"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Wanita India peluk Islam setelah berdebat sempena Mega Street Dakwah

MOHD SABRI SAID
SEBERANG JAYA: Mega Street Dakwah yang jalankan oleh lapan badan bukan kerajaan (NGO) bersama Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) di sini pagi tadi berjaya mengislamkan seorang wanita berbangsa India.

Kumpulan yang diketuai oleh Azman Merican memasuki premis berkenaan untuk bertemu orang ramai dan menemui wanita itu yang bertugas sebagai jurujual di salah sebuah kedai di situ.

Azman ketika ditemui berkata, beliau sempat berhujah dengan wanita berkenaan tentang ketuhanan ekoran dakwaannya mengatakan tuhan sama sahaja antara agama.

"Saya dan kekawan cuba terangkan apa Itu Islam dengan lebih mendalam. Mula ada sikit perdebatan tetapi apabila kita terus berhujah akal, beliau semakin reda dan akhirnya akur untuk berada dalam agama sebenarnya," terang beliau semasa berucap dalam sesi muhasabah di pekarangan Masjid Seberang Jaya.

Menurutnya, kenangan mengislamkan saudara baru itu merupakan peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayatnya.

"Sejujurnya saya katakan saya amat berminat turun ke medan dakwah. Apabila dapat hasilnya ia satu perkara yang amat besar," jelasnya.

Mega Street Dakwah yang diadakan di dua lokasi di Pulau Pinang iaitu di pekarangan Masjid Universiti Sains Malaysia (USM) dan Masjid Seberang Jaya merupakan aktiviti serentak seluruh negara yang memperkenalkan 'Do You Know? Jesus & Muhammad Worship The Same God?

'Walau Dipulaukan, Saya Tetap Pilih Islam'

REPUBLIKA.CO.ID, JAKARTA: Mualaf asal Pamulang, Tangerang Selatan Ahmad Hidayatullah mengakui bahawa dirinya sering merasa dipulaukan dan diasingkan apabila memutuskan untuk memeluk agama Islam.

"Saya diusir dan dipulaukan dari keluarga, persekitaran dan rakan-rakan saya dulu," kata Ahmad seperti dipetik dalam buku Mengapa Kami Memilih Islam.

Perjalanan Ahmad saat masuk Islam sangat mendapat tentangan keras dari keluarganya terutama ayahnya. Ayah Ahmad tidak terima bila ia menjadi seorang mualaf. Namun dengan tekad yang sudah bulat, Ahmad tetap memutuskan untuk menjadi seorang mualaf.

Ahmad pun dipulaukan oleh rakan-rakannya di persekitaran ia berada serta di bangku perkuliahan hingga pada akhirnya ia memutuskan untuk putus kuliah. Perkenalannya dengan Islam bermula apabila dia masuk kuliah dan sakit-sakitan. Sebelum ia melangkah ke perguruan tinggi, Ahmad mempunyai pergaulan yang tidak baik ketika masih sekolah menengah atas. Ia dan rakan-rakannya sering merokok, minum minuman keras, melakukan maksiat dan sebagainya.

"Pada masa itu saya tidak boleh mengawal diri dan melakukannya secara bebas hingga akhirnya saya mempunyai penyakit yang cukup parah," ujar Ahmad.

Ahmad dihukum oleh doktor mempunyai penyakit pada paru-parunya. Hal tersebut akibat terlalu sering merokok dan mengakibatkan membuat paru-parunya bolong. Doktor pun meramalkan bila umur Ahmad tidak akan lama bertahan.

"Saya sangat menyesal dan tidak mahu meneruskan lagi," kata Ahmad.

Segala macam rawatan sudah dilakukan oleh kedua orang tuanya. Termasuk keluar masuk rumah sakit bermula dari RSCM, Hospital Pondok Indah, hingga rumah sakit di Singapura. Namun tidak ada kemajuan yang bermakna sehingga pada akhirnya ia dipertemukan oleh seorang ustaz bernama Aesp Syarifuddin seoerang guru ngaji di SMP Al Amanah.

Ahmad dan keluarga pun bertemu dengan ustaz Asep dan membicarakan tentang penyakit yang dideritai Ahmad. Merasa kaget, ustaz Tan berkata kepada Ahmad bahawa bila ingin sembuh ia harus memperbanyak salat sunnah, witir dan terutama dzikir. Ayah Ahmad yang merupakan seorang penganut Protestan menentang ajaran ustaz Asep.

Namun, ia juga ingin anaknya selamat dan tidak kembali merasa kesakitan. Hingga pada akhirnya ayah Ahmad pun meluluskan cadangan ustaz Asep. Ahmad pun beransur pulih dan ketika melakukan x-ray ke rumah sakit doktor pun terkejut kerana penyakit Ahmad sudah hilang.

Ahmad pun terus melakukan ketiga hal yang dianjurkan oleh ustaz hingga pada akhirnya ayahnya tidak setuju untuk terus melakukan perkara tersebut. Ayahnya pun marah kepada Ahmad, tetapi ia tetap merasa selesa untuk berbuat demikian dan sehingga pada akhirnya ia memutuskan untuk menjadi mualaf.

"Saya akhirnya memutuskan masuk Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah, Alhamdulillah selepas itu hidup saya menjadi lebih sihat dan bahagia," kata Ahmad.

Walau ia dipulaukan dan diusir serta tidak diakui lagi oleh keluarganya, Ahmad tetap memilih untuk memeluk agama Islam. Ahmad percaya dan yakin bahawa agama yang dipeluknya itu merupakan ajaran yang benar.

Seorang bapa guna kereta perisai bawa anak ke sekolah (Gambar)

MEAD (depan) memandu sebuah kereta perisai ketika menghantar dua anaknya ke sekolah di bandar Northamptonshire di Britain.
NORTHAMPTONSHIRE, Britain: Seorang bapa menghantar anak-anaknya ke sekolah dengan menaiki sebuah kereta perisai bagi memastikan mereka tidak lewat dan berasa seronok setiap kali mahu ke sekolah.

Bapa tersebut, Nick Mead, 53, berkata, dia memandu sebuah kereta perisai seberat 17 tan untuk menghantar dua anaknya, Danny, 16, dan Ashley, 13, ke sekolah hampir setiap hari.

“Anak-anak saya sangat teruja setiap kali menaiki kereta perisai model FV432 ini dan mereka berasa seronok untuk ke sekolah.

“Setiap kali tiba di sekolah kereta perisai ini akan menjadi perhatian pelajar-pelajar lain dan saya berasa seronok melihat mereka bergambar serta menyentuh kenderaan ini,” katanya.

Ujarnya, dia mempunyai sejumlah 130 kenderaan tentera yang menjadi koleksi peribadinya dan sebahagian kenderaan berkenaan telah mendapat kebenaran untuk digunakan di jalan raya.

Menurutnya, semua kenderaan tentera berkenaan turut dilengkapi dengan senjata tetapi ia sudah dinyahaktifkan supaya boleh digunakan di jalan raya. 
-Agensi/kosmo-

Siapa agaknya Datin Tapau di Putrajaya


Sesekali berkunjung ke kementerian atau jabatan kerajaan di Putrajaya memang membuatkan telinga sarat dengan cerita-cerita menarik yang kadangkala menjadikan kita geleng kepala dan tersenyum sendirian.

Ada pelbagai cerita gembira, sedih dan lucu yang melibatkan perangai atau kelakuan manusia yang boleh kita dengar jika rajin berbual dan berceloteh dengan mereka. Kadang-kadang pula, dengan rajin memasang telinga juga membolehkan kita mendengar bermacam-macam cerita.

Walaupun Putrajaya adalah sebuah bandar pentadbiran yang indah, moden, mengkagumkan dan bertaraf kelas pertama tetapi tanpa di sangka masih ada kakitangannya yang berminda lekeh umpama kelas ketiga, terutama berkaitan dengan makanan.

Jika selalu kita dengar yang membungkus makanan atau "tapau" selepas jamuan adalah kalangan kakitangan rendah seperti kerani dan setaraf dengannya, itupun untuk mengelakkan makanan itu terbuang begitu saja, rupa-rupanya fenomena "tapau" ini juga menjadi habit di kalangan bos-bos, orang atasan dan yang bergelar Datin sekali pun.

Di sebuah jabatan yang terkenal di Putrajaya di mana kerap mengadakan mesyuarat-mesyuarat penting melibatkan kepentingan negara, penyedia makanannya bukanlah syarikat katering biasa tetapi adalah daripada sebuah hotel yang berbintang-bintang tarafnya.

Setiap kali diadakan mesyuarat, bos di jabatan tersebut selalunya akan mengarahkan kakitangannya membuat tempahan yang lebih daripada jumlah kehadiran. Misalnya, jika yang hadir mesyuarat seramai 20 orang, maka akan diminta membuat tempahan makanan untuk 30 orang daripada hotel tersebut.

Maknanya, 20 hidangan untuk keperluan mesyuarat manakala yang 10 lagi itu ialah untuk keperluan peribadi bos bergelar Datin itu. Sudah tentu semua bil jamuan itu dibayar melalui peruntukan kerajaan.

Apa yang lebih menjengkelkan, bos yang popular dengan gelaran "Datin Tapau" itu juga mahukan bahagiannya itu dibungkus dalam bekas berasingan dan dihantar kepadanya lebih awal sebelum mesyuarat bermula.

Ini menyebabkan kakitangan jabatan berkenaan dan petugas katering seringkali kelam-kabut setiap kali menyediakan makanan di jabatan tersebut kerana terpaksa memenuhi dua keperluan dalam satu masa.

Tetapi oleh kerana Datin tersebut merupakan bos di jabatan itu, maka kehendaknya terpaksa dituruti tanpa banyak soal sama ada kakitangan bawahannya atau pun petugas katering.

Cerita "Datin Tapau" ini bukan saja sudah menjadi bualan di kalangan kakitangan jabatan berkenaan tetapi juga di antara sesama petugas hotel yang ditugaskan menyediakan makanan itu.

Mereka kadangkala hairan bila ketikanya "Datin Tapau" itu mahu menjamah makanan yang "disonglap secara licik" dengan menggunakan duit kerajaan itu dan adakah kesemua makanan itu untuk keperluannya bersama kawan-kawannya ataupun mahu dibawanya pulang untuk hidangan ahli-ahli keluarganya?

Apa yang merisaukan petugas hotel berkenaan juga ialah hidangan yang ditapau itu bukan saja hidangan makan tengahari atau minum petang, bahkan termasuk juga hidangan sarapan pagi.

Mereka bimbang, jika hidangan sarapan pagi misalnya jika dibawa pulang ke rumah oleh Datin tersebut setelah tamat waktu pejabat, ianya mungkin terdedah kepada keracunan makanan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Sepertimana yang disebut tadi, cerita membungkus atau membawa balik makanan mungkin menjadi lumrah di kalangan kakitangan bawahan, tetapi tentulah agak luar biasa jika di kalangan bos-bos yang bergelar Datin juga berperangai sama.

Nafsu rupa-rupanya tidak mengenal rupa, darjat, kedudukan dan harta.

10 isu terbesar ekonomi Malaysia 2015 (Keluhan dan rintihan berani tahun mencabar 2015)

Dr Nazri Khan
Keluhan dan rintihan berani tahun mencabar 2015.

Kepada semua rakyat Malaysia, bersedia hadapi 10 cabaran ekonomi Malaysia terbesar tahun depan.

1. Kenaikan kos sara hidup rakyat

Langkah kerajaan menaikkan harga petroleum (naik 20 sen), tarif elektrik (naik 15%), harga gula (naik 30 sen), harga tepung (naik 20 sen) dan kadar tol (minima 50 sen) sedikit sebanyak akan melonjakkan kos sara hidup semua rakyat.

Paras inflasi rasmi terkini meningkat kepada 3.4%, tertinggi dalam setahun. Inflasi tidak rasmi/sebenar mungkin tiga kali ganda lebih 10% setahun.
Harga purata secawan kopi kini ialah RM1.60, harga nasi lemak ialah RM1.80 sementara sekeping roti canai sudah mencecah RM1.20 tidak termasuk GST.

2. Paras hutang kerajaan yang tinggi

Paras hutang kerajaan meningkat sejak tahun 1970. Hutang kerajaan persekutuan pada tahun 1970 hanyalah RM2 billion, pada tahun 1999 berjumlah RM95 billion tetapi sekarang telah mencecah RM568.2 bilion atau 53% daripada KDNK menghampiri had siling 55%. Pihak asing pula memiliki kira-kira 15% daripada jumlah hutang dalam negara. Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pertukaran wang asing negara.

Untuk rekod, kerajaan membelanjakan lebih RM10 bilion setahun hanya untuk membayar faedah hutang-hutang yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan.

3. Paras hutang isi rumah rakyat yang membahayakan

Hutang isirumah rakyat Malaysia berganda kepada RM750 billion atau 76.2% KDNK dalam Julai tahun ini. Pecahan besar adalah pinjaman perumahan 29%, pinjaman kenderaan 51%, pinjaman peribadi 15% dan pinjaman pelajaran 33%.

Ini bermakna rakyat Malaysia secara amnya membuat perbelanjaan dengan membazir dan tidak berhemah.

Jika tidak dikawal, lima tahun lagi hutang isi rumah di Malaysia boleh melebihi 100% kepada KDNK negara bermakna pendapatan yang diperolehi tidak cukup untuk membayar hutang terkumpul.

4. Pertumbuhan ekonomi dekad yang lebih perlahan

Jumlah keseluruhan ekonomi Malaysia (KDNK) tahun 2014 adalah RM1.07 trillion. Walaupun ekonomi global dijangka meningkat, pertumbuhan KDNK Malaysia purata sepuluh tahun lepas lebih perlahan hanya sebanyak 5% dan banyak didorong oleh permintaan domestik. Berbanding pertumbuhan KDNK purata sebanyak 7% pada tahun 1990an yang didorong oleh sektor eksport dan luaran.

Untuk rekod, semenjak 1945 ke tahun 1998, Malaysia adalah salah satu daripada 13 negara yang mencapai pertumbuhan mantap melebihi 7% selama lebih daripada 53 tahun. Bagaimanapun selepas 1998, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah jatuh dengan perlahan.

5. Kos pengurusan kerajaan yang tinggi

Daripada tahun 1970 hingga 2013, jumlah perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat daripada RM2.2 bilion kepada RM216.2 bilion. Komponen yang terbesar ialah gaji kakitangan kerajaan.

Untuk nota, Malaysia memiliki nisbah kakitangan kerajaan yang tertinggi di dunia seramai 1.4 juta atau 10% dari seluruh tenaga kerja di Malaysia.

6. Beban subsidi kerajaan yang tinggi

Jumlah keseluruhan subsidi kerajaan meningkat dengan ketara daripada RM1.1 bilion pada 1999 kepada RM44.1 bilion pada 2013.

Ini bermakna 20% dari cukai yang dikutip akan digunakan untuk subsidi rakyat. Subsidi ibarat ganja kerana ia sukar dihentikan apabila diberikan. Penamatan subsidi juga boleh mengakibatkan kos politik kepada kerajaan yang memerintah.

Dasar pemberian subsidi adalah dasar yang tidak efektif bagi rakyat miskin. Orang kaya menggunakan bahan api lebih banyak daripada orang miskin yang bermotosikal. Ini bermakna subsidi petroleum lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya.

7. Produktiviti pekerja yang kurang cemerlang

Hanya 80% dari tenaga kerja seluruh Malaysia mempunyai kelayakan pendidikan setakat Sijil Pelajaran Menengah (SPM). Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), tahap produktiviti pekerja negara ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura.

Purata pekerja Malaysia mencatatkan nilai produktiviti hanya sebanyak RM43,952 setahun.

Berbanding pekerja Amerika Syarikat mengungguli senarai dengan tahap produktiviti sebanyak RM285,558 setahun, diikuti oleh pekerja di Jepun RM229,568 dan Hong Kong RM201,485. Ini bermakna pekerja Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang berbanding negara lain, namun menghasilkan pulangan yang lebih rendah.

8. Belanjawan Malaysia defisit setiap tahun sejak 1998

Walaupun memiliki komoditi yang kaya seperti minyak dan kelapa sawit, Belanjawan Negara masih defisit selama 16 tahun berturut-turut semenjak krisis kewangan Asia. Untuk rekod, perbelanjaan subsidi untuk rakyat dikurangkan sebanyak RM 7.3 billion bagi tahun 2014.

Walaupun paras defisit keseluruhan negara telah turun tetapi masih tinggi sekitar RM 36 billion.

Pada masa yang sama, lebihan akaun semasa (eksport tolak import) juga menurun dari RM102 bilion pada 2012 kepada RM37 billion pada 2013.

Ini bermakna lebihan akaun sebanyak 3% daripada KDNK pada masa ini adalah kecil kerana Malaysia pernah mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 10%.

9. Ketirisan dan ketelusan negara

Dalam Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index yang dijalankan Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke-53 daripada 177 buah negara. Kedudukan ini tidak segagah tahun 2003, Malaysia berada di kedudukan ke-37.

Untuk rekod, dalam Laporan Global Financial Integrity, Malaysia menduduki tempat ke-4 dari segi jumlah kumulatif pengaliran keluar dana secara haram yang berjumlah RM880 billion di antara tahun 2002-2011.

Ini bermakna aliran keluar wang haram dari Malaysia mungkin lebih hebat daripada negara-negara seperti Filipina, Nigeria dan Venezuela.

10. Kelemahan ringgit dan peningkatan gaji yang perlahan

Dengan ringgit terus lemah dibandingkan dengan dolar Amerika (terendah dalam enam bulan) dan dolar Singapura (terendah dalam 15 tahun) juga menyumbang kepada lonjakan harga barang dan kos sara hidup di Malaysia.

Kesan kelemahan ringgit menyebabkan penurunan kuasa beli individu. Maknanya, setiap ringgit pendapatan akan mampu membeli sedikit barangan dan perkhidmatan import berbanding sebelum ini.

Peningkatan kos sara hidup yang berlaku itu juga tidak selaras dengan kadar kenaikan gaji yang perlahan.

Mengikut Payscale.com, kadar purata kenaikan gaji Malaysia hanya sekitar 3.5% berbanding Indonesia 9.8%, Singapore 12% dan Thailand 5.8% dalam tempoh sama.

Kesimpulan, ekonomi adalah tunjang turun naik sesebuah masyarakat, bangsa dan negara. Saya yakin 10 isu ini dapat ditangani, kerajaan mapan, ekonomi cemerlang dan rakyat gemilang. Amin. – bm.selangorku.com, 7 Disember, 2014.

