"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga ADUN Umno Bakal Lompat Parti, Politik Perak Bergolak Lagi

Tiga ADUN Umno Bakal Lompat Parti, Politik Perak Bergolak Lagi

Percaturan politik yang bergolak sejak lebih setahun lalu akan bertambah rancak apabila timbul desas desus kuat yang bertiup kebelakangan ini bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Perak dikatakan akan melompat menyertai KEADILAN.

Sekiranya ia benar berlaku senario tersebut akan mengembalikan kepada keadaan sebelum rampasan kuasa haram yang didalangi Umno-BN pada Febuari 2009 apabila dua ADUN KEADILAN dan seorang wakil rakyat DAP melompat menjadi anggota Bebas dan menyokong BN.

Mungkinkah Pakatan Rakyat akan kembali berkuasa atau BN terpaksa membubarkan DUN sebagaimana yang didesak sekian lama oleh Pakatan Rakyat?

Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Zulkifly Ibrahim ketika dihubungi Suara keadilan berkata, perkara itu akan diumumkan pada sidang media di Ipoh esok.

"Buat masa ini kita tidak akan sebut nama tetapi beberapa orang telah cuba menghubungi dan melahirkan rasa tak puas hati terhadap pimpinan negeri. Ia melibatkan pasal habuan, terutamanya ADUN Umno yang sudah senior yang tak diberi keutaman dan mereka melebihkan ADUN di pihak pembangkang yang melompat," kata Zulkifly.

Ketika ditanya jumlah mereka yang melompat, Zulkifly berkata setakat ini yang diketahui ialah seramai tiga orang dan kesemuanya daripada Umno.

Menurut Zulkifly lagi, ketidakpuasan hati di kalangan ADUN Umno itu juga mempunyai kaitan dengan tawaran jawatan dan habuan yang diterima tiga ADUN Pakatan Rakyat yang melompat kepada BN pada 2009 yang lalu.

Tindakan itu mengakibatkan krisis politik yang berlarutan menyaksikan kerajaan sah Pakatan Rakyat yang dipilih melalui pilihan raya umum tumbang.

"Berdasarkan pengalaman dari kes Nasaruddin Hashim (ADUN Bota), kes kali ini hampir serupa. Dalam kes Nasaruddin dia keluar Umno kerana tak puas hati kepimpinan Umno, jadi kita bawa jumpa Anwar. Tetapi kemudian dia telah menerima pelbagai ugutan sehingga memaksanya menyertai semula Umno," jelas beliau lagi.

Ditanya sekiranya desas desus terbaru ini cuma mainan politik Umno, dan sekiranya situasi yang sama berulang sepertimana kes Nasaruddin, beliau berkata ia berlaku di luar kawalan KEADILAN.

"Perkara itu di luar kawalan, hal macam itu kalau nak lompat balik, mereka mesti ada alasan yang kuat. Ini kerana budaya dalam Umno ada ugutan, mereka akan ugut dengan buka fail yang lama dan sebagainya seperti mana yang berlaku terhadap Nasarudin.

"Tapi apa yang saya ingin tegaskan sudah wujud tak puas hati di kalangan senior yang tak selesa dengan layanan pimpinan negeri, di samping tak puas hati dengan kepimpinan Najib berhubung isu judi, soal Yahudi, mereka (Umno) kata mempertahankan hak melayu tetapi, Umno yang banyak gadaikan hak Melayu. Mereka sudah mula bercakap, biasanya orang Umno tak berani nak sebut terang-terang," ujarnya.

Muktamar PAS Lulus Enam Usul

KOTA BAHARU, 12 Jun: Muktamar Tahunan PAS Ke-56 pada Sabtu meluluskan enam usul, dua daripadanya dibawa Jawatankuasa PAS Pusat dan masing-masing satu daripada Dewan Pemuda PAS, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan satu usul yang digabungkan dari beberapa kawasan PAS.

Kelulusan sebulat suara usul-usul itu diumumkan Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail.

Usul pertama mengenai pindaan perlembagaan dibentangkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustaffa Ali manakala usul kedaulatan negara oleh Naib Presiden Salahuddin Ayob.

Usul ketiga mengenai penghapusan lesen judi sukan dibawa wakil Dewan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari manakala usul keempat mengenai pemerkasaan parti oleh wakil Dewan Ulama Syed Abdul Kadir Al-Joofre.

Usul terakhir mengenai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dibawa perwakilan Jerantut, Dr Hamzah Jaafar.

Mengenai pindaan perlembagaan, Mustaffa mengusulkan supaya anggota parti tidak lagi perlu membayar RM5 untuk menyertai mana-mana Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama selepas ini.

Selain itu, anggota yang menyertai Lembaga Tatatertib parti tidak lagi dianggotai mereka yang memegang jawatan dalam parti.
-Bernama-

Bukan Islam: Tak perlu tanding kalau tak efektif

Walaupun telah mendapat 'lampu hijau' untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, penyokong bukan Islam PAS masih enggan membuat perkiraan awal mengenani jumlah kerusi yang mahu ditandingi.

"Kalau memang kerusi tetapi tidak dapat perintah (negara), itu tidak efektif.

"Kalau beri 100 kerusi (pada kita) tetapi hanya menang tiga sahaja, itu tidak bermakna," kata Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chow ketika ditanya jumlah kerusi yang mahu dipohon dewannya.

Hu menjelaskan, buat masa ini, anggota dewannya tidak memikirkan lagi berhubung pembahagian kerusi sebaliknya mahu memfokuskan kepada usaha menarik sokongan pelbagai pihak kepada parti Islam itu.

Beliau juga memberikan analisis menarik tentang penubuhan dewan baru parti itu yang menurutnya membantu "mendapatkan sokongan orang Melayu terhadap PAS", berbeza dengan kerunsingan beberapa perwakilannya sebelum ini.

"Dewan Himpunan PAS memberikan imej baru kepada PAS, menunjukkan ia parti yang inklusif kepada semua rakyat yang menepati ajaran Islam yang mementingkan keadilan dan keharmonian," kata ahli perniagaan itu.

"Kami juga akan dapat membantu salurkan maklumat ini kepada orang Melayu."

Menjelang pilihan raya umum akan datang, Hu juga memberitahu Malaysiakini pihaknya akan mula mengadakan ceramah di kawasan Melayu bagi membantu mengekal sokongan penyokong PAS.

Siapa kata orang Melayu lari dari PAS?

Hamba Allah
Aku cukup setuju dengan perwakilan Shah Alam, Khalid Samad. Siapa kata orang melayu beralih dari sokong PAS.

Memang sebenarnya orang melayu tak pernah sokong PAS. Pasainya selama ini yang sokong PAS adalah orang Islam yang nakkan kepada Islam. Realitinya, kata YB Khaild Samad, sokongan orang melayu kepada PAS meningkat hampir 300% dari orang melayu.

Memang sebenarnya pun sokongan orang melayu kepada PAS sebelum ni pun tak banyak mana. Yang pernah dapat banyak pun mungkin lebih sikit masa PRU tahun 99, tapi tu pun diragui sebagai sokongan padu kepada PAS.

Realitinya, PRU sebelum-sebellum ni, PAS biasa sangat kalau hilang wang pertaruhan terutama sekali di sebelah negeri Johor.

Ramai yang kata orang melayu lari dari PAs sebenarnya cuma persepsi yang timbul bila sokongan orang bukan Islam kepada PAS tiba-tiba meningkat dengan cukup mendadak sampai PAS berjaya menubuhkan Dean Himpunan Penyokong Pas yang dinaik taraf dari Kelab Penyokong PAS.

Persepsi tu nampak lagi jelas bila keadaan di Perak dan Penang dijadikan contoh. Di Perak PAS cuma berjaya menang 6 kerusi Dun dan 2 kerusi Parlimen. Yang lainnya calon PAS kalah kepada calon Umno BN. Di Penang pulak calon PAS kalah di semua kerusi kecuali kerusi Dun Permatang Pasir.

Walau apa pun. Pas memang amat-amat memerlukan peningkatan sokongan orang melayu untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen dan Dun. Sebabnya memang kebanyakkan kerusi yang calon Pas bertanding adalah kerusi majoriti melayu. Bukan takat majoriti tapi peratus pengundi melayu melebihi 70%.

Kalau kerusi tu 80% pengundi melayu, maknanya PAS kena dapat sokongan hampir 50% untuk mejamin kemenangan calon Pas.

Jadinya, aku sangat mengharapkan semua pihak dalam Pas meningkatkan lagi gerakerja untuk menarik sokongan orang Melayu. Tambah-tambah lagi aku mengharapkan Dewan Ulama' memulakan geerakerja berperancangan untuk pastikan sokongan orang Melayu Islam beralih dari menyokong Umno BN kepada menyokong PAS Pakatan Rakyat.

Bukan maksud aku Dewan Ulama' tak buat apa-apa tapi aku cuma nak bagitau aku tak nampak apa yang Dewan Ulama' buat selama ni. Dan aku rasa tak salah kalau kita letakkan tanggungjawab yang paling utama kepada Dewan Ulama' untuk tarik sokongan orang Islam sendiri kepada Pas.

Perjalanan muktamar hari kedua lancar

PENGKALAN CHEPA, 12 Jun: Pengarah Muktamar PAS kali ke-56, Datuk Taqiyuddin Hassan berkata, secara umumnya perjalanan muktamar masuk hari ke dua hari ini lancar seperti yang dirancang.

Beliau yang berpuas hati dengan perjalanan muktamar itu berkata, bagaimanapun pihak penganjur sentiasa bersedia memperbaiki sebarang kesilapan sekiranya berlaku.

"Secara umum perjalanan muktamar dua hari ini lancar, cuma kekurangan sikit-sikit seperti makanan tak cukup tu biasa la.

Mungkin kesilapan pengawalan makanan oleh petugas kita," katanya ketika ditemui hari ini.

Muktamar kali ini katanya menyaksikan kehadiran perwakilan dan pemerhati lebih ramai dari sebelumnya yang pernah diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Pada satu-satu masa, dianggarkan lebih 3 ribu perwakilan dan pemerhati memenuhi dewan mengikuti perbahasan.

"Sambutan memang menggalakkan seperti yang kita jangkakan.

"3 ribu perwakilan dan pemerhati dalam satu-satu masa," katanya.

Berhubung kekurangan tempat letak kereta di Putik, beliau berkata kawasan lain disekitar kawasan Putik boleh digunakan bagi mereka yang mahu datang menyaksikan muktamar PAS berlangsung.

Kawasan-kawasan tersebut juga disediakan dengan anggota unit amal bagi memudahkan pengunjung.

"Kita mampu sediakan tempat letak kereta kepada pimpinan dan perwakilan yang hadir di kawasan berhampiran, cuma sebab terlalu ramai, mungkin masih belum cukup.

"Walaubagaimanapun tempat letak kereta dalam jarak yang munasabah masih kita sediakan," katanya.

Ancaman: Zailah serah kepada peguamnya

Harakahdaily
KOTA BHARU, 12 Jun:
Anggota Parlimen Kawasan Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, akan menyerahkan kes laporan polis yang dibuat bekas anggota sukarelawannya Ahmad Syauqey Abd Ghani kepada peguamnya sama ada untuk mengambil tindakan atau sebaliknya ke atas Syauqey.

Menurutnya, pada masa yang sama juga beliau akan bekerjasama dengan pihak polis berhubung siasatan terhadap laporan ‘ancaman’ yang dikemukakan oleh Syauqey.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di sini sebentar tadi sebagai merujuk laporan media berhubung ancaman bunuh terhadap Syauqey.

Katanya, beliau mengetahui laporan polis yang telah dibuat oleh bekas anggota sukarelawannya itu dalam sebuah media dan tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung perkara itu yang dikatakan telah diserahkan kepada Dewan Muslimat PAS Pusat.

“Saya tidak menerima sebarang suratpun dari dia, saya tak tahupun perkara itu. Hanya tahu dalam media saja,”ujarnya.

Zailah seterusnya mendakwa, beliau hanya difitnah oleh Syauqey memandangkan tidak pernah mengeluarkan kenyataan ancaman sebagaimana yang dimaksudkan.

“Tengok keadaan saya ni, percaya ke saya nak buat perkara macam tu orang kata pijak semutpun tak mati,”ujarnya.

Beliau juga tidak menolak, mungkin ada orang ketiga yang merancang perkara ini.

Jika tidak, sambungnya, Syauqey tidak akan berani berbuat demikian seorang diri.

“Tengoklah kat muktamar ni pun dia datang. Saya rasa ada orang lain dibelakangnya yang menyokong tindakan itu,”ujarnya.

Ketika ditanya kemungkinan ada sesuatu yang menyebabkan perkara itu berlaku, Zailah berkata beliau hanya menegur Syauqey beberapa kali berhubung tindakannya yang begitu tidak wajar.

Sambungnya, selain memasukki biliknya tanpa kebenaran, mengambil kerani baru sebagai pembantu di pejabat tanpa pengetahuannya, ada lagi beberapa perkara lain yang telah dilakukannya.

Beliau juga turut menafikan telah mengeluarkan kenyataan berupa ancaman ugutan terhadap bekas anggota sukarelawannya itu, sebaliknya beliau telah difitnah.

PAS tidak tukar prinsip biar pun tewas

Wartawan Kita
KOTA BHARU, 12 Jun:
PAS sebuah parti yang paling konsisten di negara ini biar pun banyak kali kecundang dalam pilihan raya namun tidak pernah menukar dasar parti itu semata-mata bagi meraihkan kemenangan.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata, PAS akan hancur sekiranya dasar parti itu ditukarkan semata-mata bagi meraihkan kemenangan pilihan raya.

"Tetapi alhamdulillah PAS tetap kekal dengan dasarnya dan tidak berubah walaupun mengalami jatuh dan bangun dalam politik. Kalau berjuang selain daripada Islam kita akan hina.

"Kita berjaya membawa perubahan dengan prinsip Islam. Kita perkenalkan Islam di tengah-tengah masyarakat umum. Kita dedahkan kepada mereka mengapa perlu sokong PAS. kita memberi ilmu kepada rakyat, sebarkan hujah berdasarkan kepada ilmu," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden, pada muktamar hari ini.

Beliau juga berkata, ada orang Islam takut hendak sokong PAS kerana terpengaruh ajaran sesat yang disebarkan Umno.

Katanya, sebab itu kita perlu membuat taklimat, penerangan dan diskusi mengenai kehebatan Islam. Kita perlu terangkan bahawa Islam itu adil. Dan InsyaAllah akhirnya mereka boleh terima.

Kata beliau juga kejayaan PAS mendekati orang bukan Islam menyebabkan Umno menjadi kepanasan dan takut sehingga mereka cuba mempengaruhi orang ramai bagi mengelirukan mereka.

Beliau berkata, Umno mencanangkan kepada rakyat di seluruh negara tidak perlu lagi memberi sokongan kepada PAS kerana kononnya parti itu sudah mengubah dasar perjuangan disebabkan menerima orang bukan Islam sebagai ahli parti.

Katanya Umno mempengaruhi rakyat supaya tidak lagi menerima PAS kerana sudah terpesong berbanding asal perjuangan asal.

"Inilah sebenarnya menggambarkan Umno begitu takut dengan ilmu sehingga mampu memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat. Umno takut hujah ilmu yang ada mampu menentang kebatilan," katanya.

Beliau juga menganggap ucapan dasar presiden PAS semalam bertepatan dengan situasi semasa lanskap politik tanah air yang semakin mencabar sekarang dengan mengenegahkan Islam adil untuk semua.

PAS Pusat diminta desak mufti hadir demontrasi

Wartawan Kita
KOTA BHARU, 12 Jun:
PAS Pusat diminta menghantar surat kepada mufti-mufti di seluruh negara untuk mendesak mereka turun padang membantah judi bola sepak yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada perhimpunan 3 Julai ini.

Perwakilan Teberau, Shamsul Bakri berkata, semua pihak termasuk mufti perlu hadir pada demontrasi itu sebagai menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan meluluskan lesen judi terbabit.

"Kita juga perlu tetapkan diri hadir pada demontrasi yang diadakan badan-badan Islam biar pun bukan dikendalikan di bawah PAS.

"Kita kena bertindak secara berterusan bagi memansuhkan semua jenis judi di negara ini," katanya ketika menyokong usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang mendesak kerajaan memansuhkan judi sukan.

Usul itu mendesak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Pada 3 Julai depan himpunan 100,000 mansuhkan judi bola akan diadakan di Kuala Lumpur bagi menyerah memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Shamsul berkata, gerakan membantah judi akan dimobilisasi secara berterusan pada bila-bila masa sahaja bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat.

"Kita akan turun sekali lagi bagi menentang kelulusan lesen judi-judi lain. Tidak kiralah judi nombor ekor, judi di laut, judi di atas gunung," katanya sambil menyokong penuh usul tersebut.

Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Fadzli Saari turut meminta semua rakyat turun membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak pada 3 Julai ini.

Katanya, ketika demontrasi itu diadakan perlawanan bola sepak Piala Dunia baru masuk pusingan suku akhir.

Ahli PAS perlu bersama bantu DHPP

Harakahdaily
PENGKALAN CHEPA, 12 Jun:
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr. Mujahid Yusof melihat harapan besar disandarkan oleh perwakilan PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS DHPP, apabila seringkali membangkitkannya dalam perbahasan ucapan dasar Presiden.
Penekatan yang diberikan berkaitan DHPP yang perlu ditarbiyah agar betul-betul memahami dasar Islam dan perjuangan PAS itu sendiri.

Namun katanya, yang lebih penting adalah ahli PAS di segenap peringkat bersama-sama membantu ahli DHPP agar lebih menngenali PAS secara lebih dekat.

"Cabaran terlalu besar kerana DHPP terpaksa bergerak pada harapan terlalu tinggi dari semua pihak.

"DHPP itu sendiri adalah merupakan satu medan yang baru yang PAS kena lihat iaitu orang bukan Islam bukan sahaja mengundi kita, tapi perlu memahami kita secara lebih dekat," katanya selepas perasmian muktamar PAS ke-56 semalam.

