"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Tebrau nafi mahu keluar PKR, dakwa pernah tolak jawatan menteri


Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon dari PKR menafikan akan keluar parti, malah mendakwa pernah menolak jawatan menteri kabinet "dari pihak lain" ketika kerajaan pusat bertukar pada Mac lepas.

Choong berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang mengatakan dia akan menubuhkan NGO 'EcoSocial Movement' sebagai "strategi keluar" dari PKR sebelum dikatakan akan menyertai Gerakan.
"Saya kecewa dalam beberapa hari terakhir ini, kerana ada kenyataan yang secara khusus menyebut nama saya dan dua yang lain, bahawa kami telah menubuhkan NGO sebagai strategi keluar dari PKR kerana tidak ada tempat untuk kami dalam PKR kerana sokongan kami sebelum ini dengan mereka yang meninggalkan parti untuk membentuk kerajaan PN (Perikatan Nasional).

"[...] Semasa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ... saya malah menolak tawaran jawatan menteri penuh dari pihak lain. Oleh itu, saya tetap komited untuk melayani rakyat, cita-cita keadilan sosial dan agenda reformasi untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choong mendakwa desas-desus berkenaan didalangi seteru politiknya di parlimen Tebrau dan parti-parti politik yang lain.

Portal Free Malaysia Today semalam memetik sumber dalaman parti bahawa seorang lagi ahli parlimen PKR bersedia meninggalkan parti itu.

Dikenali sebagai 'Langkah Sheraton', pada 24 Februari, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli parlimen yang lain bersamanya bertindak keluar dari PKR dan menubuhkan blok Bebas di Dewan Rakyat.

Bekas ahli parlimen PKR lain yang terlibat ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo), Jonathan Yasin (Ranau) dan Santhara Kumar (Segamat).

Baru Bian (Selangau) yang turut terlibat bertindak keluar dari PKR namun kemudian meninggalkan kumpulan Azmin dan menyatakan sokongan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Choong antara wakil rakyat diramalkan pada awalnya akan menyertai langkah Azmin, tetapi tidak berbuat demikian.

Krisis politik negara dikenali sebagai 'Langkah Sheraton", adalah pertemuan antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bersama beberapa ahli parlimen Bersatu yang lain dan kumpulan Azmin dengan ahli parlimen BN dan PAS pada malam sebelumnya.

Susulan pertemuan itu, Bersatu mengumumkan keluar dari gabungan Pakatan Harapan bersama-sama dengan kumpulan Azmin dan bergabung dengan BN, PAS dan GPS.

Langkah itu akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan PH dan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri baru PN.

Sementara itu, Choong menjelaskan bahawa NGO yang ditubuhkan pada Mac lalu adalah untuk mengumpulkan sumbangan dan merekrut sukarelawan bagi memberikan perkhidmatan di kawasannya setelah kejatuhan kerajaan PH.

"Selepas kejatuhan kerajaan PH, saya menulis dalam satu kiriman pada 3 Mac bahawa sudah hampir waktunya saya perlu kembali ke bidang audit dan percukaian kerana jumlah kes yang dikendalikan oleh pusat perkhidmatan saya telah berkurang hampir 80 peratus di dua hari pertama bulan Mac.

"Pembantu saya tiba-tiba mempunyai masa lapang, tetapi mereka ingin mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tahap perkhidmatan yang biasa kami berikan dalam 22 bulan lalu.

"Oleh itu, sebuah NGO bernama 'EcoSocial Movement' ditubuhkan pada bulan Mac 2020 untuk membantu kami mengumpulkan dana serta merekrut sukarelawan untuk bekerja.

"Hantaran posting yang mengaitkan saya dengan NGO ... dan tuduhan bahawa ini dilakukan sebagai strategi keluar bagi saya dari PKR adalah tidak berasas dan tidak benar," katanya.

Tiada ulasan: