Malaysia Dateline
Nak lawat Menteri Kedah, pergi ke Pahang, mesyuarat kat Kuala Terengganu. Itulah yang berlaku dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Terkanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.
Yang lebih teruk lagi, ia disalin bulat-bulat oleh Bernama, agensi berita nasional dalam laporan berita yang dibuatnya untuk disebarkan ke seluruh dunia.
Kenyataan media Azmin Ali mengenai lawatannya ke Kedah yang diperbetulkan oleh netizen.
Menurut kenyataan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu akan melawat negeri Kedah hari ini, 28 Mei.
Namun Kedah sudah ditulis sebagai Kedah Darul Makmur iaitu nama khas untuk negeri Pahang.
Yang menarik lagi, beliau akan bertemu dengan “Menteri Kedah” Mohamad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Iman yang terletak di Kuala Terengganu pada jam 2 petang.
Yang lebih memburukkan keadaan, Bernama pula melaporkan dalam berita Bahasa Inggeris, pertemuan itu akan berlangsung di “Wisma Darul Iman” jam 2.00 petang, bukannya Wisma Darul Aman.
Berita Bahasa Inggeris Bernama biasanya dilanggan oleh agensi berita antarabangsa dan kedutaan asing.
Di twitter pula, selain Azmin yang mengeluarkan kenyataan itu, penasihat utama beliau, Khalid Jaafar yang menjadi sasaran.
Ahmad Zaki Yamani ketika berkicau di twitter menulis “Encik @khalidjaafar jangan la upah budak hisap ganja buat kenyataan Menteri terKanan” sambil melampirkan kenyataan penuh yang penuh contengan warna merah itu.
Yang lebih teruk lagi adalah kenyataan media ini telah diulas oleh Tokoh Wartawan Negara yang juga bekas Penasihat Media kepada Perdana Menteri ke 7, Datuk A Kadir Jasin.
Melalui facebook beliau, Kadir bertanya, “Kalau siaran media Menteri Kanan merangkap Menteri MITI ini tulen, jelaslah ini memang kerja kelas ayam.”
Bagi beliau, ini kerja orang malas atau kes sabotaj kow kow.
“Tak ada kelas langsung. Diterbitkan dengan bangganya atas nama Menteri,” katanya.
“Kedah Darul Aman dipanggil Darul Makmur. Darul Makmur tu Pahang.
“Ibu Pejabat Kerajaan Kedah namanya Wisma Darul Aman bukan Wisma Darul Iman. Wisma Darul Iman di Terengganu,” tulis beliau.
Kadir terus menekan Azmin dengan berkata, “Apa punya jenis Menteri. Dia tak baca ka? Atau dia harap pegawai, pegawai pun kelas ayam juga.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan