"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

NGO lapor polis selepas PAS seru wajib jatuhkan PH

Bernama
KUALA LUMPUR
: Sepuluh badan bukan kerajaan (NGO) hari ini bertindak membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Kuantan, Pahang pada minggu lalu.

Wakilnya, Presiden Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Mejar (B) Razali Zakaria berkata tindakan PAS yang secara terbuka menyatakan pendiriannya wajib menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dilihat sebagai unsur provokasi dan menggunakan hukum agama untuk kepentingan politik semata-mata.

“Ucapan beliau (Nik Zawawi) berunsur provokasi dan boleh disalahfaham oleh umat Islam terutama pengikut PAS.., akhirnya ia boleh mencetuskan kacau bilau terutama pada umat Islam di Malaysia,” katanya pada satu persidangan media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

“Kami menggesa agar pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara terperinci dan tanpa prejudis menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap ucapan itu,” tambahnya.

Beliau turut menyelar ucapan Nik Zawawi yang menurutnya sewenang-wenangnya mengeluarkan “fatwa” hukum demi kepentingan politik sehingga mengetepikan agensi yang dipertanggungjawab mengeluarkan fatwa.

“Tidak kira parti politik apa, teruskan berpolitik tetapi secara yang betul, bukan gunakan agama sebagai alat politik. Jangan gunakan hukum hakam agama untuk kepentingan politik kerana amalan ini akan merosakkan negara,” katanya.

Presiden Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA) Mustapa Mansor yang hadir sama turut menegaskan pihaknya akan terus memerangi penyebaran fitnah dan provokasi menerusi kerjasama rapat bersama agensi kerajaan berkaitan seperti SKMM, polis dan Kementerian Dalam Negeri.

Pas mungkin mangsa ‘cah keting’ Umno

NASUHA RAHMAN
Pas mungkin akan menjadi mangsa budaya ‘cah keting’ di dalam Umno apabila gabungan kedua-dua parti ini berdepan dengan pembahagian kerusi di dalam PRU15 nanti, demikian menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.

Beliau berkata, ‘cah keting’ ini satu budaya yang sebenarnya sukar untuk dikikis kerana ia sudah menjadi cara hidup atau tradisi di dalam Umno.

“Sebenarnya, di dalam Umno mereka sendiri bertarung satu sama lain bersaing untuk menguasai tampuk kepimpinan sehingga banyak berlaku cah keting.

“Sebagai contoh kekalahan BN di Terengganu dan Kelantan sejak daripada dahulu lagi bukan kekalahan mereka disebabkan kekuatan lawannya, tetapi budaya cah keting di dalam Umno sangat kuat,” katanya.

Beliau turut menimbulkan persoalan, adakah Umno dan Pas telah bersetuju untuk membahagikan kawasan-kawasan untuk ditandingi dalam masa yang sama adakah boleh memuaskan hati ketua-ketua mereka ini.

“Mungkin di hadapan mereka setuju di belakang mereka cah keting atau melakukan sabotaj kepada parti,”ujarnya.

“Misalnya ‘worldview’ penyokong Pas, Islam mesti di atas tidak boleh di bawah, bolehkah dalam satu masa gabungan mereka untuk meletakkan nasionalisma di atas, yang tinggi daripada Islam.

“Mungkin akan timbul ketidakpersetujuan agenda, prinsip dan perjuangan Pas yang dibawa.

“Umno pula ketua-ketua mereka tidak akan berkompromi kerana sudah lama mereka berjuang untuk menguasai tampuk pimpinan bahagian tiba-tiba hendak diserahkan kepada parti dalam gabungan ini. Ini satu perkara yang bukan mudah,” katanya ketika ditemui.

Mazlan berkata demikian bagi mengulas senario politik di dalam Pas-Umno selepas kerjasama kedua-dua parti ini diputuskan di dalam Muktamar Pas di Kuantan baru-baru ini.

Beliau tidak menolak senario ini akan berlaku seperti mana hubungan Pas dengan Semangat 46 yang akhirnya berpecah kerana parti gabungan itu tidak boleh mengatasi ideologi Islam yang dibawa oleh Pas.

“Parti ini selama-lamanya adalah musuh ketat. Kalau lihat dalam Pas ia sebuah parti yang bawa konsep ketuanan dan Islam yang memerintah serta memperjuangkan hukum-hukum seperti hudud.

“Bagi memastikan Islam mendapat tempat dalam perjuangan Pas, mereka tidak boleh meletakkan ideologi lain di dalam perjuangan mereka. Jadi Pas tidak boleh berkompromi dalam keabsahan mereka membentuk negara Islam,” ujarnya.

Dengan gabungan Pas-Umno ini beliau percaya ada cabaran besar yang perlu dihadapi kedua-dua parti ini, dan bagi Pas perlu melihat sejarah Umno kerana perkara ini akan menjadi pencetus kepada perpecahan gabungan ini.

Betapa munafiknya PAS

Zharif Badrul

ULASAN
| Sebenarnya saya tak tahu pun adanya muktamar PAS yang berlangsung minggu lepas sehinggalah muncul sajak “Demi” Islam yang dibaca oleh PU Merico.

Apa istimewanya sajak ini?

Pertama, ia dibaca oleh seorang yang bergelar Pencetus Ummah atau singkatannya PU. Kalau PU yang buat, confirm netizen boleh jadi histeria membawang pasal PU di media sosial. Sebagai contoh, PU Abu yang berkahwin dengan seorang janda dan menceraikan isterinya yang sedang hamil ketika itu. Maka meriahlah timeline Twitter waktu itu dengan nama PU Abu dari sahur sampai habis tarawih 20 rakaat.

Jadi, strategi pas menggunakan PU untuk mendeklamasikan sajak ini adalah strategi marketing yang berjaya melariskan muktamar tahun ini.

Darah-darah munafik

Kedua, bait-bait sajak yang digunakan berjaya menarik perhatian satu dunia walaupun hanya dengan membaca lima baris yang pertama.

Tahun 2015
Allah menapis darah-darah munafik
ke sana parasit, ke sini parasit
parasit tetap parasit
menggadai agama demi kuasa bernegara.

Menapis darah-darah munafik. Ah, melodramatik sungguh! Seolah-olah PAS sedang berjihad mengembangkan syiar Islam sehingga terpaksa menyamakan keadaan mereka sewaktu di zaman Rasulullah SAW, yang wujudnya golongan munafik yang banyak diceritakan perihal mereka dalam al-Quran.

Seriuslah, sampai begitu sekali tahap pas punya benci dengan ahli Amanah sampai sanggup memunafikkan mereka? Dulu apabila Umno berkuasa, dikafirkan parti umat Melayu ini dan sekarang Amanah pula yang dimunafikkan.

Jadi kesimpulan pertama yang boleh dilakukan ialah PAS sentiasa bitter dengan parti-parti yang menang dan menjadi kerajaan. Jadi jalan terbaik ialah mengkafirkan atau memunafikkan parti yang menang ini untuk meraih simpati rakyat.

Lebih-lebih lagi yang digelar munafik itu pula menang jadi kerajaan dengan parti-parti yang pernah bersama mereka dalam Pakatan Rakyat satu ketika dahulu. Lagilah frust menonggeng. Kalau tak, mungkin sekarang presiden mereka sudah mendapat gelaran Tun dan menjadi ‘punahsihat’ kerajaan bersama Mohd Najib Abdul Razak.

Setelah setahun berlalu, PAS masih belum move on dan menjadi semakin bitter dengan memunafikkan sesama Islam hanya kerana mereka kalah dalam pilihan raya. Masya-Allah! Perangai ini jauh lebih teruk daripada perangai Aliff Aziz yang tak reti move on selepas bercerai dengan Bella Astillah.

Tolak parti cauvinis

Dah selamat memunafikkan Amanah, tuan presiden parti menyeru pula rakan-rakan parti bukan Islam untuk menolak parti fanatik perkauman. Menurut laporan Malaysiakini, tuan presiden memberitahu,

“Kita mengharapkan rakan-rakan bukan Islam supaya menolak parti fanatik perkauman (cauvinis), khusus yang bersikap negatif terhadap umat Islam, tanpa mengenang budi, demi kepentingan kaumnya sahaja tanpa peduli hubungan kaum yang mesti dipelihara dengan saksama.”

Tak diperlukan seseorang yang mempunyai tahap genius Sherlock Holmes untuk membuat deduction bahawa menolak parti fanatik perkauman cauvinis itu adalah sama ertinya dengan menolak parti DAP.

Barisan pemimpin Umno yang hadir dalam muktamar PAS baru-baru ini.
Tapi, terkejut beruk pula apabila tuan presiden mengibaratkan PAS dan Umno seperti paha kiri dan kanan. Betapa akrab dan romantisnya hubungan mereka!

Maka tidaklah lagi terkejut itu menjadi beruk apabila pas akhirnya sebulat suara meluluskan usul bertahaluf dengan Umno.

Mula-mula diseru untuk menolak parti perkauman yang ditujukan secara tersirat kepada parti DAP yang membuka keahliannya kepada pelbagai kaum. Habis menyeru, dipersetujui pula untuk bertahaluf dengan parti Umno; parti yang pernah dikafirkan satu ketika dahulu!

Dikafirkan satu hal. Bahkan Umno punya rasis lagi rasis daripada DAP sebab keahliannya hanya untuk umat Melayu sahaja. Jadi kesimpulan kedua yang boleh dibuat ialah penolakan parti perkauman yang diseru pas ini hanya terpakai kepada DAP sahaja. Parti perkauman macam Umno, Mca dan MIC tak perlu ditolak sebab mereka sama-sama kalah dalam pilihan raya yang lalu.

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya bahawa ketakwaan kepada Allah adalah tanda kemuliaan seseorang itu di sisi sang pencipta dan bukannya seseorang itu mulia kerana susur galur kaum keturunannya. Bahkan, Islam diturunkan untuk menghapuskan semangat asabiyah yang begitu menebal di kalangan masyarakat Arab jahiliah pada waktu itu justeru fanatik perkauman tidak pernah halal di sisi Islam.

Dan fanatik perkauman yang dilarang dalam Islam adalah bersifat menyeluruh dan tidak selektif; Arab atau bukan Arab, Melayu atau bukan Melayu- sesiapa sahaja yang taksub dengan kaumnya sahaja adalah ditegah dalam Islam!

Lihatlah betapa munafiknya mereka yang kini menghalalkan hubungan dengan parti yang rasis dan pernah dikafirkan oleh mereka sendiri satu ketika dulu!

ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftaraikan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di Twitternya @zharifbadrul6.

AMANAH mendepani cabaran taawun Pas-Umno

DR ZULKARNAIN LUKMAN
Pas telah selesai mengadakan muktamar mereka ke-65 di Kuantan, Pahang iaitu sebuah negeri yang diterajui oleh Umno. Antara usul yang diterima dalam muktamar kali ini adalah untuk meneruskan ta’awun dengan Umno.

Mengikut kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa usul tersebut bukan sahaja membenarkan partinya mengadakan ta’awun malah untuk pergi lebih jauh dengan mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno. Pas menggunakan istilah ta’awun sebagai satu kerjasama manakala tahaluf sebagai ikatan yang lebih kukuh.

Antara alasan yang diberi untuk menyokong usul itu adalah atas dasar penyatuan ummah bagi memperkasakan Islam yang mana telah disesuaikan dengan tema muktamar yang menggunakan moto ‘Islam Memimpin Perpaduan’.

Usul yang diluluskan itu telah menamatkan sosek-sosek politik sebelum ini yang mana mengatakan bahawa usul sebegini akan mendapat tentangan daripada ahli-ahli Pas. Meskipun, masih wujud tentangan sebegitu tetapi rata-ratanya hampir keseluruhan perwakilan telah menerima kerjasama sedemikian.

Namun, jika dilihat daripada sejarah kerjasama Pas dengan parti siasah lain seperti kerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat, kerjasama seperti itu akan berakhir dengan perpecahan.

Sekarang ini modal yang digunakan oleh Pas untuk menyerang PH adalah bahawa PH telah mendatangkan kemudaratan besar kepada umat Islam. Bagi mereka kemudaratan PH itu lebih bahaya daripada kerjasama dengan Umno.

Langkah yang diambil oleh Pas itu sebenarnya bukanlah satu langkah yang ke hadapan atau progresif. Malah, tindakan Pas kini sudah banyak berbeza dengan prinsip Pas sebelum PRU-14.

Dahulunya, Pas menegaskan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Umno. Malah, Presiden Pas sendiri pernah mengungkapkan bahawa Umno adalah satu bahtera yang bocor dan akan karam.

Ketika itu, Pas menyatakan mereka tidak akan sesekali memberikan bantuan kepada Umno untuk menyelamatkan bahtera yang akan karam ini.

Hakikatnya, Pas telah menelan segala kata-kata keji dan nista yang pernah dilemparkan kepada Umno dahulu dan menjilat ludahnya kembali. Kini, pimpinan Pas tidak perlu lagi berselindung untuk berbaik-baik dengan Umno.

Bagi AMANAH, ta’awun Pas-Umno bukanlah satu ancaman besar kerana para pimpinan AMANAH sendiri adalah pejuang yang telah lama bersama Pas dan amat memahami sifat dan karenah Pas.

Namun, ini tidak bermakna AMANAH perlu memandang ringan terhadap ta’awun Pas-Umno. AMANAH perlu merangka strategi untuk menghapuskan kekhuatiran rakyat terhadap tohmahan Pas seperti AMANAH sebagai kuda tunggangan DAP, Melayu-Islam terancam, LBGT bertambah, DAP berkuasa dan pelbagai lagi tohmahan berbentuk persepsi.

Hala tuju Pas juga telah berubah. Jika sebelum ini matlamat mendapat redha Allah itu menjadi sasaran dalam perjuangan tetapi kini Ketua Dewan Ulama yang baharu sendiri menyarankan Pas perlu meletakkan sasaran yang lebih jelas untuk memenangi Putrajaya dan menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

AMANAH perlu lebih agresif dalam menerangkan kepada orang ramai tentang hala tuju perjuangan AMANAH dan pendekatan inklusif, progresif dan peduli yang menjadi pendirian AMANAH.

Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin perlu diperkuatkan dan menjadi tema gerak kerja parti di segenap lapisan. AMANAH perlu menyusun struktur parti supaya kewujudan AMANAH dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

Dalam hal ini, AMANAH perlu mewujudkan cawangan yang lebih banyak sehingga dapat menyaingi kewujudan cawangan Pas khasnya di luar bandar dan di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Ketiga-tiga negeri ini menjadi kubu kuat Pas selama ini dan jika sokongan rakyat kepada Pas di negeri-negeri itu tidak dilumpuhkan maka rakyat sukar untuk bertukar menyokong AMANAH.

Selain itu, dasar-dasar AMANAH perlu seiring dengan dasar yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan merapatkan jurang yang wujud khasnya daripada aspek perpaduan kaum, keharmonian beragama dan toleransi bangsa.

AMANAH mesti menterjemahkan kewujudan pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini sebagai sumber kekuatan dan bukanlah sumber perpecahan sebagaimana yang didakwa oleh Pas-Umno.

Tema Pas-Umno yang dijual selama ini hanyalah tema perpaduan Melayu-Islam semata-mata. Dalam hal ini, Pas sendiri sebenarnya tidak berminat untuk perpaduan Melayu-Islam yang sebenar.

