"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Baiah Pas perlu ke arah lebih bermoral tinggi menepati perjuangan Islam, kata Pengerusi MDN

DALIA ISMAIL 
Baiah Pas perlu ke arah lebih bermoral tinggi menepati perjuangan Islam, kata Pengerusi MDNProf Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi berkata sekiranya Pas ingin meneruskan ‘baiah’ sebagai satu asas kepatuhan ahli kepada pemimpin dan parti yang didokong, baiah itu perlu ditukar kepada sesuatu yang lebih bermoral tinggi yang mengandungi intipati perjuangan Islam berbanding baiah yang meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) ini berpandangan ‘baiah’ yang dilaksanakan Pas ketika di bawah kepimpinan bekas Mursyidul Am Allahyarham Nik Aziz Nik Mat adalah satu kesilapan Pas Kelantan.

“Pas perlu melihat langkah ke hadapan parti itu hari ini, adalah wajar menukar ‘baiah’ itu kepada sesuatu yang lebih bermoral tinggi mengandungi perjuangan Islam berbanding taat setia yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

“Majlis Syura dan Presiden Pas perlu meneliti isu baiah ini kesannya. Walaupun Pas memaksa pemimpinnya tetapi apa yang jelas kita dapati kini, pemimpin mereka keluar Pas sertai dan tubuh parti lain.

“Kesudahannya objektif asal Pas untuk mengikat ‘talak tiga’ itu sebenarnya tidak tercapai. Baiah hanya satu perakuan politik semata-mata,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Tegasnya lagi, MDN sebagai satu institusi yang mengerakkan usaha menyatukan umat Islam di pelbagai peringkat di negara ini, menyambut baik hasrat Majlis Syura Ulamak untuk memuktamadkan baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menyelaraskan kandungan baiah parti itu di setiap negeri.

“Kami mengharapkan Pas sebuah parti dasarnya menegakkan Islam, agar dapat berada di landasan yang betul dan tepat untuk memperjuangkan Islam.

“Kami sangat bergembira jika Pas boleh mengubah hal-hal berbangkit (baiah talak tiga) sebegini.

“Jika Pas tidak berubah, memperlihatkan Pas lebih ‘polithinking’ daripada cuba merealisasikan pandangan Islam yang lebih murni dalam sebuah organiasasi Islam,” ujarnya.

Pas melalui Majlis Syura Ulamak (MSU) dijangka akan menggugurkan sumpah baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dijangka akan dimuktamadkan pada 24 Februari ini.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin, dalam satu kenyataan dipetik berkata MSU akan membincangkan isu itu secara terperinci termasuk menimbang pandangan ahli badan itu, berhubung keperluan mengekalkan atau menggugurkan taklik talak tiga daripada kandungan baiah.

Menjelaskan isu baiah ini lagi, Dr Mahmood Zuhdi berkata, baiah (sumpah setia) di zaman Rasululllah tidak boleh disamakan dengan baiah yang dilakukan oleh Pas kepada ahlinya.

Beliau berkata, mana-mana perjuangan berkaitan agama tidak boleh pemimpinnya menunjukkan rasa tidak percaya kepada pengikutnya.

“Di zaman pemerintahan Rasulullah saw, baginda memberikan kepercayaan kepada sahabat-sahabatnya untuk melaksanakan perjuangan menegakkan agama Islam.

“Dengan memberikan kepercayaan sepenuhnya tangungjawab yang dilaksanakan itu lebih ikhlas bukan dengan paksaan ke atas pengikut.

“Dalam politik Islam baiah atau pernyataan taat setia itu penting.

“Ketika pelantikan khalifah juga berasaskan baiah selepas kewafatan Rasulullah saw. Baiah ini menjadi tradisi kepada pemimpin Islam seterusnya.

“Tetapi yang dimasukkan dengan baiah Pas ini bukan baiah tapi seperti ‘pentauliahan’.

“Majlis Syura Ulamak memberi mandat dan pemimpin boleh berbaiah untuk tidak melakukan pembelotan terhadap parti dalam siasah.

“Ini baiah politik, jika dilanggar boleh diambil tindakan seperti talak tiga. Baiah talak tiga dalam politik Pas boleh dianggap sebagai satu ‘ugutan’ untuk mengikat ‘baiah’ yang dilafazkan itu.

“Baiah talak tiga adalah sesuatu yang salah dan mengunakan sesuatu hal yang sangat sensitif dalam masyarakat Islam, agama dan tidak menghormati sistem keluargaan.

“Taklik talak tiga itu pula sebenarnya tidak memberi kesan (perceraian). Kita tidak boleh berpegang kepada pandangan taklik ini kerana ia bertentangan dengan objektif asal taklik itu dilakukan,” terangnya.

'Bunuh semua Muslim'

Harian Metro 

Minnesota: Seorang wanita yang bertanding untuk menjadi datuk bandar beragama Islam pertama sebuah bandar di Minnesota membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berunsur antiagama di laman webnya.

Regina Mustafa, 37, antara calon datuk bandar Rochester, dan jika menang bakal menjadi bukan saja datuk bandar beragama Islam, malah wanita pertama untuk memegang jawatan berkenaan.

Menurut al-Jazeera, beberapa hari selepas mengumumkan pencalonannya, seorang yang menggunakan nama ‘Militia Movement’ (pergerakan militia) menulis ‘BUNUH semua muslim di Amerika’ di laman webnya.

“Saya tidak tahu sama ada orang ini berhampiran saya atau di negeri lain jauh dari sini. Namun, ancaman ini tidak boleh dipandang remeh.

“Ia memang menyebut orang Islam secara umum, tetapi memandangkan dia meninggalkan pesanan itu di laman web ini, saya menganggapnya ugutan khusus,” katanya.

Dia turut menyuarakan kebimbangan bahawa polis tidak menganggap ancaman terhadapnya sebagai gangguan peribadi.

“Saya berpengalaman dengan gangguan seumpama itu. Ini bukan gangguan, ini memang satu ancaman. Saya tahu membezakannya.

“Bagaimanapun, saya tidak akan menghentikan kempen kerana itu yang mereka mahukan. Sekalipun kalah akhirnya, saya tetap tidak akan berundur pada peringkat ini,” katanya.

Ancaman itu dibuat pada gambar dimuat naik ke Google Plus tahun lalu mengenai acara di Rochester. Bandar itu mempunyai 114,000 penduduk dengan 12,000 daripadanya beragama Islam, khususnya berketurunan Somalia.

Independant memetik Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menggesa polis menyiasat perkara itu.

“Kami menggesa pihak berkuasa negeri dan persekutuan memandang serius ancaman keganasan yang menyasarkan seseorang daripada golongan minoriti yang sekadar mengambil bahagian dalam proses politik negara kita,” kata Pengarah Eksekutifnya, Jaylani Hussein.

Wanita menyamar lelaki kahwin dengan dua wanita


Sudahlah tertipu selama empat tahun, malah salah seorangnya turut menderita diseksa ‘suami’ mereka yang rupa-rupanya perempuan.

Dalam kejadian di daerah Nainital, Uttarakhand, India, polis menahan wanita 25 tahun yang menyamar sebagai lelaki itu kelmarin atas tuduhan melakukan penyamaran, penipuan dan pemalsuan.

Polis daerah Nainital, Superintendan Kanan Janmejay Khanduri berkata, wanita dikenali sebagai Sweety Sen itu menyamar sebagai lelaki sejak 2013.

“Wanita itu menyamar sebagai lelaki menggunakan nama Krishna dan memikat wanita melalui Facebook sebelum mengahwini mereka.
“Dia menggunakan nama Krishna Sen di akaun laman sosial itu dan memuat naik beberapa gambar berperwatakan sebagai lelaki,” katanya.

Menurut laporan media India, polis berkata, Krishna ‘berkahwin’ dengan seorang wanita bernama Kamini pada 2014.

Kamini mendakwa dia dipukul ‘suaminya’ itu kerana mas kahwin dan ‘suaminya’ juga mengambil wang daripada keluarga mangsa.

Pada, 2016, Krishna berkahwin dengan wanita lain berusia 20 tahun di daerah sama dan berpindah tinggal dengan isteri barunya.

Menurut Indian Express, Krishna tidak membenarkan kedua-dua isterinya itu melihat tubuhnya dan menggunakan kemaluan palsu ketika hubungan seks.

Isteri keduanya, Nisha, dikatakan tahu suaminya adalah wanita namun berdiam diri kerana dijanjikan habuan wang.

Pada hujung tahun lalu, Kamini membuat laporan polis mendakwa dipukul kerana mas kahwin dan wang keluarganya diambil lalu polis memburu Krishna sebelum berjaya menahannya, kelmarin.

“Pemeriksaan perubatan juga mendapati dia sebenarnya seorang wanita,” kata Janmejay.

Polis turut memburu keluarga wanita terbabit yang dikatakan hadir di kedua-dua majlis perkahwinannya.
-hmetro

Penunggang motosikal berkuasa tinggi putus kepala (Gambar)

Kajang – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi putus kepala dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7.1 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) menghala Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusof, berkata nahas sebelum jam 11 malam itu berlaku apabila lelaki berusia 25 tahun itu berlanggar dengan sebuah kereta lalu terpelanting terkena pembahagi jalan di tengah lebuh raya.

Beliau berkata, penunggang motosikal Kawasaki Z800 itu dikatakan memotong kereta Honda CR-V yang berada di lorong kedua dari sisi kiri sebelum cuba memotong sebuah kereta Perodua Alza di lorong pertama.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengawal motosikalnya dan melanggar sisi kanan kenderaan itu, menyebabkan motosikalnya jatuh di lorong kedua lebuh raya sebelum berpusing beberapa kali dan dilanggar Honda CR-V yang tidak sempat membrek.

“Mangsa pula terpelanting ke arah besi pembahagi jalan di tengah jalan dan lehernya dipercayai terkena besi berkenaan. Mangsa lelaki berusia 25 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat putus kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzaffir berkata, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta Honda CR-V dan Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-bharianOnline

DUN Selangor Amanah mahu 13 kerust ini

13 kerusi Dun Selangor dikekalkan, kekuatan jentera sedia ada akan membantu PH
AMANAH Selangor mahu 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pengagihan Kerusi Pakatan Harapan Selangor pada Jumaat lalu, dapat dikekalkan oleh pucuk pimpinan parti di negeri ini dan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Pengarah Pilihan Raya AMANAH Selangor Jaafar Samsuddin berkata, perbincangan kali pertama yang membawa kepada penentuan bilangan kerusi Dun yang selama ini gagal mendapat kata sepakat setiap parti gabungan Pakatan Harapan di Selangor dapat ditentukan pada mesyuarat tersebut.

Pada keputusan bersama itu AMANAH 13 kerusi Dun, PKR (16), DAP (15) dan Bersatu (12).

Kerusi-kerusi Dun yang akan diwakili calon AMANAH adalah Hulu Bernam, Sabak, Sungai Panjang, Sungai Burong, Paya Jaras Taman Templer,Bangi, Sungai Ramal, Morib, Dusun Tua, Meru, Pandan Indah dan Lembah Jaya.

“Alhamdulillah daripada perbincangan pengagihan kerusi yang diadakan itu kita (AMANAH) menuntut 13 kerusi Dun, itu sudah cukup bagus.

“Cuma perbincangan perlu diadakan sekiranya ada pertukaran atau tambah atau kurang kerusi, empat parti akan berbincang lagi.

” Kita harap benda ini (agihan kerusi) dapat berjalan dengan baik semua parti sudah nampak kerusi-kerusi Dun yang dipohon parti dalam gabungan ini pada mesyuarat khas yang diadakan itu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Setiausaha PH Selangor, Zuraida Kamarudin.

Jaafar yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor berkata, pada dasarnya AMANAH mahu jawatankuasa agihan kerusi mengekalkan 13 kerusi dipohon parti itu.

“Pada dasarnya AMANAH mahu jawatankuasa agihan kerusi mengekalkan 13 kerusi dipohon itu.

“Ini kerana ia melibatkan jentera dan kekuatan AMANAH yang dahulu dalam gerak kerja jentera pilihan raya ketika di dalam parti lama (Pas) disemua Dun yang akan ditandingi AMANAH. Ia memudahkan kerja kita (PH) bersama, sekiranya dapat dikekalkan oleh jawatankuasa pengagihan kerusi.

“Ini kerana kerusi AMANAH akan berbincang dengan Bersatu. Kita harap kerusi PKR juga boleh diberi kepada Bersatu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata walaupun agihan bilangan kerusi Dun itu sudah jelas seperti di pohon oleh setiap parti gabungan, ia masih lagi belum dimuktamadkan oleh Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Mohd Azmin Ali.

“Dengan adanya agihan yang jelas ini, nampaknya boleh diselesaikan dan dimuktamadkan oleh pimpinan PH Selangor, selagi belum pilihan raya perkara ini akan dibincangkan.

“Kita harap kekal dengan angka itu (13) supaya jentera pilihan raya di Selangor ini bertambah baik. Jentera pilihan raya AMANAH begitu baik di seluruh negeri Selangor ini.

“Kita sedia berbincang,” ujarnya.

Pertikaian mengenai pembahagian kerusi PH Selangor ini berlaku selepas Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Majlis Presiden PH akan menubuhkan Jawatankuasa Khas selepas rundingan kerusi PH Selangor menemui jalan buntu kerana perbezaan pandangan antara PKR dan tiga lagi komponen AMANAH,DAP dan Bersatu.

Pada Khamis lalu Pengerusi Pilihan Raya Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap negeri perlu memuktamadkan agihan kerusi Dun selewatnya pada penghujung Februari ini.

Ini setelah tempoh akhir pada 31 Januari lalu masih terdapat beberapa negeri gagal menghantar senarai agihan kerusi Dun kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Ketika ini, Selangor mempunyai 56 kerusi Dun membabitkan , DAP (15), PKR (13), Pas (15), BN (12) dan Bebas (1).
-malaysiadateline

3 belasah pengawal wanita selepas kawan dilarang masuk kondo (video)

Predeep Nambiar
GEORGE TOWN: Seorang pengawal keselamaan wanita yang berusia lewat 40-an diserang 3 lelaki selepas beliau melarang seorang pelawat memasuki bangunan pangsapuri tanpa kad akses malam semalam.


Dalam kejadian 8.30 malam di Kondominium Tanjung Court, Bandar Baru Air Itam, serangan terhadap Helen Chew itu dirakam kamera.

Rakaman video kejadian dimuatnaik di Facebook oleh seorang penduduk, Jeffrey Chua.

Menurut Chua, pengawal enggan membenarkan kenderaan milik pelawat memasuki kondominium itu tanpa kad akses.

“Seorang penghuni yang menunggu pelawat itu kemudian turun ke pos pengawal lalu memarahi pengawal itu kerana tidak membenarkan kawannya memasuki kawasan pangsapuri.

“Pengawal itu dipukul oleh lelaki tua itu dan seorang lagi lelaki. Dia juga ditolak ke tanah dan ditampar,” kata Chua dalam komen video itu.

Dalam video itu, pengawal itu dilihat cuba mengangkis serangan penyerangnya, seorang lelaki tidak berbaju. Bagaimanapun kudrat lelaki itu mengatasinya dan dia ditolak ke tanah dan tumbuk berulang kali.

Chua berkata lelaki tidak berbaju itu seorang penghuni pangsapuri dan dipercayai seorang “penjual kacang soya”.

Kejadian itu berlaku di depan beberapa orang penghuni yang kebimbangan dan cuba menahan lelaki itu, yang turut melemparkan kata-kata kesat terhadap pengawal itu.

Keadaan menjadi terkawal beberapa minit kemudian apabila seorang lelaki dapat menahan lelaki tidak berbaju itu.

Seorang lagi penghuni kondominium itu berkata penyerang mungkin mabuk kerana ada parti Tahun Baru Cina di unit kediamannya.

Satu laporan polis tentang kejadian itu dipercayai sudah dibuat di Balai Polis Bandar Baru Air Itam pada 10.00 malam semalam.

Bagaimanapun, sumber polis di balai itu hari ini mendakwa laporan itu ditarik balik petang tadi.

FMT menghubungi Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar dan menunggu respon beliau.

Suami songsang kantoi dengan isteri

Setelah dua tahun menjalani bahtera perkahwinan bersama, barulah si isteri mengetahui bahawa suaminya telah menjalinkan hubungan songsang dengan kaum sejenis.

“Kalau perempuan tu, saya masih lagi boleh terima, ini lelaki!” kata wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai May dan berusia 30 tahun.

Si isteri terus menangis kerana tidak dapat menahan pilu di dada ketika berada di ruang menunggu keputusan sebuah mahkamah syariah di Indonesia pada 16 Januari lalu.

Kegiatan jijik suaminya turut baru diketahuinya selepas lelaki itu telah ditangkap sedang berkhalwat bersama dengan seorang lelaki di sebuah hotel, dua hari lalu.

Disebabkan kejadian terkutuk itu, dia telah memulakan ‘perang’ untuk menyelongkar akaun Facebook suaminya kerana sebelum ini dia langsung tidak ambil pusing mengenainya akibat terlampau sibuk dengan kerja.

Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih rumit apabila dia mendapati senarai rakan di akaun itu boleh dikatakan semuanya ialah lelaki sahaja.

Lebih mengejutkan apabila dia membaca mesej suaminya dengan lelaki lain yang sangat jijik. Hal itu telah pun diadukannya kepada mertuanya sebelum mengambil keputusan untuk menuntut cerai.

“Ibu dan bapanya sangat terkejut, sampai mereka semput dengar pengakuan anaknya, saya sebenarnya kasihan melihat mereka, tapi nak buat macam mana,”katanya dipetik daripada sebuah portal tempatan.

Walaupun telah dinasihatkan oleh pihak hakim supaya tuntutan cerai itu ditarik balik, namun wanita itu masih tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan niatnya itu.

Hati wanita mana yang sanggup menerima apabila suaminya sendiri telah menjalinkan hubungan songsang dengan kaum sejenis. – Mynewshub

Remaja cuba rogol kanak-kanak dibelasah penduduk (Gambar)

Pasir Mas – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun terselamat daripada diperkosa oleh seorang remaja dalam satu kejadian di Taman Seri Mas, Lubok Jong dekat sini, pada Khamis.

Suspek yang berusia 19 tahun itu dikatakan mengumpan mangsa dengan telefon bimbit sebelum menarik dan membawa mangsa ke rumahnya.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain basikal bersama sepupunya di hadapan rumahnya.

Menurut nenek mangsa, Zainab Daud, 67 tahun, kejadian disedari oleh penduduk di taman itu selepas dimaklumkan oleh sepupunya bahawa mangsa diheret oleh remaja berkenaan.

Katanya, ayah mangsa bergegas mendapatkan mangsa yang ketika itu sudah ditelanjangkan oleh suspek di bahagian atas rumah suspek.

“Sejurus sampai, ayah dia dapati anak perempuannya dalam keadaan bogel. Si ayah terus ambil kain sarung dan tutup badan anaknya.

“Dah la anaknya itu anak tunggal,” kata Zainab.

Selepas mangsa berjaya diselamatkan, suspek dikatakan dibelasah oleh penduduk taman tersebut sebelum diserahkan kepada polis.

Remaja serta kanak-kanak berkenaan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Pasir Mas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Abdullah Mat Piah mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan terperinci akan dibuat dan remaja berkenaan akan ditahan untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – Astro Awani

'Suka label orang anti-Islam macam perangai IS'

Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin menggesa jabatan agama Islam atau jabatan mufti memandang serius istilah 'anti-Islam' yang dilontarkan apabila berlaku percanggahan pendapat.

Menurut ustaz muda itu, pendekatan melabel seseorang yang mempunyai perbezaan pandangan atau pendekatan sebagai anti-Islam menyerupai amalan kumpulan pengganas IS.

Beliau juga mendakwa istilah anti-Islam semakin digunakan dalam politik di Malaysia dan ia sering ditujukan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

"Perbezaan pandangan atau pendekatan dalam perkara yang melibatkan Islam tidak boleh sekali-kali menuduh kalangan yang berbeza itu sebagai anti-Islam.

"Contohnya kritikan terhadap pengurusan Tabung Haji, tidak bermakna mengkritik ibadat haji. Begitu juga apabila tidak bersetuju dengan pendekatan dilakukan oleh golongan yang menggunakan label Islam seperti PAS, tidak boleh dianggap sebagai anti-Islam.

"Pendekatan IS ini tidak wajar berlaku dalam negara kita, Malaysia. Malahan institusi Islam ataupun mufti dalam negara wajar melihat perkara ini dengan serius dan berusaha untuk membenterasnya." katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataannya, Wan Ji turut mengambil contoh perkara yang berlaku pada ulama terkemuka dunia Dr Yusuf al-Qaradawi serta Dr Ahmad al-Raysuni dan peristiwa yang berlaku di Syria dan Iraq.

Katanya, kedua-dua mereka turut dituduh anti-Islam oleh IS kerana mengkritik amalan kumpulan bersenjata itu.

"Dari sudut modus operandi, sebelum IS mengisytiharkan kalangan yang berbeza dengan mereka boleh diperangi dan halal darahnya, selalunya mereka akan menuduh kalangan yang berbeza dengan mereka sebagai anti-Islam atau musuh Islam.

"Di Syria dan Iraq, apabila pendekatan (kumpulan) Jabhah al-Nusrah berbeza dengan IS, walaupun Jabhah al-Nusrah itu dari kalangan Muslim, mereka telah dituduh oleh IS sebagai anti-Islam. Lebih sadis, selepas itu IS menghalalkan darah kalangan Jabhah al-Nusrah," kata Wan Ji lagi.
-malaysiakini 

Hanipa Maidin sekolahkan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan

Rakyat mungkin tak suci tapi kami tak bodoh Yang Arif, kata Hanipa
HUSIN MAHAT 
Ahli parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin melahirkan rasa tidak senang dengan ‘perhatian kehakiman’ tiga panel hakim Mahkamah Rayuan bahawa peguam negara telah memutuskan perdana menteri tidak melakukan apa-apa salah laku berkaitan 1MDB (1Malaysia Development Corporation Sdn Bhd).

Menurut Hanipa, ‘perhatian kehakiman’ (judicial notice) adalah fakta yang tidak perlu kepada bukti seperti “isteri MO1 yang suka membeli belah”.

MO1 adalah individu yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung kes pengsolapan dana 1MDB oleh ahli korporat asal Malaysia Jho Low dan beberapa individu lain.

Dengan rasa hormat kepada para hakim terbabit, Hanipa berkata, adalah lebih munasabah jika mahkamah berkata, “Mahkamah ambil perhatian kehakiman (judicial notice) bahawa Peguam Negara berkata yang Najib tidak melakukan apa-apa salah laku berkaitan 1MDB”.

Malah katanya, para hakim itu boleh menambah, “sama ada rakyat ambil perhatian apa yang Peguam Negara kata tu, mahkamah tak tahulah. Itu kena tunggu PRU14 nantilah”.

Hanipa mengulas, jika mahkamah mengiktiraf MO1 (perdana menteri) tidak melakukan apa-apa salah laku berkaitan 1MDB, beliau meragui sama ada rakyat turut mengiktiraf keputusan peguam negara yang penuh kontroversi apabila membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku berkaitan dana 1MDB.

“Rakyat mungkin tak suci tapi kami tak bodoh Yang Arif,” komennya di laman Facebook.

Semalam, ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah injunksi sementara yang diperoleh perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya (Pua) berhubung klip video yang didakwa berbaur fitnah.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan iaitu Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam dengan sebulat suara menolak rayuan Pua untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan perintah injunksi sementara kepada Najib untuk menghalang Pua daripada mengulangi dakwaan berbaur fitnah itu.

Hakim Yaacob yang menyampaikan penghakiman mahkamah berkata mahkamah mendapati bahawa Najib telah memenuhi syarat yang diperlukan untuk injunksi sementara dibenarkan.

Beliau berkata siasatan juga dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, dan Peguam Negara dan hasil siasatan yang telah diumumkan kepada orang ramai oleh Peguam Negara dan SPRM membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku jenayah.

Yaacob berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi undang-undang apabila membenarkan perintah injunksi sementara kepada Najib.

Najib menyaman Pua atas kapasiti peribadi beliau dengan mendakwa bahawa Pua telah membuat kenyataan fitnah ke atasnya melalui klip video bgerkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Perdana Menteri mendakwa klip video yang dimuat naik oleh Pua atau ejen-ejennya menerusi laman rasmi Facebook defendan, berdurasi dua minit dan 21 saat dan bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill,” boleh diakses secara meluas dan bebas melalui internet.

Pada 21 April, tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk perintah injunksi ex-parte bagi menghalang Pua daripada menerbitkan kenyataan atau kata-kata yang sama.

Pada 26 Januari tahun ini, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan dalam rayuan Pua selepas mendengar hujah daripada para peguam. Mahkamah kemudian menetapkan semalam untuk menyampaikan keputusan.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa perbicaraan kes itu telah ditetapkan pada 23 April.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua berkata beliau akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, lapor Bernama.

Penduduk asal Kg. Bakar Batu kutuk perbuatan samseng halang Sembang Santai Kit Siang

Para penduduk asal kampung Bakar Batu mengecam perbuatan kumpulan samseng yang dipercayai penyokong BN yang membuat kecoh sehingga program Sembang Santai pemimpin Pakatan Harapan yang turut menampilkan ahli parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang terpaksa dibatalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang Andrew Chen Kah Eng datang semula ke kampung tersebut selepas hari kejadian dan menemui para penduduk kampung yang kesal dengan kejadian tersebut.








“Sebenarnya empat hari yang lepas (10 Feb), kita datang ke Kg. Bakar Batu, selain untuk program sembang santai, kami juga ada membawa kerusi roda kepada mereka yang memerlukan. Kami juga bawa limau oren untuk setiap kaum bersama menyambut Tahun Baru Cina,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Menurut Andrew, bagi mengelakkan ketegangan berterusan, para pemimpin Pakatan Harapan yang hadir mengambil keputusan beredar daripada warung tersebut.
Pemimpin Pakatan Harapan Johor berkunjung semua ke warung di kampung Bakar Batu.
Bagaimanapun kelmarin, Andrew bersama pengerusi PKR Johor Hassan Karim, pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hasan dan wakil PPBM berkunjung semula ke kampung tersebut.
Mereka mengadakan program bantuan asnaf, sembang santai dan edaran buah limau kepada penduduk.
“Program berjalan dengan cukup lancar kerana tiada sebarang gangguan,” katanya.
Sehubungan itu Andrew mempersoalkan kenyataan ketua Umno Johor Bahru yang mendakwa kekecohan pada program itu berpunca daripada pemimpin Pakatan Harapan yang tidak mengetahui ‘adab masuk kampung’.
“Saya nak bertanya balik kepada Tan Sri Shahrir, apakah adab yang telah kami langgar?” soal beliau.
Andrew juga mahukan penjelasan tokoh veteran Umno itu sama ada tindakan menakut-nakutkan orang kampung untuk hadir ke program santai bersama pemimpin Pakatan Harapan menepati adab?
Apatah lagi, tambah beliau kumpulan yang menghalang menengking-nenking, memaki hamun dan menjerit-jerit kepada tetamu yang datang bertandang.
“Saya juga berasa kesal kerana cyber trooper yang pro-Umno terus memfitnah saya dan DAP dengan menyiarkan posting palsu di Facebook kononnya saya memarahi orang Melayu Bakar Batu sedangkan saya langsung tidak pernah berbuat demikian,” katanya.
“Adakah perbuatan cyber trooper (Umno) ini beradab?” soal beliau.
Menurut Andrew, keberanian ditunjukkan penduduk kampung Bakar Batu mengkritik taktik kotor dan budaya kecoh samseng Umno yang bermotif politik patut dijadikan teladan oleh seluruh rakyat.
“Tidak perlu lagi takut dengan sebarangan tekanan, ugutan dari Umno-BN,” katanya.
Beliau juga yakin kekecohan yang berlaku di kampung Bakar Batu itu akan memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk mendekati rakyat.
-malaysiadateline

Akhirnya Azmin akur dan tutup pintu kerjasama dengan PAS di Selangor

Azmin tutup pintu kerjasama dengan PAS di Selangor, kata laporan
MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menamatkan segala kemungkinan untuk memeterai pakatan pilihan raya dengan PAS, dengan mengatakan beliau tidak akan lagi "bertolak ansur" dengan cabaran parti Islam itu terhadap Pakatan Harapan (PH) di Selangor, menurut laporan berita.

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, Azmin berkata semua kerja pra-pilihan raya Selangor dijalankan atas nama PH dan tidak akan ada rundingan kerusi atau pakatan rahsia antara beliau dan PAS.

"Memandangkan PAS telah menyatakan berpecah dengan PH di peringkat kebangsaan, kita tidak akan bekerjasama dengan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya dipetik sebagai berkata.

Azmin berkata beliau menghormati kedudukan tiga exco PAS di dalam kerajaan negeri, walaupun selepas parti Islam itu mengumumkan ia memutuskan semua hubungan dengan PH, kerana mereka dipilih oleh rakyat.

"Saya bertolak ansur dengan PAS Selangor, kerana mereka benar dari segi dasar Selangor yang melayan semua rakyat secara saksama," kata Azmin.

"Sebenarnya, saya sudah bertolak ansur dengan mereka sejak sekian lama.

"Saya tidak memilih ini, ia pilihan rakyat."

Bagaimanapun, memandangkan penggal mereka sudah berakhir, Azmin berkata beliau tidak akan dapat bertolak ansur dan bersedia berdepan pertarungan tiga penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional yang memerintah.

Beliau berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak faham yang Selangor tidak seperti Kelantan atau Terengganu, kerana ia adalah negeri termasuk semua kaum, agama dan budaya.

"Selangor adalah negeri yang sangat penting, sebuah mikrokosma Malaysia.

"Kami adalah masyarakat berbilang kaum, masyarakat berbilang bangsa dan sangat penting kerajaan negeri dan kepimpinan mesti dapat menyediakan dasar yang sangat kondusif kepada semua orang," katanya.

"Hadi tidak memahami perkara di atas dan tersilap memikirkan PAS kekal di Selangor berdasarkan sokongan pengundi Islam."

Sejak keputusan parti itu berpecah daripada pakatan pembangkang PH, PAS berkata ia akan bertanding 42 daripada 56 kerusi di Selangor, yang mencetuskan pertembungan tiga penjuru dengan PH dan BN.

Keputusannya menimbulkan kemarahan ramai penyokong PH, yang mengatakan langkah itu akan memberi manfaat kepada parti pemerintah.

Pas tiada peluang, pengaruh Mahathir kuat di Kuala Kangsar

ARIF ATAN
Rata-rata pengundi di Parlimen Kuala Kangsar lebih menyenangi Tun Dr Mahathir memandangkan rekod tokoh berkenaan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, kata Naib Ketua AMANAH Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli.

Menurutnya, tindakan bekas penggerak utama Bersatu Perak, Datuk Hamidah Osman keluar daripada parti dengan jawatan terakhir sebagai Naib Presiden dilihat tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada Bersatu.

“Kesan tidak signifikan sangat kerana ramai pengundi di Kuala Kangsar lebih menyokong Tun Mahathir.

“Memanglah ada penyokong Hamidah tapi tenggelam dengan kepopularan Tun Mahathir,” jelasnya.

Untuk rekod, Hamidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng melepaskan semua jawatannya dan keluar daripada Bersatu pada September tahun lalu.

Ditanya tentang pertembungan tiga penjuru akibat Pas turut meletakkan calon bertanding, Dr Ahmad Termizi berkata, penyokong Pas pun menyedari mereka sukar mendapat tempat di kertas undi bagi Kuala Kangsar.

“Pas tentu akan bertanding. Ramai sudah tahu termasuk orang Pas sendiri, mereka tiada peluang menang di Kuala Kangsar.

“Itu bagi pemilih Pas yang masih rasional. Kalau tegar memang lainlah walaupun Pas selama ini tidak pernah menang di Kuala Kangsar,” ujar Pengerusi Biro Politik AMANAH Perak itu.

Beliau memberitahu majoriti rakyat termasuk di P67 Kuala Kangsar mahukan perubahan yang jelas hanya dimiliki pada Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, tegas bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tersebut, peluang memilih untuk menolak Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak akan dibazirkan begitu sahaja.

Parlimen Kuala Kangsar yang mempunyai lebih 30,000 pengundi antara empat kerusi yang akan ditandingi AMANAH Perak pada PRU-14 ini selain Parit, Parit Buntar dan Lumut.

Dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016, Dr Ahmad Termizi memperoleh 4,883 undi; calon Pas, Najihatussalehah Ahmad mendapat 5,684 undi manakala calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi.

Mengulas tentang penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi difahamkan wujud isu dalaman Umno berkaitan asal balu kepada arwah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang telah 27 tahun berkhidmat di Parlimen tersebut.

“Umno Kuala Kangsar sendiri saya difahamkan lebih suka pada calon tempatan. Beliau (Mastura) berasal dari Rembau, arwah suaminya orang tempatan. Itu isu antara kalangan Umno sendiri,” tambahnya lagi.

Malaysia ada hubungan sulit dengan Israel?

RAJA BAHRIN SHAH 

David Roet, bekas timbalan Duta Israel ke PBB merupakan wakil rasmi pertama negara Israel yang kami ketahui dibenarkan masuk ke Malaysia secara rasmi. Beliau diberitakan ke Malaysia menghadhiri sidang U.N. – HABITAT Forum tentang isu penempatan semula. Perlu di ingat Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan rakyat Malaysia tidak di benarkan pergi ke Israel.

Akhbar Israel -“The Times of Israel”, melapurkan turut bersama rombongan tersebut adalah bekas Mentri Israel dan beberapa pegawai dari kementrian luar Israel. Ahkbar tersebut juga mengalualukan perdagangan “ber-profil rendah” yang sedang berkembang pesat diantara Israel dan Malaysia yang kini bernilai lebih kurang rm 6 billion. Pihak Israel kelihatan amat gembira dengan sikap terbuka dan bermurah hati kerajaan Malaysia.

Ramai rakyat Islam terkejut dan amat dukacita tentang perkembangan terbaru ini yang tidak di umumkan kepada rakyat jelata. Sejak bila kerajaan Malaysia membenarkan pegawai tertinggi Israel memasuki negara kita?

Adakah kita sudah mengadai maruah umat Islam negara dalam peristiwa negara Israel ini kerana wang dan perdagangan semata mata? Baru beberapa hari lepas Timbalan Perdana Mentri sanggup menghantar pulang 12 orang kaum Uighur Muslim yang tertindas pulang ke Negara China untuk menjaga “hubungan baik” antara negara yang termasuk isu perniagaan.

Apa sudah jadi kepada nilai maruah umat Islam Malaysia hari ini ?

Apa sebenarnya polisi dan sikap kerajaan Malaysia kini terhadap Israel?

Adakah Malaysia sudah berlembut kepada Israel dengan membenarkan pegawai tertinggi mereka memasuki negara kita?

Adakah ini hasil sikap wasatiyah Dato Najib atau atas nasihat “Global Movements of Moderates” yang di ketuai olih Nasaruddin Mat Isa yang menyebabkan kerajaan mengubah dasar dan sikap ?
Rakyat ingin tahu.