Beliau juga melahirkan kebimbangan jika tugas itu hanya disandarkan kepada Lajnah Perpaduan semata-mata malah megharapkan kerjasama dari semua pihak.

"Saya bimbang adakah perkara ini dapat dicapai, adakah DHPP sendiri boleh sampai level yang diharapkan.

"Saya jangka ini bukan perkara mudah," ujarnya lagi.

Bagaimanapun katanya, penaiktarafan Kelab Penyokong PAS kepada DHPP merupakan satu peningkatan dan kejayaan besar PAS khususnya dalam hubungan Islam dengan bukan Islam.

Sehubungan itu, PAS katanya perlu menggunakan peluang ini bagi menlebarluaskan lagi bukan sahaja pengaruh mereka malah wadah dakwah Islam itu sendiri.

Mahfuz: Wajar wujud 5 jawatan naib presiden

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sewajarnya diwujudkan lima jawatan naib presiden parti bagi mengimbangi tanggungjawab yang semakin bertambah yang perlu dipikul oleh pucuk pimpinan.

Beliau berkata tiga daripada jawatan itu wajar dipertandingkan di dalam pemilihan Muktamar PAS manakala dua lagi dilantik oleh presiden.

"Jumlah ahli yang menyertai PAS meningkat setiap masa. Ini menyebabkan keperluan tanggungjawab kepimpinan juga bertambah dan perlu diwujudkan jawatan tambahan," katanya kepada pemberita pada Muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu hari ini.

Dewan Muslimat PAS semalam meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan naib presiden untuk muslimat sebagai pengiktirafan kepada perjuangan mereka dan turut mencadangkan satu jawatan pesuruhjaya keempat untuk di peringkat PAS negeri.

Mengenai cadangan pelantikan dua jawatan naib presiden oleh presiden, Mahfuz berkata ia perlu untuk membawa keseimbangan dengan memberikan contoh jika tiga naib presiden yang dipilih adalah wanita, dua lagi jawatan naib presiden boleh dipilih daripada lelaki.

Beliau berharap dewan parti akan mengusulkan cadangannya itu pada muktamar yang sedang berlangsung atau pada muktamar akan datang.

-Bernama-

DHPP laungkan takbir di Muktamar PAS

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 12 Jun:
Bukan sahaja sudah menjadi ahli tetapi kini para pemimpin Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) sudah mula melaungkan slogan PAS iaitu 'Allahu Akbar' yang di sambut oleh ahli biasa PAS di Muktamar PAS ke 56 hari ini.

Mereka juga mencatatkan sejarah hari ini apabila Setiausaha DHPP, K. Deepakaran bercakap dan membahaskan ucapan dasar Presiden PAS sebagai perwakilan bukannya tetamu sebagaimana sebelum ini.

Dalam ucapannya, Deepakaran meminta parti Islam itu memberi ruang kepada mereka untuk sama berjuang agar ianya dapat mengubah senario politik negara yang kini dikuasai Umno dan Barisan Nasional (BN).

Wakil dewan berkenaan, K. Deepakaran ketika menyampaikan ucapan menyokong ucapan dasar presiden berkata PAS kini semakin ke hadapan dalam mencuri hati golongan bukan Islam untuk terus menyokong parti itu.

Sambungnya, kejayaan PAS dalam mengungguli perkara itu menyebabkan parti Islam itu sering mendapat perhatian golongan terbabit setiap tahun.

“Untuk itu PAS perlu menghadapi cabaran politik pelbagai kaum yang besar, namun saya yakin kemampuan PAS akan berjaya untuk menyuburkan perjuangan parti kita,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat bersama pimpinan untuk bermuktamar buat pertama kali yang dianggapnya sebagai lembaran baru dalam sejarah PAS.

Katanya, PAS bukan sahaja sebuah parti Islam, tetapi turut memperjuangkan semua hak bangsa dan rakyat di negara ini.

Sambungnya lagi, sejarah Islam terdahulu telah membuktikan hubungan baik antara bukan Islam dan pemimpin Islam.

“Nilai keistimewaan itu perlu diwujudkan dan perlu dijaga sebaik mungkin agar ianya berterusan terjaga baik.

“Terima kasih pada semua yang terlibat dalam lajnah perpaduan hingga ianya berjaya membangkitkan semangat bukan Islam untuk bersama PAS," katanya.

Katanya, selepas pelancaran logo PAS For All ianya telah membangkitkan kesedaran politik masyarakat Islam hingga ianya mendapat sambutan meningkat. Ia terbukti di Kota Raja apabila calon PAS, Dr Mariah Mahmud mendapat sokongan padu masyarakat.

Kemenangan itu mengejutkan pemerhati politik negara yang telah membuat perubahan besar hingga berjaya memenangani hati mereka.

Sementara itu, perwakilan Negeri Sembilan, Darus Mansur meminta PAS memperkasakan DHPP khususnya dengan pendidikan khas bagi memberi kefahaman kepada mereka tentang dasar perjuangan PAS yang sebenar.

Membahas ucapan dasar presiden hari ini, beliau berkata, sebagai sayap baru dalam parti, dewan berkenaan perlu diberi penerangan yang berterusan agar mereka terus istiqamah dalam perjuangan.

Sambungnya, DHPP perlu diberi pendidikan tentang perjuangan untuk menegakkan Islam, keadilan dan kebajikan untuk semua kaum.

“Negeri Sembilan sendiri telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai masyarakat kaum untuk menarik mereka yang diadakan di pelbagai tempat termasuk rumah ibadat mereka,”ujarnya.

Selain itu menurutnya, tiga gabungan dewan, iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan PAS perlu diperkasakan untuk tujuan yang sama.

Untuk itu, katanya Dewan Himpunan di setiap negeri juga perlu diaktifkan agar mereka tidak terpinggir dengan tidak mengabaikan ahli serta penyokong Islam yang lain.

Hu : "Lihat Himpunan Penyokong Sebagai Harapan PAS, Bukan Ancaman"

Dewan Himpunan Penyokong PAS, yang dinaikkan taraf sebagai sayap terbaru parti itu bulan lalu, harus dilihat sebagai “satu harapan” bagi parti Islam itu, bukannya satu ancaman, kata Pengerusinya Hu Pang Chaw.

“Kami menyediakan hubungan dua hala antara PAS dan masyarakat bukan Islam,” kata Hu kepada The Malaysian Insider pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Pengkalan Chepa dekat sini.

Hu juga berkata, kebimbangan yang diperlihatkan semalam mengenai kehadiran bukan Islam dalam PAS sebenarnya tidak menggambarkan sentimen keseluruhan PAS.

“Saya faham perasaan mereka. Tetapi ia hanya minoriti. Jika majority parti merasakan demikian (tidak senang), Dewan Himpunan (sudah pasti) tidak muncul hari ini,” kata beliau.

Beliau juga berkata, PAS memahami keperluan “pemikiran politik” baru dan dengan itu, penyertaan bukan Islam menunjukkan satu menunjukkan penambahbaikan dibawa kepimpinan tertinggi parti Islam itu.

“Jika mereka hanya memberi tumpuan ke atas pengundi Melayu, mereka tidak akan ke mana,” kata beliau sambil menambah, sebenarnya tiada pertembungan antara arah aliran penyokong Islam dan bukan Islam.

“Matlamat sokongan Melayu dan bukan Melayu berbeza,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, Hu berkata, pihaknya lebih mengutamakan bilangan kerusi boleh dimenangi.

“Saya mengutamakan kerusi boleh dimenangi, bukannya berapa banyak kerusi akan diperuntukkan. Tiada guna jika diberikan 100 kerusi tetapi hanya menang satu.

“Bagaimanapun kami menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti, ia akan dibincangkan bersama PKR dan DAP... ini akan dilakukan oleh pucuk kepimpinan parti,” katanya.

Dewan Himpunan Penyokong PAS hadir di Muktamar Tahunan PAS kali ini dengan membawa 15 wakil sebagai pemerhati rasmi.

Dengan status itu mereka boleh menyertai perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56.
Ucapan perbahasan sulung dewan itu disampaikan oleh Setiausahanya K. Deepakaran.

Dalam ucapannya Deepakaran berkata, pihaknya menerima PAS kerana mengamalkan semangat toleransi dalam suasana hormat-menghormati yang baik dengan slogan “PAS Untuk Semua”.

“Hak-hak diberikan kepada bukan Islam,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya berharap PAS akan memberi ruang dan peluang untuk mengubah landskap politik negara ini.

Dewan Himpunan Penyokong PAS dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan pada 2004 tahun ini dengan pelancarannya bulan lalu.

“Dalam pilihan raya umum 2008, pengundi-pengundi bukan Islam memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan calon PAS, antaranya di kawasan Parlimen Kota Raja,” katanya.

“AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS akan menonjolkan PAS dalam satu lagi perjuangan menghadap cabaran (politik) pelbagai kaum di negara ini.

“Cabaran amat besar, tetapi dengan bimbingan PAS, kami akan terus menyuburkan perjuangan PAS dan membawa hasil yang lumayan,” kata beliau yang mengakhiri ucapan dengan takbir.
-malaysianinsider-

Berjaya tetap bertegas telah dapat kelulusan

Mega-konglomerat Berjaya Corporation terus berusaha untuk menutup mulut pengkritiknya, dengan sekali lagi menegaskan bahawa ia telah mendapat kelulusan kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan secara sah.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu mempertahankan pengumumannya kepada bursa pada 12 Mei lalu mengenai cadangannya untuk mengambil alih 70 peratus pegangan dalam Ascot Sports Sdn Bhd - syarikat yang mempunyai lesen pertaruhan tersebut - bernilai RM525 juta.

Menurutnya, terdapat banyak percanggahan perbahasan mengenai status sebenar kelulusan yang diberikan kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan di negara ini.

Dalam mematuhi arahan Bursa, syarikat itu mengulangi kembali bahagian-bahagian tertentu dalam pengumuman 12 Mei lalu yang menyatakan bahawa menteri kewangan telah memberi kelulusan untuk menerbitkan semula kepada Ascot lesen untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan mengikut terma dan syarat-syarat tertentu.

Menurutnya, dalam perenggan 8 yang menyenaraikan Kelulusan Diperlukan, perenggan kecil (d) menyatakan, "Menteri kewangan untuk menerbit semula lesan pertaruhan sukan dan perubahan pemegang saham dan pengarah di Ascot, jika perlu."

Dengan demikian, katanya terbukti daripada kenyataan di atas bahawa Ascot telah mendapat kelulusan daripada menteri kewangan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan dan bahawa lesen rasmi yang pertama kali diberikan pada 1987 adalah menunggu untuk diterbitkan semula.

Sebanyak 70 peratus saham Ascot Sukan diilik oleh pengerusi Berjaya Corp Tan Sri Vincent Tan.

Bekas tahanan ISA Vasantha ditangkap di majlis PM

Bekas tahanan ISA, T Vasanthakumar ditahan hari ini ketika cuba untuk menyerahkan memorandum mengenai nasib kaum India kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di satu majlis yang dihadiri perdana menteri hari ini.

Aktivis tersebut, bersama-sama 10 orang lagi, berusaha untuk mendekati perdana menteri, yang sedang beredar selepas melancarkan geran akademik untuk pelajar India.

Kumpulan itu ditahan oleh sekumpulan anggota polis yang membentuk tembok manusia di sepanjang laluan Najib ke keretanya.

Gagal menemui Najib, Vasanthakumar kemudian diseret dari situ apabila dia melaungkan "lebih biasiswa JPA untuk kaum India".

Dia dibawa ke van polis yang kemudian beredar dari itu, dipercayai menuju ke balai polis.

Nik Aziz dicadang jadi Mursyidul Am Pakatan

Harakahdaily
KOTA BHARU, 12 Jun:
Muktamar PAS kali ke-56 pagi ini hari mencadang diangkatkan kedudukan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pakatan Rakyat memandangkan kewibawaan yang ada pada dirinya.

Perwakilan Perlis berkata, Menteri Besar Kelantan itu wajar diberi kedudukan lebih tinggi bukan lagi sekadar Mursyidul Am PAS sahaja memandangkan penerimaan pelbagai parti terhadap kepemimpinannya.

Sebelum ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz disenaraikan dalam kumpulan 500 pemimpin dunia Islam oleh sebuah majalah antarabangsa.

Perwakilan itu juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS usah berkokok berderai derai tetapi ekor berlumuran tahi, dengan hanya menyalahkan orang lain semata-mata secara terbuka.

Sedangkan kata beliau orang PAS sudah alami pelbagai proses tarbiah dan tidak perlu dilabelkan mereka dengan macam-macam tomohan.

"Saya juga kecewa kerana pemimpin kita lambat mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan pendirian PAS terhadap isu semasa yang berlaku, lebih malang lagi ada pula percanggahan kenyataan di kalangan pimpinan.

"Oleh itu saya cadangkan ketangkasan ini perlu ada bagi menangani isu semasa yang berlaku. "Pemimpin perlu cepat menjawab isu, jangan biarkan ahli menjadi keliru," katanya.

Perwakilan Sabah, Muhd Nasir berharap ada seorang anggota parlimen PAS bertugas secara khusus untuk membongkar isu yang berlaku di Sabah terutamanya membabitkan permasalahan pengambilan tanah-tanah rakyat dan gejala sosial.

Kata beliau hampir 30 kawasan tanah di Sabah dirampas kerajaan negeri, sedangkan tanah itu diusahakan lebih 30 tahun dan membuahkan hasilnya.

"Tetapi malangnya tiba-tiba hak rakyat itu telah dinafikan begitu sahaja oleh kerajaan negeri. Contohnya di Landau peserta yang memohon 370 peserta tetapi telah dinafikan hak mereka mengusahakan tanah sekian lama.

"Peserta berkenaan datang ke Kuala Lumpur menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan. Kita mahu anggota-anggota parlimen PAS membela masalah itu dan dibawa ke parlimen untuk diketengahkan sebagai isu rakyat," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Ahmad Dollah dilantik sebagai wakil Sabah dalam jawatankuasa PAS Pusat.

Katanya diharap Ahmad dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam jawatankuasa berkenaan dengan membawa suara-suara daripada Sabah.

Kementerian sedia kaji pengakuan Puteri Saadong

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bersedia mengkaji kebenaran pengakuan seorang wanita bahawa beliau adalah pewaris keturunan Puteri Saadong dengan syarat perlu mengemukakan bukti-bukti berkaitan.

Menteri Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata syarat lain ialah dari segi penerimaan masyarakat kerana sekiranya masyarakat tidak dapat menerima pengakuan wanita itu yang beliau adalah pewaris Puteri Saadong, pengiktirafan tidak boleh diberikan.

"Kalau masyarakat telah menerima perkara ini, kita bersedia untuk membuat kajian kebenarannya dan perlulah mengemukakan bukti-bukti berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Pesta Dikir Barat di Pasir Mas malam tadi.

Baru-baru ini Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang muncul dengan pengakuan sebagai pewaris keturunan Puteri Saadong, yang terkenal dalam mitos sejarah Kesultanan Kelantan, telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh.

Dalam majlis yang diadakan di sebuah resort di Pasir Mas, Raja Tengku Putri Anis telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas'ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia.

Rais berkata sebelum ini juga ada individu yang mengaku dirinya adalah keturunan Sultan Melaka namun oleh kerana masyarakat Melaka meragui dan menolak dakwaan itu, kementeriannya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengkajinya.

Beliau bagaimanapun meminta masyarakat melihat pengakuan wanita itu dari sudut sejarah yang boleh menimbulkan minat masyarakat untuk mengkaji sejarah silam perkara itu.

Sementara itu, Rais berkata kementeriannya bersedia memperkenalkan seni dikir barat ke peringkat nusantara dan global.

"Buat masa ini kita mahu membawa dikir barat ini ke seluruh nusantara dan secara perlahan kita angkat seni budaya ini ke serata dunia," katanya.

Beliau berkata untuk merakyatkan seni budaya itu, dikir barat harus dipersembahkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan selain loghat Kelantan agar rakyat seluruh negara dapat merasai ia adalah budaya bersama untuk merapatkan hubungan sesama kaum.

-Bernama-

Permintaan pertama Dewan penyokong PAS

Tampil julung-julung kalinya sebagai perwakilan dalam muktamar parti, Dewan Himpunan Penyokong PAS hari ini mengutarakan permintaan sulung mereka, antaranya bantuan untuk sekolah vernakular dan pelantikan jentera pentadbiran di peringkat daerah.

Setiausaha dewan itu K Deepakaran berkata permintaan itu dibuat ekoran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta sekolah agama rakyat tidak mendapat perhatian sewajarnya sebelum ini.

"Saya minta PAS tegas supaya SJKC, SJKT termasuk sekolah agama rakyat yang tidak dilayan adil, dengan perutukan kementerian pelajaran.

"Seterusnya, semua usul di parlimen yang menyentuh tentang masyarakat bukan Islam, PAS akan bersuara untuk bukan Islam," katanya.

Deepakaran juga mengusulkan, dalam pelantikan penghulu, ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan ahli majilis haruslah dibuat dengan "sokongan" daripada kesemua dewan dalam parti itu.

"(Mudah-mudahan) penyokong akan berganding dalam dewan-dewan... untuk menjayakan program turun padang bagi mengukuhkan sokongan," tambahnya.

Selepas dinaiktarafkan daripada kelab kepada dewan hujung bulan lalu, penyokong bukan Islam PAS kini dibenarkan menghantar 15 perwakilan dan terlibat secara rasmi dalam muktamar tahunannya.

'Saya dengan taksub...'

Walaupun dibenarkan berucap sebelum ini, kumpulan tersebut hanya mengambil bahagian dengan status pemerhati.

Ketika membahaskan ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pengkalan Chepa pagi ini, Deepakaran berkata pihaknya berharap PAS terus menjamin hak bukan Islam seperti sunah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad.

"Nabi Muhammad minta dijamin hak orang Islam bila sebarkan Islam di Mekah dan Madinah. Dengan itu, saya harap pemimpin PAS berani mencari ruang bagi mengubah senario politik akan datang.

"Takbir!" katanya disambut laungan "Allahu Akbar", tepukan serta sedikit ketawa kecil daripada kira-kira 1,500 perwakilan dan pemerhati.

Ucapan Deepakaran kira-kira 10 minit hari ini mencuit hati pelbagai pihak, antaranya ekoran 'kefasihannya' mengulas hal ehwal agama Islam, menyebabkan beliau sering mendapat tepukan.

Malah sejak awalnya lagi, dewan di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK) - tempat muktamar PAS ke-56 berlangsung - mulai ceria apabila beliau tersilap menyebut perkataan Arab dalam ucapannya: "Saya dengan taksub syukur pada Tuhan yang Maha Esa."

Sementara itu, Deepakaran juga berkata penampilannya sebabagi perwakilan PAS di pentas muktamar, menggambarkan usaha parti bagi membuktikannya "bukan hak umat Islam semata-mata tetapi seluruh rakyat Malaysia".

"Islam bermaksud sejahtera dan aman sesama Islam atau dengan bukan Islam. Islam dilihat amalan beragama penuh dengan semngat toleransi di mana rumah ibadat, tokong, kuil, gereja terpelihara dengan baik," katanya.

Kos Muktamar Terus Meningkat Tarik Perhatian Perwakilan

KOTA BAHARU, 11 Jun: Peningkatan kos kewangan yang semakin tinggi pada setiap muktamar tahunan PAS menarik perhatian perwakilan yang khuatir ia akan menjejaskan kewangan parti.

Perwakilan Kedah, Adnan Saad berkata berbanding muktamar yang diadakan di Ipoh, Perak iaitu sebanyak RM38,000 tetapi meningkat ketara ketika muktamar di Selangor tahun lalu sebanyak RM119,789.

"Apakah anggota PAS sudah pandai membuat tuntutan yang tinggi?," katanya ketika bertanya perkara itu sebelum muktamar meluluskan penyata kewangan tahunan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, Jumaat.

Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli ketika menjawab soalan itu berkata kenaikan berkenaan bukanlah sesuatu agak ketara dan menyifatkan ia sebagai satu kenaikan yang "sangat sedikit".

Katanya apa yang berlaku ketika muktamar di Selangor adalah kerana pihak ibu pejabat parti pada mulanya hanya mengeluarkan peruntukan pendahuluan sahaja tetapi akhirnya ia dijadikan sebagai satu perbelanjaan parti.

"Tidak apalah, lagi pun perbelanjaan yang kita keluarkan itupun untuk parti juga iaitu menggerakkan muktamar," katanya.

Ketika menjawab satu lagi soalan Adnan yang ingin tahu kenapa kompleks parti yang diuar-uarkan dulu belum dibina, Mohd Hatta berkata satu lokasi telahpun dipilih dan jika semuanya selesai ia akan dibina tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya kos pembinaan masih belum mencukupi dan memerlukan sumbangan ramai bagi merealisasikan hasrat itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali berkata cadangan Adnan agar pihak ibu pejabat parti mengeluarkan kad bermutu tinggi kepada anggota sebagai kad keanggotaan PAS akan dikaji secara mendalam.

Adnan sebelum itu berkata adalah tidak praktikal lagi ibu pejabat memberikan sijil keanggotaan PAS kerana ia sudah ketinggalan zaman.

"Tesco pun keluar kad ahli dan takkan PAS tidak boleh keluarkan kad bermutu tinggi sebagai tanda kami ini anggota parti yang boleh ditunjuk apabila diminta," katanya.
-Bernama-

Penekanan 4 prinsip muafakat Pakatan penting - Setiausaha Agung PKR

Bashir Ishak
KOTA BHARU, 11 Jun: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar PAS ke 56 hari ini suatu ucapan yang komprehensif, lengkap dan menyeluruh mencakupi pelbagai perkara penting.

Antara lain menurutnya, Presiden PAS telah memberi penegasan semula terhadap empat prinsip muafakat rakyat yang telah diputuskan dalam konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam beberapa bulan lalu.

"Ini termasuk mempertahankan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau di samping menjamin hak-hak orang Melayu dan bangsa asal.

"Dalam acara penting seperti ini dalam kalendar tahunan PAS untuk Presiden PAS kembali memperingatkan beberapa prinsip yang membawa kesepakatan dan muafakat di kalangan parti Pakatan Rakyat yang saya anggap sebagai satu peringatan yang signifikan untuk mengimbau kembali asas-asas kita dapat duduk bersama," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin menganggap ucapan dasar ini penting bagi membentuk kekuatan dalaman PAS itu sendiri.

"Presiden PAS telah mengingatkan kembali asas-asas kekuatan PAS sebagai sebuah parti khususnya dalam mengingatkan kembali tugas utama dewan-dewan Ulama, Pemuda, Muslimat serta Dewan Himpunan Penyokong PAS.

"Di samping itu, Presiden PAS juga mengingatkan perwakilan tentang pentingnya untuk membina kekuatan dalaman parti. Presiden PAS juga turut membawa keluar untuk lihat senario politik dunia samada di timur atau barat.

"Dari perspektif Pakatan Rakyat saya lihat ucapannya lengkap dan menyeluruh yang memberi mesej untuk diamati oleh komponen parti," jelasnya.

Sementara itu, perwakilan dari Kapar Selangor, Dr Rani Osman
(gambar) meminta supaya ahli PAS lebih terbuka dengan ilmu-ilmu baru dan meminta semua pihak turun ke bawah untuk bertemu rakyat.

"Semua peringkat dalam PAS kena turun ke bawah dan bertemu dengan semua sektor masyarakat bagi menyampaikan mesej PAS kepada rakyat. Kalau ucapan ini tidak di bawah ke bawah ia akan kekal dalam buku ucapan sahaja," kata beliau.

Dr Rani juga meminta para pemimpin PAS memfokaskan kembali kepada pengundi Melayu yang turut disebut dalam ucapan dasar Presiden kali ini.

"Menang atau kalah PAS dalam pilihan raya banyak bergantung kepada pengundi Melayu kerana kita bertanding di kawasan majoriti Melayu...ini kita kena ingat.

"Jadi usaha perlu dibuat untuk membolehkan mesej kita sampai ke kawasan-kawasan luar yang selama ini menjadi kubu musuh kita," kata Dr Rani.

Setia Presiden jika mahu menang PRU-13, kata perwakilan

KOTA BARU, 11 Jun: Exco Dewan Pemuda PAS Kedah menggesa kepimpinan pertengahan dan bawahan parti agar menunjukkan kesetiaan kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika mahu komponen Pakatan Rakyat itu meneruskan kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13.

Sambil menekankan sudah wujudnya elemen-elemen mempertikaikan pendirian kepimpinan Hadi khususnya pandangan menerusi blog, Ahmad Izzat Shauki berkata, beliau memberikan peringatan ini sebelum keadaan menjadi serius nanti.

“Ada yang menyerang presiden menggunakan blog-blog... kita kena wala’,” katanya lagi.

Kata beliau, walaupun seseorang itu tidak bersetuju ataupun menerima pandangan atau keputusan presiden, mereka harus memperlihatkan “kesetiaan kepada pucuk kepimpinan.”

“Kita perlu wala’ atau menunjukkan kesetiaan kepada presiden walaupun kita tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan ataupun pandangan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider lewat petang ini.

Terdahulu Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri itu mewakili Badan Perhubungan Negeri Kedah mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Putik, Pengkalan Chepa dekat sini.

“Kesetiaan kepada pemimpin adalah syarat untuk mencapai kemenangan... kita patut patuh dan taat setia kepada pemimpin kita (presiden).

“Walaupun kita tidak suka dengan sesuatu pandangan atau ia bertentangan dengan kita, kita kena terima (setia)... itu rahsia setiap perjuangan gerakan Islam,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau merujuk kepada mana-mana pemimpin atau peringkat, Izzat berkata, beliau hanya memberikan pandangan itu sebagai “satu peringatan.”

“Ia belum sampai ke tahap serius, cuma ingatan sahaja... ia belum membara lagi,” kata Izzat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Bukit Lada.

-malaysianinsider-

PAS jangan lupa bini lama bila dapat bini baru

Sebahagian pemerhati rasmi Dewan Himpunan Penyokong PAS yang hadir pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Pengkalan Chepa dekat Kota Baru hari ini. — Gambar Choo Choy May
KOTA BARU, 11 Jun: PAS yang melancarkan Dewan Himpunan Penyokong bulan lalu, hari ini menerima peringatan awal perwakilannya yang meminta komponen Pakatan Rakyat itu agar jangan melupakan penyokong setia mereka dalam usaha menarik pengundi-pengundi bukan Islam.

Peringatan itu dilontarkan ketika PAS bertungkus lumus mencari sokongan bukan Islam mengabaikan pengundi-pengundi setia dan lama mereka iaitu masyarakat Islam.

