"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Sudah setahun lima bulan, bila nak lantik duta ke Indonesia?'

Malaysiakini 

Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff mempersoalkan kenapa kerajaan belum melantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia, selepas mengambil kira betapa pentingnya hubungan diplomatik antara dua negara itu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Agus membangkitkan sudah setahun dan lima bulan jawatan itu tidak diisi sejak persaraan Zainal Abidin Bakar pada 4 April 2021.

"Ini seolah-olah kerajaan menganggap hubungan diplomatik tidak penting.

"Bagi saya, tidak mempunyai duta di negara sepenting Indonesia untuk tempoh yang begitu lama adalah ‘kelemahan’ yang sepatutnya tidak berlaku," katanya.

Agus yang kini berkhidmat di Indonesia berkata, peranan duta amat penting antaranya untuk membantu warga Malaysia di negara tersebut serta melakukan rundingan dalami isu dua hala seperti soal pembantu rumah, tenaga kerja, ekonomi dan pertahanan.

"Kita juga perlukan duta untuk melindungi warga kita di Indonesia yang menghadapi masalah, baik masalah undang-undang, perniagaan dan lainnya," katanya lagi.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman dicadangkan untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Bagaimanapun, cadangan itu mengundang bantahan banyak pihak termasuk Umno, yang rata-ratanya membangkitkan Tajuddin yang sentiasa mengundang kontroversi.

Pada Julai lalu, nama Tajuddin dilaporkan tiada dalam senarai duta baru yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong. Sementara ada laporan yang mendakwa dia telah digugurkan, ada juga laporan yang berkata pelantikan itu hanya "ditangguh".

Agus berkata selepas perkembangan itu, tiada lagi khabar berkenaan pelantikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan ia merupakan antara yang diperkatakan beberapa pihak di sana kepadanya.

Katanya lagi, duta yang akan dilantik itu perlu memenuhi beberapa kriteria antaranya ada latar pendidikan yang sesuai, memahami bidang tugasnya, ada pengetahuan dan pengalaman tentang Indonesia, mampu menyelesaikan konflik bilateral dan memiliki peribadi yang tidak sombong dan peka kepada rakyat yang memerlukan khidmat kedutaan.

"Susah sangatkah mencari calon yang sesuai? Kita ada ramai pemimpin atau pegawai yang layak dan memenuhi kriteria sebagai seorang duta.

PN guna lambang ‘bulan’ di 3 negeri?

Nora Mahpar, Faiz Zainudin dan Predeep Nambiar

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan akan membenarkan PAS menggunakan lambang “bulan” di Kelantan, Terengganu, dan Kedah bagi mewakili gabungan itu pada PRU15.

Pengerusi Muhyiddin Yassin berkata lambang mewakili PN akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan itu minggu depan.

“Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai kita akan ambil kira,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Sanusi Md Nor, sebelum ini berkata ramai pengundi dan penyokong PAS ‘alergi’ terhadap warna biru PN, yang disifatkan sebagai “bayang-bayang” kepada warna biru tua BN.

Beliau berkata tindakan memperbetulkan keadaan itu perlu diambil, dengan mempertimbangkan penggunaan lambang PAS yang lebih “serasi” dengan pengundi parti itu, khususnya di Kelantan, Terengganu, dan Kedah yang ditadbirnya.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi antara komponen PN, Muhyiddin berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kita sudah mula runding tapi belum selesai. Saya sudah beritahu untuk disegerakan,” katanya.

Demi kuasa, Pas seronok di puncak ingin terus menjadi tongkat Umno

NASUHA RAHMAN

Sikap, pandangan dan kenyataan pimpinan Pas kebelakangan ini tidak lebih dari sekadar menyerlahkan tingkah laku gerombolan yang terlalu takut kehilangan jawatan lantaran seronok di puncak kuasa.

Ini berikutan kenyataan Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda Pas beberapa hari lalu yang dilihat berterusan dengan ilusi bahawa Muafakat Nasional (MN) masih wujud.

Bagi Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub ia merupakan suatu isyarat jelas ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi Perikatan Nasional.

“Ini mungkin bertitik tolak daripada jangkaan Pas melalui kenyataan dikeluarkan oleh Dr. Zuhdi Marzuki, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga merupakan Setiausaha Politik Timbalan Presiden PAS apabila menjangkakan potensi Pakatan Harapan untuk menang lagi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 adalah tinggi,” kata beliau.

Selain itu, kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai beberapa pandangan politik yang melihat Bersatu akan berada di persimpangan yang cukup genting dan berisiko besar untuk kehilangan banyak kerusi terutama sekali kerusi Ahli Parlimen yang melompat dari Umno dan KEADILAN.

“Sekiranya ini berlaku, tentunya Pas dengan berbekalkan kemenangan 18 kerusi parlimen, tidak akan mampu untuk mengulangi strategi sama sebagai “king maker” dalam sesi tawar menawar bagi membentuk kerajaan.

“PAS tidak peduli walaupun pujukan kepada Umno untuk aktifkan kembali MN dibalas tuba, umpama hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong apabila Presiden Umno sendiri mengeluarkan kenyataan balas bahawa kerjasama MN yang Pas sampaikan hanya satu kerjasama politik dangkal,” kata beliau.

Ini kerana katanya, Pas telah mengkhianati Umno dan sentiasa ‘main dalam beberapa kolam’ tetapi demi survival politik, Pas relakan jua tindakan sebegitu.

Beliau tidak menolak mungkin faktor itu menjawab mengapa Pas memilih untuk memberi fokus kepada 27 kerusi yang berkemungkinan bertembung dengan Umno hingga ingin menamakannya sebagai “Kerusi Muafakat Nasional”.

Secara tidak langsung, jelasnya ini membuka pekung sebenar Pas yang mementingkan diri sendiri dan meninggalkan Bersatu terkontang kanting.

“Tidak mustahil Pas akan kembali berpelukan dengan Umno selepas PRU-15 dan meninggalkan PPBM.

“Meneliti kebarangkalian ini, saya ingin bertanya kepada penyokong PPBM yang ikhlas meninggalkan Umno kerana bencikan rasuah dan kebobrokan pentadbiran Umno-BN, adakah mereka merelakan negara ini diperkotak katikkan lagi dengan permainan Umno-PAS ini?” soalnya.

Justeru Salahuddin menyeru rakyat yang ikhlas menolak Umno demi Malaysia yang lebih baik perlulah bersama-sama dalam gerakan yang diperjuangkan Pakatan Harapan untuk sama-sama perbetulkan kembali Malaysia agar berada di atas landasan tepat pemulihan ekonomi, pendidikan, membasmi kemiskinan, mewujudkan pentadbiran negara yang bersih dan berintegriti.

“Hanya PH yang mempunyai wawasan jelas dalam mengangkat kembali maruah bangsa Malaysia di mata dunia berbanding PN dan BN yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan politik kepartian sahaja,” katanya lagi.

Rasuah boleh bankrapkan negara, setiap orang tanggung beban rasuah

A KADIR JASIN

Tidak kira sama ada seseorang itu pro-Najib dan anggap rasuah yang dia lakukan “ok” atau yang menentang perbuatan rasuah dia, kenyataannya setiap orang tanggung beban rasuah dia.

Beban kewangan dan kerugian ekonomi kerana rasuah, pecah amanah dan penyelewengan sangat tinggi. Di negara kita, kerugian akibat rasuah dianggarkan RM47 bilion ikut nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) pada tahun 2017 saja.

Jumlah RM47 bilion bahagi dengan penduduk seramai 31 juta pada tahun 2017, setiap seorang – tak kira orang dewasa, kanak-kanak atau bayi – kena tanggung RM1,516.12 setiap kepala.

Duit sebanyak RM47 bilion itu dekat-dekat sama dengan belanja bina Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebanyak RM50.27 bilion.

Banyak negara tak dapat membangun sebab rasuah manakala ada yang terus bankrap. Duit pencen kakitangan awam dan caruman pekerja swasta pun lesap.

Ambil contoh kes rasuah SRC yang sebabkan Mohd Najib Abdul Razak masuk jel. RM42 juta duit SRC masuk akaun peribadi dia. SRC hutang RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Apabila hutang RM4 bilion itu habis dibayar balik, jumlahnya jadi RM9.2 bilion. KWAP ni tabung pencen kakitangan awam. SRC ini asalnya anak syarikat 1MDB.

1MBD lagilah teruk. Pada satu masa hutangnya berjumlah RM50.75 bilion. 1MDB ni dah lama bankrap tak mampu bayar balik hutang. Kenalah kerajaan ambil alih. Bila kerajaan ambil alih jadilah beban kita. Duit cukai kitalah yang kerajaan guna untuk bayar balik hutang 1MDB. Sehingga 31 Disember 2021, baki hutangnya RM38. 81 bilion.

Nasib baiklah Barisan Nasional kalah PRU 2018 maka terbuktilah rasuah sistemik yang dilakukan oleh Najib dan konco-konco dia. Najib dah masuk jel tapi rumah besar Umno/BN masih didiami oleh hantu dan jembalang kleptokrasi.

Kerana rasuah jugalah ekonomi haram di negara kita sangat besar. Ketua pasukan antirasuah bukan kerajaan #RasuahBusters, Hussamuddin Yaacub kata, berasaskan Laporan Integriti Kewangan Global (Global Financial Integrity Report) 2017, Malaysia rugi RM1.8 trilion antara 2005 dan 2014 akibat pengaliran duit haram yang sebahagiannya berpunca daripada kegiatan rasuah. Jumlah ini lebih daripada cukup untuk tampung hutang dan tanggungan hutang kerajaan sebanyak RM1.18 trilion.

Kesimpulannya, kalau kita nak bersihkan negara kita daripada najis rasuah ini, kita tak boleh benar Umno/BN balik berkuasa macam zaman Najib. Umno/BN kena taubat dan bersihkan dirinya daripada rasuah.

Rencana saya dalam akhbar Sinar Harian semalam yang disertakan di bawah boleh memberi pemahaman lebih mendalam. Terima kasih.

Mahkamah buat keputusan betul, kata anak Rosmah

FMT Reporters

Azrene Ahmad berkata dia akan terus mendoakan ibunya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Anak perempuan Rosmah Mansor berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul dalam mensabitkan ibunya atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Azrene Ahmad, anak kandung Rosmah daripada perkahwinan terdahulu yang sebelum ini dilaporkan mempunyai hubungan “dingin” dengan ibunya berkata, keputusan mahkamah perlu dihormati.

“Biarlah perkara itu habis sehingga ke Mahkamah Persekutuan jika perlu. Kita perlu mempercayai fakta dan keupayaan badan kehakiman kita untuk mencapai penghakimannya tanpa halangan dan tanpa rasa takut.

“Sebagai seorang anak, ia sentiasa mudah untuk berfikir hanya secara subjektif. Ia sentiasa sukar untuk menjadi objektif dalam pemikiran dan tindakan kita, memandangkan keadaan sosio-teologi yang telah kita terima sejak lahir.

“Walaupun banyak ‘white noise’ subjektif oleh masyarakat kita, budaya dan penerapan agamanya, saya tetap objektif. Betul adalah betul, salah adalah salah – terutama apabila ia berkaitan dengan pemimpin (termasuk pasangan); walaupun mereka adalah keluarga,” katanya di Instagram.

Azrene yang berkahwin dengan cef selebriti Fazley Yaakob berkata, beliau menerima pelbagai teguran sejak empat tahun lalu, sejak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan kepentingan negara kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai manusia dan rakyat Malaysia, walaupun kapasitinya terhad.

“Sebagai seorang anak, saya hanya boleh terus mendoakan mereka (ibu bapa) dan mengharapkan yang terbaik walaupun saya menjangkakan yang paling teruk,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan.

Zahid: PAS sentiasa bermain ‘selamat’ dan ‘mandi dalam beberapa kolam’

Kerjasama politik PAS dalam MN ‘dangkal’, tiba masa Umno ke depan, kata Zahid

FMT Reporters

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan PAS sentiasa bermain ‘selamat’ dan ‘mandi dalam beberapa kolam’.

PETALING JAYA: Umno perlu bergerak ke depan memandangkan PAS hanya menawarkan kerjasama politik yang disifatkan “dangkal” dalam Muafakat Nasional (MN), kata presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin, lebih-lebih lagi PAS menjalinkan hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan Umno dari luar dan dalam.

Beliau merujuk kepada keputusan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Bersatu, parti serpihan Umno.

“Apa yang saya lihat, kerjasama yang PAS sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.

“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan PAS dapat dilihat,” kata Zahid di Facebook.

Menurutnya, Umno perlu bergerak ke hadapan dan keputusan untuk bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hasil sikap PAS sendiri.

“Umno tak perlu sedu-sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam,” katanya.

Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam, bahawa parti itu tidak pernah mengisytiharkan MN dibubarkan, begitu juga dengan Umno.

Tuan Ibrahim berkata, platform penyatuan ummah itu perlu diteruskan demi kepentingan bangsa Melayu dan Islam serta masa depan negara.

Dua parti Melayu terbesar itu membentuk pakatan berkenaan pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan matlamat utama menyatukan undi Melayu-Islam.

Namun, pada Disember tahun lalu, PAS menolak gagasan MN jika Umno enggan menerima Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika itu berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan NGO.

Pada 2 Ogos, Zahid mengajak PAS mengadu kekuatan terlebih dulu pada PRU15, sekiranya ingin bercakap berhubung pembentukan kerjasama.

Katanya, jika PAS masih mahu membentuk kerjasama dengan Umno, ia boleh dilakukan selepas PRU15.

“Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan..kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi.

“Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka,” katanya dalam wawancara “Jawab, Saya Tanya!” yang disiarkan secara langsung di Facebook miliknya.

‘Yang tengah tunggu giliran kes mesti menggelupur’, rakyat teruja giliran Bung Moktar dan isteri pula jadi tumpuan

DANIAL HAKIM

Rakyat dilihat teruja dengan tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Reaksi awam itu susulan siri ‘pembersihan’ kes rasuah dan salahguna kuasa bermula daripada Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

“Yang tengah tunggu giliran kes sekarang mesti menggelupur”, kata seorang pengguna Facebook.

Orang ramai juga menyambut baik perintah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap Bung Moktar dan Zizie Izette agar membela diri atas tuduhan rasuah tersebut.

“Ini berita baik buat negara tetapi berita buruk buat perasuah-perasuah di luar sana. Anda jangan ingat anda akan terlepas,” tulis Fariz Izuddin Jufri.

RM6.5 juta memang untuk Rosmah, pembelaan hanya nafi semata-mata

Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa RM6.5 juta memang untuk Rosmah Mansor dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakiman bertulisnya berkata Rosmah menafikan menerima dua beg berisi wang tunai RM1.5 dan mendakwa satu-satunya perkara yang berlaku pada hari itu hanyalah Saidi Abang Samsudin (bekas pengarah urusan Jepak Holdings), meminta bantuannya berkaitan projek telaga air yang beliau ingin cadangkan kepada Kementerian Pendidikan.

“Tertuduh sekadar menafikan yang beliau telah melihat beg-beg tersebut dan Saidi memberitahunya bahawa beliau telah membawakan wang seperti dijanjikan yang mana tertuduh menjawab dengan “Hmmm.”

“Pada akhir kes pendakwaan, saya dapati Saidi seorang saksi yang boleh dipercayai dan menerima versinya. Dalam mana-mana keadaan, saya mendapati bahawa keterangan Rizal dan Rayyan Radzwill Abdullah, yang merupakan rakan kongsi Saidi, telah menyokong penuh versi Saidi,” katanya.

 Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Hakim itu berkata telah dibuktikan juga bahawa Saidi membawa kedua-dua beg ke kediaman tertuduh di Langgak Duta sehingga ke ruang tamu.

“Keterangan Rizal, Saidi, Rayyan Radzwill dan seorang pemandu Shamsul Rizal Sharbini telah menyatakan semula fakta ini.

"Saya berpandangan bahawa pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata. Penafian beliau tidak mempunyai apa-apa merit berdasarkan keterangan Rizal, Saidi, Rayyan dan Shamsul.

“Adalah tidak penting sama ada beg-beg tersebut diserahkan secara fizikal kepada beliau.

"Fakta bahawa beg-beg itu telah ditinggalkan di ruang tamu menandakan penerimaannya. Fakta bahawa beliau telah mengarahkan butlernya untuk membawa beg-beg itu ke biliknya di tingkat atas juga menandakan penerimaannya,” kata beliau.

Hakim itu berkata tertuduh telah gagal untuk menyangkal tanggapan mengenai imbangan kemungkinan dan pihak pendakwaan telah membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah berkaitan penerimaan RM1.5 juta.

Hakim berkata tertuduh juga menafikan telah menerima RM5 juta di Seri Perdana dan mendakwa berada di kediamannya di Langgak Duta.

“Beliau juga mengatakan bahawa Rizal telah mengambil RM5 juta itu untuk dirinya dan perjalanan ke Seri Perdana adalah satu sandiwara.


Gambar fail, Saidi Abang Samsudin di mahkamah.

“Ia bukan satu kebetulan RM5 juta dibayar selepas surat anugerah bertarikh 10 Nov 2016 dikeluarkan kepada Jepak.

“Saidi telah membuat pinjaman sebanyak RM16 juta untuk Jepak dan menggunakan RM5 juta untuk membuat pembayaran itu.

“Ini tentunya selepas Rizal mengingatkan beliau mengenai janjinya untuk membayar tertuduh,” katanya.

Hakim itu berkata wang RM5 juta yang telah dikeluarkan itu dibawa ke Pavilion dan enggan diterima oleh Lawrence Tee Kien Moon, seperti yang dinyatakan dalam kes pendakwaan.

Hantar wang RM5 juta

Beliau berkata tertuduh telah menafikan bahawa Rizal telah menelefonnya pada ketika beliau bersama Lawrence dan dimaklumkan untuk menghantar wang itu ke Seri Perdana.

“Saya dapati penafiannya tidak dapat dipertahan kerana bertentangan dengan fakta bahawa Rizal akan menghadapi masalah dan pada mulanya terpaksa berjumpa Lawrence untuk menghantar wang itu.

"Beliau boleh dengan mudah merancang untuk mengambil wang itu menerusi cara lain. Fakta bahawa dia pergi berjumpa Lawrence untuk menghantar RM5 juta sama seperti fakta dalam pertuduhan meminta wang, iaitu Lawrence telah diamanahkan untuk merangka perjanjian perundingan bagi memudahkan pembayaran yang akan dibuat Saidi,” katanya.

Mohamed Zaini seterusnya berkata Rizal tidak menjangkakan yang Lawrence enggan menerima wang itu kerana jika tidak, beliau tidak akan mengarahkan Saidi untuk ke pejabat Lawrence.

“Adalah tidak masuk akal untuk Rizal menelefon tertuduh kerana keseluruhan rancangan itu dibuat oleh tertuduh sendiri.

“Kenapa Rizal nak bersusah payah memandu ke Seri Perdana jika beliau ingin mengambil wang tunai itu untuk dirinya?

"Beliau pergi ke sana bersama ahli perniagaan Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin yang bersamanya di sepanjang perjalanan. Tidak pernah dicadangkan bahawa Ahmed bersubahat dengan Rizal,” kata hakim itu.

Hakim itu berkata mahkamah telah menerima bahawa Ahmed Farriq adalah saksi yang tidak mempunyai kepentingan dan boleh dipercayai.

“Ahmed Farriq nampak Rizal mengarahkan butler tertuduh untuk membawakan beg ke dalam Seri Perdana.

"Saya juga menerima penjelasan Rizal kenapa beliau meminta pegawai UTK untuk keluar dari kenderaannya sebelum tiba di Seri Perdana,” katanya.

Hakim itu menegaskan bahawa tertuduh telah, dalam pernyataan saksinya, semata-mata menafikan berada di Seri Perdana dan mendakwa beliau berada di pelbagai tempat di Kuala Lumpur pada hari tersebut.

“Ia satu fakta bahawa Seri Perdana merupakan kediaman rasminya. Tidak ada sebab untuk Rizal menghantar beg-beg dengan wang tunai RM5 juta ke sana, jika tidak kerana bahawa ia memang untuk tertuduh,” kata hakim.

Beliau juga mendapati agak sukar untuk menerima bahawa Rizal telah meminta untuk dirinya 15 peratus dari RM187.5 juta, kerana ia satu jumlah yang besar dan beliau hanyalah seorang kakitangan di Pejabat Perdana Menteri.