Atau adakah kerana Datuk Seri Najib begitu taksub mengikut jejak langkah kerajaan Arab Saudi yang telah di dedahkan olih Mentri Israel sendiri mempunyai hubungan rapat yang sulit dengan Israel? Adakah Malaysia sudah memulai ada hubungan sulit juga dengan Israel?

Apa jua yang sebenarnya, kita minta kerajaan hentikan sandiwara lakonan anti Israel di khalayak ramai tetapi berbaik baik secara sulit. Datuk Seri Najib lambat membuat kenyataan mengecam tindakan Amerika memindah kedutaan nya ke Baitul Maqdis dan Malaysia kelihatan tidak bersungguh sungguh mengutuk perbuatan tersebut.

Tindakan membenarkan pegawai tertinggi lsrael memasuki Malaysia dan juga pegawai kita bertemu dengan pegawai Israel di sini seperti dilapurkan dengan banggs olih akhbar Israel adalah suatu pengkhianatan besar kepada rakyat Palestin dan juga Malaysia.

Datuk Seri Najib perlu jawap secara rasmi dan terus terang tentang isu ini!

Penulis adalah Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.

Azmil Mustapha meninggal dunia


Pelakon popular era 1980-an Azmil Mustapha meninggal dunia kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi di kediamannya di Seksyen 9 Shah Alam.

Adik allahyarham, Aziq Mustapha memberitahu pelakon yang popular melalui filem seperti Mekanik dan Ali Setan itu menghembuskan nyawa terakhir dalam tidur, lapor Utusan Online.

Azmil, 65, sebelum ini pernah dilaporkan keluar dan masuk hospital beberapa kali ekoran masalah kesihatan dihadapi seperti jantung tidak berfungsi secara normal.

Sejak bersara daripada dunia lakonan allahyarham banyak menghabiskan masanya untuk mendalami ilmu Islam dan sering juga dijemput memberikan ceramah agama di masjid serta surau.

Kepulangan Azmil ke rahmatullah itu turut dinyatakan anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli sejurus selepas aktor terbabit menghembus nafas terakhir.

"Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami," katanya dilaporkan BH Online.

Nama Azmil menjadi sebutan ramai selepas menjayakan filem komedi arahan Othman Hafsham, Mekanik, yang ditayangkan pada 1983. Turut mewarnai filem itu ialah legenda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari, serta kemunculan awal Susan Lankester.

Namanya semakin memuncak apabila dipilih membawa watak utama filem Ali Setan yang diarahkan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pada 1985. Ia menceritakan sekumpulan anak muda yang nakal dan melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.

Ketika itu Azmil digandingkan dengan Ogy Ahmad Daud.

Tumpu kepada agama
Kejayaan Ali Setan kemudian membuka jalan kepada filem sambungannya, Ali Setan 2, arahan Yasin Salleh.

Ali Setan juga membawa nama Azmil dinobatkan sebagai aktor terbaik Festival Filem Malaysia keenam pada 1986.

Filem lain dilakonkan Azmil ialah Suara Kekasih, Driving School, Iman Alone dan Fifty Cent.

Allahyarham juga mempunyai latar pendidikan yang baik. Dia pernah menuntut selama lima tahun di Universiti Indianna, Bloomingtion, AS dan membawa pulang segulung ijazah sarjana muda dalam bidang filem, radio dan televisyen pada 1979.

Azmil memilih keputusan untuk bersara dari dunia hiburan selepas terbabit aktif selama bertahun-tahun dan menumpukan kehidupannya dengan aktiviti keagamaan sejak tahun 2000.

Perkahwinan pertama Azmil dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Shamira, manakala dengan isteri kedua, dia dikurniakan empat anak.

Mereka adalah Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri, dan Nur Alia Iman.
-malaysiakini 

Putar belit fakta: Cara terbaru Pas?

ABU HAFIZ SALLEH HUDIN 
Zamri diminta belajar mengaji semula ekoran videonya buat pelbagai dakwaan palsu.

Video pendek dibawah adalah ucapan Ustaz Zamri Zainuldin @ Zamri ‘Mantop’ melalui laman FB Pas Kawasan Tanjung Karang. Beliau juga adalah Timbalan Pesuruhjaya 3, Pas Selangor.

Dengan sangat yakin dan bangga, beliau menamakan Pakatan Harapan (PH) sebagai Pakatan DAP. Logiknya mudah, pimpinan utama PH melibatkan Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar dan Haji Mohamad Sabu dikatakan telah berkompromi dan dengan mudah tunduk kepada Lim Kit Siang (LKS) dan DAP. Mereka telah berkompromi dan menerima LKS. Saya pelik sifir mudah beliau adalah siapa menerima LKS/DAP dikira tunduk patuh kepada LKS/DAP.

Jika demikian sifirnya; PAS dan Datuk Seri Hadi Awang (TGHA) tidaklah sehebat mana seperti mana yang cuba digambarkan oleh penyokong tegar Pas kerana TGHA pernah duduk bersama LKS/DAP di dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

RUU 355 Dimainkan Semula

Bukti lain yang dicanangkan beliau adalah dalam polemik RUU 355. Penolakan RUU 355 yang dibawa oleh Pas bukanlah kerana ingin menolak Islam, tetapi Pas dilihat lebih bermain politik berbanding kejujuran ‘memperjuang’kan hukum Islam. Akhirnya, Pas dipermainkan oleh Umno sehingga penangguhan demi penangguhan dilakukan oleh Presiden Pas di Dewan Rakyat. Malah dalam sidang terakhir tahun 2017, Presiden Pas bukan sahaja tidak menyambung perbahasan RUU 355 malah beliau langsung tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Permasalahan RUU 355 telah dibincangkan secara akademik oleh pelbagai pihak dengan penglibatan sebahagian sarjana-sarjana pengajian Islam. Kritikan mereka terhadap RUU 355 tiada kaitan langsung dengan LKS/DAP.

