"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

Bolasepak Piala Malaysia N.S menewaskan Terengganu 2 - 1

NEGERI SEMBILAN kembali ditabalkan selaku juara Piala Malaysia. Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi membolehkan skuad Hoben Jang Hoben kembali menjulang piala berprestij itu.

Ia merupakan kejayaan ketiga Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia selepas edisi 1948 dan 2009.

Bagi Terengganu pula, skuad Peteh itu gagal mengulangi pencapaian sedekad yang lalu dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia.

Kekalahan itu juga sekali gus menyebabkan Terengganu gagal dalam misi merangkul gelaran berganda musim ini selepas mereka muncul juara Piala FA pada Jun lalu.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Terengganu terlebih dahulu menceriakan kira-kira 35,000 penyokong skuad Penyu yang hadir menyaksikan aksi final di stadium.

Pemain sayap, Mohd. Ashaari Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-59.

Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan bingkas bangkit menguasai perlawanan bagi memburu gol penyamaan.

Hasilnya, pemain sayap lincah, S. Kunanlan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas rembatannya dari sebelah kanan pintu gol Terengganu gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alllawee.

Hairuddin mengesahkan kemenangan Negeri Sembilan apabila meledak gol berselang lima minit kemudian selepas menyudahkan hantaran lintang kapten, Shukor Adan.

Ia dianggap detik cukup istimewa bagi Hairuddin, 32, kerana dia turut menjaringkan gol dalam dua edisi final sebelum ini.

Pada edisi 2009, Hairuddin yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan dari kelab T-Team, berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan menarik, sekali gus mengecewakan Kelantan 3-1 di pentas final.

Ketika menyarung jersi Kelantan musim lalu pula, Hairuddin menjadi watak pemusnah bagi Negeri Sembilan apabila tandukannya berjaya menyamakan kedudukan buat The Red Warriors sebelum jaguh Pantai Timur itu menang 2-1.
-kosmo-

Suami rimas didekati isteri

Datuk Dr Haron Din
Soalan

Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.” Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini yang semakin genting.

Aniza,
Kuala Lumpur

Jawapan

Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya berkenaan kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini.

Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar.

Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir.

Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai.

Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir.

Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib.

Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahawa insan mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman (mafhumnya): "Katakanlah ‘Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT sahaja...(hingga akhir ayat)." - Surah an-Naml ayat 65

Firman Allah (mafhumnya): "Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.” - Surah al-Jinn, ayat 26.

Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A'ksam dan baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibril a.s.

Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan?

Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri.

Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya): "...Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri...(hingga akhir ayat)." - Surah al-Baqarah, ayat 102.

Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan sehingga mencerai beraikan suami isteri.

Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini.

Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang. Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian itu.

Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin, menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan.

Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu membincangkannya.

Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya.

Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi.

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor fizikal melanda kehidupan kita.

Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir.

Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang berinsusiasi dengan makhluk halus.

Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak perandakan kehidupan anak Adam. Pun demikian tidak dikatakan sihir, walaupun tanda-tandanya semacam sihir. Jika mudah-mudah dianggap sebagai sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang buat sihir.

Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari 'si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya' atau lebih teruk mendakwa jiran, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya. Keparahan itu menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan.

Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada penawarnya.

Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadis-hadis sahih.

"Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain." (Hadis riwayat A'ishah r.anha)

Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286.

Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan.

Wallahua'lam.
-harakahdaily-

Ugutan bunuh: Sidang media Aziz Bari esok

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Okt: Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari akan mengadakan sidang media petang ekoran menerima ugutan bunuh, pagi tadi.

Nota ugutan bunuh yang disertai peluru kosong dihantar ke rumahnya di Bandar Baru Selayang kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

“Saya menerima sampil surat dengan sebutir peluru, dengan nota berkata ‘jangan kurang ajar dengan Sultan, maut nanti’,” kata Aziz kepada portal berita, The Malaysian Insider.

Aziz berkata beliau akan berhubung dengan peguamnya untuk tindakan susulan termasuk membuat laporan polis.

“Saya ada majlis di Ipoh, saya akan membuat laporan polis nanti... anda boleh menghubungi peguam saya untuk maklumat lanjut,” kata beliau yang disiasat oleh pengurusan UIA, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataannya tentangt titah Sultan Selangor awal bulan ini.

Sikap tidak konsisten (umno) terhadap institusi Raja

Sikap tidak konsisten terhadap institusi Raja

Oleh Idzuafi Hadi Kamilan
Penulis kali ini mengambil pendirian yang cukup berhati-hati untuk menulis isu ini setelah apa yang berlaku terhadap Profesor Dr Abdul Aziz Bari apabila teguran beliau di dalam Malaysiakini dilihat sebagai mengaibkan dan menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ini mengenai titah Tuanku berhubung serbuan yang dibuat terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Justeru, penulis memulakan pandangan ini berdasarkan pendekatan historis dan perbandingan di mana merujuk apa yang telah tertulis di dalam Hansard Parlimen supaya tulisan ini berautoriti dan dilihat dan diangkat sebagai pandangan akademik semata-mata berdasarkan rujukan penulis sahaja.
Pelbagai konotasi ditimbulkan khususnya di meja Utusan Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) apabila Aziz Bari menerangkan kenyataannya.
Apa yang ditimbulkan Utusan Malaysia, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seangkatan dengannya menyebabkan penulis merujuk kembali Penyata Rasmi parlimen pada tanggal 18 Januari 1993.
Ketika itu Dr Mahathir membentangkan Pindaan Perlembagaan berhubung kekebalan Raja-raja yang membawa kepada peruntukan pindaan perlembagaan terhadap Perkara 181 (2) di mana immuniti raja-raja ditarik balik dan raja/sultan boleh dibawa dan dibicarakan di Mahkamah Khas sesuai dengan peruntukan baru yang digubal dalam Perkara 183.
Ketika mana bacaan kali kedua dibentangkan ini, Dr Mahathir telah berhujah ketika membentangkan rang pindaan tersebut dengan katanya ‘menegur dan mengkritik Raja kita tidak bermakna ia akan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu’.
Media massa serang institusi Raja
Walau pun begitu serangan-serangan terhadap institusi Raja-raja telah pun di palu beberapa bulan sebelum itu dengan media massa memainkan peranan yang penting.
Ketika itu segala-galanya seolah-olah ‘dihalalkan’ oleh kerajaan untuk mengkritik Raja-raja Melayu jauh lebih berat tentang apa yang diungkap Aziz Bari ketika ini.
Menyorot kembali lapan tahun (1984) sebelum itu, apabila Karpal Singh cuba membawa isu yang sama dalam dewan Parlimen berhubung salah laku seorang Sultan di Malaysia. Beliau telah dikenakan tatatertib dan tidak dibenarkan hadir ke Parlimen sehingga akhir sesi.
Justeru, diposisi mana kerajaan pemerintah berpihak sebenarnya? Mengangkat dan mempertahankan Raja-raja Melayu atau memalukannya?
Jika dilihat berdasarkan kronologi sejarah, Sultan hanya diangkat dan dipertahankan apabila terdapatnya merit terhadap kerajaan pemerintah.
Aziz Bari tidak perlu diperkenalkan lagi apabila menyebut tentang Perlembagaan Persekutuan. Beliau yang menulis tesis PhDnya di Birmingham University bertajuk ‘The Development and Role of Constitutional Monarchy’ (1996) dan sudah menulis hampir 200 artikel journal dan kertas kerja berhubung Perlembagaan Malaysia pastinya arif dengan bidang kepakaran beliau.