Buktinya, Pas sendiri mengatakan tidak mungkin bekerjasama dengan AMANAH yang dianggap telah mengkhianati perjuangannya apabila sebahagian pimpinan Pas Pusat yang dahulu telah meninggalkan parti itu.

Justeru, Konvensyen AMANAH Nasional yang bakal berlangsung pada 6-8 Disember nanti perlu meletakkan hala tuju dan merangka strategi untuk menarik rakyat untuk terus menyokong PH dan meninggalkan ta’awun palsu Pas-Umno.

Rangka kerja yang dibuat itu perlulah lebih ofensif dan defensif terhadap Pas. Ahli-ahli AMANAH perlu lebih bersolidariti untuk menentang dakyah palsu Pas-Umno dan akhirnya menyelamatkan negara ini daripada jatuh kembali ke tangan mereka.

‘Wajib’ jatuhkan PH: Perangai Abu Jahal dan Abu Lahab, kata Nik Omar

AKMAL MANAF
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz menyifatkan perbuatan menjatuhkan hukum tanpa sebab munasabah, adalah perangai Abu Jahal dan Abu Lahab.

Ahad lalu, ketika ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-65 di Kuantan, Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu bahawa ‘wajib’ menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Susulan kenyataan kontroversi itu, Ustaz Nik Omar berkata, penerangan mendalam perlu dilakukan jika mahu menyebut ‘wajib’ dari sudut politik supaya tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat di negara ini.

“Kalau mereka keluarkan kenyataan seperti itu, kita juga boleh sebut bahawa ‘wajib’ juga untuk kita mempertahankan kerajaan yang ada sekarang ini.

“Apabila sesuatu perkara itu disebut ‘wajib’, itu bermakna perkara yang lain akan jatuh hukum sebagai ‘haram’.

“Jadi, jangan hanya sebut wajib dan terhenti setakat itu. Penjelasan secara terperinci perlu dilakukan dan kita juga kena faham maksud Fastabiqul Khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan).

“Apabila kita hendak melakukan sebarang kebaikan, kita juga kena mengiktiraf peranan individu dan organisasi lain yang mempunyai tanggungjawab sama untuk membangunkan sesebuah negara termasuk Malaysia,” katanya ketika ditanya media berhubung isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Yadim, di pejabatnya, hari ini yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim.

Mengulas lanjut, Ustaz Nik Omar berkata, kenyataan berkenaan keluar daripada pihak parti politik dan kebiasaanya mereka mahu mendapatkan sokongan rakyat.

“Walau apa pun, kita kena berkerja keras menjalankan tanggungjawab kita sebagaimana tuntutan Allah.

“Pada masa sama, kita juga harus menonjolkan kedudukan masing-masing termasuk di Yadim untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang sememangnya memberi perhatian serius kepada pembangunan negara termasuk pembangunan Islam itu sendiri.

“Contoh paling jelas adalah, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan pembangunan Islam daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM100 juta.

“Itu salah satu gambaran jelas dan kami lihat Kementerian (Hal Ehwal Agama) begitu bersungguh-sungguh memastikan cita-cita ini berjaya dengan mewujudkan beberapa kluster utama dan Yadim juga diberi mandat menjayakan kluster dakwah,” tambahnya lagi.

Pelaku keganasan anti-Muslim di India dituntut dikenakan tindakan tegas

MALAYSIA DATELINE
Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Malaysia menuntut supaya tindakan tegas segera dikenakan terhadap pesalah Jharkhand Lynching di India pada 17 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Muslimin, Malaysia Datuk Seri Ahmad Awang dan Presiden Setiausaha Perhimpunan Ulama Asia, Datuk Wira Abdul Ghani Samsudin menyifatkan video yang ditularkan berhubung insiden itu baru-baru ini adalah tindakan yang kejam.

“Ia adalah satu-satunya kekejaman yang tidak berperikemanusiaan untuk membenarkan penyebaran kebencian dan serangan terhadap minoriti Islam di India.

“Ini bukan satu kes terpencil, ia menggambarkan kebencian yang berleluasa yang diabaikan dan tidak ditanggung oleh pihak berkuasa India yang memberi isyarat bagaimana fanatik kempen Hindutva diberikan ruang untuk bertindak dengan sewenang-wenangnya.

“Ini adalah rancangan yang teratur dan sengaja oleh fanatik Hindutva terhadap individu dan komuniti minoriti Muslim yang menyebar di banyak negeri di India,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Laporan Religy Freedom 2018 menegaskan bahawa kejadian perpecahan tentang keganasan anti-Islam di India tidak boleh dihentikan.

Pihaknyai amat bimbang bahawa sementara kerajaan Modi menyatakan komitmennya untuk melindungi dan menghormati hak-hak minoriti, jelas sekali bahawa ketakutan serangan komunal terhadap minoriti agama terbesar tidak diikuti, tetapi sebenarnya berleluasa.

“Kami kesal dan mengutuk lonjakan keganasan anti-Islam sekarang apatah lagi selepas kemenangan kerajaan BJP baru-baru ini.

“Kes salah seorang anak muda Tabrej Ansari yang berusia 24 tahun dari Jharkhand, secara kejam diseksa secara terbuka dan meninggal dunia disebabkan kecederaan yang dialami, tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas terhadap pesalah.

“Kerajaan mempunyai kewajipan untuk melindungi minoriti di seluruh India, kegagalan berbuat demikian akan membawa kesan serius dari umat Islam di seluruh dunia.

“Tabrej dan mangsa lain yang serupa mesti diberi keadilan sewajarnya,” tambahnya.

Kata NGO berkenaan lagi, pihaknya telah mengikuti siri penumpuan anti-Muslim di India dan menuntut bahawa kerajaan India mengambil langkah yang diperlukan sekurang-kurangnya, kami merujuk keadaan kepada agensi-agensi antarabangsa.

Sehubungan itu pihaknya menuntut:

1. Pesalah insiden Jharkand untuk menghadapi undang-undang penuh.

2. Kerajaan India melindungi hak-hak dan kehidupan umat Islam dan semua agama minoriti lain.

3. Kerajaan India untuk bertindak terhadap fanatik Hinduntva dan menghentikan mereka daripada meneruskan keganasan mereka terhadap umat Islam.

4. OIC untuk mengeluarkan kenyataan yang tugas untuk memanggil kerajaan India agar menghentikan keangkuhan dan mendesak India supaya mematuhi undang-undang antarabangsa mengenai kebebasan beragama.

Jangan geli… Ada 5 khasiat sup kaki ayam perlu diketahui

FMT Reporters
Ayam sememangnya menjadi makanan kegemaran semua orang termasuklah kanak-kanak dan dewasa.
Namun ada beberapa bahagian ayam yang dibuang begitu sahaja tanpa mengetahui khasiatnya terlebih dahulu.

Ia termasuklah kaki ayam apabila ia sering dibuang begitu sahaja sedangkan hakikatnya benda yang selalu di anggap “lebihan” inilah secara saintifiknya mengandungi banyak nutrien hebat untuk semua, termasuklah kanak-kanak.

Berikut adalah senarai nutrien yang terdapat dalam bahagian ayam ini.

· 13 mg choline

· 4 g karbohidrat

· Tenaga 150 kcal

· Asid lemak 187 mg omega-3

· 100 UI vitamin A

· 19 g protein

· Asid lemak 2571 mg omega-6

· 8 g lemak

· 83 mg phosphor

· 86 mg folat

· 88 mg kalsium

5 khasiat kaki ayam untuk anak-anak

1. Sumber kolagen semulajadi

Menurut satu kajian di Universiti Taiwan, kaki ayam adalah sumber kolagen yang hebat, murah dan mudah didapati.

Kita sedia maklum bahawa kolagen boleh membantu meremajakan kulit.

Selain membantu regenerasi sel dalam memberi kulit yang cantik, kolagen juga memiliki pelbagai fungsi dalam meningkatkan kesihatan tubuh.

2. Menu ideal ketika demam

Ramai yang jadikan kaki ayam sebagai broth atau sup yang direneh lama bagi mengeluarkan khasiat dalam tulangnya.

Menurut penelitian, proses pemulihan seperti penyembuhan luka atau demam boleh berlaku lebih cepat dengan makan lebih banyak sup kaki ayam.

Ini kerana kaki ayam memiliki nutrisi yang lengkap untuk memperbaiki sistem imun dan meningkatkan kesihatan keseluruhan.

Anak-anak juga kurang terdedah kepada penyakit atau jangkitan.

3. Membantu melegakan sembelit

Di samping itu, pengambilan sup kaki ayam boleh mengeluarkan toksin yang terperangkap dalam badan anda.

Oleh itu, jika anak anda mengalami sembelit atau penghadaman perlahan, bolehlah cuba diberi makan sup kaki ayam.

4. Menguatkan tulang

Multi-ethnic children playing ball
Oleh kerana kaki ayam mengandungi sumber kalsium, ia boleh menguatkan sendi dan memperbaiki tulang kanak-kanak yang sedang membesar dengan cepat dan aktif.

Selain itu ia turut membentuk kuku, gigi dan gusi yang kuat dan sihat.

5. Kesihatan jantung

Kaki ayam sangat baik untuk meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan menguruskan kadar denyutan jantung agar berfungsi dengan optimum.

Ia juga dikatakan dapat mengekalkan emosi seimbang dan mengurangkan tahap stres.

Banyak lagi kebaikan dan manfaat sup kaki ayam yang menjadikannya hidangan yang bagus untuk seisi keluarga.

Contohnya, kaki ayam merupakan sumber utama chondroitin sulfate dan asid hyaluronik yang penting bagi kita yang makin meningkat usia.

Menurut sumber, chondroitin sulfate sangat baik untuk orang yang mempunyai masalah sendi atau masalah lain yang disebabkan oleh osteoartritis.

Sementara itu, asid hyaluronik pula sangat baik untuk melambatkan kesan penuaan. Awet muda gitu!

Sumber siraplimau.com

'Kenapa enta kata wajib jatuhkan kerajaan PH?'

Zolkharnain Abidin
Kalau parti enta nak jatuhkan kerajaan sedia ada secara demokratik, itu hak parti enta. Berkempenlah dari sekarang. Itu juga hak enta dan parti enta.

Cuma ana (huruf A pertama kena baca bunyi huruf ain macam P Ramlee) nak beritahu enta, fatwa enta wajib jatuhkan kerajaan sedia ada ini agak pelik.

Pasai apa ana kata pelik?

Sebab enta guna kalimah wajib, dan kalimah wajib adalah kalimah yang punya nilai hukum dari sudut syarak.

Rakan-rakan kalimah wajib - iaitu sunat, harus, makruh, haram, mustahab, mandub - tidak berdiri sendiri tanpa sokongan dalil.

Justeru, pertama, wajib yang enta sebut itu perlu ada sokongan dalil daripada sumber syarak sama ada al-Quran atau hadis.

Kedua, jika ada ayat al-Quran, enta tolonglah bawa, atau kalau ada hadis, sila kemukakan. Atau, enta guna apa-apa kaedah usul, harap beritahu kaedah itu.

Ketiga, tujuannya supaya pengikut-pengikut enta - yang berpegang dengan kata-kata enta - mereka berpegang dengan dalil dan hujah yang jelas. Mereka tidak taklid buta.

Keempat, pihak kami pun nak tahu juga hujah yang enta guna. Boleh jadi hujah enta benar. Jika begitu, kami perlu ikut enta, dan kami salah jika mempertahankan kerajaan ini.

Baca Wajib jatuhkan PH, kata ketua ulama PAS

Kelima, jika kerajaan ini wajib dijatuhkan, maka maksudnya mempertahankan kerajaan yang ada adalah haram. Orang yang pertahankan perkara haram maknanya berada dalam maksiat.

Keenam, enta bersalah jika enta biarkan kami pertahankan maksiat. Maka, enta kena buktikan kerajaan yang ada ini wajib dijatuhkan dan haram dipertahankan - dengan dalil dan hujah.

Tapi jika enta sebut sekali lalu sahaja bahawa wajib menjatuhkan kerajaan sedia ada tanpa enta bawa dalil dan hujah, rasa itu tidak sesuai dengan kedudukan enta sebagai ketua ulama.

Negeri pun ada maksiat

Sebab, ulama tidak akan berkata-kata sesuatu kecuali kata-katanya itu disokong dengan hujah, dalil dan fakta.

Cuba enta beritahu ana, mana satu ulama yang menyebut hukum tapi tak bawa dalil dan hujah?

Pasai apa kerajaan ni wajib dijatuhkan? Adakah kerana kerajaan ini rasuah, membunuh rakyat, merobohkan masjid, menutup sekolah agama, hapuskan pusara orang Islam, tak benarkan azan? Atau apa?

Enta kena beritahulah sebabnya secara jelas. Jangan serkap jarang begitu saja.

Kalau enta main serkap macam tu saja, nampak sangat enta kecewa atau dengki sebab parti enta tak menang.

OK, enta kata ada maksiat. Tapi kerajaan ini tidak reda kepada maksiat, dan giat untuk banteras maksiat. Di negeri parti enta perintah pun ada maksiat.

Beranikah enta fatwakan wajib jatuhkan kerajaan yang parti enta perintah?

Sebab tu ana kata, fatwa enta tu keluar begitu kerana enta iri hati parti enta tak menang. Parti yang ketua parti enta kata nyamuk tu, akhirnya pemimpin parti itu jadi menteri.

Itulah yang enta tak puas hati.

Tapi terpulang kepada enta-lah untuk tidak berpuas hati sebab itu juga hak enta. Hak untuk tidak berpuas hati. Ana tak larang.

Cuma ana kesal apabila enta dan parti enta sesuka hati saja jual agama, nama agama, istilah agama, untuk melampiaskan iri hati enta.

Haram, halal, enta dan parti enta guna ikut sedap saja untuk survival parti enta. Orang lain kawan dengan non-Muslim, haram. Parti enta kawan - halal.

Enta janganlah macam tu. Berpolitiklah dengan sihat. Tak payah jual agamalah. Kempen elok-elok, jangan dok nak tapis darah munafiklah, macam-macam lagilah.

Tapi kalau enta nak kata "wajib" yang enta maksudkan tu bukan wajib dalam istilah syarak, tapi wajib penggunaan bahasa saja, terpulanglah pada enta.

Tapi ana percaya bagi pengikut enta - kerana enta ketua ulama - depa pegang itu wajib mengikut hukum syarak.

OK-lah, panjang pulak ana tulis. Ana ni bukan apa, kalau tak tulis apa yang terbuku dalam otak, ana tak puas hati. Jadi ana tulislah.

Moga ada manfaatnya.

ZOLKHARNAIN ABIDIN ialah timbalan yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan pengarah syariah Amanah.

Lebai kena bayar Husam kes fitnah 'terima dana dari DAP'

Naib Presiden Amanah Husam Musa menang kes saman fitnah terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dr Wan Zawawi Wan Ismail di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini.

Saman itu berkenaan kenyataan di laman Facebook Wan Zawawi dua tahun lalu yang mendakwa Amanah Kelantan menerima dana daripada DAP untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

Perkara itu dimaklumkan penasihat Undang-undang Amanah Kelantan Hisham Fauzi dalam satu kenyataan.

"Zawawi di dalam status facebooknya menuduh Amanah Kelantan menerima duit daripada seorang taukeh judi dari DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan Kerajaan Pas Kelantan dengan gambar Husam bersama tulisan tersebut," katanya.

Husam diwakili Tetuan Hisham Fauzi & Associates dengan peguam Alawi Abdul Rashid, Norazham Yahaya dan Rusilawati Zakaria manakala Zawawi diwakili oleh Tetuan Rithauddeen & Aziz dengan peguam Rizwani Adam dan Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi.

Menurut Hisham, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Husam selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.

Katanya, hakim memerintahkan Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan diputuskan mahkamah nanti.

"Beliau turut mengarahkan defendan menarik balik artikel berkenaan, menyiarkan permohonan maaf di akhbar nasional selama sehari dan membayar kos perbicaraan berjumlah RM50,000.

"Zawawi pada masa (mengeluarkan kenyataan itu) merupakan ahli Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pas Kelantan dan juga Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," katanya lagi.

Husam memfailkan saman tersebut pada 12 September 2017.

Menurut pernyataan tuntutan saman itu, kenyataan itu disiarkan di laman Facebook Wan Zawawi pada 8 Jun 2017 dengan tajuk "Betulkah Koon Yew Yin Memberi Derma Untuk Amanah (PAN) Jatuhkan Kerajaan Islam PAS Kelantan?".

Sementara itu, Hisham berkata mahkamah juga mengeluarkan perintah tegahan (injunksi) terhadap Wan Zawawi agar tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah terhadap Husam.
-Malaysiakini 

Tersentap walaun

‘Bukan 41 pihak saja, banyak lagi terima wang 1MDB’

Bukan hanya 41 pihak, banyak lagi yang menerima wang berkaitan syarikat 1MDB, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki enggan mendedahkan tambahan nama dan entiti tersebut.

“Ya, banyak lagi,” katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada nama yang didedahkan melebihi 41 seperti jumlah yang diumumkan berdepan tindakan pelucutan hak di mahkamah sebelum ini.

Namun Azam menjelaskan, selain daripada 41 individu dan entiti yang didedahkan sebelum ini, mana-mana pihak yang didapati menerima atau mempunyai sebab untuk dipanggil akan dipanggil oleh agensi itu.

Pada 21 Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 pihak.

Menurut senarai yang disertakan, antara yang terlibat ialah Umno bahagian Pekan, Umno bahagian Johor Bahru dan Badan Perhubungan Umno beberapa negeri seperti Kelantan, Selangor dan Pahang, Jakel Trading Sdn Bhd, Habib Jewels Sdn Bhd, dan Naza Quest Auto Sdn Bhd.

Azam turut berkata bahawa terdapat daripada 41 nama yang didedahkan sebelum ini telah memulangkan wang dari syarikat 1MDB itu.

Anwar kena pau?

Hishamuddin Rais

“Saya
bagi polis habis siasat, sebab dia (penulis) ugut kalau tak bayar RM400,000...’’

Ini potongan kata-kata Anwar Ibrahim yang dilaporkan oleh portal Suara Keadilan pada 24 Jun 2019.

Kata kunci di sini ialah ugut.

“Johari: Penulis ugut Anwar bayar lebih tinggi”. Ini ialah tajuk berita Malaysiakini pada 19 Jun 2019.

Kata kunci di sini ialah ugut.

“Anwar leaves it to cops to probe author for blackmail”. Ini adalah tajuk berita Star Online pada 20 Jun 2019.

Blackmail dalam Bahasa Inggeris bukan bermakna surat hitam. Blackmail maknanya ialah ugut.

Kata kunci di sini masih lagi ugut aka blackmail.

Ugut bermakna memberi seseorang tekanan, memaksa dengan ancaman untuk membocorkan atau mengumumkan sesuatu maklumat, rahsia, kejadian atau babak yang benar atau tidak benar kepada umum, kepada anggota keluarga, kepada sahabat handai sehingga apa yang diminta diberikan kepada tukang ugut.

Dalam bahasa cool anak muda, ugut ialah pau. Kena ugut ialah kena pau. Anwar Ibrahim telah diugut oleh Yahaya Ismail dalam loghat anak muda ialah Anwar Ibrahim kena pau oleh Yahaya Ismail.

Baca: Penulis: Saya tawar Anwar beli hak cipta manuskrip, bukan ugut

Dakwaan kes ugut Anwar Ibrahim muncul minggu lalu. Ini diumumkan oleh Johari Abdul dalam satu sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat. Mengikut laporan media, seorang penulis bernama Yahaya Ismail didakwa telah mengugut Anwar Ibrahim untuk mendapat RM400,000.

Yahaya Ismail. Dia menafikan cuba mengugut Anwar tetapi hanya menawarkan hak ciptanya untuk dijual.
Cara ugutan ini dijalankan agak senang. Yahaya Ismail menulis tentang Anwar. Apa yang ditulis oleh Yahaya Ismail pada tahap ini hanya Guru Nanak sahaja yang mengetahui. Yahaya dikatakan menghantar manuskrip ini kepada Johari Abdul. Apa yang ditulis dalam manuskrip buku ini didakwa sedang dijadikan peluru ugutan oleh Yahaya Ismail untuk mendapatkan RM400,000 dari Anwar Ibrahim.

Apa yang sahih ialah pada ketika ini orang ramai tidak tahu apa yang ditulis oleh Yahaya Ismail. Tapi Yahaya Ismail khabarnya yakin apa yang ditulis dan dipaparkan dalam manuskrip ini pastilah sesuatu yang Anwar Ibrahim tidak mahu orang ramai rakyat Malaysia mengetahui.

Yahaya didakwa mengugut jika dia tidak dapat RM400,000 maka manuskrip ini akan dicetak dan dijadikan buku. Melalui buku orang ramai akan tahu apa isi buku ini. Jika Anwar Ibrahim atau Johari tidak mahu orang ramai rakyat Malaysia, anak semua bangsa dan bangsa semua agama tahu siapa sebenarnya Anwar Ibrahim – sila bayar RM400,000.

Ugutan ini hanya akan berjaya jika apa yang ditulis adalah sesuatu yang Anwar dan Johari tidak mahu umum mengetahui. Apa pekara itu? Jeng jeng jeng.

Johari Abdul dan buku "Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM'"
Hakikatnya sesiapa yang memiliki rahsia gelap berkemungkinan diugut. Salah. Ini ayat yang salah. Kerana kita semua memiliki rahsia gelap. Tidak ada sesiapa yang tidak memiliki rahsia gelap.

Saya sendiri ada rahsia gelap. Pada cuti sekolah tahun 1960, ketika dalam darjah tiga saya pernah terberak dalam kepuk padi milik jiran kerana tak tahan sakit perut. Sampai sekarang babak ini menjadi rahsia gelap saya.

Justeru ayat yang betul dan tepat ialah sesiapa yang memiliki rahsia hitam dan tidak mahu maklumat hitam ini diketahui orang ramai berpotensi diugut. Betul.

Kata kunci ialah - tidak mahu rahsia hitam diketahui umum. Kes saya terberak dalam kepuk padi boleh diketahui ramai. Pada tahun 2019 apabila saya buka cerita ini ia hanya menjadi bahan lawak. Kah kah kah.

Sabar dulu. Sabar. Apabila saya ulang baca saya dapati ayat tentang potensi diugut ini juga belum sahih seratus peratus.

Untuk menjadi tepat dan betul, makna konsep ugut ini perlu tambahan. Yang tepat dan betul jika maklumat hitam ini diketahui umum maka sosok yang diugut akan… akan apa?

Jeng jeng jeng.

Mamat yang kena ugut jika ada kuasa akan hilang kuasa. Jika ada duit maka akan hilang duit. Jika ada kedudukan maka akan hilang kedudukan. Jika dihormati maka akan dilihat hampeh. Jika dipercayai maka sosok ini akan tidak lagi dipercayai.

Mat Kati Kenaboi bukan sahaja tidak berduit malah namanya tidak diketahui umum. Di kampung sendiri pun tak ramai orang mengenali siapa Mat Kati. Mat Kati tidak ada kuasa, tidak ada nama dan bukan calon untuk menggantikan Datuk Undang Jelebu. Jika Yahaya Ismail cuba mengugut Mat Kati saya rasa saya kentut masam dari Mat Kati pun tidak akan dapat dihidu.

Jadi Mat Kati dengan Anwar Ibrahim ini jauh bezanya. Mat Kati tidak memasang apa-apa rancangan untuk menjadi Datuk Undang malah tak pernah bermimpi untuk menjadi ketua kampung. Tetapi Anwar bin Ibrahim ini bukan sahaja merancang malah memasang strategi untuk menjadi perdana menteri Malaysia. Kah, kah, kah.

Merancang untuk menjadi perdana menteri inilah yang memunculkan ugutan. Niat, mimpi dan keberahian si Anwar ini untuk menjadi PM sedang diugut.

Maknanya, ada sesuatu tentang Anwar Ibrahim yang anak semua bangsa rakyat Malaysia tidak tahu. Jika rakyat Malaysia tahu perkara yang penulis tahun tahu maka rakyat Malaya akan menolak Anwar Ibrahim dari dipilih untuk menjadi perdana menteri.

Dalam bahasa sempoi, jika cerita dibuka maka Pak Sheikh akan kantoi. Kah, kah, kah.

Apa rahsia hitam Anwar Ibrahim yang hanya Yahaya Ismail tahu? Apa rahsia hitam Pak Sheikh yang kita semua tidak tahu? Perkara yang hanya seorang sahaja yang tahu ini menjadikan ugut itu bahaya.

Untuk memahami bahaya ugut mari kita lihat apa yang berlaku pada tahun 1961 – setahun sesudah saya terberak dalam kepuk padi. Kes ini berlaku di United Kingdom. Babak kisah ini saya ikuti dalam Utusan Melayu yang menggunakan huruf jawi. Ketika itu pemahaman saya tentang dunia luar amat-amat kurang jauh sekali memahami apa itu politik. Tetapi ingatan saya tidak pernah menggagalkan saya hingga ke hari ini. Ingatan saya ini dibantu pula oleh Internet.

Seorang Minah cun 19 tahun yang bekerja sebagai model di Soho bernama Christine Keller telah menjalin persahabatan dengan Stephen Ward, seorang doktor. Melalui Dr Stephen, Christie telah dapat menerobos masuk ke dalam kelas elit kota London. Nak memecah masuk kelas elit British bukan senang anak. Bayangkan sultan Melayu yang dikatakan berkahwin dengan minah salih itu hanya dapat berkahwin dengan anak tukang kebun. Bila pulang ke Malaya baru dihebohkan kepada orang kampung – “Rajo kito kawin orang putih”. Kah kah kah.

Musim panas Julai 1961 Christine telah dipertemukan oleh Dr Stephen dengan John Profumo, anak seorang baron. John Profumo ialah secretary for state of war – setiausaha perang. Tugas Profumo bertaraf menteri ini diwujudkan kerana 60-an adalah era Perang Dingin. Ketika itu kapitalis Eropah dan Amerika sedang bermusuh dengan sosialis Soviet Union.

Soiree musim panas ini diadakan di kediaman Viscount Astor. Ini juga rumah kerabat. Disurahkan pada petang itu Profumo telah mengentot Chrstine Keller. Malah dari Utusan Melayu (jawi) saya mendapat tahu bagaimana si Christine ini telah berbogel mandi dalam kolam renang Viscount Astor. Bayangkan berahi saya ketika itu. Tapi berahi saya tak sampai ke tahap berahi nak jadi perdana menteri.

Sebenarnya kisah Minah cun kelas bawah bertemu lelaki kacak kelas atasan adalah kisah biasa. Malah ia berlaku setiap hari. Mengentot dalam kolam renang kini telah menjadi program TV realiti di Rusia. Tapi pada tahun 1961 suasana berbeza. Ini kisah entot dalam kolam renang di musim Perang Dingin.

Tup tup berita meledak. Ada kes kes tembak-menembak. Korek punya cari muncul kisah Christine dengan Lord Profumo. Media dunia heboh. Sama heboh seperti ketika berita Anwar Ibrahim dituduh meliwat Azizan pada tahun 1998 dahulu.

Nak menjadikan cerita – rupa-rupanya si Christine Keer ini juga telah dientot oleh Yevgeni Ivanov – atase tentera laut Kedutaan Soviet Union. Jeng jeng jeng. Minah cun ini bijak mencari pelanggan.

Ini kes keselamatan negara. Pecah perang dingin dalam kabinet perdana menteri Harold Macmillan. Sama seperti perang yang berlaku dalam kabinet Mahathir pada tahun 1998.

Tup tup Dr Stephen Ward membunuh diri. Dr Stephen tidak sanggup diugut oleh media. Rupa-rupanya Dr Stephen seorang homoseksual. Pada tahun 1962 homoseksual masih satu jenayah di Britain. Setiuusaha Perang berkongsi kekasih dengan pegawai Rusia berpotensi diugut. Ini keputusan badan intel M15 dan MI6 Britain.

John Profumo meletak jawatan. Menghilangan diri dari diugut media. Bukan seperti Haziq yang ke hulu ke hilir mencari media.

Setahun sesudah apa yang dipanggil The Profumo Affairs kerajaan konservatif Perdana Menteri Harold Macmillan kalah. Kerajaan Buruh Harold Wilson masuk ke No 10 Jalan Downing.

Kata kunci di sini masih lagi ugut. Dr Stephen takut diugut kerana keberahian terhadap lelaki. Profumo diugut meletak jawatan kerana dia dianggap membahayakan keselamatan negara. Boleh diugut oleh Soviet Union. Bahaya kerana berkongsi kekasih dengan ejen Soviet Union.

Tapi apa sangkut paut Christine Keller, Profumo dan Dr Stephen dengan negara kita?

Sabar dulu bro, yang mengikat semua berita yang saya tulis ini ialah ugut. Saya membuka surah 1961 ini kerana Anwar Ibrahim didakwa telah dan sedang diugut.

Cicak kubin pun berani mengugut Anwar RM400,000. Bayangkan jika Anwar Ibrahim ini diugut oleh China Merah? Anwar Ibrahim diugut oleh Amerika? Anwar Ibrahim diugut oleh Singapura?

China Merah mengidam satu pelabuhan tentera laut di bumi Melayu ini. Amerika mahu Malaysia menyokong pertarungan kuasa Zionis-Anglo-Amerika dengan China Merah. Singapura mahu ruang angkasa di Tanah Melayu. Singapura mahu pasir. Singapura mahu air terus lima sen satugelen sampai dunia kiamat.

Ugut, ugut, ugut.

Jelas sesiapa yang memiliki rahsia hitam akan berpotensi diugut. Lagi gedebe sosok itu lagi hebat ugutan sampai. Profumo menteri perang menghilangkan diri. Dr Stephen seorang homoseksual membunuh diri. Apa jadi dengan Christine Keller?

Pada lewat petang musim panas 1992 ketika Hishamuddin Rais sedang menyapu dan menyusun meja di Restoran Jakarta di alamat 150 Shafterbury London, sosok bernama Christine Keller melintas di hadapan restoran menuju ke Covent Garden.

“Demi Zeus, minah ini memang cun.”

Amanah bidas PAS tak patut guna perkataan provokatif ‘wajib’ jatuhkan PH

Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR:
Sebagai parti mamperjuangkan Islam, pemimpin PAS tidak sepatutnya menggunakan perkataan “wajib” dalam usahanya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, kata Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Hatta Md Ramli.

Katanya, perkataan “wajib” mempunyai pelbagai tafsiran yang dibimbangi akan menjejaskan hubungan antara kaum di Malaysia.

“Penggunaan perkataan provokatif dan keras, saya rasa dalam konsep politik matang yang mereka perjuangkan tidak sesuai.

“Betullah sebagai parti pembangkang, apa lagi agenda politiknya melainkan mendapat kuasa, tapi dalam konteks mereka, parti yang memperjuangkan Islam, perkataan ‘wajib’ itu menimbulkan pelbagai interpretasi.

“Saya harap perkara ini tidak menambahkan semak politik negara kita sehingga boleh menjejaskan perpaduan kaum,” katanya selepas menghadiri Forum Ketua Pegawai Eksekutif SME di sini, hari ini.

Ahad lalu, Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu wajib menjatuhkan kerajaan PH.

“PAS berdepan dengan PH, hukumnya wajib menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika ini, hukumnya wajib. Perkara ini kita jangan khilaf. Kita bergerak ke depan dan jangan banyak toleh ke belakang,” katanya pada ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, kelmarin.

Hari ini, Hatta mengingatkan pimpinan PH supaya tidak terlalu selesa berada di Putrajaya, sebaliknya mereka perlu mencari jalan menyelesaikan isu dibangkitkan pembangkang, termasuk menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum tahun lalu.

“Kita kena cari jalan untuk baiki, menyelesaikan semua janji yang kita buat. Saya yakin dalam tempoh diperuntukkan kepada kita, penggal pertama ini apa juga yang dijanjikan boleh dilaksanakan.”

Mengenai kerjasama politik Umno-PAS, Hatta berkata, gabungan parti politik perlu mendapatkan sokongan semua kaum untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya.”

“Nak perintah Malaysia kena laksanakan politik inklusif melibatkan semua kaum, tidak boleh fokus satu kaum,” katanya yang menafikan kerjasama Umno-PAS akan memberi kesan kepada PH untuk kekal di Putrajaya.

Skandal seks sejenis

Hatta berkata, skandal seks sejenis tidak menjejaskan PH dan ia boleh diselesaikan secara baik oleh PKR.

“Sebagai rakan, kita kekal. Jadi kita nak yang terbaik, apa masalah parti, kita selesaikan bersama. PH akan kekal gabungan mantap.”

Pada 12 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengejutkan negara dengan mengakui dirinya seorang daripada 2 lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, bulan lalu.

Haziq yang dipecat daripada jawatan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin susulan pengakuan itu yang dimuat naik ke Facebook, turut menamakan Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video itu.

Bagaimanapun, menteri hal ehwal ekonomi itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

Zuraida Kamaruddin perlekeh Anwar Ibrahim

Kalau saya presiden saya pecat dah Haziq, kata Zuraida
Shakira Buang


Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata jika beliau menjadi presiden parti itu, sudah lama Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat.

“Nasib baik bukan saya jadi presiden, kalau saya presiden saya dah pecat dah (Haziq).

“Sebab saya memang tegas kata suruh pecat (Haziq), tapi parti nak ikut proses, biarlah dia ikut proses,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra Menteri KPKT bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Haziq berdepan surat tunjuk sebab dari PKR selepas dia mendakwa terlibat dalam aksi seks sejenis bersama menteri ekonomi Azmin Ali.

Azmin menafikan dakwaan itu, menyifatkan sebagai komplot untuk menjatuhkannya dan mengancam tindakan undang-undang.

Pada 19 Jun lalu, Zuraida mendesak kepimpinan PKR segera memecat Haziq kerana telah memalukan serta mencemar nama baik parti susulan pengakuannya terbukanya itu.

Bagaimanapun Biro Politik PKR yang bermesyuarat pada hari yang sama memutuskan hanya memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq dan diberi masa 14 hari untuk menjawab surat itu.

Sehingga Sabtu lalu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata parti itu masih belum menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada Haziq.

Minggu lepas, Haziq dipecat sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Terima dana 1MDB: Pemuda PH desak RoS ambil tindakan tegas ke atas Umno

MALAYSIADATELINE
Pemuda harapan Malaysia hari ini menyerahkan surat kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mendesak agar mengenakan tindakan tegas ke atas Umno.

Ini susulan kaitan parti itu antara 41 entiti dan pertubuhan politik yang telah menerima wang secara haram daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagaimana dimumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mana RM212juta telah dipindahkan kepada Umno.

Ketua Penerangan Pemuda PH Ulya Aqamah Husamudin berkata, ini adalah tindakan yang tidam boleh dimaafkan kerana wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara bukan untuk kepentingan parti dan kegunaan Umno.

“Tindakan memindahkan dana dengan jumlah begitu besar menunjukkkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh Umno.

“Andai dibiarkan tanpa tindakan tegas, kerisauan kami adalah amalan terkutuk itu menjadi ikutan di masa hadapan dan perkara sama akan berulang kembali,” ujarnya dalam kenyataan.

Justeru adalah penting RoS megenakan tindakan ke atas Umno sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua.

Saya takkan jadi PM lebih 3 tahun - Tun Mahathir

Di tengah-tengah spekulasi mengenai rancangan peralihan kuasa, Dr Mahathir Mohamad mengulangi bahawa beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam tempoh tiga tahun.

"Setakat yang saya tahu, saya telah berjanji bahawa saya akan berundur dan Anwar akan menggantikan saya," kata Perdana Menteri kepada wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand ketika Sidang Kemuncak Asean.

Ditanya sama ada beliau akan berkhidmat hingga isu hutang negara diselesaikan, Mahathir berkata: "Tidak, saya tidak akan melampaui tiga tahun"

Sebaliknya, beliau berkata keutamaannya kini adalah untuk membolehkan Malaysia "menyelesaikan masalah ini (hutang)" walaupun selepas beliau bersara.

Persoalan bilakah Mahathir akan berundur dan siapa bakal penggantinya menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan bulan lalu, Mahathir menegaskan beliau merupakan perdana menteri sementara tetapi berkata: "Saya tidak tahu sama ada tiga tahun atau dua tahun."

Tiada tempoh garis masa yang dipersetujui secara terbuka bagi peralihan kuasa itu menyaksikan gesaan yang kuat daripada penyokong Anwar agar Mahathir berundur.

Manakala penyokong Mahathir pula meminta beliau mempertimbangkan untuk kekal lebih lama memegang jawatan itu.

Anwar berkali-kali mengatakan beliau tiada keraguan bahawa Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya.

Feb lalu Anwar berkata beliau menjangka akan memegang jawatan itu dalam tempoh dua tahun seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan adalah penting perdana menteri diberikan ruang untuk menyelesaikan masalah dihadapi negara sebelum berundur.

Islam bukan milik monopoli mana-mana parti politik

SAYED MUNAWAR SAYED MOHD MUSTAR
Kenyataan ‘Islam dahulu, kemudian integriti’ gambaran simplistik yang culas tentang keutamaan dalam Islam.

‘Al-Amin’ itu status sebelum risalah kenabian diwartakan. Ia kurniaan Quraisy, bahkan, gambaran penerimaan bulat terhadap status ‘terpercaya’.

Perlu penjelasan semula agar tidak sembrono menjustifikasi politik kepartian atas nama agama.

Memetik ucapan dasar Presiden sebagai berikut: “Maka utamakan iman sebelum budiman, kerana integriti tanpa iman adalah sia-sia di sisi Allah pada hari kiamat nanti. Maka pilih Islam dahulu sebelum integriti yang milik diwajibkan.”

Memulakan dengan pilihan Islamik itu benar, namun bukan bermakna Islam itu milik monopoli mana-mana parti politik. Mempertahankan Islam boleh dilakukan oleh mana-mana entiti dan bukan hak eksklusif parti-parti tertentu, bahkan boleh dilakukan juga di luar perimeter operasional pertubuhan politik.

Antara nilai teras Islam adalah integriti maka menyuruh memilih Islam dahulu kemudian barulah integriti merupakan sebuah belahan hujah yang cuai.

‘Memilih Islam dahulu’ adalah hujah yang perlu dimurnikan dengan pendekatan yang lebih tinggi dan berhikmah. Hakikatnya, Islam itu lebih tinggi daripada mana-mana entiti ciptaan manusiawi termasuklah parti-parti politik bikinan duniawi.

Mensinonimkan Islam dengan hanya parti tertentu bererti merendahkan Islam, boleh membuka ruang cemuhan umum dan fitnah terhadap Islam jua akhirnya. Ia cenderung untuk menzahirkan persepsi keakuan bahawa hanya satu parti saja Islam, dan yang lain bukan. Ini merbahaya.

Ia bawaan daripada herotan polemik takfir, dejavu politik yang boleh menjauhkan kita daripada rahmat Allah swt. Allahu a’lam.



* Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB) dan juruacara program Bicara Politikonomi di TV1.

PRU15 PAS tukar srategi? Mungkin meniru parti AMANAH?

Hadi mahu jadi seperti Nik Aziz, kata ahli akademik
Minderjeet Kaur
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menjangkakan bahawa PAS kini berusaha megetepikan imej konservatifnya bagi memperluaskan pengaruhnya di Sabah, Sarawak dan sebahagian semenanjung Malaysia di mana ia kurang mendapat sambutan.

Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, beliau percaya Presiden PAS Abdul Hadi Awang mahu mencontohi bekas Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat yang mendapat kepercayaan semua kaum.

“Hadi, yang dilihat lebih tertutup dan konservatif, kini cuba memperlihatkan dirinya lebih terbuka,” katanya kepada FMT. “Apakah beliau akan berjaya? Kita perlu tunggu dan lihat.”

Ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada muktamar tahunan PAS di Kuantan Jumaat, Hadi berkata, parti itu akan menjaga kepentingan orang Cina dan India serta mempertahankan masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau berkata, PAS juga mahu melihat taraf hidup di Sabah dan Sarawak ditingkatkan.

Syed Idid berkata, PAS berubah menjadi lebih konservatif selepas kematian Nik Aziz dan mengekalkan imej itu sebelum pilihan raya umum ke-14 kerana percaya ia boleh membantunya meraih sokongan orang Melayu.

“Untuk pilihan raya umum ke-15, PAS sekarang mengubah strateginya sekali lagi supaya dilihat mesra dengan semua pihak,” katanya.

Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff juga berkata, PAS mahu mengembangkan pengaruhnya ke luar dari kubu kuat parti itu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“PAS kini berasa ia mempunyai peluang kerana ramai orang Melayu moderat, yang bimbang mengenai hak mereka sebagai orang Melayu dan Islam, tidak gembira dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

“Ia akan berusaha menjalin kerjasama dengan Umno dan pada masa sama memainkan peranan sebagai sebuah parti yang inklusif.”

Katanya, PAS memainkan peranan itu kerana sedar mengenai ketidaktentuan nasib yang mungkin menimpa PH dalam beberapa tahun akan datang.

Kamarul umumnya merujuk pada janji penyerahan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim. Katanya, tiada kejelasan berhubung tarikh peralihan itu dijadualkan berlaku.

Sehingga saat itu katanya, PAS akan cuba mendapatkan sokongan orang Melayu moderat yang tidak gembira dengan PH.

Bagaimanapun kata beliau, hasil daripada langkah PAS itu juga tidak dapat dipastikan.

“Ia mungkin membantu PAS memperoleh lebih banyak sokongan, tetapi ia juga mungkin memakan diri. Terdapat ramai kelompok orang Melayu radikal dalam PAS yang mungkin berasa ia mahu menjadi seperti Amanah.”

Kamarul berkata, kelompok orang Melayu konservatif percaya bahawa parti serpihan PAS itu terlalu melebihkan orang Cina dan India.

“Hadi perlu banyak memainkan peranan pengimbang bagi menghalang strategi barunya itu memakan diri sendiri,” kata beliau.

Umno tak tolak kemungkinan tubuh parti baru

Umno tidak menolak kemungkinan menubuhkan sebuah parti politik baru atau menyertai parti sedia ada jika parti Melayu itu dibubarkan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad.

Hasni berkata ia antara langkah yang sedang dipertimbangkan susulan saman pelucuthakan sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan kembali RM270 juta dana berkaitan 1MDB.

“Sekiranya kerajaan membubarkan Umno, apa yang dibubarkan adalah parti tetapi mereka tidak akan dapat membubarkan semangat ahli Umno.

“Kita akan pastikan lebih tiga juta ahli Umno ini tidak menjadi orang tanpa parti, sama ada tubuh parti baharu atau menyertai parti sedia ada, namun bukan parti daripada kerajaan sedia ada,” ujarnya seperti dilapor The Star Online.

Hasni berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat Persidangan Umno Bahagian Pulai semalam.

Beliau juga menyifatkan tindakan terkini SPRM adalah salah guna kuasa memandangkan agensi antirasuah itu telah pun membekukan akaun parti itu tahun lepas.

Namun katanya, Umno masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada SPRM mengenai saman pelucuthakan sivil berkenaan.

Beliau juga menegaskan walaupun tindakan diambil terhadap Umno, parti akan tetap relevan dalam landskap politik negara.

Jumaat lalu SPRM memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Wang berkenaan diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, yang mana sebahagian besarnya iaitu sebanyak RM230 juta disalurkan kepada Umno.

Melucukan jika parti politik tidak berkiblatkan kuasa, kata Hanipa Maidin

MALAYSIA DATELINE
Ahli Jawatankuasa AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin berkata, adalah sesuatu yang bohong dan melucukan jika sesebuah parti politik tidak berkiblatkan kuasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin Pas yang beliau gelar sebagai “parti ehem”, dalam muktamar parti berkenaan yang dilaporkan berkata, “keterbukaan Pas dalam politik ini bukan berkiblatkan kuasa, tapi berpaksikan tauhid”.

Juga dilaporkan Pas mendakwa bahawa keterbukaan parti berkenaan adalah bukti kematangan dalam politik demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan Islam.

“…kepatuhan yang hampir mutlak dalam parti ehem (termasuk dalam kalangan para “soldadu upahan” yang tak berwajah yang bersarang dan mengeram di sana sini seperti dalam facebook ini) akan menerima kenyataan tersebut sebagai “fait accompli” (tanpa soal).

“Bila parti politik kata mereka tak berkiblatkan kuasa, bagi saya, ia sama ada ia berbohong atau sedang berlawak. Jika parti politik tak berkiblat kuasa “the best way is to join” (cara terbaik ialah dengan menyertai) jemaah Tabligh lah, at least (sekurang-kurangnya) nampak jujur,” tulis Anggota Parlimen Sepang itu dalam facebooknya.


Mengenai dakwaan berpaksikan tauhid pula Hanipa berkata, tauhid merupakan elemen utama dalam Islam, dalam semua bidang mesti berpaksi pada tauhid, namun adakah pimpinan parti berkenaan sedar bahawa kadangkala politik itu dikatakan sebagai “kesenian bertolak ansur”.

Sehubungan itu beliau menyarankan parti berkenaan, supaya tidak menyibukkan diri dengan politik

“Bukankah lebih mudah, secara nisbi, menjaga tauhid jika parti macam “parti ehem” tak sibuk dengan politik,” kata beliau.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Dr Mahfodz Mohamed berkata, sikap terbuka Pas untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam politik bukan bermatlamatkan kuasa.

Dalam ucapannya di muktamar pergerakan itu di Kuantan beliau berkata, langkah diambil Pas atas nama seperti tahaluf, taawun atau seumpamanya dengan penuh bermaruah dan berprinsip.