* Dr. Nazri Khan adalah Presiden, Malaysian Association of Technical Analyst dan exco, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Najib teruskan BR1M kerana percaya ‘Duit itu Raja’, - Dr Mahathir

MUZLIZA MUSTAFA
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan di Program Kepimpinan Belia di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 20 Disember, 2014.Kerajaan melakukan kesalahan besar dengan memberikan bantuan wang tunai secara "one-off" kepada penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk membantu mengurangkan bebanan peningkatan kos sara hidup mereka, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, beliau pernah menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menghentikan program berkenaan dengan mengatakan ia adalah langkah yang silap, namun Najib masih berdegil dan meneruskan pemberian wang tunai itu.

"Daripada kita memberikan wang tunai, lebih baik kita berikan latihan dan kemahiran. Saya sudah kata kepada Najib tetapi beliau percaya 'duit itu raja' dan boleh mendapatkan sokongan," kata Dr Mahathir, ketika menjawab pertanyaan daripada peserta dalam Program Kepimpinan Belia di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri yang pernah bekhidmat selama 22 tahun itu berkata, di bawah Dasar Ekonomi Baru, komuniti Melayu diberikan tempoh 20 tahun untuk mencapai status 30% pegangan ekonomi Bumiputera, namun gagal.

"Tempohnya dilanjutkan namun tetapi kita masih gagal mencapai sasaran," katanya.

Komuniti Melayu katanya harus sedar, "tongkat" tidak akan diberi selama-lamanya.

"Selepas beberapa lama kita perlu buang tongkat itu. Tetapi sesetengahnya beranggapan tongkat itu adalah hak mereka, dan itu tidak benar sama sekali," katanya lagi. – 20 Disember, 2014

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-teruskan-br1m-kerana-percaya-duit-itu-raja-kata-dr-mahathir#sthash.gauHSNlS.dpuf


Anjing tembak tuan

Florida: Seorang lelaki dirawat di hospital selepas ditembak oleh anjingnya secara tidak sengaja.

Syerif Johnson County Steve Kozisek mengesahkan Richard L Fipps, 46, cedera selepas anjingnya terpijak pemicu raifalnya yang berisi peluru di dalam pikapnya.

Menurut laporan radio tempatan, Fipps sedang menurunkan gergaji dari traknya apabila dia tertembak di lengan kirinya.

“Raifal itu berisi peluru dan pemicunya tidak berkunci, Anjingnya tiba-tiba melompat ke atas senjata itu menyebabkan ia tertembak,” kata Kozisek.

Menurut Kozisek, kejadian itu boleh dielakkan sekiranya Fipps tidak memasukkan peluru di dalam raifal itu.

“Sepanjang 42 tahun menjadi syerif, ini kes pertama saya temui - anjing menembak tuannya,” kata Kozisek.
-hmetro-

Pak Cik coli dapat simpati

Zhengzhou: Satu video menunjukkan seorang lelaki berpakaian wanita yang didakwa milik mendiang isterinya dalam sebuah bas di sini menjadi viral di Internet di China, semalam.

Menurut laporan, lelaki itu dilihat memakai coli merah dengan dua epal di dalamnya, kasut tumit tinggi dan long-john wanita.

Penduduk di bandar di wilayah Henan ini berkata, lelaki itu sering dilihat berpakaian begitu di tempat awam.

Rakannya memberitahu wartawan, pakaian itu milik isterinya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Dia memakai sedemikian untuk melepaskan rindu dan berasa dekat dengan mendiang.

“Kami berharap ada pakar jiwa yang boleh membantunya,” kata seorang pemandu bas.

Video itu mencatatkan 2.4 juta tontonan dalam masa 15 jam.

Pengunjung laman web yang menggelarnya ‘Pak cik coli’ dan
‘Pakcik epal,’ menyuarakan rasa simpati padanya.

“Mungkin cinta dia pada isterinya terlalu mendalam sehingga dia tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya sudah tiada. Jika benar, dia berhak untuk disimpati,” kata seorang penggunjung laman web popular di China. - Agensi

Vanidah Imran 'Larikan' Buku Cek, Seniman Repot Polis (Gambar)

Zed Zaidi (tiga dari kanan) bersama jawatankuasa Persatuan Seniman menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur selepas kehiangan buku cek persatuan itu.
HULU KLANG: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis pada Jumaat selepas kehilangan buku cek yang diberi tanggungjawab terhadap bendahari persatuan iaitu aktres Vanidah Imran.

Presidennya, Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, kehilangan buku cek tersebut menyukarkan Seniman untuk menjalankan aktiviti serta membuat sumbangan kebajikan.

"Saya melaporkan kehilangan buku cek persatuan yang dibawa keluar daripada pejabat oleh bendahari iaitu Vanidah Imran sejak memegang jawatan tersebut September lalu.

"Dia membawa pulang dan langsung tidak memberi kerjasama kepada persatuan ketika diminta untuk mengeluarkan duit bagi menjalankan operasi serta membayar gaji pekerja," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.

Zed ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati di sini pada Jumaat berhubung kejadian itu.

Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Seniman iaitu Zack (Kool) , Setiausaha Kehormat, Zahrin Ishak dan Penolong Setiausaha Rena Tan.
Vanidah Imran
Vanidah ImranVanidah Imran dipilih sebagai Bendahari Seniman dalam pemilihan terbaharu.

Menurut Zed, dia akan menyerahkan laporan polis tersebut kepada pihak bank bagi menggugurkan nama pelakon tersebut dan mengeluarkan buku cek baharu.

Malah, satu mesyuarat undi tidak percaya akan dilakukan tahun depan terhadap aktres tersebut.

"Sekarang kita mahu bank gugurkan nama Vanidah sebagai salah seorang yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran duit persatuan.

"Kita juga akan usulkan perkara ini dalam mesyuarat untuk membuat undi tidak percaya kepada dia," katanya.

Zed berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas beberapa kali memberi amaran kepada pelakon itu agar memberi kerjasama.

Katanya, Vanidah bukan sahaja tidak mahu menandatangani cek tersebut, malah meminta persatuan mengeluarkan surat kepadanya terlebih dahulu.

"Dia tidak tahu apa tugas dia sebagai bendahari dan meminta persatuan untuk keluarkan surat untuk dia tandatangan buku cek tersebut.

"Apa yang dia lakukan telah menjejaskan perjalanan persatuan ini. Malah persatuan terpaksa berhutang sebanyak RM22,000 bagi kos operasi iaitu sewa pejabat dan gaji pekerja akibat tindakannya," ujarnya.

Tambah Zed lebih dikesalkan apabila persatuan tidak dapat mengeluarkan wang sumbangan kepada bekas presiden iaitu Allahyarham Mustapha Maarof yang meninggal dunia pada 15 Disember lalu.

"Kita buat aktiviti sebelum ini atas duit tajaan beberapa pihak cuma saya terkilan tidak dapat beri sumbangan kepada Allahyarham Datuk Mustapha yang banyak berjasa kepada persatuan.

"Kalau dia tidak mahu jawatan itu lebih baik letak sahaja jawatan beri pada yang benar-benar mahu bekerja," katanya.

Turut hadir ialah Timbalan presiden pula disandang oleh Zack (Kool) , Setiausaha Kehormat, Zahrin Ishak dan Penolong Setiausaha Rena Tan.
-mstar-

Penyelidik temui iblis laut

Penyelidik temui iblis laut
Penyelidik temui iblis laut
SPESIS ikan ‘the Black Seadevil’ atau iblis laut merupakan hidupan laut yang hidup di laut dalam di Lautan Hindi, Pasifik dan Atlantik.

Namun penemuannya yang sangat jarang dilaporkan menimbulkan keraguan terhadap kewujudan spesies ini.

Menerusi sebuah laporan berita SFGate, Institut Kajian Akuaria Teluk Monterey (MBARI) melaporkan menemui spesies ini yang sepanjang lapan sentimeter pada November lalu.

Malah, kumpulan penyelidik institusi berkenaan turut merakamkan video berdurasi lebih 10 saat untuk mendedahkan hidupan tersebut kepada orang ramai.

Sementara itu, Ketua kumpulan penyelidik, Bruce Robinson berkata, penemuan tersebut dilakukan pada kedalaman 1,900 kaki daripada permukaan laut.

“Ia merupakan kali pertama pihak kami berjaya merakamkan hidupan tersebut di habitatnya, spesies ini adalah antara yang paling jarang ditemui di semua kawasan laut dalam,” katanya.

Iblis laut pada kebiasaannya hidup di laut dalam dan tidak pernah mendedahkan dirinya di permukaan laut seperti hidupan laut yang lain.

Ikan ini dikatakan mempunyai daya penglihatan sangat tajam dan boleh memakan mangsa yang lebih besar daripada saiz badannya berikutan tahap fleksibiliti yang tinggi pada bahagian perut.

Iblis laut ini dikatakan tergolong antara lima spesies dalam keluarga Melanocetus.

Untuk rekod, Iblis laut ini pernah menjadi watak di dalam filem animasi Finding Nemo yang ditayangkan pada tahun 2003.
-sinarharian-

Tak tahu nak dikategori bapa jenis apa, rogol anak tiri, liwat anak lelaki

PETALING JAYA: Seorang penganggur berusia 34 tahun didakwa merogol anak tiri perempuannya, yang berusia 12 tahun selama setahun, suspek turut didakwa meliwat anak lelakinya yang berusia empat tahun.

Pendedahan yang mengejutkan itu diceritakan sendiri oleh anak lelaki suspek selepas dia mengetahui apa yang dilakukan oleh ayahnya itu adalah satu jenayah.

"Kanak-kanak lelaki itu telah bertanya kepada ibunya di manakah bapanya dan ibu memberitahu ayahnya ditahan kerana mendera kakak tirinya secara seksual.

"Perkara tersebut telah menyebabkan kanak-kanak lelaki berkenaan sedar dan mendedahkan apa yang telah dilakukan oleh suspek terhadapnya," kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Khairuddin Saad. Doktor turut mengesahkan bahawa kanak-kanak lelaki itu telah diliwat.

Bagaimanapun, dua lagi anak suspek tidak didera.

Suspek akan didakwa ke mahkamah hari ini kerana melakukan persetubuhan luar tabii di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan. Dia berhadapan dengan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebatan.

Lelaki tersebut ditahan di rumahnya di Kampung Cheras Baru pada 13 Disember lalu selepas anak perempuan tiri suspek memberitahu ibunya dia dirogol dua kali seminggu.

Ibu mangsa telah keluar rumah dengan membawa empat anaknya untuk tinggal bersama saudara mereka.

Pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata sepanjang 10 tahun perkahwinan mereka.

Remaja perempuan berkenaan merupakan anak ibunya daripada perkahwinan yang terdahulu.

Mangsa berkata suspek akan merogolnya di dalam bilik tidurnya atau bilik tidur suspek.

Kejadian rogol itu berlaku apabila ibunya keluar bekerja dan ketika adik perempuannya yang lain bermain di luar rumah.

"Dia tidak ingat berapa kali dia dirogol. Apa yang dia beritahu kami ia terjadi banyak kali, mungkin dua kali seminggu," kata Khairuddin.
-mstar-

Walaupun dia mengaku waras tapi inilah tahap pemikira seorang Ketua Kampung di N.Sembilan

16 Disember 2014 PORT DICKSON -“Tindakan saya adalah waras, bukannya tindakan yang melulu dan tanpa usul periksa,” kata Ketua Kampung Jimah Shafie Alwie ketika di tanya tentang tindakannya menegur kunjungan PKR di ketuai Adun Port Dickson, M Ravi ke rumah salah seorang mangsa banjir di Kampung Jimah Lama sebelum tercetus kekecohan.

Menurutnya, dia sebagai orang yang bertanggungjawab di kampung berkenaan mengambil tindakan sedemikian untuk memastikan orang luar yang tidak tahu apa-apa mencampuri urusan kampungnya.

“Sebelum datang ke rumah mangsa banjir itu, saya telah berbincang dahulu dengan beberapa ahli jawatan kuasa kampung termasuk memaklumkan kepada polis tentang apa yang hendak saya lakukan iaitu menegur rombongan PKR itu.

“Kedatangan mereka ke kampung ini hanya sia-sia dan memberi gambaran yang salah tentang kampung kerana sememangnya mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku di kampung ini. Mereka adalah orang luar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Shafie berkata, dia tidak mencabar mana-mana pihak dan niatnya kelmarin adalah hanya untuk mempertahankan kampungnya dari unsur licik.

Shafie memberitahu, penduduk yang dikunjungi PKR adalah salah seorang mangsa banjir yang telah banyak kali menerima bantuan daripada pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Benar mereka memang keluarga yang susah dan perlukan bantuan namun bantuan yang disalurkan adalah untuk meringankan beban sama seperti mangsa banjir yang lain dan bukannya untuk terus menjadikannya kaya,” katanya lagi.

Sebanyak 44 buah rumah di Kampung Jimah Lama terlibat dengan kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Kisah Remaja ‘Dipakai’ Bapa Sendiri Yang Beristeri Empat

MERAN ABU BAKAR 
KISAH kali ini yang menceritakan penderitaan mental dan fizikal yang dialami oleh Umairah (bukan nama sebenar) pastinya benar-benar membuatkan kaum wanita khususnya golongan ibu geram, sakit hati, benci, marah dan geli dengan perangai lelaki atau bapa yang berkelakuan seperti haruan makan anak.

Kisah ini diceritakan oleh seorang teman mengenai anak muridnya yang ditemui semasa mengikuti sebuah kursus.

Menurut teman ini, Raziah (juga bukan nama sebenar), dia tidak pernah menyangka Umairah mengalami masalah yang begitu berat pada usia yang masih terlalu muda remaja, iaitu 18 tahun.

Katanya, Umairah, nampak seperti remaja lain cuma dia agak pendiam. Satu malam, selepas selesai makan malam, Raziah akan melayani kumpulan muridnya dan berbual-bual dengan mereka.

Setelah hampir waktu untuk masuk tidur, Raziah pun mula hendak beredar, tiba-tiba Umairah mendekatinya dan berkata hendak berjumpa dengannya esok malam.

Hati Raziah mula berdebar-debar dan terfikirkan perkara buruk, namun dia tidak mendesak dan menunggu esok malam.

Keesokannya seperti dijanjikan, mereka berjumpa.

“Cikgu, saya mempunyai masalah yang sangat berat dan tidak tertanggung lagi. Sebenarnya cikgu, bapa saya telah ‘memakai’ saya sejak saya berumur lapan tahun sehingga sekarang.

“Emak tidak tahu dan saya tidak berani hendak memberitahu emak. Ayah mengugut jika saya memberitahu emak, dia akan melakukan yang lebih buruk daripada itu. Saya tidak mempunyai pilihan selain mendiamkan diri.

“Semasa saya hamil pun, ibu tidak perasan sehinggalah kandungan saya berusia tujuh bulan. Selepas itu ayah membawa saya ke tempat lain dan menyembunyikan saya sehingga saya bersalin. Apabila emak bertanya di mana saya, ada sahaja alasannya.

“Perkara ini saya pendamkan bertahun-tahun. Akibat perbuatan ayah, saya telah melahirkan dua orang anak. Kedua-dua bayi ini ayah jual kepada orang sebaik dilahirkan dengan harga RM3,000 seorang,” kata Umairah kepada Raziah.

Raziah terus bertanya kepada Umairah. Dia seperti tidak percaya ada juga bapa yang berperangai seperti haiwan.

Sambung Umairah lagi, selain pernah melahirkan dua orang anak, dia juga pernah dua kali menggugurkan anak, malah ayahnya sendiri yang melakukan pengguguran tersebut.

“Bukan saya sahaja yang menjadi korban ayah malah dua orang adik juga pernah cuba diperkosa, namun mereka menjerit dan mengugut hendak memberitahu emak.

“Saya benci dengan ayah. Tidak cukup dengan empat isteri, anak-anak juga hendak dijadikan tempat pelampias nafsu. Saya tidak tahu dengan siapa hendak mengadu. Saya lihat keempat-empat isteri ayah juga seperti kerbau dicucuk hidung,” ujar Umairah.

Termenung Raziah mendengar cerita Umairah dan terus teringat semasa perjumpaan pelajar bersama keluarga beberapa minggu sebelum itu lalu.

Dia terlihat bapa Umairah yang datang bersendirian dan dilihat agak pelik kerana kerap mengurut-ngurut belakang dan lengan anak perempuannya itu.

Walau semesra mana pun hubungan antara bapa dan anak, tidaklah sampai mengurut-ngurut belakang dan lengan anak dengan cara yang agak kurang manis.

Umairah pula dilihat amat tidak selesa dengan perlakuan bapanya dan cuba mengelak-ngelak.

Setelah mendengar cerita Umairah daripada mula hingga akhir, Raziah memberitahu Umairah dia akan membuat laporan polis.

Mulanya Umairah tidak bersetuju tetapi kata Raziah, kesalahan ayahnya begitu berat dan tidak boleh dimaafkan.

Semasa polis datang menangkap ayah Umairah, dia nampak seperti orang bodoh dan tidak membantah langsung.

Entah dia buat-buat atau dia memang begitu, tidak tahulah. Lebih menyakitkan hati apabila dia menjawab kata-kata anggota polis yang menangkapnya.

“Encik, kalau kita tanam rambutan pun bila sudah berbuah kita hendak merasa dahulu. Macam itulah juga dengan saya,” kata ayah Umairah.

Ayah Umairah telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Sementara Umairah yang tamat sekolah dan cuba melupakan kisah pahitnya mendapat pekerjaan di sebuah hospital swasta.
-utusan-

2 pangkalan tentera Syria ditawan, 200 terkorban

Tranungkite
IDLIB, Syria 16 Dis. - Kira-kira 200 anggota tentera Syria terbunuh dalam tempoh 24 jam selepas kumpulan penentang daripada Barisan al-Nusra bertindak menawan dua pangkalan tentera di wilayah Idlib, semalam.

Ketua kumpulan hak asasi manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, serangan yang dilancarkan oleh Barisan al-Nusra turut mengakibatkan lebih 100 orang tentera ditawan.

“Sekurang-kurangnya 100 anggota tentera dan lebih 80 orang penentang terbunuh dalam bedilan semasa pertempuran tersebut,” jelas Rami.

Katanya, sekurang-kurangnya 120 orang tentera ditahan, manakala 100 orang lagi berjaya melarikan diri dan kini menuju ke bandar Morek, berhampiran bandar Hama.

“Kemaraan Barisan al-Nusra ke pangkalan berkenaan dibantu dengan kehadiran beberapa kumpulan penentang kerajaan yang lain seperti Ahrar al-Sham dan Jund al-Aqsa,” ujarnya.

Kejatuhan pangkalan tentera di Wadi al-Deif dan Hamidiyeh membolehkan kumpulan penentang kerajaan menguasai sebahagian besar wilayah barat laut Syria, tindakan yang pastinya mengejutkan Presiden, Bashar al-Assad.

Idlib merupakan antara wilayah terawal jatuh ke tangan kumpulan penentang kerajaan selepas berlakunya revolusi menentang pentadbiran Assad pada Mac 2011.

Lebih 200,000 penduduk Syria terkorban sejak tercetus penentangan terhadap Assad empat tahun lalu dan separuh penduduk Syria melarikan diri ke negara-negara jiran. – AFP

Latheefa Koya tidak perlu gatal mulut

Mohd Sayuti Omar
Sikap tidak bijak dan prejudis di kalangan sesetengah pimpinan parti Pakatan Rakyat menyumbangkan masalah dan keadaan tidak tenteram dalam pakatan tersebut. Persepsi berlebih-lebihan juga membawa kesan buruk. Sebab itulah sebaiknya pemimpin kurang bercakap dan mengulas isu-isu politik yang kemudian akan membawa kerugian bersama.
Kalau gatal mulut sangat ulaslah isu-isu umum yang tidak menyentuh sulbi masing-masing.

Persoalan yang dibangkit oleh seorang ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya mengenai rancangan kerajaan Kelantan hendak mengadakan sidang DUN pada 29 Dismber ini bagi mengemaskini Enekman Kanun Jenayah Syariah II, sebagai hendak mengalihkan isu 1MDB, sebagai satu kenyataan kurang bijak dan sensitif.

Untuk apa dan kenapa Latheefa mengheretkan isu hudud dengan 1MDB? Beliau sepatutnya tidak cuba mengaitkan hasrat kerajaan Kelantan itu sebagai hendak menudung isu 1MDB yang kini sedang hangat diperkatakan. Rasanya tidak ada maksud kerajaan Kelantan khasnya dan Pas amnya cuba menindih isu berkenaan. Hudud dan 1MDB adalah dua isu berbeza yang bileh dikayuh serentak.

Cadangan kerajaan Kelantan itu bukan sehari dua, tetapi sejak lama dulu. Sebelum isu 1MDB meletus kerajaan Pas Kelantan sudah pun menyediakan rangka untuk melaksanakan hudud. Salah satu rangka itu ialah membaiki kanun berkenaan bagi membolehkan satu privet bil dibawa ke Parlimen. Apakah Latheefa tidak mengikut kronologi hudud di Kelantan?

Sama ada hudud memberi kesan politik negatif kepada Pas atau sebaliknya itu soal lain. Apa-apa tindakan Pas sesuai dengan perjuangannya perlu dihormati yang mungkin tidak penting dari segi politik parti Latheefa. Seperti mana kata Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar semua pihak kena hormat hak demokrasi masing-masing.

Apabila Latheefa berspekulasi demikian soal-soal Pas ingin menenggelamkan isu yang sedang menghambat UBN itu. Lebih buruk lagi dengan tanggapan ahli pimpinan PKR itu juga menyebabkan ada orang beranggapan seolah-olah Pas ingin membela Najib Razak. Kalau ini berlaku keadaan hubungan Pas dengan PKR akan tambah buruk.

Sebaiknya berlaku adillah dalam membuat ulasan dan persepsi antara satu sama lain. Kalau Latheefa tidak mempersoalkan kejujuran kerajaan Kelantan hendak laksanakan hudud itu pun tidak apa-apa, ia tidak menjejaskan reputasi Pakatan Rakyat. Sebaliknya apabila Latheefa mempersoalkannya ia akan dijadikan modal oleh musuh yang melihat hubungan Pas dengan PKR semakin retak.

Saya yakin sejam dua lagi akan ada pula kenyataan balas daripada pemimpin Pas yang tentu akan menghentam dan menolak perhitungan politik Latheefa itu. Bila ini berlaku keadaan yang tidak berombak akan mula beralun.

Jadi seeloknya kuranglah menzahirkan rasa ragu dan curiga sesama sendiri. Sepatutnya apa yang perlu dipupuk ialah semangat persefahaman yang tinggi. Jangan timbulkan prejudis kerana perasaan sebegitu akan menjarakkan jiwa sesama sendiri.

Kondom bersepah di kuarters lama

Razali (kiri) bersama Syed Othman (kanan) menunjukkan kondom terpakai yang dibuang bersepah di dalam bangunan terbiar berkenaan.
Razali (kiri) bersama Syed Othman (kanan) menunjukkan kondom terpakai yang dibuang bersepah di dalam bangunan terbiar berkenaan.
PASIR GUDANG - Perasaan ingin tahu seorang penduduk berikutan kelibat beberapa pasangan remaja yang kerap mengunjungi bangunan tinggal di Jalan Sena kawasan Sungai Buluh, di sini membawa kepada penemuan mengejutkan.

Razali Ngah, 48, berkata, bangunan bekas kuarters kerajaan yang ditinggalkan sejak lebih 15 tahun lalu itu menjadi ‘port maksiat’ apabila menemui banyak kondom dan tisu terpakai bertaburan di beberapa bilik bangunan lima tingkat berkenaan.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila kebanyakan perempuan yang membonceng motosikal pasangan lelaki masing-masing yang masuk ke bangunan berkenaan lengkap bertudung.

“Saya mula sedar kawasan itu menjadi tumpuan setiap hari Ahad pada waktu pagi dan petang apabila ramai pasangan yang masuk ke kawasan lima blok bangunan tinggal berkenaan.

“Perasaan ingin tahu itu membuatkan saya sendirian ke lokasi dan sangat mengejutkan apabila menemui banyak kondom dan tisu bersepah di dalam beberapa bilik bangunan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Razali berkata, dia tidak menyangka bangunan terbiar yang terkenal sebagai lokasi panas yang menyeramkan itu boleh dijadikan ‘port’ tidak bermoral golongan muda.

Menurutnya, ia dibimbangkan boleh mendatangkan perkara yang tidak diingini sekiranya terus dibiarkan tanpa pemantauan daripada pihak bertanggungjawab.

“Saya nampak pasangan keluar masuk pada waktu siang sahaja, mungkin mereka takut nak datang pada waktu malam memandangkan kawasan ini terkenal sebagai lokasi ‘keras’.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi perkara ini daripada dibiarkan berterusan kerana banyak juga botol minuman keras ditemui,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan menghubungi pihak bertanggungjawab dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian bersama sama ada mengambil tindakan memasang pagar semula seperti dahulu atau meletak pengawal keselamatan.

“Tindakan ini boleh mengawal pasangan remaja menceroboh ke kawasan itu agar tidak berterusan dijadikan ‘port maksiat’,” katanya.