Namun, kenyataan beliau menjadi kontroversi apabila disanggah beberapa orang yang tidak ‘cerdik’ berhubung komentar beliau mengenai titah Sultan Selangor mengenai serbuan terhadap DUMC.
Kenyataan Aziz Bari
Apa yang diungkap Aziz Bari bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja tersebut bukan sesuatu tindakan yang lazim.
Sebagai ketua agama Islam negeri itu baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam. Selain itu, beliau dilihat cuba menyatakan tindakan Sultan ini tidak konsisten.
Jarang sekali kita melihat Yang Dipertuan Agong, Raja atau Sultan mengeluarkan kenyataan begitu spesifik berhubung sesuatu isu yang melibatkan rakyat.
Kebiasaannya kenyataan Raja atau Sultan hanya dilihat ketika pembukaan Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di mana kebiasaannya teks itu disediakan kerajaan yang memerintah.
Justeru, bila baginda bertitah terhadap sesuatu isu yang spesifik itu walaupun baginda mempunyai hak namun itu yang dikatakan sesuatu tindakan yang tidak lazim.
Namun persoalannya sama ada kenyataan beliau (Aziz Bari) terhadap titah Sultan boleh didakwa di bawah peruntukan undang-undang boleh dilihat dan dirungkai sepertimana di bawah iaitu:
Kecenderungan menghasut dikatakan apabila Seksyen 3 di dalam Akta Hasutan 1948 menyatakan bahawa seseorang boleh didakwa apabila ada kecenderungan (a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan atau (d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri.
Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada ini, maka seharusnya ia juga perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 63 (5) Perlembagaan Persekutuan di mana dakwaan terhadap seseorang itu hanya boleh disabitkan ke atas beliau jika sekiranya ia menganjurkan atau membangkitkan perasaan ke arah penghapusan institusi Raja-raja.
Justeru, ia bermaksud jika warganegara itu cuba menyarankan atau membuat apa-apa tindakan ke arah ingin menghapuskan sistem beraja maka Seksyen 3, Akta Hasutan harus dikena pakai ke atasnya.
Bagi pandangan penulis, tidak salah beliau memberikan komentar sesuai dengan bidang kepakaran beliau. Pada masa yang sama harus kita ingat kita tidak lagi berada di dalam kekuasaan raja yang berkuasa mutlak sepertimana di ungkap oleh Sir Robert Filmer dalam Patriarcha ‘Natural Power of a King’ (1680).
Malahan kita harus menerima kita hidup di dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokratik yang dihujahkan John Locke dalam ‘Two Treatises of Government’ yang juga pengkritik hebat buku Filmer tersebut.
Kuasa Raja
John Locke berhujah dalam keadaan di mana sistem demokratik mengambil alih tanggungjawab kerajaan daripada sebuah sistem pemerintahan feudal maka rakyat juga seolah-olah telah menyerahkan hak untuk memerintah dan diperintah di bawah sistem demokrasi. Oleh itu, kuasa Raja telah dilimitasikan dengan cara sebegitu.
Jika dirujuk kenyataan Aziz Bari itu dengan apa yang dilakukan kerajaan pemerintah ketika krisis Perlembagaan pada tahun 1993 itu lebih teruk namun tiada siapa peduli institusi raja pada ketika itu.

Ini kerana menurut Prof. Mark R. Gillen dalam artikelnya yang bertajuk ’The Malay Rulers’ Loss of Immunity’ menyebut kerajaan pemerintah ketika itu parti yang sedang mendapat sokongan rakyat yang majoritinya Melayu menunjukkan sokongan bertambah dari rakyatnya khususnya apabila berhadapan isu yang melibatkan Sultan dan raja Melayu.

Oleh itu, segenap lapisan masyarakat hampir dikatakan menyokong tindakan Barisan Nasional ketika itu. Namun apa yang pasti, berdasarkan pemerhatian Gillen, salah perkiraan pada tahun 1993 akan menghilangkan undi masyarakat Melayu memandangkan institusi Raja dekat dihati rakyat.

Oleh itu apabila fenomena ‘Aziz Bari’ berlaku sekali lagi berkemungkinan mereka mengharapkan sokongan majoriti orang Melayu terhadap apa yang pernah dilakukan mereka walau pun keadaan telah terbalik 360 darjah di mana jika tahun 1993 mereka menghapuskan kekebalan raja-raja, kali ini tahun 2011 mereka bermati-matian menyokong dan melindungi institusi tersebut.

Untunglah Raja-raja kita, kita mempunyai rakyat sedemikian rupa……

*Penulis ialah seorang calon doktor falsafah di Fakulti Undang-Undang UKM dan juga Setiausaha Grup Peguam Abim.
-freemalaysiatoday-

Kenapa Shabery Cheek memberi keizinan khas peninju Israel masuk ke Malaysia

Salhan K Ahmad

Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan kerajaan berhubung pendedahan peninju Israel, Ilya Grad yang mendakwa telah memasuki Malaysia dengan bantuan menteri belia dan sukan untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai untuk stesen TV AXN.

Mahfuz berkata, perkembangan itu mengejutkan, apatah lagi apabila peninju kelas middleweight itu mendakwa bahawa pasportnya tidak dicop.
"Sebarang kemasukan rakyat ke negara Israel diharamkan, malah rakyat Malaysia masuk ke (Israel) juga diharamkan.

"Bagaimana (Grad) boleh masuk dengan (dakwaan) restu menteri, malah tanpa melalui proses imigresen sebenar? Ini menunjukkan betapa longgarnya pintu sempadan, boleh bolos begitu saja.

"Jadi kementerian luar negeri, kementerian dalam negeri harus beri kenyataan kenapa perkara ini boleh berlaku. Apakah benar dakwaan dia masuk dengan keizinan daripada menteri belia dan sukan?," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Sekiranya benar perkara itu berlaku, ia menunjukkan bahawa menteri berkenaan telah "merosakkan dasar negara," kata Mahfuz lagi yang turut menuntut penjelasan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung dakwaan tersebut.

Bekas juara muay thai Israel itu mendakwa telah memasuki Malaysia pada satu tarikh sebelum ini untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai yang dirakamkan di dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.

Difahamkan, rakaman program pada Jun itu baru saja dikeudarakan oleh stesen TV berkenaan baru-baru ini.

Dalam satu tulisan di blog tinju Muay Thai Authority pada 15 Oktober, Grad menceritakan bahawa dia tidak sabar untuk mengibarkan bendera Israel ketika berada di Malaysia.

Beliau yang memasuki Malaysia melalui Thailand ditahan selama 25 jam di satu pintu masuk negara sebelum berjaya mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia."

Sesudah itu, barulah dia kemudiannya mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk memasuki Malaysia, katanya di blog yang banyak memaparkan kegiatan dan pertandingan sukan itu.

"Dengan begitu sahaja saya melepasi sempadan itu dengan pas khas – pas yang sememangnya khas kerana pasport Israel saya tidak dicop," katanya lagi.
-malaysiakini-

Selangor simpan 1b… Mat Said simpan 2 bijik telor sahaja.

Ustaz Saiful Bahri
Pada 31 Disember 2010, pelaburan yang dicatatkan oleh Negeri Selangor berjumlah RM668 juta dan wang tunai simpanan Kerajaan Negeri berjumlah RM900 juta.

Pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah memperlihatkan lonjakan jumlah pelaburan dan wang tunai simpanan Kerajaan Negeri. Pada Suku Tahun Kedua 2011, pelaburan telah mencapai RM557 juta dan wang tunai simpanan Kerajaan Negeri meningkat kepada jumlah RM1.2 bilion.

Kalau dilihat perkembangan negeri Pulau Pinang pula dalam menguruskan kewangan. Kumpulan Wang Disatukan Negeri Pulau Pinang telah meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion. Manakala baki Akaun Hasil Disatukan telah juga meningkat RM33.54 juta atau 6.2% sehingga mencapai RM572.49 juta

Manakala Aset negeri yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion (RM1.10 bilion pada tahun 2009)Beliau berkata, kira-kira RM600.47 juta atau 95.29 peratus hutang kerajaan negeri berjaya dilangsaikan sejak Mac 2008 dan baki semasa hutang kerajaan negeri ialah RM29.66 juta sahaja

Bagaimana pula negeri Terengganu. Negeri tanah airku yang diperintah oleh Datuk Mat Said. Kalau bab berbini, kita orang pas memang tabik spring kat Mat Said ni. Ikut sunnah Nabi..lah katakan… tinggal satu saje tunggu kuota penuh. Tapi bagaimana menguruskan kewangan negeri???

Audit ketika melapurkan bahawa, hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan yang meningkat pada tahun 2008 kepada RM997.60 juta berbanding RM937.87 juta pada tahun 2007 iaitu meningkat sejumlah RM59.73 juta atau 6.4%. Umno ni memang tak tahu bayar hutang. Buat hutang tau le. Kalau Kerajaan Kedah ditinggal tahik hutang kepada rakyat 2 billion tanpa pernah membayarnya tetapi bermula zaman Ustaz Azizan ni dah start bayar 10j. Orang cakap ulama Pas tak pandai memerintah. Nak urus ekonomi macamana??? Tetapi tengoklah sendiri prestasi negeri-negeri diperintah oleh PR berbanding negeri yang diperintah oleh Umno-BN. Klau kata haprak… berasa hati.

Zaman Pas memerintah meskipun sebelum itu Kerajaan Terengganu dah mempunyai limpahan royalti tetapi Terengganu masih berhutang melebihi 700j tanpa berbayar dan apabila Pas memerintah yang ketika itu Tok Guru Hj Hadi sebagai MB mula membayar 37j hutang yang dibuat zaman Umno-BN. Bahkan semasa Pas dijatuhkan, kerajaan masih lagi mempunyai simpanan tunai yang ditinggalkan oleh pimpinan Pas melebihi 400j. Habis bila ia nya diperintah kembali oleh pimpinan Umno-BN kemana hasil ini semua bahkan kini rakyat Terengganu menanggung hutang hampir mencecah 1 billion.

Mat Said juga gagal membuat asset serta simpanan wang tunai dua tahun berturut-turut dengan kadar ‘kosong’ bagi tahun 2009 & 2010. Dahlah simpanan tunai kerajaan Negeri Terengganu menyusut pada tahun 2008 ketika beliau mula memerintah dengan kadar 6 juta sahaja daripada 89 juta dizaman Idris Jusoh bagi tahun 2007. Nampaknya rakyat Terengganu ditinggal telur sahaja oleh Datuk Mat Said. Itupun sebab bininya dua sebelum ini… boleh le sebutir sorang dan kita berkeyakinan setelah tambah bini sorang lagi ni… dan kalau beliau diberi kuasa untuk memerintah lagi.. nescaya sebijik ‘0’ lagilah wang tunai kerajaan Terengganu hasil kebijaksanaan Mat Said memerintah Terengganu meskipun mendapat royalti serta bajet negeri yang diluluskan sebanyak 6 billion semenjak 3 tahun beliau memerintah. Yelah sejak makan ubi gadung ni.. Nampak sangatlah ‘kebijaksanaan’ beliau.

Dah le buat hutang makin banyak… tak reti nak bayar pulak tu, sumber selain royalti hanya mampu dicari 150j sahaja dan asset tunai hanya kosong berturut-turut. Cakap berdegar-degar meluluskan bajet melebihi Selangor!!! Macam tu nak kekalkan Mat Said lagi ke???

Peluru dipos ke rumah Aziz Bari

Sebutir peluru diposkan ke rumah pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari di rumahnya di Gombak hari ini, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebelum ini.

Katanya, bersama peluru itu, diselitkan juga sepucuk surat bertulis: "Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti".

"(Dihantar dengan) pos biasa saja.

"Saya waktu itu baru hendak keluar rumah, dalam perjalanan ke Utara, ke satu program forum dengan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu di Bagan Serai," katanya yang kini dalam perjalanan bersama keluarganya.

Ketika dihubungi Malaysiakini awal petang ini, Aziz berkata, peluru itu dihantar oleh posmen dalam sampul surat biasa warna coklat ke peti surat rumahnya pada jam 11.45 pagi tadi.

Oleh kerana dalam keadaan tergesa-gesa, laporan polis akan dibuat akan dibuat selepas ini, selewat-lewatnya esok, kata Aziz.

Beliau bagaimapun tidak tahu jenis peluru itu tetapi menggambarkannya sebagai "kecil sahaja".

Ditanya perasaannya sama ada takut, beliau berkata "tidak" kerana pernah mendapat ancaman bertulis sebelum ini ketika mengkritik kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang muktamar pemilihan parti itu pada 2009.

"Saya OK. Saya bukan biadap dengan sultan. Saya bukan kata 'natang'. Itu jauh sekali.

"Saya cuma bercakap tentang exercise of power," kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Pada 23 Mac 2008, sekumpulan orang, dipercayai penyokong bekas Menteri Besar Terengganu dilaporkan mengadakan perhimpunan di hadapan kediaman rasmi menteri besar di Kuala Terengganu sambil membawa kain rentang bertulis "kami nak Idris, natang".

"Natang", dalam loghat Terengganu, bermaksud binatang.

Aziz sebelum ini berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan dalam isu DUMC tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Tindakan itu menyebabkannya disiasat pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan UIA yang turut menggantung jawatannya selama beberapa hari.

Dalam masa yang sama, pelbagai pihak, termasuk mahasiswa, kakitangan akademik universiti, NGO, pemimpin pembangkang, bahkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah tampil menyatakan simpati terhadapnya.
-malaysiakini-

FAM layan peminat bola macam pengemis sukan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Walaupun diasak oleh peminat sukan tanah air terutamanya penyokong bolasepak kedua-dua pasukan finalis yang merebut Piala Malaysia iaitu Terengganu dan Negeri Sembilan malam ini, FAM selaku badan induk sukan bolasepak negara tetap tidak berundur dari keputusan meletakkan harga tiket dengan harga yang tidak munasabah iaitu RM50 bagi seorang penonton.


“Harapan peminat bolasepak tanahair supaya FAM pertimbang harga tiket hancur lebur apabila langsung tidak diendahkan malah peminat dilayan seumpama pengemis sukan.

“Sukan bolasepak adalah sukan rakyat, juga sukan utama bagi anak muda,” kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

SAMM, katanya selaku kumpulan anak muda penggempur apa jua kebiadapan entiti terhadap rakyat, memberi amaran kepada FAM supaya tidak terlalu ghairah mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat.

Menurutnya, peminat bolasepak tersepit di antara cinta terhadap sukan bolasepak dan tekanan kewangan dari FAM.

Tambahnya, tindakan FAM meletakkan harga RM50 adalah sama sekali tidak wajar.

Harga tersebut, ujarnya adalah di luar kemampuan rakyat terbanyak dan FAM seolah-olah menafikan harga yang lebih selesa buat penonton yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap sukan bolasepak negara, setelah banyak perbelanjaan lain seperti kos perjalanan termasuk petrol dan tol perlu dikorbankan peminat.

“Tidakkah timbul rasa kasihan FAM kepada penyokong bolasepak negara untuk mengurangkan sedikit kenaikan harga tiket berbanding harga tahun sebelumnya?” soalnya.

Pensyarah miang minta tubuh untuk lulus peperiksaan

KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.

Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.

“Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.

“Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.

“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.

Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.

“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.

Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).
-hmetro-

Hudud: Hanya Muslim jahat perlu takut

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Labuan
Pertamanya tahniah kepada komponen Pakatan Rakyat atas sikap saling menghormati dan cuba memahami kerenah serta kehendak antara parti-parti komponen. Pertembungan ketegasan generasi senior PAS dan DAP berkaitan dapat direda oleh generasi pertengahan serta generasi baru bukan saja dalam Pakatan Rakyat, bahkan mereka yang sekadar memerhati dari luar.

Tulisan ini sekadar mengajak pembaca membuka sedikit ruangan minda terhadap kekalutan yang berlaku. Mungkin tidak sehebat tulisan mereka yang berpengalaman. Cuma kadangkala timbul persoalan terutama kepada yang mengaku beragama Islam, kenapakah sukar untuk mengakui, redha, menggunapakai serta menjadi duta Islam menerangkan keindahan hukum Islam kepada masyarakat keseluruhannya? Kebiasaannya mereka yang menentang hukum Islam yang dilihat agak tegas tetapi penuh keindahan ini, samada jahil , atau kerana mereka sendiri terlibat melakukan jenayah seperti yang terkandung di dalam hukum Islam itu? Tak pasti, hanya Allah saja mengetahuinya. Maka, mungkin boleh disimpulkan Hudud digeruni oleh Muslim yang bersalah sahaja, yang tidak melakukan jenayah tak perlu takut.

Memang sukar untuk mereka yang tidak memahami untuk mudah menerima sesuatu yang di luar lingkungan pemahaman mereka. Apatah lagi jika majoriti menganggap “adil” dalam erti kata samarata. Timbulnya persoalan (kadangkala dari mulut celupar pemimpin mengaku Islam) berkenaan tidak adilnya jika berzina, yang non muslim hanya membayar denda sedangkan yang muslim disebat 100 kali sebatan di khalayak ramai (bagi yang belum berkahwin), dan rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Tidak pasti persoalan itu timbul kerana kejahilannya, atau supaya masyarakat umum memandang serong terhadap usaha PAS mendaulatkan hukum Islam. Mufti-mufti, ulama’ samada dalam UMNO atau non partisan mendiamkan diri, tidaklah diketahui samada mereka takut bersuara kerana jawatan, atau memang kenyataan begitu tidak sesat dan menyesatkan orang lain.

Tidaklah juga janggal jika non muslim dalam MCA, DAP, PKR, MIC, PBS, SNAP atau mana-mana parti atau individu menyanggah hasrat PAS mengangkat hudud untuk dilaksanakan. Bukankah adil mereka mempersoalkan atau menyanggah kerana ianya bukan aspirasi, bahkan bukan termaktub di dalam agama mereka? Adil bagi mereka mempersoalkan mahupun menyanggah, tetapi zalim bagi yang mengaku beragama Islam bersikap sama.

Namun, jika ahli UMNO sendiri menyanggah dan cuba mengelirukan dengan memberikan gambaran negatif, sedangkan non muslim dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) boleh menyokong bahkan sedia memberi penerangan kepada rakan-rakan non muslim, mungkin UMNO boleh berkursus atau mengambil subjek Perundangan Islam dari mereka (sekadar sindiran).

Jikalah ada yang berkata, kita kena ambil masa supaya “semua” rakyat tahu apa itu HUDUD barulah boleh dilaksanakan. Baik, cuba kita survey “semua” rakyat di Malaysia, adakah mereka tahu kandungan undang-undang sedia ada? Adakah mereka tahu undang-undang terkini yang digubal? Adakah mereka tahu hak mereka jika ditahan dan disoal siasat penguatkuasa? Adakah mereka tahu hak mereka apabila dibicara di mahkamah? Pastinya ramai yang berkata, “Entah”. Tiada pula yang mengatakan undang-undang sedia ada samada undang-undang sivil mahupun syariah perlu dihentikan sementara dan dilaksanakan semula apabila “semua” rakyat mengetahui kandungannya dan hak mereka.

Dalam kes qazaf, agak pelik juga Jabatan Agama Islam negeri-negeri seolah-olah tidak memberi respon terhadap tuduhan demi tuduhan terhadap dakwaan liwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Paling tidak pun, mereka kata ini bukan di mahkamah syariah sebagai mencuci tangan. Sehingga JAWI ( Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) pun menolak untuk dilibatkan atas alasan bukan urusan mereka. Jangan nanti ada yang berkata bila ada organisasi agama lain yang campurtangan terhadap urusan perjalanan tuduhan liwat ini, barulah geng-geng nasionalis bertempik supaya orang non muslim jangan campurtangan urusan agama Islam.

Apa yang susahnya untuk membuktikan UMNO yang mengaku beragama Islam mendakwa DSAI dibawah undang-undang Islam? DSAI beragama Islam, Dr Munawar Anees seorang muslim, Sukma Darmawan seorang muslim, Mohd Saiful Bukhari Azlan juga muslim, apakah susah untuk dibawa ke mahkamah syariah? Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi keseluruhan perjalanan kehidupan termasuk undang-undang sudah pasti sepatutnya digunakan demi menegakkan keadilan.

Satu ketika kononnya negarawan kita berkata lebih kurang maksudnya jika nak makan sup tangan boleh ke Kelantan. Juga kenyataan lebih kurang maksud jika tangan orang Islam kudung, macam mana mereka umat Islam nak maju? Bgaimana mereka nak berkerja? Termenung sekali logiknya macam ya. Termenung sekali lagi, terserlah kebodohannya. Persoalannya, adakah dengan hukuman potong tangan maka orang Islam berebut-rebut mencuri untuk dipotong tangan untuk melariskan industri sup tangan? Mungkin saki baki pencuri adalah non muslim kerana mereka hanya dikenakan denda wang ringgit? Maka yang muslim pun berkata, tak adillah begitu. Umat Islam diwajibkan berpuasa, dan tidak kepada non muslim melainkan mereka ingin mencuba. Tiada pula yang bersuara tidak adil puasa dalam bulan Ramadhan tidak dilaksanakan kepada non muslim?

Apa maksud adil? Sama rata? Seorang anak perempuan mengatakan bapanya tak adil (samarata) kerana membelikannya baju kurung sedangkan adik lelakinya baju melayu bersamping. Seorang budak berumur 3 tahun mendakwa ibunya tidak adil (samarata) kerana nasi dan lauk untuk sedikit sedangkan abangnya berumur 13 tahun banyak. Apatah lagi jika ada yang berkata tak adil (samarata) kerana suami boleh mempunyai lebih seorang isteri dalam masa yang sama, sedangkan perempuan sebaliknya.

Adakah mereka membuat neraca keadilan berdasarkan kefahaman dan keyakinan terhadap perintah Allah, atau berdasarkan kejahilan, nafsu serta dakwaan Islam mengikut kacamata orientalis?

Apa pun, tahniah buat pimpinan Pakatan Rakyat kerana cermat menghadapi isu ini. PAS perlu lebih berkerja keras untuk menerangkan kepada rakyat menggunakan segala medium terhad yang ada sebagai jihad bekal mengadap Allah di akhirat kelak.
-harakahdaily-

Muka Blogger-Blogger Umno Yang Kononnya Cukup Power!!!.

siasahkini
Chief UMB Umno
Ini Muka-muka pengendali blog-blog UMB Umno. Yang pasti depa ni tak sekepala dengan blogger-blogger umno yang lain macam Papagomo dan lain-lain.
Apa nama blog-blog depa? Power sangatkah depa ni dalam berblog. Untuk apa ditubuhkan UMB? Macam sempoi jaaaa.. Tapi Sk tak banyak tau blog-blog depa ni... Jika anda kenali mereka sila tinggalkan link web depa di sini. Boleh Sk pi jengoi-jengoi blog depa


Yang pasti ada:-
1- Blog Double Y.
2- Blog Tun Faisal.


Kalau nak kenai blogger Umno paling power dan paling jahat boleh klik Sini
Gambar 1
Gambar 2
Gambar 3
Gambar 4
Gambar 5
Gambar 6
Gambar 7
Gambar 8
Gambar 9
Gambar 10