"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR, parti pelik dalam politik aneh Malaysia

Zin Mahmud
Sebelum hari raya minggu lalu, keluar berita Tian Chua dilaporkan akan menubuhkan sebuah NGO yang menumpukan perhatian bagi usaha mengatasi masalah sosial berkaitan daripada kesan wabak Covid-19. Tetapi beliau kekal dalam PKR.

Walaupun NGO itu belum ada nama, tetapi dapat difahami ia berkaitan dengan keadilan sosial yang pastinya banyak terjejas akibat kemerosotoan ekonomi ekoran langkah membendung Covid-19.

Tindakan Tian Chua itu adalah suatu yang penting bagi negara ini pada waktu sekarang. Sebelum wabak ini pun, keadilan sosial ini adalah persoalan penting. Tetapi dengan wabak ini, perkara ini bertambah yang mesti diambil perhatian bukan saja ahli politik seperti Tian Chua, atau sesebuah NGO, malah semua parti politik, dan akhir sekali kerajaan itu sendiri.

Persoalan keadilan sosial pula adalah selaras dengan inti perjuangan PKR. Perkataan “keadilan” dalam PKR bukan sekadar bermaksud “keadilan di mahkamah” walaupun perjuangannya tercetus daripada “perjuangan untuk keadilan bagi Anwar Ibrahim,” tetapi ia bermaksud juga “keadilan sosial.”

Sementara perkataan “rakyat” dalam PKR itupun berasal daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang merupakan juzuk gabungan dengan Parti Keadilan Nasional. PRM pula sebagai parti kiri meletakkan keadilan sosial sebagai prinsip perjuangannya. Begitu juga dengan aktivis asal PRM yang turut serta semasa penggabungan itu, seperti Syed Husin Ali dan Hassan Karim adalah ahli politik yang perjuangan seumur hidupnya untuk menegakkan keadilan sosial.

Pada mula penubuhan PKR itu sendiri, ia disertai oleh aktivis NGO seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Dalam golongan pejuang keadilan sosial inilah beradanya ketika beliau baru masuk ke dunia politik pada 1999. Sejak masih menjadi mahasiswa falsafah lagi beliau aktif dalam gerakan pelajar khususnya dalam Rangkaian Kolektif Pelajar Seberang Laut (Nosca) dan Perikatan Kiri.

Apabila kembali ke Malaysia pada 1990, beliau menyertai Suaram bagi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pada 1992, beliau sertai Pusat Sumber Pantau Asia (AMRC) bagi penyelidikan buruh serantau. Ini diikuti dengan menjadi pengarah Pusat Sumber Buruh (LRC) pada 1997.

Ketika gerakan Reformasi dilancarkan pada 1998, Tian Chua menjadi pengerusi gabungan NGO dan parti politik bernama Gagasan Demokrasi Rakyat Malaysia bagi mendokong perjuangan itu. Pada 1999, beliau menyertai PKR dan turut ditahan di bawah ISA bersama aktivis lain, yang semuanya itu kemudian dikenali sebagai Reformasi 10.

Sejak itu beliau aktif sebagai ahli politik PKR hingga menjadi naib presiden parti dengan 2 kali menang pilihan raya umum bagi kawasan Batu pada 2008 dan 2013. Namun dalam pertikaian politik dalaman PKR, Tian Chua dikenali sebagai berada dalam kumpulan yang menyokong Azmin Ali. Maknanya menolak Anwar.

Daripada pengalamannya, Tian Chua tidak asing dengan gerakan NGO memperjuangkan keadilan sosial. Tetapi pengumuman itu menunjukkan beliau tidak akan menggerakkannya sebagai aktiviti parti. Maknanya, ia merupakan gerakan merentas parti politik, tidak terhad pada PKR atau Pakatan Harapan.

Ia juga dijangkakan tumpuannya kelak tidak lagi pada PKR tetapi terhadap NGO itu. Ketetapan itu menunjukkan keanehan politik beliau. Walaupun beliau dikenali sebagai pemimpin PKR yang berada dalam pihak Azmin, tetapi beliau setakat ini masih tetap berada dalam parti itu.

Sememangnya Azmin mengorak langkah meninggalkan PKR bersama pengikutnya hingga turut menyumbang kepada tumbangnya kerajaan PH. Apabila ini berlaku sememangnya dijangka PKR terbelah 2 dengan semua pengikut Azmin meninggalkan parti itu.