“Ia suatu yang tidak munasabah untuk menerima bahawa Rizal telah merangka skim itu untuk kepentingannya, kerana tentunya ia akan diketahui.

“Saya ragu-ragu bahawa Rizal akan mengambil risiko sebesar itu. Pada pandangan saya bahawa beliau hanya mampu untuk meminta wang, kerana beliau telah diarahkan oleh tertuduh.

“Saya mendapati penafian tertuduh tidak dapat dipertahankan. Untuk mencadangkan bawah Rizal dengan beraninya mengaturkan skim seperti itu tanpa diketahui tertuduh, agak susah untuk dipercayai.

“Sebagai contoh, kenapa Rizal bersusah payah untuk membawa Saidi dan Rayyan bertemu tertuduh di kediamannya jika beliau mempunyai kuasa yang sebesar itu?,” katanya.

Hakim Mohd Zaini mendapati sukar untuk mencadangkan bahawa Rizal telah mengaturkan Saidi dan Rayyan untuk berada di kediaman tertuduh tanpa pengetahuannya, kerana itu merupakan kediaman persendirian tertuduh.

“Agak sukar untuk diterima bahawa Rizal telah mencuba nasib untuk beliau ada di rumah dan kemudiannya membawa Saidi dan Rayyan tanpa sebarang agenda. Adalah lebih berkemungkinan bahawa Rizal telah memaklumkan tertuduh dan membuat aturan awal untuk kedua-dua mereka bertemu tertuduh,” katanya.

- Bernama

Hakim: Rosmah campuri urusan kerajaan ketika Najib jadi PM

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor mencampuri hal ehwal kerajaan ketika suaminya Najib Razak menjadi perdana menteri antara 2009 hingga 2018, kata Mahkamah Tinggi.

Hakim Zaini Mazlan berkata, ini berdasarkan rakaman audio dikatakan perbualan antara Rosmah dan Najib mengenai isu berkaitan 1MDB, dan turut disokong keterangan saksi pendakwaan.

“Jelas daripada rakaman itu, tertuduh memberi arahan kepada Najib mengenai hal ehwal kerajaan,” katanya dalam penghakiman sepanjang 116 muka surat ketika mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah di luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Katanya, nada Rosmah adalah memerintah, dan bertentangan dengan dakwaannya bahawa dia mematuhi arahan Najib supaya tidak mencampuri hal ehwal kerajaan.

“Saya menyatakan perkara ini dengan penuh hormat, namun jelas tertuduh mendominasi Najib. Dia mempunyai kawalan terhadapnya. Dia tidak patut mencampuri tugas atau hal ehwal Najib, tetapi berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Rosmah cuba menggambarkan perbualan itu sebagai borak biasa antara suami isteri.

Zaini berkata, bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor bercakap benar apabila memberi keterangan bahawa tertuduh dilihat sebagai garang dan mampu mempengaruhi keputusan berkaitan perkhidmatan awam.

Katanya, ini kerana Rizal telah berkhidmat lama dengan Rosmah seterusnya mampu melihat sendiri sikap itu.

Zaini berkata, beliau juga tiada sebab untuk curiga dengan keterangan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamed yang mengesahkan suara dalam rakaman itu sebagai milik Najib serta Rosmah.

Ketika soal balas oleh pendakwa ad-hoc Gopal Sri Ram, Rosmah menolak isi kandungan rakaman itu sebagai “merepek”.

Pendakwaan mengemukakan rakaman itu bagi menyokong dakwaannya bahawa Rosmah cukup berpengaruh kerana garang, walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi.

Ia juga bagi menunjukkan Rosmah mendesak pegawai kanan Kementerian Pendidikan supaya memberikan projek itu kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Rosmah didapati bersalah meminta RM187.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion berkenaan.

Dia menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Disember 2016, dan RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap satu tuduhan terhadapnya, dengan kesemua hukuman itu berjalan serentak.

Enggan teruskan hubungan, wanita parah ditikam, ditetak teman lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita parah ditikam dan ditetak teman lelaki kerana mahu memutuskan hubungan dalam kejadian di sebuah pangsapuri dekat Masai, Pasir Gudang, semalam.

Kejadian berlaku jam 12 tengah hari itu, hanya disedari pengawal keselamatan selepas terdengar jeritan mangsa.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, pengawal keselamatan memaklumkan terdengar pergaduhan di unit kediaman itu dan ketika membuat pemeriksaan, mendapati suspek memegang pisau dengan mangsa berlumuran darah.

“Polis berjaya berjaya menahan suspek berusia 30 tahun yang juga pemandu e-panggilan di lokasi sama, jam 1 tengah hari kejadian kerana menetak di beberapa bahagian badan dan menikam mangsa.

“Mangsa luka di muka, lengan dan pergelangan tangan, selain cedera ditikam di bahagian rusuk. Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut,” katanya menurut Berita Harian.

Sohaimi berkata, siasatan awal mendapati, suspek bertindak sedemikian kerana marah terhadap mangsa yang enggan meneruskan hubungan percintaan mereka.

Katanya lagi, polis turut merampas pisau sepanjang 19 sentimeter yang digunakan dalam kejadian itu.

“Siasatan mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 6 September selepas permohonan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Khalida Farhana Abu Bakar, di Mahkamah Majistret, hari ini,” katanya.

Adakah denda RM970 juta adil buat Rosmah, soal peguam

Mohamad Fadli dan 'Ainin Wan Salleh

KUALA LUMPUR: Peguam Rosmah, Jagjit Singh mengkritik denda RM970 juta yang dikenakan selepas Rosmah Mansor didapati bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau berkata denda seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini, dan adakah itu adil untuk Rosmah.

“Hari ini hukuman itu telah dijatuhkan dan jumlah denda mencecah RM970 juta iaitu hampir RM1 bilion.

“Beritahu saya, siapa di antara kamu semua yang mampu memiliki wang seperti itu. Beritahu saya. Saya tidak mampu walaupun RM1 juta,” katanya pada sidang media hari ini selepas Rosmah dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi.

Jagjit berkata, notis rayuan sudah diberikan kepada mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Rosmah, 70, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek berkenaan.

Denda RM970 juta adalah jumlah minimum diperuntukkan bawah Seksyen 24(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Jagjit berkata, hampir RM1 bilion perlu dibayar Rosmah yang tiada punca pendapatan.

Beliau mempersoalkan adakah itu keadilan untuk rakyat.

“Denda dikenakan tidak pernah berlaku sebelum ini dan terbesar dalam sejarah perundangan Malaysia. Kami memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri tetapi permohonan ditolak,” katanya.

Dalam pada itu, Jagjit memohon maaf jika kenyataannya pada sidang media hari ini kelihatan agak beremosi.

Katanya, kenyataan dikeluarkan itu adalah daripada hatinya.

“Ini daripada hati. Saya hanya memberitahu anda bagaimana saya rasa. Perlu ada keadilan untuk semua. Keadilan untuk semua orang. Kami melakukan kerja kami secara profesional,” katanya.

Rosmah keluar dari Mahkamah Tinggi pada 4.50 petang tadi.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu hadir di Mahkamah Tinggi pada 8.54 pagi.

Rosmah yang kelihatan mengalirkan air mata selepas disabitkan tuduhan rasuah tetap mengaku tidak bersalah, menyatakan beliau menjadi mangsa ketika memberikan kenyataan dari kandang tertuduh.

Rosmah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah Mansor.

Jika dia gagal menjelaskan denda itu, dia perlu menjalani tambahan hukuman penjara 30 tahun lagi.

Hukuman itu selepas dia disabit bersalah atas ketiga-tiga tuduhan dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Namun, hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Zaini juga membenarkan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.

Rosmah menangis, tetap mengaku tak salah

 Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor yang kelihatan mengalirkan air mata selepas disabitkan tuduhan rasuah tetap mengaku beliau tidak bersalah.

“Saya menjadi mangsa,” katanya yang memberi kenyataan dari kandang tertuduh.

“Saya tidak pernah meminta wang.”

“Saya harap pihak tuan akan mempertimbangkan (hakikat) bahawa saya seorang wanita yang mengambil alih peranan lelaki di rumah saya,” katanya, merujuk kepada hukuman penjara terhadap Najib Razak minggu lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

“Pandanglah saya sebagai seorang wanita dengan penuh belas kasihan serta perikemanusiaan,” katanya sambil menangis teresak-esak ketika berucap di mahkamah.

Terdahulu, Rosmah didapati bersalah atas tuduhan rasuah berkait projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Rosmah, 70, didakwa meminta suapan RM187.5 juta untuk dirinya sendiri, daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin yang dibuat melalui bekas pembantu Rizal Mansor, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek tenaga solar tersebut.

Dia juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Rosmah turut menghadapi pertuduhan tambahan, menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Berikutan itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah dapati Rosmah bersalah atas 3 pertuduhan rasuah

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mensabitkan Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Menurutnya, tertuduh bersalah atas semua pertuduhan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Poh Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Kesemua kes itu diperintahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perbicaraan bermula pada 5 Februari 2020.

Tak pe la.. mungkin lebai-lebai PAS Kedah seronok juga dapat tengok ahli bina badan wanita bertelanjang cam gini

Selepas Fashion Week, kali ini tunjuk ‘body’ pula Kerajaan Pas Kedah dikecam

NASUHA RAHMAN

Sebelum ini kerajaan Pas Kedah telah dikecam orang ramai hebat dikatakan membenarkan pertunjukan Fashion Week dan pada kali ini pertandingan tunjuk ‘body’ pula diadakan di negeri itu.

Penganjuran Mr Malaysia 2022 yang berlangsung di Hotel Grand Alora, Alor Setar, Kedah telah mengejutkan apabila pertunjukan itu bukan melibatkan peserta lelaki sahaja bahkan ada peserta dalam kalangan wanita.

Di mana Best Poser telah dimenangi oleh Atlet Bina Badan Wanita dari Sabah iaitu Junaidah Ahmad, beliau juga menjuarai kategori Bina Badan Wanita.

Champ of Champs Mr Malaysia 2022 dimenangi oleh Atlet Bina Badan dari ATM iaitu Zainal Arif bin Zainal Ariffin. Beliau juga menjuarai kategori Bina Badan Light Middleweight, dipetik TegapTv Malaysia.

Penganjuran itu telah menerima kritikan hebat dalam kalangan netizen yang menyifatkan kerajaan Pas Kedah sudah semakin ‘berani’ dengan membenarkan program seperti ini diadakan yang sah-sah ia adalah haram.

“Hari tu Kedah Fashion Show. Kali ni bina badan pulak. Kedah semakin berani….eh maju!” komen Khairul Aime Mohd Termizi.

“Terbaik la Kedah Darul Amran mcm mcm ado..show pondan ada..show pengkit ada..bestttt rasa nak pindah sana..,” kata Farah Batrisya.

“Mereka semakin berahi!” komen Ahmad Zhafri Md Noor.

“Hebat negeri lebai,” kata Zulfadly Ruslan di Facebook TegapTV.

Tidak kurang juga ada yang ‘menganjing’ bahawa program itu bukan berlaku di negeri Kedah yang ditadbir oleh Pas kononya kerajaan Islam.

“Ni bukan kt KEDAH Malaysia la..ni KEDAH lg satu.. Kedah Australia..apa la tu pn x tau..kata merdeka lama dah,” komen Ahmad Firdaus.

“xjauh mana dari pejabat sanusi… dlm 5km ja grand alora tu..,” komen seorang lagi netizen yang tinggal di Baling.

“Fuhhh pas kat sana buat apa?? Bende mcm ni tak lak bising eh..,”komen Danial Jalil.

Di Facebook TegapTv turut memaklummkan Juara Keseluruhan Negeri atau Pasukan dimenangi oleh Team Angkatan Tentera Malaysia dengan pungutan markah sebanyak 135 mata.

Difahamkan program Kejohanan Mr Malaysia kali ke-51 tahun ini dianjurkan Persatuan Bina Badan Kedah dan dijangka akan diadakan lagi pada tahun 2023 bagaimanapun akan tunggu dan lihat negeri mana pula yang akan menjadi tuan rumah pada kejohanan akan datang.

Awal Ogos lalu, orang ramai mengecam kerajaan negeri Kedah gara-gara penganjuran Minggu Fesyen Kedah atau Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) selama 3 hari yang turut menampilkan model tayang dada tersembul.

Susulan tersebar gambar model yang nampak macam wanita memakai sut potongan formal serba hijau yang merupakan warna parti Pas tanpa coli sekaligus menampakkan bahagian dadanya.

Bagaimanapun pertunjukkan itu disahkan melibatkan perserta dalam kalangan pondan.

Isu logo, Umno dan ‘kerjasama’ dengan PH dijangka dominasi Muktamar PAS

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Muktamar PAS yang bermula hari ini dengan mesyuarat tahunan sayap, dijangka menghantar mesej jelas kepada Bersatu dan Presidennya, Muhyiddin Yassin untuk membatalkan sebarang niat menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Muktamar itu juga dijangka memfokuskan tahap keyakinan PAS terhadap Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, selepas beberapa negeri di bawah teraju PAS dilaporkan tidak mahu menggunakan simbol PN untuk PRU, sebaliknya mahu kekal dengan logo bulan.

Sejak Selasa lalu, Muhyiddin “diasak” pemimpin PAS selepas bekas perdana menteri itu dilaporkan “terbuka” kepada kerjasama dengan parti lain, termasuk PH untuk memastikan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak memenangi PRU15. PAS menganggap PH, khususnya DAP, sebagai seteru politik utamanya.

Pimpinan PAS mungkin boleh menarik nafas lega kerana perkembangan setakat ini menunjukkan usaha Muhyiddin selaku presiden Bersatu dan pengerusi PN untuk menjalin kerjasama sedemikian belum berhasil.

Namun, ia bukan disebabkan Muhyiddin tunduk kepada sentimen PAS menolak kerjasama dengan PH, tetapi lebih kepada pelawaan Ahli Parlimen Pagoh itu ditolak keras pemimpin PH sendiri, termasuk Lim Guan Eng (DAP), Rafizi Ramli (PKR) dan Mohamad Sabu (Amanah). Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan Muhyiddin hanya berminat menjadi perdana menteri semula.

Meskipun hasrat Muhyiddin itu boleh dianggap “terbatal” dengan reaksi PH itu, isu berkenaan dijangka tetap akan dibangkitkan perwakilan PAS.

Kalangan akar umbi dan pimpinan PAS melihat usaha Muhyiddin mencari sekutu baharu seperti PH, seolah-olah menidakkan pendirian parti itu berhubung kerjasama politik.

“Pada muktamar kali ini, PAS akan memberi mesej jelas kepada mana-mana parti yang ingin bergabung dengan PAS supaya pendirian mereka dalam isu kepentingan umat Islam harus diberi perhatian dan mereka perlu dihormati sebagai parti gergasi dalam negara,” kata penganalisis politik, Noor Nirwandy Noordin dari Universiti Teknologi Mara.

“Muhyiddin jangan sewenang-wenang mengeluarkan kenyataan atas nama PN tanpa persetujuan rakan komponen lain, terutama PAS, lebih-lebih lagi membabitkan perkara dasar dan strategik besar.

“Saya harap PAS terus bertegas dalam isu ini supaya tidak dilihat sebagai ‘pak turut’ untuk agenda pihak tertentu,” tegas bekas pesuruhjaya PAS Melaka Kamarudin Sidek.

Selain isu Muhyiddin terbuka kepada kerjasama dengan PH, akar umbi PAS juga dalam dilema mengenai penggunaan logo PN pada PRU15. Wujud desakan dalam kalangan pemimpin PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menolak logo PN, sebaliknya mahu logo tradisi parti itu terus digunakan.

Tindakan sedemikian, jika dibenarkan pucuk pimpinan PAS, tentunya mengundang persepsi parti itu tidak mempunyai keyakinan penuh terhadap PN mahupun Muhyiddin sebagai tonggak utama berdepan PRU15.

“Isu (logo) ini pasti akan diungkit, bukan oleh presiden, tetapi ahli lain dan ia akan mempamerkan betapa PAS tidak begitu yakin dengan PN atau lebih tepat, Bersatu sebagai tonggak PN. Saya rasa penggunaan logo akan menjadi keutamaan agenda muktamar,” kata penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.

“(Ia) akan menjadi perbincangan hangat pada muktamar,” kata beliau.

Muktamar PAS juga dijangka mengupas hubungan parti itu dengan Umno yang kerap dibayangi “perang mulut” antara pemimpin utama dua parti itu, walaupun Umno dan PAS masing-masing tidak mahu memansuhkan secara rasmi Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan pada 2019.

Perwakilan parti dijangka menunggu “amanat khas” atau “petunjuk” daripada Presidennya, Abdul Hadi Awang berhubung hala tuju parti itu, selepas Umno bertekad bertanding “solo” di bawah panji BN pada PRU15.

Meskipun Hadi lantang membidas pemimpin tertentu Umno, pemimpin PAS seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Hashim Jasin dilihat masih berusaha “memujuk” Umno kembali ke meja rundingan.

Namun, usaha itu tentunya menjadi lebih sukar susulan hasrat Muhyiddin mengatur penubuhan gabungan perdana untuk melawan BN.

Lokman Adam bakal didakwa esok berkait hina kerajaan, PM

FMT Reporters

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu didakwa menghina kerajaan dan perdana menteri melalui akaun Facebooknya. 

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam akan dituduh di mahkamah esok berkaitan dakwaan menghina kerajaan dan perdana menteri melalui akaun Facebooknya.

Pertuduhan terhadap Lokman yang berhadapan dua pertuduhan dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, 9.30 pagi.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kes itu susulan penghantaran video berniat jahat dan kenyataan menghina kerajaan dan perdana menteri melalui akaun Facebook Lokman Noor Adam Official.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Lokman akan disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, Lokman dalam hantaran di Facebook bagi menjawab tuduhan itu berkata, dia percayai ia ada kaitan dua video yang dibuat secara langsung bagi menjawab kenyataan perdana menteri berhubung PRU15.

Hadiah ulang tahun negara ke 65, orang kayangan masuk penjara kerana rasuah

A KADIR JASIN

Enam puluh lima tahun lalu, saya tenangkan Almarhum nenek (orang Kedah panggil tok) saya yang Jepun tidak akan datang semula apabila Inggeris meninggalkan Malaya.

Nenek gembira negara akan merdeka, walaupun dia tidak tahu apa-apa mengenainya selain orang putih akan keluar dan Tunku Abdul Rahman akan ganti. Tetapi dia bimbang Jepun akan menakluki Malaya semula.

Pada zaman Jepun, orang kampung menderita kekurangan makan pakai akibat kerosakan sistem ekonomi. Rantaian bekalan yang terputus menyebabkan barangan pengguna kurang dan harga naik.

Walaupun kampung kami kecil dan terpencil untuk menarik perhatian pentadbiran Jepun, namun ikut cerita nenek, setiap kali ada khabar angin tentera Jepun akan buat operasi atau lalu di kampung kami, orang perempuan, orang tua dan kanak-kanak akan lari masuk hutan.

Pada tahun 1957 Malaya merdeka. Jepun jadi negara sahabat. Orang kita terus gila kepada Liga Perdana Inggeris.

Selepas Hat Yai dan Makkah, London adalah destinasi wajib bagi yang mampu.

Menjelang ulang tahun kemerdekaan yang ke-65 ini, saya terpaksa yakinkan pula salah seorang anak saya yang saya tidak ambil hati kerana dia sekarang memegang pasport Switzerland. Dia tidak guna pasport Malaysia lagi.

Dia sudah menetap di sana hampir 20 tahun, mempunyai tiga orang anak yang semuanya warganegara Switzerland. Suaminya seorang Swiss berketurunan Jerman.

Dia tidak mahu pening kepala daftar anak-anaknya dengan Kedutaan Malaysia pasal dia tahu hipokrasi dasar kewarganegaraan Malaysia terhadap wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing.

Sebelum berumahtangga, dia bekerja dengan seorang Menteri Hal Ehwal Wanita dari parti Umno. Jadi dia tahu dari jarak dekat.

Malaysia merdeka tetapi tidak semuanya bebas. Kita tidak pernah bebas daripada rasuah.

Alhamdulillah, ulang tahun ke-65 ini, seorang orang kayangan, orang besar negeri, pahlawan Bugis dan bekas Perdana Menteri masuk penjara kerana rasuah.

Biarlah ini menjadi contoh dan teladan bahawa jenayah tidak berbaloi. Crime doesn’t pay.

Marilah kita jadikan peristiwa ini sebagai pengeras dan penguat semangat dalam perjuangan kita memerdekakan Malaysia daripada rasuah, pengkhianatan, pengkastaan dan feudalisme baru. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Polis akan panggil Rafizi berhubung dakwaan terhadap menteri

Malaysiakini 

Polis akan memanggil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam masa terdekat berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Abdul Latiff Ahmad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai mengesahkan menerima laporan yang dibuat malam tadi oleh pegawai khas Abdul Latiff berkenaan tulisan di blog Rafizi yang turut dikongsi di akaun Facebook dan Twitter miliknya.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 KK (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

"Penama Rafizi Ramli akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.

Rafizi dalam beberapa siri pendedahan sebelum ini mendakwa Abdul Latiff dan ahli keluarganya mendapat keuntungan daripada projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion dan kontrak pertahanan lain semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan .

Rafizi juga menegaskan bahawa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh, yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tersebut.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Latiff, Sayed Ahmad Mu'izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya walaupun menteri berkenaan telah membuat penafian.

Sayed juga berkata Rafizi mengelirukan orang ramai dengan hanya merujuk draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya, sepertimana yang disebut Abdul Latiff.

Katanya, ia dilakukan dengan mengabaikan penafian yang terkandung dalam laporan berkenaan yang menyatakan juruaudit tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh individu yang terlibat dalam projek itu.

Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS dan keluarganya juga tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013.

Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang perbuatan yang dilakukan individu berkenaan tiada kaitan dengan dirinya.

WALAU TAK SAYANG

Shahbudin Husin 

Di sebalik banyak khabar angin mengenai perletakan jawatannya, Azalina Othman Said tampil mengesahkan beliau masih lagi memegang jawatan Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri. 

Beberapa saluran media turut menyiarkan laporan kononnya beliau telah mrletak jawatan bermula Selalu lalu.

Pengesahan Azalina itu ditulisnya dalam laman sosial FBnya pagi tadi.

Tulisannya berbunyi:-

“Saya ingin mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Merdeka ke-65.”


Dengan berani mengkritik Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung perlantikan Peguam Negara terbuka di pentas UMNO ketika masjlis taklimat khas Sabtu lalu, Azalina sepatutnya tidak menunggu lama untuk meletakkan jawatannya.

Ini kerana Ismail Sabri yang dikritiknya itulah yang melantiknya memegang jawatan penasihat khas itu berkuatkuasa 2 Oktober 2021 lalu.

Dari segi prinsip, tidak betul seseorang itu mengkritik secara terbuka orang yang memberinya jawatan untuk menyedapkan lagi tekak membeli makanan.

Berbuat demikian menggambarkan Azalina adalah seorang yang tidak berprinsip dan tidak mengenang budi.

Seharusnya, sebelum majlis taklimat dan mengkritik Perdana Menteri lagi beliau sudah patut meninggalkan jawatannya.

Namun, melalui pengesahan bahawa beliau masih lagi memegang jawatan yang dilantik Ismail Sabri itu, ini bermakna Azalina tetap sayang kepada jawatannya, walaupun beliau tidak sayang mulut untuk secara terbuka dan gembira mengkritik boss sendiri.

Tak malu ke? – ShahbudinHusin 31/08/2022.

Jeritan minta tolong selamatkan wanita yang dikurung

MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU: Jeritan seorang wanita warga asing yang didengari jiran berjaya menyelamatkannya selepas dikurung di dalam sebuah rumah selama tiga hari di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 37 tahun itu dikurung seorang lelaki dan wanita warga tempatan dalam rumah berkenaan.

Jiran suspek yang merupakan wanita berusia 34 tahun memaklumkan perkara tersebut kepada anggota polis setelah terdengar mangsa menjerit meminta tolong pada pukul 11.45 pagi.

“Bertindak atas maklumat pada 1.30 petang sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

“Pihak polis berjaya menyelamatkan mangsa yang dikurung dalam rumah dengan pintu dikunci dengan mangga dari luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah tetapi telah dikurung di rumah berkenaan sementara mendapatkan kerja itu.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 36 dan 38 tahun pada pukul 3.30 petang dan 9.42 malam semalam di dua lokasi berasingan di sini.

Polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama daripada kedua-dua suspek dan menyiasat hubungan antara mereka.

“Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 3 September depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. –UTUSAN ONLINE

UMNO saman Malaysiakini dan Astro Awani masing-masing sebanyak RM25 juta

Umno kemuka saman pemula terhadap 2 media keluar ‘berita fitnah’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini, menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta masing-masing kepada Malaysiakini dan Astro Awani kerana mengeluarkan “berita fitnah” terhadap Umno.

Beliau merujuk laporan yang kononnya parti itu memberi kata dua kepada Ismail, ketika mesyuarat Biro Politik diadakan, baru-baru ini.

Katanya, surat saman pemula dihantar menerusi peguam mewakili Umno dan tindakan itu diambil kerana tidak mahu fitnah berlegar sehingga mencetuskan persepsi negatif yang memudaratkan parti dan seluruh warga pendokongnya.

“Ramai bertanyakan status saman terhadap Malaysiakini dan Astro Awani yang mengeluarkan berita fitnah terhadap Umno.

“Untuk pengetahuan, peguam yang mewakili Umno sudah pun menghantar surat tuntutan saman pemula kepada Malaysiakini dan Astro Awani,” katanya di Facebook.

Jelas beliau, sudah tiba masanya bertindak lebih agresif melalui saluran undang-undang kerana Umno sudah lama bersikap ‘gentleman’.

“Insya Allah, jika ada mana-mana lagi pihak termasuk individu yang memfitnah Umno dengan apa juga bentuk laporan, komentar atau berita palsu, saya dan Pemuda Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa,” katanya.

Sebelum ini, Asyraf tegs mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap dua media berkenaan atas dakwaan yang dikatakannya sebagai palsu.

Beliau mendakwa, apa yang dilaporkan Malaysiakini sama ada perdana menteri didesak untuk membubarkan Parlimen atau dipecat adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap Umno.

Katanya, Awani yang turut membuat “berita fitnah” tempoh hari kononnya mesyuarat ketua bahagian Umno ada mendesak untuk Ismail campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes SRC dihadapi Najib Razak.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, selain dikenakan denda RM210 juta susulan keputusan mahkamah tertinggi itu mengekalkan keputusan sabitan dan hukuman diputuskan Mahkamah Rayuan.

Ha ha ha!! PAS beri amaran kepada Muhyiddin

PAS tak pernah setuju kerjasama PN-PH, Muhyiddin jangan buat kenyataan sewenang-wenang

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: PAS Melaka mengingatkan partinya supaya lebih tegas dan mengelak daripada dilabelkan sebagai “pak turut” dengan menuruti cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin untuk mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15.

Bekas pesuruhjayanya, Kamarudin Sidek berkata, ini kerana kenyataan Muhyiddin itu bertentangan dengan aspirasi Hadi yang menolak rundingan dengan PH.

“PAS tidak boleh dilabel sebagai “pak turut” jika menuruti cadangan presiden Bersatu itu untuk bekerjasama dengan PH yang dibuat tanpa persetujuan semua komponen PN.

“Saya harap PAS bertegas dalam isu ini supaya tidak dilihat sebagai “pak turut” untuk agenda pihak tertentu,” katanya.

Kamaruddin berkata, kenyataan beliau turut disokong PAS Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah serta Dewan Pemuda PAS Melaka.

Beliau turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan atas nama PN tanpa persetujuan rakan komponen lain terutamanya PAS, lebih-lebih lagi membabitkan perkara dasar dan strategik besar.

“Sedangkan presiden PAS menegaskan pendirian untuk menolak sebarang rundingan dan kerjasama dengan PH atas pengalaman sebelum ini,” katanya yang juga yang dipertua PAS Jasin.

Sebelum ini Muhyiddin Yassin berkata, semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU15 adalah Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak mentah-mentah sebahagian besar PAS negeri antaranya Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang dan Melaka serta beberapa negeri lagi yang turut menyatakan pendirian sama selari dengan keputusan dibuat presiden Abdul Hadi Awang sebelum ini.

PAS Selangor menerusi setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, keputusan menolak kerjasama dengan PH yang disertai DAP selaras dengan pendirian pucuk pimpinan parti dan ia keputusan muktamad PAS Pusat.

Bagaimanapun, katanya, PAS Selangor akan berusaha bagi mengelak pertembungan dengan parti lain termasuk BN bagi merealisasikan usaha menumbangkan kerajaan Selangor pimpinan PH.

“Maksudnya, kita berusaha untuk berhadapan PH menerusi 1 lawan 1 di kesemua 22 kerusi Parlimen dan 56 DUN di Selangor,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, walaupun parti itu muktamad tidak mahu kerjasama dengan PH, pintu rundingan dengan parti lain belum tertutup bagi memastikan pemerintahan kerajaan negeri bertukar.

“Kerjasama dengan PH tidak mungkin berlaku, tapi bagi parti lain khususnya Melayu Islam atau bukan Islam yang tidak ekstrem, kita sedia bersama.

“Walaupuan BN berulang kali menyatakan akan bergerak solo, parti pembangkang di negeri ini (Negeri Sembilan) tiada jalan lain selain bekerjasama termasuk dengan BN memandangkan negeri ini dikuasai PH,” katanya disokong Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof.

Sementara itu, Abdullah Husin yang juga Pesuruhjaya PAS Johor menegaskan, sebarang bentuk kerjasama politik tertakluk pada pusat dan negeri akan mematuhinya.

Adakah isu Najib bakal memakan diri, UMNO sepatutnya menentang rasuah, bukan membela pesalah rasuah

Shahbudin Husin 

UMNO kalah pada PRU14 adalah disebabkan isu rasuah melibatkan Najib Razak dalam skandal 1MDB yang terkait secara langsung dengannya.

Ketika itu, Najib menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk melindungi dirinya dan menjadikan dirinya tidak tersentuh langsung oleh undang-undang.

Ada yang dipecat, dibuang kerja, dipetisejukkan, dipenjarakan dan berpuluh tindakan lain yang tujuannya semata-mata memastikan dirinya kekal berkuasa.

Tetapi, kuasa rakyat pada 9 Mei 2018 akhirnya menolak UMNO dan BN daripada kekuasaan yang dipegang sejak merdeka dan Najib tercatat dalam sejarah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang menjadi punca kehilangan kuasa itu.

