"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M terkejut apabila mula-mula memasuki Putrjaya pada 10 Mei

Terima kejutan jejak kaki ke Putrajaya - Tun M
SEJUMLAH beg plastik berisi dokumen yang dimusnahkan menggunakan mesin dan cebisan kertas ditemui bertaburan di beberapa pejabat kerajaan di Putrajaya sejurus kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, bulan lalu.

Pendedahan itu dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam temu rumah dengan akhbar New York Times (NYT) yang disiarkan, semalam.

Laporan itu menyebut Dr Mahathir dan pegawainya dikejutkan dengan penemuan berkenaan ketika mereka memasuki pejabat kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 lalu.

“Kami juga menemui makanan yang seperti baru disentuh dan terpaksa ditinggalkan dalam keadaan terburu-buru.

“Di pejabat Kementerian Kewangan yang terletak berhampiran, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menemui komputer yang hanya boleh diakses oleh individu tertentu saja.

“Dalam beberapa kes akses kepada beberapa fail penting di kementerian itu hanya didapati untuk seorang sahaja (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan).”

Dr Mahathir turut memberitahu NYT, kerajaan baharunya mendapati negara berada dalam keadaan kewangan yang amat buruk berbanding apa yang dikhuatiri beliau dan sekutu sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan berjaya mengumpulkan akaun dan angka daripada pelbagai jabatan dalam tempoh dua minggu serta mendapati kedudukan hutang negara sudah mencecah lebih RM1 trilion.

“Itu adalah 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Kerajaan sebelum ini akan mencari jalan untuk mengambil wang daripada mana-mana organisasi.

“Ini termasuk ‘kecurian daripada pelbagai dana negara selain 1Malaysia Development Bhd (1MDB), projek dibiayai kerajaan seperti program pembangunan luar bandar dan lombong arang batu di Mongolia.”

“Semuanya ‘diperkosa’ oleh kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri juga dipetik sebagai berkata, usaha membersihkan politik dipalit rasuah adalah sesuatu yang menyukarkan, malah terpaksa meminta ramai orang untuk meletak jawatan.

Dr Mahathir juga berkata, kerajaan sudah mengumpul bukti yang mencukupi untuk mendakwa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
-hmetro

‘Muslihat Tun M ke Jepun’

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun baru-baru ini, bakal mencetuskan impak positif dalam dimensi geo-politik dan ekonomi negara dan serantau.

Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi berkata, impak kunjungan itu juga bakal menjadikan Malaysia sekali lagi sebagai jambatan Jepun-Asean melalui projek kenderaan nasional yang baharu.

“Pelaburan industri berteknologi tinggi bakal naikkan potensi ekonomi kita yang sekian lama dibelenggu pelaburan dan pinjaman China yang kurang berimpak,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Mahathir baru-baru ini berkunjung ke Jepun bagi mengadakan lawatan kerja di samping menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) Ke-24.

Di fahamkan kunjungan Dr Mahathir ke sana adalah atas jemputan Nikkei Incorporated selaku penganjur persidangan itu.

Selain menyampaikan ucap tama bertajuk ‘Keeping Asia Open – How to Achieve Prosperity and Stability’ yang juga tema Persidangan Nikkei tahun ini, Dr Mahathir dalam kunjungan itu turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Dr Mahathir juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa entiti perniagaan seperti Dewan Perdagangan dan Industri Jepun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia.

Mengulas lanjut, perihal perkara ini, Muein berkata mesej kunjungan Dr Mahathir ini jelas bahawa Asia tidak boleh berpecah-belah, dan untuk tangani sikap China yang terlalu berkuasa, negara-negara Asia yang kecil boleh bekerjasama dengan ‘Middle Power’ seperti Jepun dan Korea Selatan untuk berunding secara Multilateral, bukan lagi secara bilateral.

“Jepun komited untuk bantu lonjakkan ekonomi kita dengan usahasama menang-menang. Dasar Pandang ke Timur 2.0 bakal menyaksikan pemindahan teknologi dan kepakaran dari Jepun ke Malaysia, usahasama dalam bidang pendidikan berkualiti tinggi juga bakal melonjak,” katanya.
- sinarharian

Ada satu lagi skandal kewangan terbesar negara - Guan Eng

Kementerian Kewangan mempunyai satu lagi skandal utama yang akan didedahkan kepada umum sebelum negara dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembersihan untuk memulihkan keadaan fiskal kewangannya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, bercakap kepada Channel NewsAsia berkata beliau berharap dapat mendedahkan skandal terbaru "berkaitan dengan kementerian kewangan" dalam masa seratus hari lagi.

"Kami berharap dapat membongkar semua ini dalam tempoh masa seratus hari, jadi selepas itu kita boleh teruskan (pada hal yang lain).

"Dan saya fikir di sinilah pembersihan bermula ... sebaik sahaja pengambil-alihan saham selesai, pembersihan dilakukan, proses membersihkan toksik selesai, Malaysia boleh kembali ke landasannya semula," katanya dipetik berkata.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan jika skandal terkini itu berkaitan dengan syarikat 1MDB yang diasaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikalahkan pada PRU14 lalu.

Suntikan dana RM7 bilion ke 1MDB

Sejak menjawat Menteri Kewangan, Lim telah membuat beberapa pendedahan 'berkenaan dengan syarikat pelaburan negara itu", termasuk suntikan dana RM7 bilion daripada kerajaan BN bagi menyelamatkan 1MDB.

Beliau juga mendedahkan beberapa bayaran lain yang dipersoalkan yang dibuat kepada syarikat dan anak syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mengenai hal ini, Lim berkata kerajaan Pakatan Harapan akan menyerahkan ke panel siasatan dan mahkamah untuk memutuskan jika Najib bertanggungjawab.

Beliau berkata ini kerana Najib ialah perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu yang mengawasi masalah yang menimpa syarikat pelaburan negara itu dan tanggungan hutangnya yang mencecah berbilion ringgit.

Lim berkata terdapat "pertalian jelas" berdasarkan penemuannya setakat ini, sejak beliau mengangkat sumpah jawatan pada 21 Mei.

"Saya secara peribadi akan berfikir bahawa beliau (Najib) bertanggungjawab sepenuhnya, hanya menteri kewangan yang dapat memberi kuasa dalam transaksi ini.

"Sudah tentu, perkara ini akan diputuskan panel siasatan dan jika mereka fikir pendakwaan perlu dibuat, mahkamah akan membuat keputusan," jelas Lim dipetik sebagai berkata.

"Begitu pun saya merasa (perkara ini pernah) terhenti di meja bekas menteri kewangan, namun kami akan membiarkan penyiasatan dan proses yang sewajarnya berjalan," katanya.

Sejak Najib kehilangan kuasa pada 9 Mei lalu, beliau telah disiasat pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Tiada dendam peribadi

Sepanjang memegang jawatan perdana menteri keenam negara, Najib telah dibebaskan daripada sebarang salah laku oleh bekas peguam negara Tan Sri Apandi Ali.

Najib juga mendakwa tiada salah laku dalam syarikat berkenaan.

Sementara itu, Lim menegaskan siasatan terhadap Najib bukan atas dendam peribadi.

Jika benar demikian, Lim berkata sudah tentu Najib telah ditangkap sekarang.

Namun, sebulan telah berlalu dan Najib masih bebas walaupun terdapat pelbagai undang-undang yang membolehkan Najib ditahan kerana terlibat dalam skandal yang terkenal di seluruh dunia itu.

"Kerana kami mahu mengikut proses yang sewajarnya, kami mahu mematuhi undang-undang. Dan jika ada bukti yang perlu dikenakan, beliau akan di bawa ke mahkamah," katanya.
-malaysiakini

Kementerian bayar 4 kali lebih mahal untuk ubat-ubatan?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan digesa menjelaskan beberapa persoalan tentang ketidakcekapan pemerolehan ubat-ubatan yang ditonjolkan dalam satu kajian Universiti Harvard.

Sumber menjelaskan kajian 2016 menunjukkan antara 2010 dan 2014, kerajaan membelanjakan “3 ke 4 kali ganda” harga rujukan antarabangsa (IRP) untuk ubat-ubatan.

Perkembangan ini menyusuli dakwaan beberapa syarikat yang dikaitkan dengan beberapa ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mempunyai kawalan ke atas bekalan ubat-ubatan bernilai berbilion ringgit.

IRP secara meluas dianggap sebagai tanda ras harga utuk agensi pemerolehan ubat-ubatan serata dunia. Ia dikira sebagai harga median untuk ubat-ubatan oleh pelbgai agensi pemerolehan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana tinggi.

Dalam hal pemerolehan sektor awam, harga ubat-ubatan akan dibandingkan dengan IRP menggunakan kaedah Sains Pengurusan Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menanda aras harga-harga pemerolehan bagi sejumlah ubat-ubatan tertentu.

Kajian Universiti Harvard itu, “Malaysia Health Systems Research Volume I”, yang tersedia di laman sesawang Kementerian Kesihatan, mendapati harga pemerolehan adalah 3 hingga 4 kali ganda lebih mahal daripada IRP antara 2010 dan 2014.

Kajian mengatakan walaupun keseluruhan harga pemerolehan menurun dari 2010 hingga 2014, hanya 22% (2012) hingga 30% (2013) ubat-ubatan dibeli bawah harga IRP.

Dalam tempoh yang sama, antara 45% (2012) dan 50% (2013) ubat-ubatan yang dibeli adalah 2 kali ganda lebih mahal dari harga IRP. Pada 2014, hampir 80% ubat-ubatan dibeli pada harga IRP atau kurang dari 2 kali ganda harga IRP.

“Ubat-ubatan ini bagaimanapun mewakili hanya 55% dari perbelanjaan keseluruhan, menunjukkan harga pemerolehan yang lebih tinggi untuk produk-produk yang berharga tinggi tetapi dibeli dalam jumlah yang kecil memberi kesan besar pada belanjawan untuk ubat-ubatan,” kata kajian itu.

“Perkara yang berlaku dalam pemerolehan ubat-ubatan di sektor awam ini antara perkara yang boleh diperbaiki.”

Sumber itu berkata kajian itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan dalam pentadbiran lepas membuat bayarn untuk ubat-ubatan lebih dari sepatutnya.

“Sebagai contoh, katakan ubat berjenama ‘X’ berharga RM2 sekeping, dan kajian itu menggambarkan pada 2010, kerajaan membayar RM8 sekeping (4 kali ganda) dan pada 2014, membayar RM4 sekeping (2 kali ganda).

“Pokoknya, harga ubat berjenama ‘X’ yang dibeli itu, sama ada pada 2010 atau 2014 adalah 4 atau 2 kali ganda lebih mahal dari harga IRP. Ya, terdapat pembaikan tetapi nampaknya kerajaan masih membayar lebih dari sepatutnya.”

Sumber berkata pegawai Kementerian Kesihatan, terutama yang berkhidmat dari 2010 hingga 2014, mesti tampil ke depan menjelaskan mengapa ubat-ubatan dibeli pada harga yang lebih mahal dari harga IRP.

“Inilah persoalan kebertanggungjawaban dan ketelusan yang perlu dijelaskan dan disiasat pihak berkuasa.”

FMT sudah menghubungi kementerian untuk mendapatkan komennya.

PAS beri isyarat mahu berbaik dengan Pakatan

PEMIMPIN tinggi PAS kini menunjukkan sikap berbeza ke atas Pakatan Harapan (PH), tidak sampai sebulan selepas gabungan parti tersebut berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Sebelum pilihan raya umum 9 Mei, PAS memutuskan hubungan dengan PH dan membentuk kerjasama tidak rasmi pula dengan parti utama BN, Umno.
PAS turut meletakkan calon di beberapa kawasan Parlimen dan negeri utama untuk menjadi pengacau bagi kemenangan BN.
Namun tidak sampai enam minggu selepas pilihan raya tersebut, lain pula yang disebut oleh veteran PAS Mustafa Ali ketika diwawancara The Malaysian Insight.
Mustafa memuji gabungan PH yang menghimpunkan Bersatu, DAP dan PKR, dan juga pemimpin utamanya, Dr Mahathir Mohamad.
"Ada kesungguhan kerajaan baharu ini untuk tunai janji khususnya apa yang ada dalam manifesto.

"Pada pengamatan saya, mereka khasnya Tun Mahathir sendiri sedang bekerja keras untuk cuba memenuhi apa yang dijanjikan itu," kata bekas setiausaha agung PAS itu.
Beliau juga berpendapat Dr Mahathir berjaya memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia dalam khususnya berhubung tindakan dalam kes 1MDB.
"Ia sedang diuruskan dengan cara yang agak cepat dan baik," kata pengerusi Lembaga Penasihat PAS itu.
Sejak Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran, siasatan dimulakan semula ke atas bekas perdana menteri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan berkenaan adalah berhubung dakwaan Najib menerima jutaan dolar ke dalam akaun peribadinya dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Pada tahun lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu berpuas hati dengan penjelasan oleh ketua pegawai 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan berbilion dana syarikat disalurkan kepada individu tertentu.
Parti itu kemudiannya menjelaskan mereka hanya berpuas hati dengan pelan rasionalisasi untuk menyelesaikan hutang 1MDB. Penjelasan itu dibuat selepas Dr Mahathir membuka semula siasatan ke atas 1MDB.

Veteran PAS Mustafa Ali memuji gabungan Pakatan Harapan yang menghimpunkan Bersatu, DAP dan PKR, dan juga pemimpin utamanya, Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2018.
Veteran PAS Mustafa Ali memuji gabungan Pakatan Harapan yang menghimpunkan Bersatu, DAP dan PKR, dan juga pemimpin utamanya, Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2018.

PAS menegaskan, parti itu tidak pernah berpuas hati dengan penjelasan berhubung kerugian yang didakwa dialami firma berkenaan.
Mustafa turut menyebut mengenai keputusan dan tindakan besar yang dibuat oleh pentadbiran Dr Mahathir.
Ia termasuk penangguhan projek landasan kereta api RM110 bilion menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, serta mengkaji semula projek East Coast Rail Link (ECRL) bernilai RM66 bilion.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan sudah pun berada di landasan yang betul walaupun mungkin tidak akan dapat melaksana kesemua manifestonya dalam tempoh 100 hari pertama.
"Saya rasa ada pengakuan jujur, mungkin tak dapat tunai dalam 100 hari pertama kerana kekangan ekonomi tetapi mereka dilihat ikhlas mahu melaksanakannya," kata Mustafa.
Pemimpin tinggi parti itu juga nampaknya mula mengurangkan retorik anti DAP dan anti PH yang kuat dimainkan sebelum PRU14.
Pada bulan lalu, setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan menegaskan pendirian rasmi PAS berhubung isu besar hanya boleh dinyatakan oleh beliau dan juga presiden dan timbalan presiden.
Ia bagi menjauhkan PAS daripada pandangan anti DAP daripada pemimpin akar umbi yang lebih konservatif.
Ini termasuk pandangan Pengarah Pusat Kajian PAS Mohamad Zuhdi Marzuki yang mendakwa PH menggunakan tema “Malaysia Baru” untuk melaksana agenda “Malaysian Malaysia”.
Zuhdi mendakwa PH mahu menukar kontrak sosial dan menjejaskan kedudukan istimewa bumiputera dan status Islam sebagai agama rasmi.
Mustafa menegaskan pandangan Zuhdi itu hanya mewakili golongan minoriti dalam parti tersebut.
"Ia tidak gambarkan pandangan mainstream dalam PAS. Ia hanya pandangan peribadi beliau yang tidak faham realiti sebenar politik Malaysia," kata Mustafa kepada The Malaysian Insight.
Beliau percaya pandangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berbeza dengan pandangan Zuhdi dalam hal itu.
Mustafa berkata hubungan di antara parti itu dan DAP “agak tajam” beberapa tahun lalu namun berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam perkara asas.
Realitinya, PAS adalah satu-satunya parti politik yang pernah bekerjasama dengan semua parti di negara ini termasuk dengan DAP, katanya.
"Memang kita ada perbezaan tetapi ada banyak juga persamaan untuk membolehkan kita memberi sumbangan kepada negara.
"Persamaan lebih banyak berbanding dengan perbezaan yang kecil saja jumlahnya," katanya. 

Pemimpin Pemuda BERSATU didakwa ‘sembelih’ peniaga bazar Ramadan

Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan dilaporkan terpalit dengan skandal berikutan dakwaan bahawa seorang pemimpin Pemuda BERSATU menggunakan hubungan politik untuk mengaut ratusan ribu ringgit kerana menganjurkan bazar Ramadan di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang juga adalah bendahari DAP turut terheret dalam kancah itu.
Semuanya berhubung satu surat sokongan yang dikeluarkannya kepada Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim untuk mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menganjurkan bazar itu.
Surat dari DBKL kepada Mohd Noorhisyam, yang menjadi tular di media sosial, menunjukkan bahawa 80 lot telah diluluskan untuk perniagaan selama sembilan hari dengan bayaran RM6,238.
Ini termasuk bayaran RM180 bagi setiap lot (RM20 sehari) untuk pelesenan, ruang dan bayaran pembersihan untuk bazar itu yang bermula dari Pasar Raya Myidn di Pudu ke Masjid India.
Walau bagaimanapun, dakwaan timbul menyatakan bahawa Mohd Noorhisyam mengaut sehingga RM5,000 dalam bentuk sewa dari setiap lot melalui orang tengah.
Timbalan Setiausaha, Persatuan Peniaga dan Penjaja, Lorong Tuanku Abdul Rahman, Abdul Rahman Sulaiman, mendakwa orang tengah berkenaan memintanya membayar sebanyak RM4,000.
“Untuk orang lama dia bagi RM4,000, tapi untuk yang baru dia sembelih betul-betul, minta RM5,000.
“Kalau dia kutip RM5,000 untuk 80 lot, (bermakna dia membuat) RM400,000 dah,” katanya kepada Malaysiakini.
Janji tak kutip duit
Sumber DBKL memberitahu kami bahawa pihaknya enggan meluluskan baazar itu pada mulanya kerana aduan akan berlaku kesesakan.
Namun mereka akur selepas Mohd Noorhisyam memperoleh surat sokongan daripada Fong (foto, bawah) serta janji bahawa pemilik gerai tidak akan menghalang pintu masuk ke kedai-kedai di kawasan itu.
Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa Mohd Noorhisyam berjanji kepadanya bahawa tiada wang akan dikutip.
"Dia berjanji bahawa mereka tidak akan mengutip duit dan peniaga tidak akan menghalang kedai-kedai, saya berikan surat sokongan untuk membantu peniaga yang gagal mendapatkan lesen dari DBKL," kata ahli parlimen selama lima penggal itu.
Fong juga menafikan dirinya mendapat sebahagian daripada wang yang dikutip itu dari Mohd Noorhisyam atau rakannya.
Beliau berkata jika tuduhan "salah laku" itu mempunyai asas, beliau akan membuat laporan dengan SPRM mengenai perkara itu.
Ketua Bukit Bintang BERSATU, Zailani Isausuludin, sebaliknya, mendakwa bahawa Mohd Noorhisyam (foto, bawah) bertindak tanpa pengetahuannya dan berjanji akan juga membuat laporan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja, DBKL, Anwar Mohd Zain memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya tidak menyedari bahawa Mohd Noorhisyam didakwa mengutip bayaran begitu tinggi untuk setiap lot bazar berkenaan.
“(Jika ada) orang yang mengadu ada penjualan petak itu, kita boleh ambil tindakan,” katanya.
Malaysiakini cuba menghubungi Mohd Noorhisyam pada petang tadi untuk mendapatkan ulasannya tetapi diberitahu supaya menghubunginya dalam masa 10 minit kemudian kerana beliau sedang memandu.
Walau bagaimanapun, percubaan untuk menghubungi semula ternyata sia-sia kerana nombornya tidak lagi berada dalam perkhidmatan.
-malaysiakini 

Pengalaman saya naik pesawat sebelah menteri kewangan

Fzn Ahmd
Jika anda berpeluang duduk di sebelah menteri dalam penerbangan berbaki kurang satu jam setengah, apa yang anda akan lakukan?

Ini berlaku semalam, duduk bertemu siku kiriku semalam adalah Lim Guan Eng (LGE), menteri kewangan Malaysia untuk kerajaan Malaysia baru kita - yang secara terang mahu lebih dikenali sebagai menteri yang tidak popular. Kebetulan isteriku Hidayah Arifin menempah tiket premium, jadi aku berpeluang boarding lebih awal di Zon 1.

Usai memasuki perut pesawat, tidak susah untuk aku mencari kerusi 1C, tetapi amat susah buatku untuk melihat LGE duduk di kerusi 1B. Dalam perasaan yang separa euphoria – yang ditahan-tahan – aku mencari selesa di atas kerusiku. Aku hulurkan salam, dan disambut mesra olehnya.

Seterusnya, penumpang lain mulai masuk. Mereka mula bersalam dengan bekas ketua menteri ini – tetapi tidak cium tangan tau. Ada yang meminta untuk berswafoto – juga dilayankan juga LGE. Dan jika anda menyangka lelaki sado berbaju hitam yang muncul dalam selfie anda ini adalah bodyguard LGE, anda salah. Mohon crop ya wajah saya dari gambar simpanan anda :p

Selesai penumpang lain mendapatkan tempat masing-masing, aku minta pramugara merakamkan gambar kami. Minit-minit seterusnya terisi dengan perbualan ringan yang dimulakan olehnya, “Awak mahu pergi mana?” sehinggalah kepada perkara-perkara berat berkaitan isu semasa negara. Sesekali LGE menyelit lawak dalam perbualan, dia ketawa sambil menghayun lembut sikunya ke rusuk kiri aku. Kami ketawa mesra bersama.

Aku lebih gemar berbual dalam bahasa Inggeris, disebabkan kesan English education yang diterapkan oleh arwah abah. Menariknya, apabila aku bertanya di dalam bahasa Inggeris, akan dibalas LGE dalam bahasa Malaysia. Begitulah, akhirnya aku akur bersembang dalam bahasa Malaysia loghat 'utagha'.

Saat rancak berbual, pramugara menghulurkan makanan kepada kami. Sebotol air diberikan kepada LGE. Aku pula diberikan satu pek makanan. Isteriku yang order – sebab last meal ketika penerbangan Etihad adalah pada pukul 10 malam, dan aku bakal terlepas sahur di udara. Lagi pun, saat bermusafir dia menyangka aku tidak berpuasa.

Bau harum nasi lemak AirAsia memenuhi kabin. Aku yang masih berpuasa – terasa tap tap menitis air liur. Maklumlah, nasi lemak hidangan kebanggaan Malaysia kot!

“Awak puasa? Saya minum dulu ya, minta maaf” tanya LGE sambil meminta izin.

LGE terus minum air mineral tadi.

“Iya…saya pun akan balik ke Butterworth untuk majlis berbuka puasa di masjid nanti. Tapi kamu musafir kan? Kenapa tak berbuka?” sambung LGE.

“Yes, still…I am” jawab aku goyang.

Aku tengok jam di telefon bimbit. Kemudian aku sambung cakap.

“…and please don’t feel sorry for me. I was fasting - longer in the north,” jawab aku yakin untuk tidak berbuka.

“Oh…betullah…Copenhagen puasa lebih lama kan? Tak apalah, kamu puasa mesti dapat pahala banyakkan? Baguslah, baguslah agama kamu. Tapi, macam mana orang di atas sana (merujuk Norway, Greenland) berpuasa. Matahari langsung tidak hilang,” sambung LGE sambil menyiku lagi rusuk kiriku.

“In Islam, ...bla bla bla…” terangku.

Minit seterusnya, aku menerangkan tentang kelonggaran (rukhsah) berpuasa di negara utara seperti yang dikongsikan oleh Ustaz Hasrizal dan Dr Yasser Audah. LGE mendengar dengan penuh minat.

“Saya boleh faham tu. Saya ramai juga kawan dengan orang-orang Islam,” jawab LGE.

“Saya kenal Pakcik Hj Rashid Hasnon. Saya ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)” jawab aku yakin.

“Oh Rashid, is a good one. He was with us in Penang and tahun ini dia bertanding di Batu Pahat dan menang!” jawab LGE.

Kami berbual macam-macam.

Dari soal peribadi berapa orang anak (dan kerjaya mereka) sehinggalah skandal terbaru pendedahan Dr Maszlee Malik berkaitan projek gajah putih solar di Sarawak. Dari kisah gut microbiota perut sehinggalah kepada di mana mahu cari durian duri hitam di Penang.

Dari langkah Tun M yang bersikap apolegetik sehinggalah masalah hutang Malaysia. Dari bab puasa, sehinggalah berkaitan siapa bakal pemegang portfolio kementerian-kementerian yang lain seperti alam sekitar, sains dan teknologi dan hal ehwal agama.

Dari konsep negara berkebajikan acuan Denmark sehinggalah kisah tentang NGO Islamis di Malaysia seperti IKRAM dan ABIM.

Jika anda berpeluang duduk di sebelah menteri non Muslim dalam penerbangan berbaki kurang satu jam setengah, apa yang anda akan lakukan?

Saya memilih untuk memakai topi seorang Muslim yang baik dengan meletakkan sentimen jauh-jauh dari diri. Jika kita ada sekelumit iman di hati, janganlah kita angkuh dengan nikmat iman tersebut.

Lihatlah “saudara” bukan Islam kita dengan teropong untuk mencari ruang dakwah. Ceritakan kebaikan agama kita. Banyak kot benda yang indah-indah tentang agama kita yang boleh dikongsikan.

Sedar atau tidak sedar. 100 tahun dari sekarang, Malaysia akan tetap menjadi sebuah negara yang berbilang bangsa, dan diwarnai pelbagai agama dan budaya – jika masih belum kiamat.

Lainlah kalau kita mahu memilih untuk memakai topi Israel, lancarkan gerakan menghapuskan etnik tertentu, atau halau mereka pulang ke negara asal. Anda mahu menjadi seperti Israel kedua?

Apa pilihan yang anda ada? Maka berdakwah lah. Tampilkan nilai baik tentang agama kita.

Jika sebelum ini saya gembira untuk pulang dari Copenhagen untuk melihat Malaysia baru. Pengalaman bersama menteri kewangan Malaysia yang baru ini adalah satu permulaan yang baik - saya kira.

Jom, saya mahukan Malaysia baru yang benar-benar segar dengan nilai kebaikan.

Nilai barang disita dalam siasatan Najib mungkin lebih setengah bilion, kata laporan

NILAI barangan yang disita setakat ini dari premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak mungkin melebihi separuh bilion ringgit, dengan proses menilai barangan mewah masih berterusan, laporan The Sun Daily.

Sumber mengatakan kepada akhbar yang proses itu akan selesai dalam masa beberapa minggu apabila Bahagian Jenayah Komersial mengambil jurunilai pihak ketiga.

Barangan itu termasuk yang dirampas awal minggu ini dari dua rumah di Precinct 10, Putrajaya, yang dikaitkan dengan Najib.

Sebanyak 40 beg tangan dan dokumen dirampas dari lokasi tersebut, kata laporan itu.

Kediaman Najib di Jalan Langgak Duta dan tiga unit kondominium mewah di Pavilion Residences sebelum ini diserbu, seminggu selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan melalui pilihan raya pada 9 Mei.

Serbuan di Pavilion Residences memperoleh wang tunai RM114 juta, 284 kotak beg tangan, serta barang kemas dan jam tangan.

Tindakan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Najib berhubung kes dana yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dan isteri Rosmah Mansor dihalang meninggalkan Malaysia. Kedua-duanya juga dipersoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung SRC International, bekas anak syarikat 1MDB dan salah satu entiti di mana wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank peribadi Najib.
-themalaysianinsight

Pendedahan mengejutkan ahli politik, kerabat dalam monopoli ubat berbilion ringgit

FMT Reporters
PETALING JAYA: Satu pendedahan yang terperinci dan mengejutkan tentang bagaimana syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit, memberikan mereka monopoli yang mungkin menjadi faktor peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

Dokumen 12 halaman yang dilihat FMT, yang dihantar ke Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini, mengesahkan kenyataannya minggu lepas yang mengatakan gergasi farmaseutikal Pharmaniaga tidak memonopoli bekalan ubat-ubatan seperti yang diperkatakan orang-ramai.

Sebaliknya, dokumen itu menyenaraikan 20 syarikat dengan kaitan kepada ahli politik ternama, termasuk bekas menteri daripada pimpinan tertinggi Umno.

Syarikat-syarikat terlibat, yang memainkan peranan sebagai “ejen tender” dalam tempoh 4 tahun antara 2013 dan 2016 meraih kontrak-kontrak bernilai RM3.7 bilion.

Ejen-ejen tender itu, menurut dokumen tersebut, bertindak bagi pihak lebih 70 syarikat farmaseutikal, yang semuanya hanya menggunakan “ejen tender yang sama yang ada kaitan dengan sebilangan pegawai kerajaan”.

“Sebabnya jelas, tidak lain dan tidak bukan ianya rasuah,” kata dokumen itu.

Pemerhatian FMT mendapati sebanyak RM1.4 bilion, atau kira-kira 38%, pergi ke 1 syarikat yang dimiliki oleh bapa saudara kepada seorang bekas menteri dan ahli politik Wanita Umno.

Beberapa watak lain dengan kaitan kepada syarikat-syarikat terlibat termasuk ahli kerabat diraja, bekas pegawai tinggi Felda, bekas duta ke Amerika Syarikat, bekas pegawai Kementerian Kesihatan dan bekas menteri Wilayah Persekutuan yang tewas pada pilihan raya baru-baru ini.

Difahamkan bekalan ubat kepada kerajaan oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa dilakukan melalui syarikat-syarikat subsidiari melalui proses tender.

Menjelaskan proses itu, pengadu berkata “ejen tender” dilantik oleh syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa.

“Syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa berpakat sulit dengan ejen tender untuk mengatur bidaan.

“Apabila mereka enggan membekalkan atau berurusan dengan penjual dan ejen tender lain, syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa itu menganugerahkan ejen-ejen tender suatu monopoli, dan dengan itu memastikan kemenangan automatik dalam satu-satu tender,” kata pengadu, yang identitinya dirahsiakan.

“Syarikat asing tidak boleh terlibat secara langsung dalam tender kerajaan tetapi mesti melalui pengedar, penjual atau ejen tender tempatan.

“Apabila Kementerian Kesihatan mengeluarkan satu tender pemerolehan, syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa akan mengambil ejen tender Bumiputera untuk membida tender mengukit spesifikasi tender itu,” kata dokumen itu.

Pengadu menjelaskan ejen tender dibayar komisyen pada peratusan tertentu berdasarkan setiap tender yang dimenangi, dan meraih untung bersih kerana mereka tidak mengendalikan pemasaran, logistik atau aktiviti pengedaran.

“Daripada seawal-awal 2011 hingga sekarang, syarikat-syarikat farmaseutikal antarabagsa merasuah pegawai kerajaan tinggi/ahli politik untuk membantu mendapatkan atau mengekalkan perniagaan di Malaysia lalu menyalahi Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) Amerika Syarikat.

“Bayaran rasuah ini disembunyikan sebagai bayaran komisyen kepada ejen-ejen tender,” tambahnya.

Dzulkefly ketika dihubungi FMT berkata pejabatnya sedang meneliti dokumen ini.

Apabila Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan letak jawatan

NASUHA RAHMAN
Pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan yang dicadang oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak satu perkara yang menyalahi perlembagaan.

Timbalan Setiausaha Agung AMANAH Abang Ahmad Kardee Abang Masagus berkata, melalui satu mesyuarat agung luar biasa yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia pada 3 Ogos 2017, telah meluluskan satu resolusi bahawa perlantikan Raus itu bercanggah dengan perlembagaan.

Malah katanya bukan itu sahaja, Majlis Peguam juga meluluskan resolusi untuk ‘memutuskan’ hubungan ‘sosial’ dengan Raus (sekiranya dijemput ke Majlis Rasmi anjuran Raus atau yang melibatkan Raus).

“Saya hadir dan menyokong resolusi Bar masa itu. Bagi kami, Peguam-Peguam di Malaysia, perlantikan Raus yang ‘dicadang’ atau‘atas nasihat’ oleh Mantan PM Kleptokrasi, Dato’ Seri Mohd Najib Razak itu adalah satu perkara yang CLEAR CUT salah dan menyalahi perlembagaan,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, 1 November 2017, beliau (yang bertindak sebagai Pegawai Awam) telah memfailkan Semakan Kehakiman bagi pihak Parti AMANAH untuk mencabar pelantikan Ketua Hakim Negara, Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan.

Di dalam semakan yang AMANAH failkan, fokus utama adalah berkenaan dengan ‘bantahan keras’ ke atas pelantikan Raus sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos 2017 di bawah Perkara 122 ( 1A ) Perlembagaan Persekutuan, pada AMANAH ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan ( unconstitutional ), terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.dan

Dan tambahnya, pelantikan Raus sebagai Ketua Hakim Negara di bawah Perkara 122 ( 1A ) Perlembagaan Persekutuan bagi AMANAH adalah tidak sah, tidak berperlembagaan (unconstitutional ), terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Selain itu, jelasnya, AMANAH juga memohon untuk mendapatkan perintah Writ Quo Warranto untuk meminta Raus menunjukkan sebab dan memberikan pengesahan bagaimanakah dan di atas dasar apakah responden masih menjawat Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan dan Ketua Hakim Negara.

“Serta memohon untuk diberi kebenaran bagi mendapatkan Perintah Certiorari bagi membatalkan pelantikan Responden sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan dan sebagai Ketua Hakim Negara berkuatkuasa pada 4 Ogos 2017.

“Dan kebenaran bagi mendapatkan Perintah Injunksi Mandatori bagi mencegah atau menghalang Responden atau ejen beliau melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas beliau sama ada sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan atau Ketua Hakim Negara,”ujarnya.

Malangnya, tegas beliau, mahkamah menolak permohonan AMANAH waktu itu, dengan kos RM5,000.00.

Hari ini katanya, Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan meletak jawatan dan dimaklumkan bahawa mereka berdua telahpun bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 15 Mei 2018, beberapa hari selepas PRU14 untuk menyatakan hasrat meletakkan jawatan.

“Bagi Saya, ianya adalah satu tindakan yang baik (wajar dipuji), tepat dan positif di dalam menyelesaikan kemelut yang telah berlaku,”tambahnya.

BN sudah mati, hanya ada Umno, kata penganalisis

Anne Muhammad dan Zikri Kamaruzzaman

BN kini dilihat sudah 'mati' selepas gabungan itu kini hanya mempunyai empat parti komponen iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan berbanding 13 parti sebelum ini ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Baki sembilan lagi parti komponen BN dari Sabah, Sarawak dan Myppp meninggalkan gabungan itu dalam tempoh sebulan sejak kekalahan mereka pada 9 Mei lalu.

Ia merupakan kali pertama BN kehilangan kuasa dalam tempoh 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Gabungan BN kini hanya terdiri daripada Umno yang memenangi 54 kerusi parlimen, MCA dua dan MIC satu kerusi parlimen manakala Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi pada PRU14.

Untuk rekod, selepas kekalahan pada PRU14, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan selaku pengerusi BN dan presiden Umno berkuat kuasa serta-merta.

BN cuma nama saja

Penganalisis politik yang juga Timbalan Pengerusi Institusi Darul Ehsan (IDE), Professor Datuk Mohammad Redzuan Othman berkata kekuatan BN kerana mempunyai suara daripada parti kaum lain, namun kini tidak lagi.

""Sekarang dah tidak ada ada BN, Umno sahaja tinggal maknanya BN dah mati, cuma ada nama sahaja.

“BN dah tak ada kekuatan. Saya ingat sekarang BN adalah Umno dan Umno adalah BN. Kerana yang jadi kekuatan Umno adalah BN.

“Parti BN yang lain (MIC, MCA, Gerakan) tak ada makna lagi kerana kekuatan BN selama ini melalui sumbangan pelbagai parti dan kaumnya. (Sekarang ini) parti Cina, India, tak mewakili lagi seperti sebelum ini, yang tinggal hanya Umno.

“BN dah tak berfungsi, lumpuh,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, parti komponen yang masih ada dalam BN perlu mempertimbangkan kedudukan mereka kerana dilihat tidak mendapat apa-apa manfaat daripada gabungan itu.

“Kalau duduk dalam BN tak dapat apa-apa baik keluar sebab sekarang dia (MIC MCA Gerakan) tunggu tindakan selanjutnya dari Umno. Sebab kalau duduk (dalam BN) tak dapat manfaat apa-apa, mereka kena cari haluan masing-masing,” katanya.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) itu juga berkata berdasarkan kajian yang telah dibuat selepas PRU14, BN mempunyai 30 peratus sokongan, namun jika tidak ada sebarang usaha dilakukan, sokongan itu akan terus merosot dan lebih ramai ahli parlimen akan meninggalkan gabungan itu.

“Dalam kalangan parti, Umno adalah parti terkuat. Tapi kalau dia tak buat sesuatu sokongan yang (30 peratus dari rakyat juga) makin berkurangan.

“Dan apabila komponen parti keluar maknanya pengaruh merosot. Kalau dia (BN) tak buat sesuatu yang pro-aktif, ahli parlimen yang ada akan lari habis sebab mereka tak nampak Umno ada masa depan,” katanya.

Manakala calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (gambar) pula berpendapat bahawa parti itu harus kekal di bawah BN kerana ia merupakan jenama yang baik yang telah membangunkan negara.

Sebaliknya, beliau berkata parti komponen lain yang harus keluar daripada gabungan itu.

“BN tu boleh kekal tapi rakan dalam BN tu boleh berubah. Kalau MCA dah tak boleh, tak dapat sumbang, tak payah jadi ahli BN. Macam Gerakan dah tak boleh dapat sumbang, tak boleh buat apa, ibarat dah mati dan jadi liabiliti.

“Merekalah yang keluar (BN) kalau nak berundur,” katanya.

Anggota Parlimen Pasir Salak itu juga menambah, Umno perlu mencari rakan strategik baru untuk terus ke depan tanpa mahu menyebut mana-mana pihak yang difikirkan.

Tajuddin sebelum ini mengatakan bahawa Umno sepatutnya mempertimbangkan untuk membentuk satu blok politik baru dengan PAS.

Umno bergerak sendiri

Sementara itu Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, Umno kini perlu bergerak sendiri tanpa sebarang gabungan termasuk dari BN dan PAS.

“Saya rasa Umno patut gerak sendiri, kita tak perlu tunggu MCA, MIC dan Gerakan (untuk buat keputusan mengenai BN). Kalau nak buat sesuatu, kita patut buat dulu,” katanya yang berkata Umno mempunyai kekuatan sendiri.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii pula membantah cadangan itu sebaliknya berkata Umno perlu kekal dalam BN kerana sebelum ini gabungan itu pernah merasa keadaan parti komponennya yang tidak kuat.

Katanya, parti-parti komponen dari Sarawak yang meninggalkan parti itu patut dikecam.

“Umno patut kekal bawah BN. Parti-parti yang keluar BN kita kecam. Parti-parti yang keluar BN, patut masa kita lemah pun bersama.

“Apa yang parti di Sarawak buat tak patut, dia tak berjuang untuk rakyat seperti dilakukan BN,” katanya.

Semalam, empat parti pemerintah Sarawak - PBB, SUPP, PRS, dan PDP – keluar BN untuk membentuk gabungan baru negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mesra dengan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.

Ia selepas parti komponen BN dari Sabah serta Myppp meninggalkan gabungan itu.
-malaysiakini

Umno sudah mula lesu

SHAHBUDIN HUSIN 
Tanda-tanda riwayat Umno akan berakhir dan ia tidak mampu bertahan tanpa dibantu kuasa
wang, nyata semakin terserlah sekarang ini.

Cukup sebulan sejak Umno yang merupakan tunjang BN kehilangan kuasanya pada pilihanraya
9 Mei lalu, aktiviti Umno sepanjang Ramadan ini boleh dikatakan terhenti sama sekali.

Jika sebelum ini, bulan Ramadan merupakan bulan yang sibuk bagi pemimpin Umno menjalankan pelbagai aktiviti seperti majlis berbuka puasa dengan ahli peringkat cawangan atau akar umbi, berbuka puasa bersama anak yatim atau fakir miskin, memberi bantuan kepada masjid dan surau dan sebagainya, semua itu terhenti dengan tiba-tiba seiring dengan gugurnya kuasa yang dipegang sejak lebih 60 tahun yang lalu.