Tetapi rupa-rupanya ia tidak menjadi demikian. Sama ada ia hanya merupakan taktik Azmin atau apa yang berlaku ialah bukan saja PKR pecah tetapi kumpulan beliau itu turut pecah. Maknanya hanya sebahagian penyokong beliau meninggalkan parti sementara yang lain tetap kekal. Masa akan menunjukkan sama ada ia merupakan taktik atau perpecahan.

PKR sememangnya parti yang aneh. Bertahun-tahun ia bergerak dengan pemimpinnya berada dalam penjara. Dari sejak penubuhannya, sudah berlaku beberapa gelombang yang mana ada pemimpinnya meninggalkan parti itu. Tetapi ia bertambah kuat walaupun terdapat perpecahan ketara yang jelas, namun gagal ditangani oleh ketuanya.

Apabila ia akhirnya berjaya menjadi kerajaan melalui gabungan 5 parti dengan bilangan ahli Parlimen paling banyak, presidennya pula hanya menjadi timbalan perdana menteri. Bukan itu saja, dalam pencapaian terbesarnya, parti itu berpecah pula. Maknanya, semasa tidak berkuasa, walaupun ada 2 faksi, ia tetap mampu untuk bersatu. Tetapi apabila sudah memiliki kuasa, ia berpecah 2 hingga menjatuhkan kerajaan sendiri melalui kerjasama dengan parti musuh.

Sebagai parti suami isteri dan anak-beranak, parti ini sememanglah sudah pelik. Tetapi pemimpinnya juga mempunyai keanehan masing-masing yang adakalanya tidak terjangka oleh penyokong dan pengundinya. Bukan saja ketuanya pelik tetapi penentangnya dalam parti itu juga mempunyai keanehan yang orang ramai sukar untuk memahami.

Aktivis PKR yang sudah banyak melalui banyak pemilihan parti yang terbuka dan riuh-rendah sudah dikenali secara umum siapa yang menyokong siapa. Penyokong Azmin dari peringkat atas hingga ke bawah sudah dikenali.

Umpamanya, Tian Chua, Baru Bian dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dari awal lagi sudah dikenali sebagai penyokong Azmin. Tetapi setakat ini mereka tidak keluar dari PKR. Tian Chua tetap pergi ke pejabat PKR walaupun diserang oleh mereka yang marah pada Azmin. Pada mulanya Baru bersama Azmin dalam tindakannya menolak Anwar dan menyokong Dr Mahathir Mohamad. Tetapi apabila Azmin menyokong Muhyiddin Yassin dan Mahathir kembali pada PH, Baru memilih untuk meninggalkan Azmin walaupun beliau kehilangan jawatan menteri. Tian Chua pula selama ini bekerja dengan Baru dalam satu lantikan politik. Setakat ini juga, Amirudin tidak melompat hingga boleh beliau kehilangan jawatan menteri besar.

Keanehan PKR ini juga menjadikan PH itu sebagai sebuah entiti politik pelik. Hakikat bahawa seorang negarawan bersara berusia 90-an menjadi ketua, itu pun sudah merupakan sesuatu yang aneh. Bagaimanapun, apa yang hendak dihairankan. Ini kerana bukan saja PKR pelik. Rakan segabungannya iaitu PPBM tidak kurang pelik.

Walaupun DAP dan Amanah boleh dipandang sebagai parti yang normal, kerana gelagat mereka boleh dijangka, tetapi perkara sama tidak boleh dikatakan terhadap PKR dan PPBM. Lebih-lebih lagi pemimpin utama PKR dan PPBM, iaitu Anwar dan Mahathir yang masing-masing mempunyai perjalanan politik pelik. Maka begitu juga dengan orang kedua mereka, Azmin dan Muhyiddin yang menyeret jatuh kerajaan PH.

Namun apabila melihat keseluruhan politik Malaysia, pasti keanehan itu juga ketara pada parti yang kini menjadi kerajaan. Umno dan PAS juga mempunyai keanehan masing-masing dengan watak pemimpin mereka boleh menimbulkan rasa tanda tanya. Semua mereka mewarnakan politik Malaysia menjadi pelik. Ataupun rakyat Malaysia sendiri mempunyai keanehan yang menjadikannya demikian.

Tiada ulasan: