"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Abang ditahan sumbang mahram dengan tiga adik

Alor Setar – Seorang remaja ditahan kerana disyaki melakukan sumbang mahram dengan tiga adiknya di Sungai Layar, Sungai Petani.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abdul Hamid berkata, suspek yang berusia 18 tahun itu ditahan selepas seorang mangsa yang berusia lapan tahun memaklumkan kejadian itu kepada ibu mereka.

“Pada jam 9 pagi semalam, mangsa memaklumkan kepada ibunya yang berusia 39 tahun bahawa pada 19 Julai lalu abangnya telah menariknya masuk ke dalam tandas di sebuah rumah kosong berdekatan rumah mereka sebelum memaksanya melakukan hubungan seks.

“Suspek dikatakan turut mengugut untuk memukul adiknya sekiranya dia memberitahu perkara tersebut kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifi berkata, sebelum ini dua lagi mangsa yang berusia sembilan dan 14 tahun pernah memberitahu ibu mereka bahawa suspek melakukan perkara sama terhadap mereka, namun ibu mangsa tidak membuat laporan polis.

“Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya. 
-Bernama

Kenapa berasmara di tempat awam?

Ketika duduk di beranda pangsapuri saya di SS2, Petaling Jaya, minggu lalu, kopi panas yang saya hirup hampir tumpah. Saya nampak satu pasangan asyik buat seks di anak tangga pangsapuri bertentangan.

Lelaki itu berbogel dari kaki ke bawah dan perempuan itu pula kain baju kurungnya diangkat.

Ketika saya bercakap perkara ini dengan anak-anak saya, mereka tidak pun terkejut. Sebenarnya ia sentiasa berlaku dari dulu hingga sekarang di kawasan kejiranan kami.

Mengenang kembali kejadian terkenal di Bangsar South tidak lama dulu, apabila satu pasangan dirakam mengadakan hubungan seks di beranda di tengah-tengah cerah waktu siang, saya fikir insiden sebegini tidak begitu mengejutkan lagi, seperti yang kita fikir.

Saya pasti ramai daripada kita pernah lihat “wayang percuma” di taman-taman dan panggung wayang – saya rasa sesetengah orang tidak rasa malu buat seks oral di tempat awam.

Tidak hairanlah ramai orang sampai jatuh kerusi menonton rakaman lelaki telanjang memuaskan diri sendiri di depan boneka pakaian di pusat beli-belah.

Kejadian sebegini berlaku di seluruh dunia. Semakan rawak di Internet menemukan saya dengan pelbagai kes “menarik” berkaitan seks terbuka di seluruh dunia – dalam jamban, 7-Eleven, kedai permainan Toys “R” Us, dalam kapal terbang, kolam dan dalam perpustakaan (saya harap mereka tidak bising).

Sebenarnya, mengadakan hubungan seks di tempat awam adalah fantasi seksual ramai orang.

Ia membangkitkan kepuasan atas pelbagai sebab. Ada orang suka dilihat ketika “aksi itu”. Ada orang suka hanya dengan kemungkinan dilihat. Yang lain didorong oleh idea tertangkap. Sebahagian lagi hanya mahu melengkapkan senarai seks mereka.

Apa pun alasan diberikan, seks terbuka dilihat nakal dan salah. Tetapi itulah yang membuatkan pelakunya seronok. Ia sebenarnya berkaitan pemberontakan tersembunyi, seronok jika mereka dapat lari daripada sesuatu.

Kejujurannya, saya tidak fikir salah untuk berseronok sedikit-sedikit. Malah, setiap perhubungan perlukan kegiatan “seronok” untuk menceriakan keadaan, terutamanya apabila keadaan menjadi bosan. Bagaimanapun, mempunyai kehidupan seks yang menarik tidak bermakna boleh menjadi tidak bertamadun.

Ada banyak lagi cara untuk mencapai keseronokan seks tanpa buat perangai seperti si bebal yang tidak bertamadun.

Kamu boleh saja sesuaikan cermin-cermin dalam bilik tidur dan anggap pantulannya sebagai orang lain yang memerhatikan.

Kamu boleh saja rakam aksi seksual sendiri dan tonton bersama pasangnya sambil makan bertih jagung.

Kamu boleh saja tempah hotel dengan cermin gelap dan menikmati keasyikannya melihat orang asing lalu-lalang tanpa dilihat.

Atau kamu boleh tempah bilik peribadi dengan taman-taman, pantai atau kolam renang tertutup supaya kamu dan pasangan boleh menikmati seks secara bebas tanpa diperhatikan orang.

Ya, kesemua cadangan ini memerlukan wang ringgit, yang mungkin menjadi masalah bagi sesetengah pasangan.

Tetapi sekali lagi, jika kewangan kamu tidak stabil, mungkin kamu patut fikir bagaimana hendak raih lebih banyak duit untuk masa depan kamu dan pasangan, daripada membazir masa bergomol dengan pasangan untuk tayangan umum.

Bagi yang mahu mengamalkan seks terbuka atas alasan lebih menyeronokkan, mungkin lebih baik kamu tahu bahawa untuk kepuasan jasmani, badan kita perlu mengeluarkan hormon adrenalin dan dopamin.

Lebih menarik, badan kita juga boleh mengeluarkan adrenalin dan dopamin selepas berlari sebatu atau selepas dikejar anjing gila.

Untuk mencapai tahap ini, kata saintis, badan manusia tidak akan dapat membezakan antara takut atau keadaan terangsang.

Secara teknikalnya, daripada berdepan risiko tertangkap di tempat awam dengan kelakuan tidak senonoh, kenapa tidak biarkan anjing gila berkhidmat untuk kamu? Tiada risiko.

Terlintas juga di fikiran, ditangkap polis dan didakwa di mahkamah atas kegiatan tidak senonoh cuma boleh mencetuskan pengeluaran adrenalin dan dopamin.

Mungkin lain kali bila saya lihat “wayang percuma” daripada beranda, mungkin saya boleh tolong mereka dengan menelefon polis. Ini pun boleh puaskan mereka kan!
-malaysiakini

Misteri: Polis, wanita Vietnam ditemui mati dengan kesan tembakan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis Bukit Aman dan seorang wanita warga Vietnam dipercayai kekasihnya ditemui mati di sebuah rumah di Cheras, pagi tadi.

Berita Harian melaporkan, anggota berusia 25 tahun dan wanita dalam lingkungan 20-an itu ditemui terbaring dalam sebuah bilik dengan kesan tembakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata anggota yang membuat siasatan di lokasi menemui kesan tembakan masing-masing di kepala dan badan mangsa.

Penyiasat turut menemui sepucuk pistol milik polis pada mayat.

Menurut Berita Harian, kejadian dipercayai berpunca apabila seorang mangsa menembak mati salah seorang dari mereka sebelum membunuh diri.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan siapa yang menembak siapa,” kata Amar Singh.

Beliau juga berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada wanita itu warga asing dan hubungannya dengan anggota berkenaan kerana siasatan masih berjalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut.

Budak 13 tahun racun rakan sekelas


Kuching: Polis Sarawak menahan pelajar Tingkatan Satu kerana disyaki meracuni rakan sekelasnya dengan memasukkan racun lipan pada makanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pelajar itu ditahan di kediamannya di Sri Aman pada pukul 2.30 pagi Jumaat.

Katanya, kejadian meracun rakan sekelasnnya itu didakwa berlaku di sebuah sekolah di Sri Aman pada tengah hari Khamis.

“Kami telah menahan budak lelaki berusia 13 tahun dan merampas sekotak racun lipas,” katanya.

Dev menambah, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan meracun.

Beliau b erkata, mangsa yang juga berusia 13 tahun dikejarkan ke Hospital Sri Aman oleh kakitangan sekolah berkenaan selepas mulai muntah hanya beberapa minit selepas menjamah makanan yang diberi suspek.

Kata Dev, bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Sri Aman selepas seorang guru memaklumkan mengenai tindakan budak lelaki itu meracun anaknya.

“Siasatan awal mendapati suspek membawa bekas berisi mi dan memberinya kepada mangsa, sebalum mangsa mulai muntah dan dibawa ke hospital,” katanya sambil menambah mangsa masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Dev berkata, susulan kejadian itu, suspek yang panik telah lari meninggalkan sekolah sebelum ditahan polis di kediamannya.
-mstar

Ada apa pada AMANAH?

Tulisan sahabat saya, Mahdzir Ibrahim, yang disiarkan di dalam Malaysiakini adalah dirujuk.

Persoalan yang dibawa oleh Mahdzir bukanlah suatu yang baru dan mengejutkan. Memang saya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan wacana ini.

Terima kasih kerana tulisan itu telah membuka jalan untuk saya memahami lebih lanjut tentang sistem politik tanah air.

Apakah Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal memposisikan konsep Islam yang progresif, atau lebih tepat "Islam sebagai rahmatal lil alamin?

Berbanding dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN), apakah AMANAH dilihat agak ke belakang dalam menawarkan kepada rakyat dari segi kepimpinan, gagasan politik dan kekuatan massa?

Inilah antara hujah cuba diketengahkan daripada penulisan tersebut. Saya mungkin tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan. Persoalan yang dibawa itu sebenarnya adalah simptom.

Artikel ini cuba merungkai mengapa persoalan-persoalan itu boleh timbul.

Tulisan Mahdzir menunjukkan bagaimana identiti majoriti (yang kuat) dan minoriti (yang lemah) dibina dalam masyarakat politik di Malaysia.

Meski DAP adalah anggota HARAPAN, tulisan tersebut mempamerkan perbezaan pandangan anggota gabungan melihat rakan lain dalam pakatan tersebut.

Leka daripada persoalan lain

Parti yang menganggotai HARAPAN mempunyai kekuatan tersendiri. DAP dan PKR telah sedia stabil dan mantap memiliki kuasa politik yang lebih. Sedangkan AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih mencari-cari tapak sendiri.

Di sinilah titik mula bagaimana identiti AMANAH cuba diperlihatkan oleh kedua-dua parti tersebut. Proses identiti ini juga dibentuk oleh BN, PAS dan rejim-rejim yang mempunyai kepentingan berbeza dengan AMANAH.

AMANAH sendiri tentu berusaha membina identitinya sendiri.

Pemikiran sebegini melihat sesuatu sebagai entiti luar dan secara lahiriah, tidak mendalam, apatah lagi lebih menyeluruh. AMANAH dilihat sebagai suatu yang asing atau ‘other’.

AMANAH dianggap suatu subjek, yang diperagakan untuk dinilai hingga menyebabkan ada yang leka daripada menanggap persoalan lain yang lebih mendasar.

AMANAH perlu dilihat dalam kerangka idea politik HARAPAN. AMANAH tidak boleh dilihat secara berasingan daripada HARAPAN.

Ini kerana kewujudan HARAPAN adalah suatu kesinambungan eksperimen politik yang panjang. Ini kaedah melihat secara nafsi-nafsi. HARAPAN adalah pelengkap dalam pakatan politik dan setiap anggota adalah saling lengkap melengkapi.

Memang secara teknikal, AMANAH dilahirkan dari perut PAS, atau serpihan PAS. AMANAH bukan bermula pada 16 September 2015. Secara entiti, AMANAH ialah sebuah parti politik.

Memang secara organisasi, parti komponen dalam HARAPAN saling terpisah. Itulah yang lazimnya difikirkan oleh kebanyakan orang. Namun secara falsafahnya, AMANAH adalah daripada idea politik yang dibina bersama parti-parti politik di Malaysia.

Dalam pandangan yang lebih luas lagi, AMANAH lahir bagi tujuan menyambung idea dan pendekatan politik dalam Pakatan Rakyat.

Kesemua parti di dalam HARAPAN berada dalam kerangka yang sama. Katalis yang menghubungkan parti-parti pembangkang ialah semangat dan idea AMANAH. Almarhum Datuk Fadzil Noor pernah membuat analogi tentang faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa era reformasi.

Perlu komitmen besar

Beliau berkata, untuk mencapai buah yang ranum, PAS perlu menggunakan parti seumur jagung itu sebagai rakan pakatan politiknya.

Meskipun PKR muda dan kecil pada masa itu, ia memberi impak politik yang besar. Ternyata sifir politik beliau tepat. Yang kecil, lemah, baru, rupa-rupanya pelengkap untuk jambatan kemenangan besar untuk PAS sendiri.

Jangan disangkakan ikan lais-lais tiada menyengat.

Apapun, AMANAH jangan terlalu mengharapkan sejarah pengorbanan mereka akan dikenang dalam politik. Politik selalu berlaku kejam. Politik melangkau batas sejarah.

Satu sifat yang dominan dalam HARAPAN ialah, pembahagian 'pasaran pengundi' parti lebih berdasarkan kaum. Sebagai contoh, AMANAH dan BERSATU kononnya mengambil peranan di kawasan Melayu, DAP di kawasan bukan Melayu, manakala PKR di kawasan campuran.

Pendekatan ini sebenarnya jauh lebih diutama untuk diperbahaskan.

Persefahaman yang wujud dalam HARAPAN hari ini tidak menganjak ia lebih hampir sebagai sebuah kerajaan. HARAPAN tetap sebagai pembangkang. HARAPAN tiada pilihan selain perlu membuat liberalisasi kerusi tradisi mereka kepada struktur yang lebih seimbang.

Namun, ini sangat memerlukan komitmen besar terutama daripada DAP. Setakat ini, tiada parti politik sanggup meletakkan calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu, atau sebaliknya.

Ini kerana sistem dan kerangka pemikiran politik masih terikat kepada perkauman.

Memang ada percubaan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu oleh DAP dan PKR. Ia memang percubaan yang baik. Usaha tersebut adalah untuk mengikis imej DAP sebagai parti yang cauvinis.

Dua kali lima saja

Namun ia tidak memadai sebagai satu liberalisasi politik yang terperangkap dalam sangkar perkauman.

Reformasi politik yang utama pada masa ini adalah melakukan liberalisasi di kawasan yang dikuasai oleh parti-parti masing.

Struktur sistem demokrasi kita adalah politik perkauman. Meskipun slogan atau retorik HARAPAN adalah antiperkauman hakikatnya ia masih berada dalam kerangka itu.

Masing-masing kekal mengeram telur dalam sangkar sendiri sambil berkokok politik antiperkauman dan kemudian mengharapkan wujud politik bebas perkauman. Masing-masing berkokok sekuat-kuatnya menghalang sesiapa saja yang cuba menghampiri sangkar mereka.

Ia ibarat ibu ayam mengeram telur di dalam sangkap. Tidak menguit seinci biar disergah orang!

Berhentilah mengharap tatkala kuasa berpindah tangan. Ia akan hanya ditinggalkan begitu sahaja.

Saya tidak nafikan masih terdapat beberapa suara rintihan AMANAH menjadi mangsa politik PAS. Anggaplah itu suara yang terpencil, dan hakikatnya ia semakin mengecil.

Sementara pendekatan politik hayunan caci maki, fitnah dan kata kesat yang dihamburkan kepada pihak lawan, malangnya itulah wajah politik kita.

Masyarakat kita sudah menerima itu sebagai norma dalam sosial. Pembudayaan politik kita masih ke belakang. Cuba amat-amati butir kata dan idea orang politik tanah air - sama ada pembangkang atau kerajaan.

Kebanyakannya dua kali lima saja.

Inilah cabaran besar untuk kita: melahirkan politik peradaban yang bukan slogan. Politik caci-maki bukanlah pula sesuatu yang baru. Kemodenan yang wujud seakan menghakis khazanah budaya kita bersosial.

Masyarakat kita dulu, berkias sebelum menyampaikan hasrat. Kemarahan dan kekesalannya diungkap dengan keindahan dan ketajaman bahasa.

Sayangnya, tradisi itu semakin lama semakin hilang. Yang tinggal hanya maksud yang sangat dikejar-kejar hingga terlupa adab berbicara. Kaedah penyampaian diremehkan.

Makin rumit, ruwet

Sedangkan budaya kita menghimpunkan secara bijak antara kaedah dan matlamat.

Politik caci-maki akan subur pada tanah yang gersang budaya sendiri. Kita sama-sama mencipta budaya yang menghancurkan kerukunan sosial.

Politik caci-maki diberi tempat yang suci dan tinggi bagi memartabatkan perjuangan masing-masing. Ahli politik dan masyarakat ditanam dengan kata-kata yang saling membenci sesama sendiri.

Saya kira sesiapa saja dalam HARAPAN mempunyai keinginan agar AMANAH kuat seperti PKR, DAP atau sama dengan BERSATU. Dengan itu mudahlah kerja-kerja 'membungkus' BN dan sekutunya dalam lipatan sejarah.

Sifir politiknya sememangnya begitu.

Saya kira persoalan ini kurang tepat jika HARAPAN ingin mencipta politik yang lebih kotemporari dan melakukan reformasi politik (tajdid siyasi).

Kita sebenarnya sedang mewarisi genetik politik ketuanan yang berkurun-kurun lamanya. Memang sekarang kita praktikkan demokrasi (dengan seadanya) tetapi secara sosiologi, kita masih feudalisme (feudal ketuanan, bukan feudal raja).

Harapan untuk melihat HARAPAN kuat adalah lebih utama daripada menjadikan AMANAH semata-mata kuat. Dalam real politic, sesebuah parti yang kuat akan lebih cenderung mendominasikan parti lemah.

Singkaplah sejarah persepakatan politik dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. Semasa ‘Kajang Move’, usaha ini ditentang hebat oleh presiden PAS walaupun ada usaha mencari penyelesaiannya.

Singkapkan siapa yang menentang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Azmin Ali menjadi menteri besar Selangor.

Siapa yang cuba ‘kacau daun’ hingga isu semakin rumit dan ruwet.

Setelah Azmin menjadi Menteri Besar, sekarang siapakah yang begitu beria-ia mempertahankannya? Bagaimana pula Azmin melayan mereka yang dahulu beria-ia menyokongnya?

Tunggu guruh baru bersuara

Saya tidak salahkan Azmin atau sesiapapun. Saya hanya bawa contoh sebenar politik kita. Kalau lemah, kita dihenyak-henyak semahunya. Tanah yang lembut, akan dibajak selalu. Apabila kuat, diampu-ampu bagai nak rak!

Pada jangka panjang, persaingan politik sebenarnya adalah antara PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU, bukannya dengan BN atau PAS.

Ini kerana dalam pemikiran HARAPAN, hayat BN dan PAS akan berakhir. Itu tanggapan secara umumnya. Politik persaingan, siapa yang lebih kuat akan lebih dominan mempengaruhi pendekatan politik semasa.

Pengunduran PAS daripada Pakatan Rakyat adalah kerana kegagalannya mengurus politik DAP dan PKR. Sekiranya PAS mampu mengurus politik, mereka sepatutnya kekal dalam Pakatan Rakyat.

Jika AMANAH cuba bersaing dan menjadi lebih kuat berbanding parti-parti lain dalam HARAPAN, landskap dan pola politik kembali kepada asal iaitu politik ketuanan, atau istilah yang digunakan oleh Bang Mat Sabu sebagai "politik naungan" (political patronage).

Dari segi kemantapan sesuatu rejim, politik ketuanan relevan dalam masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia. Karismatik pemimpin diperkukuhkan dengan faktor legitimasi, birokrasi dalam organisasi dam etos masyarakat.

Inilah sebenarnya inti kekuatan politik BN. Kepimpinan BN dapat mengawal dinamika kepimpinan akar umbi sehingga secara tradisinya kuasa itu bersifat memusat pada individu tertentu atau kelompok tertentu (oligarki).

Elemen tersebut masih wujud dalam HARAPAN meski dalam bentuk yang agak terhad. Masing-masing cuba menonjolkan kepimpinan dan retorik politik.

Jangan dilihat sewaktu air tenang. Tunggulah nanti apabila guruh di langit mula mahu bersuara.

Setakat ini, kepimpinan AMANAH bersifat kolektif sama ada dari segi birokrasi organisasi atau kepimpinan.

Saya secara peribadi berpendapat, pendekatan sebegini tidak memberi keuntungan politik jangka panjang buat AMANAH sendiri. AMANAH akan menjadi faktor tambahan dan peranannya kurang tertonjol.

Akan tetapi untuk masa depan negara, pendekatan ini akan lebih demokratik dan praktikal. AMANAH lebih pragmatik memilih kepimpinan atau gagasan politik yang dikemukakan dalam HARAPAN.

Pragmatisme AMANAH akan membantu membentuk suasana politik yang lebih dinamik. Namun idea politik yang melahirkan AMANAH itu lebih penting demi kebaikan pembangunaan politik tanah air.

Untuk apa ada parti kuat tetapi negara lemah kerana dikuasai pertubuhan yang korup?

Idea tahaluf siasi tidak dibangunkan oleh parti-parti politik sahaja. Kalau diimbas kembali, idea itu adalah kejayaan daripada masyarakat yang progresif.

Parti-parti politik mendapat faedah besar dari keputusan masyarakat melalui peti undi. Parti-parti politik 'dipaksa' mewujudkan kerjasama menjadi sebuah kerajaan yang diyakini rakyat.

Kualiti ini yang diperlukan dalam masyarakat. Kiranya parti-parti politik kembali pada pendekatan nafsi-nafsi, rakyat akan membuat keputusan sebaliknya. Masyarakat bosan dengan persaingan sesama parti.

Biarlah rakyat melihat HARAPAN itu sebagai wadah politik untuk semua. Jangan dilihat secara berasingan.

Atau, saya hanya berangan-angan?

DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Suami gila seks punca isteri minta cerai

NOHASPIDA YATIM 
KUALA TERENGGANU – Tidak tahan dengan sikap suami inginkan aksi seks secara terlampau sehingga memudaratkan menjadi antara faktor mendorong isteri memfailkan penceraian di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, terdapat beberapa kes penceraian yang direkodkan berpunca daripada sikap suami gila seks yang mengakibatkan tekanan kepada isteri.

“Kita tidak nafikan berlakunya kes-kes begini, namun, kebanyakannya tidak direkodkan dalam kenyataan sokongan, sebaliknya berbangkit ketika prosiding di hadapan hakim.

“Ada satu kes di mana seorang wanita memfailkan perceraian kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang meminta dia melakukan perbuatan sehingga menyebabkan kecederaan anggota sulitnya semata-mata mahu membangkitkan syahwat si suami setiap kali ingin bersama,” katanya.

Wan Mohd Zakri berkata, mahkamah merekodkan pasangan wanita lebih tinggi memohon penceraian iaitu sebanyak 67 peratus manakala 33 peratus difailkan lelaki.

Selain itu, katanya, pasangan berusia 26 hingga 30 tahun direkodkan paling ramai bercerai di mana kebanyakan kes melibatkan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang lima tahun.

Ditanya mengenai tempoh perkahwinan paling singkat yang direkodkan, katanya, pernah berlaku kes berkahwin dan bercerai dalam tempoh sehari (24 jam).

“Bercerai dalam tempoh 24 jam adalah tempoh perkahwinan paling singkat direkodkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST).

“Sebenarnya, fasa perkahwinan belum matang dalam tempoh lima tahun, menyebabkan ramai pasangan memilih perpisahan sebagai penyelesaian masalah yang sebahagian besarnya berpunca daripada ketidaksefahaman dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 19.3 peratus pasangan bercerai pada usia 26 hingga 30 tahun diikuti pasangan 31 hingga 35 tahun (18.6 peratus) dan pasangan berusia antara 21 hingga 25 tahun. (17.2 peratus).

“Terdapat juga kes penceraian melibatkan pasangan warga emas walaupun rekod tidak menunjukkan jumlah yang tinggi.

“Walaupun pasangan warga emas lazimnya dikaitkan mempunyai persefahaman tinggi kerana tempoh perkongsian hidup yang lama, perceraian dalam kalangan mereka masih berlaku iaitu sebanyak 5.1 peratus pasangan yang bercerai berusia di antara 61 hingga 86 tahun,” katanya.

Secara keseluruhan, sejak 2015 Terengganu menduduki tangga kelima bagi bilangan kes penceraian paling tinggi dengan merekodkan kes cerai secara purata 3,000 pasangan daripada 10,000 hingga 11,000 perkahwinan baharu setiap tahun.

"3,000 pasangan yang bercerai setiap tahun adalah jumlah yang tinggi. Antara faktor utama membawa kepada penceraian ialah ketidaksefahaman, tidak matang dan faktor kewangan,” katanya.

Dr M hanya akan bertanding PRU 14 jika

Dr M hanya akan bertanding jika PPBM terdesak
FMT Reporter
PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan bertanding pilihan raya akan datang jika partinya dalam keadaan terdesak.

Beliau berkata PPBM, yang ditubuhkan pemimpin veteran Umno bersama bekas ahli parti itu, mempunyai ramai calon yang berkelayakan dan berpengalaman untuk bertanding pada pilihan raya nanti.

“Saya belum tentukan lagi sama ada saya akan bertanding atau tidak, cuma dalam keadaan terdesak sajalah saya akan bertanding tapi di waktu ini tidak nampak terdesak.

“Kita punyai banyak calon untuk bertanding yang ada ini semua mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya lapor Sinar Harian hari ini.

Tokoh politik berusia 92 tahun itu menyertai pilihan raya di bawah bendera Perikatan pada pilihan raya umum 1964, dan menang kerusi Parlimen Kota Setar Selatan, dan mengalami kekalahan pertamanya di tangan pemimpin PAS, Yusof Rawa dalam pilihan raya 1964.

Kemenangan di Parlimen Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974 menyaksikan beliau kekal bertahan sehingga pilihan raya umum 1999.

Beliau melepaskan jawatan perdana menteri selepas 22 tahun dan tahun lepas mengisytiharkan keluar Umno sebelum menubuhkan PPBM dan menyertai Pakatan Harapan.

Dengan pilihan raya umum ke-14 perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan, Dr Mahathir menyeru ahli parti dan Pakatan Harapan supaya tidak mensabotaj calon yang dipilih untuk PRU nanti.

“Saya tahu mereka akan rasa kecewa kerana tak dipilih, tapi mereka perlu sokong orang dipilih kerana mereka dipilih itu juga mahu sokongan orang yang tidak dipilih itu.

“Kalau kita tak dipilih tapi menyokong yang dipilih sebagai calon, kita akan menang, semua akan menang untuk mengecapi nikmat yang akan diperolehi.

“Kalau mereka ambil langkah sabotaj, semua nikmat itu tidak akan dapat dirasai.”

Tuduhan PAN murtad, JHEAIK terima laporan Amanah Kelantan

MALAYSIA DATELINE

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIK) semalam menerima laporan berkenaan tuduhan murtad yang ditujukan kepada 'PAN' (Amanah).

Ketua Amanah kawasan Pasir Puteh, Abdul Halim Muhamad menyerahkan laporan berkenaan pada jam 11.30 pagi di Bahagian penguatkuasaan undang-undang syariah JHEAIK di Balai Islam Lundang.

Pembantu pegawai agama bahagian siasatan, Ustaz Zaidi Muhamad telah menerima laporan tersebut bagi pihak JHEAIK.

Abdul Halim diiringi pimpinan Amanah negeri dan kawasan-kawasan.

Naib pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed pada sidang media selepas penyerahan laporan itu berkata Amanah mengambil tindakan ini berkaitan tuduhan murtad dalam satu ceramah politik yang telah disampaikan Ketua Penerangan Pas Kawasan Tanah Merah Mohd Najmi Zakaria di pekarangan Madrasah Pak Man Serbuk, Pondok Lama, Tanah Merah pada kira kira jam 9.40 malam, 14 Julai lalu.
Antara lain Mohd Najmi dipetik sebagai berkata:

"PAN ni hok paling sedih sekalinya, PAN ni ibarat kalu kita dalam Islam gat, dalam agama kita, maaf la kasar bunyi, ia sebagaimana orang ingkar perintah Allah, kalu bunyi kok agama gat, ore murtad.

"Orang murtad nak oyat bui, Tuhan suruh bunuh, (sebab) menghancurkan Islam, suruh taubat tok sir taubat, mmasuk dalam gok (penjara ) dulu, tok sir taubat juga, akhirnya bunuh".

Menurut Che Ibrahim, kata-kata pemimpin Pas kawasan itu jelas ditujukan kepada ahli-ahli parti Amanah sebab perkataan " PAN" bagi maksud penceramah Pas tersebut adalah merujuk kepada parti Amanah.

"Pihak kami memohon supaya ucapan ini disiasat secara serius kerana ianya bukan sahaja melibatkan tuduhan kafir sesama Islam, tetapi boleh menimbulkan kegelisahan dan menganggu ketenteraman awam.

"Ucapan-ucapan seperti ini, jika tidak diambil tindakan sewajarnya, boleh menimbulkan kegelisahan masyarakat dan mencetuskan huru-hara dalam masyarakat.

"Ucapan ini jelas mengandungi unsur-unsur takfir sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 24, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1985)," katanya.

Menurutnya, pihak Amanah juga merancang untuk membuat laporan polis di semua Ibu Pejabat Polis Daerah, Negeri Kelantan.

"Ini bagi membolehkan pihak polis turut membuat siasatan dan merekodkan tuduhan jahat seperti ini yang boleh menimbulkan pelbagai implikasi.

"Pihak kami juga tidak menolak untuk bertindak melalui saluran undang-undang jika dirasakan perlu perbuat demikian," katanya.

Mungkin rasa bersalah, buaya bantu bawa mayat ke tebing (Gambar)


Memetik Tribune News, seekor buaya telah ‘membantu’ pencarian mayat Syarifuddin yang meninggal dunia akibat dibaham buaya ketika sedang bermandi-manda bersama rakannya bernama Abdullah.

Mungkin kerana rasa ‘serba salah’ membaham mangsa, sang buaya tersebut telah membawa si mati ke tebing sungai setelah misi menyelamat dijalankan dalam kejadian berlaku pada Selasa lalu.

Video yang dirakamkan oleh penduduk di Bitan Lempake, Kabupaten Berau telah mendapat perhatian orang ramai apabila sang buaya itu seakan-akan memahami kata-kata orang ramai supaya ia melepaskan mayat itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia kerana dibaham buaya berikutan terdapat kesan luka gigitan dan beberapa kesan cakaran di badan mangsa.
-kualalumpurpost

Tinjauan Invoke: PH raih lebih banyak sokongan ‘Melayu’

Nawar Firdaws

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mempunyai lebih banyak sokongan “Melayu” dan Cina berbanding Barisan Nasional, yang mungkin menyebabkan gabungan pemerintah itu tewas pada pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Pada sidang media hari ini, Rafizi berkata statistik itu berdasarkan tinjauan seluruh negara yang dijalankan Invoke baru-baru ini, sebuah badan penyelidikan di mana beliau merupakan penyelaras.

Daripada 17,107 pengundi berdaftar yang ditinjau, 11,769 (69%) orang Melayu, 3,377 (20%) orang Cina, 1,046 (6%) Bumiputera Sabah dan Sarawak manakala baki 915 (5%) kaum India.

Tinjauan mendapati 36% responden “Melayu” sama ada secara langsung atau tidak langsung menyatakan sokongan untuk PH, hanya 1% lebih tinggi daripada jumlah yang menyokong BN.

Hanya 14% menyokong PAS, sementara 15% lagi masih berada atas pagar.

Bagaimanapun, penting untuk diperhatikan jawapan yang diberikan oleh responden Bumiputera Sabah dan Sarawak dimasukkan di bawah kategori “Melayu”.

Menurut Rafizi, jika mereka mempunyai kategori sendiri, mereka perlu dibahagikan kepada etnik berbeza yang menjadikan angka “begitu kecil dan tidak penting”.

Rafizi berkata tinjauan juga mendapati 53% daripada responden Cina secara langsung atau tidak langsung menyatakan sokongan terhadap PH, 2 kali ganda lebih daripada sokongan yang dinyatakan untuk BN, iaitu 22%.

23% lagi belum membuat keputusan, dan hanya 1% menyatakan sokongan kepada PAS.

Bagi responden India, majoriti mereka, sebanyak 44%, berkata sokongan mereka terletak pada BN. PH tidak jauh di belakang, dengan sokongan sebanyak 42%, 10% masih atas pagar, manakala 3% menyokong PAS.

“Dengan tahap sokongan ini, terdapat kebarangkalian yang BN akan dikalahkan pada pilihan raya umum ke-14.

“Bagaimanapun, ini juga tertakluk kepada PH berjaya menawarkan penyelesaian kepada 3 isu yang paling penting kepada pengundi,” kata Rafizi, sebelum menamakan ketiga-tiga isu itu sebagai kenaikan kos sara hidup, gaji yang tidak stabil yang tidak sepadan dengan inflasi, dan kemasukan pekerja asing.

Statistik ini juga berdasarkan soalan berkenaan parti yang mereka sokong, yang kemudian diselaraskan mengikut jawapan yang mereka berikan kepada 6 soalan tinjauan yang lain.

Rafizi berkata soalan sengaja dibuat berat terhadap BN atau PAS untuk membezakan antara penyokong kedua-dua parti itu dan PH.

“Jadi mereka mungkin kata atas pagar, tetapi apabila kita kaji jawapan mereka (kepada 6 soalan lain), kami dapati mereka sebenarnya penyokong PH,” katanya.

Kajian dilakukan melalui panggilan telefon secara rawak, yang dibuat oleh Invoke antara 5 Jun hingga 14 Julai tahun ini.

Lebih 2.67 juta pengundi berdaftar dihubungi, tetapi hanya 17,071 memberikan jawapan kepada semua soalan yang ditanya.

Pelik: Gunting rambut guna tukul, pahat (Gambar)



Agensi

Kaherah: Seorang tukang gunting rambut muda menggunakan kaedah baru dan pelik untuk menggunting rambut pelanggannya.

Ahmed Abu Al Ainain, 25, dari Mit Ghamr di wilayah Dakahlia, memiliki kedainya sendiri dan sering mencari gaya terkini untuk memenuhi kehendak pelanggannya.

Ahmed memberitahu Al Arabiya, dia memotong rambut pelanggannya dengan mengetuk pahat yang tajam menggunakan tukul dan ia memberikan hasil yang berbeza.

“Kaedah ini popular dalam kalangan pelanggan yang terus meminta saya membuatnya kerana berpendapat ia menggalakkan peredaran darah lebih baik selain menjadi teknik ala urutan untuk kulit kepala.

“Hasil potongan rambut juga memuaskan. Tidak dinafikan ada pelanggan yang tidak menyukainya, tetapi kebanyakan golongan muda menganggapnya kaedah terkini dan mengujakan.
-hmetro

Akibat sakit hati, kereta jadi motosikal [video]


“RAMAI yang kata mustahil, tetapi yang mustahil itulah yang kita nak buat," itu kata Abdul Rasid Ismail, 47, jurukimpal yang menjalankan projek motosikal monster menggunakan enjin Nissan RB20 dari kereta Volvo 240.

Abdul Rasid yang mesra dengan panggilan Acid Welding mula popular apabila gambar dan video projek motosikal RB20 yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya menjadi tular di laman sosial sejak Ahad lalu.

Katanya, cetusan idea mencipta motosikal kostum itu muncul apabila dia menarik balik keputusan untuk menjual kereta Volvo miliknya selepas berhadapan dengan pelbagai ragam daripada beberapa pembeli.

"Saya jadi sakit hati dengan kerenah mereka dan membuat keputusan untuk tidak menjualnya sebaliknya menjadikan ia sebuah motosikal.

"Ramai yang berpendapat ia sukar untuk 'dibentuk' menjadi motor, tambahan pula beroda dua, tetapi yang sukar itulah saya mahu buat supaya boleh menjadi inspirasi kepada orang lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya yang berasal dari Batu Pahat, Johor, proses pembikinan motosikal monster yang bermula sejak tiga bulan lalu, dibantu oleh anak sulungnya Amirul Azwan, 21, dengan menggunakan kepakaran dan tenaga sendiri tanpa menggunakan alat bantuan khas.

"Kos yang digunakan tidak sampai RM1,000 kerana barang semua sudah ada dan kami buat sendiri, cuma idea untuk membikinnya itu yang 'mahal'.

"Saya sudah biasa dengan enjin RB20, itu sebab saya tiada masalah untuk menciptanya menjadi motosikal buatan sendiri untuk dipamerkan pada Art of Speed (AOS) 2017 hujung bulan ini di Serdang, Selangor.

"Ramai yang memberi kritikan meskipun sudah berjaya menghidupkan enjinnya, namun saya abaikan semua itu kerana kenderaan itu masih belum siap sepenuhnya," katanya yang juga seorang 'drifter' ketika usia muda.

Menurut Abdul Rasid, kali ini adalah penyertaannya yang ketiga dalam AOS dan sehingga kini sudah mengubahsuai lebih sepuluh motosikal kostum sejak empat tahun lalu.

Dia yang mempunyai kemahiran mekanikal sejak 29 tahun lalu berkata, lebih berminat untuk merekacipta berbanding mengubah suai kelajuan motosikal kerana tidak mahu kepakarannya disalah guna oleh pihak yang tidak sepatutnya.

"Keluarga saya tidak menghalang hobi saya malah jiran serta orang kampung menyokong aktiviti yang saya lakukan.

"Kemahiran saya juga diturunkan kepada anak sulung yang mempunyai lulusan Sijil Juruteknik Motosikal," kata bapa kepada empat anak itu.

Video dan gambar projek motosikal monster RB20 yang dimuat naik menerusi Facebook Acid Welding menerima lebih 6,000 perkongsian serta ditonton lebih 50,000 pengguna laman sosial berkenaan sejak Ahad.
-hmetro

Leka main telefon, wanita maut jatuh tangga


Insiden yang dirakam CCTV
ANHUI - CHINA. Gara-gara terlampau leka dengan telefon bimbitnya, seorang wanita maut terjatuh dari tangga sebuah jenjatas di bandar Anhui.

Rakaman CCTV menunjukan wanita itu dilihat leka dengan telefonya ketika menuruni tangga sebelum tersadung dan jatuh sehingga ke bawah anak tangga terakhir.

Wanita itu dilaporkan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan serius di kepada dan mukannya.

Mangsa dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya, lapor Shanghaiist.

Ketaksuban terhadap telefon bimbit menjadi masalah serius di China.

Awal tahun ini, kanak-kanak dua tahun dilanggar pemandu yang leka dengan telefon bimbitnya di wilayah Fujian.
-sinarharian

Warga emas kahwini gadis 18 tahun


Sulaeman Daeng Ngampam (kanan) dan Diana Daeng Nganiyang
SULAWESI SELATAN - INDONESIA. Seorang lelaki berpangkat warga emas mengahwini gadis pujaannya yang berumur 44 lebih muda.

Menurut laporan Malaysian Digest, Sulaeman Daeng Ngampam, 62 selamat menikahi Diana Daeng Nganiyang, 18 di Kabupaten Gowa, kelmarin.

Ketua kampung, Zainal Arifin Daeng Mangung perkahwinan pengantin lelaki yang lebih tua daripada pengantin wanita tersebut mengikut adat suku kaum Makassar.



"Setahu saya, tiada paksaan antara mereka walaupun isterinya masih muda," kata Zainal memetik laporan Detik.com.

Media tempatan mengatakan Sulaeman memberikan hantaran sebanyak 35 juta rupiah (RM11,264.45).

Kata Diana, beliau senang dengan perwatakan Sulaeman walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan umur yang ketara.

"Tolong doakan mudah-mudahan rumah tangga kami berjalan dengan baik," kata Diana.

Saya India Muslim, dan bukan baru semalam jadi Bumiputera

Mira Khan 

Saya berketurunan India Muslim. Moyang saya beserta keluarga datang ke Tanah Melayu di awal 1920-an.

Datuk saya yang lahir di India membesar di Tanah Melayu. Beliau berkahwin dengan wanita yang juga berketurunan India Muslim. Hasilnya, ayah saya lahir kira-kira sedekad sebelum kemerdekaan.

Seperti ayah, ibu saya juga berketurunan India Muslim. Beliau merupakan generasi kedua keluarganya yang lahir di negara ini.

Rekod kelahiran kedua-dua orang tua saya mencatat asal usul keturunan mereka sebagai “India Muslim”. Dalam masa yang sama, nama penuh mereka tiada “bin” atay “binti”, sebaliknya “a/l” (anak lelaki) serta “a/p” (anak perempuan).

Apabila saya dan adik-beradik saya lahir, kami juga dikategorikan sebagai berketurunan “India Muslim” di dalam surat lahir masing-masing. Bezanya dengan ibu dan ayah, kami secara automatik diberi “bin” dan “binti”.

Dengan meningkatnya usia kami adik-beradik, ayah dan ibu mula membuat perancangan untuk ke Tanah Suci. Bagi memudahkan urusan Tabung Haji, ayah serta ibu nekad menukar gelaran “a/l” dan “a/p” kepada “bin” dan “binti”.

Setelah menghadiri temuduga serta mengisi beberapa dokumen, penukaran tersebut dibuat dengan agak mudah.

Pada 1988, ketika kami berusia belasan tahun, ayah saya membawa kami sekeluarga ke sebuah bank untuk membuka akaun Amanah Saham Remaja di bawah ASB (Amanah Saham Bumiputera). Saya tidak tahu ketika itu apa maksud Bumiputera tetapi seingat saya, ayah ada memberitahu bahawa bukan semua orang yang dapat membuka akaun ASB, cuma orang yang istimewa sahaja.

Dengan adanya “bin” dan “binti” pada nama mereka, ayah dan ibu juga turut menjadi orang “istimewa” yang dapat membuka akaun ASB.

Apabila saya dan adik-beradik meningkat dewasa dan melanjutkan pelajaran, kami membuat permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dengan mengkategorikan diri kami sebagai Bumiputera.

Setelah tamat pelajaran serta mula bekerja, adik-beradik saya mula membuat perancangan untuk membeli rumah demi pelaburan masa hadapan. Dengan adanya pangkat Bumiputera, mereka memperoleh diskaun yang khusus buat golongan Bumiputera sahaja.

Anak saudara saya yang lahir beberapa tahun kemudian juga berketurunan India Muslim seperti kami. Dan mereka juga ditauliahkan pangkat Bumiputera yang sama – setiap mereka mempunyai akaun Amanah Saham yang dikhaskan untuk golongan Bumiputera sahaja.

Sepanjang hidup, identiti saya sekeluarga kekal sebagai India Muslim dan Bumiputera.

Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengeluarkan kenyataan yang menerima golongan India Muslim sebagai Bumiputera.
Jika baru semalam keturunan kami dimahkotakan dengan gelaran Bumiputera, bagaimana pula saya sekeluarga dapat menikmati segala keistimewaan Bumiputera selama bertahun lamanya?

Adakah Najib selaku pemimpin tertinggi negara tidak tahu menahu bahawa kaum India Muslim sememangnya merupakan Bumiputera sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi? Pelik.

Mengapa kaum lain tak tuntut?

Walau bagaimanapun, apa yang saya rasakan lebih pelik adalah hakikat bahawa rakan-rakan saya yang mana moyang mereka juga datang dari India bagi membina kehidupan di Malaya, sama seperti moyang saya, tidak pula diberikan pangkat Bumiputera. Mengapa ya?

Dan rakan-rakan saya yang lain yang mana moyang mereka daripada China, sudah lebih lama bertapak di Malaya sejak beberapa generasi lebih awal daripada moyang saya – mengapa pula mereka tidak didaulatkan dengan pangkat Bumiputera?

Apakah kelebihan yang ada pada saya dan golongan berketurunan India Muslim yang lain, yang tiada pada mereka?

Pastinya ia bukan kerana saya beragama Islam kerana ramai golongan Bumiputera seperi Baba Nyonya, Siam serta Orang Asli bukanlah Muslim. Jadi apakah sebab sebenarnya?

Dan mengapa pula pihak yang memperjuangkan kaum India (seperti MIC) dan kaum Cina (seperti MCA) terus berdiam diri tanpa menuntut hak saksama sebagai Bumiputera seperti mana yang dilakukan oleh Kimma (Kongres India Muslim Malaysia) dan Permim (Persatuan India Muslim Malaysia)?

Semoga Najib dapat memberikan penjelasan. Pastinya kita tidak mahu orang menuduh kepimpinan kita sebagai memilih bulu.