon pokok yang dijadikan mercu tanda dengan kos menelan ratusan ribu ringgit, menurut pemimpin Pas negeri itu, tindakan Kerajaan pimpinan Razif adalah satu langkah yang tidak berhemat dalam membelanjakan wang rakyat.

Kerajaan negeri walau bagaimana pun kos pembelian ditanggung syarikat korperat dan langsung tidak menggunakan wang kerajaan negeri namun pemimpin Pas tetap mempertikaikan kemunasabahan pokok itu dijadikan ikon oleh kerajaan negeri.

Saya secara peribadi bersetuju dengan kecaman pemimpin Pas Terengganu terhadap tindakan membazir ini, sememangnya projek seumpama ini langsung tidak menguntungkan rakyat, tidak ubah seperti projek mega di Kenyir.

Namun saya sedikit terkilan, jika Pas Terengganu mampu berfikiran waras menolak penanaman pokok yang bernilai ratusan ribu ringgit ini sebagai tidak memberi faedah kepada rakyat, namun berbeza pula cara fikir mereka terhadap pembinaan tugu banjir di Kelantan, Pas negeri Kelantan pertahankan pula tindakan tersebut dengan berbekal hujah hampir sama dengan BN Terengganu iaitu ia tidak menggunakan wang kerajaan negeri sebaliknya ditaja pihak luar.

Hujah yang sama sepatutnya, jika Pas berani mendakwa penanaman pohon import itu adalah membazir dan tidak munasabah, maka apa bezanya dengan pembinaan tugu banjir di Kelantan? Mengapa dua set penghukuman yang berbeza digunakan?

Adakah sebenarnya, perjuangan Pas ini tertegak berasaskan prinsip dan nilai, mahupun sekadar tertegak berasaskan emosi dan politik kesukuan yang tebal dimana membenarkan segala tindakan salah oleh pihak sendiri namun cuba menjadi jaguh apabila pihak lain melakukan kesalahan yang serupa?

Hakikatnya, kepimpinan kerajaan negeri Terengganu dibawah Barisan Nasional dan kepimpinan kerajaan negeri Kelantan dibawah Pas keduanya sudah rosak, Pas Kelantan adalah sama sikapnya dengan BN di Terengganu, dan BN Terengganu sama sikapnya dengan Pas Kelantan, keduanya rosak dan bermasalah, sekiranya dibiarkan mereka terus berkuasa, maka 1001 kerosakan akan dilakukan oleh keduanya di kawasan pentadbiran masing masing.

Menukar kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu merupakan satu kemestian sekiranya kita sudah tidak mahu ditadbir oleh kepimpinan yang rosak, sekiranya terus dibiarkan, tangan tangan ini akan berterusan merosakkan negeri dan menyusahkan rakyat.

Jadi hamba di London: Siti Aishah Dedah Di kurung 40 Tahun (Gambar)

PETALING JAYA: Mangsa perhambaan kumpulan Maoist di London, Siti Aishah Abdul Wahab akhirnya mendedahkan kepada media mengenai pengalamannya hidup dalam kurungan selama 40 tahun dalam sebuah dokumentari di BBC2.

Dokumentari berdurasi sejam itu bertajuk 'The Cult Next Door' yang memaparkan kehidupan kumpulan yang diketuai Aravindan Balakrishnan yang juga dikenali sebagai 'Komrad Bala'.

Balakrishnan yang merupakan ketua ektresmisme komunis Maoist berjaya mempengaruhi anggotanya bahawa dirinya mempunyai kuasa ghaib.

Pada Januari tahun lalu, dia dipenjarakan selama 23 tahun selepas didapati bersalah kerana merogol dua pengikutnya dan mengurung anak kandungnya Katy Morgan-Davies selama lebih tiga dekad sejak dilahirkan.

Siti Aishah berusia 24 tahun semasa tiba di United Kingdom pada 1967 untuk melanjutkan pengajian dengan biasiswa dalam bidang kaji ukur.

Bagaimanapun, dia dipengaruhi kumpulan itu sehingga terputus hubungan dengan keluarganya.

Menerusi dokumentari tersebut, Siti Aishah yang kini berusa 72 tahun mendedahkan bagaimana Balakrishnan membuat tuduhan liar dan membuatkan pengikut mematuhi peraturan peliknya.

Sebagai contoh, mereka tidak dibenarkan berjumpa doktor gigi.

Sebaliknya, katanya, mereka harus membiarkan gigi mereka 'tercabut sendiri' dan tumbuh semula apabila berusia 100 tahun.