Hari ini, susulan kekalahan UMNO dan BN itu, Najib sudah pun berada di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa dana SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB.

Bagi mereka yang berjuang menentang Najib sejak awal lagi, hari ini mungkin terzahir suatu kepuasan, dan kegembiraan, meski tak semua mengucapkannya secara terbuka.

Sesetengahnya barangkali lebih selesa memilih untuk bersyukur dalam diam saja kerana rata-rata sedar bahawa sukar membayangkan apa akan jadi kepada negara ini dan kerakusan Jho Low seterusnya jika Najib masih berkuasa lagi.

Begitu pun, kedudukan Najib yang kini dipenjarakan itu seolah-olah tidak mendatangkan keinsafan kepada UMNO dalam usaha mencari kemenangan yang hilang dalam PRU15 akan datang.

Dalam majlis taklimat khas Sabtu lalu yang diadakan untuk membela dan menyatakan solidariiti terhadap Najib yang kini dipenjarakan, dengan jelas ternampak UMNO akan menggunakan isu tentang bekas Perdana Menteri itu sebagai modal untuk menebus kemenangan yang telah hilang.

Berdasarkan ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis tersebut, antara isu yang dibangkitkan ialah dakwaan ketidakadilan serta keinginan menarik simpati rakyat terhadap apa yang berlaku kepada Najib.

Selain itu, isu pengampunan juga dijangka akan digunakan sebagai senjata di mana kemenangan UMNO akan digunakan untuk membebaskan Najib.

Dalam hal berkaitan, Zahid Hamidi turut memaklumkan akan membukukan tulisan-tulisan Najib di laman sosial FBnya untuk disebarkan kepada rakyat meneliti dan membacanya.

Zahid Hamidi malah menangis di atas pentas yang difahami tujuannya selain agar rakyat turut bersimpati kepada Najib, juga dengan harapan yang tinggi agar UMNO diberi kemenangan cemerlang dalam PRU15 mendatang.

Harus difahami bahawa penolakan rakyat kepada UMNO dan BN dalam PRU14 adalah rangkuman menolak rasuah, salah guna kuasa dan kemewahan yang bersumberkan daripada kemungkaran 1MDB.

Dengan demikian, oleh kerana Najib sudah dihukum penjara dan ada empat lagi kes berkaitan 1MDB sedang dihadapinya di mahkamah, terus menggunakan isu berkaitan beliau untuk memenangi PRU15 seolah-olah bermakna UMNO ingin mempertahankan dan membela rasuah dan perasuah.

Di ketika rakyat sudah menolak rasuah dan menjatuhkan pemimpin serta kerajaan yang terkait rasuah, UMNO sepatutnya lebih ke depan lagi ketika ini dalam menolak perbuatan terkutuk itu.

UMNO seharusnya menjauhi Najib dan bersama-sama dengan rakyat menolak rasuah, bukan membela dan mempertahankan pesalah rasuah.

Lebih buruk lagi, dalam mempertahankan Najib dan menarik simpati rakyat terhadap beliau yang sudah dijatuhi hukuman itu, Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sendiri ketika ini sedang berdepan 87 kes mahkamah berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Ini membuatkan rakyat tidak sukar memahami bahawa perjuangan untuk membawa UMNO memenangi PRU15 dengan menggunakan isu Najib bukan saja untuk membebaskan bekas Perdana Menteri itu, bahkan juga untuk kepentingan Zahid Hamidi dan mereka yang lain yang ada kes mahkamah sama..

Untuk negara ini terus maju dan sejahtera, musuh utamanya ialah rasuah dan salah kuasa yang berleluasa.

Rakyat benci rasuah dan telah membuktikan mereka berani menolak serta menjatuhkan pemimpin serta kerajaan yang rasuah.

Malangnya, UMNO yang ingin menang PRU15 akan datang, selain dipimpin oleh pemimpin yang sedang dibicarakan di mahkamah atas kes rasuah, malah cuba menarik rakyat untuk bersimpati terhadap pemimpin yang telah dijatuhkan dan sedang dihukum penjara atas kesalahan rasuah.

Tak ke gila namanya?

Percayalah, isu Najib ini akan memakan diri UMNO kerana tidak mungkin rakyat mudah hilang kewarasan mahu menyokong pemimpin yang ada kes rasuah serta membawa parti yang diterajuinya membela pesalah yang sudah dijatuhi hukuman kerana kesalahan rasuah. – ShahbudinHusin 29/08/2022.

Khairuddin senaraikan ‘jasa’ Najib sebagai ingatan buat PAS

Yasmin Ramlan

Bekas ahli jawatankuasa PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan anggota parti itu supaya mengenang jasa bekas perdana menteri Najib Razak. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menegur pihak yang berseronok atas musibah yang menimpa Najib, selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadapnya berikutan kes SRC International. 

“Ketika beberapa pimpinan PAS secara peribadi berhadapan masalah kesihatan Najib juga secara peribadi membantu atas nama pemimpin negara.

“Saya menyebutkan perkara ini agar kita semua belajar erti bersimpati pada mereka yang diuji dengan musibah khususnya pada mereka yang ada sedikit kebaikan kerana kita diajar oleh al-Quran ‘jangan kamu lupakan kebaikan sesama kamu,” pesannya.

Dia mengingatkan bahawa Mursyidul Am PAS Hashim Jasin telah memberi garis panduan kepada anggota parti berhubung isu mahkamah Najib itu. 

Dia memberi beberapa contoh “jasa dan bantuan” yang menurutnya wajar dihargai oleh anggota PAS. 

Antaranya, kata Khairuddin, laluan yang diberikan oleh Umno Terengganu sebelum ini agar PAS berpeluang mengadakan program-program besar di negeri itu. 

“Saya rasa sahabat-sahabat saya dalam PAS perlu di peringatkan dengan jasa Najib memudahkan peruntukan untuk Kelantan sebelum 2018, sesuatu yang tidak berlaku di era PM sebelumnya.

“Jasa Najib juga menggerakkan RUU 355 yang dibentang oleh Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi Awang) di Parlimen.

“Jasa Najib memberi ruang kepada PAS beraksi dalam program besar peringkat dunia melibatkan 200 orang ulama besar dunia di Festival MyAqsa di Putrajaya sehingga presiden boleh memberi ucaptama,” katanya. 

Pada 23 Ogos, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda. 

Perdana menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.

Imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun kerana menyampaikan khutbah kritik konsert haram

AYHAN FERHAT

Bekas Imam Masjidil Haram, Sheikh Saleh Mohammed al-Talib sekali dipenjara 10 tahun kerana menyampaikan khutbah mengkritik konsert haram yang bertentangan dengan budaya Arab Saudi.

Mahkamah Rayuan Jenayah Khas di Riyadh membatalkan pembebasan bekas Imam Masjidil Haram sekali gus hukuman penjara 10 tahun terhadapnya dikekalkan.

Pada 2018 beliau telah menyampaikan khutbah yang mengkritik Pihak Berkuasa Hiburan Umum iaitu badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di Arab Saudi.

Susulan itu , beliau telah ditahan kerana mengecam konsert dan acara keramaian yang menyimpang daripada ajaran agama dan norma budaya Arab Saudi.

Kumpulan Hak Asasi berpangkalan di Amerika Sysrikat, Democracy for The Arab World Now (Dawn) mendedahkan, beliau ditahan tanpa sebarang alasan selepas menyampaikan khutbah tersebut, empat tahun lalu.

Hukuman penjara ke atas Sheikh Saleh disahkan Dawn, kumpulan yang diasaskan wartawan Jamal Khashoggi yang mati dibunuh, melalui ciapan Twitter.

Jurucakap Dawn, Abdullah Alaoudh mengecam hukuman penjara lantaran keberanian beliau bersuara menentang pembaharuan yang dilakukan di Arab Saudi, dipetik Utusan.com

“Mereka ditangkap hanya kerana menyatakan pendapat secara aman. Penindasan ini perlu dihentikan terhadap semua orang tanpa pengecualian,” katanya.

Penahanan itu dilakukan ketika Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman meneruskan usaha mereformasi masyarakat Arab Saudi dengan menahan berpuluh-puluh ulama dan imam terkemuka yang mengkiritk agenda pembaharuan.

Antara ulama lain yang pernah ditahan ialah Salman al-Odah yang menyeru rakyat Arab Saudi mendamaikan perbezaan dengan Qatar selepas Riyadh mengetuai sekatan ke atas negara teluk itu.

Ustaz PAS saman Jeming ingat boleh masyuk tetapi sebaliknya yang berlaku

Mahkamah tolak saman fitnah RM1 juta Dusuki terhadap Jeming

N Faizal Ghazali

Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, menolak saman fitnah bekas anggota jawatankuasa ulama PAS Pusat Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmin Hassan.

Keputusan itu dibuat hakim Zaman Mohd Noor selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak berkait saman RM1 juta dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung satu video yang dimuatnaik Hazmi menuntut permohonan maaf kerana pemimpin PAS itu didakwa memfitnah aset Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam ketika PH memerintah negara.

Peguam Faiz Fadzil berkata, hakim mendapati bahawa video tersebut bukan satu fitnah kerana terbukti aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

"Ia satu fitnah terhadap PH. Sementara itu, hakim juga mendapati pembelaan ‘common law’ yang dibangkitkan termasuk justification, fair comment dan qualified privilege sebagai ahli politik telah dibuktikan oleh Hazmi.

"Dengan keputusan itu, Dusuki diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000 kepada anak guam saya," katanya ketika ditemui Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Dusuki pada Ogos 2020 mengambil tindakan undang-undang terhadap Hazmi atau lebih dikenali sebagai Jeming Hassan kerana didakwanya memfitnah.

Dalam satu notis tuntutan itu, Ahmad Dusuki melalui peguamnya menuntut ganti rugi RM1 juta daripada Hazmi susulan satu kandungan video di laman YouTube pada 15 Julai 2020.

Sebagai rekod kandungan video YouTube dimuat naik itu antara lain mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh Ahmad Dusuki mengenai TH semasa pentadbiran PH.

Dia mendakwa Ahmad Dusuki memfitnah antaranya menyentuh berkenaan aset TH yang dijual kepada orang bukan Islam.

Pendakwaan tarik balik surat minta percepat kes Zahid selepas tular

Malaysiakini 

Selepas tular surat yang meminta hakim mempercepatkan keputusan perbicaraan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi, pihak pendakwaan hari ini menarik balik surat yang dihantar kepada hakim Mahkamah Tinggi.

Surat berkenaan meminta supaya kes dihadapi Ahmad Zahid diberi keutamaan berbanding kes penyelewengan dana 1MDB Najib Razak.

Pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu kini selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.

"Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini," katanya ketika prosiding seperti dilaporkan BH Online.

Ia disusuli dengan kenyataan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang berkata tiada siapa pun boleh menentukan kes apa yang perlu diberi keutamaan di mahkamah.

Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

"Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang," katanya.

Semalam tular surat yang didakwa dihantar pihak pembelaan kepada hakim bagi mempercepatkan perbicaraan dihadapi Presiden Umno itu.

Dalam satu surat yang dihantar Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob kepada Setiausaha Hakim Collin Lawrence Sequerah itu pihak pendakwaan meminta kes Ahmad Zahid diutamakan melebihi kes 1MDB.

Menurut surat yang ditandatangi Abdul Malik bertarikh 29 Ogos itu, dia meminta supaya kes yang berada di peringkat pembelaan itu diselesaikan dengan kadar segera.

Tular surat minta hakim percepatkan kes Zahid Hamidi

NASUHA RAHMAN

Tular satu surat yang didakwa dihantar pihak pembelaan kepada hakim bagi mempercepatkan perbicaraan dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu surat yang dihantar Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob kepada Setiausaha Hakim Datuk Lawrence Sequerah yang dilihat Malaysiapost, pihak pendakwaan meminta kes Ahmad Zahid diutamakan melebihi kes 1MDB.

Menurut surat yang ditandatangi Abdul Malik bertarikh 29 Ogos itu, beliau meminta supaya kes yang berada di peringkat pembelaan itu diselesaikan dengan kadar segera.

Sehubungan itu, Dr Puad Zarkshi dalam hantaranya hari ini menyifatkan penularan surat tersebut ianya sayu perkara yang menggemparkan.

“Bocor lagi. Terbaru surat Jabatan Peguam Negara kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah. Kalau ia sahih ia menggemparkan.

surat zahid

“Itu sah mencampuri urusan Mahkamah. Justeru, Peguam Negara bukan lagi wajib diganti tetapi wajib letak jawatan. Serta merta,” tulis beliau yang turut berkongsi surat tersebut.

Katanya, jika surat itu benar beliau tidak menolak wujud konspirasi, dendam dan berniat jahat.

“Mana tidaknya, setelah Najib berjaya dipenjara, kini minta pula utamakan kes Zahid. Apakah supaya Zahid segera masuk penjara?

“Kalau surat itu palsu. Peguam Negara kena nafikan. PM mesti segera bertindak. Selamatkan sistem keadilan negara,” katanya.

Anak risau Najib tidak dapat minum Starbucks semenjak dipenjara

NASUHA RAHMAN

Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa menzahirkan rasa risau kerana bapanya tidak dapat minum kopi kayangan Starbucks semenjak dipenjara.

Melalui perkongsian Nooryana dia memaklumkan minuman kegemaran bapanya iaitu caremal machiatto yang selalu dibeli di restoran kopi kayangan itu.

Menurut Nooryana atau Yana beliau tiba-tiba teringat apa yang sedang dimakan oleh bapanya di dalam penjara ketika memesan kopi kayangan itu ketika keluyar membeli barangan keperluan.

“Our usual things sbb rasa guilty sgt…selalu teringat Bossku kat penjara sana makan apa?

“Couldn’t even make myself order Starbucks today sbb Yana tau Bossku mesti rindu his caremal macchiato.

“Kalau sesiapa yg kenal Bossku, you guys know he is big Foodie.

“And as a daughter, I truely miss buying food and feeding him…

“I pray I can experience this once again,” kongsi beliau di Instagramnya.

Bagaimanapun perkongsian Nooryana menjadi tular sehingga ada yang membuat ‘troll’ penjara Kajang akan menghidangkan caremal machiatto tidak lama lagi.

Bahkan ada yang mempersoalkan apakah Najib hanya melayan kopi kayangan sahaja sedangkan sesetengah rakyat sedang dalam kesusahan ada yang mengikat perut makan nasi ataupun membeli lauk ikan kembung sahaja.

“Anak Najib risau bapa dia tak dapat minum Starbuck.

“Kopi kayangan jer dia layan.. .nak order pon berbelit lidah nak sebut nama kopi.

“Hurmmmm… ramai rakyat ikat perut nak makan nasi lauk ikan kembung pun susah…kongsi Napsiah Khamis Maharan.

Siapa sebenarnya bercelaru - PAS atau PH?

Raja Bahrin Shah

ULASAN l Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti "mi segera tidak masak" dan "bercelaru" sebenarnya memberi gambaran yang negatif yang salah.

Sebagai sebahagian daripada kerajaan PH pada masa itu, dan mempunyai fakta sebaliknya tentang beberapa tuduhan tersebut, saya terpaksa memperbetulkan tuduhan tuduhan tersebut.

Pertama, kerana kerajaan PH "masak" lah dalam tahun pertama memerintah kami mengenepikan fahaman politik demi nasib rakyat Terengganu dan Kelantan untuk mengembalikan bayaran wang royalti hasil minyak dan gas, kepada kedua dua negeri tersebut walaupun ia di bawah pentadbiran parti pembangkang iaitu PAS.

Sebagai pengerusi PH Terengganu saya sendiri telah bersetuju kerajaan PH memulangkan kembali bayaran royalti kepada Terengganu dan Kelantan.

Wang royalti tersebut telah ditarik balik oleh kerajaan BN-Umno apabila PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999.

Malangnya pada tahun 2021 setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS merampas kerajaan, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul, telah membatalkan semula pembayaran wang royalti tanpa apa apa bantahan oleh PAS sehingga hari ini.

Keduanya, kerana memikirkan "masak-masak"lah, walaupun kehilangan hasil pendapatan yang banyak, demi kebaikan masyarakat serta kesan negatif kerajaan PH telah mengurangkan cabutan judi kepada lapan kali setahun sahaja.

Malangnya apabila kerajaan PN yang di anggotai PAS mengambil alih kerajaan, cabutan undi telah dinaikkan semula kepada 22 kali setahun tanpa apa apa bantahan dari parti Islam PAS sehingga hari ini.

Adakah menteri-menteri PAS semasa mesyuarat kabinet tidak membantah penambahan semula cabutan judi walaupun di luar dahulu PAS menuntut pengharaman judi yang memporakperandakan keluarga dan bertentangan dengan ajaran Islam atau adakah kerusi kedudukan peribadi sebagai menteri mereka lebih penting?

Kini PAS lantang membantah konsert tetapi judi yang begitu luas kesan negatif kepada seluruh keluarga "diliberalkan" dengan penambahan aktiviti cabutan judi.

Ketiga,setelah memikirkan 'masak masak' masa hadapan Tabung Haji (TH) dan umat Islam, kerajaan PH dalam masa yang singkat telah menyusun semula dan menyelamatkan TH di mana PH telah menerima pujian dari Ketua Audit Negara atas tindakan tersebut.

Kerana keadaan kewangan yang sihat,TH pada bulan Mei 2022 baru baru ini telah berjaya membeli hartanah bernilai RM1.8 billion di London.

Selain dari isu isu tersebut di atas, kerajaan PH telah juga memulangkan kembali integriti badan kehakiman yang membolehkan tercapainya pengadilan yang tegas ke atas bekas perdana menteri baru-baru ini dan penerusan banyak lagi kes berprofil tinggi bekas pemimpin di bawah tuduhan rasuah.

Tindakan ini semua adalah mengikut tuntutan agama Islam dan juga agama agama utama lain.

Saya berpendapat kenyataan Presiden PAS tentang tuduhan " mi segera tidak masak" adalah tidak tepat kerana dalam masa 22 bulan kerajaan PH telah memulakan banyak proses perubahan negara yang telah dibentuk cara serta budaya permerintahan BN-Umno selama lebih 60 tahun atau 720 bulan !

Tidak mungkin kerosakan dan budaya lama yang berlaku selama 720 bulan boleh dibaiki dengan sempurna dalam hanya 22 bulan.

Persoalannya kenapakah PAS bersetuju kembali kepada zaman budaya lama dengan merestui pembatalan hak wang royalti kepada negeri negeri Terengganu dan Kelantan negeri PAS sendiri?

Soalannya lagi, kenapa pengurangan cabutan judi oleh PH dari lapan dinaikkan kembali kepada 22 kali oleh kerajaan PN tidak dibantah PAS yang pernah meminta pengharaman judi?

Di manakah letak kecelaruan kerajaan PH seperti tuduhan presiden PAS, atau adakah kecelaruan sebenarnya berlaku di pihak lain yang membentuk kerajaan 'tebuk atap' melalui Langkan Sheraton?

Jika buat PRU boleh selesai masalah ekonomi, boleh buat PRU tiap tahun

Malaysiakini 

Jika p'raya selesai masalah ekonomi, boleh buat tiap tahun - Lim

Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentangkan pada 7 Oktober depan bukanlah untuk membantu rakyat dan mengatasi masalah ekonomi negara.

Sebaliknya, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng mendakwa ia hanyalah belanjawan pilihan raya bagi menguntungkan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan harus mengambil pendekatan holistik untuk memperlahankan kenaikan harga dengan menangani kesesakan fiskal, kekurangan buruh yang teruk, kejatuhan nilai ringgit, kerenah birokrasi dan halangan kepada pertumbuhan ekonomi yang dihadapi oleh perniagaan.

"Menangani masalah-masalah ini akan membantu mengurangkan kos dan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, di mana pengeluaran yang lebih tinggi akan membantu perniagaan untuk mengurangkan lebih banyak kos.

"Malangnya, kerajaan sekarang nampaknya taksub dengan survival politik dan mengadakan pilihan raya umum dengan mengorbankan mengambil langkah konkrit untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara," kata ahli parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.

Lim berkata tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 juga jelas menunjukkan bahawa pilihan raya umum (PRU) ke 15 berkemungkinan besar diadakan pada November tahun ini.

“Pada ketika setiap sumber, tenaga dan tumpuan harus ditujukan untuk menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi sekarang, kerajaan mengorbankan tadbir urus yang baik demi kepentingan politik.