Malah pandangan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pucuk kepimpinan PAS memaklumkan Majlis Syura sudah memberi lampu hijau kepada calon kalangan bukan Islam untuk menggunakan lambang parti itu jika dipilih bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Perwakilan yang membahaskan ucapan dasar Presiden petang ini melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan sokongan orang Melayu kepada PAS sejak kebelakangan ini.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau risau dengan keghairahan PAS mendapatkan sokongan bukan Islam dan pengundi baru menyebabkan sokongan tradisinya merosot.

“Jangan sampai kita hendak mendapatkan pengundi baru, kita melupakan pengundi yang lama, kita menyakitkan pengundi lama... kalaupun dapat bini muda, janganlah dilupakan bini tua,” kata perwakilan pertama itu sambil turut mencuit lebih 1,000 perwakilan Muktamar Tahunan PAS Ke-56 hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu menambah, PAS dalam usaha hendak memperkukuhkan kedudukannya seharusnya berusaha mendapatkan hati kedua-dua pihak — penyokong Islam dan bukan Islam.

“Biar kita tangkap kedua-dua (penyokong lama dan baru).

“Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir,” kata beliau lagi.

“Saya tidak mahu kita membuat kesilapan dalam usaha kita mengejar dan menawan bukan Melayu sehingga kita lupakan pengundi-pengundi Melayu, yang merupakan pengundi asal kita,” kata beliau lagi.

Mohd Amar menambah, meskipun PAS sudah mula menerokai laluan untuk mendapatkan sokongan bukan Islam, tetapi Umno menggunakan pelbagai cara untuk menyemai rasa benci dan mengelirukan orang-orang Melayu di kawasan luar bandar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahari Mamat. — Gambar Choo Choy May
“Hubungan PAS dengan bukan Islam digunakan oleh Umno untuk mengalih sokongan PAS di kawasan luar bandar dan kampung, mereka tidak tahu perkara ini, mereka tidak faham,” kata beliau.

Pandangan beliau itu turut disokong oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahari Mamat.

Saiful berkata, orang-orang Melayu merupakan “tulang belakang” PAS dan mereka perlu mendapat keutamaan parti.

“Keutamaan harus diberikan kepada orang Melayu. DAP keluar Barisan Alternatif (1990) untuk mendapatkan sokongan orang Cina, dan kini mereka bersama kita.

“Saya sokong pandangan Kelantan,” kata Saiful.

Dalam pada itu perwakilan Perak, Khalid Idham Lim pula melihat kewujudan dewan baru dalam PAS khas untuk bukan Islam menggambarkan golongan itu tidak lagi takut pada Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Titi Serong itu menjelaskan langkah terbaru itu melambangkan kehebatan PAS sebagai sebuah parti Islam yang sesuai untuk semua kaum.

Dalam ucapan dasarnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyentuh kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS berkata “kita bukan sahaja berjaya meruntuhkan tembok yang memisahkan kita selama ini dengan kaum bukan Islam, bahkan perjuangan kita juga mahu di sertai oleh kalangan mereka.”

“Ini merupakan satu pencapaiann yang lebih maju bagi penyelesaian masyarakat majmuk secara Islam, bagi memperkenalkan Islam yang boleh berlaku adil untuk semua,” kata beliau.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. — Gambar Choo Choy May

Beliau menambah, “kita berharap supaya sayap ini dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan, bagi menarik kalangan bukan Islam mengenali kita secara amali dan bersama membuat perubahan yang berjaya selepas kejayaan kini.”

-malaysianinsider-

Umno bukan pejuang bangsa dan agama

Muhd Yusri Amin
KOTA BHARU, 11 Jun:
Perwakilan Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menolak Umno sebagai parti yang memperjuangkan bangsa dan agama di negara ini kerana sanggup bersekongkol dengan APCO Worldwide.

Beliau berkata, dosa-dosa Umno perlu diterangkan kepada rakyat sehingga mereka merasa jijik untuk terus menyokong parti itu.

Katanya, apabila rakyat faham mengenai kedudukan sebenar, Umno akan menghadapi masalah pada pilihan raya umum ke-13 untuk mengekalkan kuasa.

Ketika membahas usul ucapan dasar Presiden di Putik petang ini beliau berharap PAS terus menggalas usaha untuk memasyarakatkan aktiviti bersama orang ramai.

"Tidak cukup untuk memberitahu rakyat perlu menolak Umno, tetapi hendaklah semua pihak dalam PAS terutama mereka yang menang dalam pilihan raya lalu hendaklah memasyarakatkan PAS, PAS Untuk semua," katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya konsep 'parti menerajui kerajaan' sebagaimana dipertegaskan ketika pemerintahan Pakatan di Perak sebelum ini.

Pakatan Rakyat di Perak, menurut Khalil bermula dari Gagasan Rakyat yang diketuai bekas pesuruhjaya, Ahmad Awang.

Beliau juga berkata, rampasan kuasa yang berlaku di Perak merupakan peristiwa yang sukar dilupakan rakyat di negara ini.

"Namun pengajaran dari rampasan kuasa itu membawa anjakan kepada rakyat memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan," katanya sambil menyifatkan kelainan sambutan terhadap muktamar kali ini.

Perwakilan Terengganu, Saiful Bahri Mohamad berkata, tema PAS Untuk Semua perlu diuar-uarkan dengan seluas mungkin.

Ini kerana beliau yakin bahawa perjuangan atas nama Islam tidak pernah diragukan, bahkan sejak 1959 hingga kini ahli dan pimpinan PAS beristiqamah dengan dasar perjuangan.

Ini berbeza dengan pemimpin Umno yang mengekalkan peraturan penjajah. Bahkan pada 1961, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman tidak mahu campur undang-undang Tuhan dengan undang-undang PAS bagi mengelakkan kononnya negara menjadi kacau bilau.

"Bagaimanapun, Umno pada PRU-12 lalu jelas menampilkan gelagat bagai 'harimau luka' bertindak macam kehilangan panduan. Mereka mencalarkan imej negeri yang dikuasai Pakatan bagi menaikkan imej Najib," katanya.

Justeru beliau mahu ahli dan pemimpin Pakatan menjauhi maksiat kerana ia menghalang kepada kejayaan gerakan Islam. Dan dalam masa sama negeri dikuasai Pakatan hendaklah mempamerkan imej yang baik.

Istana Johor nafi ada tekanan politik

Jumaah Majlis Diraja Johor mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk terhadap anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chua Jui Meng tetapi menafikan ia berpunca daripada tekanan politik.

Setiausahanya Datuk Abdul Rahim Ramli berkata kuasa Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran adalah "melampaui politik."

"Tidak wujud keadaan yang dikatakan sebagai tekanan politik untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran itu. Sultan Johor tidak mempunyai kaitan dengan politik. Ahli politik tidak mempunyai hak dalam perkara ini," katanya dalam sidang media di Istana Besar, di Johor Bahru hari ini.

Sultan Johor katanya, berkuasa penuh terhadap perkara itu di bawah Fasal 12 Undang-undang dan Peraturan bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia dan Fasal 7(f) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895.

Ditanya mengenai sebab disebalik langkah penarikan balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Chua itu, Abdul Rahim berkata, Sultan Johor tidak perlu memberikan sebab kerana itu adalah kuasa baginda.
"Baginda tidak perlu memberikan sebab kerana ia adalah kuasa Raja," katanya dan menambah Chua dianugerah Datuk Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) oleh Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar, kedua-dua darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk.

Abdul Rahim berkata tiga pertimbangan utama diberikan dalam penganugerahan darjah kebesaran iaitu kesetiaan, kerajinan dan perkhidmatan terpuji.


Katanya beliau telah memaklumkan tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran itu kepada Chua menerusi satu surat bertarikh 4 Jun dan disusuli panggilan telefon pada 8 Jun dan semalam.

Katanya, surat itu telah dihantar ke kediaman Chua di Damansara, Kuala Lumpur.

Chua, bekas menteri kesihatan dan bekas naib presiden MCA, sebelum ini berkata beliau belum menerima sebarang surat rasmi dari Istana Johor tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran itu.

Chua turut berkata, beliau akan hanya memulangkan darjah kebesaran itu jika menerima surat rasmi.

Menurut Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor itu, panggilan telefonnya kepada Chua itu boleh dianggap sebagai satu pemberitahuan rasmi tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran Sultan Johor itu.

"Chua dikhendaki memulangkan kembali darjah kebesaran Sultan Johor itu secepat mungkin," katanya.

Abdul Rahim turut berkata, sejak penganugerahan darjah kebesaran Sultan Johor itu bermula pada 1886 sehingga kini hanya 712 individu telah menerimanya dan ketika ini hanya 120 penerima yang masih hidup.

Sementara itu di dalam satu kenyataan, Abdul Rahim berkata tiga lain yang turut ditarik darjah kebesaran bersama-sama Chua ialah Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, Komander Shaftdean Lufty Rusland dan Hassan Yunos.

Sharifah Mazlina adalah wanita Asia pertama yang merentasi Antartika secara solo.

-Bernama-

Persiapan perlu rapi sebelum ke Putrajaya

Izwan Abdul Halim
KOTA BHARU, 11 Jun:
Hasrat PAS untuk menuju ke Putrajaya perlu disusuli dengan persiapan secara bersungguh-sungguh sehingga ia mampu menjadi kenyataan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, banyak orang mempunyaicita-cita besar tetapi ia sekadar angan-angan sahaja.

Beliau berkata, untuk menjadikan cita-cita itu kenyataan, perlu tindakan dilakukan bagi
memperkukuhkan PAS itu sendiri.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-56 di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, petang tadi katanya usaha memperkasakan ahli di seluruh peringkat parti perlu dilakukan.

Katanya juga berlaku peningkatan jumlah cawangan dan ahli PAS sekarang, namun beliau khuatir kemasukan itu sekadar ikutan sahaja tanpa ada alasan yang kukuh.

"Parti perlu susun program kefahaman khusus kepada ahli baru. Kita tidak mahu yang masuk
terikut kawan atau sahabat, atau seronok ramai masuk PAS dia masuk PAS. PAS perlu merancang perkara ini," ujar beliau.

Selain itu katanya, ahli lama pula perlu diberi perhatian dari segi meningkatkan kefahaman
semasa mereka kerana senario politik sekarang amat berbeza.


Beliau berkata, jangan pula dilupakan orang yang telah berjuang bersama kita kerana terlalu
asyik dengan rakan-rakan baru.

Kata beliau dahulu PAS bersendirian tetapi kini bersama rakan dalam Pakatan Rakyat.
Katanya, perubahan yang berlaku itu perlu difahami dan dasar-dasar parti wajib terus
dipertahankan.

Bagi melaksanakan usaha ke arah itu katanya, ia memerlukan usaha yang tersusun dan
terancang.

Mahkamah: Pernikahan Bung Moktar-Zizie sah

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari memutuskan bahawa pernikahan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dengan pasangannya pelakon Zizie Izette adalah sah.

Mahkamah juga mengarahkan supaya pernikahan mereka didaftarkan dengan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Kuala Lumpur, kata peguamnya Zuklifli Che Yong.

Pengesahan tersebut dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), oleh Hakim Kanan Syarie Mohd Abdul Radzi Abd Latif selepas mendengar penerangan pihak pemohon dan saksi-saksi.

Mahkamah dijadualkan membuat keputusan mengenai status pernikahan pasangan itu semalam, tetapi ianya ditangguh ke hari ini.

Pasangan itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengesahan dan pendaftaran pernikahan pada 4 Jun lalu.

Dalam permohonan itu, pasangan berkenaan juga memohon pernikahan tersebut diterima dan didaftarkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan selari dengan Seksyen 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Zizie dan Bung bernikah pada 16 Disember tahun lalu di sebuah bumah banglo di Hulu Klang, Selangor Disember tahun lalu dengan mas kawin RM80 tunai dan hantar RM31,000.

Manakala pada 19 Mei lalu, Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan ke atas ahli parlimen Kinabatangan itu kerana kesalahan poligami tanpa kebenaran mahkamah.

Bung Moktar juga didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut hari ini.

Isteri keduanya, Zizie Ezette Abd Samad pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan.

Pelakon terkenal itu bersalah atas tuduhan bersubahat bagi kesalahan poligami tersebut dan juga kesalahan pernikahan tanpa kebenaran mahkamah.

Sementara itu, Bernama melaporkan prosiding hari ini berjalan secara tertutup selama kira-kira 15 minit, selepas hakim memerintahkan wakil media keluar ekoran permohonan peguam pasangan itu, kes itu dibicarakan secara tertutup.

Sementara itu, Bung Moktar yang meninggalkan mahkamah pada pukul 3.30 petang bersama Zizie Izette, ketika ditemui pemberita hanya berkata "Alhamdulillah".

Manakala Zizie Izette yang sering melemparkan senyuman kepada para pemberita pula berkata: "Kami selalu menjangkakan yang terbaik".

-malaysiakini-

Karpal dibebas daripada tuduhan menghasut

Ahli parlimen veteran DAP, Karpal Singh hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan menghasut selepas pihak pendakwa gagal membuktikan prima facie.

Karpal menghadapi tuduhan menghasut berhubung kandungan sidang akhbarnya pada 6 Februari 2009, di mana beliau berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Sultan Perak atas peranannya dalam krisis perlembagaan negeri tersebut pada 2009.
Hakim Azman Abdullah berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie untuk memanggil tertuduh bagi membela diri.

Katanya pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kenyataan Karpal Singh telah menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap Sultan Perak.

Azman berkata apa yang pihak pendakwaan perlu buktikan dalam kes itu ialah kenyataan tersebut mempunyai "kecenderungan menghasut" dalam mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan seperti dalam peruntukan Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata pendakwaan hanya membuktikan kejadian selepas solat Jumaat di Masjid Ubuddiah adalah satu tunjuk perasaan sedangkan orang ramai hanya mengetahui tentang kenyataan Karpal melalui berita yang disiarkan pada jam 6 petang dan 9 malam pada hari tersebut.

Lagipun, katanya, saksi-saksi pendakwaan terutamanya Pengarah Jabatan Penguatkuasa Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Mazlan Othman hanya memberikan keterangan secara lisan dan tidak ada satu dokumen pun dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk menyokong kenyataan Karpal Singh menyebabkan timbulnya komen-komen di laman blog tentang tindakan Sultan.

Azman juga berkata tidak ada satu dokumen dikemukakan untuk menyokong keterangan Mazlan bagi mengaitkan kenyataan Karpal Singh dengan apa yang terkandung dalam laman web Kerajaan Negeri Perak.

Hakim juga berpendapat keterangan pegawai penyiasat, ASP Suhaimi Mohamad, sendiri bahawa sebanyak 103 laporan polis dibuat ekoran kenyataan Karpal adalah lebih kepada untuk menunjukkan kemarahan dan kebencian pengadu terhadap tertuduh dan bukan terhadap Sultan Perak.

Pada 17 Mac tahun lepas, Karpal Singh, yang juga Pengerusi DAP, minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan pada sidang akhbar mengenai Sultan Perak di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama, di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari 6 Februari.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Azman dalam penghakimannya juga berkata hujah pihak pendakwaan bahawa Karpal Singh tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian yang meliputi isu undang-undang yang sukar difahami oleh pemberita-pemberita yang membuat liputan tidak boleh diterima sebagai asas untuk mempersalahkan tertuduh.

"Hujahan pendakwaan ini seolah-oleh memberi gambaran bahawa jika difahami sebenarnya maksud kenyataan akhbar tertuduh, ianya tidak akan terjumlah kepada suatu yang menghasut atau buruk yang hendak disampaikan," kata hakim.

Azman juga menjelaskan bahawa tertuduh telah memberikan pendapatnya dengan merujuk kepada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak dan nas undang-undang yang mana kesemua itu telah dibekalkan kepada pemberita yang hadir.

Malah, kata hakim, video kenyataan akhbar dan transkrip yang dikemukakan tidak terdapat kenyataan menghasut oleh Karpal tetapi hakim itu berkata Karpal hanya menyebut: "Saya ingin menjelaskan, bahawa ini bukan soal peribadi. Ini adalah soal perlembagaan dan saya rasa ia harus dihormati oleh semua pihak termasuk Raja."

Sebaik sahaja Azman membacakan penghakimannya, ahli keluarga Karpal serta pemimpin DAP menepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada Karpal yang hanya senyum di kerusi rodanya.

Karpal Singh memberitahu pemberita beliau gembira dengan keputusan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noreen Badaruddin berkata beliau akan merujuk keputusan mahkamah hari ini kepada Pejabat Peguam Negara, sama ada untuk merayu atau tidak.

-Bernama-

50 tahun imej Islam tercalar di bawah Umno

Muhd Yusri Amin
PENGKALAN CHEPA, 11 Jun:
Biar pun lebih 50 tahun negara merdeka, namun imej Islam yang murni semakin tercalar akibat kegagalan dan ketidakadilan dilakukan Umno.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu berlaku meski pun
Umno yang didakwa menjadi teras Barisan Nasional (BN) mendabik dada kononnya mereka parti penyelamat Melayu Islam dalam masyarakat majmuk.

“Namun hakikatnya mereka gagal, bahkan mengundang malapetaka kepada orang Melayu Islam, membawa wajah yang salah kepada masyarakat majmuk menjadi realiti masyarakat Malaysia.

“Hasilnya imej Islam yang begitu murni tercalar akibat kegagalan dan ketidakadilan yang dibawa Umno,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini.

Ucapan dasar bertema: “Islam Adil Untuk Semua”.

Beliau berkata PAS meneruskan ukhuwwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh,
digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab ‘amal Islami’ yang syumul di negara ini.

“PAS terus menerus beristiqamah melaksanakan Tahaluf Siyasi sejak 1982 di atas nama Islam
berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Pendekatan fikah politik Islam PAS menerusi amalan Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat
dengan model Islam yang sebenar terus dilaksanakan," katanya.

Kata beliau kerjasama itu terbukti pada banyak siri pilihan raya di negara ini termasuk
terbaru di Sibu, Sarawak baru-baru ini.

Beliau juga berkata sudah sampai masanya muslimat wajib bersama muslimin berganding
melaksanakan tugas tanpa menjejaskan kewajipan dalam rumahtangga.

Menurutnya ini penting kerana suasana kebanjiran pemikiran menyerang umat dan merosakkan
masyarakat hasil daripada kuasa politik yang salah.

Selain itu beliau menggesa muslimat supaya meneruskan gerak kerja mendekati dan
menghimpunkan remaja wanita dalam program keagamaan, sukan dan kesenian.

Muslimat juga mesti mengambil inisiatif dan berperanan mendepani isu penindasan wanita,
remaja dan kanak-kanak secara lebih proaktif dan berkesan dengan menubuhkan institusi
kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Nik Aziz rasmi konsert cinta malam ini

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 11 Jun:
Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bakal merasmikan konsert Naskah Cinta yang akan diadakan khusus sempena Muktamar PAS Pusat Kali Ke-56 malam ini.

Konsert Naskah Cinta yang diketuai oleh Mua’dz Dr Dulkefly Ahmad, akan mempersembahkan lagu-lagu nasyid bersama beberapa orang lagi penyanyi jemputan.

Ianya bakal mencipta sejarah baru PAS dalam menongkah arus globalisasi apabila turut menyelitkan hiburan berunsur dakwah dalam muktamarnya melalui program khas.

Pengerusi Tetap, Ustaz Abu Kassim Lebai Abdullah, ketika membuat pengumuman itu turut menjemput para pimpinan, perwakilan dan pemerhati untuk hadir pada majlis itu.

"Semua para pimpinan, pemerhati dan perwakilan saya seru hadirlah beramai-ramai, apa lagi majlis ini akan dirasmikan oleh Mursyidul Am sendiri,"ujarnya.

Sebagai bukti PAS mengiktiraf hiburan berunsur Islam, Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat telah diwujudkan dengan dipengerusikan oleh Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly dalam risalah konserta ini berkata, bersesuaian dengan perkembangan politik PAS yang menghayati Islam yang syumul, PAS telah menampilkan tanggungjawab yang baru itu untuk dijadikan sebagai medan baru.

Katanya lagi, PAS juga akan merumus serta mempromosikan satu tasawur tentang seni dan budaya dari perspektif Islam.

"Kita berharap lajnah ini menjadi wadah kepada penggiat seni dan peminat memahami pengertian sebenar seni menurut Islam di samping mendampingi PAS,"ujarnya.

Kerusi naib presiden: Wanita PAS kena saing, bukan automatik

Ahli-ahli Dewan Muslimat PAS menghadiri muktamar tahunan sayap tersebut di Kota Baru 10 Jun, 2010. — Gambar oleh Choo Choy May

KOTA BARU, 11 Jun: Usaha Dewan Muslimat PAS untuk memperoleh peruntukan kerusi naib presiden secara automatik “gagal”, sebaliknya sebagai jalan kompromi menerima ruang lebih besar untuk bertanding jawatan nombor tiga parti itu.

Dengan pindaan terhadap usul dibawa oleh Dewan Muslimat semalam, anggota sayap wanita PAS itu boleh menamakan 30 peratus ahlinya sebagai calon bagi jawatan-jawatan naib presiden dan ke bawah.

“Usul itu telah dipinda selepas dibahaskan semalam. Di mana 30 peratus pencalonan bagi jawatan semua peringkat kecuali presiden dan timbalan presiden, diperuntukkan kepada wanita.

“Bermakna satu pertiga pencalonan dikhususkan kepada wanita untuk bertanding, mereka yang layak boleh dicalonkan dan bertanding bersama... ini satu perkembangan bersejarah,” kata Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Mumtaz Md. Nawi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Dewan Muslimat memberitahu, beliau difahamkan perkara itu telah diterima oleh parti tanpa dibahas.

Ia dijangka diterima secara rasmi Ahad ini. Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-56 bermula hari ini.

“Pindaan ini juga selari dengan permintaan sayap wanita Pakatan Rakyat yang mahukan 30 peratus perwakilan wanita di setiap peringkat,” katanya lagi.

Kini ketiga-tiga kerusi naib presiden diwakili oleh kaum lelaki.

Dewan Muslimat PAS meneruskan usaha serius mereka pada muktamar kali ini untuk mendapatkan satu kerusi naib presiden untuk kaum wanita.

Sayap PAS itu pernah membawa usul meminta agar diperuntukkan satu kerusi naib presiden untuk wanita tahun lalu, tetapi tidak menemui hasil yang disasarkan.

Ketua Dewan Muslimat Nuridah Mohd Salleh ada memberitahu The Malaysian Insider baru-baru ini bahawa “usul berkaitan dengan kerusi naib presiden untuk wanita pernah ditimbulkan dulu (tahun lalu) tetapi telah ditolak (oleh jawatankuasa usul).”

Di peringkat pusat, The Malaysian Insider difahamkan usul itu dibawa oleh PAS kawasan Kubang Kerian, Kelantan.

Pada tahun 2005, Kelantan pernah menamakan Dr Siti Mariah Mahmod, kini Ahli Parlimen Kota Raja, agar bertanding jawatan naib presiden tetapi tidak berjaya.

PAS pernah mempunyai seorang naib presiden wanita lebih empat dekad lalu, kata Nuridah. Ketika itu jawatan tersebut dikenali sebagai Naib Yang Dipertua.

Khadijah Sidek, bekas pesuruhjaya PAS Johor dan pernah bertanding kerusi Parlimen Dungun dipilih ke kerusi itu akhir 1960-an.

Menurut Nuridah, beliau merasakan wanita seharusnya sama-sama boleh bertanding memenangi jawatan ini bersama kaum Muslimin.

Bagaimanapun kata Nuridah, pihaknya menyerahkan mekanisme diperuntukan satu kerusi naib presiden kalangan wanita kepada barisan kepimpinan pusat untuk menentukan.

-malaysianinsider-

Muktamar Kelantan bakal saksikan kelainan

Mohd Rashidi Hasan
Kita amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas kehendak-Nya, Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-56, dapat berlangsung mulai 9 hingga 13 Jun 2010.

Muktamar kali ini diadakan di Kota Bharu, menjelang sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemilihan Kelantan sebagai lokasi Muktamar kali ini begitu signifikan dan amat bermakna buat PAS, kerana ia merupakan tapak kekuatan PAS yang unggul sejak 20 tahun yang lalu.

Muktamar kali ini diserikan dengan kehadiran sayap baru PAS, iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai puluhan ribu ahli dari seluruh negara.

Melepasi usia setengah abad, menerajui beberapa buah kerajaan negeri, dijatuhkan, menjadi pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama, menjadikan PAS sebuah parti yang matang dan berdisplin.

Kini, PAS bukan sahaja dikenali sebagai sebuah parti Islam yang didominasi orang-orang Melayu, namun ia mendapat kepercayaan kalangan bukan Melayu dan bukan Islam untuk menjadi sandaran.

Keterbukaan kepimpinan PAS dan keadilan dalam pemerintahan PAS di beberapa buah negeri, menjadi asas kepercayaan ini.

Sebagai sebuah parti yang bertunjangkan Islam, memperjuangkan kepentingan Islam dan umatnya, namun PAS berjaya berlaku adil kepada semua golongan, agama dan kaum di negeri-negeri yang diterajuinya.

Keadilan inilah yang menjadi asas kepada kepercayaan. Keadilan inilah yang menjadi simbol perjuangan Islam, iaitu, jika kita mendasari pemerintahan negara dan negeri dengan asas Islam, Insya-Allah semua golongan akan menikmati keadikan yang sebaiknya.

PAS di bawah kepimpinan ulama, berusaha mengasaskan pemerintahannya dengan adil, saksama dan makmur, sebagaimana firman Allah (mafhumnya):

"....Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!" (Surah Saba, ayat 15).

Muktamar kali ini diadakan diketika kemuncak kepercayaan rakyat terhadap PAS dalam beberapa buah negeri yang dikuasainya, beserta dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat, direalisasikan di peringkat yang lebih tinggi.

Rakyat mahu melihat PAS dan Pakatan Rakyat terus mengungguli aspirasi rakyat, menjamin keadilan dan ketelusan, dengan terutama sekali menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Untuk itu, PAS seharusnya membuat persediaan daripada sekarang, PAS mest mempunyai kepimpinan dinamik, ahli yang mantap dan istiqamah.

PAS harus memperkukuhkan sistem tarbiyah dan memantapkan fikrah, agar segala jurang kelemahan dalaman dapat diperbaiki.

PAS juga tidak harus menoleh kebelakang. PAS harus melangkah ke hadapan. PAS harus memperkukuhkan Pakatan Rakyat, untuk bersama-sama menerajui negara.

Maka bersempena dengan Muktamar kali ini, amat diharapkan ia menjadi medan perbahasan yang menambahkan kematangan dan komitmen perjuangan.

Kepada Allah jua kita panjatkan doa agar segala usaha dan kerja-kerja Islam kita direstui dan dirahmati-Nya.

Selamat bermuktamar