RUU 355 diperdebatkan kerana ia tidak boleh dianggap mewakili Islam secara mutlak dan wujud kejanggalan proses pembentangannya di Dewan Rakyat. Sekiranya RUU 355 mendapat sokongan dan restu pimpinan Umno, mengapa pula pindaan RUU 355 ini tidak dijadikan usul yang dibentangkan sendiri oleh Kerajaan? Bukankah itu lebih kuat dan mudah?

Kalau Ustaz Zamri mengambil isu RUU 355 sebagai kayu ukur serangan beliau seperti mana dalam video tersebut, bukankah pada hujung bulan Mac 17 kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang dikepalai Datuk Seri Najib ‘lemah tengkuk’ dan akhirnya menarik kembali sokongan terhadap pembentangan RUU 355 oleh Presiden Pas setelah menerima bantahan daripada MCA, MIC dan Gerakan selaku parti komponen BN. Amat pelik apabila serangan hanya dihalakan kepada DAP dan PH tanpa sedikit pun menghentam UMNO-BN. Adakah DAP juga yang ‘bersalah’ menghasut UMNO, MCA, MIC dan Gerakan menolak RUU 355? Jelas Pas kini memang mesra UMNO!

Pimpinan Pas pula acapkali mengajak mana-mana pihak yang mempertikaikan perjalanan pengurusan RUU 355 untuk berdebat. Kemuncak keangkuhan Pas dalam isu RUU 355 ini boleh dilihat melalui ucapan bongkak Bendahari Dewan Ulama’ PAS Pusat yang juga Ahli Majlis Syura Ulama’, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali al-Takiri yang ingin ‘sekeh’ kepala seorang mufti yang tidak bersetuju dengan RUU 355. Setelah cabaran debat RUU 355 disahut, tokoh ulama Pas itu senyap seribu bahasa dan bersegera mencari ‘suaka’ di hujung utara tanah air mencari jalan melepaskan diri. Jelas RUU 355 hanya mainan politik Pas!

Memainkan Sentimen kes Indira Ghandi

Ustaz Zamri juga secara terbuka menuduh bahawa anak-anak Saudara Ridhuan Abdullah dalam kes ini: “terpaksa diMURTADkan oleh keputusan mahkamah”. Keputusan ini dakwa Ustaz Zamri menggembirakan DAP dan sekutunya yang anti Islam.

Saya tidak pasti sama ada Ustaz Zamri tidak membaca ringkasan keputusan mahkamah, tidak langsung mengambil tahu fakta kes atau secara tidak jujur ingin mengubah fakta dengan berbohong? Adalah tidak salah untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan selagi mana ia berdiri atas penghujahan fakta dan tidak memanipulasi penghakiman itu demi kepentingan politik sempit Pas.

Ustaz Zamri tidak perlu gopoh untuk mudah menyimpulkan bahawa anak-anak itu terpaksa dimurtadkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 yang lalu. Mahkamah Persekutuan, antara lain, hanya menghakimi proses pendaftaran Islam tiga orang anak Ridhuan Abdullah dan Indira Ghandi dengan tugas utama menjawab isu sama ada pengislaman anak mereka boleh dilakukan sepihak atau mesti dengan persetujuan kedua belah pihak. Ia adalah isu penafsiran undang-undang bukan cubaan memurtadkan mana-mana pihak. Apa yang telah diputuskan hanyalah tafsiran terbaik, pada hemat mahkamah, berdasarkan undang-undang yang ada. Tidakkah keadilan yang cuba dilakukan dibuat oleh mahkamah dengan membuat keputusan secara objektif tanpa didorong oleh kepercayaan dan keyakinan moral peribadi.

Dalam kes Indira Gandhi ini, Seksyen 106 (b), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 menetapkan seseorang boleh memeluk Islam ‘jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya.’ Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan peruntukan ini harus selaras dengan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan keizinan ibu dan bapa diperolehi.

Kalau Ustaz Zamri bersungguh melawan ‘projek pemurtadan’ orang Islam dengan merujuk keputusan kes Indira Ghandi yang mewajibkan perlunya persetujuan kedua belah pihak (ayah dan ibu bersekali), maka Ustaz Zamri dipersilakan menuduh perkara yang sama kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana hal yang sama telah lama diperuntukkan dalam Seksyen 117 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Seksyen 117 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 menyebutkan dengan jelas berkaitan syarat untuk membolehkan kanak-kanak bawah umur memeluk Islam: “jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu DAN bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya”. Undang-undang ini mensyaratkan kedua ibu bapa mesti bersetuju barulah proses pendaftaran pemelukan kepada agama Islam sah dilakukan.

Tidakkah Seksyen 117 (b) ini selari dan sama dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu? Mahukah Ustaz Zamri menuduh dengan terbuka bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahkamah Syariah Selangor (apabila kes dikemukakan kepada mahakamah) dan Sultan Selangor telah dihasut dan tunduk dengan arahan DAP?! Pas telah bersama dengan kerajaan Selangor sejak 2008. Sanggupkah pula Ustaz Zamri menuduh Exco-Exco PAS ini bersekongkol ‘memurtadkan’ anak orang Islam apabila tidak melakukan apa-apa untuk merubah Seksyen 117 (b) itu? Jelas Pas bermain politik!

Sebenarnya Ustaz Zamri boleh sahaja berbeza pandangan. Namun beliau tidak perlu menggunakan cara serangan buruk dengan bahasa dan tuduhan jahat seperti yang dipertontonkan kepada umum melalui FB PAS KAWASAN TANJUNG KARANG.

Kesimpulannya, Pas mutakhir ini selesa menjadikan isu Islam sebagai modal politik sempit. Rakyat dan pengundi Melayu Islam harus beringat bahawa Islam ini lebih luas daripada apa yang digambarkan oleh Pas dan ianya milik semua merentasi bangsa apatah lagi lambang kepartian. Islam tidak akan sama sekali terbela dengan ucapan berniat jahat dan menuduh secara melulu walaupun kepada bukan Islam. Pilihlah Pakatan Harapan yang lebih santun dalam menyampaikan mesej Islam.

* Penulis adalah Timbalan Pengerusi, Biro Dasar & Strategi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).