Anugerah Dato, agenda tersembunyi dan berita palsu

Dalam membuat laporan berkenaan pengurniaan anugerah bersempenan Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah portal berita The Malaysian Insider mahu memberi gambaran kononnya pengurniaan bintang membawa gelaran “Dato” kepada dua EXCO PAS dan tidak kepada MB Selangor sebagai langkah “menghina” Azmin.

Apa lagi maksud yang boleh kita tafsirkan dari tajuk laporan:

“Selangor palace snubs Azmin, Datukship for 2 PAS reps Snub”

Saya tidak tahu agenda TMI yang jelasnya kedua EXCO PAS berkenaan iaitu Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus adalah EXCO yang telah lama berkhidmat. Iskandar terutamanya memegang jawatan EXCO sejak penggal pertama pemerintahan kerajaan PR iaitu pada tahun 2008 lagi.

Selain itu laporan berkenaan turut menyatakan:
It is also understood that Penang Chief Minister Lim Guan Eng received a Datukship but declined it on the principle that DAP would not accept any title while in service and holding governmental positions.

Benarkah laporan ini yang berbunyi: “…..(pemimpin) DAP tidak akan menerima sebarang anugerah gelaran semasa berkhidmat dan memegang jawatan kerajaan”?

Mungkin TMI perlu mengemaskinikan arkibnya kerana setahu saya tiga orang pemimpin DAP telah pernah menerima anugerah yang membawa gelaran Dato dari istana negeri masing-masing iaitu dua di Perak semasa PR memerintah Dato Ngeh Koo Ham dan Dato Nga Kor Ming manakala di Selangor Dato Teng Chang Khim.

Saya membangkitkan isu ini kerana laporan TMI itu telah mengundang berbagai reaksi dari pembacanya yang memuji dan memuja sikap DAP sedangkan sebenarnya laporan itu tidak benar dan pemimpin DAP ada yang telah menerima gelaran dari istana sebagaimana saya nyatakan di atas.
Contohnya satu komen dari laporan itu berbunyi:

“All PR representatives just should follow DAP principle - reject all humanly titles. “
(Semua wakil PR sepatutnya mengikut contoh prinsip DAP – tolak semua gelaran kurniaan manusia)

Prinsip apa kalau telah ada tiga yang terima?

Apa pun tahniah kepada kedua pemimpin PAS yang menerima anugerah berkenaan. Ianya tidak dipinta tetapi dikurnia oleh Tuanku atas pilihannya Tuanku sendiri. Jadikan anugerah ini sebagai pendorong untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negeri dengan lebih baik dan gigih lagi, terus istiqomah atas dasar dan prinsip perjuangan.
n32.blogspot.com/

TG Nik Aziz tanya, mengapa Mahathir serang Najib?

SUBKY LATIF 
SYUKUR, saya dapat menziarahi Tok Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am di pejabatnya enam bulan selepas tersebar berita palsu tentang kematiannya.

Beliau masih uzur, stabil sekalipun kurang selesa berkomunikasi.

Pemikiran politiknya masih cergas. TG hanya dua kali seminggu ke pejabat yakni pada hari Harakah diterbitkan untuk mengikuti berita Harakah dan menerima pengunjung.

Dalam keperihatinannya beliau bertanya saya, mengapa Dr. Mahathir menyerang sangat Najib? Dan mengapa Najib tidak menjawab?

Demikianlah Tok Guru mengikuti dan meneliti perkembangan politik semasa. Beliau tidak sekadar membaca berita yang tersiar bahkan cuba memahaminya.

Respon saya ialah demikianlah cara dan reaksi seorang pemimpin politik terhadap apa jua perkembangan yang tidak disenanginya. Bukan Dr. Mahathir saja begitu, bahkan Tunku Abdul Rahman Putra yang tidak celupar seperti Dr. Mahathir, tidak berdiam diri terhadap apa jua perkembangan yang tidak disenanginya.

Bekas Perdana Menteri atau mana-mana pemimpin politik menceburkan diri dalam politik dulu adalah untuk memberikan perkhidmatan yang dikiranya baik, dan sekali gus mereka akan menolak atau menentng apa-apa yang dirasakannya tidak baik dan merugikan.

Apabila mereka sudah tidak lagi berkuasa, jika ada sesuatu yang dirasakannya merugikan maka mereka tidak wajar berdiam diri, cegah apa yang patut dicegah. Berdiam diri terhadap apa yang dirasakan tidak betul, bererti membiarkan apa yang tidak betul berlaku.

Jika semasa berkuasa dia mencegah apa yang dirasakan merugikan, maka sesudah tidak berkuasa, jika dia benar seorang yang perihatin, maka dia wajar suarakan apa yang dirasanya tidak betul.

Mungkin Dr. Mahathir seorang tidak akan menyembunyikan apa yang dia tidak suka. Tetapi Tunku Abdul Rahman dulu bukanlah seorang yang suka lepas cakap. Selepas dia tidak lagi jadi Perdana Menteri, dia menulis setiap minggu dalam akhbar tentang politik dan pentadbiran Tun Razak yang dirasanya tidak betul.

Tunku tidak sekadar menegur kelemahan Perdana Menteri Tun Razak. Bahkan dia mengkritik politik dan pimpinan Tun Hussein Onn dan Dr. Mahathir.

Apa yang Dr. Mahathir kata terhadap setiap Perdana Menteri selepasnya, maka demikianlah sikap Tunku terhadap semua Perdana Menteri selepasnya.

Maka, kesimpulan yang saya dapat katakan, setiap bekas pemimpin yang peka terhadap politik dan apa-apa saja, maka mereka tidak terlepas daripada memberi teguran terhadap sebarang kelemahan.

Dalam hal ini saya tidak hendak menyalahkan sangat Dr. Mahathir. Sebarang keburukan yang Najib buat akan membebankan semua orang.

Adalah benar Najib yang membisu terhadap apa yang Dr. Mahathir kata tentangnya, tetapi itulah cara bapanya Tun Razak dulu.

Tun Razak tidak pernah jawab apa yang Tunku tulis tentangnya. Dr. Mahathir tidak serang Najib tiap-tiap minggu. Tunku serang Tun Razak tiap tiap minggu.

Najib adalah seperti ayahnya tidak dapat dan tidak berupaya untuk menjelaskan apa yang mereka buat.

Tok Guru mendengar padangan saya dan saya tidak tahu apa yang difikirnya tentang jawapan saya itu.