Ramai kawan-kawan di beberapa bahagian Umno mengeluh tentang kelesuan program sepanjang
Ramadan kali ini dan ia sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ramadan kali ini, kami hanya berbuka puasa di rumah masing-masing saja bersama keluarga”.

Tidak saja ketua bahagian tidak menganjurkan majlis berbuka puasa atau menghulurkan
bantuan kepada cawangan-cawangan untuk mengadakan majlis yang sama, pemimpin Umno
peringkat nasional yang kini sudah bertaraf bekas menteri juga tidak lagi mengadakan sebarang majlis di bulan Ramadan ini, ujar beberapa kenalan dalam Umno yang sempat dihubungi.

Kali ini, kata mereka, tiada lagi program berbuka puasa sama ada di peringkat bahagian atau pemimpin bahagian turun ke cawangan-cawangan seperti sebelumnya, malah rata-rata pemimpin bahagian seperti menghilangkan diri, meskipun tahun ini merupakan tahun pemilihan bagi Umno.

“Sudah tentu kami juga tidak lagi menerima duit raya daripada pemimpin-pemimpin bahagian sebagaimana sebelum ini,” kata mereka lagi.

Perkembangan ini menunjukkan pemimpin Umno di semua peringkat nampaknya tidak sedia
mengeluarkan wang poket sendiri untuk tujuan mengadakan program, waima atas nama
kebajikan dan sedekah di bulan Ramadan sekali pun.

Hal ini memperlihatkan bahawa Umno selepas ini bakal ketandusan program di seluruh negara untuk mendekati rakyat kerana tidak ada sesiapa yang mahu mengeluarkan belanja sendiri bagi menggerakkan parti.

“Jika tanpa program di akar umbi dan pemimpin Umno di peringkat bahagian hanya “goyang
kaki” dengan jawatan mereka, bagaimanakah parti itu mampu bangkit melawan kerajaan Pakatan Harapan yang sedang berkuasa sekarang?” soal seorang ketua cawangan Umno ketika berbual-bual dengannya.

Dalam perkembangan yang sama, melihat kepada kemungkinan Umno akan ketandusan program
itu, kecenderungan mereka beralih kiblat dengan menyertai Bersatu atau PKR jelas semakin meningkat sekarang ini.

Bukan saja sudah sekian ramai pemimpin peringkat timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian atau bekas-bekas pemimpin bahagian mengambil keputusan menyertai Bersatu atau PKR, malah lebih ramai ketua-ketua Umno cawangan di seluruh negara yang dilihat menunjukkan minat mengalih kiblat politik mereka selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti.

Mereka rata-rata melihat zaman gelap Umno sudah pun bermula dan parti itu bukan saja tidak semewah dulu, bahkan tiada apa-apa yang menarik lagi untuk berjuang melaluinya.

Kata mereka, Umno sudah jadi ibarat orang kaya yang tiba-tiba jatuh bankrap dan tiada sumber kewangan yang menyebabkannya sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan seperti orang biasa.

Selama ini pemimpin Umno hidup mewah kerana projek-projek segera yang diperolehi melalui hubungan dengan menteri dan perdana menteri, tetapi setelah tiada lagi kuasa, semua pergantungan itu hilang dengan sendirinya.

Meskipun kebanyakan pemimpin atasan Umno masih lagi kaya dan bertaraf jutawan, tetapi sudah tentu mereka tidak akan mengeluarkan wang poket sendiri untuk diperuntukkan kepada bahagian-bahagian kerana tidak pasti sama ada BN boleh menang lagi atau tidak dalam pilihanraya yang akan diadakan lima tahun datang.

Kedudukan BN turut semakin mengecil dan tergugat untuk kembali berkuasa dengan keluarnya PBB daripada gabungan itu dan tidak mustahil akan disusuli oleh lain-lain parti di Sarawak juga.

Lama-kelamaan, tambah mereka lagi, tanpa sebarang aktiviti dan program serta tiada sesiapa yang sanggup mengeluarkan belanja untuk parti, Umno akan dilupakan dan perlahan-lahan akan mati dengan sendirinya.

Teori Rahman akhirnya terbukti benar di mana Perdana Menteri terakhir daripada Umno yang berkuasa ialah N iaitu Najib, malah kerana kepimpinan dan skandal yang melingkari N jugalah yang menyebabkan parti itu sedang menebas laluannya sendiri untuk menuju ke tanah perkuburan.

433 jam tangan berjumlah RM80 juta disita dari kondo mewah


FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebanyak 433 utas jam tangan berjenama ditemui dalam 37 beg yang dirampas dari kondominium mewah, Pavilion Residences di ibu negara dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.


China Press melaporkan hasil penilaian ke atas jam tangan itu, pakar menganggarkan semuanya mencecah RM80 juta, termasuk seutas jam tangan paling mahal berharga RM3.5 juta yang difahamkan berjenama Rolex.

Difahamkan, seutas lagi jam tangan jenama Cecil Purnell berharga RM1.2 juta, manakala jenama lain terdiri daripada Patek Philippe dan Richard Mille.

Akhbar itu melaporkan proses pengiraan dan penilaian ke atas 37 beg berisi jongkong emas, barang kemas dan jam tangan itu yang bermula 30 Mei lalu, kini di peringkat akhir dan masih ada sebahagian barang kemas jarang ditemui yang belum dinilai pakar.

Menurut laporan, pakar mengambil masa 5 hari, mulai 30 Mei untuk menyelesaikan kerja menilai semua jam tangan berjenama yang diisi dalam 6 beg itu.

Difahamkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh sudah mengarahkan proses penilaian semua jongkong emas, barang kemas dan jam tangan itu diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri atau anggota terbabit tidak dapat bercuti raya.

Pada 25 Mei lalu, Amar Singh mengumumkan pelbagai mata wang berjumlah RM114 juta ditemui dalam 35 beg yang dirampas dari Pavilion Residences, manakala baki 27 beg mengandungi barang kemas serta barang berharga lain yang perlu dinilai pakar.

Polis sebelum ini merampas 72 beg dan 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dalam operasi penggeledahan 6 premis dikaitkan dengan Najib sejak malam 16 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan dalam skandal 1MDB.

Enam premis itu adalah kediaman peribadi Najib di Taman Duta, 3 kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.

Mujahid, Khalid Samad dilaporkan bakal menjadi menteri

MALAYSIA DATELINE 
Mujahid dikatakan akan menjadi menteri luar manakala Khalid menteri agama.

Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof dan Pengarah Komunikasi, Khalid Samad disebut-sebut bakal menjadi dua lagi menteri kabinet dari AMANAH.

Menurut laporan The Malaysian Insight, Mujahid akan dilantik sebagai Menteri Luar manakala Khalid pula Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama.