"Jika pilihan raya awal boleh membantu menyelesaikan masalah ekonomi negara, maka pilihan raya sepatutnya diadakan setiap tahun," katanya.

Menurut Lim, pembentangan Belanjawan 2023 lebih awal dari yang dijadualkan semata-mata untuk tujuan pilihan raya umum menafikan tujuan keseluruhan bajet sebagai penyata dasar fiskal dan kewangan untuk tahun hadapan.

Gardenia sebagai contoh

Lim turut mengambil contoh kenaikan harga roti Gardenia antara 20 sen hingga 70 sen bermula 1 September ini.

"Pengumuman Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bahawa mulai 1 September, roti putihnya, yang merupakan produk makanan ruji dalam kalangan kumpulan B40 dan M40, akan menyaksikan peningkatan antara 20 dan 70 sen, menunjukkan peningkatan kos sara hidup masih masalah ekonomi yang membimbangkan.

"Gardenia berkata syarikat itu tidak mempunyai alternatif selain menaikkan harganya berikutan kenaikan kos pengangkutan dan kos bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran," katanya.

Jelas Lim, kenaikan harga roti Gardenia itu juga bercanggah dengan dakwaan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh kerajaan sekarang bahawa mereka telah berjaya mengawal harga yang melambung tinggi, terutama harga barang makanan yang meningkat sebanyak 6.2 peratus pada Julai 2022.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata tanpa peruntukan subsidi, bantuan dan insentif Malaysia akan mencatatkan kadar inflasi sebanyak 11.4 peratus dan bukan 3.4 peratus pada Julai 2022,” kata Lim.

Sehubungan itu, Lim mencabar Mustapa Mohamed untuk menjelaskan bagaimana tanpa pemberian subsidi, bantuan dan insentif Malaysia akan mencatatkan kadar inflasi 11.4 peratus dan bukannya 3.4 peratus pada Julai 2022.

“Mustapa berkata daripada subsidi RM77.7 bilion, peruntukan subsidi tertinggi sebanyak RM38.3 bilion adalah untuk petroleum, bagi meneruskan dasar yang dimulakan PH pada 2019, iaitu mengekalkan harga RON95 pada RM2.05 dan diesel pada RM2.15, walaupun harga pasaran antarabangsa telah melebihi harga di negara ini.

"Jelas bahawa langkah kewangan dan subsidi sebanyak RM77.7 bilion sahaja yang dilakukan oleh kerajaan tidak membantu mengawal kenaikan harga, seperti yang ditunjukkan oleh kenaikan roti Gardenia," kata Lim.

Siapa calon perdana menteri Umno?

Mohsin Abdullah

Jika Pakatan Harapan kembali memerintah negara, pilihan mereka tetap Anwar Ibrahim untuk jawatan perdana menteri, meskipun gabungan itu ada “nama besar” seperti Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub. Tidak lupa Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hanya Lim Guan Eng, pengerusi DAP tidak boleh duduk kerusi nombor satu negara berdasarkan peraturan atau “perundangan tidak bertulis” bahawa perdana menteri wajib orang Melayu beragama Islam.

Andai Perikatan Nasional (PN) pula membentuk kerajaan semula, sudah diumumkan Muhyiddin Yassin orangnya untuk menjadi perdana menteri, walaupun ia ada nama “nama besar” seperti Azmin Ali dan Hamzah Zainudin.

Dan pilihan Gerakan Tanah Air sebagai perdana menteri pastilah Dr Mahathir Mohamad. Tidak ada nama lebih besar daripada itu dalam GTA, walaupun ada nama yang biasa kita dengar aktif dalam arena politik negara seperti Ibrahim Ali. Ada juga Mukhriz, anak Mahathir sendiri.

Bagaimana pula Umno? Saya ulangi persoalan yang dijadikan tajuk artikel ini. Siapa calon perdana menteri Umno? Logiknya, Ismail Sabri Yaakob lah yang walaupun “hanya” naib presiden parti, beliau perdana menteri sekarang dan sememangnya diangkat sebagai “poster boy” BN sebelum ini untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Namun, nampaknya ada tanda-tanda Ismail tidak boleh selesa dengan “jaminan” itu. Taklimat khas Umno yang berlangsung Sabtu lalu tercalar (untuk Ismail), apabila perwakilan “boo” ketika namanya disebut oleh Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Rasa tidak puas hati itu dilihat berpaksi kepada dua perkara: kes Najib Razak yang berakhir dengan pemenjaraan beliau dan dolak-dalik Ismail berhubung “timing” PRU15.

Dalam hal Najib, tidak banyak yang boleh Ismail lakukan. Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun bersabit kes dana SRC International, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan Selasa lalu.

Justeru, isu yang tinggal cuma bila masa Ismail mahu membubarkan Parlimen untuk PRU diadakan? Mungkinkah rasa tidak puas hati yang mengisi Dewan Merdeka tempoh hari akan reda, sekiranya PRU diadakan dalam masa dua, tiga bulan lagi.

Ismail tidak hadir taklimat khas presiden pada Sabtu, namun hadir dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada malam sama. Bagaimanapun, beliau masih kunci mulut mengenai isu berkenaan. “Tunggu, tunggu, tunggu” – itu sahaja komen ringkas beliau kepada wartawan semalam yang bertanyakan bila PRU akan diadakan.

Najib di penjara dan Zahid sendiri masih berdepan kes rasuah. Tetapi, ini tidak bererti Umno tidak ada “nama besar” lain untuk ditampilkan sebagai calon PM, selain Ismail, sungguhpun mereka mempunyai isu tersendiri dalam parti.

Tengku Razaleigh Hamzah antara tokoh boleh dianggap mempunyai kualiti atau ciri perdana menteri. Akan tetapi, Ku Li sudah tawar hati dengan Umno masa kini. Untuk jadi pengerusi lembaga penasihat parti pun dah tak nak.

Khairy Jamaluddin dilihat juga “PM material”. Tetapi, beliau seperti Annuar Musa dan Shahidan Kassim (geng Ismail) atau lebih tepat kluster kerajaan.

Hishammuddin Hussein bagaimana? Anak presiden Umno, cucu pengasas Umno. Namun, rata-rata Umno tidak berkenan dengan beliau kerana semasa Umno/BN kalah PRU14, Hishammuddin berundur dan tidak mahu menyertai usaha memulihkan Umno, walaupun kekal dalam parti.

Pada “taklimat khas” lalu, Zahid menegaskan beliau “menghormati” keputusan Mahkamah Persekutuan, tetapi pada masa sama berkata, Najib “dihukum sebelum didapati bersalah”, lantas mahu Umno menuntut “keadilan buat Najib”.

Ringkasnya menghormati keputusan mahkamah, tetapi tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.

Oleh itu, kata Zahid, Umno akan melancarkan kempen petisyen menuntut Najib mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Beliau mahu semua ahli parti menandatangani petisyen itu tanda sokongan apabila tiba masanya dan “menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong “untuk penentuan”.

Terus terang saya katakan, jika pengampunan yang diusahakan itu bertujuan membolehkan Najib bertanding PRU dan kalau Umno/BN menang (yang mereka amat yakin akan tercapai), Najib akan kembali sebagai perdana menteri, ia strategi tersasar sama sekali.

Umno pimpinan Zahid harus peka bahawa sekalipun dirinya dan kalangan pemimpin parti tidak menyetujui keputusan Mahkamah Persekutuan, penghakiman itu mendapat sokongan meluas dalam kalangan rakyat. Justeru, sebarang langkah untuk menterbalikkan sabitan dan pemenjaraan Najib menerusi usaha mendapatkan pengampunan diraja, bakal memberi padah kepada Umno-BN semasa PRU.

Sememangnya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memberi pengampunan untuk kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Begitu juga raja-raja Melayu untuk kesalahan di negeri atau jajahan masing masing.

Pun begitu, ada proses perlu diikuti. Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja dinasihati Lembaga Pengampunan. Dan lembaga berkenaan akan mempertimbangkan permohonan dan kemudian menasihati Agong mahupun pemerintah negeri, yakni raja-raja.

FMT tempoh hari mendapatkan pandangan Daniel Pascoe, profesor madya di City University of Hong Kong yang menjalankan penyelidikan mengenai sistem pengampunan di Malaysia.

Pascoe antara lain dipetik berkata, kes membabitkan banduan persekutuan akan didengar Lembaga Pengampunan persekutuan yang dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan serta tiga wakil awam dan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Dan suara paling penting dalam lembaga tersebut ialah peguam negara dan menteri. Peguam negaralah yang akan meminta Agong mengadakan mesyuarat, di mana Agong menerima nasihat lembaga.

“Agong bebas bertindak bertentangan dengan nasihat ini, tetapi wujud konvensyen dalam kes persekutuan di mana baginda menerima nasihat lembaga selaras peranan istiadatnya,” Pascoe dipetik berkata.

(Sila rujuk laporan FMT disiarkan 28 Ogos 2022 yang cukup menarik berjudul “Pemenjaraan Najib dan selok-belok sistem pengampunan” untuk huraian lanjut).

Mengimbau “taklimat khas” Umno baru-baru ini, khususnya ucapan ahli MKT, Azalina Othman Said. Katanya, pelantikan peguam negara atau AG adalah atas nasihat perdana menteri yang harus lantik “orang dia” ke jawatan itu untuk memudahkan segala urusan.

“Jika kuasa penukaran AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM,” menurut Azalina.

Kita semua maklum peguam negara sekarang ialah Idrus Harun yang dilantik semasa pemerintahan PN pimpinan Muhyiddin.

Maka, kata Azalina dalam “taklimat khas” itu: “Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh” yang disambut sorakan kuat hadirin. Beliau tidak menyebut nama, tetapi ia boleh dilihat antara rungutan kalangan pemimpin Umno terhadap Ismail yang dituduh tidak “berbuat sesuatu” untuk Umno dan Najib.

Jelas kempen pengampunan Najib dan desakan PRU15 diadakan secepat mungkin anjuran Umno pimpinan Zahid berkait rapat. Malah, isu Najib dan keadilan mahkamah dijangka diangkat Umno sebagai senjata untuk meraih sokongan pengundi.

Pada “taklimat khas” Umno, hadirin melaung-laung “bubar, bubar” merujuk Parlimen dibubarkan segera untuk PRU diadakan segera. Kalau PRU15 diadakan segera, persoalan paling penting: Umno dalam keadaan sekarang, boleh menang ke?