Balakrishnan memberitahu bahawa salah seorang anggota, Sian Davies mengandungkan Katy.

Sebaik sahaja Katy dilahirkan, Balakrishnan tidak mendedahkan siapa bapa bayi itu dan menghalang pengikutnya daripada memeluk atau membelai bayi itu walaupun mereka membesarkan Katy.

Siti Aishah menjelaskan bahawa semasa Katy berusia empat tahun, kanak-kanak itu diherdik hanya kerana tidak sengaja membuang air.

"Saya sangat marah mengenainya, saya bagaikan mahu melarikan diri dari rumah itu tetapi saya tidak buat," katanya sambil menambah bahawa dia tidak melarikan diri kerana tidak mempunyai wang dan bimbang akan diusir pulang.

Walaupun dikurung dan didera secara fizikal, Siti Aishah bagaimanapun memberitahu dia gembira tinggal bersama kumpulan itu.

"Saya merasakan setiap hari sangat menarik dan saya tidak pernah bosan. Sentiasa ada sesuatu yang baru untuk dipelajari. Ada sesuatu yang perlu dilakukan.

"Saya tidak dapat bayangkan mempunyai kehidupan lebih baik daripada itu," kata Siti Aishah dalam dokumentari berkenaan.

Umno-Pas: Siapa Goda Siapa Atau Asmara Dana?

A Kadir Jasin

SAYA adalah antara ramai wartawan yang hadir di perhimpunan di Kuala Lumpur, kalau tidak silap pada 13 Disember 1977, apabila Allahyarham Tun Hussein Onn mengumumkan pemecatan Parti Islam SeMalaysia (PAS) daripada Barisan Nasional (BN).

Dan saya juga hadir membuat liputan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan, Allahyarham (Datuk) Mohamad Nasir, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Baru bulan sebelumnya.

Mohamad Nasir seorang pemimpin popular PAS yang disayangi Umno tetapi dibenci oleh partinya sendiri. Dia dianggap terlalu rapat dengan Umno sehingga membelakangi partinya sendiri.

Dalam undi tidak percaya itu, kesemua 20 Adun PAS menentang beliau manakala kesemua 13 Umno dan seorang MCA menyokong beliau.

Mohamad Nasir disokong Umno ditolak PAS

Kerajaan pusat menggunakan tunjuk perasaan di Kota Baru dalam bulan November bagi mengisytiharkan darurat yang sekali gus menendang keluar kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

Darurat diisytiharkan pada 8 November 1977.

Apabila darurat ditarik balik dan pilihan raya negeri diadakan pada tahun 1978, PAS kalah teruk dan BN di bawah kelolaan Tengku Razaleigh Hamzah mengambil alih.

Dalam bahasa yang mudah, PAS kena main dengan Umno selepas kematian Abdul Razak.

Pada mulanya PAS menyertai kerajaan campuran pimpinan Perikatan atas inisiatif Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1972. Perikatan bertukar menjadi BN pada tahun berikutnya.

Hussein Tendang PAS

Tidak seperti birasnya Abdul Razak, Hussein bukanlah pemimpin popular dan disegani. Beliau menjadi Perdana Menteri secara kebetulan akibat kematian Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Beliau kurang sabar dengan tindak-tanduk politik PAS dan kalah kepada Presiden PAS waktu itu, Allahyarham (Tan Sri) Mohamad Asri Muda di segi kewibawaan dan karisme.

Tun Abdul Razak (kiri) percaya kepada Asri (kanan)

Alasan tersurat penyingkiran PAS daripada BN ialah ia telah mengkhianati kerjasama dengan BN, khususnya Umno. PAS pula membantah perisytiharan darurat di Kelantan.

Tetapi sebab tersirat ialah Umno berasa terancam dengan perluasan pengaruh PAS, khususnya ke rancangan-rancangan tanah Felda.

Abdul Razak, arkitek BN, begitu ikhlas dalam kerjasama dengan PAS bagi memperkukuhkan perpaduan Melayu-Islam sehingga sanggup memberi jawatan penting Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah kepada Asri.

Pelantikan itu tidak disukai oleh ramai pemimpin Umno kerana ia memberi peluang kepada Asri mendekati peneroka Felda yang terletak di bawah kementerian tersebut. PAS secara agresif membuka cabang dan ranting di rancangan Felda.

(Allahyarham ayah saya, walaupun penyokong tegar Umno, menjadi kawan baik Ahli Parlimen PAS bagi Kota Setar Selatan, Allahyarham (Datuk) Abu Bakar Omar. Abu Bakar dilantik Timbalan Menteri Kesihatan dan ayah kerap mengunjungi beliau di Kuala Lumpur.)

Tetapi bukan semua orang Umno dan PAS muhibah macam itu. Majoriti di kedua-dua belah pihak saling tidak percaya mempercayai dan ramai pemimpin Umno marah apabila tempat mereka dalam Parlimen, Kabinet dan Exco negeri diisi oleh wakil PAS.

Hal ini pasti berulang jika PAS bergabung dengan Umno dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Soal di mana Umno dan PAS bertanding akan menjadi masalah besar, khususnya di kalangan panglima-panglima perang Umno (warlords), yang menjadi kaya raya kerana pilihan raya.

Ahli dan penyokong akar umbi kedua-dua buah parti tentu mendapati sukar untuk menjalin muhibah apatah lagi saling sokong-menyokong setelah bermusuhan sekian lama atas dasar bahawa Umno adalah kafir mengikut “fatwa” Presiden Pas (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang sendiri.

Panduan Sejarah

Selepas kematian Abdul Razak pada 14 Januari 1976, golongan anti-PAS dalam Umno dan “old guards” yang benci kepada “Young Turks” dalam pentadbiran Abdul Razak telah memaksa Hussein untuk bertindak.

Hussein tidak berdaya melawan kehendak mereka. Antara anggota kumpulan ini adalah “Singa Umno” Allahyarham Syed Jaafar Albar dan penyokong-penyokong Allahyarham (Datuk) Harun Idris yang dipenjarakan.

Hussein yang tidak berkongsi idea revolusioner Abdul Razak telah melakukan tiga tindakan radikal. Pertama menahan beberapa orang “young Turks” serta anggota kabinet dapur Abdul Razak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memenjarakan Harun atas tuduhan rasuah dan menendang keluar PAS.

PAS menjadi begitu terdesak setelah ditendang keluar sehingga sanggup berjinak-jinak dengan DAP dalam PRU 1978. Itu pun PAS hanya menang lima daripada 87 kerusi parlimen dan sembilan kerusi DUN daripada 203 yang ditandinginya manakala DAP menang 15 kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN.

Natijahnya kerjasama dengan Umno memakan diri bagi PAS.

Tetapi mungkin ramai pemimpin, ahli dan penyokong PAS hari ini tidak sedar sejarah hitam ia dijadikan mangsa oleh Umno antara tahun 1972 dan 1977. Umno hampir-hampir berjaya menghancurkan PAS.

Persoalannya, kalau Asri yang cukup berpengaruh dan pintar berpolitik itu pun masih boleh dipermainkan oleh Umno, adakah kepemimpinan PAS yang ada hari boleh mengelakkan PAS daripada sekali lagi dijadikan ulam oleh warlords Umno?

Kalau Abdul Razak berjaya memikat hati PAS dengan idealisme perpaduan Melayu-Islam, apakah landasan yang akan digunakan oleh Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak dalam impiannya berkongsi ranjang dengan Abdul Hadi?

Najib (kanan) ibarat dua sejoli dengan Abdul Hadi (kanan)

Adakah beliau juga akan menggunakan jargon perpaduan Melayu-Islam sebagai pemikat hati atau beliau akan (atau telah) menggunakan kaedah yang lebih praktikal iaitu “cash is king”?

(Sarawak Report telah menuduh PAS menerima RM90 juta daripada Mohd Najib. PAS berang dan ancam saman SR tetapi sampai hari ini belum berbuat demikian. Minta maaflah kalau dah saman!)

Atau adakah kita sedang melihat godaan berahi Umno ke atas para agamawan PAS setelah parti itu menendang keluar golongan bukan ulama dalam muktamar 2015?

Mungkin Umno berasa lebih mudah menggoda iman politik golongan agama yang hari ini memonopoli kepemimpinan PAS daripada zaman PAS mempunyai ramai pemimpin bukan ulama.

Apatah lagi Umno dan PAS sekarang sudah menjadi burung sebulu yang perlu bersatu – Umno diasak oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia manakala PAS oleh Parti Amanah Negara.

Umno tahu PAS terdesak untuk mempertahankan Kelantan dan PAS tahu Umno terdesak untuk mempertahankan Parlimen. Jadi tidak hairan kalau mereka rujuk semula secara Cina buta.

Wallahuaklam.

kadirjasin.blogspot.m