Laman ini melaporkan 26 anggota kabinet ketika berita angin sebelum ini menyatakan kabinet akan mempunyai 28 anggota. Kesahihan berita ini masih belum pasti dan dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri sendiri namun belum ada penafian rasmi lagi.

Menurut laman itu yang memetik sumber kerajaan, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan menjadi menteri kerja raya; naib presiden Xavier Jayakumar (air, tanah dan sumber asli), dan setiausaha agung Saifuddin Nasution (perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna).

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah bakal dinamakan sebagai menteri pendidikan tinggi.

DAP pula akan mendapat dua lagi menteri iaitu Teresa Kok dan muka baru, Yeoh Bee Yin.

Kok akan dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan manakala Yeoh, yang menang kerusi Parlimen Bakri dalam pilihan raya pertamanya, dijangka dinamakan sebagai menteri tenaga, teknologi dan alam sekitar. Yeoh adalah jurutera kimia, pemegang biasiswa Petronas yang juga lulusan sarjana dari Cambridge, lapor laman itu.

Bersatu pula akan mendapat dua menteri baru iaitu ketua sayap pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bakal dinamakan menteri belia dan sukan.

Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Yusof akan memegang portfolio yang dihidupkan semula, Kementerian Pembangunan Usahawan.

Parti Warisan Sabah yang menyokong PH akan mempunyai tiga wakil dalam Kabinet Dr Mahathir iaitu Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking; Ahli Parlimen Batu Sapi VK Liew dan Ahli Parlimen Silam Mohamadin Ketapi.

Darell akan jadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri; Liew sebagai menteri undang-undang manakala Mohamadin bakal menteri pelancongan.

Sementara itu, Pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy akan diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal kaum India, selepas usaha kerasnya memastikan pengundi kaum India memilih PH.

Tiba masanya Anwar jadi presiden PKR

Tiba masanya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai presiden PKR, kata Naib Presiden Shamsul Iskandar Md Akin.

“Saya harap pemilihan parti kali ini Anwar akan bertanding sebagai presiden.

“Tidak patut ada lagi ketua umum. Jawatan ketua umum ini direka oleh kongres parti untuk Anwar,” kata Shamsul.

“Sekarang saya rasa dia kembali, jadi saya harap Anwar dapat dengar suara kami, suara majoriti.

“Marilah kita mansuhkan jawatan ketua umum supaya beliau boleh kembali memimpin parti sebagai presiden,” katanya.

Anwar telah menjadi ketua umum sejak 2004, selepas pembebasan pertamanya daripada penjara.

Beliau ketika itu dilarang aktif dalam politik kerana disabitkan atas kesalahan rasuah.

Bagaimanapun, untuk pemenjaraan kali kedua, beliau mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agung yang membolehkannya kembali berpolitik dan mengambil alih kepimpinan daripada Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Pemilihan parti dijangka dilangsungkan Ogos ini.

Dalam pemilihan 2014, keadaan tegang antara kem bertanding sehingga menyaksikan kerusi terbang dalam pemilihan bahagian.

Kali ini Shamsul berharap insiden sama tidak berulang.
-malaysiakini

Parti komponen PH sibuk senarai calon menteri?

MALAYSIA DATELINE
Empat gabungan parti dalam Pakatan Harapan kini sibuk menyenaraikan calon bagi mengisi jawatan menteri yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

DAP, yang sudah mempunyai empat menteri, dijangka mendapat sekurang-kurangnya tiga lagi jawatan.

Menurut sumber dalam parti dipetik Staronline, berkata, beberapa ahli kanan DAP telah dikenal pasti akan mengisi jawatan tersebut.

“DAP dijangka menamakan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming untuk mengisi kuota,” kata sumber itu, sambil menyatakan bahawa Kok mungkin diberi portfolio Pelancongan.

Tan Kok Wai, sebagai pengerusi DAP, juga boleh berada dalam barisan.

Bagaimanapun, Tan dilaporkan berkata kepada akhbar Cina bahawa dia tidak berminat dalam kedudukan menteri kerana dia merasakan seorang pemimpin kanan wanita seperti Teresa Kok akan lebih sesuai dengan barisan itu.

Apabila dihubungi, Tan berkeras bahawa dia tidak mempunyai “keinginan yang kuat” untuk menjadi menteri kabinet.

“Parti itu juga mahukan wakil dari Sarawak dan mungkin pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin akan dimasukkan ke dalam senarai kabinet DAP,” kata sumber itu lagi.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh boleh dilantik sebagai Speaker atau Timbalan Speaker, kata sumber itu, memandangkan rekod pencapaiannya selama lima tahun dalam kedudukannya di Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Bagaimanapun, terdapat banyak orang lain yang lebih senior daripada beliau dalam Pakatan, dan kami mengandaikan dia boleh dijadikan timbalan,” kata sumber itu.

Yeoh, ketika dihubungi, berkata: “Jawatan bukanlah hak mutlak sebagai ahli politik, dan kita mempunyai lebih banyak wakil yang dipilih sekarang untuk melakukan pekerjaan itu.”

Baginya beliau akan lebih dapat menumpukan khidmat sebagai wakil rakyat lebih baik sekiranya dia tidak diberi sebarang jawatan dalam kabinet.

“Saya sudah begitu teruja dengan komposisi Parlimen yang baru,” katanya.

Mengenai PKR, yang dijangka mempunyai jumlah menteri yang paling banyak dalam barisan 28 menteri Kabinet spekulasi mengatakan perundingan masih berterusan.

Sumber PKR berkata, adalah sukar untuk memilih calon menteri dalam parti itu kerana ramai yang setia sejak zaman Reformasi awal.

“Jika Tian Chua bertanding, dia pastinya boleh menjadi salah seorang menteri.

Tetapi kerana dia bukan wakil rakyat, ia kelihatan seperti Ahli Parlimen Selayang William Leong boleh dipilih, kata sumber itu.

Beliau menambah bendahari agung parti dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Tan Yee Kew juga boleh dipertimbangkan.

“Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar boleh mendapatkan portfolio Kementerian Kerja Raya,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata terdapat juga Ahli Parlimen Indera Makhota Datuk Saifuddin Abdullah yang disebut-sebut mungkin dilantik sebagai Menteri Luar.

Sumber itu, yang juga wakil rakyat, berkata, para pengikut setia Anwar juga dijangka akan dinaikkan kepada menteri.

“Kami mendengar bahawa Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan menjadi menteri kerana kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan parti sejak bertahun-tahun,” kata sumber itu.

Saifuddin adalah setiausaha agung PKR.

Sedangkan untuk AMANAH dan Bersatu semuanya nampak senyap pada masa ini.

Satu-satunya spekulasi adalah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mungkin pilihan AMANAH untuk barisan menteri parti sementara ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh diberikan portfolio Kementerian Belia dan Sukan.

Pada masa ini, 12 menteri telah dilantik dan 13 portfolio yang dipenuhi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut membantu Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.